Siri Pemanasan Global (2)

oleh Brian Khow

Kita sedang berada dalam sejenis budaya yang tidak mempedulikan kehidupan masyarakat bawahan yang susah dan membiarkan umat manusia ditenggelamkan di bawah ombak atau mereput dalam pusat tahanan. Budaya sebegini juga membiarkan kampung halaman masyarakat bawahan dimusnahkan dalam ombak atau layu dalam keadaan panas terik. Inilah dunia bertamadun yang penuh dengan keganasan, yang diciptakan oleh kapitalisme hari ini.

Kita boleh bermula dengan kolonialisme hijau Israel sekiranya ingin mengkaji keganasan seperti ini. Rancangan pembangunan negara Israel sekian lama dihiasi dengan pakaian luar yang hijau. Pokok-pokok khususnya menjadi salah satu senjata yang paling kuat untuk merampas dan menduduki tanah. Dana Nasional Yahudi (Jewish National Fund, JNF) melaungkan slogan “Menjadikan Gurun Hijau” (Turning the Desert Green) dengan bangganya, dan menyatakan bahawa sejumlah 250 juta batang pokok telah ditanam di Israel sejak tahun 1901, yang kebanyakannya bukan spesies asal. Tumbuhan jenis konifer eksotik telah menjadi salah satu simbol rasmi dalam sistem penuh diskriminasi yang dibentuk oleh Kerajaan Israel. Banyak pokok zaitun dan pistasio yang dimiliki oleh penduduk Palestin telah dimusnahkan, hanya untuk mendirikan penempatan dan jalan raya yang boleh digunakan oleh orang Israel sahaja.

Pada tahun 2003, Israel mendirikan tembok pemisah dan menduduki kawasan yang luas di Tebing Barat Sungai Jordan, menyebabkan penduduk Palestin tidak dapat bekerja, petani tidak dapat bercucuk tanam, pesakit tidak dapat rawatan perubatan dan banyak rumah tangga menjadi porak-peranda. Pada masa itu, terdapat banyak suara yang menentang pembinaan tembok pemisah itu. Antara suara yang paling lantang datang daripada Menteri Alam Sekitar Israel, Yehudit Noat. “Tembok pemisah… menjejaskan pemandangan lanskap, flora dan fauna, koridor ekologi dan pengaliran sungai… Saya memang tidak mahu menghalang atau menangguhkan pembinaan tembok ini, tetapi bencana alam sekitar yang berikutan menyebab saya berasa bingung,” begitu katanya. Kemudiannya Kementerian Alam Sekitar Israel memulakan satu operasi penyelamat, memindahkan spesies yang terjejas ke kawasan perlindungan alternatif, dan membina laluan kecil untuk haiwan kecil merentas tembok itu. Namun, apa yang langsung tidak dipertimbangkan di sini ialah keadaan rakyat Palestin. Ini hanya membuktikan bahawa nyawa dan kehidupan masyarakat yang tertindas adalah jauh lebih teruk dan tidak bernilai berbanding dengan tumbuh-tumbuhan.

Edward Said, seorang cendekiawan yang terkenal, menggambarkan keadaan ini dalam bukunya yang berjudul “Orientalisme” (Orientalism) pada tahun 1978 sebagai “mengabaikan, memperlekeh, dan merampas orang lain dari segi budaya, kebangsaan atau wilayah geografinya”. Setelah imej “orang lain” (the Other) dibentuk secara kukuh, keganasan disebut tadi nampaknya telah dibenarkan: pengusiran secara keganasan, perampasan tanah, penjajahan dan pencerobohan, oleh kerana “orang lain” ini tidak memiliki hak-hak dan kemanusiaan yang setaraf dengan pelaku keganasan.

Bahan api fosil bukan satu-satunya faktor yang menyebabkan pemanasan global, begitu juga dengan agro-industri dan penebangan hutan, tetapi ia merupakan faktor pendorong yang terbesar. Enjin penggerak ekonomi kapitalis memerlukan bahan api fosil untuk berfungsi. Bahan api fosil itu sendiri adalah kotor dan beracun. Ia memerlukan pengorbanan daripada manusia dan tanah: orang yang boleh mengorbankan paru-paru dan tubuh badan mereka untuk bekerja di dalam kawasan perlombongan, menyumbangkan tanah dan air kepada perlombongan terbuka, khususnya kejiranan berhampiran dengan stesen penjana elektrik dan kilang memproses minyak. Teori konsep “keberlainan” (otherness) mempertahankan idea bahawa adalah munasabah untuk penduduk yang hidup di dalam zon pengorbanan tersebut menderita — penduduk di situ miskin dan mundur, kehidupan dan kebudayaan mereka tidak layak dilindungi dan sebagainya. Mereka yang tinggal di zon pengorbanan ini terpaksa menanggung ketagihan kita terhadap bahan api fosil yang beracun, dengan risiko mereka menghidapi penyakit pernafasan dan barah adalah jauh lebih tinggi.

Gambar rajah: Lakaran “garis kering” daripada buku “Garis Pantai Berkonflik” (The Conflict Shoreline) tulisan Eyal Weizman

Buku berjudul “Garis Pantai Berkonflik” (The Conflict Shoreline) yang ditulis oleh Eyal Weizman menyebut tentang “garis kering” yang ditunjukkan sebagai garis merah dalam gambar rajah di atas. Ia merupakan sempadan gurun di Timur Tengah dan Afrika Utara. Ini adalah kawasan dengan penurunan hujan sekitar 200 mililiter setahun, iaitu jumlah air hujan paling rendah yang dapat digunakan untuk pertanian berskala besar tanpa bantuan sistem pengairan. Tanda titik merah adalah kawasan tumpuan serangan dron oleh kuasa Barat (termasuk Israel) beberapa tahun sejak kebelakangan ini. Terdapat dua sumber alam yang berkait rapat di kawasan tersebut, iaitu kekayaan minyak dan kekurangan air. Minyak yang diekstrak dari kawasan ini menaikkan suhu global, seterusnya menyebabkan kemarau yang teruk dan akhir membawa kepada kekurangan air di sekitar kawasan “garis kering”.

Daraa, sebuah bandar yang sering menjadi tumpuan dunia dalam Pemberontakan Syria sejak beberapa tahun kebelakang ini, terletak di atas “garis kering” tersebut. Sebelum perang saudara tercetus di Syria, kemarau teruk yang berterusan selama beberapa tahun menyebabkan petani-petani terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka dan berhijrah ke bandar tersebut. Walaupun kemarau bukan satu-satunya faktor yang menyebabkan ketegangan masyarakat di situ, tetapi seramai 1.5 juta rakyat Syria terpaksa berpindah kerana kemarau, dan keadaan ini jelas memainkan peranan yang penting dalam Pemberontakan Syria.

Pada masa dahulu, pesawat tempur kuasa Barat dikerahkan ke situ kerana kekayaan sumber minyak (ekonomi global yang dikuasai oleh kuasa besar memerlukan minyak untuk menggerakkannya, maka sangat mustahak untuk menguasai sumber tersebut). Hari ini, dron kuasa Barat juga berkait rapat dengan kekurangan air dan konflik di kawasan itu. Pada masa yang sama, terdapatnya bot-bot yang penuh dengan pelarian yang melarikan diri daripada perang dan kemarau. Dari perspektif makro, serangan bom dan dron yang pada awalnya digunakan untuk menjustifikasi perampasan terhadap “orang lain” kini digunakan terhadap pelarian. Sebagai contoh: Donald Trump yang baru tewas dalam pilihanraya Amerika Syarikat (AS), pernah mempromosikan tembok pemisah AS-Mexico dengan ayat kegemarannya: “Pergi tanya Israel, tembok itu berguna.” Pelabuhan Calais di Perancis yang penuh dengan pendatang asing telah dirobohkan. Pihak Australia pula menahan pelarian di Pulau Nauru dan Manus yang jauh terpencil.

Pandemik COVID-19 kini telah memburukkan lagi xenofobia di seluruh dunia. Kita memang terjerumus dalam budaya keganasan sebegini. Kita ingat bahawa boleh melindungi kita daripada bahaya jika menghancurkan “orang lain” terlebih dahulu. Namun, satu-satunya perkara yang mungkin kita tidak sedar adalah kebanyakan kita sebenarnya merupakan “orang lain” yang dihasilkan oleh sistem hari ini. Kalau kita tidak dapat menyedari kenyataan ini, lambat laun kita akan dihancurkan oleh sistem yang kita sendiri wujudkan ini.

==========

Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

==========

Rencana lain dalam Siri Pemanasan Global

Siri Pemanasan Global (1): Sejarah pemanasan global

Siri Pemanasan Global (3): Pengawal kem tahanan hari ini, pelarian iklim hari esok

Siri Pemanasan Global (4): Modal penyerang

Siri Pemanasan Global (5): Merah dan Hijau

Siri Pemanasan Global (6): Beli! Beli! Beli!

Siri Pemanasan Global (7): Wabak penyakit perampasan yang tidak terhingga

Siri Pemanasan Global (8): “Aku tidak percaya pada pemanasan global”

Siri Pemanassan Global (9): Melangkaui petroleum

Siri Pemanassan Global (10): Pasaran Hijau yang penuh keajaiban

Siri Pemanasan Global (11): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 1)

Siri Pemanasan Global (12): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 2)

Siri Pemanasan Global (13): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 3)

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

10 thoughts on “Dunia pemanasan yang penuh keganasan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *