(foto: Catalan News)

Pada 16 Februari 2021, pihak polis Sepanyol melancarkan satu operasi menyerbu Universiti Lleida yang terletak di wilayah Catalonia, untuk menangkap Pablo Hasél, seorang penyanyi rap yang berhaluan kiri. Penangkapan Hasél mencetuskan protes besar-besaran yang membantah tindakan pihak berkuasa Sepanyol yang menyambung warisan pemerintahan diktator Franco dalam melenyapkan suara kritikan terhadap golongan berkuasa.

Mahkamah Kebangsaan (Audiencia Nacional) mengeluarkan notis pada 27 Januari 2021 yang mengarahkan Hasél untuk menyerah diri dalam tempoh 10 hari supaya dipenjarakan atas pertuduhan “menghina raja dan institusi negara” dan “mengagung-agungkan keganasan”. Hasél yang enggan menyerah diri telah berselindung di dalam Universiti Lleida dengan ratusan penyokongnya datang bersolidariti. Polis Catalonia menceroboh memasuki Universiti Lleida dan menggunakan kekerasan untuk menangkap Hasél.

Pertuduhan terhadap Hasél adalah berasaskan hantaran-hantaran twitter oleh Hasél yang dibuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Antara hantaran twitternya yang dikatakan menghina institusi negara ialah kenyataan yang mengecam keganasan polis dan mengutuk kerabat diraja yang penuh skandal. Pihak pendakwaraya juga mengatakan bahawa Hasél melakukan kesalahan kerana mengutuk bekas Raja Sepanyol, Juan Carlos I yang sudah turun takhta pada tahun 2014 kerana pertuduhan rasuah, sebagai “pencuri”. Namun, yang ironinya adalah, semua hantaran twitter dan lagu yang dikatakan melanggar undang-undang negara Sepanyol ini hanya mendedahkan kebenaran yang memedihkan bagi rakyat Sepanyol. Juan Carlos I telah melarikan diri dari Sepanyol dan terus hidup dalam kemewahan di Abu Dhabi sejak bulan Ogos 2020, apabila bukti-bukti mengenai amalan korupsinya telah bertimbunan tinggi. Kecaman Hasél terhadap keganasan polis telah terbukti benar sekali lagi dengan peristiwa seminggu sebelumnya ditangkap apabila dua orang anggota polis yang mabuk di luar tugasan memukul seorang lelaki dan anaknya di bandar Linares di wilayah Andalusia. Dalam erti kata lain, Hasél dipenjarakan hanya kerana beliau bercakap benar. Ini merupakan cubaan golongan berkuasa untuk melenyapkan suara kritikan terhadap pihak polis dan kerabat diraja Sepanyol yang diselubungi dengan pelbagai skandal.

Pablo Hasél, dengan nama asalnya Pablo Rivadulla Duró, ialah seorang penyanyi rap yang terkenal dengan lagu-lagu dan puisi-puisinya yang politikal. Hasél selalu mengkritik pihak berkuasa Sepanyol dan golongan berhaluan kanan di negara itu, melalui karya seninya. Kritikan tajam oleh Hasél telah menimbulkan ketidaksenangan sesetengah golongan berkuasa yang berhaluan kanan. Hasél dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun dan denda €24,300 oleh mahkamah pada tahun 2018 kerana hantaran twitternya yang bersifat kritis ini. Hasél menyatakan bahawa beliau tidak akan menyerah diri secara sukarela untuk dipenjarakan, dan pihak berkuasa terpaksa menangkapnya dengan menggunakan kekerasan.

Tindakan terhadap Hasél bukannya serangan pertama ke atas kebebasan bersuara di Sepanyol dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Seorang lagi penyanyi rap, Valtònyc, yang juga berhaluan kiri dan menyokong kemerdekaan Catalonia, telah dijatuhkan hukuman penjara selama 3 tahun dengan pertuduhan yang serupa oleh pihak berkuasa Sepanyol, tetapi dia melarikan diri ke Belgium pada tahun 2018 untuk mengelakkan pemenjaraan.

Golongan berkuasa mungkin beranggapan bahawa Hasél akan mengikut jejak Valtònyc untuk melarikan diri dari Sepanyol. Selepas Hasél disabit kesalahan, beliau masih dibenarkan untuk merantau ke Belgium dan Venezuela. Namun, Hasél dengan beraninya tetap pulang ke Sepanyol. Hasél juga enggan membayar wang denda €40,000 yang mungkin boleh mengurangkan pertuduhannya. Hasél berselindung di Universiti Lleida kerana enggan menyerah diri secara sukarela, sehingga pihak polis terpaksa mengheretnya keluar dari situ secara keras. Akan tetapi, pihak polis tidak mahu menangkapnya sebelum pilihanraya wilayah Catalonia yang diadakan pada 14 Februari 2021 walaupun sudah melepasi tempoh 10 hari notis penangkapannya yang dikeluarkan pada hujung bulan Januari 2021, dengan pertimbangan pemenjaraannya mungkin akan mempengaruhi keputusan pilihanraya. Amat jelas sekali, penangkapan dan pemenjaraan Hasél memang bermotifkan politik.

Penangkapan Hasél telah mencetuskan aksi protes yang hebat di Catalonia dan banyak tempat lain di seluruh Sepanyol. Orang ramai yang berprotes bukan sahaja marah kerana pemenjaraan Hasél, tetapi juga marah terhadap tindakan pilih kasih pihak polis yang memberi perlindungan kepada perhimpunan golongan pelampau kanan di Catalonia dan demonstrasi golongan neo-Nazi di Madrid, di samping skandal korupsi yang melanda kerabat diraja Sepanyol dan cubaan Kerajaan Sepanyol untuk menutupi skandal itu. Krisis ekonomi dan pandemik yang menjejaskan kehidupan rakyat Sepanyol juga merupakan batu api kepada kemarahan ramai orang.

Kemarahan di Catalonia lebih jelas lagi, kerana polis di Catalonia telah mengamalkan dwistandard dengan membenarkan malah memberi perlindungan kepada perhimpunan yang diadakan oleh Vox, sebuah parti pelampau kanan, sebelum pilihanraya di wilayah itu baru-baru ini, sedangkan demonstran yang anti-fasis sentiasa dihalang dan dilarang daripada beraksi di jalanan.

Lebih-lebih lagi, pada ketika Hasél ditangkap dan dipenjarakan, Cristina Cifuentes, seorang pemimpin kanan Parti Rakyat yang berhaluan kanan, telah dibebaskan daripada pertuduhan penyelewengan kuasa oleh mahkamah. Beberapa hari sebelum ini, pihak berkuasa Madrid telah membenarkan demonstrasi golongan neo-Nazi yang memperingati “Divisyen Biru” zaman Franco yang pernah bekerjasama dengan Jerman Nazi untuk bertempur dengan Tentera Kesatuan Soviet semasa Perang Dunia II; tetapi pada masa yang sama pihak berkuasa mengharamkan satu aksi perhimpunan di Madrid yang bertujuan untuk mempertahankan perkhidmatan awam. Amalan pilih kasih oleh pihak berkuasa sebegini membangkitkan ketidakpuasan hati rakyat Sepanyol terhadap ancaman daripada warisan pemerintahan kediktatoran Franco.

Sepanyol pernah berada di bawah pemerintakan kediktatoran tentera, apabila Francisco Franco merampas kuasa pada tahun 1936 sehingga kematiannya pada tahun 1975. Walaupun Sepanyol melalui proses transisi ke demokrasi sejak tahun 1970-an, tetapi warisan dan bayangan Franco masih wujud sehingga kini, ditunjukkan dalam amalan yang masih kekal dalam pihak berkuasa dan kemunculan ancaman politik pelampau kanan. Institusi negara Sepanyol mempunyai ciri-ciri politik kelas yang jelas, di mana ia merupakan pelindung kepada kelas pemerintah Sepanyol yang bersifat parasit, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan. Kepincangan sistem inilah yang mencetuskan gelombang demi gelombang kebangkitan rakyat untuk memperjuangkan perubahan yang sebenar.

Gelombang protes dan gerakan solidariti yang membantah pemenjaraan Hasél, telah meletakkan Unidas Podemos dalam situasi yang serba salah. Unidas Podemos, sebuah parti berhaluan kiri yang lahir daripada gerakan rakyat yang membantah dasar penjimatan, merupakan sebahagian daripada kerajaan campuran yang mentadbir Sepanyol pada masa kini. Ini menjadikannya turut memikul sebahagian tanggungjawab terhadap tindakan polis dan pendakwaraya yang menyekat kebebasan bersuara. Pemimpin-pemimpin Unidas Podemos telah menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan pemenjaraan Hasél, tetapi tidak menyeru rakyat untuk menyertai aksi protes yang terbaru. Walau bagaimanapun, Hasél, Unidas Podemos cuba membentangkan draf rang undang-undang yang meminda kanun keseksaan yang menyekat suara kritikan dan juga mengemukakan usul yang memberi pengampunan kepada Hasél.

Golongan progresif di Sepanyol dan seluruh dunia telah menyuarakan bantahan mereka terhadap penindasan oleh pihak berkuasa Sepanyol terhadap Pablo Hasél. Ratusan pengamal seni, termasuk Pedro Almodóvar (pengarah filem terkenal di Sepanyol), Javier Bardem (pelakon Hollywood) dan Joan Manuel Serrat (pemuzik terkenal Sepanyol), juga menandatangani petisyen yang menuntut pembebasan Hasél.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *