oleh Biro Gender Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Parti Sosialis Malaysia (PSM) memandang serius terhadap kejadian baru-baru ini mengenai tindakan anggota polis yang menganggu seorang wanita yang tidak memakai baju dalam dengan menyuruh wanita tersebut membuka baju dan menunjukkan kepadanya semasa sekatan jalanraya dijalankan. PSM menyeru pihak PDRM untuk mengambil berat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar yang segera. Sekiranya, pihak PDRM gagal mengambil sebarang tindakan tegas terhadap salah laku anggotanya, maka ianya akan menunjukkan bahawa pihak PDRM merestui tindakan seksis dan gangguan terhadap wanita.

Walaupun masalah salah guna kuasa dalam kalangan polis bukan satu perkara yang baru bagi rakyat Malaysia, tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lepas, masalah ini menjadi semakin parah dan melampau kerana kuasa yang diberikan kepada polis tanpa sebarang semak-imbang. Pada tahun lepas semasa PKP yang pertama, dua orang wanita Mongolia telah dirogol oleh seorang anggota polis semasa anggota polis tersebut membuat operasi sekatan jalan raya, dan menyalahgunakan kuasanya untuk menahan dua orang wanita tersebut dan membawa mereka ke sebuah hotel. Kejadian ini seharusnya menjadi satu pengajaran kepada pihak polis untuk tidak lagi menyalahgunakan kuasa dan melakukan gangguan seksual. Namun dengan berulangnya insiden baru-baru ini, ia menunjukkan bahawa pihak PDRM gagal dalam mendisiplinkan dan memberikan panduan kepada anggotanya untuk menjalankan tugas.

Wanita sering menjadi mangsa gangguan seksual dan keganasan. Ianya semakin meningkat sama ada di rumah, di tempat kerja, atau di jalan raya. Apa yang amat membimbangkan adalah kejadian-kejadian di atas dilakukan oleh pihak keselamatan, iaitu polis yang sepatutnya menjaga keselamatan setiap rakyat Malaysia tidak kira bangsa, agama dan gender. Namun, kejadian-kejadian seperti di atas menimbulkan rasa tidak selamat dan curiga dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya golongan wanita.

Pihak polis harus bertindak secara profesional, dan menjaga keselamatan setiap individu. Pihak polis tidak harus menyalahgunakan kuasa yang diberikannya untuk melaksanakan PKP. Kejadian-kejadian tersebut juga telah menunjukkan betapa penting dan perlunya kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera. IPCMC antaranya dapat memainkan peranan untuk mengimbangi kuasa polis dan juga meningkatkan tahap keprofesionalan dalam kalangan anggota polis, kebajikan anggota polis, serta boleh mengelakkan anggota polis daripada menyalahgunakan kuasa.

Selain itu, PSM mengalu-alukan pengumuman oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang. Dengan RUU Gangguan Seksual ini, kami berharap kejadian-kejadian seperti ini dapat dikurangkan atau tidak berlaku lagi.

Di sini, PSM juga ingin menegaskan bahawa, Undang-undang Gangguan Seksual tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah-masalah keganasan berdasarkan gender kerana ianya adalah meliputi pelbagai perkara yang lain seperti sistem patriarki dan diskriminasi terhadap wanita yang berterusan dalam masyarakat kita. Kerajaan juga perlu mengadakan kempen-kempen untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai isu ini serta latihan pembangunan dan pengetahuan untuk pegawai-pegawai penguatkuasa. Negara kita memerlukan satu sistem penguatkuasaan yang lebih tegas untuk memastikan kejadian-kejadian tersebut tidak akan berlaku di mana-mana lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *