oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Kebanyakan rakyat Malaysia bersetuju bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytihar oleh Perdana Menteri baru-baru ini adalah sesuatu yang perlu untuk membendung lonjakan kes jangkitan baru COVID-19 yang berbahaya kini. Namun begitu, kita harus sedar bahawa lebih kurang 10-15% keluarga di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sabah sedang menghadapi masalah aliran tunai yang teruk pada masa kini, sehingga tahap mereka tidak mempunyai makanan yang mencukupi.

Kerajaan memang telah melancarkan beberapa inisiatif untuk membantu keluarga-keluarga yang sedang menghadapi penurunan dalam pendapatan mereka. Bayaran kedua untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan disalurkan tidak lama lagi – RM300 kepada keluarga B40 dan RM200 kepada keluarga M40. Ini akan dihargai oleh penerima-penerima, tetapi ia pastinya tidak mencukupi untuk keluarga-keluarga di mana pencari nafkah sudah hilang kerjanya. Pilihan untuk mengeluarkan sebahagian simpanan daripada Akaun 1 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) – skim i-Sinar – merupakan penyelamat nyawa kepada banyak keluarga, tetapi terdapat ramai pekerja daripada sektor bukan formal – pekerja-pekerja bergaji harian di restoran dan sektor perkhidmatan, pekerja-pekerja kontrak, pengusaha-pengusaha gerai kecil – yang tidak mempunyai simpanan KWSP yang boleh membantu mereka.

Kerajaan harus membangunkan satu skim bantuan kewangan yang mensasarkan keluarga-keluarga yang berada dalam keadaan susah, kerana mereka tidak mempunyai sumber-sumber kewangan untuk mengharungi tempoh PKP ini.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin mencadangkan satu Program Bantuan Bersasar RM1,000 bulanan untuk semua penerima BPN yang:

  • tidak mencarum kepada PERKESO baru-baru ini (jika mereka ada mencarum PERKESO, ini bermakna mereka mempunyai pendapatan tetap sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan),
  • bukannya kakitangan kerajaan atau penerima pencen (kedua-dua kumpulan ini tidak akan mengalami kehilangan pendapatan bulanan kerana PKP),
  • bukannya sebahagian daripada 20% warga Malaysia yang membayar cukai pendapatan pada tahun 2020 (Mereka yang membayar cukai pendapatan merupakan 30% penduduk yang berpendapatan teratas. Mereka akan mempunyai sumber-sumber kewangan untuk mengharungi PKP).

Kita sedia maklum bahawa terdapat lebih kurang 10.5 juta penerima dalam senarai BPN pada masa kini. Menolak keluar 3 kumpulan di atas daripada senarai ini akan tinggal lebih kurang 1.5 juta orang seluruh negara dalam “senarai BPN minus” yang tidak mempunyai bukti penerimaan pendapatan. Ini akan termasuk pekerja-pekerja kontrak, pekerja-pekerja perkhidmatan bergaji harian dan pengusaha-pengusaha gerai kecil yang sekarang ini menghadapi masalah kewangan yang serius. Sekiranya kerajaan hendak mengurangkan lagi jumlah yang terkandung dalam senarai ini, kita boleh fokus terlebih dahulu pada “senarai BPN minus” untuk Sabah, Selangor, Johor dan Kuala Lumpur, iaitu negeri atau wilayah yang diletakkan di bawah kawalan pergerakan yang paling ketat, untuk melancarkan Program Bantuan Bersasar ini.

Kerajaan perlu memberi bantuan kewangan kepada kumpulan masyarakat ini, kerana jika tidak, mereka akan terpaksa mengingkari peraturan dalam PKP oleh sebab mereka perlu memberi makan kepada keluarga mereka. Peraturan-peraturan dan sekatan-sekatan yang ditetapkan harus munasabah. Sudah pasti ia adalah tidak munasabah ataupun berperikemanusiaan untuk kita meminta keluarga-keluarga terus duduk di rumah apabila kanak-kanak sedang menangis kelaparan. Ini hanya akan mewujudkan ketidakpuasan hati dan boleh memuncak sehingga mencetuskan protes anti-kawalan pergerakan seperti yang pernah berlaku di banyak negara. Rakyat Malaysia secara keseluruhannya telah bekerjasama dengan Kerajaan dalam usaha membendung pandemik COVID-19 dan kita perlu kerjasama sedemikian untuk mengatai cabaran COVID-19. Marilah kita kekalkan semangat kerjasama ini dengan bersikap sensitif dan merespon kepada keperluan keluarga-keluarga yang sedang menghadapi kesulitan.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput dari tahun 2008 hingga 2018.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s