Sebuah negara dengan kuasa tentera yang terbesar di dunia dan sering melakukan campurtangan ketenteraan ke atas negara-negara lain, termasuk melakukan pembunuhan terancang yang bersifat keganasan (seperti pembunuhan Jeneral Qasem Soleimani dari Iran di bumi Iraq pada 3 Januari 2020 dalam satu serangan udara); sebuah lagi negara yang merupakan negara kepulauan yang menghadapi sekatan ekonomi selama 60 tahun yang lalu ini, tetapi mengamalkan dasar solidariti perubatan antarabangsa yang sering menghantar rombongan doktor dan petugas perubatan ke negara yang lain untuk memberi bantuan perubatan… Yang mana satu patut dianggap sebagai negara pengganas di dunia?
Beberapa hari selepas penyokong Trump menyerbu bangunan Kapitol secara ganas, kerajaan Amerika Syarikat (AS) pimpinan Donald Trump yang akan digantikan oleh Joe Biden tidak lama lagi, masih tidak mahu berhenti meneruskan keangkuhannya dalam arena politik antarabangsa. Pada 11 Januari 2021, Jabatan Negara AS menyenaraikan semula negara Kuba sebagai “Negara Penaja Keganasan” (State Sponsor of Terrorism). Tindakan liar oleh kerajaan pimpinan Trump ini akan merumitkan lagi usaha kerajaan AS akan datang di bawah pimpinan Biden untuk menjalin semula hubungan dua hala dengan Kuba.
Keputusan kerajaan AS yang penuh kontroversi ini diumumkan oleh Mike Pompeo, Setiausaha Negara AS, pada hari-hari terakhir Trump memegang jawatan Presiden AS. Pengumuman ini meletakkan negara Kuba dalam kategori yang sama dengan Iran, Korea Utara dan Syria, yang dianggap musuh kepada kuasa imperialis AS. Tindakan oleh kerajaan AS untuk menyenaraikan mana-mana negara yang tidak sehaluan dengan dasar imperialisnya sebagai “negara penaja pengganas”, hanya menunjukkan keangkuhan sebuah kerajaan yang sudah bankrap secara moral, tidak jujur dan tidak bertanggungjawab.
Negara Kuba dikeluarkan daripada senarai “negara penaja keganasan” oleh AS pada tahun 2015, selepas lebih tiga dekad, semasa pentadbiran Presiden Barack Obama pada tahun 2015, sesuatu yang dianggap sebagai usaha untuk memulihkan hubungan diplomatik antara Kuba dan AS yang terputus sejak tahun 1960-an semasa Perang Dingin. Hubungan dua hala antara Kuba dan AS terjejas hebat selepas berlakunya Revolusi Kuba yang menjatuhkan pemerintahan diktator Fulgencio Batista yang pro-AS pada tahun 1959 dan kerajaan Kuba mengamalkan dasar anti-imperialis yang mengancam kepentingan imperialis AS di rantau Caribbean.
Kerajaan AS memasukkan semula Kuba ke dalam senarai “negara penaja keganasan”, dengan tuduhan bahawa Kuba “berulang kali memberi sokongan kepada tindakan keganasan antarabangsa dengan memberi perlindungan keselamatan kepada pengganas”. Namun, kerajaan AS pimpinan Trump tidak dapat menunjukkan apa-apa tindakan keganasan yang ditaja oleh Kuba sepanjang 6 tahun yang lalu ini (iaitu tempoh selepas Kuba dikeluarkan dan dimasukkan semula ke dalam senarai “negara penaja keganasan” baru-baru ini). Sebaliknya, kerajaan AS hanya mengulangi tuduhannya bahawa Kuba menyokong Tentera Pembebasan Nasional (ELN), iaitu kumpulan pejuang gerila yang kedua besar di Colombia dan disenaraikan sebagai “organisasi pengganas” oleh kerajaan AS kerana memberontak melawan kerajaan yang bersekutu dengan AS; dan juga tuduhan bahawa kerajaan Kuba memberi perlindungan kepada beberapa orang pelarian dari AS yang dikatakan melakukan jenayah keganasan politik pada tahun 1970-an, termasuk Assata Shakur, aktivis Gerakan Kuasa Hitam (Black Power Movement) yang melawan ketuanan orang kulit putih di AS dengan cara kekerasan.
Berkenaan tuduhan berkaitan dengan ELN, kerajaan Kuba cuba menjadi perantara dalam rundingan damai antara ELN dengan kerajaan Colombia pada tahun 2018. Sebagai negara yang menjadi penjamin dalam proses rundingan tersebut, Kuba menjanjikan kemasukan dan kepulangan yang selamat untuk perwakilan rombongan perunding damai daripada ELN. Rundingan damai tersebut menemui kegagalan berikutan satu serangan bom kereta yang dilakukan oleh ELN di Bogotá pada bulan Januari 2019 yang membunuh 22 orang. Kerajaan Colombia menuntut ekstradisi wakil perunding damai ELN yang berada di Kuba, tetapi kerajaan Kuba menolaknya kerana kerajaan Colombia enggan berpegang pada janji untuk menjamin kebebasan wakil perunding damai selepas mereka pulang.
Berkenaan tuduhan berkaitan dengan memberi perlindungan kepada pengganas, kerajaan AS mungkin sudah lupa bahawa ia juga pernah memberi perlindungan kepada Luis Posada Carriles, seorang warga Kuba yang menjadi ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang merancang serangan bom pada 1976 yang meragut nyawa 73 orang di atas sebuah pesawat penumpang Kuba.
Memang amat jelas bahawa motif di sebalik tindakan kerajaan pimpinan Trump pada hari-hari terakhirnya berkuasa ini adalah untuk mewujudkan halangan tambahan kepada usaha memulihkan hubungan dua hala antara Kuba dan AS, di samping meneruskan tekanan ekonominya ke atas Kuba dengan tujuan memaksanya tunduk kepada kehendak kuasa imperialis AS.
Mungkin juga Trump dan Pompeo dalam kerajaan AS menganggap tindakan Kuba menghantar doktor-doktornya ke seluruh rantau Amerika dan dunia untuk memberi bantuan perubatan, termasuk menyelamatkan ribuan nyawa semasa pandemik COVID-19, sesuatu yang berbahaya kepada negara imperialis yang merupakan negara paling teruk dilanda pandemik COVID-19 pada masa kini atas kegagalan kerajaan AS itu sendiri.
Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Kuba mengecam sekeras-kerasnya tindakan AS yang menyenaraikan Kuba sebagai “negara penaja keganasan”, dan menyifatkan tindakan ini satu tindakan yang bersifat sinis dan hipokrit.
“Kuba bukannya sebuah negara yang menaja keganasan dan ini ialah kebenaran yang diiktiraf umum secara meluas. Dasar dan tindakan Kuba yang rasmi dan terkenal adalah menolak keganasan dalam segala bentuk dan manifestasinya, khususnya keganasan negara, di mana-mana sahaja dan oleh dan terhadap sesiapa yang melakukannya,” begitu katanya kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Kuba pada 12 Januari 2021.
“Kuba telah menjadi negara mangsa kepada keganasan dan rakyat kami telah menderita secara langsung daripadanya, dengan sebanyak 3,478 orang mati dan 2,099 orang mengalami kecacatan kerana tindakan langsung yang dilakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat atau dilakukan dan ditaja oleh negara yang disokong oleh pihak berkuasa AS. Kami, warga Kuba, amat mengesali setiap tindakan yang bertujuan untuk memanipulasi isu sensitif sebegini untuk mencapai matlamat politik yang oportunis ini,” tegas Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Menyenaraikan sesebuah negara itu sebagai “negara penaja keganasan” ataupun mengatakan sesebuah organisasi itu sebagai “kumpulan pengganas”, merupakan alat yang digunakan oleh kuasa imperialis AS untuk memastikan kepentingan geopolitiknya tidak dijejaskan. Baru-baru ini juga, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo mengumumkan keputusan untuk menyenaraikan gerakan pemberontak Houthi di Yaman sebagai “organisasi pengganas”, walaupun menerima bantahan daripada perwakilan daripada kedua-dua parti politik utama di AS dan juga amaran demi amaran yang diberikan oleh pegawai-pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). PBB telah mengatakan bahawa tindakan AS sebegini akan menyebabkan masalah gangguan terhadap bantuan yang disampaikan kepada negara yang dilanda peperangan yang berterusan itu dan menjejaskan usaha pendamaian, sehingga boleh mencetuskan krisis kebuluran yang hebat.