- Pendahuluan
- Empayar Perancis Kedua dan Bonapartisme
- Paris semasa Empayar Perancis Kedua
- Aliran-aliran politik menjelang penghujung Empayar Perancis Kedua
- Gerakan kiri pasca 1848
- Penyatuan Jerman melalui “besi dan darah”
- Perang Perancis-Prusia
- Kejatuhan Empayar Perancis Kedua dan penubuhan Kerajaan Pertahanan Negara
- Pengepungan Paris
- Pemberontakan Paris 31 Oktober 1870
- Pembedilan ke atas Paris
- Pengisytiharan Empayar Jerman
- Radikalisasi Pengawal Kebangsaan dan penduduk Paris
- Penyerahan kalah Perancis
- Meriam di Montmartre dan Pemberontakan 18 Mac 1871
- Pilihan raya Majlis Komun Paris
- Perdebatan dalam Majlis Komun Paris
- Pentadbiran dan pembaharuan yang dilaksanakan oleh Komun Paris
- Melangkaui “keganasan revolusioner”
- Usaha pembentukan komun revolusioner di bandar lain
- “Perang Saudara Perancis”
- “Minggu Berdarah”
- Wanita dalam Komun Paris
- Inspirasi dan pengajaran daripada Komun Paris
- Warisan Komun Paris: Imaginasi dan eksperimen pemerintahan kelas pekerja
- Semangat Komun Paris tetap membara
**********
“Komun” (commune) ialah peringkat pembahagian pentadbiran kerajaan yang terendah di negara Perancis pada hari ini. Ia bersamaan dengan pihak berkuasa tempatan, sama ada untuk sebuah bandar atau kampung. Terdapat kira-kira 36,000 buah komun di seluruh negara Perancis pada hari ini. Unit pentadbiran yang dikenali sebagai “komun” muncul buat pertama kali di bandar Paris semasa tercetusnya Revolusi 1789.
Sejurus selepas aksi “Serbuan Bastille” pada 14 Julai 1789, Jacques de Flesselles, prévôt des marchands de Paris (“Ketua Pedagang Paris”, iaitu satu jawatan lantikan diraja yang kedudukannya bersamaan dengan datuk bandar Paris pada masa itu), ditembak mati oleh golongan pemberontak kerana dia dianggap sebagai wakil Ancien Régime. Golongan revolusioner menubuhkan “Komun Paris” di Hôtel de Ville, iaitu dewan perbandaran Paris, untuk menggantikan struktur perbandaran berpiagam lama yang diamalkan sejak Zaman Pertengahan di bandar itu. Komun Paris 1789 dianggotai oleh 144 orang ahli perwakilan dari 60 buah daerah di dalam bandar Paris. Pasukan pengawal perbandaran ditubuhkan untuk melindungi bandar Paris daripada sebarang cubaan oleh Raja Louis XVI untuk mematahkan revolusi yang sedang berlaku pada masa itu.

Jean Sylvain Bailly (1736-1793), seorang ahli astronomi dan ahli matematik yang pernah mempengerusikan sidang “Sumpah Gelanggang Tenis” pada 20 Jun 1789, dinamakan sebagai Datuk Bandar Paris yang pertama. Bailly ialah seorang monarkis-perlembagaan yang moderat dan merupakan anggota Kelab Feuillant (Persatuan Sahabat Perlembagaan). Selepas Bailly mengerahkan Pengawal Kebangsaan (Garde Nationale) di bawah kepimpinan Marquis de Lafayette (1757-1834) untuk mematahkan secara ganas perhimpunan golongan republikan di Champs de Mars pada 17 Julai 1791, dia menjadi sangat tidak popular dalam kalangan warga Paris, dan kemudian jawatan Datuk Bandar Paris yang dipegangnya itu digantikan oleh Jérôme Pétion de Villeneuve (1756-1794), seorang anggota Girondin.
Daerah-daerah di dalam bandar Paris disusun semula pada musim bunga tahun 1790, dengan kawasan di bawah pentadbiran Komun Paris dibahagikan kepada 48 buah “seksyen revolusioner”. Setiap seksyen mempunyai jawatankuasa sivil, jawatankuasa revolusioner dan pasukan militia tempatan.
Menjelang tahun 1792, Komun Paris dikuasai oleh golongan Jacobin yang radikal dan enggan mematuhi arahan daripada Kabinet Perlembagaan Raja Louis XVI. Komun Paris yang dipimpin oleh Georges Danton (1759-1794), Camille Desmoulins (1760-1794) dan Jacques Hébert (1757-1794) melancarkan Pemberontakan 10 Ogos 1792 sehingga menjatuhkan pemerintahan monarki dan menubuhkan Republik Perancis Pertama (1792-1804). Dengan itu, Komun Paris telah berkait rapat dengan fasa Revolusi Perancis yang paling radikal.

Selepas kejatuhan pemerintahan Jacobin yang dipimpin oleh Maximilien Robespierre (1758-1794) pada bulan Julai 1794 kerana Reaksi Thermidor, Komun Paris diambil alih oleh Konvensyen Kebangsaan yang didominasi oleh golongan reaksioner Thermidor. Pemerintahan Direktorat yang ditubuhkan pada tahun 1795 membubarkan struktur Komun Paris. Namun, pengalaman Komun Paris 1789-1795 kekal menangkap imaginasi dan memberi inspirasi kepada warga Paris untuk alternatif revolusioner yang demokratik dan radikal.
Empayar Perancis Kedua dan Bonapartisme
Republik Perancis Kedua (1848-1852) yang ditubuhkan selepas Revolusi Februari 1848 tidak dapat bertahan lama. Louis-Napoléon Bonaparte (1808-1873), yang dipilih sebagai Presiden Perancis pertama pada bulan Disember 1848, melancarkan rampasan kuasa pada bulan Disember 1851 untuk mewujudkan pemerintahan kediktatoran peribadi, dan kemudian mengisytihar dirinya sebagai Maharaja Perancis, dengan gelaran Napoleon III, pada bulan Disember 1852. Dengan itu, Republik Perancis Kedua digantikan oleh Empayar Perancis Kedua (1852-1870).
Empayar Perancis Kedua diperintah oleh rejim Bonapartis yang cuba memulihkan “kegemilangan” Empayar Perancis Pertama (1804-1814/1815) semasa pemerintahan Maharaja Napoleon I (1769-1821), iaitu bapa saudara Napoleon III. Bonapartisme merupakan corak pemerintahan negara berpusat di bawah kekuasaan autoritarian seorang pemimpin berkarisma dengan sokongan jentera ketenteraan yang kuat. Bonapartisme juga boleh dikatakan sebagai salah satu bentuk pemerintahan orang kuat.

Louis-Napoléon Bonaparte mewarisi dan membangunkan lebih lanjut lagi ideologi Bonapartis daripada bapa saudaranya Napoleon Bonaparte. Louis Bonaparte menampilkan dirinya sebagai “penyelamat” bagi negara bangsa Perancis sambil melindungi kepentingan kelas kapitalis besar yang utama (iaitu kapitalis kewangan dan kapitalis perindustrian) dengan sebuah jentera negara yang represif.
Walaupun ia sebuah ideologi yang kontra-revolusioner, Bonapartisme masih menegakkan prinsip utama Revolusi Perancis tentang sebuah negara bangsa, iaitu kuasa pemerintah datang dari bawah daripada rakyat bukannya diturunkan dari atas daripada Tuhan. Bonapartisme mendukung pemusatan kuasa pentadbiran dalam tangan seorang pemimpin agung atau maharaja yang memerintah atas nama rakyat, bagi pihak rakyat dan mewakili kehendak rakyat. Bonapartisme boleh dikatakan sebagai sejenis bentuk awal populisme autoritarian.
Dari segi politik, Bonapartisme ialah sejenis bentuk pemerintahan “autokrasi popular” atau “absolutisme dari bawah”, di mana rakyat mengamanahkan kuasa pemerintahan kepada seorang pemerintah tunggal melalui pilihan raya dan pemerintah itu akan memerintah tanpa sebarang campur tangan daripada rakyat lagi selepas dia mendapat amanah rakyat. Bonapartisme dianggap sebagai “alternatif” politik yang stabil kepada pemerintahan monarki berkuasa mutlak yang penuh korup dan demokrasi berparlimen liberal yang sering terjerumus dalam keadaan huru-hara.

Dari segi ekonomi, Bonapartisme bermakna campur tangan kerajaan negara secara aktif untuk mendorong pembangunan ekonomi kapitalis. Dalam erti kata lain, Bonapartisme ialah kapitalisme perindustrian yang ditaja dan didukung kuat oleh negara yang memusatkan kuasa. Empayar Perancis Kedua bukan sahaja mengekalkan sistem sosioekonomi kapitalis, malah membentuk semula susunan sosioekonomi kapitalis itu di bawah pemerintahan autoritarian. Pemerintahan Maharaja Napoleon III menggunakan kekuasaan negara untuk mematahkan perjuangan kelas secara keras supaya kelas kapitalis dapat memerintah secara stabil untuk membolehkan pengumpulan modal yang berterusan. Pembangunan ekonomi kapitalis demi keuntungan golongan oligarki kewangan dan pemodal perindustrian dipercepatkan.
Pembangunan ekonomi kapitalis perindustrian dan kewangan di Perancis yang pesat semasa Empayar Perancis Kedua diperkukuhkan lagi dengan perluasan kuasa imperialis Perancis di seberang laut. Imperialisme penting kepada pembangunan ekonomi kapitalis kerana perluasan tanah jajahan membolehkan kelas kapitalis untuk mengakses bahan mentah, tenaga buruh murah dan pasaran baharu, maka meningkatkan lagi keuntungan modal kewangan Perancis, di samping dapat mengalihkan ketidakpuasan hati rakyat dalam negara dengan mempermainkan sentimen nasionalis sempit dan kebangsaan imperialis. Karl Marx menulis, “Imperialisme merupakan bentuk kuasa negara yang paling hina dan pada masa yang sama juga bentuknya yang terakhir, yang telah mula dibangunkan oleh masyarakat kelas menengah yang baharu lahir sebagai alat untuk pembebasan dirinya daripada feudalisme, dan akhirnya diubah oleh masyarakat borjuis yang matang sepenuhnya menjadi alat untuk memperhambakan buruh dengan modal.”

Walaupun Maharaja Napoleon III percaya sepenuhnya pada keusahawanan swasta dan pasaran bebas dalam ekonomi kapitalis, dia berpandangan bahawa kerajaan harus melabur dalam infrastruktur negara untuk membolehkan sektor ekonomi swasta yang bermotifkan keuntungan itu terus bertumbuh dengan pesat. Pembangunan infrastruktur yang menjadi tumpuan kerajaan Perancis pada tahun 1850-an termasuklah landasan kereta api, telegraf, kapal stim, terusan dan jambatan.
Maharaja Napoleon III percaya bahawa perdagangan bebas penting untuk pertumbuhan ekonomi Perancis. Oleh itu, dia sentiasa cuba mengurangkan tarif dan mengalihkan semua halangan perlindungan ekonomi, sama ada secara dalaman atau secara luaran. Dia menginginkan perdagangan bebas dengan Britain, negara kapitalis yang paling maju di dunia pada masa itu. Dia berpandangan bahawa perdagangan bebas dengan Britain dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi kapitalis, kerana negara Perancis boleh menggunakan barangan perindustrian yang lebih murah (seperti keluli) sementara syarikat-syarikat Perancis terpaksa memajukan diri mereka supaya dapat bersaing dengan syarikat-syarikat British. Perancis dan Britain menandatangani Perjanjian Cobden-Chevalier pada tahun 1860 untuk mengurangkan kadar tarif dua hala, maka membuka pintu perdagangan bebas antara dua buah negara kapitalis maju itu.

Dasar ekonomi Napoleon III yang mendukung perdagangan bebas itu dibantah oleh golongan pengusaha perindustrian dan golongan tukang di Perancis, tetapi Napoleon III tidak perlu risau tentang bantahan itu kerana Perlembagaan Perancis 1852 yang bersifat autokratik memberikan kuasa sepenuhnya kepada Napoleon III untuk menetapkan dasar ekonomi mengikut kehendaknya.
Visi Maharaja Napoleon III untuk pasaran dunia yang bebas itu dipanjangkan untuk menyempurnakan impian imperialis bapa saudaranya Napoleon I, iaitu membina sebuah terusan yang menghubungkan Laut Merah dengan Laut Mediterranean. Oleh itu, Napoleon III mendukung penubuhan Syarikat Suez yang mendapat kebenaran daripada kerajaan Mesir untuk memulakan pembinaan Terusan Suez pada tahun 1859. Terusan Suez yang siap dibina sepuluh tahun kemudian pada tahun 1869 telah mengurangkan kos dan masa perjalanan kapal antara Eropah dan Asia, maka mendorong perluasan ekonomi kapitalis yang lebih lanjut dan memudahkan penaklukan imperialis Eropah di benua Asia.

Antara tahun 1850 hingga 1870, hasil daripada pembangunan kapitalisme pasaran bebas dan campur tangan kerajaan dalam pembinaan infrastruktur untuk memudahkan aktiviti ekonomi kapitalis, hasil keluaran perindustrian di Perancis meningkat sebanyak 75%, eksport meningkat sebanyak 60%, sementara ekonomi bertumbuh sebanyak 5% setiap tahun. Jarak landasan kereta api di Perancis bertambah berlipat ganda daripada kira-kira 3,000 km pada tahun 1850 kepada kira-kira 19,000 km pada tahun 1870.
Bonapartisme juga merupakan kuasa ideologi nasionalis yang menggerakkan imperialisme Perancis. Louis Bonaparte cuba memastikan Perancis menonjol sebagai kuasa besar di pentas dunia, dan menggunakan kedudukan imperialis Perancis untuk mengekalkan semangat “kebanggaan bangsa” dalam kalangan rakyat Perancis demi memperkukuhkan sokongan rakyat kepada kerajaan yang autoritarian itu. Oleh itu, sejurus selepas Louis Bonaparte dipilih sebagai Presiden Perancis pada tahun 1848, dia menghantar tentera Perancis ke Itali untuk mempertahankan kekuasaan Paus daripada ancaman golongan nasionalis Itali pada tahun 1849.

Semasa pemerintahan Maharaja Napoleon III, Perancis mengambil bahagian dalam hampir semua peperangan yang melibatkan pertembungan langsung antara kuasa-kuasa besar, seperti Perang Krimea (1853-1856) dan Perang Kemerdekaan Itali Kedua (1859). Kerajaan Perancis menyokong Kerajaan Piedmont-Sardinia dalam Perang Kemerdekaan Itali Kedua dengan niat untuk melemahkan kekuasaan Empayar Austria, salah satu pesaing utama kepada Perancis di benua Eropah. Sebagai habuan atas sokongannya kepada Kerajaan Piedmont-Sardinia dalam usaha penyatuan Itali, Perancis memperoleh penguasaan ke atas wilayah Savoie dan Nice melalui Perjanjian Turin pada tahun 1860.
Semasa pemerintahan Maharaja Napoleon III, Perancis melipatgandakan wilayah jajahannya di seberang laut. Kerajaan Perancis menggunakan pendekatan yang ganas untuk membina dan memperkukuhkan kekuasaan imperialisnya di Afrika Utara, Afrika Timur dan Indochina. Perancis memulakan pemerintahan kolonial di Nouvelle-Calédonie (juga dikenali sebagai Kanaki oleh masyarakat tempatan), sebuah wilayah kepulauan di bahagian barat daya Lautan Pasifik, pada tahun 1853; pentadbiran tanah jajahan Perancis di Cochinchina, iaitu bahagian selatan Vietnam, didirikan pada tahun 1862; Negara Naungan Perancis ke atas Kemboja ditubuhkan pada tahun 1863. Napoleon III juga pernah menghantar tentera Perancis ke China untuk menyertai tentera British dalam Perang Candu Kedua (1856-1860), dan kemudiannya membantu kerajaan Dinasti Qing di China untuk mematahkan Pemberontakan Taiping pada tahun 1860-an.

Oleh sebab kerajaan Napoleon III membelanjakan banyak wang untuk membiayai projek-projek pembangunan infrastruktur dan pelbagai peperangan yang melibatkan kuasa imperialis Perancis, defisit belanjawan kerajaan dan hutang negara Perancis semakin meningkat. Sektor perbankan yang meminjam wang kepada kerajaan Perancis kemudiannya menuntut supaya perlu adanya jaminan kepada pembayaran balik hutang yang amat besar itu sekiranya kerajaan Perancis masih hendak terus meminjam wang. Kerajaan Perancis perlu memastikan ia dapat terus mengutip cukai daripada rakyat yang sedia membayar cukai supaya mewujudkan jaminan pembayaran balik hutangnya kepada para peminjam.
Jadi, untuk mengelakkan krisis kewangan dan krisis politik, Napoleon III mula melonggarkan cengkaman politik autoritarian pada tahun 1860, dengan memberikan sedikit kebebasan akhbar, di samping membenarkan badan perundangan untuk membahaskan dasar kerajaan dan belanjawan secara terbuka. Oleh itu, fasa pertama Empayar Perancis Kedua dari tahun 1852 hingga 1860 ditandai dengan autokrasi peribadi Napoleon III, sementara fasa kedua Empayar Perancis Kedua dari tahun 1860 hingga kejatuhannya sedekad kemudian telah mengamalkan pemerintahan autokrasi berparlimen dengan beberapa pembaharuan liberal. Walaupun kuasa sebenar masih dipegang secara ketat dalam tangan maharaja, kelonggaran politik yang sedikit itu membuka ruang kepada golongan pembangkang untuk menegur malah mencabar kerajaan dalam urusan kewangan kerajaan.

Paris semasa Empayar Perancis Kedua
Paris pada awal tahun 1850-an merupakan sebuah bandar yang pesat membangun dan penuh sesak dengan penduduk. Oleh sebab tiada perancangan berpusat yang berkesan sebelum zaman Empayar Perancis Kedua, bandar Paris diliputi oleh rangkaian jalan-jalan sempit yang penuh dengan bangunan-bangunan yang dibina sembarangan. Persekitaran bandar Paris adalah gelap, kotor, busuk dan tidak sihat untuk penduduk-penduduk di situ. Sering berlakunya penularan wabak dalam kalangan penduduk-penduduk yang dihimpit dalam keadaan penuh sesak di Paris.
Masalah perbandaran Paris telah mendapat perhatian sejak Revolusi 1789, dengan kerajaan Republik Perancis Pertama pernah membuat perancangan untuk memodenkan bandar Paris, tetapi ia kekal sebagai sekadar rancangan kerana pergolakan politik yang penuh bergelora pada masa itu. Maharaja Napoleon I juga mempunyai rancangan yang bercita-cita besar untuk membangunkan semula bandar Paris, tetapi dia terlalu sibuk dengan peperangan untuk memperluaskan kekuasaan Perancis dan akhirnya ditewaskan.

Impian untuk menyusun semula bandar Paris tergendala selama lebih tiga dekad selepas kejatuhan pemerintahan Maharaja Napoleon I, tetapi ia dihidupkan semula apabila Maharaja Napoleon III berkuasa. Napoleon III mempunyai rancangan yang bercita-cita tinggi untuk mentransformasi bandar Paris. Napoleon III bukan sekadar hendak menambah baik keadaan bandar Paris, malah dia berhasrat untuk menjadikan Paris bandar yang terkemuka di Eropah.
Pada tahun 1853, Napoleon III melancarkan projek pembangunan infrastruktur besar-besaran di Paris. Projek kerja raya itu diselia oleh Georges-Eugène Haussmann (1808-1891), Préfet (iaitu ketua pentadbir) wilayah Seine pada masa itu, dengan cita-cita membawa air bersih, cahaya dan ruang taman terbuka ke dalam pusat bandar Paris. Jalan-jalan besar yang dikenali sebagai boulevard dibina untuk menghubungkan kawasan-kawasan di dalam bandar Paris; ruang petempatan sesak dikosongkan untuk taman awam di setiap kawasan kejiranan; sanitasi ditambah baik dengan pembinaan saliran air untuk membekalkan air bersih sementara sistem kumbahan diperluaskan untuk menyalir keluar sisa-sisa buangan. Untuk membolehkan pembangunan infrastruktur besar-besaran itu, bangunan-bangunan kediaman lama yang dibina secara sembarangan dirobohkan. Pembaharuan bandar yang dilakukan di bawah seliaan Haussmann semasa Empayar Perancis Kedua mula mewujudkan pemandangan Paris yang kita ketahui pada hari ini.
Pembinaan boulevard yang dilengkapi dengan tiang lampu gas setiap 20 kaki sepanjang jalan telah menerangi seluruh bandar Paris pada waktu malam, dan oleh kerana itu Paris mendapat gelaran “Bandar Cahaya” (Ville lumière). Walaupun Napoleon III berkata bahawa pembinaan boulevard berlampu itu bertujuan untuk membawa cahaya kepada bandar Paris dan menangani masalah kesesakan, adalah jelas bahawa pembinaan jalan-jalan besar itu berniat untuk menghalang warga Paris yang “nakal” dan “suka memberontak” itu daripada mendirikan benteng-benteng jalanan di jalan-jalan sempit seperti yang sering dilakukan semasa pelbagai revolusi sebelum itu. Pembinaan boulevard memastikan pasukan tentera dan peralatan artileri dapat bergerak dengan mudah dari satu tempat ke tempat lain di dalam bandar Paris, maka memudahkan kerajaan untuk mematahkan sebarang pemberontakan rakyat yang sering diiringi dengan benteng-benteng jalanan.

Walaupun London, ibu negara Britain, merupakan bandar terbesar di rantau Eropah malah seluruh dunia, dengan jumlah penduduk melebihi 2 juta orang menjelang pertengahan abad ke-19, Paris ialah bandar terbesar di tanah besar Eropah. Terdapat kira-kira 1 juta orang tinggal di Paris pada tahun 1850-an semasa Louis-Napoleon Bonaparte merampas kuasa, dan jumlah penduduk di situ bertumbuh pesat dalam tempoh dua dekad sehingga mencecah hampir 2 juta orang menjelang tahun 1870, sementara jumlah penduduk di bandar-bandar lain di tanah besar Eropah seperti Berlin, Moscow dan Vienna masih dalam sekitar ratusan ribu orang.
Hasil daripada pembangunan bandar semasa zaman pemerintahan Maharaja Napoleon III, Paris muncul sebagai salah sebuah bandar yang termasyhur dan terunggul di Eropah. Menjelang penghujung Empayar Perancis Kedua, Paris sudah menjadi pusat kebudayaan, kesenian, fesyen, kesusasteraan, seni bina dan sains yang penting di Eropah. Ia boleh dikatakan sebagai ibu kota benua Eropah di mana orang ramai pergi ke situ untuk mendapatkan perkara yang paling maju pada zaman itu.

Projek pembangunan bandar Paris yang diselia oleh Haussmann telah mengusir penduduk-penduduk kelas bawahan yang tinggal di kawasan pusat bandar Paris ke kawasan pinggiran bandar itu. Oleh itu, pusat bandar Paris menjadi pusat tumpuan golongan borjuis dengan tarikan pelancongan seperti boulevard yang lebar, rumah kedai yang menjual pelbagai barangan berjenama mewah, kafe, teater, dan taman rekreasi; sementara kawasan kejiranan di pinggiran bandar penuh sesak dengan penduduk-penduduk miskin yang kebanyakannya merupakan golongan kelas pekerja. Pusat tumpuan petempatan kelas bawahan pada masa itu telah beralih dari bahagian timur bandar Paris ke bahagian utara bandar itu, di sekitar kawasan Montmartre dan Belleville.
Kebanyakan golongan pekerja di Paris bekerja di premis-premis perusahaan kecil yang mengupah kurang daripada 10 orang pekerja, dengan gaji yang diperoleh mereka masih agak rendah walaupun sudah dianggap tinggi berbanding kawasan desa Perancis dan bandar-bandar lain di Eropah. Golongan pekerja Paris sentiasa menghadapi kekangan kewangan untuk membayar sewa rumah, makanan dan bahan api dapur, sementara masalah penggunaan alkohol juga berleluasa sebagai “ubat penawar” yang penuh toksik kepada keluhan kelas pekerja. Kira-kira satu perempat daripada penduduk Paris hidup di bawah garis kemiskinan menjelang tahun 1870.

Seperti golongan pemerintah Perancis sebelumnya, Maharaja Napoleon III amat khuatir akan ancaman revolusioner daripada penduduk-penduduk di Paris, seolah-olah dia tinggal di tengah-tengah kawasan yang dikuasai musuh kelasnya. Napoleon III agak sedar bahawa sokongan popularnya tidak datang dari bandar Paris, tetapi dari wilayah-wilayah kawasan luar bandar dengan pengundi-pengundi yang lebih konservatif dan lebih senang disogok dengan habuan kebendaan yang sedikit.
Ketakutan golongan pemerintah Perancis terhadap warga Paris yang revolusioner sudah wujud sejak Reaksi Thermidor pada tahun 1794. Oleh itu, golongan pemerintah Perancis tidak membenarkan pentadbiran seluruh bandar Paris itu disatukan secara politik. Pengalaman Komun Paris yang asal pada tahun 1789-1795 mengingatkan golongan pemerintah Perancis tentang ancaman sebuah bandar Paris yang bersatu terhadap kuasa pemerintahan pusat. Jadi, tiadanya jawatan “Datuk Bandar” untuk seluruh bandar Paris, sebaliknya setiap daripada 20 buah daerah (arrondissement) di Paris ditadbir oleh seorang “datuk bandar”.

Aliran-aliran politik menjelang penghujung Empayar Perancis Kedua
Maharaja Napoleon III, yang memerintah secara kuku besi dan autokratik untuk satu dekad selepas berkuasa, mula melonggarkan kawalan politik dan memperkenalkan beberapa pembaharuan liberal pada tahun 1860-an. Tindakan itu telah membuka ruang kepada golongan pembangkang daripada pelbagai aliran politik untuk beraktiviti walaupun masih berada di bawah pengawasan pihak berkuasa yang agak ketat.
Berikut ialah beberapa aliran politik yang penting semasa Empayar Perancis Kedua, daripada pihak pemerintah yang konservatif hingga pihak pembangkang yang radikal:

Bonapartiste
- Golongan Bonapartiste ialah mereka yang menyokong pemerintahan Maharaja Napoleon III.
- Mereka mendukung fahaman nasionalisme, kuasa eksekutif berpusat yang kuat dan perluasan kuasa imperialis.
- Menjelang penghujung tahun 1860-an, golongan Bonapartiste berpecah kepada dua puak: Bonapartiste yang autoritarian dan Bonapartiste yang liberal.
- Bonapartiste autoritarian (Bonapartistes autoritaires) ialah golongan ultra-konservatif yang mendukung pemusatan kuasa, tindakan keras untuk menindas golongan pembangkang dan pengekalan kuasa mutlak Maharaja Napoleon III. Mereka menentang demokrasi berparlimen dan menyokong perluasan kekuasaan ketenteraan Perancis.
- Puak Bonapartiste autoritarian mendapat sokongan daripada golongan yang berpengaruh di kawasan luar bandar, golongan petani kawasan luar bandar yang berpemikiran konservatif, golongan paderi Katolik, golongan birokrat negara, golongan pemimpin tentera dan golongan pengusaha perindustrian yang mendapat manfaat daripada kontrak kerajaan.
- Tokoh-tokoh utama golongan Bonapartiste autoritarian termasuk Adolphe Vuitry (1813-1885) dan Eugène Rouher (1814-1884).
- Bonapartiste liberal (Bonapartistes libéraux) ialah mereka yang menyokong pemerintahan Maharaja Napoleon tetapi juga mendukung pembentukan sistem monarki berperlembagaan, perluasan kebebasan sivil dan kawalan parlimen terhadap kuasa eksekutif. Mereka berhasrat untuk memperbaharui rejim Bonapartiste supaya ia lebih cekap dalam menjalankan pemerintahan.
- Puak Bonapartiste liberal mendapat sokongan daripada sebahagian golongan kelas menengah di kawasan bandar, golongan intelek yang berfahaman reformis dan golongan kelas kapitalis yang hendak mewujudkan kestabilan masyarakat dengan pembaharuan secara beransur-ansur.
- Tokoh-tokoh utama golongan Bonapartiste liberal termasuk Émile Ollivier (1825-1913).
- Dalam pilihan raya parlimen pada tahun 1869, daripada 283 kerusi Dewan Perundangan yang dipilih pada masa itu, golongan Bonapartiste memenangi 212 kerusi (hampir tiga perempat daripada jumlah kerusi), dengan puak Bonapartiste yang autoritarian memperoleh 92 kerusi, sementara puak Bonapartiste yang liberal menguasai 120 kerusi. Émile Ollivier dilantik sebagai Perdana Menteri Perancis selepas pilihan raya itu.

Légitimiste
- Golongan Légitimiste ialah golongan monarkis konservatif yang menyokong pemulihan Dinasti Bourbon.
- Mereka menyokong pemerintahan raja berkuasa mutlak seperti zaman Ancien Régime dan dominasi kuasa gereja. Mereka menentang pemodenan dan pembaharuan liberal.
- Golongan Légitimiste mendapat sokongan daripada golongan tuan tanah kawasan luar bandar dan golongan penganut Katolik yang berfahaman konservatif.
- Tokoh-tokoh utama golongan Légitimiste termasuk Henri d’Artois (1820-1883) yang mendakwa dirinya sebagai pewaris takhta diraja Perancis.
- Golongan Légitimiste memenangi 41 kerusi dalam pilihan raya parlimen pada tahun 1869.

Orléaniste
- Golongan Orléaniste ialah golongan monarkis moderat yang menyokong pemerintahan raja berperlembagaan di bawah Dinasti Orléans yang pernah memerintah semasa zaman Monarki Julai (1830-1848).
- Sebahagian besar golongan Orléaniste mempunyai pandangan mengenai Revolusi Perancis bahawa “Revolusi 1789 adalah baik sementara Revolusi 1792 adalah jahat”, kerana Revolusi 1789 hanya mewujudkan sistem raja berperlembagaan tetapi Revolusi 1792 menjatuhkan sistem monarki sepenuhnya.
- Golongan Orléaniste mendukung kuasa pemerintahan kelas borjuis, perdagangan bebas dan pengehadan hak mengundi.
- Golongan Orléaniste mendapat sokongan daripada golongan kapitalis perindustrian, golongan kapitalis kewangan dan golongan profesional yang berfahaman liberal.
- Tokoh-tokoh utama golongan Orléaniste termasuk Odilon Barrot (1791-1873), Adolphe Thiers (1797-1877) Henri d’Orléans (1822-1897) dan Philippe d’Orléans (1838-1894).
- Golongan Orléaniste tidak bergerak secara terbuka semasa zaman Empayar Perancis Kedua, tetapi menyokong pembaharuan yang cuba dibawa oleh golongan Bonapartiste liberal.

Republikan Moderat
- Golongan Republikan Moderat ialah golongan liberal menentang pemerintahan monarki dan mendukung pembentukan republik berparlimen yang berasaskan perlembagaan.
- Golongan Republikan Moderat memperjuangkan demokrasi politik, hak mengundi sejagat, kebebasan akhbar dan pembaharuan untuk keadilan sosial. Namun, mereka membantah perubahan revolusioner yang radikal.
- Golongan Republikan Moderat merupakan penyambung warisan kumpulan elit yang berkuasa seketika selepas Revolusi Februari 1848.
- Golongan Republikan Moderat merupakan pembangkang politik utama kepada rejim pemerintahan Bonapartiste, tetapi mereka langsung tiada hasrat untuk mengubah susunan masyarakat yang sedia ada.
- Golongan Republikan Moderat menganggap pembentukan sebuah republik demokratik sebagai asas untuk kestabilan masyarakat, pembaharuan secara beransur-ansur dan pemodenan negara.
- Golongan Republikan Moderat mendapat sokongan daripada golongan profesional dan kelas menengah kawasan bandar.
- Tokoh-tokoh utama golongan Republikan Moderat ialah Adolphe Crémieux (1796-1880), Jules Dufaure (1798-1881), Jules Grévy (1807-1891), Jules Favre (1809-1880), Jules Simon (1814-1896), Jules Ferry (1832-1893) dan Léon Gambetta (1838-1882). Walaupun seorang republikan moderat, Léon Gambetta agak popular dalam kalangan golongan radikal kerana dia pandai berpidato dan pernah membela tokoh republikan radikal di mahkamah.
- Golongan Republikan Moderat memenangi kira-kira 30 kerusi dalam pilihan raya parlimen pada tahun 1869, dengan kebanyakannya dipilih untuk mewakili Paris. Mereka juga dikenali sebagai “Pembangkang Yang Berhormat”.

Neo-Jacobin
- Golongan Neo-Jacobin ialah mereka yang mewarisi politik radikal Jacobin yang pernah berkuasa semasa “Pemerintahan Ganas” (1793-1794) dan menyokong idea-idea radikal yang dibawa semasa zaman Republik Perancis Pertama.
- Golongan Neo-Jacobin sudah wujud dan aktif menentang pihak berkuasa sejak zaman pemerintahan Dinasti Bourbon yang dipulihkan. Mereka pernah mengambil bahagian dalam Revolusi 1830 dan Revolusi 1848.
- Golongan Neo-Jacobin menolak pandangan golongan liberal moderat yang menganggap bahawa “Revolusi 1789 adalah baik sementara Revolusi 1792 adalah jahat”.
- Mereka menganggap Jawatankuasa Keselamatan Awam semasa pemerintahan Jacobin yang radikal itu sebagai wira sebenar Revolusi Perancis.
- Golongan Neo-Jacobin mendukung pembentukan sebuah negara republik yang memusatkan kuasa. Mereka menegakkan semangat patriotik dan nasionalis yang tegar.
- Golongan Neo-Jacobin menganggap republik sebagai instrumen untuk perubahan revolusioner, kedaulatan rakyat dan demokrasi langsung.
- Golongan Neo-Jacobin bersedia untuk membentuk gabungan politik dengan kelas bawahan (seperti yang pernah dilakukan oleh golongan Jacobin bersama golongan sans-culotte), tetapi mereka tidak berhasrat untuk mengubah susunan masyarakat kelas yang sedia ada.
- Golongan Neo-Jacobin mendapat sokongan daripada golongan pelajar universiti dan golongan profesional muda yang benci pada pemerintahan Empayar Perancis Kedua.
- Tokoh-tokoh utama golongan Neo-Jacobin termasuk Louis Charles Delescluze (1809-1871) dan Félix Pyat (1810-1889).

Proudhoniste
- Golongan Proudhoniste ialah golongan kiri yang mendukung idea-idea Pierre-Joseph Proudhon (1809-1865), seorang ahli falsafah sosialis dari Perancis yang dianggap ramai orang sebagai “Bapa Anarkisme”.
- Proudhon, yang merupakan orang pertama menggelar dirinya sebagai “anarkis”, membangunkan idea ekonomi yang dikenali sebagai “mutualisme”. Mutualisme mendukung kawalan pekerja terhadap sumber-sumber pengeluaran, dan pembentukan sebuah masyarakat sosialis yang berasaskan pasaran bebas yang terdiri daripada golongan tukang bebas serta koperasi pekerja.
- Proudhon mengkritik eksploitasi dan penindasan terhadap tenaga kerja di bawah sistem kapitalis, khususnya peralihan dunia kerja daripada sistem yang menjamin mobiliti sosial golongan tukang (dari perantis ke tukang bebas ke tuan tukang) kepada pekerja upahan yang dibayar gaji kemiskinan. Namun, dia menolak sosialisme berasaskan negara sebagai penyelesaiannya. Sebaliknya, dia mengadvokasi “sosialisme tanpa negara”.
- Proudhon tidak menyokong pengambilalihan kuasa negara secara ganas. Dia berpandangan bahawa jika semua orang mengabaikan atau membelakangkan negara, maka negara yang membolehkan eksploitasi di bawah kapitalisme itu tidak akan dapat wujud lagi.
- Walaupun Proudhon meninggal dunia pada tahun 1865, idea-ideanya telah disebar luas dalam kalangan golongan tukang dan kelas pekerja di kawasan bandar. Golongan Proudhoniste merupakan kumpulan terbesar dalam kalangan warga Paris yang bakal memainkan peranan dalam pembentukan Komun Paris pada tahun 1871.

Blanquiste
- Golongan Blanquiste ialah golongan sosialis yang menyokong pemikiran politik Louis Auguste Blanqui (1805-1881), seorang aktivis revolusioner sosialis Perancis.
- Blanqui menyertai gerakan Carbonari pada tahun 1824 dan terlibat secara aktif dalam usaha perjuangan republikan untuk menjatuhkan pemerintahan Raja Charles X pada masa itu. Blanqui merupakan salah seorang peserta dalam pemberontakan “Tiga Hari yang Mulia” semasa Revolusi Julai 1830, tetapi berasa dikhianati oleh Monarki Julai yang beralih ke arah konservatif selepas kejayaan Revolusi 1830. Blanqui menjadi pemimpin kepada Société des Saisons, sebuah pertubuhan rahsia yang menentang pemerintahan Monarki Julai pada tahun 1830-an. Blanqui sering ditangkap dan ditahan di dalam penjara pada kebanyakan masa sepanjang hayatnya.
- Blanqui dibebaskan dari penjara selepas tercetusnya Revolusi Februari 1848, dan terus memimpin golongan kiri radikal untuk mencabar Kerajaan Sementara pada masa itu. Blanqui ditahan lagi kerana memimpin aksi demonstrasi pada 15 Mei 1848, dan dia berada di dalam penjara semasa berlakunya Pemberontakan Jun 1848, maka dia tidak dibunuh dalam pertempuran jalanan seperti golongan revolusioner kiri radikal yang lain. Blanqui melarikan diri dari penjara pada tahun 1865 dan hidup dalam buangan di Belgium.
- Menjelang penghujung tahun 1860-an, Blanqui menganggap dirinya sebagai seorang sosialis. Dia percaya pada perang kelas dan keperluan untuk kelas pekerja menggantikan kelas kapitalis borjuis, tetapi dia tidak percaya pada pendekatan pemberontakan pekerja secara besar-besaran. Blanqui berpandangan bahawa massa pekerja tidak mempunyai pendidikan yang mencukupi untuk menjatuhkan pemerintahan negara kapitalis secara berkesan, maka perlunya sekumpulan kecil golongan perintis revolusioner yang berdedikasi dan profesional untuk mengambil alih kuasa negara. Kumpulan perintis yang berjaya mengambil alih kuasa itu akan menubuhkan sebuah pemerintahan kediktatoran revolusioner dan menggunakan kuasa yang dipegangnya untuk mentransformasi masyarakat ke arah sosialisme.
- Idea-idea revolusioner Blanqui boleh dijejaki asal usulnya kepada Gracchus Babeuf (1760-1797) dan Konspirasi Égaux yang dibawa oleh Babeuf.
- Blanqui pada asalnya hanya memperjuangkan republikanisme ala Jacobin, tetapi menjelang tahun 1870, dia mendukung idea pemerintahan revolusioner yang menggulingkan kelas kapitalis borjuis dan mengalihkan tumpuan negara kepada hak pekerja serta kesamarataan sosioekonomi yang sepenuhnya.
- Golongan Blanquiste mendapat sokongan daripada sebahagian pekerja mahir dan pelajar yang radikal.
Secara amnya, fahaman politik yang lebih konservatif dan monarkis seperti Bonapartiste, Légitimiste dan Orléaniste, mendapat sokongan yang lebih besar di kawasan desa. Sementara itu, fahaman politik yang lebih radikal dan republikan mempunyai pengaruh yang lebih besar di bandar-bandar utama seperti Paris, Marseille dan Lyon.
Dalam pilihan raya parlimen pada tahun 1869, daripada hampir 8 juta undi yang sah, calon-calon Bonapartiste memperoleh lebih 4.4 juta undi, sementara kira-kira 3.5 juta orang pengundi memberikan undi kepada golongan republikan atau golongan Légitimiste. Namun, di Paris, calon-calon republikan memperoleh sebanyak kira-kira 234,000 undi, jauh lebih banyak berbanding kira-kira 77,000 undi yang diperolehi calon-calon Bonapartiste.

Gerakan kiri pasca 1848
Gerakan kiri di Perancis mengalami pukulan yang hebat selepas kegagalan Pemberontakan Jun 1848, dengan ramai orang yang berhaluan kiri dibunuh semasa penumpasan Pemberontakan Jun, sementara ramai orang ditahan atau terpaksa hidup dalam buangan di negara lain. Selepas Louis Bonaparte merampas kuasa pada tahun 1851 dan kemudiannya mengangkat dirinya sebagai Maharaja Perancis pada tahun 1852, ruang untuk gerakan kiri disekat lebih lanjut lagi, dengan penapisan akhbar yang ketat, pengharaman organisasi sosialis dan penindasan terhadap persatuan pekerja. Golongan kiri dan sosialis dianggap sebagai ancaman besar kepada rejim pemerintahan autoritarian Bonapartiste.
Gerakan kiri di Perancis pada masa itu berpecah kepada pelbagai aliran. Salah satu aliran kiri yang penting ialah golongan Sosialis Utopia. Sosialisme Utopia membawa visi tentang masyarakat sosialis yang ideal di mana manusia hidup secara harmoni berasaskan semangat saling bantu-membantu, bekerjasama, sama rata dan pemilikan sumber-sumber pengeluaran secara bersama dalam komuniti. Namun, golongan Sosialis Utopia tidak mempunyai idea tentang perjuangan kelas, dan tiadanya strategi revolusioner untuk menjatuhkan sistem kapitalis yang ditolak oleh mereka. Golongan Sosialis Utopia lebih cenderung untuk membina komuniti sosialis terancang yang dibayangkan mereka secara berasingan dan berputus daripada realiti masyarakat keseluruhan semasa. Sesetengah golongan Sosialis Utopia beranggapan bahawa mereka boleh menggunakan hujahan moral untuk memujuk golongan pemerintah yang kaya raya itu dan seluruh anggota masyarakat untuk menerima susunan masyarakat sosialis idaman mereka secara sukarela.

Ramai dalam kalangan perintis Sosialisme Utopia berasal dari Perancis, seperti Henri de Saint-Simon (1760-1825), Charles Fourier (1772-1837) dan Étienne Cabet (1788-1856). Tokoh Sosialis Utopia di luar Perancis yang terkenal ialah Robert Owen (1771-1858), seorang pengusaha kilang tekstil yang berasal dari Wales tetapi turut menjadi pembaharu sosial dan perintis kepada gerakan koperasi. Robert Owen berdedikasi untuk memperbaiki keadaan kerja di dalam kilang, mendukung eksperimen komuniti sosialis utopia, mengusahakan sistem jagaan kanak-kanak secara kolektif, menggalakkan pendidikan seumur hidup dan mengurangkan jam kerja sehari. Owen terkenal dengan slogannya, “8 jam kerja, 8 jam rekreasi, 8 jam rehat”.
Henri de Saint-Simon mengusulkan sosialisme teknokratik yang menekankan peranan kepimpinan ahli-ahli sains, jurutera-jurutera dan golongan intelek dalam membangunkan perindustrian untuk mencapai kemajuan yang boleh mewujudkan sebuah masyarakat harmoni yang bebas daripada kemiskinan, kesengsaraan, jenayah dan masalah-masalah sosial lain. Saint-Simon tidak memperjuangkan egalitarianisme yang radikal. Saint-Simon menumpukan perhatiannya kepada pengurusan masyarakat dengan kaedah saintifik, dan mengabaikan pemberdayaan massa untuk perubahan masyarakat. Terdapat banyak intelek yang berhaluan kiri di Perancis pada pertengahan abad ke-19 merupakan pengikut fahaman Saint-Simon.
Auguste Comte (1798-1857), seorang pengikut Saint-Simon, menjadi salah seorang perintis kepada bidang ilmu sosiologi dan merupakan pengasas kepada Positivisme, aliran falsafah yang berpegang pada pandangan bahawa pengetahuan tulen hanya boleh diperoleh melalui pemerhatian, pengalaman deria dan penaakulan saintifik.

Charles Fourier, seorang pemikir sosialis yang lebih muda daripada Saint-Simon, membangunkan teori yang agak lengkap dan terperinci mengenai persekitaran yang ideal untuk sebuah masyarakat yang terbangun pesat. Fourier berpandangan bahawa individu tidak patut dibentuk untuk bersesuaian dengan masyarakat, sebaliknya masyarakat seharusnya dibentuk untuk bersesuaian dengan individu. Fourier percaya bahawa kerjasama sesama manusia boleh meningkatkan produktiviti dan mewujudkan keseimbangan masyarakat yang harmoni. Fourier memperkenalkan idea “Phalanstère”, sejenis bangunan yang direka bentuk untuk menempatkan sebuah komuniti utopia yang berdikari di mana anggota-anggota dalam komuniti itu bekerjasama untuk kebaikan bersama dan mengatasi masalah sosioekonomi yang sedia ada.
Idea Fourier mendapat perhatian yang agak signifikan, bukannya di Perancis, tetapi di Amerika Syarikat. Menjelang tahun 1840-an, walaupun Fourier sudah meninggal dunia, golongan yang mendukung ideanya telah mendirikan sekurang-kurangnya 30 buah komuniti utopia di Amerika Syarikat, tetapi semua projek pembinaan komuniti utopia itu tidak berjaya kerana pelbagai faktor.

Étienne Cabet pula membawa idea-idea yang menggabungkan etika Kristian dan komunisme yang menekankan kesamarataan. Penyokong-penyokong idea Cabet yang berhijrah ke Amerika Syarikat, terutamanya selepas Revolusi 1848 menemui kegagalan, mengasaskan Gerakan Ikaria. Gerakan Ikaria menubuhkan komuniti-komuniti egalitarian di negeri-negeri seperti Texas, Illinois, Iowa, Missouri dan California, pada abad ke-19. Namun, gerakan Ikaria menemui kegagalan kerana perpecahan dalaman gerakan itu, kekurangan kebertanggungjawaban demokratik dan kegagalan pengurusan komuniti.
Louis Blanc (1811-1882), ahli politik berhaluan kiri yang membangunkan konsep “hak untuk bekerja” dan pernah dilantik ke dalam Kerajaan Sementara selepas Revolusi Februari 1848, telah melarikan diri dan hidup dalam buangan di London selepas golongan kiri ditindas hebat berikutan penumpasan Pemberontakan Jun 1848. Walaupun kewibawaan Blanc agak terjejas kerana penglibatannya dalam Kerajaan Sementara, ideanya tentang “hak untuk bekerja” dan Bengkel Kebangsaan (Ateliers Nationaux) yang berasaskan ideanya (di mana penutupannya menjadi pencetus Pemberontakan Jun 1848) masih menjadi satu lambang penting kepada pembaharuan sosialis. Bengkel Kebangsaan boleh dikatakan sebagai projek perintis kepada skim jaminan kerja tajaan kerajaan.
Menjelang tahun 1860-an, dua kumpulan utama dalam kalangan golongan sosialis yang berhaluan kiri di Perancis ialah Proudhoniste dan Blanquiste. Golongan Blanquiste boleh dikatakan sebagai kumpulan berhaluan kiri yang paling radikal, kerana mereka memperjuangkan perubahan revolusioner ke arah sosialisme. Namun, Louis Auguste Blanqui, yang mendapat inspirasi daripada Gracchus Babeuf, menolak pendekatan mengambil bahagian dalam pilihan raya, malah juga menolak pendekatan menggerakkan perjuangan revolusioner melalui gerakan massa. Oleh itu, golongan Blanquiste menumpukan usaha mereka dalam membina organisasi yang dianggotai oleh revolusioner yang komited dan berdisiplin tetapi dalam bilangan yang kecil, dengan hasrat merampas kuasa secara kekerasan.

Blanqui pernah menulis sebuah buku panduan pada tahun 1866 dengan bertajuk “Arahan untuk Pemberontakan Bersenjata” (Instructions pour une prise d’armes), untuk memberi panduan kepada pengikut-pengikutnya. Blanqui menggariskan kaedah menggunakan kader, atau pembentukan sel militan bawah tanah 10-orang, yang bergerak secara berautonomi antara satu sama lain sebagai barisan pejuang perintis untuk menjatuhkan sebuah kerajaan.
Golongan Proudhoniste pula cuba membina sosialisme tanpa negara. Golongan Proudhoniste tidak berminat untuk mengambil alih kuasa pemerintahan negara, sebaliknya mereka terus mengabaikannya. Golongan Proudhoniste menganggap koperasi pekerja dan persatuan sukarelawan sebagai alternatif kepada negara kapitalis. Oleh itu, golongan Proudhoniste tidak memperjuangkan revolusi, kerana tidak perlunya revolusi apabila koperasi pekerja dan persatuan sukarelawan bertumbuh pesat sehingga menjadikan fungsi negara itu tidak lagi bermakna.
Golongan kiri di Perancis yang berpegang pada pandangan bahawa persoalan sosioekonomi hanya boleh diselesaikan selepas perjuangan politik yang berjaya telah membentuk sebahagian besar daripada kumpulan Neo-Jacobin.
Selepas usaha mengembalikan kemerdekaan negara Poland pada tahun 1830-an dan 1840-an dipatahkan, golongan nasionalis Poland terus ditekan oleh pihak berkuasa kerajaan yang menduduki tanah Poland, iaitu Austria, Prusia dan Rusia. Namun, apabila kekuasaan Empayar Austria dan Empayar Rusia dilemahkan pada awal tahun 1860-an, golongan nasionalis Poland bangkit semula dengan menganjurkan pelbagai pertemuan secara rahsia, demonstrasi jalanan dan pertembungan ganas dengan pihak berkuasa. Gerakan nasionalis patriotik Poland dibahagikan kepada dua aliran utama: “golongan Putih” (Biali) yang berfahaman konservatif-liberal, dengan Andrzej Artur Zamoyski (1800-1874) dan Leopold Stanisław Kronenberg (1812-1878) sebagai pemimpin utamanya; dan “golongan Merah” (Czerwoni) yang lebih radikal, dengan pemimpinnya termasuk Ludwik Mierosławski (1814-1878), Apollo Korzeniowski (1820-1869), Agaton Giller (1831-1887), Jarosław Dąbrowski (1836-1871), Oskar Awejde (1837-1897) dan Stefan Bobrowski (1840-1863).

Golongan Putih, yang dianggotai oleh golongan pemilik tanah, golongan intelek dan golongan profesional, hanya memperjuangkan pemulihan status perlembagaan sebelum tahun 1830 di mana Poland menikmati autonomi yang lebih besar; golongan Merah, yang turut disertai oleh golongan petani, kelas pekerja dan golongan intelek yang radikal, berjuang untuk menumpaskan pemerintahan kuasa asing dan menubuhkan sebuah republik Poland yang bebas, di samping berhasrat menghapuskan sistem perhambaan tani dan melaksanakan reformasi tanah yang membebaskan golongan petani daripada hubungan pengeluaran feudal.
Gerakan nasionalis patriotik Poland memuncak apabila tercetusnya pemberontakan bersenjata pada bulan Januari 1863 di wilayah Kongres Poland untuk menentang pemerintahan Empayar Rusia di situ. Pemberontakan menentang pemerintahan Rusia itu merebak ke Lithuania pada bulan Februari 1853. Pemberontakan Poland pada tahun 1863 mendapat sokongan daripada golongan radikal dan golongan sosialis di Perancis.
Pada bulan Julai 1863, sekumpulan kecil pemimpin kelas pekerja Perancis pergi ke London untuk mengambil bahagian dalam sebuah perjumpaan solidariti bersama pemberontakan Poland yang dianjurkan oleh pemimpin-pemimpin kelas pekerja Inggeris di Dewan St. James. Kebanyakan ahli perwakilan dari Perancis yang menghadiri perjumpaan itu merupakan golongan Proudhoniste. Dalam perjumpaan itu, perwakilan dari Perancis dan England mula berbincang tentang kemungkinan menjalin hubungan solidariti antarabangsa yang lebih erat untuk menangani masalah yang dihadapi secara bersama oleh kelas pekerja di kedua-dua buah negara itu. Perbincangan itu diteruskan dalam beberapa bulan berikutnya, dan sebuah mesyuarat dirancang untuk diadakan pada bulan September 1864 supaya membincangkan penubuhan sebuah kesatuan pekerja antarabangsa.

Pada 28 September 1864, gabungan kesatuan-kesatuan pekerja Inggeris menganjurkan sebuah perhimpunan di Dewan St. Martin, London, untuk menyambut kedatangan delegasi pemimpin pekerja Perancis. Turut hadir dalam perhimpunan di Dewan St. Martin ialah golongan reformis dan golongan revolusioner radikal dari beberapa buah negara lain. Mereka yang hadir termasuk pengikut-pengikut Robert Owen dari Britain, golongan Proudhoniste dari Perancis, golongan Blanquiste dari Perancis, golongan nasionalis Ireland, golongan nasionalis Poland, golongan republikan Itali dan golongan sosialis Jerman. Salah seorang sosialis Jerman yang hadir pada masa itu ialah Karl Marx (1818-1883), seorang revolusioner sosialis yang hidup dalam buangan di London sejak tahun 1849. Walaupun mereka yang berhimpun di Dewan St. Martin mempunyai pandangan yang berbeza sesama diri dalam penyelesaian untuk persoalan sosioekonomi, oleh sebab mereka mempunyai musuh yang sama, iaitu golongan penguasa reaksioner yang mempertahankan status quo masyarakat yang menindas rakyat bawahan, mereka memutuskan untuk menubuhkan “Kesatuan Pekerja Antarabangsa”, yang juga dikenali dalam sejarah sebagai “Internasional Pertama” (1864-1876).
Karl Marx, yang dipilih sebagai salah seorang ahli jawatankuasa untuk merangka perlembagaan dan program Kesatuan Pekerja Antarabangsa, menulis dalam “Ucapan Perasmian” organisasi itu, “Menakluki kuasa politik telah menjadi kewajipan besar kelas pekerja.”
“Pembebasan kelas pekerja harus dilakukan oleh kelas pekerja sendiri,” begitu tulisnya “Peraturan Am” Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang turut dikarang oleh Marx pada bulan Oktober 1864. “Perjuangan untuk pembebasan kelas pekerja bukannya perjuangan untuk keistimewaan dan monopoli kelas, tetapi untuk hak dan kewajipan yang sama rata, dan penghapusan segala pemerintahan kelas.”

“Pengabdian ekonomi terhadap orang berburuh oleh pemonopoli sumber-sumber perburuhan – iaitu sumber kehidupan – merupakan asas kepada perhambaan dalam semua bentuk, semua penderitaan sosial, kemerosotan mental dan kebergantungan politik,” tambah Peraturan Am Kesatuan Pekerja Antarabangsa atau Internasional Pertama. “Oleh itu, pembebasan ekonomi kelas pekerja merupakan matlamat besar yang mana setiap gerakan politik harus disubordinat sebagai cara untuk mencapainya.”
Walaupun Marx memainkan peranan penting dalam merangka program politik Internasional Pertama yang revolusioner, golongan Proudhoniste yang mendukung idea anarkis mutualis merupakan kumpulan yang paling berpengaruh dalam Internasional Pertama.
Oleh sebab spektrum politik yang agak meluas dalam kalangan anggota Internasional Pertama, maka wujudnya perbezaan pandangan yang ketara tentang hala tuju dan fungsi organisasi itu. Kebanyakan pemimpin kesatuan sekerja British hanya menganggap Internasional Pertama sebagai gerakan reformis; golongan Blanquiste hendak menjadikannya sebuah organisasi perintis yang beroperasi secara rahsia; Marx dan penyokong-penyokongnya pula berhasrat untuk menjadikannya organisasi yang mampu memimpin gerakan massa kelas pekerja secara terbuka untuk revolusi sosialis. Adanya yang mendukung aktiviti kesatuan sekerja sebagai fokus untuk aksi langsung, sementara adanya yang menekankan pembentukan kolektif pekerja; adanya yang berpandangan bahawa perlunya arahan berpusat, sementara adanya yang berpandangan bahawa jawatankuasa pusat sepatutnya mendengar arahan daripada organisasi-organisasi di bawahnya; adanya yang hendak mengambil bahagian dalam pilihan raya parlimen, sementara adanya yang hendak membina struktur alternatif sendiri bukannya terlibat dalam proses politik yang sedia ada.

Golongan anarkis kolektif yang dipimpin oleh Mikhail Bakunin (1814-1876), seorang revolusioner dari Rusia, mula menyertai Internasional Pertama pada penghujung tahun 1868. Pandangan yang dibawa oleh golongan anarkis kolektif bertentangan dengan Marx dan penyokong-penyokongnya yang semakin berpengaruh dalam Internasional Pertama. Konflik ideologi antara Marx dan Bakunin menyebabkan perpecahan dalam Internasional Pertama dan gerakan revolusioner kelas pekerja pada masa itu. Golongan sosialis revolusioner seperti Marx berpandangan bahawa perlunya mengambil alih kuasa negara untuk memajukan revolusi, sementara golongan anarkis kolektif seperti Bakunin percaya bahawa perubahan masyarakat boleh dilakukan tanpa mengambil alih kuasa negara.
Penyatuan Jerman melalui “besi dan darah”
Menjelang pertengahan tahun 1860-an, prestij kekuasaan imperialis Perancis terjejas kerana dua perbalahan antarabangsa yang melibatkannya. Salah satunya bermula dengan pencerobohan tentera Perancis ke atas Republik Mexico pada tahun 1861. Maharaja Napoleon III melancarkan pencerobohan itu atas alasan hendak memaksa pembayaran balik hutang kerajaan Mexico kepada pemiutang-pemiutang dari Eropah dan memastikan akses kuasa imperialis Eropah kepada pasaran Mexico. Napoleon III bercita-cita besar untuk mewujudkan sebuah Empayar Mexico di bawah naungan Perancis yang diperintah oleh golongan monarkis konservatif. Namun, tentera Perancis dan sekutu tempatannya mengalami kekalahan demi kekalahan di medan perang Mexico, sehingga tentera Perancis terpaksa berundur keluar dari negara Amerika Utara itu pada tahun 1867.
Kegagalan tindakan ketenteraan Perancis yang semberono di Mexico itu memberi tamparan hebat kepada rejim pemerintahan Maharaja Napoleon III, tetapi tamparan yang lebih hebat lagi diterimanya apabila ia menjadi batu loncatan kepada penyatuan Jerman.
Selepas Revolusi 1848-1849 gagal membentuk sebuah negara Jerman bersatu seperti yang diinginkan oleh golongan nasionalis liberal Jerman, projek penyatuan Jerman itu diambil alih pula oleh golongan konservatif yang mematahkan kebangkitan nasionalisme romantik Jerman itu. Golongan liberal cuba menyatukan Jerman dengan ucapan yang penuh bersemangat dan keputusan demokratik di Parlimen; golongan konservatif pula menggunakan kekuasaan yang keras dan peperangan yang ganas untuk mencapai matlamat itu. Tokoh pemimpin konservatif utama yang menggerakkan penyatuan Jerman ialah Otto von Bismarck (1815-1898).

Otto von Bismarck telah membantu Raja Friedrich Wilhelm IV dari Prusia semasa gelombang Revolusi 1848 dengan mempergunakan pendekatan populis untuk memperkukuhkan kekuasaan golongan konservatif di Prusia. Bismarck ialah seorang ahli politik pragmatik yang sentiasa bersedia untuk menunggang arus sejarah, bukan menghalangnya. Bismarck dilantik sebagai Perdana Menteri Prusia pada tahun 1862, dan menjadi pemimpin yang mendominasi buat satu generasi, bukan sahaja dalam politik Jerman malah politik Eropah. Sebagai seorang pakar dalam “realpolitik”, Bismarck menyempurnakan apa yang tidak dapat dicapai oleh golongan liberal pada tahun 1848-1849, iaitu menyatukan negara Jerman, tetapi dengan cara “besi dan darah”.
Bismarck yang menyambung projek penyatuan Jerman itu bukannya seorang nasionalis romantik Jerman, tetapi seorang bangsawan berfahaman monarkis yang setia kepada kekuasaan raja Prusia. Dia menganggap penyatuan Jerman di bawah dominasi Prusia sebagai cara yang terbaik untuk memelihara dan memperkukuhkan kekuasaan Kerajaan Prusia. Oleh itu, sepanjang tahun 1860-an, Bismarck berusaha untuk menjadikan Prusia sebagai peneraju usaha penyatuan Jerman.
Penyatuan Jerman di bawah dominasi Kerajaan Prusia yang diterajui oleh Otto von Bismarck disempurnakan melalui tiga peperangan: Perang Schleswig Kedua (1864), Perang Austria-Prusia (1866) dan Perang Perancis-Prusia (1870-1871).
Persoalan Schleswig-Holstein yang melibatkan isu pewarisan kuasa pemerintahan di wilayah perdemangan Schleswig dan Holstein, yang terletak di antara bahagian utara Jerman dan bahagian selatan Denmark, pernah mencetuskan Perang Schleswig Pertama (1848-1852) dengan kemenangan Denmark terhadap Konfederasi Jerman. Selepas peperangan itu, Kerajaan Denmark mengekalkan penguasaannya ke atas Schleswig dan Holstein, tetapi kedua-dua wilayah itu kekal bebas daripada pentadbiran negara induk Denmark. Namun, “Perlembagaan November” yang diluluskan oleh Parlimen Denmark pada tahun 1863 mengikat wilayah Schleswig lebih dekat dengan Denmark.
Bismarck mengeluarkan amaran kepada Kerajaan Denmark pada bulan Januari 1864 supaya membatalkan Perlembagaan November yang dianggap sebagai cara untuk mengilhakkan wilayah Schleswig. Bismarck mendapatkan sokongan daripada Empayar Austria untuk bersama-sama menceroboh ke dalam wilayah Schleswig pada bulan Februari 1864, dan mengusir tentera Denmark keluar dari wilayah itu. Oleh sebab tidak mampu menghadapi ancaman daripada tentera gabungan Prusia dan Austria yang merupakan dua buah kuasa besar di Eropah pada masa itu, Raja Christian IX dari Denmark terpaksa mengaku kalah pada bulan Ogos 1864. Dalam Perjanjian Vienna yang ditandatangani pada 30 Oktober 1864, wilayah Schleswig-Holstein dikuasai secara bersama oleh Prusia dan Austria. Perang Schleswig Kedua bukan sahaja membolehkan Prusia merampas kedua-dua wilayah Schleswig dan Holstein daripada Denmark, ia juga membawa Prusia dan Austria ke arah pertembungan yang akhirnya mencetuskan Perang Austria-Prusia pada tahun 1866.

Visi Bismarck untuk negara Jerman bersatu yang didominasi oleh Prusia itu tidak merangkumi Austria, sebuah empayar multi-etnik dengan wilayah induknya diduduki oleh masyarakat berbangsa Jerman. Oleh itu, Bismarck menggunakan pelbagai cara untuk mewujudkan keadaan di mana Austria dihalang daripada menjadi sebahagian daripada negara Jerman yang bersatu. Bismarck berusaha untuk mengasingkan Empayar Austria secara diplomatik supaya kuasa-kuasa besar Eropah yang lain (seperti Britain, Perancis dan Rusia) tidak akan membantu Austria apabila Prusia berperang dengan Austria. Bismarck juga mendapatkan sokongan daripada Kerajaan Itali yang bersetuju untuk menyerang sempadan selatan Austria sekiranya Prusia berperang dengan Austria, dengan ganjaran bahawa Itali dapat mengilhakkan wilayah Veneto yang masih dikuasai Austria pada masa itu.
Prusia dan Austria mula bertengkar mengenai urusan pentadbiran bersama wilayah Schleswig-Holstein pada bulan Mei 1866, dan mengerahkan tentera masing-masing ke sempadan. Pihak Austria cuba membawa pertelingkahan diplomatik itu kepada perhatian Diet Konfederasi Jerman, tetapi Bismarck menuduh bahawa tindakan Austria mengadu kepada Diet Konfederasi Jerman itu telah melanggar perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak, maka mengisytihar pembubaran Konfederasi Jerman untuk memprovokasi Austria.
Empayar Austria mengisytihar perang terhadap Prusia pada bulan Jun 1866, maka tercetusnya Perang Austria-Prusia. Perang Austria-Prusia merupakan salah satu peperangan moden yang dilakukan melalui mobilisasi tentera dengan landasan kereta api, komunikasi dengan telegraf, pertempuran dengan senapang yang lebih canggih (seperti senapang jarak jauh dan mesingan) dan kilang yang mengeluarkan senjata secara besar-besaran. Prusia merupakan jaguh dalam teknologi peperangan moden pada masa itu, kerana ia mengorientasikan seluruh pembangunan perindustriannya ke arah melancarkan peperangan moden sebegitu. Kerajaan Prusia telah menyalurkan sumber negara, menggalakkan pembukaan kilang dan membina landasan kereta api berasaskan keperluan untuk melakukan peperangan moden, sementara memperbaharui dan menyusun semula angkatan tenteranya untuk menyesuaikan diri dengan kaedah peperangan moden yang baharu itu. Oleh itu, tentera Prusia mempunyai kelebihan yang lebih besar dan mengambil masa yang agak singkat untuk menewaskan tentera Austria.

Walaupun Raja Wilhelm I dari Prusia dan kebanyakan jeneral Prusia berhasrat untuk menawan Vienna, ibu negara Austria, Bismarck tidak berniat untuk berbuat demikian, kerana dia hanya mahu menggunakan perang itu untuk menyingkirkan penguasaan Austria terhadap Jerman. Bismarck tidak berniat untuk menewaskan Austria sepenuhnya, kerana dia tidak mahu mengganggu asas imbangan kuasa serantau yang boleh mewujudkan ketidakstabilan geopolitik di Eropah dan menyebabkan kuasa-kuasa besar lain bergabung untuk menentang ancaman agresif Prusia. Oleh itu, Bismarck mendesak Raja Wilhelm I dan kepimpinan tentera Prusia untuk merundingkan perjanjian damai dengan Austria. Perjanjian Damai Prague yang ditandatangani pada 23 Ogos 1866 menamatkan Perang Austria-Prusia, dengan Maharaja Napoleon III sebagai pengantara. Peperangan besar antara Prusia dan Austria sebelum itu ialah “Perang Tujuh Tahun” (1756-1763), tetapi peperangan antara dua kuasa besar itu pada tahun 1866 juga digelar “Perang Tujuh Minggu” kerana tempohnya yang jauh lebih singkat itu.
Perjanjian Damai Prague memuktamadkan pembubaran Konfederasi Jerman, gabungan longgar negeri-negeri Jerman yang ditubuhkan sejak Kongres Vienna pada tahun 1815. Austria bersetuju untuk dikecualikan daripada memainkan apa-apa peranan dalam penyatuan Jerman. Sementara itu, negeri-negeri Jerman yang lebih kecil dalam Konfederasi Jerman bergabung dengan Prusia dalam “Konfederasi Jerman Utara” (1866-1871). Bismarck dan sekutunya cuba menampilkan Konfederasi Jerman Utara sebagai sebuah gabungan negeri-negeri yang berautonomi, tetapi hakikatnya ia didominasi sepenuhnya oleh kerajaan pusat Prusia.

Akibat daripada kekalahan dalam Perang Austria-Prusia, Empayar Austria terpaksa melepaskan wilayah Veneto kepada Kerajaan Itali yang menyokong Prusia semasa perang. Penyertaan Kerajaan Itali dalam Perang Austria-Prusia pada tahun 1866 itu juga dikenali sebagai “Perang Kemerdekaan Itali Ketiga”. Sementara itu, golongan nasionalis Magyar di Hungary juga menggunakan kesempatan kekalahan Austria dalam peperangannya dengan Prusia untuk memberi tekanan kepada golongan pemerintah di Vienna supaya bersetuju dengan tuntutan politik mereka demi mengelakkan pembubaran Empayar Habsburg sepenuhnya. Kompromi Austria-Hungary yang dicapai pada tahun 1867 membolehkan Kerajaan Hungary berpisah daripada pemerintahan Empayar Austria dan membentuk pemerintahan dwi-monarki yang dikenali sebagai “Empayar Austria-Hungary” (1867-1918).
Perang Perancis-Prusia
Pembentukan Konfederasi Jerman Utara, yang bertujuan untuk menjadikannya sebuah negara Jerman yang bersatu, tidak disenangi oleh Empayar Perancis Kedua kerana ia mengancam dominasi Perancis di tanah besar Eropah. Maharaja Napoleon III hendak mewujudkan jaminan keselamatan bagi Perancis dengan menuntut pengilhakan wilayah-wilayah seperti Luxembourg ke dalam Perancis. Dengan itu, hubungan antara Perancis dan Prusia semakin tegang menjelang penghujung tahun 1860-an.
Namun, Empayar Perancis Kedua menghadapi masalah dalamannya sendiri, terutamanya krisis kewangan pada tahun 1860-an. Maharaja Napoleon III yang mengamalkan pemerintahan kediktatoran autokratik sepanjang tahun 1850-an terpaksa membuka ruang kepada badan perundangan untuk menyemak dan membahaskan belanjawan kerajaan, di samping melonggarkan undang-undang akhbar untuk membenarkan golongan pembangkang bersuara secara terbuka. Menjelang penghujung tahun 1860-an, pemerintahan Maharaja Napoleon III semakin tidak popular dan kedudukannya semakin goyah.

Pada tahun 1869, Napoleon III membuka lebih ruang kepada demokrasi berparlimen dengan menteri-menteri perlu menjawab kepada badan perundangan, dengan harapan menjadikan sebahagian golongan pembangkang sebagai orang yang mempertahankan kekuasaan Empayar Perancis Kedua.
Pada 11 Januari 1870, Victor Noir (1848-1870), seorang wartawan muda yang mendukung fahaman republikan, ditembak mati oleh Pierre Bonaparte, adik sepupu Napoleon III. Sehari selepas itu, pada 12 Januari 1870, kira-kira 100,000 orang berdemonstrasi di Paris semasa upacara pengebumian Victor Noir, untuk menyatakan tentangan mereka terhadap pemerintahan Empayar Perancis Kedua.
Satu referendum perlembagaan diadakan di Perancis pada 8 Mei 1870, dengan pengundi-pengundi ditanya soalan sama ada mereka menyokong pembaharuan liberal terhadap perlembagaan, sebagai tanda sokongan kepada Empayar itu sendiri. Pihak berkuasa Perancis telah menangkap golongan sosialis yang menganggotai Internasional Pertama di beberapa buah bandar dengan tuduhan bahawa mereka berkonspirasi untuk membunuh Napoleon III. Anggota-anggota Internasional Pertama mengkritik referendum itu sebagai cara untuk menghalalkan pemerintahan autoritarian Napoleon III dan penglibatan Perancis dalam perang imperialis.

Daripada lebih 9 juta orang pengundi yang membuang undi dalam referendum pada 8 Mei 1870, lebih 82% mengundi untuk menyokong pembaharuan itu, maka ia dianggap sebagai kemenangan politik bagi Maharaja Napoleon III buat sementara waktu. Referendum itu juga mengesahkan perpecahan politik antara penduduk di kawasan bandar dan penduduk di kawasan desa. Kebanyakan penduduk desa yang lebih konservatif mengundi untuk menyokong kerajaan Napoleon III; sementara kebanyakan penduduk di bandar besar, tetapi merupakan minoriti dari segi keseluruhan penduduk Perancis, menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan. Kekuasaan pemerintahan Napoleon III masih dicabar oleh golongan pembangkang republikan dan warga Paris yang mempunyai tradisi revolusioner yang sudah berdekad-dekad lama sejarahnya.
Dengan kekuasaannya menghadapi cabaran dalaman dan hubungan semakin tegang dengan Prusia, Maharaja Napoleon III menganggap peperangan dengan Prusia boleh mengatasi segala masalah yang dihadapinya. Napoleon III berpandangan bahawa jika Perancis menewaskan Prusia di medan perang dan memperluaskan wilayah yang dikuasai oleh Perancis, maka reputasi antarabangsa Perancis dapat dipulihkan sementara masalah politik dalaman negara boleh dialihkan dengan keghairahan kebanggaan nasionalis. Napoleon III juga beranggapan bahawa semua negara lain di Eropah akan menyertai Perancis dalam sebuah gabungan anti-Prusia sekiranya peperangan dengan Prusia tercetus, kerana kuasa-kuasa besar lain di Eropah akan melayan negara Jerman yang bersatu dan agresif itu seperti mereka melayan Perancis yang revolusioner pada satu ketika dahulu.

Namun, Napoleon III bakal mendapati bahawa semua anggapannya tentang Perancis boleh menewaskan Prusia itu adalah salah tidak lama kemudian. Sementara itu di Prusia, Otto von Bismarck pula menganggap peperangan dengan Perancis itu sebagai satu keperluan untuk menyempurnakan penyatuan Jerman. Bismarck berpandangan bahawa hanya dengan perang patriotik yang menentang Perancis dapat menyatukan semua negeri-negeri Jerman di selatan dan barat ke dalam sebuah negara bangsa Jerman yang tunggal, dengan semuanya berkongsi ancaman yang sama, mobilisasi ketenteraan yang sama, semangat patriotik yang sama dan pengorbanan yang sama.
Oleh itu, kedua-dua buah kuasa besar, Perancis dan Prusia, cuba mencari alasan untuk berperang. Alasan yang mencetuskan perang dijumpai dalam isu pewarisan takhta raja Sepanyol. Ratu Isabel II dari Sepanyol telah melarikan diri ke Perancis selepas tercetusnya “Revolusi Gemilang” (la Gloriosa) pada bulan September 1868 yang membawa kepada zaman pemerintahan di Sepanyol yang dikenali sebagai “Enam Tahun yang Demokratik” (Sexenio Democrático) bagi tempoh tahun 1868-1874. Ratu Isabel II mengosongkan takhta diraja secara rasminya pada bulan Jun 1870, dan mencetuskan perbalahan tentang siapa penggantinya. Kerajaan Prusia menyokong salah seorang anggota kerabat dirajanya sendiri, Putera Leopold dari Hohenzollern, untuk menerima tawaran takhta raja Sepanyol daripada kerajaan sementara di situ. Kerajaan Perancis yang tidak mahu dikepit oleh pemerintahan kerabat diraja Prusia di kedua-dua belah barat dan timur sempadan negara itu membantah sekeras-kerasnya pertabalan Leopold sebagai raja Sepanyol yang baharu. Walaupun Putera Leopold akhirnya menarik balik penerimaan takhta raja Sepanyol, pihak Perancis masih terus memberi tekanan kepada Prusia supaya tidak mencampur tangan dalam urusan politik di Sepanyol. Pada 13 Julai 1870, Bismarck mendedahkan mesej telegram yang dihantar kepadanya sehari tetapi disunting mengenai insiden duta Perancis mengemukakan tuntutan kepada Raja Wilhelm I dari Prusia, sehingga memprovokasi reaksi hebat daripada pihak Perancis. Pertelingkahan itu meningkatkan lagi ketegangan antara Perancis dan Prusia sehingga mencetuskan peperangan.

Pada 19 Julai 1870, Perancis mengisytihar perang terhadap Prusia. Apabila Napoleon III mengerahkan tenteranya ke medan perang, dia mendapati bahawa Perancis terpaksa berperang secara sendiri tanpa sokongan daripada negara-negara lain di Eropah. Austria yang sudah ditewaskan oleh Prusia empat tahun dahulu enggan melibatkan diri dalam satu lagi peperangan sebelum Perancis berjaya menawan negeri-negeri Jerman Selatan, sementara Hungary yang membentuk sebahagian Empayar Austria-Hungary langsung tidak mahu terlibat dalam peperangan dengan Prusia. Negeri-negeri Jerman Selatan yang belum lagi bergabung dalam Konfederasi Jerman Utara pula sudah mencapai perjanjian rahsia dengan Prusia untuk menyokong Prusia sekiranya tentera Perancis menceroboh. Britain dan Rusia juga tidak menyokong Perancis dalam peperangannya terhadap Prusia atas pertimbangan kepentingan geopolitik masing-masing.
Kerajaan Itali pula tidak berpuas hati dengan penempatan tentera Perancis di Rom yang menghalang bandar itu daripada menjadi ibu negaranya, maka memutuskan untuk tidak menyokong Perancis dalam peperangannya dengan Prusia. Malah, Kerajaan Itali menggunakan kesempatan pengunduran tentera Perancis dari Rom berikutan tercetusnya Perang Perancis-Prusia untuk menawan bandar Rom dan wilayah Lazio daripada Negeri-negeri Paus pada 20 September 1870, maka menyempurnakan usaha penyatuan Itali yang dikenali sebagai Risorgimento.

Selain diasingkan secara diplomatik, Perancis juga gagal menandingi Prusia dari segi ketenteraan. Tentera Perancis tidak mempunyai rancangan yang tersusun untuk melancarkan serangan ke atas Prusia; sebaliknya tentera Prusia jauh lebih bersedia dengan infrastruktur perindustrian yang dibina untuk memastikan keunggulan ketenteraannya di rantau Eropah Tengah. Perancis hanya mempunyai satu landasan kereta api tunggal untuk mengangkut tenteranya; sebaliknya, Prusia telah membina dua landasan kereta api yang selari ke sempadannya, maka membolehkan pergerakan dua hala secara berterusan dan mengangkut tentera dengan kadar yang lebih cepat berbanding Perancis. Maharaja Napoleon III cuba menggunakan Perang Perancis-Prusia untuk menyelamatkan empayarnya, tetapi dia tidak menjangkakan peperangan itu terus membawa kepada kejatuhan empayarnya.
Golongan sosialis yang menganggotai Internasional Pertama mengecam Perang Perancis-Prusia sebagai “perang dinasti”, dan membantah perang itu atas dasar kemanusiaan serta demokrasi. “Walau apa pun hasil perang Louis Bonaparte dengan Prusia, isyarat kemusnahan Empayar Kedua telah dibunyikan di Paris. Ia akan berakhir dengan sebuah parodi, seperti bagaimana ia bermula. Namun, jangan kita lupa bahawa kerajaan dan kelas pemerintah Eropah yang membolehkan Louis Bonaparte melakonkan lawak ngeri Empayar yang Dipulihkan selama 18 tahun,” begitu katanya kenyataan yang ditulis oleh Karl Marx pada 23 Julai 1870 dan diluluskan oleh Majlis Umum Internasional Pertama.

Maharaja Napoleon III sendiri mengetuai tentera Perancis yang menceroboh ke dalam wilayah yang dikuasai oleh Prusia dengan harapan menyeberangi Sungai Rhein untuk menawan wilayah-wilayah Jerman. Pada awal bulan Ogos 1870, tentera Prusia mula melancarkan serangan dan menewaskan tentera Perancis secara berterusan dalam beberapa pertempuran di wilayah Alsace.
Pasukan tentera Perancis yang dipimpin oleh François Achille Bazaine (1811-1888) ditewaskan dalam Pertempuran Gravelotte pada 18 Ogos 1870 dan berundur ke Metz, sebuah bandar kubu penting yang terletak di bahagian timur laut Perancis. Namun, Metz terus dikepung oleh tentera Prusia mulai 19 Ogos 1870 dengan hampir 200,000 orang askar Perancis terperangkap di situ.
Napoleon III cuba menyusun semula tenteranya dengan 130,000 orang untuk membebaskan Metz daripada pengepungan tentera Prusia. Namun, dalam perjalanannya ke Metz, tentera yang dipimpin oleh Napoleon III dihalang oleh tentera Prusia yang berjumlah 200,000 orang di Sedan, sebuah kampung yang terletak kira-kira 120 km di utara Metz, pada 1 September 1870. Dalam Pertempuran Sedan, tentera Perancis dikepung oleh tentera Prusia yang lebih besar jumlahnya. Tentera Perancis yang dikepung itu akhirnya terpaksa menyerah kalah pada 2 September 1870, dan Maharaja Napoleon III sendiri menjadi tahanan perang.

Kekalahan tentera Perancis dan penawanan Maharaja Napoleon III menandakan tamatnya riwayat Empayar Perancis Kedua, tetapi masih belum tamatnya Perang Perancis-Prusia, kerana tentera Prusia masih terus mara menuju Paris, ibu negara Perancis. Walaupun Maharaja Napoleon III ditewaskan di medan perang, ia tidak bermakna Perancis sudah ditewaskan. Dengan itu, Perang Perancis-Prusia memasuki fasa baharu.
Kejatuhan Empayar Perancis Kedua dan penubuhan Kerajaan Pertahanan Negara
Apabila berita tentang penyerahan kalah tentera Perancis di Sedan dan penahanan Napoleon III oleh tentera Prusia sampai di Paris, badan perundangan mengadakan sesi persidangan tergempar pada 3 September 1870. Jules Favre, salah seorang pemimpin pembangkang republikan moderat pada masa itu, menggunakan kesempatan untuk mengemukakan usul yang mencadangkan pembubaran Empayar Perancis Kedua. Namun, golongan Bonapartiste yang menyokong pemerintahan empayar itu masih menguasai kerusi majoriti dalam badan perundangan, maka usul itu ditolak.
Pada hari keesokannya, iaitu 4 September 1870, kira-kira 20,000 orang demonstran, dengan kebanyakannya golongan kelas bawahan yang datang dari kawasan Montmartre dan Belleville, membanjiri jalanan bandar Paris. Dengan bantuan daripada anggota-anggota Pengawal Kebangsaan yang bersimpati dengan kelas bawahan, golongan demonstran menyerbu dan memasuki bangunan Palais Bourbon, iaitu tempat di mana badan perundangan itu bersidang. Ahli-ahli perwakilan yang setia kepada maharaja diusir keluar, sementara ahli-ahli perwakilan pembangkang republikan disambut meriah oleh golongan demonstran yang memenuhi dewan persidangan badan perundangan.
Ahli-ahli perwakilan pembangkang republikan yang menguasai badan perundangan selepas serbuan massa ke dalam dewan persidangan itu tidak terus mengisytihar pembentukan republik di Palais Bourbon, kerana mereka teringat bahawa tindakan itu biasanya dilakukan di Hôtel de Ville, tempat di mana hampir semua perubahan politik radikal sebelum itu berlaku. Oleh itu, golongan republikan berarak beramai-ramai ke Hôtel de Ville. Lebih ramai lagi orang berhimpun di Hôtel de Ville, termasuk golongan republikan radikal yang lain.
Dalam keadaan riuh-rendah, Léon Gambetta, seorang peguam dan ahli politik republikan muda yang berkarisma, berdiri di atas tingkap bangunan Hôtel de Ville dan mengisytiharkan bahawa maharaja telah disingkirkan, empayar sudah dijatuhkan dan republik ditubuhkan. Dengan itu, lahirnya Republik Perancis Ketiga (1870-1940).

Seperti Revolusi Februari 1848, ahli-ahli perwakilan republikan moderat yang berjaya mengambil alih kuasa di Paris itu terus menubuhkan kerajaan sementara yang dikenali sebagai “Kerajaan Pertahanan Negara” (Gouvernement de la Défense nationale). Kerajaan Pertahanan Negara memikul tugasan untuk menghadapi situasi kecemasan negara dan mempertahankan Republik Perancis daripada pencerobohan tentera Prusia. Louis-Jules Trochu (1815-1896), seorang jeneral yang pernah terlibat dalam Perang Krimea dan memegang jawatan gabenor tentera Paris pada masa itu, dilantik sebagai Presiden Kerajaan Pertahanan Negara. Trochu ialah seorang Orléaniste yang konservatif dan bukannya seorang liberal atau republikan, tetapi dia sudi menerima pelantikan itu atas semangat mempertahankan negara Perancis daripada pencerobohan kuasa asing.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Pertahanan Negara dikuasai oleh golongan republikan moderat. Jules Favre, salah seorang pemimpin pembangkang republikan moderat yang utama, dilantik sebagai Naib Presiden dan Menteri Luar Negeri; Léon Gambetta memegang jawatan Menteri Dalam Negeri; Adolphe Le Flô (1804-1887), seorang jeneral berfahaman republikan yang menentang Louis Bonaparte, dilantik sebagai Menteri Perang; Ernest Picard (1821-1877), seorang ahli perwakilan liberal moderat yang mewakili wilayah Hérault, dilantik sebagai Menteri Kewangan; Jules Simon dilantik sebagai Menteri Pendidikan, Agama dan Kesenian; Adolphe Crémieux dilantik sebagai Menteri Kehakiman; dan Jules Ferry dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan.

Matlamat utama Kerajaan Pertahanan Negara pada masa itu ialah mempertahankan negara Perancis daripada kemaraan tentera Prusia. Ahli-ahli perwakilan konservatif yang disingkirkan semasa kebangkitan warga Paris pada 4 September 1870 melarikan diri ke bandar Bordeaux yang terletak di bahagian barat daya Perancis, dan mereka tidak memainkan apa-apa peranan dalam mempertahankan Perancis daripada pencerobohan tentera Prusia.
Sehari selepas penubuhan Kerajaan Pertahanan Negara di Perancis, mula tercetusnya gerakan menuntut pengiktirafan segera Republik Perancis Ketiga di negara jirannya di seberang Selat Inggeris, Britain. Perhimpunan dan demonstrasi diadakan di London dan bandar-bandar utama di Britain, dengan peserta-peserta aksi meluluskan resolusi dan mengemukakan petisyen kepada kerajaan British untuk mengiktiraf Republik Perancis Ketiga. Golongan sosialis yang menganggotai Internasional Pertama telah memainkan peranan penting dalam mengorganisasi gerakan itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 6 September 1870, Kerajaan Pertahanan Negara di Perancis menyalahkan kerajaan imperial Napoleon III kerana mencetuskan Perang Perancis-Prusia. Kerajaan Pertahanan Negara menyatakan bahawa ia menginginkan keamanan, tetapi tidak akan melepaskan tanah seinci pun. Dengan tentera Prusia masih menduduki wilayah Alsace-Lorraine, peperangan terpaksa diteruskan oleh Kerajaan Pertahanan Negara.

Kerajaan Pertahanan Negara bergegas untuk membuat persiapan mempertahankan bandar Paris. Oleh sebab kira-kira 200,000 orang askar Perancis masih terperangkap di Metz, sementara Jeneral Louis-Jules Trochu hanya memerintah kira-kira 60,000 orang askar tetap dan kira-kira 90,000 orang tentera rizab yang dikenali sebagai “Pengawal Mudah Alih”, kebanyakan tugasan mempertahankan bandar Paris terpaksa bergantung pada Pengawal Kebangsaan (Garde Nationale).
Napoleon III telah menyusun semula dan “membekukan” pengerahan Pengawal Kebangsaan sepanjang tempoh dua dekad pemerintahannya, kerana takut pada potensi Pengawal Kebangsaan itu untuk memberontak terhadap kekuasaannya. Namun, dengan tercetusnya Perang Perancis-Prusia pada bulan Julai 1870 dan tentera tetap diperlukan di barisan hadapan, golongan pemerintah di Empayar Perancis tidak mempunyai pilihan lain selain mengerahkan semula Pengawal Kebangsaan sebagai barisan pertahan terakhir. Semua warganegara lelaki yang berumur 25 hingga 35 tahun telah dijemput untuk menyertai Pengawal Kebangsaan, dan dibayar upah dalam jumlah yang sedikit untuk perkhidmatan mereka, maka menarik minat golongan kelas pekerja miskin yang hendak mencari nafkah. Keanggotaan Pengawal Kebangsaan meningkat kepada 350,000 orang, dengan hampir 75% warga Paris yang layak telah menyertainya, terutamanya golongan kelas pekerja. Di kawasan kejiranan kelas pekerja yang terletak di bahagian utara dan timur bandar Paris, keanggotaan sebuah kompeni Pengawal Kebangsaan boleh mencecah 2,000 orang; sementara di kawasan kejiranan kelas atasan yang lebih kaya di pusat bandar Paris, pengambilan anggota Pengawal Kebangsaan adalah lebih sukar dan keanggotaannya jauh kurang berbanding kawasan kejiranan kelas pekerja.
Sebagai kompromi dalam perang untuk menghadapi ancaman luar, kerajaan membenarkan kompeni-kompeni Pengawal Kebangsaan untuk memilih pegawai mereka sendiri, maka kompeni-kompeni Pengawal Kebangsaan di kawasan kejiranan kelas pekerja memilih orang yang radikal sebagai pegawai mereka. Jawatankuasa kompeni Pengawal Kebangsaan yang bersidang untuk memilih pegawai itu dikekalkan, maka mewujudkan kerangka untuk organisasi pentadbiran Pengawal Kebangsaan yang semakin dipolitikkan. Dengan itu, Pengawal Kebangsaan dijadikan semula organisasi tetap untuk rakyat yang mengangkat senjata.

Kerajaan Pertahanan Negara cuba merundingkan perjanjian damai sebelum tentera Prusia tiba di Paris. Jules Favre, selaku Menteri Luar Negeri Kerajaan Pertahanan Negara, dihantar untuk bertemu dengan Otto von Bismarck. Favre bersedia untuk menawarkan pampasan kewangan dan malah melepaskan sebahagian wilayah jajahan seberang laut kepada Prusia, tetapi Bismarck mahukan lebih banyak daripada itu. Bismarck, yang hendak menjamin daya pertahanan negara Jerman bersatu yang bakal ditubuhkannya itu, menuntut kepada Perancis untuk melepaskan seluruh wilayah Alsace dan sebahagian besar wilayah Lorraine. Favre terasa dirinya dan negara Perancis dihina kerana tuntutan Bismarck itu, maka tiadanya perjanjian damai. Apabila tuntutan Bismarck itu diketahui oleh rakyat Paris, Perang Perancis-Prusia berubah daripada perang dinasti untuk kepentingan peribadi Maharaja Napoleon III kepada perang pertahanan bangsa Perancis terhadap penceroboh asing yang hendak menakluki negara itu.
Pengepungan Paris
Pada 7 September 1870, Gustave Courbet (1819-1877), seorang pelukis terkenal dan peneraju gerakan seni Realisme, memanggil satu mesyuarat di Istana Louvre yang disertai oleh artis-artis untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya yang berfungsi untuk melindungi muzium-muzium di Paris daripada ancaman tentera Prusia yang mungkin menduduki bandar itu.

Pada 8 September 1870, sebuah aksi demonstrasi, yang dipimpin oleh tokoh revolusioner wanita seperti André Léo dan Louise Michel, diadakan di hadapan Hôtel de Ville Paris dengan tuntutan supaya rakyat biasa termasuk wanita diberikan senjata untuk mereka dapat mempertahankan diri mereka daripada tentera Prusia.
Pada 15 September 1870, tentera Prusia sampai di pinggiran bandar Paris. Jeneral Louis-Jules Trochu yang mengetuai pertahanan bandar Paris tidak mencuba untuk menghalang pengepungan oleh tentera Prusia, kerana Trochu lebih bimbang tentang tercetusnya revolusi di Paris berbanding serangan tentera Prusia. Trochu tidak mempunyai keyakinan terhadap Pengawal Kebangsaan yang membentuk separuh daripada pasukan pejuang yang mempertahankan bandar Paris. Thiers mengharapkan bandar Paris boleh dipertahankan dengan “Tembok Thiers” (tembok mengelilingi bandar Paris yang dicadangkan oleh Adolphe Thiers semasa dia menjadi Perdana Menteri dan dibina oleh penggantinya pada tahun 1840-an) sepanjang 33 km dan lingkaran 16 buah kubu terasing.

Pada 18 September 1870, tentera Prusia menawan Versailles yang terletak kira-kira 17 km dari pusat bandar Paris. Pada 20 September 1870, tentera Prusia memulakan pengepungan sepenuhnya ke atas bandar Paris. Kedudukan penempatan tentera Prusia terletak hanya kira-kira 2,000 meter dari barisan hadapan angkatan tentera Perancis yang mempertahankan bandar Paris. Otto von Bismarck beranggapan bahawa warga Paris yang “lembut dan rosak akhlak” itu akan menyerah kalah dalam tempoh masa beberapa minggu sahaja. Namun, jangkaan Bismarck itu terbukti salah.
Kerajaan Pertahanan Negara yang didominasi oleh golongan republikan moderat pula tidak berkeyakinan bahawa warga Paris mampu mempertahankan bandar itu. Oleh itu, sebelum bandar Paris dikepung sepenuhnya, Kerajaan Pertahanan Negara menghantar mesej yang menyeru semua warga Perancis yang patriotik untuk menyertai tentera atau kumpulan gerila demi menentang tentera Prusia yang menceroboh ke dalam wilayah Perancis. Pada 19 September 1870, unit-unit Pengawal Kebangsaan dari kawasan kejiranan kelas pekerja berarak di pusat bandar Paris untuk menuntut pembentukan sebuah kerajaan baharu, namun demonstrasi itu bersurai secara aman.

Pada hari yang sama dengan permulaan pengepungan sepenuh bandar Paris oleh tentera Prusia, iaitu 20 September 1870, tentera Kerajaan Itali menawan bandar Rom daripada kerajaan Negeri-negeri Paus. Salah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaan penawanan Rom untuk menyempurnakan usaha Risorgimento itu ialah tentera Perancis yang ditempatkan di Rom untuk melindungi pemerintahan Paus Pius IX sejak penumpasan Republik Rom pada tahun 1849 telah diarahkan untuk berundur keluar kerana pencetusan Perang Perancis-Prusia. Selepas penawanan Rom, Giuseppe Garibaldi (1807-1882), tokoh revolusioner nasionalis Itali yang tidak pernah mengerti kepenatan dalam memperjuangkan Risorgimento, terus menawarkan dirinya untuk berjuang bagi pihak Perancis dalam usaha menentang pencerobohan tentera Prusia. Garibaldi merupakan salah seorang yang kuat menentang pemerintahan Napoleon III di Perancis, tetapi dengan Empayar Perancis Kedua digantikan oleh Republik Perancis yang baharu, Garibaldi menyeru semua pejuang republikan untuk berjuang bersama sahabat-sahabat mereka di Perancis. Garibaldi sendiri memimpin sepasukan tentera sukarelawan dengan kira-kira 1,000 orang untuk mempertahankan Perancis.
Tentera Prusia pada awalnya tidak melancarkan serangan besar-besaran ke atas bandar Paris, dengan pertimbangan hendak mengurangkan risiko pengorbanan anggota tentera yang terlalu besar dan harapan dapat memaksa penyerahan kalah Paris selepas penduduk-penduduk Paris kehabisan bekalan makanan. Golongan pemerintahan Prusia menginginkan penyerahan kalah Paris secara rasmi, bukannya pemusnahan bandar itu, dengan tujuan menunjukkan bahawa ia merupakan sebuah kuasa besar yang berwibawa.

Pengepungan tentera Prusia terhadap Paris telah memutuskan bandar itu daripada bekalan makanan dari luar. Berita dari dunia luar juga disekat daripada disampaikan kepada penduduk-penduduk Paris. Walau bagaimanapun, warga Paris mengorganisasi diri mereka untuk mempertahankan bandar itu. Jules Ferry yang dilantik oleh Kerajaan Pertahanan Negara sebagai Préfet Seine telah mengambil alih tugasan untuk mentadbir urus bandar Paris, tetapi tidak begitu cekap dalam menjalankan tugasnya semasa bandar itu dalam pengepungan ketenteraan. Oleh itu, penduduk-penduduk Paris, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan kejiranan kelas bawahan, mula mewujudkan pentadbiran kendiri.
Usaha pentadbiran kendiri itu kebanyakannya diterajui oleh golongan Proudhoniste yang bercita-cita merealisasikan impian mereka dalam mengorganisasi komuniti secara sukarela. Jawatankuasa Pengawasan (Comité de Vigilance) ditubuhkan di setiap daerah di dalam Paris untuk menguruskan keperluan kawasan kejiranan masing-masing, menyediakan bekalan kepada kompeni Pengawal Kebangsaan, mencatu makanan, membuka dapur sup percuma dan mengagihkan bekalan yang diperlukan. Perhimpunan kawasan kejiranan yang terbuka memilih 25-30 orang untuk mengambil bahagian dalam jawatankuasa pengawasan itu. Jawatankuasa pengawasan di peringkat kawasan kejiranan itu pula memilih 4-5 orang untuk mewakili mereka dalam “Jawatankuasa Pusat”. Jawatankuasa Pusat bermesyuarat di bangunan yang beralamat 14 Rue de la Corderie di Daerah 3 Paris, yang bakal menjadi tempat kelahiran Komun Paris 1871.

Jawatankuasa Pusat mengadakan mesyuarat pertamanya pada 11 September 1870 dan mula menerbitkan pengumumannya yang dikenali sebagai “Poster Merah” beberapa hari kemudian. Pengumuman Jawatankuasa Pusat dipanggil “Poster Merah” kerana dakwat merah yang digunakan untuk mencetaknya dan isi kandungannya yang bersifat demokratik sosialis (yang dilambangkan dengan warna merah). Poster Merah yang diterbitkan pada 15 September 1870 menyeru untuk menubuhkan semula Komun Paris – membolehkan warga Paris mewujudkan pemerintahan sendiri, mempersenjatakan rakyat, dan memastikan makanan serta bekalan harian diagihkan secara saksama. Namun, Kerajaan Pertahanan Negara langsung tidak mahu mengembalikan Komun Paris. Walau bagaimanapun, jawatankuasa pengawasan di seluruh Paris telah semakin hari semakin memainkan peranan sebagai kerajaan bayangan bandar Paris.
Dengan teater-teater di Paris terpaksa ditutup dan keadaan diputuskan hubungan dengan dunia luar semasa pengepungan, pelbagai kelab politik bertumbuh bagaikan cendawan selepas hujan untuk berfungsi kepada ruangan bagi warga Paris berkongsi pandangan dan menyuarakan keluhan mereka. Pada peringkat awal pengepungan Paris, kelab-kelab politik di situ biasanya hanya tempat untuk orang ramai menyatakan solidariti patriotik mereka dalam menghadapi ancaman serangan ketenteraan Prusia. Namun, apabila pengepungan berlarutan dan keadaan di dalam bandar itu semakin sukar, kelab-kelab politik yang tertumpu di kawasan kejiranan kelas pekerja menjadi semakin radikal, dengan golongan Neo-Jacobin dan Blanquiste menggunakan ruang itu untuk membangunkan gerakan revolusioner yang mencabar kekuasaan golongan pemerintah sedia ada. Louis Auguste Blanqui sendiri menjadi pemimpin kepada kelab politik radikal yang berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan.

Dengan pengepungan terhadap Paris berterusan, bekalan makanan semakin berkurangan, dan harga makanan semakin melambung tinggi. Pihak berkuasa Paris memperkenalkan kawalan harga terhadap makanan ruji tertentu sejak awal pengepungan, tetapi langkah itu tidak berkesan kerana kelemahan penguatkuasaan dan pasaran gelap yang berleluasa. Pencatuan makanan diperkenalkan agak lambat oleh kerajaan. Kerajaan juga gagal dalam mengawal aktiviti penyorokan dan spekulasi makanan. Banyak penduduk daripada kelas atasan yang kaya mampu mengharungi kesusahan semasa pengepungan Paris kerana mereka mempunyai simpanan bekalan yang mencukupi dan wang untuk membeli barangan keperluan dengan harga tinggi. Golongan kelas bawahan yang miskin paling terkesan kerana pengepungan Paris. Jurang antara golongan yang kaya dan golongan yang miskin adalah begitu ketara.
Untuk mengatasi sekatan sepenuh yang dikenakan kerana pengepungan ketenteraan, atas cadangan Félix Nadar (1820-1910), seorang jurugambar dan penggemar belon, Kerajaan Pertahanan Negara di dalam bandar Paris mula melancarkan belon yang mengangkut surat untuk melepasi barisan pengepungan tentera Prusia pada 23 September 1870. Sejak itu, dalam tempoh 4 bulan selepas itu, sebanyak 66 buah belon pengangkut surat dilancarkan dari bandar Paris.
Pada 7 Oktober 1870, Léon Gambetta, Menteri Dalam Negeri untuk Kerajaan Pertahanan Negara, menaiki sebuah belon udara panas yang terbang keluar dari bandar Paris dengan misi cuba mengumpulkan tentera bantuan dari tempat lain untuk menyelamatkan Paris daripada pengepungan musuh. Selepas berjaya melepasi barisan tentera Prusia yang mengepung Paris dan mendarat di Tours yang terletak kira-kira 200 km ke barat daya Paris, Gambetta mengambil masa beberapa minggu untuk mengumpul tentera sukarelawan yang mencecah kira-kira 500,000 orang. Namun, tentera bantuan yang sepatutnya membebaskan Paris tidak kesampaian, dengan salah satu faktornya ialah penyerahan kalah tentera Perancis di Metz.

Pada hari yang sama dengan Léon Gambetta “terbang” keluar dari Paris, kira-kira 150 orang wanita berprotes dengan mengemukakan tuntutan hak untuk menjaga orang yang cedera di barisan hadapan peperangan dan hak untuk menggantikan lelaki dalam pasukan bantuan perubatan kecemasan.
Tentera Perancis pimpinan François Achille Bazaine, yang terperangkap di Metz sejak 19 Ogos 1870, menyerah kalah kepada tentera Konfederasi Jerman Utara pada 27 Oktober 1870. Sementara itu, Carey de Bellemare (1824-1905), seorang pegawai tentera yang menjaga pertahanan di bahagian utara Paris, telah mengambil inisiatifnya sendiri untuk melancarkan serangan ke atas Le Bourget, sebuah kampung berdekatan bandar Paris yang diduduki tentera Prusia, pada 27 Oktober 1870. Walaupun serangan ke atas Le Bourget mendapat kemenangan awal, Jeneral Louis-Jules Trochu enggan memberikan bantuan kepada Bellemare, dan tentera Prusia berjaya menguasai semula kedudukan mereka di Le Bourget. Berita yang mengecewakan tentang kegagalan tentera Perancis di Metz dan Le Bourget itu menandakan bahawa pengepungan Paris memasuki fasa baharu di mana warga Paris terpaksa mengharungi cabaran hebat yang menguji daya tahan mereka.

Pada penghujung bulan September 1870, di Brest, sebuah bandar pelabuhan di bahagian barat laut Perancis, Constant Le Doré (1840-1881), seorang pekerja yang mengasaskan organisasi cabang Internasional Pertama di situ, merancang untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pertahanan dan Pengawasan Negara yang terdiri daripada 20 orang ahli, dengan hasrat menggantikan kerajaan perbandaran di bandar itu. Jawatankuasa itu ditubuhkan pada 1 Oktober 1870 dalam satu perhimpunan awam. Namun, pihak berkuasa menahan semua ahli jawatankuasa itu beberapa hari kemudian. Pada 27 Oktober 1870, ahli-ahli jawatankuasa yang ditahan itu dibicarakan oleh mahkamah tentera. Constant Le Doré yang dikenal pasti sebagai salah seorang pemimpin pemberontak telah dijatuhkan hukuman penjara selama 2 tahun.
Golongan revolusioner di Lyon dan Marseille juga cuba menubuhkan komun di bandar masing-masing tidak lama selepas kejatuhan Empayar Perancis Kedua, tetapi dipatahkan oleh pihak berkuasa yang menyokong Kerajaan Pertahanan Negara. Cubaan menubuhkan komun di Brest, Lyon dan Marseille yang digagalkan itu, hanya merupakan pendahulu dan pencetus ilham kepada gerakan revolusioner yang menuntut penubuhan komun revolusioner di bandar-bandar lain, khususnya Paris.

Pemberontakan Paris 31 Oktober 1870
Memandangkan Kerajaan Pertahanan Negara tidak mempunyai rancangan yang tersusun untuk mempertahankan Paris dan keadaan hidup di dalam bandar itu semakin teruk kerana pengepungan, golongan Blanquiste dan golongan Neo-Jacobin merumuskan bahawa masa sudah tiba untuk melancarkan revolusi yang diidamkan mereka, iaitu menjatuhkan Kerajaan Pertahanan Negara yang gagal mempertahankan Republik Perancis dan menubuhkan sebuah kerajaan revolusioner yang baharu untuk memenangi perang terhadap penceroboh asing.
Pada 5 Oktober 1870, kira-kira 5,000 orang demonstran berarak dari Belleville ke Hôtel de Ville, dengan tuntutan untuk mengadakan pilihan raya perbandaran dan memberikan senjata kepada warga awam. Aksi itu bersurai dengan tiada apa-apa yang menarik berlaku. Pada 8 Oktober 1870, ribuan Pengawal Kebangsaan yang dipimpin oleh Eugène Varlin (1839-1871), seorang sosialis yang merupakan anggota Internasional Pertama, berarak di pusat bandar Paris dengan melaungkan slogan “Hidup Komun!”, tetapi mereka juga bersurai tanpa apa-apa perubahan revolusioner.
Pada 31 Oktober 1870, pemimpin-pemimpin radikal seperti Louis Auguste Blanqui, Félix Pyat dan Louis Charles Delescluze menyeru untuk mengadakan demonstrasi di Hôtel de Ville. Delescluze menggesa untuk mengisytihar pembentukan Komun Paris. Golongan kelas pekerja dari kawasan Montmartre dan Belleville, bersama-sama anggota-anggota Pengawal Kebangsaan, berhimpun di hadapan Hôtel de Ville untuk menuntut peletakan jawatan Jeneral Louis-Jules Trochu dan menjerit, “Hidup Komun!”

Golongan demonstran dalam ratusan itu menyerbu masuk ke dalam bangunan Hôtel de Ville, mengunci menteri-menteri Kerajaan Pertahanan Negara di dalam sebuah bilik dan menyeru untuk mengadakan pilihan raya supaya menubuhkan sebuah kerajaan baharu. Pemimpin-pemimpin pemberontak yang terdiri daripada golongan Blanquiste dan golongan Neo-Jacobin juga membincangkan sebuah senarai nama untuk anggota kerajaan sementara yang baharu. Oleh sebab desakan daripada golongan pemberontak, Kerajaan Pertahanan Negara berjanji untuk meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya Komun Paris. Namun, pemberontakan itu tidak bertahan lama, kerana kebanyakan demonstran yang menduduki Hôtel de Ville pulang selepas beranggapan bahawa pemberontakan itu sudah berjaya. Pada awal pagi 1 November 1870, unit Pengawal Kebangsaan dan Pengawal Mudah Alih yang setia pada Jeneral Trochu menawan semula bangunan Hôtel de Ville tanpa penentangan daripada golongan pemberontak yang masih berada di situ.
Pemberontakan 31 Oktober 1870 yang gagal itu merupakan satu tamparan hebat kepada golongan kiri yang lebih radikal di Paris. Kerajaan Pertahanan Negara memungkiri janjinya untuk mengadakan pilihan raya Komun Paris. Sebaliknya, Kerajaan Pertahanan Negara menggunakan kesempatan kegagalan pemberontakan itu untuk menganjurkan plebisit pada 3 November 1870 dengan soalan kepada pengundi-pengundi Paris sama ada mereka menyokong Kerajaan Pertahanan Negara, dengan keputusannya lebih 557,000 orang mengundi “ya” sementara hanya kira-kira 65,000 orang mengundi “tidak”.
Kerajaan Pertahanan Negara juga mengeluarkan waran tangkap terhadap golongan revolusioner yang radikal kerana mereka dianggap “bahaya”. Pemimpin-pemimpin radikal seperti Blanqui terpaksa menyembunyikan diri mereka daripada ditangkap pihak berkuasa. Akhbar-akhbar yang dikuasai oleh golongan radikal ditutup, sementara kelab-kelab politik diletakkan di bawah pengawasan yang lebih ketat. Dalam erti kata lain, Pemberontakan 31 Oktober 1870 boleh dikatakan agak memudaratkan bagi golongan revolusioner.

Dalam pilihan raya datuk bandar bagi 20 buah daerah di dalam Paris pada bulan November 1870, calon-calon pembangkang yang radikal menang di 5 buah daerah, termasuk Delescluze yang dipilih sebagai datuk bandar Daerah 19. Georges Clemenceau (1841-1929), seorang doktor yang berasal dari Vendée dan pernah tinggal di Amerika Syarikat, dipilih sebagai datuk bandar bagi Daerah 18 yang termasuk kawasan Montmartre.
Pembedilan ke atas Paris
Selepas golongan revolusioner radikal dipatahkan dengan penumpasan Pemberontakan 31 Oktober 1870, warga Paris terpaksa mengharungi musim sejuk yang penuh penderitaan di bawah pengepungan ketenteraan. Kekurangan makanan menyebabkan warga Paris terpaksa makan tikus!
Walaupun terdapat cubaan untuk mencatu makanan dalam kalangan warga Paris, oleh sebab pemimpin-pemimpin dalam Kerajaan Pertahanan Negara kebanyakannya merupakan golongan liberal yang percaya pada ekonomi pasaran, mereka hanya membiarkan hukum permintaan dan penawaran berfungsi secara sendiri dalam pengagihan makanan tanpa campur tangan kerajaan. Jadi, hanya mereka yang mempunyai wang dapat memperoleh makanan. Daging tikus pun menjadi makanan mewah yang hanya dapat diperoleh orang kaya yang mampu membayar.

Sepanjang pengepungan Paris, penduduk-penduduk di kawasan orang kaya masih dapat mengisi perut mereka kerana mereka mampu membayar, sementara penduduk-penduduk di kawasan orang miskin terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan bekalan makanan yang amat tidak mencukupi. Ketidaksamarataan dalam pengagihan makanan asas yang begitu ketara itu menanam benih keradikalan dalam kalangan penduduk Paris.
Dengan penduduk-penduduk Paris semakin penat, lapar, gusar dan marah, Kerajaan Pertahanan Negara cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada permasalahan harian mereka kepada usaha perang terhadap tentera Prusia. Pada 29 November 1870, kira-kira 80,000 orang askar Perancis di bawah kepimpinan Auguste-Alexandre Ducrot cuba memecah pengepungan dengan melancarkan serangan yang terbesar dari Paris. Namun, usaha memecahkan pengepungan itu dipatahkan sepenuhnya oleh tentera Konfederasi Jerman Utara pada 3 Disember 1870, dengan tentera Perancis kehilangan lebih 5,000 orang.
Walaupun plebisit pada bulan November 1870 memberi “pengesahan” kepada kekuasaan Kerajaan Pertahanan Negara, dengan kegagalan tentera Perancis dalam memecahkan pengepungan dan Kerajaan Pertahanan Negara nampaknya tidak serius dalam mempertahankan Paris, penduduk-penduduk Paris semakin tidak berpuas hati terhadap Kerajaan Pertahanan Negara menjelang bulan Januari 1871.
Tentera sukarelawan yang dikumpulkan oleh Léon Gambetta tidak kesampaian ke Paris kerana dihalang oleh tentera Konfederasi Jerman Utara yang lebih terlatih. Tentera yang dikumpulkan oleh Gambetta ditewaskan dalam Pertempuran Orléans pada 3-4 Disember 1870, Pertempuran Beaugency pada 8-10 Disember 1870 dan Pertempuran Le Mans pada 10-12 Januari 1871. Tentera lain di Perancis juga mengalami kekalahan demi kekalahan.

Pada penghujung bulan Disember 1870 dan awal bulan Januari 1871, atas desakan Otto von Bismarck, tentera Konfederasi Jerman Utara mula membedil bandar Paris dengan tembakan meriam. Pihak Jerman berniat untuk mematahkan semangat warga Paris. Dalam tempoh tiga minggu berturut-turut, ratusan butir peluru meriam ditembak ke dalam bandar Paris setiap hari. Sejumlah kira-kira 12,000 butir peluru meriam ditembak sepanjang pembedilan itu. Walaupun pembedilan terhadap Paris itu digunakan sebagai perang psikologi untuk mematahkan semangat warga Paris, ia membawa hasil yang bertentangan kerana warga Paris yang sudah mengharungi kesusahan sejak bulan September 1870 itu mendapat semangat baharu untuk menentang tentera penceroboh Prusia. Golongan radikal juga bangkit semula selepas kegagalan Pemberontakan 31 Oktober 1870.
Pada 7 Januari 1871, Jawatankuasa Pusat mengeluarkan Poster Merah yang menyeru untuk pembentukan Komun seluruh Paris yang berasaskan hak rakyat, pengerahan massa ke dalam tentera (levée en masse) dan hukuman terhadap semua pengkhianat negara Perancis (dengan bayangan jelas bahawa pengkhianat itu termasuk anggota-anggota Kerajaan Pertahanan Negara kerana mereka tidak berniat untuk menewaskan tentera penceroboh).

Pengisytiharan Empayar Jerman
Selepas tercetusnya Perang Perancis-Prusia, Konfederasi Jerman Utara yang didominasi oleh Kerajaan Prusia mengadakan rundingan dengan 4 buah negeri Jerman berdaulat di selatan yang belum lagi bergabung dengannya, iaitu Baden, Bayern, Hessen dan Württemberg. Perjanjian November, iaitu tiga buah perjanjian yang ditandatangani pada bulan November 1870, mewujudkan asas kepada penyertaan empat buah negeri Jerman itu ke dalam negara Jerman yang bersatu di bawah sebuah perlembagaan imperial yang disemak semula.
Empat bulan selepas kejatuhan Empayar Perancis Kedua dan pengepungan Paris, projek “Penyatuan Jerman” disempurnakan di bumi Perancis. Pada 18 Januari 1871, Otto von Bismarck mengisytihar pembentukan “Empayar Jerman” (Deutsches Reich) di Istana Versailles yang terletak hanya kira-kira 17 km dari pusat bandar Paris. Raja Wilhelm I dari Prusia yang turut hadir dalam majlis pengisytiharan Empayar Jerman itu diangkat sebagai Kaiser, iaitu Maharaja Jerman. Pengisytiharan pembentukan Empayar Jerman di istana yang pernah menjadi pusat kekuasaan Perancis itu sudah pasti merupakan satu penghinaan besar kepada negara Perancis.

Sehari selepas pengisytiharan Empayar Jerman, pada 19 Januari 1871, Jeneral Louis Jules Trochu melancarkan usaha tentera Perancis yang terakhir untuk memecahkan pengepungan Paris. Walaupun tentera Perancis dapat menawan Istana Saint-Cloud yang terletak kira-kira 5 km di barat Paris buat seketika, tentera Jerman akhirnya berjaya memaksa tentera Perancis berundur kembali ke bandar Paris pada 20 Januari 1871. Selepas kegagalan untuk memecahkan pengepungan itu, Jeneral Trochu melepaskan jawatannya kepada Jeneral Joseph Vinoy (1803-1880) yang kemudiannya merundingkan penyerahan kalah bandar Paris.
Pada 22 Januari 1871, golongan Blanquiste menganjurkan demonstrasi dengan hasrat menjatuhkan Kerajaan Pertahanan Negara dan menubuhkan Komun. Golongan demonstran membebaskan Gustave Flourens (1838-1871), seorang republikan radikal yang ditahan selepas Pemberontakan 31 Oktober 1870. Namun, bilangan demonstran yang menyertai aksi protes itu adalah kurang berbanding Pemberontakan 31 Oktober 1870, malah mereka tidak dapat memasuki Hôtel de Ville. Kerajaan Pertahanan Negara mengerahkan Pengawal Mudah Alih Breton (dengan anggotanya berasal dari wilayah Bretagne di bahagian barat laut Perancis) untuk menyuraikan golongan demonstran. Pengawal Mudah Alih Breton melepaskan tembakan sehingga membunuh 5 orang dan mencederakan ramai orang.

Walaupun Pemberontakan 22 Januari 1871 dipatahkan oleh pihak berkuasa dengan mudah, ia menjana semangat baharu kepada golongan revolusioner yang radikal. Dengan Kerajaan Pertahanan Negara bersedia untuk menyerah kalah kepada Empayar Jerman dan menunjukkan kesanggupannya untuk membunuh rakyatnya sendiri demi mengekalkan susunan masyarakat sedia ada, semakin ramai warga Paris menyedari bahawa golongan elit yang berkuasa itu menganggap rakyat Perancis lebih berbahaya berbanding tentera Jerman yang menceroboh.
Jules Favre, selaku Menteri Luar Negeri Kerajaan Pertahanan Negara, mula mengadakan rundingan damai dengan Otto von Bismarck pada 23 Januari 1871. Satu perjanjian gencatan senjata sementara dicapai dan ditandatangani di Versailles pada 28 Januari 1871. Perjanjian gencatan senjata itu mengkehendaki Perancis untuk melucutkan senjata tenteranya, menyerahkan kubu-kubu pertahanan di Paris kepada tentera Jerman, membayar ganti sebanyak 200 juta franc serta-merta kepada Empayar Jerman, dan mengadakan pilihan raya yang memilih perhimpunan kebangsaan baharu untuk mencapai perjanjian damai berkekalan sebelum tamatnya tempoh gencatan senjata sementara itu.
Perang Perancis-Prusia dan pengepungan Paris berakhir dengan penyerahan kalah bandar Paris. Walaupun penyerahan kalah itu membawa kelegaan kepada warga Paris yang hidup dalam kesusahan sepanjang pengepungan yang berlarutan selama 4 bulan, penduduk-penduduk Paris juga marah terhadap pemimpin-pemimpin politik yang mengkhianati mereka. Kira-kira 50,000 orang warga Paris mati semasa pengepungan, tetapi ia berakhir dengan penyerahan kalah yang dipersetujui oleh Kerajaan Pertahanan Negara yang gagal mempertahankan Republik Perancis yang baharu itu. Kesengsaraan yang dialami dan pengorbanan yang dilakukan oleh warga Paris untuk mempertahankan ibu negara Perancis itu seolah-olah menjadi sia-sia. Penduduk-penduduk Paris terasa seolah-olah ditikam dari belakang oleh golongan elit politik negara mereka sendiri.
Léon Gambetta yang bersusah payah untuk mengumpulkan tentera supaya membebaskan Paris, walaupun akhirnya tidak kesampaian juga, membantah gencatan senjata dan meletak jawatannya daripada Kerajaan Pertahanan Negara pada 6 Februari 1871.

Pilihan raya diadakan secara tergesa-gesa pada 8 Februari 1871, dengan kebanyakan rakyat Perancis tidak menyedari bahawa adanya pun pilihan raya. Dengan kekurangan publisiti tentang pilihan raya dan rapat umum dilarang, hanya bandar Paris yang dapat menyaksikan kempen pilihan raya. Keputusan pilihan raya itu agak mengecewakan bagi golongan republikan. Daripada 638 orang ahli perwakilan yang dipilih ke dalam Perhimpunan Kebangsaan yang baharu, lebih 65% merupakan golongan monarkis, termasuk Orléaniste (214 orang), Légitimiste (182 orang) dan Bonapartiste (20 orang). 230 orang yang dipilih datang daripada latar belakang kelas bangsawan lama, sementara 250 orang lagi merupakan pemilik tanah besar. Golongan republikan moderat hanya memenangi 112 kerusi, sementara golongan radikal hanya mendapat 38 kerusi. Keputusan pilihan raya itu jelas merupakan kemenangan politik bagi golongan konservatif tradisional yang disokong oleh pengundi-pengundi kawasan luar bandar terhadap golongan republikan radikal yang disokong oleh pengundi-pengundi kawasan bandar.
Giuseppe Garibaldi, tokoh pejuang nasionalis republikan Itali yang berjuang bersama pihak Perancis semasa Perang Perancis-Prusia, turut dipilih sebagai ahli perwakilan dalam Perhimpunan Kebangsaan. Garibaldi berasal dari bandar Nice. Nice merupakan sebahagian daripada Kerajaan Piedmont-Sardinia sebelum ia ditawan oleh Perancis pada tahun 1792, dikembalikan kepada Piedmont-Sardinia pada tahun 1814 selepas Kongres Vienna, dan diserahkan lagi kepada Perancis dalam Perjanjian Turin 1860 sebagai balasan budi kepada Perancis yang memberi bantuan kepada usaha penyatuan Itali. Garibaldi merupakan sebahagian daripada golongan republikan radikal dalam Perhimpunan Kebangsaan Perancis yang membantah perjanjian damai dengan Empayar Jerman yang menggadaikan kepentingan rakyat Perancis. Victor Hugo (1802-1885), seorang penulis yang terkenal dengan karyanya seperti Notre-Dame de Paris (1831) dan Les Misérables (1862), juga dipilih sebagai ahli perwakilan Perhimpunan Kebangsaan yang duduk bersama golongan republikan moderat.

Seperti yang pernah berlaku dengan Republik Perancis Kedua pada tahun 1848, badan perundangan pertama yang dipilih dalam Republik Perancis Ketiga itu didominasi oleh ahli-ahli perwakilan yang tidak mendukung republik! Perhimpunan Kebangsaan yang baharu itu mula bersidang di bandar Bordeaux pada 15 Februari 1871, dan Kerajaan Pertahanan Negara menyerahkan kuasanya. Kerajaan baharu ditubuhkan dengan Adolphe Thiers, seorang pemimpin Orléaniste yang konservatif, sebagai Ketua Eksekutif, dengan tugasan pertamanya adalah merundingkan perjanjian damai dengan Empayar Jerman.
Mengembalikan pemerintahan monarki bukannya isu utama yang menjadi tumpuan pilihan raya pada bulan Februari 1871, kerana isu yang paling utama pada masa itu adalah meneruskan peperangan dengan Jerman atau mencapai pendamaian. Golongan konservatif yang dipilih bukan kerana mereka menjanjikan pemulihan sistem monarki, tetapi mereka menjanjikan pemulihan keamanan. Golongan berhaluan kiri dan republikan radikal berkempen atas platform menolak gencatan senjata yang dipersetujui pada penghujung bulan Januari 1871, tetapi kebanyakan rakyat di Perancis lebih menginginkan pendamaian selepas negara Perancis dimusnahkan oleh pencerobohan tentera Jerman selama empat bulan.
Untuk mengimbangi kebimbangan golongan republikan tentang pemulihan monarki, majoriti daripada 9 orang menteri dalam kerajaan baharu pimpinan Adolphe Thiers yang ditubuhkan pada 19 Februari 1871 merupakan republikan, termasuk Jules Favre dan Jules Simon.
Radikalisasi Pengawal Kebangsaan dan penduduk Paris
Kegagalan pemberontakan 31 Oktober 1870 dan Pemberontakan 22 Januari 1871 yang diterajui oleh golongan radikal yang berhaluan kiri membuktikan bahawa pendekatan golongan Blanquiste melakukan revolusi dengan kumpulan perintis revolusioner yang hanya terdiri daripada beberapa ratus atau beberapa ribu orang yang komited dalam revolusi itu adalah tidak mencukupi. Ia tidak mencukupi untuk mengekalkan, memperkukuhkan dan memajukan revolusi. Ia memerlukan organisasi massa yang jauh lebih besar, teratur dan bersenjata. Di Paris pada ketika itu, hanya Pengawal Kebangsaan mempunyai ciri-ciri organisasi sebegitu.
Walaupun dibenci oleh rakyat bawahan Paris, Jules Ferry, ketua pentadbir bandar Paris pada masa itu, berjaya mendapat kompromi daripada pihak Empayar Jerman bahawa Pengawal Kebangsaan di Paris dibenarkan untuk terus memegang senjata pada ketika tentera Perancis dilucutkan senjata, untuk menjaga ketenteraman di dalam bandar itu.
Semasa pengepungan Paris selama empat bulan sebelum itu, terdapatnya sebanyak 1,300 kompeni Pengawal Kebangsaan di Paris yang disusun dalam 260 batalion, dengan jumlah keanggotaannya hampir 400,000 orang. Oleh sebab Pengawal Kebangsaan mempunyai reputasi sebagai angkatan bersenjata kelas menengah borjuis untuk mempertahankan susunan masyarakat semasa sejak Revolusi 1789, golongan berhaluan kiri seperti Blanquiste dan Proudhoniste tidak begitu berminat untuk menyertainya pada peringkat awal Perang Perancis-Prusia. Namun, ramai golongan kelas pekerja yang berumur antara 25 dan 35 tahun menyertai Pengawal Kebangsaan di Paris, bukan sahaja untuk melaksanakan tanggungjawab patriotik mereka dalam mempertahankan ibu negara, tetapi mereka juga boleh menerima upah 1.5 franc sehari sebagai anggota Pengawal Kebangsaan. Golongan pekerja yang menyertai Pengawal Kebangsaan dapat bergantung pada bayaran upah yang tetap itu untuk menampung kehidupan semasa bandar Paris dikepung.

Terdapat perdebatan dalam kalangan golongan Blanquiste mengenai pendirian yang harus diambil terhadap Pengawal Kebangsaan, sama ada masih menganggapnya sebagai musuh atau menyertainya untuk mengambil alih organisasinya dari dalam, memandangkan wujudnya peralihan demokratik dalam keanggotaan Pengawal Kebangsaan yang semakin didominasi oleh kelas pekerja. Selepas golongan Blanquiste menemui kegagalan dalam Pemberontakan 31 Oktober 1870, menyertai Pengawal Kebangsaan menjadi pilihan yang lebih sesuai. Dengan kelab-kelab politik dan akhbar-akhbar berhaluan kiri ditutup selepas Pemberontakan 31 Oktober 1870, Pengawal Kebangsaan menjadi satu-satunya ruang yang masih tinggal untuk membahaskan isu-isu politik. Oleh itu, apabila warga Paris terpaksa mengharungi musim sejuk yang penuh kesukaran pada tahun 1870-1871, Pengawal Kebangsaan di Paris secara jelasnya menjadi semakin radikal. Walaupun Kerajaan Pertahanan Negara pernah melantik seorang komander untuk memerintah Pengawal Kebangsaan, komander itu tidak mempunyai kuasa sebenar untuk mengarahkan Pengawal Kebangsaan menjelang penghujung pengepungan Paris.
Apabila pengepungan Paris ditamatkan, anggota-anggota Pengawal Kebangsaan menjadi lebih radikal lagi, kerana terma-terma yang dirundingkan oleh kerajaan Perancis dengan Empayar Jerman bagaikan tamparan yang menyakitkan kepada mereka yang mengalami kesusahan begitu hebat untuk mempertahankan Paris daripada tentera Prusia-Jerman selama empat bulan.
Lebih-lebih lagi, sejurus selepas pengepungan Paris ditamatkan, kebanyakan golongan kelas atasan dan menengah yang lebih konservatif di Paris terus melarikan diri keluar dari bandar yang penuh kotor dan dilanda wabak selepas dikepung selama empat bulan itu. Kira-kira 100,000 orang meninggalkan bandar Paris pada minggu pertama bulan Februari 1871, termasuk golongan kelas menengah borjuis yang berkhidmat dalam Pengawal Kebangsaan, maka menjadikan organisasi Pengawal Kebangsaan lebih cenderung lagi ke arah politik kelas bawahan yang radikal.

Jawatankuasa tetap ditubuhkan dalam kompeni-kompeni Pengawal Kebangsaan semasa pengepungan Paris dan sentiasa berhubung sesama sendiri untuk bertukar pandangan politik. Apabila pemimpin-pemimpin kerajaan mula mengkhianati penduduk Paris berikutan tamatnya pengepungan Paris, jawatankuasa-jawatankuasa dalam Pengawal Kebangsaan yang tidak berpuas hati dengan jeneral-jeneral tentera dan pemimpin-pemimpin yang dianggap mengkhianati rakyat itu cuba membangunkan struktur dari bawah untuk merespon kepada keperluan anggota-anggota akar umbi Pengawal Kebangsaan dan warga Paris.
Pada hari yang sama dengan Perhimpunan Kebangsaan mula bersidang di Bordeaux, iaitu 15 Februari 1871, wakil-wakil daripada batalion-batalion Pengawal Kebangsaan di Paris mengadakan mesyuarat bersama dan memutuskan untuk bergabung di bawah pusat pemerintahan yang tunggal. Mereka mengisytiharkan diri mereka sebagai Persekutuan Pengawal Kebangsaan, dengan seruan bahawa mereka mendukung republik, kebebasan individu dan kesamarataan masyarakat. Mereka juga menolak rancangan kerajaan Perancis untuk menyerah kalah.
Pada 22 Februari 1871, Jules Vallès (1832-1885), seorang wartawan yang berhaluan kiri, melancarkan akhbar harian yang bertajuk “Le Cri du Peuple” (Laungan Rakyat), sebagai lidah golongan sosialis. Le Cri du Peuple menerbitkan rencana yang mengkritik kerajaan pimpinan Adolphe Thiers dan Perhimpunan Kebangsaan yang dikuasai oleh golongan monarkis.

Pada 24 Februari 1871, 7,200 orang wakil yang mewakili 260 batalion dan 1,300 kompeni Pengawal Kebangsaan di Paris yang bermesyuarat memutuskan beberapa perkara, termasuk:
- Semua pegawai Pengawal Kebangsaan dan wakil dalam Persekutuan Pengawal Kebangsaan harus dipilih secara demokratik oleh anggota-anggota akar umbi;
- Semua pegawai Pengawal Kebangsaan dan wakil dalam Persekutuan Pengawal Kebangsaan boleh dilucutkan jawatan mereka serta-merta oleh anggota-anggota akar umbi yang memilih mereka;
- Menubuhkan Jawatankuasa Pusat yang terdiri daripada 38 orang ahli, dengan separuhnya merupakan golongan revolusioner yang radikal seperti Blanquiste;
- Wakil-wakil Persekutuan Pengawal Kebangsaan hanya mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pusat;
- Mengadakan mesyuarat jawatankuasa setiap dua minggu di semua peringkat organisasi, dari Jawatankuasa Pusat ke kompeni kawasan kejiranan yang sentiasa berkomunikasi sesama mereka.
Keputusan itu memperkukuhkan organisasi Pengawal Kebangsaan dengan kepimpinannya menggantikan pemerintahan dari atas daripada kerajaan pusat dengan amalan demokrasi langsung yang mengutamakan tuntutan demokratik dari bawah daripada anggota-anggotanya. Dengan itu, Persekutuan Pengawal Kebangsaan menjadi sebuah organisasi yang tersusun, berkelengkapan senjata dan radikal secara politik. Persekutuan Pengawal Kebangsaan kemudiannya bergabung dengan jawatankuasa pengawasan kejiranan yang dianggotai oleh orang awam dan dikuasai oleh golongan Proudhoniste, maka membentuk sebuah kuasa politik yang berupaya untuk mengambil alih bandar Paris bila-bila masa.

Beberapa batalion Pengawal Kebangsaan di Paris juga mengadakan perarakan pada 24 Februari 1848 untuk memperingati Revolusi Februari 1848, dengan ratusan orang menyertainya. Mereka yang berdemonstrasi membantah tindakan kerajaan yang melucutkan senjata di Paris dan mendesak untuk meneruskan perang dengan tentera Jerman. Ramai dalam kalangan anggota Pengawal Kebangsaan tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Perancis yang menggadaikan banyak kepentingan negara dalam rundingan damai dengan Empayar Jerman.
Menjelang bulan Mac 1871, Paris dikuasai oleh pasukan bersenjata dan badan pentadbiran yang tidak lagi mendengar arahan dari atas daripada kerajaan pusat “rasmi” pimpinan Adolphe Thiers. Pasukan bersenjata di bandar Paris diarahkan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan; sementara pentadbiran bandar Paris diselaraskan oleh Jawatankuasa Pusat bagi jawatankuasa pengawasan kejiranan. Kedua-dua Jawatankuasa Pusat itu beroperasi di bangunan yang sama, dengan sokongan daripada kumpulan-kumpulan sosialis radikal yang mengorganisasi rakyat di kawasan kejiranan kelas bawahan. Golongan kelas bawahan di Paris semakin hari semakin tidak berpuas hati dengan keadaan sosioekonomi yang menyusahkan mereka, dan khuatir tentang republik yang baharu ditubuhkan itu bakal diserahkan semula kepada seorang monarki.

Penyerahan kalah Perancis
Adolphe Thiers selaku Ketua Eksekutif Republik Perancis Ketiga dan Otto von Bismarck selaku Canselor Empayar Jerman menandatangani “Perjanjian Versailles” pada 26 Februari 1871, sebagai perjanjian untuk memperkukuhkan gencatan senjata yang sudah dicapai dan asas kepada perjanjian damai yang berkekalan, dengan Empayar Jerman diiktiraf sebagai kuasa dominan yang menggantikan Perancis di tanah besar Eropah.
Perancis menyerahkan wilayah Alsace dan Lorraine Timur kepada Jerman, di samping perlu membayar ganti rugi sejumlah 5 bilion franc. Bismarck menuntut ganti rugi yang begitu besar jumlahnya daripada Perancis dengan niat untuk melumpuhkan kuasa ketenteraan Perancis sekurang-kurangnya satu generasi supaya Empayar Jerman mempunyai lebih banyak masa dan ruang untuk memperkukuhkan kekuasaannya tanpa perlu bimbang tentang ancaman dari sempadan darat di bahagian baratnya. Empayar Jerman bersetuju untuk mengundurkan tenteranya dari Perancis secara beransur-ansur apabila Perancis membayar ganti rugi itu.

Canselor Otto von Bismarck memutuskan untuk menyambut kemenangannya terhadap tentera Perancis dengan mengadakan perarakan tentera Jerman ke dalam bandar Paris. Apabila mendengar berita tentang rancangan perarakan tentera Jerman ke dalam Paris, Persekutuan Pengawal Kebangsaan bersiap sedia untuk melawan penghinaan oleh pihak Jerman itu dengan menghimpunkan meriam-meriam di kawasan kejiranan kelas pekerja di bahagian utara Paris, dan membuat rancangan untuk menghalang perarakan tentera Jerman secara fizikal. Namun, golongan Blanquiste yang lebih radikal itu merayu kepada Pengawal Kebangsaan supaya jangan melepaskan tembakan ke arah tentera Jerman, kerana tindakan itu akan mencetuskan pemusnahan Paris dan pembunuhan beramai-ramai akibat tindak balas ketenteraan Jerman, maka melemahkan usaha mereka untuk menghadapi musuh yang sebenar, iaitu kerajaan pengkhianat yang dipimpin oleh golongan konservatif seperti Adolphe Thiers dan memusuhi kelas pekerja yang revolusioner.
Pada 1 Mac 1871, 30,000 orang tentera Empayar Jerman berarak memasuki bandar Paris. Pengawal Kebangsaan menghadapi penghinaan daripada tentera Jerman itu dengan semangat disiplin yang tinggi dan menahan diri daripada bertindak secara melulu. Namun, tentera Jerman telah mengelak daripada mendekati kawasan kejiranan kelas pekerja di bahagian utara Paris dan hanya mengehadkan pergerakannya di kawasan kejiranan orang kaya. Tentera Jerman memasuki Paris dari hujung barat bandar itu, dan berarak di sepanjang Lebuh Champs-Élysées untuk menuju ke Istana Tuileries. Tentera Jerman berkhemah di taman awam di tepi Istana Tuileries. Pada awal pagi 3 Mac 1871, tentera Jerman berundur keluar dari bandar Paris tanpa berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini. Tentera Prusia kekal ditempatkan di luar bandar Paris untuk memastikan Kerajaan Perancis menunaikan janji penyerahan kalahnya.

Pada 10 Mac 1871, Perhimpunan Kebangsaan Perancis yang didominasi oleh golongan konservatif memutuskan untuk memindahkan tempat persidangannya dari Bordeaux ke Versailles, ibu negara Perancis semasa Ancien Régime. Keputusan Perhimpunan Kebangsaan itu mencetuskan lagi kemarahan warga Paris. Versailles tidak lagi menjadi ibu negara Perancis sejak bulan Oktober 1789 selepas golongan wanita Paris yang berarak ke situ memaksa Raja Louis XVI dan anggota-anggota Perhimpunan Kebangsaan pada masa itu untuk kembali ke bandar Paris. Adalah menjadi penghinaan hebat bagi warga Paris yang telah melalui pelbagai gelora revolusi sejak tahun 1789 untuk melihat Versailles kembali dijadikan ibu negara dengan Perhimpunan Kebangsaan bersidang di situ.
Selain menghina Paris dengan tidak kembali bersidang di situ, Perhimpunan Kebangsaan juga meluluskan sebuah undang-undang yang terus membatalkan moratorium pengutipan sewa dan hutang semasa peperangan. Penduduk-penduduk Paris dikehendaki untuk membayar semua hutang dan tunggakan sewa rumah mereka kepada golongan tuan tanah dalam tempoh masa dua hari. Tunggakan hutang dalam tempoh 4 bulan semasa Paris dikepung itu harus dibayar balik segera dengan faedah. Ramai penyewa rumah di Paris tidak mempunyai pendapatan tetap untuk membayar semua tunggakan sewa kepada tuan tanah mereka yang telah melarikan diri dari Paris semasa bandar itu dikepung musuh selama 4 bulan. Bagi golongan bawahan yang mempunyai pendapatan tetap kerana menyertai Pengawal Kebangsaan pula, menerima tamparan apabila Perhimpunan Kebangsaan mengundi untuk membatalkan bayaran upah kepada anggota-anggota Pengawal Kebangsaan. Warga Paris yang menganggotai Pengawal Kebangsaan bukan sahaja dipaksa untuk membayar semua hutang dan tunggakan sewa rumah mereka, malah dinafikan bayaran upah yang boleh digunakan untuk membayar hutang. Tindakan golongan pemerintah itu bagaikan mencurah minyak ke dalam api!

Adolphe Thiers menghina Pengawal Kebangsaan dengan lebih lanjut lagi apabila dia melantik Jeneral Louis d’Aurelle de Paladines (1804-1877), seorang Bonapartiste yang reaksioner, sebagai komander Pengawal Kebangsaan. Apabila Jeneral Paladines mengambil alih jawatan itu dan memanggil komander daripada 260 batalion Pengawal Kebangsaan, hanya 30 orang hadir.
Pada 11 Mac 1871, Joseph Vinoy, komander tentera kerajaan di Paris, mengharamkan 6 buah surat khabar republikan. Pada 15 Mac 1871, Adolphe Thiers dan menteri-menteri kerajaannya pulang ke Paris dengan hasrat memindahkan kerajaan balik ke situ, tetapi dia terus mendapati bahawa bandar itu sudah berada dalam suasana revolusioner yang boleh menggugat kekuasaannya.

Pada 17 Mac 1871, Thiers mengarahkan penangkapan Louis Auguste Blanqui yang sedang berehat di rumah kawan doktornya kerana sakit pada masa itu di Bretenoux, wilayah Lot yang terletak di bahagian barat daya Perancis. Blanqui dikurung di dalam penjara di wilayah Bretagne, bahagian barat laut Perancis, yang terletak jauh dari Paris.
Untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi secara lancar di Paris, Adolphe Thiers cuba melucutkan senjata warga Paris dengan merampas meriam-meriam yang dikuasai oleh Pengawal Kebangsaan. Dalam mesyuarat dengan menteri-menteri dan pegawai-pegawai tentera pada 17 Mac 1871, Thiers mengumumkan bahawa meriam-meriam yang dikuasai oleh Pengawal Kebangsaan itu akan dikeluarkan dari bandar Paris. Apa yang tidak dijangkakan oleh Thiers ialah keputusannya itu bakal mencetuskan satu revolusi yang hebat.

Meriam di Montmartre dan Pemberontakan 18 Mac 1871
Terdapat kira-kira 400 buah meriam diperoleh dan dikuasai oleh Pengawal Kebangsaan semasa pengepungan Paris. Kebanyakan meriam itu dibeli dengan wang yang disumbangkan oleh warga Paris sendiri apabila Kerajaan Pertahanan Negara pada masa itu gagal membekalkan senjata untuk mereka mempertahankan diri. Persekutuan Pengawal Kebangsaan telah mengalihkan kebanyakan meriam itu untuk ditempatkan di kawasan kejiranan kelas pekerja, seperti Belleville dan Montmartre, sebelum tentera Jerman berarak masuk ke Paris.
Bagi Thiers, meriam-meriam yang masih dikuasai oleh Pengawal Kebangsaan di Paris melambangkan keingkaran warga Paris terhadap kerajaan pimpinannya; sementara bagi warga Paris, meriam-meriam itu pula melambangkan maruah dan penguasaan demokratik terhadap nasib mereka. Merampas meriam-meriam itu daripada Pengawal Kebangsaan dianggap oleh warga Paris sebagai tindakan reaksioner penindas yang hendak menghancurkan rakyat. Bagi kerajaan Thiers, merampas meriam-meriam di Paris itu melambangkan kemenangan ketertiban; sementara bagi Pengawal Kebangsaan, mengekalkan penguasaan mereka terhadap meriam-meriam itu melambang kemenangan semangat Revolusi Perancis: “Liberté, Égalité, Fraternité” (Kebebasan, Kesamarataan, Persaudaraan).

Pada waktu awal pagi sebelum subuh 18 Mac 1871, 4 pasukan tentera yang dikerahkan oleh kerajaan, dengan jumlah kira-kira 1,500 orang askar, bergerak ke tempat yang berlainan di Paris: Hôtel de Ville, Place de la Bastille, Belleville dan Montmartre.
Pasukan tentera yang dikerahkan ke Montmartre dipimpin oleh Jeneral Claude Lecomte (1817-1871) dengan tugasnya merampas 170 buah meriam di atas bukit itu. Dalam pertembungan awal dengan Pengawal Kebangsaan untuk menguasai meriam-meriam di Montmartre, seorang anggota Pengawal Kebangsaan cedera ditembak dan ditahan.
Apabila subuh menjelang dengan berita mengenai operasi perampasan meriam oleh kerajaan dan kejadian penembakan di Montmartre tersebar dengan cepat, anggota-anggota Pengawal Kebangsaan dan warga Paris melulu ke tapak meriam itu untuk menghalang askar-askar yang hendak mengambil meriam mereka. Golongan wanita di kawasan kejiranan kelas pekerja menjadi barisan hadapan yang menghalang pihak tentera daripada mengalihkan meriam-meriam di Montmartre. Rejimen askar yang dikerahkan ke Montmartre itu dikepung oleh anggota-anggota Pengawal Kebangsaan dan warga awam yang marah. Kebanyakan askar yang baharu direkrut ke dalam rejimen itu berjaya dipujuk oleh massa rakyat yang mengepung mereka dan terus berpaling tadah.

Georges Clemenceau, datuk bandar bagi Daerah 18 di mana terletaknya Montmartre, turut bergegas ke Montmartre untuk menenangkan keadaan. Clemenceau menggesa Jeneral Lecomte untuk membebaskan anggota Pengawal Kebangsaan yang cedera itu, tetapi Jeneral Lecomte enggan berbuat demikian. Jeneral Lecomte yang cuba memecahkan pengepungan massa itu mengarahkan askar-askarnya untuk melepaskan tembakan, tetapi askar-askar bawahannya pula enggan berbuat demikian.
Jeneral Lecomte kemudiannya hilang kawalan sepenuh terhadap pasukan tentera yang dipimpinnya dan ditahan oleh golongan pemberontak. Jeneral Lecomte dan pegawai-pegawai tentera yang ditahan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengawasan bagi kawasan kejiranan Daerah 18. Selain Jeneral Lecomte, Jacques Leon Clément-Thomas (1808-1871), seorang pegawai tentera yang pernah terlibat dalam penindasan ganas terhadap pemberontakan pekerja pada bulan Jun 1848 dan dilantik sebagai ketua komander Pengawal Kebangsaan semasa pengepungan Paris tetapi meletak jawatan tidak lama sebelum itu, walaupun dalam pakaian orang awam, telah dikesan dan ditangkap oleh golongan pemberontak di Montmartre. Kedua-dua orang Lecomte dan Clément-Thomas kemudiannya ditembak mati oleh golongan pemberontak di Montmartre.

Pemberontakan rakyat yang bermula di Montmartre merebak dengan cepatnya ke seluruh bandar Paris. Selepas mendapati operasi perampasan meriam daripada Pengawal Kebangsaan itu menemui kegagalan, Adolphe Thiers dan anggota-anggota kerajaannya melarikan diri dari Paris ke Versailles. Thiers mengarahkan pengunduran semua pasukan tentera tetap dari Paris untuk mengelakkan sebarang pemberontakan askar yang selanjutnya.
Dengan kerajaan pusat melarikan diri dari ibu negara, Paris jatuh dalam tangan warga Paris yang bersenjata. Sesetengah kompeni Pengawal Kebangsaan menyerbu gedung mesiu, sementara sekumpulan besar Pengawal Kebangsaan menyerbu Hôtel de Ville. Jules Ferry, ketua pentadbir bandar Paris pada masa itu, terpaksa menyelinap keluar dari tingkap belakang bangunan Hôtel de Ville dan melarikan diri dari bandar Paris. Menjelang waktu malam 18 Mac 1871, Hôtel de Ville sudah diduduki oleh kira-kira 20,000 orang anggota.
Selepas anggota-anggota Pengawal Kebangsaan berjaya mengambil alih bangunan Hôtel de Ville, mereka tidak mengibarkan bendera tiga warna (biru, putih dan merah) yang digunakan oleh golongan revolusioner Perancis sebelum itu, kerana bendera tiga warna itu sudah menjadi lambang kepada sebuah empayar yang dikuasai oleh golongan pemerintah zalim yang munafik, golongan kapitalis yang mengeksploitasi tenaga buruh dan golongan elit politik yang mengkhianati rakyat. Sebaliknya, golongan revolusioner di Paris menaikkan bendera merah yang melambangkan revolusi sosialis! Dengan itu, lahirnya apa yang dikenali sebagai “Komun Paris”!

Revolusi yang tercetus daripada pemberontakan 18 Mac 1871 merupakan hasil kebangkitan massa secara spontan. Ia mengejutkan ramai revolusioner yang radikal. Pandangan golongan Blanquiste bahawa organisasi perintis revolusioner yang berdedikasi sahaja yang dapat menjatuhkan kerajaan, adalah terbukti tidak benar sama sekali di hadapan realiti pemberontakan massa secara spontan yang hebat pada 18 Mac 1871.
Walaupun golongan Blanquiste tidak memainkan apa-apa peranan dalam pemberontakan rakyat Paris secara spontan yang menjatuhkan kerajaan di situ, mereka bertindak pantas untuk mengambil kesempatan revolusioner itu supaya memandu tenaga massa dan Pengawal Kebangsaan ke arah revolusi yang radikal. Ramai dalam kalangan golongan Blanquiste pada masa itu sudah mengambil bahagian secara aktif dalam kompeni-kompeni Pengawal Kebangsaan dan membentuk hampir separuh daripada keanggotaan Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan.
Pengawal Kebangsaan di Paris juga menduduki bangunan-bangunan kerajaan yang lain. Vakum politik yang diwujudkan selepas kerajaan pimpinan Adolphe Thiers melarikan diri dari Paris terus diisi oleh Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan dengan peranannya sebagai kerajaan sementara Paris.

Pada 19 Mac 1871, Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan mula mengadakan mesyuarat di Hôtel de Ville. Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan mengeluarkan proklamasi yang pertamanya kepada rakyat Paris:
“Rakyat Paris telah melepaskan diri daripada belenggu yang cuba dikenakan oleh orang lain ke atas mereka.
Bertenang dan yakin pada kekuatan mereka, mereka menunggu tanpa ketakutan atau provokasi orang-orang gila lagi keji yang hendak mengancam Republik ini.
Kali ini, saudara-saudara kita dalam tentera tidak mahu mencabul kebebasan kita yang paling suci. Kami berterima kasih kepada setiap orang, semoga Paris dan Perancis bersama-sama menyediakan asas untuk sebuah republik diakui semua, satu-satunya kerajaan yang akan menamatkan zaman penaklukan dan perang saudara selama-lamanya.
Darurat telah dicabut.
Rakyat Paris diseru supaya kembali ke kawasan seksyen mereka untuk mengadakan pilihan raya komun.
Keselamatan semua warga adalah dijamin dengan kerjasama Pengawal Kebangsaan.”
Golongan Blanquiste dalam Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan mendesak untuk mara segera dengan senjata ke Versailles supaya menjatuhkan kerajaan pimpinan Thiers dan menguasai seluruh Perancis. Namun, majoriti dalam Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan cuba mengelakkan peperangan dengan kerajaan pusat di Versailles. Majoriti dalam Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan cenderung kepada menganjurkan pilihan raya supaya memindahkan kekuasaan politik secepat mungkin kepada sebuah kerajaan bandar raya yang dipilih secara demokratik dan mewujudkan asas yang lebih kukuh untuk kekuasaan rakyat di Paris. Namun, keputusan untuk tidak terus menyerang Versailles pada ketika kerajaan pimpinan Thiers belum sempat lagi mengumpulkan kekuatan tentera nampaknya merupakan satu kesilapan yang bakal membawa malapetaka kepada usaha perjuangan revolusioner Komun Paris yang memberangsangkan itu.

Pada awalnya, Pengawal Kebangsaan memberi laluan kepada sebuah rombongan yang terdiri daripada datuk-datuk bandar yang mewakili 20 buah daerah di Paris, dengan Georges Clemenceau sebagai pemimpinnya, untuk pergi berunding dengan Adolphe Thiers di Versailles supaya mencapai persetujuan yang dapat menyelesaikan krisis politik itu. Rombongan yang diketuai oleh Clemenceau hanya mengemukakan tuntutan yang sederhana, termasuk memberikan hak autonomi kepada warga Paris untuk mentadbir bandar mereka dan menggantikan tentera tetap empayar dengan Pengawal Kebangsaan yang dianggotai oleh lebih ramai rakyat biasa. Mereka menyatakan dengan jelas bahawa golongan revolusioner di Paris tiada niat untuk mengambil alih seluruh Perancis dan tidak berhasrat untuk berperang dengan kerajaan pusat di Versailles. Namun, Thiers dan kerajaannya di Versailles enggan berkompromi langsung dengan golongan revolusioner di Paris. Golongan konservatif di Versailles jelasnya lebih memusuhi warga Paris yang revolusioner berbanding tentera Jerman yang menceroboh Perancis.
Pilihan raya Majlis Komun Paris
Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan pada awalnya memutuskan untuk mengadakan pilihan raya Komun Paris pada 23 Mac 1871. Namun, sehari sebelum pilihan raya yang dijadualkan, pada 22 Mac 1871, golongan konservatif yang masih berada Paris dan menggelar diri mereka sebagai “Amis de l’Ordre” (Sahabat Ketertiban) menganjurkan aksi demonstrasi yang berarak dari kawasan kejiranan kelas atasan kaya di bahagian barat Paris ke Place Vendôme. Pengawal Kebangsaan yang menduduki Place Vendôme pada masa itu cuba menghalang golongan demonstran konservatif itu daripada memasuki dataran itu. Tercetusnya tembak-menembak antara Pengawal Kebangsaan dan golongan demonstran sehingga 12 orang terbunuh.
Selepas konfrontasi berdarah di Place Vendôme pada 22 Mac 1871, Pengawal Kebangsaan menegakkan kekuasaan politik sepenuhnya di Paris dengan mengeluarkan proklamasi yang menyatakan bahawa Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan merupakan kerajaan yang rasmi sehingga pilihan raya diadakan dan datuk-datuk bandar dari 20 daerah di bandar itu, termasuk Georges Clemenceau, tidak lagi mempunyai kuasa. Pengawal Kebangsaan menduduki pejabat-pejabat datuk bandar di daerah masing-masing. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan tidak berhasrat untuk memegang kuasa pemerintah, tetapi sekadar menjadi kerajaan penjaga sehingga sebuah Majlis Komun dipilih.

Selepas satu sesi persidangan yang diadakan pada 23 Mac 1871, Majlis Persekutuan Bahagian-Bahagian Paris bagi Internasional Pertama menyebut dalam kenyataannya:
“Peristiwa baru-baru ini telah menunjukkan kekuatan rakyat Paris; kami yakin bahawa satu persefahaman persaudaraan akan menunjukkan kebijaksanaan mereka tidak lama lagi.
Pihak berkuasa yang utama tidak berupaya untuk memulihkan ketenteraman di jalanan, untuk membolehkan bengkel-bengkel kembali berfungsi, dan ketidakberdayaan inilah penafiannya sendiri.
Kekurangan solidariti telah mewujudkan kehancuran umum dan menimbulkan perang sosial. Daripada kebebasan, kesamarataan dan solidariti lah kita harus menuntut jaminan ketenteraman di atas asas baharu dan untuk pengiktirafan terhadap buruh, yang merupakan syarat asasnya…
Kita telah berjuang dan kita telah belajar untuk menderita demi prinsip-prinsip kesamarataan kita; kita tidak boleh berundur sekarang tatkala kita boleh membantu dalam meletakkan batu pertama untuk binaan sosial…
Hari ini rakyat Paris melihat perkara dengan jelas dan menolak peranan sebagai seorang kanak-kanak yang dibimbing oleh seorang pengajar, dan dalam pilihan raya perbandaran – hasil daripada sebuah gerakan yang mereka sendiri menciptanya – ia akan mengingati bahawa prinsip yang mengawal pengaturan pengorganisasian sebuah kumpulan atau sebuah persatuan adalah sama seperti apa yang sepatutnya mentadbir seluruh masyarakat, dan semasa seperti ia menolak mana-mana pentadbir atau presiden yang dipaksakan oleh sebuah kuasa luar, ia juga akan menolak mana-mana datuk bandar atau préfet yang dipaksakan oleh kerajaan yang asing daripada aspirasinya.
Ia akan menegaskan haknya yang lebih tinggi untuk mengundi Perhimpunan supaya kekal sebagai tuan kepada bandarnya dan membentuk sebagaimana dikehendakinya sesuai sebagai perwakilan perbandarannya, tanpa memaksakannya ke atas orang lain.”
Pilihan raya Komun Paris hanya ditangguhkan selama 3 hari. Pada 26 Mac 1871, pilihan raya diadakan berdasarkan hak mengundi sejagat bagi semua warga lelaki. Dengan ramai orang sudah meninggalkan bandar Paris sejak tamatnya pengepungan pada penghujung Januari 1871, hanya kira-kira 485,000 orang pengundi masih tinggal pada masa itu.
Adolphe Thiers dan sekutunya di Versailles menyebarkan propaganda yang mendesak warga Paris untuk memboikot pilihan raya Komun Paris, dengan alasan bahawa pilihan raya Komun Paris itu adalah haram dan mengkhianati negara. Namun, seruan daripada kerajaan pusat pimpinan Thiers hanya disambut oleh warga Paris yang masih tinggal di kawasan orang kaya, seperti mereka yang menyertai “Amis de l’Ordre”.

Daripada kira-kira 485,000 orang yang layak mengundi, kira-kira 233,000 orang pengundi keluar mengundi, dengan peratusan keluar mengundi kira-kira 48%. Sebanyak 92 orang ahli perwakilan dipilih ke dalam Majlis Komun Paris. Dengan golongan yang lebih konservatif tidak keluar mengundi, golongan kiri radikal yang memperjuangkan perubahan terhadap susunan masyarakat sedia ada mendapat kemenangan besar. Kira-kira separuh daripada mereka yang dipilih datang daripada golongan Neo-Jacobin, kira-kira 10 orang merupakan Blanquiste, dan kira-kira 20 orang merupakan Proudhoniste. Terdapat kira-kira 20 orang republikan moderat dipilih, tetapi kebanyakannya sama ada enggan mengambil jawatan mereka atau meletak jawatan tidak lama selepas Majlis Komun Paris mula bersidang. Oleh itu, sebanyak kira-kira 60-70 orang benar-benar menganggotai Majlis Komun Paris.
Georges Clemenceau, yang bertanding dengan harapan boleh menang seperti pilihan raya tempatan pada bulan November 1870, hanya memperoleh 752 undi dan gagal dipilih ke dalam Majlis Komun Paris. Clemenceau, yang amat kecewa kerana dia ditolak oleh kedua-dua pihak berkuasa konservatif di Versailles dan golongan revolusioner berhaluan kiri yang bangkit berkuasa di Paris, merungut bahawa dia “terperangkap antara dua kumpulan orang gila”.

Apa yang menarik tentang keputusan pilihan raya Majlis Komun Paris, berbeza dengan pilihan raya sebelum itu yang menyaksikan golongan profesional seperti peguam mengambil alih kuasa selepas revolusi, ia melahirkan sebuah kerajaan yang didominasi oleh golongan kelas pekerja buat pertama kalinya. Sebanyak 33 orang ahli Majlis Komun Paris yang dipilih datang daripada golongan kelas pekerja. Yang lain termasuk 5 orang peniaga, kecil, 12 orang wartawan, dan 19 orang yang merupakan pekerja kolar putih seperti kerani, akauntan dan kakitangan pejabat.
Terdapat ramai anggota Majlis Komun Paris yang dipilih merupakan anggota Internasional Pertama, termasuk Eugène Pottier (1816-1887) yang merupakan seorang pemuisi dan penulis lagu, Gustave Lefrançais (1826-1901) yang merupakan seorang guru, Jules Vallès yang mengasaskan akhbar berhaluan kiri “Le Cri du Peuple”, Alexis Louis Trinquet (1835-1882) yang merupakan seorang tukang kasut, Jean-Baptiste Clément (1836-1903) yang merupakan seorang wartawan yang menulis lirik lagu terkenal “Le Temps des cerises” (1866), Louis-Simon Dereure (1838-1900) yang merupakan seorang tukang kasut, Albert Theisz (1839-1881) yang merupakan seorang pekerja logam yang pernah memimpin aksi mogok, Charles Longuet (1839-1903) yang merupakan seorang wartawan Proudhoniste, Eugène Varlin (1839-1871) yang merupakan seorang tukang jilid buku yang dipengaruhi fahaman Proudhon, Édouard Vaillant (1840-1915) yang merupakan seorang Blanquiste, Augustin Avrial (1840-1904) yang merupakan seorang mekanik, Benoît Malon (1841-1893) yang merupakan seorang Proudhoniste yang aktif mengorganisasi pekerja kilang, dan Leo Fränkel (1844-1896) yang merupakan seorang tukang emas yang berasal dari Hungary.

Louis Auguste Blanqui turut dipilih sebagai anggota Majlis Komun Paris kerana kepopularannya dalam kalangan golongan kiri radikal, tetapi dia tidak dapat mengambil jawatannya kerana dia masih berada di dalam penjara yang terletak jauh dari Paris.
Namun, wanita masih tidak dibenarkan untuk mengundi dalam pilihan raya itu, dan semua anggota Majlis Komun Paris yang dipilih merupakan lelaki. Senarai pemenang pilihan raya itu diumumkan pada 27 Mac 1871.
Perdebatan dalam Majlis Komun Paris
Pada 28 Mac 1871, satu perhimpunan besar-besaran diadakan di Hôtel de Ville yang dihiasi dengan bendera-bendera merah, untuk merasmikan persidangan pertama Majlis Komun Paris. Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan menyerahkan kuasa pentadbiran bandar kepada Majlis Komun Paris, dan Pengawal Kebangsaan kekal sebagai angkatan rakyat bersenjata yang berfungsi untuk mempertahankan revolusi daripada pelbagai ancaman nyata.
Komun Paris yang lahir daripada pemberontakan revolusioner warga Paris telah membuka ruang demokratik yang besar kepada golongan revolusioner yang terlibat dalam pembentukannya untuk menentukan hala tujunya. Oleh itu, wujudnya perbahasan dalam kalangan golongan revolusioner tentang bagaimana Komun Paris itu harus berorganisasi dan maju ke hadapan.

Golongan Proudhoniste menganggap Komun Paris sebagai realisasi impian utopia untuk mewujudkan sebuah masyarakat tanpa negara, di mana rakyat mentadbir diri mereka sendiri secara sukarela bukannya secara paksaan. Oleh itu, bagi golongan Proudhoniste, Majlis Komun Paris hanya berfungsi sebagai ruang perbincangan berpusat untuk sistem organisasi kendiri demokratik yang dinyahpusatkan.
Golongan Blanquiste dan golongan Neo-Jacobin pula menganggap Komun Paris 1871 sebagai pemulihan Komun Paris 1789-1795 yang dianggap sebagai “zaman kegemilangan” Revolusi Perancis. Mereka mengangkat Maximilien Robespierre dan Jawatankuasa Keselamatan Awam 1793-1794 sebagai contoh pemerintahan revolusioner. Mereka berhasrat menggunakan kekerasan untuk menghancurkan musuh revolusi supaya memajukan masyarakat ke arah masa hadapan yang demokratik dan sosialis.
Wujud juga perbahasan dalam kalangan golongan revolusioner dalam Komun Paris tentang persoalan sama ada mereka hanya ingin bertahan di bandar Paris atau menguasai seluruh negara Perancis. Golongan Blanquiste dan golongan Neo-Jacobin melihat Komun Paris sebagai langkah pertama untuk menjatuhkan kerajaan pusat di Versailles supaya mengambil alih kuasa pemerintahan di seluruh negara Perancis. Golongan Proudhoniste pula cuba mengelakkan konflik keganasan dengan Versailles dan mengehadkan revolusi itu dalam lingkungan bandar Paris. Walau bagaimanapun, golongan Proudhoniste mengharapkan Komun Paris dapat memberi inspirasi kepada bandar-bandar lain untuk mewujudkan komun demokratik mereka sendiri, maka menjadikan kerajaan pusat tidak lagi relevan, lalu menjayakan revolusi sosial yang lebih besar.

Golongan Proudhoniste berpandangan bahawa Komun Paris harus memfokus kepada penyediaan perkhidmatan sosial dan pembinaan sebuah kerajaan alternatif sepenuhnya. Komun Paris boleh memberi inspirasi kepada kelas pekerja tentang sebuah visi baharu untuk masyarakat. Golongan Proudhoniste beranggapan bahawa kerajaan pusat di Versailles tidak mempunyai apa-apa sebab untuk menyerang Paris sekiranya Komun Paris hanya menumpukan usaha dalam pembaharuan sosial di Paris sahaja. Namun, golongan Blanquiste dan golongan Neo-Jacobin pula agak yakin bahawa kerajaan pusat di Versailles tidak akan membiarkan Komun Paris begitu sahaja, sebaliknya akan melancarkan perang untuk menghancurkan mereka.
Walaupun visi untuk Komun Paris agak berbeza dalam kalangan golongan revolusioner yang berbeza aliran itu, mereka yang menganggotai Majlis Komun Paris jelasnya menolak sebarang bentuk pemerintahan autokratik. Tiadanya keinginan dalam kalangan golongan revolusioner dalam Komun Paris, termasuk golongan Blanquiste, untuk mengangkat seorang individu ke posisi diktator.

Majlis Komun Paris mengundi untuk menerima Louis Auguste Blanqui yang masih ditahan di tempat lain sebagai Presiden Kehormat. Majlis Komun Paris membuang segala jawatan cabang eksekutif kerajaan, seperti presiden eksekutif, datuk bandar, ketua komander angkatan bersenjata dan sebagainya. Sebaliknya, Komun Paris ditadbir oleh 9 buah suruhanjaya yang saling berhubungan untuk menguruskan pentadbiran Paris, seperti Suruhanjaya Kewangan, Suruhanjaya Kehakiman dan sebagainya, yang berada di bawah pengawasan sebuah Suruhanjaya Eksekutif. Prinsip yang memandu proses politik dalam Komun Paris ialah proses membuat keputusan itu merupakan usaha sama yang melibatkan banyak perbincangan secara berkumpulan.
Golongan Proudhoniste yang hendak memperluaskan proses membuat keputusan secara berkumpulan yang dinyahpusatkan itu berpandangan bahawa semua minit mesyuarat sesi perbincangan harus diterbitkan secara terbuka. Namun, cadangan itu dibantah oleh golongan Blanquiste dan golongan Neo-Jacobin kerana Komun Paris sedang menghadapi ancaman perang dari Versailles pada masa itu dan penerbitan minit mesyuarat perbincangan mengenai rancangan mereka hanya mendedahkan kelemahan diri mereka kepada musuh yang hendak menghancurkan mereka. Oleh itu, selepas perbahasan yang berpanjangan, Majlis Komun Paris meluluskan resolusi bahawa minit mesyuarat Majlis Komun Paris adalah rahsia.
Pentadbiran dan pembaharuan yang dilaksanakan oleh Komun Paris
“Kelas pekerja tidak boleh memegang jentera negara yang sedia ada begitu sahaja, dan menggunakannya untuk mencapai matlamatnya sendiri,” begitu tulisnya Karl Marx dalam “Perang Saudara di Perancis” (1871). Kelas pekerja tidak boleh bergantung kepada jentera negara pemerintahan kelas kapitalis itu untuk mencapai pembebasan sebenar. Golongan revolusioner harus memusnahkan jentera negara lama dan membina struktur demokratik yang baharu supaya memperluaskan ruang untuk organisasi massa rakyat demi usaha penyusunan semula hubungan ekonomi dan pembebasan masyarakat. Ia bukan sekadar revolusi politik, tetapi juga revolusi sosial pada masa yang sama. Ia bukan sekadar menukar orang yang menguasai jentera kerajaan, tetapi mengubah sepenuhnya cara kerajaan itu disusun dan berfungsi.
Berbeza dengan sistem pemerintahan sebelumnya, Komun Paris mengamalkan pemerintahan proletar yang radikal, egalitarian dan demokratik. Walaupun terdapat perbahasan yang hebat dalam kalangan mereka yang mengambil bahagian dalam proses revolusioner Komun Paris itu, golongan revolusioner yang teguh mempertahankan Komun Paris jelas berpegang pada prinsip-prinsip teras seperti:
- Penggabungan bebas antara anggota-anggota masyarakat dalam Komun;
- Demokrasi langsung dan demokrasi penyertaan, dengan semua keputusan harus dibincangkan dan ditentukan secara demokratik dengan penyertaaan masyarakat akar umbi sebanyak mungkin;
- Penghancuran jentera keganasan negara borjuis, dengan cara seperti menggantikan tentera tetap dengan militia rakyat (Pengawal Kebangsaan) yang berorganisasi secara demokratik dan memansuhkan hukuman mati;
- Penghapusan birokrasi;
- Penyahpusatan kuasa pemerintahan kepada peringkat komuniti setempat;
- Pemilihan dan pelucutan jawatan awam secara demokratik untuk memastikan kebertanggungjawaban mereka yang memegang jawatan awam, di samping menghapuskan birokrasi;
- Kebebasan politik dan sivil;
- Kesamarataan hak tanpa mengira latar belakang;
- Kesaksamaan ekonomi;
- Pengurusan kendiri pekerja dalam aktiviti pengeluaran ekonomi;
- Perlindungan sosial bagi semua;
- Semangat internasionalisme.
Walaupun menghadapi ancaman daripada kerajaan pusat di Versailles yang hendak menghancurkan revolusi di Paris, Majlis Komun Paris berusaha bersungguh-sungguh untuk menyusun semula pentadbiran perbandaran dan memperkenalkan pelbagai pembaharuan sosial yang radikal. Majlis Komun Paris merupakan sebuah badan tindakan kerajaan yang menggabungkan kedua-dua fungsi penggubalan undang-undang dan pelaksanaan undang-undang. Majlis Komun Paris mengeluarkan pelbagai dekri dan arahan, dengan sebahagiannya dilaksanakan serta-merta sementara sebahagian lagi kekal sebagai aspirasi rakyat bawahan untuk sebuah masyarakat sosialis.

Majlis Komun Paris memperkenalkan dasar-dasar pemerintahan yang progresif, sekular dan demokratik. Antara program atau dasar yang diperkenalkan oleh Komun Paris termasuk:
- Pemisahan kuasa antara gereja dengan pentadbiran negara;
- Penghapusan tunggakan sewa yang dikumpulkan semasa pengepungan bandar Paris;
- Penangguhan pembayaran semula hutang komersial dan penghapusan faedah hutang;
- Kedai pajak gadai harus memulangkan semula peralatan pekerja dan barangan isi rumah yang bernilai hingga 20 franc, yang dipajakkan semasa pengepungan, tanpa mengenakan bayaran;
- Pembubaran tentera tetap dan menggantikannya dengan seluruh rakyat yang bersenjata;
- Pemulihan bayaran upah kepada anggota Pengawal Kebangsaan;
- Pembayaran pencen kepada balu dan anak kepada Pengawal Kebangsaan yang terbunuh dalam peperangan;
- Pemansuhan hukuman mati;
- Pemansuhan kerahan tentera secara paksaan;
- Pekerja mempunyai hak untuk mengambil alih dan menguruskan perusahaan yang ditinggalkan oleh pemilik yang melarikan diri;
- Melarang majikan daripada mengenakan denda ke atas pekerja;
- Pengambilan dan pengagihan semula rumah yang kosong;
- Pemansuhan kerja syif malam di kedai roti;
- Penghapusan buruh kanak-kanak;
- Pendidikan awam yang percuma;
- Memansuhkan sistem gaji tinggi untuk pegawai kerajaan, di mana gaji tertinggi untuk ahli jawatankuasa Komun tidak melebihi 6000 franc setahun (bersamaan dengan pendapatan median tahunan untuk pekerja di Paris pada masa itu);
- Anggota Majlis Komun dipilih secara demokratik melalui pengundian dan boleh dilucutkan jawatan bila-bila masa.
Langkah-langkah yang diperkenalkan oleh Majlis Komun Paris itu bertujuan untuk memenuhi keperluan segera dan memperbaiki keadaan hidup penduduk-penduduk di Paris. Selain menangani masalah keadaan hidup yang susah, Komun Paris juga berusaha untuk menyediakan asas dalam membina sebuah republik sosial yang mengutamakan kepentingan kelas pekerja dan rakyat biasa, dengan cara mendemokrasikan struktur organisasi pentadbiran bandar.

Undang-undang pemisahan agama dengan politik telah menjadikan harta gereja sebagai harta awam, dan pendidikan agama Kristian dikeluarkan daripada kurikulum sekolah. Komun Paris membenarkan gereja menjalankan aktiviti agama, dengan syarat gereja perlu dibuka pada waktu malam untuk orang awam mengadakan perjumpaan politik.
Majlis Komun Paris membezakan dirinya dengan Komun Paris 1789-1795 yang lama dengan meluluskan keputusan untuk menggantikan bendera tiga warna (biru-putih-merah) yang digunakan oleh bendera kebangsaan sebelum itu (tetapi telah menjadi simbol empayar, konservatisme reaksioner dan kapitalisme borjuis) dengan bendera merah yang melambangkan kesamarataan, keadilan sosial dan sosialisme.
Namun, terdapat satu langkah revolusioner yang gagal diambil oleh Majlis Komun Paris, iaitu mereka tidak terus mengambil alih Bank Perancis (Banque de France). Bank Perancis ialah bank pusat Perancis yang pada masa itu diperbadankan oleh kerajaan dan dimiliki serta dikendalikan oleh sektor swasta dengan ibu pejabatnya di Paris. Komun Paris tidak merampas syiling emas yang bernilai kira-kira 90 juta franc dan 160 juta franc wang tunai yang masih disimpan di dalam bilik kebal Bank Perancis. François Jourde (1843-1893), Pesuruhjaya Kewangan yang dilantik oleh Majlis Komun Paris, enggan merampas harta Bank Perancis walaupun didesak oleh sesetengah golongan radikal berhaluan kiri, dengan alasan nilai mata wang akan menyusut jika mereka berbuat demikian. Sebaliknya, Jourde berunding dengan pihak pengurusan bank supaya mendapatkan pinjaman 400,000 franc setiap hari (dengan pinjaman itu diluluskan oleh Adolphe Thiers!) untuk membiayai perbelanjaan Komun Paris seperti membayar upah anggota Pengawal Kebangsaan. Kegagalan pengambilalihan bank itu dikritik oleh golongan sosialis kerana ia terlepas satu peluang untuk merampas kekayaan yang dikumpulkan oleh institusi kewangan kapitalis itu supaya ia dapat diagihkan semula atau digunakan untuk keperluan membina susunan sosial baharu.

Golongan Neo-Jacobin berjaya mendesak Majlis Komun Paris untuk mengeluarkan arahan yang mengembalikan penggunaan Kalendar Republikan yang diperkenalkan selepas Revolusi 1792 tetapi dihentikan pada tahun 1805 berikutan Napoleon Bonaparte mengangkat dirinya sebagai Maharaja Perancis. Dengan pengenalan semula Kalendar Republikan, tarikh keramat Revolusi Komun Paris, iaitu 18 Mac 1871, menjadi 27 Ventôse Tahun LXXIX (iaitu Tahun 79). Ventôse (berasal daripada perkataan bahasa Latin “ventosus” yang bermaksud berangin) ialah bulan keenam Kalendar Republikan Perancis yang jatuh antara 19-21 Februari hingga 20-21 Mac.
Pada 19 April 1871, Komun Paris mengemukakan “Perisytiharan kepada Rakyat Perancis” (Déclaration au peuple français) untuk merumuskan program politiknya. Dokumen itu ditulis oleh Louis Charles Delescluze, Jules Vallès (1832-1885) dan Pierre Denis (1828-1907), yang masing-masing merupakan Neo-Jacobin, sosialis dan Proudhoniste.

Louis Charles Delescluze yang sudah berusia 61 tahun pada masa itu telah menyertai gerakan republikan sejak zaman mudanya. Dia pernah mengambil bahagian dalam Revolusi Julai 1830 yang menjatuhkan pemerintahan monarki Bourbon, tetapi tulisannya yang mengkritik pemerintahan Monarki Julai menyebabkan dia terpaksa hidup dalam buangan di Belgium pada tahun 1836 dan hanya dibenarkan pulang ke Perancis pada tahun 1840. Delescluze menyokong Revolusi Februari 1848 yang menubuhkan Republik Perancis, dan mengasaskan sebuah akhbar yang bernama “La Révolution démocratique et sociale” (Revolusi Demokratik dan Sosial) di Paris di samping menubuhkan organisasi revolusioner yang bergelar “Solidarité républicaine”. Delescluze membantah penindasan terhadap Pemberontakan Jun 1848 di Paris, tetapi ditangkap pada bulan Mac 1849 dan dihukum penjara selama setahun kerana mengkritik Jeneral Louis-Eugène Cavaignac, pemimpin tentera yang mematahkan Pemberontakan Jun 1848 secara ganas. Delescluze ditangkap sekali lagi pada bulan 1850 dan dihukum penjara selama 3 tahun. Selepas itu, dia melarikan diri ke England, dan pulang secara senyap-senyap ke Perancis pada tahun 1858, tetapi ditangkap lagi dan dihukum penjara lalu dibuang daerah ke Pulau Syaitan di Guiana Perancis yang terletak di Amerika Selatan. Delescluze mendapat pengampunan apabila Maharaja Napoleon cuba melakukan beberapa pembaharuan liberal terhadap pemerintahannya pada tahun 1860, dan dibenarkan untuk pulang ke tanah besar Perancis. Delescluze kemudiannya terlibat dalam usaha menerbitkan “Réveil”, sebuah akhbar radikal yang menyokong Internasional Pertama yang ditubuhkan pada tahun 1864. Namun demikian, akhbar yang diusahakan Delescluze dipaksa untuk ditutup oleh pihak berkuasa kerana kandungannya dianggap mengancam kekuasaan Napoleon III, dan Delescluze sekali lagi terpaksa melarikan diri ke Belgium. Delescluze bergegas pulang ke Perancis selepas kejatuhan Empayar Perancis Kedua pada bulan September 1870. Dia merupakan salah seorang pemimpin yang mengambil bahagian dalam Pemberontakan 31 Oktober 1870 yang gagal menjatuhkan Kerajaan Pertahanan Negara, dan diburu oleh pihak berkuasa selepas itu, tetapi dipilih sebagai datuk bandar Daerah 19 di Paris semasa pilihan raya tempatan pada bulan November 1870. Selepas kejayaan Pemberontakan 18 Mac 1871, Delescluze dipilih sebagai salah seorang ahli Majlis Komun Paris.
Jules Vallès ialah seorang wartawan berhaluan kiri yang mengasaskan akhbar Le Cri du Peuple. Le Cri du Peuple merupakan salah sebuah surat khabar yang paling laris jualannya semasa kewujudan Komun Paris. Vallès pernah mengambil bahagian dalam Revolusi 1848 semasa zaman remajanya. Sebagai seorang wartawan yang berprihatin pada nasib kelas pekerja, Vallès pernah menulis rencana mengenai keadaan hidup kelas pekerja pada masa itu. Vallès juga pernah dihukum penjara dan akhbar yang dikarangnya ditutup kerana mengkritik pemerintahan Napoleon III. Dia dipilih sebagai salah seorang ahli Majlis Komun Paris, dan pernah dilantik ke dalam Suruhanjaya Pendidikan serta Suruhanjaya Hubungan Luar. Dalam Majlis Komun Paris, Vallès lantang bersuara mendukung kebebasan akhbar dan membantah langkah-langkah yang memusatkan kuasa.

Pierre Denis ialah seorang wartawan yang pernah menyumbang tulisan kepada akhbar yang diterbitkan oleh Jules Vallès. Pierre Denis merupakan seorang anggota Internasional Pertama yang mewakili aliran Proudhoniste. Dia terlibat dalam jawatankuasa pengawasan kejiranan di Daerah 20 yang memainkan peranan dalam pembentukan Komun Paris. Denis mendukung idea penyahpusatan kuasa.
Perisytiharan kepada Rakyat Perancis menolak kerajaan Versailles, menuntut pengukuhkan sistem republik dan menggesa supaya autonomi komun diperluaskan ke seluruh negara Perancis dengan komun-komun setempat menguasai pentadbiran, keselamatan, ekonomi serta pendidikan. Komun Paris mendukung pembentukan sebuah persekutuan antara komun-komun.

“Komun mempunyai kewajipan untuk mengesahkan dan menentukan aspirasi serta kehendak penduduk Paris; untuk menjelaskan sifat gerakan 18 Mac yang disalahfahami, tidak diketahui dan difitnah oleh ahli-ahli politik yang duduk di Versailles,” begitu tulisnya Perisytiharan kepada Rakyat Perancis. “Sekali lagi, Paris berusaha dan menderita untuk seluruh Perancis, melalui perjuangan dan pengorbanannya, bersiap sedia untuk pembaharuan intelek, moral, pentadbiran dan ekonominya, kemuliaan dan kemakmurannya.”
“Penyatuan yang dipaksakan ke atas kita sehingga hari ini oleh empayar, monarki dan sistem berparlimen, hanyalah pemusatan kuasa yang bersifat despotik, tidak berakal, sewenang-wenang atau membebankan,” ulas selanjutnya dalam Perisytiharan itu. “Penyatuan politik yang diharapkan oleh Paris, ialah persekutuan sukarela daripada semua inisiatif tempatan, kerjasama secara spontan dan bebas dalam kalangan semua tenaga individu demi mencapai matlamat bersama: kesejahteraan, kebebasan dan keselamatan semua orang. Revolusi Komun, yang dimulakan oleh inisiatif rakyat pada 18 Mac, melancarkan era baharu untuk politik yang bersifat eksperimental, positif dan saintifik. Ia menandakan berakhirnya dunia kerajaan lama dan teokratik, militarisme, birokrasi, eksploitasi, pengautan keuntungan, monopoli dan keistimewaan, yang menjadi punca perhambaan golongan proletar dan membawa kemalangan dan bencana kepada Tanah Air.”
Walau bagaimanapun, banyak dasar yang diumumkan oleh Komun Paris tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana ancaman serangan daripada kerajaan Versailles yang hendak menghancurkan revolusi dan juga tempoh kewujudan Komun Paris yang sangat pendek itu.

Melangkaui “keganasan revolusioner”
Walaupun Komun Paris 1871 mewarisi semangat Revolusi Perancis 1792 yang radikal, Majlis Komun Paris telah memisahkan diri mereka daripada “Pemerintahan Ganas” di bawah Jawatankuasa Keselamatan Awam dahulu yang cuba menggunakan “keganasan revolusioner” yang melampau untuk mengekalkan pemerintahan revolusioner. Salah satu keputusan penting yang dibuat oleh Majlis Komun Paris ialah memansuhkan hukuman mati. Tidak seperti fasa Revolusi Perancis yang radikal sebelum itu, musuh revolusi yang mengancam Komun Paris akan ditangkap, tetapi mereka tidak akan dihukum mati.
Pada 6 April 1871, anggota-anggota Pengawal Kebangsaan dan penduduk-penduduk Paris yang mendukung Komun Paris membawa keluar gilotin yang disimpan di dalam penjara Paris pada masa itu, bukan hendak menggunakannya untuk memancung kepala sesiapa, sebaliknya terus memusnahkannya. Warga Paris memusnahkan gilotin itu dengan membakarnya di dataran awam Place Vendôme, dengan orang ramai bersorak dengan meriahnya. Tindakan pemusnahan gilotin yang simbolik itu merupakan inisiatif golongan akar umbi di Paris, bukannya pertunjukan yang disusun oleh mana-mana ahli politik.

Gilotin, yang merupakan lambang “keganasan revolusioner”, berkaitan rapat dengan politik radikal dalam Revolusi Perancis, kerana ia pada asalnya digunakan untuk menjalankan hukuman mati terhadap golongan kontra-revolusioner, termasuklah Raja Louis XVI yang dipancung kepalanya dengan gilotin pada 21 Januari 1793. Apabila kotak pandora kuasa pemusnah gilotin dibuka, ia sukar untuk ditutup semula. Sejak itu, gilotin telah digunakan berulang kali, sama ada oleh golongan revolusioner atau golongan reaksioner, untuk menghukum mati musuh politik mereka. Bagi golongan Jacobin yang berkuasa pada tahun 1793-1794, “keganasan revolusioner” yang menggunakan gilotin dianggap sebagai satu keperluan untuk menghapuskan musuh revolusi dan memajukan usaha perubahan masyarakat yang radikal. Malah, gilotin dianggap sebagai simbol pembebasan bagi segelintir golongan revolusioner. Namun, ramai dalam kalangan golongan revolusioner Perancis sendiri turut menjadi mangsa gilotin, termasuk Jacques Hébert (1757-1794), Maximilien Robespierre (1758-1794), Georges Danton (1759-1794), Camille Desmoulins (1760-1794), Gracchus Babeuf (1760-1797) dan Louis Antoine de Saint-Just (1767-1794). Penggunaan gilotin yang berleluasa semasa Revolusi Perancis juga meninggalkan trauma yang hebat kepada masyarakat umum.
Dalam keadaan bandar Paris yang mengalami revolusi sosial tetapi dikepung oleh musuh-musuh revolusi, terutamanya kerajaan pusat di Versailles, yang hendak menawan semula Paris untuk mengembalikan pemerintahan kelas borjuis yang reaksioner dan konservatif, pemusnahan gilotin boleh dianggap sebagai satu tindakan yang agak berani untuk menolak idea bahawa perubahan revolusioner boleh dicapai melalui pembunuhan orang dan “Pemerintahan Ganas”. Melangkaui pemikiran “keganasan revolusioner” itu sendiri dengan pemansuhan hukuman mati, merupakan sesuatu yang amat revolusioner.

Tindakan memusnahkan gilotin itu juga menunjukkan keazaman dan kesungguhan massa yang revolusioner untuk menghancurkan jentera negara yang lama. Mereka sedar bahawa revolusi tidak dapat disempurnakan dengan jentera keganasan negara, sebaliknya harus menghancurkan jentera keganasan negara untuk pembebasan yang sebenar.
Revolusi bukannya semata-mata untuk rakyat yang ditindas itu membalas dendam terhadap golongan pemerintah yang menindas rakyat, tetapi ia harus melangkaui lebih daripada itu. Revolusi yang sebenar harus membawa harapan baharu yang bersifat pembebasan, termasuk pembebasan daripada keganasan dan ketakutan terhadap keganasan. Pembebasan masyarakat tidak akan tercapai melalui pengagungan terhadap keganasan negara, termasuklah “keganasan revolusioner” yang ditunjukkan dalam penggunaan gilotin semasa Revolusi Perancis. Revolusi yang sebenar bukannya membunuh secara beramai-ramai mereka yang dianggap sebagai golongan penindas atau penyokong golongan penindas atau golongan kontra-revolusioner, malah sering wujudnya keadaan menghukum mati orang secara tersilap, sebaliknya ia harus dapat membebaskan kedua-dua golongan yang ditindas dan golongan yang menindas dengan mengubah sepenuhnya seluruh sistem yang membenarkan penindasan itu terus berlaku. Revolusi seharusnya membawa makna pembebasan, bukan pembunuhan. Revolusi yang sebenar dan bersifat pembebasan ialah perubahan radikal yang menegakkan kemanusiaan, bukannya menghancurkan kemanusiaan dengan pembalasan dendam yang tidak kehabis-habisan.

Usaha pembentukan komun revolusioner di bandar lain
Penubuhan Komun Paris, sebuah kerajaan kelas pekerja hasil daripada perjuangan revolusioner golongan kelas bawahan, telah memberi rangsangan dan inspirasi kepada golongan revolusioner di bandar-bandar lain di Perancis untuk menubuhkan pemerintahan kelas pekerja masing-masing. Majlis Komun Paris memutuskan untuk menghantar perwakilan ke bandar-bandar besar lain di Perancis supaya memberi galakan kepada golongan revolusioner yang hendak menubuhkan komun mereka sendiri.
Lyon, bandar perindustrian penting yang terletak kira-kira 390 km ke tenggara Paris, mempunyai sejarah perjuangan kelas pekerja yang agak lama. Lyon pernah mengalami pemberontakan pekerja yang hebat sebanyak 3 kali, pada tahun 1831, 1834 dan 1848, apabila pekerja-pekerja penenun kain sutera (yang dikenali sebagai canut) bangkit menuntut upah dan keadaan kerja yang lebih baik. Pemberontakan Canut di bandar Lyon merupakan sebahagian penting daripada perjuangan kebangkitan kelas pekerja pada awal zaman Revolusi Perindustrian. Pada awal tahun 1870, anggota-anggota Internasional Pertama di Lyon berhubung dengan Mikhail Bakunin, tokoh revolusioner dari Rusia, dan mula berusaha mempersiapkan diri pekerja-pekerja di situ untuk melancarkan perjuangan revolusioner. Mereka menganjurkan sebuah perhimpunan yang dihadiri oleh ribuan orang pada 13 Mac 1870, dan memilih Albert Richard (1846-1925) sebagai ketua organisasi Internasional Pertama di Lyon. Anggota-anggota Internasional Pertama di Lyon menganjurkan satu demonstrasi yang berarak secara aman dari Place des Terreaux ke Rue Sala pada 20 Julai 1870 apabila tercetusnya Perang Perancis-Prusia.

Selepas mengetahui tentang kekalahan Napoleon III dalam Pertempuran Sedan, pada 4 September 1870, serupa dengan apa yang berlaku di Paris pada hari yang sama, orang ramai berhimpun di hadapan bangunan Hôtel de Ville Lyon (iaitu dewan perbandaran Lyon), dengan golongan republikan mengambil kesempatan untuk mengisytihar kejatuhan empayar dan pembentukan republik. Sebuah jawatankuasa keselamatan awam ditubuhkan oleh golongan republikan dengan penyertaan beberapa orang anggota Internasional Pertama. Apabila Mikhail Bakunin tiba di Lyon pada pertengahan bulan September 1870, dia terkejut apabila mendapati anggota-anggota Internasional Pertama di situ bekerjasama dengan golongan republikan moderat. Bakunin mendesak anggota-anggota Internasional Pertama di Lyon supaya mendukung perang revolusi untuk menentang tentera Prusia yang menceroboh dan bersedia untuk menjatuhkan Kerajaan Pertahanan Negara yang mengalah di hadapan musuh.
Pada 17 September 1870, anggota-anggota Internasional Pertama di Lyon bermesyuarat untuk menubuhkan “Jawatankuasa Penyelamatan Perancis” (Comité du salut de la France) dengan tuntutan untuk menganjurkan kerahan besar-besaran dan perang revolusi berasaskan semangat Revolusi Perancis 1792-1793 yang radikal. Jawatankuasa Penyelamatan Perancis itu dianggotai oleh Mikhail Bakunin, Charles Beauvoir (1811-1879), Eugène Saignes (1823-1889), Gustave Paul Cluseret (1823-1900), Louis Palix (1829-1871), Albert Richard dan Camille Camet (1850-1917) yang dilantik sebagai setiausaha.
Pada 26 September 1870, ketika Paris sudah dikepung oleh tentera Prusia, Jawatankuasa Penyelamatan Perancis di Lyon menyeru dalam satu perjumpaan dengan golongan pekerja supaya menggantikan Kerajaan Pertahanan Negara dengan sebuah persekutuan bandar-bandar yang dinyahpusatkan. Mereka menyeru untuk menubuhkan Persekutuan Revolusioner Komun.

Pada 28 September 1870, Jawatankuasa Penyelamatan Perancis menampalkan poster-poster merah di bandar Lyon dengan tuntutan-tuntutan seperti:
- Pemansuhan jentera pentadbiran negara;
- Penggantungan semua mahkamah dan menggantikannya dengan kehakiman rakyat;
- Penggantungan bayaran cukai dan gadai janji, dengan cukai digantikan dengan sumbangan daripada bandar-bandar berpersekutuan yang ditanggung oleh golongan kaya;
- Kerajaan tidak lagi mencampur tangan dalam pembayaran hutang persendirian;
- Penggantian badan pentadbiran perbandaran yang sedia ada dengan Jawatankuasa Penyelamatan Perancis di bandar masing-masing di bawah kawalan rakyat secara langsung;
- Setiap jawatankuasa dari ibu kota wilayah akan menghantar dua orang wakil supaya membentuk Konvensyen Revolusioner untuk Penyelamatan Perancis;
- Konvensyen Revolusioner untuk Penyelamatan Perancis akan bersidang segera di Hôtel de Ville Lyon.
Di bawah seruan Jawatankuasa Penyelamatan Perancis, ribuan orang pekerja berdemonstrasi dengan membawa bendera merah dan berhimpun di Place des Terreaux yang terletak di pusat bandar Lyon. Kira-kira 100 orang revolusioner, termasuk Bakunin, Eugène Saignes dan Albert Richard menyerbu masuk ke dalam Hôtel de Ville Lyon. Gustave Paul Cluseret pergi ke kawasan kejiranan kelas pekerja dengan hasrat untuk memobilisasi lebih ramai orang tetapi gagal. Pasukan Pengawal Kebangsaan daripada golongan kelas menengah borjuis dikerahkan untuk mengepung dan menawan semula Hôtel de Ville Lyon. Pemberontakan itu dipatahkan dengan cepat, dan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap golongan pemberontak. Mereka yang terlibat dalam Jawatankuasa Penyelamatan Perancis, seperti Bakunin dan Cluseret, melarikan diri ke Marseilles.

Hampir 6 bulan kemudian, apabila berita tentang pemberontakan revolusioner yang mendirikan Komun Paris itu sampai di Lyon, golongan sosialis dan anggota-anggota Pengawal Kebangsaan yang revolusioner berhimpun pada 22 Mac 1871 untuk mendengar pesanan yang disampaikan oleh perwakilan dari Komun Paris. Mereka kemudian berarak ke Hôtel de Ville Lyon dan menduduki bangunan itu. Golongan revolusioner menubuhkan sebuah Jawatankuasa Komun yang terdiri daripada 15 orang ahli. Mereka menahan datuk bandar Lyon, mengibarkan bendera merah di bangunan Hôtel de Ville Lyon dan mengisytihar sokongan mereka kepada Komun Paris. Charles Amouroux (1843-1885), seorang wartawan yang merupakan wakil dari Komun Paris, berucap di hadapan ribuan orang yang berhimpun dengan penuh bersemangat di luar Hôtel de Ville Lyon.
Namun, berbeza dengan Komun Paris, Komun Lyon itu hanya bertahan selama dua hari. Pada hari keesokannya, iaitu 23 Mac 1871, anggota-anggota Pengawal Kebangsaan yang masih setia pada kerajaan pusat mengisytihar bahawa mereka tidak bersetuju dengan pengambilalihan kuasa di Hôtel de Ville Lyon. Dengan itu, Komun Lyon kehilangan sokongan daripada segmen masyarakat yang penting untuk kelangsungannya. Pada 24 Mac 1871, empat buah akhbar utama di bandar Lyon menyatakan pendirian mereka yang menolak Lyon. Komun Lyon dipatahkan tanpa pertumpahan darah, dengan anggota-anggotanya meninggalkan Hôtel de Ville Lyon secara aman. Pada 25 Mac 1871, Jacques-Louis Hénon (1802-1872), datuk bandar Lyon pada masa itu, menjemput tentera Perancis yang pernah mempertahankan Belfort semasa Perang Perancis-Prusia untuk datang ke bandar Lyon supaya menghalang pemberontakan selanjutnya.
Sebahagian golongan revolusioner di Lyon masih bertahan di daerah La Guillotière. Pada 30 April 1871, anggota-anggota Pengawal Kebangsaan menduduki bangunan dewan perbandaran di situ dan mendirikan benteng jalanan. Pasukan tentera kerajaan dikerahkan ke situ dan mematahkan pemberontakan itu pada hari keesokannya.

Komun di luar Paris yang bertahan paling lama ialah Komun Marseille, yang wujud selama dua minggu dari 23 Mac hingga 4 April 1871. Marseille, bandar yang terletak di pantai selatan Perancis, mempunyai tradisi sentimen republikan yang kuat, dan golongan republikan daripada pelbagai aliran di situ sudah membangunkan kerjasama sejak tahun 1865 untuk menentang pemerintahan Maharaja Napoleon III. Léon Gambetta, tokoh pemimpin republikan berkarisma yang kemudiannya menjadi Menteri Dalam Negeri Kerajaan Pertahanan Negara, dipilih sebagai ahli badan perundangan yang mewakili wilayah Bouches-du-Rhône di mana ibu kotanya ialah Marseille, dalam pilihan raya pada tahun 1869.

Selepas tercetusnya Perang Perancis-Prusia, pada 7 Ogos 1870, golongan radikal di Marseille melancarkan pemberontakan pertama mereka di bawah kepimpinan Gaston Crémieux (1836-1871), Émile Bouchet (1840-1918), Maurice Rouvier (1842-1911) dan Gustave Naquet (1819-1889). Namun, pemberontakan itu dipatahkan secara keras oleh pihak berkuasa tempatan dan golongan pemberontak ditangkap serta dipenjarakan. Pada 4 September 1870, apabila Empayar Perancis Kedua dijatuhkan dan Republik diisytihar, golongan pemberontak yang ditahan di dalam penjara itu, termasuk Gaston Crémieux, terus dibebaskan dengan orang ramai berhimpun untuk menyambut pembebasan mereka. Pada 31 Oktober 1870, golongan radikal menduduki Hôtel de Ville Marseille dan mengisytihar penubuhan komun. Adolphe Joseph Carcassonne (1826-1891), seorang sasterawan, dipilih sebagai pengerusi komun. Gustave Paul Cluseret, yang melarikan diri ke Marseille selepas kegagalan pemberontakan revolusioner di Lyon pada bulan September 1870, dilantik oleh golongan pemberontak sebagai komander Pengawal Kebangsaan di Marseille. Namun, pihak berkuasa yang setia kepada Kerajaan Pertahanan Negara dapat menguasai semula Marseille tidak lama kemudian.
Pada 22 Mac 1871, Gaston Crémieux, seorang peguam dan wartawan berfahaman sosialis yang terlibat dalam pemberontakan di Marseille sebelum itu, menerajui pemberontakan yang ketiga di Marseilles, untuk memberi sokongan kepada Komun Paris. Crémieux menghimpunkan golongan sosialis dan republikan radikal, di samping menggesa anggota-anggota Pengawal Kebangsaan untuk menyokong Komun Paris dan menolak kerajaan pusat di Versailles. Golongan demonstran berarak di jalanan Marseille dengan melaungkan slogan “Hidup Paris! Hidup Komun!” Clovis Hugues (1851-1901), seorang wartawan muda pada masa itu, berarak di sisi Crémieux dengan mengibarkan bendera merah yang melambangkan sosialisme.
Pada 23 Mac 1871, Préfet Marseille cuba memanggil mesyuarat dengan Pengawal Kebangsaan untuk memastikan mereka akan kekal menyokong kerajaan pusat, tetapi anggota-anggota Pengawal Kebangsaan terus menyerbu Hôtel de Ville Marseille dan menahan kedua-dua orang préfet dan datuk bandar. Golongan pemberontak mengisytihar penubuhan Komun Marseille yang dipimpin oleh sebuah suruhanjaya yang terdiri daripada 6 orang ahli, kemudiannya ditambah kepada 12 orang. Komander tentera di Marseille mengundurkan pasukan tentera dari bandar itu ke Aubagne yang terletak kira-kira 17 km di timur dari Marseille.
Pada 27 Mac 1871, 4 orang wakil Komun Paris tiba di Marseille, termasuk Bernard Landeck (1832-???) dan Charles Amouroux yang pernah terlibat dalam pembentukan Komun Lyon yang gagal beberapa hari sebelum itu. Bernard Landeck yang terus mengambil alih kepimpinan sebagai ketua suruhanjaya Komun Marseille tidak percaya pada golongan moderat yang menganggotai Komun Marseille. Gaston Crémieux yang dianggap sebagai seorang moderat ditangkap tetapi dibebaskan tidak lama kemudian.
Suruhanjaya Komun Marseille menetapkan tarikh 6 April 1871 untuk mengadakan pilihan raya Komun, tetapi pilihan raya itu tidak akan berlaku kerana Komun Marseille dipatahkan sebelum tarikh itu. Pada masa itu, suruhanjaya revolusioner yang menguasai bandar Marseille telah berpecah kepada dua puak, satu kumpulan menduduki Hôtel de Ville Marseille dan satu lagi kumpulan menduduki ibu pejabat pentadbiran wilayah. Suruhanjaya yang diketuai oleh Bernard Landeck cuba membubarkan majlis perbandaran yang dipimpin oleh Émile Bouchet yang merupakan sekutu kepada Gaston Crémieux. Landeck cuba mendesak untuk menerima bendera merah sebagai lambang Komun Marseille, sementara Crémieux mencadangkan bendera hitam sebagai lambang berkabung (walaupun ia sering dikaitkan dengan anarkisme) dengan hasrat mengekalkan kesinambungan undang-undang dan mengelakkan gangguan politik. Perpecahan antara golongan radikal yang dipimpin oleh perwakilan dari Paris dan golongan moderat di Marseille telah melemahkan Komun Marseille.

Pada 3 April 1871, pasukan tentera yang setia kepada kerajaan pusat di Versailles, dengan bilangannya kira-kira 7,000 orang, mula mara ke bandar Marseille. Pada 4 April 1871, tentera kerajaan pusat bertempur dengan kira-kira 2,000 orang anggota Pengawal Kebangsaan yang cuba mempertahankan Komun Marseille. Kira-kira 150 orang pendukung Komun Marseille dan 30 orang askar kerajaan terbunuh dalam pertempuran. Oleh sebab tidak dapat menandingi kekuatan tentera kerajaan, Komun Marseille ditumpaskan. Kira-kira 900 orang pemberontak ditahan. Bernard Landeck melarikan diri ke Paris; Gaston Crémieux yang enggan melarikan diri telah ditangkap pada 8 April 1871. Crémieux dibicarakan oleh mahkamah tentera pada bulan Jun 1871, bersama dengan pemimpin-pemimpin pemberontak lain yang kebanyakannya golongan moderat, termasuk Émile Bouchet. Ramai yang tertuduh akhirnya dibebaskan, tetapi Crémieux telah dimangsakan oleh kerajaan pusat apabila dia menjadi satu-satunya tahanan yang dijatuhkan hukuman mati. Hukuman mati terhadap Crémieux dilaksanakan lima bulan kemudian pada 30 November 1871.
Di Saint-Étienne, yang terletak kira-kira 60 km ke barat daya bandar Lyon, golongan republikan yang radikal teruja apabila mendengar berita tentang pemberontakan revolusioner di Paris. Pada 23 Mac 1871, sebuah delegasi yang dihantar oleh golongan republikan radikal di Saint-Étienne menuntut peletakan jawatan majlis perbandaran, tetapi tuntutan itu ditolak. Pada 24 Mac 1871, golongan pekerja dan sebahagian anggota Pengawal Kebangsaan yang revolusioner menyerbu Hôtel de Ville Saint-Étienne untuk menawan bangunan itu. Golongan revolusioner di Saint-Étienne menuntut untuk mengadakan plebisit dan menubuhkan sebuah komun. Stesen kereta api dan pejabat telegraf diduduki oleh Pengawal Kebangsaan yang memberontak. Pengawal Kebangsaan yang mengambil alih kuasa di Saint-Étienne menubuhkan sebuah jawatankuasa eksekutif dan mengumumkan bahawa pilihan raya Komun akan diadakan pada 29 Mac 1871. Namun, pada 26 Mac 1871, anggota-anggota Pengawal Kebangsaan yang berfahaman lebih moderat menjauhi diri mereka daripada Komun Saint-Étienne. Pada 28 Mac 1871, sebuah unit tentera kerajaan memasuki bandar Saint-Étienne dan mara ke Hôtel de Ville Saint-Étienne. Ratusan orang anggota Pengawal Kebangsaan yang berada di Hôtel de Ville Saint-Étienne bersurai tanpa memberi tentangan kepada tentera kerajaan yang cuba mengambil alih bangunan itu. Dengan itu, Komun Saint-Étienne hanya wujud selama 4 hari dan dipatahkan dengan mudahnya.

Di Le Creusot yang terletak di bahagian timur tengah Perancis, wujudnya pertembungan antara golongan demokrat republikan dan golongan konservatif untuk menguasai bandar itu selepas kejatuhan Empayar Perancis Kedua pada bulan September 1870, dengan golongan republikan menubuhkan Jawatankuasa Pertahanan Negara tempatan untuk menyusun perjuangan menentang tentera penceroboh Prusia. Pada 24 September 1870, Jean-Baptiste Dumay (1841-1926), seorang sosialis yang merupakan anggota Internasional Pertama dan pengerusi Jawatankuasa Pertahanan Negara di Le Creusot, dilantik sebagai datuk bandar Le Creusot. Selepas mendapat tahu tentang pemberontakan Komun Paris pada bulan Mac 1871, golongan republikan dan golongan sosialis di Le Creusot memutuskan untuk mengadakan demonstrasi yang menyokong Komun Paris. Pada 25 Mac 1871, Albert Leblanc (1844-???), wakil yang dihantar oleh Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan Paris ke Le Creusot menyeru pada rakyat Le Creusot untuk mengisytihar komun mereka sendiri, dan membantu Jean-Baptiste Dumay untuk menganjurkan demonstrasi pada hari keesokannya. Pada 26 Mac 1871, Pengawal Kebangsaan yang berhimpun di hadapan dewan perbandaran melaungkan slogan “Hidup Republik”. Jean-Baptiste Dumay mengisytihar dari tingkap bangunan dewan perbandaran, “Saya bukan lagi perwakilan kerajaan Versailles. Saya ialah perwakilan Komun Le Creusot.” Dumay menghantar Pengawal Kebangsaan untuk menduduki bangunan-bangunan penting seperti stesen kereta api dan pejabat pos, tetapi bangunan-bangunan itu diduduki oleh tentera yang masih setia pada kerajaan pusat di Versailles. Lebih banyak tentera kerajaan pusat tiba di Le Creusot pada 27 Mac 1871, dengan perhimpunan diharamkan dan waran tangkap dikeluarkan terhadap pemimpin-pemimpin gerakan revolusioner. Pihak berkuasa juga menyuraikan demonstrasi yang menyokong Dumay dan Komun Le Creusot. Usaha pembentukan Komun Le Creusot dipatahkan sepenuhnya pada 28 Mac 1871. Ramai pemimpin gerakan revolusioner di Le Creusot melarikan diri ke Geneva, Switzerland, sementara sebahagian yang tidak sempat melarikan diri ditahan oleh pihak berkuasa. Jean-Baptiste Dumay yang ditahan pada awalnya berjaya melepaskan diri dan bersembunyi di bandar itu sebelum melarikan diri ke Switzerland pada bulan Julai 1871. Pihak berkuasa mengarahkan pelucutan senjata Pengawal Kebangsaan di Le Creusot pada penghujung bulan April 1871.
Di Besançon, sebuah bandar yang juga terletak di bahagian timur tengah Perancis, golongan anarkis yang mengganggotai Internasional Pertama pada masa itu merancangkan untuk melancarkan pemberontakan dengan hasrat menubuhkan sebuah komun di situ pada penghujung bulan Mei 1871 atau awal bulan Jun 1871. Namun, rancangan itu telah dibatalkan berikutan Komun Paris dipatahkan secara ganas oleh kerajaan Versailles.

Di Narbonne yang terletak di bahagian barat daya Perancis, selepas menerima berita tentang pemberontakan Komun Paris, anggota-anggota “Kelab Revolusi” meminta Émile Digeon (1822-1894), seorang wartawan dan tokoh republikan yang pernah dibuang negeri ke Algeria, untuk memimpin pemberontakan rakyat di situ. Pada 23 Mac 1871, dalam sebuah perjumpaan yang dihadiri oleh kira-kira 1,600 orang, sebuah petisyen dirangka untuk ditujukan kepada majlis perbandaran Narbonne, dengan seruan untuk mengiktiraf Komun Paris, menolak kerajaan Versailles dan memberi senjata kepada Pengawal Kebangsaan, tetapi petisyen itu ditolak oleh majlis perbandaran Narbonne. Pada 24 Mac 1871, pemberontakan spontan tercetus di Narbonne dan orang ramai menyerbu masuk ke dalam dewan perbandaran. Émile Digeon mengumumkan di balkoni dewan perbandaran tentang penubuhan Komun Narbonne yang bersekutu dengan Komun Paris. Seperti Paris, bendera merah dikibarkan. Komun Narbonne mendapat sokongan daripada sebahagian askar yang ditempatkan di bandar itu, dan berjaya menguasai kawasan pusat bandar. Namun, selepas tentera yang dikerahkan oleh kerajaan pusat Versailles tiba di Narbonne pada 29 Mac 1871, Komun Narbonne dipatahkan sepenuhnya pada 31 Mac 1871. Ramai orang ditangkap, dengan 19 orang dijatuhkan hukuman mati yang kemudiannya ditukar kepada penjara seumur hidup di pusat tahanan seberang laut di Nouvelle-Calédonie. Émile Digeon juga ditangkap tetapi dibebaskan pada bulan November 1871 selepas perbicaraan.
Di Toulouse yang juga terletak di bahagian barat daya Perancis, kira-kira 94 km ke barat laut dari Narbonne, anggota-anggota Pengawal Kebangsaan yang revolusioner menyerbu dan menduduki Capitole de Toulouse (iaitu dewan perbandaran Toulouse) pada 24 Mac 1871. Perisytiharan Komun Revolusioner Toulouse yang ditulis oleh Armand Duportal (1814-1887), seorang wartawan republikan yang dilantik sebagai Préfet wilayah Haute-Garonne (dengan Toulouse sebagai ibu kota wilayah), dibacakan di Capitole de Toulouse pada 25 Mac 1871. Duportal cuba berunding dengan kerajaan Versailles dengan menjanjikan bahawa ketenteraman awam tidak diganggu. Namun, Komun Toulouse hanya bertahan 3 hari selepas golongan revolusioner berundur dari bangunan Capitole de Toulouse tanpa bertempur dengan tentera kerajaan pada 27 Mac 1871. Duportal ditangkap tetapi dibebaskan tidak lama kemudian.
Di Limoges yang terletak di bahagian barat tengah Perancis, walaupun tiadanya pengisytiharan penubuhan komun, anggota-anggota Pengawal Kebangsaan yang revolusioner pernah menguasai Hôtel de Ville Limoges pada 3-5 April 1871 sebelum dilucutkan senjata oleh tentera kerajaan.
Terdapat juga cubaan pemberontakan untuk mendirikan komun revolusioner di bandar-bandar lain seperti Bordeaux, Cuers, Foix, Grenoble, Le Havre, Nîmes, Périgueux, Perpignan dan Rouen, tetapi semuanya digagalkan.

Dengan usaha pembentukan komun yang revolusioner di bandar-bandar lain menemui kegagalan, Komun Paris telah diasingkan sepenuhnya. Sekali lagi bandar Paris dikepung, bukannya oleh tentera penceroboh dari negara asing, tetapi oleh kuasa reaksioner di dalam negara sendiri yang tidak membenarkan pembangunan sebuah alternatif kepada susunan masyarakat sedia ada. Kuasa reaksioner itu sanggup menggunakan keganasan hebat untuk melenyapkan kebangkitan revolusioner rakyat.
“Perang Saudara Perancis”
Walaupun anggota-anggota Majlis Komun Paris tidak mempunyai konsensus dalam persoalan apa yang patut dilakukan terhadap kerajaan pusat di Versailles, golongan elit politik yang duduk di Versailles pula agak jelas dengan hasrat mereka. Sama ada golongan republikan moderat, Orléaniste, Légitimiste atau Bonapartiste, semuanya berpandangan bahawa Komun Paris harus dihancurkan. Bagi mereka yang duduk di Versailles, Komun Paris ialah satu-satunya ancaman kepada susunan masyarakat sedia ada, sesuatu yang jauh lebih dahsyat berbanding pencerobohan tentera Jerman. Golongan elit pemerintah Perancis langsung tidak dapat menerima kewujudan Komun Paris sebagai pemerintahan kelas pekerja yang pertama di dunia.
Adolphe Thiers menganggarkan bahawa dia memerlukan 150,000 orang untuk menawan semula bandar Paris, tetapi dia hanya mempunyai kira-kira 20,000 orang askar yang boleh dikerahkan pada ketika dia berundur ke Versailles. Oleh itu, Thiers bertindak segera untuk memanggil lebih banyak pasukan tentera dari tempat lain untuk mengumpulkan kekuatan tentera yang mencukupi. Sebahagian besar tentera yang dikumpulkannya datang daripada tahanan perang yang baharu dibebaskan oleh pihak Jerman. Jules Favre malah menulis kepada Canselor Otto von Bismarck dari Jerman dengan rayuan supaya kerajaan Jerman membebaskan tahanan perang dalam kadar yang lebih cepat, dengan berjanji bahawa tentera itu akan digunakan untuk menghancurkan pemberontakan revolusioner di Paris dan memulihkan susunan masyarakat. Wilayah-wilayah lain juga menghantar unit tentera untuk membantu Versailles.

Thiers melantik Marsyal Patrice de MacMahon (1808-1893), pegawai tentera yang terkenal dengan kepimpinannya dalam pertempuran dengan tentera Austria bagi pihak Napoleon III semasa Perang Kemerdekaan Itali dan pernah menjadi Gabenor-Jeneral Algeria, sebagai ketua komander tentera baharu yang dikumpulkannya. Sebelum itu, MacMahon telah dicederakan dalam Pertempuran Sedan pada bulan September 1870 dan dijadikan tahanan perang bersama Napoleon III.
Walaupun Paris mempunyai kelebihan taktikal kerana tembok pertahanan bandarnya yang agak kukuh sehingga tentera Prusia pun tidak mahu menyerang secara langsung, kepimpinan Pengawal Kebangsaan di Paris pula gagal bertindak secara pantas untuk memperkukuhkan pertahanan bandar itu. Lebih-lebih lagi, selepas anggota-anggota Pengawal Kebangsaan yang berasal daripada lapisan masyarakat kelas menengah dan atasan meninggalkan bandar Paris selepas berakhirnya pengepungan selama 4 bulan, dan mereka yang menyertai Pengawal Kebangsaan semata-mata untuk memperoleh upah juga tidak lagi melaporkan diri, jumlah keanggotaan Pengawal Kebangsaan atas kertas telah menurun daripada 400,000 orang kepada 200,000 orang, dengan keanggotaan sebenarnya tinggal hanya kira-kira 50,000 orang yang benar-benar komited dan bersedia untuk bertempur menjelang penghujung bulan Mac 1871. Tambahan pula, corak tadbir urus demokratik yang diamalkan oleh Pengawal Kebangsaan, di mana semua keputusan harus dibincangkan dan melalui proses pengundian, telah menyukarkan penyelarasan antara batalion-batalion yang beroperasi secara sendiri, walaupun semua anggota Pengawal Kebangsaan sepatutnya mematuhi segala arahan daripada Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan.

Apabila tentera tetap berundur bersama kerajaan pusat dari Paris pada 18 Mac 1871, kubu-kubu pertahanan di pinggiran bandar Paris, termasuk kubu penting di Mont-Valérien yang terletak di hujung barat, telah dikosongkan. Namun, Pengawal Kebangsaan tidak menduduki kubu-kubu yang disokongkan itu dengan segera. Apabila Pengawal Kebangsaan cuba mengambil alih kubu Mont-Valérien pada 21 Mac 1871, mereka mendapati bahawa tentera kerajaan pusat telah menduduki semula kubu itu.
Pada 30 Mac 1871, tentera kerajaan pusat dari Versailles mula bertempur dengan Pengawal Kebangsaan yang meronda di luar tembok bandar Paris. Pada 1 April 1871, sebuah mesyuarat bersama antara Suruhanjaya Ketenteraan, Suruhanjaya Eksekutif dan Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan memutuskan untuk melancarkan serangan ke atas Versailles dalam tempoh terdekat.

Pada 2 April 1871, tentera kerajaan pusat menyerang lagi pos kawalan Pengawal Kebangsaan di Courbevoie yang terletak di pinggiran bandar Paris. Anggota-anggota Pengawal Kebangsaan pada asalnya beranggapan bahawa askar-askar daripada tentera kerajaan akan bersolidariti dengan mereka seperti yang pernah berlaku pada 18 Mac 1871 sebelum itu, tetapi askar-askar yang dikerahkan oleh Versailles tetap melepaskan tembakan ke arah Pengawal Kebangsaan. Tentera kerajaan Versailles menangkap 30 orang anggota Pengawal Kebangsaan, dan terus membunuh 5 orang di situ kerana terdapat arahan daripada kerajaan Versailles untuk menghukum mati serta-merta mereka yang didapati berpaling tadah daripada tentera tetap.
Tindakan penghukuman mati serta-merta sesiapa yang ditangkap memegang senjata itu kemudiannya menjadi amalan biasa bagi tentera kerajaan sepanjang perangnya terhadap Komun Paris. Kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Versailles jelas berbeza secara ketara dengan prinsip kemanusiaan Komun Paris yang memansuhkan hukuman mati. Walaupun pertembungan bersenjata antara kerajaan Versailles dan Komun Paris itu dianggap sebagai “perang saudara”, golongan pemerintah Versailles tidak pernah menganggap golongan revolusioner di Paris sebagai saudara mereka, malah sanggup menggunakan segala keganasan untuk memusnahkan mereka. Oleh itu, dalam “perang saudara” di Perancis pada tahun 1871, kuasa ketertiban yang melakukan keganasan yang melampau, bukannya kuasa revolusi.

Pada 3 April 1871, kira-kira 40,000 orang anggota Pengawal Kebangsaan menyerbu keluar dari Paris dengan harapan menawan Versailles dalam tempoh sehari. Namun, operasi ketenteraan yang diaturkan secara melulu itu menyebabkan kekalahan teruk kepada Pengawal Kebangsaan. Tentera kerajaan yang menguasai kubu-kubu di pinggiran bandar Paris, seperti kubu di Mont-Valérien, membedil pasukan Pengawal Kebangsaan dengan tembakan meriam dan memaksa mereka untuk berundur balik ke bandar Paris. Selepas itu, Komun Paris tidak lagi dapat melakukan serangan ke atas Versailles, sebaliknya bandar Paris dikepung lagi, bukan oleh tentera penceroboh dari negara asing, tetapi oleh tentera Perancis sendiri di bawah arahan kerajaan Versailles.
Dengan ancaman daripada kerajaan reaksioner di Versailles semakin nyata, golongan Neo-Jacobin dan golongan Blanquiste memujuk rakan-rakan seperjuangan mereka dalam Majlis Komun Paris bahawa mereka harus berperang dengan Versailles untuk menyelamatkan Komun Paris. Oleh itu, menjelang awal bulan April 1871, Komun Paris semakin beralih ke arah pemusatan kuasa dan pemerkasaan jentera kepolisan dalam keadaan darurat, sesuatu yang tidak disenangi oleh golongan Proudhoniste dan golongan anarkis. Golongan Proudhoniste bimbang bahawa sebuah kerajaan yang bersifat lebih autoritarian akan memusnahkan republik sosial yang hendak dicapai mereka.

Merespon kepada kezaliman tentera kerajaan Versailles yang menghukum mati serta-merta anggota Pengawal Kebangsaan yang ditangkapnya, Majlis Komun Paris mengeluarkan dekri mengenai tebusan pada 5 April 1871, yang menyatakan bahawa sesiapa yang disyaki bersubahat dengan kerajaan Versailles akan ditangkap, dipenjarakan dan dibicarakan oleh Tribunal Revolusioner. Namun, berbeza dengan Tribunal Revolusioner semasa zaman Pemerintahan Ganas, Tribunal Revolusioner Komun Paris tidak menghukum mati sesiapa pun pada masa itu kerana hukuman mati telah dimansuhkan.
Majlis Komun Paris melantik Raoul Rigault (1846-1871), seorang Blanquiste tegar, sebagai ketua polis yang ditugaskan untuk mengenal pasti dan menangkap mereka yang dianggap sebagai musuh Komun Paris. Majlis Komun Paris cuba menggunakan orang yang ditahan mereka itu sebagai modal tawar-menawar untuk pertukaran tahanan dengan kerajaan Versailles. Pada 12 April 1871, atas cadangan Raoul Rigault, Komun Paris menawarkan untuk menukar Georges Darboy (1813-1871), Uskup Agung Paris yang ditahan sejak 4 April 1871, dengan Louis Auguste Blanqui yang ditahan oleh pihak berkuasa Versailles sebelum Revolusi Komun Paris. Namun, tawaran itu terus ditolak oleh Adolphe Thiers. Pada 14 April 1871, Rigault mencadangkan untuk menukar 70 orang tebusan di Paris dengan Blanqui, tetapi juga ditolak oleh Thiers.

Untuk memusatkan usaha perang di bawah perintah yang berpusat, Majlis Komun Paris melantik Gustave Paul Cluseret sebagai Pesuruhjaya Perang. Walaupun bukannya seorang revolusioner yang berdedikasi, Gustave Paul Cluseret merupakan seorang askar upahan profesional yang agak berpengalaman. Dia mula menyertai tentera Perancis pada tahun 1843 dan dijadikan kapten bagi sebuah batalion Pengawal Mudah Alih selepas Revolusi Februari 1848. Cluseret pernah mengambil bahagian dalam penindasan ganas terhadap Pemberontakan Jun 1848. Namun, Cluseret membantah Louis-Napoléon Bonaparte dan hidup dalam buangan selepas rampasan kuasa Louis-Napoléon Bonaparte pada bulan Disember 1851. Cluseret kembali berkhidmat dengan tentera Perancis pada tahun 1853 dan mengambil bahagian dalam Perang Krimea. Selepas meletak jawatan dalam tentera Perancis pada tahun 1858, Cluseret menyertai pasukan sukarelawan Perancis yang menyokong perjuangan Risorgimento (penyatuan Itali) bersama Giuseppe Garibaldi pada tahun 1860, kemudiannya menyertai Angkatan Tentera Kesatuan pada tahun 1861 yang bertempur dalam Perang Saudara Amerika. Cluseret juga pernah mengambil bahagian dalam pemberontakan republikan Ireland terhadap pemerintahan British pada tahun 1867 dan melepaskan diri daripada ditangkap selepas pemberontakan itu dipatahkan. Cluseret pulang ke Perancis buat kali terakhir selepas penubuhan Republik Ketiga pada tahun 1870. Cluseret pernah terlibat dalam cubaan melancarkan pemberontakan revolusioner di Lyon dan Marseilles pada tahun 1870 tetapi semuanya gagal. Selepas berlakunya pemberontakan revolusioner di Paris pada 18 Mac 1871, Cluseret menawarkan dirinya untuk membantu dalam usaha perang terhadap Versailles.
Gustave Paul Cluseret cuba menyusun semula dan mengubah Pengawal Kebangsaan Paris kepada tentera yang sebenar. Tindakan Cluseret mewajibkan semua lelaki yang berumur 17 hingga 35 tahun untuk berkhidmat dalam Pengawal Kebangsaan bertentangan dengan semangat sukarelawanan dalam organisasi kendiri demokratik yang sepatutnya menjadi teras kepada Komun Paris. Cubaan Cluseret untuk mewujudkan sebuah organisasi ketenteraan berpusat dari atas telah melemahkan semangat anggota-anggota akar umbi Pengawal Kebangsaan. Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan juga enggan bekerjasama dan sering mengingkari arahannya. Walaupun pendekatan Cluseret sangat tidak popular, dia masih dapat dipilih sebagai ahli Majlis Komun Paris dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada 16 April 1871.

Walau bagaimanapun, dengan tentera kerajaan Versailles mula menyerang bahagian barat dan selatan Paris dengan pembedilan meriam, Cluseret menyedari bahawa Pengawal Kebangsaan yang mempertahankan bandar Paris itu tidak dapat lagi melancarkan serangan di luar tembok pertahanan Paris. Oleh itu, Cluseret mengarahkan Pengawal Kebangsaan untuk mendirikan benteng pertahanan di dalam bandar Paris.
Untuk menembusi titik yang paling lemah bagi Tembok Thiers yang terletak di bahagian barat daya bandar Paris, pada 25 April 1871, tentera kerajaan Versailles melancarkan serangan ke atas Fort d’Issy, sebuah kubu yang penting yang memberi perlindungan kepada titik lemah tembok pertahanan itu. Fort d’Issy dipertahankan oleh kompeni Pengawal Kebangsaan tanpa bantuan yang dihantar dari bandar Paris, dan terpaksa menghadapi pembedilan berterusan selama beberapa hari daripada artileri tentera kerajaan Versailles.
Namun, apabila berita palsu tentang Fort d’Issy ditawan oleh tentera Versailles pada 30 April 1871 tersebar di dalam bandar Paris, Majlis Komun Paris mengundi untuk melucutkan jawatan Gustave Paul Cluseret sebagai Pesuruhjaya Perang. Cluseret juga ditangkap pada 1 Mei 1871 atas pertuduhan bersubahat dengan musuh, satu dakwaan yang tidak mempunyai asas kukuh.
Pada 28 April 1871, semasa Fort d’Issy dibedil oleh tentera Versailles, golongan Neo-Jacobin dalam Majlis Komun Paris yang berpandangan bahawa pembahagian kuasa yang dinyahpusatkan tidak berkesan dalam keadaan perang, mencadangkan supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa eksekutif yang mempunyai kuasa besar untuk mengambil tindakan radikal dan berkesan, iaitu Jawatankuasa Keselamatan Awam, sebuah entiti yang namanya sering dikaitkan dengan “Pemerintahan Ganas” pada tahun 1793-1794 semasa Revolusi Perancis. Cadangan itu menimbulkan perbahasan hebat dalam Majlis Komun Paris. Majlis Komun Paris kemudiannya mengundi pada 1 Mei 1871, dengan 45 undi sokong berbanding 23 undi tolak, untuk memusatkan kuasa dalam sebuah jawatankuasa eksekutif yang terdiri daripada 5 orang ahli. Jawatankuasa Keselamatan Awam diberi tanggungjawab untuk mengambil tindakan yang diperlukan dalam menangani pelbagai ancaman yang dihadapi Komun Paris. Pada ketika itu, seolah-olah Komun Paris sedang menghidupkan semula corak pemerintahan Jacobin 1793, bukan lagi membina sesuatu yang baharu.

Untuk menggantikan Gustave Paul Cluseret yang dilucutkan jawatannya, Jawatankuasa Keselamatan Awam melantik Louis Rossel (1844-1871), seorang pegawai tentera muda yang patriotik dan enggan menyerah kalah dalam Perang Perancis-Prusia, sebagai Pesuruhjaya Perang yang baharu. Dengan kebimbangan tentera Versailles akan menembusi tembok pertahanan bandar Paris, Louis Rossel mengarahkan pembinaan benteng-benteng pertahanan baharu di dalam bandar Paris, terutamanya di sekeliling kawasan tanah tinggi seperti Montmartre dan tempat terletaknya Panthéon. Namun, Rossel sangat tidak popular dalam kalangan anggota-anggota Pengawal Kebangsaan, kerana dia cuba mengambil pendekatan yang lebih tegas untuk mendisiplinkan Pengawal Kebangsaan. Malah, Rossel juga merancang untuk menghentikan amalan pemilihan demokratik pegawai Pengawal Kebangsaan, tetapi mendapat tentangan hebat daripada Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan.
Dengan serangan dan pembedilan yang semakin hebat, Fort d’Issy akhirnya jatuh dalam tangan tentera kerajaan Versailles pada 9 Mei 1871. Louis Rossel meletak jawatannya sebagai Pesuruhjaya Perang, sementara Jawatankuasa Keselamatan Awam disusun semula dengan keanggotaan yang baharu. Louis Charles Delescluze, seorang pemimpin Neo-Jacobin yang merupakan salah seorang ahli Majlis Komun Paris, dilantik sebagai Pesuruhjaya Perang pada 10 Mei 1871 untuk menggantikan Rossel. Golongan Neo-Jacobin mengharapkan Delescluze untuk menghidupkan semula semangat revolusioner Jacobin 1793 dan memberi nafas baharu kepada Pengawal Kebangsaan yang semakin kehilangan semangat, tetapi Delescluze tidak mempunyai apa-apa pengalaman ketenteraan.

Pada 10 Mei 1871 juga, kerajaan Versailles menandatangani Perjanjian Frankfurt dengan Empayar Jerman untuk menamatkan secara rasminya Perang Perancis-Prusia. Perjanjian Frankfurt diratifikasi oleh Perhimpunan Kebangsaan Perancis yang bersidang di Versailles pada 18 Mei 1871. Dengan wilayah Alsace dan sebahagian wilayah Lorraine diilhakkan oleh Jerman di bawah perjanjian damai itu, kira-kira 160,000 orang penduduk di situ yang enggan menjadi warganegara dipaksa untuk meninggalkan kampung halaman mereka dan berpindah ke tempat lain di Perancis.
Pada 15 Mei 1871, 21 orang anggota Majlis Komun Paris yang tidak bersetuju dengan Jawatankuasa Keselamatan Awam yang semakin memusatkan kuasa dan menjalankan pemerintahan kediktatoran itu datang ke Hôtel de Ville dengan tujuan untuk menyatakan bantahan mereka. Namun, golongan majoriti dalam Majlis Komun Paris yang menyokong pendirian Neo-Jacobin bermesyuarat sendiri tanpa memaklumkan golongan minoriti itu. Oleh itu, ahli-ahli Majlis Komun yang merupakan minoriti meletak jawatan mereka beramai-ramai dan menyatakan kritikan mereka terhadap hala tuju Komun Paris yang membimbangkan itu. Pada hari yang sama, Jawatankuasa Keselamatan Awam mengisytihar bahawa ia merupakan badan kekuasaan yang tertinggi dalam Komun Paris. Pergolakan itu mewujudkan perpecahan dalam kalangan golongan revolusioner pada ketika Komun Paris berada dalam keadaan yang paling kritikal. Walau bagaimanapun, kebanyakan golongan minoriti yang meletak jawatan itu kembali ke Majlis Komun Paris dengan hasrat mengharungi ancaman kontra-revolusi bersama-sama orang lain, dan mereka disambut baik oleh golongan majoriti.

Dengan Komun Paris semakin terancam dan harapan untuk menangkis serangan daripada Versailles semakin tipis, Jawatankuasa Keselamatan Awam mula melaksanakan langkah-langkah yang memusnah, dengan tujuan sekurang-kurangnya memusnahkan simbol-simbol susunan masyarakat lama sebelum Komun Paris dimusnahkan. Pada 16 Mei 1871, tiang dengan patung Napoleon Bonaparte di Place Vendôme dirobohkan. Perobohan tiang itu disokong kuat oleh Gustave Courbet, pelukis terkenal yang merupakan Presiden Persekutuan Artis dan anggota Majlis Komun Paris, yang berpandangan bahawa Tiang Vendôme itu bukan sahaja tidak mempunyai nilai-nilai estetik, malah mengagungkan penaklukan dinasti empayar yang lampau. Perobohan tiang dengan patung Napoleon itu sudah pun “diramalkan” oleh Karl Marx dalam tulisannya “18 Brumaire Louis Bonaparte” (1852), “Apabila mantel empayar akhirnya jatuh ke atas bahu Louis Bonaparte, patung gangsa Napoleon akan jatuh ke bawah dari hujung atas Tiang Vendôme.”
“Minggu Berdarah”
Perjanjian Frankfurt yang ditandatangani pada 19 Mei 1871 telah mempercepatkan pembebasan tahanan perang di bawah Empayar Jerman untuk membantu kerajaan Versailles pimpinan Adolphe Thiers dalam usahanya menumpaskan Komun Paris. Walaupun perjanjian damai itu melarang Perancis daripada membina sebuah tentera tetap yang besar, Canselor Otto von Bismarck dari Jerman membiarkan kira-kira 200,000 orang tentera Perancis berkumpul di Versailles. Malah, Bismarck memberi tekanan kepada Thiers untuk bertindak segera terhadap Paris, jika tidak, pihak Jerman akan mencampur tangan dan bertindak sendiri untuk memulihkan ketertiban masyarakat di Paris. Jelas sekali, golongan pemerintah di kedua-dua buah negara Perancis dan Jerman agak bersatu hati dalam mematahkan kebangkitan revolusioner Komun Paris yang menggegarkan seluruh susunan masyarakat kapitalis di Eropah.

Adolphe Thiers mengambil pendirian yang tegas untuk tidak berunding dengan Komun Paris. Adolphe Thiers langsung tidak mengiktiraf Komun Paris. Dia hanya menerima penyelesaian di mana Paris menyerah kalah tanpa syarat atau Komun Paris itu dihancurkan sepenuhnya.
Pada 20 Mei 1871, tentera kerajaan Versailles yang melancarkan pembedilan ke atas kawasan kejiranan di bahagian barat bandar Paris. Pada 21 Mei 1871, tentera kerajaan Versailles berjaya menyerbu masuk ke dalam Paris dari bahagian barat daya bandar itu. Penembusan masuk tentera kerajaan Versailles ke dalam bandar Paris itu mengejutkan Majlis Komun Paris yang pada ketika itu sedang bersidang untuk membicarakan Gustave Paul Cluseret yang dilucutkan jawatan Pesuruhjaya Perang dan ditahan sejak 1 Mei 1871. Namun, Louis Charles Delescluze selaku Pesuruhjaya Perang masih teragak-agak untuk membunyikan loceng supaya memberi amaran kepada seluruh bandar. Loceng amaran hanya dibunyikan pada hari keesokannya untuk menghimpunkan pasukan pertahanan di dalam bandar Paris. Kira-kira 15,000-20,000 orang penduduk Paris, termasuk ramai wanita dan kanak-kanak, menyahut seruan Majlis Komun Paris untuk keluar mempertahankan benteng-benteng jalanan di dalam bandar itu.
Oleh sebab kegagalan dalam membuat persiapan yang lebih teratur sebelum itu, agak terlambat untuk golongan revolusioner Komun Paris menyusun pertahanan yang terselaras dan berkesan pada masa itu. Anggota-anggota Pengawal Kebangsaan dan pejuang-pejuang revolusioner terpaksa bertempur secara berasingan di kawasan kejiranan yang dipertahankan mereka masing-masing. Tentera kerajaan Versailles dengan jumlah keanggotaan yang lebih besar mengepung dan memusnahkan satu demi satu benteng jalanan yang didirikan oleh golongan revolusioner.

Di hujung barat bandar Paris, usaha pertahanan diterajui oleh Jarosław Dąbrowski (1836-1871), seorang pegawai tentera yang berasal dari Poland. Dąbrowski ialah seorang republikan radikal dan nasionalis Poland. Dia pernah berkhidmat dalam tentera imperial Rusia dan secara rahsia menjadi pemimpin “golongan Merah” gerakan nasionalis Poland. Dąbrowski terlibat dalam persiapan untuk melancarkan pemberontakan di wilayah Poland yang diduduki Empayar Rusia, tetapi dia ditangkap pada tahun 1862 dan dibuang daerah ke Siberia. Dąbrowski melarikan diri ke Perancis pada tahun 1865. Selepas Komun Paris ditubuhkan, Dąbrowski dilantik sebagai komander Pengawal Kebangsaan kerana pengalaman ketenteraannya. Dąbrowski menerima tohmahan sesetengah anggota Pengawal Kebangsaan bahawa dia mengkhianati Komun Paris kerana membenarkan tentera kerajaan Versailles memasuki bandar Paris. Namun begitu, Dąbrowski kekal bertempur di barisan hadapan selepas tentera kerajaan Versailles menembusi tembok pertahanan Paris dan mati terkorban pada 23 Mei 1871 di benteng jalanan selepas terkena peluru musuh. Adalah dilaporkan bahawa Dąbrowski berkata sebelum dia mati, “Adakah mereka masih ingat saya seorang pengkhianat?”
Tentera kerajaan Versailles bergerak secara perlahan-lahan dari bahagian barat daya ke bahagian timur dan utara bandar Paris dengan menguasai setiap kedudukan strategik sepanjang laluannya. Kira-kira 300 orang anggota Pengawal Kebangsaan yang menduduk Istana Tuileries dengan 30 buah meriam dapat mempertahankan kedudukan mereka sepanjang hari pada 22 Mei 1871 dengan saling berbalas tembakan meriam dengan tentera kerajaan Versailles dalam jumlah yang jauh lebih besar.

Pada 23 Mei 1871, tentera kerajaan Versailles mara ke Montmartre, tempat di mana bermulanya Revolusi Komun Paris. Namun, meriam-meriam yang masih tinggal di atas bukit Montmartre itu tidak dapat lagi digunakan kerana tiada peluru dan tiada serbuk api untuk menembak. Selepas pertempuran yang sengit, tentera kerajaan Versailles menguasai Montmartre. Pejuang-pejuang Komun Paris yang ditangkap oleh tentera kerajaan Versailles dihukum mati serta-merta dengan diarahkan beratur dalam satu barisan yang menghadap dinding bangunan dan terus ditembak.
Pertempuran terus berlaku di merata tempat di dalam bandar Paris. Selepas tentera kerajaan menghancurkan benteng jalanan di sekitar Gereja Madeleine yang terletak berdekatan Place de la Concorde, 300 orang pejuang Komun Paris yang ditahan pada masa itu terus dihukum mati dengan tembakan mesingan.
Memandangkan penumpasan Komun Paris sudah tidak dapat dielakkan dan usaha membina sesuatu yang baharu bakal digagalkan, sesetengah pejuang Komun Paris memutuskan untuk menghancurkan segala yang lama selagi mampu berbuat demikian. Apabila Pengawal Kebangsaan yang menduduki Istana Tuileries tidak dapat lagi menahan serangan tentera kerajaan, anggota-anggota Pengawal Kebangsaan membakar bangunan itu sebelum berundur dari situ. Kebakaran di Istana Tuileries berlarutan selama dua hari sehingga memusnahkan sepenuhnya bangunan yang menjadi mercu tanda monarkisme Perancis itu. Oleh itu, hanya tinggal Tuileries Garden dan tiadanya lagi Istana Tuileries di Paris pada hari ini.

Banyak lagi bangunan dibakar apabila golongan revolusioner Komun Paris bertempur habis-habisan dengan tentera kerajaan yang reaksioner. Bagaikan tindak balas terhadap kemusnahan kawasan perumahan golongan miskin yang dilakukan melalui projek yang diluluskan oleh Napoleon III untuk memberi laluan kepada pembinaan boulevard yang menyusahkan pendirian benteng jalanan dan memastikan kehancuran pemberontakan revolusioner, golongan revolusioner Komun Paris membakar rumah-rumah golongan kaya dan juga bangunan-bangunan yang melambangkan kekuasaan negara.
Hôtel de Ville yang menjadi markas Jawatankuasa Keselamatan Awam turut dibakar apabila golongan revolusioner Komun Paris berundur keluar dari situ pada awal pagi 24 Mei 1871. Bangunan Hôtel de Ville yang dimusnahkan sepenuhnya dalam kebakaran itu pernah menjadi tempat berlakunya banyak peristiwa penting, seperti penubuhan Komun Paris yang asal pada bulan Julai 1789, penangkapan Maximilien Robespierre semasa Reaksi Thermidor pada bulan Julai 1794, pembentukan pemerintahan Monarki Julai dengan sokongan Marquis de Lafayette pada tahun 1830, pengisytiharan Republik Perancis Kedua pada bulan Februari 1848, perisytiharan Republik Perancis Ketiga pada bulan September 1870 dan sambutan penubuhan Komun Paris pada bulan Mac 1871. Hôtel de Ville yang dibina semula oleh kerajaan Republik Perancis Ketiga dalam tempoh 20 tahun akan datang itu, walaupun mengekalkan reka bentuk luaran asalnya, susun atur dalamannya sudah berbeza sepenuhnya. Oleh itu, jika anda mengunjungi Hôtel de Ville hari ini, anda tidak akan dapat menemui lagi bilik di mana Robespierre cuba membunuh diri sebelum dia ditangkap pada tahun 1794.

Bangunan-bangunan lain seperti Palais de Justice (istana kehakiman), Préfecture de Police (ibu pejabat polis), beberapa buah teater dan beberapa buah gereja juga dibakar. Menjelang 24 Mei 1871, tentera kerajaan Versailles menguasai tiga perlima daripada kawasan di dalam bandar Paris, sementara ramai ahli Majlis Komun Paris mula melarikan diri. Namun, masih terdapat pejuang-pejuang revolusioner Komun Paris yang enggan mengaku kalah.
Bertindak balas terhadap perbuatan tentera kerajaan Versailles yang menghukum bunuh serta-merta tahanan perang, Raoul Rigault yang mempengerusikan tribunal revolusioner pada masa itu mengarahkan untuk menghukum mati tebusan yang ditahan oleh Komun Paris sebelum itu, sesuatu yang bertentangan dengan dasar Komun Paris mengenai pemansuhan hukuman mati. Namun, Raoul Rigault yang berpakaian seragam Pengawal Kebangsaan pada masa itu untuk membangkitkan semangat orang ramai supaya terus berjuang, dikenal pasti secara mudah di jalanan dan ditahan oleh pasukan tentera kerajaan. Seorang pegawai tentera mengacukan pistol ke arah kepala Rigault dan mengarahkannya untuk menjerit slogan “Hidup Versailles!”, tetapi Rigault membalas dengan berkata, “Kau pembunuh upahan! Hidup Komun!”, dan Rigault terus ditembak mati.

Théophile Ferré (1845-1871), seorang anggota Jawatankuasa Keselamatan Awam dan penolong kepada Raoul Rigault dalam tribunal revolusioner, meluluskan arahan untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap beberapa orang, termasuk Georges Darboy yang pada awalnya digunakan sebagai tebusan untuk bertukar dengan Louis Auguste Blanqui.
Pada 25 Mei 1871, Louis Charles Delescluze, yang menyedari bahawa revolusi itu sudah gagal, memakai sehelai selempang merah yang melambangkan jawatannya sebagai anggota eksekutif dalam Komun Paris dan berjalan menuju ke sebuah benteng jalanan di Place du Château d’Eau (sekarang dikenali sebagai Place de la République). Delescluze berdiri di atas benteng jalanan itu dan ditembak mati oleh tentera kerajaan Versailles.

Pada 26-27 Mei 1871, pertempuran tertumpu di bahagian timur laut bandar Paris, termasuk Buttes de Chaumont dan kawasan perkuburan Père Lachaise, di mana pejuang-pejuang Komun Paris terakhir yang masih bertahan. Tentera kerajaan Versailles melancarkan serangan habis-habisan ke atas kawasan tanah tinggi Buttes de Chaumont pada 27 Mei 1871. Selepas bertempur sepanjang sehari, pejuang-pejuang Komun Paris di Buttes de Chaumont yang kehabisan peluru terpaksa menyerah diri, tetapi tentera kerajaan yang menahan mereka terus membunuh mereka secara beramai-ramai dengan mesingan.
Pejuang-pejuang Komun Paris yang bertahan di kawasan perkuburan Père Lachaise juga menemui nasib yang sama. 147 orang pejuang Komun Paris yang ditahan oleh tentera kerajaan terus ditembak mati di tepi tembok tanah perkuburan. Tembok itu kini dikenali sebagai “Tembok Anggota Komun” (Mur des Fédérés).

Menjelang 28 Mei 1871, tentera kerajaan menawan semua tempat lain yang masih dikuasai oleh penyokong-penyokong Komun Paris. Minggu antara 21 hingga 28 Mei 1871 yang menyaksikan penindasan secara ganas terhadap kebangkitan Komun Paris itu dikenali sebagai “Minggu Berdarah” (Semaine sanglante). Kira-kira 10,000-15,000 orang pejuang Komun Paris dibunuh sepanjang seminggu itu, sementara kira-kira 43,000 orang ditahan. Kebanyakan penyokong Komun Paris yang dibunuh itu merupakan mereka yang dikenakan hukuman mati serta-merta selepas ditahan.
Eugène Varlin, seorang tokoh sosialis kiri yang merupakan anggota Internasional Pertama dan ahli Majlis Komun Paris, ditahan semasa pertempuran dan terus dihukum mati di Montmartre pada 28 Mei 1871. Louis Rossel, yang pernah menjadi Pesuruhjaya Perang Komun Paris sebelum digantikan oleh Gustave Paul Cluseret, cuba melarikan diri tetapi ditangkap tidak lama kemudian oleh pihak berkuasa dan dihukum mati pada 28 November 1871.

Walaupun Komun Paris cuba berpecah daripada tradisi radikal Revolusi Perancis yang dilambangkan dengan penggunaan keganasan revolusioner, dengan mengurangkan penggunaan keganasan semasa kewujudannya, tindak balas golongan reaksioner yang sanggup menggunakan apa jua cara untuk menghancurkan Komun Paris itu terbukti jauh lebih ganas daripada golongan revolusioner. Golongan reaksioner dari Versailles, yang mendendami golongan kelas pekerja kerana mereka bangkit mencabar kekuasaan golongan elit pemerintah lama, bukan sahaja melakukan pembunuhan di luar bidang kehakiman secara besar-besaran semasa “Minggu Berdarah”, malah mengenakan hukuman berat terhadap mereka yang masih hidup dengan niat mematahkan sepenuhnya semangat revolusioner Komun Paris.
“Alangkah besarnya pengajaran tentang semangat revolusioner yang diberikan kepada kaum pekerja! Kelas yang memerintah menembak secara beramai-ramai tanpa bersusah payah untuk memilih tebusan. Dendam mereka tidak berakhir dalam sejam; tidak juga bertahun-tahun ataupun mangsa-mangsa dapat menenangkannya, mereka menjadikannya fungsi pentadbiran, secara tersusun rapi dan berterusan.” begitu tulisnya Prosper-Olivier Lissagaray (1838-1901), seorang penyokong Komun Paris yang dapat melarikan diri ke London dan tinggal di rumah Karl Marx, dalam bukunya yang berjudul “Histoire de la Commune de 1871” (1876).

Daripada kira-kira 43,000 orang yang ditahan itu, terdapat kira-kira 1,000 orang wanita dan kira-kira 600 orang kanak-kanak di bawah umur 16 tahun. Lebih separuh tahanan dibebaskan kemudian, tetapi kira-kira 15,000 orang dibicarakan atas pertuduhan mengkhianati negara, dengan kira-kira 13,500 orang disabit kesalahan. Antara mereka yang disabit kesalahan, 95 orang dihukum mati, 251 orang dikenakan hukuman buruh paksaan, dan 1,169 orang dibuang wilayah, dengan kebanyakannya dihantar ke Nouvelle-Calédonie, tanah jajahan Perancis di bahagian selatan Lautan Pasifik.
Théophile Ferré, yang meluluskan hukuman mati ke atas tebusan sebelum kejatuhan Komun Paris, sendiri dijatuhkan hukuman mati dan dibunuh pada 28 November 1871. Ramai penyokong Komun Paris yang tidak ditahan, termasuk beberapa orang anggota Majlis Komun Paris seperti Gustave Paul Cluseret, Gustave Lefrançais, Charles Longuet, Eugène Pottier dan Félix Pyat, berjaya melarikan diri ke luar negara. Semasa hidup dalam buangan di London, Charles Longuet bertemu dan berkahwin dengan Jenny Caroline Marx (1844-1883), anak sulung Karl Marx.

Pada bulan Julai 1873, Perhimpunan Kebangsaan Perancis meluluskan rancangan pembinaan gereja Katolik Basilika Sacré-Cœur di Montmartre, berhampiran dengan lokasi meriam-meriam yang mencetuskan pemberontakan Komun Paris 1871, dengan menyatakan tujuannya untuk “menghapuskan dosa jenayah Komun”. Walaupun cadangan pembinaan Basilika Sacré-Cœur sudah dikemukakan sebelum Revolusi Komun Paris 1871, tindakan kerajaan Perancis membinanya di atas tapak tercetusnya revolusi itu mengundang kontroversi kerana ia menjadi lambang penindasan terhadap Komun Paris.
Pada tahun 1879, apabila perasaan ketakutan terhadap Komun Paris semakin pudar, Dewan Perwakilan Perancis meluluskan pengampunan separa kepada penyokong-penyokong Komun Paris yang dibuang negeri atau hidup dalam buangan. Setahun kemudian, hasil daripada desakan untuk perdamaian kebangsaan, kerajaan Perancis memberi pengampunan umum kepada semua tahanan dan penyokong Komun Paris yang hidup dalam buangan. Mereka yang mendapat pengampunan itu dibenarkan untuk pulang ke Perancis, dengan sesetengah daripada mereka kembali aktif dalam politik.

Walaupun Komun Paris ditumpaskan, berbeza dengan Republik Perancis Kedua sebelum itu, Republik Perancis Ketiga bertahan jauh lebih lama. Sistem pemerintahan monarki tidak dapat dipulihkan semula, meskipun golongan monarkis dalam Perhimpunan Kebangsaan pernah mencapai persefahaman untuk memulihkan sistem raja berperlembagaan di bawah Dinasti Bourbon.
Marsyal Patrice de MacMahon, pemimpin tentera kerajaan yang memainkan peranan penting dalam mematahkan Komun Paris, dipilih oleh Perhimpunan Kebangsaan sebagai Presiden Perancis pada tahun 1873 untuk menggantikan Adolphe Thiers. Undang-undang Perlembagaan Perancis 1875 yang diluluskan oleh Perhimpunan Kebangsaan Perancis, hasil daripada dukungan pemimpin-pemimpin republikan seperti Léon Gambetta, mengesahkan bahawa Republik Perancis Ketiga itu dikekalkan, sekurang-kurangnya sehingga tahun 1940. Walaupun sistem pemerintahan monarki dan nama “empayar” tidak dikembalikan, Perancis masih mengamalkan imperialisme kolonial di banyak tempat, terutamanya di Afrika dan Asia.

Georges Clemenceau, pemimpin republikan radikal yang pernah dipilih sebagai datuk bandar Daerah 18 tetapi dilucutkan jawatannya oleh Jawatankuasa Pusat Persekutuan Pengawal Kebangsaan semasa Komun Paris dan gagal dipilih ke dalam Majlis Komun Paris, berada di Bordeaux semasa Komun Paris ditumpaskan secara ganas. Clemenceau merupakan salah seorang ahli Dewan Perwakilan yang mendesak pengampunan umum kepada anggota-anggota Komun Paris yang dibuang wilayah ke Nouvelle-Calédonie. Clemenceau kemudiannya menjadi Perdana Menteri Perancis sebanyak dua kali (1906-1909 dan 1917-1920).

Wanita dalam Komun Paris
Keadaan hidup golongan wanita kelas bawahan adalah amat teruk semasa zaman pemerintahan Empayar Perancis Kedua, dengan upah pekerja wanita hanya separuh daripada upah pekerja lelaki, di samping perlu menjaga keluarga mereka. Walaupun golongan wanita masih tidak mempunyai hak untuk mengundi, penubuhan Komun Paris telah memberi rangsangan kepada golongan wanita untuk memajukan usaha perjuangan mereka demi kesamarataan gender dan pembebasan sebenar.
Golongan revolusioner wanita yang lantang bersuara telah mencabar pemikiran prejudis dan seksis yang masih wujud dalam minda kebanyakan golongan revolusioner lelaki. Selain itu, terdapat beberapa orang pemimpin lelaki Komun Paris, seperti Eugène Varlin, Léo Frankel dan Benoît Malon, memang memberi perhatian kepada isu-isu yang berkaitan dengan nasib wanita. Oleh itu, Komun Paris telah mengambil banyak langkah yang berlandaskan prinsip kesamarataan yang memanfaatkan golongan wanita.

Golongan wanita telah memainkan peranan penting dalam memajukan usaha perjuangan revolusioner Komun Paris dan terus menjadi inspirasi kepada perjuangan pembebasan wanita sehingga hari ini. Semasa kewujudan Komun Paris, golongan wanita terlibat dalam usaha organisasi pada tahap yang belum pernah dilakukan oleh mereka sebelum itu. Mereka bukan sahaja mempengerusikan jawatankuasa-jawatankuasa untuk memastikan kelancaran operasi harian di bandar Paris, malah juga terlibat dalam pembinaan benteng-benteng jalanan dan mengambil bahagian dalam pertempuran untuk mempertahankan Komun Paris. Organisasi-organisasi wanita ditubuhkan dan banyak mesyuarat politik diadakan dalam kalangan wanita, maka mewujudkan tahap pemberdayaan yang tinggi untuk peranan dan penyertaan wanita dalam masyarakat.
Pada 5 April 1871, sekumpulan wanita mengadakan aksi perarakan menuju ke Versailles, untuk mencontohi “Perarakan Wanita ke Versailles” pada bulan Oktober 1789 semasa Revolusi Perancis. Walaupun golongan demonstran itu tidak dapat sampai ke Versailles kerana terpaksa berpatah balik selepas disekat laluannya, ia telah memberi dorongan kepada pembentukan gerakan wanita yang lebih teratur dalam Komun Paris.

Pada 11 April 1871, “Kesatuan Wanita untuk Pertahanan Paris dan Penjagaan Orang Yang Cedera” (Union des femmes pour la défense de Paris et les soins aux blessés) ditubuhkan oleh Elisabeth Dmitrieff (1850-1916/1918), seorang revolusioner berhaluan kiri yang berasal dari Rusia dan pernah terlibat dalam penubuhan cabang Internasional Pertama di Geneva. Elisabeth Dmitrieff dihantar oleh Karl Marx ke Paris sebagai wakil Internasional Pertama apabila Komun Paris ditubuhkan.
Kesatuan Wanita yang diterajui Elisabeth Dmitrieff itu memperjuangkan hak wanita pekerja dan mengorganisasi bengkel koperasi yang membuat tekstil di Paris. Dianggarkan lebih 1,000 orang menyertai Kesatuan Wanita dengan kira-kira 130 orang dipilih ke dalam jawatankuasa pusat dan 7 orang dalam jawatankuasa eksekutif kesatuan itu.
Kesatuan Wanita menyeru golongan wanita di Paris untuk menubuhkan jawatankuasa di daerah masing-masing untuk bekerjasama dalam mempertahankan Paris. Pada awal bulan Mei 1871, Kesatuan Wanita mengemukakan manifesto yang menggesa layanan sama rata tanpa mengira gender, sejajar dengan dasar Komun Paris yang membatalkan keistimewaan dan ketidaksamarataan. Kesatuan Wanita menyerahkan petisyen kepada Léo Frankel (1844-1896), pesuruhjaya Komun Paris yang bertanggungjawab dalam hal ehwal buruh, perindustrian dan perdagangan, dengan tuntutan supaya mengawal selia jam kerja dan pembentukan koperasi pekerja. Kesatuan Wanita menubuhkan bengkel koperasi untuk golongan wanita yang bergabung sebagai pengeluar bebas dan berkongsi keuntungan bersama.

Semasa “Minggu Berdarah”, Elisabeth Dmitrieff bertempur di benteng jalanan untuk mempertahankan Komun Paris dan mengalami kecederaan. Walau bagaimanapun, Elisabeth Dmitrieff bersama dengan Léo Frankel dapat menyelamatkan diri, bersembunyi di Paris untuk beberapa minggu sebelum melarikan diri ke Geneva.
Éducation Nouvelle, sebuah persatuan yang dianggotai oleh guru-guru wanita semasa Komun Paris, telah menyarankan kerajaan Komun Paris untuk mewujudkan sistem pendidikan yang sekular, wajib dan percuma bagi semua orang.

Louise Michel merupakan salah seorang tokoh revolusioner wanita terkenal yang namanya sering dikaitkan dengan Komun Paris 1871. Louise Michel (1830-1905) ialah seorang guru yang mengasaskan sebuah sekolah yang mengamalkan kaedah pengajaran progresif di Paris pada tahun 1865. Louise Michel rapat dengan golongan Blanquiste dan mendukung prinsip-prinsip anarkisme. Louise Michel menyertai kelab politik wanita yang radikal dan merupakan seorang perintis anarko-feminisme.
Louise Michel menyertai Jawatankuasa Pengawasan Montmartre semasa pengepungan Paris. Pada 18 Mac 1871, Louise Michel yang menyedari bahawa kerajaan pusat hendak merampas meriam-meriam di Montmartre terus memberi amaran kepada penduduk-penduduk di sekitar kawasan itu sehingga mencetuskan pemberontakan revolusioner yang melahirkan Komun Paris.

Louise Michel pernah merancang untuk pergi ke Versailles dan membunuh Adolphe Thiers pada bulan April 1871, tetapi dihalang oleh Majlis Komun Paris yang cuba merundingkan pendamaian dengan kerajaan Versailles. Semasa pertempuran tercetus antara tentera kerajaan Versailles dan golongan revolusioner Komun Paris, Louise Michel mengorganisasi bantuan perubatan kepada pejuang-pejuang revolusioner dan mengambil senjata untuk menyertai pertempuran.
Selepas Montmartre ditawan oleh tentera kerajaan Versailles, Louise Michel ditahan dan dibuang ke dalam parit di hadapan benteng jalanan untuk dibiarkan mati di situ. Louise Michel berjaya melarikan diri, tetapi tidak lama kemudian dia menyerah diri kepada tentera kerajaan untuk mencegah penahanan ibunya. Louise Michel dibicarakan oleh mahkamah tentera pada bulan Disember 1871, dengan tuduhan-tuduhan termasuk cuba menjatuhkan kerajaan, mendorong rakyat untuk mempersenjatakan diri mereka sendiri, menggunakan senjata, dan memakai pakaian seragam tentera. Louise Michel mencabar hakim untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas dirinya, dengan berkata, “Nampaknya setiap hati yang berdegup untuk kebebasan tidak mempunyai hak yang lain selain sebutir peluru, maka biarlah saya menuntut peluruku!” Namun begitu, Louise Michel hanya dijatuhkan hukuman dibuang wilayah ke tanah jajahan seberang laut.

Louise Michel dihantar ke Nouvelle-Calédonie pada tahun 1873. Di Nouvelle-Calédonie, Louise Michel menjalin hubungan persahabatan yang erat dengan orang Kanak, masyarakat orang asal kepulauan Pasifik Selatan itu. Dia mempelajari budaya masyarakat Kanak dengan penuh minat, sementara mengajar masyarakat setempat tentang bahasa Perancis. Louise Michel menyokong pemberontakan masyarakat Kanak terhadap pemerintahan kolonial Perancis pada tahun 1878. “Orang Kanak sedang menuntut kebebasan yang sama seperti yang kami perjuangan dalam Komun,” kata Louise Michel. Dia juga tegas menyokong perjuangan anti-kolonial di Algeria. Semangat revolusioner Komun Paris bukannya hanya terhad kepada warga Paris yang memperjuangkan realisasi sejagat “kebebasan, kesamarataan, persaudaraan” (liberté, égalité, fraternité), tetapi juga mencabar kekuasaan imperialis Perancis demi pembebasan masyarakat sepenuhnya.
Pada tahun 1880, bersama-sama dengan peserta-peserta Komun Paris lain yang dikenakan hukuman tetapi tidak dibunuh, Louise Michel diberikan pengampunan dan dibenarkan untuk pulang ke Perancis. Selepas pulang ke Perancis, Louise Michel masih aktif dalam politik dengan semangat revolusioner yang tidak luntur. Louise Michel menyertai Kongres Revolusioner Sosial Antarabangsa yang dianjurkan oleh golongan anarkis pada bulan Julai 1881 di London, di mana dia memimpin demonstrasi dan berucap dalam perhimpunan massa.

Louise Michel terlibat dalam penerbitan akhbar “La Vengeance Anarchiste” pada tahun 1883. Dia juga menerajui aksi demonstrasi pekerja-pekerja yang menganggur dengan mengibarkan bendera hitam yang merupakan lambang anarkisme dan melaungkan slogan “Roti, kerja atau peluru!”. Louise Michel dipenjarakan lagi kerana dituduh mencetuskan rusuhan.
Selepas dibebaskan pada tahun 1886, Louise Michel terlibat dalam penerbitan akhbar “La Révolution Cosmopolite”. Pada tahun 1890, Louise Michel berpindah ke London selepas pihak berkuasa Perancis cuba mengurungnya di dalam rumah sakit jiwa. Louise Michel mengasaskan Sekolah Anarkis Antarabangsa di London pada tahun 1891, tetapi sekolah itu ditutup pada tahun 1892 selepas seorang ejen provokasi yang bekerja dengan Cawangan Khas British meletakkan bom di tingkat bawah tanah sekolah itu. Louise Michel kembali lagi ke Perancis pada tahun 1895. Louise Michel meninggal dunia di Marseille pada tahun 1905 dengan upacara pengebumiannya dihadiri oleh lebih 100,000 orang.

Pada tahun 2004, bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada masa itu, Bertrand Delanoë, Datuk Bandar Paris pada masa itu daripada Parti Sosialis, bersama Daniel Vaillant, Pengerusi Majlis Perbandaran Daerah 18 Paris yang juga daripada Parti Sosialis, menamakan dataran di hadapan Basilika Sacré-Cœur sebagai Dataran Louise-Michel, untuk memberi penghormatan kepada tokoh revolusioner Komun Paris yang terkenal itu.
Selain itu, antara pejuang-pejuang revolusioner wanita yang pernah mengambil bahagian secara aktif dalam Komun Paris termasuk:

- Victoire Léodile Béra (1824-1900), atau lebih dikenali sebagai André Léo, merupakan seorang penulis novel, wartawan dan anggota Internasional Pertama. André Léo pernah ditangkap pihak berkuasa bersama Louise Michel apabila mereka menerajui aksi demonstrasi pada bulan September 1870. Dia pernah terlibat dalam penerbitan akhbar “La République des travailleurs” (Republik Pekerja) pada awal tahun 1871, dan aktif dalam Jawatankuasa Pengawasan Montmartre semasa pengepungan Paris. André Léo menyampaikan idea-ideanya melalui tulisan yang diterbitkan dalam akhbar-akhbar seperti La Commune, Le Rappel dan La Sociale. André Léo menulis pada bulan April 1871, “Apa yang Paris mahu, pada akhirnya, adalah tanah untuk petani, alat untuk pekerja dan kerja untuk semua. Perang yang sedang dilakukan oleh Paris pada masa ini ialah perang terhadap kemerosotan, pembohongan dan kemalasan.” André Léo juga tegas mempertahankan demokrasi dan kebebasan akhbar semasa Komun Paris.

- Nathalie Lemel (1827-1921), seorang tukang jilid buku yang menyertai Internasional Pertama pada tahun 1865. Nathalie Lemel gigih memperjuangkan kesamarataan gaji antara lelaki dan wanita. Dia pernah menjadi anggota jawatankuasa mogok dan dipilih sebagai wakil kesatuan sekerja. Nathalie Lemel turut bekerjasama dengan Eugène Varlin untuk menubuhkan koperasi makanan La Ménagère dan restoran pekerja La Marmite, yang menyajikan makanan dengan harga murah kepada golongan miskin. Semasa Komun Paris, Nathalie Lemel terlibat dalam penubuhan Kesatuan Wanita dan dipilih sebagai anggota jawatankuasa eksekutif Kesatuan Wanita. Dia ditangkap selepas penumpasan Komun Paris dan dijatuhkan hukuman pembuangan wilayah ke Nouvelle-Calédonie. Nathalie Lemel pulang ke Perancis selepas pengampunan umum pada tahun 1880.
- Sophie Poirier (1830–1875) ialah seorang tukang jahit. Sophie Poirier memulakan sebuah koperasi tukang jahit yang mengamalkan perkongsian keuntungan semasa pengepungan Paris, dan mempengerusikan Jawatankuasa Pengawasan Montmartre yang turut disertai oleh Louise Michel. Dia juga menubuhkan “Kelab Wanita Boule Noire” (Club des Femmes de la Boule Noire) sebagai presidennya. Sophie Poirier ditangkap selepas Komun Paris ditumpaskan dan dia mati dalam tahanan di Rouen pada tahun 1875.
- Élisabeth Rétiffe (1834-1882) ialah seorang pembuat kadbod yang menjadi sukarelawan bantuan perubatan kecemasan semasa Komun Paris. Dia ditangkap apabila Komun Paris ditumpaskan dan dijatuhkan hukuman mati, tetapi dikurangkan hukuman kepada buruh paksaan dan dihantar ke Guiana Perancis.
- Joséphine Marchais (1837-1874) ialah seorang buruh harian yang aktif menyokong Komun Paris. Dia memberi sokongan bekalan kepada pejuang-pejuang Komun Paris. Apabila bandar Paris diserang tentera kerajaan Versailles, Joséphine Marchais ditangkap kerana membawa senjata berdekatan benteng jalanan. Dia dijatuhkan hukuman mati tetapi kemudiannya dikurangkan hukuman kepada buruh paksaan dan dihantar ke Guiana Perancis.

- Adèle Pauline Mekarski (1839-1901), lebih dikenali sebagai Paule Mink atau Minck, ialah seorang anggota Internasional Pertama yang mendukung prinsip mutualisme. Minck membuka sebuah sekolah percuma bagi golongan miskin di dalam Gereja Saint-Pierre di Montmartre. Dia juga merupakan anggota Jawatankuasa Pengawasan Montmartre semasa pengepungan Paris. Minck yang juga terlibat dalam organisasi Kesatuan Wanita sentiasa berhujah bahawa perjuangan pembebasan wanita harus dihubungkan dengan perjuangan untuk sosialisme. Minck pernah mengadakan lawatan ke wilayah-wilayah lain untuk mendapatkan sokongan orang ramai di tempat lain kepada Komun Paris. Apabila Komun Paris ditumpaskan, Minck dapat mengelakkan diri daripada ditangkap dan melarikan diri ke Switzerland.

- Anne Jaclard (1843-1887), seorang anggota Internasional Pertama yang berasal dari Rusia. Anne Jaclard yang merupakan anggota Jawatankuasa Pengawasan Montmartre aktif dalam mengaturkan bekalan makanan dan menjadi seorang paramedik semasa pengepungan Paris. Dia merupakan salah seorang pengasas bersama dan penulis jurnal La Sociale. Anne Jaclard percaya bahawa perjuangan untuk hak wanita hanya dapat berjaya jika ia dilakukan secara bersama dengan perjuangan menentang kapitalisme.
- Victorine Gorget (1843-1901), seorang tukang cuci kain yang aktif dalam Kesatuan Wanita. Selepas penumpasan Komun Paris, dia dihukum buang wilayah ke Nouvelle-Calédonie.
- Yekaterina Barteneva (1843-1914) ialah seorang sosialis dari Rusia yang menganggotai Internasional Pertama. Dia berada di Paris apabila Komun Paris ditubuhkan dan memberi bantuan kepada pejuang-pejuang Komun Paris yang cedera.
- Léontine Suétens (1846-1891), seorang tukang cuci kain yang memberi bantuan bekalan kepada pejuang-pejuang Komun Paris. Dia mengalami kecederaan dalam pertempuran mempertahankan Komun Paris. Dia ditahan dan dihantar ke Guiana Perancis, sehingga mendapat pengampunan.
- Eulalie Papavoine (1846-1875), seorang tukang jahit yang menjadi jururawat kecemasan semasa Komun Paris.
- Blanche Lefebvre (1847-1871), seorang tukang cuci kain. Blanche Lefebvre merupakan salah seorang ahli jawatankuasa eksekutif Kesatuan Wanita dan anggota Club de la Révolution sociale. Blanche Lefebvre mati terkorban pada di jalanan Paris pada 23 Mei 1871 semasa bertempur dengan tentera kerajaan Versailles.
- Malvina Poulain (1851-1921) merupakan salah seorang yang memberi bantuan perubatan kecemasan semasa Komun Paris. Malvina Poulain terlibat dalam pertempuran mempertahankan Komun Paris di benteng jalanan di Place Blanche pada 23 Mei 1871. Selepas Komun Paris ditumpaskan, dia ditangkap dan dipenjarakan sehingga dibebaskan kerana pengampunan.
- Béatrix Excoffon (1849-1916), seorang jururawat bantuan kecemasan semasa Komun Paris. Béatrix Excoffon pernah menjadi naib presiden Kelab Wanita Boule Noire.

- Adélaïde Valentin (???-???), seorang pekerja yang menjadi kolonel dalam Legion Wanita Bersekutu (Légion des Fédérées). Legion Wanita Bersekutu merupakan sebuah unit Pengawal Kebangsaan yang ditubuhkan di Daerah 12 Paris pada bulan Mei 1871. Anggota-anggota Legion Wanita Bersekutu yang ditangkap selepas penumpasan Komun Paris telah dikenakan hukuman berat seperti buruh paksaan dan pembuangan wilayah. Namun, tiada banyak rekod tentang kehidupan Adélaïde Valentin sebelum dan selepas Komun Paris.
Komun Paris sudah tentu membuka ruang dan jalan bersejarah kepada gerakan perjuangan feminis yang revolusioner untuk terus mencabar struktur patriarki dan melawan segala bentuk penindasan, demi mencapai pembebasan masyarakat sebenar yang termasuk pembebasan wanita.

Inspirasi dan pengajaran daripada Komun Paris
Sistem politik yang diamalkan oleh Komun Paris merupakan sejenis bentuk demokrasi penyertaan dari bawah yang berlandaskan prinsip kesamarataan dan solidariti. Komun Paris menunjukkan bahawa demokrasi sosialis boleh diwujudkan. Komun Paris telah melangkaui sistem demokrasi berparlimen atau demokrasi berperwakilan di bawah kapitalisme. Demokrasi berparlimen di bawah kapitalisme hanya merupakan ilusi kepada kelas pekerja supaya golongan pemerintah borjuis dapat mengekalkan struktur sosioekonomi yang eksploitatif dan menindas. Komun Paris merupakan prototaip demokrasi pekerja, di mana rakyat boleh mengambil bahagian secara langsung dalam segala urusan yang menentukan nasib mereka. Demokrasi pekerja ialah asas kepada pemerintahan kelas pekerja yang menjadi prasyarat penting kepada proses peralihan menuju sosialisme yang bersifat pembebasan.
Golongan revolusioner yang mendirikan Komun Paris tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memperkukuhkan kuasa pemerintahan kelas pekerja dan melaksanakan perubahan yang teratur demi memajukan usaha pembebasan masyarakat. Komun Paris diasingkan kerana penduduk negara Perancis pada masa itu masih majoritinya golongan petani yang dipengaruhi oleh fahaman yang konservatif, sementara usaha penubuhan komun di bandar-bandar yang lain menemui kegagalan. Tambahan pula, dengan serangan hebat dan tindakan keras yang penuh dengan kekejaman daripada kelas pemerintah yang takut pada revolusi kelas pekerja, Komun Paris hanya bertahan selama 72 hari. Paris tidak lagi menyaksikan gelombang revolusi yang hebat sehingga hampir seabad kemudian pada bulan Mei 1968.

Walau bagaimanapun, pengalaman Komun Paris yang revolusioner itu telah menarik minat daripada golongan revolusioner berhaluan kiri daripada pelbagai aliran, termasuk Karl Marx dan Friedrich Engels (1820-1895) pada zaman itu, kemudiannya V. I. Lenin (1870-1924), Leon Trotsky (1879-1940), Rosa Luxemburg (1871-1919) dan Mao Zedong (1893-1976) yang cuba menterjemahkan teori revolusioner kepada praktik perjuangan nyata. Mereka berpandang ke arah Komun Paris untuk mendapatkan inspirasi dan pengajaran yang harus dijadikan amaran.
Karl Marx berada di London semasa Revolusi Komun Paris. Dia tidak menjangkakan sebuah revolusi proletar boleh berlaku dan berjaya mengambil alih kuasa di Perancis. Marx pada awalnya tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah golongan revolusioner yang radikal untuk menjatuhkan Kerajaan Pertahanan Negara, kerana keadaan pada masa itu tidak sesuai. Pada bulan September 1870, republik yang baharu ditubuhkan selepas kejatuhan pemerintahan Maharaja Napoleon III terpaksa terus berhadapan dengan pencerobohan tentera Prusia. Karl Marx menulis pada masa itu, “Kelas pekerja Perancis sedang berada dalam keadaan yang amat sukar. Sebarang percubaan untuk menggulingkan kerajaan baharu dalam krisis sekarang ini, pada ketika musuh hampir mengetuk pintu Paris, akan menjadi kebodohan yang terdesak.” Memang cubaan untuk merampas kuasa yang ditunjukkan dalam Pemberontakan 31 Oktober 1870 dan Pemberontakan 22 Januari 1871 menemui kegagalan kerana masanya belum matang.

Namun, selepas kelas pekerja Paris bertahan dalam keadaan penuh susah dan lapar semasa pengepungan Paris mendapati pengorbanan mereka hanya membawa kepada penyerahan kalah Kerajaan Pertahanan Negara yang gagal mempertahankan negara mereka itu, tambahan pula dengan tindakan kerajaan yang langsung tidak mempedulikan nasib kelas pekerja, warga Paris memberontak dan golongan kelas atasan yang kaya terus meninggalkan bandar itu kerana ketakutan. Kelas pekerja yang masih berada di Paris mendapat satu peluang untuk mentadbir bandar itu secara sendiri dengan pembentukan sebuah komun yang revolusioner. Apabila mendapat berita tentang Komun Paris, Karl Marx terus memihak kepada Komun Paris dan menyeru anggota-anggota Internasional Pertama untuk menyokongnya. Karl Marx menulis, “Di mana sahaja, dalam apa jua bentuk pun, dan dalam apa jua keadaan pun, selagi perjuangan kelas berterusan, adalah wajar bahawa ahli-ahli Kesatuan kita harus berdiri di barisan paling hadapan.” Memang ramai ahli Internasional Pertama melibatkan diri dalam Komun Paris, malah adanya yang mengorbankan diri mereka.
Karl Marx berpandangan bahawa kelas pekerja yang revolusioner tidak boleh semata-mata merampas jentera negara yang sedia ada daripada kelas pemerintah dan menggunakannya begitu sahaja, tetapi perlu memusnahkan jentera negara pemerintahan kelas yang lama itu, dan membina struktur kekuasaan baharu yang bersifat revolusioner dan benar-benar demokratik. Marx menulis, “Kuasa negara, yang nampaknya melayang tinggi di atas masyarakat, merupakan sarang untuk segala kerosakannya. Kereputannya sendiri dan kereputan masyarakat yang diselamatkannya, telah didedahkan dengan bayonet Prusia yang dirinya begitu ghairah hendak memindahkan pusat tertinggi rejim itu dari Paris ke Berlin.” Oleh itu, usaha mencapai pembebasan kelas pekerja daripada belenggu eksploitasi adalah melangkaui tindakan meletakkan orang yang berkebolehan dalam “jentera negara yang sedia ada” yang direka untuk menindas kelas pekerja. Sebaliknya, kelas pekerja yang revolusioner harus merampas kuasa dan menggunakan kekuasaan itu untuk memusnahkan jentera negara yang menindas rakyat. Komun Paris telah mempamerkan prinsip demokrasi sosialis yang sejati, dengan pemilihan demokratik untuk semua jawatan yang memegang kuasa (dalam eksekutif, perundangan dan angkatan tentera).

Karl Marx telah mengumpulkan maklumat daripada pelbagai sumber yang ada pada masa itu dan mengemukakan analisisnya tentang Komun Paris dalam tulisannya “Perang Saudara Perancis” (1871). Marx menganggap Komun Paris sebagai sebuah eksperimen bersejarah yang mempelopori revolusi sosialis. Bagi Marx, Komun Paris merupakan contoh pertama “pemerintahan kelas pekerja” atau “kediktatoran proletariat” di dunia nyata.
Komun Paris telah menawarkan gambaran sepintas lalu bagaimana rupa bentuknya sebuah masyarakat yang dikuasai dan ditadbir urus secara demokratik oleh kelas pekerja. Namun, ia juga menunjukkan betapa kejamnya kelas pemerintah yang terancam itu mengembalikan kekuasaannya. Karl Marx dan golongan revolusioner sosialis selepasnya mendukung Komun Paris, walaupun ia menemui kegagalan, kerana mereka hendak mempertahankan warisan revolusionernya dengan menganalisnya secara teliti dan kritikal supaya imaginasi tentang pembebasan sebenar yang dijanjikan oleh Komun Paris itu dapat direalisasikan semula secara mampan.

“Walaupun golongan proletar sosialis berpecah kepada pelbagai aliran, Komun merupakan satu contoh gemilang tentang kesepakatan yang mana dengannya golongan proletar mampu menyempurnakan tugas-tugas demokrasi yang hanya mampu diisytihar oleh golongan borjuis. Tanpa sebarang perundangan yang terlalu rumit, dengan cara yang mudah dan terus terang, golongan proletar yang merampas kuasa itu melaksanakan pendemokrasian sistem sosial, memansuhkan birokrasi, dan menjadikan semua jawatan awam sebagai jawatan yang dipilih,” begitu tulisnya V. I. Lenin, tokoh revolusioner Rusia dalam rencana yang bertajuk “Pengajaran Komun” (1908).
Namun, Lenin berpendapat bahawa dua kesilapan telah menghancurkan kejayaan Komun Paris yang gemilang itu:
- Golongan revolusioner proletar dalam Komun Paris tidak “merampas daripada perampas”. Mereka tidak mengambil alih institusi kewangan seperti Bank Perancis walaupun mereka berpeluang untuk berbuat demikian dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Komun Paris.
- Kemurahan hati yang berlebihan daripada Komun Paris terhadap musuhnya. Lenin mengkritik pendekatan Komun Paris yang tidak terus memusnahkan musuhnya, sebaliknya cuba mempengaruhi musuhnya dengan moral. Lenin juga mengkritik sikap Komun Paris yang memandang remeh operasi ketenteraan secara langsung dalam perang saudara. Komun Paris teragak-agak dalam melancarkan serangan ketenteraan yang tegas dan segera ke atas Versailles demi menjamin kejayaan Komun Paris, sebaliknya melambat-lambatkan tindakan, maka memberikan masa yang mencukupi untuk kerajaan Versailles mengumpulkan kuasa-kuasa reaksioner yang akhirnya mengundang “Minggu Berdarah”.

“Walaupun dengan semua kesilapannya, Komun tetap merupakan contoh yang unggul bagi gerakan proletar yang hebat pada abad ke-19,” ulas Lenin lebih lanjut lagi. “Meskipun pengorbanan Komun begitu besar, ia ditebus dengan kepentingannya bagi perjuangan bersama golongan proletar: ia membangkitkan gerakan sosialis di seluruh Eropah, ia menunjukkan kekuatan perang saudara, ia menghapuskan ilusi patriotik, dan menghancurkan kepercayaan naif terhadap sebarang usaha golongan borjuis untuk matlamat kebangsaan bersama. Komun mengajar golongan proletar Eropah untuk mengemukakan tugas-tugas revolusi sosialis secara konkrit. Pengajaran yang dipelajari oleh golongan proletar itu tidak akan dilupakan.”
Pandangan Lenin tentang ketegasan menghancurkan musuh itu turut disokong oleh Mao Zedong, tokoh revolusioner China, yang juga berpandangan bahawa Komun Paris terlalu berbelas kasihan terhadap musuh. Mao Zedong berkata pada tahun 1926 ketika menyambut ulang tahun ke-55 Komun Paris, “Jika kita berbelas kasihan terhadap musuh, maka bermakna berlaku kejam terhadap rakan seperjuangan.” Namun pandangan tentang keperluan untuk “kejam terhadap musuh” itu pula sering kali menimbulkan tragedi yang sepatutnya boleh dielakkan dalam banyak revolusi yang hebat. Sejauh mana keganasan revolusioner itu patut digunakan sentiasa menjadi dilema kepada golongan revolusioner yang ingin mempertahankan sesebuah revolusi daripada ancaman musuhnya yang kontra-revolusioner dan ganas.

Mao Zedong berpandangan bahawa Komun Paris gagal kerana tiadanya kepimpinan sebuah organisasi parti yang berdisiplin dan berpusat. “Jika kita mahu revolusi berjaya, kita harus memusatkan kekuatan dan bertindak secara selaras, maka perlu bergantung pada sebuah parti yang tersusun dan berdisiplin untuk memberi arahan,” kata Mao Zedong. Namun, “arahan” daripada sebuah organisasi parti yang memusatkan kuasa tidak semestinya menjamin kejayaan, malah jika kekuasaan kepimpinan parti tidak semak secara berkesan dan tiadanya mekanisme untuk memperbetulkan kesilapan kepimpinan organisasi, ia boleh disalahgunakan dan mengakibatkan perjuangan revolusioner menyimpang daripada haluan asalnya.
Jika sebuah parti yang menggelar dirinya “revolusioner” tidak disemak dengan berkesan, sama ada melalui demokrasi dalaman yang sifat atau pengawasan demokratik daripada massa rakyat, ia boleh mendatangkan kesan-kesan buruk yang menggagalkan usaha pembebasan masyarakat. Misalnya, jentera negara lama yang sepatutnya dihancurkan itu boleh diubah suai kepada jentera keganasan baharu yang digunakan sesebuah negara atau parti yang kononnya “revolusioner” atau “demokratik” untuk mengekalkan kekuasaan segelintir kecil orang atas nama mempertahankan revolusi.

Jika kuasa dalam sesebuah parti revolusioner terlalu tertumpu dalam tangan seorang pemimpin atau sekumpulan kecil pemimpin untuk “memandu” atau “mengarahkan” usaha perjuangan revolusioner, ia boleh mewujudkan Bonapartisme dalam organisasi parti itu. Malah, pemerintahan proletar yang didirikan berasaskan organisasi sebegitu, walaupun kepimpinan parti pemerintahan yang berkuasa atas nama “revolusi” itu mungkin dapat membuat keputusan yang “tepat”, jika ia tidak disemak secara demokratik oleh massa revolusioner, ia masih cenderung membawa kepada Bonapartisme yang melemahkan malah menggadaikan hasil revolusi proletar.
Leon Trotsky juga menekankan keperluan sebuah parti revolusioner yang tersusun dan berdisiplin, tetapi harus berhubung rapat dengan gerakan massa. “Parti tidak mencipta revolusi sesuka hati, ia tidak memilih saat untuk merampas kuasa sesuka hati, tetapi ia mencampur tangan secara aktif dalam peristiwa-peristiwa, menembusi setiap saat minda massa revolusioner dan menilai kekuatan daya tahan musuh, lalu menentukan saat yang paling sesuai untuk tindakan penentu,” begitu tulisnya Trotsky. “Inilah bahagian yang paling sukar dalam tugasnya. Parti tidak mempunyai keputusan yang sesuai untuk setiap keadaan. Yang diperlukan ialah teori yang tepat, hubungan rapat dengan massa, pemahaman terhadap situasi, persepsi yang revolusioner, dan ketegasan yang hebat. Semakin mendalam sebuah parti revolusioner menembusi semua bidang perjuangan proletar, semakin ia disatukan oleh penyatuan matlamat dan disiplin, semakin cepat dan semakin baik ia akan menyelesaikan tugasnya.”
“Kesukarannya ialah mewujudkan organisasi parti yang berpusat ini, yang secara dalamannya diperkukuhkan dengan disiplin besi, berhubung secara rapat dengan gerakan massa dan pasang surutnya,” ulas Trotsky. “Penawanan kuasa tidak akan dapat dicapai melainkan dengan syarat terdapatnya tekanan revolusioner daripada massa pekerja. Namun, dalam tindakan ini, kerja-kerja persiapan sebagai unsur penting adalah tidak dapat dielakkan sama sekali. Semakin baik parti memahami keadaan dan ketepatan masa, semakin baik asas-asas penentangan dipersiapkan, semakin baik kekuatan dan peranan akan diagihkan, semakin pasti kejayaan dan semakin kurang mangsa korban yang perlu ditanggung. Hubungan antara tindakan yang dipersiapkan secara teliti dan gerakan massa ialah tugas strategik politik untuk mengambil alih kuasa.”

Untuk mentafsir apa yang dimaksudkan oleh kenyataan Karl Marx, “kelas pekerja tidak boleh memegang jentera negara yang sedia ada begitu sahaja, dan menggunakannya untuk mencapai matlamatnya sendiri”, Lenin berhujah dalam tulisannya “Negara dan Revolusi” (1917) bahawa Marx bukan menolak perampasan kuasa oleh golongan kelas pekerja yang revolusioner. “Apa yang sebenarnya adalah sebaliknya. Maksud Marx ialah kelas pekerja harus memecahkan dan memusnahkan ‘jentera negara yang sedia ada’, bukannya sekadar memegangnya.”
“Ungkapan ‘untuk memusnahkan jentera birokratik-tentera’ secara ringkasnya pengajaran utama Marxisme mengenai tugas-tugas golongan proletar semasa revolusi berhubung dengan negara,” begitu tulisnya Lenin. “… Perhatian khusus harus diberikan kepada ulasan Marx yang sangat mendalam bahawa pemusnahan jentera negara birokratik-tentera ialah ‘prasyarat’ bagi setiap revolusi rakyat yang sebenar’.”

Secara ringkasnya, pengajaran penting yang boleh didapati daripada pengalaman revolusioner Komun Paris yang begitu hebat itu termasuk:
- Perlunya organisasi politik sosialis yang berprinsip, tersusun, berdisiplin dan dinamik supaya dapat memimpin gerakan revolusioner dan memberi panduan perjuangan yang amat diperlukan pada saat-saat genting apabila tercetusnya revolusi;
- Perlu membina gabungan politik yang meluas yang terdiri daripada pelbagai aliran gerakan kelas pekerja supaya ia berfungsi sebagai barisan bersatu yang dapat bertindak secara koheren dan terselaras dalam memajukan revolusi;
- Kelas pekerja yang mengambil alih kuasa pemerintahan tidak harus menggunakan jentera negara untuk mentadbir urus masyarakat seperti biasa, sebaliknya perlu menghancurkan jentera negara lama (seperti polis, tentera, hukuman mati dan sebagainya) dan menggantikannya dengan pemerintahan kelas pekerja yang demokratik;
- Perlunya ketegasan dalam mengambil tindakan terhadap ancaman kontra-revolusi;
- Perlu mengambil alih institusi ekonomi dan kewangan utama apabila mempunyai peluang untuk berbuat demikian.
Dari segi inspirasi, Komun Paris terus menawarkan visi bahawa kelas pekerja boleh membebaskan diri mereka dan membina sebuah masyarakat baharu yang lebih baik. Ia menunjukkan bahawa kelas pekerja boleh mentadbir sendiri dengan pembentukan pemerintahan proletar yang demokratik. Pemerintahan proletar merupakan langkah bersejarah yang penting untuk menuju sosialisme, sebuah dunia yang bebas daripada sebarang bentuk eksploitasi, penindasan, peperangan dan pengasingan.

Warisan Komun Paris: Imaginasi dan eksperimen pemerintahan kelas pekerja
Semasa Revolusi Perancis 1789, golongan sans-culotte yang radikal memaksa pemimpin-pemimpin borjuis mereka untuk beralih ke haluan kiri, tetapi pemimpin-pemimpin borjuis dalam revolusi itu tidak pernah terfikir untuk membenarkan kelas bawahan seperti golongan sans-culotte memegang kuasa pemerintahan yang sebenar. Malah, dalam fasa yang paling radikal semasa Revolusi Perancis (1793-1794), Konvensyen Kebangsaan yang didominasi oleh golongan Jacobin-Montagne yang berhaluan kiri itu pun masih mempertahankan hak milik harta persendirian borjuis dan susunan masyarakat kapitalis. Selepas Revolusi Februari 1848, wakil kelas pekerja yang dilantik ke dalam Kerajaan Sementara pada masa itu, Alexandre Martin (1815-1895) atau lebih dikenali sebagai L’ouvrier Albert, hanya berfungsi sebagai perabot hiasan kepada sebuah pemerintahan kelas borjuis yang nampaknya “inklusif”. Oleh itu, revolusi demi revolusi itu tidak pernah benar-benar mencapai matlamatnya, “Kebebasan, Kesamarataan, Persaudaraan” (Liberté, Égalité, Fraternité). Komun Paris 1871 mengubah segalanya, apabila kelas pekerja mendapati bahawa matlamat “Kebebasan, Kesamarataan, Persaudaraan” boleh dicapai dengan berpecah dengan kelas borjuis dan mengambil alih kuasa pemerintahan secara sendiri.
“Komun ialah bentuk yang ‘akhirnya ditemui’ oleh revolusi proletar, yang mana pembebasan ekonomi buruh boleh berlaku.” begitu tulisnya Lenin. “Komun ialah cubaan pertama oleh revolusi proletar untuk menghancurkan jentera negara borjuis; dan ia merupakan bentuk politik ‘akhirnya ditemui’, yang mana dengannya jentera negara yang dihancurkan itu boleh dan harus digantikan.”

Penggantian pemerintahan kelas kapitalis (atau kediktatoran borjuis) dengan pemerintahan kelas pekerja (atau kediktatoran proletariat) merupakan langkah yang penting dalam usaha perjuangan pembebasan masyarakat. Pemerintahan kelas pekerja bukannya pemerintahan sekumpulan kecil revolusioner atas nama “kelas pekerja” atau “revolusi”, seperti yang dibayangkan oleh golongan Blanquiste atau golongan Jacobin. Bagi golongan sosialis revolusioner yang membangunkan parti perintis (vanguard) sebagai penggerak perjuangan itu pun, ia bukan untuk parti perintis itu menggantikan kelas pekerja sebagai parti pemerintah. Lebih-lebih lagi, ia juga bukan pemerintahan birokratik yang mengasingkan kelas pekerja dan rakyat terbanyak daripada kekuasaan sebenar. “Pembebasan kelas pekerja harus dilakukan oleh kelas pekerja sendiri” yang dilaungkan oleh Internasional Pertama itu bukannya satu slogan kosong, tetapi harus direalisasikan dalam pemerintahan proletar yang demokratik.
Pemerintahan kelas pekerja seharusnya sebuah demokrasi yang lebih besar dan meluas, di mana demokrasi itu diamalkan sepenuhnya dalam tadbir urus politik, ekonomi dan sosial. Ini bermakna penyertaan kelas pekerja dan rakyat bawahan secara demokratik dalam proses membuat keputusan politik dan ekonomi. Kebebasan kelas pekerja untuk berorganisasi secara politik harus dijamin; sumber-sumber pengeluaran masyarakat harus dimiliki secara bersama oleh seluruh rakyat; ekonomi yang melibatkan pengagihan kekayaan masyarakat itu harus dirancang dan ditadbir urus secara demokratik. Walaupun hanya wujud selama 72 hari, pengalaman Komun Paris menawarkan imaginasi untuk membentuk pemerintahan proletar yang demokratik dan bersifat pembebasan.

Oleh itu, salah satu warisan penting daripada Komun Paris ialah usaha gerakan kiri di seluruh dunia yang berterusan untuk memperjuangkan pembebasan kelas pekerja dan mendirikan pemerintahan proletar, atau Komun Paris versi masing-masing.
Salah satu contoh yang ketara ialah soviet (majlis pekerja) yang ditubuhkan di beberapa buah bandar semasa Revolusi Rusia pada tahun 1905, seperti Soviet Saint Petersburg yang ditubuhkan oleh pekerja-pekerja untuk menyelaraskan aksi mogok besar-besaran di bandar Saint Petersburg, ibu negara Empayar Rusia pada masa itu. Soviet yang ditubuhkan semasa Revolusi Rusia 1905 dipatahkan oleh pihak berkuasa tidak lama kemudian berikutan kegagalan Revolusi Rusia 1905. Namun begitu, usaha penubuhan soviet dihidupkan semula apabila tercetusnya Revolusi Rusia 1917. Soviet-soviet yang ditubuhkan semasa Revolusi Rusia 1917, termasuk Majlis Perwakilan Pekerja dan Askar Petrograd (atau lebih dikenali sebagai Soviet Petrograd), menganjurkan Kongres Soviet-soviet Perwakilan Pekerja dan Askar yang menjadi asas kepada pembentukan Republik Sosialis Persekutuan Soviet Rusia (1917-1991), sebagai negara pekerja yang pertama di dunia, dan kemudiannya bersama-sama republik-republik soviet yang lain untuk menubuhkan Kesatuan Republik Sosialis Soviet, atau lebih dikenali sebagai Kesatuan Soviet (1922-1991). Walaupun soviet-soviet di Rusia yang mendapat ilham daripada Komun Paris itu bertahan lebih lama berbanding Komun Paris, sifatnya telah berubah dalam pergolakan politik yang penuh cabaran dan tragedi di dalam negara yang lahir daripada revolusi hebat itu. Birokrasi Stalinis, bukannya demokrasi sosialis, menjadi ciri yang dominan sepanjang kewujudan Kesatuan Soviet, sesuatu yang masih jauh daripada impian warisan Komun Paris.

Mendapat rangsangan daripada Revolusi Rusia dan menyambung warisan Komun Paris, golongan revolusioner sosialis di Hungary menubuhkan Republik Soviet Hungary pada tahun 1919, tetapi hanya bertahan selama 133 hari, dari 21 Mac hingga 1 Ogos 1919, sebelum ditewaskan oleh tentera Romania yang disokong Perancis. Di negara Jerman yang ditewaskan dalam Perang Dunia I, golongan sosialis dan golongan anarkis mengisytihar penubuhan Republik Soviet Bayern di negeri yang terletak di bahagian selatan Jerman, pada 6 April 1919, tetapi hanya bertahan tidak sampai sebulan sebelum ditumpaskan oleh tentera Jerman.
Semasa Perang Saudara Rusia dan Perang Kemerdekaan Ukraine (1917-1921), golongan anarkis menerajui gerakan untuk menubuhkan komun di selatan dan timur Ukraine. Gerakan itu dikenali sebagai “Makhnovshchina”, dinamakan sempena Nestor Makhno (1888-1934), komander Tentera Pemberontak Revolusioner Ukraine, dengan hasrat mewujudkan sistem “soviet bebas” yang bertujuan untuk beralih ke arah sebuah masyarakat tanpa negara dan tanpa kelas. Soviet-soviet bebas itu merupakan badan tadbir urus kendiri yang bebas daripada sebarang pihak berkuasa pusat untuk golongan pekerja dan golongan petani menguruskan komuniti mereka melalui demokrasi penyertaan. Gerakan Makhnovshchina dipatahkan Tentera Merah Bolshevik.

Di wilayah Trakia Timur yang terletak di Eropah Tenggara, apabila tercetusnya Pemberontakan Preobrazhenie pada tahun 1903 untuk menentang pemerintahan Empayar Uthmaniyah di situ, golongan pemberontak yang menyertai Pertubuhan Revolusioner Macedonia Dalaman (IMRO) menubuhkan komun yang berlandaskan prinsip-prinsip komunisme libertarian (atau anarkisme) di wilayah yang dikuasai mereka di kawasan pergunungan Strandzha. “Komun Strandzha” hanya bertahan tidak sampai tiga minggu sebelum ia ditumpaskan oleh tentera Empayar Uthmaniyah.
Sistem politik dan ekonomi yang diamalkan di negeri Morelos, Mexico, dari tahun 1913-1917, dipanggil sebagai “Komun Morelos” oleh Adolfo Gilly (1928-2023), seorang ahli sejarah Mexico. Apabila Tentera Pembebasan Selatan yang dipimpin oleh Emiliano Zapata (1879-1919) menguasai Morelos, badan pentadbiran kendiri yang didirikan di situ melaksanakan pembaharuan sosial yang radikal, termasuk pemiliknegaraan perusahaan gula dan pengagihan semula tanah daripada tangan tuan tanah besar kepada golongan petani.
Di China, untuk menyokong kempen Ekspedisi ke Utara (1926-1928) yang dilancarkan oleh Tentera Revolusioner Kebangsaan yang merupakan sayap tentera Kuomintang untuk menentang kerajaan Beiyang, Parti Komunis China melancarkan pemberontakan pekerja sebanyak tiga kali di bandar Shanghai. Pemberontakan yang pertama (23 Oktober 1926) dan pemberontakan yang kedua (22 Februari 1927) digagalkan dengan cepat. Pemberontakan pekerja yang ketiga di Shanghai pada 21 Mac 1927 berjaya menewaskan tentera Beiyang yang ditempatkan di bandar itu selepas pertempuran selama dua hari. Kira-kira 4,000 orang wakil daripada lebih 1,000 buah organisasi masyarakat mengadakan “Perhimpunan Perwakilan Warga Bandar Shanghai” pada 22 Mac 1927, dan menubuhkan Kerajaan Sementara Shanghai yang dianggotai oleh 19 orang. Kerajaan Sementara Shanghai juga dikenali sebagai “Komun Shanghai” kerana pemimpin-pemimpinnya hendak mencontohi Komun Paris. Komun Shanghai dibubarkan tidak lama kemudian apabila tentera yang setia pada Kuomintang memasuki bandar Shanghai pada bulan April 1927.

Apabila anggota-anggota Parti Komunis China melancarkan pemberontakan di Guangzhou yang terletak di bahagian selatan China pada 11 Disember 1927, mereka juga mencontohi Komun Paris dengan menubuhkan “Komun Guangzhou”, yang juga dikenali sebagai Kerajaan Soviet Guangzhou. Namun, Komun Guangzhou hanya bertahan sehari sebelum ditumpaskan oleh tentera kerajaan yang setia pada Kuomintang.
Pengaruh semangat Komun Paris masih berterusan selepas Parti Komunis China menewaskan Kuomintang sepenuhnya di Tanah Besar China pada tahun 1949. Kerajaan Republik Rakyat China melancarkan gerakan pembentukan “komun rakyat” mulai tahun 1958, dengan komun rakyat itu berfungsi sebagai kerajaan akar umbi dan organisasi pengeluaran ekonomi di bawah sistem ekonomi perancangan berpusat di China pada masa itu. Sistem komun rakyat tidak lagi wujud sejak tahun 1980-an apabila Republik Rakyat China mula mengamalkan ekonomi pasaran.
Apabila tercetusnya Revolusi Kebudayaan pada tahun 1960-an, “Keputusan Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China mengenai Revolusi Kebudayaan Proletariat” yang diluluskan pada bulan Ogos 1966 menyatakan bahawa: “Anggota-anggota Kumpulan Revolusi Kebudayaan, anggota-anggota Jawatankuasa Revolusi Kebudayaan dan ahli-ahli perwakilan Kongres Revolusi Kebudayaan harus dipilih melalui pilihan raya yang menyeluruh, seperti Komun Paris; di mana senarai nama calon harus dikemukakan selepas perbincangan sepenuhnya oleh massa revolusioner, dan hanya selepas perbincangan massa berulang kali, barulah menjalankan pilihan raya.” Ketetapan itu mendapat inspirasi daripada amalan demokratik Komun Paris, tetapi ia tidak pernah dilaksanakan sebenarnya kerana keadaan huru-hara yang timbul akibat daripada pertempuran hebat antara puak-puak yang berbeza semasa Revolusi Kebudayaan. Di Shanghai, kumpulan-kumpulan pemberontak yang mendapat sokongan daripada Mao Zedong dan Kumpulan Revolusi Kebudayaan Pusat melancarkan rampasan kuasa yang menjatuhkan kepimpinan Parti Komunis China di bandar raya Shanghai dan menubuhkan “Komun Rakyat Shanghai” pada bulan Januari 1967. Namun, Mao Zedong yang hendak menumpaskan kepimpinan birokrat parti yang “mengambil jalan kapitalis” pada masa itu tidak berhasrat untuk melepaskan cengkaman parti pemerintah terhadap kuasa pemerintahan di setiap peringkat, maka dia tidak menyokong pelaksanaan “pilihan raya yang menyeluruh seperti Komun Paris”. Atas arahan Mao Zedong, struktur Komun Rakyat Shanghai ditukar kepada “Jawatankuasa Revolusioner Shanghai” yang menggabungkan birokrat parti, kepimpinan tentera dan wakil massa rakyat, maka menghalang momentum revolusioner itu daripada melangkaui lebih jauh dan meninggalkan amalan Komun Paris mengenai pilihan raya demokratik. Adalah jelas bahawa penggabungan bebas dan demokrasi langsung, dua prinsip teras Komun Paris, adalah tidak serasi dengan negara yang memusatkan kuasa.

Di Semenanjung Iberia, apabila Perang Saudara Sepanyol tercetus pada tahun 1936, golongan sosialis dan golongan anarkis melancarkan revolusi sosial di wilayah-wilayah seperti Andalusia, Aragon dan Catalonia, berlandaskan model yang mendapat ilham daripada Komun Paris. Jawatankuasa pekerja mengambil alih pengurusan kilang; kawasan pertanian luar bandar disusun dalam komun yang mengamalkan pertanian kolektif; malah banyak perusahaan kecil, seperti restoran dan kedai gunting rambut juga diuruskan secara kolektif oleh pekerja. Eksperimen revolusioner yang melanjutkan semangat Komun Paris di Sepanyol itu dipatahkan tidak lama kemudian oleh kuasa kontra-revolusioner yang berhaluan kanan.
Zygmunt Zaremba (1895-1967), seorang aktivis sosialis Poland, menggunakan istilah “Komun Warsaw” untuk menggambarkan Pemberontakan Warsaw pada tahun 1944 sebagai revolusi yang menyaksikan solidariti kelas pekerja dan golongan intelek dalam perjuangan menentang pendudukan tentera Jerman Nazi di situ. Oleh sebab Tentera Merah Kesatuan Soviet gagal memberikan sokongan yang sepatutnya, Pemberontakan Warsaw dipatahkan secara ganas oleh tentera Jerman Nazi.
Sama ada berjaya atau gagal, setiap usaha perjuangan yang berlandaskan semangat pembebasan masyarakat seperti Komun Paris sudah pasti memberi inspirasi dan dorongan kepada perjuangan seterusnya.

Semangat Komun Paris tetap membara
“Paris milik kaum pekerja, bersama Komunnya, akan diraikan selama-lamanya sebagai pelopor agung untuk sebuah masyarakat baharu. Para martirnya sudah diabadikan dalam sanubari kelas pekerja yang hebat. Sejarah pemusnahnya sudah terpaku di atas tiang kehinaan abadi di mana segala doa paderi mereka tidak akan dapat menebus dosa mereka,” begitu tulisnya Karl Marx selepas kejatuhan Komun Paris.
Eugène Pottier, salah seorang anggota Majlis Komun Paris yang berjaya melepaskan diri daripada ditangkap pihak berkuasa berikutan kejatuhan Komun Paris, telah menulis sebuah puisi sepanjang 6 stanza pada bulan Jun 1871. Pada ketika itu, Pottier masih bersembunyi di kawasan pinggiran bandar untuk mengelakkan dirinya daripada ditangkap. Pottier dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah Versailles tanpa kehadirannya. Pottier merupakan seorang anggota Internasional Pertama, maka puisi yang ditulisnya itu diberi tajuk “L’Internationale”. Selepas itu, Pottier berjaya melarikan diri ke Britain, dan kemudiannya pergi ke Amerika Syarikat. Pottier bergiat aktif dalam gerakan pekerja di Britain dan Amerika Syarikat semasa dia hidup dalam buangan di situ, di samping terus menghasilkan karya puisi yang berkisar pada perjuangan kelas pekerja. Pottier hanya pulang ke Perancis pada tahun 1881 selepas Perhimpunan Kebangsaan meluluskan undang-undang pengampunan umum terhadap anggota-anggota Komun Paris.

L’Internationale hanya diterbitkan secara rasminya pada bulan April 1887 dalam buku koleksi lirik lagunya “Chants révolutionnaires” (Lagu Revolusioner). Pottier pada asalnya menulis lirik lagu itu mengikut melodi La Marseillaise yang merupakan lagu kebangsaan Perancis. Lagu L’Internationale dinyanyikan dalam melodi La Marseillaise semasa upacara pengebumian Pottier pada bulan November yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 orang di tanah perkuburan Père Lachaise, tempat tertumpah darahnya pejuang-pejuang Komun Paris 1871.
Melodi lagu L’Internationale yang kita nyanyikan hari ini digubah pada tahun 1888 oleh Pierre De Geyter (1848-1932), seorang komposer dan sosialis yang berasal dari Belgium. Lagu L’Internationale telah menjadi sebuah lagu perjuangan yang sering dinyanyikan dalam pelbagai bahasa oleh golongan berhaluan kiri daripada pelbagai aliran di seluruh dunia.

Stanza pertama dan korus lagu L’Internationale yang diterbitkan pada tahun 1887 berbunyi begini:
Bangkitlah, wahai orang yang terkutuk di bumi
Bangkitlah, wahai hamba yang kelaparan
Akal budi bergemuruh di kawahnya
Inilah letusan pengakhiran
Marilah kita hapuskan segala yang sudah berlalu
Wahai massa hamba, bangkit, bangkit
Dunia akan berubah asasnya
Kita bukannya apa-apa, marilah menjadi segala-galanya
Inilah perjuangan terakhir
Marilah kita bersatu, dan esok
Internasionale
Akan jadi milik umat manusia

Komun Paris 1871 ialah salah satu episod sejarah perjuangan kelas pekerja yang paling mengujakan. Dalam tempoh hanya beberapa minggu pada tahun 1871, kelas pekerja yang dikepung oleh musuh-musuh reaksioner telah menunjukkan kepada dunia bahawa golongan pekerja boleh mentadbir masyarakat secara demokratik, tanpa perlunya kapitalis. Buat pertama kali dalam sejarah, walaupun terhad kepada sebuah bandar, kita dapat menyaksikan bagaimana kelas pekerja boleh berorganisasi sebagai sebuah kelas pemerintah. Sehingga hari ini, pengalaman perjuangan bersejarah Komun Paris telah menyediakan pengajaran yang penting dan inspirasi yang bersemangat kepada semua golongan sosialis yang ingin memperjuangkan pembebasan masyarakat sebenar.
Komun Paris 1871 merupakan peristiwa yang amat penting dalam sejarah perjuangan kelas pekerja antarabangsa. Komun Paris ialah pemerintahan kelas pekerja yang pertama di dunia. Komun Paris telah menjadi contoh nyata yang terawal di mana kelas pekerja mampu mengambil alih kuasa dan membina sebuah masyarakat baharu yang bebas daripada penindasan kelas.

Walaupun hanya bertahan untuk satu jangka masa yang singkat, Komun Paris tetap merupakan sebuah eksperimen revolusioner sosialis yang berjaya. Komun Paris berjaya kerana ia menunjukkan revolusi sosialis itu adalah berkemungkinan, dan ia terus menjadi inspirasi kepada perjuangan revolusioner di merata tempat di dunia sehingga hari ini.
Komun Paris merupakan pembayang kepada sebuah masyarakat yang bebas daripada pemerintahan kapitalis dan sebuah negara pekerja yang mempunyai ciri-ciri asas demokrasi sosialis: tiada lagi birokrasi; tiada lagi tentera tetap yang terpisah daripada rakyat biasa; tiada lagi pegawai tinggi yang menikmati layanan istimewa; semua penjawat kuasa dipilih secara demokratik, sentiasa bertanggungjawab kepada rakyat dan boleh dipecat bila-bila masa; golongan pekerja bebas bersuara dan bebas berorganisasi; kekayaan masyarakat diagihkan secara adil dan saksama; dan sebagainya.
Seperti pejuang-pejuang revolusioner sebelum mereka, golongan revolusioner Komun Paris menyumbangkan apa yang mampu daripada diri mereka, malah ada yang mengorbankan nyawa mereka, untuk membina sebuah masyarakat baharu yang berlandaskan prinsip-prinsip demokrasi, kesamarataan, persaudaraan dan kemanusiaan. Komun Paris mendorong golongan revolusioner selepasnya untuk melakukan perkara yang serupa dalam keadaan berbeza pada zaman berbeza tetapi berhadapan dengan sistem penindasan kelas yang lebih kurang sama.

Semangat Komun Paris tetap membara sehingga hari ini. Dengan kapitalisme global terus membiak peperangan, kemiskinan, kelaparan, kemusnahan alam, ketidaksamarataan ekonomi, ketidakadilan sosial dan ketidakjaminan hidup, perjuangan kelas pekerja dan rakyat bawahan untuk pembebasan sebenar tetap akan berterusan. Golongan sosialis yang revolusioner harus terus berjuang. Seperti yang disimpulkan dalam “Manifesto Komun Paris” yang diterbitkan pada 19 April 1871, “Misi kita ialah menjayakan Revolusi moden, yang paling besar dan paling subur daripada segala revolusi yang telah menerangi sejarah. Adalah kewajipan kita untuk berjuang dan menang.”
Semangat Komun Paris sudah tentu akan terus menyemarakkan api perjuangan rakyat di seluruh dunia demi sebuah masyarakat yang benar-benar bebas, demokratik, sama rata, adil dan sejahtera.

==========
Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.
==========
