“Sosialisme tanpa demokrasi ialah sosialisme palsu, sama seperti demokrasi tanpa sosialisme ialah demokrasi palsu. Negara demokratik ialah satu-satunya bentuk yang sesuai untuk sebuah masyarakat yang diorganisasi berasaskan sosialis.” – Wilhelm Liebknecht, On The Political Position of Social-Democracy (1869)

Sosialisme sering dikaitkan dengan pemerintahan yang autoritarian dan tidak demokratik, namun hakikatnya golongan sosialis yang sebenar merupakan antara pejuang demokrasi yang paling tegas, teguh, gigih, berdedikasi, komited dan radikal.

Terdapat banyak tanggapan salah tentang sosialisme yang merupakan mitos ciptaan golongan anti-sosialis untuk mewujudkan persepsi negatif mengenai sosialisme. Salah satu tanggapan salah ialah “sosialisme pasti akan mewujudkan pemerintahan autoritarian (ataupun totalitarian) yang zalim”, seperti yang memang pernah berlaku di Kesatuan Soviet dan negara-negara satelitnya pada abad ke-20 ataupun apa yang masih diamalkan di Korea Utara pada hari ini. Satu lagi mitos yang direka untuk menyokong “keabsahan” sistem kapitalis yang sedia ada ialah “ekonomi kapitalis membawa demokrasi kepada masyarakat kita”. Namun, sekiranya kita mengkaji secara mendalam tentang sejarah masyarakat sedunia, kita akan dapati bahawa tanggapan-tanggapan ini adalah tidak benar, malah kebenaran adalah sebaliknya.

Apa itu demokrasi?

Istilah “demokrasi” berasal daripada perkataan Bahasa Yunani “demos” (yang bermaksud “rakyat”) dan “kratos” (yang bermaksud kuasa). Oleh itu, demokrasi secara harfiah bermaksud “kuasa rakyat” atau “pemerintahan rakyat”. Ia adalah bertentangan dengan autokrasi (bentuk pemerintahan di mana hanya seorang yang berkuasa mutlak) dan oligarki (bentuk pemerintahan di mana sekumpulan kecil orang yang berkuasa). Namun, takrifan “rakyat” dalam “pemerintahan rakyat” ini boleh berbeza mengikut keadaan dan zaman yang berbeza dari segi hubungan kuasa serta perspektif politik yang berlainan. Rakyat sepatutnya bermakna semua orang yang menghuni di dalam sesebuah wilayah, tetapi di bawah sistem masyarakat yang berbeza, ada kemungkinannya sesetengah anggota masyarakat dikecualikan daripada takrifan “rakyat” kerana tidak memiliki status “kewarganegaraan” atau sebab-sebab lain.

Dalam masyarakat kelas, pemerintahan “rakyat” itu mungkin hanyalah penjelmaan pemerintahan kelas dalam wajah yang lebih “demokratik”. Misalnya dalam masyarakat demokratik borjuis, walaupun semua warganegara (yang terdiri daripada kelas kapitalis, kelas pekerja, kelas menengah dan sebagainya) berhak untuk memilih wakil rakyat dan kerajaan yang atas namanya mewakili kepentingan “seluruh rakyat”, tetapi kuasa politik yang sebenar (disokong dengan kuasa sosio-ekonomi, iaitu penguasaan ke atas sumber-sumber pengeluaran masyarakat) dipegang oleh kelas kapitalis. Sementara dalam sesetengah negara “demokratik rakyat” yang diperintah oleh parti Stalinis (seperti di Republik Demokratik Rakyat Korea), kuasa pemerintahan dipegang dalam tangan segelintir kecil golongan birokrat yang menduduki posisi penting dalam parti pemerintah yang mengamalkan pemusatan kuasa dan memerintah atas nama “rakyat” ataupun “kelas pekerja” sedangkan majoriti rakyat (termasuk kelas pekerja) masih tidak memiliki kuasa politik yang sebenar.

“… kerajaan dari rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat, tidak akan lenyap dari bumi ini.” – Abraham Lincoln, Gettysburg Address (1863)

Demokrasi ialah bentuk susunan politik yang menjamin hak setiap rakyat untuk menentukan nasib sendiri, tanpa mengira kedudukannya (dari segi etnik, gender, kepercayaan, agama, kebudayaan, pandangan dunia, kuasa dan sebagainya) dalam sesebuah masyarakat. Setiap rakyat yang hidup dalam demokrasi seharusnya mempunyai hak untuk melibatkan diri dalam proses membuat keputusan yang bakal mempengaruhi kehidupannya, sama ada secara langsung atau secara tidak langsung melalui wakil yang dipilihnya, di samping bebas menjalani kehidupannya dan menyuarakan pandangannya tanpa ketakutan akan diancam oleh pihak tertentu.

Terdapat dua konsep asas yang penting dalam demokrasi, iaitu kebebasan dan kesamarataan.

Kebebasan bermakna seseorang itu bebas daripada sebarang bentuk perhambaan, pemaksaan, eksploitasi, penindasan, ketidakjaminan hidup dan penderitaan, supaya dia dapat mengambil bahagian sepenuhnya dalam kehidupan masyarakat tanpa sebarang sekatan. Kebebasan juga bermakna bahawa seseorang atau sesebuah kumpulan masyarakat itu dapat menentukan nasib sendiri tanpa sebarang halangan, ancaman atau campur tangan daripada pihak lain.

Kesamarataan pula bermakna bahawa semua anggota dalam masyarakat menikmati hak kebebasan yang sama rata semasa mereka melibatkan diri dalam kehidupan masyarakat itu, iaitu tiada seorang memiliki hak kebebasan yang lebih atau kurang berbanding orang lain.

Selain itu, konsep asas seperti persaudaraan atau solidariti (iaitu kerjasama antara semua anggota masyarakat untuk kebaikan bersama) dan keadilan sosial (iaitu hubungan yang adil dan saksama antara semua anggota masyarakat dalam proses menjalani kehidupan masyarakat termasuk pengagihan kekayaan, akses kepada keperluan asas dan sebagainya) juga membentuk tunjang utama idea demokrasi.

Secara teorinya, di bawah demokrasi, semua anggota masyarakat bebas dan berhak untuk mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan tentang bagaimana menguruskan masyarakat serta menentukan nasib mereka sendiri. Semua rakyat atau “warganegara” di dalam sesebuah negara berhak untuk memilih kerajaan mereka, di mana kerajaan itu berfungsi untuk menggubal undang-undang, membuat dasar awam dan mentadbir wilayah atau negara yang diduduki oleh rakyat itu. Hak yang dimiliki oleh semua rakyat sepatutnya adalah sama rata tanpa mengira latar belakang atau status mereka dalam masyarakat, dari segi etnik, agama, gender, umur, budaya, keupayaan dan sebagainya. Rakyat sepatutnya menikmati pelbagai kebebasan sivil dan politik, seperti kebebasan bersuara, kebebasan berfikir, kebebasan beragama, kebebasan berhimpun, kebebasan berorganisasi, kebebasan media, kebebasan bergerak, kebebasan berkeluarga dan sebagainya, untuk membolehkan mereka melibatkan diri secara bebas dalam proses membuat keputusan yang berkaitan dengan urusan politik, ekonomi dan kehidupan sosial mereka di bawah demokrasi. Sistem demokrasi itu sepatutnya dapat mewujudkan semak-dan-imbang dalam pengagihan kuasa, supaya sesiapa yang berkuasa itu tidak menyeleweng kuasa sesuka hati.

Namun, dalam realitinya, demokrasi wujud dalam pelbagai bentuk di negara yang berbeza dan pada zaman yang berlainan. Demokrasi itu tidak muncul secara automatik atau semula jadi, tetapi terbentuk hasil daripada pergolakan dalam perkembangan sejarah masyarakat manusia, khususnya apabila lahirnya “negara”.

Negara dan perjuangan kelas

Ada masanya tidak wujud langsung “daulah” atau “negara” dalam masyarakat manusia. Untuk satu tempoh masa yang sangat panjang sebelum munculnya apa yang dikenali sebagai “tamadun”, ataupun semasa wujudnya masyarakat pemburu-pengumpul pada zaman primitif atau zaman “pra-sejarah”, masyarakat manusia hidup dalam keadaan yang tidak perlunya “negara” kerana tidak wujudnya kelas sosial yang berbeza. Manusia yang hidup secara berkelompok pada masa itu bekerja secara bersama dan berkongsi hasil perburuhan mereka secara bersama. Hanya apabila barangan lebihan (surplus) dalam masyarakat semakin bertambah kerana penemuan teknik pengeluaran ekonomi yang lebih maju dan canggih, maka wujudnya keperluan untuk pembahagian kerja dalam masyarakat, yang kemudiannya boleh mendatangkan ketidaksamarataan dalam masyarakat, bukan sahaja dari segi ketidaksamaan dalam pengagihan kerja tetapi juga dari segi ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan atau penguasaan ke atas kekayaan yang dihasilkan itu. Ini menjadi asas kepada pembentukan masyarakat kelas yang memerlukan jentera negara untuk mengekalkan kewujudannya.

“Negara bukannya sentiasa wujud. Pernah wujudnya masyarakat yang tidak perlukan negara, langsung tidak tahu apa itu negara dan kuasa negara. Apabila perkembangan ekonomi sampai ke satu peringkat tertentu dan perpecahan masyarakat kepada kelas tidak dapat dielakkan, perpecahan sebegini menjadikan negara sesuatu keperluan.” – Friedrich Engels, Origins of the Family, Private Property, and the State (1884)

Dalam masyarakat kelas, bukannya semua rakyat mempunyai status yang sama dalam hubungan kekuasaan politik dan sosio-ekonomi. Sentiasa wujudnya percanggahan antara kelas-kelas sosial yang berbeza dalam masyarakat kelas. “Rakyat” yang duduk di dalam sesebuah negara yang merupakan produk dan manifestasi percanggahan kelas yang tidak dapat didamaikan itu bukannya homogenus. Kepentingan lapisan kelas masyarakat yang berlainan itu adalah berbeza, malah mungkin bertentangan.  Adanya kelas yang memerintah, adanya kelas yang diperintah. Adanya kelas yang menindas, adanya kelas yang ditindas. Sentiasa wujudnya pertentangan antara kelas, dan ini boleh membawa kepada perjuangan kelas.

Perjuangan kelas melibatkan pertembungan (ada kalanya berlaku dengan cara yang agak ganas) antara kelas-kelas sosial yang bertentangan kepentingan untuk menentukan bagaimana kekayaan masyarakat yang dihasilkan daripada aktiviti perburuhan manusia itu (termasuk barangan keperluan hidup yang asas dan barangan lebihan atau surplus ekonomi) diagihkan dan bagaimana kuasa sosio-ekonomi-politik diimbangi. Sejauh mana demokrasi ini berkembang dalam masyarakat dan bagaimana rupa bentuknya, amat bergantung pada imbangan kuasa antara kelas-kelas sosial dan corak pengagihan kekayaan masyarakat yang wujud. Perjuangan untuk demokrasi ialah sebahagian daripada perjuangan kelas.

Bentuk demokrasi yang berbeza

Hari ini, pengertian ramai orang tentang demokrasi biasanya terhad kepada anggapan bahawa demokrasi itu hanya bermakna setiap warganegara berhak untuk mengundi wakil rakyat dalam pilihan raya selang beberapa tahun untuk mewakili mereka dalam proses penggubalan undang-undang negara dan membentuk kerajaan yang mentadbir sesebuah negara.

Namun, demokrasi bukannya sekadar pilihan raya untuk memilih wakil rakyat atau kerajaan sahaja. Skop demokrasi adalah lebih luas daripada itu. Demokrasi tidak terhad kepada peti undi sahaja, sebaliknya ia seharusnya meliputi setiap aspek kehidupan harian masyarakat.

Terdapat pelbagai bentuk demokrasi yang berbeza mengikut zaman, tempat dan keadaan, berasaskan imbangan kuasa dalam sesebuah masyarakat itu yang terbentuk hasil daripada pelbagai perjuangan masyarakat dan pergolakan politik sepanjang sejarah manusia.

Secara mudahnya, terdapat dua jenis bentuk demokrasi yang utama, di mana kedua-dua jenis bentuk demokrasi ini tidak semestinya wujud secara eksklusif. Dua jenis bentuk demokrasi yang utama ini ialah:

  • Demokrasi langsung
  • Demokrasi berperwakilan

Demokrasi langsung ialah sejenis demokrasi di mana rakyat menentukan segala perkara berkaitan dengan pengurusan masyarakat itu tanpa melalui apa-apa perwakilan yang berfungsi sebagai perantara. Dalam erti kata lain, rakyat itu terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan politik dan menentukan dasar pengurusan masyarakat. Di bawah demokrasi langsung, semua dasar, undang-undang dan peraturan masyarakat diputuskan oleh rakyat yang terlibat dalam “perhimpunan popular” yang disertai oleh semua rakyat, ataupun melalui referendum di mana semua rakyat mengundi terhadap perkara yang hendak diputuskan. Keputusan dalam perhimpunan popular boleh dibuat secara konsensus atau persepakatan antara semua peserta yang mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan atau secara pengundian dengan keputusannya mengikut majoriti.

Demokrasi berperwakilan pula ialah sejenis demokrasi di mana rakyat memilih wakil yang menjadi perantara untuk bersidang dalam parlimen atau membentuk kerajaan, supaya membuat keputusan bagi pihak rakyat yang memilih mereka. John Stuart Mill, seorang ahli falsafah Inggeris, pernah menulis dalam bukunya “Considerations on Representative Government” (1861), “Dalam sebuah demokrasi yang benar-benar sama rata, setiap atau mana-mana bahagian rakyat akan diwakili, bukannya secara tidak mengikut perkadaran, tetapi secara berkadar. Majoriti pemilih akan sentiasa mempunyai majoriti dalam perwakilan, tetapi pemilih yang minoriti akan sentiasa mempunyai perwakilan yang minoriti. Untuk orang ke orang, mereka (minoriti) akan diwakili sepenuhnya seperti majoriti.” Pilihan raya selang beberapa tahun untuk memilih ahli parlimen yang duduk dalam parlimen itu ialah sejenis demokrasi berperwakilan.

“Demokrasi” primitif

Sebelum wujudnya “tamadun” yang merupakan masyarakat kelas, pada zaman primitif di mana masyarakat pemburu-pengumpul hidup secara berkelompok, masyarakat pada masa itu tidak memerlukan “demokrasi” yang formal. Namun, masyarakat pada masa itu sudah mengamalkan kehidupan yang agak demokratik dalam komuniti yang diuruskan secara bersama oleh seluruh anggota komuniti itu. Oleh sebab komuniti primitif ini berkongsi segala kerja dan hasil perburuhan mereka, maka tidak wujudnya kelas sosial yang berbeza. Mereka tidak memerlukan seseorang atau segelintir kecil orang dalam komuniti itu untuk menjadi pemerintah yang memerintah mereka. Sebaliknya, mereka menguruskan kehidupan sosial secara kendiri dan bersama-sama, dengan segala keputusan dibuat secara kolektif dan biasanya melalui konsensus atau persepakatan dalam kalangan anggota-anggota komuniti.

Apabila munculnya negara kerana kewujudan pertentangan kelas sosial yang tidak dapat didamaikan, maka wujudnya pelbagai bentuk pemerintahan yang berfungsi untuk mengekalkan kekuasaan segolongan kecil kelas pemerintah ke atas golongan majoriti kelas yang diperintah. Banyak negara tamadun awal manusia muncul terlebih dahulu di pusat-pusat bandar yang menjadi penumpuan kekayaan masyarakat. Jenis pemerintahan yang muncul itu boleh berbentuk autokrasi (pemerintahan oleh seorang yang amat berkuasa), monarki (pemerintahan raja yang mewariskan kuasanya dari satu generasi ke generasi seterusnya), aristokrasi (pemerintahan oleh golongan aristokrat atau bangsawan yang memiliki hak keistimewaan berbanding rakyat biasa) ataupun oligarki (pemerintahan oleh segolongan kecil orang yang berkuasa).

Kemunculan negara dalam masyarakat kelas telah menggantikan fungsi pengurusan masyarakat yang dilakukan secara bersama dalam komuniti primitif yang sama rata dengan institusi kuasa yang dikawal oleh segelintir orang yang menguasai sumber pengeluaran ekonomi.

Demokrasi Athens

Oleh sebab istilah “demokrasi” berasal daripada perkataan Bahasa Yunani, maka asal usul demokrasi itu juga biasanya dikaitkan dengan masyarakat Greece purba. Kemunculan demokrasi pada zaman Greece purba merupakan hasil daripada perjuangan kelas dalam masyarakat Greece pada masa itu.

Negara-negara kota Greece purba (yang dikenali sebagai “polis” dalam Bahasa Yunani) mula muncul pada kurun ke-8 Sebelum Masihi (SM), hasil daripada proses yang dikenali sebagai “synoikismos”, iaitu penggabungan kampung-kampung ke dalam kota besar yang memusatkan sumber pengeluaran dan kekayaan yang dihasilkan oleh masyarakat pada masa itu. Salah sebuah negara kota yang penting pada zaman Greece purba ialah Athens.

Athens telah berjaya menguasai kawasan petempatan lain di Semenanjung Attiki, maka menjadikannya sebuah negara kota yang terbesar dan terkaya di atas Tanah Besar Greece, tetapi pada masa yang sama juga mewujudkan ketidaksamarataan dari segi pengagihan kekayaan dan kuasa politik. Golongan bangsawan yang merupakan kelas atasan dalam masyarakat Greece pada masa itu telah menyekat sebahagian besar golongan pertengahan dan bawahan daripada mengambil bahagian dalam proses politik di negara kota Athens. Ini mencetuskan pergolakan sosial yang semakin hebat dan berleluasa. Pada abad ke-7 SM, warga bebas Athens yang berharta telah melantik seorang penggubal undang-undang yang bernama Drakon untuk merangka undang-undang bertulis atau perlembagaan yang pertama bagi Athens. Undang-undang yang ditulis oleh Drakon itu sangat keras dan ketat, sehingga sekarang ini “undang-undang drakonian” membawa maksud yang sama dengan undang-undang zalim. Undang-undang bertulis yang diperkenalkan oleh Drakon telah menggantikan undang-undang lisan yang dimanipulasi oleh golongan bangsawan Athens sebelum itu, mewujudkan asas kepada “kedaulatan undang-undang”. Namun begitu, undang-undang yang diperkenalkan oleh Drakon dimansuhkan kemudian kerana wujudnya tentangan daripada pelbagai pihak.  

Solon yang dilantik sebagai árchon (pentadbir) di Athens pada tahun 594 SM telah memperkenalkan pembaharuan masyarakat yang bertujuan untuk mengurangkan konflik kelas yang wujud di dalam negara kota Athens. Pembaharuan yang dibawa oleh Solon termasuk memberi hak politik dan memperluaskan peranan yang dimainkan oleh kelas bangsawan sebelum itu kepada warga kota Athens lain yang bebas dan berharta, membolehkan mereka memiliki kebebasan untuk berhimpun dan mengambil bahagian dalam proses politik yang didominasi oleh golongan bangsawan sebelum itu. Di bawah pembaharuan yang diperkenalkan oleh Solon, boule (majlis yang terdiri daripada 400 orang warga kota yang bebas) dibentuk untuk menguruskan hal ehwal harian kota Athens dan menentukan agenda politik, walaupun majlis mesyuarat yang dianggotai oleh golongan bangsawan masih dikekalkan. Solon juga menubuhkan Ekklesia, iaitu majlis perhimpunan umum yang terbuka kepada penyertaan semua warga kota lelaki yang bebas.

Pembaharuan yang dibawa oleh Solon telah mengubah kerangka sosio-politik negara kota Athens, tetapi tidak disenangi oleh golongan bangsawan yang mendapati bahawa kekuasaan mereka terhakis. Peisistratus yang berkuasa sebagai pemerintah Athens sebanyak 3 kali dari tahun 561 SM hingga kematiannya pada tahun 527 SM, menghapuskan amalan demokrasi yang baru berkembang di Athens itu. Anak kepada Peisistratus, Hipparchus dan Hippias, yang menggantikan pemerintahannya telah meneruskan amalan tirani itu sehingga Hippias dijatuhkan pada tahun 510 SM berikutan pencerobohan tentera Sparta di bawah kepimpinan Raja Cleomenes I. Raja Sparta mengangkat Isagoras, seorang bangsawan Athens, untuk menjadi ketua kepada pemerintahan oligarki yang terdiri daripada golongan bangsawan yang setia pada Sparta. Cleisthenes, seorang bangsawan yang pro-demokrasi, telah menjadi pesaing dan pencabar kepada Isagoras, tetapi disingkir keluar dari Athens oleh pemerintah oligarki yang disokong oleh Sparta. Isagoras cuba membubarkan boule, tetapi mencetuskan penentangan hebat daripada warga Athens, khususnya golongan kelas menengah dan bawahan yang ingin mengembalikan demokrasi. Kebangkitan hebat warga Athens pada tahun 508-507 SM, berjaya menjatuhkan Isagoras dan menjemput Cleisthenes untuk pulang ke kota Athens. Cleisthenes yang juga dikenali sebagai “Bapa Demokrasi Athens” telah memperkenalkan pembaharuan terhadap pemerintahan negara kota Athens yang menyekat kekuasaan golongan bangsawan dan membolehkan warga kota bebas untuk mengambil bahagian dalam urusan pentadbiran Athens. Pembaharuan demokratik di Athens yang dibawa oleh Cleisthenes kemudiannya dikembangkan lagi oleh tokoh politik yang lain seperti Ephialtes dan Pericles.

Cleisthenes

Demokrasi Athens merupakan sejenis demokrasi langsung kerana warga kota Athens yang bebas mengambil bahagian secara langsung dalam perhimpunan umum (Ekklesia), boule dan mahkamah penghakiman (Dikasteria) yang mengawal seluruh proses politik. Tiada pemilihan wakil kerana semua warga kota yang bebas menyertai proses membuat keputusan secara langsung.

Suasana demokratik di Athens, dengan kebebasan berfikir dan kebebasan bersuara itu terjamin, telah mewujudkan ruang yang lebih besar kepada pembangunan falsafah Greece purba yang mempengaruhi pemikiran masyarakat dunia selepasnya. Ruang kebebasan demokratik di Athens turut membolehkan ahli-ahli falsafah yang anti-demokratik, seperti Plato dan Aristotle, untuk menyuarakan pandangan mereka yang tidak bersetuju dengan demokrasi Athens. Plato berpandangan bahawa demokrasi ialah pemerintahan orang yang jahil, dan hanya orang yang cerdik pandai, iaitu ahli falsafah sepertinya, layak untuk menjadi pemerintah. Sememangnya pandangan sebegini ialah pandangan golongan kelas atasan yang takut pada “pemerintahan rakyat” yang memberi terlalu banyak kuasa kepada rakyat bawahan sehingga menggugat kedudukan dominasi mereka dalam masyarakat.

Walaupun pembaharuan masyarakat di Athens merupakan kemajuan yang penting dalam sejarah politik masyarakat tamadun manusia, demokrasi Athens masih mempunyai batasannya dan bukan lagi demokrasi yang sepenuh. Ini kerana hanya warga kota lelaki yang bebas berhak untuk mengundi dan menyertai proses politik. Majoriti penduduk Athens, termasuk hamba abdi, wanita dan métoikos (warga asing yang menetap di Athens), tidak mempunyai hak politik demokratik seperti warga kota lelaki yang bebas. Walau bagaimanapun, perluasan hak demokratik daripada segelintir kecil golongan bangsawan kepada golongan warga kota lelaki yang lebih luas sudah cukup menjadi inspirasi kepada perjuangan rakyat lain yang belum menikmati hak demokratik itu. Perjuangan untuk memperluaskan hak demokratik kepada sektor-sektor masyarakat yang lebih besar sentiasa merupakan tema utama dalam perjuangan kelas.

Demokrasi sebelum zaman kapitalis

Rom purba telah mewarisi idea demokrasi yang ditinggalkan oleh Greece purba untuk beberapa kurun selepasnya, dengan pengubahsuaian mengikut kepentingan kelas pemerintah Rom purba. Republik Rom (509 SM – 27 SM) telah mengamalkan model demokrasi berperwakilan yang tersendiri. Senat sebagai majlis pentadbiran negara melalui perwakilan, pada awalnya hanya dianggotai oleh golongan patricius (bangsawan), tetapi hasil daripada perjuangan golongan plebs (warga umum) yang berterusan, termasuk melakukan tindakan mogok umum yang dikenali sebagai secessio plebis, warga Rom bebas (tidak termasuk hamba dan wanita) berjaya mendapat lebih banyak hak politik, termasuk undang-undang yang diluluskan oleh perhimpunan plebs adalah terikat untuk semua warga Rom tanpa mengira status kelas mereka.

Dalam masyarakat Jermanik awal, warga bebas membentuk majlis pentadbiran komuniti yang dikenali sebagai “thing”. Thing merupakan badan perundangan dan kehakiman untuk mentadbir sesebuah komuniti tempatan. Althingi yang mula ditubuhkan di Iceland pada tahun 930 sebagai perhimpunan agung untuk goði (pemimpin wilayah yang kaya dan berkuasa) menggubal undang-undang bagi Komanwel Iceland (930-1262) dengan semua warga bebas di Iceland dapat turut serta, boleh dikatakan parlimen yang paling lama wujud di dunia sehingga sekarang. Di negara masyarakat Slav pada Zaman Pertengahan, seperti Republik Novgorod dan Republik Pskov, juga wujudnya perhimpunan popular yang lebih kurang sama dengan thing, yang dikenali sebagai veche.

Magna Carta (Piagam Agung) yang dipersetujui oleh Raja England pada tahun 1215, berikutan pemberontakan golongan baron (yang merupakan golongan bangsawan yang berpangkat paling rendah dalam masyarakat feudal England) terhadap Raja England pada masa itu, merupakan produk daripada perjuangan kelas (walaupun dalam kalangan kelas bangsawan, tetapi wujudnya konflik antara lapisan bangsawan bawahan dan lapisan bangsawan atasan). Magna Carta telah memulakan pengehadan kuasa mutlak Raja England dan membuka jalan kepada pembentukan parlimen berperwakilan (walaupun pada awalnya hanya terhad kepada keanggotaan golongan bangsawan dan masih sekadar berfungsi untuk menasihati raja). Kemunculan amalan menyerahkan petisyen kepada Parlimen England mulai abad ke-13, berkembang menjadi tindakan politik untuk rakyat biasa menyuarakan keluhan mereka. Parlimen dijadikan medan untuk golongan berkuasa menangani rungutan masyarakat sejak itu. 

Amalan demokrasi juga wujud dalam pelbagai budaya yang lain, seperti amalan syura (membuat keputusan dengan cara rundingan atau referendum) dan musyawarah (proses pembentukan persepakatan) dalam masyarakat Islam, Persekutuan Iroquois yang dibentuk oleh masyarakat orang asal di Amerika Timur Laut, dan sebagainya.

Gelombang Revolusi Atlantik: Revolusi Inggeris, Revolusi Amerika, Revolusi Perancis dan Revolusi Haiti

Perjuangan melawan kekuasaan monarki yang autokratik telah membawa kepada siri revolusi republikan antara abad ke-16 dan abad ke-19, di negara-negara seperti Belanda (1556-1648), Britain (1640-an) dan Perancis (1789). Walaupun republik borjuis awal yang ditubuhkan hasil daripada revolusi itu masih tidak boleh dikatakan demokratik, kerana hak mengundi adalah dihadkan kepada golongan tuan tanah dan golongan kaya, tetapi ia telah menyediakan asas politik kepada perjuangan demokratik selepasnya.

Apabila masyarakat melangkah masuk ke dalam sistem ekonomi kapitalis, munculnya golongan kelas borjuasi baharu (kapitalis moden) yang hendak memperoleh lebih banyak kuasa politik dan kuasa ekonomi daripada golongan tuan tanah feudal lama. Pertembungan kepentingan antara kelas kapitalis yang baharu muncul dan kelas tuan tanah feudal yang sudah lama berkuasa menjadi salah satu pencetus utama kepada pergolakan masyarakat yang hebat dalam proses peralihan daripada feudalisme kepada kapitalisme. Namun begitu, golongan masyarakat bawahan yang lain, khususnya golongan kelas pekerja yang juga baharu muncul kerana pembentukan sistem ekonomi kapitalis, turut memainkan peranan yang penting dalam perjuangan revolusioner yang melahirkan demokrasi moden.

Raja Charles I dari England dihukum mati pada tahun 1649 semasa berlakunya Perang Saudara Inggeris yang tercetus daripada konflik antara golongan pendukung parlimen dan golongan setiaraja.

Semasa berlakunya Revolusi Inggeris pada tahun 1640-an yang menyaksikan pertembungan antara golongan penyokong Parlimen England yang mencabar pemerintahan beraja mutlak dengan golongan setiaraja yang mendukung kepentingan tuan tanah besar, munculnya golongan masyarakat yang mengangkat idea untuk mengagihkan semula kuasa ke dalam tangan rakyat biasa. Salah satu aliran politik sebegini ialah gerakan Levellers (bermaksud “orang yang meratakan”) yang memperjuangkan idea “kedaulatan rakyat”, kesamarataan hak, toleransi agama dan perluasan hak mengundi. Adanya pula golongan yang lebih radikal lagi berbanding Levellers, iaitu mereka yang dikenali sebagai Diggers (bermaksud “orang yang menggali”).

Diggers, juga dikenali sebagai “True Levellers”, yang berfahaman sosialisme agraria, bercita-cita untuk mewujudkan komuniti pertanian kecil yang bebas, sama rata dan berharmoni dengan alam semula jadi, tetapi tindakan mereka sememangnya mengancam kepentingan golongan tuan tanah. Gerrard Winstanley, pemimpin Diggers yang terkenal, pernah menulis dalam sebuah risalah yang bertajuk The Law of Freedom in a Platform (1652), “Kebebasan sebenar terletak di mana seseorang manusia itu menerima makanan dan pemeliharaannya, dan itu adalah dalam penggunaan bumi.” Idea kebebasan dan kesamarataan yang diperjuangkan oleh golongan radikal semasa Revolusi Inggeris walaupun tidak dapat direalisasikan pada masa itu, tetapi telah menanam benih kepada perjuangan demokratik dan sosialis yang lebih hebat selepasnya.

Kemunculan hubungan sosio-ekonomi kapitalis di negara-negara Eropah sejak abad ke-16 juga membawa kepada pembangunan idea-idea baharu yang mencabar struktur kekuasaan lama. Idea-idea baharu berkembang dalam kalangan golongan intelek borjuis ini berkaitan rapat dengan pembangunan kebendaan dan teknologi yang semakin pesat. “Revolusi Saintifik” yang berlaku pada penghujung Zaman Pembaharuan (Renaissance) di Eropah pada abad ke-16, dengan pembangunan pesat dalam bidang ilmu matematik, fizik, astronomi, biologi dan kimia yang mentransformasikan pandangan masyarakat mengenai alam semula jadi, telah menyediakan asas intelek kepada kemunculan Zaman Pencerahan (Enlightenment) pada abad ke-17 dan ke-18.

Zaman Pencerahan di Eropah telah menyaksikan perkembangan pesat idea-idea baharu yang memfokus pada usaha membangunkan ilmu dengan cara yang rasional dan saintifik. Idea-idea baharu yang mula muncul pada masa itu, seperti kebebasan, kesamarataan, kemajuan, toleransi, persaudaraan dan kerajaan berperlembagaan, telah menjadi asas kepada demokrasi liberal yang dibentuk kemudian.

Jean-Jacques Rousseau (1712-1778), seorang ahli falsafah Perancis yang penting semasa Zaman Pencerahan, dalam tulisannya yang diterbitkan pada tahun 1755, “Wacana mengenai Asal Usul dan Asas Ketidaksamarataan dalam kalangan Manusia” (Discours sur l’origine et les fondements de l’inégalité parmi les hommes), menyatakan bahawa sistem pemilikan harta persendirian ialah sumber asal dan asas kepada segala ketidaksamarataan. Oleh itu, dalam satu lagi tulisannya yang diterbitkan pada tahun 1762 yang bertajuk “Kontrak Sosial” (Du contrat social), Rousseau mengemukakan idea bahawa perlu menggubal semula kontrak sosial untuk membina sebuah negara atau komuniti politik baharu yang rasional untuk merealisasikan keadilan dan kesamarataan sosial. Dalam negara baharu sebegini, semua orang dilahirkan sama rata, dengan orang miskin dan orang kaya tiada perbezaan dari segi hak dan tanggungjawab. Pemikiran kedaulatan rakyat yang terkandung dalam penulisan Rousseau, telah menjadi batu asas kepada sistem demokrasi moden, di mana ia telah mempengaruhi gerakan masyarakat di Eropah yang memperjuangkan penghapusan kuasa mutlak monarki dan usaha mendirikan sistem politik yang baharu.  

Revolusi Amerika yang berlaku pada separuh kedua abad ke-18, merupakan satu usaha perjuangan golongan peneroka Eropah di tanah jajahan British di benua Amerika Utara yang dikenali sebagai “Tiga Belas Jajahan” untuk menuntut kemerdekaan daripada kekuasaan Raja Britain di seberang Lautan Atlantik. Amerika Syarikat yang mencapai kemerdekaan selepas golongan peneroka Eropah di Amerika Utara menewaskan Britain dalam Perang Revolusi Amerika (1775-1783), merupakan negara bangsa moden pertama yang ditubuhkan berdasarkan prinsip-prinsip demokrasi liberal yang lahir daripada Zaman Pencerahan. Pembentukan Amerika Syarikat merupakan perkembangan penting kepada pembangunan politik golongan borjuis di benua Amerika.

Namun begitu, aspirasi asal untuk Revolusi Amerika yang diterajui oleh golongan peneroka Eropah di Amerika Utara adalah agak konservatif. Matlamat perjuangan Revolusi Amerika ialah melindungi dan memperluaskan kepentingan golongan peneroka Eropah yang bercita-cita menjadi tuan kepada tanah yang dirampas oleh kuasa Eropah daripada masyarakat orang asal Amerika Utara dan dibangunkan melalui perhambaan warga Afrika yang diangkut merentasi Lautan Atlantik. Kemerdekaan Amerika Syarikat daripada Britain membuka ruang kepada pembangunan kapitalisme yang bersifat eksploitatif di negara republik baharu itu.

Dalam Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat yang diratifikasi semasa Kongres Benua Kedua di Philadelphia pada 4 Julai 1776, adalah dinyatakan bahawa “semua manusia diciptakan sama rata”, dan kerajaan memperoleh kuasanya daripada “persetujuan pihak yang diperintah” (consent of the governed). Walaupun dalam tulisannya sedap didengar di mana semua rakyat berhak untuk menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan, tetapi pada awalnya selepas Amerika Syarikat mencapai kemerdekaan, hanya golongan lelaki berkulit putih yang memiliki harta tanah berhak untuk mengundi. Perluasan hak mengundi kepada golongan yang lain dalam masyarakat Amerika Syarikat (seperti warga Amerika Afrika dan kaum wanita) memerlukan lagi perjuangan rakyat Amerika Syarikat yang berpanjangan selepas itu.

Walaupun banyak bentuk ketidaksamarataan hak dihapuskan selepas Revolusi Amerika, perhambaan masih wujud dan status wanita masih tidak berubah. Hanyalah perjuangan masyarakat yang seterusnya memperbesarkan lagi ruang demokrasi di Amerika Syarikat untuk lapisan masyarakat yang lebih luas.

Tidak lama selepas Revolusi Amerika, tercetusnya satu revolusi yang jauh lebih radikal di seberang Lautan Atlantik, iaitu Revolusi Perancis.

Revolusi Perancis bukannya sekadar satu ledakan sejarah yang berlaku semalaman, tetapi merupakan satu proses perjuangan masyarakat yang melangkaui beberapa dekad dalam abad ke-18 dan ke-19. Pergolakan revolusioner di Perancis menyaksikan turun naik antara kemajuan yang memberangsangkan dalam pembangunan demokrasi moden dan ancaman revolusi balas (counterrevolution) yang membantutkan pembangunan demokrasi.

Pada tahun 1789, ketidakpuasan hati rakyat yang hebat dan berleluasa terhadap pemerintahan Ancien Régime (“Rejim Lama”) yang berasaskan penggabungan kekuasaan monarki, gereja dan golongan bangsawan, telah mencetuskan gelombang revolusi yang hebat. Perwakilan Estet Ketiga (yang mewakili golongan rakyat biasa) dalam États Généraux (majlis perundangan yang terdiri daripada tiga kelas sosial, iaitu golongan paderi, bangsawan dan warga awam) menubuhkan Dewan Kebangsaan (Assemblée nationale) yang kemudiannya dikenali sebagai Dewan Perlembagaan Kebangsaan (Assemblée nationale constituante) untuk menggubal perlembagaan baharu yang bersifat demokratik, di samping melaksanakan langkah-langkah pembaharuan yang radikal seperti memansuhkan feudalisme, mengenakan kawalan ke atas Gereja Katolik Perancis yang amat berkuasa pada masa itu, memperluaskan hak mengundi dan membangunkan amalan kedaulatan rakyat.

Pengisytiharan Hak Manusia dan Warganegara yang diluluskan oleh Dewan Perlembagaan Kebangsaan Perancis pada 26 Ogos 1789 menyatakan bahawa semua manusia adalah sama rata dari segi hak asasi manusia. Hak asasi manusia yang semula jadi dan tidak boleh dirampas sama sekali menurut perisytiharan tersebut ialah kebebasan, pemilikan harta, keselamatan dan hak untuk melawan penindasan. Semangat revolusi demokratik yang dibawa dalam Revolusi Perancis dapat disimpulkan dalam slogannya “kebebasan, kesamarataan, persaudaraan” (liberté, égalité, fraternité).

Revolusi Perancis merupakan satu proses perjuangan masyarakat untuk pembentukan demokrasi moden yang penuh dengan liku-liku, rintangan dan cabaran. Pelbagai pihak yang berkepentingan, termasuk kelas sosial lama dan kelas sosial baharu yang muncul dalam perkembangan ekonomi kapitalis, cuba menguasai jentera negara untuk kepentingan kelas sendiri. Ini mencetuskan pergolakan politik yang hebat. Kuasa-kuasa besar lain di Eropah (seperti Britain, Austria dan Prusia) yang bimbang dengan pengaruh revolusi yang radikal dan hendak mengembalikan kekuasaan Ancien Régime di Perancis, telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas negara Perancis yang dikuasai oleh golongan revolusioner.

Revolusi Perancis pada tahun 1789 yang menghapuskan feudalisme pada awalnya telah melahirkan sebuah negara raja berperlembagaan yang baharu. Tiga tahun kemudian, ketika tercetusnya Perang Revolusi Perancis, pemberontakan warga Paris pada 10 Ogos 1792 membawa kepada penghapusan monarki dan penubuhan Republik Perancis Pertama (1792-1804). Selepas itu, Republik Perancis melalui tempoh “Pemerintahan Ganas” (1793-1794) di bawah Jawatankuasa Keselamatan Awam yang ditubuhkan oleh Konvensyen Kebangsaan dan dikuasai oleh golongan Jacobin untuk mempertahankan republik baharu itu daripada ancaman musuh luar dan dalam negara, diikuti dengan zaman pemerintahan Directoire (1795-1799). Walaupun keganasan revolusioner yang digunakan semasa pemerintahan Jacobin dapat mempertahankan Revolusi Perancis daripada ancaman musuh yang hebat, tetapi pengurangan malah kemusnahan ruang demokrasi oleh keganasan melampau atas nama mempertahankan revolusi boleh dikatakan telah meratakan jalan kepada kemunculan pemerintahan birokratik yang kuku besi dan menghalang proses pembebasan masyarakat yang sebenar.

Napoleon Bonaparte merampas kuasa pada tahun 1799 untuk mewujudkan pemerintahan yang lebih bersifat autoritarian dan memusatkan kuasa, kemudiannya mengembalikan sistem monarki dengan mengangkat dirinya sebagai Maharaja Perancis pada tahun 1804. Kerabat diraja Bourbon kembali berkuasa selepas kejatuhan Maharaja Napoleon I pada tahun 1815, tetapi digulingkan semasa Revolusi Julai pada tahun 1830 dan digantikan oleh pemerintahan kerabat diraja Orléans yang lebih liberal. Pemerintahan monarki dihapuskan sekali lagi semasa Revolusi Februari pada tahun 1848. Namun begitu, Louis-Napoléon Bonaparte, anak saudara Napoleon I yang menang dalam Pilihan Raya Presiden Perancis yang pertama pada bulan Disember 1848, mengikut jejak bapa saudaranya dengan merampas kuasa pada tahun 1851 dan mengisytihar dirinya sebagai Maharaja Napoleon III pada tahun 1852. Pemerintahan Maharaja Napoleon III ditamatkan apabila tentera Perancis mengalami kekalahan dalam Perang Perancis-Prusia dan Napoleon III sendiri menjadi tahanan perang pada tahun 1870. Hanya selepas itu, pemerintahan monarki tidak lagi dipulihkan di Perancis walaupun terdapat segelintir golongan reaksioner masih cuba berbuat demikian. 

Walaupun prosesnya begitu penuh dengan liku-liku, Revolusi Perancis meninggalkan kesan yang mendalam kepada sejarah dunia moden, di mana banyak negara bangsa yang ditubuhkan hasil daripada perjuangan masyarakat hebat (sama ada melalui revolusi, reformasi terhadap sistem yang sedia ada, perang pembebasan ataupun pelbagai usaha penyahjajahan) cuba membangunkan sistem demokrasi yang berlandaskan prinsip-prinsip seperti yang ditegakkan dalam Revolusi Perancis.

Revolusi Perancis menyaksikan penghapusan feudalisme sepenuhnya, di mana ini merupakan salah satu asas penting kepada pembangunan masyarakat demokratik moden. Revolusi Perancis membawa kepada pembentukan negara moden yang diperintah oleh kelas kapitalis (borjuasi) tetapi pada masa yang sama menyediakan asas kepada perjuangan pembebasan kelas pekerja. Revolusi Perancis telah menjadi inspirasi kepada revolusi-revolusi selepasnya. Dari Revolusi Perancis 1789 sehingga Napoleon Bonaparte digulingkan, idea demokratik mengenai kesamarataan di sisi undang-undang telah menjadi fenomena umum di seluruh benua Eropah.

Pembentukan demokrasi moden seperti yang berlaku dalam Revolusi Perancis, menonjolkan semangat baharu yang mengangkat “rakyat” sebagai sumber kuasa sesebuah negara. Walaupun tafsiran “rakyat” itu mungkin amat berbeza bagi kelas sosial yang berlainan, “pemerintahan rakyat” dan “kedaulatan rakyat” telah menjadi satu impian yang murni lagi mulia untuk dikecapi dalam perjuangan pembebasan masyarakat daripada segala bentuk penindasan.  

Di seberang Lautan Atlantik pada ketika tercetusnya Revolusi Perancis, Revolusi Haiti yang tercetus pada tahun 1791 dan akhirnya membolehkan Haiti mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Perancis, ialah perjuangan pemberontakan hamba yang paling berjaya. Revolusi Haiti berjaya menubuhkan sebuah negara berdaulat moden yang diperintah oleh bekas hamba. Perjuangan pembebasan Haiti yang dipimpin oleh tokoh-tokoh revolusioner seperti Toussaint Louverture (1743-1803), Jean-Jacques Dessalines (1758-1806), Alexandre Pétion (1770-1818) dan Henri Christophe (1767-1820), mendapat ilham daripada falsafah Zaman Pencerahan yang menjadi pemangkin kepada Revolusi Perancis. Revolusi yang diterajui oleh golongan hamba dan bekas hamba di Haiti itu tidak menunggu untuk Revolusi Perancis mencapai kejayaan dahulu. Walaupun keinginan untuk pembaharuan masyarakat di Haiti dipengaruhi oleh revolusi di Perancis, tetapi apabila harapan untuk perubahan mendapat tempat dalam hati rakyat Haiti, usaha pembaharuan yang radikal tidak dapat diberhentikan. Walaupun Napoleon I pernah mengerahkan tentera Perancis sebagai cubaan untuk menawan semula Haiti, tetapi menemui kegagalan pada akhirnya.  

Namun, kejayaan rakyat Haiti yang menewaskan penjajah Eropah itu telah dihukum oleh kuasa-kuasa imperialis yang takut pada rakyat bawahan benar-benar berkuasa. Negara Perancis memaksa Haiti untuk membayar “ganti rugi” atas kehilangan tanah jajahannya. Amerika Syarikat pun enggan mengiktiraf kemerdekaan Haiti sehingga tahun 1862. Akibat daripada pengasingan dan sekatan yang dikenakan oleh kuasa-kuasa besar, Haiti telah dinafikan akses kepada Revolusi Perindustrian untuk membangunkan ekonomi modennya, dan ia terus menjadi sebuah negara pinggiran yang wujud di bawah bayangan kuasa imperialis, khususnya Amerika Syarikat, sehingga kini.

Demokrasi borjuis

Walaupun sistem demokrasi moden muncul pada masa yang sama dengan kewujudan sistem ekonomi kapitalis, tetapi ia bukan lahir secara automatik apabila masyarakat melangkah masuk ke dalam kapitalisme. Kewujudan demokrasi moden dalam pelbagai bentuknya merupakan hasil daripada dinamik imbangan kuasa dalam masyarakat kelas dan perjuangan kelas yang berterusan.

Pembentukan kapitalisme merupakan satu proses yang penuh dengan keganasan, perampasan dan pengusiran, termasuk pemusnahan amalan masyarakat pra-kapitalis yang sesetengahnya mempunyai nilai-nilai kesepakatan dan persaudaraan sejati dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kelahiran kapitalisme sebenarnya ialah satu proses yang anti-demokratik.

Di bawah sistem kapitalis, kebanyakan orang, khususnya massa pekerja yang membanting tulang dalam menghasilkan kekayaan masyarakat, dikecualikan daripada penglibatan dalam kawalan demokratik terhadap sumber pengeluaran dan hasil tenaga buruh. Pemilikan swasta terhadap modal telah memberikan “hak” kepada kapitalis (pemilik modal) untuk membuat keputusan mengenai bagaimana modal itu dilaburkan dan bagaimana keuntungan daripada pelaburan modal itu diagihkan, di samping “hak” kapitalis untuk mengeksploitasi tenaga buruh dan sumber alam. Jadi, kapitalisme itu bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi. Demokrasi dalam masyarakat kapitalis merupakan hasil perjuangan masyarakat yang berterusan di mana kelas pekerja memainkan peranan yang paling penting.

“Demokrasi untuk minoriti yang tidak signifikan, demokrasi untuk golongan kaya – itulah demokrasi masyarakat kapitalis.” – V.I. Lenin, The State and Revolution (1917)

Demokrasi borjuis ialah demokrasi untuk golongan pemilik harta. Demokrasi borjuis ialah sistem politik yang direka untuk memastikan pemerintahan kelas kapitalis dengan bertopengkan “persetujuan rakyat” dan membendung ancaman daripada kebangkitan kelas pekerja.

Walaupun semua warganegara dalam demokrasi borjuis liberal berhak untuk mengundi dalam pilihan raya, kuasa politik sebenar masih kekal dalam tangan golongan kapitalis yang merupakan kelas pemerintah. Golongan kapitalis tidak perlu menjadi anggota kerajaan secara langsung ataupun sendiri dipilih ke dalam parlimen untuk membuat undang-undang (walaupun ada kalanya kapitalis itu sendiri akan menjadi ahli politik yang menawarkan dirinya sebagai calon dalam pilihan raya), kerana mereka boleh menjalankan pemerintahan secara tidak langsung melalui proksi mereka dalam kerajaan dan badan perundangan.

Golongan kapitalis boleh menguasai kekuasaan negara melalui politik wang, menyogok ahli-ahli politik yang boleh mewakili kepentingan mereka, menaja parti-parti politik yang membawa agenda politik yang pro-kapitalis, ataupun mengupah ejen yang melakukan kerja-kerja lobi-melobi dan pemujukan ke atas ahli-ahli politik untuk mempengaruhi keputusan politik.

Pelaburan itu juga boleh dijadikan alat politik bagi kelas kapitalis, tidak kira kapitalis yang melaburkan modal itu layak untuk mengundi atau tidak (kerana status kewarganegaraannya). Seseorang kapitalis, sama ada pelabur tempatan atau pelabur asing, boleh mengugut sesebuah kerajaan bahawa dia akan menarik keluar pelaburannya (di mana salah satu kesannya mungkin akan mewujudkan peningkatan kadar pengangguran yang boleh menimbulkan masalah sosial di dalam sesebuah negara) jika kerajaan berkenaan melaksanakan dasar atau undang-undang yang menjejaskan keuntungannya, ataupun memberi “sogokan” bahawa dia akan melabur lebih banyak modalnya dalam ekonomi negara sekiranya kerajaan melaksanakan dasar yang berpihak padanya.

Selain bergantung pada jentera kerajaan yang melindungi kepentingannya, kelas kapitalis juga dapat menguasai masyarakat melalui cara yang lebih halus lagi, iaitu secara ideologi. Karl Marx (1818-1882), tokoh pemikir sosialis revolusioner yang terkenal, pernah menulis dalam The German Ideology (1845), “Idea-idea kelas pemerintah ialah idea-idea yang memerintah pada setiap zaman. Ini bermakna bahawa kelas yang merupakan kuasa kebendaan yang memerintah masyarakat, pada masa yang sama juga merupakan kuasa intelek yang memerintah. Kelas yang menguasai sumber-sumber pengeluaran kebendaan, pada masa yang sama juga menguasai sumber-sumber pengeluaran minda. Dengan itu, secara umumnya, idea-idea mereka yang tidak memiliki sumber-sumber pengeluaran minda adalah tertakluk di bawah idea-idea kelas pemerintah.”

Kelas kapitalis dapat menggunakan penguasaannya terhadap sumber-sumber pengeluaran dalam ekonomi kapitalis untuk membangunkan hegemoni yang mempengaruhi dan memanipulasi minda rakyat. Pengaruh hegemoni kapitalis ini disebarkan melalui sistem pendidikan, media massa, kebudayaan, institusi keagamaan dan institusi-institusi masyarakat yang lain. Pengaruh ideologi daripada hegemoni kapitalis boleh mewujudkan pelbagai ilusi dalam minda rakyat seperti “kebebasan” (yang bergantung pada berapa wang dalam dompet), “mobiliti sosial” (di mana kehidupan boleh menjadi lebih baik jika kita rajin bekerja untuk kapitalis yang mengeksploitasi tenaga buruh), “rasa kesyukuran” (seolah-olah segala hak dan kebajikan yang kita nikmati itu ialah kurniaan daripada kapitalis yang murah hati) dan sebagainya.

Ideologi kapitalis juga dapat digunakan untuk menyebarkan pemikiran yang memecah-belahkan kelas pekerja supaya melemahkan kekuatan kelas pekerja untuk melawan balik. Fahaman seperti rasisme, xenofobia, homofobia, nasionalisme sempit dan sebagainya menyebabkan kelas pekerja memusuhi sesama sendiri berasaskan perbezaan identiti yang bukannya penyebab sebenar kepada masalah dan penderitaan yang dialami mereka, maka mengalihkan perhatian mereka daripada persoalan pokok mengenai pertentangan kelas yang ketara.

Demokrasi borjuis telah membolehkan kuasa membuat keputusan (politik, ekonomi dan sosal) disumberkan luar (outsource) atau dikontrakkan kepada golongan elit politik yang dihubungkan dengan kelas kapitalis secara sogokan kewangan ataupun pengaruh ideologi yang mendominasi. Kuasa politik seolah-olah dipegang oleh “wakil rakyat” yang dipilih melalui pilihan rayam tetapi “wakil rakyat” itu sering berpihak kepada kepentingan kelas kapitalis yang menaja ataupun mempengaruhi secara ideologi ke atas mereka.

Pilihan raya untuk memilih “wakil rakyat” ke dalam badan perundangan ataupun sebagai pemegang jawatan badan eksekutif, hanya sekadar menjadi ritual berkala selang beberapa tahun dalam demokrasi borjuis untuk menghalalkan pemerintahan kelas kapitalis yang terus mengeksploitasi dan menindas kelas pekerja. Seperti yang ditulis oleh Lenin dalam The State and Revolution (1917), “Mereka yang tertindas dibenarkan selang setiap beberapa tahun untuk menentukan sekali siapa wakil daripada kelas pemerintah itu akan terus mewakili dan menindas rakyat dalam parlimen! Inilah sifat sebenar sistem berparlimen kelas borjuasi, bukan sahaja begini dalam sistem berparlimen di negara raja berperlembagaan, tetapi juga begini dalam negara republik yang paling demokratik.”

Demokrasi borjuis seolah-olah menawarkan kebebasan kepada rakyat untuk memilih, dengan menampilkan jenama yang berbeza bagi perkara yang sama, tetapi pilihan yang ditawarkan itu tidak akan mengubah sama sekali status quo yang membolehkan kekuasaan kapitalis itu dikekalkan dan penindasan terhadap rakyat bawahan itu diteruskan. Dari segi pasaran komoditi (barangan yang dikeluarkan untuk dijual demi keuntungan), para pengguna seolah-olah adanya pilihan untuk membeli minuman tidak berkhasiat seperti Coca-Cola atau Pepsi, pilihan untuk membeli makanan segera tidak berkhasiat seperti McDonald’s atau Burger King, pilihan untuk membeli telefon mudah alih Apple atau Samsung, tetapi semua pembekalan barangan dikuasai oleh syarikat-syarikat korporat yang besar. Dari segi akses maklumat di dunia maya pun, kita seolah-olah adanya kebebasan untuk melayari segala informasi dalam media sosial, tetapi maklumat yang disajikan itu ialah hasil daripada algoritma media sosial yang ditentukan oleh syarikat-syarikat teknologi gergasi untuk memaksimumkan keuntungan mereka. Dari segi politik, demokrasi borjuis menawarkan parti-parti politik dengan pelbagai jenama untuk dipilih oleh pengundi secara “bebas” semasa pilihan raya, tetapi hakikatnya kebanyakan parti politik yang dapat menang dalam pilihan raya untuk membentuk kerajaan itu hanyalah budak suruhan kepada golongan kapitalis dalam menggubal undang-undang yang melindungi kepentingan pemodal ataupun menghalang sebarang ancaman kepada proses pengumpulan modal yang berterusan di bawah sistem kapitalis.

Demokrasi borjuis sentiasa menekankan prinsip “keluhuran perlembagaan” dan “kedaulatan undang-undang”, tetapi pada hakikatnya banyak undang-undang di dalam negara kapitalis digubal untuk melindungi kepentingan kelas kapitalis dan menyekat kebangkitan kelas pekerja yang boleh mengguling seluruh sistem sosio-ekonomi kapitalis.

“Kebebasan” yang sering ditonjolkan dalam demokrasi borjuis ialah kebebasan palsu ataupun kebebasan yang tidak sempurna. Walaupun sering menekankan “kebebasan individu”, kebebasan dalam demokrasi borjuis hanyalah kebebasan golongan kapitalis untuk terus mengeksploitasi tenaga buruh daripada golongan pekerja, bukannya kebebasan sebenar untuk golongan pekerja mengubah sistem yang membenarkan eksploitasi itu dengan menggunakan hak kebebasan mereka. Kebebasan untuk memilih siapa akan terus menjadi tuan hamba kepada hamba abdi itu bukannya kebebasan dan tidak akan menjadikan hamba itu bebas. Kebebasan sebenar ialah menghapuskan sistem perhambaan.

“Faktor penentu untuk tahap kebebasan manusia, bukannya lingkungan yang boleh dipilih oleh individu, tetapi adalah individu dapat memilih apa dan pilihan yang sebenar itu apa… Memilih tuan hamba secara bebas tidak menyebabkan tuan hamba dan hamba itu hilang.” –  Herbert Marcuse, One-Dimensional Man (1964)

Demokrasi borjuis bukannya pemerintahan rakyat yang sebenar, kerana rakyat bawahan tidak memiliki kuasa yang sebenar. Demokrasi yang sebenar seharusnya membebaskan rakyat bawahan dan membolehkan rakyat bawahan berkuasa. Inilah yang diperjuangkan oleh golongan sosialis selama ini. 

Demokrasi tidak jatuh secara automatik dari langit

“Demokrasi tidak datang dari atas, ia datang dari bawah.” – Howard Zinn (2009)

Demokrasi yang telah menjadi norma politik di kebanyakan negara di dunia pada hari ini, bukannya sesuatu yang jatuh secara sendiri dari langit. Demokrasi wujud di dunia moden bukannya kerana kelas pemerintah atau kelas kapitalis itu tiba-tiba sedar dan bermurah hati untuk memberikan hak demokratik kepada rakyat biasa. Sebaliknya, demokrasi itu boleh wujud adalah kerana hasil daripada proses perjuangan berterusan yang melibatkan penyertaan aktif daripada kelas pekerja dan rakyat bawahan.

Gerakan pekerja dan golongan sosialis memainkan peranan yang amat penting dalam memperjuangkan demokrasi. Semua hak demokratik yang kita nikmati dan dianggap sebagai sesuatu yang biasa pada hari ini, seperti hak mengundi sejagat, hak mengundi untuk wanita, kesamarataan hak di sisi undang-undang, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan berpersatuan, kebebasan akhbar dan sebagainya, merupakan hasil daripada perjuangan yang melibatkan pengorbanan besar daripada golongan sosialis dan gerakan rakyat bawahan.  

Ruang demokrasi yang lebih luas hasil daripada perjuangan kelas pekerja, telah membolehkan pembangunan gerakan pekerja yang lebih hebat dan memajukan lagi demokrasi.

Dalam revolusi borjuis yang melahirkan negara moden seperti Revolusi Perancis, walaupun golongan borjuis atau golongan intelek yang mempunyai idea-idea untuk membangunkan kekuasaan borjuis itu telah memimpin secara ideologi dalam perjuangan revolusioner, revolusi tersebut tidak mungkin mencapai kejayaan dalam menjatuhkan pemerintahan lama tanpa penglibatan massa rakyat bawahan, termasuk golongan sans-culottes (rakyat kelas bawahan di Perancis) dan kelas pekerja yang baru muncul pada masa itu. Malah golongan rakyat bawahan seperti sans-culottes di Perancis yang memainkan peranan penting dalam mempertahankan revolusi daripada serangan golongan reaksioner. Golongan kelas bawahan ini juga merupakan pendukung utama kepada idea demokratik yang lebih radikal, seperti demokrasi langsung yang tidak memerlukan orang perantaraan (seperti ahli parlimen yang “mewakili” rakyat) dan susunan masyarakat yang lebih saksama.

Di Britain, Gerakan Piagam Rakyat (Chartism) tercetus pada tahun 1830-an hingga 1840-an untuk menuntut pembaharuan terhadap parlimen dan perluasan hak mengundi kepada golongan masyarakat yang bukannya pemilik harta tanah. Gerakan demokratik ini diterajui oleh golongan kelas pekerja, dengan wujudnya organisasi kelas pekerja seperti London Working Men’s Association (LWMA). Piagam Rakyat (People’s Charter) yang dikemukakan oleh LWMA pada tahun 1838 menyenaraikan 6 tuntutan utamanya:

  • Setiap orang lelaki yang berumur 21 tahun dan ke atas berhak untuk mengundi;
  • Undi rahsia untuk melindungi pengundi;
  • Mansuhkan syarat kelayakan yang menghendaki ahli parlimen harus memiliki harta tanah;
  • Saiz kawasan parlimen yang sama (iaitu bilangan pengundi adalah sama untuk setiap kawasan parlimen);
  • Ahli-ahli parlimen mendapat bayaran (untuk membolehkan pekerja juga dapat mengambil tanggungjawab sebagai ahli parlimen tanpa bimbang tentang pendapatannya);
  • Pilihan raya diadakan setahun sekali.

Pada bulan Jun 1839, petisyen tuntutan Gerakan Piagam Rakyat yang mendapat lebih 1.25 juta tandatangan diserahkan kepada Parlimen. Namun, Parlimen Britain yang dikuasai oleh golongan pemilik harta tanah menolak tuntutan tersebut, dan ini mencetuskan aksi protes yang ganas, seperti Pemberontakan Newport pada 4 November 1838. Pihak berkuasa mematahkan aksi protes Gerakan Piagam Rakyat dengan cara yang lebih ganas lagi. Petisyen kedua daripada Gerakan Piagam Rakyat diserahkan pada bulan Mei 1842, dengan tandatangan lebih 3 juta orang, tetapi ditolak juga oleh Parlimen dan pemberontakan berlaku sekali lagi. Satu lagi petisyen diserahkan pada bulan April 1848, dan ditolak juga. Walaupun Gerakan Piagam Rakyat tidak berjaya berulang kali pada waktu itu, tetapi ia telah meninggalkan kesan yang mendalam sehingga ahli-ahli parlimen di Britain menerima hakikat bahawa pembaharuan selanjutnya terhadap sistem pilihan raya adalah tidak dapat dielakkan.

Gerakan memperjuangkan hak mengundi bagi wanita pula berkembang hebat pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, dengan penglibatan wanita kelas pekerja memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan keradikalan gerakan demokratik ini. Pejuang-pejuang hak mengundi untuk wanita di Britain pada awal abad ke-20 yang dikenali sebagai suffragette, seperti Emmeline Pankhurst, Sylvia Pankhurst, May O’Callaghan, Daisy Lansbury dan Nellie Cohen, juga merupakan sosialis yang tegar.

Akta Pembaharuan 1867 (Reform Act 1867) mula memperluaskan hak mengundi kepada sebahagian golongan lelaki kelas pekerja di England dan Wales. Akta Perwakilan Rakyat 1918 (Representation of the People Act 1918) membolehkan semua lelaki dewasa di Britain berhak untuk mengundi. Ini bermakna 5 daripada 6 tuntutan Gerakan Piagam Rakyat akhirnya berjaya dilaksanakan selepas 80 tahun, hanya tuntutan untuk pilihan raya parlimen diadakan sekali setiap tahun itu tidak dilaksanakan. Hak mengundi akhirnya diperluaskan kepada semua wanita dewasa di Britain pada tahun 1928 dengan penguatkuasaan Akta Perwakilan Rakyat (Hak Mengundi yang Sama Rata) 1928 [Representation of the People (Equal Franchise) Act 1928].

Perluasan hak mengundi kepada lapisan masyarakat yang lebih luas, termasuk golongan pekerja dan wanita, telah membolehkan parti-parti politik yang membawa agenda perjuangan kelas pekerja memenangi kerusi dalam dewan perundangan melalui pilihan raya.

Di benua Asia, Sun Yat-sen, seorang tokoh revolusioner China pada awal abad ke-20 yang dikenali sebagai “Bapa China Moden”, telah membangunkan falsafah politik “San Min Zhuyi” (Prinsip Tiga Rakyat) dalam usaha perjuangannya untuk menjadikan negara China sebuah negara yang bebas, demokratik, kuat dan makmur. Prinsip Tiga Rakyat ini ialah:

  • Minzu” (pemerintahan rakyat atau nasionalisme sivik): semangat nasionalis untuk membebaskan negara China daripada imperialisme dengan menyatukan rakyat China yang terdiri daripada berbilang kaum.
  • Minquan” (kuasa rakyat atau demokrasi): pembentukan kerajaan demokratik yang berasaskan pengasingan kuasa antara lima cabang (perundangan, pentadbiran, kehakiman, pengawasan dan peperiksaan untuk penjawat awam), di samping menjamin hak perlembagaan rakyat untuk pilihan raya, pemecatan pemegang jawatan awam, inisiatif dan referendum.
  • Minsheng” (kebajikan rakyat atau kesejahteraan masyarakat): jaminan kepada kesejahteraan hidup rakyat dengan menekankan kesamarataan hak.

Di tempat yang mengalami revolusi pekerja yang lebih hebat lagi, seperti Komun Paris pada tahun 1871, Revolusi Rusia 1917, Revolusi Sepanyol 1936 dan sebagainya, demokrasi telah mengambil bentuk yang jauh lebih radikal lagi.

Dari Komun Paris ke revolusi abad ke-20

Pemberontakan warga Paris pada 18 Mac 1871 mendirikan sebuah pemerintahan yang berbentuk revolusioner, demokratik dan sosialis radikal – “Komun Paris”. Walaupun hanya wujud untuk satu tempoh masa yang singkat sebelum dihancurkan secara kejamnya oleh golongan kapitalis, Komus Paris 1871 sebagai pemerintahan kelas pekerja yang pertama di dunia, telah meninggalkan warisan demokratik yang menakjubkan dan terus menjadi inspirasi kepada usaha perjuangan pembebasan masyarakat di peringkat antarabangsa.

Golongan revolusioner sosialis daripada pelbagai aliran yang terlibat dalam Komun Paris 1871 telah berusaha untuk menyediakan asas pembentukan sebuah republik sosial yang progresif dan mengutamakan kepentingan kelas pekerja dan rakyat biasa, dengan cara mendemokrasikan struktur organisasi pentadbiran di bandar Paris. Antara inovasi demokratik yang diamalkan oleh Komun Paris 1871, termasuklah: semua anggota Majlis Komun yang bertanggungjawab dalam pentadbiran bandar bukan sahaja dipilih secara demokratik melalui pengundian umum, malah boleh dilucutkan jawatan bila-bila masa melalui pengundian juga; gaji tertinggi untuk anggota Majlis Komun ditetapkan pada kadar yang sama dengan pendapatan median tahunan pekerja di Paris pada masa itu supaya mereka yang dipilih secara demokratik tidak menjadi golongan yang mempunyai hak istimewa berbanding warga Paris yang lain.

Gerakan perjuangan revolusioner di Rusia yang kemudiannya turut mendapat ilham daripada amalan demokratik Revolusi Komun Paris 1871. Semasa Revolusi Rusia 1905 yang akhirnya menemui kegagalan, golongan pekerja di bandar-bandar pusat perindustrian di Rusia menubuhkan soviet di tempat kerja masing-masing. “Soviet” yang membawa maksud “majlis” dalam Bahasa Rusia, ialah badan pentadbiran politik yang berlandaskan demokrasi penyertaan dan dianggotai oleh golongan pekerja. Walaupun soviet-soviet yang ditubuhkan semasa Revolusi 1905 dilumpuhkan akibat penindasan daripada kerajaan Tsar Rusia, tetapi idea untuk penubuhan soviet sebagai proses pendemokrasian yang diterajui kelas pekerja telah muncul semula semasa Revolusi 1971 yang lebih hebat lagi.

Revolusi Rusia 1917 menyaksikan kelas pekerja yang memperjuangkan “tanah, roti dan keamanan” mengambil alih kuasa melalui pembentukan soviet. Soviet-soviet pekerja, askar dan petani menjadi penggerak utama kepada pergolakan revolusioner di Rusia pada masa itu, yang akhirnya menjatuhkan Empayar Rusia dan menubuhkan negara pekerja yang pertama di dunia. Namun, akibat daripada kegagalan revolusi merebak lebih meluas lagi (walaupun pada masa itu sudah munculnya gelombang revolusi yang hebat di beberapa tempat lain di Eropah), tambahan pula dengan kemusnahan ekonomi Rusia berikutan peperangan dan campur tangan kuasa luar yang hendak menghancurkan revolusi sosialis di Rusia, terjadinya revolusi balas di bawah pemerintahan birokratik Stalinis tidak lama kemudian. Demokrasi akar umbi dalam bentuk majlis pekerja atau soviet yang berlandaskan kesukarelawanan revolusioner dan penglibatan aktif kelas pekerja telah dilemahkan sehingga dilenyapkan oleh pemerintahan birokratik yang memusatkan kuasa. Negara yang dikuasai oleh golongan birokrat atas nama “pemerintahan proletar” mengarahkan segala aktiviti ekonomi. Seperti ekonomi pasaran kapitalis, tiadanya kawalan demokratik oleh kelas pekerja terhadap ekonomi di Kesatuan Soviet yang mengamalkan dasar ekonomi perancangan berpusat.

Soviet Petrograd yang sedang bersidang pada bulan September 1917.

Walau bagaimanapun, kejatuhan Kesatuan Soviet pada penghujung abad ke-20 tidak bermakna demokrasi borjuis telah menang. Sebaliknya, kapitalisme terus memperluaskan cengkamannya di peringkat global dengan dasar ekonomi neoliberal yang dilaksanakan tanpa kawalan demokratik, malah menghakis demokrasi politik yang sudah pun terhad di banyak negara. Golongan kapitalis yang kaya raya hanya membenarkan demokrasi wujud dengan perbatasan selagi ia tidak menggugat kepentingan mereka. Mereka sentiasa bersedia membelakangkan komitmen terhadap demokrasi, walaupun demokrasi yang paling asas, apabila mereka terasa diancam oleh gerakan pekerja yang memperjuangkan kehidupan yang lebih baik bagi golongan pekerja.

Analisis Karl Marx dalam tulisannya Brumaire XVIII Louis Bonaparte mengenai sokongan yang diberikan oleh kelas kapitalis Perancis kepada rampasan kuasa Louis Napoleon Bonaparte terhadap Republik Kedua Perancis telah memberi pembayang yang menyeramkan tentang sokongan yang diberikan oleh kelas kapitalis selepasnya kepada rejim fasis pada tahun 1930-an. Sama ada rampasan kuasa Louis Napoleon Bonaparte pada tahun 1851 ataupun kebangkitan fasisme yang sangat anti-demokratik pada tahun 1930-an, golongan borjuis kecil yang semakin merosot, golongan kelas menengah yang terjerumus dalam krisis dan golongan elit yang mempermainkan sentimen populis mendapat sokongan daripada kelas kapitalis untuk mematahkan kebangkitan kelas pekerja dengan menggulingkan kerajaan yang demokratik dan mendirikan pemerintahan yang kuku besi.

Sama ada rejim-rejim autoritarian di Asia semasa Perang Dingin (seperti Indonesia dan Korea Selatan) atau rejim-rejim kediktatoran di Amerika Latin yang berkuasa pada tahun 1970-an dan 1980-an melalui rampasan kuasa tentera, juga mendapat sokongan yang serupa daripada korporat gergasi transnasional. Sebahagian besar prestij golongan kiri pasca Perang Dunia Kedua datang daripada sejarah mereka sebagai penentang fasisme yang paling konsisten.

Golongan sosialis dan gerakan anti-kolonial pada abad ke-20 menyedari bahawa matlamat demokrasi revolusioner untuk kebebasan, kesamarataan dan persaudaraan tidak mungkin dapat direalisasikan sekiranya pengagihan kuasa ekonomi yang tidak sama rata itu masih menjelma ke dalam kuasa politik yang berpihak kepada golongan mahakaya dan golongan pekerja masih dieksploitasi oleh pemilik modal. Golongan sosialis sentiasa memperjuangkan demokrasi ekonomi kerana kepercayaan demokratik mereka yang radikal bahawa apa-apa yang mempengaruhi semua orang harus ditentukan oleh semua orang, bukannya segelintir kecil orang.

Oleh yang demikian, aspirasi untuk sebuah masyarakat yang lebih demokratik dari semua aspek sentiasa berada dalam teras perjuangan sosialis di merata tempat. Golongan sosialis telah menerajui banyak perjuangan anti-kolonial di negara-negara Dunia Ketiga, dengan hasrat murni untuk mendirikan negara merdeka baharu yang menegakkan kuasa rakyat, kesamarataan ekonomi dan keadilan sosial.

Sepanjang separuh kedua abad ke-20, golongan sosialis terus mengambil bahagian dalam pelbagai usaha yang memperjuangkan ruang demokrasi dan hak demokratik di seluruh dunia, seperti gelombang protes anak muda di banyak negara pada tahun 1960-an, Musim Bunga Prague di Czechoslovakia pada tahun 1968, Gerakan Hak Sivil di Amerika Syarikat pada tahun 1950-an hingga 1960-an, gerakan demokrasi di Korea Selatan (termasuk Revolusi April pada tahun 1960, Pemberontakan Gwangju pada tahun 1980 dan Gerakan Demokrasi Jun pada tahun 1987), gerakan menentang pemerintahan kediktatoran di Pakistan pada tahun 1968-1969, gerakan anti-apartheid di Afrika Selatan pada tahun 1950-an hingga 1990-an, gerakan pro-demokrasi di Thailand, gerakan menentang pemerintahan kediktatoran di Chile pada tahun 1970-an hingga 1980-an, Revolusi Bunga Teluki di Portugal pada tahun 1974, pemberontakan pelajar-pelajar di Universiti Politeknik Athens untuk menentang pemerintahan tentera di Greece pada tahun 1974, gerakan demokrasi di Brazil pada tahun 1980-an, Revolusi Kuasa Rakyat di Filipina pada tahun 1986, gerakan demokrasi yang membawa kepada pemansuhan sistem monarki di Nepal pada tahun 2008, dan banyak lagi.

“Demokrasi politik tidak bermakna jika ia tidak merangkumi demokrasi ekonomi. Dan demokrasi ekonomi bukannya yang lain kecuali sosialisme.” – Jawaharlal Nehru semasa berucap dalam sesi Jawatankuasa Kongres Seluruh India (AICC) pada tahun 1963

Anak-anak muda Czechoslovakia membantah pencerobohan tentera Kesatuan Soviet pada bulan Ogos 1968 yang bertujuan untuk mematahkan pembaharuan demokratik yang dikenali sebagai “Musim Bunga Prague”. (foto: Libor Hajsky / AFP /Getty Images)

Kebebasan demokratik dan sosialisme

Kebebasan ialah salah satu komponen atau tunjang yang penting dalam demokrasi, termasuk demokrasi sosialis. Namun, apakah itu kebebasan?

Kebebasan yang diingini oleh golongan kapitalis adalah berbeza sama sekali dengan kebebasan yang diperjuangkan oleh kelas pekerja. Kebebasan bagi golongan kapitalis bermakna mereka bebas daripada dasar awam yang “menghalang” proses pengumpulan modal dan bebas daripada “gangguan” pekerja yang berani menuntut hak pekerja. Kebebasan bagi kelas pekerja pula bermakna bebas daripada eksploitasi, bebas daripada alienasi, bebas daripada ketidakjaminan hidup dan bebas daripada kemiskinan. Kebebasan yang lebih besar untuk kelas kapitalis mengaut keuntungan tanpa sebarang sekatan, bermakna ruang untuk kelas pekerja bebas daripada segala bentuk eksploitasi itu akan terjejas. Inilah kontradiksi ketara dalam sistem sosio-ekonomi kapitalis yang tidak boleh didamaikan.

Secara amnya, kebebasan ialah keupayaan seseorang itu untuk menjalani kehidupannya tanpa sebarang kekangan, gangguan, ancaman dan ketakutan. Kebebasan merupakan hak asasi rakyat yang penting dalam sebuah masyarakat demokratik. Kebebasan politik bagi seseorang rakyat dalam masyarakat demokratik seharusnya merangkumi kebebasan berfikir, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan berpersatuan, kebebasan beragama, kebebasan media, kebebasan maklumat, kebebasan berkarya, kebebasan bekerja, kebebasan beriadah, kebebasan bergerak dan sebagainya. Kebebasan itu hanya merupakan kebebasan yang sebenar jika ia tidak menjejaskan kebebasan orang lain apabila seseorang mengamalkan kebebasan itu; jika tidak, ia hanya keistimewaan, bukannya kebebasan yang merupakan hak demokratik rakyat sejagat.

Golongan kapitalis sering menggunakan “kebebasan ekonomi” sebagai mantera untuk mendukung sistem pasaran bebas, perdagangan bebas, hak kebebasan pemilikan harta persendirian (termasuk pemilikan persendirian ke atas sumber pengeluaran), hak pelabur kapitalis dan sebagainya, di mana “hak kapitalis” ini boleh menjejaskan kebebasan dan kehidupan golongan kelas pekerja. Jadi, “kebebasan ekonomi” yang dipelopori oleh golongan kapitalis bukannya kebebasan sejagat, sebaliknya hanyalah perampasan kebebasan golongan kelas pekerja untuk menjalani kehidupan sejahtera atas nama menegakkan “kebebasan” golongan pemilik modal untuk terus menggondol kekayaan masyarakat melalui eksploitasi terhadap tenaga kerja dan sumber alam. Gerakan pekerja dan sosialis di merata tempat sering memperjuangkan ekonomi yang membebaskan rakyat daripada kemiskinan, di samping menegakkan hak kebebasan golongan pekerja untuk melibatkan diri dalam rundingan bersama yang menjamin pendapatan bermarauh dan kesejahteraan pekerja.

Golongan sosialis tidak memusuhi kebebasan, ataupun mereka hendak menyekat kebebasan, sebaliknya golongan sosialis memperjuangkan kebebasan yang lebih menyeluruh untuk kelas pekerja yang lebih meluas. Bagi golongan sosialis, kebebasan tidak patut dijadikan hak istimewa yang hanya dinikmati oleh segelintir kecil orang dalam masyarakat, sama ada oleh kerana mereka memiliki lebih banyak kekayaan ataupun mempunyai lebih banyak kuasa sebagai birokrat dalam kerajaan.

Kebebasan seharusnya dinikmati secara sama rata oleh setiap orang tanpa mengira latar belakangnya. Kebebasan dan kesamarataan tidak boleh dipisahkan. Kebebasan tanpa kesamarataan ialah hak keistimewaan bagi segelintir kecil orang dan ketidakadilan terhadap rakyat biasa; sementara kesamarataan tanpa kebebasan ialah perhambaan dan kezaliman.

Ada orang mungkin berpandangan bahawa kita harus menyelesaikan masalah kehidupan ekonomi masyarakat rakyat bawahan terlebih dahulu sebelum kita dapat merealisasikan kebebasan demokratik untuk seluruh masyarakat. Pandangan sebegini merupakan dikotomi tegar yang menafikan hubungan dialektik antara kebebasan demokratik dan keadilan sosial. Memang untuk mereka yang kelaparan, mendapatkan makanan ialah sesuatu yang paling mustahak dan paling terdesak pada sesuatu ketika itu, tetapi tanpa kebebasan demokratik untuk seseorang itu menyuarakan keluhannya kerana kelaparan, malah dia akan dibiarkan terus kelaparan oleh sebab suaranya tidak kedengaran. Begitu juga sekiranya seseorang itu dibenarkan untuk bebas bersuara tetapi masalah kelaparannya tidak diselesaikan langsung, maka “kebebasan demokratik” itu hanya sekadar hiasan dan tidak membawa apa-apa makna kepada mereka yang kelaparan.

Dalam “Program Tindakan” yang diterima dalam sesi pleno Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Czechoslovakia pada 5 April 1968 semasa semasa tempoh pembaharuan di Republik Sosialis Czechoslovakia yang dikenali sebagai “Musim Bunga Prague”, adalah dinyatakan bahawa “Sosialisme tidak boleh hanya bermakna pembebasan rakyat pekerja daripada dominasi hubungan kelas yang mengekploitasi, tetapi harus mewujudkan lebih banyak peruntukan untuk kehidupan peribadi yang lebih penuh berbanding mana-mana demokrasi borjuis.”

“Rakyat pekerja, yang tidak lagi diperintah oleh mana-mana kelas pengeksploitasi, tidak boleh lagi ditentukan oleh apa-apa tafsiran sewenang-wenangnya dari kedudukan yang berkuasa, maklumat apa yang mereka boleh diberikan atau tidak, pendapat mereka yang mana satu boleh dinyatakan secara terbuka atau tidak, di mana pendapat umum boleh memainkan peranan dan di mana tidak,” begitu tulisnya Program Tindakan Parti Komunis Czechoslovakia 1968.

Alexander Dubček (yang ketiga dari kanan di barisan hadapan) menyertai perarakan di Prague, ibu negara Czechoslovakia, pada 1 Mei 1968. (foto: Gamma-Rapho / Keystone-France)

Pembaharuan demokratik yang cuba dilakukan oleh Parti Komunis Czechoslovakia di bawah kepimpinan Alexander Dubček pada tahun 1968 merupakan usaha untuk mengembalikan nilai-nilai asas sosialisme demokratik di dalam sebuah negara yang bukan lagi mengamalkan sistem ekonomi kapitalis supaya sosialisme dapat mencapai matlamat pembebasan masyarakat yang menegakkan kemanusiaan. Namun, eksperimen “sosialisme dengan wajah manusia” di Czechoslovakia pada tahun 1968 ini telah dihancurkan oleh kereta kebal yang menceroboh masuk dari Kesatuan Soviet.

Rosa Luxemburg (1871-1919), seorang tokoh revolusioner Jerman yang hebat, pernah menekankan bahawa kebebasan dalam sosialisme seharusnya kebebasan untuk menyatakan pandangan yang berbeza dan mengkritik mereka yang memegang kuasa. Kebebasan dalam sosialisme tidak harus menjadi “hak istimewa” kepada segelintir golongan sahaja (walaupun golongan itu bertindak atas nama “kelas pekerja” dan “revolusi sosialis”) seperti yang wujud dalam negara kapitalis.

“Kebebasan hanya untuk penyokong-penyokong kerajaan, hanya untuk ahli-ahli satu parti – walaupun betapa banyak mereka – bukannya kebebasan sama sekali. Kebebasan sentiasa dan semata-matanya ialah kebebasan untuk orang yang berpemikiran berbeza. Bukan kerana apa-apa konsep ‘keadilan’ yang fanatik, tetapi kerana semua yang instruktif, baik dan menyucikan dalam kebebasan politik bergantung pada ciri penting ini, dan keberkesanannya lenyap apabila ‘kebebasan’ menjadi hak istimewa.” – Rosa Luxemburg, The Russian Revolution (1918)

Bagaimana demokrasi boleh dikompromi dalam revolusi sehingga menjejaskan usaha membina sosialisme?

Walau bagaimanapun, daripada pengalaman sejarah perjuangan masyarakat yang lampau, mana-mana revolusi yang hebat sudah pasti akan berhadapan dengan ancaman yang tidak kurang hebatnya. Untuk menangani ancaman daripada revolusi balas golongan reaksioner dan pemerintah lama yang sentiasa hendak menghancurkan hasil revolusi yang bersifat pembebasan, sering kali kerajaan revolusioner yang baharu ditubuhkan itu terpaksa menggunakan cara yang lebih keras malah ganas untuk mempertahankan revolusi. Ada kalanya tercetus perang revolusi untuk mempertahankan revolusi itu, seperti yang pernah berlaku dalam Revolusi Perancis 1789 yang mencetuskan Perang Revolusioner Perancis (1792-1802) dan Revolusi Rusia 1917 yang mencetuskan Perang Saudara Rusia (1917-1922). Dalam keadaan perang yang sengit, kuasa politik perlu dipusatkan dalam tangan golongan revolusioner untuk memudahkan penyelarasan usaha pertahanan revolusi.

Amalan demokrasi yang menyeluruh boleh digantung sementara untuk mempertahankan revolusi daripada ancaman-ancaman yang hebat dengan memusatkan kuasa membuat keputusan dalam tangan kepimpinan revolusioner, tetapi pergantungan demokrasi yang sementara itu boleh menjadi berkekalan sekiranya “kepimpinan revolusioner” (sama ada satu kumpulan pemimpin yang berkuasa atau seorang “pemimpin agung” yang dianggap hebat) terlalu selesa atau tergoda dengan pemusatan kuasa, sehinggalah menghalang usaha revolusi daripada terus maju dan malah menyimpang daripada hala tuju asal revolusi.

Memang tiada masanya untuk mengamalkan proses membuat keputusan secara demokratik semasa peperangan. Tidak mungkin setiap keputusan taktik, seperti bila, mana dan bagaimana mengaturkan serangan ketenteraan itu, boleh dibincangkan secara terbuka dan diputuskan melalui pengundian demokratik semasa peperangan masih berlangsung. Oleh itu, kuasa membuat keputusan sudah pasti akan tertumpu dalam tangan segelintir kepimpinan revolusioner yang sering kali juga merupakan kepimpinan kepada pasukan bersenjata atau bala tentera. Ini mewujudkan peluang kepada penumpuan kuasa ke dalam tangan segelintir golongan birokrat dan juga pelaksanaan langkah-langkah yang lebih bersifat ganas untuk menangkis ancaman hebat. Pemusatan birokratik akan menggantikan pemusatan demokratik dalam organisasi revolusioner dan boleh berkekalan sekiranya tiada langkah diambil untuk mengatasinya selepas kejayaan revolusi ataupun membendungnya sejak awal lagi semasa revolusi. Inilah cabaran yang wujud dalam kebanyakan revolusi hebat yang pernah berlaku, seperti Napoleon Bonaparte yang berkuasa melalui rampasan kuasa 18 Brumaire selepas kejayaan Revolusi Perancis dan lapisan birokrat Stalinis yang berkuasa selepas pergolakan politik yang hebat berikutan Revolusi Rusia.

Memang terdapatnya aliran-aliran dalam gerakan sosialis yang sangat bertentangan dalam pendirian mengenai amalan demokrasi. Adanya aliran sosialis yang mengangkat pemerintahan negara birokratik yang autoritarian dan zalim, atas nama “mempertahankan revolusi sosialis daripada ancaman-ancaman revolusi balas”, seperti yang pernah diamalkan oleh Joseph Stalin selepas dia berkuasa di Kesatuan Soviet. Adanya juga aliran sosialis yang berdedikasi dan tegas dalam menegakkan kebebasan manusia dan demokrasi sosialis, seperti yang diperjuangkan oleh Rosa Luxemburg.

Rosa Luxemburg yang menyokong perjuangan revolusioner di Rusia pernah memberi amaran tentang bahayanya menyekat kebebasan demokratik walaupun dalam keadaan mempertahankan revolusi, kerana ini hanya akan melemahkan malah melumpuhkan usaha revolusi yang sebenar. Luxemburg menulis dalam rencananya yang bertajuk “Revolusi Rusia”, “Tanpa pilihan raya umum, tanpa kebebasan akhbar dan perhimpunan yang tidak terhad, tanpa pertembungan pandangan yang bebas, nyawa kepada mana-mana institusi awam akan semakin pupus, menjadi kehidupan yang tanpa roh, hanya tinggal birokrasi sebagai satu-satu unsur aktivitinya. Kehidupan awam semakin senyap, diarahkan dan diperintah oleh puluhan orang pemimpin parti yang bertenaga tidak kehabis-habisan dan pengalaman yang tidak terbatas. Antara mereka sebenarnya hanya dipimpin oleh belasan orang yang cemerlang, dan segelintir elit dalam sekumpulan pekerja dipanggil untuk hadir bermesyuarat dari semasa ke semasa, mendengar dan bersorak pada ucapan pemimpin, meluluskan secara sebulat suara usul yang dicadangkan. Oleh demikian, ini pada dasarnya ialah sejenis pemerintahan kumpulan kecil – Ini semestinya sejenis kediktatoran, tetapi bukannya kediktatoran proletar, sebaliknya kediktatoran segelintir kecil ahli politik, iaitu kediktatoran dalam erti kata kelas borjuasi semata-mata, kediktatoran dalam erti kata pemerintahan golongan Jacobin (Kongres Soviet ditangguhkan dari bersidang setiap tiga bulan sekali kepada enam bulan sekali!). Bukan sekadar itu, keadaan sedemikian semestinya akan menyebabkan penzaliman kehidupan awam: pembunuhan, penembakan mati tebusan dan sebagainya. Ini merupakan hukum objektif yang sangat hebat, di mana tiada mana-mana parti dapat melepaskan diri daripadanya.”

Kawalan sosial yang diamalkan di Kesatuan Soviet, langsung bukannya demokrasi sosialis. Begitu juga dengan negara-negara yang diperintah oleh satu parti tetapi mengambil nama “demokrasi rakyat” (seperti Korea Utara yang bergelar “Republik Rakyat Demokratik Korea” dan “Republik Rakyat Demokratik Ethiopia” yang wujud pada tahun 1987-1991). Malah negara-negara sebegini bukannnya demokrasi pun, sebaliknya hanya “partokrasi” (iaitu sejenis bentuk pemerintahan di mana sebuah parti politik yang paling berkuasa, bukannya rakyat) yang mengagung-agungkan pemimpin partinya dan mengharamkan segala kritikan terhadap kepimpinan parti itu.

Di negara Kesatuan Soviet, walaupun wujudnya pemilihan untuk wakil dalam soviet di peringkat tempatan dan wakil itu boleh dilucutkan jawatannya bila-bila masa oleh keputusan majoriti pengundi seperti yang tertulis dalam undang-undangnya, namun secara praktiknya kuasa menamakan calon pilihan raya dipegang oleh Parti Komunis Kesatuan Soviet dan organisasi-organisasi masyarakat yang berada di bawah naungan Parti Komunis Kesatuan Soviet. Ini mewujudkan dominasi terhadap kuasa menentukan perwakilan rakyat dalam tangan birokrat parti yang berada di lapisan atas susunan hierarki kuasa, sehingga membolehkan penumpuan dan pemusatan kuasa yang lebih lanjut. Oleh yang demikian, pilihan raya dan demokrasi hanya menjadi sekadar nama secara luaran tetapi partokrasi sebenarnya di dalam negara-negara pasca revolusi yang diperintah oleh golongan birokrat parti. Lebih-lebih lagi, cara di mana wakil dalam soviet peringkat rendah memilih wakil ke soviet peringkat lebih tinggi mewujudkan bentuk “demokrasi perwakilan” bersusun lapis yang terpisah daripada akar umbi masyarakat, maka memperkukuhkan lagi kekuasaan birokrasi di atas. Dengan ini, demokrasi telah dikompromi dan usaha revolusi sosialis dipesongkan.

Penghakisan demokrasi yang memesongkan revolusi sosialis mendatangkan kemudaratan yang besar kepada usaha perjuangan pembebasan masyarakat. Malah, segala pandangan yang berbeza, walaupun berasaskan hasrat mempertahankan dan memajukan revolusi sosialis, telah disekat dan dilenyapkan daripada ruangan politik yang dikuasai oleh golongan birokrat yang berhierarki. Lebih-lebih lagi, pernah berlakunya penindasan yang zalim terhadap golongan pengkritik kerajaan di Kesatuan Soviet seperti “Pembersihan Besar” pada tahun 1930-an.

Di negara Republik Rakyat China yang diperintah oleh Parti Komunis China yang memenangi kuasa melalui perang revolusi pula, walaupun dikatakan wujudnya 8 buah “parti demokratik” yang mengambil bahagian dalam kerjasama pelbagai parti dan sistem rundingan politik yang diterajui oleh Parti Komunis China selepas Revolusi China 1949, tetapi semua “parti demokratik” itu perlu mengiktiraf Parti Komunis China sebagai satu-satunya parti pemerintah di negara itu, menjadikan apa yang dikatakan sebagai “pemerintahan demokratik rakyat yang dipimpin oleh kelas pekerja, berasaskan pakatan antara pekerja dan petani” itu sebenarnya hanya sekadar pemerintahan satu-parti (partokrasi) yang berkuasa dari atas dan tidak membenarkan apa-apa parti pembangkang.

Di Korea Utara yang bergelar “Republik Rakyat Demokratik Korea”, walaupun perlembagaan negara itu menyatakan bahawa Majlis Rakyat Tertinggi (iaitu badan perundangan di negara Korea Utara) dipilih melalui pengundian sejagat dan undi rahsia, tetapi pada hakikatnya pilihan raya hanya sekadar pertunjukan dan pengundi biasanya hanya diberi pilihan untuk mengundi seorang calon yang dibenarkan oleh parti pemerintah sahaja. Penyimpangan Korea Utara daripada “demokrasi rakyat” terjadi selepas Kim Il-Sung menghapuskan secara ganas sesiapa yang dianggap sebagai pencabar politiknya, sehingga menguasai sepenuhnya parti pemerintah dan jentera kerajaan yang memusatkan kuasa. Pemusatan kuasa itu diteruskan oleh anaknya Kim Jong-Il dan cucunya Kim Jong-Un seperti pemerintahan dinasti raja feudal turun-temurun.

Kita harus sedar bahawa matlamat akhir sosialisme ialah pembebasan masyarakat. Keganasan (sama ada keganasan individu, keganasan negara atau keganasan yang dilakukan atas nama “revolusi”) mewujudkan ketakutan. Ketakutan dalam kalangan rakyat tidak akan mendatangkan pembebasan masyarakat. Ketakutan hanya membolehkan pemerintahan zalim diteruskan.

Perjuangan pembebasan masyarakat yang diusahakan oleh golongan sosialis, selain bermatlamat membebaskan kelas yang tertindas daripada segala bentuk kemiskinan, penindasan dan eksploitasi, ia juga harus membebaskan kelas yang tertindas daripada segala bentuk ketakutan, kezaliman, keganasan dan pemaksaan. Namun, seperti yang ditunjukkan dalam perjalanan sejarah pergolakan masyarakat sehingga kini, perjuangan pembebasan masyarakat bukannya satu proses yang licin dan lancar, sebaliknya ia penuh dengan rintangan dan liku-liku. Perjuangan pembebasan masyarakat boleh, malah sering kali perlu, menggunakan kekerasan (malah keganasan) untuk menangkis serangan ganas daripada kelas pemerintah yang hendak mematahkan revolusi ataupun menghadapi ancaman revolusi balas daripada kelas pemerintah lama yang kehilangan kuasa tetapi hendak merampas semua kuasa. Namun begitu, adalah penting untuk semua golongan revolusioner sedar tentang implikasi penggunaan kekerasan yang keterlaluan terhadap hala tuju perjuangan. Pendekatan yang keras, birokratik dan bersifat paksaan mungkin boleh mencapai matlamat jangka pendek untuk mempertahankan hasil revolusi sosialis, tetapi pendekatan sebegitu mempunyai risiko besar untuk memesongkan hala tuju usaha membina sosialisme ke arah yang menghancurkan demokrasi dan menggadaikan sosialisme.

Jika apa yang wujud di Kesatuan Soviet, Republik Rakyat China dan Korea Utara itu bukannya demokrasi sosialis yang sebenar, maka bagaimana rupanya demokrasi sosialis yang sebenar?

“Disiplin diri Demokrasi Sosial bukan semata-mata penggantian kekuasaan pemerintah borjuis dengan kekuasaan sebuah jawatankuasa pusat sosialis. Kelas pekerja akan memperoleh rasa disiplin yang baharu, disiplin diri Demokrasi Sosial diterima secara bebas, bukannya sebagai akibat daripada disiplin yang dikenakan ke atasnya oleh negara kapitalis, tetapi dengan menghapuskan, sehingga ke akar terakhir, tabiat kesetiaan dan kehambaannya yang lama.” – Rosa Luxemburg, Organizational Questions of the Russian Social Democracy (1904)

Rosa Luxemburg

Demokrasi Sosialis

Demokrasi dan sosialisme tidak boleh dipisahkan. Demokrasi ialah unsur yang amat penting dalam sosialisme itu sendiri dan usaha membina sosialisme. Tanpa demokrasi, sosialisme yang wujud, jika ada pun, hanyalah sosialisme atas nama sahaja, tetapi sebenarnya masih wujud penindasan, pemaksaan dan kezaliman. Tanpa demokrasi dalam usaha membina sosialisme, iaitu penglibatan secara langsung masyarakat akar umbi dari bawah dalam proses menentukan hala tuju perjuangan dan bagaimana rupa bentuknya sosialisme yang patut dibina itu, usaha membina sosialisme itu sudah pasti akan dipesongkan dan menjadi sekadar memenuhi kepentingan segelintir kecil lapisan masyarakat yang mempergunakan nama “sosialisme”. Demokrasi yang tanpa sosialisme pula, bukannya demokrasi yang sejati, sebaliknya hanya penerusan eksploitasi dan penindasan terhadap rakyat bawahan atas nama “demokrasi” dan “kebebasan” yang tidak membawa apa-apa makna sebenar bagi rakyat biasa.

Demokrasi dalam sosialisme bukannya sekadar terhad pada demokrasi politik, malah perlu diperluaskan kepada demokrasi ekonomi dan demokrasi kehidupan sosial harian, di mana semua rakyat dapat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan secara bersama mengenai persoalan bagaimana mengatur pengeluaran dan pengagihan kekayaan masyarakat. Demokrasi sosialis ialah sejenis demokrasi yang lebih hebat daripada demokrasi borjuis yang wujud di dalam negara-negara kapitalis.

Oleh itu, demokrasi sosialis seharusnya merangkumi aspek-aspek demokrasi seperti:

  • Demokrasi politik: Penyertaan rakyat secara bebas dan sama rata dalam proses membuat keputusan politik serta mengurus tadbir masyarakat, dengan jaminan hak kebebasan untuk bersuara, bermaklumat, berhimpun, berorganisasi, mengambil bahagian dalam pilihan raya, memecat pemegang jawatan awam melalui pengundian dan sebagainya.
  • Demokrasi ekonomi: Penyertaan pengeluar sebenar (iaitu pekerja), pengguna dan masyarakat umum yang lebih luas secara demokratik dalam proses membuat keputusan mengenai perancangan ekonomi dan pengorganisasian pengeluaran masyarakat (termasuk apa yang patut dikeluarkan, bagaimana mengeluarkannya, bagaimana mengagihkan atau menggunakan sumber-sumber pengeluaran, bagaimana mengagihkan barangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan, bagaimana menguruskan barangan sampingan yang terhasil daripada pengeluaran itu, dan sebagainya.)
  • Demokrasi masyarakat: Penyertaan demokratik seluruh anggota masyarakat dalam proses membuat keputusan tentang hubungan yang wujud dalam sesebuah masyarakat (hubungan kekeluargaan, kesamarataan gender, persekitaran komuniti yang ramah mesra dan sebagainya).
  • Demokrasi budaya: Selain mendukung kepelbagaian budaya, adalah perlu menjamin hak setiap orang atau komuniti untuk mengamalkan kebudayaan masing-masing dan menggalakkan penyertaan aktif dalam kehidupan budaya masyarakat. Orang ramai harus mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam segala proses membuat keputusan mengenai kualiti kehidupan budaya, dan boleh mengakses serta berkongsi sumber kebudayaan secara adil dan saksama.
  • Demokrasi ekologi alam sekitar: Perlunya mekanisme proses membuat keputusan dan mekanisme semak-dan-imbang yang demokratik, untuk memastikan sumber-sumber alam semula jadi di Bumi dapat digunakan secara baiknya dengan memanfaatkan rakyat jelata secara adil tanpa menjejaskan kemampanan sumber-sumber alam.

Demokrasi harus diamalkan serentak dengan usaha membina sosialisme. Sekiranya kelas pekerja dan golongan sosialis mengambil alih kuasa pemerintahan, mereka harus mewujudkan sistem demokrasi sosialis untuk menggantikan demokrasi borjuis, bukannya menghapuskan segala bentuk demokrasi.

Demokrasi sosialis sepatutnya merupakan demokrasi yang lebih baik, lebih meluas, lebih mendalam dan lebih memanfaatkan rakyat terbanyak berbanding demokrasi borjuis. Inilah misi sejarah perjuangan revolusioner kelas pekerja dan golongan sosialis. Rosa Luxemburg pernah menulis, “Demokrasi sosialis bukannya sesuatu yang hanya bermula di tanah yang dijanjikan selepas asas kepada ekonomi sosialis sudah diwujudkan; ia tidak datang sebagai sejenis hadiah Krismas untuk orang yang layak, yang buat sementara waktu, setia menyokong segelintir diktator sosialis. Demokrasi Sosialis bermula serentak dengan permulaan kemusnahan pemerintahan kelas dan pembinaan sosialisme. Ia bermula pada saat perampasan kuasa oleh parti sosialis. Ia ialah perkara yang sama dengan kediktatoran proletar.

Manifesto Komunis yang ditulis oleh Karl Marx dan Friedrich Engels turut mengatakan bahawa “matlamat segera Komunis adalah sama dengan semua parti proletar yang lain: pembentukan golongan proletar ke dalam satu kelas, penggulingan ketuanan borjuis, penawanan kuasa politik oleh golongan proletar… langkah pertama dalam revolusi oleh kelas pekerja ialah menaikkan golongan proletar ke posisi kelas pemerintah untuk memenangi pertempuran demokrasi.”

“Kediktatoran proletar” atau pemerintahan kelas pekerja, ialah sejenis pemerintahan yang berasaskan pembaharuan demokrasi bukannya penghapusan demokrasi, dalam usaha menghapuskan hubungan ekonomi eksploitatif yang wujud dalam masyarakat kapitalis. Pemerintahan kelas pekerja harus dilaksanakan dan disempurnakan oleh kelas pekerja sendiri, seperti yang tertulis dalam Peraturan Am Kesatuan Pekerja Antarabangsa (juga dikenali sebagai Internasional Pertama) pada tahun 1964,

“Pembebasan kelas pekerja harus dilakukan oleh kelas pekerja mereka sendiri;

Perjuangan untuk pembebasan kelas pekerja bukannya perjuangan untuk keistimewaan kelas dan monopoli, tetapi untuk hak-hak dan kewajipan-kewajipan yang sama rata, serta penghapusan semua pemerintahan kelas…”

Kediktatoran proletar ialah pemerintahan kelas, bukannya pemerintahan satu-parti (walaupun parti itu mungkin memerintah atas nama kelas pekerja). Ia bukannya perkara yang hanya dilakukan oleh segelintir kecil pemimpin parti revolusioner yang menggunakan nama proletar. Kediktatoran proletar atau pemerintahan kelas pekerja yang berhasrat untuk membina sosialisme haruslah melibatkan penyertaan aktif daripada massa yang berkesedaran politik, berada di bawah pengaruh massa rakyat secara langsung, tertakluk di bawah kawalan sepenuh seluruh massa rakyat dan berkembang daripada pendidikan politik massa rakyat yang semakin maju. Demokrasi sosialis membolehkan kelas pekerja dan semua golongan yang tertindas sebelum ini dapat menyertai dalam proses membuat keputusan politik, sosial dan ekonomi dengan sepenuhnya tanpa sebarang sekatan dan rintangan. Demokrasi sosialis ialah demokrasi yang lebih hebat dan meluas diaplikasi dalam masyarakat yang berpegang teguh pada matlamat pembebasan sebenar.

Sosialisme yang demokratik ialah sosialisme yang bersifat pembebasan, transformatif dan penuh bersemangat; sementara sosialisme yang tidak demokratik ialah sosialisme yang bersifat birokratik, represif dan membosankan.

Sosialisme yang demokratik ialah sosialisme dari bawah yang dibina melalui organisasi demokratik massa rakyat yang berkesedaran tinggi, celik politik dan tidak berhierarki, bukannya sosialisme dari atas yang dikenakan pada rakyat biasa melalui pemerintahan birokratik yang berhierarki.

Demokrasi sosialis menegakkan prinsip-prinsip asas seperti pembebasan, kesamarataan ekonomi, keadilan sosial, pemilikan bersama sumber-sumber pengeluaran, penyertaan demokratik, pengagihan kuasa kepada rakyat di peringkat akar umbi dan keharmonian manusia-alam sekitar.

Demokrasi sosialis harus mempunyai ciri-ciri asas berikut:

  • Pemilikan secara bersama (melalui cara seperti koperasi pekerja atau negara demokratik) dan kawalan demokratik oleh rakyat ke atas sumber-sumber pengeluaran masyarakat. Ekonomi dirancang dan diurus tadbir oleh masyarakat umum secara demokratik, dengan menekankan kerjasama solidariti antara pengeluar-pengeluar (iaitu pekerja-pekerja), supaya segala kekayaan yang dikeluarkan dapat diagihkan secara adil dan penggunaan sumber alam dapat dikawal selia demi menjamin kemampanan ekologi. Demokrasi sosialis seharusnya merangkumi demokrasi pekerja.
  • Kebebasan rakyat jelata untuk mengambil bahagian secara langsung dalam hal ehwal politik dan proses membuat keputusan, melalui badan-badan yang dibentuk secara demokratik dari bawah (seperti perhimpunan popular, majlis pekerja, majlis penduduk setempat dan sebagainya), sama ada melibatkan penyertaan langsung semua anggota Masyarakat (seperti referendum) ataupun pilihan raya demokratik secara berkala untuk memilih perwakilan yang menyertainya, di mana perwakilan itu boleh dilucutkan jawatan bila-bila masa melalui pengundian demokratik. Demokrasi sosialis seharusnya mengambil bentuk demokrasi yang partisipatif dan menegakkan autonomi komuniti.
  • Perlindungan kepada hak demokratik seperti kebebasan bersuara (selagi kebebasan bersuara itu tidak mewujudkan ancaman terhadap satu kumpulan masyarakat yang berasaskan identiti, misalnya ucapan kebencian), kebebasan berorganisasi dan kebebasan berhimpun secara aman. Pelbagai parti politik boleh wujud secara bersama untuk memperkayakan pertukaran pandangan politik dan perbahasan mengenai dasar-dasar awam.
  • Pendemokrasian media untuk membolehkan pengawalan rakyat ke atas media supaya ia dapat memainkan peranan sebagai pemantau tegas dan pengkritik ikhlas terhadap badan pentadbiran, di samping memastikan ketelusan maklumat untuk kepentingan awam.
  • Jaminan kesejahteraan masyarakat dengan kewujudan perkhidmatan awam yang mudah diakses oleh semua orang, termasuk sistem kesihatan awam sejagat yang komprehensif, pendidikan awam yang berlandaskan pembebasan minda, pengangkutan awam yang ekstentif dan pembekalan kemudahan asas (tenaga, air, telekomunikasi dan sebagainya) yang dikawal secara demokratik, di samping pelaksanaan program-program perlindungan sosial seperti pencen warga emas sejagat dan bantuan kebajikan kepada sesiapa yang memerlukannya.

Contoh-contoh amalan demokrasi sosialis yang pernah wujud termasuklah Komun Paris 1871, soviet-soviet pekerja yang ditubuhkan semasa Revolusi 1917, jawatankuasa pekerja yang mengambil alih kilang-kilang di Itali pada tahun 1920, demokrasi akar umbi yang diamalkan oleh kolektif-kolektif yang ditubuhkan semasa Revolusi Sepanyol 1936, majlis syura yang ditubuhkan oleh pekerja-pekerja untuk menguasai ekonomi buat seketika (tetapi disekat kemudian oleh rejim pemerintahan baharu) semasa Revolusi Iran 1979, majlis komuniti yang ditubuhkan dalam proses Revolusi Bolivar di Venezuela untuk memperkasakan penyertaan masyarakat akar umbi dalam pembangunan setempat, dan struktur demokrasi penyertaan yang berorganisasi dari bawah dalam Revolusi Rojava pada abad ke-21. Eksperimen-eksperimen demokrasi sosialis dalam pelbagai ragam dan berbeza zaman ini akan terus menjadi inspirasi kepada gerakan sosialis di seluruh dunia untuk membangunkan demokrasi sosialis yang terbaik dalam usaha pembebasan masyarakat.

“Hanya dalam masyarakat komunis, apabila penentangan daripada kelas kapitalis ditweaskan sepenuhnya, apabila kapitalis sudah hilang, apabila kelas tidak wujud lagi (iaitu tiada lagi perbezaan antara setiap anggota masyarakat dalam hubungan dengan cara-cara pengeluaran masyarakat), hanya pada masa sebegitu, ‘barulah negara akan hilang, dan barulah dapat bercakap tentang kebebasan’. Hanya pada masa itu, demokrasi yang benar-benar lengkap dan tiada apa-apa pengecualian akan berkemungkinan dan boleh direalisasikan. Hanya pada masa itu, demokrasi akan mula layu. Sebabnya mudah, iaitu dengan membebaskan diri daripada perhambaan kapitalis, daripada kengerian, kekejaman, kekarutan dan penghinaan akibat pemerasan kapitalis, rakyat akan beransur-ansur menjadi biasa dengan menghormati peraturan asas hubungan sosial yang diketahui untuk berzaman-zaman. Mereka akan menjadi biasa untuk menghormati semua ini tanpa kekerasan, tanpa paksaan, tanpa subordinasi, tanpa alat khas untuk paksaan yang dipanggil negara.” – V. I. Lenin, The State and Revolution (1917)

Sentralisme Demokratik

Banyak organisasi sosialis yang memperjuangkan perubahan radikal mendapat ilham daripada Parti Bolshevik yang memainkan peranan utama semasa Revolusi Rusia 1917 untuk mengamalkan pendekatan “sentralisme demokratik” (atau “pemusatan demokratik”) dalam usaha menggerakkan perjuangan mereka. Kadang-kadang, adanya organisasi berhaluan kiri menjadikan sentralisme demokratik sebagai prinsip utamanya dalam membina sosialisme.

Sentralisme demokratik ialah pendekatan organisasi yang diamalkan secara dalaman oleh sesebuah organisasi politik atau parti politik untuk membolehkan keputusan yang dicapai melalui proses perbincangan dan pengundian demokratik dalam sesebuah organisasi itu mengikat semua anggota dalam sesebuah organisasi itu. V. I. Lenin (1870-1924), seorang tokoh revolusioner Rusia yang penting, telah menganggap prinsip “sentralisme demokratik” sebagai cara yang berkesan untuk mengorganisasi sebuah parti perintis (vanguard) dalam usaha perjuangan revolusioner sosialis.

Dalam amalan sentralisme demokratik, demokratik bermakna amalan demokrasi dalam proses membuat keputusan di mana ia melibatkan perbincangan dan pengundian secara demokratik, sementara sentralisme merujuk kepada tindakan padu dalam melaksanakan keputusan yang sudah dibuat secara demokratik.

Amalan demokrasi dalam sesebuah organisasi politik membolehkan anggota-anggotanya bebas untuk berbincang dan berdebat sepenuhnya sebelum membuat apa-apa keputusan tentang hala tuju, dasar, strategi, taktik dan tindakan yang harus diambil oleh organisasi itu. Keputusan itu boleh dibuat secara konsensus (persetujuan sebulat suara daripada seluruh anggota) atau pengundian yang mengikut majoriti selepas perbincangan melibatkan penyertaan semua anggota. Sentralisme dalam sesebuah organisasi politik membolehkan keputusan yang dibuat oleh anggota-anggota organisasi itu dapat dilaksanakan secara berkesan, di mana semua anggota perlu mematuhi, mempertahankan dan melaksanakan segala keputusan yang sudah dibuat secara demokratik dengan sepenuh hati. Pemusatan dalam pelaksanaan keputusan memerlukan disiplin organisasi yang tinggi. Semangat asas dan inti pati sentralisme demokratik adalah seperti apa yang dikatakan oleh Lenin, “Kebebasan dalam perbincangan, perpaduan dalam tindakan.”

Lenin juga mengatakan bahawa “prinsip bagi sentralisme demokratik dan autonomi bagi organisasi parti di peringkat tempatan bermakna kebebasan sejagat dan sepenuh untuk mengkritik, selagi ini tidak mengganggu perpaduan dalam satu tindakan yang pasti; ia menolak semua kritikan yang mengganggu atau menyukarkan perpaduan dalam tindakan yang diputuskan oleh parti”.

Terdapatnya 3 aspek yang saling berkaitan dalam pengamalan sentralisme demokratik, iaitu:

  • Takrifan keanggotaan;
  • Demokrasi proletar atau demokrasi penyertaan;
  • Perpaduan dalam tindakan.

Untuk takrifan keanggotaan, setiap organisasi mempunyai konsepsi yang berlainan berkenaan dengan keanggotaan atau keahliannya mengikut keadaan semasa. Dalam keadaan di mana perlu berhadapan dengan sebuah kerajaan yang represif dan zalim, keanggotaan untuk sesebuah organisasi perjuangan itu perlulah amat ketat dan anggota-anggotanya memikul tanggungjawab revolusioner yang lebih berat. Namun, dalam sebuah gerakan sosial yang besar dan meluas, syarat untuk keanggotaannya akan menjadi lebih longgar dan anggota-anggotanya hanya perlu memenuhi komitmen yang kurang atau terhad sahaja.

Dalam tulisannya yang bertajuk “Satu Langkah ke Depan, Dua Langkah ke Belakang” (1904), Lenin menjelaskan tentang prinsip sentralisme demokratik dalam sebuah parti politik kelas pekerja yang beroperasi dalam keadaan diharamkan oleh pihak berkuasa, dengan menggariskan kriteria yang jelas dan ketat untuk keanggotaan parti, termasuk seseorang ahli perlu bersetuju sepenuhnya dengan program parti dan berkewajipan untuk bekerja mengikut arahan organisasi pada bila-bila masa.

Hak dan kewajipan ahli adalah berbeza mengikut kriteria ahli yang digariskan oleh organisasi. Hak dan kewajipan ahli dalam sebuah kesatuan sekerja, gerakan sosial atau sel parti yang beroperasi di bawah keadaan rejim yang represif adalah berbeza, tetapi perlu ada keseimbangannya dan boleh diubah suai mengikut keperluan semasa. Jadi, takrifan keanggotaan sesebuah organisasi politik bukannya statik, tetapi boleh berubah mengikut keadaan.

Prinsip demokrasi proletar atau demokrasi penyertaan bermakna perbincangan bebas yang paling menyeluruh dan paling demokratik perlu dilakukan sebelum membuat apa-apa keputusan. Perbincangan yang bebas membolehkan kita meneroka dan memperjelaskan persoalan dengan lebih menyeluruh melalui sudut pandangan yang berbeza. Demokrasi proletar juga memberi penekanan pada hak rakyat untuk menentukan aktiviti mereka sendiri. Sentralisme demokratik yang memegang pada prinsip demokrasi proletar, patut mempunyai struktur yang dapat membolehkan setiap bahagian dalam sebuah organisasi itu untuk terlibat dalam proses menentukan dasar-dasar yang berkaitan dengan tanggungjawab mereka sendiri.

Perpaduan dalam tindakan juga adalah amat penting, kerana perpaduan merupakan persoalan asas untuk survival atau kemandirian kelas pekerja dalam perjuangan kelas. Namun, untuk kelas yang tertindas itu membebaskan diri daripada penindasan, perpaduan tidak boleh dicapai dengan “arahan dari atas”. Perpaduan yang sebenar hanya boleh wujud berasaskan persetujuan dan komitmen yang dicapai melalui cara demokrasi penyertaan. Apabila sesuatu dasar atau keputusan dicapai melalui cara perbincangan yang menyeluruh dan mencukupi antara semua orang yang perlu melaksanakannya, maka perpaduan dalam tindakan dapat dicapai dengan lebih mudah.

Namun, tindakan untuk melaksanakan sesuatu dasar atau keputusan mungkin terpaksa berhadapan dengan rintangan, cabaran atau perubahan keadaan yang tidak dijangka, di mana ia memerlukan respon segera dan terselaras. Penyelarasan tindakan yang berkesan memerlukan kepimpinan organisasi yang dipatuhi anggotanya tanpa persoalan. Oleh itu, perpaduan dalam tindakan semestinya memerlukan penerimaan untuk sesuatu kepimpinan oleh anggota-anggota organisasi yang berkenaan. Ada kalanya penerimaan kepimpinan yang mewujudkan pertikaian dan persoalan akan melemahkan keberkesanan perpaduan dalam tindakan.

Dalam Kongres Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia (Bolshevik) ke-6 yang diadakan pada bulan Ogos 1917, iaitu semasa negara Rusia berada dalam pergolakan revolusioner yang hebat, perwakilan yang menghadiri kongres tersebut memberikan takrifan rasmi kepada “sentralisme demokratik” dengan ciri-ciri berikut:

  • Semua badan pengarah Parti, dari atas ke bawah, hendaklah dipilih melalui pengundian;
  • Badan-badan Parti hendaklah memberi laporan berkala tentang aktiviti-aktiviti mereka kepada organisasi Parti masing-masing;
  • Hendaklah mempunyai disiplin Parti yang ketat, dan minoriti patuh pada majoriti;
  • Semua keputusan badan-badan yang lebih tinggi hendaklah mengikat ke atas badan-badan yang lebih di bawah dan semua ahli-ahli Parti.

Pendekatan sentralisme demokratik yang diamalkan oleh Parti Bolshevik terbukti sangat berkesan dalam menggerakkan usaha perjuangan revolusioner di Rusia pada masa itu sehingga menjayakan Revolusi Rusia 1917. Golongan revolusioner Rusia yang dipimpin oleh Parti Bolshevik berjaya mengambil alih kuasa pemerintahan untuk menubuhkan sebuah negara pekerja melalui Revolusi Rusia 1917. Oleh sebab itu, banyak parti revolusioner yang mendapat inspirasi daripada Revolusi Rusia cuba meniru pelaksanaan amalan sentralisme demokratik dalam organisasi mereka.

Prinsip sentralisme demokratik sepatutnya hanya digunakan dalam parti perintis atau organisasi politik revolusioner supaya usaha perjuangan kelas pekerja itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan, tetapi selepas golongan birokrat Stalinis menguasai jentera negara Kesatuan Soviet, prinsip ini telah dipesongkan dan digunakan juga sebagai satu doktrin pemerintahan di dalam negara Kesatuan Soviet dan juga negara-negara yang diperintah oleh parti komunis. Di bawah sentralisme demokratik versi Stalinis, di mana pemusatan kuasa telah membawa kepada pengurangan ruang demokrasi, keputusan yang dibuat oleh peringkat tertinggi dalam parti komunis (yang memerintah) itu perlu dipatuhi oleh semua peringkat pentadbiran di bawahnya dalam kerangka pentadbiran negara satu-parti. Dalam keadaan sebegini, sentralisme demokratik hanya wujud secara luaran, dan hakikatnya adalah ia digantikan dengan sentralisme birokratik.

Sentralisme demokratik merupakan kaedah organisasi untuk memajukan usaha perjuangan kelas pekerja dalam proses transformasi masyarakat. Prinsip sentralisme demokratik bukannya pelan induk untuk sebuah masyarakat sosialis, tetapi satu pendekatan untuk proses membuat keputusan dan tindakan kolektif yang diambil oleh sesebuah organisasi perjuangan, yang boleh wujud dalam pelbagai bentuk bersesuaian dengan perkembangan organisasi dan perubahan keadaan dalam perjuangan kelas.

Perlu adanya keseimbangan antara sentralisme (pemusatan) dan demokrasi dalam sesebuah organisasi yang terlibat dalam perjuangan kelas. Misalnya:

  • Dalam keadaan peperangan, sekumpulan askar yang sedang diserang oleh musuh tidak mungkin akan dapat membuat keputusan secara baik tentang taktik yang patut diguna pakai oleh mereka melalui perbincangan yang berpanjangan, maka pemusatan adalah dasar yang terbaik pada ketika itu, di mana salah seorang antara kumpulan askar itu bertanggungjawab untuk mengeluarkan arahan yang akan dipatuhi semua.
  • Dalam keadaan sebuah kesatuan sekerja perlu membuat keputusan sama ada menerima tawaran majikan ataupun meneruskan mogok kerja, kesatuan sekerja itu memerlukan perbincangan yang berpanjangan dan menyeluruh supaya memastikan setiap ahli kesatuan itu bersetuju dengan apa yang akan diputuskan. Oleh itu, membuat keputusan secara konsensus adalah kemestian dalam keadaan ini, dan tidak perlunya seorang “pemimpin” yang hanya mengeluarkan arahan.

Kesimbangan antara sentralisme dan demokrasi dalam sesebuah organisasi boleh diubah suai mengikut keadaan. Terlalu banyak demokrasi dalam tindakan (pelaksanaan keputusan) boleh menyebabkan tindakan yang tidak teratur dan menimbulkan kekeliruan; sementara terlalu banyak pemusatan dalam perbincangan (proses membuat keputusan) boleh menyebabkan kewujudan monopoli kuasa, birokrasi, keputusan yang buruk dan kehilangan komitmen dalam kalangan anggota organisasi.

Penglibatan parti kiri dalam pilihan raya di bawah demokrasi borjuis

“Dalam masyarakat (kaptalis) ini, institusi perwakilan, demokratik dalam bentuknya, adalah alat kelas pemerintah dalam kandungannya. Ini memanifestasi dirinya dengan cara yang nyata dalam kenyataan bahawa sebaik sahaja demokrasi menunjukkan kecenderungan untuk menafikan perwatakan kelasnya dan mentransformasi ke dalam sebuah alat untuk kepentingan sebenar populasi, bentuk demokratik adalah dikorbankan oleh borjuasi, dan oleh perwakilan negaranya. Itulah sebabnya idea penawanan majoriti refomis berparlimen ialah perhitungan yang sepenuhnya dalam semangat liberalisme borjuis, menyibukkan dirinya hanya dengan satu sisi – sisi yang formal – untuk demokrasi, tetapi tidak mengambil kira sisi yang lain, kandungan sebenarnya. Secara keseluruhannya, parlimentarisme bukannya unsur sosialis secara langsung yang meresap secara beransur-ansur ke dalam seluruh masyarakat kapitalis. Sebaliknya, ianya satu bentuk spesifik untuk negara kelas borjuis, membantu untuk mematangkan dan membangunkan pertentangan kapitalisme yang sedia wujud.” – Rosa Luxemburg, Reform or Revolution (1900)

Walaupun sistem demokrasi borjuis penuh dengan kepincangan dan bukannya pemerintahan rakyat yang sebenar, golongan sosialis masih boleh menggunakan apa-apa ruang demokrasi yang wujud dalamnya untuk memajukan perjuangan pembebasan masyarakat dan perluasan demokrasi. Jika bukannya gerakan pekerja dan sosialis yang hebat dalam menuntut hak mengundi sejagat, adalah tidak mungkin untuk kelas pekerja menikmati hak mengundi pada hari ini. Perluasan ruang demokrasi dalam kapitalisme, walaupun masih terhad dan penuh dengan kelemahan, dapat mewujudkan lebih banyak peluang dan kemudahan kepada gerakan sosialis untuk memperjuangkan agenda politik pembebasan kelas pekerja dan menuju sosialisme.

Dengan ruang demokrasi yang terbuka hasil daripada perjuangan kelas, parti-parti kiri atau parti-parti politik yang mewakili kepentingan kelas pekerja dapat mengambil dalam pilihan raya di bawah sistem demokrasi borjuis, sehingga dapat memilih wakil rakyat mereka ke dalam badan perundangan.

Mungkin adanya sesetengah golongan sosialis akan melihat penglibatan pilihan raya di bawah sistem demokrasi borjuis itu sebagai usaha yang sia-sia bagi perjuangan kelas pekerja, kerana peluang untuk sebuah parti kelas pekerja mengambil alih kuasa melalui pilihan raya itu adalah tipis (atas faktor-faktor seperti sistem pilihan raya itu sendiri yang tidak berpihak kepada parti-parti kelas pekerja, parti-parti borjuis yang besar dapat menaburkan sumber kewangan yang jauh lebih besar untuk meraih undi, media massa yang dikawal oleh golongan kapitalis menyebarkan fitnah terhadap parti-parti kelas pekerja, manipulasi maklumat untuk mengalihkan pandangan rakyat umum daripada isu-isu penting dan sebagainya). Namun, ini tidak bermakna arena pilihan raya di bawah sistem demokrasi borjuis itu tidak berguna kepada perjuangan kelas pekerja.

Selepas gelombang revolusi yang hebat pada tahun 1848 mengalami kegagalan dan semua golongan demokratik ditindas oleh kerajaan yang reaksioner (termasuk golongan demokratik borjuis kecil), Karl Marx berkata dalam ucapannya kepada Jawatankuasa Pusat Liga Komunis pada tahun 1850, “Walaupun tiadanya prospek untuk menang dalam pilihan raya, pekerja-pekerja harus meletakkan calon-calon mereka sendiri untuk mempertahankan independen mereka, untuk mengukur kekuatan mereka, dan membawa kepada perhatian masyarakat awam mengenai pendirian revolusioner dan sudut pandangan parti mereka. Mereka tidak harus membenarkan diri mereka tergoda dengan kata-kata demokrat yang akan mengatakan bahawa calon-calon pekerja akan memecahkan parti demokratik dan menawarkan kemenangan kepada kuasa-kuasa reaksioner. Semua kata-kata ini adalah untuk menipu golongan proletar. Kemajuan yang akan dicapai oleh parti proletar dengan beroperasi secara independen dalam cara ini pastinya jauh lebih penting daripada keburukan yang disebabkan oleh kehadiran beberapa orang reaksioner dalam badan perwakilan.”

Selepas hak politik diperluaskan dalam masyarakat hasil daripada perjuangan kelas pekerja yang hebat, sehingga kelas pekerja dan golongan wanita juga mempunyai hak mengundi di samping dapat menubuhkan parti politik sendiri, parti-parti kelas pekerja juga berpeluang untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya badan perundangan. Namun, dengan semakin banyak kerusi dapat dimenangi melalui pilihan raya di bawah sistem demokrasi borjuis, munculnya aliran reformis dalam gerakan sosialis yang berpandangan bahawa parti kelas pekerja boleh mengambil alih kuasa pemerintahan hanya melalui cara pilihan raya, dan meninggalkan politik perjuangan kelas yang lebih radikal. Memberi tumpuan hanya pada pilihan raya di bawah demokrasi borjuis tanpa meneruskan usaha membina kuasa pekerja yang bermobilisasi dari bawah, politik kelas pekerja yang memperjuangkan pembebasan masyarakat sebenar dan demokrasi sejati itu akan dicairkan. Golongan sosialis yang terlalu ghairah dalam pilihan raya borjuis akhirnya akan menjelma ke dalam oportunis yang hanya mementingkan berapa kerusi yang akan dimenanginya melalui pilihan raya dan meninggalkan matlamat asalnya untuk perubahan masyarakat secara total. Ini akan menjejaskan usaha membina sosialisme.  

Selain itu, parti-parti kelas pekerja juga harus berhadapan dengan persoalan mengenai pendekatan yang harus diambil berkenaan hubungan dan kerjasama dengan parti-parti politik borjuis yang lain, supaya tidak mengetepikan prinsip-prinsip perjuangan yang asas dalam proses kerjasama dengan parti-parti politik lain.

“Sebuah parti proletar yang berkongsi kuasa dengan sebuah parti kapitalis dalam mana-mana kerajaan harus berkongsi kesalahan untuk apa-apa tindakan yang menundukkan kelas pekerja. Oleh yang demikian, ia mengundang permusuhan daripada penyokong-penyokongnya sendiri, dan ini seterusnya menyebabkan sekutu kapitalisnya kehilangan keyakinan dan menjadikan sebarang tindakan progresif tidak berkemungkinan. Tiada pengaturan sebegini dapat membawa kekuatan kepada kelas pekerja. Tiada parti kapitalis akan membenarkannya. Ia hanya akan menjejaskan sebuah parti proletar – dan mengelirukan dan memecahkan kelas pekerja.” – Karl Kautsky, The Road to Power (1909)

Walau bagaimanapun, penglibatan parti kiri yang memperjuangkan nasib kelas pekerja dalam pilihan raya memang dapat menyumbang kepada penyebaran idea-idea politik kiri yang progresif kepada masyarakat yang lebih meluas, mengembangkan pengaruh politik kiri, dan sekiranya menang, membolehkan kehadiran suara yang progresif dalam parlimen yang mungkin didominasi oleh golongan yang konservatif, selanjutnya menjadi asas kepada perubahan yang lebih radikal.

Sekiranya perlu membentuk gabungan atau kerjasama dengan parti-parti politik yang lain dalam arena pilihan raya, sesebuah parti kiri itu harus memberi pertimbangan kepada strategi dan taktik yang berguna kepada usaha membangunkan, memperluaskan dan memperkukuhkan politik kiri dalam kalangan massa rakyat. Sesebuah parti kiri itu harus sentiasa berjaga-jaga supaya tidak terjerumus dalam kecenderungan politik oportunis dan reformis yang menggadaikan prinsup serta usaha pembebasan masyarakat. Mana-mana parti politik kiri yang berdedikasi dalam membina kuasa pekerja dan memperjuangkan demokrasi sejati, walau betapa banyaknya usaha dilaburkan dalam politik pilihan raya pun, tidak harus mengetepikan usaha-usaha membina gerakan massa perjuangan kelas pekerja yang berkesedaran kelas, berorganisasi secara bebas dan bermobilisasi dari bawah.

Sosialis ialah demokrat yang paling radikal

Perjuangan untuk sosialisme sentiasa berkaitan rapat dengan perjuangan massa pekerja untuk pembebasan diri dan demokrasi sejati. Sosialisme dan demokrasi tidak dapat dipisahkan. Golongan sosialis merupakan antara pejuang demokrasi yang paling tegar dan radikal.

Demokrasi merupakan jalan menuju ke sosialisme. Demokrasi itu tidak akan membawa apa-apa makna kepada kelas pekerja dan rakyat tertindas jika ia bukan menuju ke sosialisme. Begitu juga sosialisme itu tidak akan benar-benar mencapai pembebasan masyarakat sekiranya tidak wujudnya demokrasi dalam sosialisme.

Proses demokratik memainkan peranan yang amat penting dalam peralihan masyarakat daripada kapitalisme ke sosialisme.

Sosialisme yang demokratik, ialah usaha memperluaskan demokrasi ke tempat di mana ia belum wujud lagi dan memperdalamkan demokrasi di tempat di mana ia sudah wujud. Sosialisme yang demokratik bermakna meningkatkan kawalan rakyat dalam arena politik dan memperluaskannya ke dalam ruangan sosial, ekonomi, budaya dan ekologi alam sekitar. Tugas sejarah yang demokratik bagi golongan sosialis ialah mengatasi kapitalisme yang bersifat oligarki dan anti-demokrasi.

Golongan sosialis harus terus memperjuangkan ruang demokrasi yang lebih luas, dan menggunakan ruang demokrasi untuk terus membangunkan perjuangan kelas pekerja yang bakal membebaskan masyarakat kita daripada segala bentuk penindasan.

==========

(oleh Choo Chon Kai)

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap dan Ketua Pengarang Sosialis.net.

2 thoughts on “Demokrasi dan sosialisme

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *