Komun Paris 1871 (Siri Revolusi Dunia – 10)

Komun Paris 1871 ialah salah satu episod sejarah perjuangan kelas pekerja yang paling mengujakan. Dalam tempoh hanya beberapa minggu pada tahun 1871, kelas pekerja yang dikepung oleh musuh-musuh reaksioner telah menunjukkan kepada dunia bahawa golongan pekerja boleh mentadbir masyarakat secara demokratik, tanpa perlunya kapitalis. Buat pertama kali dalam sejarah, walaupun terhad kepada sebuah bandar, kita dapat menyaksikan bagaimana kelas pekerja boleh berorganisasi sebagai sebuah kelas pemerintah. Sehingga hari ini, pengalaman perjuangan bersejarah Komun Paris telah menyediakan pengajaran yang penting dan inspirasi yang bersemangat kepada semua golongan sosialis yang ingin memperjuangkan pembebasan masyarakat sebenar.

Komun Paris 1871: Pemerintahan kelas pekerja yang pertama di dunia

Komun Paris ialah sebuah pemerintahan yang revolusioner dan berbentuk sosialis radikal, yang wujud dari 18 Mac hingga 28 Mei 1871, di bandar Paris, Perancis. Walaupun tempoh kewujudannya yang sangat singkat, Komun Paris sebagai pemerintahan kelas pekerja yang pertama di dunia, telah membawa inspirasi yang hebat kepada usaha perjuangan pembebasan masyarakat di peringkat antarabangsa.