
Sepanyol dan Portugal merupakan dua buah empayar kolonial Eropah moden yang paling awal di peringkat global apabila kedua-duanya cuba membangunkan laluan perdagangan baharu dengan Asia. Apabila Christopher Columbus, seorang penjelajah dari Itali yang ditaja oleh kerajaan Sepanyol, menjejak kakinya di bumi Hemisfera Barat pada tahun 1492, maka bermulanya penjajahan Eropah di benua Amerika yang termasuk kepulauan di sekitarnya. Penjajahan Eropah di Amerika penuh dengan kezaliman, keganasan, penganiayaan dan penindasan.
Sepanyol dan Portugal menandatangani Perjanjian Tordesillas pada tahun 1494 untuk membahagikan wilayah-wilayah yang bakal menjadi tanah jajahan bagi kedua-dua kuasa besar maritim yang berasal dari Semenanjung Iberia itu di luar benua Eropah, termasuk seluruh benua Amerika di Hemisfera Barat. Selain Sepanyol dan Portugal, kuasa-kuasa imperialis Eropah lain yang terlibat dalam penjajahan di Amerika termasuk Britain, Perancis, Belanda, Rusia dan Denmark. Pada hari ini, wilayah-wilayah di rantau Amerika yang pernah dijajah oleh kuasa imperialis Eropah yang berbahasa Romawi (iaitu rumpun bahasa yang berkembang daripada Bahasa Latin, seperti Bahasa Sepanyol, Bahasa Portugal dan Bahasa Perancis) juga dikenali sebagai “Amerika Latin”.

Keluasan wilayah yang dikuasai oleh pemerintahan kolonial Sepanyol di Amerika adalah paling besar dalam kalangan semua kuasa besar Eropah, terbentang dari wilayah di dalam Amerika Syarikat hari ini di utara hingga Chile hari ini di hujung selatan benua Amerika. Sepanyol pernah menjajah sekurang-kurangnya 60% daripada seluruh Amerika Latin, meliputi lebih separuh daripada Amerika Selatan, hampir seluruh Amerika Tengah, sebahagian wilayah di Amerika Utara dan kebanyakan pulau-pulau besar di rantau Caribbean. Menjelang awal abad ke-19, kuasa imperialis Sepanyol sudah menduduki tanah jajahannya yang luas di rantau Amerika itu selama lebih 300 tahun.
Pemerintahan kolonial Sepanyol di Amerika
Selepas Christopher Columbus mendarat di Kepulauan Hindia Barat pada tahun 1492, Sepanyol mula membina empayar kolonialnya di rantau Caribbean, yang biasanya diterajui oleh golongan conquistador, dengan menggunakan wilayah-wilayah jajahan seperti Santo Domingo, Kuba dan Puerto Rico sebagai pangkalan utama mereka. Conquistador ialah pegawai tentera dan penjelajah yang menakluki wilayah-wilayah di luar Semenanjung Iberia di Eropah, di bawah panji Empayar Sepanyol atau Empayar Portugal. Kebanyakan conquistador yang diberi “lesen kebenaran” oleh pemerintah monarki Sepanyol dan Portugal untuk menakluki wilayah-wilayah di luar Eropah itu merupakan golongan hidalgo. Golongan hidalgo ialah sejenis golongan bangsawan di Sepanyol yang sebahagian besar asal usul mereka berkaitan dengan orang-orang yang bertempur semasa Reconquista (“penaklukan semula” Semenanjung Iberia oleh kerajaan-kerajaan Katolik daripada kerajaan Muslim dari awal abad ke-8 hingga tahun 1492) yang membolehkan mereka untuk menikmati keistimewaan seperti dikecualikan daripada membayar cukai kepada raja, mempunyai hak untuk membawa senjata, tertakluk pada sistem undang-undang yang berasingan daripada rakyat lain dan sebagainya.

Pada tahun 1519-1521, Hernán Cortés, seorang conquistador dari Castilla, menerajui penaklukan Sepanyol ke atas Empayar Aztek, yang terletak di Lembah Mexico di Amerika Utara, yang diperintah oleh Moctezuma II pada masa itu. Golongan conquistador Sepanyol kemudiannya memperluaskan pemerintahan Sepanyol di Amerika Tengah dan wilayah-wilayah di Amerika Utara yang menjadi bahagian selatan dan barat Amerika Syarikat hari ini. Sesetengah golongan conquistador melayar merentasi Lautan Pasifik dari Mexico ke Asia Tenggara untuk menjajah kepulauan di situ yang kemudiannya dikenali sebagai “Hindia Timur Sepanyol”, termasuk Kepulauan Filipina, Kepulauan Caroline dan Kepulauan Mariana. Sebahagian golongan conquistador pula mara ke selatan merentasi Segenting Panama untuk menakluk Empayar Inka, yang terletak di Amerika Selatan dengan wilayahnya merangkumi hampir seluruh Peru, sebahagian besar Chile, bahagian barat Ecuador, sebahagian Bolivia dan bahagian barat laut Argentina hari ini. Dengan menggunakan Peru sebagai pangkalan, golongan conquistador menakluki wilayah-wilayah lain di Amerika Selatan.
Ekspedisi perluasan wilayah-wilayah jajahan Sepanyol di benua Amerika membawa bencana besar kepada masyarakat pribumi atau orang asal di situ. Golongan penjajah Eropah membawa masuk peperangan, pembunuhan dan penyakit-penyakit berjangkit yang meragut nyawa jutaan orang penduduk asal. Penularan penyakit berjangkit yang dibawa masuk ke benua Amerika oleh golongan penjajah Eropah, seperti cacar dan campak, telah mengurangkan secara ketara populasi orang asal yang kekurangan imuniti terhadap penyakit-penyakit berjangkit itu.

Kerajaan Sepanyol menubuhkan Kewizuraian Nueva España dan Kewizuraian Peru yang mentadbir tanah jajahannya di Amerika dari abad ke-16 hingga awal abad ke-19. Kewizuraian Nueva España (atau Sepanyol Baharu) yang ditubuhkan pada tahun 1535 dengan ibu kotanya di Kota Mexico, mentadbir semua tanah jajahan Sepanyol di Amerika Utara, Amerika Tengah, rantau Caribbean, sebahagian kecil bahagian utara Amerika Selatan dan menjangkau ke Filipina merentasi Lautan Pasifik. Kewizuraian Peru yang ditubuhkan pada tahun 1542 dengan ibu kotanya di Lima pula, mentadbir hampir semua tanah jajahan Sepanyol di Amerika Selatan. Kerajaan Sepanyol tidak begitu keras menentang perluasan penjajahan Portugis di Brazil yang melampaui batasan meridian pemisah yang diwujudkan dalam Perjanjian Tordesillas, malah mencapai persetujuan dengan Portugal dalam Perjanjian Madrid pada tahun 1750 yang menetapkan sempadan tanah jajahan kedua-dua buah kuasa besar dari Iberia itu di benua Amerika.
Pemerintah monarki Sepanyol mewujudkan dan mengekalkan penguasaannya terhadap tanah-tanah jajahan seberang laut melalui sistem birokrasi yang kompleks dan berhierarki. Pada awalnya, banyak kuasanya dinyahpusatkan kepada golongan birokrat di tanah jajahan, tetapi pemerintah monarki di Sepanyol masih memiliki kekuasaan dan kedaulatan mutlak ke atas tanah jajahan, untuk memungut cukai, mengekalkan ketenteraman awam, menggubal undang-undang dan menetapkan dasar-dasar yang mentadbir penduduk-penduduk orang asal yang berjumlah besar itu.

Majlis Hindia (Consejo de las Indias) yang ditubuhkan pada tahun 1524 merupakan badan pemerintah yang tertinggi untuk tanah jajahan Sepanyol di Amerika. Raja Sepanyol memegang kuasa mutlak ke atas seluruh tanah jajahan di Amerika dan Majlis Hindia berfungsi sebagai badan pentadbiran serta badan penasihat kepada raja untuk wilayah-wilayah jajahan seberang laut itu. Tanah jajahan Sepanyol di seberang laut dibahagikan ke dalam kewizuraian, iaitu Kewizuraian Nueva España dan Kewizuraian Peru pada asalnya.
Struktur kekuasaan di dalam kewizuraian (virreinato) yang memerintah tanah jajahan Sepanyol di Amerika disusun mengikut tangga menurun sebegini:
- Wizurai (virrey) menduduki tangga teratas dalam susunan kekuasaan kewizuraian sebagai wakil Raja Sepanyol, dengan kebanyakannya dilantik daripada anggota-anggota kerabat diraja atau pegawai-pegawai tinggi dari negara induk yang setia pada Mahkota Sepanyol.
- Audiencia atau “Mahkamah Rayuan Diraja” (Real Audiencia), merupakan jawatankuasa yang terdiri daripada golongan elit berkuasa dan berfungsi sebagai badan kehakiman tertinggi di tanah jajahan, namun juga mempunyai kuasa perundangan yang tertentu di samping bertindak sebagai badan penasihat kepada raja atau wizurai; beberapa Audiencia Diraja yang pernah wujud termasuk Audiencia Mexico, Audiencia Santo Domingo, Audiencia Charcas, Audiencia Quito, Audiencia Buenos Aires dan Audiencia Santiago.
- Kapten Jeneral dan gabenor wilayah yang mentadbir urus wilayah-wilayah di dalam kewizuraian. Kekaptenan Jeneral merupakan wilayah ketenteraan dan pentadbiran dengan kuasa separa autonomi, seperti Kekaptenan Jeneral Venezuela, Kekaptenan Jeneral Guatemala, Kekaptenan Jeneral Santo Domingo, Kekaptenan Jeneral Chile, Kekaptenan Jeneral Kuba, Kekaptenan Jeneral Yucatán dan Kekaptenan Jeneral Puerto Rico.
- Ratusan buah bandar yang ditadbir urus oleh datuk bandar (corregidor atau alcalde mayor) yang dibantu oleh majlis perbandaran (cabildo) yang dianggotai oleh golongan elit tempatan.

Selepas Raja Carlos II daripada Dinasti Habsburg mati tanpa zuriat yang dapat menggantikannya pada tahun 1700, tercetusnya “Perang Warisan Sepanyol” (1701-1714) antara Dinasti Bourbon yang diterajui oleh kerajaan Perancis dan Dinasti Habsburg yang diterajui oleh Empayar Rom Suci. Perang Warisan Sepanyol berakhir dengan Felipe V, cucu kepada Raja Louis XIV dari Perancis, diiktiraf sebagai Raja Sepanyol, maka memulakan pemerintahan Dinasti Bourbon di Sepanyol. Dinasti Bourbon di Perancis dijatuhkan pada tahun 1792 semasa Revolusi Perancis. Selepas “Perang Warisan Sepanyol”, pengaruh antarabangsa Sepanyol sudah merosot dengan ketara, daripada sebuah kuasa besar global kepada kuasa imperialis sekunder yang bertaraf lebih rendah walaupun masih menguasai tanah jajahan yang agak luas di Amerika.
Pemerintahan Dinasti Bourbon di Sepanyol pada abad ke-18, khususnya semasa pemerintahan Raja Carlos III dan selepas “Perang Tujuh Tahun” (1756-1763), melaksanakan siri pembaharuan yang merangsang pembangunan perusahaan dan teknologi untuk memodenkan Sepanyol, di samping memperkukuhkan pentadbiran di wilayah-wilayah jajahannya di Amerika supaya dapat menjana lebih banyak kekayaan untuk kelas pemerintah Sepanyol. Sepanyol pada masa itu perlu mengekstrak sebanyak mungkin kekayaan dari wilayah-wilayah jajahannya untuk mengekalkan kekuasaan empayarnya yang sudah merosot itu dan peperangannya dengan kuasa-kuasa besar Eropah yang lain. Antara langkah-langkah yang diperkenalkan oleh Pembaharuan Bourbon termasuk kerajaan pusat Sepanyol menghantar lebih banyak pegawai dari negara induk ke tanah jajahan untuk memusatkan kuasa pentadbiran, memperkenalkan lebih banyak cukai ke atas tanah jajahan, mengawal perdagangan di tanah jajahan, membina tentera yang lebih kuat untuk mempertahankan kepentingan kolonial, melemahkan kuasa gereja Katolik di tanah jajahan dan menyekat perkembangan kekuasaan golongan criollo.
Golongan criollo ialah orang berketurunan Eropah yang lahir di tanah jajahan di Amerika. Golongan criollo yang menikmati lebih banyak kuasa politik sebelum itu terasa diancam oleh Pembaharuan Bourbon. Banyak jawatan pentadbiran di tanah jajahan diambil alih daripada golongan criollo dan diberikan kepada golongan peninsular, orang kaya yang lahir di Sepanyol tetapi berhijrah ke tanah jajahan untuk memegang jawatan tinggi. Golongan criollo terasa diri mereka telah dipinggirkan oleh dasar kerajaan Mahkota Sepanyol yang bersifat diskriminasi itu. Kerajaan pusat Sepanyol juga mengamalkan dasar merkantilisme yang melarang wilayah-wilayah jajahannya di Amerika daripada berdagang dengan negara-negara lain, maka menyekat perkembangan kepentingan ekonomi komersial dalam kalangan golongan criollo.
Pada tahun 1717, kerajaan Sepanyol menubuhkan Kewizuraian Nueva Granada (atau Granada Baharu) yang berpusat di bandar Santa Fe de Bogotá (iaitu Bogotá, ibu negara Colombia hari ini). Wilayah yang ditadbir oleh Kewizuraian Nueva Granada merangkumi Colombia, Ecuador, Panama dan Venezuela hari ini. Pada tahun 1776, Kewizuraian Río de la Plata ditubuhkan, dengan ibu kotanya di bandar Buenos Aires, untuk mentadbir wilayah-wilayah yang terletak di Argentina, Bolivia, Paraguay dan Uruguay hari ini. Pembentukan dua buah kewizuraian baharu pada abad ke-18 itu, Nueva Granada dan Río de la Plata, telah mengurangkan pengaruh pentadbiran Kewizuraian Peru yang berpusat di bandar Lima.

Pembaharuan Bourbon pada tahun 1760-an juga mewujudkan unit pentadbiran Intendencia, yang meliputi sebuah wilayah (provinsi) atau lebih, di mana Mahkota Sepanyol melantik secara langsung jawatan intendente yang ditugaskan untuk mengawasi urusan perbendaharaan, pengutipan cukai, pembanterasan rasuah dan penggalakan pertumbuhan ekonomi di wilayah Intendencia berkenaan. Intendente menjadi pengawas dan pengimbang kepada kekuasaan pegawai-pegawai tempatan.
Dari segi ekonomi, golongan pemerintah kolonial Sepanyol cuba mengekstrak sebanyak mungkin kekayaan dari wilayah-wilayah jajahannya di Amerika melalui aktiviti-aktiviti perlombongan dan perladangan komersial. Perlombongan perak di benua Amerika, terutamanya di Mexico dan Potosí (yang terletak di bahagian barat daya Bolivia hari ini), bukan sahaja mentransformasi ekonomi di rantau itu, malah mendorong pembangunan ekonomi kapitalis global dari abad ke-16 hingga abad ke-19.

Sistem hacienda (ladang besar) yang diwujudkan di tanah jajahan Sepanyol di Amerika telah menjana kekayaan kepada golongan elit berketurunan Sepanyol yang memiliki tanah di situ, melalui hubungan pengeluaran bersifat semi-feudal di mana golongan buruh (yang terdiri daripada orang asal, hamba kulit hitam dan orang campuran etnik) dipaksa untuk bekerja demi membayar hutang yang mengikat mereka.
Penjajahan Sepanyol di Amerika mewujudkan sistem ekonomi kacukan yang menggabungkan hubungan perburuhan semi-feudal dan pengekstrakan kapitalis, untuk memperkayakan negara induk Sepanyol dengan mengorbankan wilayah-wilayah jajahan seberang lautnya (yang termasuk alam sekitar, masyarakat orang asal dan golongan buruh hamba yang dibawa masuk terutamanya dari benua Afrika).

Komposisi demografi di Amerika Sepanyol
Komposisi demografi di benua Amerika telah mengalami perubahan yang amat ketara selepas kedatangan penjajah Eropah. Penjajahan Sepanyol di Amerika sejak penghujung abad ke-15 telah mengakibatkan penurunan populasi masyarakat orang asal yang hebat, dengan ramai orang pribumi mati kerana kezaliman penjajah dan penyakit berjangkit. Golongan penjajah Eropah kemudiannya mengimport masuk hamba-hamba kulit hitam dari benua Afrika untuk mengisi kekosongan tenaga buruh yang diperlukan untuk mengekstrak kekayaan dari Amerika. Sementara itu, juga wujudnya kumpulan masyarakat campuran etnik yang baharu kerana perkahwinan campur antara kumpulan-kumpulan etnik yang berbeza di situ.
Pihak pemerintah kolonial Sepanyol telah membangunkan satu set istilah perkauman yang kompleks untuk mengelaskan penduduk-penduduk di tanah jajahan Sepanyol di Amerika ke dalam beberapa kategori yang utama, yang dikenali sebagai “casta”. Pengelasan ini bukan sahaja membezakan kumpulan-kumpulan masyarakat pelbagai etnik, tetapi berfungsi untuk menyusun masyarakat tanah jajahan ke dalam hierarki kuasa yang mengekalkan kekuasaan pemerintahan kolonial. Komposisi casta itu berbeza di wilayah-wilayah yang berbeza di tanah jajahan Sepanyol di Amerika mengikut keadaan masing-masing.

Secara kasarnya, kategori-kategori utama casta di Amerika Sepanyol pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19 termasuk:
- Peninsular: Orang keturunan Sepanyol yang lahir di Sepanyol dan kemudiannya berhijrah ke Amerika, kebanyakannya datang ke Amerika sebagai penjawat awam kolonial Sepanyol, dianggarkan hanya kira-kira 1-5% daripada jumlah penduduk di seluruh Amerika.
- Criollo: (feminin: criolla) Orang keturunan Sepanyol yang lahir di Amerika, kebanyakannya merupakan pemilik tanah dan membentuk kumpulan elit tempatan, dianggarkan kira-kira 10-20%.
- Castizo: (feminin: castiza) Orang yang berketurunan tiga suku Sepanyol dan satu suku pribumi Amerika, iaitu anak yang dilahirkan oleh ibu bapa keturunan Sepanyol dan mestizo, dianggarkan kira-kira 5-10%. Castizo juga sering digolongkan ke dalam kategori mestizo.
- Mestizo: (feminin: mestiza) Orang yang berketurunan campuran Sepanyol dan pribumi Amerika, dianggarkan kira-kira 20-30%. Sebahagian kecil daripada mereka berada dalam kalangan kelas menengah yang memiliki harta. Mestizo bermaksud “campur”, maka juga sering merangkumi castizo, dan kadang-kadang juga boleh merangkumi pardo. Nisbah mestizo adalah tinggi di Mexico, dan jumlahnya juga agak besar di Peru.
- Indio: (feminin: india) Orang yang berketurunan pribumi Amerika, digolong sebagai kumpulan masyarakat bawahan, dianggarkan kira-kira 35-50%. Nisbah penduduk pribumi adalah lebih tinggi di Mexico dan Peru.
- Pardo: (feminin: parda) Orang yang berketurunan campuran Sepanyol, pribumi Amerika dan Afrika, dianggarkan kira-kira 5-10%.
- Mulato: (feminin: mulata) Orang yang berketurunan campuran Sepanyol dan Afrika, dianggarkan kira-kira 10-15%.
- Zambo: (feminin: zamba) Orang yang berketurunan campuran Afrika dan pribumi Amerika, dianggarkan kira-kira 2-5%.
- Negro: (feminin: negra) Orang yang berketurunan Afrika, kebanyakannya merupakan hamba atau bekas hamba atau anak cucu kepada golongan hamba, dianggarkan kira-kira 10-15%.

Walau bagaimanapun, adalah sukar untuk sistem casta itu dikuatkuasakan sepenuhnya di Amerika, kerana perkahwinan campur merupakan sesuatu yang sudah agak biasa selama beberapa generasi. Identiti casta itu penting untuk sesetengah golongan yang berharta dalam mengekalkan kedudukan mereka dalam hierarki masyarakat.
Selain itu, terdapat orang yang menggunakan kategori casta secara strategik untuk mencapai mobiliti sosial dan status ekonomi tertentu dalam masyarakat kolonial di Amerika. Oleh itu, mungkin adanya seorang dilahirkan daripada bapa criollo dan ibu bukan criollo, tetapi masih akan mengatakan dirinya criollo supaya terus menikmati keistimewaan sebagai criollo. Kekayaan harta yang dikumpulkan oleh seseorang itu juga boleh mengatasi status kaumnya. Misalnya, seorang castizo atau mestizo yang kaya mungkin boleh dikategorikan semula sebagai criollo.

Wujud juga perbezaan ketara dari segi komposisi demografi di wilayah-wilayah yang berbeza di Amerika Latin. Misalnya, golongan pribumi Indio merupakan minoriti di Buenos Aires yang mempunyai penumpuan golongan keturunan Eropah (terutamanya criollo) yang lebih besar, tetapi golongan pribumi membentuk majoriti penduduk di kawasan pergunungan Andes. Di kawasan pesisir pantai tanah besar dan kepulauan Caribbean, jumlah golongan keturunan Afrika, termasuk pardo dan mulato, adalah lebih besar kerana ekonomi perladangan di situ yang menggunakan hamba-hamba kulit hitam dari Afrika.
Kebanyakan golongan peninsular, criollo dan mestizo dikenakan cukai yang tinggi oleh pihak berkuasa Sepanyol kerana status pemilikan harta mereka dan penglibatan mereka dalam aktiviti perdagangan; sementara golongan masyarakat orang kulit berwarna yang lain tidak dikenakan cukai secara langsung, tetapi biasanya mereka menjadi tenaga buruh yang dieksploitasi oleh golongan casta atasan yang berkulit lebih cerah. Golongan hamba yang dibawa masuk dari Afrika tidak dikenakan cukai kerana mereka merupakan harta milik orang lain. Golongan pribumi (indio) sering dikenakan bayaran ufti kepada pihak berkuasa kolonial dan dikerahkan tenaga buruh mereka untuk bekerja di ladang, lombong dan tapak kerja awam buat satu tempoh masa tertentu.
Pihak berkuasa kolonial Sepanyol telah mengekalkan dan mengintegrasikan sesetengah struktur masyarakat orang asal ke dalam pentadbirannya, seperti mengiktiraf “kasike” (cacique) sebagai ketua suku masyarakat pribumi, untuk memudahkan urus tadbir wilayah jajahan dan mendapatkan bayaran ufti daripada masyarakat orang asal. Pemimpin-pemimpin masyarakat orang asal mentadbir komuniti-komuniti mereka sendiri, tetapi masih tertakluk di bawah kekuasaan pemerintah kolonial Sepanyol.

Benih penentangan terhadap pemerintahan kolonial Sepanyol
Oleh sebab sifat eksploitatifnya, pemerintahan kolonial Sepanyol di Amerika tidak mungkin kekal “aman”. Sering berlakunya penentangan terhadap pemerintahan kolonial Sepanyol oleh kumpulan-kumpulan masyarakat yang berbeza.
Pada tahun 1721, José de Antequera y Castro (1689-1731), seorang peguam dari Panama yang bertugas sebagai pegawai Audiencia Diraja Charcas (di wilayah Peru Hulu, iaitu Bolivia hari ini) dihantar ke wilayah Paraguay untuk menyiasat tuduhan yang dibuat oleh cabildo (majlis perbandaran) di Asunción mengenai korupsi Gabenor Paraguay pada masa itu. Apabila mendapati penyandang jawatan Gabenor Paraguay itu disabit kesalahan, Antequera mengambil alih jawatan itu. Antequera mengingkari arahan daripada pihak berkuasa kolonial Sepanyol untuk menyerah balik jawatan gabenor itu, malah mengumpulkan militia untuk menentang cubaan pihak berkuasa Sepanyol yang hendak melucutkan kuasanya. Namun, di bawah ancaman serangan ketenteraan yang luar biasa, Antequera terpaksa melepaskan jawatan gabenor pada tahun 1725. Antequera kemudiannya ditangkap dan dihukum mati oleh pihak berkuasa Sepanyol. Tindakan Antequera menentang pihak berkuasa Sepanyol juga mencetuskan siri pemberontakan golongan peneroka di Paraguay (yang dikenali sebagai Revolución Comunera) pada tahun 1721-1725 dan 1730-1735.
Pada 22 Mei 1765, tercetusnya aksi protes rakyat yang menentang cukai ke atas aguardiente (sejenis minuman keras yang dihasilkan daripada tebu) di Quito, sebuah bandar besar yang terletak di hujung selatan wilayah Kewizuraian Nueva Granada. Golongan criollo yang memiliki ladang gula membantah cukai itu kerana ia menjejaskan keuntungan mereka, sementara golongan penduduk kulit berwarna bawahan membantah cukai itu kerana ia meningkatkan harga aguardiente yang dijual kepada mereka. Aksi protes rakyat itu kemudiannya bertukar menjadi pemberontakan yang diterajui oleh penduduk-penduduk miskin pada 24 Jun 1765 dan menjatuhkan pemerintahan kolonial di bandar itu pada 27 Jun 1765. Golongan peninsular yang berkuasa di bandar itu diusir keluar. Sebuah gabungan rakyat yang dibentuk antara golongan criollo yang memiliki tanah dan golongan mestizo yang kebanyakannya kelas pekerja untuk mentadbir bandar Quito. Namun, perpaduan gabungan rakyat yang mentadbir bandar Quito itu berpecah kerana perbezaan kepentingan politik kelas-kelas sosial yang berlainan dalamnya. Tentera Sepanyol yang dikerahkan dari Guayaquil menawan semula Quito pada 1 September 1766 dan mengembalikan pemerintahan kolonial di situ. Kejayaan Pemberontakan Quito 1765 yang menjatuhkan pemerintahan kolonial di Quito, walaupun hanya untuk buat sementara waktu, telah memberi rangsangan kepada penduduk-penduduk di wilayah-wilayah jajahan Sepanyol yang lain, dan dianggap sebagai pelopor kepada pemberontakan anti-kolonial di seluruh Amerika Sepanyol pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19.
Di wilayah Peru Hulu (Bolivia hari ini), Tomás Katari, seorang pemimpin masyarakat orang asal yang beretnik Aymara, menerajui pemberontakan pada bulan September 1780 untuk menentang pemerintahan kolonial Sepanyol yang menjejaskan kehidupan ekonomi, politik dan sosial masyarakat orang asal di situ. Namun, Tomás Katari ditangkap dan dibunuh oleh golongan penjajah Sepanyol.

Pada masa yang sama juga, José Gabriel Condorcanqui (1742-1781), seorang mestizo yang berketurunan campuran etnik Sepanyol dan Quechua, melancarkan pemberontakan orang asal untuk menentang Kewizuraian Peru pada tahun 1780, dan menggelar dirinya sebagai Túpac Amaru II. Túpac Amaru II menganggap dirinya sebagai penyambung warisan Túpac Amaru, pemerintah terakhir Empayar Inka yang dibunuh oleh pihak penjajah Sepanyol pada tahun 1572. Micaela Bastidas Puyucahua, isteri Túpac Amaru II, juga merupakan salah seorang pemimpin utama dalam pemberontakan itu. Pemberontakan Túpac Amaru II merupakan reaksi terhadap kesusahan hidup masyarakat orang asal dan mestizo di Dataran Tinggi Andes yang diakibatkan oleh dasar pemerintahan kolonial Sepanyol dan penindasan yang sistematik.
Túpac Amaru II dan penyokong-penyokongnya menangkap dan membunuh pegawai pentadbir kolonial di daerah Tinta pada bulan November 1780. Túpac Amaru II mengeluarkan arahan untuk membebaskan hamba, dan menyeru masyarakat orang asal daripada pelbagai suku kaum bersatu untuk menentang pemerintahan kolonial Sepanyol. Komuniti-komuniti orang asal di situ menyokong golongan pemberontak, maka mereka tidak menghadapi banyak rintangan pada awalnya. Pada bulan Januari 1781, tentera pemberontak yang dipimpin oleh Túpac Amaru II dengan kekuatan lebih 40,000 orang sudah menguasai hampir seluruh wilayah selatan tanah tinggi Peru dan mengepung Cuzco, iaitu bandar yang pernah menjadi ibu negara Empayar Inka. Pihak berkuasa kolonial Sepanyol mengerahkan tentera dari Lima dan wilayah-wilayah lain ke selatan Peru untuk mematahkan pemberontakan Túpac Amaru II.
Selepas gagal menawan bandar Cuzco, gabungan pemberontak yang dihimpunkan oleh Túpac Amaru II tetapi dengan kepentingan yang berbeza-beza itu mula berpecah-belah, dengan golongan criollo yang berada dalam casta atasan itu yang paling cepat berpaling tadah untuk menyertai semula golongan yang menyokong pihak berkuasa penjajah. Túpac Amaru II dan Micaela Bastidas ditangkap oleh pihak berkuasa kolonial Sepanyol pada bulan April 1781. Selepas diseksa dengan cara yang kejam, Túpac Amaru II dan Micaela Bastidas dihukum mati pada bulan Mei 1781. Pemberontakan yang dimulakan oleh Túpac Amaru II telah diteruskan lagi untuk selama setahun sebelum ia dipatahkan sepenuhnya. Walaupun pemberontakan Túpac Amaru II menemui kegagalan, dia sudah menyemaikan benih penentangan yang penting, dan menjadi lagenda yang terus memberi inspirasi kepada perjuangan anti-kolonial di Amerika Latin selepasnya.

Berkongsi semangat perjuangan yang sama dengan Tomás Katari dan Túpac Amaru II, Julián Apasa Nina (1750-1781), seorang lagi pemimpin Aymara yang menggelar dirinya sebagai Túpac Katari, melancarkan satu lagi pemberontakan di wilayah Peru Hulu pada tahun 1781 dan mengepung bandar La Paz selama 6 bulan tetapi gagal menawannya. Pemberontakan Túpac Katari dipatahkan oleh pihak berkuasa Sepanyol yang mendapat sokongan daripada tentera kolonial yang dikerahkan dari Lima dan Buenos Aires. Túpac Katari dihukum mati pada bulan November 1781 dengan kata-kata terakhirnya, “Aku mungkin mati berseorangan, tetapi aku akan kembali hari esok dalam berjuta-juta.”
Pada masa yang sama dengan pemberontakan Túpac Amaru II, di wilayah Kekaptenan Jeneral Chile, wujudnya satu cubaan rampasan kuasa yang dikenali sebagai “Konspirasi Tiga Orang Antonio”, yang diterajui oleh Antoine Gramusset, Antoine-Alexandre Berney dan José Antonio de Rojas, untuk menjatuhkan pemerintahan kolonial Sepanyol di situ dan menggantikannya dengan sebuah kerajaan republikan yang berasaskan proses pilihan raya yang inklusif. Antoine Gramusset dan Antoine-Alexandre Berney merupakan orang Perancis yang tinggal di Santiago dan dipengaruhi oleh idea-idea Zaman Pencerahan; José Antonio de Rojas pula ialah seorang criollo yang kaya tetapi dipengaruhi oleh kedua-dua orang Antonio yang lain untuk menerima idea-idea pembaharuan sosial yang radikal. Mereka membangunkan rancangan untuk menjadikan Chile sebuah negara republik yang merdeka, dengan program-program politik yang radikal, seperti kesamarataan kaum, penghapusan perhambaan dan reformasi tanah yang mengagihkan tanah pertanian kepada petani-petani kecil. Namun, rancangan pembaharuan radikal yang dibawa oleh tiga orang Antonio itu digagalkan apabila mereka ditangkap oleh pihak berkuasa kolonial Sepanyol di Chile pada 1 Januari 1781.

Pada tahun 1781 juga, tercetusnya “Pemberontakan Comuneros” di wilayah Kewizuraian Nueva Granada, untuk menentang peningkatan cukai dan kenaikan harga tembakau, bermula di bandar Socorro (yang terletak di bahagian timur laut Colombia hari ini) pada bulan Mac 1781. Penduduk-penduduk di banyak buah bandar di Nueva Granada yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan kolonial di situ berhimpun dan memilih sebuah badan pentadbiran sendiri, yang dikenali sebagai “el común”. Juan Francisco Berbeo (1729-1795), seorang elit criollo di Socorro, menerajui pembentukan perikatan antara cabildo (majlis perbandaran) Socorro dan golongan yang berprotes terhadap pemerintahan kolonial pada bulan April 1781. Walaupun Juan Francisco Berbeo berasal daripada kelas atasan, dia telah memperkenalkan idea untuk menyatukan kelas-kelas sosial yang berbeza, dan berjaya mengumpulkan tentera pemberontak yang terdiri daripada 10,000-20,000 orang untuk mara ke Bogotá, ibu kota Kewizuraian Nueva Granada. Pihak berkuasa kolonial Sepanyol pada awalnya menandatangani persetujuan dengan golongan pemberontak comunero untuk menangani ketidakpuasan hati mereka, tetapi selepas golongan pemberontak berundur dan tentera bantuan yang dikerahkan oleh kerajaan Sepanyol tiba di Bogotá, pihak berkuasa kolonial menghantar tentera ke bandar-bandar yang memberontak untuk menguatkuasakan pelaksanaan peningkatan cukai. Beberapa orang pemimpin pemberontak, seperti José Antonio Galán (1749-1782), meneruskan pemberontakan tetapi dipatahkan tidak lama kemudian, dan dihukum mati oleh pihak berkuasa kolonial Sepanyol, sementara pemimpin-pemimpin yang lain dihukum penjara seumur hidup atas pertuduhan pengkhianatan.
Apabila tercetusnya Revolusi Haiti pada tahun 1791, pihak pemerintah kolonial Sepanyol di Santo Domingo pada awalnya memberi sokongan kepada golongan pemberontak hamba kulit hitam di Saint-Domingue yang masih dikuasai oleh Perancis pada masa itu, bukannya kerana pemerintah kolonial Sepanyol menyokong perjuangan pembebasan rakyat Haiti, tetapi sekadar untuk melemahkan kekuasaan Perancis dan memperluaskan kekuasaan kolonialnya sendiri di Pulau Hispaniola. Namun, apabila Republik Perancis memansuhkan perhambaan pada tahun 1794 dan pemimpin-pemimpin utama Revolusi Haiti seperti Toussaint Louverture menyertai Perancis, tentera Sepanyol dan sekutunya terus diusir keluar dari Saint-Domingue. Revolusi Haiti meninggalkan impak politik yang mendalam kepada seluruh rantau Caribbean dan Amerika Latin, termasuk wilayah-wilayah jajahan Sepanyol di situ.

Mendapat inspirasi daripada pemberontakan hamba di Saint-Domingue, tercetusnya satu pemberontakan hamba pada 10 Mei 1795 di Santa Ana de Coro, yang terletak di wilayah Kekaptenan Jeneral Venezuela di bawah kekuasaan Kewizuraian Nueva Granada. Pemberontakan hamba di Coro pada tahun 1795 dipimpin oleh José Leonardo Chirino (1754-1796), seorang zambo bebas yang pernah menjelajah ke Saint-Domingue dan dipengaruhi oleh pemberontakan hamba di situ, dan José Caridad González (???-1795), seorang hamba dari Afrika yang melarikan diri dari Pulau Curaçao ke Coro dan dipengaruhi oleh idea-idea Revolusi Perancis. Pemberontakan hamba di Coro memperjuangkan pembebasan semua hamba kulit hitam, penghapusan perhambaan, pemansuhan bayaran ufti yang dikenakan ke atas masyarakat orang asal di bawah pemerintahan kolonial Sepanyol, penghapusan ketuanan orang kulit putih demi mewujudkan kesamarataan kaum dan menubuhkan sebuah republik demokratik yang merdeka berasaskan sistem undang-undang Revolusi Perancis. Pemberontakan itu dipatahkan oleh pihak berkuasa kolonial Sepanyol, dengan José Caridad González ditangkap dan dibunuh dua hari selepas pemberontakan tercetus; manakala José Leonardo Chirino juga ditangkap kemudian dan dihukum mati pada 10 Disember 1796.
Francisco de Miranda: Pelopor perjuangan pembebasan Amerika Selatan
Francisco de Miranda (1750-1816), ialah seorang criollo yang lahir dalam sebuah keluarga yang kaya di Caracas, wilayah Venezuela, Kewizuraian Nueva Granada, dengan bapanya merupakan warga Sepanyol yang berasal dari Kepulauan Canaria yang terletak di luar benua Eropah dan berdekatan pantai barat laut Afrika. Walaupun keluarganya berketurunan Sepanyol dan agak kaya, mereka masih menghadapi diskriminasi daripada sesetengah golongan elit atasan kerana asal usul Canaria yang menjadikan keturunan Sepanyol mereka “tidak tulen”. Bapanya, Sebastián de Miranda, perlu mengemukakan salasilah yang membuktikan bahawa keluarganya tidak mempunyai moyang yang berketurunan Afrika, Yahudi atau Muslim supaya mendapatkan sijil ketulenan darah yang membolehkannya untuk mengumpul kekayaan. Pengalaman keluarga sendiri itu membentuk asas kepada pemikiran Miranda yang menentang struktur kolonial yang memperkukuhkan hierarki kaum.
Francisco de Miranda meninggalkan Venezuela pada tahun 1771 dan memulakan penjelajahannya ke seluruh dunia, di mana dia membangunkan pandangan dunia yang membolehkannya membawa visi revolusioner yang baharu kepada Venezuela kemudian.
Di Madrid, Miranda mempelajari pelbagai ilmu dan menjadi pegawai tentera Sepanyol. Miranda menjelajah bersama rejimennya ke bahagian selatan Sepanyol dan Afrika Utara. Dia mengambil bahagian dalam pertempuran buat pertama kali dalam peperangan antara Sepanyol dan Maghribi pada tahun 1774-1775. Apabila Miranda ditugaskan untuk menjaga pangkalan tentera kolonial yang tidak dialu-alukan oleh warga tempatan di Afrika Utara, dia mula melihat hubungan persamaan kehadiran tentera Sepanyol di situ dengan kehadiran pemerintahan kolonial Sepanyol di Amerika.
Apabila tercetusnya Perang Revolusi Amerika (1775-1783), Sepanyol menyokong golongan Patriot dengan niat untuk memperluaskan wilayah jajahannya di Louisiana dan Florida. Miranda diarahkan untuk melapor diri kepada Rejimen Aragon yang belayar ke Kuba pada tahun 1780, kemudiannya terlibat dalam pertempuran dengan tentera British di Pensacola, Florida Barat, pada bulan Mei 1781, dan penawanan Bahamas pada bulan Mei 1782. Walaupun Miranda menunjukkan prestasi yang menakjubkan dalam perkhidmatannya dengan tentera Sepanyol, layanan buruk yang diberikan oleh pegawai tinggi Sepanyol terhadapnya menyebabkan Miranda mula membangunkan idea tentang kemerdekaan wilayah-wilayah jajahan di Amerika daripada pemerintahan Sepanyol.
Oleh sebab pihak berkuasa Sepanyol hendak menangkap Miranda atas pertuduhan dia seorang pengintip dan terlibat dalam aktiviti penyeludupan, Miranda melarikan diri ke Amerika Syarikat pada bulan Julai 1783. Semasa berada di Amerika Syarikat, Miranda berkenalan dengan ramai tokoh politik yang penting seperti George Washington, Thomas Paine, Alexander Hamilton, Samuel Adams dan Thomas Jefferson, di mana dia memperoleh pengetahuan yang lebih mendalam tentang Revolusi Amerika.
Dengan ejen-ejen Sepanyol giat untuk memburunya, Miranda meninggalkan Amerika Syarikat pada bulan Disember 1784 dan belayar ke Eropah. Di Eropah, Miranda telah mengunjungi banyak negara, termasuk Britain, Prusia, Sweden, Belgium, Austria, Poland, Itali dan Rusia.

Miranda kemudiannya terlibat secara aktif dalam Revolusi Perancis. Dia berkhidmat sebagai pegawai dalam Tentera Revolusioner Perancis dan menjalin hubungan rapat dengan golongan Girondin. Miranda pernah menyandang jawatan Leftenan-Jeneral dalam Tentera Utara (Armée du Nord) yang menyerang wilayah Belanda Austria (Belgium hari ini). Namun, selepas gagal menawan bandar Maastricht yang dikuasai oleh Republik Belanda pada bulan Februari 1793, Miranda ditangkap oleh pihak berkuasa Perancis semasa pembersihan politik yang menyasarkan golongan Girondin atas pertuduhan bahawa dia bersubahat untuk menentang Republik Perancis bersama dengan Charles François Dumouriez, seorang jeneral Girondin yang berpaling tadah dengan cepatnya kepada musuh.
Miranda yang ditahan di dalam penjara di Paris boleh dikatakan bernasib baik kerana dia tidak dipancung kepalanya dengan gilotin semasa pemerintahan Jacobin. Selepas kejatuhan Jacobin yang dipimpin oleh Maximilien Robespierre pada bulan Julai 1794 berikutan Reaksi Thermidor, Miranda masih ditahan di dalam penjara sehingga dibebaskan pada bulan Januari 1795. Selepas dibebaskan, Miranda mula menjauhkan dirinya daripada Direktorat Perancis kerana dia kecewa dengan keadaan di Perancis pada masa itu dan menganggap bahawa hala tuju yang diambil oleh Revolusi Perancis pada masa itu sudah terpesong. Miranda diburu lagi oleh pihak berkuasa Perancis kerana pandangannya yang kritikal terhadap pemerintahan Direktorat Thermidor. Oleh itu, Miranda meninggalkan Perancis dan pergi ke Britain pada bulan Januari 1798.
Semasa di Britain, Miranda cuba mendapatkan sokongan daripada kerajaan British untuk rancangan revolusinya. Kerajaan British pada masa itu sedang berperang dengan Sepanyol dan Perancis, maka usaha Miranda untuk membebaskan wilayah-wilayah jajahan di Amerika daripada pemerintahan Sepanyol adalah berguna dalam memajukan kepentingan imperialis British. Oleh itu, kerajaan British telah memberikan sokongan yang terhad dan perlindungan kepada Miranda.
Miranda pada masa itu berwawasan untuk membina sebuah empayar berperlembagaan yang merdeka di benua Amerika, terbentang luas dari Sungai Mississippi di Amerika Utara hingga Cape Horn di hujung selatan benua Amerika, di bawah pemerintahan seorang maharaja berperlembagaan yang berketurunan keluarga diraja Inka dengan badan perundangan dwidewan.
Menjelang awal abad ke-19, Miranda menjadi pemimpin dalam kalangan pelarian dari Amerika Latin yang menentang Sepanyol. Selepas mengumpulkan dana dan pejuang-pejuang sukarelawan di Amerika Syarikat, Miranda menyewa sebuah kapal dan melancarkan satu ekspedisi ketenteraan untuk cuba menawan Venezuela pada tahun 1806. Namun, Miranda terpaksa berundur dari Venezuela tidak lama kemudian selepas dia gagal menghimpunkan penduduk-penduduk tempatan di Venezuela untuk menyokong perjuangannya.
Semasa dalam perjalanan ke Venezuela, rombongannya bersinggah seketika di Jacmel, bandar yang terletak di bahagian selatan Haiti, negara bekas hamba kulit hitam yang mencapai kemerdekaan hasil daripada perjuangan revolusioner yang hebat. Di Jacmel, pada 12 Mac 1806, Miranda mengibarkan bendera tiga warna (kuning, biru dan merah), yang merupakan bendera Venezuela yang pertama, di atas kapalnya. Bendera tiga warna yang direka oleh Miranda itu kemudian menjadi asas reka bentuk bendera yang akan digunakan oleh Venezuela, Colombia dan Ecuador.

Pada tahun 1810, Miranda bertemu dengan Simón Bolívar (1783-1830), seorang anak muda criollo yang juga berasal dari Caracas sepertinya dan sedang mendapatkan sokongan daripada kerajaan British untuk revolusi yang sudah tercetus di Venezuela pada masa itu. Bolívar memujuk Miranda untuk pulang ke Venezuela. Setelah pulang ke Venezuela, Miranda menjadi jeneral dalam tentera revolusioner. Miranda menghimpunkan orang-orang yang berpemikiran sehaluan dengannya dan membantu dalam penubuhan “Persatuan Patriotik” (Sociedad Patriótica) yang disusun serupa dengan kelab politik semasa Revolusi Perancis seperti Kelab Jacobin. Miranda kemudiannya dipilih sebagai ahli perwakilan yang mewakili bandar El Pao (dinamakan sebagai Francisco de Miranda hari ini), wilayah Barcelona, dalam Kongres Venezuela yang mengisytihar kemerdekaan Venezuela pada 5 Julai 1811.
Krisis politik di Sepanyol pada awal abad ke-19
Menjelang penghujung abad ke-18, walaupun Empayar Sepanyol masih mengekalkan tanah jajahan seberang laut dengan keluasan wilayah yang besar, kedudukan dominasinya di peringkat global sudah dipintas oleh kuasa-kuasa imperialis Eropah yang lain seperti Britain dan Perancis. Britain dan Perancis pada masa itu sudah melalui proses transformasi masyarakat yang hebat, melibatkan peralihan ekonomi daripada feudalisme kepada kapitalisme dan revolusi borjuis dalam bentuk masing-masing, di samping muncul sebagai kuasa imperialis yang bersaing secara sengit untuk tanah-tanah jajahan. Nampaknya matahari boleh terbenam satu hari nanti di “empayar (Sepanyol) yang matahari tidak pernah terbenam”.
Revolusi Perancis yang tercetus pada tahun 1789 telah menggegarkan seluruh benua Eropah, termasuk negara Sepanyol. Dengan pemerintahan Dinasti Bourbon di Perancis diancam, pemerintahan Mahkota Sepanyol yang juga daripada Dinasti Bourbon menyertai Gabungan Anti-Perancis Pertama yang cuba mematahkan Revolusi Perancis dan mengembalikan kekuasaan monarki Bourbon di Perancis. Namun, tentera Sepanyol ditewaskan oleh Tentera Revolusioner Perancis, dan kerajaan Sepanyol terpaksa menandatangani Perjanjian Damai Basel pada 22 Julai 1795 yang menjadikan dirinya seolah-olah negara vasal kepada Perancis dan menyerahkan Santo Domingo di rantau Caribbean kepada Perancis. Bersekutu dengan Perancis pada masa itu bermaksud bermusuhan dengan Britain, dengan Tentera Laut British mengenakan sekatan terhadap kapal-kapal Sepanyol yang memutuskan laluan perdagangan antara wilayah-wilayah jajahan Sepanyol di Amerika dengan negara induknya.
Sepanyol menyokong Republik Perancis dalam Perang Gabungan Kedua (1798-1802) untuk melawan Britain yang mengancam kepentingannya. Sepanyol juga menyertai “Sekatan Benua” (1806-1814), embargo berskala besar yang dikenakan oleh Empayar Perancis di bawah pemerintahan Napoleon Bonaparte terhadap Empayar British.
Persekutuan antara Sepanyol dan Perancis pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19 adalah sangat tidak stabil kerana percanggahan kepentingan imperialis yang ketara. Pada bulan November 1807, Sepanyol dan Perancis menceroboh Portugal yang mengingkari “Sekatan Benua” kerana terus berdagang dengan Britain. Sebelum itu, Sepanyol dan Perancis sudah mencapai persetujuan rahsia untuk membahagikan wilayah-wilayah di Portugal sesama mereka sendiri selepas menduduki negara itu. Namun, Napoleon mempunyai cita-cita imperialis yang lebih besar itu memaksa Carlos IV dan anaknya Fernando VII untuk melepaskan takhta Raja Sepanyol pada bulan Mei 1808, supaya menjadikan abangnya, Joseph Bonaparte, sebagai Raja Sepanyol yang baharu. Apa yang tidak dijangkakan oleh Napoleon adalah, tindakannya yang merampas kuasa takhta monarki di Sepanyol itu mencetuskan penentangan yang hebat terhadap pemerintahan Perancis di Sepanyol, sehingga mencetuskan “Perang Semenanjung” (1808-1814).

Selepas tentera tetap Sepanyol ditewaskan di medan perang, rakyat Sepanyol masih bangkit menentang tentera penceroboh Perancis dengan menggunakan pendekatan perang gerila yang bergabung dengan strategi bumi hangus. Gerila (guerrilla dalam bahasa Sepanyol) yang bermaksud “perang kecil” itu dipopularkan semasa Perang Semenanjung.
Golongan elit Sepanyol yang menentang pendudukan Perancis Napoleon ke atas Sepanyol menubuhkan Cortes de Cádiz di wilayah Andalusia pada tahun 1810, untuk berfungsi sebagai cortes (iaitu parlimen) bagi negara Sepanyol yang menuntut dirinya sebagai satu-satunya perwakilan sah untuk kedaulatan Sepanyol. Cortes de Cádiz mengiktiraf Fernando VII sebagai Raja Sepanyol yang sah. Cortes de Cádiz merupakan badan perundangan Sepanyol pertama yang memperuntukkan tempat kepada perwakilan dari seluruh negara dan wilayah-wilayah jajahannya di seberang laut, termasuk Amerika Sepanyol dan Filipina, tetapi kesan politiknya adalah amat terhad. Cortes de Cádiz menggubal “Perlembagaan Sepanyol 1812”, yang dianggap sebagai asas penting bagi pembangunan liberalisme di Eropah. Namun begitu, golongan elit pemerintah Sepanyol tidak berminat untuk melaksanakan sepenuhnya prinsip-prinsip liberal yang terkandung dalam Perlembagaan Sepanyol 1812, sama ada di negara induknya di Semenanjung Iberia ataupun wilayah-wilayah jajahannya di seberang Lautan Atlantik.
Walaupun Sepanyol dan sekutunya (Britain dan Portugal) menewaskan Perancis dalam Perang Semenanjung sehingga Napoleon turun dari takhta Maharaja Perancis pada bulan April 1814, susunan masyarakat Sepanyol sudah mengalami gempa bumi yang besar, dan pergolakan yang lebih hebat terus tercetus di wilayah-wilayah jajahannya di seberang Lautan Atlantik. Selepas Napoleon ditewaskan dan Dinasti Bourbon dipulihkan kuasanya di Sepanyol, Fernando VII yang mendapat sokongan daripada Cortes de Cádiz dan pemerintahan junta di Amerika Sepanyol itu memulihkan pemerintahan raja berkuasa mutlak pada tahun 1814 melalui satu rampasan kuasa, dan memansuhkan “Perlembagaan Sepanyol 1812”.

Krisis politik di Sepanyol dan Perang Semenanjung telah menjadi pencetus kepada gelombang revolusi dan siri perang kemerdekaan yang hebat di wilayah-wilayah jajahan Sepanyol di benua Amerika.
Pembentukan Junta di Amerika Sepanyol
Semasa Perang Semenanjung dan pendudukan Napoleon di Sepanyol, golongan elit patriot Sepanyol yang menentang kekuasaan Napoleon menubuhkan pemerintahan junta di beberapa buah wilayah, seperti Murcia, Valencia, Sevilla dan Castilla dan León, sebagai badan pentadbiran tempatan yang enggan tunduk di bawah pemerintahan Perancis. Junta ialah istilah dalam Bahasa Sepanyol yang bermaksud majlis perundangan awam atau majlis pentadbiran awam. Antara junta yang paling aktif berusaha mengekalkan pemerintahan kolonial Sepanyol di Amerika ialah junta di Sevilla, yang menghantar wakilnya ke wilayah-wilayah jajahan di Amerika untuk meyakinkan pegawai-pegawai kolonial di situ supaya menolak Joseph Bonaparte sebagai Raja Sepanyol dan terus menyokong Fernando VII.

Dengan menyedari bahawa perlunya perpaduan untuk menyelaraskan usaha menentang kekuasaan Perancis, junta-junta tempatan di tanah besar Sepanyol bersetuju untuk membentuk “Junta Pusat Agung” (Junta Suprema Central) pada 25 September 1808, sebagai badan eksekutif dan perundangan kerajaan Sepanyol. Junta Pusat Agung mengisytihar dirinya sebagai pengganti kepada Fernando VII yang ketika itu ditahan di Perancis sehingga kepulangannya. Junta Pusat Agung turut menjemput wilayah-wilayah jajahan Sepanyol di Amerika untuk menghantar wakil ke dalam kerajaannya yang berpusat di Sevilla.
Pembentukan junta-junta di tanah besar Sepanyol turut memberi rangsangan kepada golongan elit criollo di Amerika Sepanyol untuk menyedari bahawa mereka juga boleh melakukan perkara yang sama, iaitu menubuhkan pemerintahan tempatan mereka sendiri sehingga krisis politik di negara induk Sepanyol itu selesai. Golongan elit criollo di Amerika Sepanyol menganggap bahawa penubuhan junta tempatan itu dapat mengekalkan kebebasan wilayah itu daripada kuasa imperialis Perancis. Gerakan junta di banyak wilayah jajahan Sepanyol di Amerika menjadi asas kepada pembentukan republik-republik merdeka yang baharu di Amerika Latin tidak lama kemudian.
Pegawai-pegawai kolonial lantikan Mahkota Sepanyol dan golongan Royalis yang hendak mengekalkan kekuasaan Empayar Sepanyol itu pula berpecah kepada golongan liberal yang menyokong usaha pembaharuan melalui Cortes de Cádiz ke arah sistem raja berperlembagaan yang lebih demokratik dan golongan konservatif yang tidak menginginkan sebarang pembaharuan dalam sistem kerajaan. Junta-junta tempatan yang ditubuhkan di wilayah-wilayah jajahan Sepanyol di Amerika pula telah mencabar kekuasaan pemerintahan kolonial yang dipegang oleh golongan peninsular di situ. Walaupun junta-junta tempatan di wilayah-wilayah jajahan Sepanyol di Amerika mengatakan bahawa mereka beroperasi atas nama Raja Fernando VII yang sudah digulingkan, penubuhan junta-junta itu sendiri mewujudkan peluang keemasan kepada mereka yang mendukung kemerdekaan sepenuhnya daripada pemerintahan Mahkota Sepanyol itu untuk menyuarakan pandangan mereka secara terbuka dan selamat. Mereka yang menuntut kemerdekaan Amerika Sepanyol itu dikenali sebagai “Patriot”.
Tangisan kebebasan yang pertama: Chuquisaca, La Paz dan Quito
Apabila berita tentang kejatuhan Raja Fernando VII di Sepanyol sampai ke wilayah Audiencia Diraja Charcas (yang merangkumi wilayah Bolivia hari ini) dan bandar Chuquisaca (iaitu Sucre, ibu negara de jure Bolivia hari ini), golongan elit criollo dan golongan campuran etnik di situ, termasuk mereka dalam Universiti San Francisco Xavier yang ditubuhkan sejak tahun 1624 untuk memberi pendidikan kepada anak-anak golongan elit tempatan Amerika Sepanyol, membahaskan kedudukan dan keabsahan kerajaan yang berada dalam keadaan yang tidak menentu itu.

Bernardo de Monteagudo (1789-1825), seorang penuntut di Universiti San Francisco Xavier yang berasal dari Tucumán (yang terletak di bahagian utara Argentina hari ini), mengemukakan idea penentuan nasib sendiri yang dikenali sebagai “Silogisme Chuquisaca”: “Patutkah kita mengikut jejak nasib Sepanyol atau menentangnya di Amerika? Rantau Hindia ialah domain peribadi Raja Sepanyol. Raja dihalang untuk memerintah. Oleh itu, rantau Hindia harus memerintah diri mereka sendiri.”
Pada 25 Mei 1809, tercetusnya pemberontakan rakyat di bandar Chuquisaca dan menjatuhkan pemerintahan kolonial Intendencia Chuquisaca yang dilantik oleh Mahkota Sepanyol. Sebuah junta tempatan ditubuhkan dan mentadbir atas nama Raja Fernando VII. Revolusi Chuquisaca pada bulan Mei 1809 dikenali sebagai “Tangisan Kebebasan Pertama” (Primer Grito Libertario), menandakan permulaan perjuangan Amerika Latin untuk membebaskan diri daripada pemerintahan kolonial Mahkota Sepanyol.
Tidak sampai dua bulan kemudian, pada 16 Julai 1809, tercetus pemberontakan yang menjatuhkan pemerintahan kolonial Sepanyol di bandar La Paz, wilayah Peru Hulu. Kumpulan revolusioner yang dipimpin oleh Kolonel Pedro Domingo Murillo (1757-1810), seorang elit mestizo tempatan, mengepung berek bandar dan memaksa gabenor lantikan Sepanyol di situ untuk meletak jawatan. Golongan revolusioner menubuhkan Junta Tuitiva de los Derechos del Pueblo (Majlis Pelindung untuk Hak Rakyat) di La Paz dan mengisytihar pemisahan Peru Hulu daripada pemerintahan Empayar Sepanyol. Pedro Domingo Murillo mengatakan bahawa Revolusi La Paz “menyalakan obor yang tidak dapat dipadamkan oleh sesiapa”.

Pihak berkuasa kolonial Sepanyol mengerahkan tentera dari Lima dan Buenos Aires untuk mematahkan pemberontakan junta di Peru Hulu. Golongan Patriot yang memberontak terhadap pemerintahan kolonial Sepanyol di Chuquisaca dan La Paz ditewaskan. Pemimpin-pemimpin pemberontak dihukum mati atau dipenjarakan. Pedro Domingo Murillo digantung sampai mati pada 29 Januari 1810, di mana di mana sebelum dihukum mati, dia berkata, “Rakan-rakan seperjuangan, aku mati, tetapi golongan penzalim tidak akan dapat memadamkan obor yang aku nyalakan itu. Hidup kebebasan!”
Pematahan pemberontakan junta di wilayah Peru Hulu tidak dapat memadamkan api perjuangan golongan Patriot di situ. Mereka menubuhkan kumpulan-kumpulan gerila yang dikenali sebagai “republiqueta” (republik kecil) untuk terus berjuang menentang pihak berkuasa kolonial Sepanyol.
Di wilayah Audiencia Diraja Quito (yang merangkumi wilayah Ecuador hari ini), berlakunya pemberontakan pada 10 Ogos 1809 di bandar Quito yang menjatuhkan pemerintahan Sepanyol di situ dan menubuhkan sebuah junta. Revolusi Quito dipimpin oleh golongan intelek dan elit criollo tempatan. Antara pemimpin penting golongan Patriot di Quito termasuk José de Cuero y Caicedo (1735-1815), Juan de Salinas y Zenitagoya (1755-1810), Juan Pío Montúfar (1758-1818), Manuela Cañizares (1769-1814) dan sebagainya.

Juan Pío Montúfar yang dilantik sebagai Presiden kepada junta di Quito masih mengiktiraf Raja Fernando VII sebagai pemerintah yang sah tetapi bukannya pihak berkuasa kolonial Sepanyol di Amerika pada masa itu. Namun, pihak berkuasa kolonial Sepanyol mengepung Quito dengan tentera Royalis dan menumpaskan junta autonomi yang pertama di situ pada bulan Oktober 1809. Ramai anggota Junta ditahan. Sekumpulan Patriot melancarkan pemberontakan di Quito pada 2 Ogos 1810, dengan hasrat membebaskan pemimpin-pemimpin Junta yang ditahan, tetapi dipatahkan oleh tentera Sepanyol.

Pada bulan September 1810, Carlos de Montúfar (1780-1816), anak kepada Juan Pío Montúfar dan seorang pegawai tentera Sepanyol yang dilantik oleh Junta Pusat Agung sebagai Pesuruhjaya Diraja, tiba di Quito dan memutuskan untuk menubuhkan sebuah junta baharu. Pada 9 Oktober 1811, Junta kedua di Quito mengisytihar bahawa ia tidak akan lagi mematuhi pemerintahan Kewizuraian Peru, sebaliknya mengangkat nilai-nilai yang dibawa dalam Revolusi Quito 10 Ogos 1809. Quito kemudiannya mengisytihar kemerdekaan sepenuhnya daripada Sepanyol.
Perlembagaan Negara Quito dikemukakan pada 15 Februari 1812, menjadikannya Perlembagaan Ecuador yang pertama. Pihak berkuasa kolonial Sepanyol di Peru mengerahkan tentera untuk menghancurkan Negara Quito dan memulihkan Audiencia Diraja Quito. Tentera Patriot di Quito akhirnya ditewaskan dalam Pertempuran Ibarra pada 1 Disember 1812.
Usaha perjuangan pembebasan di wilayah yang membentuk negara Bolivia dan Ecuador pada hari ini dipatahkan dengan cepatnya oleh pihak berkuasa kolonial Sepanyol. Namun, bara penentangan terhadap pemerintahan kolonial Sepanyol sudah dinyalakan dan tidak dapat dipadamkan sepenuhnya, malah merebak dengan lebih lanjut lagi, sehingga ke wilayah-wilayah lain di Amerika Sepanyol.
Revolusi 19 April 1810 dan Republik Venezuela Pertama
Apabila tentera Sepanyol mengalami kekalahan teruk dalam pertempuran dengan tentera Perancis semasa Perang Semenanjung, dan bandar Sevilla jatuh ke dalam tangan tentera Perancis pada 1 Februari 1810 selepas anggota-anggota Junta Pusat Agung melarikan diri dari situ. Sebahagian anggota Junta Pusat Agung berundur ke Cádiz, kubu terakhir golongan patriot Sepanyol yang terletak di bahagian selatan Sepanyol, tetapi Junta Pusat Agung tidak dapat lagi berfungsi. Junta Pusat Agung kemudiannya dibubarkan dan digantikan dengan “Majlis Pemangkuan Sepanyol dan Hindia” yang terdiri daripada 5 orang ahli. Ini bermakna tiadanya lagi kerajaan yang benar-benar menguasai Sepanyol dan tanah jajahannya.
Apabila berita tentang bandar Sevilla ditawan oleh tentera Perancis dan Junta Pusat Agung dibubarkan itu sampai di bandar Caracas, ibu kota Kekaptenan Jeneral Venezuela, cabildo (majlis perbandaran) memanggil satu mesyuarat tergempar untuk membincangkan situasi di bandar itu bersama Kapten Jeneral Venezuela pada masa itu. Anggota-anggota cabildo Caracas pada masa itu terdiri daripada golongan elit Criollo tempatan.

Dalam mesyuarat yang diadakan di bangunan cabildo Caracas pada 19 April 1810, anggota-anggota cabildo memutuskan untuk menubuhkan junta tempatan sendiri. Vicente Emparan, Kapten Jeneral Venezuela yang dilantik oleh kerajaan Sepanyol pada masa itu, enggan menerima keputusan itu, tetapi terus disingkirkan daripada kekuasaan pada hari yang sama. Junta Agung Caracas (Junta Suprema de Caracas) ditubuhkan. Junta Agung Caracas menghantar perisytiharan penubuhannya kepada wilayah-wilayah lain di dalam wilayah Kekaptenan Jeneral Venezuela dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Peristiwa yang menyaksikan penubuhan Junta Agung Caracas itu dikenali sebagai “Revolusi 19 April 1810”.
Junta Agung Caracas memanggil penubuhan sebuah kongres wilayah-wilayah Venezuela untuk membentuk kerajaan yang mentadbir sendiri seluruh wilayah Kekaptenan Jeneral Venezuela. Pada awalnya, kedua-dua Junta Agung Caracas dan Kongres Venezuela yang mula bersidang pada bulan Mac 1811 masih menganggap Venezuela sebagai sebahagian daripada pemerintahan Mahkota Sepanyol, tetapi menubuhkan kerajaan yang berasingan kerana pencerobohan Perancis ke atas Semenanjung Iberia. Apabila Kongres membahaskan masa hadapan Venezuela, kumpulan ahli politik yang mendukung kemerdekaan semakin mendapat sokongan. Gerakan menuntut kemerdekaan diterajui oleh pemimpin-pemimpin Patriot seperti Francisco de Miranda dan Simón Bolívar, yang dipengaruhi secara mendalam oleh idea-idea Zaman Pencerahan dan revolusi-revolusi borjuis yang penting pada masa itu (iaitu Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika).

Pada 5 Julai 1811, 7 daripada 10 buah wilayah di dalam Kekaptenan Jeneral Venezuela (Caracas, Cumaná, Barinas, Margarita, Barcelona, Mérida dan Trujillo) mengisytihar kemerdekaan daripada pemerintahan Sepanyol, dengan mengemukakan Perisytiharan Kemerdekaan Venezuela dan menubuhkan Republik Venezuela Pertama (1811-1812). 5 Julai disambut sebagai Hari Kemerdekaan Venezuela.
Sebelum Kongres Venezuela mula bersidang lagi, peperangan tercetus pada bulan November 1810 antara golongan yang menyokong junta dan golongan Royalis yang setia pada pemerintahan Mahkota Sepanyol. Ini menandakan bermulanya Perang Kemerdekaan Venezuela (1810-1823). Francisco de Miranda telah diberikan kuasa kediktatoran oleh Kongres Venezuela untuk memimpin usaha perang terhadap golongan Royalis dan tentera kolonial Sepanyol.
Selepas ekspedisi ketenteraan untuk menawan wilayah-wilayah Venezuela yang masih setia pada kerajaan Mahkota Sepanyol itu menemui kegagalan dan gempa bumi di Caracas pada bulan Mac 1812 yang meragut nyawa 15,000-20,000 orang, tambahan pula dengan kemaraan tentera kolonial Sepanyol yang gagal disekat, Francisco de Miranda menyerah kalah kepada pihak berkuasa kolonial Sepanyol dan menandatangani persetujuan gencatan senjata pada 25 Julai 1812. Tentera kolonial Sepanyol memasuki Caracas pada 1 Ogos 1812, menandakan kejatuhan Republik Venezuela Pertama.
Pemimpin-pemimpin Patriot Venezuela yang lain, termasuk Simón Bolívar, menganggap tindakan Miranda yang menyerah kalah itu sebagai pengkhianatan. Bolívar dan golongan Patriot yang lain menangkap Miranda dan menyerahkannya kepada tentera Sepanyol. Miranda dibawa ke Sepanyol dan dipenjarakan di situ. Miranda mati di dalam Penjara Carraca yang berdekatan dengan Cádiz empat tahun kemudian pada tahun 1816.

Bolívar dan golongan Patriot republikan yang lain meneruskan perjuangan mereka untuk menentang kekuasaan Sepanyol dari bahagian lain di Amerika Selatan dan Caribbean, serta mengorganisasi gerakan gerila di kawasan pedalaman Venezuela.
Nueva Granada
Beberapa buah bandar lain di dalam wilayah Kewizuraian Nueva Granada telah mengikut jejak Caracas untuk menubuhkan junta tempatan pada tahun 1810. 3 bulan selepas penubuhan Junta Agung Caracas, Junta de Santa Fe ditubuhkan pada 20 Julai 1810 di bandar Santa Fe de Bogotá, ibu kota Kewizuraian Nueva Granada, selepas tercetusnya pemberontakan rakyat di bandar itu.

Junta de Santa Fe memilih José Acevedo y Gómez (1773-1817), seorang elit criollo yang mendukung kemerdekaan tanah jajahan Sepanyol di Amerika, sebagai Pengerusi; sementara itu Antonio José Amar y Borbón, Wizurai Nueva Granada pada masa itu, dinamakan sebagai Presiden. Namun, orang ramai di Bogotá marah dengan keputusan menamakan Wizurai lantikan Mahkota Sepanyol itu sebagai Presiden kepada junta di bandar itu. Sehari kemudian, pada 21 Julai 1810, Junta de Santa Fe mengarahkan peletakan jawatan Antonio José Amar y Borbón, dan juga penangkapan terhadapnya serta pegawai-pegawai kolonial di bawahnya. 5 hari kemudian pula, pada 26 Julai 1810, Junta de Santa Fe mengisytihar bahawa ia memutuskan hubungan dengan Majlis Pemangkuan Sepanyol, maka bermakna kemerdekaannya daripada pemerintahan Sepanyol. Dengan itu, Bogotá menjadi bandar pertama di jajahan Sepanyol yang memutuskan hubungannya dengan negara induk, dan ia diikuti oleh lebih banyak lagi ibu kota wilayah dalam beberapa bulan akan datang, termasuk Caracas.
Pada bulan Mac 1811, wilayah Cundinamarca di mana Bogotá itu terletak mengadakan persidangan Badan Pemilih Perlembagaan Negeri Cundinamarca, dan mengemukakan perlembagaan untuk menubuhkan “Negara Cundinamarca yang Bebas dan Merdeka”.
Di bandar Cartagena yang terletak di pantai utara Colombia hari ini, golongan elit criollo di situ juga menubuhkan junta sendiri selepas menyingkirkan gabenor lantikan Mahkota Sepanyol di situ. Pada 11 November 1811, junta di Cartagena mengemukakan perisytiharan kemerdekaan yang menjustifikasi tindakannya menyingkirkan gabenor lantikan Sepanyol. Perisytiharan itu merangkumi idea-idea Zaman Pencerahan seperti hak untuk semua orang mengundi tanpa mengira etnik.

Junta-junta yang ditubuhkan di wilayah Nueva Granada (iaitu Colombia hari ini) pada tahun 1810-1811 cuba mengadakan perbincangan tentang bagaimana boleh bekerjasama antara satu sama lain. Dalam proses itu, munculnya dua pihak dalam kalangan Patriot yang sentiasa bertentangan pendirian politik: golongan federalis dan golongan sentralis. Golongan federalis mendukung kuasa autonomi yang lebih besar bagi wilayah-wilayah yang bergabung dalam sebuah persekutuan yang longgar; sementara golongan sentralis berhasrat untuk memusatkan kuasa dalam tangan sebuah kerajaan pusat. Oleh itu, dua buah negara ditubuhkan, iaitu Republik Nueva Granada yang dikuasai oleh golongan federalis, dan Negara Cundinamarca yang Bebas dan Merdeka yang dikuasai oleh golongan sentralis. Tercetusnya perang saudara antara golongan federalis dan golongan sentralis pada tahun 1812-1814, pada masa yang sama golongan Patriot perlu bertempur dengan golongan Royalis di wilayah itu. Perang Saudara Nueva Granada berakhir dengan kemenangan golongan federalis dan penggabungan Cundinamarca ke dalam Wilayah Bersatu Nueva Granada.
Ketidakstabilan yang berpanjangan di wilayah Nueva Granada yang melibatkan entiti-entiti politik baharu merdeka itu memberi kelebihan kepada pihak kolonial Sepanyol untuk menawan semula Nueva Granada berikutan Fernando VII memulihkan takhtanya selepas Napoleon ditewaskan pada tahun 1814. Tentera Ekspedisi yang dihantar oleh kerajaan pusat Sepanyol tiba di Nueva Granada pada bulan Julai 1815, dan menawan Bogotá pada 6 Mei 1816.

Republik Venezuela Kedua
Selepas kejatuhan Republik Venezuela Pertama, Simón Bolívar melarikan diri ke Pulau Curaçao yang terletak kira-kira 60 km dari pantai Venezuela, kemudiannya kembali ke tanah besar Amerika Selatan dan menyertai tentera Wilayah Bersatu Nueva Granada untuk menentang golongan Royalis. Pada 15 Disember 1812, Bolívar menulis “Manifesto Cartagena” untuk menggariskan pandangannya tentang punca-punca kegagalan Republik Venezuela Pertama dan program politiknya bagi mengelakkan kegagalan serupa pada masa hadapan. Bolívar mendukung pembentukan kerajaan pusat yang kuat dan badan eksekutif yang berkuasa untuk mengelakkan perbalahan dalaman antara pihak-pihak berkuasa bandar, wilayah dan kebangsaan yang membazirkan dana dan tenaga di samping mewujudkan keadaan buntu.
Dalam Manifesto Cartagena, Bolívar menyatakan pandangannya bahawa perpecahan antara golongan elit melemahkan usaha menentang kekuasaan Sepanyol. Dia berpendapat bahawa oleh sebab sebahagian besar rakyat di kawasan luar bandar masih buta huruf dan tidak mempunyai pengetahuan politik yang mencukupi, pilihan raya boleh digunakan oleh golongan elit yang saling bersaing itu untuk memecah-belahkan lagi rakyat. Bolívar menulis, “Semangat kepartian yang menentukan segala perkara, dan akhirnya, menyahorganisasikan kita lebih daripada keadaan sedia ada. Perpecahan kita, bukannya senjata Sepanyol, yang mengembalikan kita kepada perhambaan.”
“Kerajaan harus menyesuaikan dirinya mengikut keadaan masa, orang dan sekeliling di mana ia berfungsi,” tulis Bolívar mengenai pendekatan sesebuah kerajaan menangani keadaan krisis dengan cara yang luar biasa. “Jika keadaan adalah makmur dan tenang, ia harus lembut dan melindung, tetapi jika keadaan adalah malapetaka dan bergelora, ia harus menunjukkan dirinya yang mengerikan dan mempersenjatai diri dengan keteguhan yang setara dengan bahaya, sehingga kebahagiaan dan kedamaian dipulihkan.”

Selepas memenangi beberapa pertempuran bagi pihak Patriot, Bolívar mendapat kelulusan daripada Kongres Nueva Granada pada tahun 1813 untuk memimpin operasi ketenteraan di wilayah-wilayah Venezuela yang dikenali sebagai “Kempen Terpuji” (Campaña Admirable). Tentera Patriot yang dipimpin oleh Bolívar berjaya menawan Mérida, Barinas, Trujillo dan Caracas. Pada 15 Jun 1813, Bolívar mengeluarkan “Dekri Perang Sampai Mati” (Decreto de Guerra a Muerte) di Trujillo, yang menyatakan bahawa semua orang peninsular yang tidak mengambil bahagian secara aktif dalam perjuangan perjuangan kemerdekaan Amerika Sepanyol boleh dibunuh, manakala semua orang Amerika Selatan yang lain boleh diampunkan walaupun pernah bekerjasama dengan pihak berkuasa Sepanyol. Dekri itu dikeluarkan sebagai respon kepada keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Sepanyol selepas kejatuhan Republik Venezuela Pertama. Pendekatan keganasan telah diamalkan secara meluas oleh kedua-dua pihak yang bertempur dalam Perang Kemerdekaan Amerika Sepanyol, mengakibatkan berlakunya beberapa peristiwa keganasan yang melampau.
Pada masa yang sama dengan Bolívar menawan bahagian barat Venezuela pada tahun 1813, Santiago Mariño (1788-1854), seorang lagi Patriot Venezuela, menganjurkan kempen ketenteraannya sendiri untuk menyerang dari bahagian timur laut dan juga menewaskan tentera Royalis.

Tentera Patriot yang dipimpin oleh Bolívar memasuki Caracas pada 6 Ogos 1813 dan mengisytihar pemulihan Republik Venezuela, yang dikenali sebagai “Republik Venezuela Kedua” (1813-1814). Namun, perisytiharan oleh Bolívar itu tidak diiktiraf oleh Santiago Mariño yang berpangkalan di Cumaná dan menguasai wilayah-wilayah di bahagian timur, maka wujudnya perselisihan faham antara dua orang pemimpin Patriot itu.
Bolívar menegaskan bahawa adalah penting untuk mewujudkan sebuah kerajaan berpusat yang menyatukan seluruh wilayah Venezuela dan Nueva Granada (iaitu Colombia hari ini) demi memastikan daya maju negara yang baharu itu. Bolívar bercita-cita untuk menjadikan seluruh wilayah Kewizuraian Nueva Granada sebuah negara Colombia yang merdeka, atau apa yang kemudiannya dikenali sebagai Gran Colombia (Colombia Raya).

Republik Venezuela Kedua juga tidak bertahan lama, dan kekal tidak sampai setahun. José Tomás Boves, seorang imigran Sepanyol yang juga merupakan pemimpin tentera Royalis, telah menghimpunkan sebuah tentera yang disertai oleh golongan llanero (pengembala) yang terdiri daripada golongan pardo, orang asal dan bekas hamba, untuk menyerang Republik Venezuela Kedua. Walaupun Bolívar dan Mariño menyatukan kekuatan tentera mereka untuk menangkis serangan tentera Royalis, mereka masih ditewaskan berkali-kali pada tahun 1814 oleh tentera Royalis yang dipimpin oleh Boves, yang dikenali sebagai “Legion Neraka”. Golongan Royalis menawan semula Caracas pada 16 Julai 1814, dan kemudiannya memusnahkan pangkalan kuasa Mariño dalam Pertempuran Urica pada 5 Disember 1814. Walaupun José Tomás Boves terbunuh dalam Pertempuran Urica, tentera Royalis yang dipimpin oleh Francisco Tomás Morales selaku Kapten Jeneral Venezuela yang dilantik oleh pihak berkuasa Sepanyol terus membanteras penentangan Patriot yang masih tinggal, termasuk menangkap dan menghukum mati José Félix Ribas (1775-1815), seorang pemimpin tentera Patriot di bawah arahan Bolívar.
Pada ketika Republik Venezuela Kedua dijatuhkan, Fernando VII sudah kembali bertakhta sebagai Raja Sepanyol selepas Napoleon ditewaskan dalam “Perang Gabungan Keenam” (1812-1814). Raja Fernando VII bukan sahaja mewujudkan semula pemerintahan raja berkuasa mutlak dan memansuhkan Perlembagaan 1812 yang liberal, dia juga mengerahkan tentera Sepanyol untuk menakluk semula wilayah-wilayah jajahannya di Amerika Selatan yang sudah mengisytihar kemerdekaan. Tentera ekspedisi Sepanyol di bawah arahan Leftenan Jeneral Pablo Morillo, seorang pegawai tentera yang agak menonjol prestasinya dalam Perang Semenanjung, tiba di Nueva Granada pada bulan Julai 1815, dan bersama-sama dengan Francisco Tomás Morales, menyempurnakan penaklukan semula Nueva Granada dengan menawan bandar Bogotá pada 6 Mei 1816. Tentera ekspedisi Sepanyol yang dikerahkan untuk menakluk semula Nueva Granada itu, merupakan salah satu ekspedisi yang paling besar pernah dihantar oleh kerajaan pusat Sepanyol ke Amerika.
Jamaica dan Haiti
Selepas kejatuhan Republik Venezuela Kedua, Bolívar meninggalkan tanah besar Amerika Selatan dan pergi ke Jamaica pada bulan Mei 1815. Di Jamaica, Bolívar menulis banyak surat untuk berkomunikasi dengan golongan pedagang yang berpangkalan di rantau Caribbean dan meminta bantuan daripada Britain untuk usaha perjuangan pembebasan Amerika Sepanyol. Dalam “Surat dari Jamaica” yang ditulisnya pada bulan September, Bolívar sekali lagi membentangkan ideologi dan visinya untuk masa hadapan benua Amerika. Bolívar menjelaskan sebab-sebab untuk Amerika Sepanyol menuntut kemerdekaan, dan menyeru Eropah untuk membantu dalam membebaskan rakyat Amerika Latin.

“Saya akan memberitahu anda, dengan apa kita harus bekalkan kepada diri kita untuk mengusir orang Sepanyol dan mengasaskan sebuah kerajaan yang bebas. Ia ialah kesatuan, jelasnya; tetapi kesatuan sebegini hanya akan terhasil melalui perancangan yang waras dan tindakan yang diarahkan dengan baik, bukannya keajaiban tuhan. Amerika berdiri secara bersama kerana ia ditinggalkan oleh semua negara yang lain. Ia diasingkan di tengah-tengah dunia. Ia tidak mempunyai hubungan diplomatik, dan tidak menerima sebarang bantuan ketenteraan; sebaliknya, Amerika diserang oleh Sepanyol, yang mempunyai lebih banyak bekalan ketenteraan berbanding apa yang mungkin kami perolehi melalui cara-cara terselindung,” begitu tulisnya Bolívar. “Apabila kejayaan tidak dapat dijamin, apabila negara adalah lemah, dan apabila hasil pencapaian nampaknya jauh, semua orang teragak-agak; pendapat adalah berpecah, emosi bergelora, dan musuh mengapi-apikan emosi ini untuk mencapai kemenangan mudah kerana keadaan itu. Sebaik sahaja kami menjadi kuat dan di bawah panduan sebuah negara liberal yang akan meminjamkan kami perlindungannya, kami akan mencapai persetujuan dalam memupuk nilai dan bakat yang membawa kepada kemuliaan. Kemudian kita akan berarak dengan megahnya ke arah kemakmuran hebat yang ditakdirkan untuk Amerika Selatan.”
Bolívar tidak mendapat maklum balas yang positif daripada pihak British untuk membantunya. Pada bulan Disember 1815, selepas Bolívar terlepas dengan nasib baik daripada satu cubaan membunuhnya, dia meninggalkan Jamaica dan pergi ke Haiti. Pada bulan Januari 1816, Bolívar berkenalan dengan Alexandre Pétion, salah seorang pemimpin penting Revolusi Haiti dan Presiden Republik Haiti pada masa itu. Bolívar menjalin hubungan persahabatan yang rapat dengan Pétion. Pétion telah bersetuju untuk memberikan wang dan bekalan ketenteraan kepada Bolívar untuk meneruskan perjuangannya dalam membebaskan Amerika Selatan. Pétion memberikan bantuan yang murah hati itu kepada Bolívar tanpa mengharapkan apa-apa pulangan, kecuali satu syarat sahaja, iaitu Bolívar berjanji untuk membebaskan semua hamba di wilayah-wilayah yang ditawannya daripada penjajah Sepanyol.
Pada ketika tentera Patriot pimpinan Bolívar pulang ke Venezuela untuk memulakan semula usaha pembebasan Venezuela, tentera Royalis Sepanyol telah hampir menawan semula seluruh wilayah Nueva Granada daripada golongan Patriot. Tentera Royalis mengalih semula perhatian kepada Venezuela dan menyerang tentera Patriot. Tentera Patriot tidak dapat bersaing dengan tentera Royalis dari segi bilangan anggota dan kelengkapan. Bolívar melarikan diri sekali lagi ke Haiti pada bulan September 1816, dan Pétion sekali lagi bersetuju untuk membantunya. Bolívar belayar balik sekali lagi ke Venezuela pada bulan Disember 1816, dan ini merupakan kali terakhir dia pulang dari hidup dalam buangan di luar negeri kerana dia tidak lagi meninggalkan benua besar Amerika untuk melarikan diri.
Selepas Bolívar pulang dari Haiti bersama-sama Luis Brión (1782-1821), ketua tentera laut di bawah arahan Bolívar, golongan Patriot di bawah kepimpinannya mara ke Caracas pada bulan Januari 1817, tetapi ditewaskan dan terpaksa berundur ke Barcelona yang terletak di bahagian utara Venezuela oleh tentera Royalis yang lebih besar kekuatannya. Atas permintaan Bolívar, Santiago Mariño dan José Francisco Bermúdez (1782-1831), seorang lagi pemimpin Patriot, telah bergegas ke Barcelona dengan tentera mereka untuk menangkis serangan tentera Royalis. Namun, tentera Patriot masih tidak dapat bertahan di Barcelona, maka Bolívar beredar ke selatan pada bulan Mac 1817 untuk menyertai tentera Patriot yang dipimpin oleh Manuel Piar (1774-1817), seorang pardo yang berasal dari Curaçao, yang sudah mewujudkan pangkalan yang agak kukuh di wilayah Guayana.

Bolívar menaikkan pangkat Manuel Piar kepada jeneral tentera dan mengarahkan tenteranya untuk menyerang Angostura (dikenali hari ini sebagai Ciudad Bolívar) pada bulan Mei 1817. Tentera pimpinan Bolívar menawan bandar Angostura pada bulan Julai 1817. Pada masa yang sama, Santiago Mariño menubuhkan semula pangkalan kuasanya di bahagian timur Venezuela, dan menjadikan dirinya komander tertinggi tentera Republikan, tetapi mencetuskan pembelotan 30 orang pegawai tentera, termasuk Rafael Urdaneta (1788-1845) dan Antonio José de Sucre (1795-1830), yang beralih untuk menyertai Bolívar.
Selepas Manuel Piar cuba mencetuskan pemberontakan terhadap Bolívar, dengan tuduhan bahawa Bolívar memecat jawatannya kerana keturunan campuran etniknya, Bolívar mengeluarkan waran tangkap terhadap Piar pada bulan Julai 1817, dan Piar ditangkap pada bulan September 1817 ketika dia cuba melarikan diri untuk menyertai Mariño. Piar dihukum mati oleh Bolívar dengan cara menggunakan pasukan penembak pada 16 Oktober 1817. Bolívar kemudiannya menghantar Antonio José de Sucre untuk merundingkan perdamaian dengan Mariño. Pada bulan Januari 1818, Mariño berjanji untuk setia pada Bolívar.

Angostura yang ditawan oleh tentera pimpinan Bolívar telah menjadi ibu negara de facto bagi “Republik Venezuela Ketiga” (1817-1819). Pada bulan September 1817, Bolívar mula mewujudkan struktur politik dan ketenteraan yang formal untuk republik baharu itu. Askar-askar veteran British yang pernah bertempur dalam Perang Napoleon yang direkrut oleh ejen Bolívar mula tiba di Venezuela pada masa itu, dan membentuk apa yang dikenali sebagai “Legion British” (Legión Británica) yang memainkan peranan penting dalam Perang Kemerdekaan Amerika Sepanyol.
Francisco de Paula Santander (1792-1840), seorang pemimpin Patriot Nueva Granada yang berundur ke wilayah padang rumput (Los Llanos) di Venezuela selepas penaklukan semula Nueva Granada oleh tentera Royalis Sepanyol, bertemu dengan Bolívar pada tahun 1819 dan menyertai tenteranya.

Republik Gran Colombia
Kongres Angostura yang dipanggil oleh Simón Bolívar diadakan pada 15 Februari 1819. 26 orang wakil dari Venezuela dan Nueva Granada hadir dalam persidangan yang bersejarah itu. Bolívar menyampaikan satu ucapan di mana dia mengadvokasi pembentukan kerajaan berpusat yang bermodelkan kerajaan British dan menegakkan kesamarataan kaum.
“Kita bukan orang Eropah; kita bukan orang Indio; tetapi bangsa campuran antara orang pribumi dan orang Sepanyol. Orang Amerika mengikut kelahiran dan orang Eropah mengikut undang-undang, kita mendapati diri kita terlibat dalam konflik berdua: kita bertikai dengan golongan pribumi untuk hak pemilikan, dan pada masa yang sama kita sedang berjuang untuk mengekalkan diri kita di dalam negara kelahiran kita daripada penentangan golongan penceroboh. Oleh itu, kedudukan kita adalah paling luar biasa dan rumit,” begitu katanya Bolívar dalam Kongres Angostura. “Namun, terdapat lebih banyak lagi. Memandangkan peranan kita sentiasa pasif dan kewujudan politik kita itu tiada, kita mendapati bahawa pencarian untuk kebebasan kini adalah lebih susah dicapai kerana kita, selepas diletakkan dalam keadaan yang lebih rendah daripada perhambaan, telah dirompak bukan sahaja kebebasan kita tetapi juga hak untuk melaksanakan tirani domestik yang aktif.”

Bolívar kemudiannya melancarkan kempen ketenteraan untuk membebaskan Nueva Granada daripada pendudukan kolonial Sepanyol. Sebelum itu, Bolívar menerajui kempen ketenteraan untuk membebaskan Venezuela yang dilancarkan dari Nueva Granada, dan sekarang ini arah kemaraan tentera Patriot diterbalikkan, di mana Bolívar akan membebaskan Nueva Granada dengan kempen yang dilancarkan dari Venezuela.
Pada bulan Mei 1819, tentera Patriot yang dipimpin oleh Bolívar melintasi Banjaran Timur, salah satu cabang Banjaran Gunung Andes di wilayah Nueva Granada, semasa musim hujan dan melakukan serangan mengejut terhadap tentera Sepanyol dari kawasan pergunungan pada bulan Julai 1819. Tentera Patriot yang dipimpin oleh Bolívar mencapai kemenangan penentu dalam Pertempuran Boyacá pada 7 Ogos 1819, di mana sebahagian besar tentera Royalis menyerah kalah kepada Bolívar. Tentera Patriot yang dipimpin oleh Bolívar memasuki Bogotá pada 10 Ogos 1819, dan menguasai harta perbendaharaan serta gedung senjata yang ditinggalkan oleh pegawai-pegawai kolonial Sepanyol yang meninggalkan bandar itu dalam keadaan tergesa-gesa.

Dengan Bogotá sebagai ibu kota Kewizuraian Nueva Granada itu ditawan, pada bulan Disember 1819, Kongres Angostura mengisytihar pembentukan Republik Colombia (dikenali dalam sejarah sebagai “Gran Colombia” atau Colombia Raya), yang merangkumi Venezuela, Nueva Granada (Colombia hari ini) dan wilayah Aundiencia Diraja Quito (yang masih dikuasai oleh Sepanyol pada masa itu), sebagai barisan bersatu rakyat Amerika Selatan untuk menentang pemerintahan kolonial monarki Sepanyol. Kongres Angostura juga memilih Simón Bolívar sebagai Presiden dan Francisco Antonio Zea (1766-1822) sebagai Naib Presiden.
Bolívar kurang berminat dengan urusan pentadbiran kerajaan, kerana dia hendak menumpukan tenaganya dalam usaha pembebasan Amerika Selatan yang belum selesai. Oleh itu, tugasan pentadbiran republik yang baharu merdeka itu diserahkan Naib Presiden. Jawatan Naib Presiden Gran Colombia telah bertukar beberapa kali dalam tempoh masa dua tahun, dengan Francisco de Paula Santander, yang menyandang jawatan Naib Presiden Wilayah Cundinamarca (salah satu daripada tiga wilayah Gran Colombia) sejak tahun 1819, dipilih sebagai Naib Presiden Gran Colombia yang ke-5 dalam Kongres Cúcuta yang diadakan pada bulan Oktober 1821, dan memangku jawatan Presiden pada ketika Bolívar memimpin tentera Patriot untuk membebaskan wilayah-wilayah lain di selatan. Santander menggunakan kemahiran politiknya untuk mentadbir urus secara teratur, di samping mewujudkan struktur asas undang-undang untuk demokrasi di republik yang baharu itu. Oleh itu, Santander juga sering digelar sebagai “Tokoh Undang-undang” (El Hombre de las Leyes) atau “Pengurus Kemenangan” (El Organizador de la Victoria).

Kerajaan pusat Sepanyol telah bersedia untuk mengerahkan satu lagi tentera ekspedisi ke Amerika Selatan pada tahun 1819 demi mematahkan gerakan kemerdekaan di situ, tetapi rancangan itu digagalkan apabila askar-askar Sepanyol yang sepatutnya dikerahkan untuk ekspedisi di Amerika Selatan memberontak pada bulan Januari 1820 di Cádiz dan merebak ke seluruh negara Sepanyol. Pemberontakan askar Sepanyol yang dipimpin oleh Rafael del Riego (1783-1823), seorang pegawai tentera berfahaman liberal, memaksa Raja Fernando VII dari Sepanyol untuk menerima Perlembagaan 1812 yang liberal pada bulan Mac 1820. Pemberontakan askar Sepanyol pada tahun 1820 bermakna bahawa tentera ekspedisi yang dirancang itu tidak pernah bertolak dari Sepanyol, maka melemahkan lagi kedudukan tentera Royalis Sepanyol di Nueva Granada yang dipimpin oleh Pablo Morillo.
Pada 24 Jun 1821, tentera Patriot Gran Colombia yang dipimpin oleh Simón Bolívar dan José Antonio Páez (1790-1873), seorang pemimpin Patriot dan pegawai tentera mestizo dari Venezuela, menewaskan tentera Royalis dalam Pertempuran Carabobo. Pertempuran Carabobo merupakan kemenangan penentu dalam usaha kemerdekaan Gran Colombia, kerana hanya tinggal beberapa buah bandar sahaja dikuasai oleh golongan Royalis selepas itu, dengan Cumaná ditawan oleh golongan Patriot tidak lama kemudian. Tentera Patriot menawan Cartagena, bandar pelabuhan utama yang terletak di bahagian utara Nueva Granada, pada 10 Oktober 1821, selepas pengepungan selama 15 bulan. Puerto Cabello, kubu kuat golongan Royalis Sepanyol di Venezuela yang dapat menahan serangan daripada tentera Patriot untuk satu ketika, turut ditawan oleh tentera Patriot yang dipimpin oleh José Antonio Páez pada bulan November 1823.

Selepas Pertempuran Carabobo, Kongres Gran Colombia yang dipilih di Angostura pada tahun 1819 bersidang semula pada 31 Julai 1821 di bandar Cúcuta, yang terletak di bahagian timur laut Colombia dan bersempadan dengan Venezuela di timurnya, maka dikenali sebagai Kongres Cúcuta. Kongres Cúcuta mengambil tanggungjawab untuk merangka sebuah perlembagaan baharu bagi semua wilayah di Gran Colombia yang sudah dibebaskan daripada pemerintahan kolonial Sepanyol. Perlembagaan Gran Colombia, yang juga dikenali sebagai Perlembagaan Cúcuta, diluluskan pada 30 Ogos 1821. Perlembagaan ini merupakan perlembagaan pertama bagi Colombia, dan berkuat kuasa sehingga Gran Colombia dibubarkan pada tahun 1831.
Semasa berucap dalam persidangan Kongres Cúcuta, Bolívar berkata, “Saya anak perang; seorang lelaki yang dibawa ke tampuk kekuasaan hanya melalui pertempuran; nasib telah mengekalkan saya di pangkat ini dan kemenangan telah mengesahkannya. Namun ini bukannya gelaran yang disucikan oleh keadilan, kebahagiaan dan kehendak rakyat. Pedang yang telah memerintah Colombia bukannya timbangan keadilan, tetapi cambuk malapetaka yang kadang-kadang dibiarkan jatuh dari Syurga ke Bumi untuk menghukum golongan penzalim dan bangsa-bangsa yang sombong. Pedang itu tidak berguna apabila wujudnya kedamaian, dan ini sepatutnya kali terakhir saya dibenarkan untuk menggunakannya; maka saya bersumpah pada diri saya sendiri, kerana saya telah menjanjikannya kepada Colombia, dan kerana tidak mungkin adanya Republik di mana rakyat tidak boleh menggunakan kuasa. Seorang lelaki seperti saya, ialah perkara yang berbahaya dalam kerajaan popular; kewujudan saya ialah ancaman yang jelas dan nyata kepada kedaulatan negara. Saya berharap untuk menjadi seorang warganegara, seorang yang bebas, supaya semua orang menjadi orang yang bebas. Saya lebih suka nama Warganegara berbanding Sang Pembebas, kerana yang kedua itu lahir daripada peperangan, yang pertama itu lahir daripada undang-undang. Saya mohon, Tuan, saya sudi melepaskan semua gelaran saya, jika sebagai pertukaran, saya hanya boleh mendapatkan satu gelaran: Warganegara yang Baik.”

Kerajaan Sepanyol menghantar satu armada pada tahun 1823 untuk cuba menakluk semula Nueva Granada, tetapi ditumpaskan oleh tentera laut di bawah kepimpinan José Prudencio Padilla (1784-1828) dalam Pertempuran Tasik Maracaibo pada 24 Julai 1823, yang dianggap sebagai pertempuran yang menjadi penentu kemenangan muktamad untuk Perang Kemerdekaan Venezuela. Selepas pertempuran itu, pihak berkuasa Sepanyol terpaksa berunding dengan golongan republikan Venezuela, dan tentera Sepanyol yang terakhir meninggalkan wilayah Venezuela pada penghujung tahun 1823.
Bolívar meneruskan kempen ketenteraan untuk membebaskan bahagian selatan Nueva Granada dan Ecuador, dan kemudiannya melawan Sepanyol di Peru dan Bolivia, untuk menyempurnakan usaha golongan Patriot Argentina dan Chile dalam membebaskan bahagian selatan Amerika Selatan.

Argentina: Revolusi Mei
Sebulan selepas Revolusi 19 April 1810 di Caracas, pada bulan Mei 1810, Buenos Aires, ibu kota Kewizuraian Río de la Plata yang terletak di tebing barat Sungai Plata, digegarkan oleh gelombang revolusi yang menjatuhkan pemerintahan kolonial Sepanyol di situ.
Golongan elit criollo di Kewizuraian Río de la Plata mendapat inspirasi daripada Revolusi Amerika dan Revolusi Perancis. Golongan elit criollo melihat bahawa mereka juga boleh bertindak seperti golongan peneroka kolonial di Tiga Belas Jajahan yang berjuang sehingga berjaya mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan British. Mereka mendukung pembentukan republik yang melindungi hak kebebasan dan hak harta, di samping menegakkan prinsip bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang. Golongan criollo yang muda pula tertarik dengan idea-idea radikal yang dibawa dalam Revolusi Perancis.

Apabila tentera British menceroboh wilayah Río de la Plata sebanyak dua kali pada tahun 1806 dan 1807 untuk cuba merampas tanah jajahan itu daripada Sepanyol, penduduk-penduduk di situ, terutamanya penduduk-penduduk di Buenos Aires, mengorganisasikan diri mereka ke dalam militia yang dipimpin oleh golongan criollo untuk melawan tentera British. Dalam pencerobohan pada tahun 1806, Wizarai Río de la Plata terus melarikan diri dari Buenos Aires apabila tentera British tiba di situ dan menduduki Buenos Aires selama 46 hari sebelum diusir keluar oleh militia tempatan. Pada tahun 1807, tentera British menyerang dan menduduki bandar Montevideo untuk beberapa bulan, dan cuba menawan semula Buenos Aires. Selepas pertempuran di jalanan selama beberapa hari, tentera British mengalami pengorbanan besar kerana penentangan hebat daripada militia tempatan dan tentera kolonial Sepanyol, akhirnya terpaksa berundur keluar dari Montevideo.
Oleh sebab, militia tempatan di wilayah Río de la Plata berjaya menewaskan tentera British dengan sokongan yang amat sedikit sahaja daripada pihak pemerintah kolonial Sepanyol, golongan criollo di situ semakin berkeyakinan bahawa kemerdekaan Argentina adalah berkemungkinan. Batalion-batalion militia tempatan di Río de la Plata dipimpin oleh tokoh-tokoh revolusioner seperti Cornelio Saavedra (1759-1829), Manuel Belgrano (1770-1820), Esteban Romero (1754-1824), Juan Martín de Pueyrredón (1777-1850), Juan José Viamonte (1774-1843) dan Martín Rodriguez (1771-1845).

Apabila negara induk Sepanyol terjerumus dalam Perang Semenanjung dengan pencerobohan tentera Perancis dan pelantikan Joseph Bonaparte sebagai Raja Sepanyol, sesetengah orang yang berpengaruh di Río de la Plata menyeru untuk menubuhkan sebuah majlis yang bebas seperti junta di negara induk Sepanyol untuk mentadbir Buenos Aires sehingga krisis di Sepanyol itu selesai. Apabila berita tentang bandar Sevilla ditawan oleh tentera Perancis dan Junta Pusat Agung dibubarkan sampai di Buenos Aires beberapa bulan kemudian, penduduk-penduduk di situ juga tergempar seperti penduduk-penduduk di Caracas sebulan sebelum itu. Pada 18 Mei 1810, sekumpulan penduduk bandar Buenos Aires meminta Baltasar Hidalgo de Cisneros, Wizurai Río de la Plata pada masa itu, untuk menubuhkan sebuah majlis perbandaran. Cisneros cuba mengekalkan status quo. Sekumpulan elit criollo yang terdiri daripada peguam-peguam dan pegawai-pegawai tentera mengadakan persidangan cabildo terbuka di Buenos Aires pada 22 Mei 1810, yang dihadiri oleh lebih 200 orang, untuk memutuskan masa hadapan Kewizuraian Río de la Plata.
Peserta-peserta cabildo terbuka Buenos Aires membahaskan kedudukan kerajaan di Río de la Plata pada masa itu. Terdapat pandangan bahawa mengikut prinsip kedaulatan rakyat, apabila raja yang sah hilang kuasanya, kuasa itu akan dikembalikan kepada rakyat, maka rakyat berhak untuk menubuhkan kerajaan yang baharu.

Pada 24 Mei 1810, persidangan cabildo memutuskan untuk menubuhkan sebuah junta sementara yang anggotanya termasuk Baltasar Hidalgo de Cisneros, bersama-sama dengan Juan José Castelli (1764-1812) yang merupakan seorang pemimpin criollo dan Cornelio Saavedra yang merupakan komander militia tempatan. Namun, penduduk-penduduk di Buenos Aires tidak mahu Cisneros yang menyandang jawatan Wizurai itu mengambil bahagian dalam kerajaan baharu.
Pada 25 Mei 1810, orang ramai berhimpun di Plaza de la Victoria (dikenali sebagai Plaza de Mayo pada hari ini), dataran yang terletak di pusat bandar Buenos Aires, untuk menuntut pembubaran junta sementara yang dipilih sehari sebelum itu, Hasil daripada desakan rakyat yang hebat, Cisneros akhirnya meletak jawatan dan sebuah junta baharu dilantik tanpa penyertaan pegawai kolonial Sepanyol. Kerajaan baharu yang ditubuhkan itu dikenali sebagai “Primera Junta”, dengan Cornelio Saavedra sebagai Presiden, Mariano Moreno (1778-1811) dan Juan José Paso sebagai Setiausaha, sementara Ahli-ahli Jawatankuasa terdiri daripada Manuel Alberti, Miguel de Azcuénaga, Manuel Belgrano, Juan José Castelli, Domingo Matheu dan Juan Larrea, di mana kebanyakannya merupakan golongan criollo dan Patriot yang memperjuangkan kemerdekaan Argentina kemudian.

Peristiwa politik di Buenos Aires yang menyaksikan penubuhan Primera Junta dikenali sebagai “Revolusi Mei”. Ia menandakan permulaan perjuangan kemerdekaan Argentina. Primera Junta menyatakan bahawa ia masih setia pada Mahkota Sepanyol, tetapi akan terus memerintah Río de la Plata sehingga Raja Sepanyol yang sebenar dipulihkan takhtanya. Namun begitu, pihak kolonial Sepanyol enggan mengiktiraf Primera Junta, maka mencetuskan “Perang Kemerdekaan Argentina” (1810-1818) antara golongan Patriot yang memperjuangkan kemerdekaan dan golongan Royalis yang menyokong pemerintahan Mahkota Sepanyol.
Selepas memasukkan perwakilan daripada wilayah-wilayah lain di dalam Río de la Plata, Primera Junta digantikan oleh Junta Grande pada bulan Disember 1810. Junta Grande pula digantikan oleh Pemerintahan Tiga Serangkai Pertama (Primer Triunvirato) pada bulan September 1811 sebagai badan eksekutif. Primer Triunvirato mengamalkan dasar pemerintahan konservatif yang bertentangan dengan idea-idea liberal Zaman Pencerahan yang dibawa semasa Primera Junta yang diterajui oleh Mariano Moreno.
Pada 8 Oktober 1812, berlakunya pemberontakan rakyat di Buenos Aires yang dipimpin oleh José de San Martín (1778-1850), seorang leftenan kolonel tentera berkuda, dan Carlos María de Alvear (1789-1852), seorang lagi leftenan kolonel dalam tentera Argentina yang baharu ditubuhkan. José de San Martín dan Carlos María de Alvear merupakan bekas pegawai tentera Sepanyol yang lahir di Río de la Plata dan pulang ke Amerika Selatan selepas tercetusnya Perang Semenanjung. Mereka menubuhkan cawangan tempatan Logia de los Caballeros Racionales (atau lebih dikenali sebagai Logia Lautaro), sebuah gerakan rahsia golongan liberal yang ditubuhkan di Cádiz. Pasukan tentera yang dipimpin oleh San Martín dan Alvear berkumpul di hadapan bangunan perbandaran Buenos Aires untuk menyokong tuntutan orang ramai supaya tidak memilih ahli-ahli politik yang konservatif untuk mengisi kekosongan Primer Triunvirato. Cabildo Buenos Aires akhirnya membubarkan Primer Triunvirato dan menggantikannya dengan Segundo Triunvirato yang terdiri daripada Juan José Paso, Nicolás Rodríguez Peña dan Antonio Álvarez Jonte. Peristiwa ini dikenali sebagai “Revolusi 8 Oktober 1812”.

Kemerdekaan Wilayah Bersatu Río de la Plata dan Perang Saudara Argentina
Segundo Triunvirato memanggil Perhimpunan Tahun XIII (Asamblea del Año XIII) yang mula bersidang pada bulan Januari 1813, dan menaikkan pangkat San Martín kepada kolonel. Pada tahun 1814, Perhimpunan Tahun XIII mewujudkan jawatan Direktor Agung Wilayah Bersatu Río de la Plata untuk melaksanakan tugasan eksekutif.
Dalam Kongres Tucumán yang diadakan pada 9 Julai 1816 di bandar San Miguel de Tucumán yang terletak di bahagian utara Argentina, ahli-ahli perwakilan dari Wilayah Bersatu Río de la Plata mengemukakan “Perisytiharan Kemerdekaan Wilayah Bersatu Amerika Selatan”, yang juga dikenali sebagai Perisytiharan Kemerdekaan Argentina. Kongres Tucumán juga merangka “Perlembagaan Argentina 1819” yang didukung oleh Buenos Aires tetapi ditolak oleh wilayah-wilayah lain.

Sejak kemenangan Revolusi Mei 1810, wujudnya perbezaan pendirian politik yang ketara antara golongan Unitario dan golongan Federalismo. Golongan Unitario kebanyakannya terdiri daripada golongan elit Criollo di Buenos Aires yang mendukung idea untuk menubuhkan sebuah kerajaan pusat dengan kuasa meluas yang boleh dikenakan ke atas wilayah-wilayah lain; sementara golongan Federalismo terdiri daripada golongan elit dari wilayah-wilayah lain yang mendukung autonomi wilayah masing-masing dan tidak mahu tunduk di bawah kekuasaan Buenos Aires. Oleh itu, sentiasa wujudnya perbalahan antara dua puak itu, malah mencetuskan perang saudara yang berpanjangan, melibatkan Buenos Aires berperang dengan wilayah-wilayah lain. Ini mewujudkan keadaan huru-hara di Wilayah Bersatu Río de la Plata.
Dalam Pertempuran Cepeda pada 1 Februari 1820, golongan Federalismo dari wilayah Santa Fe yang dipimpin oleh Estanislao López (1786-1838) dan wilayah Entre Ríos yang dipimpin oleh Francisco Ramírez (1786-1821) menewaskan tentera golongan Unitario yang dipimpin oleh José Rondeau (1773-1844), Direktor Agung Wilayah Bersatu Río de la Plata pada masa itu. Pemerintahan kerajaan berpusat Wilayah Bersatu Río de la Plata dijatuhkan selepas Pertempuran Cepeda, dan perjanjian persekutuan ditandatangani antara golongan Federalismo dan Buenos Aires.

Montevideo dan Banda Oriental
Di seberang Sungai Plata, di tebing timur laut, terletaknya bandar Montevideo yang diasaskan oleh golongan penjajah Sepanyol yang mengusir keluar penjajah Portugis dari situ pada tahun 1724. Ia terletak di dalam wilayah Banda Oriental (Tebing Timur), di bahagian hujung timur Kewizuraian Río de la Plata.
Selepas berlakunya Revolusi Mei di Buenos Aires pada tahun 1810, penduduk-penduduk di Montevideo berpecah kepada golongan Royalis yang masih setia pada pemerintahan Mahkota Sepanyol dan golongan revolusioner yang menyokong kemerdekaan wilayah jajahan itu daripada Sepanyol. Golongan revolusioner yang dipimpin oleh José Gervasio Artigas (1764-1850), seorang pemimpin criollo yang berasal dari Montevideo, mengeluarkan perisytiharan pada 26 Februari 1811 untuk melancarkan perang terhadap pemerintahan Sepanyol. Dengan bantuan daripada golongan Patriot di Buenos Aires, golongan Patriot yang dipimpin oleh Artigas menewaskan tentera Sepanyol dalam Pertempuran Las Piedras pada 18 Mei 1811, dan mengepung bandar Montevideo tetapi tidak dapat menawannya.

Pihak berkuasa Sepanyol menjemput pemerintah Portugis di Brazil untuk melancarkan pencerobohan ketenteraan ke atas wilayah Banda Oriental pada bulan Julai 1811. Oleh sebab bimbang bahawa wilayah itu jatuh ke dalam tangan Portugis, golongan Patriot di Buenos Aires mengadakan pendamaian dengan pihak berkuasa Sepanyol. Tentera Portugis berundur keluar dari Banda Oriental pada penghujung tahun 1811 selepas mendapat tekanan daripada pihak British, dan golongan Royalis masih menguasai Montevideo. Artigas yang marah dengan tindakan Buenos Aires berdamai dengan Sepanyol, berundur ke wilayah Entre Ríos. Artigas kemudiannya menyertai kempen ketenteraan yang dipimpin oleh José Rondeau dari Buenos Aires untuk menawan Montevideo pada tahun 1812-1814.
Apabila golongan Patriot di Buenos Aires mengamalkan sistem pemerintahan yang sentralis, Artigas muncul sebagai jaguh Federalismo yang menuntut autonomi politik dan ekonomi bagi setiap wilayah yang tertakluk di bawah Kewizuraian Río de la Plata sebelum itu. Artigas yang berpecah dengan golongan Patriot Buenos Aires menawan bandar Montevideo pada awal tahun 1815, dan menubuhkan kerajaan berautonomi yang pertama untuk wilayah Banda Oriental.

Artigas terlibat dalam pembentukan “Liga Rakyat Bebas” (Liga de los Pueblos Libres) atau “Liga Federal”(1815-1820), sebuah perikatan Federalismo yang terdiri daripada wilayah-wilayah yang hendak membebaskan diri daripada dominasi kuasa Buenos Aires yang bersifat sentralis. Liga Federal yang merupakan persekutuan longgar antara wilayah-wilayah yang bergabung dalamnya itu ditubuhkan pada tahun 1815, setahun sebelum Kongres Tucumán. Artigas diisytihar sebagai “Pelindung” (Protector) bagi Liga Federal yang dianggotai oleh 6 buah wilayah, iaitu Provincia Oriental, Córdoba, Corrientes, Entre Ríos, Misiones dan Santa Fe, di mana 5 daripadanya kemudian menjadi sebahagian daripada negara Argentina dan Provincia Oriental menjadi Uruguay.
Penentangan Liga Federal terhadap kerajaan yang dikuasai oleh golongan Unitario yang sentralis, tambahan pula percanggahan kepentingan antara golongan elit di Buenos Aires dan Montevideo, membawa kepada perang saudara yang berpanjangan di wilayah Río de la Plata.
Selepas memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan kuasa Eropah dan pembentukan konfederasi antara wilayah-wilayah yang merupakan bekas jajahan Kewizuraian Río de la Plata, José Gervasio Artigas juga membawa banyak pembaharuan liberal yang dipengaruhi oleh pemikiran Zaman Pencerahan, termasuk pembahagian kuasa kepada tiga cabang kerajaan, kebebasan sivil, kebebasan agama, kerajaan yang menumpu perhatian kepada perlindungan hak semula jadi rakyat, perdagangan bebas antara wilayah-wilayah yang bergabung dalam konfederasi dan sebagainya, di samping melaksanakan pengagihan tanah kepada golongan keturunan Afrika yang bebas, golongan zambo yang bebas, masyarakat pribumi, golongan criollo yang miskin dan golongan balu dengan anak yang memerlukan sumber rezeki. Dasar yang dibawa oleh Artigas mendapat sokongan yang besar daripada rakyat berbilang kaum di wilayah Banda Oriental.

Perkembangan pengaruh Liga Federal menimbulkan kebimbangan kerajaan Portugis yang tidak mahu fahaman republikan yang dibawa oleh Liga Federal itu menyebar ke dalam wilayah-wilayah jajahan Portugis di Brazil. Oleh itu, tentera Portugis di Brazil melancarkan pencerobohan ke atas Banda Oriental pada tahun 1816 dengan niat menghancurkan revolusi yang dipimpin oleh Artigas di situ. Tentera Portugis yang mempunyai lebih banyak pengalaman perang dan kelengkapan yang lebih canggih, menawan bandar Montevideo pada bulan Januari 1817. Tentera Liga Federal yang dipimpin oleh Artigas akhirnya ditewaskan dalam Pertempuran Tacuarembó pada 22 Januari 1820, dan Banda Oriental digabungkan ke dalam Brazil dengan diberikan nama sebagai wilayah Cisplatina.
Oleh sebab golongan Federalismo dari Entre Ríos dan Santa Fe berjaya menewaskan golongan Unitario di Buenos Aires, dan mereka mencapai persetujuan dengan Buenos Aires yang bertentangan dengan prinsip-prinsip yang dibawa oleh Artigas, maka Artigas dibiarkan bersendirian untuk berhadapan dengan serangan Portugis. Artigas melarikan diri dan hidup dalam buangan di Paraguay sejak bulan September 1820 sehingga dia meninggal dunia di situ pada tahun 1850.

Semasa Perang Kemerdekaan Brazil (1822-1825), tentera Empayar Brazil mengambil alih Montevideo daripada tentera Portugis. Pada tahun 1825, “Tiga Puluh Tiga Orang Timur” (Treinta y Tres Orientales), sebuah kumpulan revolusioner di wilayah Banda Oriental yang dipimpin oleh Juan Antonio Lavalleja (1784-1853) dan Manuel Oribe (1792-1857) dengan sokongan daripada Wilayah Bersatu Río de la Plata, melancarkan pemberontakan di wilayah Cisplatina dan mengisytihar kemerdekaan daripada Empayar Brazil. Ini mencetuskan “Perang Cisplatina” (1825-1828) yang juga dikenali sebagai Perang Argentina-Brazil, di mana ia berakhir dengan Perjanjian Montevideo atau Konvensyen Perdamaian Awal pada 27 Ogos 1828 yang mengiktiraf kemerdekaan negara Uruguay. Uruguay telah dianggap sebagai negara penampan antara Brazil dan Wilayah Bersatu Río de la Plata (yang dikenali sebagai Argentina kemudian). Perlembagaan Uruguay yang pertama diperkenalkan pada tahun 1830.
Perang Kemerdekaan Chile
Kerajaan revolusioner di Buenos Aires menubuhkan “Tentera Utara” (Ejército del Norte) pada tahun 1810 dengan tujuan membebaskan bahagian barat laut Argentina dan wilayah Peru Hulu (Alto Perú) daripada tentera Royalis yang setia pada Empayar Sepanyol. Tentera Utara cuba melancarkan serangan ke atas Peru Hulu sebanyak 4 kali, pada tahun 1810-1811, 1812-1813, 1815 dan 1817, tetapi tidak dapat menewaskan tentera Royalis Sepanyol di situ.

Selepas Tentera Utara mengalami kekalahan dalam pertempuran semasa Kempen Peru Hulu Kedua pada tahun 1813, Segundo Triunvirato, badan pemerintah di Buenos Aires, melantik José de San Martín sebagai komander Tentera Utara untuk menggantikan Manuel Belgrano pada tahun 1814 dalam usaha mempertahankan kemerdekaan Wilayah Bersatu Río de la Plata yang diperjuangkan oleh golongan Patriot. Namun, San Martín mempunyai satu rancangan untuk menumpaskan pemerintahan kolonial Kewizuraian Peru, iaitu mengumpulkan sebuah tentera di wilayah Cuyo (Mendoza hari ini) yang terletak di bahagian tengah barat Argentina, melintasi Banjaran Andes untuk membebaskan wilayah Chile, dan kemudiannya mara ke Peru melalui laluan laut. Oleh itu, San Martín meletak jawatannya sebagai Komander Tentera Utara dan mengambil jawatan sebagai Gabenor wilayah Cuyo pada bulan September 1814. Di Cuyo, San Martín mengambil masa dua tahun untuk membina “Tentera Andes” (Ejército de los Andes) yang turut dianggotai oleh golongan kulit hitam keturunan Afrika.
San Martín pada asalnya hendak membina kekuatan ketenteraan yang sekadar cukup untuk menyokong golongan Patriot di Chile, tetapi mengubah rancangan untuk membina tentera yang lebih besar selepas mendapat tahu bahawa tentera Sepanyol telah menewaskan tentera Patriot di Chile dalam Pertempuran Rancagua pada bulan Oktober 1814.

Kerajaan junta yang pertama di Chile ditubuhkan pada 18 September 1810 semasa persidangan Cabildo di Santiago, dengan Juan Martínez de Rozas (1759-1813), seorang elit criollo yang pernah berkhidmat dalam kerajaan kolonial Sepanyol, dipilih sebagai Presiden Interim. Junta Pertama di Chile dibubarkan pada 4 Julai 1811 apabila Kongres Kebangsaan Chile yang Pertama mula bersidang. Junta Kedua ditubuhkan pada 10 Ogos 1811 untuk menjalankan tugasan eksekutif. Selepas rampasan kuasa pada bulan September 1811, José Miguel Carrera (1785-1821), seorang pegawai tentera criollo yang pernah terlibat dalam Perang Semenanjung, mengambil alih kuasa sebagai diktator. Pemimpin-pemimpin Patriot utama yang mengambil bahagian dalam kerajaan José Miguel Carrera termasuk Juan José Pedro Carrera (1782-1818) yang merupakan abang kepada José Miguel Carrera, Luis Carrera (1791-1818) yang merupakan adik kepada José Miguel Carrera, Bernardo O’Higgins (1778-1842) dan Manuel Rodríguez (1785-1818). Pihak berkuasa Sepanyol di Peru yang dikejutkan dengan pemberontakan di Chile mengerahkan tentera ekspedisi untuk menjatuhkan kerajaan junta di situ.
Dengan tentera Patriot ditewaskan oleh tentera Royalis Sepanyol, pemimpin-pemimpin Patriot Chile seperti Bernardo O’Higgins, José Miguel Carrera, Luis Carrera dan Manuel Rodríguez, terpaksa berselindung di wilayah Cuyo bersama tentera mereka. José de San Martín selaku Gabenor Cuyo menyambut baik kedatangan golongan Patriot Chile. Namun, adik-beradik Carrera yang hendak menubuhkan kerajaan dalam buangan telah mengingkari undang-undang tempatan di Cuyo dan askar-askar mereka pula melakukan perbuatan vandalisme. Oleh itu, San Martín menahan adik-beradik Carrera dan menghantar mereka ke Buenos Aires. San Martín juga menolak rancangan yang dikemukakan oleh adik-beradik Carrera untuk membebaskan Chile kerana menganggap ia tidak praktikal, maka mewujudkan persengketaan antara adik-beradik Carrera dan San Martín.

Semasa menjadi Gabenor di Cuyo, San Martín menumpukan usahanya untuk membangunkan Tentera Andes dan menyusun semula ekonomi di situ demi persiapan perang. Pada bulan Januari 1817, San Martín dan Bernardo O’Higgins memimpin Tentera Andes dengan 5,000 orang askar melintasi Banjaran Andes sejauh 500 kilometer dengan ketinggian purata 3,000 meter untuk memasuki wilayah Chile. Tentera Andes melancarkan serangan mengejut terhadap tentera Sepanyol di situ. Tentera Andes yang dipimpin oleh San Martín dan O’Higgins menewaskan tentera Sepanyol dalam Pertempuran Chacabuco pada 12 Februari 1817, kemudiannya memasuki bandar Santiago pada 13 Februari 1817.
Perwakilan Patriot dari Coquimbo, Santiago dan Concepción pada asalnya menawarkan jawatan Direktor Agung untuk negara Chile yang baharu dibebaskan itu kepada José de San Martín, tetapi tawaran itu ditolaknya kerana dia berhasrat untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan di wilayah-wilayah lain di Amerika Selatan. San Martín mencadangkan untuk melantik Bernardo O’Higgins, seorang criollo yang berasal dari Chile, sebagai Direktor Agung Chile. Setahun kemudian, pada 12 Februari 1818, O’Higgins meluluskan Perisytiharan Kemerdekaan Chile. Namun, Perang Kemerdekaan Chile masih berterusan sehingga tahun 1826.

Walaupun tentera Patriot Chile yang dipimpin oleh San Martín dan O’Higgins ditewaskan oleh tentera Royalis Sepanyol dalam Pertempuran Cancha Rayada pada 19 Mac 1818, iaitu sebulan selepas Perisytiharan Kemerdekaan Chile, mereka berjaya menebus semula kemenangan tidak lama kemudian dalam Pertempuran Maipú pada 5 April 1818.
Perang Kemerdekaan Peru
San Martín tidak berminat untuk menjadi pemerintah diktator yang menjalankan tugasan pentadbiran, sebaliknya dia hendak menumpu pada usaha pembebasan wilayah-wilayah Amerika Latin yang lain daripada pemerintahan kolonial Sepanyol. Oleh itu, selepas pembentukan negara Chile yang merdeka, San Martín memberi tumpuan kepada pembentukan tentera laut yang membolehkannya untuk menyerang Peru. Pemimpin-pemimpin Patriot di Argentina dan Chile menandatangani persetujuan pada 5 Februari 1819 untuk membebaskan Peru. San Martín percaya bahawa kemerdekaan Argentina dan Chile hanya dapat dijamin selepas kubu kuat golongan Royalis Sepanyol di Peru ditumbangkan. Tentera laut Chile yang dibina oleh San Martín siap untuk beraksi pada tahun 1820, dan diketuai oleh Thomas Cochrane (1775-1860), seorang pegawai tentera laut dari Scotland.
Tentera Pembebasan Bersatu Peru yang dipimpin oleh San Martín memulakan Ekspedisi Pembebasan Peru dengan berlepas dari bandar pelabuhan Valparaíso pada bulan Ogos 1820, mendarat di wilayah Ica pada bulan September 1820, dan mara menuju Lima di utara. Wizurai Peru dan tentera Royalis Sepanyol meninggalkan bandar Lima pada bulan Julai 1821. Tentera pimpinan San Martín menduduki Lima dan mengisytihar kemerdekaan Peru pada 28 Julai 1821. Oleh sebab Peru tidak mempunyai ahli politik tempatan yang berwibawa seperti Bernardo O’Higgins di Chile, San Martín dilantik sebagai Pelindung (Protector) bagi negara Peru yang baharu merdeka.

Walaupun kawasan pantai dan bahagian utara Peru dikuasai oleh golongan Patriot, wilayah-wilayah lain di negara itu masih di bawah kekuasaan golongan Royalis. Pihak berkuasa Kewizuraian Peru memindahkan pusat pentadbirannya ke Cuzco, yang terletak di kawasan pedalaman bahagian tenggara Peru. Republik Peru yang baharu merdeka itu perlu meneruskan peperangan dengan tentera Royalis. Perang Kemerdekaan Peru tidak mungkin dapat tamat dengan kemenangan golongan Patriot tanpa campur tangan ketenteraan daripada Gran Colombia di bawah kepimpinan Simón Bolívar.
Persidangan Guayaquil
Pada masa yang sama dengan tentera pimpinan San Martín berusaha untuk membebaskan Peru daripada pemerintahan kolonial Sepanyol, Simón Bolívar yang mencapai kemenangan dalam Pertempuran Carabobo pada tahun 1821, telah meneruskan kempen ketenteraannya ke arah selatan. Bolívar menyasarkan untuk menawan bandar Pasto dan Quito yang merupakan kubu kuat golongan Royalis, di samping menyokong wilayah Guayaquil yang sudah mengisytihar kemerdekaan pada masa itu.
Pada 9 Oktober 1820, tercetusnya pemberontakan yang menentang pihak berkuasa Sepanyol di bandar pelabuhan Guayaquil, yang merupakan sebahagian daripada wilayah Audiencia Diraja Quito dalam lingkungan Kewizuraian Peru pada masa itu. Golongan Patriot yang dipimpin oleh José de Antepara (1770-1821), José Joaquín de Olmedo (1780-1847), José de Villamil (1789-1866), Gregorio Escobedo (1795-1836) dan sebagainya menubuhkan sebuah junta tempatan dengan pasukan tentera yang bertindak untuk mempertahankan bandar itu. Perisytiharan kemerdekaan bandar Guayaquil memberi rangsangan kepada beberapa buah bandar lain di wilayah Guayaquil yang membentuk Ecuador hari ini untuk melakukan perkara yang sama, dengan Portoviejo mengisytihar kemerdekaan pada 18 Oktober 1820 dan Cuenca mengisytihar kemerdekaan pada 3 November 1820.
Pada 8 November 1820, 57 orang ahli perwakilan dari bandar-bandar di wilayah Guayaquil berhimpun di dewan bandaran Guayaquil dan mengisytihar pembentukan “Wilayah Bebas Guayaquil” (Provincia Libre de Guayaquil), dengan José Joaquín de Olmedo dipilih sebagai Presiden. Namun, Quito yang terletak kira-kira 260 km ke arah timur laut Guayaquil masih dikuasai oleh golongan Royalis pada masa itu, maka mengancam kemerdekaan Wilayah Bebas Guayaquil. Oleh itu, Olmedo meminta bantuan ketenteraan daripada José de San Martín dan Simón Bolívar, untuk mempertahankan bandar Guayaquil di samping membebaskan seluruh wilayah Audiencia Diraja Quito.

Simón Bolívar, Presiden Gran Colombia pada masa itu, mengarahkan Antonio José de Sucre untuk beredar dengan tenteranya ke Guayaquil pada bulan Februari 1821. Walaupun Antonio José de Sucre ditewaskan oleh tentera Royalis dalam Pertempuran Huachi pada 12 September 1821, dengan bantuan daripada tentera pimpinan Kolonel Andrés de Santa Cruz (1792-1865) yang dihantar dari Peru oleh José de San Martín, tentera Patriot yang dipimpin oleh Sucre berjaya menewaskan tentera Royalis dalam Pertempuran Pichincha pada 24 Mei 1822 yang berlaku di lereng gunung berapi setinggi 3,500 meter dari paras laut yang bersebelahan dengan bandar Quito. Sucre bersama tenteranya memasuki bandar Quito pada 25 Mei 1822.
Pasto yang merupakan kubu kuat golongan Royalis di bahagian selatan Colombia turut menyerah kalah kepada tentera Patriot Gran Colombia yang dipimpin oleh Simón Bolívar pada 6 Jun 1822. 10 hari kemudian, Bolívar bertemu dengan Sucre di Quito. Dengan itu, wilayah Guayaquil, atau wilayah yang pernah di bawah kekuasaan Audiencia Diraja Quito dan kemudiannya menjadi negara Ecuador, digabungkan ke dalam Gran Colombia.
Simón Bolívar dan José de San Martín, dua orang tokoh perjuangan kemerdekaan Amerika Selatan yang melancarkan kempen ketenteraan masing-masing dari dua arah yang berlainan, akhirnya bertemu di Guayaquil pada 26 Julai 1822. Bolívar dan San Martín cuba membincangkan masa hadapan untuk Peru tetapi kedua-duanya mempunyai pandangan yang berbeza. Walaupun kedua-duanya berhasrat untuk menamatkan pemerintahan kolonial Sepanyol, mereka mempunyai visi yang berlainan tentang bagaimana menyusun kerajaan di wilayah-wilayah yang dibebaskan di Amerika Selatan. San Martín mendukung pembentukan sistem raja berperlembagaan di negara-negara merdeka di Amerika Selatan, malah berhasrat untuk mengangkat seorang putera dari Eropah sebagai Raja Peru selepas negara itu dibebaskan sepenuhnya. Bolívar pula mendukung pembentukan republik di negara-negara yang baharu merdeka berdasarkan pengubahsuaiannya terhadap model Amerika Syarikat.

Selepas pertemuan bersejarah antara dua orang tokoh perjuangan kemerdekaan Amerika Selatan itu, San Martín, yang menghadapi pelbagai masalah pergolakan politik dalaman di Peru, meletak jawatannya sebagai Pelindung Peru pada bulan September 1822 di hadapan Kongres Peru yang baharu ditubuhkan pada masa itu. San Martín pulang ke Argentina dan kemudiannya meninggalkan benua Amerika Selatan untuk bersara di Perancis. Dengan itu, Bolívar mengambil alih peranannya sebagai pemimpin utama seluruh gerakan kemerdekaan dan meneruskan usaha pembebasan yang belum selesai di Amerika Selatan.
Selepas San Martín meninggalkan Peru, dengan ketidakstabilan politik dalaman yang masih berlarutan di Peru dan kekalahan ketenteraan Patriot Peru yang berterusan, Kongres Peru memutuskan untuk meminta bantuan daripada Simón Bolívar pada tahun 1823. Bolívar tiba di Lima pada bulan Disember 1823 dengan cita-cita membebaskan seluruh Peru.

Selepas tentera Patriot pimpinan Simón Bolívar menewaskan tentera Royalis dalam Pertempuran Junín pada 6 Ogos 1824, tentera gabungan Gran Colombia dan Peru di bawah kepimpinan Antonio José de Sucre menewaskan tentera Royalis dalam Pertempuran Ayacucho pada 9 Disember 1824, maka memberi dorongan baharu kepada usaha menjayakan perjuangan kemerdekaan Peru. Perang Kemerdekaan Peru berakhir apabila kubu kuat tentera Royalis Sepanyol yang terakhir di Callao menyerah kalah pada bulan Januari 1826.
Sucre dan Bolivia
Tentera Patriot Gran Colombia yang dipimpin oleh Antonio José de Sucre mara ke dalam wilayah Peru Hulu pada tahun 1825. Sucre menyeberangi Sungai Desaguadero dan menawan La Paz, bandar di mana Pedro Domingo Murillo mengatakan bahawa ia “menyalakan obor yang tidak dapat dipadamkan oleh sesiapa”, pada bulan Februari 1825, dan kemudiannya menewaskan tentera Royalis di Peru Hulu dalam Pertempuran Tumusla pada 1 April 1825.
Selepas itu, Sucre memanggil persidangan di Chuquisaca untuk menentukan masa hadapan Peru Hulu atau wilayah yang dikenali sebagai Audiencia Diraja Charcas sebelum itu. Terdapat tiga pilihan untuk dibincangkan oleh jawatankuasa yang bersidang: bergabung dengan Peru, bergabung dengan Wilayah Bersatu Río de la Plata (iaitu Argentina), atau menjadi sebuah negara yang merdeka. Hasrat Bolívar adalah Peru Hulu bergabung ke dalam Peru, tetapi golongan Patriot yang bersidang di Chuquisaca menyokong pembentukan sebuah negara yang merdeka, dan menandatangani perisytiharan kemerdekaan pada 6 Ogos 1825.

Negara baharu yang merdeka itu dinamakan sebagai “Republik Bolívar” untuk memberi penghormatan kepada Simón Bolívar yang merupakan tokoh utama dalam perjuangan pembebasan Amerika Selatan. Nama itu kemudiannya diubah suai menjadi Bolivia yang digunakan sehingga hari ini. Simón Bolívar juga dipilih oleh Perhimpunan Agung sebagai Presiden Bolivia yang pertama, tetapi dia melepaskan jawatan itu kepada Antonio José de Sucre tidak lama kemudian pada bulan Disember 1825.
Namun, pembaharuan progresif yang dibawa oleh Sucre sebagai Presiden Bolivia, seperti perampasan kebanyakan harta milik Gereja Katolik Rom untuk membiayai sistem sekolah menengah awam yang baharu, telah menghadapi tentangan daripada golongan elit tempatan yang konservatif di Bolivia. Sucre terpaksa meletak jawatan sebagai Presiden Bolivia pada tahun 1828 selepas menghadapi pemberontakan yang dicetuskan oleh golongan elit konservatif di Chuquisaca dan pencerobohan tentera Peru ke atas Bolivia untuk mengusir keluar tentera Gran Colombia di situ.
Persengketaan antara Gran Colombia dan Peru, dua buah negara Amerika Selatan yang baharu merdeka daripada pemerintahan kolonial Sepanyol pada masa itu, berkenaan penguasaan terhadap wilayah-wilayah bekas jajahan Sepanyol seperti bahagian utara Peru, Guayaquil dan Quito, mencetuskan Perang Gran Colombia-Peru (1828-1829). Antonio José de Sucre, yang berniat untuk bersara daripada politik selepas meletak jawatannya sebagai Presiden Bolivia, dipanggil untuk mempertahankan Gran Colombia daripada pencerobohan tentera Peru. Tentera Gran Colombia yang dipimpin oleh Sucre mematahkan kemaraan tentera Peru pada tahun 1829.
Sucre kemudiannya dilantik untuk mempengerusikan “Kongres Terpuji” (Congreso Admirable) di Bogotá yang merupakan usaha terakhir untuk mengekalkan penyatuan negara Gran Colombia. Pada masa itu, wujudnya tekanan politik daripada golongan elit di Venezuela dan Ecuador untuk kedua-dua buah wilayah itu berpisah keluar daripada Gran Colombia. Pada 4 Jun 1830, Sucre, seorang tokoh revolusioner Amerika Selatan yang sering dianggap sebagai pengganti kepada Simón Bolívar, dibunuh semasa dia dalam perjalanan ke Quito untuk memujuk golongan pemisah di situ.

Chuquisaca, ibu negara Bolivia, dinamakan sebagai “Sucre” mulai tahun 1839 untuk memberi penghormatan kepada Sucre; wilayah di Venezuela dengan ibu kotanya Cumaná, tempat kelahiran Sucre, dinamakan sebagai Negeri Sucre pada awal abad ke-20; sebuah wilayah di bahagian utara Colombia yang diwujudkan pada tahun 1966 juga dinamakan sebagai Sucre.
Simón Bolívar: El Libertador
Perjuangan kemerdekaan Amerika Latin yang hebat pada awal abad ke-19 merupakan gelombang revolusi yang terbentuk daripada siri pemberontakan anti-kolonial dan perang kemerdekaan yang melanda seluruh rantau itu. Terdapat pelbagai kumpulan dan individu yang mengambil bahagian dalam gelombang revolusi yang hebat itu dengan peranan yang berbeza. Kemerdekaan kebanyakan negara di Amerika Latin yang dicapai pada abad ke-19 itu merupakan hasil usaha perjuangan kolektif golongan revolusioner Patriot yang berbeza aliran dengan sokongan massa berbilang kaum pada masa itu. Namun, adanya sesetengah tokoh revolusioner Patriot itu lebih menonjol kerana idea-idea mereka yang membawa kesan mendalam dan sumbangan kepimpinan mereka yang amat penting dalam menjayakan perjuangan yang penuh cabaran itu. Salah seorang tokoh revolusioner sedemikian ialah Simón Bolívar.

Simón Bolívar (1783-1830) dilahirkan dalam sebuah keluarga elit criollo yang kaya di Caracas, ibu kota Kekaptenan Jeneral Venezuela. Moyangnya yang paling awal berhijrah merentasi Lautan Atlantik dari Sepanyol ke Caracas pada tahun 1580-an, dan generasi-generasi selepasnya berkembang menjadi keluarga elit yang menduduki tangga atasan masyarakat tempatan, dengan memiliki banyak hacienda (ladang besar) di wilayah Venezuela. Simón Bolívar menjadi anak yatim piatu pada usia yang sangat muda, maka bapa saudaranya menguruskan harta pusaka yang diwarisinya dan mengupah tutor untuk memberi pendidikan kepadanya. Salah seorang tutor yang mengajar Bolívar, Simón Rodríguez (1769-1854), memperkenalkan pemikiran Zaman Pencerahan, seperti liberalisme dan republikanisme, kepada Bolívar. Bolívar pergi ke Sepanyol pada tahun 1799 untuk belajar dan pulang ke Venezuela pada tahun 1802 bersama María Teresa Rodríguez del Toro y Alaysa, isterinya yang baru berkahwin pada masa itu, tetapi María Teresa meninggal dunia tidak lama kemudian pada tahun 1803 kerana menghidapi penyakit demam kuning. Bolívar kemudiannya pergi sekali lagi ke Eropah pada penghujung tahun 1803.
Bolívar tiba di Paris, ibu negara Perancis, pada bulan Mei 1804, ketika Napoleon Bonaparte mengisytihar dirinya sebagai Maharaja Perancis. Di Paris, Bolívar melihat perbezaan yang ketara antara Perancis yang sudah melalui revolusi borjuis yang hebat dan Sepanyol yang masih mengamalkan sistem ancien régime. Bolívar mengagumi bakat dan pencapaian Napoleon Bonaparte, tetapi dia tidak bersetuju dengan cita-cita peribadi dan tindakan Napoleon yang mengangkat dirinya sebagai Maharaja untuk memerintah secara kuku besi.
Di Paris juga, Bolívar bertemu dengan Alexander von Humboldt (1769-1859), seorang ahli sains Jerman yang baru pulang dari penjelajahannya di Amerika Sepanyol, di mana Humboldt memberitahu Bolívar bahawa dia percaya bahawa masa sudah tiba untuk wilayah-wilayah jajahan Sepanyol mencapai kemerdekaan.

Pada bulan April 1805, Bolívar meninggalkan Paris, bersama-sama Simón Rodríguez dan Fernando Rodríguez del Toro (seorang kawan zaman kanak-kanaknya dan saudara kepada mendiang isterinya), dia membuat kunjungan ke Itali. Pada bulan Ogos 1805, semasa berada di Rom, mereka mendaki Mon Sacer, sebuah bukit yang terkenal sebagai tempat bersejarah di mana pernah berlakunya secessio plebis pada zaman Republik Rom. Secessio plebis ialah tindakan mogok umum oleh golongan plebs di kota Rom purba yang meninggalkan kota Rom secara beramai-ramai dan beredar ke Mon Sacer untuk memperjuangkan tuntutan pembaharuan politik dan sosial. Di atas Mon Sacer, Bolívar yang mengikuti jejak langkah golongan plebs pada zaman Rom purba untuk sampai di situ, bersumpah bahawa dia akan mendedikasikan seumur hidupnya untuk membebaskan tanah tumpah darahnya daripada rantai penindasan. Sejak itu, Bolívar memberi komitmen sepenuhnya dalam usaha pembebasan Amerika Selatan sehingga nafas terakhirnya.
Bolívar kemudiannya pergi ke Amerika Syarikat pada tahun 1806 dan pulang Venezuela pada tahun 1807. Bolívar menjadi pemimpin utama kepada kumpulan republikan yang memperjuangkan kemerdekaan Venezuela daripada pemerintahan kolonial Sepanyol. Apabila Napoleon menceroboh Semenanjung Iberia dan menggantikan raja di Sepanyol dengan abangnya pada tahun 1808, Bolívar terlibat dalam usaha perjuangan menentang pemerintahan golongan peninsular yang membawa kepada pembentukan Republik Venezuela Pertama (1811-1812). Selepas tentera Royalis Sepanyol menumpaskan Republik Venezuela Pertama, Bolívar melarikan diri ke Wilayah Bersatu Nueva Granada. Bolívar menulis “Manifesto Cartagena” yang menyatakan bahawa kegagalan Republik Venezuela Pertama adalah oleh sebab perpecahan dalaman, maka perlukan kerajaan pusat yang kuat untuk mengekalkan perpaduan politik dalam menghadapi ancaman musuh.
Bolívar yang memimpin tentera Patriot dari Wilayah Bersatu Nueva Granada berjaya menawan semula Caracas pada tahun 1813 dan menubuhkan Republik Venezuela Kedua (1813-1814), tetapi hanya bertahan setahun. Bolívar mula mendapat gelaran sebagai “Sang Pembebas” (El Libertador) apabila tenteranya memasuki bandar Caracas pada 6 Ogos 1813.

Semasa hidup dalam buangan di Jamaica pada tahun 1815, Bolívar membentangkan visinya untuk benua Amerika yang merdeka dalam “Surat dari Jamaica”. Bolívar kemudiannya pergi ke Haiti, dan mendapat bantuan daripada Alexandre Pétion, tokoh revolusioner Haiti, dengan syarat dia harus menghapuskan perhambaan di wilayah-wilayah yang dibebaskannya. Bolívar berpegang teguh pada janjinya mengenai pembebasan hamba itu, walaupun banyak dalam kalangan pemimpin Patriot di Amerika Latin tidak begitu ingin berbuat demikian.
Selepas golongan Patriot menguasai bahagian timur Venezuela berikutan Kempen Guayana (1816-1817), Bolívar mengisytiharkan penubuhan Republik Venezuela Ketiga (1817-1819). Tentera Patriot yang dipimpin oleh Bolívar menawan Bogotá pada bulan Ogos 1819, dan Kongres Angostura mengisytihar pembentukan Republik Gran Colombia pada bulan Disember 1819. Bolívar dipilih sebagai Presiden Gran Colombia yang pertama. Hampir seluruh Venezuela dibebaskan selepas Pertempuran Carabobo pada tahun 1821. Panama yang mengisytihar kemerdekaan pada bulan November 1821 terus menyertai Gran Colombia, walaupun Bolívar teragak-agak untuk menggabungkan Panama ke dalam Gran Colombia, kerana kedudukan geografinya dan Bolívar sendiri tidak memainkan apa-apa peranan secara langsung dalam perjuangan kemerdekaan Panama.
Bersama-sama Antonio José de Sucre, Bolívar membebaskan wilayah Audiencia Quito (iaitu Ecuador hari ini) dan menggabungkannya ke dalam Gran Colombia pada tahun 1822. Selepas José de San Martín melepaskan jawatannya sebagai Pelindung Peru berikutan Persidangan Guayaquil pada tahun 1822, Bolívar meneruskan usaha membebaskan wilayah-wilayah lain di dalam Peru. Bolívar dilantik sebagai Diktator Peru pada tahun 1824. Wilayah Peru Hulu dibebaskan pada tahun 1824 dan dinamakan sebagai Bolivia pada tahun 1825.

Pada tahun 1826, Bolívar menaungi penganjuran Kongres Panama untuk menghimpunkan republik-republik yang baharu merdeka di Amerika Latin dalam perbincangan membangunkan dasar yang bersatu. Kongres Panama mencadangkan pembentukan sebuah liga antarabangsa yang dianggotai oleh republik-republik di benua Amerika dengan kerjasama ketenteraan, pakatan pertahanan bersama dan sebuah parlimen supranasional.
Namun, persidangan serantau yang bercita-cita tinggi itu hanya disertai oleh perwakilan dari Gran Colombia (yang menggabungkan Colombia, Ecuador, Panama dan Venezuela), Peru, Mexico dan Wilayah Bersatu Amerika Tengah (Guatemala, El Salvador, Honduras, Nicaragua dan Costa Rica). Dua buah negara merdeka yang penting di hujung selatan benua Amerika, Chile dan Wilayah Bersatu Río de la Plata (iaitu Argentina) tidak menghantar wakil kerana tidak mempercayai Bolívar; Empayar Brazil juga tidak menghantar wakil kerana ia sedang berperang dengan Wilayah Bersatu Río de la Plata untuk terus menguasai Uruguay; Paraguay pula mengamalkan dasar mengasingkan diri.
Impian Bolívar untuk pembentukan sebuah persekutuan Amerika Latin yang bersatu itu tidak diterima oleh kebanyakan golongan elit yang memerintah negara-negara baharu di rantau Amerika Latin kerana mereka mempunyai kepentingan masing-masing, malah negara Gran Colombia sendiri terjerumus dalam perang saudara yang akhirnya membawa kepada perpecahan negara itu. Gran Colombia berperang dengan Peru pada tahun 1828-1829 kerana tiada kesepakatan dalam persoalan mengenai penguasaan terhadap wilayah-wilayah yang terletak di sempadan kedua-dua negara itu. José Antonio Páez, seorang pemimpin tentera Venezuela yang pernah berganding bahu dengan Bolívar dalam Pertempuran Carabobo, mengisytihar kemerdekaan Venezuela daripada Gran Colombia pada tahun 1830, dan menjadi Presiden Venezuela. Ecuador juga mengikut jejak langkah Venezuela dengan mengisytihar kemerdekaan pada tahun yang sama, dengan Juan José Flores (1800-1864), seorang jeneral yang berasal dari Venezuela dan pernah berkhidmat di bawah kepimpinan Bolívar, menjadi Presiden Ecuador yang pertama.
Apabila Bolívar menyedari kehadirannya mengancam kedamaian di negara-negara yang pernah dibebaskannya, dia meletakkan jawatannya sebagai Presiden Gran Colombia, dan kemudian meninggalkan Bogotá, ibu negara Gran Colombia, pada bulan Mei 1830. Bolívar bercadang untuk mencari perlindungan di Eropah, tetapi membatalkan rancangannya ke Eropah kerana badannya sudah pun begitu lemah kerana penyakit tuberkulosis yang semakin teruk. Lebih-lebih lagi, Bolívar menerima tamparan hebat apabila mendapat tahu tentang Antonio José de Sucre, orang yang dilatih sebagai penggantinya, telah dibunuh pada bulan Jun 1830. 6 bulan selepas kematian Sucre, Bolívar meninggal dunia kerana penyakit tuberkulosis di Santa Marta yang terletak di bahagian utara Colombia, pada 17 Disember 1830.

Simón Bolívar boleh dikatakan pemimpin revolusioner yang terulung di Amerika Selatan dengan peranannya dan pencapaiannya tidak kurang hebat berbanding George Washington di Amerika Syarikat dan Napoleon Bonaparte di Eropah. Bolívar ialah seorang perancang perjuangan, komander di medan perang, ahli falsafah politik yang merangka perlembagaan, pembebas bangsa-bangsa tertindas di Amerika Selatan dan pengasas beberapa buah republik. Bolívar membebaskan seluruh bahagian utara Amerika Selatan daripada pemerintahan kolonial Empayar Sepanyol, untuk meletakkan asas kepada kemerdekaan negara-negara seperti Colombia, Venezuela, Ecuador, Peru dan Bolivia. Bersama-sama dengan José de San Martín yang memainkan peranan kepimpinan penting dalam pembebasan Argentina, Chile dan Peru di bahagian selatan Amerika Selatan, Bolívar tetap dianggap sebagai inspirasi kepada perjuangan pembebasan di Amerika Latin, malah di seluruh dunia.
Inspirasi daripada Bolívar bukan sekadar pencapaiannya yang menakjubkan itu, tetapi juga idea-idea politiknya yang melangkaui zamannya. Bolívar memperjuangkan kebebasan, di mana dia mengganggap kebebasan sebagai “satu-satunya objek yang berbaloi untuk pengorbanan nyawa manusia”. Bagi Bolívar, kebebasan bukan sekadar kebebasan daripada pemerintahan ancien régime yang berkuasa mutlak pada abad ke-18, tetapi juga kebebasan daripada cengkaman kuasa kolonial, yang melibatkan kemerdekaan sebenar di bawah perlembagaan liberal yang menjamin hak kebebasan asas rakyat. Seperti tokoh revolusioner lain yang dipengaruhi oleh pemikiran Zaman Pencerahan, selain kebebasan, Bolívar juga menginginkan kesamarataan, di mana semua orang harus dilayan secara sama rata tanpa mengira kelas atau warna kulit mereka.

“Kita harus ingat bahawa rakyat kita bukannya orang Eropah atau Amerika Utara; sebaliknya mereka adalah campuran orang Afrika dan orang Amerika yang berasal di Eropah. Malah Sepanyol sendiri tidak lagi bersifat Eropah kerana darah Afrikanya, institusinya dan wataknya. Adalah mustahil untuk menentukan dengan mana-mana tahap ketepatan di mana kita tergolong dalam keluarga manusia,” ulas Bolívar semasa berucap dalam Kongres Angostura. “Sebahagian besar orang pribumi Indio telah dimusnahkan; orang Sepanyol telah bercampur dengan orang Amerika dan orang Afrika, dan orang Afrika dengan orang Indio dan Sepanyol. Walaupun kita dilahirkan oleh ibu yang sama, bapa kita, berbeza dari segi asal usul dan darah, adalah orang asing, dan semuanya berbeza dengan jelas dalam warna kulit mereka: satu ketidakserupaan yang meletakkan tanggungjawab yang paling penting pada diri kita. Di bawah Perlembagaan, yang mentafsir undang-undang semula jadi, semua warganegara Venezuela menikmati kesamarataan politik yang sepenuhnya. Walaupun kesamarataan mungkin bukannya dogma politik di Athens, Perancis atau Amerika Utara, kita harus menyucikannya di sini untuk memperbetulkan kesenjangan yang nampaknya wujud.”
Dalam konteks perjuangan pembebasan benua Amerika daripada pemerintahan kolonial Eropah, semangat kebebasan dan kesamarataan itu hanya benar-benar dapat direalisasikan dengan penghapusan perhambaan, sesuatu yang ditegakkan secara dasarnya dalam Revolusi Haiti tetapi bukannya Revolusi Amerika. Bolívar berjanji kepada pemimpin revolusioner Haiti bahawa dia akan membebaskan hamba, dan dia memang mengotakan janji itu.
Sepanjang penglibatannya dalam perjuangan pembebasan Amerika Latin, Bolívar sentiasa berusaha untuk membina demokrasi liberal di Amerika Latin. Bolívar bercita-cita untuk menubuhkan sebuah persekutuan republik-republik Amerika Latin dengan setiap negara ditadbir oleh sebuah badan eksekutif yang kuat dan berlandaskan perlembagaan yang liberal. Bolívar berhujah dalam Manifesto Cartagena bahawa sistem persekutuan (federalisme) yang diamalkan di Amerika Syarikat merupakan kerajaan yang sempurna tetapi ia tidak dapat dilaksanakan di Amerika Sepanyol, kerana corak penjajahan Sepanyol mengakibatkan rakyat di situ tidak dapat membangunkan institusi politik yang stabil dan tidak bersedia untuk federalisme.
Bolívar percaya bahawa kerajaan harus bertanggungjawab pada rakyat. “Hanya majoriti yang berdaulat,” tulis Bolívar. “Orang yang mengambil tempat rakyat itu adalah penzalim dan kekuasaannya adalah perampasan.” Namun, Bolívar tidak begitu idealistik untuk menganggap bahawa Amerika Selatan sudah bersedia untuk mengamalkan demokrasi sejati, ataupun ketidakadilan sosial yang wujud pada masa itu boleh dihapuskan begitu sahaja dengan kemerdekaan Amerika Selatan daripada penjajahan Sepanyol. Sepanjang kehidupan politiknya, selain bertempur untuk kemerdekaan Amerika Selatan, Bolívar menghabiskan banyak masanya dalam membangunkan dan mengubah suai prinsip-prinsip yang dipegangnya, dengan hasrat mencapai keseimbangan antara demokrasi dan kekuasaan.

Bolívar cuba merealisasikan idea-idea Zaman Pencerahan dalam pembaharuan yang dibawanya di dalam wilayah-wilayah Amerika Latin yang dibebaskannya. Walaupun banyak pembaharuannya tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana penentangan daripada golongan elit yang terasa kepentingan mereka dijejaskan oleh pembaharuannya yang dianggap terlalu radikal. Misalnya, usaha Bolívar untuk menghapuskan perhambaan tidak begitu berjaya kerana keengganan golongan elit criollo lain untuk mengikuti jejaknya. Di tempat di mana hamba-hamba dibebaskan apabila tentera Patriot yang dipimpin oleh Bolívar tiba di situ, amalan perhambaan dipulihkan selepas Bolívar meninggalkan tempat itu. Walau bagaimanapun, usaha pembaharuan yang cuba dilakukan oleh Bolívar menjadi perintis kepada usaha pembaharuan seterusnya. Pembaharuan yang dibawa oleh Bolívar di kawasan pedalaman telah memanfaatkan masyarakat orang asal di samping memelihara sumber hutan. Bolívar juga berpegang teguh pada prinsip toleransi agama, dan pemisahan antara gereja dan negara.
Bolívar sentiasa mengimpikan penyatuan dan integrasi Amerika yang sebenar. Dalam arahan yang dikeluarkan pada tahun 1821 oleh kerajaan Gran Colombia kepada wakil-wakil yang dihantar ke negara-negara lain yang sudah dibebaskan di Amerika Latin, idea-idea Bolívar berbunyi demikian, “… konfederasi ini tidak harus dibentuk semata-mata atas prinsip-prinsip perikatan biasa untuk serangan dan pertahanan: ia harus lebih rapat berbanding apa yang telah dibentuk akhir-akhir ini di Eropah untuk menentang kebebasan rakyat. Adalah perlu untuk kita menjadi persatuan negara-negara yang bersaudara, dipisahkan pada masa kini dan mengamalkan kedaulatan mereka masing-masing kerana perkembangan sejarah manusia, tetapi bersatu, kuat dan berkuasa untuk mempertahankan diri mereka daripada pencerobohan kuasa asing. Adalah penting untuk anda mendesak bertubi-tubi keperluan yang kini wujud untuk menubuhkan asas bagi sebuah Badan Amfiksionik atau Perhimpunan wakil penuh kerajaan yang akan mempromosikan kepentingan bersama negara-negara Amerika, untuk membatalkan perselisihan yang mungkin timbul pada masa hadapan antara bangsa-bangsa yang mempunyai adat dan tabiat yang sama, dan kekurangan sebuah institusi yang diberkati sebegini mungkin boleh mencetuskan peperangan malang yang sudah memusnahkan wilayah-wilayah yang kurang bernasib baik.”
Impian Bolívar untuk sebuah rantau Amerika yang bersatu tidak tercapai, kerana wujudnya percanggahan kepentingan dalam kalangan golongan pemimpin tentera yang berkuasa dalam proses perjuangan kemerdekaan Amerika Latin. Golongan pemimpin tentera yang memegang kuasa politik yang besar di wilayah-wilayah atau negara-negara Amerika Latin pasca kolonialisme Eropah itu dikenali sebagai Caudillo. Persaingan dalam kalangan golongan caudillo untuk mengekalkan dan mengembangkan kekuasaan mereka menjadi salah satu punca utama kepada kegagalan pembentukan persekutuan negara-negara Amerika Latin yang sebenar, malah memberi ruang kepada kuasa-kuasa imperialis lain, khususnya Amerika Syarikat, untuk mendominasi Hemisfera Barat dengan dasar geopolitik yang merugikan negara-negara Amerika Latin.
Bolívar berusaha untuk menjadikan negara Gran Colombia sebuah republik yang mengamalkan demokrasi liberal sebenar melalui pembinaan pendidikan awam yang percuma. Namun, Bolívar menjadi semakin kecewa dengan pergolakan politik dalaman yang membingungkan, dan mengambil pendekatan yang lebih autoritarian untuk menangani krisis perpecahan puak di dalam negara-negara yang dibebaskannya. Pada tahun 1828, dalam usaha terakhirnya untuk mengekalkan penyatuan Gran Colombia yang semakin digugat pada masa itu, Bolívar membentangkan satu cadangan perlembagaan yang mengandungi perkara-perkara seperti: Peru dan Bolivia turut digabungkan ke dalam Gran Colombia, sebuah kerajaan pusat yang kuat dan jawatan presiden adalah seumur hidup dengan presiden itu berhak untuk melantik penggantinya. Semestinya pendekatan yang autoritarian itu ditentang oleh pelbagai pihak. Pada tahun 1830, Bolívar berkata dengan penuh kecewa, “Semua orang yang pernah berkhidmat untuk Revolusi telah membajak di laut.”

Walaupun Bolívar meninggal dunia dengan kekecewaan bahawa impian pembebasan dan penyatuan Amerika Latin itu tidak dapat dicapai sepenuhnya, idea-idea Bolívar telah menjadi inspirasi kepada perjuangan pembebasan untuk generasi-generasi selepasnya. Selain negara Bolivia yang dinamakan sebegitu sebagai pengiktirafan dan penghormatan terhadap sumbangan Simón Bolívar, wilayah di Colombia di mana terletaknya bandar Cartagena dinamakan sebagai Bolívar pada tahun 1886; sebuah wilayah di bahagian tengah Ecuador yang diwujudkan pada tahun 1884 dinamakan sebagai Bolívar; bandar Angostura di mana Kongres Angostura itu diadakan itu ditukar nama kepada Ciudad Bolívar pada tahun 1846; Negeri Guayana di mana Ciudad Bolívar itu terletak dinamakan sebagai Negeri Bolívar pada tahun 1901; nama rasmi negara Venezuela ditukar kepada “Republik Bolivar Venezuela” pada tahun 1999 dalam proses Revolusi Bolivar yang diterajui oleh Hugo Chávez (1954-2013).
Paraguay
Wilayah Intendencia Paraguay yang berada di bawah kekuasaan Kewizuraian Río de la Plata terletak di lokasi yang agak terpencil di dalam Kewizuraian itu, dengan kedudukannya dihimpit antara Argentina (di selatan dan barat daya), Brazil (di timur dan timur laut) dan Bolivia (di barat laut).
Selepas Revolusi Mei dan Primera Junta ditubuhkan di Buenos Aires pada tahun 1810, gabenor Paraguay memanggil sebuah persidangan cabildo yang dihadiri oleh 200 orang kenamaan tempatan pada 24 Julai 1810 untuk menyatakan kesetiaan berterusan kepada Raja Sepanyol dan menolak kekuasaan Primera Junta di Buenos Aires. Golongan Patriot Paraguay menggunakan kesempatan itu untuk mempersiapkan diri mereka supaya mendapatkan kemerdekaan daripada kedua-dua Wilayah Bersatu Río de la Plata (iaitu Argentina) dan negara Sepanyol.

Tentera Patriot dari Wilayah Bersatu Río de la Plata yang dipimpin oleh Manuel Belgrano melancarkan serangan ke atas wilayah Intendencia Paraguay pada bulan September 1810, dengan harapan mereka boleh mendapat sokongan daripada golongan Patriot Paraguay untuk membebaskan wilayah itu. Namun, tentera yang dihantar dari Buenos Aires itu tidak mendapat sokongan daripada kebanyakan golongan Patriot Paraguay, malah adanya pemimpin Patriot Paraguay berpihak dengan tentera Sepanyol di medan perang, maka kempen ketenteraan yang dilancarkan oleh Buenos Aires itu menemui kegagalan dan tentera pimpinan Manuel Belgrano terpaksa berundur keluar dari wilayah Paraguay pada bulan Mac 1811.
Namun, tidak sampai dua bulan selepas pengunduran tentera pimpinan Belgrano, tercetusnya pemberontakan pada 14 Mei 1811 di bandar Asunción dan menjatuhkan pemerintahan kolonial Sepanyol di situ. Sebuah junta dengan 3 orang anggota ditubuhkan selepas Revolusi 14 Mei.
Kongres Kebangsaan Paraguay Pertama diadakan pada 17 Jun 1811, dan meluluskan pembentukan Junta Superior Gubernativa yang dianggotai oleh 5 orang dan diketuai oleh Fulgencio Yegros (1780-1821), seorang pegawai tentera criollo tempatan. Junta Superior Gubernativa menghantar surat kepada Buenos Aires untuk menyatakan bahawa Paraguay akan merdeka dan mencadangkan pembentukan sebuah konfederasi negara-negara merdeka. Satu persetujuan konfederasi ditandatangani antara junta di Asunción dan junta di Buenos Aires pada bulan Oktober 1811, tetapi persepakatan itu hanya bertahan sekejap.
Kongres Kebangsaan Paraguay Kedua diadakan pada 30 September hingga 12 Oktober 1813. Kongres itu dihadiri oleh 1,100 orang perwakilan dan dipengerusikan oleh Pedro Juan Caballero (1786-1821), seorang pemimpin criollo yang memainkan peranan penting dalam Revolusi 14 Mei. Kongres meluluskan perlembagaan baharu pada 12 Oktober 1813, dan Republik Paraguay ditubuhkan secara rasminya. Kongres menubuhkan sebuah badan eksekutif yang dianggotai oleh 2 orang konsul, iaitu Fulgencio Yegros dan José Gaspar Rodríguez de Francia (1766-1840), seorang peguam tempatan yang juga merupakan pemimpin Patriot utama dalam Revolusi 14 Mei.
Kongres Kebangsaan Paraguay Ketiga yang diadakan pada bulan Oktober 1814 menggantikan badan konsulat dua-anggota dengan pemerintahan diktator tunggal, di mana José Gaspar Rodríguez de Francia dipilih untuk memegang jawatan itu. Dengan itu, bermulanya pemerintahan kediktatoran Rodríguez de Francia yang berterusan di Paraguay sehingga dia mati pada tahun 1840. Gelaran rasmi Rodríguez de Francia ialah “Diktator Paraguay yang Agung dan Kekal”, tetapi dia sering digelar sebagai “El Supremo” (Yang Teragung).

Oleh sebab bimbang tentang kemungkinan Paraguay diilhakkan oleh negara-negara jiran yang lebih besar seperti Brazil dan Argentina, Rodríguez de Francia mengamalkan dasar pengasingan yang termasuk mengenakan kawalan ketat terhadap perdagangan merentasi sempadan, mengehadkan hubungan dengan dunia luar dan menyekat pengaruh asing. Rodríguez de Francia berniat mewujudkan sebuah masyarakat utopia yang berasaskan idea-idea yang dibawa oleh Jean-Jacques Rousseau dalam tulisannya “Kontrak Sosial” (1762).
Rodríguez de Francia menggubal undang-undang yang mengurangkan kuasa Gereja Katolik secara ketara dan menyekat kuasa kabinet di bawahnya. Rodríguez de Francia cuba mendorong perkahwinan campur antara orang kulit putih dengan orang kulit hitam, mulato atau orang asal, dengan hasrat memecahkan dominasi kuasa golongan elit kulit putih zaman kolonial Sepanyol dan mewujudkan sebuah masyarakat mestizo atau campuran etnik.
Oleh sebab dasar Rodríguez de Francia yang menyekat kebebasan rakyatnya, Fulgencio Yegros dan beberapa orang pemimpin Patriot merancang untuk merampas kuasa pada tahun 1820, tetapi rancangan itu dibongkarkan dan pemimpin-pemimpin Patriot yang terlibat itu sama ada dihukum mati atau dipenjarakan seumur hidup. Fulgencio Yegros dihukum mati, sementara Pedro Juan Caballero membunuh diri di dalam penjara apabila mendapat tahu bahawa dia akan dihukum mati.
Perisytiharan kemerdekaan Paraguay secara rasmi hanya dibuat pada tahun 1842, dua tahun selepas kematian Rodríguez de Francia.
Dari Laungan Dolores hingga kemerdekaan Mexico
Di wilayah Kewizuraian Nueva España yang terletak di Amerika Utara dan Amerika Tengah, perjuangan menuntut kemerdekaan daripada pemerintahan kolonial Sepanyol tidak kurang hebatnya berbanding apa yang berlaku di Amerika Selatan.
Apabila pemerintahan monarki Bourbon di Sepanyol dijatuhkan oleh Napoleon untuk abangnya Joseph Bonaparte menjadi Raja Sepanyol pada tahun 1808, seperti wilayah-wilayah jajahan Sepanyol yang lain di Amerika Selatan, golongan elit criollo di wilayah Nueva España cuba mewujudkan pemerintahan autonomi di situ atas nama menyokong pewaris takhta Raja Sepanyol yang sah, Fernando VII, dengan harapan untuk memulihkan status kekuasaan mereka sebelum pembaharuan Bourbon. Namun, golongan elit peninsular yang bimbang tentang kehilangan tanah jajahan di Amerika, melancarkan rampasan kuasa di Kota Mexico, juga atas nama mendukung Fernando VII. Oleh itu, golongan criollo mula merancang untuk melancarkan pemberontakan bersenjata terhadap kerajaan kolonial Sepanyol.

Golongan elit criollo yang terlibat dalam perancangan pemberontakan termasuk Miguel Hidalgo y Costilla (1753-1811), Ignacio Allende (1769-1811), Juan Aldama (1774-1811), Mariano Abasolo (1783-1816), Josefa Ortiz de Domínguez (1768-1829) dan Miguel Domínguez (1756-1830). Miguel Hidalgo y Costilla ialah seorang paderi Katolik yang dipengaruhi fahaman sekular dan agak berpengaruh di wilayah Bajío yang terletak di bahagian tengah Mexico.
Apabila rancangan pemberontakan yang dijadualkan untuk dilaksanakan pada bulan Oktober 1810 itu terbongkar lebih awal, Miguel Hidalgo mengambil keputusan untuk bertindak pada bulan September 1810. Pada 16 September 1810, Hidalgo membunyikan loceng gerejanya untuk mengumpulkan pengikut-pengikutnya di bandar Dolores, dan menyampaikan satu ucapan yang dikenali kemudian sebagai “Laungan Dolores” (Grito de Dolores). Dalam ucapan yang mengapi-apikan semangat perjuangan itu, Hidalgo menyeru pengikut-pengikutnya untuk menamatkan penindasan kolonial selama 300 tahun, menuntut semula tanah yang dirampas daripada mereka, dan menjatuhkan ahli-ahli politik jahat serta kerajaan buruk yang memerintah mereka.

Kira-kira 800 orang menyertai barisan pemberontak yang dipimpin oleh Hidalgo di Dolores dan mara menuju ke arah Guanajuato, bandar utama di wilayah Bajío. Di setiap pekan dan bandar di mana tentera pimpinan Hidalgo itu sampai, penduduk-penduduk tempatan menyertai barisan pemberontakan untuk menyerang golongan elit peninsular dan harta milikan mereka. Apabila tentera Hidalgo sampai di bandar Guanajuato, jumlah anggota pasukan pemberontak yang dipimpinnya mencecah 30,000 orang dan terus mengembang lagi.
Namun, sebahagian besar golongan elit criollo yang pada awalnya menyokong pemberontakan terhadap pemerintahan kolonial itu tidak senang hati dengan tindakan golongan petani dalam barisan pemberontakan pimpinan Hidalgo yang sudah di luar kawalan kerana menyerang harta milik tuan tanah, maka mereka menyokong semula pihak berkuasa kolonial Kewizuraian Nueva España. Pengumuman Hidalgo yang melarang perhambaan di Mexico yang merdeka turut dianggap sebagai ancaman kepada kepentingan golongan elit pemilik harta dan susunan masyarakat yang sedia ada.
Walaupun Hidalgo dapat menghasut ribuan orang untuk menyertainya dan berhasrat untuk menghancurkan susunan masyarakat lama, dia tidak menyusun pengikut-pengikutnya menjadi pasukan tempur yang berdisiplin dan tidak mempunyai strategi ketenteraan yang menyeluruh untuk memajukan perjuangan.

Dalam Pertempuran Monte de las Cruces pada 30 Oktober 1810, tentera Hidalgo dengan jumlah sekurang-kurangnya 80,000 orang berjaya menewaskan tentera Royalis yang hanya beberapa ribu orang sahaja. Walaupun laluan menuju ke Kota Mexico yang merupakan ibu kota Kewizuraian Nueva España sudah luas terbuka, Hidalgo tiba-tiba mengarahkan tenteranya untuk berhenti daripada terus mara menuju Kota Mexico, sebaliknya beredar ke Guadalajara di barat. Keputusan Hidalgo yang tidak masuk akal itu boleh dikatakan melepaskan peluang keemasan untuk menumpaskan pemerintahan kolonial Sepanyol, dan Perang Kemerdekaan Mexico yang berkemungkinan sudah boleh mencapai kemenangan awal pada masa itu terpaksa diteruskan selama 11 tahun lagi yang penuh dengan pengorbanan.
Di Guadalajara, Hidalgo menubuhkan sebuah kerajaan alternatif yang dipimpin olehnya. Hidalgo mengeluarkan perintah yang menghapuskan perhambaan dan memansuhkan ufti yang perlu dibayar oleh masyarakat orang asal kepada golongan tuan tanah criollo serta peninsular. Walau bagaimanapun, pengunduran tentera Hidalgo ke Guadalajara telah mematahkan momentum pemberontakan petani yang dimulakannya, dan ia membolehkan tentera kolonial Sepanyol untuk menyusun semula barisannya. Tentera Hidalgo ditewaskan oleh tentera Royalis Sepanyol pada bulan Januari 1811.
Oleh sebab pengkhianatan seorang pemberontak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya, semasa tentera pemberontak dalam perjalanan berundur ke utara pada bulan Mac 1811, mereka menghadapi serangan hendap daripada tentera Royalis dan semua pemimpin pemberontak ditangkap. Ignacio Allende, Juan Aldama dan kebanyakan pemimpin pemberontak dihukum mati pada bulan Jun 1811, sementara Miguel Hidalgo dibunuh pada bulan Julai 1811.

Walaupun hampir semua pemimpin asalnya dibunuh, perjuangan untuk kemerdekaan Mexico yang dimulakan dengan “Laungan Dolores” diteruskan di bahagian selatan Mexico, di bawah kepimpinan tokoh-tokoh revolusioner seperti José María Morelos (1765-1815), Ignacio López Rayón (1773-1832) dan Vicente Guerrero (1782-1831).
José María Morelos ialah seorang paderi Katolik yang pernah belajar di kolej di mana Hidalgo menjadi dekan dan menyertai pemberontakan yang dilancarkan oleh Hidalgo pada tahun 1810. Selepas semua pemimpin asal pemberontakan dihukum mati pada tahun 1811, Morelos beredar ke bahagian selatan Mexico dan mengumpulkan tentera pemberontak untuk meneruskan perjuangan mereka. Tentera pemberontak yang dipimpin oleh Morelos mengambil masa 4 tahun untuk mengusir keluar tentera kolonial Sepanyol dari bahagian tengah selatan Mexico.
Apabila Morelos datang ke bahagian selatan Mexico untuk merekrut orang baharu, Vicente Guerrero, seorang yang berketurunan campuran etnik pribumi dan Afrika yang membenci sistem casta, menyertai tentera pemberontaknya. Vicente Guerrero muncul sebagai salah seorang pegawai tentera yang paling boleh dipercayai dalam tentera pemberontak pimpinan Morelos. Selain Guerrero, pemimpin pemberontak penting lain yang berjuang bersama-sama Morelos termasuk Hermenegildo Galeana (1762-1814), Mariano Matamoros (1770-1814) dan Guadalupe Victoria (1786-1843).

Dengan kejayaan menguasai kebanyakan kawasan di bahagian selatan Mexico, Morelos menghimpunkan perwakilan daripada pelbagai kumpulan pemberontak di Chilpancingo pada bulan September 1813, untuk mengadakan Kongres Chilpancingo, yang juga dikenali sebagai Kongres Anáhuac. Kongres Chilpancingo diadakan dengan tujuan mengisytihar kemerdekaan dan merangka sebuah perlembagaan baharu. Dalam Kongres Chilpancingo, Morelos membentangkan sebuah dokumen yang dikenali sebagai “Perasaan Bangsa” (Sentimientos de la Nación) untuk menggariskan visinya tentang sebuah bangsa Mexico yang merdeka. Antara perkara yang disenaraikan dalam “Perasaan Bangsa” termasuk kemerdekaan Amerika yang sepenuhnya daripada Sepanyol, ketuanan Gereja Katolik dalam urusan keagamaan, kedaulatan rakyat menggantikan hak ketuhanan raja, pembahagian kuasa kepada tiga cabang (eksekutif, perundangan dan kehakiman), pilihan raya demokratik secara berkala, kedaulatan undang-undang, pengharaman perhambaan dan penghapusan segala diskriminasi yang berasaskan casta.
Kongres Chilpancingo meluluskan Akta Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Utara pada 6 November 1813. Kongres kemudiannya mengemukakan perlembagaan pertama untuk Mexico, Dekri Perlembagaan untuk Kebebasan Amerika Mexico atau lebih dikenali sebagai Perlembagaan Apatzingán, 22 Oktober 1814, di mana ia merupakan dokumen rasmi yang menggunakan nama Mexico buat pertama kali. Namun, perisytiharan kemerdekaan dan perlembagaan yang dihasilkan oleh Kongres Chilpancingo tidak dapat direalisasikan kerana tentera pemberontak Morelos ditewaskan berulang kali oleh tentera Royalis. Morelos ditangkap dalam satu pertempuran pada bulan November 1815, dan kemudiannya dihukum mati pada bulan Disember 1815.

Vicente Guerrero, pegawai tentera bawahan Morelos yang paling berkebolehan, mengambil alih tugasan ketua komander tentera pemberontak selepas kematian Morelos. Dari tahun 1815 hingga 1821, kebanyakan perjuangan menentang pihak berkuasa kolonial Sepanyol tertumpu pada penggunaan taktik perang gerila. Menjelang tahun 1817, dengan pihak berkuasa kolonial Kewizuraian Nueva España memperkukuhkan kedudukannya, hampir semua golongan pemberontak meninggalkan usaha perjuangan kemerdekaan, kecuali sekumpulan kecil pemberontak yang dipimpin oleh Vicente Guerrero yang masih bertapak di kawasan pergunungan di selatan. Walaupun dalam keadaan yang tidak dapat membayangkan apa-apa kemungkinan atau harapan untuk kemenangan, Guerrero tetap gigih meneruskan perjuangan. Keberanian, kegigihan dan komitmen teguh Guerrero akhirnya membuahkan hasil dengan peristiwa yang tidak dijangkakan.
Pemberontakan askar di Cádiz pada 1820 yang membawa kepada pembentukan kerajaan liberal di negara induk Sepanyol, menyebabkan golongan elit konservatif di Kewizuraian Nueva España yang menentang kemerdekaan sebelum itu tiba-tiba bertukar pendirian mereka. Salah seorang pemimpin elit konservatif yang memainkan peranan utama dalam pertukaran pendirian secara tiba-tiba itu ialah Agustín de Iturbide (1783-1824), seorang criollo yang menjadi pegawai tentera Royalis dan sudah berperang dengan golongan pemberontak selama 10 tahun untuk mempertahankan pemerintahan kolonial di Nueva España. Iturbide menganggap bahawa kekecohan politik di Kota Mexico yang timbul daripada pergolakan di negara induk Sepanyol merupakan peluang baik untuk golongan criollo yang dipinggirkan daripada kekuasaan kolonial oleh golongan peninsular itu merampas kuasa demi memulihkan kedudukan mereka, dan kemerdekaan Mexico merupakan satu-satunya cara untuk mengekalkan susunan masyarakat daripada ancaman republikan. Oleh itu, Iturbide berpaling tadah dan menerajui gerakan kemerdekaan criollo untuk berpisah daripada Sepanyol.

Namun, menyedari bahawa golongan elit criollo sendiri tidak mempunyai kekuatan massa yang mencukupi untuk menjatuhkan kekuasaan kolonial Sepanyol, Agustín de Iturbide cuba berdamai dengan musuh asalnya, iaitu golongan pemberontak yang dipimpin oleh Vicente Guerrero, untuk membentuk sebuah perikatan yang dianggap mustahil sebelum itu. Iturbide dan Guerrero bertemu di pekan Iguala pada bulan Februari 1821. Di situ, mereka bersetuju dengan “Pelan Iguala” yang menggariskan prinsip-prinsip asas untuk perikatan mereka, yang dikenali sebagai “Tiga Jaminan” (Trigarante): Agama (dengan agama Katolik sebagai satu-satunya agama yang diterima di negara baharu); Kebebasan (iaitu kemerdekaan sepenuhnya daripada Sepanyol) dan Kesatuan (dengan semua penduduk di Mexico adalah sama rata di samping memansuhkan sistem casta). “Tiga Jaminan” boleh dikatakan menawarkan visi politik yang cukup luas untuk memenuhi tuntutan semua orang di Mexico. Selain itu, dua orang pemimpin juga bersetuju untuk menggabungkan tentera mereka ke dalam “Tentera Tiga Jaminan” (Ejército Trigarante), dengan Guerrero menerima Iturbide sebagai ketua komander. Ini merupakan kali pertama terbentuknya perikatan revolusioner yang merentasi kelas dan casta di Mexico.
Dengan “Tiga Jaminan” mendapat sambutan hebat daripada penduduk-penduduk di merata tempat dan tentera Royalis semakin kehilangan semangat, Agustín de Iturbide selaku ketua komander Tentera Tiga Jaminan dan Juan de O’Donojú selaku Wizurai Nueva España pada masa itu, menandatangani Perjanjian Córdoba pada 24 Ogos 1821, di mana pihak berkuasa Sepanyol mengiktiraf kerangka asas Pelan Iguala dan berjanji bahawa tidak akan menentang Tentera Tiga Jaminan yang mara ke Kota Mexico. Pada 27 September 1821, iaitu 11 tahun dan 11 hari sejak “Laungan Dolores”, Tentera Tiga Jaminan memasuki Kota Mexico. Pada hari keesokannya, iaitu 28 September 1821, Junta Kerajaan Sementara di Kota Mexico mengemukakan “Akta Kemerdekaan Empayar Mexico”.

Perikatan revolusioner yang dibentuk untuk menjayakan usaha perjuangan kemerdekaan Mexico itu ternyata tidak mungkin berkekalan kerana percanggahan kepentingan yang ketara antara kelas-kelas sosial yang bergabung dalamnya. Oleh itu, tidak lama selepas mencapai kemerdekaan, negara Mexico terjerumus dalam perebutan kuasa yang berterusan, kelesuan ekonomi dan ancaman kuasa imperialis asing yang lain (terutamanya Amerika Syarikat).
Pada bulan Mei 1822, Kongres Mexico mengisytihar Agustín de Iturbide sebagai Maharaja Mexico, dengan gelaran Maharaja Agustín I. Agustín I kemudiannya membubarkan Kongres dan mewujudkan pemerintahan kuku besi, maka mencetuskan pemberontakan di banyak wilayah. Antonio López de Santa Anna (1794-1876), seorang pegawai tentera yang berkhidmat untuk pihak Royalis dan mengikut jejak Agustín de Iturbide untuk menyertai perjuangan pro-kemerdekaan, menjadi salah seorang tokoh penting yang paling awal menentang pemerintahan Agustín I dan menyokong pemulihan Kongres. Vicente Guerrero, pemimpin utama perjuangan kemerdekaan yang bersekutu dengan Agustín de Iturbide sebelum itu untuk mencapai kemerdekaan, turut memberontak bersama Nicolás Bravo (1786-1854), seorang lagi pemimpin perjuangan kemerdekaan. Oleb sebah tekanan politik yang hebat, Agustín de Iturbide berundur daripada takhta Maharaja Mexico pada bulan Mac 1823 dan melarikan diri ke Eropah. Agustín de Iturbide pulang ke Mexico pada bulan Julai 1824 dengan harapan untuk kembali berkuasa, tetapi dia terus ditangkap dan dihukum mati.

Perlembagaan Mexico 1824 menubuhkan Republik Persekutuan Mexico Pertama (1824-1835) dengan Guadalupe Victoria dipilih sebagai Presiden Mexico yang pertama. Vicente Guerrero menjadi Presiden Mexico selepas satu rampasan kuasa yang menjatuhkan Manuel Gómez Pedraza yang menang dalam pilihan raya pada tahun 1828, tetapi Guerrero sendiri digulingkan pada penghujung tahun 1829. Sejak itu, Mexico dibelenggu dengan perpecahan politik berkekalan yang sering menyaksikan perlawanan antara golongan konservatif dan golongan liberal untuk berkuasa.
Selepas Mexico mencapai kemerdekaan, Sepanyol masih menguasai San Juan de Ulúa, sebuah kubu yang menghadap pelabuhan Veracruz di bahagian timur Mexico, sehingga tahun 1825. Kerajaan Sepanyol masih cuba menakluk semula Mexico tetapi tidak membuahkan apa-apa hasil, dengan tentera Sepanyol akhirnya ditewaskan dalam Pertempuran Tampico pada tahun 1829 di bahagian timur laut Mexico. Sepanyol mengiktiraf kemerdekaan Mexico dalam Perjanjian Santa María–Calatrava pada tahun 1836, menjadikan Mexico bekas tanah jajahan pertama yang diiktiraf kemerdekaannya oleh Sepanyol.

Semasa zaman dominasi kuasa oleh Antonio López de Santa Anna (1794-1876) yang pernah menjadi Presiden Mexico beberapa kali dari tahun 1833 hingga 1855, Republik Sentralis Mexico (1835-1846) ditubuhkan tetapi digantikan kemudian oleh Republik Persekutuan Mexico Kedua (1846-1863). Amerika Syarikat menceroboh Mexico dan mencetuskan Perang Amerika Syarikat-Mexico (1846-1848) yang berakhir dengan Mexico yang ditewaskan itu melepaskan wilayah-wilayah seperti Arizona, California, New Mexico, Nevada, Texas dan Utah kepada Amerika Syarikat. Empayar Mexico Kedua (1863-1867) ditubuhkan oleh golongan konservatif dan menobatkan seorang ahli kerabat diraja Habsburg dari Austria sebagai Maharaja Mexico, tetapi hanya bertahan 4 tahun sebelum dijatuhkan dan digantikan oleh Republik Dipulihkan (1867-1876), yang kemudiannya digantikan pula oleh pemerintahan kediktatoran Porfirio Díaz yang berlarutan sehingga ia digulingkan pada tahun 1911 semasa Revolusi Mexico (1910-1920).
Amerika Tengah
Di hujung selatan wilayah Kewizuraian Nueva España, setahun selepas “Laungan Dolores” dan pencetusan Perang Kemerdekaan Mexico, tercetusnya pemberontakan di wilayah Intendencia San Salvador yang berada di bawah kekuasaan Kekaptenan Jeneral Guatemala pada 5 November 1811, yang dikenali sebagai “Laungan Pertama untuk Kemerdekaan Amerika Tengah”. Pemberontakan itu dilancarkan oleh golongan elit kelas menengah, kebanyakannya golongan criollo, untuk memperjuangkan kemerdekaan daripada pemerintahan kolonial Sepanyol. Antara pemimpin-pemimpin pemberontakan itu termasuk Nicolás Aguilar y Bustamante (1742-1818), Vicente Aguilar y Bustamante (1746-1818), Manuel Aguilar y Bustamante (1750-1819), José Matías Delgado (1767-1832), Juan Manuel Rodríguez (1771-1847), Pedro Pablo Castillo (1780-1817), Santiago José Celis (1782-1814) dan Manuel José Arce (1787-1847).

Gerakan kemerdekaan yang bermula di bandar San Salvador itu merebak dengan cepat ke bandar-bandar lain di wilayah yang membentuk negara El Salvador hari ini, seperti Chalatenango, Cojutepeque, Metapán, Santa Ana, Santiago Nonualco, Sensuntepeque, Tejutla dan Usulután. Pemberontakan yang serupa juga tercetus di bandar León dan Granada di Intendencia Nicaragua pada bulan Disember 1811. Namun, gerakan kemerdekaan itu dipatahkan oleh pihak berkuasa Sepanyol. Ramai orang yang terlibat ditangkap dan dipenjarakan. Berbeza dengan wilayah-wilayah lain di Amerika Latin, gerakan kemerdekaan di Amerika Tengah pada masa itu bersifat agak aman dengan tiadanya pemberontakan bersenjata.
Pemberontakan untuk kemerdekaan tercetus di Bandar Guatemala pada tahun 1813, dan sekali lagi di bandar San Salvador pada tahun 1814, tetapi juga dipatahkan oleh pihak berkuasa kolonial Sepanyol. Walau bagaimanapun, sentimen pro-kemerdekaan sudah tersebar meluas dalam kalangan golongan elit di Amerika Tengah.
Seperti Mexico di utara, golongan elit konservatif di Amerika Tengah yang menyokong pemerintahan kolonial Sepanyol pada asalnya juga bertukar pendirian mereka apabila berlakunya pemberontakan askar di Cádiz yang membentuk kerajaan liberal di negara induk Sepanyol pada tahun 1820. Pada masa yang sama, pemulihan Perlembagaan 1812 yang liberal di Sepanyol pada tahun 1820 juga membenarkan wilayah-wilayah jajahan Sepanyol di Amerika Tengah untuk menubuhkan semula majlis perwakilan masing-masing, di mana ia membuka ruang kepada golongan elit tempatan, sama ada konservatif atau liberal, untuk membahaskan masa hadapan Amerika Tengah.

Majlis wilayah di Guatemala mula membincangkan kemungkinan kemerdekaan daripada Sepanyol pada tahun 1821. Pada 15 September 1821, perwakilan dari wilayah-wilayah di bawah Kekaptenan Jeneral Guatemala yang bersidang di Bandar Guatemala menandatangani “Akta Kemerdekaan Amerika Tengah”, dan menubuhkan Junta Consultiva sebagai badan pentadbiran sementara untuk wilayah itu sehingga sebuah kerajaan tetap ditubuhkan.
Namun begitu, perpaduan agak lemah dalam kalangan golongan elit tempatan di wilayah-wilayah yang berbeza di Amerika Tengah. Dengan Perang Kemerdekaan Mexico mencapai kemenangan pada masa yang hampir sama dengan penandatanganan Akta Kemerdekaan Amerika Tengah, sesetengah golongan elit tempatan di Amerika Tengah menganggap penggabungan rantau itu ke dalam Empayar Mexico sebagai pilihan terbaik untuk mengekalkan penyatuan serantau; namun sesetengah orang lain mengharapkan kemerdekaan sepenuh sama ada demi kepentingan sendiri, alasan-alasan idealistik ataupun kebimbangan tentang ketidakmampuan Mexico melindungi kepentingan ekonomi mereka. Secara umumnya, golongan monarkis yang konservatif menyokong penggabungan ke dalam Empayar Mexico; sementara golongan republikan dan nasionalis menentang pengilhakan ke dalam Mexico.
Agustín de Iturbide yang bakal menjadi Maharaja Mexico pada masa itu meminta Junta Consultiva di Guatemala untuk menyertai Empayar Mexico pada bulan November 1821, dan Junta Consultiva bersetuju untuk penggabungan ke dalam Mexico pada 5 Januari 1822. Kerajaan Mexico menghantar Brigedier Jeneral Vicente Filísola untuk menguatkuasakan pengilhakan Amerika Tengah. Namun, golongan liberal di Costa Rica, El Salvador dan Nicaragua menentang cubaan Mexico untuk menguasai wilayah-wilayah di situ.
Di Costa Rica, konflik antara golongan liberal (Republicano) yang menentang Empayar Mexico dan golongan konservatif (Imperialista) yang menyokong pengilhakan ke dalam Mexico mencetuskan Perang Ochomogo pada tahun 1823, yang berakhir dengan golongan liberal berjaya menguasai wilayah itu.

Golongan liberal di El Salvador yang dipimpin oleh José Matías Delgado dan Manuel José Arce menentang pencerobohan tentera yang dipimpin oleh Vicente Filísola pada tahun 1822 dan 1823. Kerajaan San Salvador yang dipimpin oleh José Matías Delgado dijatuhkan pada bulan Februari 1823 apabila tentera Mexico memasuki bandar San Salvador.
Pada bulan Januari 1823, José Anacleto Ordóñez (1778-1839), seorang pemimpin tentera yang liberal di Nicaragua, melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Nicaragua yang konservatif untuk menolak pengilhakan ke dalam Mexico, dan menawan beberapa buah bandar di wilayah Nicaragua. Golongan liberal menguasai bandar León dan Granada, sementara golongan konservatif menguasai Managua, Rivas dan Chinandega.
Selepas Agustín de Iturbide melepaskan takhta Maharaja Mexico pada bulan Mac 1823, Vicente Filísola memanggil pemimpin-pemimpin politik di Amerika Tengah untuk menubuhkan sebuah kongres supaya membincangkan masa hadapan rantau itu. Kongres Mexico juga mengarahkan tentera Mexico di Amerika Tengah untuk menghentikan permusuhan terhadap golongan penentang. Kongres Amerika Tengah mula bersidang pada 24 Jun 1823, dan mengisytihar kemerdekaan Amerika Tengah, kecuali wilayah Chiapas, daripada Mexico pada 1 Julai 1823.
Kongres Amerika Tengah menubuhkan “Wilayah Bersatu Amerika Tengah” (kemudiannya dikenali sebagai Republik Persekutuan Amerika Tengah), dan kongres itu disusun semula kepada Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan. Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan pada asalnya hanya dianggotai oleh ahli-ahli perwakilan dari El Salvador dan Guatemala. Costa Rica, Honduras dan Nicaragua hanya mula menghantar perwakilan ke dalam Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan selepas tentera Mexico berundur keluar sepenuhnya dari Amerika Tengah pada bulan Oktober 1823.
Selain ditugaskan untuk merangka perlembagaan, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan yang dianggotai oleh 64 orang perwakilan dari seluruh Amerika Tengah itu juga berfungsi sebagai kerajaan de facto sehingga perlembagaan diluluskan. Perwakilan dalam Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan berpecah kepada dua puak politik yang utama: golongan liberal yang menyokong bentuk kerajaan federalis (yang mendukung penyahpusatan kuasa) dan golongan konservatif yang menyokong bentuk kerajaan sentralis (yang mendukung pemusatan kuasa).
Perlembagaan Amerika Tengah yang dibentangkan pada bulan Julai 1824 dan diluluskan pada bulan November 1824, mendapat ilham daripada Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat, sistem kerajaan persekutuan Amerika Syarikat dan Perlembagaan Sepanyol 1812 yang liberal. Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan dibubarkan pada bulan Januari 1825 dan digantikan oleh Kongres Persekutuan pada bulan Februari 1825.
Republik Persekutuan Amerika Tengah yang merdeka dan baharu ditubuhkan itu dibelenggu dengan perbalahan politik antara golongan liberal dan golongan konservatif yang berterusan, tambahan pula dengan percanggahan kepentingan dalam kalangan golongan elit politik di wilayah-wilayah yang berbeza di Amerika Tengah.
Pada bulan Oktober 1824, kerajaan Republik Persekutuan Amerika Tengah cuba mendamaikan golongan liberal dan golongan konservatif yang berperang di Nicaragua. Selepas pengantaraan untuk perdamaian menemui kegagalan, Manuel José Arce memimpin pencerobohan tentera persekutuan ke atas Nicaragua pada bulan Januari 1825. Kehadiran tentera pimpinan Arce berjaya memaksa golongan liberal dan golongan konservatif di situ untuk menandatangani persetujuan gencatan senjata. Arce membubarkan kedua-dua kerajaan yang bermusuhan di Nicaragua, dan pemimpin-pemimpin daripada dua puak itu dibuang negeri.

Manuel José Arce, salah seorang pemimpin utama gerakan kemerdekaan di San Salvador pada tahun 1811, dipilih sebagai Presiden Republik Persekutuan Amerika Tengah yang pertama pada bulan April 1825. Namun, kepresidenan Arce ditolak oleh golongan konservatif, sementara tindakannya berkompromi untuk mendapat sokongan ahli perwakilan konservatif pula tidak disenangi oleh golongan liberal kerana dia dianggap mengkhianati prinsip-prinsip politik liberal.
Golongan konservatif di Amerika Tengah mendukung pembentukan sebuah kerajaan pusat yang kuat dan berkuasa besar, hendak mengekalkan hak keistimewaan gereja dan pihak tentera, di samping mengekalkan sistem pemilikan tanah yang lama. Golongan liberal di rantau itu pula mendukung sistem persekutuan yang menyahpusatkan kuasa kepada wilayah-wilayah di dalamnya, berhasrat untuk memansuhkan hak keistimewaan golongan agamawan, dan melaksanakan reformasi tanah. Sentimen tempatan juga amat kuat dalam kalangan wilayah-wilayah yang kekurangan interaksi dan integrasi sebelum itu. Jadi, perpecahan ketara sudah wujud sejak awal lagi apabila Republik Persekutuan Amerika Tengah ditubuhkan. Konflik antara golongan konservatif dan golongan liberal akhirnya mencetuskan Perang Saudara Amerika Tengah Pertama (1827-1829).
Pengkhianatan Manuel José Arce terhadap golongan liberal semakin jelas apabila dia membubarkan Kongres Persekutuan dan membentuk sebuah kongres kesatuan baharu yang didominasi oleh golongan konservatif pada tahun 1826. Tindakan Arce yang melanggar perlembagaan itu ditentang oleh Dionisio de Herrera (1781-1850), ketua negeri Honduras pada masa itu, tetapi Arce juga tidak mengiktiraf kekuasaan Herrera di Honduras. Atas alasan melindungi ladang-ladang tembakau yang dimiliki oleh kerajaan persekutuan, Arce mengarahkan José Justo Milla, bekas timbalan ketua negeri Honduras, untuk merampas kuasa daripada Herrera. Kerajaan pimpinan Dionisio de Herrera di Honduras digulingkan pada 10 Mei 1827 oleh José Justo Milla yang disokong oleh golongan konservatif di situ.
Kerajaan El Salvador yang juga membantah tindakan Manuel José Arce itu merespon dengan mengerahkan tentera menuju ke Bandar Guatemala dengan hasrat mengambil alih ibu negara Republik Persekutuan Amerika Tengah dan menjatuhkan kerajaan Arce. Namun, tentera El Salvador ditewaskan oleh tentera persekutuan yang dipimpin oleh Arce pada bulan Mac 1827. Arce kemudian mengarahkan tentera persekutuan di bawah arahan Jeneral Manuel de Arzú untuk menduduki El Salvador.

Francisco Morazán (1792-1842), seorang ahli politik liberal dan jeneral dari Honduras, menubuhkan Tentera Bersekutu Pelindung Undang-undang Amerika Tengah dengan sokongan daripada Nicaragua dan El Salvador. Pada bulan November 1827, tentera yang dipimpin oleh Morazán itu menewaskan tentera pimpinan José Justo Milla dalam Pertempuran La Trinidad, memasuki Comayagua, ibu negeri Honduras, dan menubuhkan kerajaan baharu di situ dengan melantik dirinya sebagai Ketua Negeri Honduras.
Morazán menerajui kempen ketenteraan untuk membebaskan El Salvador daripada pendudukan tentera persekutuan pada tahun 1828. Morazán kemudiannya mengumpulkan tentera yang lebih besar untuk menggulingkan pemerintahan golongan elit konservatif dan agamawan di wilayah Guatemala pada tahun 1829. Manuel José Arce memanggil Mariano Beltranena y Llano (1781-1866) untuk memangku jawatan Presiden sementara waktu pada bulan Februari 1828, tetapi apabila Arce hendak mengambil balik jawatan Presiden, Beltranena enggan melepaskan jawatan itu. Kerajaan pimpinan Beltranena dijatuhkan pada bulan April 1829 apabila tentera liberal yang dipimpin oleh Morazán memasuki Bandar Guatemala. Dengan itu, golongan liberal berjaya menguasai pemerintahan Republik Persekutuan Amerika Tengah.
Francisco Morazán dipilih sebagai Presiden Republik Persekutuan Amerika Tengah pada tahun 1830. Morazán melaksanakan pembaharuan liberal, termasuk memansuhkan cukai persepuluhan yang dikenakan oleh Gereja Katolik, membina sekolah-sekolah untuk menyediakan pendidikan awam kepada rakyat, membenarkan perkahwinan sekular, memisahkan gereja daripada institusi negara, mengisytiharkan kebebasan agama, merampas harta gereja, membebaskan pendidikan daripada kawalan gereja, menegakkan hak kebebasan bersuara, menggubal dasar perdagangan bebas, mengundang pelaburan modal asing, mengalu-alukan golongan imigran, dan sebagainya.
Golongan konservatif yang kehilangan kuasa itu tidak duduk diam begitu sahaja, tetapi melancarkan pencerobohan dari luar dengan bantuan daripada pihak Sepanyol. Pencerobohan tentera konservatif di Honduras pada tahun 1831 ditewaskan pada tahun 1832. José María Cornejo, Gabenor El Salvador pada masa itu yang konservatif, menyokong pencerobohan tentera yang dipimpin oleh Manuel José Arce dan mengisytihar pemisahan El Salvador daripada Republik Persekutuan Amerika Tengah pada bulan Januari 1832. Dengan sokongan daripada kerajaan di Guatemala dan Nicaragua, tentera persekutuan yang dipimpin oleh Morazán menewaskan tentera pimpinan Cornejo dan merampas semula penguasaan ke atas El Salvador untuk golongan liberal.

Pada tahun 1833, pemberontakan masyarakat perbumi tercetus di Santiago Nonualco, El Salvador. Pemberontakan itu dipimpin oleh Anastasio Aquino (1792-1833), seorang pekerja ladang indigo, untuk menentang kekuasaan golongan elit criollo dan mestizo di situ. Pemberontakan itu dipatahkan oleh pihak berkuasa El Salvador dan Anastasio Aquino dihukum mati.
Selain mendapat tentangan daripada golongan konservatif kerana dasar pembaharuannya yang menjejaskan kepentingan golongan elit lama, tindakan Morazán memindahkan ibu negara Republik Persekutuan Amerika Tengah dari Bandar Guatemala ke San Salvador pula menimbulkan kemarahan golongan elit liberal terhadapnya. Akibatnya, Morazán mengalami kekalahan dalam pilihan raya presiden pada penghujung tahun 1833, di mana José Cecilio del Valle, seorang pemimpin konservatif yang moderat, dipilih sebagai Presiden. Namun, Valle meninggal dunia kerana sakit sebelum dia sempat mengangkat sumpah sebagai Presiden pada tahun 1834. Morazán menang dalam pilihan raya presiden tanpa persaingan pada tahun 1835. Pemerintahan penggal kedua Morazán menghadapi lebih banyak lagi cabaran sehingga membawa kepada Perang Saudara Amerika Tengah Kedua (1838-1840) dan keruntuhan Republik Persekutuan Amerika Tengah.

Pada tahun 1837, apabila wabak kolera merebak di Guatemala, terutamanya di kawasan pergunungan yang dihuni oleh golongan pribumi yang miskin, golongan konservatif menggunakan kesempatan untuk menyebarkan khabar angin palsu bahawa kerajaan liberal meracuni sungai dengan niat menghapuskan populasi pribumi dan merampas tanah mereka. Ini mencetuskan rusuhan di Guatemala. Rafael Carrera (1814-1865), seorang mestizo yang buta huruf tetapi berkarisma, diangkat sebagai pemimpin tentera pemberontak pribumi di Guatemala dengan sokongan daripada golongan konservatif. Walaupun kerajaan liberal berulang kali menewaskan tentera pemberontak pimpinan Carrera, tentera persekutuan tidak dapat menangkap Carrera yang sering berundur ke kawasan pergunungan dan kembali menduduki semula posisi penting selepas tentera persekutuan beredar dari situ.
Golongan liberal di Los Altos yang terletak di bahagian barat Guatemala mengisytihar kemerdekaan wilayah itu daripada Guatemala pada 2 Februari 1838, dan kemudiannya diiktiraf sebagai negeri keenam dalam Republik Persekutuan Amerika Tengah pada 5 Jun 1838. Sebahagian besar wilayah Los Altos ditawan oleh Rafael Carrera pada tahun 1840 dan digabungkan semula ke dalam Guatemala. Semasa Los Altos berada dalam keadaan kekecohan, Mexico menggunakan kesempatan itu untuk mengilhakkan sebahagian wilayah itu pada tahun 1842. Pernah tercetusnya pemberontakan terhadap pemerintahan Rafael Carrera di Guatemala pada tahun 1844, 1848 dan 1849 untuk menuntut semula kemerdekaan Los Altos, tetapi semuanya dipatahkan.
Pada 30 April 1838, Nicaragua mengisytihar kemerdekaan daripada Republik Persekutuan Amerika Tengah. Pada 18 Mei 1838, Kongres Persekutuan yang bersidang di San Salvador memberi kuasa kepada negeri-negeri dalam persekutuan untuk menyusun diri mereka tanpa mengambil kira undang-undang persekutuan yang sedia wujud, sementara Piagam Asas Republik juga diperbaharui. Oleh itu, Justo Herrera, Ketua Negeri Honduras pada masa itu, memanggil Perhimpunan Perlembagaan yang kemudiannya mengisytihar kemerdekaan Honduras pada 5 November 1838.
Braulio Carrillo (1800-1845), seorang ahli politik yang pernah dipilih sebagai Ketua Negeri Costa Rica pada tahun 1835 tetapi ditewaskan dalam pilihan raya pada tahun 1837, merampas kuasa pada bulan Jun 1838 untuk menjadi Ketua Negeri Costa Rica semula dengan kuasa mutlak. Carrillo menubuhkan perhimpunan perlembagaan dan mengisytihar kemerdekaan Costa Rica daripada Republik Persekutuan Amerika Tengah pada 14 November 1838. Sesi perhimpunan perlembagaan kemudiannya digantung pada bulan Disember 1838.
Apabila tempoh kepresidenan Morazán yang kedua tamat pada 1 Februari 1839, Kongres Persekutuan sudah tidak dapat berfungsi lagi, maka tidak dapat mengadakan pemilihan untuk memperbaharui pihak berkuasa Persekutuan. Rafael Carrera memberontak lagi di Guatemala pada bulan Mac 1839 dan menawan Bandar Guatemala pada bulan April 1839. Mariano Rivera Paz dilantik sebagai Ketua Negeri Guatemala dan mengisytihar kemerdekaan Guatemala.
Morazán dipilih sebagai Ketua Negeri El Salvador pada bulan Julai 1839. Guatemala dan Nicaragua menandatangani perjanjian perikatan pada 24 Julai 1839 untuk menentang kerajaan Morazán di El Salvador. Cubaan Morazán untuk menyatukan semula Amerika Tengah menemui kegagalan pada tahun 1840 apabila tenteranya ditewaskan oleh tentera pimpinan Rafael Carrera. Morazán melarikan diri ke Panama yang masih merupakan sebahagian daripada Republik Colombia pada masa itu. El Salvador mengisytihar pemisahannya daripada persekutuan pada 1 Februari 1841. Dengan itu, Republik Persekutuan Amerika Tengah yang sebenarnya sudah runtuh pada tahun 1838 itu dibubarkan secara rasminya.
Dalam cubaan terakhirnya untuk menyatukan semula Amerika Tengah, Francisco Morazán menceroboh Costa Rica dan menggulingkan kerajaan pimpinan Braulio Carrillo di situ pada bulan April 1842. Namun, tidak lama selepas itu, pemerintahan Morazán di Costa Rica dijatuhkan dalam pemberontakan rakyat pada bulan September 1842, dan Morazán sendiri dihukum mati pada 15 September 1842, tepat pada ulang tahun ke-21 perisytiharan kemerdekaan Amerika Tengah daripada pemerintahan kolonial Sepanyol.

Dengan Republik Persekutuan Amerika Tengah berpecah, rantau Amerika Tengah terus dibelenggui masalah perbalahan antara negara-negara yang berbeza sepanjang abad ke-19. Walaupun menyedari bahawa penyatuan negara-negara kecil di Amerika Tengah itu boleh membawa manfaat jangka masa panjang untuk seluruh masyarakat di situ, golongan elit pemerintah di negara masing-masing masih hendak mengekalkan pemisahan sebegitu demi kepentingan diri masing-masing. Wujudnya banyak usaha untuk menyatukan semula negara-negara Amerika Tengah, tetapi semuanya menemui kegagalan.
Perang Kemerdekaan Brazil
Kemerdekaan Brazil daripada pemerintahan Empayar Portugis pula agak “pelik” berbanding kemerdekaan Amerika Sepanyol daripada Empayar Sepanyol, kerana ia melibatkan pemerintah monarki yang berasal dari Eropah memisahkan dirinya daripada negara induk di Eropah yang berada di bawah kerabat diraja yang sama. Namun, proses kemerdekaannya juga melibatkan pertumpahan darah.
Portugal mula menjajah Brazil apabila penjelajah Portugis mendarat di situ pada tahun 1500 dan mendirikan petempatan kekal pada tahun 1530-an. Kerajaan Portugis mewujudkan 15 buah kekaptenan di tanah jajahannya di Amerika pada tahun 1534. Pemerintahan Kegabenoran Jeneral Brazil ditubuhkan pada tahun 1549 dengan menggabungkan semua kekaptenan, kemudiannya dipecahkan kepada Negeri Brazil (Estado do Brasil) di selatan dan Negeri Maranhão di utara. Negeri Brazil mendapat status kewizuraian (vice-reino) pada tahun 1763, dan semua wilayah jajahan Portugis yang lain di Amerika digabungkan ke dalamnya pada tahun 1775.

Pernah wujudnya pemberontakan masyarakat orang asal terhadap pemerintahan kolonial Portugis di Brazil pada pertengahan abad ke-16, apabila ketua-ketua suku kaum pribumi di persisir pantai bahagian selatan Brazil membentuk sebuah perikatan ketenteraan yang dikenali sebagai “Konfederasi Tamoyo”, sebagai reaksi kepada perhambaan dan kemusnahan yang dibawa oleh golongan penjajah Portugis.
Apabila Revolusi Haiti tercetus pada tahun 1790-an, wujudnya juga sentimen untuk memperjuangkan kemerdekaan di Negeri Brazil. Segelintir kecil golongan kelas atasan kulit putih yang dipengaruhi oleh fahaman daripada Revolusi Perancis, golongan warga kulit putih yang miskin, golongan hamba, masyarakat orang asal dan golongan campuran etnik semuanya hendak memberontak untuk menentang pemerintahan Mahkota Portugis, atas sebab-sebab yang berbeza, seperti penghapusan segala bentuk penindasan kaum, pemansuhan perhambaan, perampasan kuasa daripada Gereja Katolik, pembentukan sebuah sistem kerajaan baharu yang memberi peluang sama rata kepada semua rakyat, dan sebagainya. Namun begitu, pihak berkuasa kolonial Portugis telah menggagalkan semua rancangan pemberontakan pada masa itu dan mendiamkan suara revolusioner dengan cara yang keras. Walaupun sesetengah golongan elit kulit putih masih dipengaruhi oleh idea-idea revolusioner yang disebarkan oleh Revolusi Perancis, ramai dalam kalangan mereka bimbang tentang pemberontakan oleh golongan kelas bawahan yang boleh membawa kepada kemusnahan susunan masyarakat kelas yang sedia ada seperti yang berlaku dalam Revolusi Haiti.
Napoleon Bonaparte melancarkan pencerobohan ketenteraan ke atas Portugal pada tahun 1807 kerana kerajaan Portugis enggan menyertai embargo yang dikenakan oleh Empayar Perancis terhadap Britain. Kerabat diraja Portugis melarikan diri ke Brazil, tanah jajahan Portugis yang terkaya pada masa itu, dengan bantuan Tentera Laut Diraja British pada tahun 1808. Kerajaan Portugal menjadikan Rio de Janeiro, bandar yang terletak di bahagian tenggara Brazil, sebagai pusat pemerintahan de facto bagi Empayar Portugis semasa Perang Semenanjung. Ini membawa kepada pembentukan kebanyakan institusi yang diperlukan untuk sebuah negara yang merdeka.
Selepas tentera imperial Perancis yang dipimpin oleh Napoleon ditewaskan di Waterloo pada bulan Jun 1815, oleh sebab kerabat diraja Portugis yang sudah selesa dengan kedudukan mereka di Brazil itu ingin mengekalkan pusat pemerintahan Portugal di Rio de Janeiro, di samping golongan elit tempatan bimbang tentang Brazil dikembalikan kepada status kolonialnya, Putera João (kemudiannya dikenali sebagai Raja João VI), yang memerintah sebagai pemangku raja pada tahun 1799 atas nama ibunya Ratu Maria I, mewujudkan “Kerajaan Bersatu Portugal, Brazil dan Algarve” (Reino Unido de Portugal, Brasil e Algarves) pada 16 Disember 1815. Dengan itu, status de jure Negeri Brazil dinaikkan kepada “Kerajaan Brazil” (Reino do Brasil) yang setara dengan “Kerajaan Portugal” di tanah besar Eropah, bukannya lagi sebuah tanah jajahan. Selepas kematian Ratu Maria I pada tahun 1816, upacara pertabalan Raja João VI diadakan di Rio de Janeiro pada tahun 1818.

Pada tahun 1817, tercetusnya pemberontakan republikan liberal di Pernambuco, yang terletak di bahagian timur laut Brazil. Pemberontakan itu disertai oleh revolusioner seperti Domingos José Martins (1781-1817), Padre João Ribeiro (1766-1817), Vigário Tenório (1779-1817), Domingos Teotônio Jorge (???-1817), José de Barros Lima (1764-1817), Padre Roma (1768-1817) dan ramai lagi. Kebanyakan golongan revolusioner di Pernambuco dipengaruhi oleh pemikiran liberal Zaman Pencerahan, di samping mendapat inspirasi daripada Revolusi Amerika dan perjuangan kemerdekaan yang sedang berlaku di seluruh Amerika Selatan pada masa itu serta pembangunan budaya tempatan yang tersendiri di Pernambuco. Pemberontakan itu tercetus pada bulan Mac 1817 di Recife, ibu kota wilayah Pernambuco, kemudiannya menular ke wilayah-wilayah bersebelahan. Pihak berkuasa Portugis mengerahkan tentera untuk mematahkan pemberontakan di Pernambuco. Ramai pemimpin pemberontak ditangkap dan dibunuh.
Hasil daripada pengaruh pemberontakan askar di Cádiz yang membentuk kerajaan liberal di Sepanyol pada bulan Januari 1820, Revolusi Liberal tercetus di Porto, sebuah bandar pelabuhan di bahagian utara Portugal, pada bulan Ogos 1820, dan menular ke bandar-bandar lain sehingga ke Lisbon. Selain menuntut penghapusan sistem monarki berkuasa mutlak dan mewujudkan sistem raja berperlembagaan, golongan revolusioner turut menggesa kerabat diraja Portugis untuk pulang ke tanah besar Portugal. Oleh sebab desakan daripada Cortes (Perhimpunan Perlembagaan) yang ditubuhkan berikutan Revolusi Liberal 1820, Raja João VI terpaksa pulang ke Portugal pada tahun 1821. Sebelum Raja João VI meninggalkan Brazil, dia melantik anaknya, Putera Pedro (1798-1834), sebagai Pemangku Raja Brazil pada bulan Mac 1821.

Pada bulan September 1821, Cortes meluluskan dekri untuk menjadikan wilayah-wilayah di Brazil diperintah secara langsung di bawah Portugal, dan Putera Pedro dilucutkan kuasanya kepada hanya sebagai gabenor Wilayah Rio de Janeiro. Cortes kemudian mengarahkan Putera Pedro untuk pulang ke Eropah. Dua kumpulan yang menentang tindakan Cortes yang menjejaskan kedaulatan Brazil itu muncul: salah satunya ialah golongan liberal yang dipimpin oleh Joaquim Gonçalves Ledo (1781-1847), seorang anggota gerakan Freemason yang mendukung fahaman republikanisme; dan satu lagi ialah golongan monarkis liberal yang dipimpin oleh José Bonifácio de Andrada (1763-1838), seorang ahli sains dan tokoh pendidikan yang dilantik sebagai Menteri Kerajaan dan Hal Ehwal Luar Negeri (bersamaan jawatan Perdana Menteri de facto) pada bulan Januari 1822. Golongan liberal menganggap bahawa pembentukan Perhimpunan Perlembagaan adalah penting untuk merangka perlembagaan Brazil, sementara golongan penyokong Bonifácio mahu perlembagaan itu dirangka oleh Putera Pedro itu sendiri. Hasil daripada desakan golongan liberal, Putera Pedro menandatangani dekri pada 3 Jun 1822 untuk memanggil pilihan raya perwakilan yang akan membentuk Perhimpunan Agung Perlembagaan dan Perundangan di Brazil.
Pada 7 September 1822, semasa Putera Pedro dalam perjalanan pulang dari São Paulo ke Rio de Janeiro, dia menerima surat daripada José Bonifácio dan isterinya, Puteri Maria Leopoldina, yang memberitahu bahawa Cortes di Lisbon telah membatalkan semua akta yang digubal oleh kabinet Bonifácio, melucutkan kuasa yang masih dipegang oleh Putera Pedro, dan mengarahkannya untuk pulang ke Portugal. Maria Leopoldina juga menasihati Pedro supaya mengisytihar kemerdekaan Brazil kerana itu adalah satu-satunya pilihan yang ada. Oleh itu, Putera Pedro menanggalkan kain lilit lengan berwarna biru-putih pada bajunya yang melambangkan Portugal dan mengisytiharkan kemerdekaan Brazil daripada Portugal. Perisytiharan itu juga dikenali sebagai “Laungan Ipiranga” (Grito do Ipiranga) dan menjadi titik permulaan kepada pembentukan “Empayar Brazil”(1822-1889). Pada 12 Oktober 1822, Putera Pedro diisytihar sebagai “Maharaja Perlembagaan dan Pembela Abadi Brazil”, dengan gelaran Dom Pedro I. Majlis pertabalan Maharaja Pedro I diadakan pada 1 Disember 1822.

Selepas perisytiharan kemerdekaan, kekuasaan kerajaan Empayar Brazil yang baharu itu hanya meliputi wilayah Rio de Janeiro, São Paulo dan wilayah-wilayah bersebelahan yang terletak di bahagian tenggara Brazil. Wilayah-wilayah di bahagian utara seperti Bahia, Maranhão dan Pará, masih teguh di bawah penguasaan kerajaan Portugis dengan tentera Portugis menduduki ibu kota wilayah-wilayah berkenaan, dan enggan menerima pemerintahan rejim Maharaja Pedro I yang berpusat di Rio de Janeiro. Tentera Portugis juga menguasai bandar Montevideo di wilayah Cisplatina di bahagian selatan. Penyatuan Empayar Brazil memerlukan satu peperangan yang berlarutan selama 3 tahun.
Kerajaan Empayar Brazil membina Tentera Darat Imperial Brazil dan Tentera Laut Kebangsaan, serta menubuhkan militia, untuk memperjuangkan kemerdekaan yang sepenuh. Pengerahan tenaga paksa dilakukan secara meluas, termasuk dalam kalangan imigran. Tentera Brazil juga menggunakan hamba untuk berkhidmat dalam militia, ataupun membebaskan hamba untuk mengerahkan mereka ke dalam tentera tetap. Antara jeneral yang memimpin Tentera Darat Brazil ialah Pierre Labatut (1776-1849), seorang pegawai tentera dari Perancis yang pernah menjadi komander tentera untuk Wilayah Bersatu Nueva Granada (iaitu Colombia). Untuk membina tentera laut sendiri, kerajaan Brazil juga merekrut pegawai tentera laut dan kelasi secara rahsia di England. Thomas Cochrane, seorang pegawai tentera laut dari Scotland yang pernah mengetuai tentera laut Chile yang dibina oleh José de San Martín dan terlibat dalam kempen ketenteraan untuk membebaskan Peru, telah dilantik sebagai ketua komander Tentera Laut Brazil.

Tentera Imperial Brazil berjaya mengasingkan tentera Portugis di wilayah Bahia secara beransur-ansur, dengan Pengepungan Salvador selama 16 bulan berakhir dengan penyerahan kalah kira-kira 10,000 orang askar Portugis di situ pada 2 Julai 1823. Tentera Laut Brazil yang diketuai oleh Thomas Cochrane berjaya menawan wilayah Maranhão dan Pará. Pengepungan Montevideo oleh tentera Brazil yang dipimpin oleh Carlos Frederico Lecor selama hampir 14 bulan juga menyaksikan kemenangan tentera Brazil pada 8 Mac 1824.
Perhimpunan Perlembagaan yang ditubuhkan pada bulan Mei 1823, telah dibubarkan oleh Maharaja Pedro I yang mengarahkan tentera untuk menceroboh ke dalam bangunan kongres pada 12 November 1823 dan menangkap serta membuang negeri beberapa orang ahli perwakilan, termasuk José Bonifácio. Maharaja Pedro I kemudian mengemukakan Perlembagaan Brazil yang pertama, yang dirangka mengikut kehendaknya sendiri, pada 25 Mac 1824. Tindakan Maharaja Pedro I itu mencetuskan gerakan pemisahan di wilayah Pernambuco, Ceará dan Paraíba, yang dipimpin oleh golongan liberal yang menentang dasar autoritarian dan sentralis rejim Pedro I. Golongan pemberontak yang dipimpin oleh Frei Caneca (1799-1825) dan Manoel de Carvalho (1774-1855) menubuhkan Konfederasi Khatulistiwa (Confederação do Equador) di bahagian timur laut Brazil pada bulan Julai 1824, tetapi dipatahkan oleh tentera Brazil tidak lama kemudian. Ratusan orang yang terlibat dalam pemberontakan itu ditangkap, dengan 16 orang termasuk pemimpin utamanya Frei Caneca dihukum mati pada bulan Januari 1825.
Selepas Perlembagaan Brazil 1824 dikuatkuasakan, Amerika Syarikat, yang enggan mengiktiraf kemerdekaan Haiti sehingga tahun 1862, terus menjadi salah sebuah negara yang paling awal mengiktiraf kemerdekaan Brazil pada tahun itu juga. Kerajaan British yang menyokong kemerdekaan Brazil telah menjadi perantara untuk merundingkan perjanjian damai antara Empayar Brazil dan Portugal, malah memberi tekanan kepada Portugal untuk mengiktiraf kemerdekaan Brazil. Perjanjian Rio de Janeiro ditandatangani pada 29 Ogos 1825, di mana kerajaan Portugal mengiktiraf kemerdekaan Brazil, maka menandakan tamatnya Perang Kemerdekaan Brazil.
Selepas mencapai kemerdekaan, Empayar Brazil muncul sebagai kuasa besar serantau di Amerika Selatan, dan terlibat dalam beberapa peperangan untuk kepentingan geopolitiknya. Perang Cisplatina (1825-1828) dengan Wilayah Bersatu Río de la Plata berakhir dengan Uruguay mencapai kemerdekaan daripada Empayar Brazil. Selepas kehilangan wilayah Cisplatina (iaitu Uruguay), tambahan pula dengan krisis ekonomi dalaman, rakyat Brazil semakin tidak berpuas hati dengan pemerintahan Maharaja Pedro I yang dianggap lebih melindungi kepentingan golongan bangsawan yang berasal dari Portugal. Pada bulan Mac 1831, tercetus protes rakyat yang membantah Maharaja Pedro I. Pada 6 April 1831, protes besar-besaran yang menentang Maharaja Pedro I telah menggegarkan pusat bandar Rio de Janeiro. Pada 7 April 1831, Pedro I melepaskan takhta maharaja kepada anaknya, Maharaja Pedro II, dan dia pulang ke Portugal.
Empayar Brazil digantikan oleh Republik Brazil Pertama (1889-1930) apabila Maharaja Pedro II digulingkan dalam rampasan kuasa republikan yang diterajui oleh Jeneral Deodoro da Fonseca pada 15 November 1889.
Ringkasan perjuangan kemerdekaan Amerika Latin

Amerika Tengah (Costa Rica, El Salvador, Guatemala, Honduras dan Nicaragua)
- Pemberontakan di San Salvador pada tahun 1811, pemberontakan di Nicaragua pada tahun 1811, pemberontakan di Guatemala pada tahun 1813 dan sekali lagi di San Salvador pada tahun 1814 dipatahkan oleh pihak berkuasa kolonial Sepanyol.
- Pemberontakan askar di Sepanyol pada tahun 1820 yang memulihkan Perlembagaan 1812 yang liberal membenarkan wilayah-wilayah di Amerika Tengah menubuhkan semula majlis tempatan yang dipilih.
- Majlis Wilayah Guatemala mengemukakan Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Tengah pada 15 September 1821, dan menubuhkan Junta Consultiva di Guatemala.
- Wilayah Kekaptenan Jeneral Guatemala digabungkan ke dalam Empayar Mexico pada tahun 1822-1823.
- Kongres Amerika Tengah mengisytihar kemerdekaan daripada Mexico pada 1 Julai 1823 dan menubuhkan Wilayah Bersatu Amerika Tengah, yang kemudiannya dikenali sebagai Republik Persekutuan Amerika Tengah (1823-1841).
- Perlembagaan Republik Persekutuan Amerika Tengah digubal pada tahun 1824.
- Perang Saudara Amerika Tengah Pertama (1827-1829) dengan golongan liberal menewaskan golongan konservatif.
- Perang Saudara Amerika Tengah Kedua (1838-1840) dengan golongan pemisah menewaskan golongan penyatuan, maka membawa kepada pembubaran Republik Persekutuan Amerika Tengah.

Argentina
- Revolusi Mei pada tahun 1810 menubuhkan Primera Junta di Buenos Aires, kemudiannya digantikan oleh Junta Grande.
- Primer Triunvirato yang ditubuhkan pada tahun 1811 dijatuhkan dalam Revolusi 8 Oktober 1812 dan digantikan oleh Segundo Triunvirato.
- Pemerintahan Direktor Agung Wilayah Bersatu Río de la Plata ditubuhkan pada tahun 1814 oleh Perhimpunan Tahun XIII.
- Perang Saudara Argentina (1814-1880) berpanjangan antara golongan Federalismo dan golongan Unitario.
- Kongres Tucumán mengemukakan Perisytiharan Kemerdekaan Wilayah Bersatu Río de la Plata pada 9 Julai 1816.
- Pemerintahan Direktor Agung dijatuhkan pada tahun 1820 dan bermulanya zaman caudillo di Argentina.
- Wilayah Buenos Aires, Entre Ríos dan Santa Fe menandatangani perjanjian Pacto Federal, pada tahun 1831, untuk menentang Liga Unitaria yang ditubuhkan oleh wilayah-wilayah pedalaman pada tahun 1830. Wilayah-wilayah lain kemudiannya menyertai perikatan itu dan membentuk Konfederasi Argentina (1831-1861).
- Negara Buenos Aires berpisah keluar daripada Konfederasi Argentina pada tahun 1852.
- Konfederasi Argentina tanpa Buenos Aires meluluskan Perlembagaan Argentina 1853.
- Buenos Aires bergabung semula dalam Konfederasi Argentina pada tahun 1861.
Bolivia
- Revolusi Chuquisaca pada 25 Mei 1809 dan Revolusi La Paz pada 16 Julai 1809, menubuhkan junta tempatan untuk seketika sebelum dipatahkan.
- Golongan Patriot dari Wilayah Bersatu Río de la Plata (Argentina) melancarkan Kempen Peru Hulu sebanyak 4 kali tetapi gagal pada tahun 1810-1811, 1812-1813, 1815 dan 1817.
- Tentera Patriot dari Gran Colombia yang dipimpin oleh Antonio José de Sucre membebaskan wilayah Peru Hulu pada tahun 1825.
- Perisytiharan Kemerdekaan Peru Hulu pada 6 Ogos 1825 dan Bolivia ditubuhkan.
- Bolivia pernah bergabung sementara dalam Konfederasi Peru-Bolivia (1836-1839).
- Bolivia kehilangan wilayah pantainya dan menjadi negara dikelilingi daratan selepas ditewaskan oleh Chile dalam Perang di Pasifik (1879-1883).

Brazil
- Kerabat diraja Portugis melarikan diri ke Brazil pada tahun 1808 apabila tercetus Perang Semenanjung.
- Negeri Brazil di dalam Empayar Portugal dinaikkan status kepada “Negara Beraja Brazil” yang menjadi sebahagian yang setara dalam “Kerajaan Bersatu Portugal, Brazil dan Algarve” pada tahun 1815.
- Pemberontakan Pernambuco pada tahun 1817 oleh golongan republikan liberal dipatahkan oleh pihak berkuasa Portugis.
- Selepas Revolusi Liberal 1820 di Portugal, Raja João VI dipaksa pulang ke Portugal, dan anaknya Putera Pedro menjadi Pemangku Raja Brazil.
- Putera Pedro mengingkari arahan Cortes Portugis untuk pergi ke Portugal pada tahun 1821 mencetuskan gerakan kemerdekaan Brazil.
- Pedro mengisytihar kemerdekaan Brazil daripada Portugal pada 7 September 1822. Empayar Brazil (1822-1889) ditubuhkan dan mencetuskan Perang Kemerdekaan Brazil (1822-1825).
- Di bawah tekanan British, Portugal mengiktiraf kemerdekaan Brazil pada tahun 1825.

Chile
- Kerajaan Junta Chile Pertama ditubuhkan pada 18 September 1810.
- Kerajaan Junta Chile dijatuhkan pada tahun 1814 oleh pihak berkuasa kolonial Sepanyol.
- Tentera gabungan Patriot Argentina dan Chile yang dipimpin oleh José de San Martín dan Bernardo O’Higgins melintasi Banjaran Andes untuk masuk ke dalam wilayah Chile pada tahun 1817.
- Perisytiharan Kemerdekaan Chile pada 12 Februari 1818.
- Tentera Patriot Chile meneruskan kempen ketenteraan membanteras golongan Royalis sehingga tahun 1827.
- Perang Saudara Chile 1829-1830, dengan golongan konservatif menewaskan golongan liberal.
- Golongan liberal memberontak pada tahun 1851 untuk menentang kerajaan konservatif tetapi dipatahkan.
- Golongan liberal memberontak lagi pada tahun 1859 tetapi juga dipatahkan.
- Perang Saudara Chile 1891 membawa kepada pengagihan semula kuasa antara Presiden dan Kongres, maka membentuk corak demokrasi berparlimen di Chile untuk 35 tahun berikutnya.

Colombia
- Junta de Santa Fe ditubuhkan di Bogotá pada 20 Julai 1820.
- Berlakunya perang saudara antara golongan federalis (Wilayah Bersatu Nueva Granada) dan golongan sentralis (Negeri Cundinamarca) pada tahun 1812-1813 dan 1814, dengan golongan federalis menewaskan golongan sentralis.
- Sepanyol menawan semula Nueva Granada pada tahun 1816.
- Kempen ketenteraan yang dipimpin oleh Simón Bolívar membebaskan hampir seluruh Nueva Granada pada tahun 1819, dan membentuk Gran Colombia.
- Selepas Gran Colombia dibubarkan pada tahun 1831, Republik Nueva Granada (1831-1858) ditubuhkan. Ia digantikan dengan Konfederasi Granadina (1858-1863), kemudiannya Negeri-negeri Bersatu Colombia (1863-1886), dan menggunakan nama Republik Colombia sejak tahun 1886 sehingga kini.
Ecuador
- Revolusi Quito pada 10 Ogos 1809 menubuhkan Junta Autonomi Quito yang pertama.
- Pemberontakan 2 Ogos 1810 dipatahkan.
- Junta Quito yang kedua ditubuhkan pada bulan September 1810.
- Revolusi 9 Oktober 1820 menubuhkan Wilayah Bebas Guayaquil (1820-1822).
- Pertempuran Pichincha pada 22 Mei 1822.
- Ecuador bergabung ke dalam Gran Colombia pada tahun 1822.
- Ecuador berpisah daripada Gran Colombia dan menjadi sebuah negara yang merdeka pada tahun 1830.

Mexico
- Pemberontakan Miguel Hidalgo y Costilla pada 16 September 1810.
- Hidalgo dihukum mati pada tahun 1811 selepas ditangkap tentera Sepanyol, tetapi perjuangan diteruskan di bawah kepimpinan José María Morelos, Vicente Guerrero dan Ignacio López Rayón.
- Kongres Anáhuac yang dianjurkan oleh José María Morelos menandatangani Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Utara pada tahun 1813.
- Vicente Guerrero muncul sebagai pemimpin pemberontakan yang paling penting pada tahun 1815.
- Pembentukan Tentera Tiga Jaminan yang dipimpin oleh Agustín de Iturbide dan Vicente Guerrero pada tahun 1821, dan membawa kepada kejatuhan pemerintahan kolonial Sepanyol di Mexico.
- Perisytiharan Kemerdekaan Mexico pada 28 September 1821, dan Empayar Mexico Pertama (1821-1823) ditubuhkan.
- Perlembagaan Mexico 1824 menandakan penubuhan Republik Persekutuan Mexico Pertama (1824-1835).
- Republik Mexico Pertama digantikan oleh Republik Sentralis Mexico (1835-1846).

Panama
- Perisytiharan Kemerdekaan Panama dibuat oleh golongan Patriot yang dipimpin oleh José de Fábrega (1774-1841) pada 28 November 1821 di Bandar Panama, dan Panama menyertai Gran Colombia.
- Menjadi sebahagian daripada Republik Nueva Granada selepas Gran Colombia dibubarkan pada tahun 1831 dan kemudiannya sebahagian daripada Republik Colombia sehingga tahun 1903.
Paraguay
- Revolusi 14 Mei 1811 menjatuhkan pemerintahan kolonial Sepanyol dan pembentukan junta.
- Pemerintahan dua orang konsul diwujudkan pada tahun 1813.
- José Gaspar Rodríguez de Francia menjadi Diktator pada tahun 1814.
- Perisytiharan kemerdekaan Paraguay pada 25 November 1842.
- Paraguay hilang hampir 40% wilayahnya dalam peperangan dengan Argentina, Brazil dan Uruguay pada tahun 1864-1870.

Peru
- Pemberontakan Tacna 1811 yang dipimpin oleh Francisco Antonio de Zela dipatahkan oleh pihak berkuasa kolonial Sepanyol.
- Pemberontakan Cuzco 1814 dipatahkan oleh pihak berkuasa kolonial Sepanyol.
- Ekspedisi Pembebasan Peru oleh tentera gabungan Argentina dan Chile dipimpin oleh José de San Martín pada tahun 1820-1822.
- Perisytiharan Kemerdekaan Peru pada 15 Julai 1821.
- Tentera Gran Colombia yang dipimpin oleh Simón Bolívar meneruskan perang pembebasan di Peru pada tahun 1823-1826.
- Perang Saudara Peru pada tahun 1834, dengan kerajaan Peru pimpinan Presiden Luis José de Orbegoso mematahkan golongan penyokong bekas Presiden Agustín Gamarra.
- Pembentukan Konfederasi Peru-Bolivia (1836-1839) mencetuskan Perang Konfederasi dengan gabungan Tentera Pemulihan Peru, Chile dan Argentina yang membantahnya.
- Perang Saudara Peru 1843-1844, dengan golongan pemberontak yang dipimpin oleh Domingo Nieto dan Ramon Castilla menewaskan tentera kerajaan pimpinan Manuel Ignacio de Vivanco.
- Revolusi Liberal 1854 dan penggubalan Perlembagaan 1856 yang liberal.
- Perang Saudara Peru 1856-1858, antara golongan konservatif dan golongan liberal, dengan kemenangan golongan konservatif dan penggubalan Perlembagaan 1860 yang moderat.

Uruguay
- José Gervasio Artigas memimpin pemberontakan terhadap pemerintahan kolonial Sepanyol di Provincia Oriental pada tahun 1811.
- Portugal menceroboh Banda Oriental pada tahun 1811-1812 tetapi tidak berjaya.
- Pembentukan Liga Federal (1815-1820) dengan José Gervasio Artigas sebagai Protektor.
- Banda Oriental diilhak ke dalam Kerajaan Bersatu Portugal, Brazil dan Algarve selepas peperangan pada tahun 1816-1820.
- Kumpulan revolusioner Treinta y Tres Orientales melancarkan pemberontakan dan mengisytihar kemerdekaan Uruguay pada 25 Ogos 1825.
- Perang Cisplatina (1825-1828) antara Wilayah Bersatu Río de la Plata dan Empayar Brazil untuk menguasai Uruguay.
- Perjanjian Montevideo pada tahun 1828 mengiktiraf kemerdekaan Uruguay.

Venezuela
- Revolusi 19 April 1810 mewujudkan Republik Venezuela Pertama (1811-1812).
- “Kempen Terpuji” pimpinan Simón Bolívar dan kempen yang dipimpin oleh Santiago Mariño di bahagian timur membawa kepada pembentukan Republik Venezuela Kedua (1813-1814).
- Simón Bolívar menubuhkan Republik Venezuela Ketiga (1817-1819) yang berpusat di Angostura.
- Simón Bolívar menerajui kempen ketenteraan untuk membebaskan Nueva Granada pada tahun 1819.
- Kongres Angostura pada tahun 1819 mengisytihar pembentukan Gran Colombia (1819-1831) yang menggabungkan Venezuela dan Nueva Granada, dan perlembagaan pertamanya diluluskan dalam Kongres Cúcuta pada tahun 1821.
- Golongan Patriot Venezuela mencapai kemenangan menentu dalam Pertempuran Carabobo pada 24 Jun 1821.
- Puerto Cabello, kubu kuat terakhir bagi golongan Royalis Sepanyol, ditawan oleh golongan Patriot Venezuela pada 8 November 1823.
- Kongres Perlembagaan meluluskan Perlembagaan Venezuela pada tahun 1830 untuk mengisytihar kemerdekaan Negara Venezuela (1830-1863), dan Gran Colombia dibubarkan pada tahun 1831. Negara Venezuela digantikan oleh Negeri-negeri Bersatu Venezuela (1864-1953), kemudiannya Republik Venezuela Keempat (1953-1999) dan dikenali sebagai Republik Bolivar Venezuela sejak tahun 1999.

Faktor-faktor pencetusan dan kejayaan perjuangan kemerdekaan Amerika Latin
Faktor-faktor utama yang mencetuskan Perang Kemerdekaan Amerika Latin pada awal abad ke-19:
- Pengaruh idea-idea Zaman Pencerahan mengenai kebebasan dan kesamarataan turut mempengaruhi golongan elit dan golongan intelek di Amerika Latin.
- Inspirasi daripada Revolusi Amerika, Revolusi Perancis dan Revolusi Haiti.
- Golongan elit criollo dan golongan-golongan penduduk lain di tanah jajahan tidak berpuas hati dengan pemerintahan kolonial Sepanyol.
- Perang Napoleon, khususnya pencerobohan tentera Perancis yang mencetuskan Perang Semenanjung, telah mencetuskan krisis politik di negara induk Sepanyol, dan membuka ruang kepada golongan elit criollo di tanah jajahan Sepanyol di Amerika untuk menuntut lebih banyak kuasa politik.

Idea-idea Zaman Pencerahan (Enlightenment) yang muncul di Eropah seperti hak semula jadi, kebebasan, kesamarataan, toleransi, persaudaraan, kerajaan berperlembagaan dan pengasingan gereja daripada pemerintahan negara, telah disebarkan merentasi Lautan Atlantik ke wilayah-wilayah jajahan kuasa Eropah. Walaupun dua buah kuasa besar Iberia, Sepanyol dan Portugal, belum mengalami revolusi borjuis yang hebat seperti yang pernah melanda Britain pada abad ke-17 dan Perancis pada penghujung abad ke-18, fahaman politik yang revolusioner telah mempengaruhi sekurang-kurangnya sebahagian golongan intelek di negara-negara itu, yang kemudiannya dibawa kepada golongan intelek keturunan Eropah (sama ada peninsular atau criollo), mestizo dan bekas hamba kulit hitam di wilayah-wilayah jajahan seberang laut.
Golongan elit kelas atasan yang kebanyakannya berketurunan Eropah yang dipengaruhi oleh idea-idea Zaman Pencerahan biasanya membangunkan fahaman liberal yang moderat dan mendukung kebebasan formal dan sistem raja perlembagaan, dengan hasrat memperbaharui masyarakat tanpa mengubah struktur masyarakat secara keseluruhan. Sementara itu, terdapat segelintir kecil golongan elit intelek kelas atasan, bersama-sama golongan kelas menengah, menganggap idea-idea pembaharuan yang lebih radikal, seperti kesamarataan kaum, anti-perhambaan, republikanisme dan kemerdekaan sepenuh daripada pemerintahan negara induk, sebagai alternatif yang lebih baik untuk masa hadapan Amerika Latin.

Percanggahan kelas dan konflik kelas sentiasa wujud dalam masyarakat kelas. Apabila kelas pemerintah tidak dapat menangani konflik dengan sama ada cara yang lembut (seperti pembaharuan kosmetik untuk meraih semula sokongan rakyat) atau cara yang keras (seperti menggunakan keganasan yang melampau untuk mematahkan golongan pengkritik), konflik boleh memuncak kepada pemberontakan, malah revolusi.
Masyarakat di tanah jajahan Eropah di Amerika Latin adalah kompleks kerana kewujudan kumpulan etnik, kelas dan casta yang berbeza. Setiap casta mempunyai kepentingan masing-masing dan keluhan tentang nasib mereka yang berbeza. Lebih-lebih lagi, terdapat juga lapisan yang berbeza dalam sesuatu casta dengan aspirasi yang berkepelbagaian. Pemerintahan kolonial kuasa besar Semenanjung Iberia di Amerika Latin selama lebih 300 tahun itu penuh dengan kezaliman, penindasan dan ketidakadilan, sudah pasti menanam ketidakpuasan hati pada tahap yang berbeza dalam setiap casta yang tidak memegang kuasa pemerintahan.

Golongan elit criollo dapat memainkan peranan kepimpinan dalam kebanyakan perjuangan kemerdekaan di Amerika Latin pada awal abad ke-19, adalah kerana mereka mempunyai sumber kebendaan (kekayaan harta dan wang) dan ideologi (pendedahan kepada idea-idea baharu melalui pendidikan) yang dapat digunakan untuk mencabar kekuasaan pemerintah kolonial golongan peninsular. Mereka juga dapat menggunakan kedudukan mereka dalam masyarakat (yang membolehkan mereka menikmati lebih banyak hak kebebasan berbanding golongan kelas lebih bawahan) untuk memobilisasi sumber-sumber masyarakat, di samping mewujudkan organisasi revolusioner (biasanya secara sulit) untuk merancang perjuangan. Golongan bawahan yang biasanya masih terikat dengan hubungan pengeluaran semi-feudal itu kekurangan sumber-sumber sebegitu, tetapi perjuangan kemerdekaan Amerika Latin tidak mungkin dapat mencapai kejayaan besar tanpa penglibatan mereka yang membentuk massa kritikal atau menjadi askar-askar bawahan yang bertempur di medan perang.
Kesusahan hidup ekonomi, eksploitasi yang berterusan, penindasan politik, penafian hak asasi rakyat, ketidakpuasan hati terhadap pemerintahan kolonial dan hasrat untuk membebaskan diri daripada pemerintahan yang zalim, boleh dikatakan sebagai faktor-faktor penting yang menyumbang kepada kemunculan perjuangan kemerdekaan Amerika Latin, tetapi berbeza-beza tahap pengaruhnya di wilayah-wilayah jajahan yang berbeza. Namun, satu-satunya pencetus utama yang menyalakan api revolusi sehingga menular ke seluruh Amerika Latin sudah tentunya adalah pencerobohan tentera Perancis ke atas Semenanjung Iberia pada tahun 1807 yang mencetuskan Perang Semenanjung (1808-1814). Pergolakan hebat di tanah besar Eropah itu menghantar gelombang kejutan merentasi Lautan Atlantik sehingga mewujudkan keadaan revolusioner untuk perjuangan kemerdekaan di Amerika Latin, dari junta-junta tempatan di bandar-bandar utama hingga perjuangan bersenjata yang berlarutan bertahun-tahun lamanya.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan Perang Kemerdekaan Amerika Latin pada awal abad ke-19:
- Kekuasaan pemerintahan pusat di Sepanyol yang dilemahkan secara ketara kerana Perang Napoleon.
- Revolusi yang diterajui oleh golongan liberal di Semenanjung Iberia pada tahun 1820 menjadi titik perubahan ketara (tentera bantuan Sepanyol ke Amerika Selatan tidak dapat dihantar).
- Percaturan geopolitik antara kuasa-kuasa besar.
- Gabungan politik merentasi casta.
- Kepimpinan revolusioner yang efektif.
- Kegigihan pejuang-pejuang revolusioner untuk memperjuangkan kemerdekaan.
Selepas perjuangan kemerdekaan yang penuh dramatik dan gelora, menjelang tahun 1830, hampir semua wilayah di rantau Amerika Latin, kecuali Kuba dan Puerto Rico (di mana kedua-duanya kemudian diduduki oleh Amerika Syarikat selepas Perang Amerika Syarikat-Sepanyol pada tahun 1898), berjaya membebaskan diri mereka daripada kekuasaan kolonial yang berasal dari Semenanjung Iberia. Di wilayah Santo Domingo yang terletak di bahagian timur Pulau Hispaniola, juga pernah mengisytihar kemerdekaan untuk menubuhkan Republik Haiti Sepanyol (1821-1822) tetapi hanya wujud seketika sahaja sebelum ia diduduki oleh Republik Haiti selama 22 tahun sehingga Republik Dominika mengisytihar kemerdekaan pada tahun 1844 dan mencetuskan Perang Kemerdekaan Dominika (1844-1856).

Kemerdekaan negara-negara Amerika Latin itu dicapai melalui proses revolusi yang penuh dengan liku-liku, rintangan dan cabaran. Pembebasan negara-negara di Amerika Latin daripada pemerintahan kolonial Sepanyol dan Portugal itu boleh berjaya kerana kombinasi pelbagai faktor.
Salah satu faktor yang utama semestinya pemerintahan pusat di negara induk Sepanyol yang mengalami krisis mendalam pada ketika benua Eropah dilanda Perang Napoleon. Krisis politik di Sepanyol itu merupakan faktor pencetus kepada gelombang revolusi di Amerika Sepanyol, begitu juga faktor penting yang membolehkan perjuangan kemerdekaan di situ untuk mencapai kejayaan pada akhirnya.
Walaupun golongan Royalis Sepanyol dapat menguasai semula Nueva Granada dan Chile selepas pemulihan pemerintahan Dinasti Bourbon di Sepanyol pada tahun 1814, ia masih tidak dapat mematahkan gerakan perjuangan Patriot di situ, malah kekalahan golongan Royalis dipacukan lagi oleh pergolakan politik yang kritikal di Semenanjung Iberia pada tahun 1820. Pemberontakan askar di Cádiz pada tahun 1820 yang membawa kepada pembentukan kerajaan liberal di Sepanyol selama 3 tahun (dikenali sebagai “Trienio Liberal”, yang bermaksud Tiga Tahun yang Liberal) dan Revolusi Liberal di Portugal pada tahun yang sama tetapi juga hanya bertahan selama 3 tahun sahaja, telah menjadi titik perubahan penting dalam menentukan nasib perjuangan kemerdekaan Amerika Latin. Tentera bantuan yang sepatutnya dikerahkan ke Amerika Selatan itu tidak bertolak langsung dari tanah besar Sepanyol kerana pemberontakan di Cádiz yang diterajui oleh golongan liberal, telah melemahkan lagi usaha pihak kolonial Sepanyol di Amerika Selatan untuk mematahkan gerakan kemerdekaan di situ, maka secara tidak langsung membantu golongan Patriot di Amerika Latin untuk mencapai kemenangan muktamad.

Selain itu, sesetengah golongan elit konservatif yang pada awalnya menyokong pemerintahan kolonial, seperti Agustín de Iturbide di Mexico, berpaling tadah selepas golongan liberal berkuasa di Sepanyol pada tahun 1820 kerana bimbang tentang kerajaan liberal di negara induk mereka yang mengancam kepentingan mereka dan menganggap kemerdekaan tanah jajahan itu lebih menguntungkan mereka. Perkara yang lebih kurang sama berlaku di Brazil, apabila golongan pemerintah monarki yang bertapak di tanah jajahan itu sendiri memberontak terhadap kerajaan negara induknya apabila golongan liberal berkuasa di Portugal.
Satu lagi faktor luaran yang menyumbang kepada kejayaan perjuangan kemerdekaan Amerika Latin ialah pertembungan kuasa-kuasa besar Eropah untuk kepentingan geopolitik masing-masing di rantau itu. Britain, yang muncul sebagai kuasa imperialis terbesar pada masa itu, memberi sokongan yang terhad kepada perjuangan kemerdekaan Amerika Latin, sama ada dalam bentuk tekanan diplomatik, bekalan atau bantuan ketenteraan, adalah berniat untuk memajukan kepentingan geopolitiknya, bukan mendukung pembebasan yang sebenar. Empayar British pada masa itu berhasrat untuk melemahkan Sepanyol di peringkat global dan memperluaskan rangkaian perdagangan antarabangsa demi kepentingan kapitalis dalam negaranya. Walau bagaimanapun, bantuan yang terhad itu sedikit sebanyak dapat memainkan peranan yang penting pada masa-masa kritikal yang tertentu dalam mengubah dinamik di medan perang.
Amerika Syarikat yang mula memperkenalkan Doktrin Monroe pada tahun 1823, walaupun belum muncul sebagai kuasa imperialis utama dan pada asalnya hanya mahu mengehadkan pengaruh kuasa-kuasa besar Eropah di Hemisfera Barat, ia sudah mempunyai cita-cita imperialis besar untuk menjadikan rantau Amerika Latin sebagai lingkungan pengaruh kekuasaannya, maka juga memberi sokongan yang terhad dan pengiktirafan kepada kemerdekaan negara-negara Amerika Latin. Namun, yang dikecualikan daripada sokongan Amerika Syarikat itu adalah negara Haiti yang sudah mencapai kemerdekaan pada tahun 1804, malah menghapuskan perhambaan, di mana Amerika Syarikat hanya mengiktiraf kemerdekaannya pada tahun 1862 kerana takut pada golongan hamba di negeri-negeri di bahagian selatan negara itu yang mungkin mendapat inspirasi daripada Revolusi Haiti untuk memberontak.

Haiti yang mencapai kemerdekaan hasil daripada pemberontakan hamba yang hebat di situ, walaupun bukannya sebuah kuasa imperialis dan tidak mempunyai cita-cita geopolitik yang melangkaui Pulau Hispaniola, telah memberi bantuan yang kritikal kepada perjuangan kemerdekaan Gran Colombia yang dipimpin oleh Simón Bolívar dengan satu syarat sahaja, iaitu Bolívar perlu membebaskan hamba di wilayah-wilayah yang dibebaskannya. Inilah semangat internasionalis sejati yang mendukung pembebasan sebenar.
Walaupun perjuangan kemerdekaan Amerika Latin diterajui oleh golongan elit criollo dan kadang-kadang oleh golongan mestizo yang memiliki harta, gerakan kemerdekaan itu hanya dapat mencapai kejayaan apabila kepimpinan elit criollo itu mampu membentuk gabungan merentasi casta untuk memobilisasi masyarakat orang asal, golongan mestizo, hamba-hamba kulit hitam dan kumpulan-kumpulan terpinggir yang lain dalam usaha perjuangan kemerdekaan itu. Gabungan politik merentasi casta dan mobilisasi massa yang hebat memainkan peranan yang menentu dalam menjayakan perjuangan kemerdekaan Amerika Latin.

Oleh sebab perjuangan kemerdekaan Amerika Latin melibatkan peperangan yang berterusan dengan golongan Royalis yang mendukung pemerintahan kolonial, gerakan kemerdekaan Amerika Latin memerlukan kepimpinan revolusioner yang mampu mengatur perjuangan itu dengan strategi dan taktik di medan perang yang berkesan. Selain itu, kadang-kadang corak kepimpinan dan karisma seseorang tokoh revolusioner juga dapat memainkan peranan kritikal dalam menyatukan puak-puak golongan Patriot yang berbeza pemikiran.
Perjuangan kemerdekaan Amerika Latin merupakan proses yang penuh ancaman, rintangan dan serangan daripada golongan kontra-revolusioner. Tanpa keberanian, kesungguhan, ketabahan dan kegigihan golongan pejuang revolusioner yang sanggup berkorban demi usaha pembebasan rakyat, adalah tidak mungkin Amerika Latin dapat mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan kolonial Eropah.

Cabaran yang dihadapi oleh perjuangan kemerdekaan Amerika Latin
Perjuangan kemerdekaan Amerika Latin sentiasa menghadapi pelbagai cabaran, sejak awal lagi sehingga selepas kemerdekaan formal itu dicapai di negara masing-masing.
Bagi golongan elit pro-kemerdekaan daripada kelas atasan yang memiliki harta seperti hacienda (ladang besar), kemerdekaan bermakna bahawa mereka boleh memiliki lebih banyak kebebasan untuk memajukan lagi kepentingan mereka dan mengumpul kekayaan yang lebih banyak, seperti apa yang diperjuangkan oleh golongan kolonial kulit putih dalam Revolusi Amerika. Namun, mereka biasanya tidak begitu senang hati dengan penglibatan golongan kelas bawahan, seperti petani kecil, masyarakat orang asal dan hamba kulit hitam, dalam proses revolusi itu, kerana takut pada kemungkinan perjuangan kemerdekaan itu di luar kawalan mereka dan menjadi lebih radikal sehingga mengubah seluruh struktur masyarakat lama seperti yang ditunjukkan dalam Revolusi Haiti. Ia menjadi penghalang kepada kemajuan perjuangan kemerdekaan ke arah yang lebih radikal di kebanyakan tempat di Amerika Latin. Oleh itu, banyak struktur masyarakat lama dan sistem pentadbiran lama masih dikekalkan di negara-negara yang sudah mencapai kemerdekaan, demi melindungi golongan elit atasan yang menjadi penerima faedah terbesar daripada kejayaan perjuangan kemerdekaan.
Oleh sebab melibatkan peperangan hebat untuk menentang tentera kolonial, dan sering kali tercetusnya perang saudara antara puak-puak yang berbeza pendirian politik, perjuangan bersenjata dan kempen ketenteraan menjadi ciri yang utama dalam gerakan perjuangan kemerdekaan Amerika Latin. Kesannya adalah golongan pemimpin tentera biasanya menjadi kuasa politik yang utama pada zaman pasca kemerdekaan. Dalam proses peperangan itulah lahirnya banyak pemimpin tentera yang turut memegang kuasa politik selepas kemerdekaan.

Golongan pemimpin tentera yang juga mempunyai pengaruh besar dan sering menjadi “orang kuat” dalam arena politik selepas kemerdekaan itu dikenali sebagai “caudillo”. Golongan caudillo biasanya “diamanahkan” kuasa pemerintahan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan ketenteraan mereka dalam perjuangan kemerdekaan. Caudillo memegang kuasa pemerintahan untuk melindungi kepentingan kelas pemerintah borjuis di sekelilingnya. Antara pemimpin kemerdekaan Amerika Latin yang jelas merupakan caudillo termasuk Carlos de Montúfar (dengan gelaran “El Caudillo”) di Ecuador, José Gervasio Artigas di Banda Oriental (Uruguay), Estanislao López di Argentina, Andrés de Santa Cruz di Bolivia, José Miguel Carrera di Chile, Ramón Castilla di Peru, Agustín de Iturbide di Mexico, Antonio López de Santa Anna di Mexico dan banyak lagi.
Golongan caudillo biasanya memerintah sebagai diktator. Walaupun mereka sering berkuasa tanpa melalui proses pilihan raya, banyak caudillo mempunyai sokongan rakyat yang kuat kerana sumbangan mereka dalam perjuangan kemerdekaan atau penonjolan karisma dan machismo (sifat kejantanan) mereka yang dapat menarik banyak pengikut-pengikut setia. Kebanyakan caudillo dapat mewujudkan ketertiban di wilayah-wilayah yang dikuasai mereka, tetapi selalunya perlu mengerahkan penyokong-penyokong bersenjata mereka untuk mengekalkan ketenteraman. Walaupun sesetengah caudillo cuba membawa pembaharuan, banyak caudillo yang lain hanya memerintah dengan pendekatan autoritarian yang mengutamakan kepentingan kuasa diri mereka. Banyak rejim kediktatoran yang autoritarian di Amerika Latin pada abad ke-20, merupakan warisan daripada pembentukan caudillismo di rantau itu sejak awal abad ke-19. Kewujudan caudillismo juga mencerminkan realiti perpecahan masyarakat akibat daripada pertembungan puak-puak politik yang berbeza di Amerika Latin selepas kemerdekaan daripada kuasa kolonial Iberia.

Salah satu ciri politik yang ketara di negara-negara Amerika Latin pasca kemerdekaan pada abad ke-19, adalah pertembungan antara golongan konservatif dan golongan liberal. Golongan konservatif biasanya wujud dalam kalangan mereka yang merupakan golongan Royalis semasa zaman perang kemerdekaan. Di Mexico, golongan konservatif ialah golongan elit criollo lama dan hanya bertukar pendirian untuk menyokong kemerdekaan selepas pemberontakan askar yang liberal di Cádiz pada tahun 1820, seperti Agustín de Iturbide, kerana mereka hendak melindungi struktur kuasa tradisional. Golongan liberal pula datang daripada mereka yang lebih radikal dalam persoalan sosial. Di Mexico, golongan liberal biasanya datang daripada tradisi Miguel Hidalgo y Costilla, José María Morelos dan Vicente Guerrero, di mana mereka melihat perang kemerdekaan adalah untuk memecahkan kuasa kezaliman kerajaan pusat dan mengubah struktur masyarakat yang sedia ada.
Dalam persoalan politik, golongan konservatif cenderung untuk mengekalkan dominasi kuasa elit criollo; sementara golongan liberal lebih cenderung untuk memperluaskan demokrasi kepada lapisan masyarakat yang lebih luas. Dalam persoalan ekonomi, golongan konservatif lebih cenderung mendukung struktur ekonomi tradisional yang semi-feudal, mengamalkan dasar perlindungan ekonomi dan mengekalkan perhambaan; sementara golongan liberal lebih mendukung pemodenan ekonomi, perdagangan bebas dan pemansuhan perhambaan. Dalam persoalan sosial, golongan konservatif masih hendak mengekalkan hierarki masyarakat lama yang menguntungkan golongan orang kulit putih keturunan Eropah; sementara golongan liberal menyokong kesamarataan kaum. Dalam persoalan agama yang berkaitan politik, golongan konservatif biasanya ingin mengekalkan kekuasaan Gereja Katolik, sementara golongan liberal cuba mewujudkan pemerintahan yang sekular, iaitu memisahkan Gereja Katolik daripada institusi negara.

Pertembungan antara golongan konservatif dan golongan liberal boleh memuncak kepada perang saudara di banyak negara sepanjang abad ke-19. Perang saudara yang melibatkan pertempuran antara golongan konservatif dan golongan liberal di Amerika Latin termasuklah Perang Saudara Argentina (1814-1880) antara golongan Federalismo yang konservatif dan golongan Unitario yang liberal, Perang Saudara Amerika Tengah (1827-1829 dan 1838-1840), Perang Saudara Chile 1829-1830 dengan golongan pelucón yang konservatif menewaskan golongan pipiolo yang liberal, Perang Saudara Ecuador (1833-1835, 1859-1860 dan 1882-1883) antara golongan liberal yang federalis dan golongan konservatif yang sentralis, Perang Saudara Uruguay (1839-1851) yang dimenangi oleh Partido Colorado yang liberal, Perang Farrapo (1835-1845) dengan kerajaan Empayar Brazil yang konservatif menumpaskan pemberontakan golongan liberal di negeri Rio Grande do Sul, Perang Reformasi (1857-1861) di Mexico yang dimenangi oleh golongan liberal, dan banyak lagi.
Selain perbezaan haluan politik antara golongan konservatif dan golongan liberal, satu lagi aspek yang mewujudkan perbalahan antara puak-puak politik yang berlainan itu adalah berkaitan dengan cara bagaimana menyusun negara baharu pasca kemerdekaan dari segi hubungan antara kerajaan pusat di ibu negara dan wilayah-wilayah di dalam negara itu. Golongan sentralis mendukung bentuk kerajaan berpusat dengan kebanyakan kuasa ditumpukan dalam tangan pemimpin-pemimpin kerajaan di ibu negara; sementara golongan federalis mendukung bentuk kerajaan yang dinyahpusatkan, di mana setiap wilayah di dalam sesebuah negara itu menikmati autonomi yang lebih besar dari segi pentadbiran malah perundangan.

Golongan sentralis itu boleh merupakan sama ada golongan konservatif atau golongan liberal, dan situasi yang sama juga wujud dalam golongan federalis. Walaupun Simón Bolívar mendukung idea-idea liberal, dia tegas mempertahankan bentuk kerajaan yang sentralis kerana dia berpendapat bahawa kerajaan pusat yang kuat adalah penting dalam membawa pembaharuan liberal yang berkesan, sementara semangat kewilayahan boleh melemahkan usaha pembebasan daripada cengkaman kolonial. Kebanyakan golongan konservatif yang mendukung bentuk pemerintahan sentralis menganggap pemusatan kuasa sebagai cara yang paling baik untuk mengekalkan kekuasaan elit masyarakat lama. Namun, golongan konservatif yang mendukung bentuk pemerintahan federalis pula menganggap penyahpusatan kuasa boleh melindungi kepentingan golongan elit atasan tempatan; sementara golongan liberal yang mendukung federalisme mengutamakan autonomi sesebuah wilayah dalam menentukan nasibnya sendiri tanpa campur tangan melampau daripada kerajaan berpusat yang mungkin cenderung menjadi autoritarian.
Walau bagaimanapun, keadaan perpecahan dalaman, perang saudara, rampasan kuasa dan kekecohan politik akibat daripada pertembungan puak-puak berbeza aliran yang diterajui oleh golongan elit atasan (termasuk caudillo) telah melemahkan kedudukan negara-negara Amerika Latin yang mencapai kemerdekaan itu untuk membangunkan masyarakat mereka. Lebih-lebih lagi, kuasa-kuasa imperialis besar, sama ada kuasa besar lama dari Eropah (seperti Britain dan Sepanyol) atau kuasa besar baharu yang muncul di benua Amerika (iaitu Amerika Syarikat), telah mempergunakan kesempatan kelemahan dalaman negara-negara Amerika Latin itu untuk memajukan kepentingan ekonomi dan geopolitik mereka. Dengan itu, usaha pembebasan masyarakat sebenar di rantau Amerika Latin terus dijejaskan lagi.

Impian pembebasan yang belum selesai: Menuju Amerika Latin yang bersatu
Perjuangan kemerdekaan Amerika Latin merupakan gelombang perjuangan anti-kolonial yang hebat, di mana sesetengahnya berpandukan idea-idea radikal untuk penghapusan perhambaan, kebebasan sivil, kesamarataan kaum, kedaulatan rakyat dan penyatuan bangsa tertindas.
Siri perang kemerdekaan di Amerika Latin telah menghancurkan pemerintahan kolonial Eropah yang berlarutan lebih 300 tahun dan melahirkan republik-republik baharu di hampir seluruh benua Amerika (kecuali Mexico dan Brazil yang pada peringkat awalnya bukan republik). Namun begitu, ia masih jauh lagi daripada visi dan aspirasi untuk pembebasan yang sebenar. Perjuangan untuk kebebasan tidak berakhir dengan kemerdekaan formal sesebuah negara itu daripada pemerintahan kolonial lama. Sebaliknya, perjuangan pembebasan sudah pasti akan diteruskan dalam bentuk perjuangan yang baharu untuk menentang segala cubaan reaksioner yang hendak memusnahkan pencapaian revolusioner dan mengekalkan struktur kekuasaan lama, di samping memajukan usaha pembaharuan masyarakat yang menyeluruh.

Tokoh-tokoh revolusioner Amerika Latin yang mempunyai visi pembebasan yang lebih besar, seperti Simón Bolívar, mengilhamkan sebuah benua Amerika yang bersatu dan berintegrasi dengan prinsip-prinsip pembebasan sebenar. Namun, impian untuk Amerika Latin yang bersatu, seperti yang cuba diusahakan dalam pembentukan Gran Colombia, telah dihancurkan dalam perbalahan, persengketaan dan perebutan kuasa antara puak-puak golongan elit yang mengutamakan kepentingan masing-masing. Ketidakstabilan politik, konflik dalaman dan campur tangan kuasa imperialis telah menjejaskan usaha untuk merealisasikan impian Amerika Latin yang bersatu.
Selain itu, harapan untuk mencapai kesamarataan dan keadilan sosial masih belum menjadi kenyataan bagi masyarakat orang asal, golongan keturunan Afrika, petani-petani dan kelas pekerja di Amerika Latin pada zaman pasca kemerdekaan. Masyarakat bawahan masih menghadapi eksploitasi dan penindasan yang berterusan di bawah pemerintahan elit baharu di Amerika Latin. Perjuangan untuk pembebasan masyarakat sepenuhnya, kesamarataan dan keadilan sosial diteruskan oleh gerakan-gerakan rakyat di merata tempat di Amerika Latin sehingga hari ini.

Lebih-lebih lagi, walaupun pemerintahan kolonial dari Semenanjung Iberia sudah disingkirkan, ancaman daripada imperialis kapitalis masih wujud secara ketara. Dengan Amerika Syarikat muncul sebagai kuasa besar global berikutan pembangunan ekonomi kapitalis yang pesat di negara itu, ia telah mendominasi secara geopolitik seluruh Hemisfera Barat sejak penghujung abad ke-19. Dari Doktrin Monroe hingga campur tangan ketenteraan dan sokongan kepada rejim-rejim autoritarian berhaluan kanan yang melindungi kepentingan kapitalis asing, Amerika Syarikat menjadikan Amerika Latin sebagai “halaman belakang” dominasi kekuasaan imperialisnya. Amalan neokolonial yang mewujudkan kebergantungan ekonomi negara-negara Amerika Latin kepada Amerika Syarikat telah memburukkan lagi ketidakadilan sosial dan menghalang pembangunan kendiri kebanyakan negara di Amerika Latin.
Namun, semangat penentangan dan usaha pembebasan tidak pernah lenyap di Amerika Latin. Gerakan masyarakat yang progresif di Amerika Latin terus memajukan perjuangan untuk demokrasi, kebebasan, kesamarataan, keadilan sosial dan solidariti merentasi sempadan negara. Dari Revolusi Kuba pada abad ke-20 hingga usaha membina Sosialisme Abad ke-21 dalam Revolusi Bolivar di Venezuela, dari Revolusi Mexico pada awal abad ke-20 hingga Pemberontakan Zapatista pada penghujung abad ke-20, dari gerakan masyarakat orang asal di Bolivia untuk menegakkan hak mereka hingga perjuangan untuk kedaulatan di Puerto Rico, sejarah Amerika Latin sepanjang lebih 200 tahun yang lalu dipenuhi dengan pelbagai usaha untuk menuntut maruah, autonomi, kebebasan, kesamarataan dan keadilan bagi seluruh anggota masyarakat yang berkepelbagaian di situ.

Inisiatif integrasi serantau seperti “Perikatan Bolivar untuk Rakyat Amerika Kita” (ALBA), Komuniti Negara-negara Amerika Latin dan Caribbean (CELAC), Kesatuan Negara-Negara Amerika Selatan (UNASUR) dan Pasaran Bersama Selatan (Mercosur) merupakan ekspresi di peringkat kerajaan pada masa kini impian untuk sebuah Amerika Latin yang bersatu seperti yang diilhamkan oleh Simón Bolívar pada awal abad ke-19, di samping mencabar dominasi ekonomi neoliberal, dan berusaha untuk memperkukuhkan solidariti antara negara-negara Amerika Latin.
Perjuangan pembebasan Amerika Latin yang jauh belum selesai itu mengingatkan kita semua bahawa kemerdekaan bukannya titik akhir yang tetap tetapi satu proses yang berterusan. Impian untuk Amerika Latin yang bersatu melangkaui batasan sempadan negara, berakar umbi dalam ingatan kolektif tentang penentangan terhadap kezaliman, dan aspirasi untuk sebuah masa hadapan yang bebas daripada segala bentuk penindasan, ketidaksamarataan, ketidakadilan serta cengkaman kuasa imperialis. Selagi ketidakadilan sosial masih wujud dan kuasa-kuasa imperialis masih cuba mengeksploitasi rantau Amerika Latin, perjuangan untuk pembebasan sebenar, yang pernah diterajui oleh tokoh-tokoh revolusioner seperti Simón Bolívar, José de San Martín dan Miguel Hidalgo y Costilla, akan berterusan. Cita-cita pembebasan dan idea-idea revolusioner yang menyalakan api kemerdekaan di seluruh Amerika Latin kekal bersemarak…
==========
Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.
==========
Rencana lain dalam Siri Revolusi Dunia: