
Keputusan Pilihan Raya Persekutuan Jerman 2025 tidak lagi mengejutkan kerana ia hanya mengesahkan bahawa kuasa pelampau kanan semakin berpengaruh di negara yang dilanda krisis politik itu. Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD), sebuah parti berhaluan kiri-tengah yang merupakan parti utama dalam kerajaan campuran sebelum pilihan raya kali ini, mengalami kekalahan teruk; Kesatuan Demokratik Kristian Jerman (CDU), sebuah parti konservatif yang berhaluan kanan-tengah, muncul sebagai parti yang terbesar dalam Bundestag (iaitu Parlimen Persekutuan Jerman); Alternatif untuk Jerman (AfD), sebuah parti pelampau kanan yang islamofobik dan anti-migran, menggandakan undi yang diperolehinya berbanding pilihan raya sebelum ini dan menjadi parti kedua besar dalam Bundestag. Namun, apa yang melegakan sedikit adalah, Die Linke (Parti Kiri), yang diramalkan mungkin kalah teruk kerana pelbagai masalah yang membelengguinya beberapa tahun kebelakangan ini, mampu bangkit semula dengan keputusan yang jauh lebih baik berbanding tahun 2021.
Pilihan Raya Persekutuan Jerman yang terbaru diadakan pada 23 Februari 2025 untuk memilih 630 orang ahli parlimen dalam Bundestag. Ini merupakan pilihan raya yang mengejut kerana kerajaan campuran “lampu isyarat trafik” yang dipimpin oleh Olaf Scholz daripada SPD dibubarkan pada bulan November 2024. Kerajaan campuran yang dipimpin oleh Olaf Scholz sebagai Canselor (iaitu ketua kerajaan Jerman) itu diberi nama samaran “lampu isyarat trafik” kerana ia terdiri daripada SPD diwakili dengan warna merah, Parti Demokratik Bebas (FDP) yang diwakili dengan warna kuning dan Parti Hijau atau Pakatan 90/Hijau (Grüne) yang diwakili dengan warna hijau. Olaf Scholz memecat Christian Lindner, pemimpin FDP, daripada jawatan Menteri Kewangan pada bulan November 2024 kerana perbezaan pandangan dalam dasar ekonomi, maka menyebabkan perpecahan gabungan “lampu isyarat trafik” dan Olaf Scholz tewas dalam pengundian kepercayaan dalam Bundestag pada bulan Disember 2024. Oleh itu, Pilihan Raya Persekutuan Jerman diawalkan. Peratusan keluar mengundi adalah 82.5%, lebih tinggi berbanding 76.3% dalam pilihan raya sebelum ini pada tahun 2021.

Walaupun merupakan parti terbesar dalam Bundestag dan parti utama dalam kerajaan campuran sebelum ini, SPD yang dipimpin oleh Olaf Scholz mencatatkan keputusan yang paling teruk dalam sejarah parti itu sejak Perang Dunia II. SPD hanya meraih 16.4% undian dalam undi mengikut senarai parti, merosot sebanyak 9.3 titik peratusan berbanding tahun 2021, dan menjadikannya parti ketiga besar dalam Bundestag. Jumlah kerusi yang dimenangi oleh SPD hanya 120 (dengan 44 kerusi daripada undi mengikut kawasan pilihan raya), berkurangan sebanyak 86 kerusi berbanding 206 kerusi yang dimenangi pada tahun 2021.
CDU yang dipimpin oleh Friedrich Merz meraih sebanyak lebih 11 juta undi, bersamaan 22.6% undian, dalam undi mengikut senarai parti, meningkat sebanyak 3.6 titik peratusan berbanding tahun 2021, menjadikannya parti yang terbesar dalam Bundestag. CDU menang 164 kerusi (dengan 128 kerusi daripada undi mengikut kawasan pilihan raya), meningkat sebanyak 12 kerusi berbanding tahun 2021. Namun, peratusan undian yang diperolehi CDU kali ini, sama ada undi mengikut senarai parti atau undi mengikut kawasan pilihan raya, adalah kurang berbanding kali terakhirnya menang sebelum ini pada tahun 2017. Kesatuan Sosial Kristian (CSU), sebuah parti konservatif di negeri Bayern yang sentiasa bersekutu dengan CDU, meraih 6.0% undian dalam undi mengikut senarai parti, meningkat sebanyak 0.8% berbanding tahun 2021, dan memenangi 44 kerusi (dengan kesemuanya daripada undi mengikut kawasan pilihan raya). Oleh itu, perikatan CDU-CSU menguasai 28.6% undian dan memenangi sebanyak 208 kerusi Bundestag. CDU-CSU dijangka akan membentuk kerajaan campuran “gabungan besar” dengan SPD, seperti yang pernah dilakukan beberapa kali semasa zaman kepimpinan Angela Merkel.
AfD yang dipimpin oleh Alice Weidel, yang mendapat sokongan terbuka daripada kapitalis besar Amerika Syarikat (AS) Elon Musk semasa kempen pilihan raya, meraih kira-kira 10.3 juta undi, bersamaan 20.8% undian, dalam undi mengikut senarai parti, meningkat sebanyak 10.4 titik peratusan berbanding tahun 2021, iaitu peratusan undinya digandakan, maka mencatatkan keputusan pilihan raya yang terbaik sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 2023. AfD menguasai sebanyak 152 kerusi (dengan 42 kerusi daripada undi mengikut kawasan pilihan raya, dengan kebanyakannya di negeri-negeri bahagian timur). AfD telah mempermainkan sentimen nasionalisme sempit, perkauman, xenofobia dan islamofobia untuk mengalihkan perhatian serta menarik sokongan pengundi yang tidak berpuas hati dengan keadaan masyarakat yang sedia ada.
Grüne, sebuah parti hijau yang mencatatkan keputusan terbaiknya pada tahun 2021 dan merupakan parti kedua besar dalam kerajaan campuran “lampu isyarat trafik” sebelum ini, meraih sebanyak 11.6% undian dalam undi mengikut senarai parti, menurun 3.1 titik peratusan berbanding tahun 2021. Grüne menguasai 85 kerusi dalam Bundestag (dengan 12 kerusi daripada undi mengikut kawasan pilihan raya), berkurangan sebanyak 33 kerusi berbanding tahun 2021.
Sebuah lagi parti yang membentuk kerajaan campuran “lampu isyarat trafik” sebelum ini, FDP, sebuah parti liberal yang mendukung kuat dasar ekonomi pasaran bebas, hanya meraih 4.3% undian daripada undi mengikut senarai parti, tidak dapat melepasi ambang perolehan undian 5% yang melayakkannya untuk mendapat kerusi dalam Bundestag. Ini merupakan kali kedua FDP gagal memenangi sebarang kerusi Bundestag dalam sejarahnya (sebelum ini adalah pada tahun 2013).

Die Linke, parti berhaluan kiri yang ditubuhkan pada tahun 2007 hasil daripada penggabungan Parti Sosialis Demokratik (PDS) yang merupakan penyambung warisan politik parti pemerintah Jerman Timur pada zaman Perang Dingin dan “Buruh dan Keadilan Sosial – Alternatif Pilihan Raya” yang diasaskan oleh aktivis-aktivis yang kecewa dengan kerajaan campuran “merah-hijau” SPD-Grüne (2002-2005), berjaya mempertahankan kedudukannya dalam Bundestag dengan keputusan yang lebih baik berbanding pilihan raya yang lalu. Die Linke meraih sebanyak 4,355,382 undi, bersamaan 8.8% undian dalam undi mengikut senarai parti, meningkat sebanyak 3.9% titik peratusan berbanding tahun 2021. Die Linke berjaya memenangi 64 kerusi (dengan 6 kerusi daripada undi mengikut kawasan pilihan raya), meningkat sebanyak 25 kerusi berbanding tahun 2021.
Die Linke hampir disingkir keluar daripada Bundestag pada tahun 2021 apabila hanya meraih 4.9% undian dalam undi mengikut senarai parti, iaitu kurang daripada ambang yang melayakkannya untuk mendapat kerusi. Namun, oleh sebab memenangi 3 kerusi melalui undi mengikut kawasan pilihan raya pada masa itu, Die Linke dapat kekal dalam Bundestag dengan 39 kerusi selepas Pilihan Raya Persekutuan Jerman 2021. Namun, Die Linke terus terjebak dalam krisis dalaman yang serius selama beberapa tahun kebelakangan ini, apabila salah seorang pemimpinnya yang sangat popular, Sahra Wagenknecht, sentiasa mengingkari garis juang parti dengan membawa pandangan anti-migran untuk mendampingi pengundi-pengundi yang semakin tertarik dengan retorik xenofobik golongan pelampau kanan. Sahra Wagenknecht bersama dengan sesetengah pemimpin veteran berpecah keluar daripada Die Linke pada bulan September 2023, dan menubuhkan sebuah parti populis yang terbentuk di sekeliling Sahra Wagenknecht pada bulan Januari 2024, dengan namanya Perikatan Sahra Wagenknecht (BSW).
BSW yang memperoleh keputusan yang lebih baik berbanding Die Linke dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah 2024 dan pilihan raya negeri pada tahun 2024 (Brandenburg, Sachsen dan Thüringen), gagal memenangi kerusi dalam Pilihan Raya Persekutuan Jerman 2025 apabila ia meraih 4.97% undian, hanya kekurangan 0.03 titik peratusan untuk melepasi ambang yang membolehkannya menguasai kerusi dalam Bundestag. BSW juga tidak menang di mana-mana kawasan pilihan raya.
Sebelum ini, wujudnya spekulasi kuat bahawa Die Linke akan terkandas dalam Pilihan Raya Persekutuan Jerman 2025 kerana prestasi yang semakin merosot dalam pilihan raya beberapa tahun kebelakangan ini. Selain hampir tidak dapat memasuki Bundestag pada tahun 2021, Die Linke hanya meraih 2.74% undian semasa Pilihan Raya Parlimen Eropah 2024, iaitu rekod pencapaian perolehan undian yang paling teruk dalam sejarahnya; Die Linke kalah di negeri Thüringen di mana ia merupakan sebahagian daripada kerajaan campuran selama dua penggal dengan peratusan undi yang lebih rendah berbanding BSW. Akan tetapi, selepas Sahra Wagenknecht meninggalkan Die Linke, parti berhaluan kiri itu dapat menyusun semula barisannya dan membangunkan lapisan kepimpinan baharu yang menjana tenaga baharu kepada gerak kerja parti, sehingga ia mampu bangkit semula dalam tempoh beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Persekutuan Jerman 2025.

Heidi Reichinnek, salah seorang pemimpin Die Linke di Bundestag, menjadi sangat popular baru-baru ini apabila videonya memarahi Friedrich Merz daripada CDU dalam Bundestag kerana bersekongkol dengan pelampau kanan dalam rancangan berkenaan menyekat imigrasi menular di media sosial TikTok. Reichinnek mempunyai tatu di tangan kirinya dengan gambar Rosa Luxemburg (1871-1919), tokoh revolusioner sosialis Jerman yang terkenal.
Apabila orang terkaya di dunia menyatakan sokongannya terbuka kepada parti pelampau kanan yang anti-migran di Jerman, Die Linke yang hendak mengenakan cukai lebih tinggi terhadap golongan mahakaya mampu mempertahankan kedudukannya dalam parlimen dengan kempen yang penuh bersemangat. Aktivis-aktivis Die Linke mengetuk pintu lebih 600,000 buah rumah sepanjang tempoh kempen. Dengan kempen yang berkisar pada usaha memperjuangkan rumah mampu dihuni, kawalan harga sewa rumah, gaji yang bermaruah, perlindungan alam sekitar dan anti-perang, Die Linke berjaya menarik sokongan baharu yang kuat daripada golongan wanita dan pengundi muda. Puluhan ribu orang menyertai Die Linke dalam tempoh beberapa minggu menjelang pilihan raya. Ini merupakan satu pencapaian yang menggalakkan dalam suasana kemurungan politik yang didominasi oleh golongan pelampau kanan.
Selain dapat meraih 8.8% undian dalam undi mengikut senarai parti, Die Linke berjaya memenangi 6 kerusi melalui undi mengikut kawasan parlimen. Selain berjaya mengekalkan kerusi di kawasan pilihan raya Leipzig II (36.8% undian, meningkat 14.0 titik peratusan), Berlin-Lichtenberg (34%, +8.2 titik peratusan) dan Berlin-Treptow-Köpenick (41.8%, +6.5 titik peratusan), Die Linke berjaya memenangi kerusi di Erfurt-Weimar-Weimarer Land II (36.8%, +20.4 titik peratusan, merampas daripada SPD), Berlin-Neukölln (30.0%, +17.0 titik peratusan, merampas daripada SPD) dan Berlin-Friedrichshain-Kreuzberg-Prenzlauer Berg Ost (34.7%, +16.6 titik peratusan, merampas daripada Grüne). Die Linke merupakan parti yang meraih undi terbanyak di Berlin, dengan 19.9% undian mengikut undi senarai parti (meningkat 8.3 titik peratusan).
Kerajaan campuran baharu yang diterajui oleh CDU-CSU yang konservatif akan dibentuk, dengan parti pelampau kanan semakin kuat suaranya dalam Bundestag. Masyarakat Jerman akan terus dibelenggu oleh masalah ekonomi, perbahasan berkisar pada isu imigrasi dan ancaman kemaraan populisme berhaluan kanan. Adalah menjadi cabaran kepada golongan progresif di Jerman, termasuk Die Linke yang mendapat nafas baharu daripada kebangkitan semula dalam pilihan raya baru-baru ini, untuk terus memobilisasi rakyat dalam usaha menangkis ancaman pelampau kanan dan memperjuangkan keadilan sosial.