Berikut ialah kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang menggesa Kerajaan supaya memastikan gaji minimum RM1,500 dilaksanakan untuk semua pekerja perkhidmatan sokongan di premis kerajaan bermula bulan Mei 2022, seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, dan bukannya selepas perjanjian dengan kontraktor diperbaharui.

==========

oleh Danial Hakeem

1. Pihak Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) telah menerima banyak aduan daripada pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sekolah yang menyatakan bahawa pihak kontraktor tidak akan melaksanakan gaji minimum RM1,500 kepada para pekerja seperti yang telah disarankan oleh pihak Kementerian.

2. Antara alasan yang telah diberikan oleh pihak kontraktor adalah kontrak perjanjian antara mereka dengan kerajaan masih berdasarkan kadar gaji minimum yang lama. Syarikat enggan mendahulukan dana untuk pembayaran gaji minimum baharu, dan hanya berharap daripada peruntukan oleh pihak kerajaan.

3. Pekerja mengadu bahawa kontraktor ada menyatakan syarikat akan terus membayar gaji minimum pada kadar RM1,200 sehingga kontrak mereka tamat. Syarikat juga hanya akan melunaskan tunggakan kenaikan gaji RM300 sebulan ke kadar gaji minimum baharu RM1,500 selepas kontrak syarikat dengan kerajaan tamat.

4. Walau bagaimanapun, daripada pengalaman kebanyakan pekerja yang sudah menyaksikan pelaksanaan gaji minimum sebelum ini kepada RM1,100 dan RM1,200, bayaran tunggakan gaji ke kadar baharu tidak akan ditunaikan. Ini bermakna, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan bangunan kerajaan sendiri tidak akan menikmati gaji minimum baharu sehingga kontraktor baharu masuk, ataupun sehingga kontrak perjanjian antara kontraktor dengan kerajaan diperbaharui.

5. Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) juga, dalam satu surat mereka kepada Menteri Sumber Manusia bertarikh 18 Mei 2022, telah memohon untuk menangguhkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum RM1,500 sehingga bulan Januari 2023. Alasan yang diberikan adalah, kumpulan majikan berpendapat bahawa perintah ini diwartakan dengan mengejut dan industri keselamatan tidak dapat bersedia untuk menanggung kos tambahan secara tiba-tiba, dan hanya akan bersedia untuk bermula pada tahun hadapan. Alasan kedua adalah kerana pengawal keselamatan tergolong dalam kelompok pekerja bukan profesional.

6. Syarikat pembersihan juga memberikan alasan yang sama kepada pekerja, iaitu kos peningkatan gaji pokok secara tiba-tiba tidak mampu ditanggung. Mereka berjanji untuk melunaskan Perintah Gaji Minimum dalam bentuk bayaran balik (tunggakan) setelah pembayaran kadar baharu daripada pelanggan (dalam kes ini, kerajaan).

7. Baru-baru ini juga, akhbar The Star pada 19 Mei 2022 melaporkan krisis kekurangan pekerja pembersihan di sekolah-sekolah kerajaan di seluruh negara, sehingga memaksa guru dan murid untuk membersihkan kawasan sekolah dan tandas masing-masing. Ada kontraktor yang gagal menyediakan pekerja pembersihan selama sebulan, sebagai contoh di SMK Bandar Utama 3 di Petaling Jaya seperti yang dilaporkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mereka.

8. Tinjauan oleh akhbar juga menunjukkan bahawa ramai pekerja pembersihan sekolah berhenti kerja dan mencari rezeki di tempat lain kerana gaji minimum sebagai pekerja di bangunan kerajaan sendiri tidak terjamin. Pekerja pembersihan dari seluruh negara sememangnya akan mencari jalan rezeki lain, dan keadaan kerja pengganti mereka juga akan semakin mendukacitakan sekiranya mereka masih dibayar gaji minimum pada kadar sebelumnya.

9. Timbalan Menteri Pendidikan I, Dato’ Dr. Mah Hang Soon sendiri sudah sedar akan perkara ini. Beliau mengingatkan bahawa syarikat yang gagal mematuhi terma kontrak (gagal menyediakan pekerja) mesti dilaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dengan segera. Beliau juga menegaskan bahawa bermula bulan Mei 2022, semua pembayaran gaji kepada pekerja mestilah bermula dari RM1,500.

10. Kami daripada JPKK ingin menegaskan bahawa peranan kerajaan adalah sebagai penunjuk teladan kepada sektor swasta dalam isu penjagaan kebajikan pekerja. Syarikat yang kewangan tidak kukuh tidak boleh terus dianugerahkan tender tanpa mengambil kira rekod perkhidmatan mereka. Terlalu banyak syarikat yang beroperasi di sekolah kerajaan melanggar undang-undang, menindas pekerja dengan tidak memberi gaji minimum, cuti tahunan dan cuti sakit, dan terus beroperasi tanpa dikenakan sebarang tindakan. Ada juga individu-individu yang terus mendapat tender berulang kali walaupun banyak rekod aduan pekerja dikemukakan.

11. Justeru, JPKK ingin mendesak Kerajaan untuk:

  • Memastikan gaji minimum RM1,500 dilaksanakan di bangunan kerajaan bermula bulan Mei 2022.
  • Memastikan kontraktor tidak memberikan alasan tidak ada duit untuk membayar gaji minimum.
  • Menyenaraihitamkan kontraktor yang bermasalah dan enggan untuk membayar gaji minimum RM1,500.
  • Memastikan semua pekerja yang membuat aduan akan diberi perlindungan dan tidak akan dimangsakan.
  • Menilai semula semua kontrak perjanjian dengan kontraktor dengan segera untuk dinaiktaraf ke kadar baharu, supaya majikan tiada alasan untuk penangguhan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum.

12. Kerajaan sebagai pihak yang mewartakan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 harus memastikan kontraktor kerajaan membayar gaji RM1,500 kepada semua pekerja, termasuk syarikat yang menggaji kurang daripada 5 orang pekerja kerana adalah tanggungjawab kerajaan untuk menjayakan polisi dan undang-undang sendiri. Jika kerajaan sendiri yang ingkar dan cuai dengan kontraktor kerajaan, bagaimana pula dengan pihak swasta? Kerajaan harus menunjukkan contoh dan teladan yang baik.

==========

Danial Hakeem Bin Azman ialah Penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).

One thought on “Pastikan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sekarang juga, bukan selepas perbaharui perjanjian dengan kontraktor

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s