
oleh S. Arutchelvan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) berterima kasih dan memuji Anwar Ibrahim serta Kerajaan Madani kerana mewajibkan perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja-pekerja migran. Namun, kebimbangan terbesar kami ialah Perdana Menteri berkata bahawa ia akan dilaksanakan secara berperingkat, dan kami khuatir bahawa langkah yang tepat pada masa ini tidak akan berlaku. Malah Menteri Sumber Manusia tidak bercakap tentang ini dalam 10 berita baik mengenai Belanjawan 2025 dalam video Tiktoknya. Mungkin dia takut mendapat reaksi hebat daripada golongan majikan dan pekerja tempatan.
Izinkan saya menggariskan kenapa cadangan ini baik dan hanya majikan yang menyelewang akan menentangnya. Kami menyokong langkah ini berdasarkan perkara-perkara berikut:
1. Adalah penting untuk mewujudkan faedah pekerja yang standard bagi kedua-dua pekerja tempatan dan pekerja migran kerana jika tidak berbuat demikian, ia akan memberi kelebihan kepada majikan untuk mengupah pekerja-pekerja migran berbanding pekerja-pekerja tempatan untuk mengurangkan kos. Malah sebenarnya semua undang-undang di Malaysia, Akta Kerja dan Akta Perhubungan Perusahaan, tidak mempunyai apa-apa peruntukan yang mendiskriminasi atau membezakan pekerja-pekerja warganegara Malaysia dan pekerja-pekerja migran bukan warganegara. Oleh itu, adalah penting untuk kesamarataan yang serupa ini diamalkan dalam hal berkenaan pencaruman KWSP.
2. Langkah ini akan mengurangkan buruh paksaan dan pemindahan pekerja secara haram daripada seorang majikan kepada majikan lain. Pada masa ini, terdapat sebilangan majikan mengupah pekerja migran di bawah nama sebuah syarikat tetapi mereka sebenarnya bekerja di sebuah lagi syarikat yang lain. Penyumberan luar secara dalaman ini merupakan salah satu sebab utama kenapa ramai pekerja migran yang sah di sisi undang-undang menjadi tidak berdokumen dan tidak sah di sisi undang-undang. Banyak agen juga menyalahgunakan perkara ini. Walaupun ini merupakan satu kaedah yang tidak sah di sisi undang-undang, ia digunakan secara meluas. Inilah caranya sesetengah majikan memperdaya kerajaan untuk mengelak daripada syarat-syarat dan sistem kuota mengikut sektor yang ditetapkan.
Dengan mewajibkan pembayaran bulanan caruman KWSP, syarikat utama itu pada setiap masa akan bertanggungjawab dan ruang untuk bermain helah akan dikurangkan. Ini akan dapat mengurangkan penyelewengan yang dilakukan oleh pihak majikan dan agen.
3. Memberikan perlindungan KWSP kepada pekerja-pekerja juga akan mengurangkan bilangan kes pekerja melarikan diri daripada seorang majikan kepada majikan lain. Mempunyai simpanan KWSP bermakna apabila tamat tempoh kerja mereka di sini, pekerja-pekerja akan mendapat balik caruman hasil titik peluh mereka, dan ini akan membantu mereka untuk pulang ke kampung halaman dengan tunai yang lebih banyak demi membantu keluarga mereka di kampung halaman. Sering kali pekerja-pekerja yang tamat kontrak mereka di sini akan terus tinggal dan bekerja secara tidak sah di sisi undang-undang. Dengan adanya KWSP, mempunyai mempunyai alasan untuk pulang dengan wang bayaran sekali gus supaya meneruskan kehidupan mereka.
Cadangan Teresa Kok bahawa kerajaan patut mengurangkan secara ketara caruman daripada majikan yang mengupah pekerja migran itu adalah tidak masuk akal dan berpandangan cetek. Dia mencadangkan bahawa pihak majikan hanya mencarun 1.5%, sementara pekerja migran mencarum 10%. Pada masa itu, kadar caruman bahagian majikan ialah 13% sementara pekerja mencarum 10% daripada gaji pokok mereka. Kenapa pekerja harus membayar lebih banyak berbanding majikan mereka? Dasar yang mendiskriminasi pekerja migran ini merupakan taktik yang sering dipermainkan oleh golongan politikus untuk meraih sokongan dalam masyarakat kita yang masih terperangkap dalam minda xenofobia.
Sebelum ini, Lim Guan Eng juga pernah mencadangkan bahawa gaji minimum harus hanya untuk pekerja tempatan. Nasib baik kali ini Menteri Sumber Manusia berkata bahawa 80% pekerja yang menerima manfaat daripada gaji minimum ialah pekerja tempatan dan bukannya pekerja migran. Ini juga mematahkan dakwaan bahawa kebanyakan pekerja Malaysia memperoleh gaji yang lebih tinggi daripada pekerja migran.
Cuba bayangkan jika semua negara di dunia juga mengamalkan dasar diskriminasi sebegitu yang bermakna pekerja-pekerja Malaysia di luar negara juga dinafikan hak-hak mereka.
Pada masa ini, banyak majikan melobi dengan kuat bahawa mereka memerlukan pekerja-pekerja migran. Mereka berpendapat bahawa pekerja-pekerja Malaysia tidak mahu mengambil kerja-kerja itu. Malah, ramai orang memberitahu saya semasa sesi town hall anjuran Kementerian bahawa mereka rela membayar lebih banyak berbanding gaji minimum Malaysia tetapi pekerja-pekerja Malaysia tidak berminat untuk bekerja. Jadi, apabila kerajaan meningkatkan gaji minimum dan mewajibkan pencaruman KWSP, syarikat-syarikat besar ini harus bersedia untuk membayar untuknya. Mereka harus disampaikan mesej bahawa buruh migran bukannya buruh murah dan jika mereka masih bertegas untuk berbuat demikian, maka mereka harus juga bersedia untuk membayar.
Skim yang serupa telah dilaksanakan di banyak negara lain di dunia, dan Malaysia hanya konsisten dengan matlamat global. Begitu juga kita tidak mahu warganegara kita yang diupah di luar negara itu didiskriminasi. Itulah sebabnya kenapa komen oleh Teresa Kok bukan sahaja tidak sesuai, malah ia membenarkan eksploitasi yang lebih lanjut terhadap pekerja-pekerja migran.
Idea Teresa Kok untuk mengurangkan kos mengupah pekerja migran bermakna ia akan mendorong lebih lanjut lagi para majikan untuk mengupah pekerja-pekerja migran bukannya pekerja-pekerja tempatan.
PSM amat percaya bahawa pekerja-pekerja migran di sini melakukan kebanyakan kerja yang bahaya, susah dan kotor (3D) yang tidak mahu dilakukan oleh ramai warga tempatan. Adalah betul dari segi moral dan saksama bahawa mereka patut dibayar gaji yang berpatutan, dan menyediakan perlindungan KWSP kepada mereka akan memberikan keadilan kepada perburuhan mereka.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).