oleh S. Arutchelvan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan untuk memastikan kebajikan kira-kira 200,000 orang pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun yang berkhidmat di sekolah-sekolah, hospital-hospital, institusi-institusi kesihatan dan pendidikan kerajaan di seluruh negara dengan membayar mereka gaji minimum yang sama dengan pekerja-pekerja kerajaan yang bergaji terendah, iaitu RM2,000 sebulan.
Pada 1 Mei 2024, Perdana Menteri mengumumkan bahawa jumlah pendapatan bagi kakitangan kerajaan pada tangga gaji terendah akan ditingkatkan kepada minimum RM2,000 sebulan, meningat daripada RM1,795 sebulan sebelum itu.
Pekerja-pekerja pembersihan dan pengawal-pengawal keselamatan yang bekerja di bangunan-bangunan kerajaan ini telah dirampas hak mereka apabila kerajaan melaksanakan dasar penswastaan pada tahun 1996 dan 1997 di bawah Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada masa itu, dengan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan.
Pada masa ini, terdapat hampir 100,000 orang pekerja kontrak B40 di 160 buah hospital kerajaan. Begitu juga terdapat 42,693 orang pengawal keselamatan yang bekerja di 10,961 buah premis kerajaan, dan 45,411 orang lagi pekerja pembersihan yang bekerja di institusi-institusi pendidikan, termasuk sekolah-sekolah kerajaan. Secara keseluruhannya, terdapat kira-kira 200,000 orang pekerja kontrak di hospital-hospital dan sekolah-sekolah kerajaan, yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan atau pekerja pembersihan.
Tenaga kerja penting ini, yang bertanggungjawab untuk memastikan hospital-hospital dan sekolah-sekolah kita bersih serta selamat, telah dinafikan gaji minimum yang layak sara hidup. Mereka tidak mempunyai keterjaminan pekerjaan dan dinafikan semua faedah yang dinikmati oleh pekerja-pekerja kerajaan, walaupun pada hakikatnya pekerjaan mereka juga bersifat tetap.
Pada bulan Ogos 2024, Hassan Karim, satu-satunya Ahli Parlimen reformis PKR yang tinggal, menggesa Menteri Sumber Manusia supaya jangan mengabaikan kebajikan pekerja-pekerja kontrak ini, dengan menyatakan bahawa mereka telah dieksploitasi oleh kontraktor-kontraktor yang dilantik oleh kerajaan.
Satu lagi isu yang biasa berlaku ialah apabila gaji minimum dinaikkan, pekerja-pekerja ini sering kali tidak menerimanya serta-merta. Pihak kontraktor biasanya mendakwa bahawa kerajaan belum lagi membayar mereka, menyebabkan pekerja-pekerja ini menerima gaji minimum mereka yang sepatutnya lebih lewat, atau dalam sesetengah kes, dinafikan sama sekali.
PSM dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) telah memperjuangkan supaya pekerja-pekerja ini diserapkan semula sebagai pekerja-pekerja kerajaan. Walaupun jika itu tidak mungkin dilaksanakan pada masa ini, Menteri Sumber Manusia boleh meminta pada kerajaan untuk memastikan bahawa pekerja-pekerja ini dibayar kadar gaji minimum yang sama seperti pekerja-pekerja kerajaan, kerana kerajaanlah yang bertanggungjawab dalam menentukan gaji mereka.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).