(foto: Алесь Усцінаў / pexels)

oleh Choo Chon Kai

24 Februari 2023 menandakan ulangtahun pertama pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine, sebuah peristiwa titik perubahan yang telah membentuk semula imbangan kuasa geopolitik dalam abad ke-21 ke arah ketidakstabilan global yang lebih hebat.

Pendapat dunia adalah berpecah dalam persoalan perang di Ukraine, begitu juga dengan golongan kiri di peringkat antarabangsa. Kebanyakan orang daripada golongan politik kiri adalah membantah perang, tetapi berbeza pandangan dalam banyak persoalan berkaitan perang ini dan tindakan yang harus diambil. Sesetengah orang menganggap perang di Ukraine sebagai perang antara kuasa imperialis “yang dilancarkan untuk kepentingan golongan monopoli dan kelas borjuis, dan bukannya rakyat”; sesetengah orang menganggap Rusia sebagai kejahatan yang kurang besar berbanding imperialisme Amerika Syarikat (AS), maka hanya memfokus kritikan mereka terhadap imperialisme AS tetapi gagal dalam mengecam Rusia; sesetengah orang menyatakan solidariti dengan rakyat Ukraine dalam perjuangan mereka melawan pencerobohan tentera Rusia; sementara sesetengah orang pula menganggap Ukraine sebagai buah catur atau proksi imperialisme AS untuk melemahkan Rusia. Persoalan tentang mempersenjatakan penentangan Ukraine terhadap pencerobohan Rusia juga sesuatu yang memecah-belahkan pandangan dan meletakkan golongan kiri dalam kedudukan yang dilema: menyokong bantuan ketenteraan kepada Ukraine dianggap sebagai berpihak kepada imperialisme AS dan perluasan ketenteraan NATO, sementara membantah bantuan ketenteraan kepada Ukraine pula dianggap sebagai merestui kekejaman Rusia di Ukraine.

Persaingan geopolitik imperialis di sebalik perang di Ukraine

Perang Rusia ke atas Ukraine yang masih berterusan telah mengakibatkan kematian ribuan orang awam Ukraine dan puluhan ribu orang tentera di kedua-dua pihak, dengan angka sebenar mungkin jauh lebih besar, selain sekurang-kurangnya 14,000 orang yang terbunuh antara tahun 2014 sehingga permulaan pencerobohan tentera Rusia. Sementara itu, jutaan orang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka kerana peperangan. Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah membawa kesan negatif kepada bekalan makanan antarabangsa yang menyebabkan peningkatan harga makanan secara mendadak dan kekurangan bekalan makanan di seluruh dunia, begitu juga dengan krisis tenaga yang semakin teruk di Eropah. Perang di Ukraine juga berisiko untuk memburuk lagi sehingga tercetus perang nuklear yang membawa malapetaka kepada seluruh dunia.

Perang di Ukraine sekarang ini merupakan lanjutan daripada perang di wilayah Donbas yang tercetus pada tahun 2014, berikutan gelombang protes Euromaidan yang menjatuhkan pemerintahan Presiden Viktor Yanukovych yang pro-Rusia, pembentukan kerajaan yang pro-Barat di Kyiv, pengilhakan Krimea oleh Rusia, dan pemberontakan golongan pro-Rusia di Timur dan Selatan Ukraine. Peringkat terbaru konflik ini – pencerobohan Rusia ke atas Ukraine – ialah produk persaingan geopolitik antara Rusia dan kuasa Barat yang diterajui oleh AS.

Salah satu faktor utama yang menyebabkan konflik ini memuncak sehingga tercetus perang di Ukraine ialah desakan agresif oleh AS yang menghasut perang selama bertahun-tahun untuk mengembangkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke arah timur sehingga ke sempadan Rusia. NATO ialah sebuah antik yang ditinggalkan daripada Perang Dingin abad ke-20 yang bertahan sehingga abad ke-21 untuk berfungsi sebagai mekanisme bagi dominasi dan militarisasi imperialis Barat yang diketuai AS.

Walaupun kita harus mengkritik dan mengecam dasar-dasar imperialis AS dan NATO yang menyumbang kepada peningkatan konflik geopolitik, kita tidak harus mengabaikan atau meremehkan peranan Rusia sebagai penceroboh langsung dalam kes perang di Ukraine. Seorang penceroboh itu ialah seorang penceroboh, dan kita harus jelas tentang perkara ini untuk mengelakkan diri daripada menjadi pembela kepada penceroboh. Kita harus menentang imperialisme AS dan militarisme NATO, begitu juga kita harus menentang Rusia atas tindakannya yang tidak bertanggungjawab dan kejam terhadap Ukraine. Pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine, sebuah negara yang berdaulat dan merdeka sejak tahun 1991, adalah tidak wajar langsung atas apa jua alasan yang diberikan oleh pihak Kremlin.

Selain “kebimbangan keselamatan” Kremlin tentang pengembangan NATO ke arah timur, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine mempunyai asas yang sangat nasionalis-chauvinis. Dalam ucapannya tiga hari sebelum pencerobohan, Presiden Rusia Vladimir Putin pada dasarnya menafikan kewujudan Ukraine dengan mendakwa bahawa “Ukraine moden dicipta sepenuhnya oleh Rusia” dan menyalahkan tokoh revolusioner Rusia Vladimir Lenin atas sebab “memisahkan dan memutuskan apa yang sepatutnya tanah Rusia secara sejarah”. Sikap Putin terhadap Ukraine jelasnya ialah apa yang yang dikecam oleh Lenin sebagai “chauvinisme Rusia Besar”.

Sesetengah orang yang mendakwa diri mereka sebagai anti-imperialis memandang perang di Ukraine secara positif, dengan alasan bahwa ia membuka jalan kepada pembentukan sebuah dunia multipolar, dengan Rusia sebagai “perintis dunia multipolar”. Pandangan seperti ini adalah kontraproduktif dalam mencabar imperialisme. Ia hanya berfungsi dalam memperkukuhkan keinginan Rusia untuk mengekalkan lingkungan pengaruh kuasanya di rantau Eropah Timur.  

Walaupun imperialisme AS memang telah mengakibatkan kemusnahan dan penderitaan yang hebat di banyak tempat di dunia, kita tidak perlu berpihak atau menyokong sepenuh hati rejim-rejim autoritarian yang represif dalam perjuangan kita melawan imperialisme AS. Dengan tindakan ketenteraan yang mengundang bencana di Afghanistan dan Iraq, serta dominasinya yang dicabar oleh kuasa-kuasa ekonomi memuncul seperti China, imperialisme AS, yang muncul sebagai kuasa besar tunggal di dunia selepas keruntuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991, telah pun merosot dalam tempoh satu dekad yang lalu. Walaupun Rusia masih jauh daripada setanding dengan imperialisme AS dari segi kuasa ekonomi dan pengaruh politik, ia tidak menghalang mana-mana pemimpinnya yang berfahaman nasionalis-chauvinis seperti Putin untuk mengejar khayalan nafsu mereka tentang imperialisme bagi sebuah ekonomi kapitalis yang memuncul, seperti apa yang pernah berlaku sebelum ini semasa zaman pemerintahan Tsar Rusia atau Kesatuan Soviet pasca Perang Dunia II. Kita tentu tidak memerlukan sebuah dunia multipolar yang berasaskan perang antara sebuah kuasa besar imperialis yang sedang merosot dengan sebuah kuasa besar yang bercita-cita menjadi imperialis.

Putin mendakwa pada 24 Februari 2022, iaitu pada hari tentera Rusia melancarkan pencerobohannya ke atas Ukraine, bahawa matlamat “operasi ketenteraan khas” yang dipanggilnya itu adalah untuk “menyahtenterakan dan menyah-Nazi-kan Ukraine”, di samping melindungi “republik-republik rakyat” di wilayah Donbas yang disokong oleh Rusia. Setahun kemudian, adalah agak jelas bahawa seluruh pencerobohan ini jauh daripada mencapai matlamat yang didakwa oleh Putin sebagai “penyah-Nazi-an”. Sebaliknya, perang ini telah membarakan lebih banyak sentimen anti-Rusia yang berhaluan kanan di Ukraine dan tempat-tempat lain, menyediakan tapak yang subur untuk pertumbuhan fahaman neo-Nazisme, dan mendorong kerajaan Ukraine pimpinan Volodymyr Zelenskyy untuk menuju ke arah yang lebih anti-demokratik serta autoritarian.

Perang Rusia ke atas Ukraine juga telah menyuntik semangat kepada NATO untuk mempertingkatkan usahanya dalam pengembangan ketenteraan di Eropah, dan sudah pastinya menewaskan usaha anti-imperialis untuk memansuhkan NATO.

Perang ini juga telah mengurangkan lagi ruang demokratik yang sudah pun terhad di kedua-dua negara Rusia dan Ukraine, membenarkan trend yang semakin autoritarian untuk berkembang. Ini memudaratkan gerakan-gerakan sosial yang progresif.

Kita perlu tamatkan perang, tetapi bagaimana?

Perang di Ukraine perlu ditamatkan sekiranya kita hendak mengelakkan kesan-kesan bersifat malapetaka yang lebih lanjut. Konflik ketenteraan yang berpanjangan tidak akan memanfaatkan sesiapa pun kecuali pembuat senjata atau kompleks ketenteraan-perindustrian.

Adalah agak mudah untuk menamatkan perang ini, atau sekurang-kurangnya mencapai gencatan senjata untuk menyediakan asas bagi rundingan damai, sekiranya Rusia menghentikan pencerobohan tenteranya dan mengundurkan tenteranya keluar dari Ukraine, tetapi nampaknya perkara sebegini tidak berkemungkinan berlaku kerana tuntutan berterusan daripada Kremlin untuk Ukraine melepaskan semua wilayah yang diilhakkan dan diduduki oleh tentera Rusia.

Terdapat beberapa cubaan untuk mengadakan rundingan damai untuk menyelesaikan konflik ketenteraan di Ukraine, tetapi tidak berhasil, kerana tiadanya penyelesaian mampan yang dapat dipersetujui, dan kedua-dua pihak (termasuk NATO yang menyokong Kyiv) tidak ikhlas dalam menyelesaikan masalah secara saling hormat-menghormati dan aman. Rusia cuba memaksa penyerahan kalah kerajaan di Kyiv dan pelepasan wilayah daripada Ukraine, sementara pihak Ukraine bertekad untuk mempertahankan wilayahnya daripada pendudukan kuasa asing. 

Perang tidak pernah merupakan jawapan. Penyelesaian ketenteraan hanya akan membawa kepada lebih banyak kemusnahan dan konflik. Diplomasi berasaskan semangat saling hormat-menghormati daripada semua pihak ialah satu-satunya jalan keluar yang mampan untuk konflik dan usaha mencari penyelesaian kepada persoalan geopolitik yang kompleks. Satu-satunya keikhlasan yang perlu ditunjukkan oleh Kremlin ialah menghentikan pencerobohan tentera serta-merta, sementara kuasa Barat yang menyokong Kyiv pula juga patut mengurangkan retorik agresifnya untuk membina jambatan bagi rundingan. Kerajaan-kerajaan yang memilih untuk berpendirian neutral dalam konflik ini, khususnya India dan China, juga mempunyai peranan – sekurang-kurangnya memujuk kedua-dua pihak (Rusia dan NATO) untuk menghentikan permusuhan dan melakukan rundingan.

Namun demikian, kita harus berhati-hati supaya seruan untuk gencatan senjata serta-merta dan rundingan damai tidak merosot kepada gesaan tersirat untuk Ukraine menyerah kalah dan menundukkan dirinya kepada dominasi Rusia. Rundingan tidak bermakna penyerahan kalah, tetapi sudah pastinya semua pihak perlu berkompromi. Namun, asasnya haruslah menghormati hak demokratik rakyat Ukraine untuk menentukan nasib sendiri dan kebebasan daripada dominasi imperialis, dan perkara yang sama juga harus ada pada rakyat di Donbas dan Krimea.

Berikut ialah beberapa tuntutan yang harus kita dorong untuk menamatkan konflik ini:

  • Gencatan senjata serta-merta dan rundingan damai berasaskan semangat saling hormat-menghormati;
  • Pengunduran tentera Rusia keluar dari Ukraine;
  • Penempatan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang terdiri daripada tentera daripada negara-negara bukan NATO untuk menguatkuasakan gencatan senjata;
  • Sokongan kepada gerakan anti-perang dan perjuangan demokratik di Rusia;
  • Sokong hak demokratik untuk menentukan nasib sendiri bagi rakyat Ukraine dan juga rakyat di wilayah Donbas;
  • NATO harus menghentikan pengembangannya ke arah timur.

Langkah-langkah yang disenaraikan di atas adalah sukar untuk dilaksanakan selagi pemimpin-pemimpin imperialis AS dan nasionalis-chauvinis Rusia masih berkeras kepala untuk mempertahankan kepentingan mereka. Adalah menjadi tugas penting bagi rakyat yang bermobilisasi dari bawah untuk mendesak perubahan-perubahan ini.

Perang Rusia di Ukraine ialah sebahagian daripada peringkat terbaru krisis kapitalis global. Persaingan sengit untuk kepentingan politik-ekonomi antara imperialisme AS yang sedang merosot dengan ekonomi kapitalis yang memuncul telah menjadi latar belakang kepada “Perang Dingin Baharu” dan lebih banyak konflik geopolitik. Perjuangan untuk kedamaian di Ukraine dan tempat-tampat lain di dunia tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan melawan kapitalisme global, rasisme, seksisme, nasionalis-chauvinisme, ketidakadilan iklim dan kemusnahan ekologi. We harus membina (semula) solidariti antarabangsa dalam kalangan kelas pekerja dan rakyat biasa untuk mencabar kapitalisme global yang terus membiak ketidakadilan, krisis dan peperangan.

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Antarabangsa PSM.

==========

Versi Bahasa Inggeris di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *