wellington NZ.jpg15 Mac 2019 menandakan hari yang bersejarah dalam perjuangan rakyat sedunia untuk menegakkan keadilan iklim dan menyelamatkan bumi kita daripada kemusnahan. Lebih 1 juta orang pelajar sekolah telah “ponteng sekolah” pada 15 Mac 2019 untuk menyertai aksi mogok pelajar yang menuntut pada kerajaan di seluruh dunia supaya bertindak segera dalam menangani krisis iklim sedunia.

Lebih 2000 aksi protes dalam pelbagai bentuk dengan slogan yang kreatif, telah diadakan di 125 buah negara pada 15 Mac 2019. Ramai pelajar sekolah yang berumur belasan tahun, meninggalkan bilik darjah mereka untuk turun ke jalanan dan berprotes, demi memperjuangkan masa depan mereka yang bebas daripada kehancuran alam sekitar akibat krisis iklim sedunia. Ramai pelajar telah menyatakan kemarahan, kebimbangan dan kekecewaan mereka terhadap elit politik dewasa yang gagal mengambil tindakan yang sewajar untuk membendung masalah pemanasan global. Ramai juga menyatakan harapan mereka untuk negara-negara di dunia mewujudkan ekonomi hijau yang sebenar dalam tempoh masa 11 tahun yang akan datang, iaitu jangka masa diberikan oleh pakar-pakar iklim di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan yang perlu demi menghalang bencana perubahan iklim yang lebih dahsyat lagi.

Aksi global untuk iklim yang terbesar

Aksi mogok iklim sedunia pada 15 Mac 2019, ialah aksi protes antarabangsa merentasi sempadan negara yang pertama kali diadakan pada hari yang sama, dan barangkali merupakan aksi massa antarabangsa untuk iklim yang terbesar setakat ini.

Aksi pada hari yang sama ini telah berlangsung di setiap benua di dunia, dari benua Asia hingga Amerika. Lebih kurang 30,000 orang anak muda beraksi di Sydney, 30,000 orang lagi di Melbourne, 10,000 di London, 10,000 di Vienna, 15,000 di Stockholm, … Di negara Jerman, lebih 300,000 orang pelajar berdemonstrasi di 230 buah bandar, dengan 25,000 orang beraksi di ibu negaranya Berlin. Bandar-bandar di Asia seperti Seoul, Tokyo, Hong Kong dan New Delhi turut menyaksikan protes anak muda yang menuntut keadilan iklim. Di Malaysia, terdapat lebih 50 orang pelajar dan aktivis sosial berprotes di hadapan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

Anak-anak muda yang hidup di dunia hari ini, terpaksa melalui “tahun yang paling panas” setiap tahun. Cuaca yang semakin tidak menentu dan berketerlaluan, termasuk banjir, ribut, kemarau, kebakaran hutan, gelombang haba yang melampau dan sebagainya, telah menjadi “kebiasaan” yang baru pada hari ini. Kajian saintis telah menunjukkan bahawa penyebab utama kepada pemanasan global, iaitu gas rumah hijau, kebanyakannya dilepaskan ke dalam atmosfera bumi oleh aktiviti manusia, khususnya pembakaran bahan api fosil untuk memacu ekonomi kapitalis sedunia. Semakin ramai orang, termasuk anak-anak muda, juga mula sedar bahawa jika kita tidak melakukan apa-apa untuk membendung masalah pemanasan global pada hari ini, generasi manusia akan datang pastinya menerima segala kesan bencana iklim yang amat dahsyat.

Inspirasi daripada seorang budak perempuan berumur 15 tahun

Gerakan pelajar bermogok sekolah dan beraksi untuk menuntut tindakan segera dalam menangani krisis iklim sedunia yang terbaru ini, mendapat inspirasi daripada Greta Thunberg, seorang aktivis pelajar Sweden yang baru berumur 16 tahun. Ketika beliau masih berusia 15 tahun, Greta Thunberg mengambil keputusan untuk tidak hadir ke sekolah dan berprotes di hadapan bangunan Riksdag (iaitu Parlimen Sweden) setiap hari pada waktu sekolah, dari 20 Ogos 2018 sehingga hari pengundian pilihanraya Sweden pada 9 September 2018, demi menuntut pada kerajaan Sweden supaya mengurangkan pembebasan karbon mengikut ketetapan Perjanjian Iklim Paris 2015. Negara Sweden dilanda gelombang haba yang luar biasa dan kebakaran hutan yang serius pada tahun 2018 akibat daripada fenomena perubahan iklim yang semakin menjadi-jadi. Selepas pilihanraya umum Sweden, Greta Thunberg meneruskan mogok sekolah dan aksi protes di hadapan bangunan Riksdag setiap hari Jumaat. Aksinya mendapat perhatian dunia sehingga mencetuskan gelombang aksi mogok pelajar di banyak tempat. Tanggal 15 Mac 2019, menandakan minggu ke-30 Greta Thunberg mengadakan mogok sekolah, dan kali ini jejak langkah perjuangannya telah diikuti oleh lebih sejuta pelajar di seluruh dunia!

stockholm.jpg
Greta Thunberg (budak perempuan yang berpayung) menyertai aksi protes mogok sekolah di Stockholm pada 15 Mac 2019

Pada bulan November 2018, ribuan pelajar sekolah di Australia yang mendapat inspirasi daripada Thunberg telah mengadakan mogok sekolah pada hari Jumaat. Mereka langsung tidak menghiraukan seruan Perdana Menteri Australia Scott Morrison untuk “lebihkan pembelajaran di sekolah dan kurangkan aktivisme”. Aksi mogok pelajar terus merebak di negara-negara seperti Austria, Belgium, Kanada, Belanda, Jerman, Britain, Amerika Syarikat dan Jepun. Pada 17-18 Januari 2019, dilaporkan bahawa sekurang-kurangnya 45,000 orang pelajar keluar dari sekolah untuk beraksi di negara Switzerland dan Jerman, demi memprotes terhadap dasar-dasar yang tidak mencukupi untuk menangani masalah pemanasan global.

Pada bulan Februari 2019, seramai 350 orang saintis di Belanda menandatangani satu surat terbuka yang menyatakan sokongan terhadap pelajar yang bermogok di negara itu. Surat terbuka tersebut berbunyi, “Berasaskan fakta-fakta yang dibekalkan oleh sains iklim, mereka yang berkempen ini adalah betul. Itulah sebabnya kenapa kami sebagai saintis menyokong mereka.”

Di United Kingdom (UK), 224 orang ahli akademik menandatangani satu surat terbuka pada 13 Februari 2019, untuk menyatakan sokongan penuh kepada pelajar-pelajar yang menyertai aksi mogok sekolah untuk iklim. Pada 15 Februari 2019, lebih kurang 15,000 orang pelajar mengambil bahagian dalam aksi mogok di UK.

Pada 5 Mac 2019, 700 orang penyelidik di Jerman menandatangani satu petisyen untuk menyatakan sokongan terhadap mogok pelajar di negara itu. Pada 11 Mac 2019, lebih 1,200 orang penyelidik di Finland menandatangani surat menyokong mogok pelajar untuk iklim.

Gerakan mogok pelajar di Eropah berjaya memaksa pemimpin Kesatuan Eropah untuk bersetuju membelanjakan beratus bilion euro untuk menangani masalah perubahan iklim. Walau bagaimanapun, momentum mobilisasi anak muda semakin hebat di seluruh dunia untuk mengetengahkan isu perubahan iklim yang membawa impak besar kepada generasi akan datang ini.

5000

Anak muda tidak lagi berdiam diri

Aksi-aksi di seluruh dunia pada 15 Mac 2019 diselaraskan oleh sukarelawan-sukarelawan muda secara online melalui platform Fridays for Future.

Dalam satu surat terbuka pada 1 Mac 2019 yang ditandangani oleh 150 orang pelajar daripada kumpulan penyelaras global untuk aksi mogok iklim sedunia, anak-anak muda ini menyatakan bahawa,

“Kami, anak muda, amat bimbang tentang masa depan kami. Manusia sedang menyebabkan kepupusan spesies secara besar-besaran yang keenam dan sistem iklim global sedang berada di ambang krisis bencana hebat. Kesannya yang dahsyat sudahpun dirasai oleh jutaan rakyat di seluruh dunia. Namun kita masih jauh daripada mencapai sasaran Perjanjian Paris.  

Anak muda membentuk lebih daripada separuh populasi dunia. Generasi kami membesar dengan krisis iklim dan kami terpaksa berdepan dengannya untuk sepanjang hayat kami. Walaupun begitu, kebanyakan daripada kami tidak dilibatkan dalam proses membuat keputusan di peringkat tempatan dan global. Kami adalah masa depan manusia yang tanpa suara.   

Kami tidak akan lagi menerima ketidakadilan ini. Kami menuntut keadilan untuk semua mangsa krisis iklim dahulu, sekarang dan masa depan, maka kami sedang bangkit. Ribuan daripada kami sudah turun ke jalanan minggu-minggu yang lalu di seluruh dunia. Sekarang kami akan membolehkan suara kami didengari. Pada 15 Mac, kami akan berprotes di setiap benua.   

Kita akhirnya perlu mengakui bahawa krisis iklim adalah satu krisis. Ia adalah ancaman terbesar dalam sejarah manusia dan kita tidak akan menerima kegagalan bertindak oleh pembuat dasar yang mengancam seluruh tamadun kita. Kita tidak akan menerima kehidupan dalam ketakutan dan kehancuran. Kita ada hak untuk menjalani hidup kita dengan impian dan harapan. Perubahan iklim sedang berlaku. Orang telah mati, sedang mati dan akan mati kerananya, tetapi kita boleh dan akan menghentikan kegilaan ini.    

Kami, anak muda, sudah mula untuk bergerak. Kami akan mengubah nasib manusia, sama ada anda suka atau tidak. Dengan bersatu kami akan bangkit sehingga kami melihat keadilan iklim. Kami menuntut pada pembuat dasar dunia untuk mengambil tanggungjawab dan menyelesaikan krisis ini.   

Anda telah menghampakan kami sebelum ini, Jika anda terus menghampakan kami pada masa depan, kami, anak muda, akan membuat perubahan itu berlaku dengan diri kami sendiri. Anak muda dunia ini sudah bermula untuk bergerak dan kami tidak akan berehat lagi.”  

london UK.jpg

Usaha menghalang kenaikan suhu dunia perlu dipertingkatkan

Laporan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) pada tahun 2007 telah menyimpulkan dan mengesahkan bahawa punca utama pembebasan gas rumah hijau (iaitu penyebab pemanasan bumi) datang daripada aktiviti manusia seperti pembakaran bahan api fosil. Gas rumah hijau termasuk karbon dioksida (CO2), metana (CH4), nitrus oksida (N2O), hidrofluorokarbon (HFC), perfluorocarbon (PFC) dan sulfur heksafluorida (SF6). Pembakaran bahan api fosil dalam penjanaan tenaga dan penggunaan kenderaan berenjin motor yang sepatutnya menyenangkan kehidupan manusia, merupakan penyumbang terbesar pelepasan karbon ke dalam atmosfera bumi, sehingga sedang mengancam survival masyarakat manusia sendiri pada masa kini.

Perjanjian Iklim Paris 2015 yang dipersetujui oleh pemimpin-peminpin dunia, telah menetapkan sasaran untuk “menahan peningkatan suhu purata global rata-rata jauh di bawah 2°C melebihi tahap-tahap pra-industri serta mencari usaha-usaha untuk mengehadkan peningkatan suhu kepada 1.5 °C melebihi tahap pra-industri”. Namun, pada masa kini, bumi kita sedang berada di landasan kenaikan suhu purata 4°C pada penghujung abad ke-21, iaitu satu keadaan yang bakal menimbulkan akibat yang jauh lebih teruk kepada  kehidupan di bumi. Banyak negara masih menggunakan arang batu dan gas asli untuk penjanaan tenaga elektrik, dan ini akan mendorong peningkatan suhu purata kerana masih melepaskan karbon ke dalam atmosfera. Hakikatnya pada hari ini, dunia kita tidak mampu lagi menanggung sebarang kenaikan suhu.

Dalam satu lagi laporan IPCC yang diterbitkan pada tahun 2018, iaitu Laporan Khas mengenai Pemanasan Global 1.5 °C, saintis-saintis iklim yang utama di dunia telah memberi amaran bahawa dunia kita hanya tinggalnya tempoh masa 12 tahun untuk mengelak daripada kesan-kesan terburuk akibat bencana iklim yang tidak terkawal seperti kemarau, banjir, kepanasan melampau, sehingga menyebabkan kekurangan makanan, sejumlah besar orang menjadi pelarian iklim dan kemiskinan untuk ratusan juta orang. Menurut laporan tersebut, menghadkan peningkatan suhu purata dunia pada 1.5 °C bagi mengelakkan dunia kita daripada mengalami bencana iklim yang lebih teruk adalah berkemungkinan, tetapi memerlukan “pengurangan pelepasan yang mendalam” dan “perubahan yang cepat, meluas dan tidak pernah dilakukan dalam semua aspek masyarakat”. Laporan tersebut juga mengatakan bahawa menghadkan pemanasan bumi dalam lingkungan 1.5 °C berbanding 2 °C akan mengurangkan kesan-kesan buruk terhadap ekosistem, kesihatan dan kesejahteraan manusia, kerana peningkatan suhu ke 2 °C akan memburukkan lagi impak alam sekitar seperti cuaca yang ekstrim, peningkatan paras laut yang lebih cepat, pengurangan hebat ais laut di Artik, kepupusan terumbu karang dan kehilangan ekosistem yang sensitif pada perubahan suhu.

changesystem54194767_1503474069784447_2067446266719109120_n.jpg

Kapitalisme ialah punca masalah krisis iklim dan kita perlu ubah sistem untuk elakkan perubahan iklim

Rakyat di seluruh dunia sedang berdepan dengan ancaman krisis iklim dan ramai sudahpun terkesan akibatnya.

Di Malaysia, kita semakin kerap dilanda cuaca yang ekstrim, seperti suhu panas yang melampau, ribut yang teruk, banjir yang serius dan sebagainya. Kawasan pesisir laut di negara kita akan terkesan dengan kenaikan paras air laut dan kemungkinan besar kawasan rendah di banyak tempat akan tenggelam di bawah air pada masa akan datang. Perubahan iklim yang melampau mengancam akses kita kepada bekalan air yang bersih. Rezeki petani dan nelayan kita pastinya akan terjejas dengan perubahan iklim, sementara jaminan bekalan makanan untuk rakyat jelata turut semakin diancam.

Kita memerlukan anjakan paradigma dalam usaha menangani ancaman krisis iklim. Kita perlu menyedari bahawa sistem kapitalis yang berlandaskan keuntungan korporat itulah punca utama kepada pencemaran alam. Namun, masih terdapat banyak kerajaan di dunia, termasuk di Malaysia, percaya sepenuhnya pada sistem kapitalis dan membiarkan keuntungan korporat menentukan masa depan masyarakat. Ada juga pembuat dasar yang begitu terpengaruh dengan fahaman ekonomi neoliberal menganggap bahawa mekanisme pasaran bebas dalam sistem ekonomi kapitalis itu dapat membantu menyelesaikan krisis iklim. Ini adalah khayalan yang akan memburukkan lagi krisis iklim yang sedang kita alami.

Pemaksimuman keuntungan korporat dalam sistem kapitalisme bercanggah dengan hasrat kita untuk kemampanan masyarakat dan ekologi.

Untuk mengehadkan pelepasan karbon yang menyebabkan pemanasan bumi, kita perlukan mengambil tindakan radikal untuk perubahan sistem secara dasar. Dunia kita mempunyai kekayaan masyarakat yang mencukupi untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi yang bersesuaian untuk pembangunan lestari. Namun, kekayaan dunia hari ini semakin tertumpu dalam tangan golongan mahakaya akibat daripada sistem kapitalis yang berdasarkan logik pengumpulan modal yang tiada had. Hanya dengan membuang logik kapitalis, dan kerajaan bersedia untuk melaburkan dana awam (yang dikutip melalui percukaian progresif ke atas golongan mahakaya) dalam program-program yang menjamin kesejahteraan rakyat, barulah kita dapat membangunkan alternatif yang mampu menangani krisis iklim sedunia dan mengelakkan masyarakat kita daripada bencana alam yang dahsyat. Hanya dengan perubahan sistem, kita dapat mengelakkan daripada ancaman perubahan iklim.

Kerajaan akan masih terikut-ikut dengan pengaruh kuasa korporat sekiranya tiada tekanan hebat daripada rakyat. Aksi mogok iklim sedunia yang digerakkan oleh anak-anak muda dari seluruh pelosok dunia, merupakan satu permulaan baru untuk gerakan perjuangan menuntut keadilan iklim. Kita tidak boleh terlalu mengharapkan ahli-ahli politik yang sedang berjinak dengan sistem kapitalis itu untuk mengubah sistem. Penyelesaian untuk krisis iklim dan kuasa untuk mengubah sistem itu terletak dalam tangan rakyat. Hanya kuasa rakyat dari bawah dapat menyelamatkan bumi dan masyarakat kita daripada kemusnahan.

2 thoughts on “Mogok Iklim Sedunia untuk Masa Depan: Gelombang kebangkitan anak muda untuk selamatkan bumi kita

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s