PUTRAJAYA – 2 FEBRUARI 2023: Walaupun gaji minimum RM1,500 sebulan telah mula berkuatkuasa pada bulan Mei 2022, tetapi selepas 9 bulan, masih adanya ramai pekerja yang diupah oleh kontraktor untuk bekerja di premis-premis kerajaan tidak dibayar dengan kadar gaji minimum terbaru ini. Sementara itu, wujudnya diskriminasi apabila kerajaan memanjangkan lagi tempoh pengecualian kepada majikan yang mengupah kurang daripada 5 orang pekerja dalam membayar gaji minimum RM1,500. Isu-isu ini telah diketengahkan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang berprotes di Putrajaya dan menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri pada hari ini.

Memorandum mengenai isu gaji minimum yang ditujukan kepada Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri disokong oleh 25 buah organisasi, termasuk Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Kesatuan Kebangsaan Pengawal-pengawal Keselamatan Semenanjung Malaysia (KESPA), Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF), ALIRAN, SUARAM, North South Initiatives dan sebagainya.

Semua organisasi yang menandatangani memorandum ini menyeru pada kerajaan supaya melaksanakan gaji minimum RM1,500 tanpa sebarang halangan. “Kerajaan mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan satu undang-undang itu benar-benar dikuatkuasakan supaya ia mencapai motif di sebalik penggubalan dasar sebegini,” tegas kata memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri ini.

Kelonggaran demi kelonggaran dalam pelaksanaan gaji minimum RM1,500

Dasar gaji minimum yang mula dilaksanakan pada tahun 2013, merupakan hasil daripada perjuangan pekerja yang berpanjangan di negara kita. Dalam tempoh sedekad yang lalu, peningkatan kadar gaji minimum secara berperingkat dari RM900 ke RM1,500 juga merupakan hasil daripada desakan demi desakan oleh pelbagai organisasi, termasuk kesatuan pekerja, masyarakat sivil dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Peningkatan gaji minimum kepada RM1,500 yang berkuatkuasa mulai bulan Mei 2022 sepatutnya dilaksanakan oleh semua majikan, tetapi kerajaan telah memberi kelonggaran kepada majikan-majikan yang mengupah kurang daripada 5 orang pekerja untuk tidak perlu membayar mengikut kadar gaji minimum baharu sehingga 1 Januari 2023. Ramai pekerja daripada golongan B40 yang masih menerima kadar gaji minimum lama (iaitu RM1,200 sebulan) telah menunggu dengan penuh harapan bahawa mereka akan mendapat peningkatan gaji RM300 menjelang 1 Januari 2023. Namun malangnya sekali, harapan pekerja berpendapatan rendah ini dihampakan sekali lagi, apabila Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas PRU-15 memberi kelonggaran untuk kali kedua kepada majikan yang mengupah kurang daripada 5 orang pekerja sehingga bulan Jun 2023.

“Ini ialah kali kedua kelonggaran diberikan. Ini ialah kali kedua pekerja B40 ditipu!” kata Sivaranjani, Penyelaras JPKK, yang hadir di Putrajaya untuk menyerahkan memorandum. “Kami mempertikaikan alasan untuk memberi kelonggaran ini. Kononnya ada syarikat yang mengadu bahawa mereka tidak mampu atau belum sedia untuk membayar RM1,500, tetapi sejauh mana alasan ini disokong dengan bukti atau kajian dan data kewangan sebenar bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro? Jika perkara ini adalah benar dan berasas, maka kerajaan harus membantu PKS dan perniagaan mikro secara bersasar, bukannya memberi pengecualian kepada semua. Kami amat tidak bersetuju bahawa pekerja miskin yang dipaksa untuk menanggung beban ini.”

Pekerja yang bekerja di premis kerajaan pun tidak dibayar gaji minimum!

Selain itu, sebilangan besar syarikat kontraktor yang mendapat kontrak kerajaan untuk perkhidmatan sokongan (seperti kawalan keselamatan dan pembersihan) di premis-premis kerajaan masih tidak membayar gaji minimum RM1,500 kepada pekerja mereka. Ramai dalam kalangan pekerja-pekerja pembersihan, tukang-tukang kebun dan pengawal-pengawal keselamatan yang berkhidmat di bangunan kerajaan masih belum menikmati gaji minimum RM1,500.

Alasan yang diberikan oleh syarikat-syarikat kontraktor ini adalah pihak kerajaan belum lagi mengubahsuai sebut harga dalam dokumen tender mereka. Ada pula kontraktor yang mengatakan bahawa kenaikan gaji minimum kepada RM1,200 pun masih belum dapat dituntut lagi daripada kerajaan. Banyak kontraktor yang dilantik oleh kerajaan itu ialah syarikat kecil yang tidak mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh. Apabila bayaran daripada jabatan kerajaan lewat, kontraktor tersebut tiada kemampuan untuk mendahulukan bayaran gaji mengikut kadar gaji minimum baharu kepada pekerja dan membuat tuntutan kepada kerajaan kemudian. Oleh itu, syarikat kontraktor bertindak dengan terus tidak membayar mengikut kadar gaji minimum yang sudah dikuatkuasakan. Tindakan sebegini telah melanggar undang-undang dan memangsakan pekerja-pekerja yang bergaji rendah.

“Jika kontraktor kerajaan sendiri pun melayan pekerja-pekerja di premis kerajaan sebegini, bayangkanlah situasi pekerja-pekerja swasta yang lain,” kata Sivaranjani, Penyelaras JPKK. “Adakah ini kepimpinan melalui teladan? Adakah ini kesalahan dari segi penguatkuasaan, atau kesalahan dari segi penggubalan dasar, atau kesalahan dari segi pemberian tender yang tidak telus? Walau apapun, yang menjadi mangsa ialah pekerja B40 yang hendak kita selamatkan daripada belenggu kemiskinan.”

Isu yang lebih besar lagi ialah sistem kontrak yang memangsakan pekerja miskin. “JPKK menggesa Kerajaan Perpaduan supaya melakukan sesuatu ke atas sistem kontrak ini,” tegas kata Sivaranjani. “Kenapa kita perlukan sistem kontrak ini di premis kerajaan? Sebelum tahun 1990-an, pekerja-pekerja ini dibayar terus oleh kerajaan. Mereka ialah pekerja yang dibayar gaji amat rendah untuk membuat kerja-kerja seperti pembersihan dan kawalan keselamatan. Gaji mereka sudah rendah, malah sekarang diletakkan di bawah sistem kontrak yang tiada jaminan kerja pula. Kontraktor bertukar setiap tiga tahun, dan setiap kali kontraktor bertukar, pekerja yang sama menjadi pekerja baharu dan kehilangan semua faedah yang sepatutnya dinikmati mengikut tahun bekerja.”

Cadangan untuk mengatasi masalah kegagalan pelaksanaan gaji minimum RM1,500

Memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri mengenai isu gaji minimum telah mencadangkan bahawa:

  • Kerajaan harus menyenaraihitamkan syarikat kontraktor kerajaan yang gagal melaksanakan gaji minimum RM1,500 kepada pekerja-pekerja kontrak di premis-premis kerajaan. Hanya syarikat yang bertanggungjawab dan mempunyai kemampuan kewangan sahaja patut diberikan kontrak pembekalan perkhidmatan di premis-premis kerajaan.
  • Hapuskan sistem kontrak dan serap semula semua pekerja perkhidmatan sokongan di premis kerajaan sebagai kakitangan kerajaan sepenuh masa. Dasar penyumberan luar perkhidmatan sokongan di premis kerajaan kepada sektor swasta melalui sistem kontrak jelasnya telah memangsakan pekerja berpendapatan rendah. Sistem kontrak sebegini mengkayakan segelintir kecil kontraktor swasta dan pada masa yang sama memangsakan pekerja-pekerja berpendapatan rendah.
  • Kerajaan harus menarik balik serta-merta penangguhan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi syarikat yang mengupah 5 orang pekerja dan ke bawah.
  • Kerajaan harus mewujudkan mekanisme untuk menyiasat secara telus semua syarikat yang mendakwa bahawa belum bersedia untuk membayar mengikut kadar gaji minimum baharu dengan alasan masalah aliran kewangan yang tidak baik. Jika mendapati syarikat berkenaan benar-benar menghadapi keadaan sebegitu, kerajaan patut membantu syarikat tersebut dengan menyalurkan bantuan terus kepada pekerja-pekerja yang diupahnya.
  • Semua gaji tertunggak akibat dinafikan gaji minimum harus dibayar kepada pekerja.
  • Kerajaan harus menyediakan satu tabung untuk memberi subsidi upah kepada pekerja-pekerja yang dinafikan kadar gaji minimum RM1,500. Adalah dianggarkan bahawa terdapat lebih kurang 300,000 orang pekerja yang bekerja dengan majikan yang mengupah 5 orang pekerja dan ke bawah, dengan gaji bulanan RM1,200. Belanjawan untuk bantuan subsidi ini hanya sekitar RM540 juta. Jumlah ini bukannya sesuatu yang besar, tetapi akan banyak membantu pekerja-pekerja yang bergaji rendah di negara kita.

Jangan mangsakan pekerja miskin

“Beban daripada penangguhan penguatkuasaan gaji minimum tidak harus ditanggung oleh pekerja termiskin,” kata Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM, yang turut hadir semasa penyerahan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri. “Kami sedar bahawa Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet sedang mengorbankan sebahagian gaji mereka sebagai tindakan bersolidariti dengan rakyat yang mengalami masalah kos hidup yang tinggi, tetapi pekerja termiskin tidak mampu berbuat demikian.”

“Membangun Malaysia Madani” yang diwar-warkan oleh Kerajaan Perpaduan hanya sekadar retorik kosong sekiranya pekerja-pekerja B40 masih terus dimangsakan dengan kadar gaji yang sangat rendah dan dinafikan hak untuk menikmati kadar gaji minimum RM1,500 seperti pekerja-pekerja lain.

“Dua komponen utama dalam Kerajaan Perpaduan, iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), telah berjanji untuk melaksanakan gaji minimum RM1,500 dalam Manifesto Pilihan Raya masing-masing dalam PRU-14 lagi, iaitu pada tahun 2018! 5 tahun sudah berlalu, kenapa masih menangguhkannya lagi?” ulas S. Arutchelvan.

“Hakikatnya, gaji minimum RM1,500 bukannya satu angka yang besar, malah masih di bawah pendapatan garis kemiskinan negara kita, iaitu RM2,208,” tambah Arutchelvan. “Satu kajian oleh Bank Negara menunjukkan bahawa hanya gaji sekurang-kurangnya RM2,700 baru mencukupi untuk seorang individu hidup dalam keadaan selesa di Kuala Lumpur. Sudahlah cukup untuk pekerja kita terpaksa hidup dengan gaji rendah, janganlah menindas lagi pekerja miskin dengan pelbagai manipulasi.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *