oleh S. Arutchelvan

Penangguhan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum bagi syarikat yang mengupah kurang daripada 5 orang pekerja ke bulan Julai 2023 merupakan tindakan yang amat mengecewakan dan bersifat pengecut oleh kerajaan yang kononnya pro-B40 di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-10. Tindakan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum bagi pekerja-pekerja yang paling miskin ini adalah tidak boleh diterima sama sekali. Pada bulan Mei lalu, pekerja-pekerja ini dijanjikan pelaksanaan gaji minimum baharu mulai bulan Januari 2023 dan para majikan telah diberikan kelonggaran yang mencukupi supaya mereka dapat mematuhinya.

Namun, janji Anwar Ibrahim untuk membantu golongan B40 gagal. Tindakan Menteri memotong gaji 20% nampaknya hanya sekadar lakonan lagak ngeri kerana seorang Menteri atau Perdana Menteri yang mendapat gaji sebanyak RM15,000 hingga RM20,000 itu membuat potongan gaji 20% bukannya sesuatu yang begitu besar berbanding menafikan pekerja-pekerja daripada mendapatkan gaji RM1,500. Kerajaan Perpaduan sepatutnya mensubsidi peniaga-peniaga kecil dalam pembayaran gaji minimum, bukannya menangguhkan lagi pembayaran itu untuk 6 bulan lagi. Ini bukannya membantu golongan B40 mahupun merakyatkan ekonomi. Nampaknya Ismail Sabri dan M. Saravanan sekurang-kurangnya mempunyai lebih keberanian dalam membantu pekerja-pekerja.

Ini ialah pengkhianatan besar terhadap ramai pekerja yang telah menunggu dengan penuh keghairahan menjelang bulan Januari 2023 dan akhirnya hanya mendengar berita sebegini.

Gaji minimum RM1,500 ialah janji Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14, bukannya PRU-15. Sekarang mereka telah bersatu dalam mengikut kehendak Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

PSM dan Gabungan Marhaen akan membantah tindakan ini.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Sangat mengecewakan untuk Kerajaan Perpaduan ikut kehendak MEF dalam penangguhan pelaksanaan gaji minimum

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *