(foto: Guy Smallman)

United Kingdom (UK) dilanda gelombang mogok pekerja yang terbesar dalam tempoh satu dekad apabila lebih 500,000 orang pekerja di negara itu bermogok pada 1 Februari 2023 untuk memperjuangkan gaji mampu sara hidup dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat.

Mereka yang terlibat dalam mogok sehari yang bersejarah pada 1 Februari 2023 termasuklah guru sekolah, kakitangan awam, kakitangan universiti dan pemandu kereta api. Lebih kurang 300,000 orang guru di England yang bergabung di bawah Kesatuan Pendidikan Kebangsaan (NEU) bermogok menuntut kenaikan gaji. Guru-guru ini mengalami pengurangan gaji sebenar sekurang-kurangnya 23% sejak tahun 2010. Guru-guru di Scotland juga bermogok. Menurut tinjauan pandangan oleh Parentkind, sebuah organisasi yang menggabungkan persatuan ibu bapa dan guru, kebanyakan ibu bapa menyokong aksi mogok guru, walaupun sekolah ditutup kerana mogok.

Lebih kurang 100,000 orang kakitangan awam daripada lebih 100 buah jabatan turut bermogok. Lebih kurang 100,000 orang pemandu kereta api dan bas bermogok. 70,000 orang pekerja universiti, termasuk pensyarah dan pengawal keselamatan, juga bermogok.

Pekerja-pekerja yang bermogok juga mengadakan perhimpunan dan perarakan besar-besaran untuk menyuarakan tuntutan mereka. Lebih kurang 40,000 orang berprotes di London; 6000 orang di Sheffield, Manchester dan Bristol; 2,000 orang di Nottingham. Gelombang aksi mogok ini adalah terbesar sejak mogok sektor awam UK pada tahun 2011.

Tuntutan utama yang dikemukakan oleh kesatuan-kesatuan yang menganjurkan aksi mogok ini ialah meningkatkan gaji pekerja demi mengatasi inflasi. Para pekerja amat marah pada Kerajaan Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri Rishi Sunak yang gagal dalam menangani kemelut kehidupan rakyat biasa yang dibebani kos sara hidup yang semakin meningkat. Rishi Sunak yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri UK sejak bulan Oktober 2022 cuba mempertahankan pendirian kerajaan yang anti-pekerja, dengan mengatakan bahawa peningkatan gaji harus “munasabah” dan “berkemampuan” (mengikut kehendak kapitalis). Namun, kesatuan-kesatuan pekerja mengecam Sunak, yang merupakan seorang jutawan, tidak peka pada kesusahan pekerja yang terpaksa berhadapan dengan gaji rendah, ketidakjaminan kerja dan kos sara hidup yang melambung tinggi akibat daripada dasar ekonomi kapitalis neoliberal. Kerajaan Parti Konservatif UK malah cuba memperkenalkan undang-undang baharu yang menyekat hak pekerja untuk bermogok.

Aksi mogok di UK pada 1 Februari 2023 merupakan kemuncak kepada siri mogok yang diadakan oleh pelbagai kesatuan pekerja dalam pelbagai sektor sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dan momentum perjuangan pekerja ini akan diteruskan dengan lebih banyak lagi aksi mogok pekerja pada masa akan datang. Selain sektor pendidikan, perkhimatan awam dan pengangkutan, pekerja-pekerja dalam sektor kesihatan dan pos juga mengadakan aksi mogok baru-baru ini. Anggota bomba juga bercadang untuk bermogok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *