Siri Pemanasan Global (12)

oleh Brian Khow

Menyediakan payung untuk Bumi

Selepas letusan Gunung Berapi Pinatubo di Filipina pada tahun 1991, titisan sulfurik disembur ke dalam stratosfera. Titisan kecil ini bertindak seperti cermin kecil untuk membiaskan cahaya dan menghalang haba sinaran matahari daripada sampai ke permukaan Bumi. Setahun selepas letusan Pinatubo, suhu global menurun sebanyak 0.5°C. Idea menyediakan payung untuk Bumi lahir daripada kejadian ini. Teknologi ini dikenali sebagai “solar radiation management” (SRM) yang telah disebut dalam rencana sebelum ini. Teknologi ini sudah wujud, kosnya agak murah dan kesan penyejukannya agak pantas. Nampaknya ini merupakan satu ubat mujarab dan semuanya boleh pulih kembali kepada keadaan “biasa”.

“Pilihan Pinatubo” merupakan simulasi penyebaran sulfat ke dalam stratosfera selepas letusan gunung berapi tahun 1991. Lazimnya, abu dan gas daripada letusan gunung berapi akan dilepaskan ke lapisan atmosfera yang lebih rendah, kemudian menjadi titisan sulfurik dan jatuh semula ke permukaan Bumi. Tetapi dalam beberapa kejadian letusan yang jarang berlaku, seperti letusan Pinatubo, ia membebaskan sejumlah besar sulfur dioksida ke lapisan atmosfera yang lebih tinggi yang dikenali stratosfera. Titisan sulfurik yang terjadi ini tidak akan jatuh dan beredar di sekitar stratosfera, membiaskan sinaran matahari di luar atmosfera, dengan itu menghalang sebahagian daripada sinaran matahari sampai ke permukaan Bumi.

Kelemahan terbesar dalam “Pilihan Pinatubo” ialah ia tidak menyelesaikan masalah pelepasan gas rumah hijau yang terkumpul dalam atmosfera, tetapi hanya menangani masalah peningkatan suhu. Ini mungkin membantu dalam isu-isu seperti pencairan glasier, tetapi ia tidak akan membantu dalam menangani masalah peningkatan karbon di atmosfera. Lautan terus menyerap karbon tersebut, menyebabkan air laut menjadi berasid dengan cepat dan membunuh organisma bercangkerang, seperti batu karang dan kerang, seterusnya membawa kepada keruntuhan ekologi.

Anda tidak boleh berhenti sebaik sahaja anda mula menyekat pemanasan dengan campur tangan manusia ini melalui pemasangan teduhan besar di atas permukaan Bumi, iaitu menyembur sulfat ke dalam atmosfera, jika tidak, gelombang haba akan melanda permukaan Bumi dan semua hidupan tidak mempunyai masa penampan yang mencukupi untuk menyesuaikan diri secara beransur-ansur. Kaedah geoengineering ini bukan ubat mujarab seperti yang diketahui. Sebenarnya, ubat mujarab harus dapat mencapai keadaan kesihatan dan keseimbangan tanpa perlu campur tangan selanjutnya. Sebaliknya, teknologi sedemikian merupakan campur tangan berulang kali terhadap keadaan ketidakseimbangan yang kita akibatkan melalui aktiviti manusia yang membawa pencemaran dan hanya menyebabkan ekosistem kita semakin kehilangan keupayaan pengawalseliaan diri.

Letusan Gunung Berapi Laki, karya pelukis Ásgrím Jónsson (1876-1958). Kajian hari ini menunjukkan bahawa letusan gunung berapi Laki di Iceland berkaitan dengan perubahan iklim di Mesir yang menyebabkan sehingga satu perenam penduduk Mesir sama ada mati atau melarikan diri dari halaman rumah mereka. (visindavefur.is)

Aktiviti ekonomi manusia mengeluarkan sejumlah besar gas rumah hijau ke dalam atmosfera di bawah “hukum gerakan” pengumpulan modal menyebabkan pemanasan global dan perubahan iklim. Manakala penyemburan gas lain ke dalam atmosfera dengan keinginan untuk mengawalselia sinaran matahari yang memasuki atmosfera supaya menurunkan suhu permukaan Bumi seumpama juga dengan aktiviti manusia yang melepaskan gas rumah hijau ke dalam atmosfera, apa yang berbeza cuma campur tangan terhadap sinaran matahari akan menyebabkan “penyejukan global” yang membawa kepada perubahan iklim. Malah, laporan Royal Society juga mengakui bahawa SRM “boleh membawa kepada perubahan iklim yang lebih buruk berbanding ‘tanpa SRM’, seperti yang dibayangkan”.

Pada tahun 2006, Paul Crutzen, saintis yang memenangi Hadiah Nobel dalam Kimia dengan penyelidikan cemerlangnya mengenai “penguraian lapisan ozon”, mengetengahkan bahawa sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan penyemburan sulfat ke dalam stratosfera sebagai laluan kecemasan lari diri untuk mengelakkan pemanasan global yang semakin serius. “Jika pelepasan gas rumah hijau tidak dikurangkan secara mendadak dan suhu meningkat dengan cepat, maka kejuruteraan iklim… adalah satu-satunya pilihan yang sesuai untuk mengurangkan peningkatan suhu dengan pantas sambil mengimbangi kesan perubahan iklim yang lain.”

Sesungguhnya, “Pilihan Pinatubo” boleh menjadi kegemaran media, sebahagian besarnya berkait rapat dengan usaha Nathan Myhrvold. Dia merupakan bekas ketua pegawai pembangunan teknologi di Microsoft dan kini mengusahakan syarikat Intellectual Ventures yang pakar dalam ciptaan elektronik berteknologi tinggi. Malah, dia memegang lebih daripada 800 paten di luar Microsoft selain daripada berpuluh-puluh paten semasa berada di Microsoft (nota 1), maka dia digambarkan oleh media sebagai seorang “patent troll” yang jahat di dunia.

Pada tahun 2009, Myhrvold dan pasukannya mengadakan sesi penerangan tentang rancangan “Pinatubo yang diingini” yang dinamakan oleh mereka sebagai “StratoShield”. Dengan menggunakan belon helium untuk menghantar tiub penyembur sulfur dioksida ke ketinggian 30 kilometer dari permukaan Bumi, dia bercakap besar kepada media bahawa rancangan ini berupaya untuk “menghentikan pemanasan global yang kita hadapi hari ini”.

Secara amnya, perbahasan dan sokongan terhadap geoengineering hanya melibatkan kalangan warga serumpun yang agak kecil, kalangan warga ini tergolong dalam kumpulan yang lebih kaya dan berjaya dalam masyarakat, seperti Bill Gates yang memainkan peranan sebagai pelabur, pengusaha bahan api fosil dan saintis yang berhubungan rapat dengan pelabur. Wartawan sains Eli Kintisch menggelar kumpulan ini sebagai “Geoclique”.

Bukan itu sahaja, perhimpunan ilmiah rasmi yang awal mengenai geoengineering, salah satunya yang diadakan pada tahun 2008 oleh Steven Koonin yang berkerja sebagai ketua saintis di syarikat petroleum BP. Perhimpunan itu melahirkan laporan yang menggariskan rancangan penyelidikan selama 10 tahun tentang pengubahsuaian iklim dengan tumpuan terhadap SRM. Koonin kemudiannya meninggalkan BP untuk berkhidmat di bawah pentadbiran Obama dan Trump.

Myhrvold dan pasukannya menghantar “Pinatubo yang diingini” kepada dunia yang sedang melebur dan mereka menamakan rancangan ini sebagai “StratoShield”. (sumber: etcgroup.org/Hugh Hunt)

Hari ini, pergaulan antara pegawai peringkat tinggi daripada syarikat besar dan sektor awam umpama pintu berputar, menyebabkan sistem demokrasi terhakis teruk. Berbanding dengan rakyat biasa, pihak pengurusan tinggi syarikat swasta lebih senang untuk berhubung dengan ahli politik dan mencari faedah untuk syarikat dan diri mereka sendiri. Satu ungkapan terkenal, “Apabila gaji atau status seseorang bergantung kepada kekurangan pemahamannya, adalah amat sukar untuk membuatnya memahami.” Maka tidak hairanlah, tindakan “Geoclique” bukan ingin menyelesaikan isu perubahan iklim, tetapi untuk memastikan mereka terus mendominasi planet ini.

Siapa yang akan menjadi tikus makmal?

Alan Robock, ahli klimatologi di Universiti Rutgers, merupakan salah seorang daripada golongan saintis yang membantah geoengineering. Pada tahun 2008, beliau menjalankan kajian simulasi komputer dan kesimpulannya diterbitkan dalam Journal of Geophysical Research, menyatakan bahawa semburan sulfur dioksida “boleh mengganggu monsun musim panas di Asia dan Afrika, membawa kepada kekurangan hujan dan menjejaskan bekalan makanan berbilion orang.”

Sebenarnya, monsun ini membawa air tawar yang berharga. 70 hingga 90 peratus daripada hujan tahunan India bergantung kepada musim hujan yang dibawa oleh monsun dari bulan Jun hingga September. Satu kajian pada tahun 2012 menunjukkan bahawa selepas penggunaan SRM yang melampau, beberapa bahagian kawasan Amazon menyaksikan pengurangan hujan sebanyak 20 peratus.

Satu lagi kajian menunjukkan kesimpulan yang menakjubkan, di mana hasil tanaman di beberapa bahagian Afrika merosot sehingga sebanyak 60 hingga 100 peratus dan kegiatan pertanian di beberapa kawasan akan dimusnahkan sepenuhnya. Kajian ini juga disokong oleh laporan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) yang diterajui oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2021, yang memberi amaran kepada negara tropika bahawa jika penggunaan SRM yang melampau ditamatkan, rantau ini akan menghadapi gangguan kitaran air yang teruk (nota 2).

Sesetengah orang mungkin bercadang membuat percubaan menggunakan SRM tetapi dalam jangka masa pendek dan berskala kecil. Lagipun, kajian yang disebutkan di atas hanya kajian simulasi komputer, mereka yang membuat cadangan ini mungkin berpendapat kesan SRM tidak begitu teruk sekali. Walau bagaimanapun, adalah mustahil untuk membuat kesimpulan berdasarkan aplikasi geoengineering dalam jangka masa pendek, misalnya menyembur sulfat ke dalam atmosfera selama setahun, kerana corak cuaca global amat berbeza dari tahun ke tahun dan pemanasan global meningkatkan lagi ketidakpastian cuaca. Tidak mungkin bagi kita untuk mengaitkan satu ribut atau kemarau tertentu kepada eksperimen geoengineering tertentu. Semburan sulfat perlu dikekalkan cukup lama untuk mendapat kesimpulan yang jelas, ini bermaksud “eksperimen” akan mengambil masa 10 tahun atau lebih.

Martin Bunzl, seorang pakar perubahan iklim yang juga dari Universiti Rutgers, menegaskan bahawa kemusykilan etika yang akan timbul dan tidak dapat dielakkan dalam bidang geoengineering. Dalam bidang perubatan, beliau menulis, “Anda boleh menguji vaksin terhadap seseorang dan meletakkan individu itu berisiko tanpa melibatkan orang lain.” Namun berkenaan dengan geoengineering, “anda tidak boleh membina satu ruang atmosfera yang diperkecilkan mengikut skala atau menjalankan eksperimen di sebahagian atmosfera sahaja. Jadi, anda tiada pilihan selain terus melaksanakan di peringkat global pada skala sepenuhnya berdasarkan model simulasi.” Secara ringkasnya, anda tidak mempunyai cara untuk menguji teknologi ini secara bermakna, selain menjadikan berbilion-bilion orang sebagai tikus makmal.

Sejarah telah mengajar kita bahawa sebaik sahaja ujian lapangan bermula, ia biasanya bermakna tidak jauh dari permulaan penggunaan sebenar. Pada akhir Perang Dunia II, walaupun Amerika Syarikat menyedari bahawa “walaupun tidak mengugurkan bom atom, walaupun Rusia tidak meyertai perang dan walaupun Amerika Syarikat tidak mempertimbangkan atau merancang untuk menawan Jepun, Jepun tetap akan menyerah kalah”, tetapi malangnya selepas ujian bom atom pertama dilancarkan, tidak sampai sebulan kemudian, bandar Hiroshima dan Nagasaki dihancurkan dalam pengeboman, berpuluh ribu orang awam dibunuh. Walaupun ramai saintis yang terlibat dalam “Projek Manhattan” percaya bahawa pembangunan bom atom hanya digunakan sebagai langkah pencegahan.

Sejak kebelakangan ini, dengan perkembangan teknik penyelidikan yang semakin maju, banyak kajian tentang hubungan antara letusan gunung berapi besar dan kejadian iklim yang luar biasa dalam sejarah boleh digunakan untuk meneliti kesan “Pilihan Pinatubo”. Antaranya, laporan pada tahun 2007 tentang letusan Pinatubo yang ditulis oleh Dai Aiguo daripada Universiti Negeri New York dan Kevin Trenberth yang merupakan pengarah jabatan analisis iklim di Pusat Penyelidikan Atmosfera Amerika (NCAR), membuat kesimpulan bahawa “letusan Pinatubo memainkan peranan utama dalam pengurangan hujan dan aliran sungai yang pecah rekod serta berkaitan dengan kemarau pada tahun 1992.”

Sekali lagi, sejarah mengingatkan kita bahawa kemarau, kesejukan melampau dan kebuluran yang menyusuli letusan gunung berapi membawa kepada “kebuluran yang hampir serupa wabak, yang meragut nyawa di Kaherah”. “Jalan-jalan yang dahulunya penuh dengan pengemis, tetapi kini dikosongkan, sama ada semuanya telah pupus atau melarikan diri dari bandar.” Ini ialah petikan daripada sebuah memoir penjelajahan oleh ahli sejarah Perancis yang bernama Constantin-Francois Volney pada abad ke-18, pada dua tahun selepas letusan Gunung Berapi Laki yang terletak di Iceland, yang menghuraikan kejadian ngeri itu. Dalam tempoh masa dua tahun, satu perenam daripada penduduk Mesir sama ada meninggal dunia atau melarikan diri dari halaman rumah mereka.

Kajian kini juga menunjukkan bahawa letusan Gunung Berapi Laki pada masa itu berkaitan dengan kejadian iklim yang luar biasa di Mesir. Menurut Alan Robock, pada tahun 1784 dan 1785, iaitu dua tahun selepas letusan Gunung Berapi Laki, aliran Sungai Nil “lebih lemah daripada keadaan biasa” dan air bah yang berlaku secara tetap untuk membawa kelembapan dan nutrien kepada tanah pertanian hampir tidak terjadi. Pada masa yang sama, orang Eropah mengalami musim sejuk yang teruk. Manakala Jepun dan India amat terjejas oleh kemarau dan kebuluran. Ini merupakan salah satu tragedi yang pernah dicatat dalam teks sejarah dan ditambah dengan kajian masa kini untuk perbandingan.

Walaupun pakar-pakar belum mencapai persefahaman tentang kesan letusan Gunung Berapi Laki, anggaran jumlah mangsa di seluruh dunia yang mati akibat letusan gunung berapi dan cuaca ekstrem yang menyusuli adalah jauh berbeza antara satu sama lain, daripada lebih 1.5 juta orang hingga setinggi 6 juta orang, namun penduduk dunia pada masa itu kurang daripada 1 bilion orang, maka angka kematian yang disebut atas masih sangat tinggi dan mengejutkan. Jadi, letusan Gunung Berapi Laki berkemungkinan besar menjadikan ia sebagai gunung berapi paling maut yang pernah direkodkan dalam sejarah.

Ini bukan satu-satunya contoh letusan gunung berapi berskala besar yang menyebabkan kejadian iklim yang luar biasa dan seterusnya menyebabkan kebuluran. Alan Robock dan pasukannya menyemak bekalan air tawar di rantau Sahel dan Afrika Utara, mendapati bahawa letusan Gunung Berapi Katmai di Alaska pada tahun 1912, Gunung Agung di Indonesia pada tahun 1963, Gunung El Chichon di Mexico pada tahun 1982 dan Gunung Pinatubo di Filipina pada tahun 1991, “kesemuanya mendapat cerita yang sama”, dia berhujah selanjutnya, “Tidak pernah berlaku banyak letusan besar dalam sejarah, tetapi semuanya memberitahu kisah yang sama… Purata hujan di peringkat global merosot.”

Letusan Gunung Pinatubo di Filipina pada tahun 1991. (foto: Wikipedia)

Pertarungan antara Utara Global dan Selatan Global: Siapa dapat terus hidup?

Bill Gates berpendapat bahawa geoengineering “hanya sebagai polisi insurans”. Naomi Klein menghuraikan polisi berkenaan dalam bukunya, “This Changes Everything: Capitalism vs. The Climate”, “Apabila berada dalam kecemasan sebenar, siapakah yang boleh lari dari logik ini? Sudah tentu bukan saya. Sememangnya, idea menyembur sulfur dioksida ke dalam stratosfera untuk membentuk sesuatu payung kosmik, pada pandangan saya sekarang, adalah gila. Tetapi kalau tempat tinggal saya sedang dilanda kepanasan sehingga beribu-ribu orang mati dan muncul seseorang yang menjual aplikasi yang boleh menyejukkan keadaan dengan cepat walaupun ia kotor, bukankah saya ingin mendapat bantuan sedemikian, seperti saya membuka penghawa dingin pada hari berpeluh kuat? Walaupun saya sedar bahawa amalan saya akan menyumbang kepada pemanasan global dengan penggunaan penghawa dingin.”

Dalam menghadapi situasi terdesak semasa krisis, semua bantahan yang munasabah akan lenyap, manakala semua amalan berisiko tinggi nampaknya boleh diterima. Kajian pada tahun 2013 mendapati bahawa wilayah Sahel di benua Afrika dan Asia mungkin terjejas teruk jika SRM dilaksanakan di hemisfera utara. Jika dilaksanakan di hemisfera selatan, peningkatan hujan akan berlaku di Sahel, peningkatan kadar kemunculan taufan sebanyak 20 peratus di Amerika Syarikat dan kawasan Caribbean serta kemungkinan hujan lebat di bahagian timur laut Brazil.

Namun, siapakah yang anda ingat akan menggunakan SRM? Paparan yang mungkin terjadi setelah memerhati pihak yang mana telah menguasai teknologi ini: Pada ketika kehilangan harapan, aplikasi SRM dipertaruhkan untuk menyelamatkan hasil tanaman di Dakota Selatan, Amerika Syarikat, walaupun terpaksa mengorbankan air hujan di Sudan Selatan, Afrika.

Sebaliknya, kalau rekod sejarah dan pelbagai model simulasi menunjukkan bahawa semburan sulfat (atau bahan lain yang serupa) ke dalam atmosfera akan menyebabkan kemarau dan kebuluran secara meluas di Amerika Utara atau United Kingdom, Jerman, Perancis, tetapi bukan Sahel, India atau Asia Tenggara, jadi mungkinkah Pelan B, iaitu campur tangan terancang terhadap sistem iklim untuk mengatasi kesan pemanasan global, akan dipertimbangkan?

Oleh itulah perwakilan Afrika ke sidang kemuncak iklim PBB mula menggunakan perkataan seperti “pembunuhan beramai-ramai etnik” untuk menggambarkan kegagalan kolektif dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon. Manakala Setiausaha Agung Suruhanjaya Perubahan Iklim Filipina, Mary Ann Lucille Sering, berkata di Sidang Kemuncak Iklim PBB 2013 yang berlangsung di Warsaw, Poland, “Saya mula berasa kita sedang berunding tentang siapa yang boleh terus hidup dan siapa yang perlu mati.”

Pada tahun 2021, apabila dunia mengalami serangan balas yang teruk daripada wabak, negara sedang membangun jelas merasakan bahawa kematian sememangnya sangat hampir kerana kekurangan bekalan vaksin. Sebaliknya, pasukan penyelidik geoengineering dari Universiti Harvard yang dibiayai oleh Bill Gates, berhasrat dengan bantuan Perbadanan Angkasa Lepas Sweden (Swedish Space Corporation) untuk menjalankan ujian pengendalian belon dan sistem komunikasi berkaitan sebagai persediaan untuk melaksanakan ujian lapangan SRM yang menyemburkan kalsium karbonat (CaCO3) ke dalam atmosfera pada masa terdekat.

Orang asli Sweden dan Rusia bermobilisasi untuk menghalang ujian yang penuh kegilaan tersebut pada ketika kebiruan langit diancam kemungkinan diliputi satu lagi lapisan pencemaran di atasnya pada masa hadapan. Dalam surat bantahannya, Majlis Orang Asli Saami (Saami Council) dengan tegasnya menyatakan bahawa mereka “tidak mempersetujui pembangunan teknologi kejuruteraan bumi SRM, mahupun penggunaannya di atas tanah, kawasan dan langit kita, malah sebarang penggunaan dalam ekosistem”.

Laporan IPCC PBB pada tahun 2021 juga menyebut tentang geoengineering, tetapi tidak mencadangkan sama ada untuk menggunakan mana-mana jenis geoengineering (nota 2). Pada tahun 2022, seramai 16 orang cendekiawan terkenal melancarkan “Perjanjian Tanpa Penggunaan Geoengineering Solar” (Solar Geoengineering Non-Use Agreement). Dalam satu surat terbuka, mereka menghalang penggunaan teknologi sedemikian atas tiga sebab utama: (1) Risiko yang tidak dapat diramalkan; (2) Penggunaan teknologi ini oleh kerajaan dan pihak swasta supaya menangguh dasar penyahkarbonan yang berisiko rendah dan bermakna; (3) Keadaan sistem politik global kini tidak dapat mewujudkan pengurusan dan penggunaan teknologi ini dengan adil, inklusif dan berkesan.

5 teras dalam “Perjanjian Tanpa Penggunaan Geoengineering Solar”: (1) Tiada dana awam akan disediakan untuk pembangunan projek; (2) Tiada ujian di luar bilik; (3) Tiada paten diberikan, termasuk paten kepada teknologi sokongan yang berkaitan; (4) Tiada penggunaan; (5) Tiada sokongan daripada institusi antarabangsa. (sumber: solargeoeng.org)

SRM akan mengubah langit biru kita. Apabila kita menyeru agar meningkatkan penggunaan tenaga solar supaya melambatkan kesan pemanasan global, teknologi sedemikian akan menyekat penembusan cahaya matahari dan menjejaskan kecekapan tenaga solar, menyebabkan kita lebih bergantung pada bahan api fosil atau tenaga nuklear. Sesungguhnya, teknologi pengubahsuaian cuaca telah lama dianggap sebagai senjata sebelum ia digolongkan sebagai senjata untuk menentang pemanasan global. Semasa Perang Dingin, ahli fizik Amerika Syarikat cuba memanipulasi corak hujan tanpa diketahui umum untuk menyerang negara bermusuhan, sama ada menyebabkan kemarau atau menghasilkan ribut bersasar supaya membanjiri laluan bekalan kritikal, seperti apa yang pernah dicuba semasa Perang Vietnam.

Terdapat sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa geoengineering akan membawa kepada gelombang persaingan ketenteraan dalam kalangan kuasa besar, terutamanya kerana Amerika Syarikat memerlukan senjata berkos rendah dan terselindung ini untuk mengekalkan susunan global yang memenuhi kepentingannya. Di bawah perubahan iklim, Amerika Syarikat akhirnya berpeluang untuk menghijaukan hegemoninya. Di sebalik teknologi hijau, tersembunyi kisah yang berdarah merah. Salah satu contoh merupakan insiden berkaitan rampasan kuasa di negara miskin yang terletak di benua Amerika Selatan pada tahun 2019, apabila puak pembangkang yang disokong oleh imperialis Amerika Syarikat menggulingkan Evo Morales, Presiden Bolivia yang dipilih secara demokratik. Vijay Prashad, seorang intelektual kiri yang terkenal di India, menerangkan bahawa rampasan kuasa itu berkaitan dengan lombong litium yang kaya di negara itu.

Litium digunakan secara meluas dalam teknologi bateri. Kenderaan elektrik yang disokong kuat oleh kelas kapitalis, menjadi komoditi yang sangat menguntungkan apabila suhu global terus meningkat. Oleh itu, litium, iaitu bahan mentah dalam bateri yang digunakan untuk menghidupkan kenderaan, telah menjadi sumber yang penting. Persaingan antara negara-negara dan syarikat-syarikat untuk mengawal sumber ini semakin sengit. Namun demikian, dasar nasionalisasi Morales tidak berpihak kepada kepentingan syarikat multinasional Amerika Syarikat. Tesla yang terkenal dengan pengeluaran kenderaan elektrik, ingin mengawal terus lombong litium negara itu.

Tangkap layer hantaran Twitter pada 25 Julai 2020 oleh Elon Musk, pemilik Tesla dan SpaceX, yang menduduki tempat ke-7 dalam senarai orang terkaya di Amerika Syarikat tahun 2020, telah dikecam oleh netizen. Dia kemudiannya memadamkan tweet itu dan berkata, “Kami akan menggunakan litium dari Australia.”

Elon Musk, seorang mahakaya yang memiliki syarikat Tesla dan SpaceX, menunjukkan dengan jelas dalam hantaran twitternya bahawa Amerika Syarikat boleh menggulingkan mana-mana pemimpin negara yang tidak memenuhi kepentingannya, walaupun pemimpin tersebut diberi mandat melalui pilihanraya. Apa yang menjengkelkan ialah tweet itu mendakwa bahawa golongan akar umbi yang tiada kuasa perlu menerima nasib mereka yang didominasi tanpa pilihan. Secara kebetulan, Morales mempunyai rancangan untuk menjemput syarikat-syarikat China yang merupakan pesaing Amerika Syarikat untuk menyertai bidang berkenaan. Kejadian ini memperdalamkan rasa kegelisahan Amerika Syarikat, jadi golongan elit Amerika Syarikat perlu bertindak segera untuk menyingkirkan pemerintah Morales.

Perubahan iklim telah membuktikan kepada kita secara mendalam tentang hegemoni ideologi kapitalisme. “StratoShield” bukan sahaja mencairkan kesedaran tentang krisis, malah memperdalamkan tanggapan bahawa teknologi merupakan ubat mujarab untuk segala masalah, lebih-lebih lagi menjadi perisai kukuh yang mengekalkan hegemoni ini. Pada masa yang sama, golongan mahakaya yang berpengaruh, saintis yang sombong dan politikus yang korup terus membuat keputusan untuk menyekat pengurangan pelepasan karbon yang bermanfaat kepada majoriti penduduk.

Bantah SRM!

Antara pelbagai pilihan geoengineering, SRM yang murah mungkin akan dipilih. Tetapi kita mesti membantah sekeras-kerasnya, termasuk membantah ujiannya. Berikut ialah 8 sebab utama kenapa kita harus membantahnya:

1. Ia tidak menyelesaikan masalah pelepasan gas rumah hijau yang terkumpul dalam atmosfera, tetapi menggunakan cara yangmencemarkan atmosfera, iaitu menyembur sulfur dioksida, kalsium karbonat atau bahan kimia lain untuk “menutupi” pencemaran gas rumah hijau yang telah meliputi atmosfera.

2. Setelah dilaksanakan, ia tidak boleh dihentikan, kalau tidak, sinaran matahari akan sampai ke permukaan Bumi secara terus dan membentuk gelombang haba yang membawa maut.

3. Penurunan suhu di satu kawasan secara campur tangan manusia akan menyebabkan kawasan lain menghadapi kemarau, kesejukan melampau atau banjir besar. Mangsa-mangsa bencana ini selalunya merupakan rakyat jelata di negara-negara sedang membangun.

4. Kerajaan dan sektor swasta menggunakan teknologi ini sebagai alasan untuk menangguhkan dasar dan langkah penyahkarbonan yang berisiko rendah dan bermakna.

5. Keadaan sistem politik global kini tidak dapat mewujudkan pengurusan dan pengawalseliaan terhadap teknologi ini dengan adil, wajar dan berkesan.

6. Menjejaskan kecekapan tenaga solar, menyebabkan kita lebih bergantung kepada bahan api fosil atau tenaga nuklear.

7. Berkemungkinan besar menjadi senjata iklim.

8. Semburan bahan pencemar seperti sulfur dioksida atau kalsium karbonat mungkin akan mengubah warna langit dan generasi akan datang kehilangan peluang untuk menikmati kebiruan langit.

**********

Nota:

(1) https://patft.uspto.gov/netahtml/PTO/search-adv.htm

Klik pautan di atas dan masuk “APT/1 and IN/Myhrvold-Nathan$ andnot AN/Microsoft” dalam kolum “Query”, anda akan dapat melihat betapa banyak hak milik ciptaan oleh “patent troll” Nathan Myhrvold.

(2) https://www.ipcc.ch/report/ar6/wg1/downloads/report/IPCC_AR6_WGI_TS.pdf

Muka surat 104-105 merupakan analisis mudah tentang geoengineering.

==========

Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

==========

Rencana lain dalam Siri Pemanasan Global

Siri Pemanasan Global (1): Sejarah pemanasan global

Siri Pemanasan Global (2): Dunia pemanasan yang penuh keganasan

Siri Pemanasan Global (3): Pengawal kem tahanan hari ini, pelarian iklim hari esok

Siri Pemanasan Global (4): Modal penyerang

Siri Pemanasan Global (5): Merah dan Hijau

Siri Pemanasan Global (6): Beli! Beli! Beli!

Siri Pemanasan Global (7): Wabak penyakit perampasan yang tidak terhingga

Siri Pemanasan Global (8): “Aku tidak percaya pada pemanasan global”

Siri Pemanasan Global (9): Melangkaui petroleum

Siri Pemanasan Global (10): Pasaran hijau yang penuh keajaiban

Siri Pemanasan Global (11): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 1)

Siri Pemanasan Global (12): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 2)

Siri Pemanasan Global (13): Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 3)

3 thoughts on “Kemahakuasaan atau kekhayalan teknologi (Bahagian 2)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *