Dunia kita terus dibelenggu pelbagai krisis yang serius. Pandemik COVD-19 masih mengancam kesihatan rakyat jelata di seluruh dunia selepas menular selama dua tahun. Lebih 270 juta orang telah disahkan dijangkiti virus SARS‑CoV‑2 di seluruh dunia, dan dilaporkan lebih 5.4 juta orang telah meninggal dunia kerana menghidapi penyakit COVID-19. Krisis iklim global terus mengancam kehidupan manusia di merata tempat dengan kejadian bencana alam yang serius, dan persidangan iklim COP26 di Glasgow gagal menghasilkan keputusan yang dapat mengatasi krisis ini secara berkesan. Krisis ekonomi dunia yang diburukkan lagi oleh gangguan daripada penularan pandemik COVID-19, telah menyebabkan ramai pekerja kehilangan kerja dan menghadapi tekanan hidup yang semakin teruk, sedangkan golongan bilionair pula semakin kaya. Kepincangan sistem kapitalis jelas ditunjukkan dalam keadaan dunia dilanda pelbagai krisis. Sementara itu, ruang demokrasi di banyak negara telah diancam dan dijejaskan oleh pemerintahan negara yang semakin bersifat autoritarian dalam menangani pelbagai krisis yang turut mengancam “kestabilan kuasa” kelas pemerintah.

Namun begitu, penentangan rakyat dari bawah untuk melawan ketidakadilan dan penindasan masih berterusan di merata tempat.

Marilah kita imbas kembali beberapa peristiwa perjuangan rakyat yang penting di peringkat antarabangsa sepanjang tahun 2021:

(foto: Reuters)

1. Myanmar: Rakyat lawan kudeta tentera

Pihak tentera Myanmar yang dipimpin oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari 2021 untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik. Tindakan ini mencetuskan gelombang protes rakyat besar-besaran di seluruh negara Myanmar. Rakyat Myanmar yang membantah kudeta tentera telah menggunakan pelbagai cara untuk berprotes, termasuk demonstrasi jalanan, protes memukul kuali untuk mengeluarkan bunyi bising, keingkaran awam, memboikot tentera, mogok pekerja dan sebagainya. Pihak tentera pula menggunakan keganasan untuk mematahkan protes rakyat, sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 1,377 orang terbunuh dalam tempoh masa 11 bulan.

(foto: AFP)

2. Sudan: Rakyat terus perjuangkan demokrasi

Rampasan kuasa oleh pihak tentera Sudan yang dipimpin oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan pada 25 Oktober 2021 untuk menghentikan proses peralihan demokrasi di Sudan, mencetuskan protes rakyat besar-besaran. Walaupun Abdalla Hamdok, Perdana Menteri Sudan yang dijatuhkan dalam rampasan kuasa tentera, dipulihkan jawatannya pada 21 November 2021 berikutan satu perjanjian yang dibuat dengan pihak tentera, tetapi gerakan rakyat Sudan yang hendak memperjuangkan demokrasi sebenar menolak perjanjian yang masih membolehkan pihak tentera terus berkuasa itu.

3. India: Perjuangan petani berjaya mansuhkan undang-undang anti-petani

Setelah berjuang selama lebih setahun dengan mobilisasi dan aksi massa yang hebat, petani-petani di India akhirnya mendapat kemenangan penting, apabila Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengumumkan pada 19 November 2021 bahawa tiga undang-undang pertanian yang anti-petani bakal dimansuhkan.

4. Eswatini: Rakyat tuntut pembaharuan demokratik di negara beraja mutlak terakhir di Afrika

Aksi protes menentang keganasan polis tercetus pada bulan Jun 2021, kemudiannya berkembang menjadi gelombang kebangkitan rakyat Eswatini yang hebat untuk menuntut pembaharuan demokratik dengan matlamat menghapuskan pemerintahan raja mutlak yang terakhir di benua Afrika.

(foto: Congreso de los Pueblos )

5. Colombia: Aksi protes rakyat tewaskan rancangan percukaian neoliberal

Rancangan kerajaan Colombia pimpinan Presiden Iván Duque Márquez untuk melaksanakan “pembaharuan” percukaian yang bersifat neoliberal dan memaksa kelas pekerja di negara itu untuk menanggung beban bayaran cukai, telah mencetuskan gelombang protes besar-besaran. Kesatuan-kesatuan sekerja, gerakan sosial dan parti-parti politik pembangkang yang progresif di Colombia telah melancarkan aksi mogok nasional pada 28 April 2021. Beberapa hari kemudian, pada 2 Mei 2021, kerajaan Colombia mengumumkan penarikan balik rancangan “pembaharuan cukai”. Namun, aksi protes masih berterusan, untuk membantah keganasan polis dan menentang pemerintahan oligarki kapitalis yang masih berterusan.

(foto: Louisa Gouliamaki / AFP/ Getty Images)

6. Greece: Protes bantah undang-undang pendidikan yang represif

Gelombang protes anak muda besar-besaran tercetus di Greece apabila kerajaan memperkenalkan rang undang-undang pendidikan yang membenarkan penubuhan pasukan polis khas di dalam kampus universiti. 

(foto: Fethi Belaid / AFP / Getty)

7. Tunisia: Rakyat kembali berprotes di jalanan

Selepas 10 tahun kebangkitan rakyat yang menjatuhkan pemerintahan kediktatoran Zine El Abidine Ben Ali, rakyat Tunisa kembali turun berprotes di jalanan pada bulan Januari 2021, untuk menyuarakan kemarahan terhadap keadaan ekonomi yang semakin merosot di negara itu dan kegagalan kerajaan Tunisia dalam menangani krisis pandemik COVID-19.

8. Amerika Latin: Kemenangan Kiri dalam pilihanraya

Selepas golongan kanan menguasai kebanyakan kerajaan di benua Amerika Latin beberapa tahun kebelakangan ini, tahun 2021 menyaksikan kebangkitan semula gerakan politik berhaluan kiri dengan kemenangan pilihanraya yang memberangsangkan. Di Peru, Pedro Castillo daripada Perú Libre menewaskan calon daripada parti populis berhaluan kanan dalam Pilihanraya Presiden dengan perbezaan undi yang tipis dalam pengundian pusingan kedua. Di Honduras, selepas 12 tahun pemerintahan golongan berhaluan kanan, Xiomara Castro daripada parti berhaluan kiri Libre menang dalam Pilihanraya Presiden dengan meraih lebih 51% undi. Di Chile, Gabriel Boric yang mewakili gabungan politik kiri Apruebo Dignidad muncul sebagai pemenang dalam pengundian pusingan kedua Pilihanraya Presiden, dengan undian sebanyak 55.87%, menewaskan calon pelampau kanan.

(foto: PA Media)

9. COP26: Perjuangan menuntut keadilan iklim berterusan

Lebih kurang 100,000 orang berprotes di Glasgow, Scotland, UK, pada 6 November 2021, di samping ratusan aksi di seluruh dunia, pada ketika Persidangan Iklim Global COP26 diadakan, untuk menyatakan kemarahan rakyat terhadap kegagalan pemimpin-pemimpin kerajaan negara sedunia dalam menangani masalah krisis iklim secara berkesan.

(foto: Reuters)

10. Palestin-Israel: Dari pengusiran di Sheikh Jarrah ke serangan ke atas Gaza

Pengusiran paksa terhadap penduduk Palestin di Sheikh Jaraah, Baitulmuqaddis Timur, mencetuskan konfrontasi yang membawa kepada konflik Palestin-Israel yang paling serius sejak Perang Gaza 2014. Tentera Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada 10-21 Mei 2021, menyebabkan sekurang-kurangnya 256 orang warga Palestin terbunuh. 28 orang pula terbunuh di Tebing Gaza kerana keganasan tentera Israel. Gencatan senjata tercapai antara Hamas dan Israel pada 21 Mei 2021.  

Perjuangan masyarakat berterusan di merata tempat…

Selain daripada perjuangan masyarakat dan perkembangan politik antarabangsa yang disenaraikan di atas, terdapat lagi banyak perjuangan masyarakat yang berlaku di merata tempat sedunia sepanjang tahun 2021, antaranya: gelombang mogok dan perjuangan kesatuan pekerja yang melanda sepanjang tahun 2021 di Amerika Syarikat yang berjaya mendapatkan beberapa kemenangan penting (termasuk pembentukan kesatuan pekerja Starbucks yang pertama di bandar Buffalo, New York); mogok besar-besaran di Afrika Selatan yang menuntut perubahan dasar ekonomi; protes di Perancis untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap keadaan ekonomi dan pekerjaan yang teruk akibat daripada pandemik COVID-19; protes tercetus di Rusia kerana berlakunya penyelewengan semasa Pilihanraya Parlimen pada bulan September 2021; protes di Paraguay yang mendesak perletakan jawatan Presiden Mario Abdo Benítez; dan sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *