Demokrasi di Peru sedang diancam kerana ahli politik berhaluan kanan yang kalah dalam Pilihanraya Presiden di negara Amerika Selatan itu cuba meniru gelagat Donald Trump dan hendak mengubah keadaan kekalahannya dengan taktik anti-demokratik yang kotor.

Pengundian pusingan kedua untuk Pilihanraya Presiden Peru telah diadakan pada 6 Jun 2021. Pedro Castillo daripada parti berhaluan kiri, Perú Libre (PL, Bebas Peru), telah mendahului dalam pengiraan undi dengan 99.64% undi telah diproses oleh badan pengurusan pilihanraya Peru, ONPE. Pedro Castillo memperoleh sebanyak 8,822,770 undi, bersamaan 50.168% undi yang sah, mendahului dengan perbezaan peratusan undi yang agak tipis berbanding dengan pesaingnya, Keiko Fujimori daripada parti populis berhaluan kanan, Fuerza Popular, yang memperoleh 49.832% undi. Pedro Castillo mendahului Keiko Fujimori dengan perbezaan undi hampir 60,000.

Pedro Castillo muncul sebagai calon Presiden yang memperoleh undi yang paling banyak dalam pengundian pusingan pertama yang diadakan pada 11 April 2021, dengan perolehan undi sebanyak 18.92%, berbanding dengan Keiko Fujimori yang memperoleh undi kedua banyak dengan 13.41%. Parti yang mencalonkan Pedro Castillo, Perú Libre, juga muncul sebagai parti yang terbesar dalam Parlimen Peru, setelah memenangi 37 daripada 130 kerusi Kongres Peru. Perú Libre tidak memenangi apa-apa kerusi dalam Kongres Peru dalam pilihanraya umum sebelum ini.

Dengan keputusan akhir Pilihanraya Presiden perlu mengambil beberapa hari lagi sebelum dimuktamadkan, Keiko Fujimori sedang berusaha untuk mengubah nasib kekalahannya dengan berlagak seperti Donald Trump di Amerika Syarikat yang enggan menerima keputusan pilihanraya. Keiko Fujimori cuba membawa naratif bahawa wujudnya “penipuan” dalam pilihanraya yang menyaksikan kemenangan Pedro Castillo. Keiko Fujimori telah memobilisasi firma-firma peguam di negara itu dalam cubaan untuk membatalkan lebih kurang 500,000 undi yang sah daripada pengiraan undi terakhir supaya membolehkan “kemenangan”nya.

Keiko Fujimori ialah anak kepada Alberto Fujimori, bekas Presiden Peru yang memerintah negara itu dengan cara yang autoritarian sepanjang dekad 1990-an dan melaksanakan dasar ekonomi neoliberal yang memberi impak besar kepada golongan bawahan. Alberto Fujimori dijatuhkan pada tahun 2000 berikutan skandal korupsi dan kemudiannya dipenjarakan. Keiko Fujimori pula pernah ditahan kerana tuduhan pelaburan wang haram, dan sekarang ini sedang berhadapan dengan tuduhan rasuah. Kemenangan dalam Pilihanraya Presiden akan dapat menyelamatkan Keiko Fujimori daripada pemenjaraan. Tuduhan “penipuan” dalam pilihanraya daripada Keiko Fujimori tersebut telah dibidas oleh pemerhati pilihanraya antarabangsa yang bebas yang menyatakan bahawa proses pengundian telah dijalankan tanpa berlakunya penyelewengan.  

Keengganan Keiko Fujimori untuk menerima kekalahan dan cubaan untuk mengubah keputusan pilihanraya sedang mengancam demokrasi di negara Peru. Tindakan golongan berhaluan kanan Peru ini seolah-olah cuba mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh golongan kanan di Bolivia pada tahun 2019 yang akhirnya membawa kepada kudeta yang menjatuhkan Presiden Evo Morales.

Kebangkitan semula gerakan kiri di Peru

Kemenangan Pedro Castillo dalam Pilihanraya Presiden, walaupun dengan perbezaan undi yang agak tipis, merupakan satu petanda yang penting untuk kebangkitan semula gerakan kiri di negara Peru yang diperintah oleh kerajaan berhaluan kanan selama lima dekad yang lalu. Satu-satunya kerajaan yang berhaluan kiri dalam sejarah kontemporari negara Peru ialah semasa pemerintahan Presiden Juan Velasco Alvarado pada tahun 1968-1975 yang melaksanakan reformasi tanah dan pemiliknegaraan beberapa sektor yang strategik. Golongan pemerintah Peru telah melancarkan kempen propaganda hebat untuk mencetuskan stigma terhadap politik kiri di negara itu sejak pemberontakan Parti Komunis Peru – Sendero Luminoso pada tahun 1980, yang dikenali sebagai “Konflik Dalaman”.

Kemenangan Castillo dan kebangkitan kiri di Peru adalah berlatarbelakangkan krisis yang mendalam melanda negara itu sejak kebelakangan ini. Presiden Peru bertukar dua kali dalam tempoh seminggu pada bulan November 2020, apabila Martín Vizcarra dipecat sebagai Presiden dalam satu “kudeta parlimen”, tetapi Manuel Merino yang mengambilalih kuasa terpaksa mengumumkan perletakan jawatannya selepas 5 hari kebangkitan massa yang hebat.

Calon Presiden daripada parti berhaluan kiri Perú Libre, Pedro Castillo, ialah seorang guru sekolah dari Cajamarca di Bahagian Utara Peru. Beliau pernah menyertai dan menjadi pemimpin kepada “Peronda Petani” (Ronda Campesina) yang ditubuhkan oleh golongan petani kawasan luar bandar untuk mempertahankan komuniti mereka secara kolektif semasa berlakunya “Konflik Dalaman” pada tahun 1980-an. Pedro Castillo juga merupakan seorang pemimpin kesatuan yang terlibat dalam aksi mogok guru pada tahun 2017 yang menuntut peningkatan dalam perbelanjaan pendidikan. Beliau membawa cadangan untuk memiliknegarakan sumber-sumber asli dan industri yang strategik seperti perlombongan, minyak, kuasa hidro, gas dan komunikasi, untuk mengagihkan kekayaan negara Peru secara samarata. Castillo juga menyokong penulisan semula perlembagaan Peru sekarang ini yang digubal semasa zaman pemerintahan Alberto Fujimori, dengan hasrat memulihkan peranan dan kawalan kerajaan terhadap ekonomi untuk menyekat pengaruh syarikat korporat swasta. Perú Libre memperjuangkan perlindungan hak asasi kepada semua warganegara Peru untuk menangani krisis sosio-ekonomi yang berpunca daripada ketidaksamarataan yang berlarutan berdekad-dekad lamanya. Oleh itu, kebanyakan pemimpin progresif di benua Amerika Latin percaya bahawa kemenangan Castillo akan memperkukuhkan integrasi serantau dan gerakan anti-imperialis di benua Amerika Latin.

2 thoughts on “Peru: Pedro Castillo menang pilihanraya, Keiko Fujimori berlagak seperti Trump

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *