(foto: AFP)

Abdalla Hamdok, Perdana Menteri Sudan yang digulingkan dalam rampasan kuasa baru-baru ini, telah menandatangani satu persetujuan 14-perkara pada 21 November 2021 dengan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, pemimpin tentera yang mengetuai rampasan kuasa terbaru, untuk membolehkannya dipulihkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Persetujuan tersebut juga menyatakan bahawa semua tahanan politik yang ditangkap sejak rampasan kuasa akan dibebaskan. Namun, persetujuan antara Abdalla Hamdok dan Abdel Fattah al-Burhan ini telah ditolak oleh gerakan rakyat Sudan yang menentang rampasan kuasa tentera, kerana kabinet tenokrat yang bakal dibentuk akan mengecualikan semua perwakilan daripada parti politik orang awam.

Sokongan yang agak besar daripada demonstran Sudan kepada Abdalla Hamdok sebelum ini berikutan rampasan kuasa tentera pada 25 Oktober 2021, telah melesap dalam sekelip mata setelah dia menandatangani persetujuan dengan pihak tentera, kerana dia dianggap telah mengkhianati aspirasi rakyat Sudan yang menolak kekuasaan tentera yang anti-demokratik. Jika persetujuan tersebut dilaksanakan, Menteri-menteri dalam kerajaan yang dibubarkan oleh pihak tentera sebelum ini, walaupun akan dibebaskan, tetapi tidak boleh kembali memegang jawatan mereka dalam kabinet. Hanya Abdalla Hamdok sahaja yang akan terus menjadi Perdana Menteri dengan kabinetnya bakal dibentuk oleh tenokrat tanpa perwakilan daripada parti-parti politik.

Rampasa kuasa tentera yang dipimpin oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan pada 25 Oktober 2021 telah membubarkan kerajaan peralihan perkongsian kuasa orang awam-tentera dan pemimpin-pemimpin kanan dalam kerajaan telah ditahan. Abdalla Hamdok juga ditahan dalam rumah selepas rampasan kuasa tersebut. Pihak tentera menyingkirkan semua perwakilan parti politik orang awam daripada kerajaan dan menggantikan mereka dengan orang awam lain yang menyokong sepenuh kepimpinan tentera. Sebelum rampasan kuasa terbaru ini pun, pihak tentera memegang kuasa yang sebenar dalam kerajaan peralihan perkongsian kuasa orang awam-tentera. Persetujuan untuk mengembalikan Abdalla Hamdok sebagai Perdana Menteri, hanya “memulihkan” kerajaan peralihan yang menyingkirkan semua perwakilan parti politik dan dikawal sepenuhnya oleh pihak tentera.

Oleh sebab bersetuju dengan kompromi yang memperkukuhkan lagi kekuasaan tentera, Abdalla Hamdok telah kehilangan sokongan daripada kebanyakan orang yang terlibat dalam perjuangan demokratik di negara Sudan, termasuk Kuasa Kebebasan dan Perubahan (FFC). FFC telah menolak persetujuan yang dicapai antara Abdalla Hamdok dan pihak tentera.

Berikutan peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Khartoum pada 3 Jun 2019, FFC yang merupakan sebuah gabungan antara parti-parti politik yang berhaluan tengah dan kanan, telah mencapai persetujuan perkongsian kuasa dengan pihak tentera pada bulan Ogos 2019 untuk menubuhkan sebuah kerajaan peralihan yang bertempoh 39 bulan. Pihak tentera memungkiri janjinya selepas dua tahun dengan rampasan kuasa pada 25 Oktober 2021. FFC menuntut untuk memulihkan kerajaan peralihan seperti sebelum rampasa kuasa. Penyokong-penyokong FFC yang berprotes menentang rampasan kuasa tentera telah menaruh harapan bahawa Abdalla Hamdok akan dapat merundingkan pemulihan kerajaan peralihan, tetapi terkejut dengan persetujuan yang menggadaikan tuntutan ini.

(foto: Marwan Ali / AP)

Kebanyakannya mereka yang berprotes di jalanan enggan mengiktiraf lagi Abdalla Hamdok sebagai pemimpin kerajaan peralihan yang sah. Mereka menuntut sebuah kerajaan yang terdiri daripada orang awam sepenuhnya. Golongan demonstran ini dimobilisasi oleh kuasa masyarakat yang menjayakan Revolusi Sudan yang menjatuhkan pemerintakan diktator Omar al-Bashir, termasuklah Persatuan Profesional Sudan (SPA) dan jawatankuasa-jawatankuasa penentangan kawasan kejiranan yang diorganisasi oleh Parti Komunis Sudan (SCP). SCP merupakan antara parti politik yang terawal menerajui pembentukan gabungan organisasi masyarakat FFC pada bulan Disember 2018 apabila tercetusnya demonstrasi jalanan yang hebat pada masa itu. Namun, SCP menarik diri keluar daripada FFC kerana tidak bersetuju dengan perjanjian perkongsian kuasa antara parti-parti politik berhaluan kanan dalam FFC dengan pihak tentera.

Penglibatan FFC sebagai perwakilan orang awam dalam kerajaan peralihan selama dua tahun gagal menyekat kekuasaan tentera.  Pada 21 Oktober 2021, iaitu 4 hari sebelum berlakunya rampasan kuasa tentera, jutaan orang turun ke jalanan untuk menuntut sebuah kerajaan orang awam yang sepenuhnya, dan menolak “perkongsian pertumpahan darah” dalam kerajaan peralihan yang dikatakan melibatkan perkongsian kuasa orang awam-tentera.

Pihak tentera Sudan menunjukkan wajah sebenarnya sekali lagi selepas rampasan kuasa, dengan menggunakan keganasan dalam cubaannya mematahkan protes rakyat. Dianggarkan lebih 40 orang telah dibunuh oleh pihak tentera sejak rampasan kuasa pada 25 Oktober 2021. Pada 17 November 2021, apabila ratusan ribu orang turun berprotes di jalanan di seluruh negara Sudan, sekurang-kurangnya 15 orang dibunuh oleh pasukan keselamatan. Pasukan keselamatan telah menyerbu hospital dan menembak gas pemedih mata untuk menghalang rawatan perubatan yang diberikan kepada demonstran yang cedera. Pihak tentera terus menzalimi rakyat Sudan.

SPA dan SCP yang telah memobilisasi massa dalam perjuangan melawan kediktatoran tentera, menyeru kepada rakyat Sudan untuk terus berjuang. SPA menyatakan bahawa persetujuan antara Abdalla Hamdok dengan pemimpin tentera Abdel Fattah al-Burhan adalah pengkhianatan kepada mereka yang terkorban dalam perjuangan. Persatuan Ahli Farmasi Profesional menyifatkan apa yang berlaku hanyalah “bertukar topeng” untuk memberi satu muka luaran pemerintahan orang awam bagi kediktatoran tentera. Banyak lagi organisasi rakyat telah menyatakan bantahan mereka dan bertekad untuk terus berjuang.

Selagi kediktatoran tentera Sudan masih bermaharajarela, sudah pasti rakyat Sudan yang mendahagakan demokrasi dan keadilan sosial akan terus menggerakkan usaha perjuangan mereka.

2 thoughts on “Sudan: Abdalla Hamdok kembali jadi PM, tapi ditolak gerakan rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *