(foto oleh Ye Aung Thu / AFP / Getty Images)

Puluhan ribu rakyat turun berprotes di jalanan Yangon, bandaraya terbesar Myanmar, dua hari berturut-turut pada 6-7 Februari 2021 untuk menyatakan bantahan terhadap kudeta tentera baru-baru ini, walaupun Kerajaan Tentera Myanmar menyekat rangkaian internet untuk memadamkan suara bantahan.

Tatmadaw, Angkatan Tentera Myanmar yang dipimpin oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari 2021 yang sepatutnya hari pertama persidangan Parlimen Myanmar selepas kemenangan besar Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi dalam pilihanraya umum yang diadakan pada bulan November 2020. Protes rakyat mula tercetus di merata tempat di seluruh negara Myanmar sehari selepas berlakunya rampasan kuasa.

Dalam satu temuramah oleh Green Left baru-baru ini, Debbie Stothard, seorang aktivis hak asasi Myanmar dan pengasas Alternative ASEAN Network on Burma, berkata, “Terdapat naratif media arus perdana yang menyatakan bahawa rakyat Burma adalah tidak berdaya untuk melakukan apa-apa, bahawa mereka adalah fatalistik dan mereka tidak akan berbuat apa-apa. Namun, sejarah negara ini menunjukkan banyak tindakan keras berdarah kerana rakyat enggan menyerah. Pada 2 Februari 2021, malam sehari selepas kudeta, isi-isi rumah keluar ke perkarangan rumah dan balkoni rumah mereka, dan memukul periuk sebagai tanda protes pada pukul 8 malam, masa apabila berita nasional disiarkan. Ini mengingatkan gerakan popular yang lain di seluruh dunia… Mereka telah memulakan gerakan ketidakpatuhan sivil. Ini merupakan proses antara generasi yang sangat menarik: kita melihat ramai anak muda menjadi sangat marah dan menggunakan media sosial untuk menyatakan hal ini, walaupun mereka telah diberi amaran oleh pihak berkuasa… Kumpulan-kumpulan masyarakat telah bermobilisasi dan berusaha secara bijak untuk melakukan apa yang perlu, dan kita akan melihat penentangan yang bakal muncul dalam minggu-minggu akan datang. Penentangan sudah pun bermula, bukan sahaja dalam kalangan aktivis tegar kami, tetapi juga dalam kalangan rakyat biasa yang memang marah terhadap apa yang sedang berlaku.”

(foto oleh Nyein Chan Naing / EPA)

Selain aksi memukul periuk, banyak aksi protes telah diadakan oleh rakyat Myanmar yang membantah kudeta tentera. Pekerja-pekerja dalam sektor awam, seperti pekerja-pekerja kesihatan di banyak hospital kerajaan telah melancarkan mogok pada 3 Februari 2021. Beberapa pertubuhan guru juga berkempen untuk mengadakan mogok. Satu kempen memboikot perniagaan barangan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan Tentera Myanmar turut dilancarkan.

Kerajaan Tentera Myanmar bertindak balas terhadap protes rakyat dengan menyekat media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Malah, pihak berkuasa Tentera Myanmar memutuskan sambungan internet pada 6 Februari 2021. Namun, bagaimana pihak berkuasa cuba menyekat penyebaran maklumat pun, rakyat Myanmar masih turun berprotes di jalanan untuk melawan rampasan kuasa yang anti-demokratik ini.

Myanmar telah dihantui pemerintahan kediktatoran tentera untuk tempoh yang berpanjangan dan pernah melalui pelbagai rintangan dalam mewujudkan demokrasi. Proses pemindahan sebahagian kuasa kepada kerajaan orang awam dan pemulihan demokrasi dalam tempoh satu dekad yang lepas juga tidak berlangsung secara lancar.

NLD yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi menang besar dalam pilihanraya umum 2015, membolehkannya membentuk kerajaan yang berkongsi kuasa dengan pihak Tentera Myanmar. Kerajaan NLD mengambil pendekatan yang tidak mengancam asas kekuasaan ketenteraan dan cuba mengambil hati kepimpinan Tentera Myanmar. Walaupun ruang demokrasi dapat dibuka sedikit sebanyak, tetapi banyak masalah yang wujud semasa pemerintahan kediktatoran tentera masih berterusan, seperti penahanan sewenang-wenang, perampasan tanah dan konflik bersenjata yang berterusan. Salah satu masalah yang paling kritikal ialah penindasan dan penganiayaan yang amat teruk terhadap masyarakat Rohingya di Negeri Rakhine. Pihak Tentera Myanmar, termasuk pemimpin utamanya Jeneral Min Aung Hlaing yang melancarkan kudeta terbaru, merupakan pelaku utama pembunuhan besar-besaran terhadap masyarakat Rohingya, tetapi Kerajaan NLD pimpinan Aung San Suu Kyi gagal melakukan apa-apa yang dapat menghentikan penindasan terhadap masyarakat Rohingya, menjadikannya pihak yang bersubahat dalam pencabulan hak asasi yang teruk terhadap masyarakat Rohingya.

Jelasnya, pihak tentera tidak peduli pun betapa kerajaan orang awam NLD itu bertolak ansur dengan kekejamannya, malah ia sanggup melakukan satu lagi kudeta apabila ia terasa kekuasaannya terancam, misalnya kekalahan teruk parti politik yang disokongnya dalam pilihanraya umum pada bulan November 2020. Pihak tentera mendakwa wujudnya penyelewengan dalam pilihanraya umum, seperti tuduhan yang dibuat oleh Donald Trump terhadap Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada bulan yang sama. Sekarang ini, pihak Tentera Myanmar menggunakan alasan ini untuk melakukan rampasan kuasa, untuk menterbalikkan segala pencapaian pembaharuan demokratik (walaupun sangat sedikit).

Dengan sejarah perjuangan demokratik yang berpanjangan, rakyat Myanmar memang tidak akan berdiam diri. Sekarang ini, rakyat Myanmar sedang berusaha untuk memulihkan proses pendemokrasian dengan mencetuskan lagi satu gerakan protes yang hebat di Asia Tenggara.

2 thoughts on “Myanmar: Rakyat tidak berdiam diri dengan kudeta tentera

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *