(foto: AFP)

Desmond Tutu, salah seorang sekutu penting kepada Nelson Mandela (1918-2013) dalam perjuangan menentang apartheid di Afrika Selatan, meninggal dunia pada 26 Disember 2021 di Cape Town.

Desmond Tutu yang meninggal dunia pada usianya 90 tahun, akan diperingati dunia sebagai seorang pendukung keadilan sosial yang mendedikasikan hidupnya untuk menyuarakan bantahan terhadap ketidakadilan perang, diskriminasi terhadap golongan LGBT, rasisme kolonial dan dasar apartheid yang wujud sama ada di Afrika Selatan atau Palestin.

Desmond Tutu boleh dikatakan paderi yang paling progresif yang pernah wujud dalam gereja Kristian aliran Anglikan. Desmond Tutu yang pernah menjadi Ketua Biskop Gereja Anglikan di Cape Town, memainkan peranan yang penting dalam menamatkan apartheid di Afrika Selatan dan proses transisi ke demokrasi pasca apartheid.

Desmond Tutu pada awalnya bekerja sebagai seorang guru, tetapi selepas golongan elit pemerintah yang berfahaman ketuanan orang putih memperkukuhkan dasar apartheid sejak tahun 1950-an, beliau sedar bahawa adalah sukar bagi seorang guru berkulit hitam yang aktif secara sosial untuk bertahan lama di Afrika Selatan. Oleh itu, beliau memilih untuk menjadi paderi dan belajar di London, di mana beliau mula terdedah kepada teologi pembebasan. Desmond Tutu pulang ke Afrika Selatan dengan komitmen memperjuangkan keadilan sosial dengan cara bukan keganasan. Desmond Tutu menjadi sayap yang lebih moderat dan bukan keganasan untuk gerakan perjuangan menentang apartheid, berbeza taktik tetapi sama dari segi matlamat dengan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang menggunakan cara pemberontakan bersenjata. Desmond Tutu menyeru untuk sekatan ekonomi supaya memberi tekanan kepada kerajaan Afrika Selatan yang mengamalkan dasar apartheid. Beliau dianugerahkan Hadiah Keaman Nobel pada tahun 1984 atas peranannya sebagai seorang pemimpin yang mampu menyatukan pelbagai pihak dalam kempen melawan apartheid di Afrika Selatan.

Sebagai seorang pendakwah pada zaman apartheid di Afrika Selatan, Desmond Tutu menggunakan jenaka selain khutbahnya untuk mendedahkan segala kejahatan dan ketidakadilan di bawah sistem apartheid yang menindas warga Afrika Selatan. Desmond Tutu pernah berkata, “Apabila mubaligh orang putih datang ke Afrika, kita (orang Afrika) mempunyai semua tanah dan mereka mempunyai semua Kitab Injil. Mereka berkata pada orang Afrika, ‘Sujudlah ke lututmu dan berdoa’. Apabila kita berdiri semula, kita mempunyai semua Kitab Injil dan mereka mempunyai semua tanah.”

Desmond Tutu bersama-sama dengan Nelson Mandela yang dibebaskan pada tahun 1990 selepas dipenjarakan 27 tahun, mengetuai rundingan dengan Kerajaan Afrika Selatan untuk menamatkan apartheid dan mewujudkan demokrasi multi-etnik. Selepas apartheid ditamatkan di Afrika Selatan, Desmond Tutu dipilih sebagai Pengerusi kepada Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian untuk menyiasat segala pencabulan hak asasi yang berlaku semasa zaman apartheid. Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian ini merupakan sebahagian yang penting dalam proses peralihan daripada apartheid ke demokrasi.

Selain menentang apartheid, Desmond Tutu merupakan seorang agamawan yang agak lantang bersuara dalam menentang diskriminasi terhadap golongan LGBT, di mana beliau menyifatkan diskriminasi terhadap homoseksual adalah serupa dengan diskriminasi terhadap orang berkulit hitam dan wanita. Desmond Tutu juga amat prihatin terhadap isu Palestin, dengan menyatakan bahawa pendudukan Israel di bumi Palestin serupa dengan apartheid di Afrika Selatan. Beliau turut membantah Perang Iraq, dan menyeru supaya George W. Bush dan Tony Blair diadili di Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana memulakan Perang Iraq.

Desmond Tutu mengilhamkan sebuah “negara pelangi” (rainbow nation) yang dapat berdamai dengan dirinya dan dunia, namun impian ini masih jauh belum dicapai di negara Afrika Selatan pasca apartheid kerana masih wujudnya masalah ketidakadilan sosial dan diskriminasi yang serius. Ini merupakan usaha Desmond Tutu yang belum selesai dan patut diteruskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *