Negara beraja mutlak yang terakhir di benua Afrika, Eswatini (juga dikenali sebagai Swaziland sebelum ini), sedang dilanda gelombang protes memperjuangkan demokrasi yang paling hebat dalam sejarahnya. Walaupun pihak berkuasa cuba menggunakan keganasan untuk mematahkan kebangkitan rakyat Eswatini, tetapi protes menuntut pembaharuan demokratik dan penamatan pemerintahan raja mutlak tetap diteruskan di negara dikeliling daratan yang terletak di Selatan Afrika itu.
Potes jalanan besar-besaran tercetus di Eswatini sejak bulan Jun 2021, berikutan pembunuhan Thabani Nkomonye, seorang pelajar undang-undang di Universiti Eswatini (UNESWA), pada bulan Mei 2021, di mana kematiannya dipercayai adalah diakibatkan oleh perbuatan polis. Protes jalanan bukan sahaja diadakan di bandar-bandar, tetapi juga di kawasan perkampungan luar bandar, dengan anak-anak muda membentuk kuasa utama dalam aksi protes.
Protes yang pada awalnya membantah keganasan polis ini, juga mengemukakan tuntutan untuk pembaharuan demokratik, termasuk membenarkan parti-parti politik untuk bertanding dalam pilihanraya dan memberi hak kepada rakyat untuk memilih Perdana Menteri serta kerajaan melalui pilihanraya demokratik. Walaupun Eswatini mengadakan pilihanraya untuk memilih sebahagian ahli parlimen (dan sebahagian lagi dilantik oleh Raja Eswatini) selang beberapa tahun, tetapi semua calon pilihanraya hanya boleh bertanding sebagai “calon bebas” kerana parti-parti politik diharamkan sama sekali.
Gelombang protes juga diapi-apikan oleh keadaan ekonomi yang semakin teruk dan kesusahan hidup akibat penularan wabak COVID-19 di negara itu, di samping perampasan tanah yang berterusan oleh ahli keluarga kerabat diraja yang menimbulkan kemarahan penduduk di kawasan luar bandar. Parti-parti politik yang diharamkan oleh Kerajaan Eswatini, termasuk Gerakan Demokratik Bersatu Rakyat (PUDEMO), Parti Komunis Swaziland (CPS), Parti Demokratik Swazi (SWADEPA) dan sebagainya, juga memobilisasikan massa untuk menyertai aksi-aksi protes jalanan.
Pada 24 Jun 2021, Raja Mswati III yang memerintah negara Eswatini sejak tahun 1986, mengeluarkan perintah yang mengharamkan rakyat daripada menyerahkan petisyen kepada Parlimen untuk menuntut pembaharuan demokratik. Tindakan tersebut mencetuskan protes yang lebih hebat, khususnya Manzini dan Mbabane, dua buah bandar terbesar di negara Eswatini, dengan demonstran menyeru untuk raja turun dari takhtanya dan membenarkan peralihan politik kepada sebuah kerajaan yang lebih demokratik. Pada 25 Jun 2021, walaupun pihak kerajaan mengharamkan protes jalanan, tetapi gelombang protes telah merebak ke banyak tempat dan berlakunya pertembungan ganas antara demonstran dengan polis. Pihak polis menggunakan keganasan yang hebat untuk mematahkan beberapa aksi protes yang aman. Sebagai respon terhadap keganasan polis dalam mematahkan demonstrasi, anak-anak muda bermobilisasi dalam jumlah yang lebih besar lagi untuk turun ke jalanan. Raja Mswati III menghilangkan diri apabila gelombang protes memuncak. Parti Komunis Swaziland (CPS) mendakwa bahawa Raja Mswati III telah melarikan diri ke luar negara tetapi dakwaan tersebut dinafikan oleh Kerajaan Eswatini.
Pada 29-30 Jun 2021, polis dan tentera yang dikerahkan untuk mematahkan protes jalanan menggunakan keganasan yang lebih hebat lagi, termasuk melepaskan tembakan ke arah demonstran. Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh pada masa itu akibat daripada keganasan pihak berkuasa yang cuba melenyapkan kebangkitan rakyat Eswatini. Pihak berkuasa Eswatini mengenakan penapisan yang ketat terhadap media massa dan mengharamkan media luar negara daripada membuat liputan mengenai protes di situ. Akses kepada internet juga dikawal secara ketat. Pada bulan Julai 2021, Raja Mswati III menganjurkan “sibaya” (sejenis perjumpaan dialog tradisional) sebagai cubaan untuk menunjukkan kesudiannya “berdialog”, tetapi hanya dihadiri oleh penyokong setiaraja, sekali gus mendedahkan sifat penipuan rejimnya dan juga kekuasaannya yang semakin tergugat kerana kebangkitan rakyat.
Walaupun penindasan dan sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa begitu hebat, tetapi masih tidak dapat memadamkan api perjuangan yang semakin kuat dalam kalangan rakyat Eswatini yang mendahagakan perubahan. Pelajar-pelajar sekolah melancarkan aksi boikot kelas pada bulan September 2021. Sehingga bulan Oktober, sekurang-kurangnya 100 buah sekolah telah ditutup oleh pelajar-pelajar yang berprotes.
Pelajar-pelajar yang berprotes untuk menuntut pembaharuan sistem pendidikan dan demokrasi, turut bersama-sama dengan pekerja-pekerja pengangkutan awam yang bermogok, untuk menuntut pembebasan ahli-ahli parlimen pro-demokrasi yang ditahan pada bulan Julai atas pertuduhan terlibat dalam keganasan. Kerajaan mengeluarkan kenyataan yang mengancam bahawa pelajar-pelajar yang berprotes tidak akan mendapat bantuan kewangan dan tidak akan dapat menerima biasiswa kerajaan, sementara mengerahkan polis dan tentera untuk mematahkan aksi protes pelajar di kampus dan sekolah; tetapi tindakan sebegitu hanya mengundang lebih ramai pelajar untuk menyertai aksi protes.
Pada 13 Oktober 2021, seorang pelajar sekolah ditembak mati oleh polis di Nhlangano, mencetuskan kemarahan rakyat dan aksi protes yang hebat di seluruh negara pada 15 Oktober 2021. Pihak berkuasa juga menembak mati pekerja yang bermogok.
Pekerja-pekerja pengangkutan awam melancarkan mogok pada 13 Oktober 2021, untuk menuntut peningkatan keadaan kerja dan pembanterasan korupsi polis. Mogok ini melumpuhkan negara Eswatini yang amat bergantung kepada bas dan bas mini untuk beredar dari satu tempat ke tempat lain.
Eswatini atau Swaziland, pernah dijajah oleh kuasa imperialis British selepas Perang Boer Kedua (1899-1902), dan mencapai kemerdekaan pada tahun 1968. Pada tahun 1973, Raja Sobhuza II pada masa itu menggantung perlembagaan negara itu dan mengembalikan pemerintahan raja mutlak. Raja Eswatini sekarang, Raja Mswati III, naik takhta pada tahun 1986. Sejak tahun 1990-an, wujudnya aksi-aski protes oleh pelajar-pelajar dan pekerja-pekerja untuk menuntut pembaharuan terhadap sistem politik dan sosio-ekonomi di negara itu. Desakan daripada masyarakat ini menyebabkan Raja Mswati III cuba membuat pembaharuan secara kosmetik dengan memperkenalkan Perlembagaan baharu pada tahun 2005, tetapi Perlembagaan tersebut dibantah oleh pelbagai pihak kerana ia gagal mewujudkan perlindungan hak kepada rakyat dan parti-parti politik masih tidak dibenarkan untuk bertanding dalam pilihanraya. Pekerja-pekerja Eswatini telah mengadakan banyak aksi protes dan mogok, untuk menuntut hak pekerja dan pembaharuan sistemik. Kebangkitan rakyat pada tahun 2021 merupakan pergolakan politik yang paling hebat dalam sejarah Eswatini setakat ini.
Pemerintahan Raja Mswati III selama 35 tahun kebelakangan ini, penuh dengan pelbagai kepincangan dan penyelewengan. Dianggarkan sebanyak 58.9% rakyat Eswatini hidup di bawah garis kemiskinan. Jangka hayat purata untuk rakyat Eswatini hanya 57.7 tahun, antara yang paling rendah di dunia. Kebanyakan rakyat Eswatini hidup dalam kemiskinan dan kesusahan, sedangkan Raja Mswati III menguasai kebanyakan kekayaan ekonomi yang hanya menguntungkan dirinya dan kroni-kroninya. Berbilion-bilion dolar dibelanjakan oleh Raja Mswati III untuk memenuhi kehidupan mewahnya di samping menganjurkan pesta-pesta besar dan sambutan hari jadinya. Rakyat Eswatini tidak bertolak ansur lagi dengan ketidakadilan ini.
Eswatini sedang berada di persimpangan sejarah. Apa kesudahan kepada pergolakan terkini masih tidak jelas. Namun, yang jelasnya ialah rakyat Eswatini sudah tidak dapat menerima lagi sistem politik yang tidak demokratik di negara itu. Anak-anak muda menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi untuk menentukan nasib mereka sendiri. Mereka bersedia untuk berkorban demi perubahan politik. Perjuangan ini pasti akan diteruskan sehingga Raja Eswatini melepaskan kuasa mutlaknya dan wujudnya peralihan ke demokrasi yang sebenar.
One thought on “Eswatini: Perjuangan demokrasi berterusan di negara raja mutlak terakhir di Afrika berterusan”