(foto: facebook @XiomaraCastroZ)

Xiomara Castro bakal menjadi Presiden wanita yang pertama di Honduras, setelah beliau muncul sebagai pemenang dalam Pilihanraya Presiden di negara itu yang diadakan pada 28 November 2021. Kemenangan bersejarah Xiomara Castro daripada parti berhaluan kiri, Parti Kebebasan dan Pembangunan Semula (Libertad y Refundación, nama singkatan “Libre”), menandakan tamatnya pemerintahan konservatif dan neoliberal yang diselubungi dengan pelbagal skandal korupsi serta kezaliman selama 12 tahun kebelakangan ini.

Dengan keputusan awal pengiraan undi menunjukkan Xiomara Castro mendahului pesaing terdekatnya dengan perbezaan undi yang besar, dan Nasry Asfura sebagai calon pesaing terdekat mengaku kekalahan pada 30 November 2021, kemenangan Xiomara Castro hampir dimuktamadkan. Xiomara Castro akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Honduras pada 27 Januari 2022.

Xiomara Castro berjaya meraih lebih kurang 52% undi, jauh meninggalkan Nasry Asfura daripada Parti Nasional Honduras (PNH) yang hanya memperoleh 35% undi. Parti Nasional cuba mengisytihar kemenangan pada awalnya dalam cubaan menafikan kemenangan Xiomara Castro, tetapi akhirnya terpaksa menerima kenyataan kekalahannya setelah keputusan menunjukkan perbezaan undi yang terlalu besar. Yani Rosenthal daripada Parti Liberal Honduras (PLH) pula mendapat lebih kurang 9% undi, manakala 12 orang calon Presiden yang lain hanya mendapat kurang daripada 1% undi masing-masing. Xiomara Castro menjadi Presiden Honduras pertama yang bukannya calon daripada dua buah parti politik tradisional utama di negara itu, Parti Nasional dan Parti Liberal, sejak pemulihan demokrasi di Honduras pada tahun 1982.

Kemenangan Xiomara Castro juga membawa makna yang penting kepada gerakan masyarakat di Honduras, kerana ia menandakan kerajaan yang berhaluan kiri kembali memerintah di Honduras, selang 12 tahun selepas Presiden berhaluan kiri Manuel Zelaya digulingkan dalam satu kudeta yang disokong oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2009. Xiomara Castro yang merupakan isteri kepada Manuel Zelaya, telah memimpin gerakan rakyat yang menentang kudeta 2009. Frente Nacional de Resistencia Popular (FNRP), sebuah gabungan organisasi akar umbi dan politik yang meluas, telah menerajui gerakan anti-kudeta dan kemudiannya menubuhkan parti kiri “Libre” pada tahun 2011. Libre juga terdiri daripada penyokong-penyokong Zelaya yang meninggalkan Parti Liberal selepas kudeta 2009.  

Xiomara Castro pernah bertanding sebagai calon daripada Libre dalam Pilihanraya Presiden Honduras pada tahun 2013, tetapi tewas kepada Juan Orlando Hernández daripada parti pemerintah Parti Nasional dalam satu persaingan yang sengit. Xiomara Castro bertanding sekali lagi pada tahun 2017, sebagai calon Naib Presiden Honduras setelah Libre membentuk gabungan dengan Parti Inovasi dan Perpapuan (PINU) yang berhaluan kiri tengah, tetapi tewas sekali lagi dalam satu persaingan yang lebih sengit lagi.

Dalam ucapan kemenangannya, Xiomara Castro mengumumkan bahawa beliau akan menubuhkan sebuah kerajaan yang bersifat pendamaian, keamanan dan keadilan, berbeza dengan corak pemerintahan yang memecah-belahkan rakyat dan penuh penyelewengan kuasa di bawah pemerintahan Presiden Juan Orlando Hernández yang berhaluan kanan pada masa kini. Xiomara Castro juga berkata bahawa beliau akan berusaha untuk membina sebuah demokrasi keterlibatan yang sebenar di negara Amerika Tengah itu, di samping menjanjikan penglibatan dalam dialog berkekalan dengan rakyat Honduras.

Suami kepada Xiomara Castro, Manuel Zelaya, menjadi Presiden Honduras pada tahun 2006 selepas beliau menang dalam Pilihanraya Presiden 2005 sebagai calon daripada Parti Liberal. Pemerintahan Zelaya menyaksikan perubahan dasar kerajaan yang cenderung ke kiri, termasuk menjalin hubungan yang erat dengan Kerajaan Venezuela pimpinan Hugo Chávez pada masa itu dan Kuba, serta menyertai perikatan ekonomi ALBA yang diterajui oleh Chávez. Kerajaan pimpinan Zelaya pada masa itu melakukan beberapa pembaharuan sosial yang penting, seperti memperkenalkan pendidikan percuma kepada semua kanak-kanak, menyediakan subsidi kepada petani-petani kecil, mengurangkan kadar faedah bank, meningkatkan gaji minimum sebanyak 80%, membekalkan makanan yang terjamin kepada lebih 1.6 juta orang kanak-kanak daripada keluarga miskin, memasukkan pekerja domestik ke dalam sistem perlindungan sosial, dan berjaya mengurangkan kemiskinan tegar sebanyak 20% dalam tempoh dua tahun semasa beliau berkuasa. Tindakan Zelaya yang mengubah haluan pemerintahan kerajaan Honduras ini telah menimbulkan ketidaksenangan hati dalam kalangan elit perniagaan di dalam negara itu dan kuasa imperialis AS, sehingga melancarkan satu kudeta yang menjatuhkan pemerintahannya pada tahun 2009.

Kerajaan berhaluan kanan yang mengambilalih kuasa selepas kudeta yang disokong oleh kuasa imperialis AS pada tahun 2009, telah menterbalikkan pembaharuan sosial yang diperkenalkan oleh Zelaya, dengan melaksanakan dasar neoliberal secara meluas, termasuk mengurangkan perbelanjaan sosial dan membuka ruang kepada penwastaan sektor awam, untuk mewujudkan kondisi ekonomi yang menguntungkan pelabur asing, di samping meningkatkan penindasan terhadap golongan progresif di negara itu. Dasar neoliberal yang semakin mengganas telah menyebabkan kadar kemiskinan meningkat semula dan kehidupan rakyat Honduras menjadi semakin susah. Ramai aktivis yang menentang kudeta 2009 dan melawan pemerintahan kerajaan berhaluan kanan di Honduras, telah dibunuh, termasuk aktivis alam sekitar orang asal seperti Berta Cáceres dan juga pemimpin-pemimpin daripada parti Libre.

Lebih separuh daripada pengundi Honduras yang keluar mengundi menyalurkan sokongan mereka kepada Xiomara Castro, menunjukkan kehendak rakyat Honduras untuk menamatkan pemerintahan kerajaan berhaluan kanan yang anti-rakyat di negara itu. Walaupun cabaran yang bakal dihadapi oleh kerajaan Xiomara Castro sudah pasti agak hebat seperti yang pernah dihadapi oleh Zelaya, tetapi kemenangan pilihanraya dengan sokongan besar daripada rakyat ini merupakan satu permulaan fasa perjuangan baharu yang menggalakkan.

Kemenangan bersejarah Xiomara Castro juga memberi harapan dan inspirasi kepada rakyat seluruh dunia untuk terus melawan sistem yang menindas.  

2 thoughts on “Honduras: Xiomara Castro dari parti kiri menang Pilihanraya Presiden

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *