(foto: PA Media)

Pada 6 November 2021, ketika pemimpin-pemimpin dunia bertemu di bandar Glasgow, Scotland, UK, dalam Persidangan Iklim Global COP26, lebih kurang 100,000 orang berprotes di jalanan Glasgow untuk menyatakan kemarahan mereka terhadap kegagalan pemimpin-pemimpin kerajaan ini dalam menangani masalah krisis iklim secara berkesan.

Ini merupakan aksi protes yang terbesar semasa persidangan COP26 diadakan setakat ini, dan aksi massa yang terbesar di bandar Glasgow sejak aksi protes anti-Perang Iraq pada tahun 2003. Selain itu, sejumlah lebih 200 aksi protes diadakan di seluruh dunia, termasuk Australia, Belanda, Belgium Indonesia, Kenya, Korea Selatan, Perancis dan sebagainya, dalam mobilisasi yang bergelar “Hari Aksi Sedunia untuk Keadilan Iklim” ini. Banyak aksi protes telah dirancang sepanjang tempoh persidangan COP26. Gabungan COP26, sebuah gabungan masyarakat sivil yang bermobilisasi untuk keadilan iklim semasa persidangan COP26, menganjurkan “Persidangan Kemuncak Rakyat” secara bersemuka di Glasgow dan secara atas talian pada 7-10 November 2021, untuk menghimpunkan suara daripada gerakan keadilan iklim seluruh dunia supaya menggerakkan agenda rakyat untuk menyelesaikan krisis iklim tanpa pengaruh korporat.

Semasa aksi protes jalanan diadakan di Glasgow, polis Scotland menangkap 21 orang ahli sains yang merantaikan diri mereka untuk menyekat jambatan yang menyeberang Sungai Clyde di dalam bandar Glasgow.

Demonstran yang beraksi di jalanan ini menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kegagalan kebanyakan pemimpin dunia, khususnya pemimpin dari negara maju, dalam mengambil tindakan yang berkesan untuk menangani krisis iklim global yang semakin mengancam kehidupan manusia. Mereka mendesak pemimpin-pemimpin dunia untuk menunjukkan kesungguhan politik mereka dalam mengambil tindakan yang sewajar demi mengelakkan dunia kita daripada terjerumus dalam malapetaka iklim yang mengancam kewujudan manusia.

Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2021, yang juga dikenali sebagai COP26, mula diadakan di Glasgow pada 31 Oktober 2021 dan dijangka akan berakhir pada 12 November 2021. Persidangan yang pada awalnya dijadualkan pada tahun 2020 tetapi ditangguhkan setahun kerana pandemik COVID-19 ini, mempertemukan pemimpin tinggi kerajaan negara-negara di seluruh dunia yang menandatangani perjanjian “Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim” (UNFCCC) dan Perjanjian Paris, untuk memberi komitmen dan menggariskan tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan masing-masing dalam usaha menangani krisis iklim global. Namun, sejak Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mula diadakan pada tahun 1995, kebanyakan kerajaan tidak mengambil tindakan yang berkesan dan secukupnya untuk menangani krisis iklim global, sebaliknya bersubahat dengan syarikat-syarikat korporat yang mengutamakan keuntungan dan berselindung di sebalik “solusi” yang bersifat greenwashing (berpura-pura melindungi alam sekitar) untuk meneruskan amalan yang mengeksploitasi rakyat dan planet kita. Walaupun terdapat ramai orang menaruh harapan kepada pemimpin-pemimpin dunia untuk memberi komitmen yang lebih tinggi dalam persidangan COP26, tetapi golongan korporat, khususnya industri pencemar yang besar, masih mempunyai pengaruh kuat terhadap halatuju dasar kerajaan-kerajaan yang pro-kapitalis.

Dengan laporan demi laporan kajian oleh ahli-ahli sains sedunia yang menunjukkan bahawa umat manusia sedunia sedang menghadapi ancaman kod merah dan kita bakal ditimpa bencama iklim yang lebih teruk lagi sekiranya tiada tindakan konkrit diambil untuk menahan kenaikan suhu dunia dengan mengurangkan pelepasan karbon ke dalam atmosfera bumi secara signifikannya, suara desakan daripada masyarakat untuk perubahan sistem supaya menyelamatkan umat manusia daripada ancaman krisis perubahan iklim ini semakin lantang di seluruh dunia. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat menyaksikan kebangkitan gelombang gerakan keadilan iklim yang diterajui oleh golongan anak muda di seluruh dunia. Adalah amat jelas bahawa tiadanya masa hadapan untuk generasi akan datang di atas muka bumi ini sekiranya kita tidak mengambil tindakan untuk membendung krisis iklim pada hari ini.

Krisis iklim global yang mengancam kewujudan umat manusia pada hari ini berkait rapat dengan sistem sosio-ekonomi kapitalis yang terus mengeksploitasi tenaga buruh dan sumber alam semula jadi untuk menjana keuntungan bagi golongan korporat. Kita hanya dapat mengatasi krisis iklim global dengan mengubah sistem sosio-ekonomi yang sedia ada, dengan penglibatan masyarakat yang paling terkesan kerana krisis iklim ini. Jadi, perjuangan untuk keadilan iklim seharusnya juga satu perjuangan anti-kapitalis yang memerlukan penglibatan rakyat terbanyak secara bersama.

One thought on “Pemimpin dunia digesa jangan gagal lagi dalam tangani krisis iklim

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s