Masih ingatkah gelombang protes hebat di Tunisia yang menjatuhkan pemerintahan Kerajaan Zine El Abidine Ben Ali pada 10 tahun yang lalu? Pada 14 Januari 2011, Zine El Abidine Ben Ali yang sudah berkuasa sebagai Presiden Tunisia selama 23 tahun, membubarkan kerajaannya dan mengisytihar darurat dalam usaha terdesaknya untuk menyekat gelombang protes hebat yang berlarutan hampir 4 minggu pada masa itu, tetapi akhirnya dia terpaksa melarikan diri ke luar negara pada hari yang sama. Kejatuhan kerajaan Zine El Abidine Ben Ali hasil daripada kebangkitan rakyat Tunisia ini membuka tirai apa yang dikenali sebagai “Musim Bunga Arab”. Gelombang protes di Tunisia pada masa itu, tercetus selepas Mohamed Bouazizi, seorang penjaja jalanan di Sidi Bouzid membunuh diri dengan cara membakar dirinya pada 17 Disember 2010 berikutan pegawai penguatkuasa menyita kereta tolak yang digunakannya untuk menjaja.

Selepas 10 tahun, negara Tunisia masih dilanda gelombang protes jalanan, dan kali ini adalah manifestasi ketidakpuasan hati rakyat terhadap keadaan ekonomi yang semakin merosot di negara itu. Aksi protes terbaru tercetus pada pertengahan bulan Januari 2021, iaitu selepas menyambut ulangtahun ke-10 kejatuhan pemerintahan Zine El Abidine Ben Ali, apabila kerajaan Tunisia mengenakan sekatan pergerakan yang dikatakan bertujuan untuk membendung penularan wabak COVID-19. Tindakan kerajaan Tunisia mengenakan sekatan pergerakan tanpa langkah-langkah konkrit untuk mengurangkan beban kehidupan rakyat pada ketika ekonomi semakin merosot, bagaikan menabur garam di atas luka rakyat biasa. Ribuan rakyat berprotes di jalanan untuk menuntut penurunan harga makanan dan keadaan kerja yang lebih baik untuk mereka. Demonstrasi telah berlaku di bandar-bandar seperti Tunis, Sidi Bouzid, Sousse, Kalaa Kebira, Bizert, Kasserine, Seliana dan sebagainya. Kebanyakan demonstran merupakan mereka yang datang daripada latar belakang masyarakat miskin, golongan terpinggir dan golongan pekerja.

(foto oleh Fethi Belaid / AFP / Getty)

Pihak berkuasa Tunisia telah bertindak secara keras untuk mematahkan protes rakyat, dengan menembak gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan demonstran. Ini menyebabkan protes bertukar menjadi rusuhan. Kerajaan Tunisia juga mengerahkan tentera untuk mematahkan protes. Adalah dilaporkan bahawa lebih 600 orang ditangkap oleh pihak berkuasa pada 18 Januari 2021, dengan dakwaan melakukan vandalisme, merampas barang, merosakkan harta awam dan persendirian, serta tindakan keganasan yang lain. Tindakan kekerasan yang digunakan oleh pasukan keselamatan Tunisia telah dikecam oleh beberapa buah organisasi hak asasi manusia di dalam dan luar negara Tunisia. Masyarakat sivil di Tunisia menggesa pada pihak berkuasa supaya mengawal diri mereka, khususnya apabila berdepan dengan demonstran yang kebanyakannya berprotes secara aman dan tidak bersenjata.

Amnesty International, sebuah badan bukan kerajaan antarabangsa yang memperjuangkan hak asasi menusia, menggesa kerajaan Tunisia supaya “menahan diri daripada menggunakan kekerasan yang berlebihan” dalam menangani demonstran, di samping harus menghormati hak sivil rakyat. Amna Guellali, Timbalan Pengarah Serantau untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, berkata dalam satu kenyataan, “Walaupun apabila tindakan vandalisme dan perampasan barang berlaku, penguatkuasa undang-undang harus hanya menggunakan kekerasan di mana benar-benar diperlukan dan bersesuaian. Tiada apa-apa yang memberi kebenaran kepada pasukan keselamatan untuk menggunakan kekerasan yang tidak perlu dan berlebihan, termasuk apabila mereka merespon terhadap tindakan keganasan yang sporadik.”

Gelombang protes yang melanda negara Tunisia pada masa kini, pada ketika ulangtahun ke-10 Revolusi Tunisia yang menjatuhkan Zine El Abidine Ben Ali, menunjukkan bahawa perjuangan rakyat Tunisia untuk keadilan sosial jauh belum selesai. Selepas Revolusi pada tahun 2011, satu gelombang protes tercetus apabila Tunisia mengalami krisis politik yang melibatkan pembunuhan pemimpin politik kiri pada tahun 2013, dan akhirnya menyebabkan kejatuhan kerajaan pada masa itu serta penggubalan satu perlembagaan yang baru. Gelombang protes tercetus lagi pada tahun 2016 kerana rakyat tidak berpuas hati dengan masalah pengangguran yang serius, dan kerajaan merespon dengan janji untuk membasmi korupsi dan menyelesaikan masalah pengangguran. Namun, keadaan tidak menunjukkan penambahbaikan yang jelas dan protes masih berterusan dari semasa ke semasa. Tindakan kerajaan Tunisia memperkenalkan langkah-langkah penjimatan (auterity) dalam belanjawan mencetuskan satu lagi gelombang protes pada tahun 2018. Walaupun kerajaan silih berganti dalam pilihanraya, tetapi golongan elit politik yang berkuasa tetap gagal menyelesaikan kemelut rakyat, malah adanya yang mengambil sikap tidak peduli. Dalam setahun yang lalu, adalah dianggarkan lebih 6,500 protes berlaku di merata tempat di negara Tunisia, kerana rakyat tidak berpuas hati dengan pelbagai masalah sosio-ekonomi dan politik yang tidak habis-habisan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Tunisia telah menguncup sebanyak 9% pada tahun 2020, dengan pandemik COVID-19 memburukkan lagi keadaan ekonomi yang lemah di negara itu. Pengangguran agak meluas khususnya dalam kalangan anak muda, dengan seorang daripada 3 orang warga Tunisia ialah penganggur. Keadaan hidup rakyat menjadi lebih perit lagi dengan peningkatan inflasi yang hebat. Rakyat Tunisia juga tidak berpuas hati dengan perkhidmatan kerajaan yang teruk, di samping masalah korupsi dan penindasan oleh pihak berkuasa yang masih berlarutan walaupun negara itu sudah melalui proses pendemokrasian politik.

Pencetus untuk gelombang protes yang terbaru ialah tindakan kerajaan Tunisia yang mengenakan sekatan pergerakan untuk mengawal penularan wabak COVID-19. Ini bukan kerana rakyat Tunisia tidak mahu mencegah penularan wabak, tetapi adalah oleh sebab langkah yang diambil oleh kerajaan Tunisia tanpa menyelesaikan masalah beban hidup yang semakin serius ini hanya menyusahkan lagi rakyat.

Negara Tunisia telah mencatatkan lebih 177,000 kes jangkitan COVID-19 yang terkumpul, khususnya semakin teruk dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dan lebih 5,600 orang mati kerana pandemik. Pandemik COVID-19 memburukkan lagi keadaan ekonomi di Tunisia, dengan sektor pelancongan yang menawarkan pekerjaan kepada jutaan rakyat Tunisia mengalami impak yang paling teruk. Ini telah menyebabkan ramai warga Tunisia meninggalkan negara mereka untuk mencari nafkah. Lebih 10,000 orang warga Tunisia telah pergi ke negara Itali melalui bot pada tahun 2020.

Sudah pasti protes jalanan akan berlaku lagi di Tunisia, selagi semua masalah yang membelenggu rakyat biasa masih belum diselesaikan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s