Gabrieal Boric berucap di hadapan penyokongnya semasa kempen pilihanraya.

Gabriel Boric, seorang bekas aktivis pelajar yang mewakili gabungan kiri di Chile untuk bertanding dalam Pilihanraya Presiden pada tahun ini, muncul sebagai pemenang setelah beliau berjaya menewaskan calon daripada parti politik pelampau kanan. Boric dengan umurnya 35 tahun ketika ini, bakal menjadi Presiden Chile yang paling muda dalam sejarah.

Lebih 8.2 juta rakyat Chile mengundi pada 19 Disember 2021 dalam pengundian pusingan kedua untuk menentukan siapa yang bakal menjadi Presiden Chile yang akan datang. Gabriel Boric, calon daripada gabungan politik berhaluan kiri, Apruebo Dignidad (AD), meraih lebih 4.6 juta undi, bersamaan 55.87% undi, membolehkannya menewaskan José Antonio Kast daripada Frente Social Cristiano (FSC) yang hanya mendapat 44.13% undi.

Kast yang merupakan pemimpin parti pelampau kanan Partido Republicano, muncul sebagai calon yang memperoleh undi terbanyak dalam pusingan pertama pengundian Pilihanraya Presiden Chile yang diadakan pada 21 November 2021, dengan meraih 27.91% undi; sementara Boric hanya mendapat 25.82% undi dalam pusingan pertama. Namun, hasil daripada kerjasama gerakan kiri yang mantap dan kempen pilihanraya yang memberangsangkan, Boric yang membawa aspirasi kebangkitan rakyat Chile pada tahun 2019, akhirnya berjaya menewaskan calon Presiden berhaluan kanan dalam pengundian pusingan kedua dengan perbezaan undi yang jelas.

Ratusan ribu orang turun ke jalanan Santiago, ibu negara Chile, untuk meraikan kemenangan Gabriel Boric.

Kemenangan Boric disambut baik oleh pemimpin-pemimpin progresif di rantau Amerika Latin, termasuk Alberto Fernández (Presiden Argentina) dan Luis Arce (Presiden Bolivia). Luiz Inácio Lula da Silva, bekas Presiden Brazil yang bakal bertanding untuk Presiden Brazil sekali lagi pada tahun 2022, menulis dalam hantaran twitternya, “Saya ucapkan tahniah kepada komrad Gabriel Boris atas pemilihannya sebagai Presiden Chile. Saya sangat gembira kerana ini satu lagi kemenangan bagi calon yang demokratik dan progresif di Amerika Latin kita, untuk pembinaan sebuah masa hadapan yang lebih baik untuk semua.”

Gabriel Boric merupakan seorang bekas pemimpin pelajar yang pernah terlibat dalam perjuangan pelajar Chile menentang penswastaan pendidikan. Boric menyertai gerakan pelajar semasa beliau masih belajar di sekolah menengah, dan menyertai kolektif politik kiri Estudiantes Autónomos (Pelajar Berautonomi) semasa belajar di universiti. Boric dipilih sebagai Presiden Persekutuan Pelajar Universiti Chile (FECh) pada tahun 2011, pada ketika tercetusnya gelombang protes pelajar yang hebat di Chile pada masa itu. Gelombang protes pelajar Chile pada masa itu menuntut pendidikan awam yang bebas daripada pengaruh keuntungan korporat. Boric menjadi salah seorang jurucakap utama kepada gerakan pelajar yang melawan penswastaan pendidikan pada masa itu. Boric bertanding dalam Pilihanraya Parlimen Chile pada tahun 2013 sebagai calon bebas di wilayah Magallanes dan memecahkan dominasi dua gabungan politik terbesar dalam pilihanraya dengan menjadi calon yang memperoleh undi tertinggi di wilayah tersebut.

Boric merupakan pemimpin Gerakan Autonomis (MA) yang ditubuhkan pada tahun 2016. Gerakan Autonomis kemudiannya bersama-sama dengan beberapa buah lagi kumpulan kiri di Chile membentuk Convergencia Social (CS), sebuah parti politik berhaluan kiri yang dipimpin oleh Boric. Dalam usaha untuk memantapkan kerjasama gerakan kiri Chile yang terdiri daripada pelbagai aliran, Apruebo Dignidad (AD) ditubuhkan pada bulan Januari 2021, dengan penyertaan daripada Convergencia Social (CS), Parti Komunis Chile (PCCh), Comunes, Revolución Democrática dan beberapa buah parti lagi. Parti Komunis Chile merupakan organisasi yang terbesar dalam gabungan politik kiri ini. Boric mendapat penamaan sebagai calon Presiden yang mewakili Apruebo Dignidad, selepas beliau menewaskan Daniel Jadue daripada Parti Komunis Chile dalam pemilihan awal yang diadakan pada bulan Julai 2021, dengan memperolehi lebih kurang 60% undi daripada pengundi yang menyokong gabungan politik kiri ini. Apruebo Dignidad telah menang 28 daripada 155 kerusi dalam Konvensyen Perlembagaan (sebuah badan yang ditubuhkan untuk menggubal Perlembagaan baharu Chile selepas rakyat Chile memutuskan dalam referendum untuk sebuah Perlembagaan baharu) yang dipilih pada bulan Mei 2021. Apruebo Dignidad menang 37 daripada 155 kerusi Dewan Perwakilan Chile dalam Pilihanraya Parlimen yang diadakan pada 21 November 2021 serentak dengan pengundian pusingan pertama Pilihanraya Presiden.

Kemenangan Boric dalam Pilihanraya Presiden Chile, memberi rangsangan kepada rakyat Chile untuk membawa perubahan yang progresif kepada negara itu dan membuang warisan pemerintahan kediktatoran Pinochet yang masih menghantui masyarakat Chile sehingga hari ini. Pesaing kepada Boric dalam Pilihanraya Presiden Chile, José Antonio Kast, merupakan pemimpin Parti Republikan, sebuah parti pelampau kanan yang memegang pada doktrin politik yang ditinggalkan oleh pemerintahan kediktatoran Augusto Picochet.

Bagi ramai rakyat Chile, Boric mewakili harapan untuk merealisasikan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh mereka yang terlibat dalam kebangkitan rakyat Chile pada tahun 2019. Boric telah berjanji untuk menunaikan tuntutan utama yang dibawa dalam gerakan protes 2019, termasuk peningkatan perbelanjaan kerajaan dalam perkhidmatan sosial, cukai progresif ke atas korporat besar dan individu mahakaya, serta menggantikan sistem pencen swasta dengan sistem pencen awam. Boric juga memberi komitmen untuk merombak pasukan polis Carabinero yang terkenal dengan penglibatannya dalam pencabulan hak asasi manusia, termasuk menindas protes rakyat.

Walaupun proses pengundian pada 19 Disember 2021 berjalan dengan lancar tanpa peristiwa yang tidak diingini, tetapi ramai rakyat Chile telah mengadu tentang masalah kekurangan pengangkutan awam pada hari mengundi. Menurut laporan daripada sumber di lapangan, banyak bas telah disita oleh pihak berkuasa semasa proses pengundian berjalan, sehingga perkhidmatan bas di bandar-bandar utama berkurangan sebanyak 50%, maka timbulnya spekulasi bahawa adanya pihak cuba mensabotaj penglibatan rakyat awam dalam proses pengundian. Sebagai respon kepada pengurangan perkhidmatan bas pada hari mengundi, rakyat Chile melancarkan kempen pada hari itu untuk menyeru mereka yang mempunyai kereta sendiri untuk berkongsi kenderaan mereka supaya membolehkan orang ramai pergi ke tempat mengundi. Sesetengah persatuan teksi juga menawarkan diskaun kepada pengundi.

Kemenangan Gabriel Boric dalam Pilihanraya Presiden Chile membuka lembaran baharu kepada masyarakat Chile yang telah lama berjuang menentang dasar ekonomi neoliberal dan warisan pemerintahan kediktatoran Pinochet. Cabaran yang bakal dihadapi oleh kerajaan pimpinan Boric pastinya besar, kerana kuasa pelampau kanan mungkin akan mensabotaj pembaharuan yang progresif, seperti yang pernah dilakukan oleh golongan berhaluan kanan yang mendapat sokongan daripada kuasa imperialis di negara-negara lain di Amerika Latin. Namun, dengan kuasa rakyat hebat yang ditunjukkan dalam gerakan protes rakyat Chile 2019, dan juga proses penggubalan Perlembagaan baharu negara itu hasil daripada perjuangan masyarakat sedang berjalan, harapan rakyat Chile untuk meneroka satu laluan baharu yang progresif adalah cerah.

One thought on “Chile: Bekas aktivis pelajar menang Pilihanraya Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s