Kerajaan Turki di bawah pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdoğan yang semakin bersifat authoritarian sedang mencuba untuk menghancurkan parti pembangkang berhaluan kiri yang utama di negara itu, dengan tindakan terbarunya adalah melancarkan prosiding mahkamah untuk mengharamkan Parti Demokratik Rakyat (HDP) yang mendapat sokongan daripada jutaan rakyat Turki.

Pada 17 Mac 2021, pihak pendakwaraya Turki telah memfailkan satu kes dengan Mahkamah Perlembagaan untuk menuntut pengharaman HDP. Selain hendak mengharamkan HDP, Pendakwa Negara di Mahkamah Rayuan Tertinggi Turki, Bekir Şahin, juga menuntut untuk mengharamkan 600 orang pemimpin HDP daripada terus melibatkan diri dalam politik.

Pemfailan kes mahkamah untuk mengharamkan HDP ini berlaku pada hari yang sama beberapa jam selepas Ömer Faruk Gergerlioğlu dilucutkan keanggotaannya sebagai perwakilan dalam parlimen atas pertuduhan yang mengatakannya menyebar “propaganda keganasan” dalam satu hantaran twitter pada tahun 2016 yang menyokong rundingan damai antara pihak Kerajaan Turki dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK).  PKK ialah sebuah organisasi Kurdi yang berhaluan kiri dan militan yang terlibat dalam konflik bersenjata dengan Kerajaan Turki sejak tahun 1984, dan dianggap sebagai “pertubuhan pengganas” oleh Kerajaan Turki dan Amerika Syarikat kerana perjuangannya menjejaskan kepentingan kuasa imperialis di rantau Timur Tengah. Kerajaan Turki pimpinan Recep Tayyip Erdoğan cuba mengaitkan HDP dengan PKK supaya menjadikannya alasan untuk mematahkan parti demokratik berhaluan kiri ini kerana parti ini mampu menggugat kekuasaan golongan pemerintah Turki melalui pilihanraya.

Parti Demokratik Rakyat (Halkların Demokratik Partisi, singkatan nama HDP) yang ditubuhkan pada tahun 2012, ialah sebuah parti politik berhaluan kiri yang pro-Kuridi tetapi dianggotai oleh rakyat daripada pelbagai kumpulan etnik. HDP memperjuangkan nasib golongan masyarakat yang menghadapi diskriminasi dari segi etnik, agama atau gender, dengan menekankan prinsip demokrasi keterlibatan, kebebasan, keamanan, feminisme, kesamarataan dan keadilan sosial.

HDP merupakan parti yang ketiga besar dari segi bilangan kerusi dalam Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki (iaitu Parlimen Turki) pada masa ini. HDP meraih lebih 5.9 juta undi dalam Pilihanraya Umum Turki pada tahun 2018 dan memenangi sebanyak 67 daripada 600 kerusi Parlimen Turki. Namun, rejim Erdoğan telah menggunakan segala cara untuk melucutkan jawatan ahli parlimen HDP. Sejak bulan Februari 2021, beberapa orang ahli parlimen HDP telah disiasat oleh pihak perkuasa dengan tujuan untuk membatalkan kelayakan mereka sebagai ahli parlimen, atas pertuduhan bahawa mereka terlibat dalam aksi protes massa pada bulan Oktober 2014 yang mengecam kegagalan Kerajaan Turki dalam menghentikan serangan pengganas ISIS ke atas bandar Kobanî di Syria yang terletak berdekatan dengan sempadan Turki.

Sejak tahun 2016, Kerajaan Turki pimpinan Erdoğan telah melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas HDP dengan melakukan penangkapan besar-besaran terhadap ahli-ahli HDP dan melucutkan jawatan wakil rakyat HDP yang dipilih secara demokratik. Selahattin Demirtaş, bekas Pengerusi HDP, telah ditahan dan dipenjarakan sejak bulan November 2016, di samping ramai lagi ahli HDP, ahli parlimen HDP, datuk bandar HDP dan juga wartawan yang mengkritik rejim Erdoğan. Serangan hebat ke atas HDP ini bermula apabila Kerajaan Turki membatalkan proses rundingan damai dengan PKK dan menjadi lebih teruk lagi apabila darurat diisytihar pada tahun 2016. Sejak tahun 2016, lebih daripada 20,000 orang anggota HDP telah ditangkap, antaranya 10,000 orang telah ditahan atau dipenjarakan.  

Pada bulan Ogos 2019, Kerajaan Pusat Turki yang dikuasai oleh gabungan politik AKP-MHP (Parti Keadilan dan Pembangunan – Parti Gerakan Nasional) melancarkan rampasan kuasa terhadap kerajaan tempatan yang dimenangi oleh HDP dalam pilihanraya tempatan pada bulan Mac 2019. Datuk-datuk bandar daripada HDP yang dipilih secara demokratik oleh penduduk tempatan, telah dilucutkan jawatan secara sistematik oleh Kerajaan Pusat Turki, dengan tuduhan mereka menyokong keganasan tanpa mengemukakan apa-apa bukti. Sebanyak 48 buah kerajaan tempatan diambilalih oleh pihak berkuasa yang dilantik oleh Kerajaan Pusat tanpa sebarang proses demokrasi, dan 37 orang datuk bandar HDP telah ditangkap, dengan 17 orang masih berada dalam penjara.

Cubaan terbaru untuk menyerang HDP ialah mengambil tindakan undang-undang untuk mengharamkan HDP. Tindakan keras terhadap HDP ini merupakan tindakan yang anti-demokratik dan tidak sah, dengan tujuan hanya untuk melenyapkan suara pembangkang yang demokratik dan progresif.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pervin Buldan dan Mithat Sancar, Pengerusi Bersama HDP, mereka berkata, “Apa yang kita saksikan sekarang ini juga menunjukkan ketidakberdayaan hebat yang wujud dalam blok pemerintah AKP-MHP. Oleh sebab mereka gagal menewaskan HDP secara ideologi, politik atau dalam peti undi, mereka sekarang ini berniat untuk memadamkan HDP daripada politik demokratik melalui badan kehakiman. Keagresifan mereka berasal daripada ketakutan mendalam mereka.”

“HDP bukannya sekadar sebuah parti tetapi juga suatu idea. Jutaan orang telah bergabung di bawah idea ini. Jutaan orang akan berdiri teguh untuk mempertahankan kehendak politik dan masa hadapan mereka,” tegas kata Pervin Buldan dan Mithat Sancar. “Untuk pemerintahan AKP-MHP, setelah ia kehilangan kewajaran demokratiknya, ia sedang cuba mengekalkan kuasa melalui mekanisme pemaksaan dan penindasan. Kerajaan AKP-MHP harus menyedari sepenuhnya bahawa kami tidak akan tunduk, melutut atau berganjak satu inci pun daripada politik demokratik, tidak kira apa yang dilakukan mereka. Kami akan meneruskan perlawanan demokratik kami melalui perjuangan yang tegas.”

Feleknas Uca dan Hişyar Özsoy, Jurucakap Bersama untuk Hal Ehwal Luar Negeri HDP, juga berkata dalam kenyataan mereka, “HDP adalah lebih daripada beberapa buah bangunan atau entiti politik secara formal. Kami mewakili sejarah politik yang berkepelbagaian dan sosiologi pelbagai perjuangan yang kuat untuk pengiktirafan dan keadilan. Kami memberi jaminan kepada anda bahawa perjuangan bersejarah dan tradisi politik di mana HDP ditubuhkan pada asalnya akan terus memberi impak mendalam kepada politik Turki dan Kurdi dalam usaha menuju tranformasi demokratik yang sebenar untuk negara ini, walaupun jika HDP mungkin tidak dapat bertahan daripada serangan ini sebagai sebuah entiti politik.”

“Penindasan oleh kerajaan terhadap HDP dan kuasa-kuasa demokratik yang lain sudah pasti akan lebih hebat dalam bulan-bulan akan datang, begitu juga dengan perjuangan kami. Oleh itu, kami menjemput sekali lagi komuniti antarabangsa yang demokratik untuk mengambil pendirian yang berprinsip, memperkuatkan lagi solidariti antarabangsa, dan bertindak menentang tindakan politik yang menyedihkan oleh kerajaan AKP yang hendak mengharamkan HDP dan menafikan kehendak jutaan rakyat,” begitu katanya Feleknas Uca dan Hişyar Özsoy.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut mengeluarkan satu kenyataan yang mengecam cubaan Kerajaan Turki untuk mengharamkan HDP. PSM menyeru pada pihak berkuasa Turki supaya menghentikan segera prosiding mahkamah yang bertujuan untuk mengharamkan HDP, menghentikan segala penindasan terhadap HDP, dan membebaskan semua anggota HDP yang dipenjarakan. Kita harus bersolidariti dengan HDP dalam perjuangannya melawan penindasan daripada sebuah rejim autoritarian dan menegakkan demokrasi di negara Turki.

2 thoughts on “Turki: Parti Demokratik Rakyat diancam pengharaman oleh rejim autoritarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *