Apabila karbon bertemu dengan kapitalisme

Karbon itu ialah kewujudan yang semula jadi, tetapi apabila ia bertemu dengan kapitalisme yang merupakan sistem ekonomi buatan manusia yang berfungsi berlandaskan logik pengumpulan modal secara berterusan, ia mendatangkan krisis kepupusan kepada spesies manusia sendiri! Kita hanya dapat mengatasi krisis yang timbul daripada kapitalisme itu dengan melangkaui kerangka kapitalisme.

Merah dan Hijau

Pencinta alam sekitar tidak dapat menyelamatkan Bumi ini dengan diri sendiri. Mereka memerlukan kerjasama orang lain, terutamanya kelas pekerja yang majoriti. Sekiranya perjuangan kelas pekerja hanya menuntut kenaikan gaji dan jaminan pekerjaan secara umum tetapi tidak memahami malapetaka yang disebabkan oleh pencemaran dan pemanasan global, maka visi perjuangan sebegini akan terlalu cetek.