IPOH, PERAK – 6 NOVEMBER 2023: Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Negeri Perak pada hari ini dengan seruan supaya membatalkan projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong, Daerah Kuala Kangsar, Perak.

Mereka yang hadir semasa penyerahan memorandum ini termasuk Dr. Jeyakumar Devaraj yang merupakan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), Noreha daripada Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak dan juga wakil penduduk dari Kampung Rambai Tujuh di Daerah Kuala Kangsar yang akan terkesan dengan projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Saarani Mohamad selaku Menteri Besar Perak, Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong menyatakan kerisauannya kerana kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) baru-baru ini untuk projek ladang hutan tersebut merupakan keluluasan bersyarat yang menyenaraikan banyak langkah mitigasi yang harus diambil untuk mengurangkan risikonya terhadap alam sekitar dan keselamatan penduduk di kawasan yang berdekatan dengan tapak projek. Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong berpandangan bahawa kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong memang tidak sesuai untuk melaksanakan projek ladang hutan tanpa pemantauan dan penguatkuasaan yang menyeluruh, tegas dan berkesan.

“Kami penduduk kampung tidak mendapat tahu tentang apa-apa maklumat mengani EIA ini, kecuali hanya tahu EIA ini sudah jalan. Dia tak datang jumpa kami orang kampung,” kata Dailami bin Zahari, seorang penduduk Kampung Rambai Tujuh. “Dalam laporan EIA, dia kata datang berjumpa penduduk kampung, tapi benda itu tak berlaku. Satu borang pun dia tak bagi kepada kami.”

“Ini satu kawasan yang besar dengan keluasan 4,280 hektar yang akan dibalak habis dan kemudian tanam balik sebagai ladang hutan. Tetapi kaedah ini tidak berjaya di banyak tempat di negeri-negeri yang lain,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj semasa menyerahkan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak. “Biasanya selepas syarikat-syarikat itu membalak habis hutan dan mendapat keuntungan besar, mereka hilangkan diri atau jadi muflis, membiarkan kawasan yang dibalak itu begitu sahaja dan tidak teruskan dengan menanam semula pokok-pokok. Ini berlaku di banyak tempat sehingga pada hujung tahun 2021, kerajaan telah mengenakan moratorium terhadap ladang hutan, iaitu menghentikan pembangunan ladang hutan untuk tempoh 15 tahun. Kerajaan Negeri Perak membenarkan projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong untuk diteruskan dengan alasan permohonannya dikemukakan sebelum moratorium mula berkuatkuasa.”

Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong menyenaraikan beberapa perkara yang harus diberi perhatian secara serius berkenaan projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong, seperti yang terkandung dalam ulasan yang diberikan oleh JAS, antaranya:

1. Risiko banjir

JAS telah mengesyorkan mitigasi: “Penggerak projek dikehendaki laksanakan langkah-langkah kawalan berkesan untuk mencegah banjir di kawasan hilir tapak projek”.

Risiko banjir memang wujud untuk kampung-kampung yang berdekatan dengan projek ladang hutan, dan di tebing Sungai Perak dan Sungai Pelus akibat pemendapan sungai tempatan dan Sungai Perak.  Terdapat beberapa buah kampung di tebing Sungai Pelus yang sedang mengalami banjir sebanyak tiga atau empat kali setahun, seperti Kampung Tok Sirat, Kampung Lintang dan Kampung Pulau Mentimun. Kekerapan dan keseriusan banjir akan bertambah akibat projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong.

Penduduk Kampung Rambai Tujuh yang terletak lebih kurang satu kilometer dari sempadan selatan kawasan projek ladang hutan pernah mengalami banjir teruk apabila satu blok hutan seluas 80 hektar di hulu kampung mereka dilesenkan untuk pembalakan terpilih. Pelaksanaan projek ladang hutan di kawasan hutan yang keluasannya 50 kali ganda lebih besar akan menyebabkan banjir yang jauh lebih berbahaya pada masa hadapan.

Syarikat perunding ChemSains telah menyatakan dalam Laporan EIA bahawa perangkap-perangkap kelodak dan kolam-kolam kelodak harus diwujudkan di seluruh kawasan projek untuk mengawal pemendapan sungai-sungai di kawasan projek ladang hutan. Perangkap dan kolam kelodak harus dipantau untuk memastikan mereka berfungi dan tidak tersumbat dengan pasir. Pemantauan pemendapan sungai-sungai yang terlibat harus dilakukan secara berterusan dan kerja-kerja membuang pasir harus dilakukan pada bila-bila masa jika perlu.

“Siapakah pihak yang akan memantau dan memastikan kerja-kerja ini dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab? Nampaknya tanggungjawab ini diletakkan kepada penggerak-penggerak projek sahaja,” ulas Dr. Jeyakumar.

2. Kehilangan biodiversiti dan risiko pertembungan antara binatang liar dan masyarakat tempatan

JAS mencadangkan mitigasi:

Penggerak projek hendaklah menjalankan kajian dan mendapatkan data lengkap terhadap bilangan kehidupan liar yang terjejas serta menyediakan pelan pengurusan hidupan liar untuk tangkap-pindah jika perlu. Pelan ini hendaklah diperakui oleh Jabatan Perhilitan.

Urusan terpirinci mengenai kerugian hendaklah melalui Perhilitan dan Kerajaan Negeri Perak. Penggerak projek hendaklah menyediakan saluran penyampaian aduan mengenai (masalah yang bertimbul akibat) pembangunan ladang hutan ini.

Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong berasa hairan dengan kelulusan yang diberikan kepada laporan EIA tersebut di mana EIA itu sendiri mengakui bahawa kehilangan biodiversiti tidak dapat dielakkan jika projek ladang hutan dilaksanakan. Beberapa spesies binatang dan burung yang terlindung akan kehilangan habitat mereka. Fakta ini sendiri merupakan sebab yang kukuh untuk membatalkan projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong.

Selain itu, laporan EIA mengakui bahawa ada kemungkinan besar pelaksanaan projek ladang hutan akan mencetuskan konflik antara binatang liar dan masyarakat tempatan. Namun, cara mengendalikan perkara ini amat tidak memuaskan kerana:

  1. Saluran menyampaikan aduan adalah melalui pihak yang menyebabkan masalah. Ada kemungkinan besar bahawa pihak syarikat pembalakan tidak akan mengambil berat terhadap masalah yang dialami oleh para penduduk di kampung-kampung yang terletak di sekitar projek ini.   
  2. Syarikat swasta akan mendapat keuntungan daripada pembalakab, tetapi Jabatan Perhilitan dan Kerajaan Negeri Perak dikehendaki menanggung kos membayar ganti rugi kepada orang kampung yang mengalami kerugian. Langsung tiada mekanisme untuk memindahkan sebahagian daripada keuntung syarikat pembalakan kepada sebuah dana di bawah jagaan Kerajaan Negeri untuk menampung kos membayar pampasan.

3. Impak projek terhadap kampung Orang Asli Bukit Cermin

Mitigasi yang dicadangkan JAS: “Kawasan seluas 80.3 hektar telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada pembangunan.

Ini langsung tidak mencukupi kerana:

  1. Kawasan rayau di dalam hutam bagi masyarakat Orang Asli di Bukit Cermin adalah jauh lebih luas daripada 80 hektar.
  2. Kehilangan pendapatan daripada penjualan produk hutan tidak diambil kira.
  3. Tiada cadangan untuk kehilangan sumber protein ikan sungai. 
  4. Impak pelepasan kumbahan ke dalam sungai dari kuarters 300 orang pekerja yang akan ditempatkan di kawasan hilir kepada Kampung Bukit Cermin juga tidak diberi perhatian yang sewajarnya.

Pihak masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Cermin pernah memberitahu kerajaan dan juga perunding EIA bahawa mereka tidak bersetuju dengan projek ladang hutan ini. Malangnya perasaan dan pandangan mereka tidak diambil kira.

4. Banyak perkara lain yang harus dipantau dan dilakukan oleh penggerak projek

Komen daripada JAS telah menyenaraikan banyak lagi perkara yang diserahkan kepada pihak penggerak projek untuk dipantau dan dilakukan, antaranya:

  1. Menyediakan sistem amaran awal bagi mengesan bahan pencemar dan mengambil tindakan segera untuk membendung pencemaran serta memantau kualiti air sungai bagi mencegah insiden pencemaran, di Sungai Jemeh, Sungai Buaya, Sungai Menora dan Sungai Perak, di samping mencegah insiden henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Senawar dan LRA Sultan Idris Shah II.
  2. Memastikan pelaksanaan projek tidak memberi impak terhadap bekalan air Kampung Orang Asli Bukit Cermin.
  3. Menyediakan dan mematuhi zon penampan seperti dalam aporan EIA.
  4. Mengemukakan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodakan kepada Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) untuk diluluskan dan dikuatkuasakan.
  5. Memulihara dan menempatkan semula tumbuh-tumbuhan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

“Siapakah pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pelaksanaan projek ladang hutan supaya memastikan semua langkah mitigasi dipatuhi secara berintegriti dan ikhlas?” tanya Dr. Jeyakumar tentang pemantauan untuk memastikan semua syarat yang dikemukakan oleh JAS itu dipenuhi. “Syarikat perunding Chemsain mengesyorkan setiap syarikat yang terlibat melantik seorang ‘pegawai pembersihan’ untuk memantau perangkap kelodak dan kolam kelodak supaya ia terus berkesan menangkap semua pasir yang dihakis ke dalam anak sungai;  pengendalian sisa buangan seperti minyak jentera dan minyak pelinciran bagi memastikan minyak-minyak tersebut tidak memasuki sungai dan sistem pembentungan najis di kawasan projek tidak mencemari air sungai. Jabatan Alam Sekitar nampaknya juga meletakkan kepercayaannya ke atas keikhlasan pihak penggerak projek untuk mematuhi segala langkah mitigasi yang disenaraikan oleh JAS walaupun beberapa daripada langkah-langkah yang disyorkan akan mengenakan kos terhadap penggerak projek.” 

“Kaedah mengharapkan penggerak projek untuk mematuhi segala langkah mitigasi melalui 4 orang pegawai bawahan dalam syarikat-syarikat pemaju merupakan pendekatan yang langsung tidak realistik. Projek sebegini besar dengan banyak aspek teknikal yang harus dipatuhi, mesti mempunyai sistem pemantauan yang kukuh dan berkesan, dan ia mesti dilaksanakan oleh sebuah institusi yang berasingan daripada penggerak projek,” tambah Dr. Jeyakumar. “Kami tidak percaya bahawa syarikat-syarikat penggerak projek akan menjalankan tanggungjawab tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) mereka dengan jujur. Laporan EIA oleh syarikat perunding Chemsain adalah jelas berdasarkan pada andaian yang salah bahawa seluruh kawasan projek dianggap sebagai hutan miskin, ataupun ‘severely depleted forest. Oleh kerana andaian ini, laporan EIA Chemsain melaporkan bahawa kadar penghakisan tanah adalah sembilan kali lebih tinggi sebelum projek dilancar berbanding selepas ladang hutan diwujudkan. Perkara ini jelas membuktikan bahawa syarikat Chemsain sengaja menggunakan andaian bahawa keseluruhan 4230 hektar telahpun dibalak secara intensif sebelum ini dan sekarang merupakan hutan miskin. Ini jauh daripada realitinya. Gambar satelit membuktikan dengan jelas bahawa kawasan hutan ini bukan hutan miskin.”  

Oleh sebab begitu banyak persoalan dan masalah yang wujud berkenaan projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong, Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong merayu kepada Menteri Besar Perak supaya membatalkan projek ladang tersebut. Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong mencadangkan supaya ladang hutan hanya dibangunkan di kawasan-kawasan terbiar yang lain seperti kawasan bekas lombong. Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong juga meminta pada pihak Menteri Besar Perak supaya mengatur satu perjumpaan untuk membincangkan perkara-perkara yang dibangkitkan itu secara lebih mendalam dan mendapat penjelasan mengenai status projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *