oleh Brian Khow

Pada 17 Oktober 2023, sekumpulan penduduk yang merupakan sebahagian daripada Jaringan Rawang Tolak Insinerator datang ke kawasan Jeram untuk membantah pembinaan insinerator (atau loji WTE – sisa kepada tenaga) semasa Majlis Pecah Tanah bagi projek tersebut oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beberapa hari kemudian, kami menerima satu mesej WhatsApp daripada seorang penduduk Kapar yang bimbang tentang projek ini. Tentu kamu berasa hairan kenapa projek di Jeram menimbulkan kegusaran penduduk di Kapar. Sebenarnya, kawasan projek itu merupakan tapak pelupusan sampah yang berhampiran dengan Kapar. 

Jarak lurus dari Tapak Pelupusan Sanitari Jeram ke Taman Kapar Permai hanya 5 km. Ini bermakna bahawa asap dan debu yang keluar dari insinerator akan sampai ke Kapar sekiranya angin bertiup ke arah sana. Ini memberi ancaman besar kepada kesihatan penduduk Kapar.

Sebelum itu, kami sudah membaca berita tentang bantahan penduduk terhadap projek pembinaan insinerator di Rawang. Selain itu, S. Arutchelvan selaku Setiausaha Agung PSM pada masa itu, juga terlibat secara aktif dengan penduduk untuk membantah dan akhirnya berjaya menghentikan projek insinerator di Broga pada tahun 2007 selepas berjuang selama lebih 5 tahun.

Pelupusan sisa sudah menjadi satu masalah terbesar bukan sahaja di negara ini, tetapi di seluruh dunia. Sisa dari negara maju dihantar ke negara sedang membangun untuk dilupus. Pada masa yang sama, Malaysia juga membangun perindustrian sendiri. Bandar-bandar yang sesak muncul dan berkembang. Teknologi insinerator dibawa masuk untuk menyelesaikan masalah sampah yang dijana dalam pembangunan pesat ini dengan membakarnya. Sisa-sisa yang terhasil daripada pembangunan telah dihantar ke kawasan luar bandar, tidak kira melalui saluran yang sah atau haram, umpamanya sisa dari negara maju dibuang ke negara sedang membangun. Amirudin pernah berkata dengan bangganya dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah tersebut, bahawa sebanyak enam pihak berkuasa tempatan bersetuju untuk menyerahkan sampah kepada insinerator di Jeram.

Kalau memerhati laporan penilaian alam sekitar (EIA) mengenai insinerator di Jeram, sisa pepejal dari bandar utama di Selangor seperti Petaling Jaya, Shah Alam, Ampang Jaya, Klang, Subang Jaya dan Selayang akan dihantar dan dibakar di sana. Ini merupakan perbuatan yang tidak adil kepada penduduk di Jeram dan Kapar, yang tinggal di kawasan kurang membangun.

Kebanyakan orang ingat penduduk di luar bandar menikmati udara yang lebih segar. Ini merupakan anggapan yang salah. Penduduk di Jeram dan Kapar dimangsakan dalam pembangunan sebegini. Sisa pepejal yang tidak terasing akan dibakar dan bahan bertoksik daripada pembakaran akan dilepas keluar ke atmosfera, seperti dioksin dan furan yang merupakan bahan yang paling berbahaya kepada umat manusia.

Negeri Selangor merupakan salah sebuah negeri yang paling maju, dan kerajaan negeri menguar-uarkan teknologi ini merupakan teknologi hijau yang canggih dan efisien. Kesatuan Eropah sudah mengecualikan insinerator dalam agenda kelestarian mereka pada tahun 2021. Salah satu sebab adalah proses pembakaran sisa dengan insinerator menghasilkan karbon yang tinggi, justeru merosakkan usaha pengurangan pelepasan karbon. 

Sepatutnya kerajaan negeri harus menumpukan usaha pengasingan sisa dan aplikasi 3R (Reduce – Reuse – Recycle) dalam model pembangunan, tetapi dengan pembinaan insinerator, usaha 3R tidak akan diberi perhatian memandangkan sisa yang boleh kitar semula akan disuap ke dalam insinerator, malah mempunyai kecenderungan untuk menghasilkan seberapa banyak sisa supaya dihantar untuk pembakaran, kononnya untuk penjanaan elektrik. 

Keghairahan kerajaan negeri untuk pembinaan insinerator harus dilupuskan. Walaupun ia merupakan satu solusi pelupusan sampah yang paling senang, tetapi ia memudaratkan alam sekitar dan kesihatan manusia. Marilah kita menjadi seorang umat manusia yang bertanggungjawab, tidak kira dari bandar atau luar bandar, berjuang bersama-sama untuk menolak projek sebegini!

==========

Brian Khow ialah anggota Unit Alam Sekitar PSM Kapar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *