(gambar arkib)

oleh Gandipan Nantha Gopalan

Tibalah masanya untuk Kerajaan Negeri Selangor untuk nyatakan pendirian mereka dalam isu projek pembinaan PJD Link (Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya). Laporan penilaian impak alam sekitar sepatutnya disediakan dan dikemukakan oleh syarikat PJD Link kepada Kerajaan Negeri Selangor sebelum 5 April 2023. Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Petaling Jaya hairan kenapa Kerajaan Negeri Selangor masih belum memaklumkan status terkini berkenaan isu ini kepada rakyat umum dan penduduk Petaling Jaya sehingga hari ini.

Kami mengesyaki bahawa memang adanya perkembangan-perkembangan terkini dalam isu PJD Link ini, namun hanya rakyat yang belum dimaklumkan lagi. Laporan terkini menyatakan syarikat PJD Link berjaya memperoleh pembiayaan sebanyak RM922 juta dan dapat menandatangani perjanjian utama dengan syarikat konglomerat kejuruteraan negara China. Apabila rakyat umum masih belum dimaklumkan lagi tentang status terkini, PSM tertanya-tanya siapakah dan apakah yang mendorong dan memberi keyakinan yang begitu besar kepada syarikat PJD Link untuk memperoleh pembiayaan yang cukup besar.

PSM Cawangan Petaling Jaya menggesa Kerajaan Kegeri Selangor untuk keluarkan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA), penilaian impak trafik (TIA) dan penilaian impak sosial bagi Projek PJD Link untuk paparan umum. Penduduk Petaling Jaya dan rakyat umum berhak mengetahui kandungan laporan-laporan tersebut supaya mereka boleh mengenali cara-cara pengendalian kajian dan impak projek ini terhadap kehidupan harian mereka. Ini juga membolehkan rakyat menyediakan bantahan jikalau didapati mempunyai manipulasi data atau fakta untuk memberi gambaran bahawa projek ini memberi manfaat kepada rakyat.

Kerajaan juga harus menerbitkan laporan tersebut dan menyatakan pendirian mereka kepada rakyat umum sebelum Pilihan Raya Negeri supaya isu ini tidak lagi dijadikan bahan politik oleh parti-parti politik untuk Pilihan Raya negeri yang akan datang. PSM Petaling Jaya juga berpendapat bahawa ADUN kawasan yang terlibat, yang juga merupakan EXCO Kerajaan Negeri Selangor, leka dan tidak serius dalam usaha menghentikan pembinaan PJD Link dan memaklumkan status terkini berkenaan isu ini kepada rakyat umum.

Projek-projek pembangunan dan infrastruktur tidak wajar diusahakan jikalau ia menyusahkan rakyat tempatan, membawa kesesakan jalan raya yang parah dan memberi impak negatif terhadap kelestarian alam sekitar. Pembinaan lebuh raya ialah satu kontradiksi yang besar dalam usaha sesebuah negara dalam membentuk satu ekonomi dan negara yang memberi kepentingan dalam isu alam sekitar.

PSM Petaling Jaya sentiasa berdiri teguh dan bersolidariti bersama usaha rakyat tempatan dalam membantah PJD Link.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Penyelaras PSM Cawangan Petaling Jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *