IPOH, PERAK – 10 JULAI 2023: Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong menyerahkan satu surat kepada Pejabat Menteri Besar Perak untuk menggesa Saarani Mohamad selaku Menteri Besar Perak supaya memberi perhatian kepada kritikan yang dikemukakan oleh masyarakat madani terhadap laporan kajian impak alam sekitar (EIA) mengenai projek ladang hutan di dalam Hutan Simpan Kledang Saiong, Daerah Kuala Kangsar, Perak.
Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong yang ditubuhkan oleh sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu untuk menyuarakan bantahan terhadap projek pembangunan ladang monokultur di kawasan seluas 4,280 hektar di dalam Hutan Simpan Kledang Saiong, telah melawat kampung-kampung yang berhampiran dengan projek tersebut dan meneliti laporan EIA yang disediakan oleh syarikat Chemsain Konsultant Sdn Bhd.
Penelitian Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong mendapati bahawa wujudnya banyak kesilapan dan andaian yang jauh daripada realiti dalam penilaian EIA mengenai projek ladang hutan di dalam Hutan Simpan Kledang Saiong. Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang telah mengetengahkan kritikannya terhadap laporan EIA tersebut kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada 12 April 2023. Pada hari ini, surat yang mengandungi kritikan tersebut turut diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar Perak dengan harapan bahawa pihak Kerajaan Negeri Perak boleh meluangkan masa untuk membaca dan mempertimbangkan kritikan yang dikemukakan oleh Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang.
Antara kritikan yang dikemukakan oleh Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang terhadap laporan EIA mengenai projek ladang hutan di dalam Hutan Simpan Kledang Saiong ialah jangkaan hakisan tanah yang diragui, risiko banjir yang tidak dipandang serius, kemungkinan mencetuskan konflik antara binatang liar dan masyarakat tempatan yang tidak diberi perhatian, kegagalan mengambil berat terhadap situasi Orang Asli Kampung Bukit Chermin, kehilangan biodiversiti yang diabaikan, dan sistem pemantauan dan pemulihan terhadap kesan negatif berkaitan pembangunan ladang hutan yang tidak realistik. (Baca selanjutnya kritikan yang dikemukakan oleh Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang di sini.)
“Pakar perunding yang dilantik untuk membuat EIA ini diupah oleh pihak pemaju, bukannya oleh Jabatan Alam Sekitar, bukannya oleh rakyat. Jadi, ia membuat cerita yang berpihak pada pemaju,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang turut hadir bersama semasa penyerahan surat oleh Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang. “Ada banyak andaian yang tidak masuk akal dan kesilapan dalam laporan EIA ini.”