Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong telah menganjurkan satu sesi perbincangan meja bulat mengenai penambahbaikan urus tadbir dan pengurusan hutan negara pada 27 Mei 2023 di Kuala Lumpur.

Berikut ialah kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong pada 27 Mei 2023 mengenai sesi perbincangan bulat tersebut:

==========

Perbincangan meja bulat ini diadakan untuk berbincang tentang cara-cara memantapkan pengurusan hutan di Malaysia. Pada masa ini,

  • Walaupun dilaporkan oleh pihak pentadbir bahawa 55% keluasan muka bumi Malaysia diliputi hutan, satu bahagian besar ditafsir sebagai Hutan Kerajaan (State Forest) dan Hutan Pengeluaran Kayu (Production Forest) yang boleh diluluskan untuk pembalakan.
  • Kuasa untuk mengeluarkan lesen/permit membalak adalah ditumpukan dalam tangan Menteri Besar. Menteri Besar juga ialah orang yang melantik Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri.
  • Walaupun dinyatakan bahawa kajian penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA) harus dilakukan sebelum kawasan hutan diluluskan untuk projek ladang hutan, mekanisme ini gagal melindungi hutan kerana perunding EIA biasanya berpihak pada pihak yang membayarnya – dalam kes ini, syarikat pembalakan.  
  • Kepentingan masyarakat Orang Asli tidak dilindungi dalam Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313). Oleh itu, kawasan hutan yang sangat berhampiran kampung-kampung Orang Asli pun sering diluluskan permit pembalakan ataupun ditukar kegunaan tanah kepada pertanian tanpa pengetahuan dan keizinan penduduk kampung Orang Asli terdekat.
  • Kebanyakan kawasan yang dibalak mengikut kaedah “cuci mangkok” atas alasan mewujudkan “ladang hutan” gagal dibangunkan sebagai ladang hutan. Syarikat yang diluluskan lesen menghilangkan diri selepas sapu untung daripada fasa pembalakan.
  • Pembalakan telah dan sedang menghancurkan kawasan tadahan air, menyebabkan pemasiran sungai dan banjir, mencetuskan banjir lumpur, memusnahkan habitat binatang liar, ramai yang diancam kepupusan, mencetuskan pertembungan antara binatang liar dan masyarakat luar bandar, menyusahkan kampung Orang Asli, menghancurkan biodiversiti negara dan mendatangkan banyak kesan negatif yang lain.

Antara perkara yang dibincang dalam mesyuarat Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong adalah langkah-langkah untuk mengendalikan kelemahan-kelemahan dalam sistem pengurusan hutan yang disenaraikan di atas, termasuk:

  1. Mengkaji balik pengelasan hutan simpanan kekal sebagai hutan pengeluaran. Menukar pengelasan sebahagian hutan pengeluaran kekal kepada hutan kawalan banjir, hutan tadahan air, hutan perlindungan hidupan liar dan hutan perlindungan yang lain.
  2. Mewujudkan mekanisme semak dan imbang bagi proses meluluskan lesen/permit membalak di peringkat setiap negeri. Jemaah yang ditubuhkan untuk tujuan ini harus bebas daripada pengaruh Menteri Besar dan Pengarah Perhutanan, dan mempunyai kuasa untuk merujuk sebarang projek pembalakan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibahas terlebih dahulu.
  3. Kuasa melantik pakar perunding EIA harus dipindahkan kepada Jabatan Alam Sekitar.
  4. Satu pengelasan baharu bagi hutan harus digubal dan kawasan hutan berdekatan kampung-kampung Orang Asli harus dikelaskan sebagai hutan komunal yang tidak boleh diluluskan untuk sebarang aktiviti komersial sehingga permohonan kampung itu untuk pewartaan tanah rizab Orang Asli diselesaikan.
  5. Moratorium terhadap Projek Ladang Hutan mesti dikuatkuasakan dan ianya harus merangkumi projek-projek yang diluluskan sebelum bulan Disember 2022 tetapi belum dilaksanakan.  
  6. Satu tabung pemulihan/pampasan harus diwujudkan di peringkat negeri dan pemegang lesen pembalakan harus membayar sebahagian pendapatan kasar mereka kepada tabung ini untuk menampung kos membersihkan sungai, membayar pampasan untuk kerosakan banjir ataupun serangan binatang liar.

Jawatankuasa penganjur sesi meja bulat ini akan mengemas kini senarai di atas dengan menyertakan syor-syor yang dikemukakan dalam sesi perbincangan meja bulat ini dan menyediakan satu Kertas Kerja yang akan diedarkan kepada semua NGO alam sekitar yang hadir untuk mengkomen dan memberikan poin tambahan sebelum menyerahkannya kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Adalah harapan kami bahawa usaha kami ini akan membantu dalam memantapkan sistem pengurusan hutan di Malaysia.  

==========

Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong dianggotai oleh organisasi-organisasi seperti Kinta Valley Watch, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Persatuan Ekologi Perak, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Parti Sosiais Malaysia (PSM). Jaringan ini ditubuhkan pada bulan Februari 2019 untuk memberi perhatian kepada projek-projek komersial di Banjaran Kledang, Perak.    

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *