(gambar arkib)

oleh Gandipan Nantha Gopalan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya PJD Link. Kejayaan ini adalah hasil titik peluh penduduk Petaling Jaya dan kesemua jaringan serta penduduk negeri Selangor yang lantang bersuara menentang projek PJD link ini.

Kredit kejayaan ini hanyalah kepada para penduduk dan aktivis, bukan kepada ADUN atau Kerajaan Negeri Pakatan Harapan. Hal ini demikian kerana, walaupun lebih 88.6% rakyat telah menyatakan bantahan terhadap projek PJD Link ini, namun kita dapati Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor masih memberi kenyataan baru-baru ini (14 Julai di BFM) seolah-olah tidak bersedia untuk membatalkan projek PJD Link ini. Laporan penilaian impak alam sekitar (Environmental Impact Assessment – EIA) pula telahpun disediakan dan dikemukakan oleh syarikat PJD Link kepada kerajaan negeri sebelum 5 April 2023. Mengapakah keputusan ini tidak diambil selepas menerima laporan EIA? Apa yang telah bertukar sekarang?

Keputusan ini memberi gambaran seolah-olah ia hanya diambil untuk memungut mata politik semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ini. Walaupun PJD Link telah dibatalkan, namun juga ada peluang untuk syarikat besar ini untuk memberi tekanan melalui anak syarikat atau syarikat lain kepada kerajaan negeri pada masa yang akan datang. Parti Sosialis Malaysia ingin mengetengahkan beberapa tuntutan seperti berikut:

  1. Kerajaan negeri yang akan datang harus menghormati mandat rakyat dan keputusan rakyat untuk membantah projek lebuh raya. Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Pusat harus memberi komitmen untuk tidak melayan sebarang cadangan daripada syarikat-syarikat swasta, diikuti dengan moratorium untuk pembinaan lebuh raya yang baharu di kawasan Lembah Klang.
  • Kerajaan Negeri Selangor harus mengeluarkan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA), penilaian impak trafik (TIA) dan penilaian impak sosial untuk Projek PJD Link untuk paparan umum. Kerajaan negeri tidak patut mengklasifikasikan perjanjian konsesi pembangunan penting yang menjejaskan kesejahteraan rakyat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA); rakyat berhak mengetahui dan mengakses kandungan dokumen kerana ini hak demokrasi kita.
  • Kerajaan negeri harus komited dalam menyediakan satu pelan pengangkutan awam yang baharu dan komprehensif sebagai usaha mengurangkan kesesakan jalan raya dan meringankan beban ekonomi rakyat. Pelan ini harus fokus kawasan seluruh Lembah Klang, terutamanya Bandar Utama, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong. Bilangan bas harus ditingkatkan dan jangka masa tunggu untuk bas harus dikurangkan. Kerajaan pusat harus menyokong inisiatif ini dari segi kewangan jikalau Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai kapasiti dari segi kos untuk merealisasikan pelan tersebut.

PSM telah lama berpendapat bahawa ADUN kawasan-kawasan yang terlibat dalam PJD Link, yang juga merupakan Ahli EXCO kerajaan negeri, leka dan tidak serius dalam usaha menghentikan pembinaan PJD Link. ADUN-ADUN yang telah berdiam diri dan tidak bersedia untuk melawan arus dalam menentang kerajaan negeri bagi membantah projek lebuh raya yang dicadangkan tidak layak untuk dipilih semula dalam pilihan raya ini. Rakyat harus berfikir tentang cara kerajaan negeri mengendalikan projek ini sebelum pergi ke peti undi.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah PSM Petaling Jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *