KUALA LUMPUR: Penduduk-penduduk dari kawasan perkampungan di Jalan Felcra Semungkis, Hulu Langat, Selangor, mengadakan aksi protes pada 7 Jun 2023 di hadapan ibu pejabat Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB), syarikat induk kepada kepada pemaju Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE), untuk mengetengahkan masalah banjir yang sering berlaku sejak bermulanya pembinaan lebuh raya EKVE pada tahun 2017 dan menuntut penyelesaian segera.

Lebih kurang 30 orang penduduk dari Perkampungan Jalan Felcra Semungkis berprotes di hadapan Menara AZRB dan menyerahkan memorandum kepada wakil syarikat AZRB. Turut hadir bersolidariti dengan penduduk-penduduk kampung yang dibelenggu masalah banjir ini ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Penduduk-penduduk di Perkampungan Jalan Felcra Semungkis, Sungai Gahal, Hulu Langat, Selangor, telah menghuni di kawasan tersebut sejak 30 tahun yang lalu dengan kehidupan yang agak harmoni dan sejahtera. Terdapat lebih kurang 200 buah keluarga tinggal di perkampungan ini. Namun, kehidupan mereka telah terganggu dan mengalami mimpi ngeri kerana sering kali berdepan dengan masalah banjir lumpur yang mengancam keselamatan penduduk di situ sejak tahun 2017, apabila projek pembinaan lebuh raya EKVE bermula di situ.

Pembinaan lebuh raya EKVE merentasi kawasan jajaran Hutan Simpan Kekal Hulu Langat. Aktiviti penggondolan dan penerokaan di kawasan Hutan Simpan Kekal telah bermula sejak tahun 2015. Pembinaan lebuh raya EKVE telah mendatangkan banyak kesan buruk kepada kelestarian ekologi di situ, dengan memusnahkan ekosistem dan habitat asal di situ. Secara tidak langsung, pembinaan lebih raya EKVE telah mengganggu ketenagan hidup sebahagian komuniti penduduk yang sudah lama menghuni di situ. Hakisan tanah dan banjir berlaku apabila hujan turun dengan lebat di kawasan bukit di situ. Limpahan air lumpur yang luar kawalan dari kawasan bukit akan memasuki kawasan perkampungan melalui jalan-jalan baharu yang dibuka semasa pelaksanaan projek pembinaan lebuh raya, sehingga menenggelamkan sebahagian rumah penduduk dengan air bercampur kelodak lumpur yang pekat, di samping menghanyutkan sampah-sampah hutan dan binatang-binatang berbisa.

Air dari tapak projek pembinaan lebuh raya EKVE mengalir ke bawah melalui pembetung yang dibina oleh pihak pemaju dari atas bukit.

Penduduk-penduduk di Perkampungan Jalan Felcra Semungkis terpaksa hidup di bawah bayangan ancaman banjir sejak tahun 2017. Pada tahun 2022, berlakunya kejadian banjir sebanyak 7 kali di situ. Insiden banjir yang terbaru di situ berlaku pada 21 April 2023. Penduduk-penduduk kampung di situ sudah tidak boleh lagi tahan dengan ancaman banjir yang berterusan ini.

Kejadian banjir yang berterusan ini telah membawa penderitaan yang berpanjangan kepada penduduk-penduduk setempat. Keperitan hidup dan perasan trauma sering kali menghantui penduduk-penduduk kampung apabila awan mendung yang menunjukkan bahawa hujan akan turun, meskipun itu hanyalah petanda semata-mata, namun penduduk-penduduk kampung tidak dapat melelapkan mata walaupun seketika apabila keadaan sebegini berlaku.

Sebelum ini, penduduk-penduduk kampung di situ pernah mengadakan beberapa mesyuarat dengan pihak pemaju EKVE, tetapi langkah-langkah penyelesaian yang diambil oleh pihak pemaju amat mendukacitakan.

Oleh yang demikian, penduduk-penduduk di Perkampungan Jalan Felcra Semungkis berpakat secara bersama-sama untuk menyerahkan memorandum kepada syarikat AZRB selaku syarikat induk kepada EKVE Sdn Bhd supaya pihak syarikat pemaju dan penyelenggara lebuh raya EKVE mengambil tindakan segera demi menyelesaikan segala masalah yang membelenggui penduduk-penduduk kampung akibat daripada pembinaan lebuh raya EKVE, serta mengembalikan semula kehidupan tenang yang pernah dinikmati oleh penduduk-penduduk kampung di situ.

Tuntutan-tuntutan yang dikemulakan oleh penduduk-penduduk di Perkampungan Jalan Felcra Semungkis kepada pihak pemaju lebuh raya EKVE ialah:

  • Pihak pemaju harus mengamalkan pendekatan komunikasi yang terbuka dan telus. Pihak pemaju harus memikul sepenuhnya tanggungjawab menjamin keselamatan penduduk setempat melalui penglibatan penduduk dalam perbincangan dan harus mencapai persetujuan bersama dalam melaksanakan sesuatu tindakan.
  • Membayar pampasan yang setimpal terhadap kerosakan dan kemusnahan harta benda persendirian, serta pampasan terhadap kesusahan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh setiap penduduk yang terlibat, berdasarkan kerugian yang dialami dan kesan daripada banjir yang berlaku dari tahun 2017 hingga 2023.
  • Membayar pampasan terhadap kemusnahan dan kerosakan infrastruktur kampung seperti mendapan tanah jalan raya kampung dan jalan berlubang, runtuhan tebing jalan dan runtuhan tembok konkrit di sepanjang laluan longkang. Ini termasuk segala kos pembaikan yang terpaksa dilakukan oleh penduduk kampung, seperti pembaikan paip-paip air yang musnah semasa projek dijalankan di peringkat awalnya.
  • Membaiki semula semua kemusnahan infrastuktur kampung yang belum dibaiki dan sumber takungan air bukit yang tercemar akibat kerja-kerja memecah tanah di kawasan pembinaan lebuh raya.
  • Menandakan dengan jelas had sempadan keselamatan yang telah ditentukan oleh kerajaan dengan menggunakan pagar “zon penampan” untuk pengetahuan semua pihak yang terlibat, termasuk penduduk kampung, dan menguatkuasakan had sempadan. Ini termasuk kawasan yang melibatkan tanah persendirian penduduk. Penandaan ini perlu dibuat kerana ia melibatkan keselamatan penduduk dan had tanggungjawab insurans.
  • Pihak pemaju perlu menyediakan pelan pengurusan bencana dengan penglibatan penduduk kampung ,termasuk menyediakan latihan dan talian hotline.
  • Bekerjasama dengan pihak kerajaan, NGO dan pakar-pakar hidupan liar untuk menyediakan pelan pengurusan hidupan liar dan pelan pemantauan. Mematuhi pelan pengurusan hidupan liar dan menghantar laporan berkala kepada agensi yang berkaitan.
  • Memberikan laporan dan data pemantauan projek secara berkala serta menjalankan “community engagement” yang berterusan untuk mengatasi masalah yang timbul mengikut kekerapan yang dipersetujui oleh penduduk kampung.
  • Pihak Pemaju hendaklah membuat aku janji bertulis terhadap semua perkara yang dinyatakan seperti di atas

Penduduk-penduduk di Perkampungan Jalan Felcra Semungkis mengharapkan penyelesaian secara menyeluruh untuk menangani segala kesan sosial dan ekonomi yang dialami oleh mereka akibat daripada pembinaan lebuh raya EKVE. Penduduk-penduduk kampung tidak mahu lagi banjir terus berlaku. Mereka mahukan jaminan keselamatan dan ketenangan hidup mereka sahaja.

“Kami bukan menentang pembangunan tetapi seharusnya pembangunan itu perlu mengambil kira kesan dari segala aspek keselamatan jangka Panjang, kerana pembangunan itu seharusnya melestarikan kehidupan,” begitu katanya memorandum daripada penduduk-penduduk di Perkampungan Jalan Felcra Semungkis yang ditujukan kepada syarikat AZRB.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *