PUTRAJAYA: Wakil-wakil daripada Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong telah mengadakan satu perjumpaan dengan pegawai-pegawai daripada Jabatan Alam Sekitar di Putrajaya pada 10 Oktober 2023 untuk membincangkan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) mengenai projek ladang hutan di dalam Hutan Simpan Kledang Saiong, Daerah Kuala Kangsar, Perak, yang telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar baru-baru ini.

Mereka yang menghadiri pertemuan semalam termasuk Dr. Jeyakumar Devaraj yang merupakan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), Meor Razak daripada Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Mohd Tarmizi selaku wakil penduduk Kampung Rambai Tujuh di Daerah Kuala Kangsar. Jabatan Alam Sekitar diwakili oleh Mashitah Binti Darus selaku Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) di jabatan tersebut.

Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong telah sekali lagi menyatakan kerisauannya terhadap projek ladang hutang di kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong yang boleh membawa kesan buruk yang serius, seperti masalah banjir, kemusnahan habitat hidupan liar, pencerobohan haiwan liar ke dalam kawasan perkampungan berdekatan dan kehilangan pendapatan yang akan dialami oleh masyarakat Orang Asli di situ. Rancangan projek tersebut akan menukar kawasan hutan sebesar 6,000 buah padang bola sepak kepada ladang hutan untuk dibalak.

Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong mengesyor kepada Jabatan Alam Sekitar agar mengenakan pencaruman daripada 4 buah syarikat yang terlibat dalam projek ladang hutan untuk digunakan sebagai dana yang membayar ganti rugi kepada penduduk-penduduk yang terjejas oleh kerana banjir dan gangguan haiwan liar akibat daripada penebangan pokok. Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong juga menggesa supaya aktiviti pengambilan pasir yang berhampiran dengan sungai dipantau dan dikawal dengan rapi.

“Masyarakat Orang Asli merupakan komuniti yang paling terjejas kerana rancangan ini,” kata Dr. Jeyakumar. “Kami berharap Jabatan Alam Sekitar akan memastikan penyelesaian yang baik untuk isu kumbahan oleh 300 orang pekerja yang akan terlibat dalam projek ini supaya ia tidak mencemari sungai yang menjadi punca air kampung di bahagian hilir Sungai.”

Mohd Tarmizi dari Kampung Rambai Tujuh mengadu bahawa projek pembalakan selektif yang berjalan di kawasan berhampiran hutan sudah mencemari sungai berdekatan dan menyebabkan banjir, apatah lagi pembalakan yang melibatkan keluasan kawasan hutan yang begitu besar. Penduduk-penduduk dari Kampung Rambai Tujuh akan membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar dengan harapan pihak berkuasa akan mengkaji semula rancangan ini.

Walaupun pihak Jabatan Alam Sekitar tmenyatakan bahawa banyak perkara yang dicadangkan oleh Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong bukan dalam bidang kuasa mereka, Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong masih berharap agar pihak kerajaan akan berusaha sebaik mungkin untuk menghentikan rancangan ini. Perkara seperti ganti rugi mungkin akan dimasukkan ke dalam laporan kajian impak sosial (SIA) yang belum lagi dimulakan.

Sebelum ini, Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong telah mengetengahkan kelemahan-kelemahan yang wujud dalam laporan EIA kepada perhatian Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Menteri Besar Perak. Namun, Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan laporan EIA tersebut dengan syarat-syarat tertentu. Oleh itu, Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong menegaskan bahawa apa-apa syarat kelulusan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar itu harus dapat mengurangkan kesan buruk dan mengendalikan segala masalah yang timbul daripada projek ladang hutang tersebut.

Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong bertekad untuk meneruskan bantahan terhadap projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong yang memudaratkan alam sekitar dan kehidupan penduduk setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *