(foto: Wong Chiew Kung / ECO Sustainable Resources)

Pembakaran sisa-ke-tenaga (waste-to-energy atau dengan singkatannya WtE), yang sering diangkat sebagai penyelesaian kepada masalah sisa buangan yang tidak boleh dikitar semula dan penjana tenaga hijau, sebenarnya hanya sesuatu yang membazirkan tenaga dan berbahaya kepada alam sekitar. Walaupun menukarkan sisa plastik yang tidak dapat dikitar semula ke dalam tenaga itu sesuatu yang sedap didengar secara luarannya, loji pembakaran sisa-ke-tenaga hanya akan mengakibatkan lebih banyak pencemaran dan menangguhkan usaha peralihan yang diperlukan untuk sebuah ekonomi kitaran. Perkara ini telah dibongkarkan dan dikupas selanjutnya dalam sebuah simposium yang diadakan di Kuala Lumpur pada 27 Januari 2024.

Bersempena Bulan Sisa Sifar Antarabangsa 2024, simposium dengan tema “Membongkar Pembakaran Sisa-ke-Tenaga” (Debunking Waste-To-Energy Incineration) telah diadakan di Kuala Lumpur pada 27 Januari 2024, anjuran bersama Global Alliance for Incinerator Alternatives (GAIA), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM). Organisasi-organisasi penganjur simposium ini merupakan badan-badan bukan kerajaan yang mengusahakan isu-isu alam sekitar dan keadilan sosial. CAP dan SAM merupakan ahli kepada GAIA, sebuah jaringan kumpulan masyarakat yang mewakili lebih 1,000 buah organisasi dari 92 buah negara yang memperjuangkan visi sebuah dunia yang adil dan bebas-toksik tanpa pembakaran.  

“Tahun 2023 menandakan ulang tahun ke-20 penglibatan CAP, SAM dan GAIA dalam usaha mempromosi sisa sifar dan menyokong protes komuniti menentang pembinaan loji pembakaran sisa-ke-tenaga (WtE) di Semenanjung Malaysia, sejak persidangan Waste Not Asia pada tahun 2003 di Pulau Pinang, memperkasakan komuniti yang terjejas oleh rancangan loji pembakaran sisa pepejal sisa-ke-tenaga yang pertama di Broga-Semenyih, Selangor, sehingga ke komuniti yang terjejas oleh rancangan pembinaan loji sisa-ke-tenaga Sultan Idris Shah di Taman Eko Tenaga Hijau Selangor (SGEEP) di kawasan Batu Arang/Bandar Tasik Puteri di Rawang, Selangor,” kata Yuenmei Wong, seorang penyelidik bebas dan perunding feminis yang prihatin pada isu kesamarataan gender, keadilan alam sekitar, perubahan iklim dan perburuhan, dan merupakan Penganjur Simposium “Membongkar Pembakaran Sisa-ke-Tenaga”.

“GAIA pada masa ini sedang menyelaraskan Projek Bandar-bandar Sisa Sifar – satu kerjasama antara 15 buah organisasi yang melaksanakan program-program sisa sifar di lebih 20 buah bandar di Filipina, Indonesia, Malaysia, Vietnam dan India, termasuk Projek Pulau Sisa Sifar (Zero Waste Island Project) yang dibiayai oleh Blue Partnership Action Fund (BPAF), sebuah gerakan global yang dianggotai lebih 1,600 buah organisasi, dengan visi sebuah masa hadapan yang bebas daripada pencemaran plastik,” begitu katanya Froilan Grate, Penyelaras Serantau GAIA Asia Pasifik dalam ucaptamanya.

(foto: Wong Chiew Kung / ECO Sustainable Resources)

“Kenapa membongkarkan pembakaran sisa-ke-tenaga ini penting dan kritikal untuk Malaysia pada awal tahun 2024?” Yuenmei Wong yang merupakan Penganjur Simposium mengemukakan persoalan ini. “Pada 14 Disember 2022, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menerima Resolusi 77/161 dengan tajuk ‘Mempromosi inisiatif-inisiatif sisa-sifar untuk memajukan Agenda untuk Pembangunan Lestari 2030’ dalam sidangnya yang ke-77 untuk mengangkat Sisa Sifar demi mewujudkan perubahan asas dalam bagaimana masyarakat mengeluarkan serta menggunakan barangan dan perkhidmatan, menangani punca asas untuk menamatkan krisis sisa. Resolusi PBB 77/161 bertujuan untuk menggalakkan corak penggunaan dan pengeluaran yang mampan, menyokong peralihan masyarakat ke arah pengitaran dan meningkatkan kesedaran tentang bagaimana inisiatif-inisiatif sisa-sifar menyumbang kepada memajukan Agenda untuk Pembangunan Lestari 2030.”

Dalam mesyuarat peringkat tinggi mengenai “Peranan Sisa Sifat Sebagai Penyelesaian Transformatif Dalam Mencapai SDG (Matlamat Pembangunan Lestari)” yang diadakan pada 30 Mac 2023 di New York, Sofian Akmal Abd Karim, Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, mengulangi komitmen Malaysia untuk menerima model ekonomi kitaran dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan Dasar Kebersihan Negara 2019, di mana pengurusan sisa pepejal akan diperkukuhkan untuk memastikan pematuhan piawaian sedia ada yang ditetapkan oleh kerajaan-kerajaan tempatan, negeri dan Persekutuan. “Sisa akan diuruskan secara holistik dan lestari dengan mempergiatkan inisiatif kurangkan, guna semula dan kitar semula (3R). Kemudahan pengasingan dan kitar semula sisa domestik akan ditingkatkan untuk menyokong inisiatif ini, khususnya di kawasan-kawasan kediaman, institusi dan komersial,” begitu katanya.

Yuenmei Wong menjelaskan bahawa sebelum Resolusi 77/161 Perhimpunan Agung PBB lagi, Kesatuan Eropah (EU) telah menarik balik sokongan kewangan kepada pembinaan loji pembakaran WtE kerana masalah pelepasan gas karbon dioksida:

  • Pada tahun 2017, EU menggesa untuk mengharamkan pelaburan dalam WtE dan perubahan cukai dalam EU mengeluarkan sokongan awam untuk pelaburan WtE.
  • Pada tahun 2018, Garis Panduan Pelaburan Kewangan Mampan untuk Bank Pelaburan Eropah mengecualikan WtE sebagai pelaburan yang boleh diterima.
  • Pada tahun 2019, Tawaran Hijau Eropah (European Green Deal) yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Eropah mengkehendakkan pengurangan sisa, peningkatan tahap pengitaran semula dan pemeliharaan hak pembaikan (pembaikan untuk penggunaan semula).
  • Pada tahun 2020, Peraturan Taksonomi EU 2020 mengeluarkan loji pembakaran WtE daripada takrifan mampan alam sekitar dan menafikan loji pembakaran sebagai aktiviti ekonomi kitaran. Pelan Tindakan Iklim Biro Alam Sekitar Eropah menerima pakai pelan tindakan ekonomi kitaran baharu (CEAP) dan menggesa untuk menamatkan WtE menjelang tahun 2040.
  • Pada tahun 2020, Parlimen Eropah memasukkan loji pembakaran perbandaran dalam skop Skim Perdagangan Perlepasan EU (ETS), yang menetapkan harga untuk pelepasan karbon dioksida daripada loji pembakaran sisa perbandaran sehingga tahun 2026.

“Sejajar dengan tema Bulan Sisa Sifar Antarabangsa, Simposium ini didedikasikan untuk mendedahkan dan membongkarkan penyelesaian yang palsu. Simposium ini menjadi platform untuk penyelidik-penyelidik, aktivis-aktivis dan badan-badan bukan kerajaan untuk mengumpul analisis keadaan dan pengetahuan terkini mengenai pembakaran sisa-ke-tenaga dari negara-negara utama di Asia Pasifik, iaitu China, Jepun, Indonesia, Filipina, Malaysia, Australia dan perkongsian pengalaman Eropah Sisa Sifar (Zero Waste Europe),” ulas Yuenmei Wong.

(foto: Wong Chiew Kung / ECO Sustainable Resources)

Dalam ucaptamanya, Timo Goosmann, Kaunselor dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Politik, Akhbar dan Maklumat bagi Perwakilan Kesatuan Eropah ke Malaysia, mengatakan bahawa Tawaran Hijau Eropah yang mengandungi 165 buah perundangan dan garis panduan merupakan satu kerangka perundangan yang kompleks di mana memerlukan bukan sahaja pematuhan pada undang-undang tetapi juga perubahan minda dan tingkah laku (dalam mencapai sebuah masa hadapan yang sisa sifar).

Albrecht Arthur N. Arevalo, Penggerak Kempen Iklim dan Anti-Insinerator GAIA Asia Pasifik, mengemukakan banyak bukti mengenai kesan loji pembakaran sisa terhadap manusia dan alam sekitar di rantau Asia Pasifik. Dr. Jorge Emmanuel yang mengajar Sains Alam Sekitar dan Kejuruteraan di Universiti Silliman di Dumaguete, Filipina, menekakan kepentingan mekanisme antarabangsa, pengukuran dan garis panduan untuk peraturan pembakaran sisa, di samping mengetengahkan prosedur-prosedur primer dan sekuder dalam Konvensyen Stockholm yang turut ditandatangani oleh Malaysia.

Dalam pembentangannya mengenai situasi di Malaysia, Yuenmei Wong mengatakan bahawa undang-undang yang terhad di Malaysia memberi tumpuan kepada pengurusan sisa, termasuk pengumpulan, pelupusan dan keperluan kemudahan, tetapi kekurangan penguatkuasaan terhadap pengurangan sisa daripada pengekstrakan sumber. Walaupun loji pembakaran sisa yang pertama dengan teknologi pengegasan lapisan terbendalir dan sistem pencairan abu di Broga, Semenyih, telah dibatalkan pada tahun 2006 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada masa itu, Majlis Perbandaran Kajang memulakan loji Bahan Api Terbitan Bahan Buangan (RDF) di Kampung Pasir Baru di Semenyih, akhirnya ditutup secara kekal pada tahun 2015 selepas 9 tahun yang penuh dengan aduan awam tentang pencemaran alam sekitar yang dibawanya. Antara tahun 2021 dan 2022, Kabinet telah meluluskan pembinaan 7 buah loji pembakaran WtE yang ditenderkan oleh Kementerian di negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan 6 buah loji pembakaran WtE dengan kapasiti pembakaran 9,000 tan sisa pepejal perbandaran dan 100 tan sisa terjadual di utara Selangor.

Abdul Ghofar, Pengurus Kempen untuk Pencemaran dan Keadilan Bandar di Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI), berkata organisasinya telah mengenal pasti komuniti-komuniti yang terjejas oleh projek-projek WtE di 12 buah bandar di Indonesia, dan 3 buah bandar telah membatalkan projek yang dirancang kerana tekanan hebat daripada orang awam, protes-protes komuniti dan potensi kerugian kewangan.

Ninya Sarmiento, penggerak kempen untuk Projek Filipina Bebas Plastik bagi EcoWaste Coalition, berkata bahawa mereka mendapati ahli-ahli politik di Filipina sedang melobi untuk menghalalkan pembakaran sisa walaupun terdapat larangan terhadap pembakaran sisa secara umum pada tahun 1999 dan pembakaran sisa perubatan pada tahun 2003.

Li Jiacheng, seorang penyelidik daripada Wuhu Ecology Centre di China berkata bahawa negara China memerlukan dasar penyeragaman dan penakrifan semula pembakaran sisa-ke-tenaga (WtE). Loji pembakaran WtE telah meningkat dengan ketara daripada 130 buah pada tahun 2011 kepada 927 buah pada penghujung tahun 2022. Walau bagaimanapun, lebih 40 buah Gerakan “Bukan Di Belakang Halaman Rumah Saya” (Not In My Backyard, atau dengan singkatan NIMBY) sepanjang satu dekad yang lalu telah memaksa kerajaan China untuk menambah baik peraturan-peraturan mengenai pembakaran sisa-ke-tenaga. “Apabila kebanyakan bandar besar China menguatkuasakan pengasingan sisa mandatori, data operasi daripada loji-loji pembakaran sisa-ke-tenaga antara tahun 2020 dan 2023 mendedahkan bahawa ‘pemberhentian terancang’ sering berlaku,” kata Li Jiacheng. Menurut kajian terhadap 29 buah pentadbiran peringkat wilayah di China, angka lebihan kapasiti negara untuk tahun 2022 adalah 100.99%, dengan lebihan kapasiti dijumpai di 12 buah pentadbiran.

Yuichiro Hattori, seorang penyelidik dan pegawai pengurusan sisa pepejal di Jepun, mengetengahkan bahawa walaupun Jepun terlampau bergantung pada pembakaran sisa-ke-tenaga (WtE) dan menjejaskan usaha pengitaran semula, adalah didapati bahawa pembakaran WtE hanya menyumbang kira-kira 3% dalam grid elektrik negara itu. Ditambah dengan keperluan untuk pematuhan piawaian alam sekitar yang tinggi, WtE telah menjadi sebuah industri yang kurang kos-efektif. Dalam abad yang lalu, banyak loji pembakaran WtE telah ditutup dan dikurangkan daripada 1,965 buah loji pembakaran WtE pada tahun 1975 kepada 1,028 buah loji pembakaran WtE pada tahun 2024.

Jane Bremmer, Penyelaras Kempen Toxics Free Australia, melaporkan tentang kemunduran dalam pengurangan sisa di Australia. “Pada ambang sebelum rundingan untuk sebuah Perjanjian Plastik global yang baharu, Menteri Alam Sekitar Australia telah memutuskan untuk membuka semula pengeksportan sisa plastik selepas kerajaan persekutuan sebelum ini memperkenalkan larangan lima-tahun. Larangan pada tahun 2019 terhadap eksport sisa dibuat sebagai respon terhadap pendedahan negara China dan negara-negara Asia Tenggara kepada lambakan sisa,” kata Jane Bremmer.

Janek Vahk, Pengurus Dasar Pencemaran Sifar bagi Zero Waste Europe, mengatakan bahawa sejak tahun 2015, EU telah mengeluarkan pembakaran WtE daripada sokongan kewangan dan mengalihkan keutamaan kepada pengurangan sisa. Janek Vahk berharap rantau Asia Pasifik atau Malaysia tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh Eropah sebelum ini dengan membenarkan loji pembakaran WtE.

Dalam sidang akhbar yang diadakan bersempena Simposium “Membongkar Pembakaran Sisa-keTenaga”, Yuenmei Wong selaku penganjur simposium menyeru pada kerajaan Malaysia dan ASEAN untuk mengamalkan dasar sisa sifar, menguatkuasakan pengurangan sisa dalam masa terdekat, menyemak semula semua dasar-dasar awam yang berkaitan untuk memastikan penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, serta membatalkan semua cadangan atau rancangan pembakaran WtE.

Dalam ucapan penutupnya, Yuenmei Wong, menyatakan penghargaannya kepada organisasi-organisasi yang terlibat dalam penganjuran simposium ini, iaitu GAIA, CAP dan SAM, kerana tidak pernah berputus asa pada komuniti yang terjejas oleh loji pembakaran WtE di negara kita dan rantau ini. “Untuk meneruskan perjuangan ini, anda tidak bersendirian,” begitu katanya Froilan Grate, Penyelaras Serantau bagi GAIA Asia Pasifik semasa menggulungkan simposium ini.

==========

Diterjemah daripada tulisan asal dalam Bahasa Inggeris oleh Yuenmei Wong di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *