
“Masyarakat terbelah kepada dua: mereka yang tidak memiliki apa-apa bersatu dalam iri hati bersama, mereka yang memiliki segalanya bersatu dalam ketakutan bersama,” begitu tulisnya Alexis de Tocqueville (1805-1859), seorang ahli Dewan Perwakilan Perancis yang berfahaman liberal dan takut pada sosialisme, dalam jurnal peribadinya pada tahun 1848. Tocqueville juga berkata dalam Dewan Perwakilan Perancis pada bulan Januari 1848, “Kita sedang duduk di atas gunung berapi… Angin revolusi bertiup, ribut di kaki langit.”
Alexis de Tocqueville berkata demikian untuk memberi amaran kepada ahli-ahli politik yang lain di Perancis pada masa itu bahawa wujudnya ancaman perjuangan kelas yang boleh menggugat kekuasaan elit pemerintah dan membawa perubahan revolusioner yang boleh mengubah seluruh struktur masyarakat. Beberapa minggu selepas Tocqueville memberi amaran tentang gunung berapi yang tidak tahu bila ia akan meletup itu, pada 21 Februari 1848, “Manifesto Komunis” yang ditulis dalam bahasa Jerman oleh Karl Marx (1818-1883) dan Friedrich Engels (1820-1895), diterbitkan di London, Britain, dengan mukadimahnya berkata, “Seekor hantu sedang berkeliaran di Eropah – hantu komunisme. Semua kuasa Eropah lama telah memasuki sebuah perikatan suci untuk mengusir hantu ini: Paus dan Tsar, Metternich dan Guizot, Radikal Perancis dan perisik polis Jerman. Di manakah parti pembangkang yang tidak dituduh sebagai komunis oleh pihak lawannya yang berkuasa? Di manakah pembangkang yang tidak melemparkan balik kecaman komunisme terhadap parti-parti pembangkang yang lebih maju, serta musuhnya yang reaksioner?”
“Zaman kita, zaman borjuasi, bagaimanapun, mempunyai ciri yang tersendiri ini: ia telah memudahkan pertentangan kelas. Seluruh masyarakat semakin hari semakin berpecah kepada dua pihak besar yang bermusuhan, ke dalam dua buah kelas besar yang saling bertentangan secara langsung – Borjuasi dan Proletariat,” begitu tulisnya Manifesto Komunis yang membawa idea-idea untuk kelas pekerja (atau golongan proletar) bangkit menjatuhkan pemerintahan kelas kapitalis (atau golongan borjuis) dan menghapuskan sistem pemilikan harta persendirian borjuis yang berasaskan eksploitasi tenaga buruh. “Golongan proletar tidak akan hilang apa-apa selain rantai mereka. Mereka mempunyai sebuah dunia untuk dimenangi. Pekerja-pekerja semua negara, bersatulah!”

Bukannya satu kebetulan untuk pandangan Alexis de Tocqueville dan Manifesto Komunis dikemukakan pada tahun yang sama. Kedua-dua pandangan Tocqueville dan Manifesto Komunis telah menawarkan analisis yang hampir sama tentang masyarakat Eropah pada masa itu, walaupun daripada perspektif spektrum politik yang sangat berbeza. Tahun 1848, iaitu tahun apabila Alexis de Tocqueville bercakap tentang gunung berapi dan Manifesto Komunis berhujah tentang “hantu komunisme”, merupakan salah satu tahun yang luar biasa dalam sejarah moden. Apabila “gunung berapi” itu meletup, bara revolusi yang hebat menular dari Paris di barat ke Budapest di timur, dari Palermo di selatan ke Berlin di utara.
Pada zaman rejim pemerintahan Eropah masih dikuasai sepenuhnya oleh golongan konservatif yang mewujudkan “Konsert Eropah” (iaitu keseimbangan antara kuasa-kuasa besar Eropah) selepas tamatnya Perang Napoleon (1803-1815) dan Revolusi Perindustrian masih pada peringkat awalnya di banyak tempat, mungkin “ancaman komunisme” tidak begitu ketara seperti yang ditakuti oleh golongan berkuasa sementara gerakan kelas pekerja yang dipengaruhi fahaman “komunisme” itu masih dalam peringkat embrio, tetapi kontradiksi-kontradiksi sosioekonomi yang wujud dalam kapitalisme dan ketidakadilan sosial yang berkaitan rapat dengannya telah mewujudkan keadaan baharu yang mencetuskan perjuangan kelas yang lebih hebat.
Marx dan Engels menulis dalam Manifesto Komunis, “Orang yang menindas dan orang yang ditindas, sentiasa berada di kedudukan bertentangan antara satu sama lain, melakukan perjuangan secara berterusan tanpa putus-putusnya, kadang-kadang secara tersembunyi, kadang-kadang secara terang-terangan, satu perjuangan yang setiap kalinya akan berakhir dengan sama ada seluruh masyarakat diubah secara revolusi ataupun kelas-kelas yang bermusuhan musnah secara bersama-sama.”

Eropah menjelang tahun 1848
Selepas kejatuhan Empayar Perancis Pertama (1804-1815), dominasi terhadap rantau Eropah dibahagikan antara lima buah kuasa besar: Austria, Britain, Perancis, Prusia dan Rusia. Imbangan kuasa antara kuasa-kuasa besar itu dijamin oleh doktrin politik “Konsert Eropah” yang dicapai dalam persetujuan Kongres Vienna pada tahun 1814-1815. Inilah wajah “dunia multipolar” pada abad ke-19.
Penumpasan Napoleon Bonaparte oleh kekuasaan Eropah Lama pada tahun 1814-1815 dan pemulihan Dinasti Bourbon di Perancis tidak dapat mengembalikan lagi Ancien Régime (Rejim Lama), kerana “revolusi berdua” pada masa itu, iaitu revolusi borjuis Perancis dan revolusi perindustrian British, telah mewujudkan transformasi yang tidak dapat diterbalikkan untuk masyarakat manusia di peringkat global. Hasil daripada revolusi berdua di Eropah itu, kelas borjuis, sebuah kelas pemilik harta yang mengumpul kekayaan melalui perdagangan dan eksploitasi buruh, semakin berpengaruh dari segi ekonomi dan politik. Mereka tidak mahu mengembalikan susunan Ancien Régime yang didominasi oleh raja berkuasa mutlak, bangsawan dan uskup gereja.
Tambahan pula, wujudnya tekanan geopolitik ke atas negara-negara bangsa moden yang baharu muncul pada masa itu untuk meningkatkan hasil percukaian, menaik taraf infrastruktur, membangunkan perindustrian moden dan memupuk kemakmuran masyarakat yang diperlukan supaya dapat menampung pertumbuhan penduduk yang pesat. Tekanan geopolitik itu mengambil bentuk persaingan ketenteraan antara kuasa-kuasa besar di Eropah. Kekuatan ketenteraan bergantung pada kuasa kewangan dan perindustrian, di mana sistem ekonomi kapitalis menyediakan asas penting kepada pembangunan kuasa itu. Oleh itu, walaupun golongan konservatif yang reaksioner mendominasi politik Eropah selepas kejatuhan Napoleon, mereka tidak mungkin memulihkan susunan Ancien Régime jika hendak memperkukuhkan kekuasaan mereka dalam keadaan dunia baharu.

Rejim-rejim pemerintahan yang diwujudkan pada tahun 1815 adalah reaksioner dalam bentuknya, tetapi hanya separa reaksioner dalam kandungannya. Sebagai contoh, Jerman dipecahkan kepada 300 buah negeri feudal di bawah Empayar Rom Suci sebelum tahun 1789. Napoleon telah menggabungkan wilayah-wilayah Empayar Rom Suci yang ditaklukinya ke dalam “Gabungan Negeri-negeri Rhein” (Rheinbund) yang ditubuhkan pada tahun 1806 di bawah naungannya, di mana sistem perhambaan tani dimansuhkan, kebebasan perdagangan diwujudkan, dan kanun undang-undang yang seragam dilaksanakan. Selepas Napoleon dijatuhkan, di bawah syarat-syarat yang ditetapkan dalam Kongres Vienna, kebanyakan wilayah-wilayah Rheinland (bahagian barat Jerman) diserahkan kepada Kerajaan Prusia, namun pembaharuan liberal yang diperkenalkan di situ semasa pemerintahan Napoleon masih dikekalkan. Negeri-negeri Jerman yang berdaulat telah dikurangkan kepada 39 buah. Golongan pemerintah bangsawan tempatan di negeri-negeri Jerman yang berpecah-belah itu tiada niat untuk membangunkan sebuah negara Jerman bersatu yang merdeka. Konfederasi Jerman (Deutscher Bund), sebuah gabungan longgar antara negeri-negeri Jerman yang berdaulat ditubuhkan pada tahun 1815 sebagai pengganti kepada Empayar Rom Suci (962-1806), untuk menyelaraskan pertahanan bersama di wilayah-wilayah Eropah Tengah (supaya mengimbangi kekuasaan tentera Perancis di barat dan Rusia di timur), di samping membolehkan golongan pemerintah bangsawan di negeri-negeri Jerman yang berpecah-belah itu bertukar-tukar maklumat tentang bagaimana boleh memastikan rakyat mereka tidak bangkit menggugat kekuasaan mereka. Konfederasi Jerman turut disertai malah juga didominasi oleh Empayar Austria dan Prusia, dua buah kuasa besar yang konservatif di Eropah pada masa itu. Konfederasi Jerman menyediakan arena diplomatik kepada kedua-dua kuasa besar itu untuk mengimbangi sesama sendiri.
Golongan pemerintah konservatif di Eropah sering membendung usaha penyatuan negeri-negeri Jerman ke dalam sebuah negara bersatu demi mengekalkan kepentingan geopolitik masing-masing. Dekri-dekri Karlsbad dikeluarkan oleh golongan pemerintah Konfederasi Jerman pada tahun 1819 dengan tujuan untuk menyekat penularan sentimen penyatuan Jerman dan mematahkan penyebaran fahaman liberal di dalam Konfederasi Jerman.

Dengan ekonomi kapitalis semakin berkembang di wilayah-wilayah Eropah Tengah, wujudnya usaha untuk menghapuskan halangan kastam terhadap perdagangan antara negeri-negeri di dalam Konfederasi Jerman, dengan pembentukan beberapa kesatuan kastam dalam kalangan negeri-negeri itu sejak tahun 1818. Selepas siri rundingan pada tahun 1833 untuk menggabungkan tiga buah kesatuan kastam pada masa itu, iaitu Kesatuan Kastam Jerman Selatan, Kesatuan Kastam Prusia-Hessen dan Kesatuan Perdagangan Jerman Tengah, “Kesatuan Kastam Jerman” (Zollverein) ditubuhkan secara rasmi pada 1 Januari 1834. Zollverein yang disertai oleh hampir semua negeri dalam Konfederasi Jerman (tetapi tidak merangkumi Empayar Austria kerana ia mengamalkan dasar perdagangan dengan fahaman perlindungan yang tegar) telah menghapuskan banyak halangan kastam di dalam sempadan politiknya sementara menegakkan sistem tarif terhadap barangan yang dibawa masuk dan keluar merentasi sempadan Konfederasi Jerman. Oleh itu, Zollverein mewujudkan pasaran bebas dalaman di Konfederasi Jerman, sementara mengamalkan dasar perlindungan untuk perdagangan luar dengan negara-negara lain.
Pembangunan politik di Jerman tidak diterbalikkan selepas tahun 1815, ia hanya dibekukan selama tiga dekad. Namun, pembangunan ekonomi kapitalis telah diteruskan, malah dipacukan oleh usaha seperti pembentukan Zollverein. Ini menyebabkan percanggahan semakin hebat antara kerajaan berkuasa mutlak yang dipegang oleh golongan bangsawan dan kelas borjuis yang sedang berkembang di negeri-negeri Jerman. Ketegangan yang serupa juga wujud di kebanyakan tempat di benua Eropah.
Pada ketika Manifesto Komunis diterbitkan di London, sebuah ribut revolusi sedang melanda Perancis. Paris, ibu negara Perancis, telah menjadi pusat pembangunan tradisi revolusioner yang tidak pernah terputus sejak tahun 1789. Sebelum tahun 1848, tradisi revolusioner yang disimpan di Paris itu dicetuskan pada bulan Julai 1830. Semasa Revolusi Julai pada tahun 1830, Raja Charles X daripada Dinasti Bourbon dijatuhkan dalam pemberontakan warga bandar Paris, dan digantikan oleh Raja Louis Philippe I daripada Dinasti Orléan, salah satu cabang kerabat diraja Bourbon, yang menjanjikan pemerintahan raja berperlembagaan yang liberal.
“Konsert Eropah” yang diwujudkan dalam Kongres Vienna pada tahun 1815, merupakan usaha penyelarasan dalam kalangan kuasa-kuasa besar untuk mengekalkan keseimbangan kuasa di Eropah selepas Perang Revolusioner Perancis dan Perang Napoleon yang menggoncang susunan masyarakat seluruh benua itu. Projek keseimbangan kuasa di Eropah itu dirangka dan diterajui oleh Klemens von Metternich (1773-1859), seorang ahli politik konservatif bangsawan Jerman yang merupakan Menteri Luar Negeri Empayar Austria sejak tahun 1809 dan menjadi Canselor Austria (iaitu ketua kerajaan Austria) mulai tahun 1821. Metternich merupakan jurubina susunan konservatif yang reaksioner di Eropah pada zaman pasca Napoleon yang juga dikenali sebagai “Zaman Metternich” (1815-1848). Inilah Metternich dalam “Metternich dan Guizot” yang dikatakan hendak mengusir “hantu komunisme” dalam Manifesto Komunis.

Pemimpin-pemimpin kerajaan kuasa besar utama di Eropah pada masa itu (Austria, Prusia, Britain, Perancis dan Rusia) berhasrat untuk mengekalkan keseimbangan kuasa, sempadan politik dan lingkungan pengaruh masing-masing supaya menghalang mana-mana kuasa besar daripada cuba mendominasi benua Eropah (seperti yang pernah dilakukan oleh Napoleon) dan mengelakkan peperangan antara kuasa-kuasa besar itu. Kuasa-kuasa besar yang lebih konservatif dalam “Konsert Eropah”, yang merupakan anggota “Perikatan Suci” (Austria, Prusia dan Rusia) menggunakan susunan geopolitik itu untuk menyekat gerakan revolusioner, mematahkan fahaman liberal dan melemahkan gerakan nasionalis di negara masing-masing.
Negara Perancis yang memulihkan pemerintahan Dinasti Bourbon selepas kejatuhan Napoleon telah mengalami satu revolusi pada tahun 1830 yang menjatuhkan pemerintahan Dinasti Bourbon. Namun, hasil Revolusi Julai telah diculik oleh golongan monarkis liberal yang sebenarnya masih berfahaman politik konservatif, dan mereka mendirikan pemerintahan Dinasti Orléan yang juga dikenali sebagai Monarki Julai. Walaupun pemerintahan Monarki Julai itu berasaskan perlembagaan yang mempunyai unsur-unsur liberal, kuasa pemerintahan sebenar masih dipegang oleh golongan elit yang enggan melaksanakan pembaharuan radikal. Revolusi 1830 telah mengalihkan kekuasaan pemerintahan daripada golongan bangsawan tuan tanah lama kepada golongan borjuis kewangan. Pemerintahan Monarki Julai merupakan pemerintahan monarki perbankan. Walaupun syarat kelayakan harta untuk mengundi telah dilonggarkan selepas Revolusi 1830, peratusan warga Perancis yang berhak mengundi masih sangat rendah. Hanya 1% yang terkaya dalam kalangan rakyat layak mengundi di Perancis pada awal tahun 1848.
Walaupun sangat mengecewakan mereka yang pernah berjuang bersungguh-sungguh dalam Revolusi 1830, Perancis sekurang-kurangnya masih mempunyai sebuah kerajaan berperlembagaan. Keadaan adalah amat berbeza di Empayar Austria dan Prusia. Klemens von Metternich, Menteri Luar Negeri dan kemudiannya Canselor Austria, berjaya memulihkan kekuasaan pemerintahan Austria Habsburg dan menjadikannya pusat kepada susunan kekuasaan konservatif Eropah selepas Kongres Vienna 1815. Walau bagaimanapun, Metternich tidak berhasrat untuk memulihkan Empayar Rom Suci, sebaliknya mewujudkan sebuah empayar multi-etnik yang menggabungkan wilayah-wilayah di Eropah Tengah di bawah kesatuan peribadi pemerintah Dinasti Habsburg yang berpusat di Vienna. Empayar Austria terbentang luas dari bandar Vienna ke semua arah, merangkumi wilayah-wilayah yang dihuni oleh warga Jerman, Czech, Slovak, Romania, Poland, Croat, Serb, Slovene, Magyar, Itali dan sebagainya. Selain menduduki sebahagian wilayah di Utara Itali, kekuasaan Empayar Austria juga membayangi negeri-negeri Itali yang lain dan menafikan penyatuan Semenanjung Itali. Hungary, yang diserapkan ke dalam wilayah kekuasaan Monarki Habsburg sejak tahun 1526, menikmati autonomi yang agak unik dalam Empayar Austria tetapi sentiasa wujudnya ketegangan politik dengan kerajaan pusat Vienna.
Britain dan Rusia, dua buah lagi kuasa besar di Eropah pada pertengahan abad ke-19, boleh dikatakan dapat melepaskan diri daripada gelombang revolusi yang hebat pada tahun 1848, atas sebab-sebab yang agak berbeza bagi kedua-dua buah negara itu. Di Britain, Akta Reformasi 1832 yang digubal oleh kerajaan Parti Whig yang berfahaman liberal telah memenuhi sebahagian besar tuntutan politik kelas menengah borjuis, maka tiadanya keterdesakan untuk golongan itu menyertai kelas bawahan dalam pemberontakan revolusioner untuk perubahan radikal. Namun, munculnya gerakan kelas pekerja di Britain pada tahun 1838 yang mengemukakan “Piagam Rakyat” (People’s Charter) dengan tuntutan memperluaskan hak mengundi kepada golongan lelaki kelas pekerja yang tidak memiliki apa-apa harta. Sementara di Rusia pula, rejim autokratik yang kuku besi di situ mampu menggunakan kekuatan jentera keganasan negara untuk mematahkan beberapa bunga api pemberontakan yang terpercik pada masa itu. Jadi, penglibatan Rusia dalam gelombang Revolusi 1848 adalah menghulurkan bantuan kepada kuasa-kuasa konservatif reaksioner di Eropah Tengah untuk mematahkan gelombang revolusi itu.

Ekonomi dan kelas sosial di Tanah Besar Eropah pada tahun 1840-an
Eropah pada abad ke-19 menyaksikan transformasi ekonomi yang ketara daripada masyarakat pertanian kepada masyarakat perindustrian. Transformasi ekonomi itu dikenali sebagai “Revolusi Perindustrian” yang bermula di Britain pada penghujung abad ke-18 dan merebak ke negara-negara lain di Eropah seiring dengan perluasan ekonomi kapitalis. Penciptaan mesin yang digunakan untuk pengeluaran barangan, penggunaan enjin wap, pembinaan kilang berjentera, pembangunan rangkaian landasan kereta api dan sebagainya mempercepatkan lagi pembangunan ekonomi perindustrian kapitalis. Penjajahan kuasa imperialis Eropah di benua Amerika, Asia dan Afrika membolehkan negara-negara kapitalis di Eropah memperoleh bahan-bahan mentah murah untuk pembangunan perindustrian. Perusahaan tekstil menjadi sektor perindustrian pertama yang menggunakan cara-cara pengeluaran moden yang lahir daripada Revolusi Perindustrian. Dengan pengeluaran ekonomi masyarakat meningkat dalam kadar yang hebat kerana Revolusi Perindustrian, bilangan penduduk juga bertambah dalam kadar yang hebat.
Namun, pembangunan ekonomi kapitalis yang dipacukan oleh Revolusi Perindustrian tidak berlaku secara sekata dan seimbang. Menjelang tahun 1840-an, kebanyakan negara di Tanah Besar Eropah masih belum mengalami proses Revolusi Perindustrian yang hebat seperti Britain. Pembangunan ekonomi perindustrian moden hanya tertumpu di beberapa buah wilayah di Tanah Besar Eropah, seperti Wallonia (di bahagian selatan Belgium), bahagian utara Perancis (seperti Paris, Lille dan Rouen) dan sebahagian daripada Rheinland (di bahagian barat Jerman), sementara Belanda lebih tertumpu kepada ekonomi kapitalis perdagangan komersial. Kebanyakan wilayah di Eropah Tengah, Eropah Timur dan Eropah Selatan masih kekal sebagai ekonomi pertanian dengan penduduk kebanyakannya tinggal di kawasan desa.

Di Perancis, hanya kira-kira 400,000 orang boleh dikategorikan sebagai pekerja perindustrian (iaitu hanya 1/10 daripada 4 juta orang yang boleh dianggap sebagai pekerja di negara dengan 30 juta orang penduduk itu). 75% daripada wilayah Perancis masih merupakan kawasan luar bandar dan mengamalkan ekonomi pertanian. Di Prusia, kuasa besar Eropah Tengah yang berpusat di Berlin, hanya 4% daripada penduduk lelaki di negara itu bekerja di kilang. Oleh itu, Revolusi Perindustrian boleh dikatakan masih berada di peringkat awal di Tanah Besar Eropah menjelang tahun 1840-an, dan ia masih belum dibangunkan di banyak tempat lagi di situ.
Revolusi Perindustrian dan revolusi politik yang tercetus pada abad ke-18 dipadankan dengan pertumbuhan pesat penduduk di Eropah yang bermula pada sekitar tahun 1750. Trend pertumbuhan penduduk yang pesat itu tergendala sementara waktu apabila tercetusnya Perang Napoleon pada awal abad ke-19 yang meragut nyawa jutaan orang, tetapi bersambung semula selepas Kongres Vienna pada tahun 1815. Selepas pertumbuhan penduduk yang mendatar selama berabad-abad lamanya, bilangan penduduk di Eropah meningkat sebanyak 35% antara tahun 1800 dan 1850. Pertumbuhan penduduk yang pesat itu memberi tekanan yang hebat ke atas tanah dan sumber di seluruh Eropah, khususnya apabila belum lagi adanya kemajuan teknologi dalam pengeluaran pertanian yang boleh digunakan untuk meningkatkan pengeluaran makanan. Jumlah penduduk yang lebih banyak, keluasan tanah masih sama, dan jumlah makanan yang sama, satu kombinasi yang bermasalah untuk mana-mana masyarakat. Sudah pasti harga makanan akan melambung naik dalam pasaran.

Golongan tuan tanah bangsawan masih berkuasa di negara-negara pertanian yang mengekalkan kebanyakan struktur ekonomi feudal. Walaupun perhambaan tani (serfdom) dihapuskan di sesetengah tempat, golongan petani masih terpaksa tunduk di bawah kekuasaan golongan tuan tanah bangsawan. Prusia mula memansuhkan perhambaan tani melalui “Perintah Oktober” (Oktoberedikt) pada tahun 1807, tetapi golongan hamba tani yang “dibebaskan” itu hanya dibuang ke dalam ekonomi pasaran bebas yang eksploitatif.
Kebanyakan isi rumah petani yang dapat membebaskan diri daripada ikatan feudal di kawasan luar bandar di Tanah Besar Eropah menjalankan perusahaan pembuatan keluarga (seperti penenunan kain dan kraf tangan) untuk mencari nafkah. Namun, perusahaan pembuatan keluarga di kawasan luar bandar menerima impak daripada Revolusi Perindustrian yang berlaku di pusat-pusat bandar yang jauh darinya. Barangan yang dikeluarkan oleh perusahaan keluarga petani tidak dapat bersaing dengan barangan murah yang dikeluarkan secara besar-besaran dari kilang-kilang dan berlambak di pasaran. Ini menyebabkan golongan penduduk luar bandar terpaksa bekerja lebih keras dengan masa kerja yang lebih panjang untuk pendapatan yang lebih rendah. Dengan pendapatan yang lebih rendah tetapi harga makanan meningkat kerana bilangan penduduk yang bertambah, kehidupan di kawasan luar bandar menjadi lebih susah lagi. Dengan itu, wujudnya penghijrahan penduduk dari kawasan desa ke kawasan bandar. Namun, penduduk-penduduk desa yang berhijrah ke kawasan bandar mendapati bahawa mereka terhimpit dalam keadaan tempat tinggal yang penuh sesak dan kotor. Golongan bawahan yang berhijrah dari desa ke bandar mungkin boleh mendapat pekerjaan di kilang-kilang yang pesat bertumbuh di situ, tetapi pekerjaan di kilang-kilang itu biasanya kotor (dirty), bahaya (dangerous) dan menghinakan (demeaning), iaitu “kerja 3D”, sedangkan upah yang dibayar kepada mereka yang melakukan kerja itu masih sangat rendah. Golongan buruh migran yang berhijrah dari kawasan desa ke bandar itu membentuk golongan “proletar” atau kelas pekerja perindustrian moden yang paling awal.

Golongan proletar atau “proletariat” merupakan kelas sosial yang penting dalam sistem ekonomi kapitalis. Mereka ialah tenaga kerja utama yang menjana kekayaan dalam masyarakat kapitalis yang mengamalkan ekonomi perindustrian. Istilah “proletar” berasal daripada perkataan bahasa Latin “proletarius” yang bermaksud “golongan yang menghasilkan zuriat”. Pada zaman Rom Purba, proletarius merupakan golongan warga kota bawahan yang tidak memiliki apa-apa harta dan satu-satunya “sumbangan” mereka kepada masyarakat adalah menghasilkan zuriat (proles) yang boleh menjadi tenaga buruh. Dalam masyarakat kapitalis, golongan proletar ialah golongan pekerja yang bekerja untuk mendapatkan upah. Mereka tidak memiliki apa-apa sumber pengeluaran (seperti modal, tanah, kilang, bahan mentah, mesin dan sebagainya) kecuali tenaga buruh mereka sendiri (iaitu keupayaan bekerja) yang boleh dibeli oleh golongan pemodal untuk bekerja sebagai buruh upahan.
Golongan proletar merupakan tenaga buruh yang mencipta nilai baharu dalam proses pengeluaran barangan pengguna. Nilai baharu yang dicipta itu termasuklah upah yang dibayar kepada dirinya dan nilai surplus (iaitu keuntungan) yang diambil oleh golongan pemodal. Golongan proletar dieksploitasi tenaga buruh mereka untuk mengeluarkan nilai surplus yang akan dijadikan sebagai modal yang dilaburkan semula dalam proses pengeluaran kapitalis. Bagi golongan intelek sosialis moden seperti Marx dan Engels, golongan proletar dianggap sebagai kelas sosial yang mempunyai potensi revolusioner jika dibangunkan kesedaran kelas dalam kalangan mereka melalui organisasi pekerja. Golongan proletar atau kelas pekerja boleh menjadi “penggali kubur” kepada kapitalisme.

Namun begitu, oleh sebab tahap perindustrian di Tanah Besar Eropah masih jauh lebih rendah berbanding Britain, apabila gelombang revolusi melanda Tanah Besar Eropah pada tahun 1848, bilangan pekerja perindustrian atau golongan proletar adalah tidak begitu banyak di ibu-ibu kota politik yang menjadi tumpuan pergolakan revolusioner. Jadi, masa untuk revolusi proletar memang masih belum sampai lagi menjelang tahun 1848, walaupun “hantu komunisme” sedang berkeliaran. Massa rakyat bawahan yang menunjukkan potensi bermobilisasi dalam perjuangan revolusioner masih terdiri daripada golongan yang dikenali sebagai sans-culotte semasa Revolusi Perancis, dengan kebanyakannya merupakan golongan tukang kecil di kawasan bandar.
Golongan tukang kecil menjadi tulang belakang kepada kebangkitan rakyat di kawasan bandar pada peringkat awal zaman kapitalisme, seperti yang ditunjukkan dalam Revolusi Inggeris dan Revolusi Perancis. Apabila ekonomi kapitalis semakin berkembang, golongan tukang di kawasan bandar mendapati kehidupan ekonomi mereka semakin terancam, dengan penghijrahan masuk lebih banyak tukang dari kawasan luar bandar dan lambakan barangan berharga murah yang dikeluarkan dari kilang-kilang pembuatan di pasaran. Walaupun golongan tukang kecil tidak tertarik pada fahaman sosialis yang radikal, mereka boleh bersetuju dengan golongan sosialis bahawa persaingan ekonomi yang sengit dan tidak masuk akal itu boleh menjejaskan kehidupan mereka yang sederhana. Oleh itu, tuntutan yang dikemukakan oleh golongan tukang dalam usaha perjuangan mereka memfokus pada keterjaminan hidup, kemerdekaan ekonomi dan kesamarataan. Golongan tukang sudah pasti akan berjuang di benteng jalanan semasa revolusi, bukannya kerana mereka memperjuangkan kemajuan masyarakat, tetapi lebih kepada mempertahankan corak kehidupan yang sedang dimusnahkan oleh sistem ekonomi baharu.

Bertentangan dengan golongan proletar dalam susunan masyarakat kapitalis ialah golongan borjuis atau kelas kapitalis. Seperti golongan proletar, golongan borjuis merupakan kelas sosial yang baharu muncul apabila terbentuknya sistem ekonomi kapitalis. Golongan borjuis ialah pemilik modal dan sumber-sumber pengeluaran untuk ekonomi kapitalis. Namun, terdapat pelbagai lapisan yang berbeza dalam kalangan golongan borjuis, daripada pemilik kedai dan pemilik bengkel kecil hingga pedagang besar dan pemilik bank besar. Kekayaan golongan borjuis besar biasanya setanding malah boleh mengatasi golongan bangsawan atasan. Walau bagaimanapun, kebanyakan golongan borjuis, daripada borjuis kecil atau kelas menengah ke borjuis perindustrian, mempunyai satu persamaan dari segi tuntutan politik mereka, iaitu mereka mahukan lebih banyak akses kepada kuasa politik untuk menentukan nasib mereka secara sendiri, sekurang-kurangnya melalui hak mengundi.
Di Perancis yang sudah melalui revolusi borjuis yang hebat pun, hanya golongan terkaya dalam golongan kaya itu berhak untuk mengundi. Malah selepas Revolusi 1830 pun, hanya 250,000 orang layak mengundi berbanding lebih 30 juta orang penduduk di Perancis. Dalam erti kata lain, hanya 1% yang terkaya dalam kalangan rakyat Perancis dapat mengundi. Di Prusia dan kebanyakan negeri Jerman dalam Konfederasi Jerman serta lingkungan pengaruh kekuasaan Dinasti Habsburg, golongan borjuis tidak mempunyai akses kepada kuasa politik sama sekali. Kelas borjuis yang sedang bangkit itu sentiasa dihalang oleh susunan politik yang masih dikuasai oleh golongan bangsawan lama.

Namun begitu, ramai dalam golongan borjuis yang baharu membangun itu tidak berminat dengan kuasa politik selagi mereka masih dapat mengaut keuntungan daripada perniagaan mereka. Oleh itu, usaha untuk memperjuangkan hak politik pada awal abad ke-19 sering tertumpu pada satu lapisan kelas menengah borjuis yang khusus, iaitu golongan profesional yang terdiri daripada doktor, peguam, wartawan, guru dan sebagainya. Golongan profesional kelas menengah itu mendapat pendidikan sehingga tahap tertentu tetapi mendapati diri mereka langsung dinafikan kuasa politik dalam menentukan hala tuju masyarakat. Malah, di Eropah Tengah dan Eropah Timur, golongan profesional kelas menengah menghadapi halangan yang lebih besar, kerana mereka sentiasa diawasi oleh pihak berkuasa sejak zaman mereka belajar di universiti, di samping terus dinafikan kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, kebebasan berpersatuan dan kebebasan berhimpun.
Berada di tangga teratas dalam hierarki masyarakat pada masa itu ialah golongan bangsawan lama. Mungkin dengan sedikit pengecualian bagi Perancis yang sudah melalui revolusi borjuis yang hebat, golongan bangsawan lama masih mendominasi landskap ekonomi dan politik, khususnya di Eropah Tengah, Eropah Timur dan Eropah Selatan. Kekayaan dan kekuasaan golongan bangsawan lama berkaitan rapat dengan pemilikan tanah estet dan kawalan ke atas golongan petani. Golongan bangsawan lama masih menguasai semua tanah dan mendominasi peringkat atasan birokrasi kerajaan di negara-negara seperti Prusia dan Empayar Austria Habsburg. Di beberapa buah negeri Jerman yang mempunyai parlimen sendiri, golongan bangsawan lama mendominasi badan perundangan di situ. Golongan bangsawan lama membentuk kerajaan, menentukan segala urusan pentadbiran dan memegang jawatan kanan dalam angkatan tentera.

Menjelang tahun 1848, Tanah Besar Eropah masih merupakan masyarakat desa yang berasaskan ekonomi pertanian, dengan golongan tuan tanah bangsawan masih paling berkuasa. Kelas pemerintah di situ ialah kelas tuan tanah yang merupakan golongan bangsawan lama. Apabila revolusi tercetus, gabungan kuasa revolusioner yang pernah disaksikan semasa Revolusi 1830 muncul semula – golongan pejuang daripada kelas bawahan (khususnya golongan tukang kecil) dan golongan intelek kelas menengah (khususnya golongan profesional) menggabungkan kekuatan mereka untuk menjatuhkan rejim pemerintahan yang aristokratik, konservatif dan represif.
Ideologi-ideologi yang mencabar rejim konservatif
Golongan bangsawan lama yang berkuasa di Tanah Besar Eropah pasca Perang Napoleon sentiasa cuba menyekat penyebaran idea-idea politik yang dianggap boleh mencabar susunan masyarakat sedia ada. Terdapat beberapa aliran ideologi telah menyediakan kerangka intelek untuk mencabar kekuasaan rejim-rejim konservatif yang mendominasi Eropah pada tahun 1840-an. Ini termasuklah liberalisme, radikalisme, republikanisme, nasionalisme dan sosialisme.
Liberalisme ialah falsafah politik yang menekankan kebebasan individu. Liberalisme yang dibangunkan sejak Zaman Pencerahan telah menjadi sumber ideologi yang penting kepada usaha perjuangan yang menjayakan revolusi borjuis seperti Revolusi Amerika, Revolusi Perancis, Revolusi 1820 dan Revolusi 1830. Liberalisme mungkin membawa maksud yang berbeza kepada orang yang berbeza di tempat yang berbeza pada masa yang berbeza, tetapi secara amnya ia berpegang pada kepercayaan tentang kerajaan berperlembagaan, demokrasi berperwakilan, penyertaan rakyat dalam kerajaan, hak sivil individu, hak pemilikan harta persendirian dan kedaulatan undang-undang.

Kebanyakan orang yang berpegang pada politik liberal merupakan kelas menengah dalam struktur sosioekonomi. Namun, liberalisme kelas menengah pada masa itu mempunyai batasannya, kerana kebanyakan golongan liberal bukannya demokrat. Liberalisme dan demokrasi tidak semestinya membawa maksud yang sama.
Walaupun golongan liberal kelas menengah menyokong perluasan hak mengundi kepada mereka yang berharta dan berpendidikan, mereka tidak dapat membayangkan perluasan hak mengundi kepada semua rakyat termasuk golongan petani dan golongan pekerja bawahan. Golongan liberal juga kuat menentang revolusi radikal seperti yang pernah berlaku di Perancis pada tahun 1792. Kebanyakan golongan liberal mendapat ilham daripada “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara” yang lahir daripada Revolusi 1789, tetapi mereka amat takut pada revolusi itu maju lebih ke hadapan lagi seperti Revolusi 1792. Golongan liberal mendukung perubahan evolusioner (iaitu pembaharuan secara beransur-ansur tanpa mengubah struktur asas susunan masyarakat), bukannya perubahan revolusioner (iaitu transformasi secara mendadak yang mengubah struktur asas susunan masyarakat). Oleh itu, kebanyakan golongan liberal kelas menengah merupakan pendukung fahaman monarkisme berperlembagaan, bukannya republikanisme (iaitu terus memansuhkan pemerintahan monarki). Mereka percaya bahawa perubahan itu harus dilakukan secara berperingkat, bukannya terus mengubah sistem secara keseluruhan. Golongan liberal juga lebih cenderung memfokus pada memperjuangkan isu politik seperti hak sivil, perlembagaan dan pilihan raya, bukannya isu sosial seperti pengagihan kekayaan yang tidak sama rata dan ketidakadilan sosial.
Mereka yang berada di sebelah kiri golongan liberal dalam spektrum politik ialah golongan radikal, golongan republikan dan golongan demokrat. Radikalisme boleh juga dikatakan sebagai sayap kiri liberalisme. Golongan radikal bergerak dalam tradisi liberal tetapi lebih radikal dan memperjuangkan demokrasi yang lebih lanjut. Walaupun radikalisme dan liberalisme saling bertindih dalam banyak perkara, apa yang membezakan golongan republikan secara ketara daripada golongan liberal adalah: golongan radikal mendukung hak mengundi sejagat (universal suffrage) dan hampir semuanya ialah republikan. Golongan radikal merupakan demokrat yang menuntut prinsip “satu orang, satu undi”. Mereka juga tidak mahu berkompromi dengan monarki ataupun sekadar “mengelilingi monarki dengan institusi-institusi republik” seperti yang cuba dibawa oleh Marquis de Lafayette dalam Revolusi 1830. Golongan radikal berhasrat untuk menjatuhkan monarki, supaya rakyat boleh memimpin dan mentadbir diri mereka sendiri.

Golongan radikal menaruh kepercayaan mereka pada “rakyat”, dengan memberi banyak tumpuan kepada kuasa rakyat dan kedaulatan rakyat. Golongan radikal menegakkan prinsip “vox populi, vox Dei” (“suara rakyat, suara keramat”). Namun, oleh sebab kebanyakan golongan radikal itu merupakan golongan kelas menengah dan golongan intelek yang berpendidikan tinggi, mereka tidak begitu berhubung rapat dengan rakyat biasa selain retorik mereka tentang “kedaulatan rakyat”. Oleh itu, golongan radikal yang aktif secara politik hanya bertindak sebagai wakil “kehendak rakyat” untuk memimpin rakyat dalam aksi politik dan melakukan perubahan atas nama “rakyat”. Walau bagaimanapun, berbeza dengan golongan liberal, golongan radikal lebih bersimpati dengan keluhan rakyat bawahan dan memberi perhatian kepada isu-isu keadilan sosial. Mereka memperjuangkan pembaharuan yang membasmi kemiskinan, kelaparan, penyakit dan kesusahan rakyat.
Dalam konteks tahun 1840-an, “demokrasi” bermakna menggantikan syarat pemilikan harta untuk pengundi dengan hak mengundi sejagat bagi semua lelaki. Sama ada golongan liberal yang berkomitmen tinggi atau golongan radikal, mereka yang tidak berpuas hati dengan rejim pemerintahan konservatif itu mendukung usaha pembaharuan demokratik borjuis yang belum selesai, seperti penggubalan perlembagaan yang liberal, pemisahan kuasa gereja daripada pemerintahan negara, pembentukan kerajaan republikan, kebebasan akhbar, kebebasan sivil individu dan sebagainya. Menjelang tahun 1840-an, munculnya banyak akhbar yang membawa idea-idea liberal dan radikal, seperti Die Grenzboten (yang diasaskan oleh Ignaz Kuranda di Brussel pada tahun 1841), Pesti Hírlap (yang mula diterbitkan di Hungary pada tahun 1841), Rheinische Zeitung (yang dilancarkan di bandar Cologne pada bulan Januari 1842, dengan Karl Marx salah seorang pengarangnya, tetapi ditutup oleh pihak berkuasa Prusia pada bulan Mac 1843) dan La Réforme (yang diasaskan oleh Alexandre Auguste Ledru-Rollin di Paris pada bulan Julai 1843).

Republikanisme merupakan ideologi politik yang mendukung bentuk kerajaan yang bertanggungjawab terhadap rakyat, di samping menentang pemerintahan monarki yang diwarisi turun-temurun atau pemerintahan yang tidak dapat disemak oleh rakyat. Republikanisme bertumbuh daripada aliran ideologi liberal yang menggerakkan revolusi borjuis awal, seperti di Belanda, Amerika Syarikat dan Perancis. Fahaman republikan yang mendapat ilham daripada tokoh Zaman Pencerahan seperti Jean-Jacques Rousseau (1712-1778) telah mempunyai pengaruh besar kepada Revolusi Perancis, sehingga membolehkan pembentukan Republik Pertama Perancis (1792-1804). Dengan golongan liberal terus mendukung sistem raja berperlembagaan dan semakin konservatif dalam melindungi kekuasaan sedia ada, republikanisme merupakan fahaman yang amat berpengaruh dalam kalangan golongan radikal yang menentang rejim pemerintah monarki di Perancis dan negara-negara lain di Eropah.
Satu lagi aliran ideologi penting yang berkembang hasil daripada Revolusi Perancis ialah nasionalisme. Revolusi Perancis telah memperkenalkan idea tentang rakyat dan bangsa itulah asas sebenar kepada kedaulatan politik sesebuah negara, bukannya dinasti diraja yang memerintah. Kepercayaan bahawa kedaulatan negara itu datang daripada rakyat dari bawah, bukannya daripada Tuhan dari atas, membentuk asas kepada idea tentang negara bangsa moden. Nasionalisme ialah fahaman politik yang percaya pada mendirikan sebuah negara bangsa yang menyatukan rakyat dengan identiti bersama, seperti bahasa, budaya, agama, sejarah dan wilayah yang berkongsi secara bersama oleh penduduk-penduduk negara itu. Nasionalisme di kebanyakan tempat di Eropah pada abad ke-19 merupakan idea untuk memperjuangkan sesuatu yang baharu, di mana rakyat dengan bahasa, warisan budaya, sejarah dan kesenian bersama boleh bersatu secara politik, sementara setiap bangsa berhak untuk menentukan nasib mereka sendiri secara kolektif.

Di Jerman, nasionalisme bermakna penyatuan semua negeri-negeri Jerman yang berpecah-belah itu; di Itali, ia bermakna penyatuan seluruh Semenanjung Itali dan mengusir keluar kekuasaan Austria; di Austria Habsburg, ia bermakna kesamarataan dan autonomi setiap bangsa di dalam empayar multi-bangsa itu sekiranya bangsa itu masih tidak dapat mencapai kemerdekaan sebenar. Revolusi 1848 juga dikenali sebagai “Musim Bunga Bangsa-bangsa” kerana pengaruh nasionalisme yang ketara dalam pergolakan revolusioner pada masa itu, di mana idea bahawa “negara bangsa” dianggap sebagai ekspresi yang paling benar dan paling suci bagi organisasi politik itu mula berakar dalam imaginasi politik massa rakyat Eropah, atau sekurang-kurangnya dalam kalangan golongan intelek yang hendak memperjuangkan perubahan dalam masyarakat.
Berada lebih kiri lagi daripada golongan radikal dalam spektrum politik di Eropah pada abad ke-19 merupakan aliran politik egalitarian yang baharu memasuki arena pertarungan politik pada masa itu, iaitu golongan sosialis. Pemikiran politik egalitarian yang memperjuangkan kesamarataan sosioekonomi itu bukanlah sesuatu yang baharu, kerana ia sudah wujud sebelum itu, dan menjelma dalam revolusi-revolusi hebat (seperti gerakan Digger semasa Revolusi Inggeris dan sayap kiri radikal dalam Jacobin semasa Revolusi Perancis), tetapi pengaruh dan impaknya kepada trajektori revolusi awal itu masih terhad. Takrifan untuk istilah sosialisme pada masa itu masih agak meluas dan tiadanya konsensus, maka ia membawa makna yang berbeza untuk orang yang berbeza. Namun begitu, secara amnya, sosialisme menekankan pada isu-isu sosial berkaitan dengan pengagihan kekayaan yang tidak sama rata, ketidakadilan dalam masyarakat, penindasan kelas dan penderitaan yang dihadapi oleh golongan kelas bawahan. Golongan sosialis mengkritik sistem sosioekonomi yang mengeksploitasi pekerja dan membiak kemiskinan dalam masyarakat. Adanya sosialis yang menentang pemilikan persendirian terhadap sumber-sumber pengeluaran, dan mengadvokasi pemilikan sosial atau pemilikan secara kolektif. Golongan sosialis memperjuangkan solusi yang radikal untuk permasalahan sosial.
Idea-idea aliran sosialis yang wujud menjelang tahun 1830-an dan 1840-an, termasuklah masyarakat perindustrian terancang secara teknokratik yang dicadangkan oleh Henri de Saint-Simon (1760-1825), transformasi masyarakat ke dalam komuniti-komuniti kolektif kecil seperti yang diilhamkan oleh Robert Owen (1771-1858), komuniti utopia “Phalanstère” yang dibangunkan oleh Charles Fourier (1772-1837), konsep “hak untuk kerja” yang dibawa oleh Louis Blanc (1811-1882) dan banyak lagi. Pierre-Joseph Proudhon (1809-1865), yang dianggap sebagai “Bapa Anarkisme”, mengadvokasi kawalan demokratik secara langsung oleh pekerja terhadap sumber-sumber pengeluaran dan masyarakat disusun ke dalam persekutuan komun-komun yang bebas. Karl Marx dan Friedrich Engels pula membangunkan konsep “sosialisme saintifik” yang berasaskan teori materialisme sejarah dan perjuangan kelas.

Golongan sosialis daripada pelbagai aliran mempunyai pandangan yang berbeza tentang bagaimana mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih sama rata, adil, saksama dan sejahtera bagi rakyat bawahan, sama ada secara pembaharuan secara beransur-ansur, sumbangan ikhlas daripada golongan kaya, perampasan kuasa oleh sekumpulan kecil revolusioner, pembentukan kolektif-kolektif yang berautonomi ataupun gerakan massa pekerja yang tersusun. Mereka juga mempunyai pendirian yang berbeza terhadap pemilikan harta persendirian, dengan ada yang mahu mengekalkannya, ada yang mahu memperkukuhkannya, dan ada yang mahu memansuhkannya, tetapi secara amnya mereka mahu kekayaan masyarakat diagihkan dengan lebih sama rata.
Golongan sosialis masih merupakan kumpulan intelek dalam jumlah yang kecil dan tidak mempunyai apa-apa pengaruh dalam kalangan kelas bawahan yang sepatutnya menyokong idea-idea egalitarian mereka. Namun begitu, idea-idea yang dikemukakan oleh golongan sosialis itu sudah cukup menggerunkan golongan pemerintah kerana solusi mereka yang radikal dan revolusioner. Oleh itu, sama ada golongan liberal yang reformis atau golongan konservatif yang reaksioner, mereka menganggap sosialisme sebagai ancaman yang mengerikan. Pelbagai aliran sosialis yang berbeza ketara dalam pandangan mereka itu mempunyai satu persamaan pada masa itu, iaitu semua golongan elit politik yang lain bersedia untuk menindas mereka secara keras demi mematahkan idea-idea yang terlalu radikal. Menjadi sosialis pada tahun 1840-an boleh dianggap sebagai sesuatu yang berbahaya dan satu kesalahan jenayah!

Faktor pencetusan Revolusi 1848
Punca tercetusnya revolusi di negara-negara Eropah pada tahun 1848 adalah berbeza-beza mengikut keadaan khusus masing-masing. Walau bagaimanapun, secara amnya faktor-faktor yang mencetuskan gelombang revolusi 1848 termasuk perkara-perkara berikut:
- Pembangunan ekonomi kapitalis yang mewujudkan imbangan kuasa kelas sosial yang baharu (kemunculan kelas borjuis, semakin banyak golongan petani dipaksa menjadi buruh upahan, dan peluasan hubungan sosial kapitalis mencabar kekuasaan istimewa golongan bangsawan lama);
- Bandar-bandar yang semakin pesat berkembang dengan penumpuan penduduk dalam jumlah yang besar mempermudahkan usaha pengorganisasian yang membawa kepada bentuk politik massa yang baharu;
- Pertumbuhan pesat dalam bilangan pekerja perindustrian di kawasan bandar sehingga menjadikan kelas pekerja sebagai satu kuasa sosial yang baharu;
- Keadaan kerja yang teruk untuk kelas pekerja (masa kerja panjang, gaji rendah, keadaan hidup yang teruk dan sebagainya) menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan tenaga kerja terhadap ekonomi kapitalis yang baharu membangun itu;
- Krisis ekonomi semasa, misalnya kegagalan penuaian hasil tanaman menyebabkan harga makanan meningkat, maka mengurangkan wang yang dapat dibelanjakan oleh rakyat untuk membeli barangan keluaran kilang lain; oleh itu menyebabkan permintaan barangan pembuatan kilang menurun, dan pengangguran meningkat;
- Kelas menengah menuntut lebih banyak kebebasan demokratik dan pembaharuan yang belum selesai;
- Ketidakpuasan hati terhadap pemerintah monarki yang memegang kuasa besar dan gagal menjaga kesejahteraan rakyat;
- Perjuangan revolusi borjuis (yang pernah tercetus di negara-negara seperti Perancis) masih jauh belum selesai;
- Pengaruh idea-idea revolusioner baharu seperti demokrasi, liberalisme, radikalisme, nasionalisme dan sosialisme.

Secara ringkasnya, dua persoalan utama menjadi asas kepada pencetusan Revolusi 1848, iaitu: persoalan sosial (yang wujud kerana kontradiksi dalam sistem sosioekonomi kapitalis yang baharu membangun itu) dan persoalan politik (yang wujud kerana pembaharuan sistem pemerintahan yang dituntut oleh kelas-kelas sosial yang baharu muncul itu tidak dilaksanakan). Persoalan sosial berkisar pada perkembangan ekonomi kapitalis yang mengeluarkan orang ramai daripada kehidupan sosioekonomi yang lama dan memaksa mereka untuk menyesuaikan diri dengan susunan dunia ekonomi perindustrian yang berasaskan eksploitasi terhadap buruh upahan. Persoalan politik pula berkisar pada bentuk apa yang perlu diambil untuk menyusun kerajaan dan asas yang sah untuk kerajaan itu.
Hasrat untuk menyelesaikan persoalan politik boleh mendatangkan revolusi politik; sementara desakan untuk menangani persoalan sosial boleh mencetuskan revolusi sosial. Revolusi politik boleh menggantikan rejim pemerintahan lama dengan satu rejim pemerintahan baharu dan membawa pembaharuan kepada sistem politik; sementara revolusi sosial boleh mengubah seluruh struktur sosioekonomi sehingga kelas pemerintah lama kehilangan kedua-dua kuasa politik dan kuasa ekonomi.
Krisis ekonomi pada tahun 1840-an
Krisis ekonomi berlaku di Eropah pada pertengahan tahun 1840-an, bermula dengan bencana dalam sektor pertanian dan kemudiannya mengakibatkan kemelesetan dalam sektor pembuatan industri yang sepatutnya pesat berkembang. Krisis ekonomi itu telah mendatangkan kesusahan yang teruk kepada kelas bawahan, di samping mewujudkan kepanikan kewangan dalam kalangan kelas menengah dan kelas atasan, sehingga menimbulkan masalah seperti pengeluaran wang secara besar-besaran dari bank, kekangan kredit dan kemuflisan.
Ubi kentang hanya dibawa masuk dari benua Amerika ke Eropah pada abad ke-16, tetapi ia menjadi makanan penting bagi masyarakat Eropah menjelang abad ke-19, kerana ia merupakan bahan makanan pembekal kalori yang murah, mudah ditanam, mudah dituai dan tahan lama. Pada ketika benua Eropah mengalami pertumbuhan penduduk yang pesat tetapi masih belum terbangunnya pertanian berjentera dalam skala besar-besaran untuk mengeluarkan lebih banyak makanan asas, penanaman ubi kentang memastikan makanan tinggi kalori dibekalkan kepada rakyat adalah mencukupi. Ubi kentang yang ditanam secara meluas sejak tahun 1800-an di Kepulauan Britain, Perancis dan Jerman, telah membentuk sebahagian penting daripada pemakanan golongan petani di desa dan kelas pekerja yang semakin bertambah di bandar. Kedua-dua golongan petani di desa dan pekerja di bandar memerlukan sumber kalori murah untuk kelangsungan hidup mereka.
Namun, malangnya hanya beberapa jenis ubi kentang yang ditanam di Eropah pada masa itu. Apabila sejenis penyakit hawar daun kentang menjangkiti tanaman ubi kentang pada tahun 1845, ia menular dengan cepat dan meluas, sehingga satu pertiga daripada ubi kentang di Eropah tidak boleh dimakan. Ini mencetuskan bencana kemanusiaan yang dikenali sebagai “Kebuluran Ubi Kentang”.

Pulau Ireland dengan satu pertiga tanah di situ digunakan untuk penanaman ubi kentang telah menerima kesan yang paling teruk semasa Kebuluran Ubi Kentang, dengan 1 juta orang mati kebuluran atau mati kerana penyakit yang berkaitan dengan kebuluran, sementara 1-2 juta orang terpaksa berhijrah keluar dari situ dengan kebanyakannya merentasi Lautan Atlantik untuk pergi ke benua Amerika. Kebuluran Ubi Kentang turut merebak di Scotland, England, Belgium, Belanda, Perancis dan bahagian utara negeri-negeri Jerman. Di Tanah Besar Eropah, dianggarkan kira-kira 100,000 orang mati kerana krisis makanan (40,000-50,000 orang di Belgium, kira-kira 40,000 di Prusia dan 10,000 di Perancis). Kesan Kebuluran Ubi Kentang dapat dikurangkan di wilayah-wilayah itu berbanding Ireland kerana masih adanya bijirin yang lain sebagai makanan asas bagi masyarakat di situ, tetapi krisis diburukkan lagi apabila pengeluaran bijirin di Eropah terjejas dengan teruknya oleh iklim buruk pada tahun 1846.
Menjelang tahun 1846, seluruh Eropah mengalami krisis pertanian yang teruk dengan bekalan makanan ruji asas terjejas secara ketara, maka harga makanan melambung tinggi. Adanya tempat yang tidak terjejas oleh masalah kekurangan hasil tanaman, tetapi kekurangan makanan di tempat lain menyebabkan harga makanan yang dikeluarkan dan dijual di pasaran tempatan turut meningkat secara mendadak. Jadi, krisis kebuluran yang tercetus di Eropah pada tahun 1840-an bukan kerana tiadanya makanan untuk rakyat, tetapi tiadanya makanan yang murah bagi rakyat biasa. Orang kaya masih dapat makan kerana mereka mampu bayar, tetapi orang miskin terpaksa kelaparan kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli makanan.

Dengan orang ramai terpaksa menggunakan lebih banyak wang untuk membeli makanan yang lebih mahal supaya terus hidup, wang yang boleh digunakan untuk membeli barangan pengguna lain (seperti pakaian) terus mengecut. Ini mencetuskan satu lagi krisis – kemelesetan ekonomi! Menjelang penghujung tahun 1846, sektor perusahaan yang mengeluarkan barangan pengguna, sama ada kilang atau bengkel pertukangan, menghadapi masalah permintaan yang merudum, maka pengurus kilang atau pemilik bengkel terpaksa memberhentikan kerja pekerja-pekerja yang diupah mereka. Kelas pekerja yang sedang pesat berkembang pada masa itu menghadapi masalah pengangguran dan upah yang lebih rendah. Dengan tiadanya pendapatan kerana kehilangan kerja atau upah yang lebih rendah walaupun masih bekerja, tetapi harga makanan terus melambung tinggi, kehidupan kelas pekerja dan golongan tukang kecil menjadi lebih susah lagi.
Di Le Havre, bandar perindustrian yang pesat membangun di bahagian utara Perancis, 8,000 orang daripada 13,000 orang tenaga kerja di situ kehilangan kerja menjelang bulan Mei 1847. Di Rouen, yang juga terletak di bahagian utara Perancis, sekurang-kurangnya 30% penduduk di situ tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menampung keperluan makanan, selain 1,600 orang yang dibuang kerja. Di Vienna, ibu negara Empayar Austria, 10,000 orang pekerja diberhentikan kerja semasa musim sejuk tahun 1846-1847 dan hidup dalam keadaan sesak lagi kotor di pinggiran bandar. Dalam keadaan hidup yang semakin susah dan terdesak, Eropah dilanda gelombang rusuhan makanan.
Antara tahun 1846 dan 1847, tercetusnya 400 rusuhan makanan di Perancis. Di Berlin, ibu negara Prusia, tercetusnya siri rusuhan pada bulan April 1847 yang dikenali sebagai “Revolusi Ubi Kentang” (Kartoffelrevolution). Golongan perusuh yang sering kali dipimpin oleh kaum wanita menyerbu rangkaian pembekalan makanan dan melepaskan kemarahan mereka terhadap golongan pedagang yang menjual bahan makanan dengan harga tinggi.

Selain cuba mematahkan rusuhan makanan dengan cara kekerasan, kerajaan-kerajaan di Eropah juga cuba meredakan kemarahan masyarakat dengan pendekatan seperti membatalkan tarif terhadap bijirin yang diimport, mensubsidi makanan, mengedarkan kupon roti, membuka dapur amal, mewujudkan bengkel amal dan sebagainya. Namun, apabila kerajaan perlu mendapatkan pinjaman atau membelanjakan lebih banyak wang dalam rizab untuk menangani krisis makanan, krisis kewangan melanda pula.
Salah satu faktor penyumbang kepada krisis kewangan pada masa itu ialah gelembung pasaran saham dalam sektor perindustrian pengangkutan kereta api di Britain akibat daripada spekulasi kapitalis berpecah pada tahun 1847. Banyak syarikat landasan kereta api mengisytihar bankrap. Ini menyebabkan sektor kewangan menghadapi masalah kekangan kredit. Pengusaha kecil yang bergelut dengan masalah kekurangan permintaan tidak mendapat pinjaman kecil untuk meneruskan perniagaan mereka. Dengan sistem kewangan bergoyah, pelanggan-pelanggan bank yang panik mengeluarkan wang mereka dalam jumlah yang besar. Krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi menyebabkan hasil percukaian kerajaan turut merosot pada ketika perlu membelanjakan lebih dana untuk menangani krisis makanan.
Dengan itu, seluruh ekonomi Eropah mengalami krisis sosioekonomi yang serius menjelang tahun 1848, dan rakyat bawahan yang paling terkesan dengan hidup yang semakin susah. Golongan petani di desa hidup dalam kelaparan; golongan pekerja miskin di bandar bergelut dengan pengangguran dan kelaparan; golongan tukang kecil yang tiada kerja turut hidup susah; golongan pemilik perniagaan besar pula bertahan dengan memotong gaji pekerja dan mengurangkan pekerja yang diupah mereka; golongan pelabur daripada kelas atasan dan kelas menengah mengalami kebankrapan; golongan profesional juga menghadapi keadaan di mana perkhidmatan mereka tidak diperlukan. Undang-undang dan ketenteraman awam juga mengalami keruntuhan di merata tempat: ramai orang merusuh kerana tidak mampu membeli makanan, golongan penyamun berkeliaran di kawasan luar bandar, kadar jenayah semakin meningkat.

Krisis sosioekonomi pada pertengahan tahun 1840-an menimbulkan ketidakpuasan hati, kemarahan, ketakutan, ketidakjaminan dan penghinaan dalam kalangan rakyat biasa di Eropah. Persoalan sosial yang mendalam itu memerlukan penyelesaian politik, maka membangkitkan persoalan politik yang ketara.
Persoalan politik di Eropah pada tahun 1840-an
Salah satu persoalan politik yang terbesar di Eropah pada zaman pasca Napoleon adalah sama ada sesebuah negara itu mempunyai perlembagaan atau tidak. Jika tiada perlembagaan, adakah rakyat di negara itu mahukan sebuah perlembagaan? Di negara yang sudah mempunyai perlembagaan, wujudnya persoalan selanjutnya: Apa yang terkandung dalam perlembagaan itu? Bagaimana perlembagaan itu dapat berfungsi? Siapa akan dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam kerajaan yang mentadbir negara itu? Sejauh manakah golongan pemerintah itu berkuasa? Apakah hak dan kewajipan rakyat yang diperintah? Adakah perlembagaan itu perlu diperbaharui berdasarkan prinsip-prinsip liberal (seperti hak mengundi sejagat, kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, kebebasan berhimpun, pengehadan kuasa raja dan sebagainya)?
Satu lagi persoalan politik yang besar melibatkan fahaman nasionalisme: Jika “kedaulatan rakyat” itu sesuatu yang harus ditegakkan, siapa “rakyat” itu? Apakah hubungan antara bangsa (kumpulan masyarakat yang mempunyai identiti bersama) dan negara? Bagaimana mentakrifkan sebuah bangsa? Hampir semua wilayah mempunyai kumpulan etnik minoriti atau kumpulan agama minoriti yang mungkin tidak serasi dengan takrifan bangsa yang membentuk majoriti penduduk di situ, maka apakah kedudukan mereka dalam penyatuan bangsa dan penentuan nasib sendiri bagi sebuah bangsa?
Di Perancis, Raja Louis XVIII daripada Dinasti Bourbon yang dipulihkan oleh gabungan kuasa konservatif Eropah mengemukakan “Piagam 1814”, sebuah dokumen perlembagaan yang dianggap sebagai “kurniaan” dari atas oleh seorang raja yang “murah hati”, bukannya dari bawah oleh rakyat. Hanya beberapa buah negara lain di Eropah Tengah dan Eropah Utara pada masa itu mempunyai perlembagaan, seperti Kerajaan Bersatu Belanda, Kerajaan Bayern dan Perdemangan Besar Baden. Kebanyakan negara di Eropah mengamalkan semula sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak pada zaman reaksioner Klemens von Metternich selepas kejatuhan Empayar Perancis Pertama.
Oleh itu, ketegangan politik yang sering berulang di benua Eropah pada masa itu adalah tentang usaha perjuangan di tempat di mana tiadanya perlembagaan itu untuk menggubal perlembagaan, sementara di tempat yang adanya perlembagaan, wujudnya desakan untuk pembaharuan terhadap perlembagaan. Misalnya, “Perlembagaan 1812” di Sepanyol menjadi asas kepada pemberontakan askar di Cádiz pada tahun 1820 yang mewujudkan pemerintahan “Tiga Tahun Liberal” (Trienio Liberal). Kebangkitan revolusioner liberal itu kemudiannya menular ke negara jirannya Portugal, dan juga Semenanjung Itali, dari Napoli ke Turin. Projek revolusioner liberal di Itali pada tahun 1820 hanya bertapak seketika sebelum ia dipatahkan oleh tentera Austria, sementara pemerintahan liberal di Sepanyol hanya bertahan tiga tahun sebelum dipatahkan oleh tentera Perancis.

Walau bagaimanapun, Revolusi Julai di Perancis pada tahun 1830 membangkitkan semula persoalan politik tentang perlembagaan, apabila warga Perancis yang bangkit menjatuhkan sekali lagi pemerintahan Dinasti Bourbon itu meminda perlembagaan negara itu dengan menyatakan bahawa kedaulatan datang daripada rakyat dari bawah bukannya kurniaan daripada raja dari atas. Belgium yang berpisah daripada Kerajaan Bersatu Belanda pula menubuhkan sebuah kerajaan berperlembagaan pada tahun 1831. Pemerintah Kerajaan Sachsen yang panik dengan gelombang Revolusi 1830 juga menggubal sebuah perlembagaan baharu yang mewujudkan sistem raja berperlembagaan. Namun, menjelang tahun 1840-an, kebanyakan negara di Eropah, termasuk Prusia, Rusia dan Empayar Austria, masih mengekalkan pemerintahan monarki berkuasa mutlak. Klemens von Metternich amat menentang penggubalan perlembagaan oleh mana-mana pemerintah di Eropah, kerana ia membuka ruang kepada tuntutan pembaharuan liberal yang lain.
Apabila “Tiang Julai” siap dibina dan dirasmikan di Place de la Bastille, Paris, pada tahun 1840 sempena ulang tahun ke-10 Revolusi Julai, kebanyakan rakyat Perancis yang mengharapkan pembaharuan politik berikutan Revolusi Julai itu sudah ditimpa perasaan kecewa terhadap rejim pemerintahan Monarki Julai yang diterajui oleh “Raja Rakyat” Raja Louis Philippe I.

Louis-Napoléon Bonaparte (1808-1873), anak saudara kepada Napoleon Bonaparte, cuba merampas kuasa pada tahun 1836 untuk mengembalikan “zaman kegemilangan” pemerintahan Maharaja Napoleon I, tetapi terus ditangkap dan dibuang negeri. Louis Bonaparte cuba sekali lagi untuk merampas kuasa pada tahun 1840, tetapi apabila dia mendarat bersama kira-kira 60 orang pengikutnya di bandar pelabuhan Boulogne di bahagian utara Perancis, dia terus ditangkap, dibicarakan dan dihukum penjara seumur hidup.
Semasa dalam penjara, Louis Bonaparte menulis banyak rencana yang diterbitkan dalam akhbar dan majalah. Di penjara juga, Louis Bonaparte menulis bukunya yang terkenal “Penghapusan Kemiskinan”(Extinction du Paupérisme, 1844), sebuah karya yang mengkaji punca-punca kemiskinan dalam kalangan kelas pekerja perindustrian di Perancis dan cadangan-cadangan untuk membasminya. Dia menulis, “Kelas pekerja tidak mempunyai apa-apa. Adalah perlu untuk memberikan mereka pemilikan. Mereka tidak mempunyai kekayaan lain selain tenaga buruh mereka sendiri. Adalah perlu untuk memberikan mereka kerja yang akan memanfaatkan semua… Mereka tanpa organisasi dan tanpa hubungan, tanpa hak dan tanpa sebuah masa hadapan; adalah perlu untuk memberikan mereka hak dan sebuah masa hadapan dan mengangkat martabat mereka di mata mereka sendiri dengan persatuan, pendidikan dan disiplin.” Louis Bonaparte mengatakan bahawa dia mahu menjadi seorang maharaja yang progresif dan melaksanakan dasar-dasar ekonomi pro-rakyat yang moderat. Louis Bonaparte melarikan diri dari penjara pada tahun 1846 dan hidup dalam buangan di Britain sehingga tercetusnya Revolusi 1848.
Pemerintahan Monarki Julai pada tahun 1830-an ditandai dengan rombakan kabinet kerajaan yang kerap, pertelingkahan remeh antara golongan elit pemerintah yang berterusan dan golongan liberal yang berkuasa itu mengamalkan dasar yang konservatif. Tiada pembaharuan politik yang lebih lanjut melangkaui “Piagam 1830”.
Adolphe Thiers (1797-1877), salah seorang tokoh politik liberal yang pernah mengambil bahagian dalam Revolusi Julai, telah dilantik sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali, pada tahun 1836 dan 1840, tetapi hanya bertahan selama beberapa bulan sahaja setiap kali. Selepas Adolphe Thiers yang agak agresif dalam hal ehwal luar negeri disingkirkan daripada jawatan Perdana Menteri pada tahun 1840 berikutan dia hampir mencetuskan peperangan dengan kuasa-kuasa besar Eropah lain kerana sokongannya kepada Muhammad Ali Pasha, pemerintah de facto di Mesir pada masa itu, Raja Louis Philippe I melantik Jeneral Jean-de-Dieu Soult (1769-1851) sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga, tetapi atas persetujuan dalaman golongan elit pemerintah, kekuasaan yang sebenar telah diberikan kepada François Guizot (1787-1874), seorang lagi tokoh politik yang pernah terlibat dalam Revolusi 1830 dan dilantik sebagai Menteri Luar Negeri baharu pada masa itu. Inilah Guizot dalam “Metternich dan Guizot” yang hendak mengusir “hantu komunisme” seperti yang diungkapkan dalam Manifesto Komunis.
François Guizot, seorang ahli politik liberal berhaluan tengah yang semakin mencondong ke arah konservatif selepas Revolusi Julai, percaya pada pemerintahan raja berperlembagaan yang kuat dan teratur dengan raja masih mempunyai kuasa istimewa untuk menentukan menteri-menteri dalam kerajaannya. Guizot, yang berdegil untuk menentang sebarang pembaharuan lebih lanjut, merupakan Perdana Menteri de facto sejak tahun 1840, kerana mendapat kepercayaan daripada Raja Louis Philippe I dan sokongan kukuh daripada Dewan Perwakilan. Guizot dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri Perancis pada bulan September 1847 sebelum dia meletak jawatan 5 bulan kemudian semasa tercetusnya Revolusi 1848. Negara Perancis di bawah pentadbiran kerajaan yang diterajui oleh Guizot menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat pada awal tahun 1840-an, tetapi krisis ekonomi yang melanda pada tahun 1845-1847 menimbulkan persoalan tentang keupayaan kerajaannya untuk terus mentadbir.

Persoalan tentang perwakilan rakyat dalam proses perundangan dan pentadbiran telah menjadi agenda perjuangan politik yang dibawa oleh mereka yang hendak meneruskan usaha pembaharuan yang belum disempurnakan dalam Revolusi 1830. Hanya kira-kira 250,000 orang layak mengundi dalam pilihan raya parlimen di negara Perancis dengan jumlah penduduk lebih 30 juta orang pada masa itu. Ini merupakan peratusan yang sangat rendah, kerana hanya kira-kira 1% orang yang terkaya dapat mengundi untuk memilih perwakilan mereka dalam parlimen kebangsaan. Walaupun sudah menjadi pemerintahan borjuis, bukan semua orang dalam kelas borjuis layak mengundi, terutamanya golongan kelas menengah yang layak untuk berkhidmat dalam Pengawal Kebangsaan (Garde nationale). Kebanyakan golongan kelas menengah layak untuk mengundi di peringkat tempatan (dengan kira-kira 3 juta orang layak untuk mengundi, walaupun masih hanya 10% daripada jumlah penduduk), tetapi dinafikan hak untuk mengundi di peringkat kebangsaan.
Pengawal Kebangsaan telah memainkan peranan penting dalam politik Perancis sejak tahun 1789, di mana rejim yang memerintah sering bergantung kepada sokongan Pengawal Kebangsaan untuk terus berkuasa. Walaupun Pengawal Kebangsaan merupakan tunjang utama yang mempertahankan kerajaan Perancis, anggota-anggotanya masih dinafikan hak untuk mengundi kerana harta yang dimiliki mereka masih tidak mencukupi. Kebanyakan cadangan untuk pembaharuan yang dikemukakan pada tahun 1830-an dan 1840-an memasukkan tuntutan untuk memberikan hak mengundi secara automatik kepada anggota Pengawal Kebangsaan. Sebuah petisyen dengan ratusan ribu tandatangan diserahkan pada tahun 1839 tetapi ditolak oleh kerajaan.

Satu lagi isu dengan pilihan raya di Perancis ialah sempadan kawasan pilihan raya dilukis berasaskan data bancian demografik yang tidak dikemas kini. Dengan pertumbuhan sektor perindustrian dan urbanisasi di bahagian utara Perancis, banyak kerusi dalam Dewan Perwakilan dipilih dari kawasan yang mempunyai sedikit pengundi sahaja, di mana mereka senang dibeli oleh elit politik seperti Guizot. Bandar Paris dengan penduduk mencecah 1 juta orang hanya diwakili oleh 12 orang ahli parlimen, sementara bandar-bandar lain yang pesat bertumbuh pada masa itu diwakili oleh 1 atau 2 orang ahli parlimen sahaja. Dalam erti kata lain, walaupun François Guizot nampaknya mendapat sokongan besar dalam Dewan Perwakilan, hakikatnya kerajaan yang dipimpinnya hanya disokong oleh segelintir kecil orang kaya.
Menjelang tahun 1840-an, gerakan menuntut pembaharuan menyeluruh terhadap sistem perwakilan politik mula berkembang pesat, tetapi Guizot enggan mendengar tuntutan pembaharuan itu. Bagi Guizot, sebarang pembaharuan politik akan membuka pintu kepada satu lagi revolusi yang tidak boleh diterima oleh golongan elit pemerintah. Namun, ketegasan dan kedegilan Guizot untuk menolak sebarang pembaharuan dengan niat hendak mengelakkan revolusi itulah yang mencetuskan revolusi!
Dalam Konfederasi Jerman, hanya Sachsen, Bayern dan Baden mempunyai perlembagaan, di mana persoalan politik yang utama di situ adalah tentang memperbaharui perlembagaan dan memperluaskan perwakilan politik; sementara negeri-negeri Jerman lain, termasuk Prusia, masih mengekalkan sistem pemerintahan monarki berkuasa mutlak.
Penduduk-penduduk di negeri-negeri Jerman di bahagian barat lebih cenderung kepada fahaman politik liberal kerana pembangunan perindustrian moden yang lebih pesat, sementara masyarakat di bahagian timur Jerman lebih konservatif kerana masih mengamalkan ekonomi pertanian yang tradisional. Prusia yang terletak di bahagian timur Jerman dikuasai oleh golongan bangsawan tuan tanah yang juga mendominasi lapisan atas tentera, birokrasi dan jentera kerajaan.
Apabila Prusia ditewaskan oleh Napoleon dalam Perang Gabungan Keempat (1806-1807), Raja Friedrich Wilhelm III dari Prusia pada masa itu melancarkan pembaharuan untuk memodenkan pentadbiran, kewangan dan pendidikan di negara itu, supaya mengeluarkan Prusia daripada kemelut kekalahan perang dan membayar pampasan yang dituntut oleh Perancis. Raja Friedrich Wilhelm III pernah berjanji berulang kali untuk menggubal perlembagaan dan menubuhkan sebuah parlimen Pan-Jerman, tetapi janji itu tidak dikotakan apabila susunan politik konservatif dipulihkan di Eropah berikutan penumpasan rejim Napoleon pada tahun 1815. Raja Friedrich Wilhelm III mewujudkan rejim pemerintahan berkuasa mutlak yang konservatif, selaras dengan visi Klemens von Metternich untuk Eropah.

Selepas Raja Friedrich Wilhelm III mati pada tahun 1840, Raja Friedrich Wilhelm IV yang menggantikannya merupakan seorang pendukung fahaman absolutisme yang konservatif. Walau bagaimanapun, oleh sebab tertarik dengan gerakan kesenian Romantisisme, Raja Friedrich Wilhelm IV menaja banyak usaha kesenian dan kebudayaan Jerman yang Romantik, tetapi idea Romantisisme yang dipegangnya memfokus pada “kegemilangan” zaman feudal Jerman, bukannya pandang ke hadapan. Raja Friedrich Wilhelm IV menyokong penyatuan Pan-Jerman, tetapi ia harus berada di bawah dominasi kuasa besar seperti Prusia. Dia menganggap dirinya sebagai “bapa pelindung” kepada rakyatnya, bukan sebagai “raja rakyat” di bawah sistem raja berperlembagaan. Walaupun Raja Friedrich Wilhelm IV juga pernah menjanjikan pembaharuan perlembagaan liberal, dia tidak pernah menepati janjinya, maka mengundang kekecewaan dalam kalangan golongan liberal.
Apabila Berlin dilanda rusuhan “Revolusi Ubi Kentang” pada tahun 1847 akibat krisis makanan, Raja Friedrich Wilhelm IV cuba berkompromi dengan memanggil persidangan parlimen kebangsaan untuk mendapatkan kelulusan lebih banyak dana. Namun, parlimen kebangsaan yang bersidang itu terus menuntut penggubalan perlembagaan bagi Prusia sebelum bersetuju untuk meluluskan dana kepada raja. Raja Friedrich Wilhelm IV membubarkan parlimen kebangsaan itu tidak lama kemudian kerana tidak mahu mendengar lagi tentang tuntutan untuk perlembagaan.
Fahaman nasionalisme dan liberalisme saling bersilang atau boleh dikatakan perkara yang sama bagi golongan yang menuntut pembaharuan di negeri-negeri Jerman yang bergabung dalam Konfederasi Jerman. Golongan nasionalis liberal Jerman memperjuangkan penyatuan Jerman dan pembaharuan perlembagaan yang memperluaskan hak kebebasan sivil. Idea-idea nasionalis dan liberal disebarkan oleh kumpulan persaudaraan pelajar yang dikenali sebagai Burschenschaft.

Pesta Hambach yang dianjurkan pada 27-30 Mei 1832 di wilayah Pfalz yang dikuasai oleh Kerajaan Bayern, walaupun menyamar sebagai acara keramaian yang tiada unsur politik, telah digunakan oleh golongan intelek nasionalis liberal Jerman sebagai kesempatan mengadakan aksi perhimpunan untuk membantah percukaian yang membebankan rakyat dan penapisan politik. Bendera tiga warna (hitam, merah dan emas), lambang gerakan republikan Jerman dan penyatuan masyarakat berbahasa Jerman yang kemudiannya menjadi bendera kebangsaan Jerman, telah dikibarkan semasa Pesta Hambach, sementara lagi “Fürsten zum Land Hinaus!” (“Putera-putera berambus keluar dari negeri ini!”) yang dinyanyikan pertama kali dalam pesta itu menjadi lagu popular dalam kalangan golongan nasionalis liberal yang hendak memansuhkan pemerintahan monarki dan menubuhkan sebuah republik.
Pada 3 April 1833, kira-kira 50 orang pelajar yang kebanyakannya anggota Burschenschaft menyerang ibu pejabat polis di bandar Frankfurt dalam cubaan untuk menguasai perbendaharaan Konfederasi Jerman dan melancarkan revolusi, tetapi dipatahkan dengan mudah kerana pihak polis sudah mengetahui rancangan mereka terlebih dahulu. Berikutan peristiwa itu, bandar Frankfurt diduduki oleh tentera Austria dan Prusia, sementara ramai orang ditahan. Sesetengah pelajar itu dapat melarikan diri ke Amerika Syarikat, di mana salah seorang daripada mereka, Gustav Körner (1809-1896) kemudiannya dipilih menjadi Leftenan Gabenor Illinois pada tahun 1853-1857.

Di bawah suasana politik yang represif, golongan kelas menengah di negeri-negeri Konfederasi Jerman menjauhi diri daripada politik, sementara mengalihkan perhatian kepada aktiviti kesenian dan kebudayaan. Tempoh masa dari tahun 1815 hingga 1848 yang menyaksikan kemunculan semangat nasionalis liberal tetapi ditekan hebat di bawah kekuasaan absolutis di negeri-negeri Jerman itu dikenali sebagai “Vormärz” (Pra-Mac).
Di Empayar Austria pula, apabila Maharaja Franz I mati pada tahun 1835 dan takhtanya diserahkan kepada anaknya yang menghidapi penyakit epilepsi, Ferdinand I, kuasa pemerintahan yang sebenar dipegang oleh dua orang menteri kanan yang menganggotai badan pemangku pemerintah “Majlis Negara Rahsia” (Geheime Staatskonferenz), iaitu Klemens von Metternich dan Franz Anton von Kolowrat-Liebsteinsky (1778-1861). Namun, Metternich dan Kolowrat sentiasa berselisih kerana pandangan politik yang berbeza sehingga melumpuhkan pentadbiran Austria.
Ketegasan Metternich untuk mengekalkan susunan imbangan kuasa “Konsert Eropah” telah menghabiskan banyak dana dan sumber Empayar Austria. Kolowrat dianggap berpendirian lebih liberal berbanding Metternich yang ultra-konservatif. Kolowrat tidak bersetuju dengan pendirian Metternich untuk mengekalkan tentera dan jentera polis yang besar, tetapi dia berpandangan begitu kerana khuatir pada kekangan kewangan kerajaan imperial Austria pada masa itu. Kolowrat lebih bersimpati pada tuntutan nasional yang dibawa oleh penduduk-penduduk di wilayah-wilayah dalam Empayar Austria untuk autonomi tempatan yang lebih besar, tetapi berasaskan pertimbangan pragmatik.
Walau bagaimanapun, gerakan pembaharuan di wilayah induk Austria semakin berkembang dalam kalangan golongan intelek, bangsawan liberal dan kelas menengah borjuis yang tertumpu di bandar Vienna, ibu negara Austria. Mereka mempersoal dan mencabar cara jentera negara empayar itu berfungsi. Walaupun kebebasan akhbar dan kebebasan berpersatuan disekat, fahaman liberal masih berkembang pesat dalam kalangan pelajar-pelajar dan mereka yang mendapat pendidikan di universiti-universiti Jerman.
Sebahagian besar golongan liberal kelas menengah menyedari bahawa buruh paksaan adalah tidak efisien dan ekonomi Austria harus mengamalkan sistem buruh upah. Golongan bangsawan liberal berhasrat untuk mendapatkan lebih banyak kuasa supaya melindungi kepentingan harta mereka. Golongan profesional kelas menengah pula menuntut lebih banyak akses demokratik dalam politik. Walau bagaimanapun, golongan liberal di Vienna merupakan reformis bukannya revolusioner. Mereka hanya menuntut pembaharuan, bukannya menjatuhkan maharaja, dan semestinya bukan mengubah sistem keseluruhan. Mereka juga berpandangan bahawa masalah terbesar yang dihadapi oleh Empayar Austria ialah absolutisme yang stagnan dan korup, dengan Klemens von Metternich sebagai penghalang utama kepada sebarang usaha pembaharuan.
Buku-buku dan risalah-risalah yang diterbitkan di negeri-negeri Jerman diseludup masuk ke Vienna untuk disebarkan dalam kalangan golongan yang mendukung pembaharuan. Salah sebuah buku yang berpengaruh ialah “Austria dan Masa Depannya” (Österreich und dessen Zukunft, 1842) yang ditulis oleh Victor Franz von Andrian-Werburg (1813-1858), di mana ia berhujah bahawa punca masalah yang dihadapi oleh Empayar Austria adalah birokrasi berpusat, dan kuasa patut dibahagikan kepada peringkat tempatan supaya rakyat tempatan boleh mengambil bahagian dalam pengurusan hal ehwal tempatan, sebagai satu-satu caranya untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab. Kerajaan bertanggungjawab kepada penduduk tempatan dianggap sebagai cara yang berkesan untuk meredakan perasaan permusuhan antara masyarakat tempatan (terutamanya yang bukan berbangsa Jerman) terhadap pihak berkuasa imperial yang berpusat di Vienna. Ia juga mencadangkan pembentukan sebuah Parlimen Imperial yang dianggotai oleh perwakilan dari wilayah-wilayah di seluruh Empayar Austria untuk memantau pemerintahan maharaja, menyemak cukai yang dikenakan serta perbelanjaan yang diluluskan maharaja. Hujah-hujah ini mendapat sokongan daripada golongan bangsawan yang berfahaman liberal kerana merekalah yang boleh mendominasi kerajaan tempatan yang diberikan lebih banyak autonomi.

Terdapat juga aliran liberal dalam kalangan golongan profesional di Austria menganggap bahawa golongan bangsawan tuan tanah yang mementingkan diri mereka itulah punca masalah. Oleh itu, mereka berpandangan bahawa Maharaja Austria harus bergantung pada sokongan rakyat, tetapi bagi golongan liberal, “rakyat” yang dimaksudkan itu ialah orang yang berpendidikan tinggi dan boleh melakukan kerja-kerja urus tadbir yang gagal dilaksanakan oleh golongan bangsawan yang tidak cekap. Golongan profesional kelas menengah menuntut kuasa politik yang sama rata dengan golongan bangsawan, maka perlukan sistem politik yang baharu.
Selain itu, ada juga pandangan yang lebih radikal, iaitu memperluaskan penyertaan politik kepada semua rakyat, termasuk pekerja, tukang kecil, petani dan sebagainya yang membentuk majoriti penduduk Empayar Austria. Kerajaan seharusnya bersama rakyat dan untuk rakyat. Golongan pembaharu radikal ini mengadvokasi penghapusan sepenuh sistem feudal dan pembentukan sebuah perhimpunan kebangsaan yang benar-benar mewakili rakyat, terutamanya kelas bawahan yang melakukan hampir semua kerja dan membayar kebanyakan cukai.
Walau bagaimanapun, kebanyakan golongan liberal di Austria hanya mahu pembaharuan terhadap sistem pemerintahan yang dianggap kurang cekap dalam mengekalkan penyatuan Empayar Austria, tidak semestinya perlembagaan yang demokratik. Apa yang dianggap sebagai penghalang utama kepada usaha pembaharuan yang moderat itu ialah Klemens von Metternich, maka dia menjadi sasaran utama bagi gerakan liberal di Austria.
Hungary, yang merupakan wilayah terbesar dalam Empayar Austria, mempunyai autonomi yang agak besar dan sudah lama ditadbir di bawah perlembagaan yang tidak dikodifikasikan, iaitu Bulla Emas (Aranybulla) yang dikemukakan oleh Raja András II pada tahun 1222, untuk melindungi kepentingan golongan bangsawan tempatan yang membentuk kira-kira 5% daripada penduduk di situ. Golongan bangsawan Hungary tidak mempunyai hierarki yang bertingkat-tingkat seperti tempat lain di Eropah. Bulla Emas mengehadkan kuasa raja dan memberi banyak kuasa kepada Diet Hungary atau Parlimen Hungary (Országgyűlés), sebuah dewan perundingan rasmi yang dianggotai oleh golongan bangsawan, maka mewujudkan pemerintahan bangsawan berperlembagaan yang unik.
Kerabat Habsburg yang berpusat di Vienna mula menguasai mahkota diraja Hungary pada tahun 1526 selepas Pertempuran Mohács yang menyaksikan kekalahan tentera Hungary dalam tangan tentera Empayar Uthmaniyah dan negara yang merdeka itu dipecahkan. Pernah berlaku beberapa pemberontakan terhadap pemerintahan Habsburg tetapi dipatahkan, antara yang terkenal ialah perang kemerdekaan pada tahun 1703-1711 yang dipimpin oleh Ferenc II Rákóczi (1676-1735).
Hubungan antara golongan bangsawan tempatan dan golongan pemerintah Habsburg yang berpusat di Vienna agak kompleks: hubungannya baik apabila pemerintah Habsburg menghormati autonomi Hungary, hubungannya tegang apabila pemerintah Habsburg cuba mengamalkan absolutisme berpusat.
Selain itu, daerah-daerah di dalam Hungary juga mempunyai autonomi yang besar, maka turut menjadi penghalang kepada pembentukan kekuasaan mutlak Dinasti Habsburg di situ. Sehingga tahun 1848, pentadbiran kerajaan Hungary tidak terlalu dipengaruhi oleh pemusatan kuasa kerajaan Empayar Austria, maka mempunyai ruang yang lebih besar untuk membawa pembaharuan sejak tahun 1830-an. Malah, pembaharuan yang dilakukan di Hungary mempengaruhi golongan liberal di Vienna tentang usaha pembaharuan yang boleh dilakukan.
Selepas kejatuhan Napoleon, ramai dalam kalangan warga Hungary yang berpendidikan tinggi bertindak balas terhadap kecenderungan absolutis Klemens von Metternich, dengan mengalihkan tumpuan mereka kepada bahasa, kebudayaan dan sejarah Hungary. Oleh itu, berkembangnya fahaman nasionalisme patriotik Hungary dalam kalangan elit intelek di situ. Terdapat dua orang tokoh politik penting pada zaman pembaharuan di Hungary: István Széchenyi (1791-1860) dan Lajos Kossuth (1802-1894).

István Széchenyi, yang berasal daripada sebuah keluarga bangsawan lama di Hungary, menyertai tentera Austria semasa dia berusia 17 tahun dan pernah bertempur dalam Perang Napoleon. Apabila tamatnya Perang Napoleon, Széchenyi mengembara ke banyak tempat di Eropah Barat dan membuka matanya tentang kemajuan masyarakat di situ berbanding tanah airnya yang jauh mundur di belakang. Oleh itu, setelah kembali ke Hungary, Széchenyi berdedikasi untuk mengadvokasi pembaharuan dan pemodenan dalam semua aspek masyarakat. Széchenyi mendukung usaha memupuk dan meraikan kebudayaan Hungary. Széchenyi pernah menderma pendapatan setahunnya untuk menubuhkan Akademi Sains Hungary pada tahun 1825, di mana kemurahan hatinya menggalakkan orang lain turut menderma.
Széchenyi juga mengemukakan pandangannya yang menggesa golongan bangsawan lain untuk melepaskan hak keistimewaan feudal mereka, khususnya pengecualian bangsawan daripada percukaian. Széchenyi berpendapat bahawa selagi kerajaan dilarang daripada mengambil kekayaan sebenar di dalam negara, negara itu akan sentiasa mundur. Széchenyi memberi perhatian dalam usaha mendesak pembangunan infrastruktur, termasuk pembinaan jambatan yang menghubungkan kedua-dua bandar Buda dan Pest merentasi Sungai Danube.
Walaupun bercita-cita untuk memajukan Hungary, Széchenyi bukannya seorang nasionalis yang tegar. Dia menyedari bahawa Hungary merupakan sebuah negeri yang multi-etnik, maka mengadvokasi dasar yang hanya berpihak pada orang Magyar (iaitu kumpulan etnik terbesar di Hungary) akan mengasingkan kumpulan etnik minoriti yang lain di Hungary. Széchenyi hendak mereformasikan Hungary dan memperbaharui hubungan Hungary dengan pemerintahan pusat di Vienna tanpa berpecah keluar daripada Empayar Austria. Széchenyi ialah seorang reformis, bukannya revolusioner, kerana dia percaya bahawa segala perubahan perlu mengambil masa yang lama dan Hungary akan dapat menambah baik keadaannya secara beransur-ansur.
Apabila jambatan yang menghubungkan Buda dan Pest mula dibina pada tahun 1840, pengaruh politik Széchenyi mula dipintas oleh Lajos Kossuth, seorang ahli politik nasionalis muda yang penuh bersemangat pada masa itu. Lajos Kossuth, yang berasal daripada keluarga bangsawan bawahan, mula terlibat dalam politik selepas menyertai firma guaman milik bapanya pada usia 19 tahun. Kossuth pernah dilantik sebagai perwakilan dalam Parlimen Hungary pada tahun 1825-1827 dan 1832-1836. Kossuth telah menulis laporan terperinci tentang perbahasan dalam persidangan Parlimen Hungary dan diedarkan secara persendirian dalam kalangan ahli-ahli perwakilan kerana kerajaan pusat Habsburg melarang penerbitan laporan persidangan Parlimen Hungary. Selepas Parlimen Hungary dibubarkan pada tahun 1836, Kossuth meneruskan penulisan laporannya tentang perbahasan di dewan-dewan perhimpunan daerah. Dengan itu, Kossuth muncul sebagai seorang tokoh pemikir liberal yang mendapat perhatian ramai.
Kossuth menyeru untuk memperluaskan demokrasi berparlimen, mempercepatkan pembangunan perindustrian, melaksanakan percukaian am, mengembangkan ekonomi melalui peningkatan eksport, menghapuskan sistem perhambaan tani dan membatalkan hak istimewa golongan bangsawan. Kossuth ditahan pada tahun 1837, bersama-sama beberapa orang pemimpin pembangkang liberal yang lain, seperti Miklós Wesselényi (1796-1850), atas pertuduhan mengkhianati negara.
Selepas Kossuth ditahan di penjara di bandar Buda selama setahun semasa menunggu perbicaraan, dia dihukum penjara 4 tahun lagi. Pemenjaraan Kossuth dan pemimpin pembangkang lain telah mendapat perhatian ramai warga Hungary. Apabila Parlimen Hungary bersidang semula pada tahun 1839, ahli-ahli parlimen bersepakat untuk tidak menjalankan apa-apa urusan rasmi sehingga semua tahanan politik, termasuk Kossuth, dibebaskan.

Kossuth dibebaskan pada tahun 1840 dan sejak itu menjadi ikon kebangsaan Hungary. Pada tahun 1841, Kossuth menerima tawaran kerja sebagai pengarang untuk Pesti Hírlap, sebuah akhbar liberal yang baru mendapat lesen penerbitan pada masa itu, dan membantunya menjadi akhbar yang paling popular di Hungary. Kossuth kemudiannya dipilih sebagai ahli perwakilan dalam Parlimen Hungary pada tahun 1847, mewakili daerah Pest.
Dari tahun 1841 hingga 1848, wujudnya perbahasan hebat dalam kalangan golongan pembaharu di Hungary. Di situlah pandangan Kossuth yang lebih radikal bertembung dengan pandangan István Széchenyi yang lebih moderat. Széchenyi mengadvokasi penambahbaikan secara beransur-ansur dan berperingkat; sementara Kossuth memperjuangkan pembaharuan sekarang juga, bukannya kemudian, termasuk mengenakan cukai ke atas golongan bangsawan, menghapuskan sistem feudal dan menuntut pada kerajaan pusat Vienna supaya menghormati rakyat Hungary.
Széchenyi mendukung dasar ekonomi yang berasaskan prinsip-prinsip laissez-faire pasaran bebas model Anglo-Saxon seperti yang diamalkan oleh Britain; sementara Kossuth menyokong pelaksanaan dasar perlindungan tarif untuk membantu sektor perindustrian Hungary yang lebih lemah. Széchenyi hendak memelihara sektor pertanian sebagai tunjang utama ekonomi Hungary; sementara Kossuth bercita-cita untuk menjadikan Hungary sebuah negara perindustrian yang pesat membangun. Dalam aspek hubungan luar, Széchenyi mengambil pendekatan pengasingan antarabangsa, iaitu tidak terlibat dalam apa-apa hal ehwal politik negara lain; sementara Kossuth mendukung idea internasionalisme liberal yang menganggap bahawa hubungan dan kerjasama dengan gerakan-gerakan liberal dan progresif di peringkat antarabangsa adalah penting untuk usaha pembebasan daripada pemerintahan absolutis.
Kossuth dan Széchenyi juga mempunyai pendirian yang berbeza dalam persoalan Magyarisasi, iaitu: Patutkah bahasa dan budaya Magyar (sebagai kumpulan etnik terbesar di Hungary) menjadi bahasa dan budaya yang dominan di Hungary? Magyarisasi ialah dasar atau proses integrasi masyarakat pelbagai etnik yang hidup di Hungary berasaskan identiti bahasa dan budaya kumpulan etnik Magyar.
Széchenyi tidak bersetuju dengan Magyarisasi, kerana dia berpendapat bahawa kumpulan etnik minoriti patut diberikan ruang untuk mengamalkan dan mengembangkan bahasa serta budaya mereka. Kossuth pula mendukung kuat dasar Magyarisasi kerana dia menganggap proses asimilasi kumpulan-kumpulan etnik bukan Magyar yang tinggal di wilayah Hungary dapat membantu dalam membina sebuah negara bangsa Magyar atau Hungary yang bersatu dan kuat supaya membebaskan Hungary daripada dominasi imperial Habsburg. Kossuth berhujah bahawa bahasa Magyar harus dijadikan bahasa yang digunakan secara eksklusif dalam kehidupan awam di Hungary. Dia berkata, “Adalah tidak mungkin untuk bertutur dalam seratus jenis bahasa yang berlainan di dalam sebuah negara. Harus adanya satu bahasa dan di Hungary ini seharusnya bahasa Hungary (Magyar).” Széchenyi mengkritik pandangan Kossuth kerana ia melaga-lagakan satu bangsa dengan bangsa lain di dalam negara yang sama.
Itali yang berpecah-belah sejak abad ke-6 mula didominasi oleh Austria Habsburg pada abad ke-18. Selepas Empayar Perancis Pertama yang pernah menguasai Itali selama lebih satu dekad ditumpaskan, walaupun sempadan negara sebelum penaklukan Napoleon dipulihkan, pengagihan kepentingan geopolitik antara kuasa-kuasa besar dalam Kongres Vienna telah meletakkan seluruh Itali di bawah lingkungan pengaruh Empayar Austria.
Negeri Kerajaan Lombardo-Veneto terus diilhakkan ke dalam Empayar Austria; sementara negeri-negeri seperti Parma, Modena dan Toscana dikuasai secara tidak langsung oleh Kerabat Habsburg. Kerajaan Piedmont-Sardinia yang merangkumi wilayah Genova selepas Kongres Vienna berkedudukan sebagai sebuah negara merdeka, ia masih berfungsi di bawah pengaruh hegemoni Austria dan dijadikan negara penampan terhadap Perancis. Negeri-negeri Paus, iaitu wilayah-wilayah di bahagian tengah Semenanjung Itali yang diperintah secara langsung oleh Paus (ketua Gereja Katolik Rom), tidak dapat terlepas daripada cengkaman pengaruh kekuasaan Austria. Di bahagian selatan Itali, Kerajaan Dua Sicilia, yang ditubuhkan pada tahun 1816 dengan menggabungkan Kerajaan Sicilia dan Kerajaan Napoli, juga berada di bawah naungan kuasa Empayar Austria. Walaupun penduduk-penduduk yang tinggal di Napoli (ibu negara Dua Sicilia) atau Firenze (ibu negara Toscana) tidak diperintah secara langsung oleh kerajaan imperial Austria, pemerintah mereka diperintah secara langsung oleh Dinasti Habsburg di Vienna.
Gerakan politik yang memperjuangkan penyatuan Itali dan pembebasannya daripada cengkaman kuasa besar mula berkembang khususnya selepas kejatuhan Napoleon. Gerakan Penyatuan Itali juga dikenali sebagai “Risorgimento” (bermaksud “Kebangkitan Semula”). Salah sebuah kumpulan nasionalis Itali yang terkenal ialah Carbonari yang pernah terlibat dalam pemberontakan pada tahun 1820 dan 1831.

Menjelang tahun 1840-an, situasi politik di Itali bergelora lagi dengan ruang untuk perubahan nampaknya semakin terbuka. Terdapat tiga orang tokoh yang mewakili tiga aliran yang boleh membawa perubahan kepada keadaan di Itali pada masa itu, iaitu: Giuseppe Mazzini (1805-1872) yang mewakili gerakan revolusioner republikan, Raja Carlo Alberto (1798-1849) dari Piedmont-Sardinia, dan Paus Pius IX (1792-1878) yang baru mengambil alih kuasa pemerintahan Negeri-negeri Paus pada tahun 1846.
Giuseppe Mazzini ialah seorang nasionalis Itali dan penghasut revolusioner yang sangat berpengaruh pada masa itu. Mazzini mengidamkan pembebasan nasional bagi semua rakyat yang ditindas oleh kuasa besar. Mazzini menyertai gerakan Carbonari ketika berusia 22 tahun, tetapi ditangkap dan dipenjarakan tidak lama kemudian. Selepas dia dibebaskan dari penjara, dia mengasaskan gerakan “Itali Muda” (La Giovine Italia) pada tahun 1831 di Marseille, Perancis. “Itali Muda” memperjuangkan pembentukan sebuah republik Itali yang bebas, merdeka dan bersatu dengan setiap rakyat adalah sama rata. Mazzini berpandangan bahawa pemberontakan rakyat di wilayah-wilayah yang diperintah oleh kerajaan reaksioner dan diduduki oleh Empayar Austria boleh membentuk Itali yang bersatu.
Gerakan Itali Muda telah diharamkan oleh kerajaan Austria dan sesiapa yang menganggotainya boleh dihukum mati. Keanggotaan gerakan Itali Muda mencecah kira-kira 60,000 orang pada tahun 1833, tetapi ramai anggotanya ditangkap dan dihukum mati oleh polis Kerajaan Piedmont-Sardinia kerana terlibat dalam perancangan pemberontakan pada tahun yang sama.
Selepas satu lagi pemberontakan yang gagal di Piedmont-Sardinia pada bulan Februari 1834, Giuseppe Garibaldi (1807-1882), salah seorang rakan perjuangan penting Mazzini, belayar ke Amerika Selatan dan menyertai perjuangan revolusioner di situ; sementara Mazzini diusir keluar dari Perancis dan terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat lain.

Semasa berada di Switzerland pada bulan April 1834, Mazzini membantu dalam menubuhkan “Eropah Muda”, sebuah gerakan yang memperjuangkan matlamat yang serupa dengan Itali Muda tetapi merangkumi semua bangsa di benua Eropah. Gerakan Eropah Muda ialah organisasi revolusioner antarabangsa yang menjadi mimpi ngeri bagi Klemens von Metternich, maka Mazzini dianggap sebagai musuh paling besar yang diburu oleh polis rahsia Austria.
Mazzini ditangkap di bandar Solothurn pada bulan Mei 1834 dan diusir keluar dari Switzerland. Mazzini berpindah ke Paris, tetapi ditahan lagi di situ dan hanya dibebaskan selepas dia berjanji akan berpindah ke England. Mazzini mula tinggal di London pada tahun 1837. Semasa di London, berlakunya skandal di mana kerajaan British membuka dan membaca surat-menyurat peribadi Mazzini, sesuatu tindakan yang bertentangan dengan norma kebebasan sivil dan hak untuk privasi yang ditegakkan dalam masyarakat British pada masa itu.
Walaupun gerakan “Itali Muda” yang dipimpin oleh Mazzini itu agak berpengaruh, ia bukannya satu-satu kuasa politik yang mampu memperjuangkan sebuah republik berperlembagaan yang bersatu, malah ramai dalam kalangan golongan Patriot Itali menyedari bahawa penyatuan Itali dan pembebasan daripada bayangan kekuasaan Austria tidak mungkin tercapai tanpa peperangan langsung dengan tentera Austria. Pada masa itu, satu-satunya entiti politik di Itali yang boleh menawarkan kekuatan tentera untuk berperang dengan Austria demi menjayakan projek penyatuan Itali ialah Kerajaan Piedmont-Sardinia yang agak anti-republik dan anti-perlembagaan.

Carlo Alberto mula bertakhta sebagai Raja Piedmont-Sardinia pada tahun 1831. Semasa menjadi pemangku raja sementara pada tahun 1821 apabila Raja Vittorio Emanuele I berundur takhta kerana pemberontakan golongan Carbonari, Carlo Alberto mempersetujui penggubalan perlembagaan yang bermodelkan “Perlembagaan Sepanyol 1812” tetapi kemudiannya menarik balik sokongannya kepada revolusi itu. Oleh itu, golongan konservatif tidak mempercayai Carlo Alberto kerana sokongan sementaranya kepada golongan liberal, sementara golongan liberal benci padanya kerana mengkhianati usaha pembaharuan liberal.
Apabila Carlo Alberto mengambil alih takhta diraja Piedmont-Sardinia, sudah pasti dia telah meyakinkan Klemens von Metternich bahawa dia tidak akan menawarkan perlembagaan kepada rakyatnya. Mazzini pernah menulis surat kepada Raja Carlo Alberto untuk meminta bantuan daripadanya dalam usaha menyatukan Itali, tetapi Raja Carlo Alberto tidak mempedulikan permintaan itu. Raja Carlo Alberto agak konservatif dan taat setia pada kekuasaan Habsburg Austria sepanjang tahun 1830-an sehingga pertengahan tahun 1840-an. Malah, kerajaannya pernah menangkap, menyeksa, membuang negeri dan menghukum ramai orang Patriot Itali yang merupakan kawan Giuseppe Mazzini, seperti Jacopo Ruffini (1805-1833). Mazzini memang tidak dapat meyakinkan dirinya dengan idea Raja Carlo Alberto memimpin revolusi di Itali.
Namun, oleh sebab sentimen nasionalis yang semakin berkembang, tekanan daripada golongan liberal dan Empayar Austria yang kelihatan semakin dibelenggui masalah kelemahan pemerintahan, Raja Carlo Alberto mula memberi isyarat pada pertengahan tahun 1840-an bahawa dia bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada usaha revolusioner penyatuan Itali. Raja Carlo Alberto juga semakin muak dengan dominasi kekuasaan dari Vienna dan mempunyai cita-cita untuk menjadi Raja Itali. Raja Carlo Alberto mula memperbesarkan tenteranya sebagai persiapan untuk bertembung dengan tentera Austria.
Pemilihan Giovanni Maria Mastai-Ferretti sebagai Paus pada tahun 1846, dengan mengambil gelaran Paus Pius IX, merupakan satu titik perubahan penting dalam sejarah Gereja Katolik Rom, dan dia dianggap oleh golongan Patriot Itali sebagai satu lagi kuasa yang boleh membantu dalam menjayakan usaha perjuangan Risorgimento. Semasa Giovanni Maria Mastai-Ferretti menjadi Ketua Uskup di Itali pada lewat tahun 1820-an dan awal tahun 1830-an, dia mendapat reputasi sebagai rakan kepada golongan miskin dan golongan bawahan, di samping menunjukkan perangai yang agak bertolak ansur terhadap golongan revolusioner patriotik Itali.
Selepas dipilih sebagai Paus pada tahun 1846, Pius IX membebaskan sebilangan besar tahan politik dan melaksanakan pembaharuan untuk menambah baik pentadbiran Negeri-negeri Paus, maka menjadikannya seorang yang agak popular di Itali tetapi mencetuskan kemarahan Klemens von Metternich di Vienna. Paus Pius IX telah dianggap oleh ramai revolusioner sebagai seorang tokoh yang dapat menyatukan rakyat di seluruh Itali. Malah, Raja Carlo Alberto dari Piedmont-Sardinia juga menawarkan sokongannya kepada Paus Pius IX dan melonggarkan beberapa undang-undang yang menyekat di Piedmont-Sardinia selaras dengan usaha pembaharuan yang dibawa oleh Paus Pius IX. Paus Pius IX tidak berpuas hati bahawa Gereja Katolik Rom telah dijadikan vasal di bawah naungan Empayar Austria. Dia mengidamkan lebih banyak kebebasan, autonomi dan maruah untuk Gereja Katolik Rom serta Negeri-negeri Paus.

Walaupun harapan untuk revolusi yang menyatukan Itali diletakkan ke atas seorang raja yang tidak revolusioner dan seorang Paus yang juga tidak revolusioner, oleh sebab kedua-dua orang pemimpin yang tidak revolusioner itu tidak berpuas hati dengan dominasi Austria terhadap Itali, mereka masih memberi harapan besar kepada golongan revolusioner.
Walaupun benua Eropah terjerumus dalam krisis ekonomi yang teruk dan dibelenggui persoalan politik yang serius, hampir tiada orang pada masa itu boleh menjangkakan sebuah gelombang revolusi yang hebat akan tercetus dan menular ke seluruh benua itu dalam masa yang singkat. Golongan pemerintah di Eropah, sama ada rejim-rejim reaksioner konservatif yang berlandaskan visi Metternich atau Monarki Julai di Perancis yang diterajui oleh seorang “Rakyat Borjuis” dan Perdana Menterinya Guizot, masih menganggap bahawa mereka boleh memerintah seperti biasa dan mematahkan sebarang kebangkitan masyarakat. “Gunung berapi” di mana mereka duduk di atas itu, seperti yang dikatakan oleh Alexis de Tocqueville, akhirnya meletup juga…
Pembuka tirai tahun 1848 di Itali
Pada musim panas tahun 1847, golongan kelas menengah dan kelas atasan di bandar Rom, iaitu ibu negara kepada Negeri-negeri Paus, mula mendesak untuk menubuhkan Pengawal Sivik di Rom dengan mencontohi Pengawal Kebangsaan di Perancis, sebagai badan untuk menjaga ketenteraman domestik, tetapi ramai juga mengharapkan ia berfungsi sebagai kuasa ketenteraan untuk mempertahankan Rom daripada ancaman tentera asing (seperti Austria). Paus Pius IX agak keberatan untuk bersetuju dengan tuntutan itu, tetapi di bawah tekanan rakyat yang hebat, Pengawal Sivik di Rom ditubuhkan pada bulan Julai 1847.

Pada penghujung bulan Julai 1847, sebuah pemberontakan kecil tercetus di bandar Ferrara yang terletak di dalam wilayah Negeri-negeri Paus di bahagian utara Itali. Demi membendung pemberontakan di situ merebak ke tempat lain, Fil Marsyal Joseph Radetzky von Radetz (1766-1858), komander tentera Empayar Austria di Kerajaan Lombardo-Veneto dengan sempadannya tidak jauh dari situ, mengarahkan tenteranya untuk merentasi sempadan, mematahkan pemberontakan dan menduduki bandar Ferrara. Paus Pius IX yang marah dengan tindakan pencabulan kedaulatan Negeri-negeri Paus itu menghantar surat bantahan kepada Klemens von Metternich di Vienna. Pendudukan tentera Austria di Ferrara yang berterusan sehingga penghujung tahun 1847 mewujudkan ketegangan hubungan antara Paus Pius IX dan Empayar Austria, sementara memberi harapan kepada golongan nasionalis Itali bahawa bantahan Paus terhadap Vienna akan diterjemahkan kepada tindakan patriotik yang lebih tegas.
Pada masa yang sama, di Lombardo-Veneto yang berada di bawah kekuasaan langsung Austria, hubungan antara penduduk-penduduk Itali tempatan dan pihak berkuasa Austria menjadi semakin tegang. Walaupun warga Itali hanya membentuk satu perenam daripada jumlah penduduk di Empayar Austria, mereka menyumbang satu pertiga daripada hasil kerajaan Austria. Oleh sebab petisyen untuk menuntut pembaharuan tidak mendapat maklum balas yang memuaskan daripada kerajaan pusat di Vienna, penduduk-penduduk di Milan, ibu negeri Lombardo-Veneto, memutuskan untuk berhenti daripada menyumbangkan dana kepada Vienna sehingga kerajaan pusat Austria mengiktiraf warga Itali sebagai anggota masyarakat yang penting dan menghormati hak mereka. Mendapat ilham daripada aksi “Jamuan Teh Boston” semasa Revolusi Amerika, warga Milan melancarkan kempen untuk memboikot dua sumber hasil Vienna, iaitu produk tembakau dan loteri negara. Pada 1 Januari 1848, sebagai tanda protes, warga Milan berhenti daripada merokok dan berjudi.

Selepas mendapat tahu tentang tindakan boikot warga Milan, Fil Marsyal Radetzky memberikan 6 batang rokok kepada setiap orang askar Austria dan mengarahkan mereka untuk merokok secara terbuka di bandar Milan di hadapan orang yang hendak berhenti merokok. Tindakan provokasi itu berhasil pada 3 Januari 1848, apabila seorang warga Milan yang marah merampas rokok dari mulut seorang askar Austria, dan askar-askar Austria bertindak balas dengan memukul warga Milan itu serta orang lain. Pergaduhan itu mencetuskan rusuhan dan pihak berkuasa mengarahkan tentera untuk menyuraikan orang ramai yang berhimpun di tempat awam. Pasukan tentera Austria menyerbu orang ramai dengan pedang dan bayonet, sehingga membunuh 6 orang dan mencederakan lebih 50 orang. Fil Marsyal Radetzky sentiasa berpendapat bahawa perlu menggunakan keganasan untuk mematahkan pemberontakan rakyat demi menjamin kestabilan pemerintahan. Dia pernah berkata, “Tiga hari pertumpahan darah akan memberikan kita tiga puluh tahun keamanan.”
“Rusuhan Rokok” itu dipatahkan dan ketenteraman dipulihkan di Milan, tetapi hanya buat sementara waktu. 9 hari selepas Rusuhan Rokok di Milan, satu pemberontakan yang berasingan tercetus di Pulau Sicilia…
Apabila tentera Napoleon menceroboh dan menduduki Kerajaan Napoli di bahagian selatan Itali, pemerintah daripada Kerabat Bourbon, Raja Ferdinando IV dari Napoli (juga dikenali sebagai Raja Ferdinando III dari Sicilia), melarikan diri ke Pulau Sicilia, dan pulau itu mendapat perlindungan daripada tentera laut British untuk menghalang pencerobohan tentera Perancis. Selepas Empayar Austria menewaskan Kerajaan Napoli yang diperintah oleh Joachim Murat, suami kepada adik Napoleon Bonaparte, Kerajaan Dua Sicilia (1816-1861) ditubuhkan dengan menggabungkan semula Pulau Sicilia dan Kerajaan Napoli, sementara raja yang berselindung di Pulau Sicilia kembali bertakhta di bandar Napoli dengan gelaran Raja Ferdinando I dari Dua Sicilia. Semasa di bawah perlindungan British, pemerintah Bourbon terpaksa mengemukakan sebuah perlembagaan kepada warga Sicilian pada tahun 1812, seperti Perlembagaan Sepanyol 1812, dengan sebuah parlimen yang berfungsi. Selepas raja itu pulang ke Napoli di tanah besar Itali berikutan kejatuhan Napoleon, dia terus membatalkan perlembagaan itu.

Selepas lebih tiga dekad diperintah oleh raja di Napoli tanpa perlembagaan, tambahan pula dengan krisis pertanian dan krisis ekonomi pada pertengahan tahun 1840-an yang menyusahkan lagi kehidupan rakyat, penduduk-penduduk Sicilia akhirnya memberontak pada bulan Januari 1848. Pada 12 Januari 1848, bersempena dengan sambutan hari jadi Raja Ferdinando II dari Dua Sicilia, penduduk-penduduk di bandar Palermo, yang terletak di bahagian barat laut Pulau Sicilia, membanjiri jalanan kota itu secara mengejut dengan memakai kokarde tiga warna (hijau, putih dan merah) yang merupakan lambang kebangsaan Itali. Mereka mendirikan benteng-benteng jalanan, di samping melaungkan slogan “Hidup Itali!”, “Hidup Perlembagaan Sicilia!” dan “Hidup Paus Pius IX!”.
Pertempuran jalanan tercetus antara golongan pemberontak dan pasukan tentera yang ditempatkan di situ, dengan golongan pemberontak berjaya mempertahankan bandar Palermo, sementara pemberontakan terus merebak ke seluruh Pulau Sicilia. Pejabat-pejabat kerajaan diserbu. Dokumen-dokumen cukai, hutang dan rekod polis hangus dibakar. Sebuah kerajaan sementara ditubuhkan di Palermo, dan ia mengisytihar bahawa Perlembagaan 1812 digubal semula. Namun, takhta untuk raja berperlembagaan di Sicilia dikosongkan sementara waktu kerana golongan pemberontak masih belum memutuskan sama ada terus mengangkat raja daripada Kerabat Bourbon sebagai raja mereka atau tidak.
Raja Ferdinando II mengerahkan ekspedisi ketenteraan dengan 5,000 orang askar ke Pulau Sicilia untuk mematahkan pemberontakan di situ. Namun, ekspedisi ketenteraan yang dihantar dari Napoli itu bukan sahaja gagal mematahkan rakyat yang bersenjata di seluruh Pulau Sicilia, ia juga menyebabkan kekurangan anggota tentera untuk melindungi Raja Dua Sicilia di Napoli. Ini membuka ruang kepada penduduk-penduduk di Napoli untuk bangkit memberontak terhadap pemerintahan Kerajaan Dua Sicilia. Golongan bangsawan dan pemilik harta yang kaya di Napoli mendesak Raja Ferdinando II untuk mendengar tuntutan rakyat.
25,000 orang berhimpun di hadapan istana diraja Kerajaan Dua Sicilia pada 27 Januari 1848. Pasukan berkuda yang dikerahkan untuk menyuraikan demonstrasi itu berjaya dipujuk oleh golongan demonstran untuk menyertai mereka, dengan komander pasukan berkuda itu sendiri menyerahkan petisyen rakyat kepada Raja Ferdinando II. Pada 29 Januari 1848, berhadapan dengan protes yang hebat, Raja Ferdinando II mengumumkan bahawa dia akan memenuhi tuntutan rakyat dan menggubal perlembagaan.

Namun, perlembagaan yang diperkenalkan oleh Raja Ferdinando II itu lebih cenderung kepada model “Piagam 1814” di Perancis, bukannya model Perlembagaan Sepanyol 1812. Walaupun warga Napoli menyambut baik penggubalan perlembagaan baharu, warga Sicilia pula menolaknya kerana tidak menepati tuntutan mereka. Dengan Kerajaan Dua Sicilia tidak dapat menawan semula Pulau Sicilia dengan cara ketenteraan dan warga Sicilia pula enggan tunduk kepada kekuasaan kerajaan di Napoli, Pulau Sicilia menjadi sebuah negara yang merdeka. Ruggero Settimo (1778-1863), seorang bekas pegawai tentera laut Armada Sicilia, menerajui kerajaan Sicilia yang bebas itu. Negara Sicilia yang merdeka itu dapat bertahan selama 16 bulan, di mana sepanjang tempoh itu, ia menegakkan sebuah perlembagaan yang boleh dikatakan agak maju dari segi demokrasi liberal, dan mengajukan cadangan untuk persekutuan negeri-negeri Itali yang bersatu.
Siri pergolakan yang menyaksikan pemberontakan Palermo, kemerdekaan Sicilia dan raja Dua Sicilia bersetuju untuk memperkenalkan perlembagaan, mewujudkan kesan domino di seluruh Itali. Rakyat di negeri-negeri lain di Itali juga tertanya-tanya, bila mereka juga akan mendapatkan perlembagaan mereka sendiri?
Demonstrasi tercetus di bandar Rom pada 3 Februari 1848. Pengawal Sivik yang baharu ditubuhkan itu menggantikan hiasan warna putih dan kuning yang melambangkan Paus Gereja Katolik dengan kokarde tiga warna (hijau, putih dan merah), untuk berarak di bawah panji yang menuntut kebebasan dan perlembagaan. Paus Pius IX yang cuba menghalang kebangkitan rakyat itu mengatakan bahawa dia tidak menyokong perlembagaan dan menentang sebarang cubaan untuk berperang dengan Austria, tetapi dia menamatkan ucapannya dengan ungkapan “Tuhan berkatilah Itali!” Ini menyebabkan ramai orang menganggap Paus Pius IX menyokong penyatuan Itali.
Apabila berita tentang penggubalan perlembagaan Napoli sampai di wilayah Perdemangan Besar Toscana, demonstrasi tercetus di beberapa buah bandar dan berlakunya pertempuran golongan demonstran dengan pihak berkuasa. Leopoldo II, Demang Besar Toscana yang merupakan adik saudara kepada Maharaja Ferdinand I dari Austria, mengumumkan pada 4 Februari 1848 bahawa dia akan menggubal sebuah perlembagaan, dan perlembagaan itu mula berkuat kuasa pada 17 Februari 1848.

Dengan perlembagaan diwujudkan di negeri Toscana yang berada di bawah kekuasaan Kerabat Habsburg, Raja Carlo Alberto dari Piedmont-Sardinia yang pada awalnya enggan menggubal apa-apa perlembagaan akhirnya menerima hakikat bahawa dia juga harus menggubal perlembagaan supaya tidak mengasingkan dirinya daripada sekutu-sekutunya yang penting dalam projek penyatuan Itali. Pada 13 Februari 1848, Raja Carlo Alberto mengumumkan bahawa dia akan menggubal sebuah perlembagaan, walaupun dia berniat untuk menjadikan perlembagaan itu bersifat konservatif seboleh mungkin dengan kebanyakan kuasa ditumpukan dalam tangan raja. Statuto Albertino, perlembagaan Piedmont-Sardinia yang ditandatangani oleh Raja Carlo Alberto pada 4 Mac 1848, kemudiannya bakal menjadi perlembagaan bagi Kerajaan Itali (1861-1946) yang bersatu.
Paus Pius IX yang pernah menyatakan bahawa dia tidak menyokong perlembagaan itu akhirnya bersetuju untuk menggubal perlembagaan yang dikenali sebagai “Statut Asas Kerajaan Sekular Negeri-negeri Gereja” yang diterbitkan pada 14 Mac 1848.
Apabila berita tentang penggubalan perlembagaan Piedmont-Sardinia sampai di bandar Milan, ibu negeri Lombardo-Veneto, penduduk-penduduk di situ meraikannya dengan meriah. Joseph Radetzky von Radetz, yang mematahkan “Rusuhan Rokok” di Milan tidak lama sebelum itu, menjangkakan bahawa peperangan antara Austria dan gerakan Patriot di Itali nampaknya sudah tidak dapat dielakkan. Namun, apa yang tidak dijangkakan oleh Radetzky adalah, siri pemberontakan dan pergolakan politik di Itali pada bulan Januari-Februari 1848, hanya pembuka tirai kepada gelombang revolusi hebat yang bakal melanda seluruh Eropah pada tahun itu.

Revolusi Februari: Dari Kempen Bankuet ke kejatuhan Monarki Julai
Berbeza dengan negara-negara yang belum lagi mempunyai perlembagaan, Perancis sudah mempunyai perlembagaan sejak tahun 1791 tetapi sudah bertukar banyak kali kerana perubahan rejim yang agak kerap. Menjelang tahun 1840-an, persoalan mengenai perlembagaan Perancis adalah sejauh mana perlembagaan itu mewakili rakyat Perancis.
Parti pemerintah yang dipimpin oleh François Guizot mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya pada tahun 1846, dengan menguasai 290 daripada 458 kerusi dalam Dewan Perwakilan (Chambre des députés). Walaupun Guizot menguasai majoriti besar dalam Dewan Perwakilan, masalahnya ahli-ahli Dewan Perwakilan yang dipilih hanya mewakili segelintir kecil penduduk Perancis kerana kebanyakan orang tiada hak mengundi atas sebab tidak memenuhi kelayakan harta yang agak tinggi ambangnya. Lebih-lebih lagi, banyak ahli perwakilan dipilih dengan cara membeli pengundi. Oleh itu, kerajaan yang dipimpin oleh Guizot hanya mendapat sokongan majoriti Dewan Perwakilan yang agak korup, bukannya rakyat jelata Perancis yang semakin tidak berpuas hati dengan pentadbirannya.
Pada bulan Mac 1847, dua rang undang-undang pembaharuan yang dibawa oleh ahli-ahli pembangkang dalam Dewan Perwakilan ditolak oleh majoriti yang menyokong Guizot. Salah satu cadangan pembaharuan yang dibawa itu ialah mengurangkan sehingga separuh daripada jumlah cukai yang perlu dibayar oleh seseorang untuk layak mengundi, maka ia akan meningkatkan bilangan pengundi kepada kira-kira 440,000 orang (ketimbang 250,000 orang yang sedia ada), walaupun peratusannya masih sangat rendah berbanding 30 juta orang penduduk di Perancis.
Pembangkang dalam Dewan Perwakilan Perancis pada masa itu terdiri daripada dua aliran utama: golongan monarkis berperlembagaan berhaluan kiri (yang juga dikenali sebagai “Kiri Dinasti”) dan golongan yang dianggap sebagai “radikal” atau “republikan”.

Golongan monarkis berperlembagaan yang liberal dan cenderung ke haluan kiri pada masa itu merupakan “pembangkang setia” yang berhasrat untuk memperluaskan hak mengundi (kepada lapisan kelas borjuis yang lebih luas) dan menggulingkan kerajaan pimpinan Guizot tanpa menjatuhkan pemerintahan monarki. Antara pemimpin utama golongan pembangkang yang moderat itu ialah Odilon Barrot (1791-1873), seorang peguam yang pernah menyertai organisasi “Tolonglah Dirimu Sendiri dan Syurga Akan Tolongmu” (Aide-toi, le ciel t’aidera) dan Pengawal Kebangsaan yang memberontak terhadap Raja Charles X semasa Revolusi 1830.
Golongan radikal yang lebih berhaluan kiri daripada golongan monarkis berperlembagaan kiri pula memperjuangkan hak mengundi sejagat bagi semua lelaki dan menghapuskan pemerintahan monarki. Salah seorang pemimpin utama golongan radikal dalam Dewan Perwakilan ialah Alexandre Auguste Ledru-Rollin (1807-1874), seorang peguam yang pernah mewakili aktivis-aktivis radikal yang ditahan. Ledru-Rollin pernah ditahan kerana ucapannya yang terlalu radikal. Oleh sebab pandangannya yang terlalu radikal itu tidak dapat diterima oleh akhbar republikan seperti Le National, Ledru-Rollin menggunakan kekayaan yang dikumpulkan daripada perniagaan firma guamannya untuk mengasaskan akbar La Réforme pada tahun 1843. La Réforme telah menerbitkan tulisan oleh mereka yang membawa idea-idea kiri radikal, termasuk Louis Blanc, Pierre-Joseph Proudhon, Mikhail Bakunin dan Karl Marx (yang baru berusia 20-an pada masa itu).
Walaupun wujudnya perbezaan yang ketara dalam agenda politik yang diperjuangkan oleh golongan monarkis berperlembagaan Kiri Dinasti dan golongan radikal, mereka mencapai persefahaman dalam satu isu penting, iaitu reformasi pilihan raya. Kedua-dua golongan itu bersetuju bahawa senarai pengundi pada masa itu tidak cukup untuk mewakili suara rakyat yang lebih meluas, malah perlu memperluaskan hak mengundi kepada lapisan masyarakat yang lebih besar, walaupun masih ada perbezaan pandangan tentang sejauh mana hak mengundi itu harus diperluaskan. Mereka juga membuat kesimpulan bahawa tiadanya lagi harapan untuk membawa pembaharuan melalui Dewan Perwakilan, maka perlu mencari jalan lain untuk memberi tekanan kepada Guizot dan Raja Louis Philippe I.
Pada bulan Mei 1847, sebuah perhimpunan yang dihadiri oleh ahli-ahli parlimen pembangkang dan wartawan-wartawan yang mewakili kedua-dua kumpulan pembangkang utama itu memutuskan untuk melancarkan “Kempen Bankuet” (Campagne des banquets). Tujuan kempen itu ialah membawa tuntutan mereka kepada perhatian lapisan masyarakat yang lebih meluas dan menggerakkan sokongan orang ramai. Untuk memintas undang-undang yang mengharamkan perhimpunan politik yang dianggotai oleh bilangan peserta tertentu, mereka menganjurkan majlis jamuan bankuet tertutup yang kononnya tidak berunsur politik, tetapi tidak dapat mengawal apa yang dikatakan oleh mereka yang berucap semasa acara bankuet.

Majlis bankuet yang pertama diadakan di Paris pada 9 Julai 1847, telah menarik kehadiran seramai 200 orang tetamu. Oleh sebab yuran kemasukan yang dikutip adalah sebanyak 10 franc, satu kadar yang agak tinggi, bankuet itu hanya dihadiri oleh golongan kelas borjuis menengah atasan yang mampu bayar. Ahli-ahli politik pembangkang liberal yang lebih moderat, seperti Adolphe Thiers dan Alexis de Tocqueville, tidak menghadiri bankuet itu, kerana tidak mahu terlibat dalam aktiviti politik kontroversi di luar Dewan Perwakilan yang mungkin menjadi di luar kawalan, walaupun mereka tidak suka pada kerajaan pimpinan Guizot. Golongan radikal yang sebenar juga tidak menghadiri bankuet itu, termasuk Louis Blanc dan Alexandre Auguste Ledru-Rollin, kerana mereka berpandangan bahawa ia hanya satu sandiwara yang tidak akan menuju lebih jauh ke mana-mana. Namun begitu, penganjuran bankuet yang nampaknya tidak menggugat itu telah menimbulkan kerisauan kerajaan Perancis sehingga hendak menyekatnya.
Kempen bankuet kemudiannya merebak secara beransur-ansur ke semua wilayah Perancis. Sebuah jawatankuasa pusat di Paris membantu bandar-bandar lain di seluruh Perancis untuk menganjurkan bankuet masing-masing. Dalam tempoh antara bulan Julai hingga Disember 1847, kira-kira 60 buah majlis bankuet telah diadakan, dengan sejumlah 20,000 orang hadir. Oleh sebab yuran kemasukan adalah tinggi, kehadiran bankuet masih terhad kepada kelas menengah atasan, termasuk datuk bandar, peniaga yang berpengaruh, orang kenamaan tempatan dan anggota Pengawal Kebangsaan. 100 orang ahli Dewan Perwakilan daripada pembangkang kiri menyertai bankuet-bankuet itu. Friedrich Engels sempat menghadiri dan memerhati beberapa bankuet semasa dia berada di Paris sekitar bulan Oktober 1847.
Salah satu bankuet yang dihadiri oleh ramai orang diadakan di bandar Mâcon yang terletak di bahagian timur Perancis, kira-kira 60 km di utara Lyon, dengan 3,000 orang mengisi 500 buah meja bankuet sementara 3,000 orang lagi duduk di tempat duduk bertingkat di tepi untuk mendengar ucapan-ucapan. Bankuet itu dianjurkan untuk memberi penghormatan kepada Alphonse de Lamartine (1790-1869), seorang penyair dan Ahli Dewan Perwakilan Perancis dari bandar itu yang merupakan pembangkang kiri yang mengkritik pemerintahan Monarki Julai di samping semakin cenderung kepada fahaman republikan pada masa itu. Dalam ucapannya, Lamartine mengatakan bahawa Monarki Julai akan jatuh.

Terdapat juga bankuet yang dianjurkan dengan agenda yang lebih radikal, di mana Louis Blanc dan Ledru-Rollin yang tidak menyertai bankuet pertama di Paris juga hadir, tetapi golongan moderat seperti Odilon Barrot pula tidak hadir. Dalam satu bankuet yang diadakan di Dijon, Ledru-Rollin dalam ucapannya mengecam Barrot bersama Guizot sebagai kuasa konservatif yang mengekalkan ketidakadilan.
Apabila kempen bankuet nampaknya semakin kehilangan momentum pada penghujung tahun 1847, Raja Louis Philippe I menimbulkan kemarahan pembangkang, termasuk pembangkang yang moderat, dalam titah yang disampaikannya dalam Dewan Perwakilan pada 28 Disember 1847. Dalam titahnya, Raja Louis Philippe I mengecam “perasaan permusuhan dan membabi buta” yang mencetuskan kekacauan, dan menyatakan bantahannya terhadap sebarang pembaharuan yang dituntut oleh golongan pembangkang. Ini menyemarakkan lagi semangat pembangkang untuk menentang agenda Raja Louis Philippe I, termasuk mengadakan perbahasan yang sengit tentang sama ada menerima titah raja itu atau tidak, dan terus menganjurkan bankuet.
Pada 30 Disember 1847, polis Paris menolak permohonan permit bagi sebuah acara bankuet yang dirancang oleh pegawai-pegawai yang radikal dalam Pengawal Kebangsaan untuk diadakan pada 14 Januari 1848 di Daerah ke-12 Paris, sebuah kawasan kubu kuat republikan radikal yang tertumpunya pelajar-pelajar dan golongan tukang kelas pekerja, dengan yuran kemasukan hanya 3 franc. Ahli-ahli pembangkang dalam Dewan Perwakilan kemudiannya mencampur tangan dalam penganjuran bankuet itu dan cuba menjadikannya acara yang lebih moderat untuk menguji kesahihan penganjuran bankuet di sisi undang-undang. Jawatankuasa penganjuran bankuet yang dipimpin oleh Odilon Barrot membuat pindaan terhadap perancangan asal bankuet itu, seperti menggandakan yuran kemasukan kepada 6 franc, menukar tarikh acara dari 20 Februari 1848 (hari Ahad) ke 22 Februari 1848 (hari Selasa dengan kebanyakan orang berada di tempat kerja), dan memindahkan lokasi bankuet dari kawasan kejiranan kelas bawahan di Daerah ke-12 ke kawasan yang diduduki oleh golongan lebih kaya di sekitar Champs-Élysées.
Acara bankuet yang sekadar pertunjukan itu mungkin tidak mempunyai apa-apa makna sejarah yang penting jika pihak berkuasa tidak mengganggunya. Walaupun pihak penganjur bankuet sudah mencapai persetujuan tentang aturan perjalanan acara bankuet itu, kerajaan pimpinan François Guizot mengambil pendirian yang lebih keras dan mengharamkan bankuet itu dalam arahan yang dikeluarkan pada 21 Februari 1848. Malah, poster-poster amaran ditampal di ruang-ruang awam untuk mengingatkan anggota-anggota Pengawal Kebangsaan supaya jangan menyertai bankuet itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang berbuat demikian.
Jawatankuasa penganjuran bankuet bertemu di rumah Odilon Barrot pada hari itu dan memutuskan untuk membatalkan bankuet itu. La Réforme, akhbar yang radikal, juga menasihati pembacanya untuk hanya memerhatikan apa yang akan berlaku pada 22 Februari 1848 secara berhati-hati tanpa melakukan apa-apa. Raja Louis Philippe I dan François Guizot berasa lega pada 21 Februari 1848 kerana nampaknya tiada apa-apa akan berlaku pada hari keesokannya, kerana golongan elit politik pembangkang yang berpengaruh nampaknya sudah berundur, tetapi suasana yang berbeza sedang menyelubungi jalanan Paris…
Sehari selepas Manifesto Komunis baru diterbitkan di London, iaitu pada 22 Februari 1848, pelajar-pelajar dan pekerja-pekerja, yang sudah bermobilisasi untuk menghadiri bankuet yang dijadualkan pada hari itu tetapi dibatalkan selepas diharamkan oleh kerajaan, memutuskan untuk tidak berundur walaupun diancam. Demonstran dalam jumlah yang besar turun ke jalanan Paris. Anggota-anggota Pengawal Kebangsaan, yang sudah tidak dapat tahan lagi dengan ketidakpuasan hati mereka kerana sering dinafikan hak mengundi mereka, turut menyertai demonstrasi. Golongan demonstran yang berhimpun di kawasan Kuarter Latin berarak menuju ke Place de la Concorde dan Place de la Madeleine di tebing utara Sungai Seine. Mereka kemudiannya berarak ke Palais Bourbon, yang terletak di tebing selatan Sungai Seine, di mana Dewan Perwakilan itu bersidang. Di Palais Bourbon, pasukan tentera yang sedang meronda di situ menolak kumpulan demonstran balik ke Place de la Concorde di seberang sungai, dan tercetusnya pertempuran dengan demonstran.
Apabila golongan demonstran di Place de la Concorde disuraikan oleh pasukan tentera, mereka yang berundur balik ke kawasan kejiranan kelas pekerja di bahagian barat daya Paris mula mendirikan benteng jalanan pertama di Paris pada tahun 1848. Golongan demonstran melengkapkan diri mereka dengan senjata dan menyerang pos kawalan polis. Sekumpulan orang mara ke ibu pejabat Kementerian Luar Negeri di mana François Guizot bekerja, dan melontar batu ke arah bangunan sebagai tanda protes.
Pada masa yang sama, golongan ahli politik pembangkang dan wartawan berkumpul di rumah kediaman Odilon Barrot untuk merangka kenyataan mereka yang membantah pembatalan bankuet dan mengecam tindakan kerajaan yang melanggar perlembagaan. Golongan elit pembangkang liberal hanya mahu memaksa François Guizot untuk berkompromi ataupun menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Guizot, tetapi sudah pasti bukannya hendak menjatuhkan pemerintahan monarki ataupun melakukan revolusi. Dewan Perwakilan yang bersidang pada hari itu juga cuba berpura-pura tentang tiada apa yang berlaku dan tidak membincangkan pergolakan yang sedang berlaku di Paris, walaupun warga Paris sedang membanjiri jalanan bandar itu dan bunyi tembakan berterusan.
Pada 23 Februari 1848, aksi demonstrasi berterusan di bandar Paris. Kerajaan Perancis mengerahkan lebih banyak pasukan tentera dari luar Paris untuk masuk ke bandar itu. Kerajaan Perancis juga mengerahkan Pengawal Kebangsaan, tetapi ramai dalam kalangan anggota Pengawal Kebangsaan enggan mematuhi arahan, malah adanya anggota Pengawal Kebangsaan yang berkumpul untuk agenda mereka sendiri, iaitu menuntut pembaharuan dan menyertai demonstrasi yang menentang kerajaan. Mereka yang berprotes di jalanan melaungkan slogan seperti “Jatuhkan Guizot!” (À bas Guizot!) dan “Hidup Reformasi!” (Vive la réforme!). Salah satu legion Pengawal Kebangsaan Paris mengemukakan petisyen kepada Raja Philippe I untuk mengecam kerajaan Guizot yang korup dan menyatakan keengganan mereka dikerahkan untuk mematahkan pemberontakan warga Paris.
Walaupun dengan penuh keengganan, di bawah tekanan yang hebat, Raja Louis Philippe I memanggil François Guizot ke kediamannya di Istana Tuileries pada waktu petang 23 Februari 1848, dan mengarahkan Guizot untuk meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri. Guizot mengumumkan peletakan jawatannya di Dewan Perwakilan, dan Raja Louis Philippe I mengarahkan sekutu rapatnya Louis-Mathieu Molé, yang pernah menjadi Perdana Menteri pada tahun 1836-1839, untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu.
Raja Louis Philippe I mengharapkan kejatuhan Guizot yang dibenci rakyat itu boleh meredakan keadaan, tetapi apabila berita tentang peletakan jawatan Guizot disebarkan di seluruh bandar Paris, golongan demonstran di jalanan meraikannya dan lebih berkeyakinan bahawa mereka berupaya untuk menentukan keadaan. Adalah jelas bahawa Raja Louis Philippe I berkompromi kerana tekanan daripada kebangkitan rakyat di jalanan. Oleh itu, pengunduran Guizot tidak dapat memujuk golongan demonstran untuk pulang ke rumah masing-masing, sebaliknya warga Paris yang memberontak terfikir-fikir tentang apa lagi yang dapat mereka menuntut daripada kerajaan.
Menjelang waktu malam, sekumpulan demonstran berhimpun di luar ibu pejabat Kementerian Luar Negeri yang terletak di Boulevard des Capucines. Rejimen infantri yang mengawal bangunan itu menghalang orang ramai daripada terus mara. Dalam keadaan yang penuh tegang, askar-askar melepaskan tembakan ke arah golongan demonstran, membunuh kira-kira 50 orang dan mencederakan kira-kira 70 orang. Pertumpahan darah di jalanan Boulevard des Capucines mencetuskan kemarahan dalam kalangan warga Paris, dan mengubah aksi protes jalanan di Paris pada bulan Februari 1848 kepada Revolusi Februari 1848.

Orang ramai berhimpun semula di Boulevard des Capucines tidak lama selepas pembunuhan beramai-ramai di situ. Mereka meletakkan sebahagian mayat mangsa peristiwa tembakan di atas gerabak yang ditarik kuda dan berarak dengan penuh kemarahan. Mereka menggesa rakyat Perancis untuk mengangkat senjata dan membalas dendam terhadap keganasan pihak berkuasa itu. Slogan yang dilaungkan bukan lagi “Jatuhkan Guizot!”, tetapi “Jatuhkan Raja!” dan “Jatuhkan Louis Philippe!”. Lebih 1,500 buah benteng jalanan didirikan di seluruh bandar Paris dalam tempoh masa semalaman, dan sebahagian landasan kereta api yang menuju ke Paris telah dirosakkan. Menjelang waktu pagi hari keesokannya, pemandangan bandar Paris seolah-olah ulang tayang apa yang wujud pada 29 Julai 1830, hari terakhir untuk “Tiga Hari yang Mulia” semasa Revolusi 1830.
Pada 24 Februari 1848, Louis-Mathieu Molé memberitahu Raja Louis Philippe bahawa dia tidak dapat membentuk kerajaan. Raja Louis Philippe I terpaksa memanggil Adolphe Thiers untuk menubuhkan kerajaan, dengan Thiers menarik masuk Odilon Barrot bersama beberapa orang lagi ahli perwakilan yang reformis untuk melaksanakan agenda pembaharuan. Raja Louis Philippe I mengharapkan bahawa penubuhan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh Thiers boleh meredakan keadaan dan menamatkan pemberontakan rakyat di Paris. Namun, keadaan sudah tidak boleh diredakan kerana golongan pemberontak di Paris lebih tegas untuk memperjuangkan perubahan rejim selepas pembunuhan beramai-ramai di Boulevard des Capucines.
Pasukan tentera di bawah perintah Marsyal Thomas Robert Bugeaud, seorang pegawai tinggi tentera yang terkenal dengan kekejamannya dalam mematahkan aksi protes rakyat, dihantar untuk menduduki beberapa buah lokasi strategik di bandar Paris. Namun, Raja Philippe I yang hendak mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah itu mengarahkan pegawai-pegawai tentera yang berkenaan untuk berunding sebelum melepaskan tembakan. Pasukan tentera yang diarahkan untuk menduduki Place de la Bastille telah dihalang di pertengahan jalan oleh benteng besar-besaran yang didirikan oleh golongan pemberontak. Pengawal Kebangsaan masuk campur dengan memberi amaran kepada pasukan tentera supaya jangan menembak. Pengawal Kebangsaan yang menyokong revolusi juga mengambil alih Hôtel de Ville, pusat pentadbiran bandar Paris yang diduduki oleh pasukan tentera sebelum itu. Marsyal Bugeaud mengarahkan semua pasukan di bawah perintahnya untuk berundur dan menumpu pada pertahan di sekeliling Istana Tuileries, iaitu istana diraja.

Pertempuran tercetus di beberapa tempat di Paris, dengan pertempuran terbesar berlaku di Place du Château d’Eau (iaitu Place de la République hari ini). Golongan pemberontak yang bersenjata menyerang sebuah pos kawalan menuju ke Istana Tuileries yang dikawal oleh tentera, dan berjaya menguasainya selepas pertempuran sengit. Dengan golongan pemberontak menghampiri Istana Tuileries, Permaisuri Maria Amalia mendesak suaminya Raja Louis Philippe I untuk pergi membuat pemeriksaan terhadap tenteranya, khususnya Pengawal Kebangsaan yang ditempatkan di istana diraja. Namun, apabila Raja Louis Philippe I memeriksa tenteranya, laungan “Hidup Raja!” yang tidak begitu semangat daripada Pengawal Kebangsaan diikuti dengan laungan “Hidup Reformasi!” yang lebih lantang suaranya, malah sebahagian Pengawal Kebangsaan mengingkari arahan dan mengepungnya. Raja Louis Philippe I terus melarikan diri untuk berselindung di dalam istana diraja.
Adolphe Thiers cuba menasihati Raja Louis Philippe I untuk meninggalkan Paris, dan kemudiannya mematahkan revolusi dari luar dengan mengerahkan tentera dalam jumlah yang jauh lebih besar (di mana Thiers akan menggunakan pendekatan sebegitu 33 tahun kemudian), tetapi cadangan itu ditolak oleh sekutu-sekutu Thiers termasuk Odilon Barrrot. Tidak jauh dari Istana Tuileries, di luar Palais-Royal, iaitu istana kediaman moyang Raja Louis Philippe I, golongan pemberontak yang berhimpun di situ bertempur dengan pasukan tentera yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai Boulevard des Capucines. Golongan pemberontak menjerit slogan yang menuntut pengunduran Raja Louis Philippe I dari takhtanya.
Di kepung oleh golongan pemberontak yang marah dan menyedari bahawa kekuasaannya tidak dapat dipertahankan lagi, Raja Louis Philippe I akhirnya terpaksa akur dan mengisytiharkan pengundurannya dari takhta raja Perancis. Raja Louis Philippe I menyatakan bahawa dia melepaskan takhta kepada Putera Philippe, cucunya yang berumur 9 tahun pada masa itu, tetapi Philippe tidak akan dinobatkan kerana Raja Louis Philippe I menjadi raja Perancis yang terakhir.
Selepas mengumumkan pengunduran dari takhta raja Perancis, Louis Philippe terus meninggalkan Paris dan kemudiannya melarikan diri ke England. François Guizot yang meletak jawatan sehari sebelum itu, juga melarikan diri ke London tidak lama kemudian.

Louis Philippe d’Orléans menjadi raja dalam Revolusi Julai yang menjatuhkan Raja Charles X, tetapi hampir 18 tahun kemudian, dia juga dijatuhkan dalam revolusi yang hampir serupa. Selepas Louis Philippe melarikan diri, golongan pemberontak menawan Istana Tuileries. Sebelum takhta raja di dalam istana itu dibakar pada hari keesokannya, golongan pemberontak menulis di atasnya, “Rakyat Paris kepada seluruh Eropah: Kebebasan, Kesamarataan, Persaudaraan. 24 Februari 1848.”
Golongan monarkis berperlembagaan Kiri Dinasti yang dipimpin oleh Odilon Barrot pada asalnya hendak menerima cucu Louis Philippe yang berumur 9 tahun itu sebagai raja baharu, tetapi golongan radikal berhujah bahawa memandangkan kerabat diraja sudah melarikan diri, maka tiba masanya untuk mengisytihar pembentukan republik baharu. Ramai dalam kalangan pemberontak di Paris pada masa itu tidak mahu Revolusi 1848 menjadi seperti Revolusi 1830, iaitu rakyat yang bangkit memberontak itu mengorbankan nyawa mereka hanya untuk menggantikan sebuah dinasti diraja dengan dinasti diraja yang lain.
Dalam persidangan Dewan Perwakilan yang dihadiri oleh kebanyakannya ahli perwakilan pembangkang, Odilon Barrot cuba memujuk ahli-ahli parlimen untuk mengekalkan pemerintahan monarki, tetapi kebanyakan ahli parlimen pembangkang, termasuk sekutu Barrot yang berpaling tadah untuk menyokong golongan radikal, menggunakan peluang keemasan kekosongan takhta diraja untuk menuntut pembentukan republik. Salah seorang ahli parlimen yang beralih daripada pendirian mendukung monarki berperlembagaan kepada menyokong republik ialah Alphonse de Lamartine, yang agak popular dalam kalangan golongan berpendidikan pada masa itu. Alphonse de Lamartine, bersama-sama dengan Alexandre Auguste Ledru-Rollin, menyeru ahli-ahli parlimen lain supaya jangan menyokong seorang lagi raja, tetapi menubuhkan sebuah kerajaan sementara yang tanpa raja, langkah pertama untuk mengembalikan republik.

Semasa ahli-ahli parlimen berbahas di dalam Dewan Perwakilan tentang sama ada mengekalkan monarki atau menubuhkan kerajaan sementara yang radikal, warga Paris yang memberontak pada masa itu dan diiringi oleh anggota-anggota Pengawal Kebangsaan sudah menyerbu masuk ke dalam bangunan Dewan Perwakilan. Ahli-ahli parlimen yang menyokong monarki menyelinap keluar dari dewan persidangan, dan ahli-ahli parlimen yang radikal masih berada di situ mengumumkan penubuhan sebuah kerajaan sementara.
Selepas mengumumkan pembentukan Kerajaan Sementara, mereka yang disenaraikan sebagai anggota kerajaan baharu itu, termasuk Alphonse de Lamartine dan Alexandre Auguste Ledru-Rollin, mengikuti jejak Revolusi 1830 dengan mengalihkan tumpuan aksi ke Hôtel de Ville, di mana mereka bercadang untuk menjadikannya ibu pejabat Kerajaan Sementara. Di Hôtel de Ville yang penuh sesak dengan golongan pemberontak, Alphonse de Lamartine menyampaikan perisytiharan di balkoni pada awal pagi 25 Februari 1848 bahawa pemerintahan monarki sudah dijatuhkan dan Kerajaan Sementara mengambil alih tanggungjawab pentadbiran.

Seperti Revolusi Julai yang berlaku hampir 18 tahun sebelum itu, Revolusi Februari di Paris menjatuhkan seorang raja Perancis dalam tempoh masa tiga hari sahaja, tetapi apa yang berbeza kali ini adalah tiadanya pengganti untuk raja yang digulingkan. Selepas lebih empat dekad kejatuhan Republik Perancis Pertama (1792-1804), Revolusi Februari 1848 melahirkan Republik Perancis Kedua (1848-1852).
Kejatuhan Metternich
Klemens von Metternich pernah berkata, “Apabila Perancis bersin, seluruh Eropah terkena selesema.” Jika Revolusi Februari 1848 ialah bersin Perancis, maka seluruh sistem pemerintahan konservatif yang diterajui Metternich di Eropah itu tidak dapat melepaskan diri daripada terkena selesema, termasuk Metternich sendiri. Berita tentang Revolusi Februari di Perancis yang tersebar di negara-negara Eropah menjadi pencetus sebenar kepada “Tahun Revolusi”, dengan bila setiap revolusi itu tercetus pada tahun 1848 bergantung pada tempoh masa yang perlu diambil untuk surat dari Paris sampai ke situ.
Wilayah di luar Perancis yang paling awal menerima berita tentang Revolusi Februari di Paris ialah wilayah di bahagian barat daya Jerman yang terdiri daripada negeri-negeri Jerman bersaiz lebih kecil yang kebanyakannya sudah mempunyai bentuk kerajaan berperlembagaan yang asas. Kebanyakan kerajaan negeri-negeri di bahagian barat daya Jerman bertindak agak cepat untuk mengelakkan revolusi. Apabila berhadapan dengan demonstrasi dan penyerahan petisyen yang menuntut pembaharuan liberal dalam undang-undang dan sistem politik, golongan pemerintah di negeri-negeri Jerman itu menyingkirkan menteri-menteri yang konservatif, melantik menteri-menteri baharu yang liberal dan membenarkan beberapa pembaharuan liberal. Kejatuhan pemerintahan monarki yang mengejutkan di Perancis memang menggerunkan golongan pemerintah bangsawan di negeri-negeri Jerman, dan mereka menyimpulkan bahawa lebih baik berkompromi dengan golongan reformis liberal berbanding mengikuti jejak Louis Philippe yang melarikan diri ke England.
Berbanding negeri-negeri Jerman yang lebih kecil, kerajaan Empayar Austria yang berpusat di Vienna, di bawah kepimpinan Canselor Klemens von Metternich, masih cuba menyekat sebarang pembaharuan yang mengancam susunan politik konservatif. Apabila berita tentang revolusi di Paris sampai di Vienna pada 29 Februari 1848, ia mewujudkan gema yang kuat di ibu negara Empayar Austria.

Golongan konservatif kelas pemerintah terkejut dan tertanya-tanya bagaimana merespon terhadapnya, lebih-lebih lagi kerajaan Austria sudah diganggu oleh berita tentang kesan domino perjuangan perlembagaan di Semenanjung Itali dan kemungkinan tercetus peperangan dengan Piedmont-Sardinia. Golongan liberal di Vienna pula teruja dengan berita tentang revolusi di Perancis. Golongan liberal yang terdiri daripada elit profesional, kelas menengah yang berpendidikan tinggi dan bangsawan liberal di Vienna telah bergiat dalam politik di bawah pengawasan ketat pihak berkuasa dalam beberapa tahun sebelum itu, dengan mengadakan pertemuan secara sulit dan mengedarkan buku-buku yang diharamkan.
Menjelang 1 Mac 1848, kedai-kedai kopi, ruang-ruang bacaan dan kelab-kelab tertutup di Vienna dipenuhi dengan perbincangan tentang kejatuhan pemerintahan Monarki Julai dan kemungkinannya membuka ruang kepada golongan liberal untuk memajukan usaha pembaharuan mereka.
Pada 3 Mac 1848, Lajos Kossuth menyampaikan sebuah ucapan yang penuh bersemangat di dalam Parlimen Hungary yang bersidang di Pressburg (iaitu Bratislava di Slovakia hari ini) dengan seruan untuk menggubal sebuah perlembagaan. Kossuth menganggap bahawa apa yang berlaku di Perancis merupakan undangan untuk penilaian semula yang menyeluruh terhadap sistem imperial yang berpusat di Vienna. Walaupun Kossuth masih menyatakan kesetiaannya pada Maharaja Austria, dia menuntut pemerintahan berparlimen untuk bangsa-bangsa yang membentuk Empayar Austria, dan wilayah induk Austria juga harus menerima kerajaan berperlembagaan yang serupa. Oleh sebab bercakap kepada ahli-ahli perwakilan dalam Parlimen Hungary, Kossuth juga mencadangkan pembaharuan yang lebih lanjut untuk Hungary, termasuk percukaian terhadap golongan bangsawan dan hak politik kepada kelas menengah yang bukan bangsawan. Kossuth memberi amaran kepada Vienna, “Dinasti harus memilih antara kesejahteraannya sendiri dan pemeliharaan sebuah sistem yang sudah rosak.”
Ucapan Lajos Kossuth diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman pada hari keesokannnya dan salinannya dikirim dari Pressburg ke Vienna, yang hanya berjarak 60 km sepanjang Sungai Danube. Salinan ucapan Kossuth mencetuskan sensasi di Vienna, dan memberi rangsangan kepada beberapa kumpulan reformis liberal untuk merangka petisyen yang hendak dikemukakan kepada kerajaan imperial Austria.
Salah satu petisyen yang dikemukakan salah sebuah kumpulan reformis yang lebih berprestij menuntut pembentukan dewan perwakilan di peringkat tempatan dan peringkat empayar dengan kuasa politik yang sebenar, penghapusan penapisan akhbar, pengehadan kuasa polis, pembaharuan terhadap birokrasi kerajaan, penambahbaikan sistem pendidikan dan hak sejagat untuk menyerahkan petisyen kepada kerajaan.
Walaupun tuntutan-tuntutan yang dikemukakan dalam petisyen yang dirangka oleh beberapa buah kumpulan berbeza itu agak lembut dan sekadar berhasrat untuk menyelamatkan Empayar Austria, rejim konservatif absolutis yang dipimpin oleh Klemens von Metternich tidak memberikan hak untuk petisyen, maka tiadanya saluran sah untuk menyampaikan tuntutan-tuntutan itu. Oleh sebab penapisan akhbar yang ketat, tiada juga akhbar atau jurnal politik yang boleh menerbitkan tuntutan-tuntutan itu. Oleh sebab absolutisme berpusat, tiadanya parlimen kebangsaan untuk orang menyampaikannya melalui ucapan. Jadi, sekadar merangka dan menandatangani petisyen sudah melanggar undang-undang. Ini menjadikan golongan liberal yang reformis berada pada pihak yang sama dengan golongan yang lebih radikal di Vienna.
Golongan yang lebih radikal di Vienna ialah pelajar-pelajar universiti. Pelajar-pelajar universiti menerima pendidikan tinggi untuk memasuki perkhidmatan awam, dengan hanya segelintir kecil daripada mereka yang bernasib baik dapat naik pangkat ke posisi yang lebih tinggi. Kebanyakan pelajar yang muda itu agak miskin dan terpaksa menghadiri kuliah yang membosankan. Ramai dalam kalangan mereka mempunyai semangat memberontak terhadap konservatisme di Austria. Mereka menyertai pertubuhan rahsia yang menyebarkan buku-buku “haram”. Oleh sebab kerajaan Metternich menganggap universiti-universiti sebagai sarang yang melahirkan penghasut, universiti-universiti sentiasa berada di bawah pengawasan ketat oleh polis rahsia. Namun, selepas hidup menderita selama beberapa tahun di bawah krisis ekonomi, pelajar-pelajar di Vienna bersedia untuk bangkit melawan. Mereka juga merangka petisyen mereka yang memfokus pada kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, penambahbaikan terhadap pendidikan dan kebebasan akademik.
Pada 9 Mac 1848, kerajaan imperial Austria menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil untuk menerima dan mengkaji semua petisyen yang diserahkan kepadanya. Penubuhan jawatankuasa itu dianggap oleh ramai orang bahawa kerajaan bersedia untuk menerima petisyen-petisyen yang menuntut pembaharuan. Namun, selepas jawatankuasa itu menerima semua petisyen, ia mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya semua petisyen itu harus ditolak, dan mereka yang menandatangani petisyen-petisyen itu patut didakwa di mahkamah. Tindakan itu bagaikan mencurah minyak ke dalam api.
Pada 11 Mac 1848, kerajaan imperial Austria menambahkan bilangan askar yang ditempatkan di Vienna. Namun, pada 12 Mac 1848, satu proklamasi atas nama maharaja Austria dikeluarkan dengan mesej bahawa dia sudah mendengari suara rakyat dan akan memanggil satu persidangan darjat-darjat lama (iaitu bangsawan tuan tanah, agamawan dan orang kaya di bandar) di seluruh empayar untuk membincangkan isu-isu yang sedang dihadapi oleh Empayar Austria. Ini menimbulkan kekeliruan orang ramai, tentang sama ada kerajaan akan mengambil tindakan keras terhadap golongan reformis atau mengadakan dialog secara terbuka.

Pada 13 Mac 1848, pelajar-pelajar Vienna menganjurkan demonstrasi besar-besaran di hadapan Dewan Perdarjatan Austria Bawah (Niederösterreichisches Landhaus), dengan hasrat memberi tekanan kepada wakil golongan bangsawan tuan tanah, agamawan dan orang kaya yang bersidang di situ untuk menyampaikan petisyen pembaharuan kepada maharaja Austria. Pelajar-pelajar yang berprotes turut disertai golongan reformis kelas menengah, dengan kira-kira 4,000 orang berhimpun di hadapan bangunan Palais Niederösterreich di mana dewan perdajatan itu bersidang.
Golongan pekerja yang tinggal di luar tembok bandar Vienna cuba menyertai demonstrasi tetapi dihalang oleh pasukan keselamatan yang menjaga pintu masuk bandar itu. Sesetengah demonstran mula menyampaikan ucapan yang mengecam absolutisme yang korup dan menuntut pembaharuan politik. Seorang demonstran membaca ucapan Lajos Kossuth yang diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman, maka membangkitkan lagi semangat demonstran yang lain. Terdapat juga seruan untuk peletakan jawatan Canselor Klemens von Metternich.
Menjelang tengah hari, apabila pintu Palais Niederösterreich dikunci dan kedengaran bunyi tembakan amaran dari pos kawalan pintu masuk bandar Vienna ke arah golongan pekerja yang cuba menyertai demonstrasi itu, golongan demonstran mula berarak ke arah istana imperial. Sebuah pasukan tentera berkuda diarahkan untuk menyuraikan demonstrasi. Golongan demonstran melontar batu ke arah pasukan tentera berkuda yang membalasnya dengan melepaskan tembakan ke arah demonstran sehingga membunuh beberapa orang.
Pertempuran juga tercetus di tembok bandar yang memisahkan kawasan kediaman kelas pekerja di pinggiran bandar Vienna dan kawasan orang lebih kaya di dalam bandar itu. Kerajaan memanggil Pengawal Sivik untuk memulihkan ketenteraman Vienna. Namun, ramai dalam kalangan anggota-anggota Pengawal Sivik yang merupakan kelas menengah itu menyokong pembaharuan liberal, maka mereka menganggap pengerahan mereka sebagai peluang untuk menghentikan penindasan daripada pihak kerajaan. Golongan pelajar universiti di Vienna yang menyertai Pengawal Sivik mewujudkan pasukan mereka sendiri yang dikenali sebagai “Legion Akademik” (Akademische Legion). Oleh itu, Pengawal Sivik yang dikerahkan itu bukan sahaja tidak menyertai tentera untuk mematahkan rakyat yang berdemonstrasi, sebaliknya menyertai rakyat yang berdemonstrasi.

Wakil daripada Pengawal Sivik pergi ke istana imperial untuk menyampaikan tiga tuntutan: tentera harus berundur dari bandar Vienna dan menyerahkan tugas menjaga ketenteraman kepada Pengawal Sivik; membenarkan pelajar-pelajar untuk mengangkat senjata supaya membolehkan Pengawal Sivik menjalankan tugas menjaga ketenteraman; dan Klemens von Metternich harus meletak jawatan sebagai Canselor.
Menjelang waktu malam 13 Mac 1848, bandar Vienna sudah dikuasai penuh oleh golongan pemberontak liberal yang disokong oleh Pengawal Sivik. Walaupun Metternich cuba mempertahankan kedudukannya, dia sudah kehilangan sokongan daripada golongan elit dalam istana diraja dan Maharaja Ferdinand I dari Austria juga tidak mengatakan apa-apa untuk mengekalkan jawatan Canselor serta Menteri Luar Negeri yang dipegangnya. Selepas menjadi Menteri Luar Negeri Empayar Austria selama hampir empat dekad, Metternich akhirnya terpaksa meletak jawatannya di bawah bayangan revolusi, dan kemudian melarikan diri ke England seperti François Guizot yang digulingkan tiga minggu sebelum itu.

Selepas ketiga-tiga tuntutan yang dikemukakan oleh Pengawal Sivik dipenuhi, warga Vienna yang memberontak meraikannya dengan penuh kegembiraan. Namun, golongan pelajar dan reformis liberal kelas menengah di Vienna tidak berhasrat untuk melangkah lebih maju seperti golongan pemberontak di Paris. Mereka selesa dengan pembaharuan liberal tanpa menjatuhkan pemerintahan monarki imperial. Walau bagaimanapun, pergolakan di Vienna pada 13 Mac 1848 telah membangkitkan semangat perjuangan golongan kelas pekerja yang mempunyai tuntutan radikal untuk menyelesaikan persoalan sosioekonomi mereka (seperti kenaikan harga makanan asas dan pengangguran).
Oleh sebab bimbang tentang golongan pelajar radikal yang cuba menyerbu istana imperial, pihak istana mengumumkan kompromi yang lebih lanjut, termasuk Pengawal Sivik terus dibenarkan untuk menjalankan tugas menjaga ketenteraman di Vienna dan penapisan akhbar dimansuhkan. Namun, Pengawal Sivik dan golongan pelajar mengemukakan satu lagi tuntutan yang menjamin pelaksanaan tuntutan-tuntutan lain, iaitu penggubalan perlembagaan.
Untuk meredakan keadaan yang masih bergelora, Maharaja Ferdinand I dari Austria mengumumkan pada 14 Mac 1848 bahawa dia akan memanggil perhimpunan yang dianggotai oleh perwakilan dari semua wilayah di dalam Empayar Austria untuk merangka sebuah perlembagaan. Ramai dalam kalangan golongan liberal di Vienna menganggap janji Maharaja Austria untuk perlembagaan itu sebagai kejayaan bagi usaha pembaharuan mereka dalam mewujudkan sistem raja berperlembagaan, maka tidak mengemukakan tuntutan pembaharuan radikal yang lebih lanjut. Maharaja Ferdinand I juga melantik Franz Anton von Kolowrat-Liebsteinsky, yang dianggap lebih liberal, untuk menggantikan Metternich sebagai ketua kerajaan.

Revolusi di Pest
Pada tahun 1846, ketika golongan nasionalis Hungary yang radikal seperti Lajos Kossuth menghadapi penapisan dan pengawasan yang lebih ketat daripada kerajaan pusat Empayar Austria, golongan liberal yang lebih konservatif diberi kebenaran untuk menubuhkan parti politik mereka sendiri. Kerajaan Austria yang dipimpin oleh Metternich pada masa itu berniat untuk mengisi kerusi dalam Parlimen Hungary dengan ahli perwakilan yang lebih konservatif. Lajos Kossuth dan golongan radikal lain pula menubuhkan “Parti Pembangkang” (Ellenzéki Párt) yang dianggotai kebanyakannya oleh golongan bangsawan tempatan dan ditaja oleh golongan bangsawan atasan yang lebih cenderung kepada politik radikal.
Walaupun memperjuangkan kuasa autonomi yang lebih besar untuk Hungary, terdapat golongan yang berbeza pendirian dalam Parti Pembangkang: golongan sentralis percaya bahawa Hungary harus mengamalkan bentuk kerajaan berpusat yang moden untuk menghapuskan saki baki sistem kekuasaan feudal; golongan munisipalis pula percaya bahawa dewan perundangan daerah tempatan merupakan benteng pertahanan kebebasan. Kossuth mendukung kuat pendirian golongan munisipalis, kerana merampas kuasa daripada golongan bangsawan kecil tempatan boleh menggagalkan projek pembebasan Hungary. Walau bagaimanapun, kedua-dua golongan dalam Parti Pembangkang mencapai persetujuan pada bulan Jun 1847 untuk mengemukakan platform bersama dengan tuntutan-tuntutan seperti kedaulatan kebangsaan bagi Hungary di dalam Empayar Habsburg, penyatuan semua wilayah yang dituntut oleh Mahkota Hungary (terutamanya integrasi semula dengan wilayah Transilvania), undang-undang progresif yang mendukung kemajuan sosial serta ekonomi, dan perakuan hak.
Parlimen Hungary mula bersidang di bandar Pressburg pada bulan November 1847 dengan Maharaja Ferdinand I dari Austria sendiri yang mempengerusikan persidangan itu sebagai Raja Hungary. Apabila Maharaja Ferdinand I cuba menyampaikan beberapa patah perkataan dalam bahasa Magyar sebagai tanda mesra kepada ahli-ahli perwakilan Hungary, ia menimbulkan kemarahan ahli-ahli perwakilan dari wilayah Croatia yang tidak bersetuju dengan dasar Magyarisasi. Walau bagaimanapun, untuk melemahkan pengaruh golongan nasionalis Hungary yang radikal, kerajaan imperial menawarkan beberapa pembaharuan yang lebih konservatif, termasuk mengalihkan halangan tarif antara Hungary dan wilayah-wilayah lain di dalam Empayar Austria. Ahli-ahli perwakilan yang radikal pula membangkitkan perbahasan mengenai keluhan-keluhan yang hendak disuarakan kepada raja dalam Parlimen Hungary.
Selepas berita tentang revolusi di Paris sampai di Vienna pada 29 Februari 1848, ia sampai di Pressburg pada hari keesokannya. Selepas mendengar berita itu, Lajos Kossuth menyampaikan ucapannya yang terkenal di Parlimen Hungary pada 3 Mac 1848. Kossuth bukan sekadar menuntut pembaharuan untuk Hungary, tetapi pembinaan semula seluruh Empayar Austria. Ucapan Kossuth merangsang pemberontakan di Vienna yang menjatuhkan Canselor Metternich sepuluh hari kemudian.
Walaupun Kossuth merupakan seorang nasionalis radikal yang ditakuti oleh golongan pemerintah di Vienna, terdapatnya golongan yang lebih radikal di Budapest. Terletak kira-kira 210 km dalam garisan lurus ke tenggara dari Vienna, Budapest belum lagi menjadi bandar raya yang bersatu seperti hari ini, tetapi dibahagikan kepada dua buah bandar yang dipisahkan oleh Sungai Danube: Buda (di tebing barat Sungai Danube) dan Pest (di tebing timur Sungai Danube). Buda yang merupakan ibu kota diraja monarki Hungary itu lebih kaya dan lebih konservatif berbanding Pest yang pesat membangun menjelang tahun 1840-an. Penduduk-penduduk Pest terdiri daripada tukang-tukang kecil, pekerja-pekerja, golongan bangsawan kecil, golongan profesional kelas menengah yang bukan bangsawan, artis-artis, penulis-penulis dan sebagainya, menjadikan bandar itu pusat perkembangan fahaman yang radikal. Bandar Pest didominasi suasana nasionalis Magyar dari segi politik dan progresif liberal dari segi ekonomi, maka lebih cenderung kepada revolusi berbanding golongan elit politik yang bersidang dalam Parlimen Hungary di Pressburg.

Salah seorang tokoh anak muda yang mewakili politik radikal di bandar Pest ialah Sándor Petőfi (1823-1849), seorang penyair yang agak popular. Petőfi memainkan peranan dalam penubuhan “Persatuan Sepuluh” (Tízek Társasága), sebuah kumpulan yang serupa dengan “Itali Muda” yang ditubuhkan oleh Giuseppe Mazzini, dan dianggotai oleh anak-anak muda yang mendukung politik radikal serta perubahan revolusioner, dengan matlamat perjuangan mereka ialah sebuah negara bangsa Magyar yang bebas dan demokratik. Sasterawan muda yang turut menyertai “Persatuan Sepuluh” termasuk Mihály Tompa (1817-1868), Albert Pálffy (1820-1897), Károly Bérczy (1821-1867) dan Mór Jókai (1825-1904). Golongan radikal muda ini bertemu secara berkala di Café Pilvax yang bakal menjadi tempat permulaan Revolusi Hungary 1848.
Apabila salinan ucapan Kossuth di Pressburg menjelajah ke arah hilir Sungai Danube dan sampai di Pest pada minggu pertama bulan Mac 1848, Petőfi dan Persatuan Sepuluh menterjemahkan ucapannya yang panjang itu ke dalam sebuah petisyen ringkas untuk mendapatkan tandatangan rakyat. Pada 11 Mac 1848, Petőfi mengemukakan draf petisyen itu yang mengandungi bukan sekadar program politik yang dibawa oleh Kossuth, tetapi menambah lagi beberapa tuntutan, dan dokumen itu dikenali sebagai “12 Perkara”. Begitu tulisnya “12 Perkara”:
Apa yang bangsa Magyar mahu?
Biarlah wujudnya keamanan, kebebasan dan kerukunan.
- Kami menuntut kebebasan akhbar, pemansuhan penapisan.
- Kerajaan Hungary yang merdeka di Buda-Pest.
- Perhimpunan kebangsaan tahunan di Pest.
- Kesamarataan sivil dan agama di sisi undang-undang.
- Tentera kebangsaan.
- Percukaian yang sejagat dan sama rata.
- Penghapusan ius aviticum. (nota: ius aviticum ialah undang-undang perwarisan pusaka yang menyatakan bahawa hanya golongan bangsawan boleh memiliki tanah pertanian.)
- Sistem juri dan mahkamah yang berasaskan perwakilan undang-undang yang sama rata.
- Bank kebangsaan.
- Tentera harus mengangkat sumpah untuk setia pada Perlembagaan, menghantar pulang askar-askar kami dan mengeluarkan askar-askar asing.
- Membebaskan tahanan politik.
- Kesatuan (dengan Transilvania).
Kesamarataan, kebebasan, persaudaraan!
“12 Perkara” dirangka oleh golongan radikal politik untuk membangkitkan semua tuntutan politik penting bagi rakyat Hungary, tetapi tidak menyentuh persoalan sosioekonomi yang berkait rapat pekerja, tukang kecil dan etnik minoriti yang mempunyai keluhan masing-masing.
Apabila berita tentang revolusi yang tercetus di Vienna pada 13 Mac 1848 sampai di Pressburg sehari selepasnya, pada 14 Mac 1848, dewan atas Parlimen Hungary mengundi untuk menerima ucapan Kossuth sebagai perutusan kepada raja, dan bersetuju untuk menghantar rombongan besar yang terdiri daripada perwakilan kedua-dua dewan Parlimen Hungary ke Vienna supaya mengemukakan tuntutan mereka kepada kerajaan imperial. Namun, apabila berita tentang kejatuhan Metternich sampai kemudian di bandar Pest pada hari yang sama, Petőfi dan rakan-rakannya yang radikal menggunakan peluang keemasan itu untuk mengisytihar “12 Perkara” itu terus berkuat kuasa dan memaksa kerajaan Habsburg untuk mengiktiraf apa yang dikemukakan oleh mereka.

Pada 15 Mac 1848, Sándor Petőfi bersama-sama dengan golongan anak muda yang radikal berkumpul di Café Pilvax, di mana Mór Jókai membaca “12 Perkara” dan Petőfi pula mendeklamasi sajak yang baharu ditulisnya dengan judul “Nemzeti dal” (“Lagu Kebangsaan”). “Nemzeti dal” bermula dengan rangkap sebegini,
“Bangkitlah, orang Magyar, tanah air memanggil!
Masanya sudah tiba, sekarang atau tidak sama sekali!
Adakah kita akan menjadi hamba atau bebas?
Inilah persoalannya, pilihlah jawapanmu! –
Dengan Tuhan orang Magyar
Kami bersumpah,
Kami bersumpah, bahawa kami tidak akan menjadi hamba lagi!”
Dengan semangat yang membara, golongan radikal yang muda itu turun berprotes di jalanan Pest. Mereka berarak ke universiti-universiti dan disertai oleh pelajar-pelajar yang beredar keluar dari dewan kuliah dan berhimpun di kawasan lapang. Golongan demonstran juga menuntut pembebasan tahanan politik seperti Mihály Táncsics (1799-1884), seorang penulis terkenal yang dipenjarakan sejak tahun 1846.
Sekumpulan radikal yang dipimpin oleh Petőfi menyerbu dan mengambil alih sebuah syarikat percetakan untuk mencetak salinan “12 Perkara” serta “Nemzeti dal” yang kemudiannya diedarkan di seluruh bandar Pest. Petőfi menamakan jalan di mana syarikat percetakan itu terletak sebagai “Jalan Akhbar Bebas”.
Menjelang waktu petang 15 Mac 1848, kira-kira 10,000 orang berhimpun dalam hujan di hadapan Muzium Kebangsaan Hungary. Petőfi menyampaikan ucapan, membaca “12 Perkara” dan mendeklamasi sajak “Nemzeti dal”. Golongan demonstran kemudiannya berarak ke dewan perbandaran di mana Majlis Perbandaran Pest sedang bersidang pada masa itu. Golongan demonstran menyerbu masuk ke dalam bangunan dewan perbandaran, dan memaksa Majlis Perbandaran Pest untuk menandatangani dokumen “12 Perkara”. Sebuah jawatankuasa keselamatan awam sementara ditubuhkan dengan Petőfi, 3 orang aktivis radikal, 6 orang ahli Majlis Perbandaran Pest yang liberal dan 3 orang bangsawan yang merupakan sekutu Kossuth, sebagai anggotanya.

Dengan bandar Pest dikuasai oleh golongan revolusioner, kira-kira 20,000 orang berarak melintasi jambatan pontun terapung ke bandar Buda di seberang Sungai Danube. Majlis Gabenor Diraja yang bersidang di Buda pada masa itu terpaksa akur pada tuntutan golongan demonstran, dengan mengarahkan tentera supaya tidak dikerahkan ke jalanan, menandatangani “12 Perkara” dan mengarahkan pembebasan semua tahanan politik.
Di Pressburg pula, Parlimen Hungary bersidang sekali lagi pada 15 Mac 1848 untuk mengundi tentang tuntutan tambahan yang dikemukakan kepada maharaja Austria, terutamanya Hungary perlu mempunyai kabinet menteri sendiri di bawah seorang Perdana Menteri Hungary, sementara Palatin yang merupakan wakil maharaja yang utama di Hungary hanya berfungsi sebagai duta dari Habsburg bukannya wakil pemerintah. Selepas semua tuntutan itu diluluskan, kira-kira 150 orang pemimpin politik Hungary (termasuk István Széchenyi dan Lajos Kossuth) menaiki kapal stim ke Vienna untuk menyampaikan tuntutan mereka kepada Maharaja Ferdinand I pada 16 Mac 1848.
Majlis Negara Rahsia, yang masih memegang kuasa politik di Vienna selepas Metternich meletak jawatan pada masa itu, memberitahu rombongan perwakilan Hungary bahawa kerajaan imperial akan memenuhi semua tuntutan Parlimen Hungary, kecuali tidak membenarkan pembentukan kabinet menteri yang bebas dan maharaja Austria mengekalkan kuasa veto sebenar ke atas undang-undang Hungary. Keputusan kerajaan imperial itu mencetuskan kemarahan ahli-ahli perwakilan Hungary, termasuk Széchenyi yang berfahaman agak moderat. Archduke Stephan dari Austria, Palatin Hungary pada masa itu yang berpandangan bahawa satu-satu caranya mengekalkan Hungary dalam Empayar Austria adalah memenuhi tuntutan-tuntutan politik Hungary, memintas Majlis Negara Rahsia dan terus berjumpa dengan Maharaja Ferdinand I supaya mendapatkan persetujuan lisannya untuk membenarkan Hungary menubuhkan kerajaan sendiri.

Oleh itu, kabinet menteri Hungary ditubuhkan dengan Lajos Batthyány (1807-1849), seorang bangsawan liberal kaya yang merupakan penaja dana dan sekutu kepada Kossuth, dilantik sebagai Perdana Menteri Hungary yang pertama. Dengan sokongan daripada Palatin Hungary dan janji mulut daripada maharaja Austria, pemimpin-pemimpin politik Hungary pulang dengan harapan membuka lembaran baharu untuk sejarah Hungary, tetapi cabaran yang lebih hebat sedang menunggu…
Märzrevolution
Di Konfederasi Jerman, liberalisme dan nasionalisme boleh dikatakan pada dasarnya adalah sinonim, kerana golongan intelek kelas menengah di situ yang berhasrat untuk menggulingkan pemerintahan absolutis yang represif dan konservatif, serta memperkenalkan hak sivil dan kedaulatan undang-undang, juga percaya bahawa satu-satu cara menjayakannya adalah melalui penggabungan 39 buah entiti berdaulat yang berpecah-belah dalam Konfederasi Jerman itu ke dalam sebuah negara Jerman yang bersatu.
Namun, terdapat juga golongan intelek radikal yang memperjuangkan perubahan yang lebih daripada sekadar penyatuan Jerman dan beberapa hak sivil sahaja, antaranya Friedrich Hecker (1811-1881) dan Gustav Struve (1805-1870).

Friedrich Hecker, yang berasal dari Baden di bahagian barat daya Jerman yang sudah mempunyai perlembagaan asas, dipilih sebagai ahli perwakilan dalam Dewan Perwakilan Baden pada tahun 1842 dan menjadi tokoh pemimpin pembangkang liberal. Hecker memainkan peranan penting dalam membawa pembangkang liberal ke arah yang lebih radikal. Hecker berkempen untuk menjadikan perlembagaan di Baden lebih demokratik dan menyokong penyatuan Jerman. Pada tahun 1845, Hecker menyuarakan bantahan tegasnya terhadap cubaan awal Denmark untuk mengilhak Schleswig-Holstein, sebuah wilayah yang dipertikaikan yang terletak di bahagian utara Jerman yang bersempadan dengan Denmark, Laut Utara dan Laut Baltik.
Pada ketika krisis ekonomi melanda pada pertengahan tahun 1840-an, Hecker mula menggabungkan radikalisme demokratiknya dengan dasar-dasar sosialis untuk menangani kesusahan yang dialami oleh pekerja-pekerja miskin. Pada tahun 1847, Friedrich Hecker menjadi presiden Volksverein (Persatuan Rakyat), sebuah organisasi politik yang ditubuhkan sebagai alternatif yang lebih radikal kepada kelab-kelab politik liberal yang lebih konservatif pada masa itu. Pada masa yang sama, Hecker berkenalan dengan Gustav Struve.
Walaupun berasal daripada keluarga bangsawan, Gustav Struve menyokong golongan radikal dan membantah konservatisme reaksioner yang dibawa oleh Metternich. Dalam tulisannya, Struve menggabungkan fahaman radikalisme demokratik dan proto-sosialisme. Bersama-sama Hecker, Struve membangunkan perspektif untuk menghapuskan seluruh sistem monarki, dan mendukung penyatuan Jerman dengan cara membentuk sebuah republik persekutuan, bukannya di bawah naungan monarki yang sedia ada.
Pada 12 September 1847, kira-kira 800-900 orang radikal berhimpun di Offenburg yang terletak di bahagian barat negeri Perdemangan Besar Baden. Dalam Perhimpunan Offenburg, Friedrich Hecker mengemukakan “13 tuntutan” yang merangkumi pembatalan Dekri-dekri Karlsbad yang represif, kebebasan akhbar, kebebasan akademik, kebebasan hati nurani, kebebasan berhimpun, kebebasan bergerak, kesamarataan di sisi undang-undang dan sebagainya. Namun, berbanding dengan tuntutan-tuntutan liberal yang lain, 13 tuntutan yang dibawa oleh Hecker itu melangkaui persoalan politik dan turut memberi tumpuan kepada persoalan sosioekonomi, dengan tuntutan seperti pelaksanaan cukai pendapatan yang progresif, pendidikan sejagat yang percuma dan kerajaan harus menggunakan kuasanya untuk melindungi hak pekerja daripada eksploitasi yang tidak adil oleh pemilik perniagaan. Hecker juga menyeru untuk pembentukan Parlimen Pan-Jerman sebagai permulaan proses penyatuan Jerman yang berasaskan prinsip republikan.

Merespon kepada tuntutan-tuntutan radikal yang dibawa dalam Perhimpunan Offenburg, sekumpulan kecil elit liberal yang lebih konservatif di bahagian barat daya Jerman mengadakan persidangan di Hoffenheim sebulan kemudian dengan kehadiran hanya 18 orang. Persidangan Hoffenheim mengemukakan program politik nasionalis liberal yang berkisar pada hanya dua perkara: sebuah negara bangsa Jerman dan jaminan untuk hak-hak sivil tertentu. Walau bagaimanapun, perbezaan ketara antara golongan liberal moderat dan golongan radikal dapat diketepikan buat sementara, kerana mereka semuanya menentang susunan konservatif yang diterajui oleh Metternich, memperjuangkan kebebasan sivil yang asas dan mengharapkan penyatuan Jerman.
Apabila berita tentang revolusi di Perancis tersebar di bandar-bandar Jerman, orang ramai berkumpul di kedai-kedai kopi dan kedai-kedai bir untuk mendengar berita atau membaca suratkhabar yang membawa berita tentang pergolakan politik di Perancis. Golongan liberal dan golongan radikal menyedari bahawa itulah peluang keemasan untuk mereka memaksa golongan pemerintah supaya menerima tuntutan pembaharuan mereka jika golongan pemerintah itu hendak mengelakkan nasib seperti Raja Louis Philippe I di Perancis.
Pada 27 Februari 1848, Perhimpunan Rakyat Mannheim yang disertai oleh rakyat Baden meluluskan resolusi untuk menuntut perakuan hak. Mereka mengangkat “13 Tuntutan” yang dirangka oleh Friedrich Hecker dan menyerahkannya dalam bentuk petisyen kepada Dewan Kedua Landstände Baden, iaitu dewan perdarjatan di negeri Perdemangan Besar Baden. Friedrich Hecker bersama-sama Gustav Struve dan golongan radikal lain di Baden meringkaskan “13 Tuntutan” itu kepada empat perkara penting: 1. Mempersenjatakan rakyat dengan pilihan raya terbuka untuk pegawai; 2. Kebebasan akhbar yang tiada sekatan; 3. Mahkamah juri yang berasaskan model Inggeris; 4. Pembentukan serta-merta Parlimen Jerman.
Pada 28 Februari 1848, golongan liberal dan golongan radikal yang berhimpun memilih sebuah jawatankuasa rakyat dan menyenaraikan tuntutan-tuntutan untuk diserahkan oleh sebuah delegasi kepada pihak berkuasa di Karlsruhe, ibu negeri Baden. Pada 1 Mac 1848, 20,000 orang berdemonstrasi di hadapan bangunan Dewan Perdarjatan Baden, dengan beberapa orang demonstrasi memasuki bangunan itu. Friedrich Hecker menuntut pembatalan hak keistimewaan golongan bangsawan dan pembebasan hamba tani, dengan matlamat menghapuskan sisa-sisa sistem feudal zaman pertengahan. “Persatuan rakyat” (Volksvereine) yang ditubuhkan di bandar-bandar seluruh negeri Baden menjadi tulang belakang kepada Revolusi Baden.

Pada masa yang sama, tercetusnya pemberontakan petani di bahagian selatan Jerman. Penduduk-penduduk di kawasan luar bandar di bahagian barat daya Jerman amat tidak berpuas hati dengan keadaan tidak mencukupi tanah untuk bercucuk tanam dan beban kewajipan feudal yang masih dipaksakan ke atas mereka, sedangkan Perancis yang bersebelahan dengan wilayah itu sudah menghapuskan sistem feudal pada tahun 1789. Selepas mendapat tahu Revolusi Februari di Perancis, golongan petani di bahagian barat daya Jerman memberontak dan menyerang rumah kediaman bangsawan tempatan. Mereka menyerbu ke dalam rumah tuan tanah, mencari dokumen yang mencatatkan kewajipan feudal setiap orang dan membakar dokumen itu.
Selain takut mengalami nasib seperti Raja Louis Philippe I, golongan pemerintah di negeri-negeri Jerman Barat Daya juga amat takut pada pemberontakan petani yang hebat, maka mereka dengan cepatnya berkompromi dengan golongan liberal di kawasan bandar demi melindungi kedudukan pemerintahan monarki. Oleh itu, Leopold I, Demang Besar Baden, dengan cepatnya bersetuju untuk melaksanakan sistem juri dalam perbicaraan mahkamah dan kebebasan akhbar, di samping mengarahkan pembentukan militia rakyat.
Pada 2 Mac 1848, Leopold I menyingkirkan kabinet menteri yang konservatif dan menubuhkan sebuah kerajaan baharu yang liberal. Dia juga mengumumkan bahawa Baden akan menarik diri secara unilateral daripada Dekri-dekri Karlsbad, di samping memansuhkan undang-undang zalim yang menyekat kebebasan bersuara dan mengenakan pengawasan terhadap universiti. Dewan Pertama (Ständekammer) yang bersidang pada masa itu meluluskan rang undang-undang untuk memansuhkan sisa-sisa feudalisme, mengkehendaki tentera bersumpah setia pada Perlembagaan Baden dan mewujudkan kesamarataan agama bagi mereka yang bukan Kristian. Ini boleh dikatakan kemenangan pantas bagi usaha pembaharuan liberal di negeri-negeri Jerman Barat Daya.
Corak pergolakan politik di Baden juga merebak ke negeri-negeri Jerman lain. Resolusi-resolusi untuk menuntut perakuan hak juga diluluskan oleh perhimpunan rakyat yang diadakan di Württemberg, Hessen, Nassau dan negeri-negeri Jerman lain. Di Hanau, sebuah bandar kecil di dalam negeri Hessen yang terletak di hulu Sungai Main, sebuah suruhanjaya rakyat yang dianggotai oleh 23 orang ditubuhkan pada 9 Mac 1848 dan mengisytihar penyertaan mereka dalam gelombang Revolusi Mac 1848. “Hasrat rakyat tidak dipenuhi… Rakyat yang kami katakan ini bukan lagi sekadar idea zaman lampau: tidak, ia bermaksud Setiap Orang, Setiap Orang! Ya, Duli yang Maha Mulia, Setiap Orang!” begitu tulisnya petisyen yang ditujukan oleh Suruhanjaya Rakyat Hanau kepada Putera-Pemilih Friedrich Wilhelm I, pemerintah negeri Hessen pada masa itu.

Sokongan rakyat yang hebat kepada gerakan pembaharuan liberal telah memaksa golongan pemerintah di negeri-negeri Jerman untuk menerima kebanyakan “Tuntutan Mac” (Märzforderungen). Dalam minggu pertama bulan Mac, pemerintah di Württemberg, Hessen, Hannover dan Bayern menggantikan kabinet menteri sedia ada yang konservatif dengan pemimpin-pemimpin yang lebih liberal. Kabinet-kabinet menteri yang liberal itu berjanji untuk menjamin hak sivil dan bersiap sedia untuk mengadakan Perhimpunan Pan-Jerman.
Pada 5 Mac 1848, 51 orang wakil dari 6 buah negeri Jerman (termasuk Baden, Bayern, Sachsen and Württemberg) bersidang di Heidelberg. Perhimpunan Heidelberg memutuskan untuk menubuhkan sebuah pra-parlimen (Vorparlament) sebagai persiapan untuk pilihan raya sebuah perhimpunan perlembagaan kebangsaan pan-Jerman. Mereka memilih “Jawatankuasa Tujuh Orang” (Siebenerausschuss) dengan tugasan menjemput 500 orang perwakilan untuk bersidang di Frankfurt.
Golongan pemerintah di negeri-negeri Jerman yang kecil dan sederhana itu sudi menerima tuntutan pembaharuan liberal pada masa itu kerana mereka hendak mengelakkan revolusi dan mengekalkan takhta kekuasaan monarki mereka. Namun, Raja Ludwig I dari Bayern yang agak tidak popular pada masa itu tidak sanggup menerima pembaharuan liberal yang moderat itu dan tidak mahu menjadi sekadar mesin tandatangan. Pada 20 Mac 1848, Ludwig I melepaskan takhta raja Bayern kepada anaknya, Maximilian II.
Menjelang pertengahan bulan Mac 1848, satu lagi berita yang mengejutkan sudah tersebar di seluruh negeri-negeri Jerman, iaitu batu asas konservatisme reaksioner di Eropah, Canselor Metternich di Empayar Austria (yang merupakan anggota Konfederasi Jerman), dijatuhkan dalam pemberontakan rakyat di Vienna. Kejatuhan Metternich membuka ruang kepada kemungkinan politik yang tidak dapat dibayangkan sebelum itu, malah Prusia, negara Jerman yang paling besar dan paling berkuasa, juga tidak dapat melepaskan diri daripada revolusi nasionalis liberal.

Apabila berita tentang revolusi di Perancis sampai di Berlin, ibu negara Kerajaan Prusia, Raja Friedrich Wilhelm IV dari Prusia yang konservatif itu mengambil tindakan yang bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh golongan pemerintah di negeri-negeri Jerman lain di selatan.
Pada 7 Mac 1848, orang ramai yang berkumpul di tempat makan dan minum di Berlin asyik bercakap tentang politik berkaitan dengan revolusi di Perancis dan pergolakan di negeri-negeri Jerman yang berjiranan. Adanya orang merangka petisyen untuk diserahkan kepada raja dengan tuntutan seperti pemanggilan semula persidangan Diet Bersatu (iaitu dewan perhimpunan perdarjatan yang pernah dipanggil oleh raja Prusia pada tahun 1847 untuk menyelesaikan masalah pembiayaan pembinaan landasan kereta api tetapi dibubarkan selepas Diet itu menuntut perlembagaan bertulis, pilihan raya dan Parlimen Jerman yang bersatu) dan membenarkan kebebasan akhbar. Selepas petisyen itu mendapat ribuan tandatangan dan dibawa ke istana diraja, Raja Friedrich Wilhelm IV tidak membenarkan petisyen itu diserahkan dengan tangan kepadanya kerana rakyat Prusia tiada hak untuk menghantar petisyen kepada raja, maka petisyen itu dikirimkan melalui penghantaran pos. Kerajaan Prusia pula mengerahkan tentera untuk meronda di bandar Berlin dengan niat menakut-takutkan rakyat.
Pada 13 Mac 1848, dengan ketegangan semakin meningkat, golongan pekerja dan golongan tukang kecil di Berlin mula mengadakan demonstrasi jalanan, tetapi bertembung dengan pasukan tentera yang cuba menyuraikan demonstran dengan kekerasan. Pasukan tentera menyerang sekumpulan orang yang pulang dari perhimpunan di Tiergarten, sebuah taman di pusat bandar Berlin, menyebabkan seorang mati terbunuh dan ramai yang cedera. 2 orang lagi demonstran dibunuh oleh pasukan tentera pada 16 Mac 1848. Dengan darah ditumpahkan, warga Berlin bersedia untuk penentangan yang lebih keras.
Pada 18 Mac 1848, apabila mendapat tahu tentang Raja Friedrich Wilhelm IV hendak mengeluarkan proklamasi perdamaian kepada rakyatnya, orang ramai berhimpun di hadapan istana diraja. Proklamasi itu menyatakan bahawa Raja Prusia akan memanggil semula persidangan Diet Bersatu dengan tugasan khusus untuk meneroka jalan bagi penyatuan Jerman, dan memberi isyarat bahawa tuntutan-tuntutan liberal itu boleh dilaksanakan. Namun, terdapat satu perkara penting yang dituntut oleh warga Berlin pada masa itu yang tidak diumumkan oleh Raja Friedrich Wilhelm IV, iaitu pengunduran tentera keluar dari bandar Berlin.

Dengan orang ramai yang berhimpun di hadapan istana diraja itu enggan bersurai kerana tuntutan mereka masih belum dipenuhi, pasukan tentera dikerahkan untuk menyuraikan mereka. Selepas kedengaran tembakan dilepaskan, warga Berlin yang sudah terasa dikhianati oleh raja yang hanya menawarkan janji kosong sebelum mengarahkan tentera untuk menindas mereka itu terus memberontak. Mereka mendirikan benteng-benteng jalanan dan melengkapkan diri mereka dengan senjata untuk pertempuran jarak dekat. Bendera tiga warna hitam-merah-emas yang merupakan lambang nasionalisme Jerma dikibarkan.
Pertempuran sengit tercetus antara golongan pemberontak dan pasukan tentera. Pasukan tentera malah menggunakan tembakan meriam untuk menyerang golongan pemberontak dan membunuh ramai orang. Namun, semangat perjuangan warga Berlin gagal dipatahkan oleh keganasan tentera.
Menjelang waktu subuh hari keesokannya, kira-kira 800 orang pemberontak dan kira-kira 100 orang askar mati terkorban dalam pertempuran semalaman, sementara kira-kira 2,500 orang cedera. Angka itu hampir sama dengan jumlah orang yang terbunuh di Paris dalam Revolusi 1830 dan Revolusi 1848 digabungkan tetapi hanya dalam tempoh sehari, maka menjadikannya peristiwa revolusioner yang paling ganas setakat itu tetapi menjadi pendahulu kepada episod yang lebih ganas lagi pada tahun 1848-1849.
Selepas peristiwa berdarah di Berlin dan menyedari bahawa dirinya sudah kehilangan kepercayaan rakyat, Raja Friedrich Wilhelm IV mengeluarkan proklamasi baharu yang ditujukan kepada warga Berlin, dengan menyatakan bahawa jika bandar Berlin kembali kepada keadaan aman, dia akan mengarahkan pengunduran pasukan tentera dan meninggalkan unit tentera yang sekadar cukup untuk melindungi beberapa buah bangunan kerajaan yang penting. Dia juga membenarkan warga Berlin untuk menubuhkan Pengawal Sivik supaya menjalankan tugas-tugas kepolisan yang menjaga ketenteraman di bandar Berlin. Namun, jeneral konservatif yang tidak berpuas hati dengan arahan raja itu terus mengundurkan semua pasukan tentera dari bandar Berlin, sehingga tiada askar yang menjaga istana diraja.
Apabila menyedari bahawa tiadanya tentera yang menghalang mereka daripada mendekati raja, warga Berlin berhimpun di hadapan istana diraja dengan mayat-mayat pemberontak yang terkorban, dan menuntut pada raja untuk menyaksikan penderitaan serta pengorbanan mereka dengan mata sendiri. Raja Friedrich Wilhelm IV muncul di balkoni istana dan menanggalkan topinya untuk memberi penghormatan kepada mereka yang mati, tetapi dia terpaksa kembali ke dalam bangunan dengan penuh gementar selepas mendengar orang ramai yang berhimpun itu menyanyikan lagu nasionalis yang popular (seperti lagu yang berjudul “Putera-putera berambus keluar dari negeri ini!”).
Dengan Pengawal Sivik menguasai bandar Berlin, pada 21 Mac 1848, Raja Friedrich Wilhelm IV keluar ke jalanan dengan memakai reben tiga warna nasionalis hitam-merah-emas dan bertemu dengan anggota-anggota Pengawal Sivik. Raja Friedrich Wilhelm IV berjanji secara lisan bahawa “Prusia akan bergabung segera ke dalam Jerman” dan semua tuntutan rakyat akan dipenuhi.

Pada 22 Mac 1848, upacara pengebumian beramai-ramai diadakan untuk mereka yang terkorban dalam pemberontakan di Berlin, dengan kehadiran kira-kira 40,000 orang. Raja Friedrich Wilhelm IV berjanji pada rakyatnya bahawa mereka akan mempunyai perlembagaan, begitu juga dengan pilihan raya parlimen dan kebebasan akhbar. Namun, janji-janji yang ditaburkan oleh Raja Friedrich Wilhelm IV itu bukannya sesuatu yang ikhlas tetapi sekadar untuk meredakan ketegangan buat sementara waktu. Tiga hari kemudian, keluarga diraja meninggalkan bandar Berlin untuk berselindung di Potsdam yang merupakan kubu kuat mereka. Pada ketika warga Berlin meraikan hak-hak baharu mereka yang dimenangi melalui perjuangan, Raja Friedrich Wilhelm IV masih tidak mahu melepaskan hak-hak lamanya.
Di Liechtenstein, sebuah negeri keputeraan yang kecil di bahagian barat daya Konfederasi Jerman dan bersempadan dengan Austria, juga tercetusnya gerakan rakyat yang menentang pemerintahan monarki berkuasa mutlak di bawah Putera Alois II. Oleh sebab rakyat Liechtenstein mengalami keadaan ekonomi yang teruk pada masa itu, gerakan revolusioner Liechtenstein berjuang untuk memperbaiki kehidupan ekonomi rakyat biasa, di samping melaksanakan pembaharuan politik yang dibawa oleh golongan liberal. Pada 22 Mac 1848, sebuah jawatankuasa rakyat melantik tiga orang untuk memimpin gerakan revolusioner di Liechtenstein, iaitu Ludwig Grass (1789-1860), Peter Kaiser (1793-1864) dan Karl Schädler (1804-1872). Pemimpin-pemimpin liberal Liechtenstein mengekalkan ketenteraman di situ dan mencegah revolusi itu daripada menuju ke arah yang lebih radikal. Hasil daripada desakan rakyat, sebuah majlis perlembagaan ditubuhkan pada 27 Julai 1848 dengan Karl Schädler dipilih sebagai presiden. Majlis perlembagaan merangka sebuah perlembagaan baharu untuk Liechtenstein dan kemudiannya diterima oleh Putera Alois II pada tahun 1848. Sebagai kompromi kepada golongan revolusioner, pejabat daerah dibubarkan dan digantikan oleh Majlis Daerah pada 7 Mac 1849 dengan 24 orang ahli perwakilan yang dipilih, maka menjadi badan perwakilan demokratik yang pertama di Liechtenstein. Karl Schädler dipilih sebagai Pentadbir Daerah. Namun, selepas Revolusi Jerman 1848-1849 menemui kegagalan, Putera Alois II memulihkan pemerintahan berkuasa mutlak pada bulan Julai 1852 dan membubarkan Majlis Daerah.

Siri pergolakan hebat dalam fasa awal revolusi di negeri-negeri Jerman yang membawa kepada pembaharuan liberal dan harapan untuk penyatuan Jerman juga dikenali sebagai “Revolusi Mac” (Märzrevolution).
Pemberontakan Poznań
Revolusi Mac di Prusia turut menyemarakkan semangat revolusioner di salah sebuah wilayah bukan Jerman yang didudukinya, iaitu Poland Besar (Wielkopolska). Poland Besar ialah sebuah wilayah yang terletak di bahagian tengah barat Poland dan Poznań merupakan bandar terbesarnya.
Sebahagian besar wilayah Poland Besar dikuasai oleh Kerajaan Prusia selepas siri pembahagian negara Poland oleh kuasa-kuasa besar Eropah pada abad ke-18. Selepas menjadi sebahagian daripada Perdemangan Warsaw (1807-1815) semasa Perang Napoleon, wilayah Poland Besar dibahagikan lagi berikutan Kongres Vienna, dengan bahagian barat wilayah itu (termasuk bandar Poznań) diserahkan kepada Prusia dan menjadi Perdemangan Besar Posen (1815-1848), sementara bahagian timur digabungkan ke dalam Kongres Poland (1815-1915) yang dikuasai oleh Rusia. Posen ialah Poznań dalam bahasa Jerman.

Sejak Prusia menguasai wilayah Poland Besar pada abad ke-18, kerajaan pusat Prusia telah mengamalkan dasar yang mendorong migrasi warga Jerman ke wilayah itu, di samping memastikan semua jawatan kerajaan dan pentadbiran di situ dipegang oleh warga Jerman. Menjelang tahun 1848, demografi wilayah Perdemangan Besar Posen dibahagikan kepada 60% orang berbangsa Poland, 35% orang berbangsa Jerman dan 5% orang Yahudi.
Pada tahun 1846, golongan nasionalis Poland merancang untuk melancarkan pemberontakan di wilayah Poland Besar yang ditadbir oleh Perdemangan Besar Posen yang berautonomi separa di bawah kekuasaan Prusia dan bandar Kraków yang berada di bawah kekuasaan Austria, tetapi dipatahkan dan ramai aktivis Poland ditahan di penjara di Berlin.
Pada 19 Mac 1848, semasa revolusi tercetus di Berlin, Raja Friedrich Wilhelm IV dari Prusia memberi pengampunan kepada tahanan politik dari Poland sebagai konsesi kepada golongan revolusioner. Tahanan politik dari Poland yang dibebaskan itu kemudiannya menyertai Pengawal Sivik Berlin pada 20 Mac 1848 sebagai “Legion Poland”. Pasukan militia Poland yang ditubuhkan itu kemudiannya terus berangkat pulang ke wilayah Perdemangan Besar Posen.

Ludwik Mierosławski (1814-1878), seorang penyair yang pernah menyertai Pemberontakan November 1830 yang menentang pemerintahan Rusia di wilayah Kongres Poland dan kemudiannya ditahan kerana terlibat dalam Pemberontakan Poland Besar pada tahun 1846, merupakan salah seorang yang dibebaskan kerana pengampunan semasa Revolusi Mac 1848 di Berlin. Mierosławski mengibarkan bendera tiga warna hitam-merah-emas yang melambangkan Revolusi Jerman untuk meraikan pembebasannya bersama-sama bekas tahanan yang lain di tempat awam. Terdapat ucapan yang disampaikan dalam demonstrasi di Berlin menyentuh tentang perjuangan bersama untuk melawan Empayar Rusia demi sebuah negara Jerman yang bebas dan bersatu serta sebuah negara Poland yang merdeka.
Karol Libelt (1807-1875), seorang lagi tahanan Poland yang dibebaskan di Berlin pada masa itu, mempunyai tanggapan bahawa seluruh warga Berlin pada masa itu mahukan sebuah negara Poland yang merdeka sebagai perisai bagi Jerman untuk menangkis ancaman daripada Rusia dan persoalan Poland bakal diselesaikan tidak lama kemudian. Golongan migran Poland di Perancis, seperti Adam Jerzy Czartoryski (1770-1861), juga mengambil kesempatan untuk pulang menyertai Legion Poland.
Mendapat inspirasi daripada pergolakan revolusioner di Berlin, warga Poland menganjurkan demonstrasi di bandar Poznań pada 20 Mac 1848. Apabila pihak berkuasa bersetuju untuk mewujudkan sebuah delegasi yang akan membawa cadangan-cadangan daripada rakyat Poland kepada pemerintah Prusia di Berlin, “Jawatankuasa Kebangsaan Poland” ditubuhkan di Poznań, dengan Gustaw Potworowski (1800-1860) sebagai pengerusi. Jawatankuasa Kebangsaan Poland mengehadkan keanggotaannya kepada warga berbangsa Poland sahaja. Ia dianggotai oleh golongan pemilik tanah dan golongan intelek yang cenderung kepada fahaman liberal, di samping adanya seorang wakil petani, Jan Palacz (1811/1812-1891).

Jawatankuasa Kebangsaan Poland pada awalnya hendak menuntut kemerdekaan sepenuhnya, tetapi mengubah suai tuntutan kepada sesuatu yang lebih moderat, iaitu penyusunan semula kebangsaan. Jawatankuasa Kebangsaan Poland mengemukakan tuntutan untuk autonomi yang lebih besar bagi Poland Besar, penubuhan kor tentera Poland, pengunduran tentera Prusia dan pembentukan pentadbiran yang diterajui oleh warga berbangsa Poland. Jawatankuasa Kebangsaan Poland mengorganisasi militia, pada asalnya bukan bertujuan untuk melawan Prusia, tetapi untuk menghadapi ancaman pencerobohan tentera Rusia.
Walau bagaimanapun, wujudnya dua golongan dalam Jawatankuasa Kebangsaan Poland: golongan berhaluan kiri berhasrat untuk melancarkan pemberontakan untuk menentang pemerintahan raja Prusia; sementara golongan kanan berhasrat untuk mencapai persetujuan dengan raja Prusia supaya mendapatkan autonomi yang lebih besar bagi wilayah Poland Besar.
Pada 21 Mac 1848, sebuah demonstrasi yang dianjurkan secara bersama oleh warga berbangsa Jerman dan warga berbangsa Poland diadakan di Poznań, dengan demonstran Jerman memakai kokarde tiga warna hitam-merah-emas, sementara demonstran Poland memakai hiasan warna merah-putih sebagai lambang revolusioner. Jawatankuasa Kebangsaan Poland mengeluarkan perisytiharan yang menyeru untuk perjuangan bersama dan cuba mendapatkan sokongan daripada warga Jerman. Sehari kemudian, Jawatankuasa Kebangsaan Poland mengiktiraf hak orang Yahudi yang tinggal di situ.
Pada 23 Mac 1848, raja Prusia bertemu dengan rombongan perwakilan dari Poland dan menyatakan bahawa dia bersetuju dengan cadangan untuk autonomi wilayah Poland Besar. Pada 24 Mac 1848, kerajaan Prusia mengeluarkan perisytiharan yang menjanjikan penyusunan semula wilayah dalam masa terdekat dan pembentukan suruhanjaya kedua-dua bangsa (Poland dan Jerman) dengan matlamat mempertimbangkan kepentingan kedua-dua bangsa di wilayah Poland Besar. Warga Poland menganggap perisytiharan itu sebagai langkah untuk memulihkan autonomi di wilayah Poland Besar. Oleh itu, mereka mula mengambil alih kuasa pentadbiran tempatan. Legion Poland tiba di Poznań pada 28 Mac 1848, dan Ludwik Mierosławski mengambil alih perintah angkatan tentera Poland.
Dengan warga Poland di Poznań mewujudkan angkatan tentera mereka sendiri dan mengambil alih pentadbiran di situ, gerakan nasionalis Poland merebak ke seluruh wilayah Poland Besar. Golongan petani dan penduduk bandar berbangsa Poland memberontak terhadap pegawai-pegawai kerajaan Prusia. Golongan bangsawan Poland bersama-sama dengan petani-petani berbangsa Poland mula mengangkat senjata dan bersedia untuk berkonfrontasi dengan tentera Prusia.
Di wilayah Pomerelia, yang terletak di bahagian utara Poland dan juga diduduki oleh Prusia, penduduk-penduduk berbangsa Poland di situ mendapat inspirasi daripada pergolakan di wilayah Poland Besar dan turut memberontak terhadap pegawai-pegawai Prusia di situ. Mereka menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Prusia Poland Sementara di bandar Chełmno. Namun, pemberontakan di wilayah Pomerelia dipatahkan oleh tentera Prusia tidak lama kemudian, dengan ramai pemimpin bangsa Poland di situ dipenjarakan.
Di bawah pengaruh pegawai-pegawai kerajaan Jerman yang setia kepada raja Prusia dan perlindungan tentera Prusia, warga berbangsa Jerman di wilayah Poland Besar yang khuatir tentang kebangkitan sentimen nasionalis Poland juga menubuhkan jawatankuasa kebangsaan mereka sendiri untuk menentang gerakan nasionalis Poland. Pasukan militia Jerman ditubuhkan untuk melindungi harta dan kepentingan masyarakat berbangsa Jerman di Poland Besar. Jawatankuasa Kebangsaan Jerman menyerahkan petisyen kepada Diet Konfederasi Jerman dengan tuntutan supaya daerah-daerah dengan penduduk majoriti bangsa Jerman di Poland Besar harus dipisahkan dan dibenarkan untuk menyertai negara Jerman yang bersatu jika penyusunan semula wilayah diadakan. Malah adanya golongan nasionalis Jerman yang mengemukakan tuntutan kepada golongan pemerintah di Berlin untuk memasukkan seluruh wilayah Poland Besar ke dalam Konfederasi Jerman.

Pada 3 April 1848, persidangan parlimen tempatan Poznań menolak untuk menyertai Konfederasi Jerman dengan undian 26 lawan 17. Pada 4 April 1848, tentera Prusia yang diketuai oleh Jeneral Friedrich August Peter von Colomb mengisytihar darurat di bandar Poznań.
Oleh sebab marah dengan tindakan tentera Prusia yang mengganggu warga Poland, golongan petani berbangsa Poland di kawasan luar bandar memberontak terhadap tentera Prusia dan menyertai tentera Poland yang dipimpin oleh Mierosławski. Tentera Prusia melancarkan serangan ke atas kem-kem tentera Poland. Namun, kebanyakan anggota Jawatankuasa Kebangsaan Poland tidak bersetuju dengan pemberontakan bersenjata walaupun diserang oleh tentera Prusia, maka Jawatankuasa Kebangsaan Poland dibubarkan pada 30 April 1848 dan membiarkan Mierosławski untuk terus berjuang bersendirian.
Walaupun tentera pemberontak Poland yang dipimpin oleh Ludwik Mierosławski mencapai kemenangan mengejut dalam “Pertempuran Miłosław” pada 30 April 1848, ternyata kekuatan tentera pemberontak Poland tidak dapat menandingi tentera kerajaan Prusia. Selepas mengalami kekalahan ketenteraan yang berterusan, Mierosławski meletak jawatannya sebagai komander angkatan tentera Poland, dan komander baharu yang menggantikannya, Augustyn Brzeżański (1789-1855) menyerah kalah kepada tentera Prusia pada 9 Mei 1848.
Selepas Pemberontakan Poland Besar, yang juga dikenali sebagai “Pemberontakan Poznań”, dipatahkan, kira-kira 1,500 orang warga Poland dipenjarakan di Kubu Poznań, dengan kebanyakannya petani yang mengambil bahagian dalam perjuangan bersenjata. Kerajaan Prusia menurunkan status Perdemangan Besar Posen kepada Provinsi Posen. Walaupun pemberontakan itu dipatahkan, ia terus memberi inspirasi dan semangat kepada usaha perjuangan nasionalis Poland akan datang.

Revolusi Mac di Denmark
Revolusi Februari 1848 di Perancis dan kejatuhan Metternich juga memberi impak kepada negara Denmark di Eropah Utara.
Negara Denmark pada masa itu sudah diperintah di bawah sebuah perlembagaan monarki berkuasa mutlak yang dikenali sebagai “Undang-undang Raja” (Kongeloven) sejak tahun 1665. Gerakan liberal nasionalis pula mula berkembang pesat dalam kalangan golongan intelek di Denmark pada tahun 1830-an, dan sebuah organisasi politik yang dikenali sebagai “Parti Liberal Nasional” (De Nationalliberale) ditubuhkan pada tahun 1842, untuk menggabungkan mereka yang menentang sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak dan menuntut pembaharuan perlembagaan. Parti Liberal Nasional dianggotai oleh pelajar-pelajar dan ahli-ahli akademik, maka juga sering digelar sebagai “parti profesor”, tetapi ia juga mendapat sokongan daripada golongan pedagang dan kakitangan awam yang muda.

Antara tokoh-tokoh pemimpin penting dalam Parti Liberal Nasional ialah Orla Lehmann (1810-1870), Ditlev Gothard Monrad (1811-1887), Carl Christian Hall (1812-1888), Carl Ploug (1813-1894), Andreas Frederik Krieger (1817-1893). Lehmann, Monrad dan Ploug pernah menjadi ketua pengarang, Fædrelandet (Tanah Air), sebuah suratkhabar yang menjadi lidah kepada gerakan Liberal Nasional sejak tahun 1834.
Orla Lehmann pernah dipenjarakan 3 bulan kerana menyampaikan ucapan pada tahun 1841 di Nykøbing Falster, sebuah bandar di Pulau Falster yang terletak di bahagian tenggara Denmark, untuk menggesa golongan petani supaya mengambil bahagian dalam usaha mewujudkan sebuah perlembagaan liberal. Lehmann menyokong penubuhan “Persatuan Rakan Petani” (Bondevennernes Selskab) oleh Johan Christian Drewsen (1777-1851) dan Balthazar Christensen (1802-1882) untuk mendukung pembebasan golongan petani dan kesamarataan dalam kalangan kelas-kelas yang berlainan dalam masyarakat.
Orla Lehmann mengemukakan “Program Eider” (Ejderpolitikken) pada tahun 1842, dengan hasrat menjadikan Sungai Eider sebagai sempadan selatan Denmark dengan menyerapkan wilayah Schleswig ke dalam Denmark sementara wilayah Holstein (yang terletak di selatan Schleswig tetapi diperintah secara bersama oleh raja Denmark dengan kapasiti sebagai demang melalui kesatuan peribadi sejak abad ke-15) boleh diserahkan kepada Konfederasi Jerman.
Raja Christian VIII dari Denmark, seorang reformis yang moderat walaupun masih berpegang pada pendirian absolutis, meninggal dunia pada bulan Januari 1848, dan digantikan oleh anaknya, Frederik VII, yang terus menghadapi desakan daripada Parti Liberal Nasional untuk penggubalan perlembagaan liberal selepas menaiki takhta raja.

Pada 21 Mac 1848, kira-kira 20,000 orang menyahut panggilan Parti Liberal Nasional untuk berhimpun di pusat bandar Copenhagen, ibu negara Denmark. Golongan demonstran berarak ke Istana Christiansborg dengan tuntutan pelaksanaan sistem raja berperlembagaan dan pembentukan kerajaan baharu. Raja Frederik VII yang baharu bertakhta itu terpaksa menerima tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh golongan demonstran.
Sebuah kabinet menteri campuran yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin Parti Liberal Nasional dan golongan yang lebih konservatif ditubuhkan pada 22 Mac 1848. Ditlev Gothard Monrad dan Orla Lehmann turut dilantik ke dalam kabinet itu. Parti Liberal Nasional hendak menghapuskan pemerintahan raja berkuasa mutlak, tetapi masih mahu mengekalkan sebuah negara yang memusatkan kuasa.
Ditlev Gothard Monrad telah menulis draf untuk perlembagaan baharu, dan Orla Lehmann menyunting draf itu. Penulisan draf perlembagaan itu mendapat ilham daripada Perlembagaan Belgium 1831. Monrad memperkenalkan istilah “gereja rakyat” untuk gereja rasmi negara Denmark. Draf perlembagaan itu dibentangkan kepada Perhimpunan Perlembagaan dengan keanggotaannya terdiri daripada 114 orang yang dipilih dalam pilihan raya pada 5 Oktober 1848 dan 38 orang lagi dilantik oleh Raja Frederik VII. Ahli-ahli perwakilan dalam Perhimpunan Perlembagaan itu dipecahkan kepada 3 kumpulan utama: golongan konservatif yang berhaluan kanan, Parti Liberal Nasional, dan Persatuan Rakan Petani yang berhaluan kiri.
Walaupun pemimpin utama Parti Liberal Nasional seperti Lehmann dan Monrad disingkir keluar daripada kabinet menteri pada bulan November 1848, Parti Liberal Nasional masih mempunyai pengaruh besar dalam proses penggubalan perlembagaan. Perhimpunan Perlembagaan meluluskan perlembagaan baharu pada 25 Mei 1849, dan Raja Frederik VII menandatangan untuk menerimanya pada 5 Jun 1849, maka terbentuknya sistem raja berperlembagaan di Denmark. Perlembagaan Denmark yang juga dikenali sebagai “Perlembagaan Jun” itu mewujudkan Rigsdagen, sebuah badan perundangan dwidewan (dengan dewan atas “Landstinget” dan dewan bawah “Folketinget”). Perlembagaan itu memberikan hak mengundi kepada 15% rakyat Denmark. Oleh sebab sudah tercetusnya “Perang Schleswig Pertama” (1848-1852) yang berkisar pada persoalan Schleswig-Holstein, perlembagaan itu tidak berkuat kuasa di wilayah Schleswig.

Persoalan Schleswig-Holstein merupakan satu isu yang menghantui Revolusi Jerman 1848. Wilayah Schleswig dihuni oleh orang berbangsa Denmark dan orang berbangsa Jerman. Oleh sebab golongan liberal nasionalis hendak mencantumkan wilayah Schleswig ke dalam Denmark seperti yang dibawa oleh Orla Lehmann dalam “Program Eider”, tidak lama selepas Revolusi Denmark pada bulan Mac 1848, penduduk-penduduk berbangsa Jerman di wilayah Schleswig dan Holstein memberontak, dan menubuhkan kerajaan sementara dan tentera mereka sendiri di situ. Perang Schleswig Pertama yang melibatkan pertempuran antara tentera Denmark dan tentera Prusia bersama-sama sekutunya dalam Konfederasi Jerman berakhir dengan persetujuan Protokol London yang ditandatangani pada bulan Mei 1852, di mana raja Denmark kekal sebagai demang kepada kedua-dua wilayah Schleswig dan Holstein yang berautonomi.
“Lima Hari Milan”
Kejatuhan Metternich merupakan satu detik sejarah yang penting, kerana ia memangkinkan (jika bukan mencetuskan) apa yang dikenali sebagai “Musim Bunga Bangsa-bangsa” pada tahun 1848. Di Hungary, kejatuhan Metternich mencetuskan perjuangan untuk kemerdekaan; di negeri-negeri Jerman, ia membangkitkan perjuangan untuk penyatuan; sementara di Itali, golongan revolusioner di situ memperjuangkan kedua-dua pembebasan bangsa dan penyatuan bangsa.

Walaupun berjaya mematahkan “Rusuhan Rokok” di bandar Milan pada awal bulan Januari 1848, Fil Marsyal Joseph Radetzky von Radetz, ketua komander tentera Austria di negeri Lombardo-Veneto yang terletak di bahagian utara Semenanjung Itali, semakin runsing apabila memerhatikan pemberontakan di Pulau Sicilia beberapa minggu kemudian yang mencetuskan gelombang perjuangan menuntut perlembagaan di merata tempat di Semenanjung Itali. Gelombang awal perjuangan perlembagaan memuncak pada penghujung bulan Februari dan awal bulan Mac 1848 apabila perlembagaan diumumkan di Piedmont-Sardinia dan Negeri-negeri Paus. Berpandangan bahawa peperangan bakal berlaku, Radetzky meminta kerajaan imperial di Vienna (yang masih belum lagi tercetusnya revolusi) untuk menghantar lebih banyak dana, tentera dan senjata ke situ.
Apabila berita tentang revolusi di Perancis sampai di bandar Milan, ia membangkitkan semangat dalam kalangan golongan liberal, radikal dan nasionalis di situ. Berita tentang kejatuhan Metternich di Vienna pada 13 Mac 1848, telah mengambil masa empat hari untuk sampai di Milan yang terletak kira-kira 800 km dari Vienna. Berita itu sampai di Milan pada 17 Mac 1848, di mana pegawai kerajaan Austria di situ cuba menyembunyikannya tetapi ternyata tidak mungkin berjaya. Warga Milan juga mendengar berita tentang Maharaja Austria membenarkan warga Vienna untuk membentuk Pengawal Sivik mereka sendiri.

Pada 18 Mac 1848, orang ramai berhimpun di pusat bandar Milan untuk berarak ke pusat pentadbiran kerajaan imperial Austria di situ. Bilangan demonstran itu mencecah 15,000 orang, dengan pelbagai hiasan dalam tiga warna kebangsaan Itali (hijau-putih-merah) muncul di merata tempat seperti bunga yang bermekaran secara spontan. Ketua biskop Milan menyatakan simpatinya kepada demonstrasi itu dan lebih 100 orang paderi menyertai demonstrasi.
Oleh sebab tiadanya seorang pemimpin yang jelas pada ketika itu, golongan akar umbi revolusioner di Milan mendesak Gabrio Casati (1798-1873), Podestà (iaitu Datuk Bandar) yang merupakan pegawai awam Itali yang berpangkat tertinggi di Milan, untuk memimpin demonstrasi itu. Casati yang memegang jawatan Podestà Milan sejak tahun 1837 mempunyai hubungan yang baik dengan penduduk-penduduk tempatan dan pihak berkuasa imperial Austria. Casati memujuk pegawai-pegawai imperial Austria supaya tidak memanggil Fil Marsyal Joseph Radetzky dan tentera Austria untuk mencampur tangan.
Tuntutan yang dikemukakan oleh golongan demonstran di Milan pada awalnya agak sederhana, iaitu mereka mahu Pengawal Sivik mereka sendiri untuk mengambil alih tugasan kepolisan di bandar itu dan menghapuskan penapisan politik. Dengan ribuan orang demonstran mengepung pejabatnya, naib gabenor yang merupakan pegawai Austria tertinggi pada ketika itu mempersetujui kedua-dua tuntutan itu. Untuk memastikan pihak berkuasa Austria tidak memungkiri janji itu, golongan demonstran menahan naib gabenor itu sebagai jaminan. Sekumpulan demonstran pula menyerbu gedung senjata polis untuk merampas senjata yang disimpan di situ. Selepas Pengawal Sivik ditubuhkan, kira-kira 2,000 orang menyertainya dengan kebanyakannya merupakan bekas anggota gerakan Carbonari dan ahli gerakan Itali Muda yang merebut peluang keemasan itu untuk mengangkat senjata secara terbuka.
Apabila mendapat berita tentang naib gabenor ditahan sebagai tebusan, Fil Marsyal Joseph Radetzky mengarahkan tentera imperial Austria untuk menduduki bangunan penting di bandar Milan dengan niat mematahkan kebangkitan rakyat di situ. Dengan pasukan tentera dikerahkan ke jalanan, demonstrasi yang aman pada asalnya di Milan bertukar menjadi pemberontakan yang ganas. Mengikuti jejak langkah golongan revolusioner di Paris, Vienna dan Berlin, warga Milan mendirikan benteng di jalan-jalan sempit di dalam bandar yang sesak dan menduduki bumbung rumah serta tingkap tingkat atas bangunan.

Benteng jalanan di Milan boleh dikatakan paling mewah berbanding benteng jalanan dalam revolusi lain. Ini kerana ramai bangsawan dan pedagang yang kaya turut mendukung politik nasionalis patriotik Itali, maka rumah, kedai dan gudang yang dimiliki oleh golongan kelas atasan tempatan dibuka kepada orang ramai untuk mengambil sebanyak mungkin barang-barang yang diperlukan untuk mendirikan benteng jalanan, seperti perabot mewah dan piano besar.
Penduduk-penduduk daripada pelbagai latar belakang di Milan menyertai pemberontakan di situ, dengan golongan lelaki, wanita, tukang kecil, pekerja, profesional dan paderi mengambil bahagian dalam pendirian benteng jalanan. Kanak-kanak dari rumah anak yatim menjadi penghantar mesej untuk menghubungkan golongan pemberontak di lokasi-lokasi benteng jalanan yang berlainan di dalam bandar itu. Bendera tiga warna hijau-putih-merah berkibar di merata tempat. Apabila pasukan tentera bertembung dengan benteng jalanan yang dijaga oleh penduduk-penduduk setempat dan berlakunya insiden tembak-menembak, maka menandakan bermulanya apa yang dikenali sebagai “Lima Hari Milan” (Cinque giornate di Milano).
Sekumpulan kecil golongan republikan tegar menubuhkan sebuah jawatankuasa pertahanan dengan hasrat mengisi vakum kepimpinan dalam pemberontakan di Milan. Salah seorang pemimpin jawatankuasa itu ialah Carlo Cattaneo (1801-1869). Cattaneo mengesyaki bahawa golongan monarkis hendak menggunakan kesempatan untuk mendapatkan campur tangan daripada tentera pimpinan Raja Carlo Alberto dari Piedmont-Sardinia dan meletakkan wilayah Lombardia di bawah pemerintahan Dinasti Savoia. Apabila mendapat tahu tentang Radetzky hendak merundingkan gencatan senjata dengan Gabrio Casati, Carlo Cattaneo dan jawatankuasa pertahanan menghantar mesej kepada Radetzky untuk menyatakan bahawa Casati tidak mewakili rakyat Milan yang mungkin tidak akan meletak senjata walaupun Casati sudi berbuat demikian.
Dengan persetujuan gencatan senjata tidak dapat dicapai, pertempuran secara sporadik terus berlaku di bandar Milan dalam tempoh dua hari selepas itu. Oleh sebab tidak dapat menggunakan pasukan berkuda di jalan-jalan yang sempit, Radetzky mengarahkan pasukan infantri yang meronda untuk membersihkan benteng jalanan dan menawan semula bangunan, tetapi pasukan infantri itu menghadapi serangan ganas yang berterusan daripada golongan pemberontak dari pelbagai arah.

Pada penghujung hari 20 Mac 1848, Radetzky mengarahkan semua pasukan tenteranya untuk keluar dari pusat bandar dan memposisikan semula mereka di tembok kota lama, dengan niat menghalang mana-mana orang daripada keluar dan masuk ke bandar Milan. Untuk memecahkan pengepungan tentera Austria, golongan pemberontak menggunakan belon-belon kecil untuk menghantar mesej meminta bantuan ke luar tembok kota lama.
Pada masa yang sama, warga Itali di tempat-tempat lain di wilayah Lombardia juga memberontak. Penduduk-penduduk di bandar seperti Como, Monza, Brescia dan Cremona menyerbu pejabat pegawai pentadbir Austria dan mengambil alih pentadbiran bandar masing-masing. Di Cremona, penduduk-penduduk tempatan memaksa 4,000 orang askar yang ditempatkan di situ untuk menyerah diri tanpa melepaskan tembakan. Apabila mengetahui tentang warga Milan sedang dikepung, komuniti-komuniti Itali itu mengumpulkan bekalan asas dan senjata untuk memberi bantuan kepada golongan pemberontak di Milan.
Pada 21 Mac 1848, keadaan di Milan menemui kebuntuan, tetapi golongan pemberontak di Milan masih belum dipatahkan semangat mereka. Walaupun dikepung di dalam bandar, golongan pemberontak berjaya menawan berek tentera dan istana kediaman Radetzky sendiri. Sementara itu, komuniti-komuniti Itali yang datang memberi bantuan dari kawasan sekeliling juga mula berkumpul di luar bandar Milan.

Raja Carlo Alberto dari Piedmont-Sardinia juga tertarik perhatiannya tentang pergolakan di Milan. Raja Carlo Alberto baru menandatangani perlembagaan dua minggu sebelum itu dan kerajaan perlembagaan pertama dibentuk pada 16 Mac 1848, iaitu dua hari sebelum tercetusnya pemberontakan di Milan. Apabila berita tentang kejatuhan Metternich dan kebangkitan rakyat Milan sampai di Turin, ibu negara Piedmont-Sardinia, menteri-menteri baharu mendesak Raja Carlo Alberto untuk mengisytihar perang terhadap Austria.
Raja Carlo Alberto menghantar seorang yang rapat dengannya untuk menyelinap masuk ke Milan dan bertemu dengan pemimpin-pemimpin pemberontak di situ. Wakil Raja Carlo Alberto itu tiba di Milan pada waktu malam 21 Mac 1848, dan memberitahu warga Milan bahawa tentera Piedmont-Sardinia sudah bersedia untuk mara, tetapi Milan harus mengemukakan permintaan rasmi untuk bantuan Raja Carlo Alberto supaya dia mempunyai alasan kukuh untuk menceroboh wilayah yang dikuasai oleh Empayar Austria. Namun, golongan pemberontak akan mendapati bahawa mereka tidak memerlukan bantuan daripada tentera Raja Carlo Alberto untuk membebaskan Milan sehari kemudian.
Pada 22 Mac 1848, Gabrio Casati menubuhkan kerajaan sementara, jawatankuasa pertahanan yang dipimpin oleh Carlo Cattaneo juga diletakkan di bawah perintah kerajaan sementara itu. Pada waktu pagi hari itu, sekumpulan pejuang pemberontak yang terdiri daripada pelajar dan bekas anggota Carbonari mengenal pasti sebuah pintu masuk di sebelah timur bandar Milan, Porta Tosa (kini dikenali sebagai Porta Vittoria), sebagai tempat yang sesuai untuk melancarkan serangan supaya memecahkan pengepungan. Golongan pemberontak melancarkan serangan besar-besaran terhadap Porta Tosa, menawan pos kawalan dan membuka pintu masuk kota itu. Selepas pintu masuk itu dibuka, mereka mendapati sekumpulan besar petani dan orang awam sudah menunggu di luar dengan bekalan dan bantuan tambahan.

Selepas pengepungan oleh tentera pimpinan Radetzky dipecahkan dengan penawanan Porta Tosa, Radetzky terpaksa mengundurkan tenteranya keluar dari bandar Milan, dan menuju ke kawasan kubu kuat Austria ke arah timur di bahagian utara Itali (dikenali sebagai “Quadrilatero” yang dibatasi oleh empat buah bandar, iaitu Verona, Legnago, Mantova dan Peschiera del Garda). Dengan kira-kira 400 orang pemberontak mengorbankan nyawa mereka dalam “Lima Hari Milan”, warga Milan berjaya membebaskan diri mereka daripada pemerintahan Austria buat sementara waktu.
Pemberontakan Venezia dan pembentukan Republik San Marco
Pada masa yang sama dengan pemberontakan “Lima Hari Milan”, sebuah lagi pemberontakan yang serupa turut tercetus di bandar Venezia, yang juga berada di bawah pentadbiran Kerajaan Lombardo-Veneto, dengan kemuncaknya juga pada 22 Mac 1848.
Seperti di Milan, penduduk-penduduk di bandar Venezia juga menyuarakan keluhan mereka kepada pihak berkuasa Austria yang mentadbir negeri Kerajaan Lombardo-Veneto pada penghujung tahun 1847. Pihak berkuasa Austria bukan sahaja tidak mempedulikan suara keluhan rakyat, sebaliknya menangkap dua orang pemimpin yang menyampaikan suara rakyat Venezia, iaitu Niccolò Tommaseo (1802-1874) dan Daniele Manin (1804-1857).
Niccolò Tommaseo ialah seorang nasionalis liberal yang merupakan seorang wartawan, penulis dan ahli bahasa. Tommaseo pernah hidup dalam buangan kerana tulisannya yang tidak disenangi oleh pihak berkuasa Austria. Menjelang tahun 1847, Tommaseo yang sudah menetap di Venezia lantang bersuara untuk menuntut liberalisasi undang-undang akhbar, tetapi ditahan atas tuduhan menghasut.
Daniele Manin merupakan seorang Patriot Venezia yang berpegang teguh pada fahaman liberal, republikan dan nasionalis Itali. Pada ketika krisis ekonomi pada pertengahan tahun 1840-an melanda seluruh Empayar Austria, Manin menyampaikan sebuah petisyen kepada perhimpunan perundingan yang dianggotai oleh tokoh-tokoh pemimpin tempatan di Venezia, untuk memaklumkan masalah rakyat, tetapi tidak dipedulikan langsung. Manin kembali menyerahkan sebuah lagi petisyen pada awal bulan Januari 1848 dengan tuntutan-tuntutan untuk pembaharuan liberal, termasuk menjadikan Lombardo-Veneto sebuah kerajaan yang berautonomi bukannya sekadar wilayah jajahan Austria. Manin ditahan oleh pihak berkuasa Austria pada 18 Januari 1848 atas pertuduhan mengkhianati negara, tetapi dia tidak pernah dibawa untuk dibicarakan. Manin hanya duduk di dalam penjara, dengan kesnya menjadi tumpuan golongan Patriot Itali di Venezia yang berulang kali menuntut pembebasannya atau pendakwaan terhadapnya di mahkamah.

Seperti di Milan juga, berita tentang kejatuhan Metternich sampai di Venezia pada 17 Mac 1848, dengan orang ramai membanjiri Piazza San Marco, sebuah dataran awam yang terletak di pusat bandar Venezia, dan mengibarkan bendera tiga warna hijau-putih-merah. Mereka menuntut pada Alois Pálffy, gabenor Austria di Venezia yang merupakan seorang bangsawan dari Hungary, untuk membebaskan Daniele Manin dan Niccolò Tommaseo.
Sekumpulan demonstran yang tidak sabar menunggu Gabenor Pálffy itu mengeluarkan arahan pembebasan terus menyerbu penjara untuk membebaskan kedua-dua Manin dan Tommaseo. Berbeza dengan pemberontakan di Milan yang tidak mempunyai pemimpin yang jelas, Daniele Manin yang sudah dianggap sebagai wira rakyat itu telah diangkat oleh golongan pemberontak di Venezia sebagai pemimpin mereka.
Pada 18 Mac 1848, apabila sepasukan tentera Austria cuba menanggalkan sepanduk dan bendera tiga warna hijau-putih-merah yang dipasang di Piazza San Marco, mereka dikepung oleh golongan demonstran yang marah. Askar-askar Austria melepaskan tembakan dan membunuh 9 orang. Dengan keadaan menjadi di luar kawalan, Gabenor Pálffy menyuruh Daniele Manin untuk mengawal warga Venezia yang memberontak itu. Manin bersetuju untuk berbuat demikian dengan syarat membenarkan warga Venezia menubuhkan Pengawal Sivik sendiri dan meletakkan Pengawal Sivik itu untuk menjaga ketenteraman di bandar itu.

Pada 19 Mac 1848, Gabenor Pálffy menyampaikan pengumuman maharaja Austria tentang janjinya untuk memperkenalkan perlembagaan imperial. Warga Venezia menyambut pengumuman itu dengan gembira. Namun, dengan berita tentang pemberontakan besar-besaran sudah tercetus di Milan dan kebimbangan tentang pihak berkuasa yang mungkin akan memungkiri janji, Daniele Manin mengambil keputusan untuk mengusir keluar pihak berkuasa Austria.
Pada 22 Mac 1848, pekerja-pekerja di Arsenale di Venezia, limbungan kapal tentera laut di situ, memberontak dengan membunuh komander yang menjaga tempat itu. Pengawal Sivik yang baharu ditubuhkan itu dan tentera imperial Austria dikerahkan untuk menguasai limbungan kapal itu supaya mengembalikan ketenteraman. Pengawal Sivik sampai dahulu di limbungan kapal yang berkedudukan strategik itu. Askar-askar Itali dalam tentera imperial pula mengingkari arahan pengerahan dan berpaling tadah kepada pihak pemberontak Venezia. Manin bersama-sama penyokongnya berarak dengan laungan slogan “Viva San Marco!”, iaitu cogan kata Republik Venezia (697-1797) sebelum itu. Sekumpulan Pengawal Sivik mengambil alih meriam di Piazza San Marco dan mengalihkan muncung meriam itu ke arah istana gabenor.

Berucap di hadapan orang ramai yang berhimpun di Piazza San Marco, Daniele Manin mengisytiharkan kelahiran semula Republik Venezia. Manin kemudiannya menuntut pada Gabenor Pálffy untuk mengundurkan semua pasukan tentera yang bukan Itali, menyerahkan semua kubu tentera dan meninggalkan semua senjata. Pihak berkuasa Austria terpaksa akur dan berundur keluar dari bandar Venezia. Dengan itu, warga Venezia menguasai bandar mereka sendiri, dengan pembentukan semula Republik Venezia, atau dikenali sebagai Republik San Marco (1848-1849). Pada 23 Mac 1848, Daniele Manin diisytihar sebagai Presiden Republik San Marco dan diberikan kuasa diktator semasa darurat.
Dengan kejayaan awal pemberontakan di Venezia, bandar-bandar lain di wilayah Veneto, seperti Belluno, Padua, Rovigo, Treviso, Udine dan Vicenza, turut mendukung pembentukan Republik San Marco dan menolak pemerintahan Austria. Manin mendapat sokongan daripada kelas menengah, sementara keprihatinannya terhadap kelas-kelas bawahan bersama-sama janjinya kepada golongan borjuis untuk menegakkan undang-undang dan ketenteraman, menjadikan Manin seorang pemimpin yang popular dalam kalangan rakyat merentas kelas di Republik San Marco.

Sehari selepas pengumuman pembentukan semula Republik Venezia, Raja Carlo Alberto dari Piedmont-Sardinia mengisytihar perang secara rasminya terhadap Empayar Austria pada 23 Mac 1848 dan mengarahkan tenteranya untuk memasuki wilayah negeri Lombardo-Veneto. Dengan itu, bermulanya Perang Kemerdekaan Itali Pertama (1848-1849).
Republik Perancis Kedua
Berbalik kepada Perancis, kejatuhan Monarki Julai bukannya bermakna perjuangan revolusioner sudah selesai, tetapi cabaran yang lebih hebat sedang menunggu.
Selepas pemerintahan Monarki Julai dijatuhkan, Kerajaan Sementara ditubuhkan pada 24 Februari 1848 dengan Jacques-Charles Dupont de l’Eure (1767-1855) sebagai Presiden, Alphonse de Lamartine sebagai Menteri Luar Negeri, Alexandre Auguste Ledru-Rollin sebagai Menteri Dalam Negeri, Michel Goudchaux (1797-1862) sebagai Menteri Kewangan, Adolphe Crémieux (1796-1880) sebagai Menteri Kehakiman, Jacques Gerbais de Subervie (1776-1856) sebagai Menteri Perang, François Arago (1786-1853) sebagai Menteri Tentera Laut dan Jajahan, Pierre Marie de Saint-Georges (1795-1870) sebagai Menteri Kerja Raya, Eugène Bethmont (1804-1860) sebagai Menteri Perdagangan dan Hippolyte Carnot (1801-1888) sebagai Menteri Pendidikan.

Posisi penting dalam Kerajaan Sementara didominasi oleh golongan republikan moderat, dengan pemimpin utamanya ialah Lamartine yang agak popular menjelang Revolusi Februari 1848. Anggota Kerajaan Sementara yang paling radikal ialah Ledru-Rollin. Namun begitu, golongan pembangkang yang lebih radikal menamakan Louis Blanc, tokoh sosialis yang terkenal pada masa itu, dan Alexandre Martin (1815-1895), seorang pemimpin kelas pekerja yang lebih dikenali dengan gelarannya “L’ouvrier Albert” (Pekerja Albert) untuk menyertai Kerajaan Sementara yang ditubuhkan pada 24 Februari 1848. Alexandre Martin atau L’ouvrier Albert merupakan orang pertama daripada kelas pekerja perindustrian yang dilantik ke dalam kerajaan Perancis. Kedua-dua Louis Blanc dan L’ouvrier Albert pada awalnya tidak diberikan kementerian yang khusus, dan kemudian hanya ditugaskan untuk menjaga suruhanjaya buruh.
Pada 26 Februari 1848, Kerajaan Sementara mengambil langkah bersejarah untuk mengumumkan secara rasminya pemansuhan monarki, dan juga pemansuhan hukuman mati. Ini bermakna bahawa republik sudah dikembalikan, sementara gilotin yang digunakan untuk memancung kepala orang semasa Republik Perancis Pertama tidak lagi muncul di dataran awam.

Kerajaan Sementara bertekad untuk menjamin kebebasan suara, kebebasan akhbar dan kebebasan berhimpun yang diperjuangkan dalam Revolusi Februari. Sepanjang tahun 1848, kira-kira 500 buah suratkhabar baharu diterbitkan untuk menyokong perkembangan pesat spektrum pemikiran politik yang meluas di ruangan awam. Pada 27 April 1848, Kerajaan Sementara mengemukakan dekri yang menghapuskan perhambaan di semua tanah jajahan Perancis dan memberikan kewarganegaraan kepada hamba yang dibebaskan.
Untuk meredakan kebimbangan negara-negara Eropah lain tentang revolusi di Perancis, Alphonse de Lamartine mengemukakan “Manifesto kepada Eropah” pada 5 Mac 1848 untuk menyatakan bahawa Perancis tidak berhasrat untuk melancarkan perang yang agresif atau menceroboh negara lain seperti yang pernah berlaku semasa Revolusi Perancis sebelum itu. Walaupun Kerajaan Sementara Perancis menyatakan sokongannya kepada aspirasi nasional yang sah di merata tempat, dalam komunikasi di luar saluran rasmi dengan ketua-ketua negara lain di Eropah, ia menegaskan bahawa negara Perancis tidak akan melakukan campur tangan ketenteraan dalam konflik di luar sempadannya. Walaupun golongan pemerintah yang konservatif di Eropah begitu gementar dengan pembentukan semula republik di Perancis, mereka terpaksa menerima hakikat itu dan tidak cuba mencampur tangan untuk menterbalikkan hasil revolusi di Perancis, kerana kebanyakan negara di Eropah mengalami revolusi masing-masing pada yang sama.
Kerajaan Sementara menganjurkan pilihan raya pada bulan April 1848 untuk memilih perwakilan ke dalam Perhimpunan Perlembagaan dengan memperkenalkan hak mengundi sejagat bagi semua warganegara lelaki yang berumur sekurang-kurangnya 21 tahun dan tidak disabit kesalahan jenayah. Ini bermakna bahawa tiada lagi syarat kelayakan harta untuk menjadi pengundi. Pembantu rumah lelaki juga boleh mengundi, sesuatu yang tidak pernah lagi wujud di Perancis setakat itu. Oleh itu, bilangan warga Perancis yang layak untuk mengundi meningkat berlipat ganda daripada 250,000 orang sebelum Revolusi Februari 1848 kepada lebih 9 juta orang.

Pada 17 Mac 1848, lebih 100,000 orang demonstran yang kebanyakannya golongan pekerja berarak ke Hôtel de Ville untuk menuntut penangguhan tarikh pilihan raya supaya mereka mempunyai lebih banyak masa dan peluang yang sama rata untuk menyampaikan pandangan politik mereka.
Walaupun berkomitmen dalam pembaharuan politik liberal, Kerajaan Sementara tidak mahu golongan kiri radikal dan kelas pekerja mengambil kesempatan untuk melakukan pembaharuan yang boleh mengganggu struktur sosioekonomi kapitalis yang sudah bertapak pada masa itu. Louis Blanc, ahli politik yang sepatutnya berhaluan kiri dalam Kerajaan Sementara, telah mengambil pendirian untuk menyokong rakan sekerjanya dalam kerajaan dan menggesa golongan demonstran untuk bersurai. Walau bagaimanapun, atas desakan Louis Blanc, Kerajaan Sementara menangguhkan pilihan raya hanya selama dua minggu.
Dengan pilihan raya semakin mendekati, pada 16 April 1848, golongan kiri radikal menganjurkan sebuah lagi demonstrasi dengan hasrat menangguhkan lagi tarikh pilihan raya dan menggesa Kerajaan Sementara untuk memperkenalkan beberapa langkah pembaharuan, seperti penubuhan Kementerian Buruh dan Kemajuan untuk melaksanakan dasar-dasar sosialis yang memanfaatkan kelas pekerja dan golongan petani. Alexandre Auguste Ledru-Rollin, seorang tokoh revolusioner yang memperjuangkan pembaharuan politik radikal tetapi tidak tegas dalam pembaharuan sosial, mengarahkan Pengawal Kebangsaan untuk menghalang golongan demonstran daripada mendekat bangunan kerajaan. Demonstrasi itu bersurai dengan tuntutan pekerja tidak tercapai.

Dalam pilihan raya yang diadakan pada 23 April 1848 dengan lebih 7.8 juta orang keluar mengundi, golongan republikan moderat, yang dipimpin oleh anggota-anggota Kerajaan Sementara, memperoleh kemenangan besar dengan menguasai kira-kira 65% kerusi; golongan konservatif, yang ramai dalam kalangan mereka masih mendukung sistem monarki, menjadi kumpulan yang kedua besar dengan memenangi 25% kerusi; sementara golongan republikan radikal dan sosialis hanya memenangi 10% kerusi. Tokoh politik republikan moderat Alphonse de Lamartine menjadi ahli parlimen yang paling popular pada masa itu, apabila dia muncul sebagai pemenang di lebih 10 buah kawasan pilihan raya dan memperoleh sejumlah 1.2 juta undi bagi dirinya.
Perhimpunan Perlembagaan mula bersidang pada 4 Mei 1848 dengan tugasan utamanya ialah merangka sebuah perlembagaan baharu bagi Perancis. Pada 9 Mei 1848, Kerajaan Sementara dibubarkan dan digantikan oleh Suruhanjaya Eksekutif yang dianggotai oleh 5 orang: François Arago (sebagai Presiden Suruhanjaya), Alphonse de Lamartine, Louis-Antoine Garnier-Pagès, Alexandre Auguste Ledru-Rollin dan Pierre Marie de Saint-Georges.

Alphonse de Lamartine menggunakan kepopularan dan prestijnya untuk memasukkan Alexandre Auguste Ledru-Rollin yang dianggap lebih radikal ke dalam Suruhanjaya Eksekutif, atas pertimbangan bahawa jika tiadanya suara yang lebih radikal seperti Ledru-Rollin dalam kerajaan, golongan radikal di luar berkemungkinan besar akan menghasut pemberontakan terhadap kerajaan. Namun, golongan konservatif menganggap Ledru-Rollin seolah-olah seorang anarko-komunis fanatik yang mahu menghancurkan susunan masyarakat sedia ada, sedangkan Ledru-Rollin telah menunjukkan dia seorang yang bersedia mempertahankan hak harta persendirian dan susunan sedia ada apabila dia mengerahkan Pengawal Kebangsaan semasa demonstrasi pada 16 April 1848.
Semua bekas anggota Kerajaan Sementara sebelum itu telah diberikan jawatan berpangkat tinggi dalam kerajaan baharu di bawah Suruhanjaya Eksekutif, kecuali Louis Blanc dan l’Ouvrier Albert. Pada 10 Mei 1848, Louis Blanc mengusulkan rang undang-undang untuk menubuhkan Kementerian Buruh dan Kemajuan yang dibawa oleh golongan kiri radikal tetapi usulnya ditolak oleh Perhimpunan Perlembagaan.

Pemberontakan Jun
Golongan kelas pekerja yang bertempur di jalanan semasa Revolusi Februari 1848 di Perancis bukan sekadar menuntut pembaharuan politik seperti yang diperjuangkan oleh golongan liberal kelas menengah, tetapi mereka juga mempunyai pelbagai keluhan mengenai persoalan sosioekonomi yang perlu ditangani oleh mana-mana orang yang mengambil alih kuasa kerajaan. Kerajaan Sementara yang ditubuhkan selepas Revolusi Februari 1848 memberi fokus kepada pembaharuan politik ke arah yang lebih liberal dan demokratik, tetapi ia tidak mahu revolusi sosial yang menggoncang sepenuhnya asas masyarakat pada masa itu. Masalah sosioekonomi tidak akan lesap begitu sahaja dengan adanya revolusi politik. Jika Kerajaan Sementara yang takut pada revolusi sosial itu tidak mempedulikan persoalan sosioekonomi, ia akan mencetuskan satu revolusi sosial. Oleh itu, Kerajaan Sementara perlu melakukan sesuatu untuk menangani masalah sosioekonomi.
Jadi, apa yang dilakukan oleh Kerajaan Sementara adalah meminjam idea “hak untuk bekerja” (le droit au travail) yang dibawa oleh Louis Blanc sebagai platform asasnya. Pada 25 Februari 1848, iaitu sehari selepas ia ditubuhkan, Kerajaan Sementara mengeluarkan dekri yang mengiktiraf hak untuk bekerja dan mendukung penubuhan persatuan-persatuan pekerja. Pada 26 Februari 1848, Kerajaan Sementara mengumumkan pembentukan “Bengkel Kebangsaan” (Ateliers Nationaux). Bengkel Kebangsaan menawarkan kerja kepada sesiapa yang menganggur dan membayar upah sara diri kepada mereka yang bekerja di situ.
Namun, Kerajaan Sementara yang dikuasai oleh golongan republikan moderat itu tidak begitu percaya pada hak untuk bekerja dan tidak serius dalam melaksanakan Bengkel Kebangsaan. Tanggungjawab pelaksanaan projek Bengkel Kebangsaan itu tidak diberikan kepada Louis Blanc yang memperkenalkan idea hak untuk bekerja, tetapi diserahkan kepada Pierre Marie de Saint-Georges, Menteri Kerja Raya pada masa itu, seorang liberal moderat yang benci pada fahaman sosialis dan bertentangan pandangannya dengan Louis Blanc. Walaupun penasihat-penasihat di sekeliling Pierre Marie mengemukakan cadangan-cadangan untuk menempatkan pekerja-pekerja dalam pelbagai projek pembinaan infrastruktur (seperti landasan kereta api, terusan, jambatan, perumahan dan sebagainya), semua cadangan itu tidak dilaksanakan, sebaliknya pekerja-pekerja diberikan kerja-kerja yang bersifat menghina dan tidak bermakna. Lebih-lebih lagi, kerja yang disediakan oleh Bengkel Kebangsaan tidak mencukupi untuk menampung bilangan penganggur yang semakin meningkat. Oleh itu, sejak awal lagi, terdapat niat daripada golongan konservatif dan golongan liberal borjuis untuk menggagalkan projek Bengkel Kebangsaan. Reputasi Louis Blanc pula yang terjejas kerana dia dipersalahkan atas kegagalan projek Bengkel Kebangsaan, dan mendapat cemuhan bahawa ideanya tidak dapat dilaksanakan dalam realiti. Walau bagaimanapun, Bengkel Kebangsaan pada kemuncaknya mengambil kira-kira 120,000 orang pekerja, sementara 50,000 orang menunggu di kawasan pinggiran bandar Paris untuk mendapatkan kerja dengan Bengkel Kebangsaan.
Pada 28 Februari 1848, pekerja-pekerja dalam sektor pembinaan berdemonstrasi di dataran di hadapan Hôtel-de-Ville, Paris, untuk menuntut penubuhan Kementerian Buruh dan pelaksanaan sistem kerja 10-jam sehari (iaitu dikurangkan daripada 15-16 jam sehari pada masa itu). Pada hari yang sama, Kerajaan Sementara menubuhkan Suruhanjaya Kerajaan untuk Pekerja, atau lebih dikenali sebagai “Suruhanjaya Luxembourg” kerana ia bermesyuarat di Istana Luxembourg (yang digunakan sebagai tempat persidangan dewan atasan parlimen sebelum itu).

Suruhanjaya Luxembourg yang diketuai oleh Louis Blanc menghimpunkan perwakilan pekerja untuk membincangkan keluhan-keluhan pekerja dan mencadangkan penyelesaian. Seperti Bengkel Kebangsaan, ia dilancarkan dengan harapan yang tinggi, tetapi kehilangan momentum tidak lama kemudian. Ramai pekerja hadir memberi pandangan yang berbeza dalam Suruhanjaya Luxembourg, tetapi apabila pekerja-pekerja bersetuju untuk mengemukakan sesuatu cadangan bersama, ia sentiasa ditolak oleh wakil majikan dan kerajaan. Dalam erti kata sebenar, Louis Blanc hanya mempengerusikan sebuah suruhanjaya yang tidak mempunyai apa-apa kuasa sebenar dan reputasinya terjejas lebih lanjut lagi, dengan golongan konservatif dalam kerajaan tidak mahu ada apa-apa kaitan dengannya sementara golongan radikal menganggap dia tidak cekap.
Golongan moderat dan golongan konservatif menguasai Perhimpunan Perlembagaan selepas pilihan raya pada bulan April 1848. Namun, legitimasi dan kredibiliti Perhimpunan Perlembagaan itu dipertikaikan oleh golongan radikal kiri yang tidak diberikan masa dan ruang yang mencukupi untuk berkempen dalam pilihan raya tergesa-gesa. Kelas pekerja juga tidak berpuas hati dengan Kerajaan Sementara sebelum itu yang gagal melaksanakan program-program sosial yang memanfaatkan pekerja, malah tidak mempedulikan tuntutan-tuntutan mereka. Kelas pekerja juga kecewa dengan pemimpin politik yang sepatutnya radikal seperti Ledru-Rollin yang masih memegang jawatan dalam Suruhanjaya Eksekutif.
Pada 12 Mei 1848, Perhimpunan Perlembagaan melarang parti-parti politik dan kumpulan-kumpulan berkepentingan daripada menghantar delegasi yang menyampaikan petisyen kepada Perhimpunan Perlembagaan, di mana ia merupakan amalan biasa semasa fasa radikal Revolusi Perancis (1792-1794). Tindakan itu dianggap oleh warga Paris sebagai sesuatu yang anti-demokratik. Sementara itu, ahli-ahli perwakilan yang progresif dalam Perhimpunan Perlembagaan juga tidak berpuas hati dengan keengganan kerajaan Perancis untuk membantu warga Poland yang memberontak terhadap pendudukan tentera Prusia dan Austria, maka merancang untuk mengadakan aksi demonstrasi pada 15 Mei 1848 sebagai solidariti bersama warga Poland.

Pada 15 Mei 1848, kira-kira 20,000 orang demonstran, yang terdiri daripada golongan republikan radikal, sosialis dan pekerja, berhimpun di Place de la Bastille dan berarak di arah Place de la Concorde. Golongan demonstran kemudiannya mengepung bangunan Palais Bourbon, iaitu tempat persidangan Perhimpunan Perlembagaan. Dengan hanya sedikit pengawal yang menjaga Palais Bourbon pada masa itu, golongan demonstran berjaya menyerbu ke dalam bangunan itu dan menduduki dewan persidangan selama 3 jam. Dalam keadaan riuh-rendah, adanya orang membaca petisyen yang menyokong Poland dengan tuntutan Perancis harus melancarkan perang untuk mempertahankan warga Poland; adanya orang membangkitkan tuntutan-tuntutan golongan radikal seperti penubuhan kementerian yang melindungi pekerja, jawatankuasa untuk isu sosial supaya memperbaiki kehidupan rakyat miskin, peletakan jawatan Suruhanjaya Eksekutif dan sebagainya.
Apabila munculnya khabar angin tentang Pengawal Kebangsaan sedang dikerahkan ke situ, Aloysius Huber (1815-1865), salah seorang radikal yang berada di dewan persidangan pada masa itu, tiba-tiba menjerit, “Perhimpunan Kebangsaan dibubarkan!” Golongan demonstran kemudiannya berarak ke Hôtel de Ville, dan mengisytiharkan penubuhan sebuah kerajaan sementara yang baharu, dengan anggotanya terdiri daripada pemimpin-pemimpin radikal kiri seperti Ledru-Rollin, L’ouvrier Albert, Louis Blanc, François-Vincent Raspail (1794-1878), Aloysius Huber, Pierre Leroux (1797-1871), Théophile Thoré-Bürger (1807-1869) dan Louis Auguste Blanqui (1805-1881).
Namun, apa yang berlaku pada 15 Mei 1848 tidak mengikut jejak langkah Revolusi Februari 1848 seperti yang diharapkan oleh golongan demonstran pada masa itu. Tiadanya pemberontakan rakyat semasa demonstrasi dan proklamasi itu dilakukan, sementara Pengawal Kebangsaan teguh berdiri bersama kerajaan. Pengawal Kebangsaan mengepung Hôtel de Ville dan menyuraikan demonstran di situ dengan mudahnya. Pemimpin-pemimpin demonstrasi ditahan, termasuk L’ouvrier Albert, Louis Auguste Blanqui dan Armand Barbès (1809-1870); sementara pasukan Pengawal Kebangsaan meneruskan rondaan untuk memastikan tiada lagi penentangan ganas.
Selepas peristiwa demonstrasi 15 Mei 1848, kerajaan bertindak balas dengan kebanyakan pemimpin kiri radikal di Paris ditangkap dalam operasi serbuan besar-besaran, pejabat akhbar berhaluan kiri ditutup, kelab-kelab politik berhaluan kiri dilarang daripada mengadakan perjumpaan, dan Suruhanjaya Luxembourg dibubarkan begitu sahaja. Penahanan pemimpin-pemimpin politik kelas pekerja, seperti Albert, Blanqui dan Barbès, mengakibatkan golongan pekerja kehilangan kepimpinan. Suruhanjaya Eksekutif juga mengerahkan lebih banyak pasukan tentera tetap ke dalam bandar Paris untuk menghadapi kemungkinan tercetusnya pemberontakan pekerja. Adalah jelas bahawa golongan pemerintah moderat-konservatif yang hendak mengekalkan ketertiban masyarakat itu melancarkan perang ke atas golongan kiri radikal.

Pada masa yang sama, kerajaan bercadang untuk membatalkan program Bengkel Kebangsaan, dan tindakan itu menimbulkan kemarahan golongan kiri radikal yang sudah ditindas teruk pada masa itu. Walaupun Bengkel Kebangsaan mempunyai pelbagai masalah oleh sebab kerajaan memang berniat untuk menggagalkannya sejak awal lagi, menjelang bulan Jun 1848, ia sudah menjadi satu-satunya hasil yang nyata daripada Revolusi Februari 1848 yang dimenangi untuk kelas pekerja. Suruhanjaya Luxembourg yang mengecewakan itu sudah dibubarkan, suratkhabar-suratkhabar yang menyuarakan pandangan mereka sudah diharamkan, kelab-kelab politik berhaluan kiri yang membawa aspirasi pekerja sudah dilarang. Oleh itu, betapa banyak ketidakpuasan hati terhadap Bengkel Kebangsaan itu pun, rancangan kerajaan untuk menutupnya hanya merupakan bukti muktamad bahawa Republik Perancis Kedua yang didirikan atas pengorbanan kelas pekerja yang bertempur di jalanan itu langsung tidak berminat untuk melindungi kepentingan kelas pekerja.
Pada 23 Mei 1848, Suruhanjaya Eksekutif meluluskan rancangan bahawa semua orang lelaki yang berumur 18-25 tahun dan diambil kerja dalam Bengkel Kebangsaan akan diberikan pilihan: sama ada menyertai tentera atau dihantar balik ke tempat asal di luar Paris; sementara untuk orang yang lain, kerajaan akan menyediakan pejabat penempatan kerja untuk pemilik perniagaan mengemukakan permintaan buruh dan sesiapa yang enggan menerima kerja dalam sektor swasta akan diusir keluar dari bengkel. Pada 16 Jun 1848, notis dikeluarkan dengan menyatakan bahawa sesiapa yang berumur 18-25 tahun yang tidak menyertai tentera akan diusir keluar dari Paris dalam tempoh masa 5 hari, sementara dana untuk Bengkel Kebangsaan akan dipotong. Pada 21 Jun 1848, kerajaan mengeluarkan dekri untuk menutup Bengkel Kebangsaan.
Kelas pekerja di Paris memutuskan untuk menolak kedua-dua pilihan menyertai tentera dan berpindah keluar dari bandar itu. Mereka memilih untuk pemberontakan revolusioner. Menjelang waktu malam 21 Jun 1848, perjumpaan diadakan di semua kawasan tumpuan kelas pekerja. Walaupun kebanyakan pemimpin kelas pekerja masih di dalam penjara, golongan akar umbi pekerja masih dapat menyusun organisasi mereka dan merancang untuk mengadakan demonstrasi pada hari keesokan.
Pada 22 Jun 1848, golongan pekerja di Paris mengadakan demonstrasi besar-besaran dan berarak ke ibu pejabat Suruhanjaya Eksekutif dengan tuntutan untuk Bengkel Kebangsaan dibuka semula. Dengan Suruhanjaya Eksekutif tidak mempedulikan tuntutan pekerja itu, mereka menganjurkan demonstrasi yang lebih besar dengan perarakan dari Panthéon ke Place de la Bastille, dengan laungan slogan “kerja dan roti!”.
Pada 23 Jun 1848, benteng jalanan yang pertama didirikan. Pertempuran sporadik berlaku di beberapa tempat. Dalam tempoh masa dua hari, lebih banyak benteng jalanan didirikan di kawasan kejiranan kelas pekerja di bahagian timur bandar Paris. Sebanyak 50,000 orang pemberontak pekerja memperkukuhkan pertahanan mereka dan menguasai hampir separuh bandar Paris.
Walaupun suasana di jalanan Paris hampir serupa dengan Revolusi Julai 1830 dan Revolusi Februari 1848, yang membezakannya dengan kedua-dua revolusi itu adalah ia langsung tidak mendapat sokongan daripada ahli-ahli parlimen. Kejayaan Revolusi Julai 1830 dan Revolusi Februari 1848 bergantung pada gabungan kedua-dua revolusi di jalanan dan revolusi di parlimen, tetapi golongan pemberontak pada bulan Jun 1848 hanya dapat bertempur sendiri di jalanan. Malah, ramai dalam kalangan pemimpin pembangkang kiri yang pernah berganding bahu dengan golongan pemberontak jalanan pada bulan Februari 1848, iaitu hanya 4 bulan yang lalu, kini menentang pemberontakan pekerja itu dengan tegasnya.
Golongan elit pembangkang “kiri” yang mendukung radikalisme politik itu tidak memanjangkan sokongan mereka kepada radikalisme sosial, kerana mereka takut pada revolusi sosial yang mengubah seluruh struktur kelas yang sedia ada. Tambahan pula, ramai dalam golongan ahli politik yang menyokong revolusi sebelum itu berpandangan bahawa menyokong pemberontakan terhadap kerajaan yang tidak sah (seperti pemerintahan Raja Charles X dan kerajaan pimpinan François Guizot) adalah berbeza dengan menyokong pemberontakan terhadap Perhimpunan Perlembagaan yang baru dipilih secara “sah” dalam pilihan raya dengan penyertaan pengundi terbanyak setakat itu. Golongan elit politik, sama ada moderat atau konservatif, yang hendak memperkukuhkan susunan masyarakat borjuis, memutuskan hubungan mereka secara langsung dengan golongan pemberontak kelas pekerja. Ini satu perjuangan kelas yang mereka tidak mahu kelas pekerja menang, dan mereka sanggup memasuki “perikatan suci” dengan sesiapa pun untuk mengusir “hantu komunisme”, iaitu “hantu” kebangkitan kelas pekerja.

Oleh sebab anggota-anggota Perhimpunan Perlembagaan kehilangan kepercayaan pada Suruhanjaya Eksekutif yang gagal menyekat dan mematahkan pemberontakan pekerja di Paris, mereka meluluskan undi tidak percaya terhadap Suruhanjaya Eksekutif pada 24 Jun 1848. Perhimpunan Perlembagaan memberikan kuasa penuh kepada Jeneral Louis-Eugène Cavaignac (1802-1857), seorang pegawai tinggi tentera yang pernah menyertai penaklukan tentera Perancis terhadap Algeria dan menjadi Gabenor Algeria selama 2 bulan selepas Revolusi Februari 1848, untuk memerintah semua tentera kerajaan yang dapat dikerahkan, termasuk tentera tetap, Pengawal Kebangsaan dan Pengawal Mudah Alih (yang ditubuhkan oleh Kerajaan Sementara selepas Revolusi Februari 1848). Perhimpunan Perlembagaan juga memberikan kuasa eksekutif kepada Cavaignac dan mengundi untuk meletakkan Paris di bawah undang-undang darurat ketenteraan, maka menjadikan Cavaignac diktator buat sementara.
Pada 25 Jun 1848, Jeneral Cavaignac menumpukan kekuatan tentera untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas kawasan yang diduduki oleh golongan pemberontak pekerja. Cavaignac tidak ragu-ragu dalam mengarahkan tenteranya untuk melepaskan tembakan meriam ke arah benteng jalanan, tanpa mempedulikan berapa banyak orang dibunuh. Pertempuran sengit tercetus di jalanan Paris, dengan ramai terkorban di kedua-dua pihak. Dianggarkan 3,000-5,000 orang pemberontak pekerja mati terbunuh, sementara 1,500-2,000 orang mati terbunuh di pihak tentera kerajaan. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding mana-mana pemberontakan yang pernah tercetus di Paris sebelum itu.
Dengan seluruh lapisan elit politik menentangnya, dan Jeneral Cavaignac langsung tidak menunjukkan belas kasihan, menjelang 26 Jun 1848, pemberontakan kelas pekerja di Paris dipatahkan sepenuhnya. Mereka yang tidak terbunuh dalam pertempuran menyerah diri dan ditahan di dalam pusat tahanan besar-besaran. Kira-kira 12,000-15,000 orang ditangkap dan ditahan, dengan ramai daripada mereka dihukum mati atau dibuang negeri tanpa perbicaraan ke tanah jajahan Perancis di seberang laut.

Peristiwa itu juga memang memberi pukulan yang hebat kepada seluruh generasi golongan kiri radikal dan golongan sosialis di Perancis pada masa itu. Jeneral Cavaignac yang menumpaskan Pemberontakan Jun dengan cara yang ganas itu dilantik oleh Perhimpunan Perlembagaan sebagai Perdana Menteri pada 28 Jun 1848, sebagai pemanas kerusi kepada “kebangkitan semula” Dinasti Bonaparte tidak lama kemudian.
Karl Marx kemudiannya menulis dalam “18 Brumaire Louis Bonaparte” (1852), “Monarki borjuis Louis Philippe hanya diikuti dengan sebuah republik borjuis; maksudnya, dahulunya sebahagian borjuasi yang terhad memerintah atas nama raja, kini seluruh borjuasi akan memerintah atas nama rakyat. Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh golongan proletar Paris ialah angan-angan utopia yang perlu dibuang. Untuk perisytiharan Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan ini, golongan proletar Paris membalas dengan pemberontakan Jun, peristiwa yang paling hebat dalam sejarah perang saudara Eropah. Republik borjuis telah menang. Di sisinya berdiri golongan bangsawan kewangan, golongan borjuis perindustrian, kelas menengah, borjuis kecil, tentera, golongan proletar lumpen yang disusun sebagai Pengawal Mudah Alih, golongan intelek, paderi dan penduduk luar bandar. Di sisi golongan proletar Paris tidak berdiri sesiapa kecuali diri mereka sendiri. Lebih tiga ribu orang pemberontak disembelih selepas kemenangan, dan lima belas ribu lagi dibuang negeri tanpa perbicaraan. Dengan kekalahan ini, golongan proletar berundur ke latar belakang di pentas revolusioner.”

Pemberontakan Jun menandakan tamatnya fasa revolusioner dalam Revolusi Perancis 1848. Dengan Pemberontakan Jun 1848 dipatahkan sepenuhnya, ancaman kepada Republik Perancis Kedua tidak lagi datang daripada golongan kiri, sebaliknya datang daripada golongan kanan, termasuk ramai antara mereka yang langsung tidak percaya pada republik, maka Republik Kedua itu bakal berubah kepada Empayar Kedua dalam tempoh kurang daripada empat tahun.
Pemberontakan Hecker
Pra-Parlimen (Vorparlament) yang ditubuhkan dalam Perhimpunan Heidelberg pada awal bulan Mac 1848 (iaitu sebelum berlakunya pemberontakan di Berlin) bersidang di Frankfurt, sebuah negara kota bebas dalam Konfederasi Jerman, dari 31 Mac hingga 3 April 1848. Persidangan Pra-Parlimen itu dipengerusikan oleh Carl Joseph Anton Mittermaier (1787-1867), seorang pakar undang-undang yang pernah menjadi ahli perwakilan dalam badan perundangan Baden sebelum itu.
Kerajaan Prusia, dengan Raja Friedrich Wilhelm IV yang berjanji untuk menyokong penyatuan Jerman semasa pemberontakan di Berlin, menghantar sebanyak 114 orang ahli perwakilan ke sesi persidangan Pra-Parlimen itu, dengan hasrat mengemudikan proses itu ke arah kepentingan Prusia. Golongan elit yang jauh lebih progresif dari negeri Perdemangan Besar Baden yang terletak di bahagian barat daya Jerman juga hendak mempengaruh hala tuju perbincangan, maka menghantar 72 orang ahli perwakilan, termasuk Friedrich Hecker dan Gustav Struve, dua orang radikal yang memperjuangkan sebuah negara republik unitari bagi Jerman bersatu.
Golongan liberal moderat dalam persidangan Pra-Parlimen dipimpin oleh Heinrich von Gagern (1799-1880), seorang ahli politik liberal berketurunan bangsawan dari Hessen. Gagern mencadangkan bahawa pilihan terbaik untuk penyatuan Jerman ialah sebuah persekutuan yang dianggotai semua negeri Jerman, satu senarai hak yang terjamin untuk warganegara Jerman dan pemilihan seorang maharaja yang kuasanya dibatasi oleh perlembagaan.
Walaupun dibantah oleh golongan demokrat radikal, Pra-Parlimen yang mendapat sokongan daripada golongan liberal moderat memutuskan untuk bekerjasama dengan Diet Konfederasi Jerman (Bundesversammlung), sebuah badan perundingan diplomatik yang juga bersidang di Frankfurt dan satu-satunya institusi bersama yang dianggotai oleh semua negeri Konfederasi Jerman sejak tahun 1815, untuk membentuk sebuah perhimpunan perlembagaan kebangsaan yang akan merangka sebuah perlembagaan baharu. Oleh itu, Pra-Parlimen menubuhkan “Jawatankuasa Lima Puluh Orang” (Fünfzigerausschuss) untuk berurusan dengan Konfederasi Jerman sebelum perhimpunan perlembagaan itu bersidang.

Friedrich Hecker dan Gustav Struve cuba menyertai Jawatankuasa Lima Puluh Orang tetapi ditolak bersama dengan golongan radikal yang lain. Dengan golongan liberal moderat dan golongan monarkis berperlembagaan mendominasi proses pembentukan perhimpunan perlembagaan, Hecker dan Struve meninggalkan persidangan Pra-Parlimen sebagai tanda protes pada 2 April 1848, dan pulang ke Baden dengan penuh kekecewaan.
Tidak lama kemudian, Hecker, Struve dan beberapa orang pemimpin demokrat radikal melancarkan satu pemberontakan dengan hasrat untuk menjatuhkan pemerintahan monarki di negeri Perdemangan Besar Baden dan menubuhkan sebuah republik. Pemberontakan itu dikenali sebagai “Pemberontakan Hecker” atau “Pemberontakan Baden Pertama”.
Sebelum Hecker dan Struve pergi bersidang dalam sesi Pra-Parlimen di Frankfurt, sebuah perhimpunan rakyat diadakan di Offenburg pada 19 Mac 1848 dengan kehadiran 20,000 orang, di mana Hecker dan Struve turut berucap. Mereka menuduh kerajaan Baden melengah-lengahkan pelaksanaan “13 Tuntutan” yang dipersetujuinya semasa demonstrasi besar-besaran pada awal bulan Mac 1848.
Pada 12 April 1848, Hecker dan Struve mengisytihar pembentukan republik di Konstanz, sebuah bandar yang terletak di bahagian selatan Baden dan bersempadan dengan Switzerland. Mereka menyeru rakyat Baden untuk mengangkat senjata. Pemberontakan itu disertai oleh tukang-tukang kecil, pekerja-pekerja industri, petani-petani dan pelajar-pelajar dari Universiti Freiburg. Namun, Hecker hanya mampu mengumpulkan kira-kira 1,000 orang untuk menyertai kumpulan pemberontaknya.
Golongan pemberontak yang dipimpin oleh Hecker kemudiannya beredar menuju ke Karlsruhe, ibu negeri Baden. Hecker berhasrat untuk bergabung dengan sebuah lagi kumpulan pemberontak bersenjata, “Legion Demokrasi Jerman” yang dipimpin oleh Georg Herwegh (1817-1875), seorang penyair yang berfahaman kiri radikal. Namun, dua kumpulan pemberontak itu disekat masing-masing oleh tentera kerajaan Konfederasi Jerman sebelum sempat bergabung.

Golongan pemberontak yang dipimpin oleh Friedrich Hecker ditewaskan oleh tentera gabungan Baden dan Hessen dalam “Pertempuran Scheideck” berdekatan bandar Kandern pada 20 April 1848. Walaupun menerima berita tentang kumpulan pemberontak dikalahkan dalam “Pertempuran Scheideck”, satu perjumpaan umum golongan radikal di Freiburg memutuskan untuk memberontak terhadap tentera kerajaan di situ. Pasukan sukarelawan yang dipimpin oleh Franz Sigel (1824-1902) mara ke Freiburg pada 24 April 1848 untuk memberi sokongan kepada golongan pemberontak yang menduduki bandar itu, tetapi mereka ditewaskan oleh tentera kerajaan.
Tentera kerajaan Bayern mula mengepung bandar Konstanz pada 25 April 1848 untuk mematahkan golongan pemberontak di situ. Ramai golongan revolusioner ditangkap. Kumpulan pemberontak yang dipimpin oleh Georg Herwegh pula ditewaskan oleh tentera kerajaan Württemberg dalam “Pertempuran Dossenbach” pada 27 April 1848.
Hecker dan Struve melarikan diri ke Switzerland selepas pemberontakan dipatahkan. Dengan itu, pemberontakan revolusioner republikan yang pertama di Baden menemui kegagalan. Hecker kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat pada bulan September 1848, sementara Struve masih belum lagi berputus asa dalam usahanya memperjuangkan penyatuan Jerman di bawah sebuah republik.

Semasa hidup dalam buangan di Switzerland dan Perancis, Gustav Struve mengemukakan “Pelan untuk Revolusi dan Republikanisasi Jerman”, yang mengemukakan tuntutan-tuntutan politik (seperti hak sivil dan pilihan raya demokratik) dan sosial (seperti penubuhan jabatan buruh untuk melindungi pekerja, perkongsian keuntungan yang adil dan pelaksanaan cukai pendapatan yang progresif).
Perhimpunan Kebangsaan Frankfurt
Proses persiapan untuk pembentukan perhimpunan perlembagaan kebangsaan Pan-Jerman diteruskan semasa Pemberontakan Hecker berlangsung pada bulan April 1848. Pilihan raya untuk perwakilan Perhimpunan Kebangsaan diadakan pada 1 Mei 1848 di 38 buah negeri yang bergabung dalam Konfederasi Jerman, dengan cara pemilihan yang berbeza di negeri masing-masing. Dianggarkan kira-kira 85% warga lelaki di Konfederasi Jerman layak untuk mengundi. Parlimen pertama yang dipilih secara bebas untuk mewakili semua negeri Jerman itu dikenali sebagai “Perhimpunan Kebangsaan Frankfurt” (Frankfurter Nationalversammlung) atau “Parlimen Frankfurt”.
Menurut ketetapan oleh Pra-Parlimen, sepatutnya ada 649 orang dipilih dari seluruh wilayah Konfederasi Jerman sebagai perwakilan, namun hanya 585 orang yang dipilih pada akhirnya. Wilayah Austria dengan majoriti penduduk berbangsa Czech, iaitu Bohemia dan Moravia, telah memboikot pilihan raya itu. Golongan konservatif yang sebenar juga memboikot pilihan raya kerana tidak mahu memberikan pengesahan kepada Perhimpunan Kebangsaan Jerman.

Terdapat juga ahli perwakilan yang dipilih itu dibatalkan kelayakannya. Misalnya di Baden, penduduk-penduduk di bandar Tiengen memilih Friedrich Hecker sebagai wakil mereka, tetapi Hecker baru sahaja memimpin satu pemberontakan yang dipatahkan dan sedang hidup dalam buangan di Switzerland pada masa itu. Jawatankuasa Lima Puluh Orang yang mengawasi urusan di Frankfurt menolak Friedrich Hecker sebagai ahli perwakilan Perhimpunan Kebangsaan, dan mengarahkan pengundi-pengundi di situ untuk memilih sekali lagi, tetapi mereka memilih Hecker sekali lagi, maka Jawatankuasa Lima Puluh Orang menolaknya sekali lagi.
Oleh sebab tindakan boikot dan pembatalan kelayakan sesetengah ahli perwakilan, mereka yang bersidang dalam Perhimpunan Kebangsaan Frankfurt didominasi oleh lapisan profesional kelas menengah Jerman yang berpendidikan tinggi dan peka pada politik. Hampir kesemuanya berfahaman nasionalis dan liberal. Lebih 75% daripada mereka pernah belajar di universiti, dengan ramai dalam kalangan mereka pernah menyertai organisasi pelajar.
Daripada 585 orang ahli perwakilan yang dipilih itu, terdapat 49 orang profesor di universiti, 110 orang hakim atau pendakwa di mahkamah, dan 115 orang pegawai berpangkat tinggi atau pegawai pentadbir daerah. Dengan begitu ramai ahli intelek yang berpendidikan tinggi bersidang di dalam sebuah dewan, Parlimen Frankfurt juga sering diejek dengan gelaran “Parlimen Profesor” (Professorenparlament). Selain itu, terdapat 149 orang ahli perwakilan yang merupakan profesional seperti peguam, doktor dan wartawan. Hanya 4 orang tukang mahir dan seorang petani dipilih sebagai ahli perwakilan, bermakna majoriti rakyat kelas bawahan tidak diwakili dalam Perhimpunan Kebangsaan yang sepatutnya membincangkan masa hadapan seluruh Jerman itu.

Parlimen Frankfurt mula bersidang di Gereja St. Paul, yang terletak di pusat bandar Frankfurt, pada 18 Mei 1848 dengan 330 orang ahli perwakilan menghadiri sesi pembukaannya. Dalam ucapannya pada 19 Mei 1848, Heinrich von Gagern yang dipilih sebagai Presiden Parlimen Frankfurt pada masa itu menyatakan bahawa tugasan utama Perhimpunan Kebangsaan itu ialah mewujudkan sebuah perlembagaan bagi Jerman dan mencapai penyatuan Jerman.
Sehingga ia dibubarkan setahun kemudian pada 30 Mei 1849, sebanyak 230 sesi persidangan telah diadakan, disokong oleh 26 buah jawatankuasa dan 5 buah suruhanjaya. Pada 28 Jun 1848, Parlimen Frankfurt mengundi untuk menubuhkan “Pihak Berkuasa Pusat Sementara” (Provisorische Zentralgewalt) sebagai badan eksekutif untuk melaksanakan keputusan Parlimen Frankfurt. Erzherzog Johann dari Austria, seorang bangsawan daripada Kerabat Habsburg, dipilih sebagai Pemangku Maharaja Jerman.
Walaupun Parlimen Frankfurt boleh dikatakan mempunyai mandat rakyat (melalui pilihan raya) dan kewibaan moral, ia sebenarnya beroperasi di luar negeri-negeri Jerman yang berdaulat, dan tiadanya jaminan daripada kerajaan-kerajaan dalam Konfederasi Jerman pada masa itu bahawa Parlimen Frankfurt itu sebuah perhimpunan perlembagaan yang diiktiraf secara sah untuk merangka perlembagaan bagi sebuah negara Jerman yang bersatu.
Lebih separuh daripada ahli-ahli perwakilan yang hadir dalam persidangan Parlimen Frankfurt merupakan golongan monarkis, dengan pandangan bahawa ia akan membentuk sebuah persekutuan negeri-negeri Jerman yang beraja dengan seorang maharaja yang dipilih sebagai ketua eksekutif negara itu. Namun, terdapat juga ramai republikan dalam Parlimen Frankfurt yang mendukung pembentukan sebuah persekutuan negeri-negeri Jerman tetapi tanpa monarki sebagai ketua negara. Hanya 15% daripada ahli-ahli perwakilan dalam Parlimen Frankfurt boleh dikatakan sebagai demokrat radikal yang berhaluan kiri, dengan pendirian membentuk sebuah negara republik unitari tunggal yang menghapuskan semua sisa-sisa feudalisme.
Dengan sebahagian besar golongan demokrat radikal berhaluan kiri menyertai Friedrich Hecker dalam pemberontakannya yang gagal itu dan terpaksa hidup dalam buangan di luar negeri-negeri Jerman, golongan radikal yang tidak berbuat demikian mengambil pendirian bahawa kejayaan usaha mereka untuk pembentukan sebuah republik bersatu itu boleh dicapai melalui perikatan taktikal dengan golongan liberal dan golongan monarkis berperlembagaan buat sementara waktu. Salah seorang tokoh pemimpin kumpulan itu yang dipilih ke dalam Parlimen Frankfurt ialah Robert Blum (1807-1848).

Berbeza dengan kebanyakan ahli perwakilan dalam Parlimen Frankfurt, Robert Blum yang berasal dari Cologne bukannya seorang profesional kelas menengah dan dia tidak mempunyai kelayakan pendidikan tinggi. Dia pernah bekerja sebagai tukang dalam pelbagai bidang dan menjadi pekerja di dalam sebuah kilang lampu. Revolusi 1830 melanda semasa dia berusia 23 tahun, sejak itu dia berminat dalam politik radikal, dan mula menulis sajak yang berunsur politik. Blum meninggalkan kerjanya di teater untuk membuka sebuah kedai buku pada tahun 1844, dan pada masa yang sama, dia menerbitkan siri risalah tetapi sering diganggu oleh pihak berkuasa penapisan.
Robert Blum dijemput untuk menyertai Pra-Parlimen yang ditubuhkan semasa Revolusi Mac 1848 melanda Konfederasi Jerman. Walaupun Blum tidak bersetuju dengan golongan liberal moderat yang mendominasi sesi Pra-Parlimen, dia tidak meninggalkan dewan persidangan bersama Friedrich Hecker dan Gustav Struve sebagai tanda protes pada awal bulan April 1848. Oleh sebab kesudiannya bekerjasama dengan orang lain, Blum dilantik dalam Jawatankuasa Lima Puluh Orang yang pernah menolak penyertaan Hecker dan Struve. Apabila mendapat tahu tentang Hecker dan Struve melancarkan pemberontakan bersenjata di Baden, Blum sangat marah pada mereka kerana dia berpandangan bahawa tindakan melulu itu mengancam dan melemahkan usaha golongan demokrat radikal untuk pembentukan republik, bukannya memperkukuhkannya. Robert Blum memasuki Parlimen Frankfurt dengan hasrat mewujudkan sebuah republik untuk Jerman bersatu, tetapi cuba menyekat pengaruh golongan radikal yang paling ekstrem di situ. Blum juga mendukung konsep kedaulatan rakyat.
Antara isu utama yang diperdebatkan secara hebatnya dalam persidangan Parlimen Frankfurt ialah persoalan bagaimana mencapai penyatuan Jerman dan persoalan Schleswig-Holstein.
Dalam persoalan bagaimana mencapai penyatuan Jerman, terdapat dua solusi utama yang menjadi tumpuan perbahasan: “Solusi Jerman Besar” (Großdeutsche Lösung) mencadangkan semua wilayah Jerman digabungkan ke dalam sebuah negara yang bersatu, termasuk wilayah-wilayah Jerman yang dikuasai oleh Empayar Austria tetapi mengecualikan wilayah-wilayah bukan Jerman, maka bermakna pembubaran Empayar Austria Habsburg; “Solusi Jerman Kecil” (Kleindeutsche Lösung) mencadangkan penyatuan wilayah-wilayah Jerman di bawah kepimpinan Prusia tetapi tidak memasukkan Empayar Austria, maka bermakna Prusia memperluaskan wilayah yang dikuasainya. Terdapat juga cadangan yang memasukkan semua wilayah bukan Jerman untuk membentuk sebuah empayar multi-etnik yang didominasi oleh populasi Jerman. Pada 27 Oktober 1848, Parlimen Frankfurt mengundi untuk menyokong Solusi Jerman Besar yang memasukkan “tanah Jerman Austria”.

Dalam persoalan Schleswig-Holstein, kebanyakan ahli perwakilan dalam Parlimen Frankfurt menyokong idea bahawa seluruh wilayah Schleswig-Holstein harus menjadi sebahagian daripada negara Jerman yang bersatu. Holstein sudah merupakan anggota Konfederasi Jerman pada masa itu, sementara Schleswig bukannya anggota Konfederasi Jerman, tetapi pengaruh budaya dan bahasa Jerman agak ketara di Schleswig. Oleh itu, Parlimen Frankfurt menganggap kedua-dua wilayah itu sebagai wilayah Jerman, maka tidak patut diperintah secara berasingan oleh Denmark dan Jerman. Parlimen Frankfurt menyokong pemberontakan warga berbangsa Jerman di Schleswig-Holstein terhadap Denmark.
Selepas Prusia menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan Denmark pada 26 Ogos 1848, Parlimen Frankfurt mengundi untuk menolak perjanjian gencatan senjata itu pada 5 September 1848 dengan undian 238 lawan 221. Robert Blum yang merupakan pemimpin kumpulan liberal radikal dalam Parlimen Frankfurt pada masa itu juga mengecam perjanjian gencatan senjata itu sebagai satu penghinaan bangsa dan ia menghancurkan kerajaan demokratik Schleswig-Holstein. Namun, Parlimen Frankfurt tidak mempunyai apa-apa kuasa sebenar untuk menguatkuasakan keputusan undian itu. Kemudiannya pada 16 September 1848, Parlimen Frankfurt mengundi untuk menerima perjanjian gencatan senjata itu dengan majoriti yang tipis.

Selepas mendapat tahu tentang keputusan Parlimen Frankfurt untuk menerima perjanjian gencatan senjata dengan Denmark, orang ramai berhimpun pada 17 September 1848 untuk mendengar ucapan daripada ahli-ahli perwakilan berhaluan kiri yang mengecam keputusan Parlimen Frankfurt, dan mengatakan tiba masanya untuk revolusi kedua. Oleh itu, mereka merancang untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran pada hari keesokannya. Apabila mendapat khabar angin tentang demonstrasi, Pihak Berkuasa Pusat Sementara di bawah Parlimen Frankfurt mengerahkan tentera Prusia dan Austria ke bandar Frankfurt.
Pada 18 September 1848, orang ramai turun berdemonstrasi di jalanan Frankfurt dan berhimpun di hadapan bangunan Gereja St. Paul di mana Parlimen Frankfurt itu bersidang. Sesetengah demonstran menyerbu masuk ke dalam Gereja St. Paul. Namun, selepas Heinrich von Gagern, Presiden Parlimen Frankfurt pada masa itu, mengambil pentas dan mengecam tindakan demonstran yang menceroboh masuk ke dalam Parlimen itu, golongan demonstran beredar keluar dari bangunan Parlimen Frankfurt. Akan tetapi, di jalanan Frankfurt, dua orang ahli perwakilan konservatif dikenal pasti oleh golongan demonstran dan dipukul sampai mati. Benteng jalanan didirikan oleh golongan demonstran tetapi pasukan tentera yang dikerahkan ke Frankfurt terus mematahkan pemberontakan di situ dan darurat diisytiharkan. Kira-kira 60 orang terbunuh dalam peristiwa yang dikenali sebagai “Rusuhan September”. Selepas Rusuhan September, Parlimen Frankfurt sudah kehilangan sokongan daripada golongan demokrat radikal.

Apabila berita tentang Rusuhan September tersebar dalam kalangan golongan radikal Jerman yang hidup dalam buangan di Switzerland, Gustav Struve melancarkan Pemberontakan Baden Kedua pada 21 September 1848 di Lörrach yang terletak di bahagian barat daya negeri itu bersempadanan dengan Switzerland. Struve mengisytihar pembentukan Republik Jerman. Namun, pemberontakan yang dikenali sebagai “Rampasan Kuasa Struve” (Struve-Putsch) itu dipatahkan selepas golongan pemberontak yang dipimpin oleh Struve tetapi serba kekurangan kelengkapan itu ditewaskan oleh tentera Baden dalam “Pertempuran Staufen” pada 24 September 1848. Struve ditangkap sehari kemudian di Wehr.
Pada 23 November 1848, ahli-ahli perwakilan berhaluan kiri dalam Parlimen Frankfurt menubuhkan “Persatuan Mac Pusat” (Centralmärzverein) untuk menyatukan kumpulan ahli parlimen demokrat kiri dan persatuan-persatuan rakyat di luar parlimen yang berfahaman nasionalis liberal demi menghadapi ancaman serangan kontro-revolusi. Mereka cuba menyelamatkan revolusi nasionalis liberal di negeri-negeri Jerman dengan pendekatan bukan keganasan dan mempertahankan pencapaian pembaharuan liberal hasil daripada Revolusi Mac, di samping memperjuangkan penyatuan Jerman ke dalam sebuah negara bangsa persekutuan yang liberal dan demokratik. Namun, untuk mendapatkan sokongan daripada golongan liberal berhaluan tengah dan mewujudkan kerangka yang seluas mungkin bagi sebuah gabungan semua kuasa progresif, program Persatuan Mac Pusat masih mengambil pendirian terbuka kepada persoalan sama ada Jerman yang bersatu itu sebuah republik atau monarki. Persatuan Mac Pusat menerbitkan organ sendiri, yang dikenali sebagai Parlamentskorrespondenz, untuk diedarkan kepada kira-kira 100 buah akhbar.

Persatuan Mac Pusat mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan golongan demokrat kelas menengah di bahagian barat daya Jerman, dengan persatuan-persatuan rakyat di negeri Baden, Württemberg dan Schleswig-Holstein menyokong sepenuh kepimpinannya. Di negeri Bayern dan Thüringen, banyak persatuan baharu ditubuhkan berdasarkan contoh Persatuan Mac Pusat. Namun, golongan kiri radikal di luar parlimen dan sebahagian daripada gerakan pekerja tersusun mengkritik Persatuan Mac Pusat itu atas ilusinya terhadap parlimen dan kecenderungannya ke arah revolusi melalui “jalan undang-undang”.
Pada 21 Disember 1848, Parlimen Frankfurt meluluskan dokumen yang dikenali sebagai “Hak-hak asasi rakyat Jerman” (Grundrechte des deutschen Volkes) yang menyenaraikan 50 perkara, termasuk kesamarataan di sisi undang-undang, kebebasan beragama, kebebasan akhbar, kebebasan berhimpun, kebebasan bergerak, pemansuhan hukuman mati, penghapusan hak istimewa bangsawan, pendidikan sekular, kebebasan untuk berdagang, hak harta persendirian dan sebagainya. Namun, dokumen itu hanya sekadar pernyataan sikap golongan liberal dalam Parlimen Frankfurt yang tidak dapat dikuatkuasakan.
Selepas perbahasan yang berpanjangan, majoriti perwakilan dalam Parlimen Frankfurt bersetuju dengan “Solusi Jerman Kecil” dan sistem monarki berperlembagaan sebagai bentuk pemerintahan. Pada 27 Mac 1849, Parlimen Frankfurt mengundi untuk meluluskan draf muktamad Perlembagaan Frankfurt dengan 267 undi sokong dan 263 undi tolak. Perlembagaan Frankfurt merangkumi perkara-perkara seperti: pembentukan sebuah negara persekutuan (Bundesstaat) yang dikenali sebagai “Empayar Jerman” (Deutsches Reich) dengan ketua negaranya seorang maharaja perwarisan (bukannya dipilih); badan perundangan dwidewan dengan Dewan Rakyat (Volkshaus) yang dipilih secara demokratik dan Dewan Negara (Staatenhaus) yang anggotanya dilantik oleh pemerintah monarki di negeri-negeri yang bergabung dalam persekutuan itu.
Sehari kemudian, pada 28 Mac 1849, Parlimen Frankfurt meluluskan usul untuk menjadikan raja Prusia sebagai ketua negara perwarisan bagi negara Jerman yang bersatu itu, dengan 290 undi sokong tetapi 248 undi berkecuali. Selepas itu, 28 buah negeri yang lebih kecil dalam Konfederasi Jerman mengiktiraf Perlembagaan Frankfurt, tetapi negeri-negeri Jerman yang paling besar, seperti Prusia, Hannover, Bayern dan Sachsen, menolak untuk menerimanya.
Apabila rombongan perwakilan daripada Parlimen Frankfurt bertemu dengan Raja Friedrich Wilhelm IV dari Prusia pada 3 April 1849 untuk menawarkan mahkota maharaja kepadanya, Raja Friedrich Wilhelm IV terus menolaknya kerana keangkuhannya yang langsung tidak dapat menerima mahkota yang diberikan oleh rakyatnya, dan berkata bahawa dia tidak mahu “mengambil sebuah mahkota dari longkang”. Malah, Raja Friedrich Wilhelm IV mengisytiharkan bahawa dia akan memberikan bantuan ketenteraan kepada mana-mana negeri Jerman yang menolak Perlembagaan Frankfurt.

Pada 5 April 1849, kerajaan Austria mengarahkan semua ahli perwakilan dari Austria untuk meninggalkan Parlimen Frankfurt, dan mengecam Perlembagaan Frankfurt itu tidak serasi dengan kedaulatan Austria. Parlimen Frankfurt cuba melawan ancaman kontra-revolusi daripada golongan pemerintah monarki dalam Konfederasi Jerman. Pada 2 Mei 1849, Parlimen Frankfurt mengeluarkan proklamasi yang menggesa kerajaan-kerajaan negeri Jerman untuk menerima perlembagaan yang digubalnya, dan jika raja Prusia enggan menjadi maharaja Jerman, maka ia akan mencari seorang lagi maharaja. Namun, kata-kata proklamasi daripada Parlimen Frankfurt yang sudah semakin kehilangan reputasinya itu gagal menandingi ancaman kontra-revolusi reaksioner yang mendapat sokongan kuasa jentera negara seperti Prusia.
Heinrich von Gagern meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Pihak Berkuasa Pusat Sementara pada 10 Mei 1849 selepas gagal memujuk golongan pemerintah monarki di negeri-negeri Jerman untuk menyokong Perlembagaan Frankfurt. Ahli-ahli perwakilan dari Prusia juga melepaskan jawatan mereka pada 14 Mei 1849, diikuti pula dengan hampir semua ahli perwakilan yang konservatif. Pada 20 Mei 1849, Heinrich von Gagern mengatakan bahawa perang saudara akan tercetus jika mereka masih menegaskan Perlembagaan Frankfurt. Selepas itu, Gagern meninggalkan Parlimen Frankfurt bersama-sama 60 orang ahli perwakilan yang bersekutu dengannya. Kerajaan negeri Sachsen dan Hannover juga memanggil balik ahli perwakilan masing-masing.
Ahli-ahli Perwakilan Parlimen Frankfurt yang masih tinggal itu melancarkan “Kempen Perlembagaan Imperial” (Reichsverfassungskampagne) pada bulan Mei 1849 sebagai cubaan terakhir untuk menyelamatkan Perlembagaan Frankfurt yang digagalkan oleh golongan pemerintah Jerman itu.

Perhimpunan Kebangsaan Prusia
Parlimen Frankfurt bukannya satu-satu parlimen baharu yang mula bersidang di bumi Jerman pada bulan Mei 1848, kerana sebuah lagi parlimen kebangsaan yang benar-benar berperwakilan juga sedang bersidang di Prusia, salah sebuah negeri yang bergabung dalam Konfederasi Jerman dan merupakan kuasa besar di Eropah Tengah. Untuk menepati janjinya yang terpaksa dibuat semasa Revolusi Mac 1848 di Berlin, Raja Friedrich Wilhelm IV dari Prusia membenarkan pilihan raya demokratik diadakan untuk memilih perwakilan ke dalam Perhimpunan Kebangsaan Prusia (Preußische Nationalversammlung) yang berfungsi untuk merangka sebuah perlembagaan bagi Prusia. Pilihan raya Perhimpunan Kebangsaan Prusia diadakan pada 1 Mei 1848, iaitu hari yang sama dengan pilihan raya Parlimen Frankfurt, dengan semua lelaki dewasa berhak untuk mengundi dan sistem pengundian dua peringkat digunakan.
Berbeza dengan Parlimen Frankfurt yang lebih konservatif daripada apa yang diharapkan, ahli-ahli perwakilan Perhimpunan Kebangsaan Prusia nampaknya lebih radikal sedikit. Daripada 395 orang ahli perwakilan yang dipilih ke dalam Perhimpunan Kebangsaan Prusia, sebanyak 120 orang boleh dianggap sebagai demokrat yang percaya pada kedaulatan rakyat dan hak mengundi sejagat, namun hanya segelintir daripada mereka boleh dianggap sebagai republikan. Walaupun hanya minoriti dalam keseluruhan perwakilan, bilangan itu sesuatu yang sukar dibayangkan di Prusia dan mengejutkan golongan konservatif.

Apabila Perhimpunan Kebangsaan Prusia mula bersidang di Berlin pada 22 Mei 1848, wakil raja Prusia membentangkan sebuah draf perlembagaan yang disediakan terlebih dahulu oleh raja Prusia sendiri, tetapi menimbulkan kemarahan kebanyakan ahli perwakilan. Ramai daripada ahli-ahli perwakilan itu berpandangan bahawa rakyat berhak untuk menulis perlembagaan sendiri dan menyampaikannya kepada raja, bukan sebaliknya. Oleh itu, Perhimpunan Kebangsaan Prusia mengundi untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang merangka perlembagaan bagi Prusia, dan ia dipengerusikan oleh Benedikt Waldeck (1802-1870), seorang hakim dari wilayah Westfalen yang merupakan seorang republikan berhaluan kiri.
Walaupun pembaharuan liberal terhadap susunan politik nampaknya sudah bermula di Prusia, masalah sosioekonomi yang mencetuskan pemberontakan rakyat pada bulan Mac 1848 masih begitu nyata dan perjuangan rakyat itu belum selesai. Pada 4 Jun 1848, golongan pekerja daripada pelbagai lapisan (daripada tukang mahir hingga penganggur yang terdesak mendapatkan kerja) mengadakan demonstrasi besar-besaran di jalanan bandar Berlin.
Pada 8 Jun 1848, golongan kiri dalam Perhimpunan Kebangsaan Prusia membentangkan usul yang menggesa parlimen itu untuk mengiktiraf prinsip-prinsip kedaulatan rakyat bukannya hak ketuhanan raja. Mereka kemudiannya mengemukakan satu lagi usul untuk mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua lelaki dan wanita yang bangkit memberontak di Berlin pada bulan Mac 1848 atas sumbangan patriotik mereka kepada tanah air. Ahli-ahli parlimen yang lebih konservatif hanya dapat menolak usul-usul itu dengan perbezaan undian yang tipis, dan tindakan mereka hanya mencetuskan kemarahan yang lebih hebat di jalanan.
Pada 14 Jun 1848, dengan kebimbangan tentang golongan bangsawan lama yang konservatif mengerahkan tentera Prusia ke Berlin untuk membubarkan Perhimpunan Kebangsaan Prusia, Friedrich Wilhelm Held (1813-1872), seorang pemimpin demokrat yang agak popular di Berlin, memimpin sekumpulan demonstran ke gedung senjata di Berlin dengan tuntutan supaya rakyat diberikan senjata untuk mempertahankan diri mereka. Pengawal-pengawal di situ enggan berbuat demikian dan melepaskan tembakan ke arah demonstran, maka mencetuskan rusuhan dengan gedung senjata itu dirompak oleh golongan demonstran.
Rusuhan di Berlin itu meningkatkan lagi ketegangan antara golongan kiri yang radikal dan golongan kanan yang konservatif, sementara golongan liberal terperangkap di tengah-tengah. Namun, golongan liberal bakal berulang kali menunjukkan bahawa mereka akan lebih cenderung kepada mendukung “kestabilan” yang ditegakkan oleh golongan konservatif berbanding “kekacauan” yang ditimbulkan oleh golongan radikal.
Golongan konservatif reaksioner yang terkesan dengan pergolakan revolusioner semasa musim bunga tahun 1848 sentiasa hendak merampas balik kekuasaan mereka, termasuklah Raja Friedrich Wilhelm IV dari Prusia yang dipaksa untuk berkompromi dengan pembaharuan liberal apabila tercetusnya Revolusi Mac di Berlin. Menjelang penghujung bulan Jun 1848, kuasa reaksioner yang konservatif sudah mula mengatur langkah untuk kembali berkuasa di Prusia.

Walaupun Raja Friedrich Wilhelm IV terpaksa melantik ahli-ahli politik liberal yang dibencinya ke dalam kabinet menteri, dia sering mengadakan pertemuan tertutup dengan ahli-ahli politik konservatif yang sehaluan dengannya untuk mendapatkan nasihat. Dalam kalangan penasihat-penasihat yang konservatif itu, mula munculnya seorang pemimpin penting yang berasal daripada golongan bangsawan lama dan baru berusia 33 tahun pada masa itu, iaitu Otto von Bismarck (1815-1898). Berbeza dengan golongan bangsawan konservatif generasi lama yang hanya mahu memulihkan keadaan asal sebelum berlakunya revolusi borjuis, Bismarck berpandangan bahawa golongan konservatif boleh menunggang gelombang revolusi borjuis itu, bukannya menentangnya, di mana raja patut mempergunakan kuasa rakyat dan memandunya ke arah konservatif tradisional supaya tidak membiarkannya jatuh ke dalam tangan golongan liberal serta golongan sosialis. Bismarck mencadangkan untuk mengorganisasi reaksi konservatif dengan garis politik yang mengangkat kesayangan rakyat pada raja mereka dan gaya hidup tradisional mereka. Bismarck berhasrat untuk menggabungkan golongan bangsawan dan golongan petani di kawasan luar bandar ke dalam satu kuasa politik tunggal yang dapat melenyapkan pengaruh golongan liberal kelas menengah di kawasan bandar.
Pada ketika golongan konservatif mula mengorganisasi kontra-revolusi, Perhimpunan Kebangsaan Prusia mengemukakan draf perlembagaan pada 26 Julai 1848, dengan kandungan yang agak liberal dan radikal. Selain memasukkan semua hak sivil yang dituntut pada masa itu, draf perlembagaan itu memberi kuasa yang agak besar kepada Parlimen Prusia untuk mengawasi badan eksekutif: parlimen mempunyai militia rakyat sendiri dan boleh meluluskan semua perjanjian antarabangsa; raja hanya diberikan kuasa untuk menangguhkan bukannya menghalang pelaksanaan undang-undang yang tidak dipersetujuinya; menteri-menteri kabinet harus bertanggungjawab kepada parlimen bukannya raja; dan semua gelaran serta hak istimewa bangsawan lama dihapuskan.
Pada 31 Julai 1848, sebuah demonstrasi di wilayah Silesia untuk menuntut pembentukan militia rakyat di bawah kawalan Perhimpunan Kebangsaan dipatahkan oleh pasukan tentera di situ dengan 14 orang ditembak mati. Selepas mendengar berita tentang peristiwa itu, golongan kiri dalam Perhimpunan Kebangsaan Prusia membentangkan usul pada 9 Ogos 1848 bahawa tentera harus mengangkat sumpah untuk menegakkan dan mempertahankan perlembagaan.
Golongan konservatif pula menganjurkan perhimpunan perwakilan mereka sendiri yang bersidang pada 18-20 Ogos 1848, dihadiri oleh kira-kira 300 orang dengan kebanyakannya wakil golongan bangsawan, di samping segelintir pemilik tanah kecil dan petani. Persidangan itu merupakan usaha untuk menggabungkan kekuatan bangsawan dan petani berkisar pada usaha menegakkan nilai-nilai tradisional dan mengecam liberalisme. Golongan konservatif melancarkan akhbar-akhbar mereka sendiri untuk menyebarkan idea-idea mereka yang menyerang golongan liberal dan golongan radikal. Golongan konservatif membangkitkan sentimen nasionalis Prusia untuk menangkis fahaman nasionalis liberal Jerman dan mengapi-apikan ketakutan keagamaan dalam kalangan golongan Protestan di Prusia terhadap “ancaman” integrasi dengan golongan Katolik dari Austria.

Selain menghadapi cabaran daripada golongan konservatif berhaluan kanan yang mula mengorganisasi gerakan kontra-revolusi reaksioner, Perhimpunan Kebangsaan Prusia juga dicabar oleh golongan kiri yang lebih radikal, terutamanya apabila Pengawal Sivik yang didukung oleh golongan liberal dalam Perhimpunan Kebangsaan Prusia mula mematahkan aksi-aksi protes golongan kelas pekerja. Pada bulan Oktober 1848, apabila pekerja-pekerja pembinaan terusan di Berlin yang bimbang tentang kemungkinan kerja mereka digantikan oleh mesin berenjin stim mengadakan aksi protes, Pengawal Sivik dikerahkan dan melepaskan tembakan sehingga membunuh 11 orang demonstran.
Pada 31 Oktober 1848, hampir 100,000 berarak di Berlin untuk menyerahkan petisyen kepada Perhimpunan Kebangsaan Prusia, tetapi tidak dipedulikan. Golongan demonstran menyerang ahli-ahli perwakilan yang keluar dari tempat persidangan Perhimpunan Kebangsaan Prusia. Pengawal Sivik dikerahkan dan mencetuskan pertempuran dengan golongan demonstran sehingga ramai orang cedera. Peristiwa itu merenggangkan lagi hubungan antara golongan liberal dan golongan radikal. Dengan golongan liberal dan golongan radikal yang pernah menjayakan perjuangan revolusioner itu tidak dapat bersepakat lagi, ruang semakin terbuka kepada musuh revolusi yang sebenar, iaitu golongan konservatif yang reaksioner, untuk meningkatkan usaha mereka dalam menghancurkan revolusi.
Vienna pasca Revolusi Mac
Kejayaan usaha perjuangan pembaharuan yang mencetuskan gelombang revolusi pada musim bunga tahun 1848, memberi harapan kepada ramai orang di Eropah bahawa ia merupakan titik perubahan baharu untuk membawa penyelesaian yang progresif kepada pelbagai persoalan politik dan isu sosioekonomi. Namun, dalam tempoh setengah tahun sahaja, munculnya titik perubahan yang menterbalikkan gelombang revolusi itu ke arah kontra-revolusi yang reaksioner. Ia muncul pada bulan Jun 1848, dengan pematahan Pemberontakan Jun di Paris merupakan salah satu titik perubahan sedemikian. Selain pemberontakan kelas pekerja di Paris, satu lagi pemberontakan dipatahkan di wilayah yang dikuasai oleh Empayar Austria yang baru melalui Revolusi Mac (yang menjatuhkan Metternich).
Selepas Klemens von Metternich meletak jawatan Canselor dan melarikan diri ke London, Maharaja Ferdinand I melantik kabinet menteri yang nampaknya lebih “liberal” (kerana mereka pernah bertentangan pendirian dengan Metternich yang ultra-konservatif). Kabinet menteri baharu yang dipimpin sementara pada masa itu oleh Franz Anton von Kolowrat-Liebsteinsky cuba memperkenalkan pembaharuan yang popular untuk menstabilkan kerajaan dan memenuhi beberapa tuntutan daripada warga Vienna yang memberontak pada bulan Mac 1848. Antara pembaharuan itu termasuk pembubaran jentera polis rahsia dan pengampuan umum.
Pengawal Sivik dan Legion Akademik, iaitu kumpulan militia rakyat yang baharu ditubuhkan dan terus dibenarkan untuk mengangkat senjata, mengambil usaha untuk merekrut lebih banyak anggota daripada orang awam. Pelajar-pelajar Vienna agak berbangga dengan penglibatan mereka dalam pemberontakan dan keanggotaan dalam Legion Akademik merupakan penghormatan yang besar, maka jumlah keanggotaan Legion Akademik meningkat kepada kira-kira 6,000 orang. Namun, Pengawal Sivik yang dianggotai oleh golongan kelas menengah pula mengambil sikap untuk menjaga ketenteraman dan menghalang apa-apa kecenderungan radikal yang menuju ke arah revolusi sosial. Pengawal Sivik ditugaskan untuk memastikan kelas pekerja yang miskin menjauhi diri mereka dari harta milik golongan kelas menengah dan kelas atasan.

Untuk memastikan golongan daripada kelas-kelas berbeza yang pernah berjuang bersama-sama semasa revolusi itu kekal sehaluan, dua buah jawatankuasa ditubuhkan oleh warga Vienna: Jawatankuasa Pentadbiran yang berfungsi untuk menyelaraskan logistik kumpulan-kumpulan militia rakyat yang baharu ditubuhkan itu; dan “Jawatankuasa Pusat” yang menjadi forum umum untuk perbincangan mengenai topik-topik politik dan taktik serta strategi yang diperlukan sebagai respon. Golongan pelajar mempunyai pengaruh yang besar dalam Jawatankuasa Pusat. Jawatankuasa Pusat mewakili kuasa rakyat di Vienna buat sementara waktu.
Pada 14 April 1848, Jawatankuasa Pusat mengadakan sebuah perhimpunan besar-besaran, di mana mereka mengemukakan petisyen golongan radikal yang menuntut penggubalan perlembagaan yang belum dilaksanakan selepas sebulan pemberontakan di Vienna. Atas desakan golongan pekerja yang bergaji rendah, pada 17 April 1848, Jawatankuasa Pusat menganjurkan sebuah lagi perhimpunan untuk mengemukakan tuntutan kepada kerajaan supaya sewa rumah di Vienna dikurangkan sebanyak 25%. Namun, kecenderungan ke arah revolusi sosial itu tidak disenangi oleh golongan liberal di Vienna kerana ia dianggap mengancam hak pemilikan harta persendirian.
Oleh sebab kerajaan imperial baharu di Vienna mendapat kritikan dan tekanan hebat daripada orang ramai kerana melambat-lambatkan proses pembentukan dewan perhimpunan seluruh Empayar Austria dan penggubalan perlembagaan yang dijanjikan oleh Maharaja Ferdinand I, Franz Anton von Kolowrat-Liebsteinsky meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri yang dipegangnya tidak sampai sebulan pada 19 April 1848.
Kabinet menteri yang dipimpin oleh Franz Xaver von Pillersdorf (1786-1862), yang merupakan Menteri Dalam Negeri, tergesa-gesa untuk merangka sebuah perlembagaan demi menangani persoalan politik yang dibawa oleh golongan liberal kelas menengah dengan harapan mengelakkan diri daripada menangani persoalan sosioekonomi yang dibangkitkan oleh golongan kelas pekerja. “Perlembagaan Pillersdorf” yang dikemukakan pada 25 April 1848 mendapat kritikan daripada Jawatankuasa Pusat dan anggota-anggota Legion Akademik kerana ia tidak digubal oleh sebuah dewan perhimpunan perwakilan rakyat seperti yang dijanjikan dan kandungannya tidak mencerminkan prinsip kerajaan demokratik yang diharapkan.

Golongan radikal menuntut pilihan raya yang benar-benar demokratik tanpa syarat kelayakan yang berasaskan pemilikan harta, dan penubuhan parlimen berperwakilan dengan satu dewan sahaja, kerana mereka tidak mahu suara rakyat ditenggelamkan oleh budak suruhan golongan pemerintah imperial yang bersidang di dewan atas.
Pada minggu pertama bulan Mei 1848, demonstrasi jalanan mula diadakan setiap malam dengan golongan demonstran berarak ke rumah-rumah kediaman menteri untuk mengganggu mereka. Tindakan itu menyebabkan kebanyakan menteri meletak jawatan, dan Pillersdorf dinaikkan pangkat kepada Perdana Menteri. Apabila Jawatankuasa Pusat menyerahkan petisyen kepada Pillersdorf dengan tuntutan meminda perlembagaan dan memanggil sebuah parlimen satu dewan, tuntutan mereka itu terus ditolak. Golongan liberal yang lebih konservatif pula bekerjasama dengan kerajaan untuk meminggirkan Jawatankuasa Pusat yang dianggap sebagai pengacau.
Pada 14 Mei 1848, komander Pengawal Sivik mengeluarkan arahan bahawa semua anggota harus berhenti mengambil bahagian dalam aktiviti politik Jawatankuasa Pusat yang dianggap melanggar perlembagaan. Kerajaan juga mengerahkan tentera untuk menduduki lokasi-lokasi yang strategik di dalam bandar Vienna.

Pada 15 Mei 1848, Jawatankuasa Pusat mengadakan perjumpaan dan mengemukakan 3 tuntutan kepada kerajaan: menarik balik arahan yang melarang anggota Pengawal Sivik daripada mengambil bahagian dalam politik; mengundurkan tentera dari Vienna dan membenarkan Pengawal Sivik untuk menjalankan tugas rondaan di dalam bandar; kerajaan hanya boleh memanggil masuk tentera jika Pengawal Sivik memintanya. Apabila kerajaan mengatakan bahawa ia akan mempertimbangkan tuntutan Jawatankuasa Pusat itu, 10,000 orang pekerja turun berdemonstrasi di jalanan dan mengepung istana imperial. Tuntutan juga beralih daripada isu berkaitan Pengawal Sivik kepada persoalan yang lebih luas, termasuk pembentukan sebuah perhimpunan perlembagaan yang dipilih secara demokratik untuk merangka perlembagaan baharu.
Berhadapan dengan satu lagi pemberontakan di Vienna, kerajaan imperial bersetuju dengan ketiga-tiga tuntutan Jawatankuasa Pusat, dan berjanji akan mengadakan pilihan raya demokratik untuk sebuah parlimen satu dewan yang bakal membahaskan serta meminda “Perlembagaan Pillersdorf”. Ini boleh dikatakan satu kemenangan besar bagi golongan pelajar radikal dalam Jawatankuasa Pusat.
Dua hari selepas pemberontakan kedua di Vienna, Maharaja Ferdinand I dan kerabat imperialnya melarikan diri keluar dari bandar Vienna pada 17 Mei 1848 dan berselindung di Innsbruck yang terletak kira-kira 450 km dari ibu negara Empayar Austria. Maharaja Ferdinand I mengeluarkan satu proklamasi pada 20 Mei 1848 yang menuduh bahawa segelintir kecil “golongan anarkis” menimbulkan kekecohan sejak bulan Mac 1848 dan kerabat imperial hanya akan pulang ke Vienna setelah golongan itu disingkirkan.
Berita tentang kerabat imperial Habsburg melarikan diri dari Vienna mencetuskan kemarahan dalam kalangan golongan radikal dan golongan konservatif. Golongan konservatif di Vienna marah kerana maharaja yang merupakan lambang konservatif itu meninggalkan mereka begitu sahaja ke dalam tangan “golongan anarkis” yang radikal; sementara golongan pelajar yang radikal, iaitu “anarkis” yang dimaksudkan oleh Maharaja Ferdinand I itu, pula berasa dikhianati oleh maharaja yang sudah mempersetujui tuntutan-tuntutan mereka.
Sehari selepas Maharaja Ferdinand I melarikan diri ke Innsbruck, kabinet menteri mengisytihar Jawatankuasa Pusat itu sebuah perhimpunan yang melanggar perlembagaan dan harus dibubarkan serta-merta. Kerajaan juga mengarahkan Legion Akademik untuk menyerah balik senjata mereka.
Pada 26 Mei 1848, kerajaan mengeluarkan dekri untuk membubarkan Legion Akademik dan mengarahkan tentera untuk menguatkuasakan dekri itu. Namun, tindakan itu menimbulkan kemarahan anggota-anggota Pengawal Sivik, kerana kerajaan sudah memungkiri janji bahawa ia hanya memanggil tentera untuk masuk ke bandar Vienna jika Pengawal Sivil yang meminta sedemikian. Pelajar-pelajar mendirikan benteng di dalam universiti dan meminta bantuan. Legion Akademik, Pengawal Sivik dan pekerja-pekerja yang bermobilisasi mencecah kira-kira 40,000 orang, dengan benteng jalanan didirikan di merata tempat, seolah-olah ulang tayang pemberontakan pada bulan Mac 1848.

Berhadapan dengan kesediaan golongan radikal untuk melawan balik, kerajaan terpaksa mengundurkan tentera yang dipanggilnya selepas beberapa jam. Kerajaan juga membatalkan dekrinya yang membubarkan Legion Akademik dan mengiktiraf hak Jawatankuasa Pusat untuk berhimpun. Kerajaan turut menyatakan bahawa ia akan mematuhi janji yang dibuat pada 15 Mei 1848. Golongan radikal di Vienna mencapai satu kemenangan lagi buat sementara waktu…
Pemberontakan Prague
Apabila ruangan bersuara dan berpolitik lebih terbuka selepas pemberontakan Mac di Vienna, pelbagai akhbar, risalah, majalah dan sebagainya diterbitkan, untuk menyajikan pelbagai pandangan mengenai pelbagai perkara dalam perbincangan politik yang hangat di seluruh Empayar Austria pada masa itu. Salah satu persoalan besar yang sering dibahaskan dalam akhbar-akhbar yang bebas diterbitkan itu dan dalam kalangan peserta-peserta Jawatankuasa Pusat di Vienna ialah penyatuan Jerman.
Kebanyakan golongan anak muda radikal di Vienna boleh menerima pembubaran Empayar Austria apabila wilayah-wilayah majoriti bangsa Jerman di dalam empayar itu bergabung dengan wilayah-wilayah bangsa Jerman lain di utara untuk membentuk sebuah negara Jerman yang bersatu. Namun, kebanyakan golongan liberal yang moderat dan reformis lebih cenderung kepada mengekalkan Empayar Austria, kerana penggabungan Austria ke dalam negara Jerman yang bersatu boleh menjejaskan ekonomi Austria yang lebih mundur berbanding wilayah-wilayah Jerman yang sudah mempunyai ekonomi perindustrian yang lebih maju, dan mereka juga tidak mahu didominasi oleh Kerajaan Prusia.
Terdapat juga perbezaan pandangan yang ketara dalam persoalan wilayah mana patut disertakan dalam Kesatuan Jerman jika Austria menyertainya. Walaupun persoalan tentang wilayah seperti Hungary menjadi topik perbahasan hangat, hampir semua golongan intelek Jerman, sama ada di negeri-negeri Jerman atau Austria, menganggap bahawa “Tanah Mahkota Bohemia” sebagai sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada Kesatuan Jerman jika negara Jerman bersatu itu wujud. Akan tetapi, penduduk majoriti di wilayah Bohemia bukannya warga berbangsa Jerman, tetapi warga berbangsa Czech, iaitu salah satu cabang rumpun bangsa Slav Barat (yang turut terdiri daripada orang Poland, Moravia dan Slovak).
“Tanah Mahkota Bohemia” yang merupakan sebahagian daripada Empayar Rom Suci merangkumi wilayah Bohemia, Moravia dan Silesia. Mahkota diraja Bohemia mula dikuasai oleh Dinasti Habsburg pada tahun 1526 selepas Pertempuran Mohács, iaitu pada masa yang sama dengan Hungary dikuasai oleh Habsburg. Golongan pemerintah bangsawan Czech Bohemia pernah memberontak terhadap kekuasaan Dinasti Habsburg pada tahun 1618-1620 tetapi ditewaskan. Selepas cubaan Bohemia untuk mewujudkan sebuah negara merdeka ditumpaskan, golongan pemerintah Habsburg merampas banyak tanah milik golongan bangsawan Czech di situ dan mengagihkannya dalam kalangan sekutu-sekutu Habsburg dari Jerman. Oleh itu, majoriti penduduk asal berbangsa Czech di Bohemia duduk di atas tanah yang dimiliki oleh tuan tanah Jerman yang bukan berasal dari Bohemia. Selepas pembubaran Empayar Rom Suci, wilayah Bohemia kekal di bawah penguasaan Dinasti Habsburg dalam Empayar Austria. Maharaja Austria juga merupakan raja Bohemia.

Di bawah pemerintahan Empayar Austria, walaupun majoriti penduduk merupakan orang Czech, bahasa Jerman dijadikan bahasa rasmi dalam udang-undang, pendidikan, urusan perniagaan dan pentadbiran wilayah itu; kebanyakan golongan bangsawan tuan tanah merupakan orang Jerman; beberapa buah kilang yang dibina di situ dimiliki oleh orang kaya Jerman; birokrasi pentadbiran imperial di situ dikuasai oleh orang Jerman. Oleh itu, golongan nasionalis liberal Jerman yang bersidang di Frankfurt tidak teragak-agak dalam menjemput Bohemia untuk menyertai penyatuan Jerman. Namun, orang Czech di Bohemia tidak begitu teruja untuk bergabung dalam Jerman yang bersatu.
Selepas tamatnya Perang Napoleon, bermula pada tahun 1820-an, munculnya gerakan intelek di wilayah berpenduduk majoriti Czech yang memupuk semangat pemulihan bahasa, seni, budaya dan identiti bangsa Czech. Pemupukan semangat nasionalis Czech dalam kalangan golongan intelek itu kemudiannya membentuk tulang belakang kepada gerakan politik di situ.
Menjelang tahun 1840-an, apabila krisis ekonomi melanda, kelab-kelab politik yang sulit ditubuhkan dan mereka giat mengedarkan risalah-risalah yang diharamkan. Sebuah kelab politik sulit dengan nama “Repeal” (mendapat ilham daripada gerakan politik Ireland Repeal Association yang ditubuhkan oleh Daniel O’Connell) yang ditubuhkan pada tahun 1844, telah dianggotai oleh golongan demokrat liberal seperti Emanuel Arnold (1800-1869), Karel Sabina (1813-1877), Vilém Gauč (1816-1866), František Havlíček (1817-1871), Vincenc Vávra Haštalský (1824-1877) dan Josef Václav Frič (1829-1890).
Semasa gelombang Revolusi 1848 melanda, apabila salinan ucapan Lajos Kossuth dalam Parlimen Hungary pada 3 Mac 1848 sampai di Prague (Praha dalam bahasa Czech), ibu negeri dan bandar terbesar Bohemia, ia memberi rangsangan besar kepada aktivis-aktivis politik di situ. Pada 11 Mac 1848, warga Prague mengadakan sebuah perhimpunan awam untuk merangka petisyen yang mengemukakan keluhan-keluhan dan tuntutan-tuntutan mereka yang hendak diserahkan kepada maharaja Austria.

Oleh sebab terdapat banyak golongan liberal dan radikal Jerman yang tinggal di Prague, aktivis-aktivis politik berbangsa Czech tidak mahu mengasingkan mereka, maka tidak menekankan fahaman nasionalis dalam tuntutan mereka. Oleh itu, tuntutan-tuntutan yang dikemukakan termasuk penghapusan penapisan akhbar dan pembentukan Pengawal Kebangsaan yang disertai oleh rakyat biasa. Mereka juga menuntut penyatuan semula pentadbiran wilayah Bohemia dan Moravia yang sudah lama dipisahkan, kesamarataan bahasa Czech dengan bahasa Jerman, dan pembentukan Diet Bohemia yang baharu. Walaupun wujudnya Diet yang merupakan dewan perdarjatan tinggalan zaman feudal, ia didominasi oleh golongan tuan tanah berbangsa Jerman. Warga Prague menuntut sebuah perhimpunan perwakilan yang benar-benar mewakili semua rakyat di Tanah Mahkota Bohemia.
Sebuah jawatankuasa yang dianggotai 20 orang dibentuk untuk menulis petisyen itu, namun jawatankuasa itu didominasi oleh golongan liberal, sementara suara golongan radikal dipinggirkan. Jawatankuasa itu dikenali sebagai “Jawatankuasa Svatováclavský”. Golongan liberal dalam jawatankuasa itu cuba mengubah suai beberapa tuntutan, seperti menyingkirkan seruan untuk membantu pekerja, menukar tuntutan “menghapuskan perhambaan tani” kepada “mereformasikan status petani” dan memasukkan kenyataan yang menjamin hak harta persendirian.
Pada 15 Mac 1848, berita tentang pemberontakan di Vienna dan kejatuhan Metternich sampai di Prague, sementara itu petisyen yang dirangka oleh jawatankuasa di Prague juga diedarkan untuk mendapatkan tandatangan. Golongan radikal yang tidak berpuas hati dengan versi petisyen yang diterbitkan itu menyerbu ibu pejabat Jawatankuasa Svatováclavský dan mendesak mereka untuk mengembalikan tuntutan-tuntutan yang dipersetujui dalam perhimpunan pada 11 Mac 1848. Jawatankuasa Svatováclavský terpaksa akur untuk mengelakkan pemberontakan golongan radikal.
Pada 22 Mac 1848, sebuah rombongan perwakilan dari Prague sampai di Vienna untuk menyerahkan petisyen mereka kepada kabinet menteri imperial yang baharu tetapi ditolak. Jawatankuasa Svatováclavský yang marah dengan penolakan oleh kerajaan imperial itu mengemukakan petisyen yang lebih tegas, dengan tuntutan seperti penyatuan semua wilayah Czech dan pilihan raya bebas untuk sebuah parlimen Bohemia yang bukan penjelmaan diet zaman feudal. Apabila rombongan perwakilan yang kedua pergi ke Vienna, kerajaan imperial menawarkan beberapa kompromi, seperti bahasa Czech akan dinaikkan statusnya sama taraf dengan bahasa Jerman dan Diet Bohemia akan dipanggil, tetapi menolak tuntutan untuk penyatuan semua tanah Czech. Maklum balas daripada pihak berkuasa Vienna yang tidak memuaskan itu membangkitkan lagi semangat nasionalis Czech dalam kalangan warga Vienna.
Dengan golongan demokrat radikal menyertai Jawatankuasa Svatováclavský, ia diperluaskan kepada sebuah badan dengan keanggotaan 100 orang. Jawatankuasa Svatováclavský disusun semula untuk membentuk Jawatankuasa Kebangsaan (Národní výbor) pada 10 April 1848, dan menjadi sebuah badan politik yang berfungsi sebagai kerajaan separa di Prague.

Pada 11 April 1848, František Palacký (1798-1876), seorang ahli sejarah patriotik dan ahli politik Czech yang liberal, mengemukakan tulisannya yang terkenal, “Surat kepada Frankfurt” (Psaní do Frankfurtu) untuk menyatakan bahawa dia menolak jemputan ke persidangan Parlimen Frankfurt kerana dia sebagai seorang berbangsa Czech tidak berminat dalam hal ehwal bangsa Jerman dan tidak berhasrat untuk menyatukan Bohemia dengan Jerman.
Dengan kebangkitan semangat nasionalis Czech, wilayah Bohemia menjadi medan pertarungan beberapa buah kuasa politik: golongan nasionalis liberal Jerman yang mahu Bohemia menyertai Jerman bersatu yang diidamkan mereka; istana imperial Habsburg yang tidak membenarkan pemisahan Bohemia dan penggabungannya ke dalam Jerman bersatu; golongan nasionalis Czech yang menuntut kemerdekaan Bohemia atau autonomi yang lebih besar bagi Bohemia di dalam Empayar Austria; dan golongan nasionalis pan-Slavik yang mempunyai impian besar bahawa Bohemia boleh menjadi pusat tumpuan kepada pembangunan sebuah gerakan pan-Slavik yang lebih besar untuk menandingi malah menentang gerakan pan-Jerman.
Untuk mengekalkan momentum usaha menegakkan maruah dan identiti bangsa Slav, František Palacký membantu dalam penganjuran Kongres Slav yang pertama di Prague, sebagai pengimbang kepada Kongres Kebangsaan Jerman yang diadakan di Frankfurt pada masa itu. Mereka yang turut terlibat dalam penganjuran Kongres Slav itu termasuk Karl Zapp (1812-1871), František Ladislav Rieger (1818-1903) dan Karel Havlíček Borovský (1821-1856).

Kongres Slav mula bersidang di Prague pada 2 Jun 1848. Sebanyak 340 orang yang mewakili masyarakat Slav daripada pelbagai kelompok (seperti Czech, Slovak Croat, Serb, Slovene, Ruthenia dan Poland) dan 45 orang pemerhati hadir dalam persidangan Kongres Slav di Prague. Kumpulan Czech-Slovak membentuk majoriti daripada perwakilan, dengan 270 orang yang hadir, diikuti dengan 61 orang daripada kelompok etnik Poland-Ukraine dan 42 orang yang mewakili masyarakat Slav Selatan.
Mikhail Bakunin (1814-1876), seorang revolusioner radikal yang berasal daripada keluarga bangsawan Rusia, turut menyertai Kongres Slav itu. Bakunin pernah menulis sebuah kenyataan yang bertajuk “Rayuan kepada Orang Slav”. Dalam kenyataan itu, Bakunin mengatakan bahawa pemecahan Empayar Austria dan pembentukan sebuah persekutuan republik-republik Slav yang bebas di Eropah Tengah serta Eropah Timur merupakan syarat penting untuk revolusi. Bakunin percaya bahawa kelas borjuis telah menjadi kuasa kontra-revolusi dan harapan untuk revolusi terletak pada golongan kelas pekerja. Dia juga berpandangan bahawa golongan petani merupakan kuasa penentu yang boleh menjayakan revolusi.
“Setiap orang telah menyedari bahawa kebebasan hanya sekadar pembohongan apabila sebahagian besar penduduk terperangkap dalam keadaan yang menyedihkan, dirampas pendidikan, masa lapang dan roti. Ia ditakdirkan untuk berfungsi sebagai sokongan kepada golongan yang berkuasa dan golongan kaya,” begitu tulisnya Bakunin. “Oleh itu, revolusi sosial muncul sebagai natijah yang semula jadi dan perlu daripada revolusi politik.”

Walaupun Kongres Slav sepatutnya membangunkan solidariti masyarakat Slav yang lebih kukuh, terdapat banyak pandangan yang berbeza dalam kalangan perwakilan yang datang daripada pelbagai latar belakang. Tiada banyak perkara yang mengikat masyarakat Slav yang berbeza-beza itu kecuali warisan etnolinguistik bersama mereka. Tiada sesiapa boleh menyatakan apa matlamat muktamad Kongres itu. Lebih-lebih lagi, setiap bangsa dalam rumpun Slav mempunyai perspektif masing-masing, misalnya orang Czech menganggap nasionalisme Jerman sebagai ancaman utama, orang Croat pula bimbang pada nasionalisme Magyar maka sudah menjalin perikatan yang lebih erat dengan orang Jerman di Austria, orang Poland pula menyokong orang Magyar kerana menganggap orang Magyar sebagai sekutu dalam menghadapi pencerobohan Jerman dan Rusia, orang Slovak pula menganggap orang Magyar sebagai orang yang menindas mereka.
Jadi, selepas persidangan beberapa hari, Kongres Slav di Prague tidak dapat mencapai apa-apa persetujuan bersama. Namun, Kongres Slav yang agak kelam-kabut tetapi bersejarah itu terpaksa dibubarkan tidak lama kemudian…
Kebangkitan nasionalisme Slav di Bohemia itu mewujudkan keretakan dalam hubungan antara penduduk berbangsa Jerman dan penduduk berbangsa Czech di bandar Prague. Pemimpin-pemimpin masyarakat Jerman menubuhkan jawatankuasa penyelarasan mereka sendiri dan pasukan militia Pengawal Sivik sendiri.
Untuk menghadapi kebangkitan nasionalis Czech di Bohemia, kerajaan imperial di Vienna melantik Jeneral Alfred Windisch-Grätz (1787-1862) sebagai komander tentera imperial di Bohemia. Windisch-Grätz merupakan seorang jeneral kanan yang konservatif dan pernah menggunakan keganasan melampau untuk mematahkan pekerja-pekerja yang memberontak di Prague pada tahun 1844. Pelantikan Windisch-Grätz mencetuskan kemarahan kelas pekerja dan golongan liberal di Prague. Apabila Windisch-Grätz tiba di Prague pada awal bulan Jun 1848, dia terus melakukan perkara-perkara yang memprovokasi penduduk-penduduk di bandar itu, seperti memindahkan lebih banyak askar dari kawasan lain untuk ditempatkan di situ dan menggandakan rondaan pasukan tentera di dalam bandar Prague, malah mengalihkan meriam ke tanah tinggi yang menghadap bandar Prague.

Pada 12 Jun 1848, selepas sebuah upacara misa yang diadakan di Pasar Kuda (iaitu Dataran Václavské), peserta-peserta misa mengadakan demonstrasi untuk berarak ke ibu pejabat kerajaan. Golongan demonstran menuntut peletakan jawatan Windisch-Grätz. Namun, rombongan perwakilan demonstran yang hendak masuk ke pejabat kerajaan bertembung dengan satu lagi rombongan perwakilan daripada komuniti bangsa Jerman yang menyatakan sokongan mereka kepada Windisch-Grätz. Tercetusnya pertelingkahan dan pergaduhan di jalanan. Pengawal Sivik daripada kedua-dua kompeni Czech dan Jerman bergegas ke situ, begitu juga dengan tentera imperial. Dengan itu tercetusnya pemberontakan yang diterajui oleh golongan pelajar dan golongan demokrat radikal yang berbangsa Czech.
Golongan radikal berundur ke jalan-jalanan di kawasan kota lama yang sempit untuk mendirikan benteng-benteng jalanan. Tuntutan yang dikemukakan oleh golongan pemberontak radikal itu ialah pelucutan jawatan Windisch-Grätz, pengunduran tentera dari Prague dan pengiktirafan sebuah kerajaan sementara. Namun, bukan sahaja penduduk-penduduk berbangsa Jerman tidak menyokong pemberontakan golongan radikal Czech, golongan konservatif dan liberal Czech termasuk mereka yang berfahaman nasionalis juga tidak menyokong pemberontakan itu. Walau bagaimanapun, golongan pemberontak mendirikan sebanyak 400 buah benteng jalanan di dalam bandar Prague.

Windisch-Grätz mengarahkan tenteranya untuk menyerbu bangunan Muzium Kebangsaan Czech di mana Kongres Slav bersidang, tetapi delegasi-delegasi Kongres sempat bersurai. Isteri Windisch-Grätz terbunuh kerana terkena sebutir peluru tersasar semasa memerhatikan pertempuran jalanan melalui pintu rumahnya. Windisch-Grätz langsung tidak mahu berunding dengan golongan pemberontak di Prague.
Pada 15 Jun 1848, Windisch-Grätz mengubah taktiknya dengan mengundurkan semua pasukan tentera dari barisan hadapan pertempuran ke tebing kiri Sungai Vltava, dan mula membedil kawasan kota lama Prague dengan tembakan meriam bertubi-tubi selama dua hari. Walaupun terdapat golongan radikal dari pekan-pekan lain (seperti Litomyšl, Vysoké Mýto, Kutná Hora, Kolín dan Chrudim) bergegas ke Prague untuk memberi bantuan kepada golongan pemberontak di situ, di bawah serangan artileri yang hebat, golongan pemberontak yang bertahan di kawasan kota lama Prague terpaksa menyerah kalah pada 17 Jun 1848. Kira-kira 43 orang pemberontak mati terkorban.
Windisch-Grätz mengisytihar darurat pada 18 Jun 1848, membersihkan semua benteng jalanan dan menangkap mereka yang terlibat dalam Pemberontakan Prague. Sesetengah golongan demokrat radikal yang terlibat dalam pemberontakan, seperti Josef Václav Frič, dapat melarikan diri. Windisch-Grätz membuka siasatan terhadap Kongres Slav yang disyaki sebagai dalang di sebalik Pemberontakan Prague, tetapi tidak menemui apa-apa. Pada 26 Jun 1848, Jawatankuasa Kebangsaan dibubarkan kerana beberapa orang anggotanya terlibat dalam Pemberontakan Prague. Golongan nasionalis Czech yang liberal mengambil posisi bekerjasama dengan pihak berkuasa imperial Austria dan memberi tumpuan kepada usaha mendesak reformasi melalui perhimpunan perlembagaan.

Mikhail Bakunin, yang menghadiri Kongres Slav dan menyertai Pemberontakan Prague pada bulan Jun 1848 tetapi sempat mengelakkan penahanan, kembali melawat Prague pada bulan Mac 1849 dan mencadangkan kepada golongan demokrat liberal di situ untuk melancarkan satu lagi pemberontakan. Namun, pemberontakan yang dirancang untuk bulan Mei 1849 itu gagal dilaksanakan, apabila beberapa orang pemimpin yang terlibat dalam perancangan pemberontakan itu ditangkap oleh polis. Mereka yang ditangkap termasuk Josef Václav Frič, Karel Sabina dan Karel Sladkovský (1823-1880).
Penumpasan Pemberontakan Prague pada bulan Jun 1848 merupakan kemenangan kontra-revolusi yang pertama bagi golongan pemerintah Habsburg tiga bulan selepas Revolusi Mac 1848. Bersama dengan penumpasan Pemberontakan Jun di Paris kira-kira 10 hari kemudian, peristiwa itu menjadi detik perubahan kepada gelombang Revolusi 1848 yang mula menghala ke arah kontra-revolusi konservatif reaksioner.

Pemberontakan Vienna
Selepas pemberontakan pada bulan Mei 1848 di Vienna, pilihan raya untuk Diet Imperial (Reichstag) diadakan dan sebanyak 383 orang perwakilan dari seluruh Empayar Austria (kecuali Hungary) dipilih ke dalam badan perundangan pertama yang dipilih secara demokratik di Empayar Austria. Namun, Diet Imperial yang mula bersidang pada 22 Julai 1848 di Vienna didominasi oleh golongan liberal moderat dan golongan konservatif yang hendak menghentikan revolusi.
Dengan Diet Imperial nampaknya lebih cenderung ke arah konservatif, keadaan wilayah Bohemia terkawal selepas penumpasan Pemberontakan Prague, dan berita tentang kemenangan tentera Austria di Itali, Maharaja Ferdinand I dari Austria dan keluarganya yang melarikan diri ke Innsbruck pada bulan Mei 1848 kembali ke Vienna pada 12 Ogos 1848. Mereka disambut meriah oleh warga Vienna yang menyokong istana imperial. Sebagai respon kepada kepulangan maharaja, golongan pekerja dan golongan pelajar mengadakan sebuah perhimpunan besar-besaran yang dihadiri 10,000 orang untuk menyatakan solidariti mereka bersama golongan kiri dalam Parlimen Frankfurt.
Pada masa yang sama, kemelesetan ekonomi yang berterusan menyebabkan kehidupan golongan kelas pekerja dan golongan tukang kecil semakin susah dengan pendapatan menyusut. Ramai warga kota yang kaya berpindah keluar dari Vienna untuk mengelakkan diri daripada gelombang revolusi, maka mengurangkan wang tunai yang beredar di dalam bandar itu. Golongan tukang yang mengeluarkan barangan mewah mendapati tiadanya pembeli untuk hasil kerja mereka. Secara amnya, upah pekerja adalah rendah dan pekerjaan yang wujud adalah kurang. Oleh itu, sering berlakunya demonstrasi kelas pekerja yang menuntut bantuan daripada kerajaan dan penurunan sewa rumah. Golongan pemilik harta yang liberal pada masa itu semakin menjauhi diri daripada golongan radikal dan mula mendampingi golongan konservatif.
Pada 21 Ogos 1848, iaitu sembilan hari selepas kepulangan Maharaja Ferdinand I ke Vienna, golongan kelas pekerja mengadakan demonstrasi jalanan untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap masalah pengangguran yang semakin teruk dan dekri kerajaan yang mengurangkan upah. Aksi demonstrasi yang bermula di kawasan tumpuan pekerja di pinggiran bandar merebak ke pusat bandar Vienna.

Pada 23 Ogos 1848, kerajaan mengerahkan Pengawal Sivik untuk mematahkan demonstrasi pekerja. Anggota-anggota Pengawal Sivik yang liberal melepaskan tembakan ke arah golongan demonstran dan membunuh 18 orang pekerja. Peristiwa yang dikenali sebagai “Praterschlacht” (Pertempuran Prater) itu menandakan kehancuran gabungan antara golongan liberal kelas menengah dan golongan kelas pekerja yang terbentuk semasa Revolusi Mac 1848. Selepas itu, Jawatankuasa Pusat dibubarkan dan Pengawal Sivik bersetuju untuk meletakkan diri mereka di bawah arahan Menteri Dalam Negeri.
Pada pertengahan bulan September 1848, apabila sebuah bank rakyat yang sepatutnya ditubuhkan untuk membolehkan orang ramai melaburkan wang simpanan mereka didapati merupakan satu penipuan dan diisytihar muflis, mangsa-mangsa penipuan yang terdiri daripada golongan tukang kecil dan peniaga kecil menghantar petisyen kepada Kementerian Dalam Negeri dan Dewan Perbandaran Vienna untuk meminta bantuan, tetapi kedua-dua pihak berkuasa itu enggan mengambil tindakan.
Pada 12 September 1848, sekumpulan demonstran memecah masuk ke pejabat Kementerian Dalam Negeri. Pengawal Sivik dan pasukan tentera dikerahkan, sementara golongan radikal dan pelajar-pelajar yang pulang ke Vienna untuk semester baharu mula menyusun semula Legion Akademik. Diet Imperial mencampur tangan dengan menawarkan jaminan pinjaman bebas faedah kepada mangsa-mangsa penipuan bank dan menanggung 20% kerugian mereka.

Pada 3 Oktober 1848, Maharaja Ferdinand I dari Austria mengisytihar perang ke atas Hungary, sebuah wilayah berautonomi di dalam Empayar Austria, dengan niat untuk mematahkan gelombang revolusi di situ. Perisytiharan perang itu mencetuskan semula kemarahan bukan sahaja dalam kalangan golongan radikal, malah sesetengah golongan liberal yang menyokong revolusi di Hungary.
Pada 6 Oktober 1848, Theodor Baillet de Latour, Menteri Perang pada masa itu, mengarahkan tentera imperial Austria di Vienna untuk bertolak ke barisan hadapan di Hungary dengan menaiki kereta api. Golongan radikal yang terdiri daripada pekerja-pekerja, pelajar-pelajar dan anggota-anggota Pengawal Sivik yang lebih radikal bermobilisasi untuk menghalang tentera Austria daripada bertolak dari Vienna. Sesetengah demonstran cuba merosakkan landasan kereta api. Sekumpulan askar memberontak untuk menyertai golongan demonstran dan menyekat sebuah jambatan yang menuju ke stesen kereta api.
Latour mengarahkan lebih banyak pasukan tentera untuk menyuraikan golongan demonstran dan memaksa askar-askar yang mengingkari arahan itu untuk menaiki kereta api. Pasukan tentera imperial melepaskan tembakan ke arah askar-askar yang mengingkari arahan, tetapi terpaksa berundur dari stesen kereta api kerana terlalu ramai demonstran. Pengawal Sivik berpecah kepada dua kumpulan, iaitu mereka yang masih mendengar arahan kerajaan dan mereka yang menyertai semula golongan radikal.

Golongan demonstran kemudiannya menyerbu pejabat Kementerian Perang dan menyerang Latour selaku Menteri Perang yang berada di situ. Latour dipukul sampai mati oleh golongan demonstran yang marah. Dengan penduduk-penduduk Vienna memberontak sekali lagi, Maharaja Ferdinand I dan keluarganya melarikan diri sekali lagi dari bandar Vienna, dan kali ini berselindung di Olomouc yang terletak di wilayah Moravia. Anggota-anggota kerajaan imperial juga meninggalkan Vienna bersama-sama kira-kira separuh daripada anggota-anggota Diet Imperial.
Hanya segelintir ahli perwakilan yang radikal dan sesetengah ahli perwakilan yang liberal dalam Diet Imperial masih kekal di Vienna. Diet Imperial serpihan itu menubuhkan sebuah jawatankuasa kecemasan untuk mengambil alih kuasa eksekutif. Diet Imperial mengemukakan tiga tuntutan kepada Maharaja Ferdinand I: menamatkan perang dengan Hungary; memecat Josip Jelačić daripada posisi Ban Croatia (Ban ialah pemangku raja dan ketua kerajaan di wilayah Croatia); dan membentuk sebuah kerajaan rakyat yang baharu.
Selepas semua golongan pemerintah konservatif meninggalkan Vienna, Maharaja Ferdinand I mula mengarahkan tentera imperial dari pelbagai tempat untuk berkumpul di luar bandar Vienna, termasuk tentera Croatia yang diketuai oleh Josip Jelačić yang hendak menunjukkan bahawa dia dan masyarakat berbangsa Croat boleh mempertahankan Empayar Austria. Pada 16 Oktober 1848, Maharaja Ferdinand I mengarahkan Jeneral Alfred Windisch-Grätz, komander tentera imperial di Bohemia yang baru mematahkan Pemberontakan Prague empat bulan sebelum itu, untuk mengambil alih sebagai ketua komander tentera imperial Austria yang bakal menyerang bandar Vienna.

Selepas mendapat berita tentang apa yang berlaku di Vienna, Parlimen Frankfurt membahaskan tentang sama ada perlu memberi bantuan kepada warga Vienna yang memberontak dan memperjuangkan perkara yang dibawa oleh ahli-ahli perwakilan Parlimen Frankfurt. Namun, Parlimen Frankfurt yang baru diancam Rusuhan September dan didominasi oleh golongan liberal moderat itu mengundi untuk tidak menghantar bantuan kepada golongan pemberontak di Vienna. Meluat dengan keputusan itu, golongan kiri radikal yang masih tinggal di Parlimen Frankfurt menghantar dua orang ahli perwakilan dalam kalangan mereka untuk pergi bersolidariti bersama golongan pemberontak Vienna, dengan salah seorangnya ialah Robert Blum. Robert Blum sampai di Vienna pada 17 Oktober 1848, ketika bandar itu belum dikepung sepenuhnya oleh tentera imperial Austria.
Pada 23 Oktober 1848, Alfred Windisch-Grätz dan tentera yang dipimpinnya sampai di Vienna dan mengepung bandar itu sepenuhnya dengan tentera imperial sebanyak 70,000 orang. Pada 23 Oktober 1848, Windisch-Grätz mengeluarkan ultimatum kepada Vienna. Pada 26 Oktober 1848, dengan golongan pemberontak di Vienna tidak menyerah kalah, Windisch-Grätz mengarahkan serangan ke atas Vienna. Pasukan artileri mengebom kawasan pinggiran bandar, dan pasukan tentera yang diketuai oleh Josip Jelačić menyerang bahagian timur bandar, tetapi menghadapi penentangan yang hebat daripada warga Vienna.

Pada 27 Oktober 1848, tentera imperial menyerang dari semua arah dan menghancurkan semua kawasan pinggiran bandar yang diduduki oleh kelas pekerja. Windisch-Grätz mengarahkan pengeboman terhadap kawasan pusat bandar seluruh malam. Usaha pertahanan bandar Vienna dipimpin oleh Józef Bem (1794-1850), seorang pegawai tentera yang berasal dari Poland dan mendukung perjuangan nasionalis di Eropah. Tentera Hungary yang dipimpin oleh Lajos Kossuth cuba memberi bantuan kepada golongan pemberontak di Vienna, tetapi dihalang dan ditewaskan oleh tentera imperial Austria dalam Pertempuran Schwechat pada 30 Oktober 1848 berdekatan dengan bandar Vienna.
Pada 31 Oktober 1848, pemimpin-pemimpin dalam Majlis Perbandaran Vienna menyampaikan mesej kepada Windisch-Grätz bahawa majoriti warga Vienna bersedia untuk menyerah kalah dan mengibarkan bendera putih. Tentera imperial memasuki bandar Vienna, dan menghadapi penentangan di beberapa tempat yang dipertahankan oleh golongan pemberontak radikal. Menjelang 1 November 1848, tentera imperial Austria menduduki dan menguasai bandar Vienna sepenuhnya. Darurat diisytihar, dan kira-kira 2,000 orang ditahan. Kira-kira 2,000-4,000 orang terbunuh sepanjang Pemberontakan Vienna.
Józef Bem yang memimpin pertahanan bandar Vienna sempat melarikan diri, tetapi pemimpin-pemimpin pemberontak yang lain dihukum mati dalam tempoh beberapa hari. Antara mereka yang dihukum mati ialah Alfred Julius Becher (1803-1848), Wenzel Messenhauser (1813-1848) dan Hermann Jellinek (1822-1848). Robert Blum yang ditangkap pada 4 November 1848 turut dihukum mati pada 9 November 1848 selepas dihadap ke tribunal tentera, walaupun dia mempunyai kekebalan parlimen selaku ahli perwakilan dalam Parlimen Frankfurt.

Pemberontakan pada bulan Oktober 1848 merupakan pemberontakan yang terakhir di Vienna dan menandakan kegagalan Revolusi 1848 di Empayar Austria, di mana ia turut memberi kesan kepada kebangkitan revolusioner di wilayah-wilayah lain di dalam Empayar Austria.
Dari Undang-undang April ke Perang Kemerdekaan Hungary
Selepas mendapat persetujuan daripada Maharaja Ferdinand I dari Austria pada bulan Mac 1848 untuk menubuhkan kerajaan berperlembagaan sendiri di Hungary, dengan Lajos Batthyány menjadi Perdana Menteri Hungary yang pertama, ahli-ahli perwakilan yang bersidang dalam Parlimen Hungary di Pressburg mula merangka undang-undang baharu yang bakal menjadi asas kepada perlembagaan baharu. Mereka meluluskan siri undang-undang untuk pembaharuan liberal, termasuk menghapuskan hak keistimewaan golongan bangsawan. Kerajaan Hungary yang baharu juga menuntut pada kerajaan imperial Austria supaya semua cukai yang dikutip dari Hungary digunakan di wilayah Hungary, dan Parlimen Hungary patut diberi kuasa untuk memerintah rejimen Hungary dalam tentera imperial Habsburg.
Namun, wujudnya ketegangan antara golongan radikal yang menguasai bandar Buda-Pest dan golongan liberal yang bersidang dalam Parlimen Hungary di Pressburg. Golongan radikal seperti Sándor Petőfi cuba mendesak perubahan yang lebih radikal, termasuk pembentukan sebuah republik. Pada penghujung bulan Mac 1848, golongan radikal menganjurkan demonstrasi besar-besaran di bandar Buda-Pest, malah mendirikan benteng-benteng jalanan. Golongan liberal di Pressburg menggunakan kesempatan itu untuk memberi tekanan kepada kerajaan imperial di Vienna supaya melepaskan lebih banyak kuasa kepada kerajaan Hungary.

Pada 11 April 1848, Maharaja Ferdinand I dari Austria, yang juga merupakan Raja Hungary, menandatangani 31 buah undang-undang yang digubal oleh Parlimen Hungary di Pressburg dalam tempoh beberapa minggu sebelum itu. Undang-undang itu dikenali sebagai “Undang-undang April” (Áprilisi törvények). Hungary menjadi negara ketiga di Tanah Besar Eropah yang menggubal undang-undang mengenai pilihan raya demokratik [selepas Perancis (1791) dan Belgium (1831)]. Undang-undang pilihan raya yang diluluskan menggantikan parlimen lama yang berasaskan perdarjatan feudal dengan sebuah parlimen berperwakilan yang dipilih secara demokratik, di samping hak mengundi diperluaskan kepada lapisan masyarakat yang lebih meluas.
Selepas Undang-undang April ditandatangani oleh Maharaja Ferdinand I, ahli-ahli perwakilan yang bersidang dalam Parlimen Hungary pulang dengan anggapan revolusi itu sudah berakhir kerana apa yang diperjuangkan oleh golongan pembaharu Hungary selama lebih tiga dekad sebelum itu sudah tercapai: Hungary mempunyai sebuah kerajaan berparlimen dengan kabinet menteri bertanggungjawab kepada parlimen; kesamarataan di sisi undang-undang; kebebasan beragama; hak-hak sivil seperti hak untuk berhimpun; pemansuhan penapisan akhbar; pembebasan tahanan politik; percukaian am yang juga dikenakan ke atas golongan bangsawan; pembentukan Pengawal Kebangsaan sendiri; penghapusan sistem perhambaan tani dan institusi-institusi feudal.
Namun, pemimpin-pemimpin elit liberal dan nasionalis Magyar yang meraikan Undang-undang April itu terlepas pandang pada respon golongan etnik minoriti yang berkepelbagaian di Hungary. Ini kerana masyarakat beretnik Magyar hanya membentuk 40% daripada seluruh penduduk di wilayah Kerajaan Hungary pada masa itu, dan mereka hanya merupakan kumpulan majoriti di bahagian tengah negeri itu. Adanya lagi kumpulan-kumpulan etnik lain seperti Croat, Serb, Romania, Jerman, Ruthenia dan Yahudi. Bukan semua kumpulan etnik menyambut baik pembentukan kerajaan sendiri yang didominasi oleh orang Magyar di Hungary. Lebih-lebih lagi, pemimpin nasionalis seperti Lajos Kossuth kurang sedar bahawa desakannya untuk melaksanakan dasar Magyarisasi, seperti menjadikan bahasa Magyar sebagai satu-satunya bahasa rasmi di Hungary, mencetuskan kegusaran malah kemarahan dalam kalangan masyarakat bukan Magyar.

Wilayah Croatia, yang terletak di bahagian barat daya Hungary, pernah berada dalam kesatuan peribadi dengan Hungary selama lebih 400 tahun (1102-1526) dan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Hungary selepas Dinasti Habsburg mengambil alih pemerintahan di situ berikutan Pertempuran Mohács pada tahun 1526. Orang Croat hanya membentuk kira-kira 10% daripada jumlah penduduk di seluruh Hungary. Parti Rakyat (Narodna stranka) yang berasal daripada gerakan pan-Slavik-Selatan ditubuhkan pada tahun 1841 di Croatia untuk mendukung usaha memulihkan pemerintahan Kerajaan Bertiga (Trojedna kraljevina) yang menyatukan Croatia, Slavonia dan Dalmatia. Pernah berlaku peristiwa 13 orang demonstran ditembak mati oleh tentera Austria di Zagreb, ibu negeri Croatia, pada 29 Julai 1845, apabila ahli-ahli Parti Rakyat berprotes selepas calon yang pro-Magyar menang dalam pilihan raya tempatan pada masa itu. Sebuah lagi parti politik, Parti Croatia-Hungary, juga ditubuhkan pada tahun 1841 untuk mendukung hubungan yang lebih erat antara Croatia dan Hungary.
Golongan nasionalis Croat pada asalnya berada di pihak yang sama dengan golongan nasionalis Magyar untuk melawan pemerintahan Habsburg, kerana masyarakat Croat agak kecewa dengan tindakan kerajaan imperial Habsburg menjadikan sebahagian wilayah mereka sempadan ketenteraan yang diperintah di bawah undang-undang tentera. Seperti golongan nasionalis Magyar, golongan nasionalis Croat juga memperjuangkan autonomi bagi wilayah Croatia malah kemerdekaan daripada pemerintahan Habsburg, di samping pengiktirafan terhadap bahasa, budaya dan agama mereka. Namun, selepas peristiwa revolusioner di Buda-Pest pada bulan Mac 1848 dan penggubalan Undang-undang April yang mengabaikan autonomi Croatia di bawah Kerajaan Hungary, golongan nasionalis Croat mula menganggap kerajaan baharu Hungary di Buda-Pest yang diterajui oleh orang Magyar sebagai ancaman yang lebih besar berbanding kerajaan imperial di Vienna.
Selepas Revolusi Mac di Vienna yang menjatuhkan Metternich, kerajaan imperial yang baharu melantik Josip Jelačić (1801-1858), seorang pemimpin nasionalis konservatif Croat yang berkhidmat sebagai pegawai tentera imperial Austria, sebagai Ban Croatia, iaitu ketua kerajaan wilayah Croatia. Jelačić juga diberi kuasa untuk memerintah sempadan ketenteraan di Croatia pada ketika kerajaan imperial Austria perlu menghadapi peperangan di Itali. Jelačić berhasrat untuk membebaskan Croatia daripada Kerajaan Hungary supaya ia menjadi sebuah entiti berasingan di bawah pemerintahan Empayar Austria. Jelačić enggan bekerjasama dengan kerajaan Hungary di Buda-Pest, maka mencetuskan hubungan yang tegang antara Croatia dan Hungary.

Dalam satu tindakan yang bertentangan dengan kehendak Parlimen Hungary, Jelačić memanggil untuk pembentukan Parlimen Croatia (Hrvatski sabor) yang mula bersidang pada 5 Jun 1848. Parlimen Croatia mengemukakan beberapa tuntutan kepada maharaja Austria, termasuk pembentukan kesatuan semua wilayah Croatia (Croatia-Slavonia, Istria dan Dalmatia), penyusunan semula persekutuan negeri-negeri di bawah mahkota imperial Habsburg, pemisahan Croatia dari Kerajaan Hungary, penghapusan perhambaan tani, hak sivil sepenuhnya dan kesamarataan bangsa-bangsa. Parlimen Croatia juga membantah dasar Magyarisasi yang cuba dibawa oleh kerajaan Hungary.
Namun, atas desakan daripada kerajaan Hungary, kerajaan imperial Austria memecat Jelačić daripada jawatan Ban Croatia pada 10 Jun 1848, tetapi Jelačić enggan melepaskan kekuasaannya di Croatia, pada masa yang sama masih menyatakan kesetiaannya kepada maharaja Austria. Dengan itu, kerajaan Hungary menganggap Croatia sebagai ancaman kepada usaha pembaharuannya yang baru sahaja bermula pada masa itu.
Di wilayah Hungary Hulu (iaitu Slovakia Barat hari ini) yang terletak di bahagian utara Hungary dengan hampir 60% penduduknya merupakan orang Slovak, ancaman Magyarisasi semakin menjadi-jadi selepas tercetusnya Revolusi Hungary pada bulan Mac 1848, dan golongan nasionalis Slovak juga mula mengatur langkah mereka. Di daerah Hont, Janko Kráľ (1822-1876) dan Ján Rotarides (1822-1900), dua orang aktivis nasionalis Slovak, ditahan oleh pihak berkuasa kerana menuntut pengiktirafan bahasa Slovak dalam urusan kerajaan dan sekolah, di samping menghasut golongan petani untuk memberontak terhadap golongan tuan tanah feudal dan menghapuskan sistem perhambaan tani.

Pada 10 Mei 1848, atas inisiatif Ján Francisci-Rimavský (1822-1905) dan Štefan Marko Daxner (1822-1891), sebuah mesyuarat diadakan di Liptovský Mikuláš, dan dihadiri oleh 30 orang aktivis nasionalis Slovak, termasuk Michal Miloslav Hodža (1811-1870), Ľudovít Štúr (1815-1856), Jozef Miloslav Hurban (1817-1888). Mereka mengemukakan sebuah manifesto yang dikenali sebagai “Tuntutan-tuntutan Bangsa Slovak” (Žiadosti slovenského národa) dan mengandungi 14 perkara, antaranya: kesamarataan dan kewujudan bersama persaudaraan semua bangsa di Hungary; transformasi Hungary kepada sebuah negara dinyahpusatkan dengan setiap bangsa mempunyai parlimen sendiri dan perwakilan yang sama rata dalam Parlimen Hungary; pengiktirafan bahasa Slovak sebagai bahasa rasmi di pejabat kerajaan dan sekolah di tanah Slovak; penubuhan Pengawal Kebangsaan Slovak; hak mengundi penuh untuk semua warganegara dewasa; pemansuhan undang-undang yang menyekat kebebasan akhbar, kebebasan berhimpun dan kebebasan berpersatuan; reformasi terhadap sistem pemilikan tanah dengan mengembalikan tanah yang dirampas daripada golongan petani tempatan oleh golongan bangsawan Magyar; dan sebagainya. Kerajaan Hungary di Buda-Pest bukan sahaja tidak melayan tuntutan-tuntutan itu, sebaliknya mengisytihar darurat di wilayah Hungary Hulu dan mengeluarkan waran tangkap terhadap Hodža, Štúr dan Hurban.
Di Negeri Keputeraan Transilvania yang diduduki oleh golongan bangsawan Magyar yang menguasai diet tempatan dan kira-kira 2.5 juta orang berbangsa Romania, golongan nasionalis Romania berhimpun untuk merangka petisyen mereka yang menuntut pembaharuan, perlindungan, hak sivil, penghapusan perhambaan tani, perwakilan orang Romania dalam diet, pembentukan militia dan sebagainya. Pada 15-17 April 1848, lebih 40,000 orang Romania menyertai sebuah perhimpunan di Blaj untuk meratifikasi tuntutan-tuntutan itu dan merancang untuk menyerahkan petisyen itu kepada Diet Transilvania dan maharaja Austria. Perhimpunan itu turut disertai oleh Avram Iancu (1824-1872), seorang peguam berketurunan Romania di Transilvania, bersama-sama Ioan Buteanu (1821-1849), seorang pegawai pentadbir di daerah Zarand, dua orang tokoh pemimpin nasionalis Romania yang semakin berpengaruh pada masa itu.
Diet Transilvania yang majoriti ahli perwakilannya merupakan golongan bangsawan Magyar itu tidak mempedulikan tuntutan-tuntuan yang dikemukakan oleh golongan nasionalis Romania, sebaliknya mengundi untuk mendukung penyatuan semula dengan Hungary pada 30 Mei 1848. Keputusan itu mencetuskan bantahan yang lebih hebat lagi daripada masyarakat berbangsa Romania dan Jerman Sachsen di Transilvania. Walaupun kerajaan imperial Austria berniat untuk melaga-lagakan masyarakat berbangsa Romania di Transilvania dengan masyarakat Magyar di Hungary, oleh sebab masih ragu-ragu tentang peluangnya mematahkan Revolusi Hungary, Maharaja Ferdinand I terpaksa berkompromi dengan kerajaan Hungary terlebih dahulu dan mempersetujui penyatuan Hungary-Transilvania pada 10 Jun 1848. Apabila wakil masyarakat Romania membawa tuntutan-tuntutan mereka kepada kerajaan Hungary di Buda-Pest, mereka hanya diberitahu bahawa hak mereka sudah terjamin di bawah Undang-undang April tanpa memberi perhatian serius kepada tuntutan-tuntutan mereka.

Di wilayah Vojvodina dengan hampir separuh penduduknya berbangsa Serb, pemimpin-pemimpin Serb mengadakan perhimpunan kebangsaan Serb di Sremski Karlovci pada 13-15 Mei 1848, dikenali sebagai “Perhimpunan Mei”. Perhimpunan Mei memutuskan untuk mengisytihar pembentukan Vojvodina Serbia sebagai sebuah wilayah berautonomi di bawah Habsburg, dan Vojvodina Serbia bersedia untuk membentuk perikatan politik dengan Kerajaan Bertiga Croatia, Slovania dan Dalmatia. Perhimpunan Mei juga melantik perwakilan untuk menghadiri Kongres Slav di Prague pada bulan Jun 1848 (yang kemudiannya disuraikan oleh kerajaan imperialis Austria semasa ia menumpaskan Pemberontakan Prague itu).
Stevan Šupljikac (1786-1848) dipilih sebagai Voivode, iaitu ketua tentera dan sivil di wilayah Vojvodina Serbia. Sebuah Jawatankuasa Kebangsaan ditubuhkan sebagai kerajaan baharu Vojvodina Serbia. Kerajaan Hungary cuba mematahkan gerakan nasionalis Serb dengan kekerasan, maka mencetuskan “Pemberontakan Serbia” (1848-1849) pada bulan Jun 1848. Pasukan sukarelawan dari Negeri Keputeraan Serbia yang berjiranan dengan wilayah Vojvodina bergegas ke situ untuk membantu golongan pemberontak Serb dalam pertempuran melawan kerajaan Hungary.

Pilihan raya Parlimen Hungary yang diadakan pada bulan Jun 1848 menyaksikan 75% ahli parlimen yang dipilih itu terdiri daripada golongan bangsawan pemilik tanah dan elit berpendidikan tinggi, selain golongan borjuis yang kaya. Komposisi itu hampir serupa dengan Parlimen Hungary yang lama, dengan golongan radikal hampir tiada perwakilan dalamnya. Sándor Petőfi juga gagal dipilih kerana seruannya untuk penubuhan sebuah republik menakutkan golongan liberal moderat. Keputusan itu yang memperkukuhkan kekuasaan kerajaan pimpinan Lajos Batthyány di samping merangsang semangat untuk liberalisasi dan Magyarisasi yang didukung oleh Lajos Kossuth.
Pada masa yang sama, golongan elit politik liberal di Hungary cuba berdamai semula dengan kerajaan imperial di Vienna. Oleh itu, pada 11 Julai 1848, semasa Parlimen Hungary yang baharu itu bersidang, Lajos Kossuth mencadangkan untuk membekalkan 40,000 orang askar Hungary kepada tentera Austria yang sedang berperang di Itali pada masa itu, tambahan kepada askar-askar Hungary yang sudah berkhidmat dalam tentera imperial Austria. Cadangan itu mengejutkan dan mengecewakan ramai orang, kerana Kossuth pernah berkata sebelum itu bahawa askar-askar Hungary tidak akan digunakan untuk menindas bangsa-bangsa lain. Pertimbangan golongan elit liberal Hungary pada masa itu adalah tindakan itu boleh menunjukkan kepada golongan pemerintah di Vienna bahawa Hungary boleh dipercayai, sementara penempatan lebih banyak askar Hungary di wilayah Lombardo-Veneto boleh digunakan untuk menyerang Croatia jika perlu.

Namun, kerajaan imperial Austria menganggap kerajaan Hungary sebagai ancaman yang lebih besar dan langsung tiada niat untuk bekerjasama secara erat dengannya. Malah, kerajaan imperial Austria cuba mempergunakan ketidakpuasan hati masyarakat etnik minoriti di Hungary dengan menghasut mereka supaya terus menentang kerajaan Hungary yang diterajui oleh orang Magyar, dan menghancurkan Revolusi Hungary yang menggugat kekuasaan imperial Austria.
Walaupun Josip Jelačić dilucutkan jawatannya sebagai Ban Croatia pada bulan Jun 1848, Menteri Perang Austria masih menyalurkan dana kepadanya untuk membiayai tentera imperial yang diperintahnya di Croatia, kerana kerajaan Hungary enggan menyalurkan dana sehingga mereka diberi jaminan bahawa tentera imperial di Croatia tidak akan digunakan untuk menyerang Hungary. Menjelang bulan September 1848, tentera di bawah perintah Jelačić mencecah hampir 50,000 orang. Kerajaan imperial Austria mula mendorong Jelačić untuk berperang dengan Hungary, sementara itu juga memberi arahan kepada kerajaan Hungary di Buda-Pest untuk menghentikan rancangan pembentukan tentera Hungary. Pada 4 September 1848, Maharaja Ferdinand I memulihkan jawatan Jelačić sebagai Ban Croatia. Pada 11 September 1848, tentera yang diketuai oleh Josip Jelačić menyeberangi Sungai Drava dan melancarkan serangan ke atas Hungary, maka mencetuskan “Perang Kemerdekaan Hungary” (1848-1849).

Karl von Urban (1802-1877), seorang komander tentera Austria di Transilvania, memanggil pemimpin-pemimpin dari semua daerah di wilayah itu ke markasnya di Năsăud pada 10 September 1848 untuk menawarkan perlindungan kepada mereka yang menolak pengerahan ke dalam tentera Hungary dan golongan tuan tanah yang bimbang tentang pemberontakan petani. Menjelang 19 September 1848, 918 buah komuniti kampung di wilayah Transilvania menjauhkan diri mereka daripada Hungary dan menyokong tindakan kekuasaan imperial Austria yang kontra-revolusi.
Memandangkan usahanya untuk mengelakkan konflik bersenjata dengan Croatia gagal, Lajos Batthyány dan kerajaannya meletak jawatan. Archduke Stephan, Palatin Hungary, meminta Batthyány untuk kekal sebagai Perdana Menteri dan cuba membentuk kerajaan baharu. Pada 21 September 1848, Parlimen Hungary menubuhkan Jawatankuasa Pertahanan Kebangsaan yang dianggotai oleh 6 orang, dengan Lajos Kossuth sebagai Presiden. Jawatankuasa Pertahanan Kebangsaan berusaha keras dan bersungguh-sungguh untuk membina sebuah tentera kebangsaan (dikenali sebagai Honvéd) yang dapat menangkis serangan musuh. Batthyány cuba meminta Palatin Archduke Stephan untuk menjadi ketua komander tentera Hungary, tetapi oleh sebab mendapat arahan daripada maharaja Austria, Archduke Stephan meletak jawatannya sebagai Palatin dan meninggalkan Hungary.

Dalam satu usaha untuk mencari penyelesaian secara aman, kerajaan imperial di Vienna melantik Marsyal Franz Philipp von Lamberg sebagai pesuruhjaya imperial dan ketua komander kepada semua tentera di Hungary. Pada 27 September 1848, semasa Lamberg dalam perjalanannya ke Buda-Pest, Parlimen Hungary mengisytihar kesetiaannya kepada perlembagaan dan Kossuth memberi isyarat kepada tentera Hungary untuk tidak mematuhi arahan Lamberg. Pada 28 September 1848, Lamberg yang baru tiba di Buda-Pest disekat, dikepung, diserang dan dipukul sampai mati oleh sekumpulan penunjuk perasaan warga Hungary yang marah.
Menjelang penghujung bulan September 1848, Hungary menghadapi ancaman serangan daripada beberapa arah: tentera Croatia yang diketuai oleh Jelačić di bahagian selatan; tentera Austria yang diketuai oleh Karl von Urban bersama golongan pemberontak yang dipimpin oleh Avram Iancu di Transilvania di bahagian timur; golongan pemberontak Slovak di bahagian utara; golongan pemberontak Serb di bahagian tenggara; dan tentera utama Austria yang di bawah perintah ketua komander Alfred Windisch-Grätz di bahagian barat. Walau bagaimanapun, tentera Hungary mencapai kemenangan awal apabila menewaskan tentera Croatia yang diketuai oleh Jelačić dalam Pertempuran Pákozd pada 29 September 1848. Kerajaan imperial Austria mengisytihar perang ke atas Hungary secara rasminya pada 3 Oktober 1848.

Lajos Batthyány meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Lajos Kossuth pada 2 Oktober 1848. Jawatankuasa Pertahanan Kebangsaan didominasi oleh ahli-ahli parlimen yang lebih radikal dengan Kossuth sebagai pemimpin utama. Namun, Kossuth menjemput 6 orang ahli parlimen yang liberal untuk menyertai mereka supaya membentuk sebuah kerajaan perpaduan dalam keadaan genting. Dengan itu, golongan liberal dan golongan radikal bekerjasama semula untuk menghadapi ancaman musuh bersama mereka. Mereka bergabung tenaga untuk mempertahankan Undang-undang April dan Hungary daripada serangan kontra-revolusi. Sándor Petőfi dan kebanyakan golongan radikal menyertai tentera Hungary untuk berjuang demi pembebasan nasional.
Selepas pemberontakan warga Vienna yang cuba menghalang pengerahan tentera Austria ke Hungary dipatahkan secara ganas oleh tentera yang dipimpin oleh Windisch-Grätz dengan bantuan daripada Jelačić dari Croatia, kerajaan imperial Austria dapat menumpukan kekuatan tenteranya untuk menghancurkan Hungary sekali gus.
Atas desakan golongan elit konservatif reaksioner seperti Alfred Windisch-Grätz, Maharaja Ferdinand I yang melarikan diri dua kali dari Vienna itu melepaskan takhtanya kepada anak saudaranya, Franz Joseph I, untuk menjadi maharaja Austria yang baharu pada 2 Disember 1848. Dengan itu, golongan konservatif reaksioner mendapat semangat baharu dalam mempertingkatkan usaha mereka untuk merampas balik Empayar Austria daripada golongan revolusioner yang menggugat kedudukan kuasa mereka sepanjang tahun 1848.

Selepas menaiki takhta, Maharaja Franz Joseph I terus membatalkan semua janji yang dibuat oleh pakciknya Ferdinand I kepada pemimpin-pemimpin Hungary, mengisytihar kerajaan Hungary di Buda-Pest sebagai pemberontak, dan menyenaraikan kebanyakan pemimpin dalam kerajaan Hungary sebagai musuh negara. Tentera Austria yang diketuai oleh Windisch-Grätz dengan kekuatan 70,000 orang menyerang Hungary dari barat dan mara menuju Buda-Pest.
Pada masa yang sama, Hungary menghadapi pemberontakan masyarakat bukan Magyar dan perang saudara yang berlarutan. Di wilayah Transilvania, golongan petani memberontak terhadap golongan tuan tanah Magyar, orang Romania dan orang Magyar di pekan-pekan saling serang-menyerang dengan ratusan orang terbunuh; di wilayah Vojvodina, orang Serb saling bunuh-membunuh dengan orang Magyar… Golongan pemberontak dalam kalangan masyarakat Serb, Slovak dan Romania, ataupun orang Croat yang berjuang di bawah perintah Josip Jelačić, ingin hendak membebaskan diri mereka daripada pemerintahan Hungary tetapi masih sudi kekal di bawah kekuasaan Empayar Austria.

Pada 30 Disember 1848, tentera Hungary mengalami kekalahan teruk di tangan tentera gabungan Austria-Croatia yang dipimpin oleh Josip Jelačić dalam “Pertempuran Mór”. Dengan tentera imperial Austria mendekati Buda-Pest, Kossuth dan Jawatankuasa Pertahanan Kebangsaan berpindah keluar dari ibu negara Hungary itu. Kerajaan Hungary dan Parlimen Hungary beralih ke Debrecen yang terletak di kawasan pedalaman kira-kira 200 km dari Buda-Pest. Pada 5 Januari 1849, tentera imperial Austria menawan bandar Buda-Pest. Lajos Batthyány cuba berunding dengan Windisch-Grätz, tetapi tidak dilayan oleh Windisch-Grätz, sebaliknya ditangkap.
Parlimen Hungary bersidang semula di Debrecen pada 9 Januari 1849. Hanya 145 daripada 415 orang ahli perwakilan hadir dalam sesi itu, namun angka itu kemudiannya meningkat kepada lebih 300 orang. Ramai dalam kalangan ahli parlimen yang bersidang semula itu masih mahu berunding dengan pihak Austria. Namun, Kossuth dan sekutu-sekutunya menyedari bahawa sudah tiada lagi harapan untuk mempertahankan Undang-undang April dalam kerangka Empayar Austria dan berdamai dengan kerajaan imperial Austria.

Jawatankuasa Pertahanan Kebangsaan mengorganisasikan ekonomi perang dan mengusahakan pengerahan tenaga besar-besaran untuk memantapkan kekuatan tentera Hungary. Tentera Hungary disusun semula di bawah kepimpinan Artúr Görgei (1818-1916), seorang jeneral yang pada awalnya ahli sains kimia dan hanya menyertai tentera Hungary pada bulan Mei 1848. Józef Bem, seorang pegawai tentera dari Poland yang pernah memimpin golongan pemberontak dalam mempertahankan bandar Vienna pada bulan Oktober 1848, turut menyertai tentera Hungary.
Pada 14 April 1849, Parlimen Hungary yang bersidang di Debrecen meluluskan “Perisytiharan Kemerdekaan Hungary” yang dibentangkan oleh Lajos Kossuth. “Kerabat Habsburg-Lorraine telah kehilangan haknya ke atas takhta Hungary,” begitu tulisnya. “Hungary, bersama Transilvania, yang bersatu secara sah, dan wilayah-wilayah naungannya, dengan ini diisytihar sebagai sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat. Penyatuan wilayah negara ini diisytihar sebagai tidak boleh dicabuli, dan wilayahnya tidak boleh dipisahkan.”

Tentera imperial Austria mengalami siri kekalahan dalam Kempen Musim Bunga yang dilancarkan oleh tentera Hungary dari bulan Februari hingga Mei 1849, seperti Pertempuran Branyiszkó (4 Februari 1849), Pertempuran Piski (9 Februari 1849), Pertempuran Tápióbicske (4 April 1849), Pertempuran Isaszeg (6 April 1849), Pertempuran Vác Pertama (10 April 1849), Pertempuran Nagysalló (19 April 1849) dan Pertempuran Komárom Pertama (26 April 1849). Tentera Hungary menawan semula bandar Buda pada 21 Mei 1849 dan bersiap sedia untuk mempertahankannya daripada serangan balas tentera Austria.
Perang Kemerdekaan Itali Pertama
Revolusi Mac di Vienna dan pemberontakan di Milan serta Venezia pada bulan Mac 1848, telah menyemarakkan imaginasi golongan patriotik Itali di seluruh semenanjung itu. Pemisahan negeri Lombardo-Veneto dari Empayar Austria membawa makna kejatuhan hegemoni Dinasti Habsburg di wilayah-wilayah lain di Itali.
Selepas Raja Carlo Alberto dari Piedmont-Sardinia mengisytihar perang terhadap Empayar Austria pada 23 Mac 1848, tentera Piedmont-Sardinia menyeberangi Sungai Ticino dan memasuki wilayah Lombardia tanpa menghadapi penentangan hebat daripada tentera Austria pada awalnya kerana Fil Marsyal Joseph Radetzky von Radetz mengundurkan kebanyakan tenteranya ke Quadrilatero selepas gagal menawan semula bandar Milan. Tentera Piedmont-Sardinia disambut meriah apabila memasuki bandar Milan pada 26 Mac 1848.

Dengan melancarkan perang ke atas Austria, Raja Carlo Alberto berhasrat untuk merebut inisiatif supaya menghalang dominasi golongan republikan dan golongan demokrat radikal dalam perjuangan bersenjata menentang Austria, di samping cuba mengelakkan revolusi di dalam Piedmont-Sardinia. Negeri-negeri lain di Semenanjung Itali juga mengerahkan tentera untuk membantu Piedmont-Sardinia, termasuk Negeri-negeri Paus, Toscana dan Kerajaan Dua Sicilia.
Namun, golongan pemerintah di negeri-negeri Itali yang berbeza mempunyai keraguan masing-masing, kerana kebanyakan mereka masih merupakan boneka pemerintah Habsburg, di samping wujudnya kebimbangan tentang Piedmont-Sardinia akan mendominasi Itali jika ia menang, dan gerakan Risorgimento mungkin membawa kemusnahan kepada susunan masyarakat lama. Mereka terpaksa mengerahkan tentera untuk membantu Raja Carlo Alberto dari Piedmont-Sardinia kerana desakan rakyat yang hebat di negeri masing-masing.

Raja Ferdinando II dari Dua Sicilia, yang sudah kehilangan Pulau Sicilia pada bulan Januari 1848 oleh sebab pemberontakan rakyat di situ, dengan penuh teragak-agak mengumumkan pada 7 April 1848 bahawa dia akan menghantar tentera sebanyak 40,000 orang yang dipimpin oleh Jeneral Guglielmo Pepe (1783-1855), seorang pemimpin Carbonari yang pernah hidup dalam buangan kerana terlibat dalam Revolusi 1820 dan pulang ke Napoli pada tahun 1848 selepas penggubalan perlembagaan baharu.
Di dua buah negeri perdemangan yang kecil, Parma dan Modena, penduduk-penduduk di situ mengorganisasi pasukan sukarelawan mereka sendiri untuk menyertai perang terhadap Austria. Pemerintah di dua buah negeri itu tidak mahu dikaitkan langsung dengan usaha menentang Empayar Austria, dan mereka melarikan diri dari ibu negeri masing-masing. Kerajaan sementara ditubuhkan di situ dan bersedia untuk diilhakkan oleh Kerajaan Piedmont-Sardinia.

Giuseppe Mazzini, yang hidup dalam buangan sejak tahun 1837, bergegas pulang ke Itali apabila menerima berita tentang pemberontakan “Lima Hari Milan”, dan tiba di Milan pada 7 April 1848. Walaupun Mazzini seorang republikan yang tegar, dia sudi membentuk perikatan patriotik dengan Raja Carlo Alberto demi usaha membebaskan Itali daripada kekuasaan Habsburg dan mencapai matlamat Risorgimento, iaitu penyatuan Itali.
Selepas mengilhakkan Parma dan Modena, tentera Kerajaan Piedmont-Sardinia memenangi beberapa pertempuran terhadap tentera Austria sebelum mengalami kekalahan di medan perang. Pius IX dari Negeri-negeri Paus, Demang Besar Leopoldo II dari Toscana dan Raja Ferdinando II dari Dua Sicilia yang pada awalnya menghantar tentera untuk menyokong tentera Piedmont-Sardinia, kemudiannya tergesa-gesa menarik balik tentera mereka.
Dalam ucapannya pada 29 April 1848, Paus Pius IX menyatakan keengganannya untuk menyokong gerakan nasionalis Itali yang menentang Empayar Austria yang juga beragama Katolik. Kenyataan Pius IX itu menjejaskan kredibilitinya dalam kalangan golongan Patriot Itali yang menyokongnya pada awalnya.

Pada 15 Mei 1848, tercetusnya pertempuran jalanan di bandar Napoli apabila Raja Ferdinando II dari Dua Sicilia mengerahkan tentera untuk mematahkan golongan radikal dan golongan pekerja yang memprotes terhadap tindakannya yang cuba melengah-lengahkan usaha pembaharuan perlembagaan. Raja Ferdinando II mengisytihar darurat dan membubarkan parlimen. Dengan itu, ruang yang dibuka untuk kerajaan berperlembagaan di Kerajaan Dua Sicilia ditutup sepenuhnya selepas tiga bulan. Raja Ferdinando II juga mengarahkan tentera yang dihantar ke Lombardo-Veneto itu untuk pulang ke Napoli supaya dapat digunakan untuk menawan semula Pulau Sicilia yang masih dikuasai oleh golongan pemberontak sejak bulan Januari 1848. Walau bagaimanapun, Guglielmo Pepe mengingkari arahan dan memimpin askar-askar yang sudi mengikutnya untuk terus memberi bantuan kepada tentera Piedmont-Sardinia.
Di Milan, walaupun mendapat penentangan daripada golongan radikal, pemimpin-pemimpin liberal di situ bersedia untuk menggabungkan wilayah Lombardia dengan Piedmont-Sardinia. Golongan liberal mengumumkan pada 15 Mei 1848 bahawa referendum demokratik mengenai isu penggabungan Lombardia dengan Piedmont-Sardinia akan diadakan. Namun, apabila kertas mengundi referendum itu diedarkan, soalan yang ditanya adalah sama ada Lombardia harus bergabung dengan Piedmont-Sardinia serta-merta atau selepas perang tamat, tanpa pilihan yang menolak penggabungan. Golongan liberal juga berkempen bahawa undian itu adalah memilih antara Raja Carlo Alberto dan Austria. Pendekatan itu mencetuskan kemarahan golongan republikan di Milan. Pada 29 Mei 1848, referendum di Milan membawa keputusan kira-kira 560,000 undi menyokong penggabungan serta-merta sementara kira-kira 700 undi untuk menunggu selepas tamatnya perang. Dengan itu, selepas membebaskan diri daripada pemerintahan Dinasti Habsburg, Lombardia bersedia menyerahkan dirinya kepada pemerintahan Dinasti Savoia.
Apabila tentera bantuan yang dihantar dari Austria sampai di negeri Lombardo-Veneto, Fil Marsyal Joseph Radetzky von Radetz menyusun semula tentera yang diperintahnya dan melancarkan serangan balas secara besar-besaran ke atas tentera Piedmont-Sardinia mulai penghujung bulan Mei 1848. Fil Marsyal Joseph Radetzky von Radetz mara ke arah barat daya pada 29 Mei 1848 dan menewaskan tentera bantuan yang dihantar oleh Toscana.

Tentera Piedmont-Sardinia menewaskan tentera Austria dalam Pertempuran Goito pada 30 Mei 1848 dan menawan Peschiera, tetapi Raja Carlo Alberto bergerak dengan perlahan dan ia memberi ruang kepada Radetzky untuk mara ke arah timur laut. Pada 10 Jun 1848, tentera Austria menyerang Vicenza yang dikuasai oleh Republik San Marco dan dipertahankan oleh tentera Negeri-negeri Paus di bawah perintah Jeneral Giovanni Durando (1804-1869) yang enggan mematuhi arahan Paus Pius IX untuk tidak berperang dengan Austria. Oleh sebab tidak dapat menangkis serangan yang hebat, Durando menyerah kalah dan Radetzky membenarkan tentera Negeri-negeri Paus meninggalkan Vicenza dengan kelengkapan senjata penuh, tetapi dengan syarat mereka perlu berundur keluar dari wilayah Lombardo-Veneto.
Jeneral Guglielmo Pepe yang memimpin tentera dengan hanya 2,000 orang menyeberangi Sungai Po pada 17 Jun 1848 dan memasuki wilayah Veneto, iaitu bahagian timur Lombardo-Veneto. Namun, pada masa itu, sudah tiada lagi tentera Itali yang lain di wilayah itu, dan tentera Austria memiliki kelebihan besar di wilayah Veneto. Pepe memimpin tenteranya ke bandar Venezia untuk meletakkan dirinya di bawah perintah Republik San Marco.

Menjelang penghujung bulan Jun 1848, hampir semua daerah di tanah besar wilayah Veneto memutuskan untuk bergabung dengan Piedmont-Sardinia, maka bandar Venezia diasingkan secara politik pada ketika menghadapi ancaman daripada tentera Austria. Oleh itu, pada 4 Julai 1848, Perhimpunan Venezia mengundi dengan majoriti besar (127 undi sokong, 6 undi tolak) untuk bergabung dengan Piedmont-Sardinia. Dengan itu, Raja Carlo Alberto menjadi raja kepada seluruh Itali Utara, tetapi hanya secara teori dan tidak akan menjadi realiti.
Menjelang hujung bulan Julai 1848, Fil Marsyal Radetzky menumpukan tenteranya untuk menyerang tentera Piedmont-Sardinia. Tentera Piedmont-Sardinia ditewaskan oleh tentera Austria dalam Pertempuran Custoza pada 25 Julai 1848 dan Pertempuran Volta Mantovana pada 27 Julai 1848, sehingga terpaksa berundur sepenuhnya ke Milan. Dengan kekalahan di medan perang dan tentera bantuan yang dijanjikan oleh negeri-negeri lain di Itali dipatahkan atau tidak kesampaian, Raja Carlo Alberto mengadakan rundingan rahsia dengan Radetzky dan mencapai persetujuan gencatan senjata. Pada 6 Ogos 1848, tentera Piedmont-Sardinia berundur dari Milan dan hampir separuh daripada penduduk Milan mengikut bersama sebagai pelarian daripada perang kemerdekaan yang gagal. Giuseppe Mazzini tidak mengikut orang lain ke Piedmont di selatan tetapi menghala utara pergi ke Switzerland bersama pengikut-pengikutnya untuk mewujudkan pangkalan di situ. Radetzky dan tentera Austria menduduki semula bandar Milan sehari kemudian.

Kemenangan Radetzky terhadap tentera Piedmont-Sardinia dan “sekutunya” yang tidak begitu boleh dipercayai itu telah mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh Empayar Austria dengan hebatnya, maka membolehkan golongan pemerintah Habsburg untuk menumpukan perhatian kepada usaha memadamkan api revolusi di tempat lain seperti di Vienna dan Hungary. Untuk meraikan kemenangan tentera pimpinan Fil Marsyal Radetzky dalam Pertempuran Custoza yang membawa kepada pengunduran tentera Piedmont-Sardia dari wilayah Lombardo-Veneto, Johann Strauss I, seorang komposer muzik yang terkenal di Austria pada masa itu, mencipta sebuah lagu perbarisan yang terkenal, Radetzky-Marsch, dan dipersembahkan secara terbuka buat pertama kalinya pada 31 Ogos 1848.
Kerajaan-kerajaan liberal di Semenanjung Itali, yang ditubuhkan pada bulan Februari-Mac 1848 dan menyokong perang yang diterajui oleh Raja Carlo Alberto, telah menerima tamparan hebat kerana kekalahan tentera Piedmont-Sardinia dan pengundurannya dari Lombardo-Veneto. Kredibiliti golongan monarkis liberal yang mendukung penyatuan Itali turut terjejas dengan teruknya. Oleh itu, Semenanjung Itali terbuka kepada pertarungan antara golongan republikan radikal dan golongan konservatif yang hendak memulihkan status quo sebelum tahun 1848.

Di Piedmont-Sardinia, sebuah kabinet menteri yang baru-baru ditubuhkan pada masa itu, dengan Gabrio Casati (salah seorang pemimpin semasa pemberontakan “Lima Hari Milan”) sebagai Perdana Menteri, terpaksa meletak jawatan kerana desakan hebat daripada orang ramai. Golongan radikal di Genova, salah sebuah bandar terbesar di dalam negeri Kerajaan Piedmont-Sardinia, mula mengorganisasi diri mereka untuk mendesak Raja Carlo Alberto supaya meneruskan perang dengan Austria.
Di Toscana, kerajaan liberal yang dilantik pada bulan Mac 1848 telah ditumbangkan selepas pelajar-pelajar, askar-askar yang kembali dari medan perang dan golongan republikan merusuh di bandar Firenze. Pada 23 Ogos 1848, rusuhan tercetus di bandar pelabuhan Livorno selepas seorang pemimpin radikal ditahan oleh pihak berkuasa. Walaupun kerajaan dapat memulihkan ketenteraman, golongan radikal di Toscana, dengan ramai yang sehaluan dengan pandangan Giuseppe Mazzini, menyeru untuk mengadakan konvensyen perlembagaan pan-Itali yang berdasarkan prinsip-prinsip republikan.
Giuseppe Mazzini, yang hidup dalam buangan di Switzerland selepas Milan ditawan semula oleh Radetzky, menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Pertahanan Itali untuk menyelaraskan tindakan golongan radikal di Semenanjung Itali. Mazzini menyeru untuk “perang rakyat”.
“Gerakan Itali pertama sekali ialah sebuah gerakan nasional, sebuah gerakan popular yang bertujuan untuk mentakrif, mewakili dan membentuk kehidupan kolektif sendiri. Ia harus dikekalkan dan dimenangi dengan perang rakyat, dengan perang hebat yang menggabungkan semua kuasa nasional dari satu tempat ke tempat lain di Itali,” begitu tulisnya Mazzini. “Pemikiran dinasti yang sempit bercanggah dengan pemikiran yang melahirkan gerakan ini. Perang diraja mempunyai tujuan yang berbeza. Oleh itu, peraturannya juga tidak sesuai dengan matlamat yang dikemukakan oleh pemberontakan ini. Ia terpaksa menghapuskan perang nasional, perang rakyat, dan dengan itu menghapuskan kemenangan pemberontakan.”

Terdapat sebuah lagi kumpulan pejuang pembebasan republikan, yang dipimpin oleh Giuseppe Garibaldi dengan keanggotaan 800 orang, menjalankan perang gerila di kawasan pedalaman Lombardia. Garibaldi hanya pulang ke Itali pada bulan Jun 1848 selepas hidup dalam buangan di Amerika Selatan sejak tahun 1836. Semasa di Amerika Selatan, Garibaldi pernah menyertai pemberontakan republikan yang hendak berpisah dari Empayar Brazil, kemudiannya mengambil bahagian dalam usaha mempertahankan Montevideo pada tahun 1842-1848 semasa Perang Saudara Uruguay. Oleh sebab Raja Carlo Alberto menolak tawaran Garibaldi untuk berjuang bersama-samanya kerana Garibaldi pernah memberontak terhadapnya malah dijatuhkan hukuman mati, Garibaldi bekerjasama Mazzini dan tidak mengikut jejak Raja Carlo Alberto untuk berundur ke Piedmont.
Selepas mendapati bahawa tiadanya lagi prospek untuk meneruskan peperangan menentang tentera Austria di wilayah Lombardia, Garibaldi menawarkan diri untuk berjuang bersama golongan pemberontak di Sicilia. Apabila Garibaldi belayar ke Livorno dan cuba mengumpulkan tentera di wilayah Toscana, dia disambut dingin oleh golongan radikal dan kerajaan tempatan di Firenze. Oleh itu, dia menukar haluan untuk pergi ke Venezia, tetapi dia disekat dalam jalanannya oleh sekumpulan tentera dari Negeri-negeri Paus semasa merentasi Pergunungan Appennino.

Dengan tentera Austria menguasai hampir semua kawasan di wilayah Veneto, tertinggal hanya bandar Venezia yang masih bertahan tetapi dikepung. Venezia menjadi simbol dan tumpuan kepada warga Itali yang masih hendak berjuang untuk melawan kekuasaan Habsburg. Kira-kira 12,000 orang imigran patriotik pergi ke Venezia, maka memperkuatkan pertahanan bandar itu dengan Jeneral Guglielmo Pepe sebagai ketua komander.
Walaupun Perhimpunan Venezia mengundi untuk bergabung dengan Piedmont-Sardinia, dengan Raja Carlo Alberto meninggalkan Lombardo-Veneto bersama tenteranya selepas mencapai gencatan senjata dengan Radetzky, penggabungan dengan Piedmont-Sardinia dipersoalkan oleh pelbagai pihak. Apabila kerajaan sementara di Venezia menerima satu rombongan suruhanjaya diraja yang mewakili Raja Carlo Alberto pada 7 Ogos 1848, golongan republikan radikal menyuarakan bantahan mereka dan mengganggu pesuruhjaya-pesuruhjaya setiap kali mereka berada di khalayak umum. Pada 10 Ogos 1848, Daniele Manin, pemimpin Venezia yang memainkan peranan utama dalam penubuhan Republik San Marco, mengetuai satu aksi protes untuk menggesa kerajaan sementara supaya memanggil semula Perhimpunan Venezia untuk memutuskan semula perkara penggabungan dengan Piedmont-Sardinia. Pada 11 Ogos 1848, kerajaan sementara bersetuju untuk memanggil persidangan Perhimpunan Venezia dan melucutkan jawatan pesuruhjaya-pesuruhjaya diraja dari Piedmont-Sardinia. Pada waktu petang hari itu, pesuruhjaya-pesuruhjaya diraja itu diserang oleh sekumpulan orang yang marah dengan mereka, tetapi diselamatkan oleh Daniele Manin yang berjaya meredakan keadaan. Kerajaan sementara melepaskan kuasanya kepada kerajaan baharu yang dipimpin oleh Manin.

Walaupun mendapat tentangan daripada golongan republikan radikal, Daniele Manin memperkukuhkan kuasanya di Venezia dengan sokongan daripada penduduk-penduduk dan Jeneral Guglielmo Pepe. Pada 2 Oktober 1848, Manin mengarahkan penahanan dan pengusiran sesetengah pemimpin radikal dengan tuduhan mereka mensabotaj usaha perang. Dia juga mengeluarkan arahan yang melarang askar-askar daripada mengambil bahagian dalam kelab-kelab politik. Namun, untuk menenangkan perasaan orang lain, Manin mengumumkan bahawa penduduk-penduduk yang bukan berasal dari Venezia diberikan hak untuk mengundi dalam pilihan raya Perhimpunan Venezia. Dengan itu, pemerintahan kediktatoran republikan Manin diperkukuhkan.
Di Rom, ibu negara Negeri-negeri Paus, pada 5 Jun 1848, Parlimen Rom yang pertama di bawah perlembagaan sivil baharu mula bersidang. Kebanyakan ahli perwakilan Parlimen Rom mendukung idea persekutuan negeri-negeri Itali dengan Paus sebagai pusat kekuasaan, namun pandangan sedemikian ditentang oleh golongan yang lebih radikal, terutamanya selepas Paus Pius IX menarik balik sokongannya kepada kempen ketenteraan Piedmont-Sardinia.
Pada bulan Julai 1848, tentera Austria yang sedang bertempur dengan tentera Piedmont-Sardinia memasuki wilayah Negeri-negeri Paus dan menduduki bandar Ferrara sekali lagi sejak penghujung tahun 1847. Golongan radikal menggesa Paus Pius IX dan Parlimen Rom untuk mengisytihar darurat. Golongan radikal menyerbu ke dalam parlimen dan mengganggu sesi persidangan. Ramai dalam kalangan golongan radikal juga pergi menyertai perang melawan tentera Austria tanpa mempedulikan arahan Paus Pius IX. Apabila berita tentang kekalahan tentera Piedmont-Sardinia dalam Pertempuran Custoza sampai di Rom, kabinet menteri yang dianggotai oleh golongan liberal meletak jawatan pada 3 Ogos 1848.

Di bahagian selatan Itali, selepas Raja Ferdinando II dari Dua Sicilia mematahkan golongan liberal dan golongan radikal secara keras pada 15 Mei 1848, dia cuba meredakan perasaan rakyat dengan berjanji bahawa kebanyakan hak sivil masih ditegakkan dan sebuah parlimen akan dibentuk pada bulan Jun 1848. Apabila parlimen yang bersidang menunjukkan kecenderungan liberal, kabinet menteri yang konservatif hanya mengabaikannya, dan tidak menghadiri sesi perbahasan. Menjelang penghujung bulan Ogos 1848, Raja Ferdinando II menumpukan usaha kepada penawanan semula Pulau Sicilia, dengan mengumpulkan tentera sebanyak 10,000 orang untuk menceroboh Pulau Sicilia. Untuk memastikan rancangannya tidak diganggu, Raja Ferdinando II menangguhkan sesi persidangan parlimen, memecat hakim-hakim dan pegawai-pegawai kerajaan yang dianggap berfahaman liberal, dan mengarahkan pengurangan peranan Pengawal Sivik Napoli.
Pada 1 September 1848, tentera kerajaan Napoli yang masih menguasai kubu di Messina, di bahagian timur laut Pulau Sicilia, mengalihkan meriam di situ menghala ke bandar Messina dan mula membedil bandar itu. Tentera Napoli sebanyak 10,000 orang itu menyeberangi Selat Messina dan mendarat di luar bandar itu. Selepas pertempuran jalanan dengan golongan militan Sicilia selama beberapa hari, tentera kerajaan Napoli menawan bandar Messina yang sudah musnah dengan teruk. Namun, kerajaan British dan Perancis yang dikejutkan dengan pertempuran itu mencampur tangan dan memaksa dua pihak untuk bersetuju dengan gencatan senjata selama 6 bulan.
Kerajaan Piedmont-Sardinia menganjurkan “kongres persekutuan”, sebuah konvensyen monarkis liberal, pada 12 Oktober 1848, di Turin, ibu negara Piedmont-Sardinia, untuk membincangkan bagaimana sebuah negara beraja Itali boleh berfungsi dengan Raja Carlo Alberto sebagai raja Itali. Konvensyen itu dihadiri oleh wakil dari wilayah-wilayah yang berada di bawah pemerintahan Raja Carlo Alberto, termasuk komuniti pelarian dari Lombardia. Kerajaan Piedmont-Sardinia juga menjemput Venezia untuk menghantar perwakilan, tetapi ditolak.
Walaupun mendapat tentangan hebat daripada orang ramai, pada bulan September 1848, Paus Pius IX melantik Pellegrino Rossi (1787-1848) sebagai Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kewangan Negeri-negeri Paus, dalam erti kata lain Perdana Menteri de facto. Pellegrino Rossi, yang berasal daripada keluarga bangsawan di wilayah Toscana, pernah berkhidmat dengan kerajaan Monarki Julai di Perancis atas jemputan François Guizot dan dilantik sebagai Duta Perancis ke Negeri-negeri Paus pada tahun 1845. Selepas kerajaan Guizot dan pemerintahan Monarki Julai dijatuhkan dalam Revolusi Februari 1848, Rossi kekal di Rom dan menjadi sebahagian golongan liberal konservatif yang tidak mahu perubahan radikal di situ. Rossi mendukung kerajaan berperlembagaan, tetapi menentang idea-idea republikan yang diperjuangkan oleh Giuseppe Mazzini. Rossi berhasrat untuk mengekalkan sebanyak mungkin perkara-perkara dalam perlembagaan yang dikemukakan oleh Paus Pius IX pada bulan Mac 1848, memastikan Negeri-negeri Paus tidak berperang dengan Austria, dan mematahkan golongan radikal di Rom. Rossi juga cuba menghubungi kerajaan-kerajaan di Piedmont-Sardinia, Toscana dan Napoli tentang cadangannya untuk sebuah persekutuan negeri-negeri Itali di bawah kepimpinan Paus.
Golongan radikal di Rom yang tidak berpuas hati dengan Pellegrino Rossi memanggilnya sebagai Guizot baharu, malah ada juga yang mengecamnya sebagai Metternich baharu. Pada masa yang sama, askar-askar yang pernah bertempur dalam perang dengan Austria di utara juga tidak berpuas hati dengan kompromi oleh golongan pemerintah di Itali terhadap kekuasaan Habsburg Austria. Pada 12 November 1848, kerajaan pimpinan Rossi melakukan penangkapan besar-besaran terhadap pemimpin-pemimpin radikal dan mengusir mereka dari bandar Rom. Di bawah penindasan yang hebat, beberapa orang pemimpin radikal yang masih tinggal itu merancang untuk membunuh Rossi.
Pada 15 November 1848, semasa Pellegrino Rossi menghadiri persidangan Parlimen Rom di bangunan Palazzo della Cancelleria, dia ditikam mati oleh sekumpulan penyerang. Golongan radikal mengadakan aksi demonstrasi di jalanan Rom dengan tuntutan untuk sebuah kerajaan demokratik yang baharu, perlembagaan yang baharu dan perisytiharan perang ke atas Austria. Mereka meraikan pembunuh Rossi sebagai Marcus Junius Brutus (yang memimpin pembunuhan Julius Caesar) yang baharu. Semua menteri lain dalam kabinet meletak jawatan.

Pada 16 November 1848, demonstrasi selanjut diadakan di Rom, sementara Parlimen Rom tidak dapat berfungsi kerana golongan demonstran terus menyerbu ke dalam dewan persidangan. Kebanyakan ahli perwakilan Parlimen Rom sama ada meletak jawatan secara rasmi atau terus meninggalkan bandar Rom. Pada waktu petang hari itu, kira-kira 6,000 orang demonstran yang bersenjata berhimpun di hadapan istana kediaman Paus. Apabila sesetengah demonstran cuba membakar salah sebuah pintu pagar, Pengawal Swiss yang menjaga istana itu melepaskan tembakan amaran, tetapi golongan demonstran yang bersenapang membalas dengan tembakan ke arah bangunan istana. Paus Pius IX yang pada asalnya enggan mempertimbangkan tuntutan demonstran itu terpaksa bersetuju untuk melantik pemimpin-pemimpin radikal ke dalam kabinet menteri. Kabinet menteri yang baharu itu mengemukakan platform baharu yang termasuk pembentukan perhimpunan perlembagaan yang baharu dan memperbaharui perang ke atas Austria untuk membebaskan negeri-negeri Itali.
Pada 24 November 1848, Paus Pius IX menyamar sebagai paderi biasa dan melarikan diri ke Gaeta yang terletak di dalam wilayah Kerajaan Dua Sicilia. Paus Pius IX mendirikan sebuah kerajaan Paus dalam buangan di situ.
Pada 12 Disember 1848, Majlis Perwakilan melantik “Majlis Negara Sementara Tertinggi” sebagai kerajaan sementara di Rom. Pada 20 Disember 1848, kerajaan sementara mengeluarkan perisytiharan bahawa ia akan menubuhkan Perhimpunan Perlembagaan Rom (Constituente Romana) untuk menggubal perlembagaan baharu bagi Negeri-negeri Paus.
Pemulihan Dinasti Bonaparte
Jeneral Louis-Eugène Cavaignac, komander tentera yang mematahkan Pemberontakan Jun di Paris dengan cara yang penuh keganasan, dilantik oleh Perhimpunan Kebangsaan sebagai Ketua Cabang Eksekutif untuk menerajui kerajaan Perancis baharu pada 28 Jun 1848. Cavaignac, yang berfahaman republikan moderat, mengenakan kawalan ke atas kelab-kelab politik, mengharamkan penerbitan akhbar-akhbar berhaluan kiri, membubarkan kompeni Pengawal Kebangsaan yang disyaki berhaluan kiri, dan menyingkirkan kebanyakan pegawai pentadbiran yang dilantik oleh Alexandre Auguste Ledru-Rollin semasa dia memegang jawatan Menteri Dalam Negeri. Bandar Paris masih berada di bawah darurat sehingga penghujung bulan Oktober 1848. Kerajaan yang diketuai oleh Cavaignac juga menutup Bengkel Kebangsaan sepenuhnya.

Selepas pematahan Pemberontakan Jun di Paris dan penindasan terhadap golongan kiri, pandangan umum masyarakat Perancis semakin cenderung ke arah konservatif. Golongan kelas menengah yang takut pada revolusi kedua atau revolusi sosial yang radikal mengalihkan sokongan mereka kepada usaha mempertahankan susunan masyarakat sedia ada. Pilihan raya kecil untuk menggantikan ahli perwakilan Perhimpunan Kebangsaan dan pilihan raya tempatan yang diadakan selepas itu kebanyakannya dimenangi oleh calon yang berfahaman konservatif.
Ahli-ahli parlimen yang konservatif membentuk sebuah perikatan yang dikenali sebagai “Parti Ketertiban” (Parti de l’Ordre). Anggota-anggota Parti Ketertiban terdiri daripada golongan Légitimiste (yang masih menyokong monarki Dinasti Bourbon), golongan Orléaniste (yang menyokong sistem raja berperlembagaan seperti yang diamalkan semasa pemerintahan Monarki Julai), golongan liberal-konservatif (yang mirip dengan politik François Guizot), golongan Kiri Dinasti (seperti Odilon Barrot yang pernah menentang Guizot) dan golongan liberal kiri tengah (seperti Adolphe Thiers dan Alexis de Tocqueville). Golongan kiri sosialis sangat lemah dengan kebanyakan pemimpin mereka sama ada mati dibunuh, dipenjarakan atau hidup dalam buangan. Golongan demokrat radikal yang dipimpin oleh Alexandre Auguste Ledru-Rollin menjadi pembangkang utama kepada kerajaan pimpinan Cavaignac.
Perlembagaan yang baharu untuk Perancis diluluskan oleh Perhimpunan Kebangsaan pada 4 November 1848. Perlembagaan Perancis 1848 mengisytihar Perancis sebagai sebuah republik demokratik. Perlembagaan itu juga mewujudkan jawatan Presiden yang dipilih secara langsung oleh rakyat, lebih kurang sama dengan model pemerintahan di Amerika Syarikat.

Selepas mendapat berita tentang Revolusi Februari 1848, Louis Napoléon Bonaparte, anak saudara Napoleon Bonaparte yang menganggap dirinya sebagai penyambung warisan Empayar Perancis Pertama dan hidup dalam buangan selepas melarikan diri dari penjara sejak tahun 1846, pulang dari England ke Perancis pada hari yang sama dengan Louis Philippe meninggalkan Perancis untuk melarikan diri ke England. Namun, Alphonse de Lamartine yang baru mengambil alih kuasa selepas Revolusi Februari 1848 bimbang tentang pengaruh waris Napoleon Bonaparte itu boleh mengganggu keadaan pada masa itu, maka merayu Louis Bonaparte untuk balik ke London sekurang-kurangnya duduk di situ sehingga selesainya pilihan raya pertama. Untuk menunjukkan “kesetiaannya” kepada rejim pemerintahan baharu, Louis Bonaparte terus pulang ke London.
Walaupun tidak berada di Perancis, Louis Bonaparte dipilih di 4 kawasan dalam pilihan raya kecil pada 4 Jun 1848. Lamartine dan sekutu-sekutunya cuba memujuk parlimen untuk menolak pemilihan Louis Bonaparte. Dalam percaturan bijak untuk mengambil hati golongan elit politik dalam parlimen, Louis Bonaparte menolak untuk mengambil kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya kecil. Oleh sebab Louis Bonaparte tidak berada di Perancis pada kebanyakan masa sepanjang tahun 1848, maka dia tidak dikaitkan dengan segala kegagalan pentadbiran kerajaan sejak bulan Februari 1848 dan namanya tidak dicemari oleh peristiwa-peristiwa yang menjatuhkan reputasi golongan elit politik daripada pelbagai aliran, malah dia dapat memposisikan dirinya sebagai “penyelamat” Perancis daripada kerajaan gagal.

Apabila Louis Bonaparte menang sekali lagi dalam pilihan raya pada bulan September 1848, dia tidak lagi dinafikan kerusinya. Oleh itu, Louis Bonaparte kembali ke Perancis pada penghujung bulan September 1848. Louis Bonaparte jarang menghadiri persidangan parlimen, tidak banyak berucap dalam parlimen dan hampir tidak mengambil bahagian dalam pengundian, kerana dia mempunyai cita-cita politik yang lebih besar, iaitu menjadi Presiden yang mempunyai kuasa besar, sesuatu yang bakal dijamin dengan Perlembagaan Perancis 1848.
Oleh sebab ramai orang dalam kalangan ahli-ahli parlimen tidak begitu senang hati dengan seorang waris Napoleon dipilih sebagai Presiden Perancis, terdapat cadangan untuk Presiden itu dipilih oleh parlimen. Namun, kebanyakan ahli parlimen berpandangan bahawa mereka perlu menegakkan komitmen pada pilihan raya demokratik yang diperjuangkan dalam Revolusi Februari 1848. Walau bagaimanapun, Lamartine dan sekutu-sekutunya berjaya memasukkan satu peruntukan (Perkara 45) dalam Perlembagaan Perancis 1848, iaitu selepas penggal 4-tahun seseorang Presiden itu tamat, dia tidak layak untuk dipilih semula bagi penggal 4-tahun akan datang. Ini bermakna bahawa tiada orang boleh menjadi Presiden Perancis secara berterusan dan seumur hidup.

Dalam pilihan raya presiden yang diadakan pada 10-11 Disember 1848, Louis Bonaparte muncul sebagai pemenang dalam pertandingan 6-penjuru dengan meraih sebanyak 5,587,759 undi (bersamaan 74.31% undi yang dibuang). Jeneral Nicolas Changarnier, calon yang mewakili golongan Légitimiste, hanya menerima kurang daripada 4,875 undi (0.07%). Alphonse de Lamartine, calon yang mewakili golongan liberal dan salah seorang pemimpin utama Revolusi Februari 1848, hanya memenangi 21,032 undi (0.28%), amat jauh kurang berbanding 1.2 juta undi yang diperolehnya pada bulan April 1848. Ini menunjukkan betapa hebatnya reputasi Lamartine terjejas dalam tempoh 7 bulan. François-Vincent Raspail, calon yang mewakili golongan kiri sosialis dan bertanding dari penjara kerana dia ditahan sejak aksi demonstrasi pada 15 Mei 1848, memperoleh 37,121 undi (0.49%). Alexandre Auguste Ledru-Rollin, calon yang mewakili golongan demokrat radikal tetapi reputasinya juga terjejas hebat kerana peranannya dalam Kerajaan Sementara pimpinan Lamartine, memperoleh 381,026 undi (5.07%). Louis-Eugène Cavaignac, calon yang mewakili golongan republikan moderat dan merupakan ketua eksekutif pada masa itu, hanya menduduki tempat kedua dengan 1,474,687 undi (19.61%), walaupun undinya lebih tiga kali ganda berbanding jumlah undi yang diperoleh 4 orang calon di belakangnya, ia masih jauh di belakang berbanding Louis Bonaparte. George Sand (1804-1876), seorang penulis novel yang aktif pada masa itu, menyifatkan Pilihan Raya Presiden Perancis sebagai memilih antara “pedang Algeria yang berdarah” (Louis-Eugène Cavaignac) dan “pedang Empayar yang berkarat” (Louis Bonaparte).
Louis Bonaparte boleh mendapat sokongan undi yang begitu besar kerana dia berjaya memperdayakan orang ramai daripada pelbagai kelas sosial dan aliran pemikiran (dari kiri ke kanan) bahawa dia mewakili kepentingan mereka semua. Louis Bonaparte mengangkat dirinya sebagai waris Empayar Napoleon yang dirindui oleh ramai orang (terutamanya apabila masyarakat mengalami krisis teruk) sebagai “zaman kegemilangan” tanpa mengingati keganasan Perang Napoleon. Bagi ramai orang, Bonapartisme bermakna sebuah kerajaan yang cekap, walaupun kuku besi. Louis Bonaparte mendapat sokongan daripada golongan kiri kerana tulisannya “Penghapusan Kemiskinan” yang mengemukakan solusi-solusi teknokratik kepada masalah rakyat miskin, dan dia bercakap tentang “kemakmuran bersama” untuk semua orang semasa berkempen. Bagi Parti Ketertiban yang berhaluan kanan, asal usul Louis Bonaparte daripada tradisi yang autoritarian menjamin bahawa dia tidak akan bertolak ansur dengan apa-apa kebangkitan golongan radikal, maka menjamin susunan masyarakat kelas yang sedia ada. Banyak undi yang diberikan kepada Louis Bonaparte juga merupakan “undi protes” terhadap kerajaan sedia ada dan golongan elit politik yang gagal menangani pelbagai masalah rakyat.

Pada 20 Disember 1848, Louis Bonaparte mengangkat sumpah sebagai Presiden Perancis Pertama di hadapan ahli-ahli perwakilan Perhimpunan Kebangsaan. Rakyat Perancis telah menggunakan hak demokratik mereka untuk memberi mandat yang besar kepada Louis Bonaparte sebagai Presiden, tetapi Louis Bonaparte juga mempergunakan mandat popular itu untuk melemahkan sistem demokrasi yang mengangkatnya ke tampuk kekuasaan. Jika penumpasan Pemberontakan Jun di Paris merupakan titik perubahan menghala ke arah kontra-revolusi, maka pemilihan Louis Bonaparte sebagai Presiden Perancis menandakan penyempurnaan kontra-revolusi itu. Dengan itu, Revolusi 1848 di Perancis menemui kegagalan muktamad.
Louis Bonaparte tidak mahu dirinya dipanggil sebagai Presiden, tetapi mahu dipanggil dengan gelaran “Presiden Putera” (prince-président). Odilon Barrot, pemimpin golongan monarkis berperlembagaan “Dinasti Kiri”, dilantik sebagai Perdana Menteri yang pertama di bawah pemerintahan Presiden Putera Louis Bonaparte; Jeneral Nicolas Changarnier, calon Légitimiste yang memperoleh undi paling sedikit, dilantik sebagai komander tentera yang menjaga bandar Paris. Adalah jelas bahawa Presiden untuk Republik Perancis Kedua itu tidak memberikan jawatan penting kepada mana-mana pemimpin republikan.
Pada 2 Disember 1851, apabila penggal kepresidenannya masih tinggal setahun, bersempena dengan ulang tahun pertabalan bapa saudaranya Napoleon I sebagai Maharaja Perancis (1804) dan kemenangan Napoleon I dalam Pertempuran Austerlitz (1805), Louis Bonaparte melancarkan rampasan kuasa untuk membolehkan dirinya memiliki kuasa diktator. Perhimpunan Kebangsaan dibubarkan, sementara ramai pemimpin pembangkang ditahan. Warga Paris cuba memberontak untuk membantah rampasan kuasa itu tetapi dipatahkan secara ganas oleh tentera yang dikerahkan oleh kerajaan, dengan kira-kira 300-400 orang dibunuh. Pemberontakan di bandar-bandar lain juga dipatahkan secara ganas. Kira-kira 26,000 orang ditangkap di seluruh negara itu, termasuk 4,000 orang di Paris sahaja. Ramai daripada tahanan itu dibuang negeri ke tanah jajahan Perancis seberang laut.

Louis Bonaparte kemudiannya mengadakan satu referendum pada 20-21 Disember 1851 untuk meluluskan perlembagaan baharu dengan pengundian yang penuh penipuan. Perlembagaan Perancis 1852 yang berkuat kuasa pada 14 Januari 1852 memberikan kuasa kediktatoran kepada Presiden dengan penggalnya selama 10 tahun dan tiadanya had penggal. Dalam pilihan raya parlimen yang diadakan pada 29 Februari 1852, semua sumber kerajaan, dari dana hingga jentera kerajaan, digunakan untuk memastikan calon-calon yang menyokong Presiden Putera Louis Bonaparte memenangi kebanyakan kerusi dalam Perhimpunan Kebangsaan.
Louis Bonaparte mengadakan satu lagi referendum pada 21-22 November 1852 untuk mendapatkan “mandat” yang membolehkannya menubuhkan semula sebuah empayar di bawah Dinasti Bonaparte. Dengan itu, pada 2 Disember 1852, iaitu setahun selepas rampasan kuasa yang membolehkannya menjadi diktator, Louis Bonaparte menaiki takhta sebagai Maharaja Perancis dengan gelaran Napoleon III, maka secara rasminya terbentuk Empayar Perancis Kedua (1851-1870).
Republik Rom dan Republik Toscana
Pada 12 Oktober 1848, Gino Capponi (1792-1876), pemimpin liberal moderat di Firenze yang merupakan salah seorang anggota suruhanjaya yang merangka perlembagaan baharu bagi Toscana dan kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri di negeri itu, meletak jawatannya kerana tidak dapat mengawal keadaan politik yang semakin bergelora di Toscana pada masa itu. Leopoldo II, Demang Besar Toscana, melantik Giuseppe Montanelli (1813-1862), seorang pemimpin demokrat radikal, untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Kerajaan yang dipimpin oleh Montanelli dibentuk pada 27 Oktober 1848, dianggotai oleh pemimpin-pemimpin republikan seperti Francesco Domenico Guerrazzi (1804-1873) sebagai Menteri Dalam Negeri, Giuseppe Mazzoni (1808-1880) sebagai Menteri Kehakiman, Pietro Augusto Adami (1812-1898) sebagai Menteri Kewangan dan Mariano d’Ayala (1808-1877) sebagai Menteri Perang. Namun, kerajaan baharu itu tidak mempunyai sokongan majoriti dalam parlimen. Majlis Agung, iaitu parlimen Toscana, dibubarkan pada 3 November 1848, dan pilihan raya diadakan pada 20 November 1848. Pengundian semula harus diadakan di beberapa buah kawasan pilihan raya kerana gangguan daripada pergolakan politik yang meluas. Perpecahan ketara wujud antara golongan monarkis berperlembagaan, golongan liberal dan golongan republikan.
Vincenzo Gioberti (1801-1851), seorang pemimpin liberal demokrat yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri Kerajaan Piedmont-Sardinia pada 16 Disember 1848, cuba berunding dengan kerajaan pimpinan Giuseppe Montanelli di Toscana untuk membentuk perikatan politik dan ketenteraan antara dua buah negeri di bahagian utara Semenanjung Itali itu. Namun, Montanelli khuatir dengan pengaruh hegemoni Piedmont-Sardinia terhadap Toscana, sementara Gioberti mempunyai perancangan campur tangan ketenteraan untuk menggantikan kerajaan yang lebih radikal di Toscana dengan sebuah kerajaan liberal yang mirip dengan kerajaan pimpinannya di Piedmont-Sardinia.
Selepas mendapat tahu tentang pergolakan di Negeri-negeri Paus yang menyaksikan Paus Pius IX melarikan diri dari Rom dan sebuah Perhimpunan Perlembagaan ditubuhkan di bandar Rom, Giuseppe Montanelli juga mengambil langkah untuk menubuhkan Perhimpunan Perlembagaan di Toscana yang dipilih secara pengundian sejagat. Pada 22 Januari 1849, Montanelli membentangkan rang undang-undang untuk mengadakan pilihan raya Perhimpunan Perlembagaan. Rang undang-undang itu diluluskan oleh kedua-dua dewan perhimpunan Toscana, dan kemudiannya Leopoldo II yang takut bahawa dia akan digulingkan jika dia tidak meluluskannya.
Namun, Leopoldo II menyelinap keluar dari Firenze untuk pergi ke Siena pada 30 Januari 1849, kemudiannya terus melarikan diri keluar dari negeri Toscana pada 7 Februari 1849, dan pergi ke Gaeta untuk menyertai Paus Pius IX yang juga melarikan diri dari negara yang diperintahnya. Selepas Leopoldo II melarikan diri, golongan demokrat radikal menubuhkan kerajaan sementara baharu di bawah pengawasan Triumvirato (Pemerintahan Bertiga) yang terdiri daripada Giuseppe Montanelli, Francesco Domenico Guerrazzi dan Giuseppe Mazzoni.
Di Rom, pilihan raya untuk Perhimpunan Perlembagaan diadakan pada 21 Januari 1849. Paus Pius IX yang melarikan diri dari Rom itu mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang mengambil bahagian dalam pilihan raya itu akan dibuang dari gereja, maka semua golongan konservatif dan kebanyakan golongan liberal moderat tidak mengundi dalam pilihan raya, dengan kurang daripada 50% pengundi yang layak keluar mengundi. Oleh itu, golongan republikan radikal mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya Perhimpunan Perlembagaan Rom. Perhimpunan Perlembagaan Rom yang dipilih itu didominasi oleh golongan borjuis dan golongan profesional kelas menengah.

Perhimpunan Perlembagaan Rom mula bersidang pada 5 Februari 1849. Walaupun golongan moderat cuba merayu pada ahli-ahli Perhimpunan Perlembagaan Rom untuk tidak melucutkan kuasa duniawi Paus, Perhimpunan Perlembagaan Rom mengundi untuk melucutkan kuasa duniawi Paus dan menubuhkan “Republik Rom” pada 9 Februari 1849. Perhimpunan Perlembagaan Rom mengisytihar bahawa “bentuk kerajaan negara Rom akan merupakan demokrasi tulen dan akan mengambil nama mulia Republik Rom”.
Perlembagaan Republik Rom yang diluluskan pada 9 Februari 1849 menjamin perkara-perkara seperti kebebasan beragama, kebebasan bersuara, hak untuk petisyen dan hak harta persendirian. Perlembagaan Republik Rom 1849 juga merupakan undang-undang perlembagaan pertama di dunia yang memansuhkan hukuman mati.
Antara mereka yang dipilih sebagai ahli perwakilan dalam Perhimpunan Perlembagaan Rom ialah Giuseppe Garibaldi dan Giuseppe Mazzini, dua orang yang tidak berada di Rom pada masa itu tetapi memang terkenal sebagai tokoh revolusioner nasionalis Itali yang diperlukan untuk memberi nafas baharu kepada Republik Rom yang baharu itu. Garibaldi telah berkeliaran tanpa hala tuju di Semenanjung Itali selama beberapa bulan sebelum itu, akhirnya terjumpa tempat yang bersedia untuk menerimanya.

Mazzini pula berada di Switzerland apabila mendapat berita tentang pemilihannya ke dalam Perhimpunan Perlembagaan Rom, dan dia terus bergegas kembali ke Itali. Dalam perjalanannya ke Rom, dia bersinggah di negeri Toscana. Apabila Giuseppe Mazzini tiba di pelabuhan Livorno, Francesco Domenico Guerrazzi, salah seorang pemimpin kerajaan radikal di Firenze mengarahkan gabenor di Livorno untuk menghalang Mazzini daripada mendarat di situ, kerana takut pada Mazzini yang boleh mengapi-apikan sentimen republikan yang radikal dan mempromosikan pandangan untuk bergabung dengan Rom. Namun, arahan itu disampaikan terlalu lewat dan Mazzini disambut meriah oleh orang ramai yang teruja dengan kedatangannya. Walaupun sama-sama berpegang pada fahaman republikan, Guerrazzi tidak berhasrat untuk bergabung dengan Republik Rom, kerana dia berpendapat bahawa golongan republikan di Rom terlalu radikal dan juga tidak mahu Firenze dibayangi Rom.
Pada 18 Februari 1849, kerajaan sementara yang radikal di Toscana mengisytihar pembentukan Republik Toscana yang bebas dan merdeka. Pada 12 Mac 1849, kerajaan sementara di Toscana memanggil pilihan raya baharu untuk membentuk Dewan Perwakilan baharu yang dianggotai 120 orang wakil rakyat dan memilih 37 orang ahli perwakilan ke dalam Perhimpunan Perlembagaan Itali. Wujudnya perbezaan pandangan antara Giuseppe Montanelli dan Francesco Domenico Guerrazzi, dua orang pemimpin dalam Triumvirato. Montanelli berhasrat untuk menggabungkan Toscana dengan Republik Rom, sementara Guerrazzi menolak idea Montanelli untuk menubuhkan Perhimpunan Perlembagaan Itali.
Di Piedmont-Sardinia, selepas mencapai persetujuan gencatan senjata dengan Fil Marsyal Radetzky dan berundur keluar dari negeri Lombardo-Veneto pada bulan Ogos 1848, di bawah desakan golongan Patriot yang hendak meneruskan usaha penyatuan Itali, Raja Carlo Alberto membuat persediaan untuk melancarkan semula perang ke atas Austria. Bagi golongan monarkis yang berkuasa di Piedmont-Sardinia, jika Raja Carlo Alberto tidak meneruskan perang dengan Austria, pemerintahan monarki di Piedmont-Sardinia boleh digulingkan dan Itali akan jatuh dalam tangan golongan republikan radikal seperti Giuseppe Mazzini.
Pada 12 Mac 1849, Raja Carlo Alberto membatalkan perjanjian gencatan senjata dengan Fil Marsyal Radetzky dan meneruskan perang dengan Austria. Namun, hasil pencerobohan tentera Piedmont-Sardinia ke atas wilayah Lombardo-Veneto buat kali kedua itu hanya ditentukan dengan satu pertempuran sahaja. Pada 22 Mac 1849, tentera Piedmont-Sardinia yang dipimpin oleh Mejar Jeneral Wojciech Chrzanowski (1793-1861), seorang pegawai tentera yang berasal dari Poland, bertempur dengan tentera imperial Austria yang dipimpin oleh Fil Marsyal Radetzky di Novara yang terletak kira-kira 45 km ke barat dari Milan. “Pertempuran Novara” berlangsung sepanjang sehari sehingga waktu malam, di mana tentera Piedmont-Sardinia langsung tidak dapat menandingi kekuatan tentera imperial Austria, dan ditewaskan menjelang subuh 23 Mac 1849. Kekalahan dalam Pertempuran Novara menandakan tamatnya Perang Kemerdekaan Itali Pertama dengan Semenanjung Itali gagal dibebaskan daripada kekuasaan Empayar Austria Habsburg.

Demi menyelamatkan pemerintahan monarki Savoai di Piedmont-Sardinia dan mendapatkan syarat perdamaian yang lebih baik daripada Empayar Austria, Carlo Alberto terpaksa melepaskan takhta raja Piedmont-Sardinia kepada anaknya Vittorio Emanuele II (1820-1878).
Pada hari yang sama dengan Pertempuran Novara, golongan Patriot di wilayah Lombardia melancarkan pemberontakan di Brescia. Tentera Austria yang dikejutkan oleh golongan pemberontak di situ berundur ke dalam istana kubu mereka dan membedil bandar Brescia dengan tembakan meriam bertubi-tubi. Apabila tentera bantuan Austria tiba pada 30 Mac 1849, seluruh bandar Brescia dikepung. Golongan pemberontak menyerah kalah pada 31 Mac 1849, tetapi tentera Austria yang memasuki bandar Brescia pada 1 April 1849 melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap penduduk di situ. Kira-kira 1,000 orang dibunuh oleh tentera Austria dalam peristiwa yang dikenali sebagai “Sepuluh Hari Brescia” (Dieci giornate di Brescia) itu.

Di Kerajaan Dua Sicilia, Raja Ferdinando II meraikan kekalahan tentera Piedmont-Sardinia dalam Pertempuran Novara dengan melancarkan semula serangan ketenteraan besar-besaran untuk menawan semula Pulau Sicilia apabila tempoh persetujuan gencatan senjata dengan golongan pemberontak di Sicilia tamat pada 29 Mac 1849. Tentera pejuang pemberontak Sicilia pada masa itu dipimpin oleh Ludwik Mierosławski, seorang revolusioner Poland yang pernah mengetuai angkatan tentera Poland semasa Pemberontakan Poznań pada bulan Mac-Mei 1848 yang dipatahkan oleh tentera Prusia.
Selepas mendarat di Pulau Sicilia, tentera dari Napoli terus menguasai seluruh pantai timur Pulau Sicilia dan bandar Palermo terdedah kepada serangan langsung. Pada 26 April 1849, armada tentera laut Napoli sampai di pelabuhan Palermo dan mengepung bandar itu sepenuhnya. Golongan radikal di Palermo mendirikan benteng jalanan di dalam bandar itu untuk cuba bertahan, tetapi golongan liberal moderat merundingkan penyerahan kalah secara aman dengan pihak Kerajaan Dua Sicilia. Golongan radikal yang marah dengan pengkhianatan golongan liberal moderat itu meninggalkan Pulau Sicilia dan hidup dalam buangan. Mierosławski turut meninggalkan Pulau Sicilia bersama-sama golongan radikal di situ. Dengan Pulau Sicilia diambil alih semula oleh pihak pemerintah di Napoli pada bulan Mei 1849, maka menandakan berakhirnya Revolusi Sicilia dan kemerdekaan Sicilia di bawah sebuah kerajaan liberal selama 16 bulan.

Di Toscana, Perhimpunan Perwakilan yang baru dipilih di situ mula bersidang pada 25 Mac 1849, iaitu dua hari selepas kekalahan tentera Piedmont-Sardinia dalam Pertempuran Novara. Dengan ahli-ahli Perhimpunan Perwakilan bimbang tentang campur tangan ketenteraan Austria untuk memulihkan kekuasaan Demang Besar di situ, Perhimpunan Perwakilan memutuskan untuk menangguhkan perisytiharan rasmi tentang penubuhan republik dan memberi kuasa penuh sementara kepada Francesco Domenico Guerrazzi. Guerrazzi cuba berunding dengan golongan liberal moderat tentang kemungkinan memulihkan kuasa Demang Besar Leopoldo II sebelum pihak Austria berbuat demikian dengan cara kekerasan. Wujudnya ketegangan antara golongan radikal dari Livorno yang menyokong Guerrazzi dan warga Firenze yang semakin tidak berpuas hati dengan Guerrazzi.
Pada masa yang sama, berlakunya pemberontakan reaksioner yang diterajui oleh golongan tuan tanah konservatif dan golongan paderi yang menghasut golongan petani untuk melawan kerajaan sementara Toscana yang dianggap anti-agama. Golongan pemberontak yang reaksioner itu mengamuk di bandar Firenze pada 11 April 1849. Mereka bukannya mahu revolusi, tetapi kontra-revolusi. Dengan kerajaan sementara tidak dapat lagi mengawal keadaan, golongan monarkis di Firenze mengambil alih kuasa atas nama Demang Besar, dan menubuhkan sebuah suruhanjaya kerajaan sementara yang dipimpin oleh Gino Capponi yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri enam bulan sebelum itu.

Suruhanjaya kerajaan sementara di Firenze menahan Guerrazzi dan menghantar delegasi ke Gaeta untuk memujuk kepulangan Leopoldo II tanpa perlu campur tangan Austria tetapi menemui kegagalan. Pada 26 April 1849, tentera Austria sebanyak 15,000 orang memasuki wilayah Toscana untuk memulihkan kuasa pemerintahan Demang Besar Leopoldo II. Tentera Austria menghadapi penentangan daripada penduduk-penduduk tempatan di Livorno, tetapi ia menggunakan kekerasan untuk mematahkannya. Tentera Austria menduduki Firenze pada 25 Mei 1849, dan Leopoldo II melantik kerajaan baharu dua hari kemudian.
Dengan itu, berakhirnya revolusi di Toscana. Leopoldo II sendiri hanya pulang ke Toscana pada 24 Julai 1849 dan memasuki bandar Firenze pada 28 Julai 1849. Tentera Austria terus menduduki Toscana sehingga tahun 1855. Giuseppe Montanelli yang berada di Perancis semasa Firenze ditawan oleh tentera Austria, didakwa dengan pertuduhan mengkhianati negara, dibicarakan dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kehadirannya. Francesco Domenico Guerrazzi pula dibicarakan dan dihukum penjara selama 15 tahun, kemudiannya dikurangkan hukuman kepada pembuangan negeri ke Pulau Corsica pada tahun 1853.

Di Republik Rom, Giuseppe Mazzini yang dipilih sebagai ahli perwakilan Perhimpunan Perlembagaan Rom hanya tiba di bandar itu pada awal bulan Mac 1849. Pada masa itu, Perhimpunan Perlembagaan Rom memfokus pada usaha penggabungan dengan Toscana dan cuba menyertai perang Raja Charles Albert terhadap Austria. Namun, berita tentang Pertempuran Novara mengubah keadaan sepenuhnya. Perhimpunan Perlembagaan Rom melantik Triumvirato yang terdiri daripada Giuseppe Mazzini, Carlo Armellini (1777-1863) dan Aurelio Saffi (1819-1890), untuk menghadapi ancaman serangan daripada kuasa konservatif.
Kerajaan pimpinan Triumvirato memfokus pada usaha mempertahankan bandar Rom dan tadbir urus yang baik. Giuseppe Mazzini menegakkan toleransi agama dan menolak cubaan sesetengah golongan radikal untuk menyahkristiankan Rom. Triumvirato yang diterajui Mazzini mengisytiharkan hak Paus untuk terus menjadi ketua Gereja Katolik Rom. Mereka berpendirian bahawa walaupun Paus sudah dilucutkan kuasa duniawinya, dia masih mempunyai kuasa rohani yang tidak boleh dicabar oleh kerajaan Republik Rom yang duniawi. Triumvirato juga meluluskan undang-undang untuk membatalkan cukai yang membebankan rakyat dan memberikan pekerjaan kepada golongan penganggur.

Di Republik Perancis Kedua yang baharu memilih Louis Bonaparte sebagai Presiden, Perhimpunan Kebangsaan Perancis pada asalnya meluluskan usul untuk menghantar sebuah tentera ekspedisi ke Rom untuk mempertahankan Republik Rom daripada ancaman serangan tentera Austria. Tentera ekspedisi Perancis itu mendarat di pantai barat Semenanjung Itali pada penghujung bulan April 1849 dan diberitahu bahawa hanya pergi ke bandar Rom jika warga Rom mengalu-alukan mereka. Namun, Presiden Putera Louis Bonaparte memberi arahan rahsia kepada komander tentera ekspedisi itu untuk menumpaskan Republik Rom, supaya Perancis boleh mendapat pujian daripada golongan pemerintah konservatif di Eropah atas kejayaannya memulihkan semula kuasa pemerintahan Paus dan mengingatkan Empayar Austria tentang adanya sebuah lagi kuasa besar Katolik di dunia.
Namun, apabila tentera ekspedisi Perancis sampai di bandar Rom pada 30 April 1849, mereka ditewaskan oleh pejuang-pejuang patriotik Rom yang penuh bersemangat kental di bawah kepimpinan Giuseppe Garibaldi dalam pertempuran di Porta San Pancrazio, salah sebuah pintu masuk ke bandar Rom.

Selepas pencerobohan tentera ekspedisi Perancis dipatahkan buat sementara oleh tentera republikan Rom, Kerajaan Dua Sicilia yang menumpaskan Revolusi Sicilia itu mengalihkan tenteranya untuk menceroboh Negeri-negeri Paus pada awal bulan Mei 1849. Tentera republikan Rom yang dipimpin Garibaldi berjaya menewaskan tentera Napoli dalam Pertempuran Palestrina pada 9 Mei 1849 dan Pertempuran Velletri pada 19 Mei 1849. Namun, apabila Garibaldi cuba mengejar tentera Napoli, dia dipanggil untuk kembali ke bandar Rom kerana wujudnya ancaman yang lebih besar daripada tentera Perancis.
Dengan tentera bantuan dalam jumlah yang lebih besar tiba di Itali, tentera Perancis memulakan pengepungan terhadap Rom pada 1 Jun 1849. Walaupun tentera republikan Rom berjuang dengan gigih dan berani, mereka tidak mampu menangkis serangan tentera Perancis dalam jumlah yang besar dan pembedilan meriam yang berterusan.

Pada 30 Jun 1849, Perhimpunan Perlembagaan Rom memutuskan untuk membubarkan Triumvirato dan meluluskan perlembagaan baharu secara simbolik. Perhimpunan Perlembagaan Rom juga membahaskan tiga pilihan: menyerah kalah, terus bertempur di jalanan, atau berundur dari Rom untuk meneruskan perjuangan dari Banjaran Appennino. Giuseppe Garibaldi memasuki dewan persidangan dengan baju berlumuran darah dan menyampaikan ucapan yang menyokong pilihan ketiga, iaitu berundur dari Rom sementara waktu, dengan penutup yang mengharukan, “Di mana sahaja kita berada, di situlah Rom!”
Namun, Perhimpunan Perlembagaan Rom memutuskan untuk menyerah kalah kepada tentera Perancis. Pada 1 Julai 1849, satu perjanjian gencatan senjata dirundingkan. Pada 2 Julai 1849, Giuseppe Garibaldi yang tidak berputus asa itu memimpin kira-kira 3,000 orang pejuang untuk berundur dari Rom ke Banjaran Appennino, dengan rancangan untuk pergi ke Venezia. Namun, dedikasi pejuang-pejuang itu tidak dapat bertahan lama lagi, dan hanya tinggal kira-kira 200 orang masih kekal apabila Garibaldi sampai di pantai Laut Adriatik di bahagian timur Itali. Garibaldi yang kecewa kemudiannya menuju ke Toscana, tetapi ditahan sementara oleh pihak berkuasa di Genova sebelum hidup dalam buangan di seberang laut.
Tentera Perancis memasuki Rom pada 3 Julai 1849, dan memulihkan kuasa pemerintahan duniawi Paus. Republik Rom yang asal (509 SM – 27 SM) wujud selama hampir 500 tahun, tetapi Republik Rom yang baharu itu hanya bakal bertahan selama kira-kira 140 hari.

Paus Pius IX menghantar 3 orang kardinal yang konservatif untuk mengambil alih kuasa di Rom sebagai suruhanjaya kerajaan, yang juga dikenali sebagai “Triumvirato rosso” (Pemerintahan Bertiga Merah). Triumvirato rosso cuba melancarkan “Keganasan Merah” dengan membawa keluar gilotin dan memburu orang yang patut dipancung kepala mereka. Walaupun tiadanya penghukuman mati besar-besaran, Triumvirato rosso mengambil tindakan keras terhadap mereka yang dianggap mengancam kekuasaan Paus. Semua kakitangan kerajaan yang diambil semasa pemerintahan Republik Rom dipecat. Ramai orang ditahan, sementara ramai lagi terpaksa meninggalkan Negeri-negeri Paus, bukan sahaja golongan republikan, tetapi juga termasuk sebahagian besar golongan moderat.
Louis Bonaparte cuba memujuk Paus Pius IX supaya memberikan pengampunan am dan mengekalkan sebahagian pembaharuan liberal yang digubalkan pada tahun 1848. Namun, Paus Pius IX sudah menjelma kepada seorang konservatif reaksioner yang kuat menentang liberalisme, nasionalisme, pembebasan Itali dan Risorgimento. Paus Pius IX hanya pulang ke Rom pada bulan April 1850.

Pemberontakan Mei
Menjelang penghujung tahun 1848, kontra-revolusi yang reaksioner telah mengatasi gerakan revolusioner di merata tempat, termasuk Konfederasi Jerman. Pada 5 November 1848, kerajaan Prussia mengarahkan untuk menghalau Perhimpunan Kebangsaan Prusia dari Berlin ke Brandenburg. Pada 5 Disember 1848, Raja Friedrich Wilhelm IV dari Prusia mengeluarkan dekri untuk membubarkan Perhimpunan Kebangsaan Prusia. Raja Friedrich Wilhelm IV kemudiannya mengemukakan Perlembagaan Prusia 1848 yang masih mengekalkan kebanyakan kuasa mutlak raja. Dengan itu, hasil pembaharuan yang diperjuangkan dalam Revolusi Mac di Berlin dibatalkan.
Selepas Raja Friedrich Wilhelm IV dari Prusia menolak untuk menerima “Perlembagaan Empayar Jerman” yang digubal oleh Parlimen Frankfurt, ahli-ahli perwakilan Parlimen Frankfurt yang masih tertinggal itu melancarkan “Kempen Perlembagaan Imperial” pada bulan Mei 1849 sehingga mencetuskan gelombang pemberontakan nasionalis liberal di negeri-negeri Jerman.

Kempen Perlembagaan Imperial mendapat sokongan daripada anggota-anggota Persatuan Mac Pusat yang ditubuhkan untuk mempertahankan hasil revolusi nasionalis liberal yang dimenangi sejak Revolusi Mac 1848. Pada masa itu, keanggotaan Persatuan Mac Pusat sudah mencecah kira-kira 500,000 orang di seluruh negeri-negeri Jerman. Apabila mendapat tahu tentang Raja Friedrich Wilhelm IV dari Prusia menolak mahkota maharaja Jerman, anggota-anggota Persatuan Mac Pusat mula menyusun untuk bertindak.
Persatuan Mac Pusat mengadakan sebuah perhimpunan umum pada 6 Mei 1849 di Frankfurt dan disertai oleh kira-kira 2,000 orang perwakilan daripada persatuan-persatuan rakyat yang bersekutu dengannya. Persatuan Mac Pusat menyeru kepada rakyat dan askar-askar Jerman untuk menyokong Perlembagaan Frankfurt.

Apabila Raja Friedrich August II dari Sachsen enggan menerima Perlembagaan Frankfurt selepas dijanjikan sokongan ketenteraan oleh Prusia, tercetusnya pemberontakan di Dresden pada 3 Mei 1849. Ahli-ahli majlis perbandaran Dresden pada asalnya cuba memujuk Raja Friedrich August II supaya menerima Perlembagaan Frankfurt. Pengawal-pengawal perbandaran turut menyeru raja Sachsen untuk menerima Perlembagaan Frankfurt. Namun, Raja Friedrich August II bukan sahaja enggan berkompromi, malah memanggil tentera Prusia ke Sachsen.
Pada 3 Mei 1849, ahli-ahli majlis perbandaran Dresden dan pengawal-pengawal perbandaran mengorganisasikan diri mereka ke dalam unit-unit pertahanan untuk menghadapi campur tangan tentera Prusia. Raja Friedrich August II dan menteri-menterinya bersembunyi di dalam istana kubu yang dilindungi oleh tentera Sachsen. Apabila golongan pemberontak cuba menggunakan bahan letupan untuk memaksa golongan pemerintah keluar dari tempat mereka berselindung, tentera Sachsen melepaskan tembakan ke arah orang ramai. Golongan pemberontak mendirikan benteng-benteng jalanan di dalam bandar Dresden untuk meneruskan pertempuran dengan tentera kerajaan. Raja Friedrich August II melarikan diri dari bandar Dresden pada 4 Mei 1849 dan berselindung di Kubu Königstein.

Golongan pemberontak di Dresden dipimpin oleh ahli-ahli perwakilan dalam parlimen demokratik Sachsen yang sudah dibubarkan, termasuk Carl Gotthelf Todt (1803-1852), Otto Leonhard Heubner (1812-1893) dan Samuel Erdmann Tzschirner (1812-1870). Mereka menubuhkan sebuah kerajaan sementara dengan matlamat memaksa raja Sachsen untuk menerima Perlembagaan Frankfurt. Pemberontakan Mei di Dresden telah disertai oleh beberapa orang yang terkenal, seperti Gottfried Semper (1803-1879) yang merupakan seorang arkitek, Wilhelmine Schröder-Devrient (1804-1860) yang merupakan seorang penyanyi opera, Richard Wagner (1813-1883) yang merupakan seorang penggubah muzik, Gustav Zeuner (1828-1907) yang merupakan seorang ahli fizik dan Mikhail Bakunin yang merupakan seorang revolusioner anarkis dari Rusia. Golongan nasionalis liberal dari bandar-bandar lain di negeri Sachsen, seperti Zwickau, Chemnitz dan Marienberg juga datang menyertai pemberontakan di Dresden.
Pada 5 Mei 1849, tentera bantuan seperti yang dijanjikan oleh raja Prusia itu sampai di Dresden. Jumlah tentera kerajaan yang dikerahkan dari Sachsen dan Prusia untuk mematahkan pemberontakan di Dresden mencecah 5,000 orang, sementara golongan pemberontak hanya kira-kira 3,000 orang dengan kelengkapan yang jauh mundur. Golongan pemberontak menggunakan benteng-benteng jalanan untuk menghalang kemaraan tentera kerajaan. Pertempuran sengit tercetus di jalanan Dresden selama 4 hari. Pemberontakan Dresden dipatahkan sepenuhnya pada 9 Mei 1849, dengan kira-kira 250 orang pemberontak dibunuh dan kira-kira 800 orang ditangkap. Kira-kira 1,800 orang pemberontak dapat melarikan diri, dengan kebanyakannya hidup dalam buangan di Switzerland.

Walaupun pemberontakan di Dresden dipatahkan dengan cepat, bahagian barat daya Jerman dan wilayah Rheinland mengalami gelombang pemberontakan yang bertahan lebih lama sedikit. Apabila Parlimen Frankfurt mengeluarkan proklamasi untuk meratifikasi Perlembagaan Frankfurt, golongan nasionalis liberal di situ mula memberontak untuk menyatakan sokongan mereka kepada Perlembagaan Frankfurt. Perhimpunan secara spontan diadakan di bandar Cologne, yang terletak di dalam wilayah Rheinland yang dikuasai Kerajaan Prusia, untuk menuntut pada raja Prusia supaya mengambil mahkota maharaja Jerman. Demonstrasi tercetus di bandar-bandar sepanjang Sungai Rhein. Sesetengah anggota tentera dan Pengawal Kebangsaan juga memberontak.
Di Düsseldorf yang juga di bawah kekuasaan Prusia, golongan pemberontak liberal yang dipimpin oleh Ludwig von Milewski (1825-1849), seorang pelukis yang berasal dari Poland, mengadakan aksi jalanan dan cuba menduduki bangunan kerajaan. Kerajaan mengisytihar darurat di bandar itu pada 7 Mei 1849. Tentera Prusia memasuki bandar Düsseldorf pada 9 Mei 1849, dan golongan pemberontak mendirikan benteng-benteng jalanan untuk mempertahankan bandar itu. Pertempuran jalanan berlaku sepanjang semalaman dan pemberontakan itu dipatahkan. Ludwig von Milewski ditembak mati semasa pertempuran di jalanan.

Di Iserlohn, yang terletak di wilayah Westfalen dan juga di bawah pemerintahan Kerajaan Prusia, anggota-anggota Pengawal Kebangsaan yang enggan dikerahkan untuk bertempur dengan golongan pemberontak di Baden dan Sachsen, memberontak pada 10 Mei 1849. Sebuah jawatankuasa keselamatan ditubuhkan dengan Karl Schuchart (1806-1869), seorang peguam demokrat moderat, sebagai pengerusi. Namun, pemberontakan di Iserlohn dipatahkan apabila tentera kerajaan menawan semula bandar itu pada 17 Mei 1849 dengan puluhan orang terbunuh.
Di Elberfeld, golongan nasionalis liberal yang bersekutu dengan Persatuan Mac Pusat menganjurkan sebuah perjumpaan pada 29 April 1849 dengan kehadiran lebih 1,000 orang dan meluluskan resolusi untuk menyokong Parlimen Frankfurt. Pada 6 Mei 1849, golongan nasionalis liberal dan anggota-anggota militia Pengawal Kebangsaan (Landwehr) di Elberfeld memberontak untuk menentang kekuasaan Prusia di situ.
Pada 9 Mei 1849, tentera kerajaan memasuki bandar Elberfeld dan golongan pemberontak mendirikan benteng-benteng jalanan. Selepas gagal mematahkan golongan pemberontak kerana kekuatan yang tidak cukup besar lagi, tentera kerajaan berundur pada hari keesokannya, begitu juga dengan datuk bandar dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Golongan pemberontak menubuhkan sebuah “Jawatankuasa Keselamatan” (Sicherheitsausschuss) yang berfungsi sebagai badan eksekutif sementara di Elberfeld. 2,000-3,000 orang sukarelawan bergegas ke Elberfeld untuk menyokong pemberontakan di situ, termasuk Friedrich Engels yang datang dari Cologne. Namun, pemimpin-pemimpin moderat dalam Jawatankuasa Keselamatan di Elberfeld bersedia untuk berunding dengan kerajaan di Berlin. Malah, ada dalam kalangan mereka yang takut pada revolusi sosial di bandar Elberfeld, cuba menghalau golongan sosialis radikal seperti Friedrich Engels dari bandar itu.

Kerajaan di Berlin menghantar satu mesej telegram kepada Jawatankuasa Keselamatan pada 16 Mei 1849, tetapi ditulis dengan kata-kata yang mengelirukan mengenai keamanan dan perpaduan bangsa sehingga pemimpin-pemimpin pemberontak di Elberfeld menganggap bahawa raja Prusia telah menerima Perlembagaan Frankfurt. Mereka terus mengarahkan benteng-benteng jalanan dialihkan. Banyak sukarelawan dari luar yang kecewa dengan Jawatankuasa Keselamatan itu meninggalkan bandar Elberfeld. Pada 19 Mei 1849, tentera Prusia menduduki bandar Elberfeld. Pemberontakan Elberfeld ditumpaskan akibat kegagalan pemimpin-pemimpin nasionalis liberal di situ untuk mengaturkan perjuangan. Friedrich Engels yang menyertai pasukan sukarelawan di bawah perintah August Willich (1810-1878) telah beralih untuk menyokong pemberontakan di wilayah Pfalz dan Baden.
Di wilayah Pfalz yang dikuasai oleh Kerajaan Bayern, semua kawasan di barat Sungai Rhein dilanda gelombang revolusi menjelang 17 Mei 1849. Namun, keadaan sudah banyak berubah berbanding bulan Mac 1848, kerana kebanyakan golongan radikal berhaluan kiri, golongan pekerja, golongan tukang kecil dan golongan sosialis tidak mahu melibatkan diri lagi dalam pemberontakan yang diterajui oleh golongan nasionalis liberal kelas menengah itu. Ini kerana mereka terasa dikhianati oleh golongan elit liberal kelas menengah yang tidak memberi perhatian kepada isu-isu kelas bawahan sepanjang persidangan Parlimen Frankfurt dan berulang kali menunjukkan mereka tidak sehaluan dengan golongan kiri radikal. Oleh itu, kekuatan golongan revolusioner sudah menjadi lemah berbanding ketika tercetusnya Revolusi Mac 1848.

Pada 1 Mei 1849, kira-kira 12,000 orang berhimpun di bandar Kaiserslautern yang terletak di wilayah Pfalz, dengan slogan yang berbunyi, “Jika kerajaan menjadi penderhaka, rakyat Pfalz akan menjadi penguatkuasa undang-undang!” (Wenn die Regierung zur Rebellion geworden, werden die Bürger der Pfalz zu den Vollstreckern der Gesetze werden). Pada 2 Mei 1849, golongan nasionalis liberal di Pfalz menubuhkan “Jawatankuasa Negeri untuk Pertahanan dan Pelaksanaan Perlembagaan”, dan mengambil alih kuasa pentadbiran ke atas wilayah itu dalam tempoh masa singkat. Ia menubuhkan militia rakyat yang mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Frankfurt.
Pada 17 Mei 1849, perhimpunan rakyat di Kaiserslautern memutuskan untuk menubuhkan sebuah kerajaan sementara di bawah kepimpinan Joseph Martin Reichard (1803-1972), seorang peguam yang juga merupakan ahli perwakilan dalam Parlimen Frankfurt. Kerajaan sementara Pfalz bersedia untuk berpisah dari Bayern dan membentuk perikatan dengan Republik Baden yang ditubuhkan oleh golongan pemberontak di situ.

Namun, dengan kebanyakan pemberontakan di wilayah Rhein di bawah pemerintahan Prusia dipatahkan pada penghujung bulan Mei 1849, tentera Prusia mara ke arah selatan dan mula mencampur tangan di wilayah Pfalz pada 11 Jun 1849. Tentera Prusia menewaskan militia pemberontak dalam beberapa pertempuran. Anggota-anggota kerajaan sementara Pfalz terpaksa melarikan diri dan pegawai-pegawai kerajaan Bayern mengambil alih semula jawatan mereka. Pemberontakan di Pfalz ditumpaskan sepenuhnya pada 19 Jun 1849.
Di negeri Baden yang pernah mengalami Pemberontakan Hecker pada bulan April 1848 dan Pemberontakan Struve pada bulan September 1848, golongan revolusioner di situ juga bangkit semula dalam gelombang pemberontakan pada bulan Mei 1849. Pada 9 Mei 1849, askar-askar daripada Tentera Baden yang ditempatkan di Kubu Rastatt memberontak untuk menyokong golongan revolusioner di Baden. Pada 11 Mei 1849, askar-askar daripada rejimen infantri di Freiburg juga memberontak dan disokong oleh golongan republikan di situ. Gustav Struve yang dipenjarakan sejak kegagalan Pemberontakan Baden Kedua pada bulan September 1848 dibebaskan oleh golongan pemberontak.

Pada 13 Mei 1849, golongan revolusioner di Baden menganjurkan sebuah perhimpunan rakyat di Offenburg yang disertai oleh kira-kira 35,000 orang, dan mempersetujui sebuah program 16-perkara, dengan tuntutan-tuntutan seperti pengiktirafan Perlembagaan Frankfurt tanpa syarat dan pembentukan sebuah kerajaan liberal yang baharu di Baden di bawah kepimpinan Lorenzo Brentano (1813-1891), seorang ahli politik liberal yang merupakan ahli perwakilan dalam Parlimen Frankfurt. Amand Goegg (1820-1897), pemimpin persatuan rakyat dari Mannheim, mengumumkan persetujuan Offenburg dari balkoni dewan perbandaran Rastatt. Golongan revolusioner merekrut ramai orang ke dalam militia yang mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Frankfurt. Demang Besar Leopold dari Baden melarikan diri dari istana kediamannya di Karlsruhe dan bersembunyi di Koblenz (ibu kota wilayah Rhein di bawah pemerintahan Kerajaan Prusia).
Menjelang 30 Mei 1849, hanya tinggal 104 orang ahli perwakilan yang masih bersidang dalam Parlimen Frankfurt, dengan kebanyakannya daripada golongan berhaluan kiri. Pada 31 Mei 1849, oleh sebab tentera Prusia semakin menghampiri Frankfurt, mereka memutuskan untuk memindahkan persidangan Parlimen itu ke bandar Stuttgart yang terletak di negeri Württemberg, di mana Parlimen Frankfurt mendapat sokongan besar di situ. Parlimen serpihan itu mula bersidang pada 6 Jun 1849 dengan Wilhelm Loewe (1814-1886), seorang doktor dari wilayah Anhalt-Dessau, sebagai presiden.

Semasa tentera Prusia mencampur tangan untuk mematahkan pemberontakan di wilayah Pfalz untuk memulihkan pemerintahan Kerajaan Bayern di situ, kerajaan Prusia juga memberi amaran kepada kerajaan liberal di Württemberg bahawa ia akan menjadi sasaran seterusnya jika masih membenarkan Parlimen Frankfurt serpihan bersidang di situ. Oleh itu, pada 17 Jun 1849, kerajaan Württemberg mengarahkan tenteranya untuk menyekat seluruh bandar Stuttgart dan melarang sebarang persidangan Parlimen Frankfurt serpihan itu. Pada 18 Jun 1849, tentera Württemberg menduduki dewan persidangan parlimen untuk memastikan Parlimen Frankfurt tidak bersidang. Ahli-ahli perwakilan cuba memprotes tetapi disuraikan oleh pasukan tentera. Ahli-ahli perwakilan yang bukan dari Württemberg dihalau keluar dari negeri itu. Dengan itu, Parlimen Frankfurt yang dibentuk dengan harapan tinggi untuk penyatuan Jerman dihancurkan oleh golongan pemerintah Jerman yang “bersatu hati” dalam mengekalkan susunan lama negeri-negeri Jerman yang berpecah-belah.
Golongan revolusioner di Baden yang lebih radikal berbanding ahli-ahli perwakilan Parlimen Frankfurt meneruskan usaha mereka untuk mempertahankan kerajaan sementara mereka daripada ancaman kontra-revolusi reaksioner. Sebuah kerajaan sementara yang demokratik dibentuk pada 1 Jun 1849 tetapi didominasi oleh golongan liberal moderat. Golongan radikal yang dipimpin oleh Gustav Struve mendesak kerajaan sementara untuk mengambil langkah-langkah revolusioner yang lebih tegas. Perhimpunan Perlembagaan Baden mula bersidang pada 10 Jun 1849.

Tentera Konfederasi Jerman yang terdiri daripada pasukan tentera Prusia dan Hessen menceroboh Baden untuk mematahkan pemberontakan di situ. Kerajaan sementara di Baden melantik Ludwik Mierosławski, tokoh revolusioner Poland yang pernah menjadi ketua komander angkatan tentera Poland semasa Pemberontakan Poznań pada tahun 1848 dan pemimpin tentera pemberontak di Sicilia pada tahun 1849, dilantik sebagai ketua komander bagi tentera revolusioner Baden. Tentera revolusioner Baden di Baden turut disertai oleh golongan pemberontak di wilayah Pfalz dan golongan nasionalis Jerman dari tempat-tempat lain, sehingga keanggotaannya mencecah 20,000 orang. Namun, tentera revolusioner Baden yang dikumpulkan dalam keadaan tergesa-gesa memang tidak setanding dengan tentera Prusia yang terlatih dan berkelengkapan lebih canggih.
Tentera Prusia menewaskan tentera revolusioner Baden yang dipimpin oleh Ludwik Mierosławski dalam Pertempuran Waghäusel pada 21 Jun 1849. Selepas tentera revolusioner Baden ditewaskan dalam Pertempuran Durlach pada 25 Jun 1849 berdekatan dengan Karlsruhe, kerajaan sementara Baden berundur ke Freiburg. Perhimpunan Perlembagaan Baden yang bersidang di Freiburg pada 28 Jun 1849 memutuskan untuk meneruskan perang terhadap musuh kebebasan dan penyatuan Jerman. Lorenzo Brentano meletak jawatan sebagai kerajaan sementara, dan Amand Goegg menubuhkan “kerajaan sementara Baden dengan kuasa diktator”.

Tentera revolusioner Baden ditewaskan lagi dalam Pertempuran Gernsbach pada 29 Jun 1849, dan terpaksa berundur lagi ke bahagian selatan Baden. Tentera Prusia mula mengepung Kubu Rastatt pada awal bulan Julai 1849. Tentera Prusia memasuki bandar Freiburg pada 7 Julai 1849. Selepas dikepung selama tiga minggu tanpa sebarang bantuan, tentera revolusioner Baden yang bertahan Kubu Rastatt menyerah kalah kepada tentera Prusia pada 23 Julai 1849. Dengan kejatuhan Kubu Rastatt, ia menandakan tamatnya Pemberontakan Baden Ketiga dan Revolusi Baden, malah juga tamatnya Revolusi Jerman 1848-1849.
Selepas menumpaskan Pemberontakan Baden Ketiga, mahkamah tentera menjatuhkan hukuman mati ke atas 27 orang revolusioner. Ramai pemberontak sempat melarikan diri, termasuk Gustav Struve, Lorenzo Brentano, Friedrich Beust (1817-1899), Carl Schurz (1829-1902) dan Friedrich Engels, untuk mencari perlindungan sementara di Switzerland.

Penyatuan Jerman hanya dicapai lebih dua dekad kemudian, bukannya oleh golongan nasionalis liberal atau golongan demokrat radikal, tetapi oleh golongan konservatif yang dipimpin oleh Canselor Otto von Bismarck yang menggunakan pendekatan “besi dan darah”.
Perjuangan penghabisan yang mengecewakan
Di Empayar Austria, Diet Imperial yang kebanyakan ahli perwakilannya melarikan diri semasa pemberontakan di Vienna pada bulan Oktober 1848, telah bersidang semula di Kremsier yang terletak di wilayah Moravia. Walaupun Parlimen Kremsier yang didominasi oleh golongan liberal moderat dan golongan konservatif, ia masih cuba menggubal sebuah perlembagaan yang lebih liberal dan mengambil kira hubungan antara bangsa-bangsa yang berbeza di bawah pemerintahan monarki Habsburg. Perlembagaan Kremsier yang selesai dirangka pada awal bulan Mac 1849 mengandungi pembaharuan seperti pembentukan sistem raja berperlembagaan, penubuhan sebuah parlimen yang berkongsi kuasa dengan maharaja, penghapusan status istimewa Gereja Katolik dan mewujudkan kesamarataan bangsa serta bahasa.

Namun, dengan golongan konservatif reaksioner semakin memperkukuhkan kuasa mereka dan berkeyakinan di bawah maharaja baharu Franz Joseph I, Felix Schwarzenberg, adik ipar Alfred Windisch-Grätz dan Perdana Menteri Empayar Austria pada masa itu, terus memintas Parlimen Kremsier dengan mengemukakan “Perlembagaan Mac” pada 5 Mac 1849. Perlembagaan Mac menghapuskan semua perbezaan bangsa dan mengisytihar “kesamarataan sejagat di sisi undang-undang”, tetapi ia hanya merupakan pendekatan neo-absolutis yang menggunakan bahasa berbunyi liberalisme untuk mencapai tujuan pengukuhan dan pemusatan kuasa golongan pemerintah konservatif reaksioner.
Perlembagaan Mac yang diperkenalkan oleh Schwarzenberg menegakkan pemerintahan berpusat ke atas sebuah negara unitari tunggal, maka bermakna semua kuasa autonomi bangsa-bangsa yang pelbagai di dalam empayar itu dimansuhkan. Ia jelas menyasarkan Hungary yang hendak memperjuangkan pemerintahan sendiri.
Pada ketika tentera Hungary mencapai kemenangan demi kemenangan terhadap tentera Austria dalam “Kempen Musim Bunga” dan berjaya menawan semula bandar Buda, Maharaja Franz Joseph I dari Austria mengunjungi bandar Warsaw pada 21 Mei 1849 untuk bertemu dengan Tsar Nikolai I dari Rusia yang mempunyai gelaran “Polis Eropah”. Mengakui bahawa Empayar Austria tidak dapat menumpaskan Revolusi Hungary tanpa bantuan luar, Maharaja Franz Joseph I meminta tentera Rusia untuk mencampur tangan dan menceroboh Hungary. Tsar Nikolai I menjanjikan tentera dengan kekuatan 200,000 orang untuk membantu Empayar Austria.

Dengan tentera Austria mara dari barat dan tentera Rusia menyerang dari timur, kerajaan Hungary pimpinan Lajos Kossuth terpaksa meninggalkan Buda-Pest sekali lagi pada 8 Julai 1849. Tentera Austria menawan Buda-Pest pada 13 Julai 1849.
Selepas meninggalkan Buda-Pest, Parlimen Hungary bersidang di bandar Szeged yang terletak di bahagian selatan Hungary dari 21 Julai hingga 28 Julai 1849. Dalam sesi persidangan terakhir itu, sebagai cubaan menghimpunkan kekuatan masyarakat Hungary yang berbilang bangsa itu untuk menghadapi musuh bersama mereka, iaitu Austria dan Rusia, Parlimen Hungary mengisytihar pengiktirafan hak bangsa-bangsa bukan Magyar untuk bahasa dan kebudayaan. Namun, perisytiharan sudah terlalu lambat untuk mendapatkan sokongan masyarakat bukan Magyar di Hungary, kerana kegagalan golongan revolusioner Hungary dalam menangani persoalan nasional itu dari awal lagi, tambahan pula dengan kezaliman terhadap mereka sepanjang Perang Kemerdekaan Hungary.

Tentera Hungary mengalami kekalahan demi kekalahan di medan perang, termasuk tentera Hungary yang dipimpin oleh Józef Bem ditewaskan oleh tentera Rusia dalam Pertempuran Segesvár pada 31 Julai 1849, kekalahan tentera pimpinan József Nagysándor (1803-1849) di tangan tentera Rusia dalam Pertempuran Debrecen pada 31 Julai 1849, dan kekalahan di tangan tentera gabungan Austria dan Rusia dalam Pertempuran Szőreg pada 5 Ogos 1849. Pada 9 Ogos 1849, tentera Hungary pimpinan Józef Bem dikalahkan oleh tentera gabungan Austria dan Rusia dalam Pertempuran Temesvár, dengan kekalahan itu memusnahkan semua harapan untuk kemerdekaan Hungary.
Lajos Kossuth meletak jawatannya sebagai ketua kerajaan Hungary pada 11 Ogos 1849 dan melarikan diri dari Hungary. Jeneral Artúr Görgey, ketua komander tentera Hungary, menyerah kalah kepada tentera Rusia pada 13 Ogos 1849 di Világos (iaitu Șiria, Romania, hari ini).

Jeneral Julius Jacob von Haynau, komander tentera Austria yang menumpaskan Revolusi Hungary pada bulan Ogos 1849, mengarahkan hukuman mati terhadap 13 orang jeneral Hungary di Arad pada 6 Oktober 1849, dan Lajos Batthyány (iaitu Perdana Menteri Hungary yang pertama dan ditahan pada bulan Januari 1849 apabila Pest ditawan oleh tentera Austria) di Pest pada hari yang sama. Dengan itu, Revolusi Hungary yang hebat itu ditumpaskan.
Selepas penumpasan Revolusi Hungary 1848-1849, autonomi negeri Hungary yang sedikit itu juga dibatalkan dan digantikan dengan pemerintahan absolutis berpusat dari Vienna. Namun, ini hanya meningkatkan lagi ketidakpuasan hati rakyat Hungary terhadap kekuasaan Habsburg.

Dengan penumpasan Revolusi Hungary pada pertengahan bulan Ogos 1849, gelombang revolusi di dalam Empayar Austria hampir dihancurkan sepenuhnya kecuali di bandar Venezia.
Republik Venezia atau Republik San Marco, yang hanya bertahan di bandar Venezia tetapi dikepung oleh tentera Austria sejak musim sejuk tahun 1848-1849, pernah menaruh harapan bahawa usaha perang Piedmont-Sardinia di wilayah Lombardia boleh memecahkan pengepungan yang dialaminya. Berita tentang kekalahan tentera Piedmont-Sardinia dalam Pertempuran Novara pada 23 Mac 1849, bukan sahaja mematahkan harapan memecahkan pengepungan tentera Austria itu, malah menghancurkan harapan untuk kemerdekaan Itali daripada kekuasaan Austria. Namun, Daniele Manin, Presiden Republik San Marco, enggan menyerah kalah, dan Perhimpunan Venezia mengundi pada 2 April 1849 untuk meneruskan perjuangan menentang Austria.

Pada 4 Mei 1849, Fil Marsyal Joseph Radetzky von Radetz, komander tentera Austria di wilayah Lombardo-Veneto, melancarkan serangan pengeboman ke atas Kubu Marghera, yang dipertahankan oleh 2,500 orang askar di bawah kepimpinan Girolamo Calà Ulloa (1810-1891), seorang jeneral dari Napoli. Ulloa pada asalnya merupakan jeneral tentera Kerajaan Dua Sicilia yang dihantar ke Lombardia untuk membantu tentera Piedmont-Sardinia dalam perang terhadap Austria di situ, tetapi apabila dia dipanggil balik oleh Raja Ferdinando II dari Dua Sicilia, dia pergi ke Venezia bersama tentera yang dipimpin oleh Guglielmo Pepe. Tentera Austria juga membedil Laguna Venezia di mana terletaknya bandar Venezia. Dalam tempoh 3 minggu sahaja, sebanyak 60,000 butir peluru meriam ditembak ke arah Venezia. Pada 26 Mei 1849, Ulloa terpaksa berundur dari Kubu Marghera.
Daniele Manin cuba membentuk gabungan dengan Hungary pada bulan Mei 1849 dengan harapan memecahkan pengepungan tentera Austria ke atas Venezia. Namun, dengan Republik Rom jatuh pada penghujung bulan Jun 1849 dan penumpasan Revolusi Hungary pada pertengahan bulan Ogos 1849, menjadikan bandar Venezia satu-satunya tempat di mana hasil Revolusi 1848 masih bertahan.

Tentera Austria menyambung pembedilan pada awal bulan Julai 1849, malah menggunakan belon untuk menjatuhkan bom ke atas bandar Venezia, tetapi golongan revolusioner Venezia masih dapat bertahan. Oleh sebab hujung barat bandar Venezia terpaksa dikosongkan untuk mengelakkan daripada terkena serangan peluru meriam, warga Venezia terhimpit dalam ruang yang sempit. Menjelang bulan Ogos 1849, wabak taun merebak di dalam bandar Venezia, sementara bekalan makanan sudah tidak mencukupi.
Apabila mendapati bekalan makanan di bandar Venezia akan kehabisan pada hujung bulan Ogos 1849, Daniele Manin meminta kebenaran daripada Perhimpunan Venezia untuk berunding dengan pihak Austria. Kerajaan Venezia menandatangani persetujuan penyerahan kalah pada 22 Ogos 1849. Manin dan 39 orang pemimpin revolusioner yang tidak mendapat pengampunan daripada pihak Austria menaiki kapal yang disediakan oleh konsul Perancis untuk belayar dari Venezia dan hidup dalam buangan. Tentera Austria yang dipimpin oleh Radetzky memasuki bandar Venezia pada 27 Ogos 1849, maka menandakan tamatnya Revolusi Venezia, begitu juga dengan Revolusi Itali.

Jika Revolusi Sicilia di bahagian selatan Itali pada bulan Januari 1848 merupakan pembuka tirai gelombang Revolusi 1848 yang menggegarkan dunia, Revolusi Venezia di bahagian utara Itali yang menyerah kalah pada penghujung bulan Ogos 1849 pula menjadi penutup tirai Revolusi 1848 yang mengecewakan satu generasi.
Pergolakan pada tahun 1848 di tempat-tempat lain
Gelombang revolusi hebat yang tercetus daripada Revolusi Februari 1848 di Perancis dan Revolusi Mac di Konfederasi Jerman (termasuk Austria, Baden dan Prusia) menggegarkan seluruh benua Eropah. Selain Revolusi Perancis, Revolusi Jerman, Revolusi Hungary dan Revolusi Itali yang menjadi tumpuan kerana pergolakan hebat yang menggugat tiga daripada lima buah kuasa besar di Eropah pada masa itu, perjuangan revolusioner atau sekurang-kurangnya gerakan menuntut pembaharuan turut berlaku di pelbagai tempat lain.
Galicia
Di wilayah Galicia yang dikuasai oleh Empayar Austria, gerakan nasionalis Ruthenia (atau Ukraine) dan nasionalis Poland mendapat momentum baharu apabila tercetusnya Revolusi Mac 1848. Namun, wujudnya perbezaan kepentingan antara golongan nasionalis Ruthenia dan golongan nasionalis Poland. Golongan hamba tani berbangsa Ukraine di Galicia biasanya dikuasai oleh golongan bangsawan berbangsa Poland, maka wujudnya percanggahan kelas selain perselisihan sentimen etnik.
Di bandar Lviv, ibu negeri Kerajaan Galicia dan Lodomeria, golongan liberal di situ mengemukakan petisyen kepada Maharaja Ferdinand I dari Austria dengan tuntutan-tuntutan seperti penubuhan semula kerajaan tempatan, pendidikan dalam bahasa Poland dan bahasa Ukraine, dan memberikan status bahasa rasmi kepada bahasa Poland. Mendapat ilham daripada golongan revolusioner di Vienna, rejimen-rejimen Pengawal Kebangsaan ditubuhkan untuk menjaga ketenteraman setempat. Separuh daripada rejimen Pengawal Kebangsaan di Lviv dianggotai oleh warga berbangsa Poland, sementara separuh lagi merupakan warga berbangsa Ukraine. Namun, golongan nasionalis Poland membubarkan rejimen yang dianggotai orang Ukraine dan menggabungkannya dengan rejimen orang Poland. Tindakan itu mencetuskan ketegangan hubungan etnik antara kumpulan etnik Poland dan Ukraine. Selepas pemberontakan di Vienna pada bulan Oktober 1848 dipatahkan, Pengawal Kebangsaan di Lviv memberontak dan mendirikan benteng-benteng jalanan. Pada 6 November 1848, tentera imperial Austria membedil pusat bandar Lviv untuk mematahkan pemberontakan di situ.

Pada 2 Mei 1848, Majlis Ruthenia Tertinggi ditubuhkan dengan Hryhoriy Yakhymovych (1792-1863), Uskup Gereja Katolik Greece Ukraine, sebagai pengerusi. Tuntutan utama Majlis Ruthenia Tertinggi kepada kerajaan imperial Austria ialah: pembahagian wilayah Galicia kepada dua bahagian (bahagian barat untuk orang Poland dan bahagian timur untuk orang Ukraine); penyatuan semua wilayah Ukraine (Galicia Timur, Subcarpathia dan Bukovina) dengan pentadbiran sendiri; kuliah di sekolah dan penerbitan kenyataan kerajaan disampaikan dalam bahasa Ukraine. Majlis Ruthenia Tertinggi menghantar 3 orang wakil ke Kongres Slav di Prague.
Merespon kepada kebangkitan gerakan nasionalis Ruthenia di Galicia, kerajaan imperial Austria menghapuskan sistem perhambaan tani di situ, maka membebaskan hamba tani yang kebanyakannya berbangsa Ukraine. 30 orang wakil berbangsa Ukraine dari Galicia dipilih ke dalam Diet Imperial Austria. Dengan itu, kebanyakan orang Ukraine masih setia pada Empayar Austria. Orang Ukraine di Galicia juga menubuhkan militia yang bertempur bagi pihak Empayar Austria terhadap tentera Hungary.

Revolusi Wallachia
Di Wallachia, sebuah negeri di Eropah Tenggara yang berada di bawah naungan Empayar Uthmaniyah tetapi sebenarnya diperintah oleh Rusia sejak Perjanjian Adrianople yang menamatkan Perang Rusia-Turki (1828-1829), golongan intelek dan pegawai-pegawai militia melancarkan pemberontakan pada Jun 1848 di Bucharest, ibu negeri Wallachia, untuk menentang pentadbiran yang dikenakan oleh pihak berkuasa Empayar Rusia di bawah rejim “Regulamentul Organic” (Peraturan Organik).
Golongan revolusioner Wallachia mengemukakan “Perisytiharan Islaz” (Proclamația de la Islaz) yang ditulis oleh Ion Heliade Rădulescu (1802-1872) dan mengandungi 22 perkara, termasuk kemerdekaan pentadbiran, pengasingan kuasa, hak sama rata bagi rakyat, pilihan raya untuk domnitor (pemerintah) dengan 5 tahun sepenggal yang bertanggungjawab pada rakyat, pembentukan Pengawal Kebangsaan, dan sebagainya.

Pemberontakan pada 23 Jun 1848 menyebabkan Konsul Rusia di Bucharest melarikan diri, sementara Gheorghe Bibescu, Putera Wallachia, melepaskan mahkotanya dan meninggalkan wilayah Wallachia. Kerajaan Sementara ditubuhkan pada 25 Jun 1848. Kerajaan Sementara menubuhkan Pengawal Kebangsaan, menghapuskan penapisan akhbar, memansuhkan hukuman mati, mengarahkan pembebasan semua tahanan politik, menghapuskan perhambaan terhadap orang Roma (atau Gipsi) dan memperkenalkan moto kebangsaan Wallachia “Keadilan, Persaudaraan” (Dreptate, Frăție).
Walaupun Kerajaan Sementara Wallachia mendapat sokongan rakyat yang besar, golongan radikal dan golongan konservatif yang berada dalamnya sering bercanggah pendirian, terutamanya dalam isu reformasi tanah dan penghapusan kerja paksa feudal. Golongan radikal yang dipimpin oleh Nicolae Bălcescu (1819-1852) menggesa untuk menghapuskan hak istimewa golongan boyar (iaitu bangsawan feudal yang berpangkat paling tinggi), mengagihkan tanah kepada petani dan memperluaskan hak mengundi kepada semua orang, tetapi tuntutan-tuntutan itu tidak disenangi oleh golongan konservatif. Neophyte II (1787-1850), Uskup Agung Gereja Ortodoks Metropolis Wallachia dan Dobruja yang merupakan ketua Kerajaan Sementara, cuba merampas kuasa untuk menyingkirkan golongan radikal pada bulan Julai 1848 tetapi digagalkan.

Pada 25 September 1848, tentera Empayar Uthmaniyah memasuki bandar Bucharest untuk menumpaskan golongan revolusioner di situ dan memulihkan rejim Regulamentul Organic. Pemimpin-pemimpin radikal seperti Nicolae Bălcescu dan Gheorghe Magheru (1802-1880) cuba mengorganisasi penentangan tetapi tidak mendapat sokongan yang mencukupi. Tentera militia Wallachia yang dipimpin oleh Kolonel Radu Golescu (1814-1882) dan Kapten Pavel Zăgănescu (1815-1897) ditewaskan dalam Pertempuran Bukit Spirii berhampiran bandar Bucharest. Pada 27 September 1848, tentera Rusia memasuki bandar Bucharest dan menduduki separuh bandar itu. Ramai orang ditangkap, antaranya 91 orang dihukum buang negeri. Tentera Empayar Uthmaniyah dan Rusia menduduki wilayah Wallachia sehingga tahun 1851.
Golongan revolusioner Wallachia yang melarikan diri atau dibebaskan selepas penahanan, seperti Nicolae Bălcescu, telah memainkan peranan dalam mewujudkan perdamaian antara kerajaan Hungary pimpinan Lajos Kossuth dan golongan pemberontak Romania di Transilvania yang dipimpin oleh Avram Iancu, pada tahun 1849.

Revolusi Moldavia
Di Moldavia, sebuah negeri di Eropah Timur yang bersebelahan dengan Wallachia dan statusnya sama dengan Wallachia pada tahun 1848, juga tercetusnya gerakan revolusioner yang diterajui oleh golongan liberal dan golongan nasionalis. Golongan revolusioner di Moldavia pada awalnya hanya menuntut pembaharuan politik dalam kerangka Regulamentul Organic, tetapi berkembang kepada perjuangan menolak Regulamentul Organic yang dikenakan oleh kuasa asing dan menuntut pembaharuan politik yang menyeluruh. Berbeza dengan Revolusi Wallachia, oleh sebab pembangunan kelas menengah di Moldavia masih berada di peringkat awal sementara kehidupan politik di situ masih didominasi oleh golongan bangsawan konservatif, gerakan revolusioner di Moldavia mengambil pendirian yang lebih moderat dan bersedia untuk berkompromi dengan pihak berkuasa.
Pada 8 April 1848, golongan intelek liberal berhimpun di bandar Iași dan memutuskan untuk menyerahkan petisyen kepada Mihail Sturdza, Putera Moldavia pada masa itu. Sebuah jawatankuasa ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Vasile Alecsandri (1821-1890), seorang penyair Romania. Jawatankuasa itu merangka “Petisyen-Proklamasi” (Petiţia-proclamaţie) yang mengemukakan 35 tuntutan, termasuk pembasmian rasuah, jaminan kebebasan diri, pembaharuan sistem sekolah, pembebasan tahanan politik, penubuhan bank negara, pembentukan perhimpunan perwakilan yang lebih berkuasa dan sebagainya. Matlamat mereka ialah mewujudkan sebuah pemerintahan yang liberal moderat dan merangsang pembangunan ekonomi.
Apabila pemimpin-pemimpin liberal itu menegaskan bahawa Mihail Sturdza harus menerima semua tuntutan itu, Sturdza mengarahkan tentera untuk mematahkan gerakan liberal itu, dengan kira-kira 300 orang ditangkap. Sesetengah orang melarikan diri, termasuk Vasile Alecsandri. Tentera Rusia memasuki negeri Moldavia pada 7 Julai 1848 untuk mencegah penubuhan kerajaan revolusioner seperti yang berlaku di negeri Wallachia. Pendudukan tentera Rusia di Moldavia berterusan hingga 1 Mei 1849.

Kira-kira 50 orang pemimpin liberal Moldavia yang melarikan diri itu mengadakan pertemuan di Cernăuți (iaitu Chernivtsi, Ukraine, hari ini) yang terletak di wilayah Bukovina di bawah pemerintahan Austria. Mereka menubuhkan Jawatankuasa Revolusioner Moldova (Comitetul Revoluţionar Moldovean) dan menugaskan Mihail Kogălniceanu (1817-1891) untuk merangka pernyataan prinsip yang baharu. “Hasrat Parti Kebangsaan di Moldova” (Dorinţele partidei naţionale din Moldova) yang diterbitkan pada bulan Ogos 1848 menyeru untuk pembentukan sebuah perhimpunan yang dipilih secara demokratik dan mempunyai kuasa yang lebih besar, di samping memperluaskan autonomi kerajaan tempatan.
Rusuhan Mac di Sweden
Berita tentang Revolusi Februari di Perancis sampai di Stockholm, ibu negara Sweden, pada 2 Mac 1848. Dua minggu kemudian, pada 18 Mac 1848, poster-poster dan risalah-risalah mula diedarkan di bandar Stockholm dengan kandungan menuntut pembaharuan politik dan hak mengundi sejagat, di samping menyeru orang ramai untuk berhimpun di luar bangunan di mana sebuah bankuet diadakan pada waktu petang itu. Bankuet itu menghimpunkan kira-kira 400 orang reformis dengan hasrat menuntut pembaharuan politik untuk menampung keperluan politik kelas menengah yang pesat berkembang pada masa itu. Namun, dengan pihak polis menjumpai poster dan risalah yang menghasut pada waktu pagi, pasukan tentera dan polis dikerahkan ke jalanan Stockholm.
Pada waktu petang 18 Mac 1848, ratusan orang berhimpun di Dataran Brunkebergstorg di hadapan bangunan di mana bankuet itu diadakan. Mereka yang berhimpun itu menjerit, “Hidup pembaharuan!” Selepas bankuet itu tamat, golongan demonstran mula berarak di sepanjang jalan Storkyrkobrinken dan disertai oleh semakin ramai orang. Sesetengah demonstran melempar batu ke arah rumah kediaman seorang ahli politik konservatif. Kerajaan mengerahkan polis dan tentera untuk mematahkan demonstrasi itu.
Apabila Raja Oscar I dari Sweden dalam perjalanan pulang ke istana selepas menyaksikan satu persembahan, dia dikepung oleh sekumpulan demonstran yang meminta pada pihak berkuasa supaya membebaskan mereka yang ditangkap semasa demonstrasi. Selepas mendengar aduan itu, Raja Oscar I mengarahkan pembebasan orang yang ditahan, dan golongan demonstran pun bersurai. Namun, selepas Raja Oscar I beredar dari situ, sebuah lagi kumpulan demonstran menyerang rumah kediaman pemimpin konservatif yang lain dengan lontaran batu. Pertempuran jalanan berterusan sehingga larut malam.

Pada hari keesokannya, iaitu 19 Mac 1848, rusuhan jalanan masih berterusan. Raja Oscar I memberi arahan untuk melepaskan tembakan. Pertempuran di jalanan berlarutan selama beberapa jam. Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan ratusan orang cedera, sementara lebih 50 orang ditahan. Dengan itu, “Rusuhan Mac” (Marsoroligheterna) dipatahkan.
Rusuhan Mac di Stockholm merupakan manifestasi ketidakpuasan hati rakyat bawahan terhadap masalah pengangguran dan kemiskinan yang serius di Sweden pada masa itu. Golongan tukang kecil, yang terjejas mata pencarian mereka dengan lambakan barangan import, juga menuntut untuk memulihkan sistem kesatuan pertukangan. Sementara itu, golongan borjuis kelas menengah pula menuntut pembaharuan politik yang membolehkan penyertaan politik yang lebih meluas.
Britain
Walaupun Akta Reformasi 1832 telah memperluaskan hak mengundi kepada golongan kelas menengah, masih adanya ramai golongan kelas pekerja yang tidak mempunyai hak mengundi. Oleh itu, munculnya gerakan Piagam Rakyat (Chartism) pada tahun 1830-an. “Piagam Rakyat” (People’s Charter) yang dirangka oleh Francis Place (1771-1854) dan William Lovett (1800-1877) untuk dikemukakan oleh Persatuan Lelaki bekerja London (London Working Men’s Association) pada tahun 1838 mengandungi 6 tuntutan:
- Semua orang lelaki yang berumur 21 tahun dan ke atas berhak untuk mengundi;
- Pengundian harus dijalankan dengan undi rahsia;
- Pilihan raya parlimen diadakan setiap tahun;
- Kawasan pilihan raya harus mempunyai bilangan pengundi yang sama;
- Ahli parlimen harus dibayar (untuk membolehkan golongan pekerja juga boleh menjadi wakil rakyat tanpa perlu bimbang tentang ketiadaan pendapatan);
- Tiada syarat kelayakan harta untuk menjadi ahli parlimen.
Gerakan Piagam Rakyat mendapat sokongan daripada golongan kelas pekerja dan mencetuskan gelombang aksi protes serta mogok, tetapi momentumnya sudah merosot menjelang pertengahan tahun 1840-an.
Apabila mendapat berita tentang Revolusi Februari 1848 di Perancis, golongan aktivis gerakan Piagam Rakyat meningkatkan semula aktiviti mereka. Pada bulan Mac 1848, aksi protes diadakan di Manchester, Glasgow dan Dublin.

Pada 10 April 1848, kira-kira 50,000 orang berhimpun di kawasan lapang Kennington Common di London. Oleh sebab, kerajaan Britain mengenakan pelbagai sekatan dan ugutan di samping mengerahkan pasukan polis dalam jumlah yang besar, pemimpin-pemimpin gerakan Piagam Rakyat yang menganjurkan perhimpunan itu membatalkan rancangan awal mereka untuk berarak ke Parlimen. Petisyen dengan tandatangan dihantar dengan tiga buah kereta kuda ke Parlimen, tetapi ditolak oleh Parlimen. Gerakan Piagam Rakyat berakhir dengan menemui kegagalan.
Pemberontakan Ireland Muda
Pada 29 Julai 1848, anggota-anggota gerakan “Ireland Muda” dipimpin oleh William Smith O’Brien (1803-1864) melancarkan pemberontakan di Ballingarry, sebuah kampung kecil di bahagian selatan Ireland. Golongan pemberontakan bertempur secara tembak-menembak dengan polis untuk beberapa jam, tetapi terpaksa berundur apabila pasukan polis yang lebih besar bilangannya sampai di situ.

Pihak berkuasa British kemudiannya menahan pemimpin-pemimpin Ireland Muda, termasuk O’Brien yang ditangkap pada 5 Ogos 1848. O’Brien pada asalnya dijatuhkan hukuman mati, tetapi selepas penyerahan petisyen yang ditandatangani 70,000 orang di Ireland dan 10,000 orang di England, hukumannya dikurangkan kepada pembuangan negeri seumur hidup di Tasmania.
Belanda
Walaupun tiadanya kebangkitan rakyat yang radikal di Belanda, pergolakan revolusioner di negara-negara jirannya menyebabkan Raja Willem II bersetuju dengan pembaharuan liberal dan demokratik. Sebuah jawatankuasa ditubuhkan pada 17 Mac 1848 untuk menyemak semula perlembagaan, dengan Johan Rudolph Thorbecke (1798-1872), seorang tokoh politik liberal yang penting di Belanda pada masa itu, sebagai ketuanya.

Perlembagaan baharu yang diisytihar pada 3 November 1848 telah memperkenalkan beberapa pembaharuan penting, termasuk kerajaan bertanggungjawab kepada parlimen yang dipilih melalui pilihan raya, sementara hak sivil dan politik diperluaskan (merangkumi kebebasan berhimpun, kebebasan berpersatuan, privasi dalam surat-menyurat, kebebasan beragama dan kebebasan pendidikan). Dengan itu, sistem raja berperlembagaan diperkukuhkan di Belanda.
Pilihan raya umum yang diadakan pada 30 November dan 4 Disember 1848, merupakan pilihan raya yang pertama untuk memilih wakil ke dalam Dewan Perwakilan di Belanda. Walau bagaimanapun, oleh sebab kelayakan mengundi hanya terhad kepada lelaki yang berumur lebih 23 tahun dan membayar cukai ke sesuatu tahap, hanya kira-kira 11% daripada golongan lelaki berumur lebih 23 tahun atau 2.5% daripada jumlah penduduk di Belanda layak untuk mengundi pada masa itu.
Belgium
Negara Belgium, yang mencapai kemerdekaan dan mewujudkan sistem raja berperlembagaan selepas Revolusi 1830, tidak mengalami revolusi yang hebat seperti negara-negara jirannya, tetapi pihak berkuasa masih bimbang tentang ancaman kepada susunan pemerintahan borjuis liberal yang sedia ada. Karl Marx menulis Manifesto Komunis semasa dia berada di Brussel, ibu negara Belgium.
Selepas Revolusi Februari 1848 di Perancis, pekerja-pekerja migran Belgium di di Paris yang teruja dengan pergolakan revolusioner itu beria-ia untuk pulang ke Belgium dengan impian menjatuhkan pemerintahan monarki dan menubuhkan sebuah republik seperti apa yang berlaku di Perancis. Mereka menubuhkan “Persatuan Demokrat Belgium” (Association des démocrates belges). Pada awal bulan Mac 1848, pihak berkuasa Belgium mengusir Karl Marx dari Brussel dan negara itu atas dakwaan dia menaja golongan revolusioner Belgium yang hendak menjatuhkan kerajaan dengan keganasan.

Golongan migran Belgium di Perancis menubuhkan “Legion Belgium” untuk menyeberangi sempadan Belgium dan melancarkan pemberontakan di situ. Kumpulan pertama yang menaiki kereta api dihalang pada 26 Mac 1848 di Quiévrain yang terletak di sempadan dan dilucutkan senjata mereka. Kumpulan kedua bertembung dengan tentera Belgium pada 29 Mac 1848 di Risquons-Tout, dan ditewaskan. 60 orang pejuang revolusioner ditangkap, antaranya 17 orang dihukum mati.
Golongan liberal mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Parlimen Belgium yang diadakan pada 16 Jun 1848. Oleh sebab mengenakan syarat kelayakan pembayaran cukai, hanya 1.8% daripada jumlah penduduk di negara itu layak untuk mengundi.
Wanita dalam Revolusi 1848
Golongan wanita, yang dipinggirkan sejak kemunculan sistem patriarki yang berkembang sejajar dengan masyarakat kelas, telah memainkan peranan yang kritikal dalam perjuangan revolusioner zaman moden, tetapi sering disisihkan, bukan sahaja oleh golongan pemerintah yang berkuasa, malah juga oleh sebahagian besar kepimpinan revolusioner yang terdiri daripada golongan lelaki yang masih terperangkap dalam kerangka pemikiran patriarki. Walau bagaimanapun, ia tetap tidak dapat menghalang golongan wanita daripada mengambil bahagian dalam proses revolusi.

Salah satu tuntutan utama yang dibawa oleh gerakan revolusioner demokrat pada tahun 1848 ialah memperluaskan hak mengundi kepada lapisan masyarakat yang lebih luas. Namun, bagi kebanyakan golongan demokrat liberal malah golongan demokrat radikal, lapisan masyarakat yang lebih luas itu tidak termasuk golongan wanita. Mereka tidak memperjuangkan hak mengundi bagi wanita. Pada masa itu, oleh sebab kongkongan pemikiran seksis dan patriarki yang dominan begitu lama dalam masyarakat kelas, idea untuk wanita mempunyai hak mengundi masih di luar imaginasi kebanyakan golongan lelaki, malah ramai dalam kalangan golongan wanita.
Di negeri-negeri Jerman yang berada di bawah bayangan pemerintahan konservatif Prusia dan Austria, golongan wanita sering dihadkan peranan mereka di ruangan peribadi sementara ruang awam didominasi oleh golongan lelaki, kecuali sesetengah wanita kelas borjuis yang mempunyai peluang untuk menjadi sekadar pemerhati dalam perbincangan politik yang didominasi oleh golongan lelaki di salon atau dewan perundangan. Namun, semasa zaman Vormärz (tempoh antara Kongres Vienna dan Revolusi Mac 1848), terbukanya ruang tertentu untuk penglibatan wanita. Golongan wanita borjuis boleh melibatkan diri dalam kewartawanan politik Vormärz dan menganjurkan perbincangan politik dalam salon-salon separa terbuka.
Golongan wanita telah berjaya berjuang untuk mendapatkan akses kepada galeri pelawat di beberapa buah parlimen tempatan di negeri-negeri Jerman yang lebih liberal sebelum tahun 1848. Oleh itu, golongan wanita boleh memasuki dewan persidangan Parlimen Frankfurt di Gereja St. Paul, walaupun hanya sekadar penonton di tepi. Wanita dianggap sebagai sebahagian daripada bangsa Jerman yang sedang membangun itu, tetapi perwakilan politik kebangsaan itu dipegang sepenuhnya oleh golongan lelaki pada masa itu. Walau bagaimanapun, wanita yang hadir sebagai pemerhati persidangan parlimen itu memaklumkan kawan-kawan serta keluarga mereka melalui surat-menyurat tentang perbahasan yang sedang berlaku, di samping mencatatkan pemerhatian mereka dalam diari.
Terdapat wanita yang peka pada politik cuba mempengaruhi perbincangan dengan cara yang tidak formal. Sebagai contoh, Clotilde Koch-Gontard (1813-1869), seorang wanita daripada keluarga borjuis kaya, mengendalikan sebuah salon di Frankfurt yang sering dikunjungi oleh ahli-ahli perwakilan Parlimen Frankfurt, maka mendorong komunikasi politik antara parlimen dan masyarakat bandar.

Louise Otto-Peters (1819-1895), seorang penulis wanita yang berasal dari Meissen di negeri Sachsen, pernah menulis pada tahun 1843 dalam suratnya kepada pengarang akhbar Sächsische Vaterlands-Blätter (Akhbar Tanah Air Sachsen), “Penyertaan wanita demi kepentingan negara bukan sahaja hak, tetapi kewajipan.” Louise Otto mengadvokasi beberapa cara untuk memperbaiki kedudukan wanita dalam masyarakat, terutamanya dalam hak pendidikan dan pekerjaan yang membawa pulangan setimpal.
Jika peranan wanita borjuis di parlimen dan kelab politik hanya sekadar pemerhati dan pengulas di ruangan penonton, peranan wanita kelas menengah dan kelas bawahan dalam revolusi pula lebih kepada berjuang bersama-sama golongan lelaki di benteng-benteng jalanan walaupun jumlahnya masih sangat kecil dan jarang diberi perhatian dalam naratif arus perdana. Adanya juga wanita yang memainkan peranan sokongan kepada perjuangan di jalanan, seperti memberi rawatan kepada mereka yang cedera dalam pertempuran.
Amalie Struve (1824-1862), seperti suaminya Gustav Struve, merupakan seorang demokrat radikal yang mengangkat senjata untuk memberontak semasa Revolusi Baden 1848-1849. Amalie Struve terlibat dalam ketiga-tiga pemberontakan di Baden. Amalie Struve ditangkap selepas Pemberontakan Baden Kedua dipatahkan pada bulan September 1848, dan dipenjarakan di Freiburg sehingga bulan April 1849. Amalie Struve terus melibatkan diri dalam Pemberontakan Mei atau Pemberontakan Baden Ketiga selepas dibebaskan dari penjara. Amalie Struve dapat melarikan diri bersama suaminya selepas Revolusi Baden dipatahkan dan kemudiannya hidup dalam buangan di Amerika Syarikat, di mana dia menghasilkan banyak tulisan yang menyokong gerakan wanita seperti hak mengundi untuk wanita dan pendidikan bagi wanita. Emma Herwegh (1817-1904) juga merupakan salah seorang lagi tokoh wanita pejuang demokrat radikal yang melibatkan diri dalam Revolusi Baden.

Henriette Zobel (1813-???), seorang wanita kelas menengah yang berasal dari Hessen dan merupakan salah seorang penonton persidangan Parlimen Frankfurt, terlibat dalam “Rusuhan September” di Frankfurt, di mana dia dituduh membunuh Hans von Auerswald (seorang jeneral tentera Prusia) dan Felix Lichnowsky (seorang bangsawan) yang merupakan ahli perwakilan yang konservatif dalam Parlimen Frankfurt, dengan menggunakan sebatang payung pada 18 September 1848. Henriette Zobel dijatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun. Payung yang digunakan oleh Henriette Zobel kini disimpan dan dipamerkan di Muzium Sejarah Frankfurt.
Pauline Wunderlich (1825-???), seorang pembantu rumah wanita yang berasal dari Thüringen, telah menyertai pemberontakan di Dresden pada bulan Mei 1849 dan bertempur di benteng jalanan. Selepas Pemberontakan Dresden dipatahkan oleh tentera Prusia dan tentera Sachsen, Pauline Wunderlich ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Namun, dia dibebaskan pada tahun 1852, dan kemudiannya hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.
Semasa Revolusi 1848, semakin banyak wanita menyedari bahawa janji politik untuk kebebasan tidak boleh direalisasikan sepenuhnya jika kebebasan itu hanya untuk golongan lelaki sementara separuh daripada umat manusia masih dilayan seperti hamba. Golongan wanita yang menyedari tentang hak mereka itu juga kecewa dengan hanya beberapa orang lelaki yang menyedari keadaan wanita yang tertindas itu, maka sesetengah wanita mula berorganisasi dan menerbitkan risalah mereka sendiri.

Di Empayar Austria, Revolusi Mac membawa kepada pilihan raya pertama untuk Diet Imperial dan membuka ruang kepada penglibatan politik orang ramai. Namun, lelaki kelas pekerja dan wanita masih dikecualikan daripada proses politik. Walau bagaimanapun, golongan perintis gerakan wanita mula bersuara melalui risalah dan rencana akhbar. Mereka menyeru, “Kami menuntut kesamarataan untuk hak politik. Mengapakah wanita tidak boleh dipilih ke dalam Parlimen?” Dalam sebuah risalah yang diterbitkan di Vienna pada tahun 1848 dengan tajuk “Kesamarataan Semua Hak antara Lelaki dan Wanita; atau: Wanita sebagai Pengundi, Ahli Perwakilan dan Wakil yang Dipilih”, golongan wanita menuntut hak politik untuk wanita kerana ia merupakan “hak yang tidak dapat dinafikan, tidak dapat diasingkan, sentiasa wujud dan tidak boleh dihapuskan bagi wanita”.
Pada 21 Ogos 1848, apabila kerajaan imperial Austria mengumumkan pemotongan gaji wanita yang bekerja sebagai penggali di tapak binaan awam, sekumpulan pekerja wanita bersama-sama sebilangan pekerja lelaki berdemonstrasi di jalanan bandar Vienna, dengan tuntutan menarik balik arahan pemotongan gaji wanita itu. Aksi itu merupakan demonstrasi wanita yang pertama di Vienna. Dua hari kemudian, dalam peristiwa yang dikenali sebagai Praterschlacht, Pengawal Sivik dikerahkan untuk mematahkan demonstrasi itu dan tercetusnya pertempuran berdarah di jalanan Vienna.

Perlembagaan Pillersdorf yang diisytihar pada bulan April 1848, walaupun dikritik oleh ramai orang, ia telah membenarkan warga wanita untuk menyertai dan menubuhkan persatuan. Apabila golongan wanita dikecualikan daripada persatuan lelaki, mereka mula menubuhkan persatuan sendiri. Pada 28 April 1848, kira-kira 150 orang wanita yang kebanyakannya daripada kelas menengah berhimpun di taman awam Volksgarten untuk membincangkan pembentukan, fungsi dan perlembagaan sebuah persatuan wanita. “Persatuan Wanita Demokratik Vienna” (Wiener Demokratischer Frauenverein) merupakan satu-satunya persatuan politik wanita yang menyokong gerakan revolusioner pada tahun 1848 sebelum revolusi dipatahkan. Karoline von Perin-Gradenstein (1806-1888) dipilih sebagai Presiden Persatuan Wanita Demokratik Vienna yang memperjuangkan hak sama rata untuk lelaki dan wanita. Anggota-anggota persatuan itu memberi bantuan perubatan kepada mereka yang cedera semasa pemberontakan di Vienna. Karoline von Perin-Gradenstein pernah ditahan selama 23 hari selepas pihak berkuasa menumpaskan Pemberontakan Vienna pada bulan Oktober 1848.
Cristina Trivulzio Belgiojoso (1808-1871), seorang wanita bangsawan Itali yang mendukung idea-idea revolusioner Mazzini, mengorganisasi dan menaja pasukan askar yang bertempur dalam pemberontakan rakyat Milan terhadap pemerintahan Austria. Selepas revolusi di Milan digagalkan, dia pergi ke Paris dan menulis rencana dalam majalah Revue des deux Mondes mengenai perjuangan di Itali. Cristina Trivulzio Belgiojoso pulang ke Itali pada tahun 1849 untuk menyokong Republik Rom yang dipimpin oleh Mazzini, di mana dia menjadi pengarah sebuah hospital di situ sehingga Republik Rom ditumpaskan oleh tentera Perancis.

Di Hungary, golongan wanita yang terlibat dalam revolusi di situ mengemukakan “Tuntutan-tuntutan Wanita Hungary Radikal” pada bulan April 1848, untuk menegakkan hak penyertaan wanita dalam kehidupan awam dan menekankan peranan penting mereka dalam revolusi. Petisyen yang mengandungi 24 perkara itu menyatakan bahawa golongan wanita di Hungary harus mengambil bahagian secara aktif dalam hal ehwal awam.
Di Perancis, tidak lama selepas Revolusi Februari 1848, “La Voix des Femmes” (Suara Wanita), sebuah akhbar feminis sosialis yang diasaskan oleh Eugénie Niboyet (1796-1883) mula diterbitkan pada 20 Mac 1848. La Voix des Femmes juga berkembang menjadi sebuah kelab politik yang anggotanya terdiri daripada feminis sosialis penting pada masa itu seperti Suzanne Voilquin (1801-1877), Pauline Roland (1805-1852), Élisa Lemonnier (1805-1865), Jeanne Deroin (1805-1894), Désirée Gay (1810-1891). Désirée Gay telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk memiliknegarakan restoran dan dobi. Jeanne Deroin telah menerajui usaha menuntut hak mengundi untuk wanita. Golongan feminis sosialis Perancis juga berkempen untuk memperjuangkan lebih banyak hak bagi wanita, di samping menentang eksploitasi kanak-kanak dan layanan buruk terhadap banduan.

La Voix des Femmes yang memperjuangkan kesamarataan politik itu pernah mencadangkan untuk menamakan George Sand, seorang penulis novel dan tokoh feminis liberal yang terkenal pada masa itu, sebagai calon dalam pilihan raya Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan pada bulan April 1848, tetapi George Sand menolak cadangan itu kerana dia lebih memberi perhatian kepada pendidikan dan kesamarataan wanita dalam ruangan persendirian. Pertikaian antara George Sand dan La Voix des Femmes menyebabkan perpecahan dalam kalangan golongan feminis semasa Revolusi 1848.
La Voix des Femmes ditutup berikutan Pemberontakan Jun 1848 di Paris, apabila kerajaan mengambil tindakan keras untuk membubarkan organisasi-organisasi politik sosialis. Jeanne Deroin dan Désirée Gay membangunkan persatuan wanita baharu untuk memberi kursus percuma kepada pekerja-pekerja wanita. Mereka juga cuba menerbitkan akhbar baharu tetapi sering disekat oleh pihak berkuasa. Jeanne Deroin bertanding dalam pilihan raya parlimen Perancis pada tahun 1849, menjadikannya wanita pertama di Perancis yang bertanding dalam pilihan raya umum, tetapi dia hanya memperoleh 15 undi, dengan salah satu sebabnya dia tidak akan dibenarkan untuk menjadi ahli parlimen jika dia menang pun pada masa itu.

Revolusi demokratik borjuis yang tidak dapat disempurnakan
Revolusi 1848 ialah revolusi demokratik borjuis yang hebat tetapi menemui kegagalan. Ramai pejuang revolusioner tumbang dalam pertempuran dengan kuasa reaksioner. Impian penyatuan negara di Jerman dan Itali tidak tercapai buat sementara waktu. Golongan liberal di Perancis memeluk semula susunan yang dijamin kestabilannya di bawah sebuah empayar, bukannya republik demokratik yang bebas dan terbuka. Golongan radikal dan golongan sosialis dikhianati oleh golongan liberal.
Revolusi 1848 boleh dikatakan sebagai cubaan kelas menengah dalam masyarakat kapitalis untuk menjadikan diri mereka sebagai kelas pemerintah secara politik. Ia ialah revolusi politik bagi golongan liberal kelas menengah untuk merampas kuasa politik daripada golongan konservatif reaksioner Zaman Metternich. Namun, Revolusi 1848 juga disertai oleh kelas pekerja yang sedang memuncul dengan keluhan sosioekonomi mereka. Kelas pekerja dan lapisan masyarakat bawahan cuba memperjuangkan perubahan yang dapat memperbaiki kehidupan sosioekonomi mereka. Tuntutan sosioekonomi yang radikal boleh membawa kepada revolusi sosial, yang mungkin mengubah struktur masyarakat kelas sedia ada, maka boleh menjejaskan juga kepentingan kelas borjuis kecil dan kelas menengah. Oleh itu, golongan liberal kelas menengah takut pada revolusi sosial, dan cuba mengehadkan perjuangan itu dalam skop revolusi politik yang agak sempit.
Pada peringkat awal, golongan liberal moderat berganding bahu dengan golongan radikal yang berhaluan kiri dalam usaha perjuangan revolusioner yang menewaskan kekuasaan golongan konservatif reaksioner. Kedua-dua “Metternich dan Guizot” yang memasuki perikatan suci untuk mengusir “hantu komunisme” seperti yang diungkapkan dalam Manifesto Komunis dan nampaknya masih kukuh kekuasaan mereka pada masa itu, telah digulingkan dalam tempoh tiga minggu sahaja selepas Manifesto Komunis itu diterbitkan. Nampaknya Eropah sedang memasuki lembaran sejarah yang baharu menjelang musim bunga tahun 1848.

Namun, selepas tuntutan pembaharuan liberal yang moderat itu dicapai dan mereka sendiri menjadi sebahagian daripada kerajaan, golongan liberal moderat itu meninggalkan golongan kiri radikal dan kelas-kelas bawahan yang pernah memperjuangkan pembaharuan liberal itu secara bermati-matian. Malah, golongan liberal yang berkuasa itu sanggup menggunakan kekerasan dan keganasan untuk mematahkan kebangkitan golongan radikal dan kelas pekerja dengan cara yang pernah digunakan oleh golongan konservatif reaksioner. Pengkhianatan golongan liberal moderat terhadap golongan kiri radikal dan kelas-kelas bawahan itu menyebabkan golongan liberal moderat kehilangan sokongan yang diperlukan oleh mereka untuk meneruskan pembaharuan politik, jika mereka masih berhasrat untuk berbuat demikian.
Dengan golongan liberal moderat semakin kehilangan sokongan daripada kelas-kelas bawahan sementara golongan kiri radikal ditindas dengan teruknya, golongan konservatif reaksioner mengambil kesempatan untuk melakukan kontra-revolusi yang menjatuhkan golongan liberal moderat, maka “melengkapkan” kitaran perubahan yang seolah-olah kembali kepada titik permulaan yang sama.
Revolusi 1848 boleh mencapai kejayaan awal yang mengagumkan, seperti menjatuhkan pemerintahan Monarki Julai, menggulingkan Canselor Metternich dan memaksa pemerintah monarki untuk bersetuju dengan tuntutan pembaharuan liberal, adalah kerana wujudnya gerakan massa yang menggabungkan golongan borjuis kecil, golongan profesional, golongan tukang kecil dan golongan pekerja. Kekuatan massa yang menjadi penentu kepada usaha perjuangan revolusioner. Kekuatan massa yang memaksa golongan pemerintah yang berkuasa itu untuk berkompromi dan bersetuju dengan tuntutan pembaharuan.

Walaupun golongan revolusioner (atau sekurang-kurangnya reformis) daripada kelas-kelas sosial yang berbeza itu mempunyai kepentingan kelas yang berbeza dan hala tuju perjuangan yang berlainan, mereka mempunyai musuh yang sama pada awalnya, iaitu golongan pemerintah konservatif reaksioner yang melindungi kepentingan kelas yang lebih sempit. Akan tetapi, apabila musuh utama itu, seperti Metternich dan Guizot, berjaya dijatuhkan, percanggahan antara golongan revolusioner daripada kelas-kelas sosial yang berbeza itu mula timbul. Dalam kalangan kelas menengah yang sama pun, wujudnya golongan yang lebih konservatif hingga golongan yang lebih radikal.
Apabila golongan liberal moderat atau golongan reformis yang lebih konservatif memegang kuasa, mereka hanya bersedia untuk melakukan pembaharuan di bawah kerangka susunan masyarakat yang sedia ada. Mereka tidak berhasrat untuk mengubah struktur kuasa dan susunan sosioekonomi yang sedia ada. Oleh itu, mereka berpuas hati dengan pembaharuan moderat seperti perlembagaan yang lebih liberal berbanding sebelum itu dan perluasan hak mengundi kepada lebih banyak orang (tetapi lebih baik tidak termasuk golongan pekerja dan kelas bawahan). Mereka takut pada revolusi sosial yang mengancam kepentingan kelas borjuis. Oleh itu, mereka sanggup menggunakan keganasan untuk mematahkan kebangkitan kelas pekerja, walaupun pekerja-pekerja yang bangkit itu mungkin hanya menuntut pembaharuan yang moderat untuk menambah baik kehidupan ekonomi mereka. Apabila tercetusnya Pemberontakan Jun di Paris, golongan kelas menengah yang menyertai Pengawal Kebangsaan tidak lagi bertempur bersama-sama golongan pekerja di pihak yang sama, sebaliknya berada bersama pihak lawan yang sedang memerintah.

Oleh itu, selepas melalui “musim bunga” yang menyaksikan bunga revolusi bermekar di merata tempat, menjelang musim panas tahun 1848, perpecahan antara golongan liberal dan golongan radikal, antara golongan elit kelas menengah dan golongan kelas pekerja, menjadi semakin ketara. Ini membuka ruang bernafas kepada golongan konservatif reaksioner yang kehilangan kuasa (tetapi bukan sepenuhnya) untuk mengatur serangan balas terhadap revolusi.
Golongan pemerintah konservatif reaksioner pada awalnya dikejutkan oleh gelombang revolusi yang hebat, sehingga ada yang terpaksa melarikan diri dari ibu negara sementara ada yang perlu berkompromi dengan pembaharuan yang tidak disukai mereka. Namun, menjelang musim luruh tahun 1848, golongan konservatif reaksioner menggunakan kesempatan gerakan revolusioner yang dilemahkan oleh sebab perpecahan liberal-radikal itu untuk melancarkan kontra-revolusi demi mengembalikan kuasa mereka.

Apabila golongan pemerintah konservatif reaksioner menarik balik janji-janji pembaharuan yang ditaburkan pada ketika revolusi memuncak, golongan liberal moderat cuba melawan balik tetapi mereka mendapati bahawa sudah tiada lagi sokongan daripada massa terbanyak. Golongan kelas pekerja yang pernah bertempur bersama-sama golongan liberal kelas menengah di benteng-benteng jalanan semasa Revolusi Mac 1848 di negeri-negeri Jerman, tidak lagi sudi bertempur bersama-sama mereka di pihak yang sama semasa Pemberontakan Mei 1849, selepas menyaksikan bagaimana golongan liberal demokrat mengkhianati golongan kelas pekerja seperti penumpasan Pemberontakan Jun 1848 di Paris.
Tambahan pula, golongan liberal moderat yang cuba membawa perubahan melalui ucapan yang membakar semangat di dalam dewan perundangan dan tulisan yang diterbitkan dalam akhbar atau risalah, tidak dapat menyampaikan idea-idea mereka kepada penduduk-penduduk kawasan desa yang membentuk majoriti dalam masyarakat di Eropah pada masa itu.
Walaupun pasif pada kebanyakan masanya, golongan petani memainkan peranan yang ketara dalam mana-mana revolusi di negara dengan sektor ekonomi utamanya masih pertanian. Di Perancis pada tahun 1789, petani-petani masih dibebankan dengan cukai feudal, maka revolusi merebak ke kawasan desa. Pada tahun 1848, feudalisme sudah dihapuskan di Perancis, sementara golongan pemerintah di negara-negara Eropah Tengah juga melulu untuk menghapuskan institusi feudal yang masih wujud, maka kebanyakan kawasan luar bandar senyap sahaja pada ketika bandar-bandar dijilat api revolusi. Paris yang revolusioner itu diasingkan, dipulaukan dan dihancurkan.

Askar-askar yang direkrut daripada golongan petani di kawasan luar bandar dikerahkan untuk menumpaskan pemberontakan kelas pekerja di kawasan bandar. Apabila hak mengundi diperluaskan, majoriti pengundi di kawasan luar bandar memberi undi mereka kepada pemimpin-pemimpin konservatif reaksioner yang menjanjikan kestabilan atau ahli-ahli politik populis yang menampilkan diri mereka sebagai “penyelamat” seperti Louis Bonaparte. Perkara yang serupa berlaku di negara-negara lain di Eropah. Golongan konservatif reaksioner menggunakan penduduk-penduduk kawasan luar bandar untuk menghancurkan bandar-bandar lain yang revolusioner seperti Berlin, Prague dan Vienna.
Tiada sokongan daripada kelas pekerja di bandar, dan tiada juga sokongan daripada golongan petani di desa, golongan liberal moderat tidak mempunyai apa-apa sokongan massa untuk mempertahankan diri mereka daripada serangan golongan konservatif reaksioner yang menguasai jentera negara seperti polis dan tentera.
Akhir sekali, revolusi borjuis yang sepatutnya melindungi kepentingan kelas borjuis moden dan merealisasikan liberalisme kelas menengah, tidak dapat disempurnakan oleh golongan liberal yang mewakili kepentingan kelas menengah borjuis.

Begitu juga dengan revolusi nasionalis yang sepatutnya membentuk sebuah negara bangsa baharu yang mampu menyatukan masyarakat untuk kemajuan kapitalisme moden, juga tidak dapat dijayakan oleh golongan nasionalis liberal. Yang ironinya sekali, penyatuan Jerman yang diperjuangkan dalam Revolusi Mac 1848 dan Parlimen Frankfurt akhirnya dicapai juga, tetapi bukan oleh golongan nasionalis liberal seperti ahli-ahli perwakilan yang bersidang dalam Parlimen Frankfurt, sebaliknya oleh musuh Revolusi Mac 1848 dan golongan berkuasa yang memusnahkan Parlimen Frankfurt.
Otto von Bismarck bercakap pada tahun 1862 semasa dia baru dilantik sebagai Perdana Menteri Prusia, “Jerman tidak memandang kepada liberalisme Prusia, tetapi kepada kuasanya; Bavaria, Württemberg, Baden boleh menikmati liberalisme, dan oleh sebab itu tiada sesiapa akan memberikan mereka peranan Prusia. Prusia harus menggabungkan dan menumpukan kuasanya untuk masa yang sesuai, yang sudah terlepas beberapa kali. Sempadan Prusia mengikut perjanjian Vienna tidak menguntungkan bagi sebuah negara yang sihat dan penting. Persoalan-persoalan besar zaman ini tidak diputuskan melalui ucapan dan resolusi majoriti – itu adalah kesilapan 1848 dan 1849 – tetapi melalui besi dan darah.” Dengan itu, Jerman mencapai penyatuan melalui kekuatan kuasa yang ganas dan kempen ketenteraan Prusia. Oleh sebab itu juga, imperialisme Jerman menonjolkan ciri-ciri ketenteraan dan autoritarian yang sangat ketara.

Revolusi 1848 pada awalnya memberikan harapan besar apabila rakyat di Eropah berjaya memenangi hak-hak demokratik, tetapi apabila kekuasaan diserahkan kepada golongan elit liberal borjuis, mereka mengkhianati perjuangan revolusioner, dan memberi ruang kepada kontra-revolusi reaksioner. Pierre-Joseph Proudhon pernah merungut tentang peluang pembebasan yang terlepas itu, “Kami telah dipukul dan dihina. Kami semua bercerai-berai, dipenjarakan, dilucutkan senjata dan dibungkam. Nasib demokrasi Eropah telah tergelincir dari tangan kita – dari tangan rakyat – ke dalam Pengawal Praetoria.”
Generasi Empat Puluh Lapan
Selepas gelombang Revolusi 1848 dipatahkan oleh kuasa konservatif reaksioner, ramai dalam kalangan golongan revolusioner, terutamanya mereka dari negeri-negeri Jerman dan Empayar Austria, terpaksa melarikan diri dari tanah air mereka dan hidup dalam buangan, sama ada di benua Amerika atau negara-negara Eropah di bawah pemerintahan yang lebih liberal, seperti Britain dan Belanda.
Golongan bekas revolusioner yang hidup dalam buangan itu dikenali sebagai “Orang Empat Puluh Lapan” (Forty-Eighters). Mereka ialah generasi yang melalui satu gelombang revolusioner yang hebat tetapi dipatahkan dengan cepat. Namun, pengalaman mereka dalam Revolusi 1848 telah membentuk corak pemikiran mereka yang bakal mempengaruhi generasi-generasi selepas mereka. Malah, adanya dalam kalangan “Orang Empat Puluh Lapan” itu menyumbang kepada proses perubahan di negara di mana mereka hidup dalam buangan.

Lajos Kossuth, yang melarikan diri selepas Revolusi Hungary ditumpaskan, pergi ke Empayar Uthmaniyah sebelum merantau ke Britain dan Amerika Syarikat. Kossuth disambut meriah seperti selebriti apabila dia menyampaikan ceramah di banyak tempat di Britain. Dia juga mendapat sambutan serupa di Amerika Syarikat. Kossuth masih berhasrat untuk memperjuangkan nasib Hungary semasa hidup dalam buangan, dan menjalin hubungan dengan golongan revolusioner dari negara lain yang juga hidup dalam buangan, seperti Giuseppe Mazzini dari Itali and Stanisław Gabriel Worcell (1799-1857) dari Poland. Ramai dalam kalangan golongan veteran pejuang Hungary menyertai tentera revolusioner pimpinan Giuseppe Garibaldi untuk membebaskan Itali daripada cengkaman kekuasaan Austria. Kossuth membantah pemimpin nasionalis lain seperti Ferenc Deák (1803-1876) yang bersetuju dengan Kompromi Austria-Hungary pada tahun 1867, kerana Hungary masih tidak mencapai kemerdekaan sepenuhnya. Walaupun Kossuth tidak lagi pulang ke Hungary, dia menjadi pemimpin spiritual kepada Parti Kemerdekaan dan ’48 (F48P), parti pembangkang utama di Parlimen Hungary pada penghujung abad ke-19.
Carl Schurz (1829-1906), seorang pelajar Jerman yang memperjuangkan pembaharuan demokratik liberal semasa Revolusi 1848, pernah menyertai pemberontakan di Pfalz dan Baden pada bulan Mei 1849. Schurz berada di Kubu Rastatt semasa ia ditawan oleh tentera Prusia pada bulan Julai 1849, tetapi dia berjaya melarikan diri ke Switzerland. Schurz menyeludup masuk semula ke Prusia pada tahun 1850 untuk menyelamatkan Gottfried Kinkel (1815-1882), seorang profesor yang pernah mengajarnya di Universiti Bonn, dari sebuah penjara di Berlin. Kinkel melarikan diri ke London, dan kemudiannya menyertai Liga Komunis tetapi berselisih dengan Karl Marx. Carl Schurz pula pergi ke Paris selepas menyelamatkan Kinkel dari penjara, tetapi diusir keluar dari Perancis semasa rampasan kuasa Louis Bonaparte pada tahun 1851.

Schurz berpindah ke London dan kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1852. Di Amerika Syarikat, Schurz menyertai Parti Republikan dan menjadi seorang jeneral Tentera Kesatuan (Union Army) di Utara yang bertempur dengan tentera Konfederasi Negeri-negeri Amerika di Selatan semasa Perang Saudara Amerika (1861-1865). Schurz dipilih sebagai Senator yang mewakili negeri Missouri pada tahun 1869-1875, dan kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Dalam Negeri Amerika Syarikat pada tahun 1877-1881 semasa Rutherford B. Hayes menjadi Presiden Amerika Syarikat.
Gustav Struve, pemimpin demokrat radikal yang penting dalam Revolusi Baden dengan menerajui pemberontakan sebanyak tiga kali, juga menyertai Tentera Kesatuan dalam Perang Saudara Amerika sebagai kapten di bawah perintah Brigedier Jeneral Louis Blenker (1812-1863), seorang pegawai tentera dari Jerman yang memberontak semasa Revolusi Baden 1848-1849. Namun, Struve meletak jawatannya dalam Tentera Kesatuan pada tahun 1862 kerana dia enggan diletakkan di bawah perintah pengganti Blenker, Felix Salm-Salm, seorang pegawai tentera Prusia yang pernah bertempur bagi pihak kontra-revolusioner.
Semasa di Amerika Syarikat, Struve berpegang kuat pada pendirian memansuhkan sistem perhambaan. Dia membantah rancangan untuk mewujudkan sebuah petempatan jajahan di Liberia, Afrika Barat, bagi hamba-hamba yang dibebaskan kerana dia berpandangan bahawa pendekatan itu hanya menghalang usaha pemansuhan sistem perhambaan di Amerika Syarikat.

Friedrich Hecker, rakan seperjuangan Gustav Struve, tidak ketinggalan dalam menyertai Tentera Kesatuan. August Willich, seorang anggota Liga Komunis yang merupakan ketua pasukan sukarelawan revolusioner yang turut disertai oleh Friedrich Engels dan terlibat dalam Pemberontakan Mei 1849, juga berhijrah ke Amerika Syarikat dan kemudiannya menyertai Tentera Kesatuan dalam Perang Saudara Amerika.
Selain Carl Schurz, Gustav Struve, Friedrich Hecker dan August Willich, terdapat ramai lagi golongan revolusioner pada tahun 1848 melibatkan diri dalam Perang Saudara Amerika dengan menyertai Tentera Kesatuan, seperti Franz Sigel dari Jerman, Charles Zagonyi (1822-1870) dari Hungary, Albin Francisco Schoepf (1822-1886) yang berasal dari Poland tetapi menyertai Revolusi Hungary, Joseph Weydemeyer (1818-1866) yang merupakan anggota Liga Komunis dari Jerman, Oswald Dietz (1823-1898) yang juga merupakan anggota Liga Komunis di Jerman dan banyak lagi. Kira-kira 200,000 orang askar yang berasal dari Jerman menyertai Tentera Kesatuan, membentuk kira-kira 10% daripada seluruh angkatan tentera pihak Kesatuan di Utara Amerika Syarikat.

Impak Revolusi 1848
“Belum pernah lagi wujudnya sebuah revolusi yang begitu diilhamkan oleh kepercayaan tanpa batas dalam kuasa idea; belum pernah lagi sebuah revolusi begitu menjejaskan kewibawaan kuasa idea dalam hasilnya. Kejayaan revolusi itu menjejaskan kewibawaan idea konservatif; kegagalan revolusi itu menjejaskan kewibawaan idea liberal. Selepas itu, tiada apa-apa yang tinggal kecuali idea tentang Kuasa, dan idea inilah yang mengemudi haluan sejarah Jerman sejak itu. Buat pertama kalinya sejak tahun 1521, rakyat Jerman melangkah ke tengah-tengah pentas Jerman hanya untuk terlepas peluang mereka sekali lagi,” begitu tulisnya A. J. P. Taylor (1906-1990), seorang ahli sejarah Inggeris dalam bukunya “The Course of German History” (1945), “Sejarah Jerman telah mencapai titik perubahan tetapi gagal untuk berubah. Inilah intipati yang ditakdirkan untuk tahun 1848.”
Walaupun Taylor merujuk secara khusus kepada Jerman, kenyataan “titik perubahan yang gagal untuk berubah” itu sesuai digunakan untuk menggambarkan semua revolusi di Eropah pada tahun 1848-1849.
Walaupun titik perubahan itu gagal untuk berubah pada tahun 1848-1849, ia tidak bermakna gelombang revolusi yang begitu hebat itu tidak meninggalkan apa-apa kesan. Selepas perjuangan revolusioner yang begitu hebat dan reaksi kontra-revolusioner yang begitu keras, ia sudah tidak dapat kembali sepenuhnya kepada titik permulaan yang sama. Memang banyak hasil revolusi telah dirampas semula dan golongan konservatif reaksioner masih berkuasa, tetapi ia meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat Eropah dan menanam benih untuk perjuangan revolusioner di merata tempat pada masa akan datang. Minda masyarakat yang mendapat gegaran yang hebat semasa revolusi itu juga pasti berubah, atau sekurang-kurangnya terdedah kepada sesuatu yang tidak pernah terfikir sebelum itu.

Seperti usaha reaksioner Kongres Vienna pada tahun 1814-1815 tidak dapat mengembalikan Ancien Régime pra-1789, penumpasan Pemberontakan Jun 1848 di Paris juga tidak boleh memadamkan impak Revolusi Februari 1848 di Perancis. Sistem perhambaan tani dihapuskan sepenuhnya di Prusia dan Austria, maka membawa kepada penghapusan struktur feudal di Eropah Tengah.
Oleh sebab Revolusi 1848, perlembagaan moden telah digubal di kebanyakan negara di Eropah. Perlembagaan merupakan sesuatu yang tidak mungkin wujud dalam Empayar Austria sebelum bulan Mac 1848, tetapi ia menjadi satu kenyataan yang tidak boleh dipadamkan selepas kejatuhan Metternich pada bulan Mac 1848, walaupun isi kandungannya masih lagi agak konservatif. Selepas melalui satu tempoh di bawah pemerintahan neo-absolutisme di Empayar Austria, perlembagaan yang lebih liberal digubal pada tahun 1860-an. Pemodenan pihak berkuasa dan pentadbiran tempatan juga dilaksanakan.
Hak mengundi yang diberikan kepada lapisan masyarakat yang lebih meluas itu tidak boleh ditarik balik, malah perlu terus diperluaskan lagi sehingga semua orang layak mengundi dalam pilihan raya demokratik, termasuklah golongan wanita, tetapi ia memerlukan gerakan demokratik yang berterusan dengan Revolusi 1848 menjadi salah satu sumber inspirasi.
Gerakan nasionalis untuk penyatuan bangsa terus mendapat sokongan di Jerman dan Itali, malah disambut oleh golongan konservatif yang cuba mematahkannya pada tahun 1848. Golongan konservatif di Jerman yang dipimpin oleh Otto von Bismarck menyempurnakan apa yang tidak dapat dilakukan oleh golongan liberal pada tahun 1848, iaitu menyatukan negara Jerman, tetapi dengan cara keganasan tentera dan tanpa penyertaan Austria.
Giuseppe Garibaldi, yang gagal membebaskan wilayah Lombardia daripada pemerintahan Habsburg pada tahun 1848, akhirnya berjaya melakukannya dalam “Perang Kemerdekaan Itali Kedua” (1859), tetapi dengan cara melepaskan cita-cita republikan dan mendapat bantuan daripada Empayar Perancis Kedua. Garibaldi kemudiannya membebaskan bahagian selatan Itali dalam “Ekspedisi Seribu Orang” (Spedizione dei Mille) pada tahun 1860-1861, dan wilayah Veneto dalam “Perang Kemerdekaan Itali Ketiga” (1866). Selepas tentera Perancis berundur dari bandar Rom semasa tercetusnya Perang Perancis-Prusia (1870-1871), tentera Itali menawan Negeri-negeri Paus, termasuk ibu negaranya Rom, pada 20 September 1870, tanpa penglibatan Garibaldi.

Hungary yang kehilangan autonominya kerana memperjuangkan kemerdekaan pada tahun 1848, berjaya menggunakan kelemahan Empayar Austria pada tahun 1860-an untuk memaksa kompromi daripada pihak berkuasa pusat di Vienna untuk mewujudkan sebuah pemerintahan monarki dwi-monarki, iaitu Empayar Austria-Hungary (1867-1918), dengan kuasa autonomi Hungary dipulihkan sepenuhnya.
Nasionalisme dan ketidakpuasan hati terhadap keadaan sosial bergabung ke dalam kuasa penggerak yang penting kepada perjuangan masyarakat di tempat-tempat lain seperti Poland dan Ireland yang diduduki oleh kuasa besar asing. Formula campuran politik itu juga bakal menular ke wilayah-wilayah jajahan kuasa imperialis Eropah di seberang laut.
Selain itu, idea-idea politik revolusioner dan progresif yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan Revolusi 1848, seperti demokrasi, liberalisme, radikalisme dan sosialisme, berkembang lebih lanjut dan disebarkan lebih meluas. Banyak pembaharuan liberal yang tidak dapat disempurnakan dalam Revolusi 1848, direalisasikan dalam beberapa dekad kemudian. Demokrasi menjadi inti pati penting yang diperjuangkan oleh gerakan masyarakat yang menuntut perubahan, pembebasan dan kemajuan. Fahaman sosialis menjadi pemangkin kepada pembangunan gerakan kelas pekerja yang semakin memainkan peranan dalam membawa perubahan masyarakat.

Pengajaran daripada Revolusi 1848 bagi gerakan perjuangan kelas pekerja
Kelas pekerja masih lemah pada tahun 1848, dari segi bilangan dan organisasi, tetapi mereka masih memainkan peranan yang penting dalam perjuangan revolusioner. Mereka menjadi tulang belakang kepada benteng-benteng jalanan yang didirikan di bandar-bandar semasa kemuncak revolusi. Kelas pekerja bertempur bermati-matian dengan jentera keganasan negara yang berkelengkapan lebih canggih. Kelas pekerja menyertai militia rakyat untuk memperjuangkan kemerdekaan negara mereka daripada pendudukan kuasa besar. Namun, apabila kelas pekerja cuba membangkitkan tuntutan-tuntutan sosial mereka untuk memperbaiki kehidupan mereka, sering kali mereka dilayan dengan penindasan yang teruk, termasuk daripada golongan elit liberal yang pernah disokong mereka dalam usaha menuntut pembaharuan politik.
Revolusi 1848 bukannya revolusi proletar. Namun, banyak pencapaian awal Revolusi 1848 itu berkemungkinan oleh sebab penglibatan kelas pekerja dalam perjuangan revolusioner itu. Malah, Revolusi 1848 menemui kegagalan kerana kebangkitan kelas pekerja dipatahkan.

Kejayaan yang dicapai pada awal Revolusi 1848 menunjukkan bahawa kelas pemerintah akan berkompromi dan bersetuju dengan tuntutan rakyat untuk perubahan, sekurang-kurangnya buat sementara waktu, kerana mereka hendak menyelamatkan kuasa mereka. Jika tiadanya desakan rakyat yang hebat melalui mobilisasi massa yang turut disertai oleh golongan kelas bawahan seperti golongan tukang kecil dan golongan pekerja, tidak mungkin golongan pemerintah yang konservatif itu berundur begitu cepat.
Namun, apabila gerakan massa itu mula berpecah, kerana haluan golongan pemimpin liberal dan radikal itu bercanggah, kelas pemerintah lama akan mendapat ruang untuk melancarkan serangan kontra-revolusi yang reaksioner, supaya merampas balik kuasa dan menterbalikkan pembaharuan yang dijanjikan itu.
Pengalaman daripada Revolusi 1848 menunjukkan bahawa golongan liberal borjuis bukannya sekutu yang boleh dipercayai bagi gerakan kelas pekerja. Golongan liberal borjuis perlukan sokongan kelas pekerja untuk memajukan perjuangan mereka dalam pembaharuan politik, tetapi takut pada kebangkitan pekerja yang menuntut perubahan sosial. Malah, sesetengah golongan liberal yang radikal pun, hanya memperjuangkan revolusi politik yang radikal (seperti hak mengundi sejagat), tetapi tidak menginginkan revolusi sosial yang radikal (seperti kelas pekerja juga boleh mengambil alih kuasa pemerintahan).

Golongan liberal borjuis melawan pemerintahan absolutis semasa mereka menjadi pembangkang, tetapi berubah menjadi pelindung susunan masyarakat kelas apabila mereka berada dalam kerajaan. Golongan liberal borjuis lebih takut pada kebangkitan kelas pekerja berbanding pemulihan kuasa reaksioner feudal. Mereka lebih rela memainkan peranan kontra-revolusioner apabila kelas pekerja menggugat susunan masyarakat kelas sedia ada.
Selepas berkuasa, golongan liberal borjuis yang mengkhianati perjuangan pembaharuan itu sanggup menggunakan pendekatan represif yang pernah digunakan golongan pemerintah absolutis terhadap mereka untuk menindas gerakan pekerja supaya menjamin kestabilan rejim pemerintahan borjuis dan kelangsungan sistem sosioekonomi kapitalis.

Oleh itu, kelas pekerja perlu mempunyai organisasi politik sendiri untuk memperjuangkan pembebasan kelas pekerja. Organisasi politik itu bukan hanya dianggotai oleh golongan intelek yang berfahaman sosialis, tetapi juga pekerja-pekerja sendiri. Organisasi politik itu memainkan peranan untuk membina kepimpinan politik dan kapasiti revolusioner dalam kalangan kelas pekerja. Organisasi politik kelas pekerja perlu membina gerakan pekerja dengan penyertaan kelas pekerja yang seluas mungkin supaya membangunkan kekuatan yang mencukupi untuk mendesak perubahan dan menghadapi ancaman serangan daripada kuasa reaksioner. Organisasi politik kelas pekerja juga perlu mempunyai hala tuju, matlamat dan program politik yang revolusioner supaya dapat terus mendidik, mengorganisasi dan menyatukan kuasa-kuasa sosial (terutamanya kelas pekerja) yang berpotensi membawa perubahan dari bawah.
Karl Marx dan Friedrich Engels mendukung pembentukan parti pekerja yang revolusioner untuk menerajui perjuangan revolusioner, bukan sekadar untuk revolusi politik tetapi juga revolusi sosial. Mereka membezakan parti pekerja revolusioner dengan parti demokratik borjuis yang mempunyai hubungan dialektik kawan-lawan. Mereka berkata, “Hubungan antara parti pekerja yang revolusioner dengan demokrat borjuis-kecil ialah: ia bekerjasama dengan mereka untuk melawan pihak yang hendak digulingkan mereka; ia menentang mereka di mana sahaja mereka ingin melindungi kedudukan mereka sendiri.”

Marx dan Engels berkeyakinan bahawa kelas pekerja boleh menerajui perjuangan revolusioner ke arah pembebasan sebenar. Mereka yakin bahawa revolusi demokratik-borjuis yang berjaya di bawah kepimpinan kelas pekerja akan menjadi pembuka tirai kepada revolusi proletar yang mentransformasi seluruh Eropah, jika bukannya seluruh dunia. Mereka juga berpegang teguh pada semangat internasionalis kelas pekerja yang percaya bahawa perjuangan kelas pekerja di sesebuah negara tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan kelas pekerja di negara lain.
“Sebelum kuasa reaksioner boleh dihancurkan di Itali dan Jerman, ia harus ditewaskan di Perancis terlebih dahulu,” begitu tulisnya Engels dalam rencana yang diterbitkan pada 1 September 1848 dalam akbar Neue Rheinische Zeitung. “Sebuah republik sosial demokratik harus diisytihar di Perancis terlebih dahulu dan proletariat Perancis harus menundukkan borjuasinya terlebih dahulu, sebelum kemenangan demokrasi yang berkekalan dapat dibayangkan di Itali, Jerman, Poland, Hungary dan negara-negara lain.”

Persoalan nasional memang merupakan satu persoalan besar yang sukar ditangani tetapi perlu ditangani demi memajukan perjuangan revolusioner. Golongan nasionalis liberal Jerman terlepas pandang persoalan Bohemia dengan terus menganggap ia sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada Jerman bersatu. Begitu juga dengan golongan nasionalis radikal bangsa Magyar di Hungary yang kurang menyedari tentang reaksi kumpulan-kumpulan etnik minoriti lain terhadap dasar Magyarisasi, sehingga Revolusi Hungary dipulaukan oleh kumpulan-kumpulan etnik minoriti di situ. Golongan sosialis harus menangani persoalan nasional dengan pendekatan yang dapat menyatukan kelas pekerja berbilang bangsa, bukan memecah-belahkannya, tetapi ini memerlukan strategi politik yang berbeza mengikut keadaan yang berbeza.
Pembebasan nasional sesebuah bangsa mungkin bermakna penindasan terhadap sebuah bangsa yang lain jika mereka yang menerajui perjuangan pembebasan nasional itu gagal memahami keluhan bangsa-bangsa lain di dalam wilayah yang sama dan tidak memandang serius terhadap pembentukan solidariti kelas-kelas bawahan merentasi batasan etnik atau bangsa demi pembebasan bersama. “Penyatuan bangsa” tidak boleh dicapai dengan cara pemaksaan, sementara “pembebasan nasional” tidak membawa makna kepada kelas pekerja jika ia hanya menggantikan penindas daripada bangsa asing dengan penindas daripada bangsa sendiri.
Bagi Marx dan Engels, perjuangan pembebasan nasional tidak bermakna jika kelas pekerja tidak dapat dibebaskan daripada eksploitasi dan penindasan. Marx pernah menulis dalam “Perjuangan Kelas di Perancis” (1850), “Orang Hungary tidak akan bebas, begitu juga dengan orang Poland, mahupun orang Itali, selagi pekerja masih menjadi hamba!”

Sosialis radikal semasa Revolusi 1848
Gerakan sosialis moden baru berkembang semasa tercetusnya Revolusi 1848. Oleh itu, golongan sosialis bukannya golongan utama yang menerajui agenda perjuangan revolusioner pada masa itu. Namun, mereka masih memainkan peranan yang ketara dalam Revolusi 1848 di banyak tempat.
Golongan sosialis di Perancis mendapat tamparan hebat dan penindasan teruk dalam reaksi terhadap Pemberontakan Jun 1848 di Paris. Golongan sosialis di Perancis hampir disingkirkan apabila ramai daripada mereka sama ada dibunuh semasa Pemberontakan Jun, dipenjarakan atau terpaksa hidup dalam buangan. Tambahan pula, kebanyakan mereka dalam kalangan golongan sosialis merupakan golongan intelek kelas menengah yang prihatin pada nasib kelas pekerja, bukannya pekerja sendiri. Oleh itu, wujudnya jurang antara golongan sosialis dan golongan pekerja yang sebenarnya. Calon sosialis dalam Pilihan Raya Presiden Perancis yang pertama pada bulan Disember 1848 hanya memperoleh 0.5% undian apabila hak mengundi diperluaskan kepada semua lelaki berumur sekurang-kurangnya 21 tahun di Perancis.

Karl Marx dan Friedrich Engels, dua orang tokoh sosialis yang masih muda pada masa itu, tidak ketinggalan dalam menyertai gelombang revolusi yang hebat pada tahun 1848. Dari tahun 1845 hingga 1848, pada ketika Eropah dilanda krisis ekonomi, Marx dan Engels tinggal di bandar Brussel, di mana mereka menghabiskan banyak masa mereka dalam mengorganisasi pekerja-pekerja di bandar itu. Mereka terlibat dalam penubuhan Liga Komunis pada masa itu, dan ditugaskan untuk menulis manifesto bagi organisasi itu, iaitu Manifesto Komunis.
Liga Komunis (Bund der Kommunisten) ditubuhkan pada 1 Jun 1847 di London, Britain, hasil daripada penggabungan Liga Keadilan (Bund der Gerechten) yang dipimpin oleh Karl Schapper dan Jawatankuasa Surat-menyurat Komunis (Kommunistisches Korrespondenz-Komitee) yang dipimpin oleh Karl Marx dan Friedrich Engels. Anggota-anggota Liga Komunis telah mengambil bahagian secara aktif dalam gerakan revolusioner pada tahun 1848-1849, dalam usaha mengorganisasi kelas pekerja, beraksi bersama massa pekerja, mengedarkan risalah, menerbitkan akhbar, mempertahankan benteng jalanan dan bertempur di medan perang.

Apabila Revolusi Februari 1848 tercetus di Perancis, Marx diusir keluar dari Brussel oleh kerajaan Belgium atas pertuduhan dia menggunakan kekayaan yang diwarisi daripada bapanya untuk membiayai pekerja-pekerja Belgium yang merancang revolusi. Marx pergi ke Paris untuk seketika sebelum berpindah balik ke bandar Cologne yang berada di bawah pemerintahan Kerajaan Prusia. Pada masa itu, Marx berpandangan bahawa kelas borjuis harus menjatuhkan pemerintahan monarki dan bangsawan feudal terlebih dahulu sebelum golongan proletar boleh menumbangkan kelas borjuis.
Marx bersama-sama Jawatankuasa Pusat Liga Komunis yang terdiri daripada Engels, Wilhelm Wolff (1809-1864), Karl Schapper (1812-1870), Joseph Moll (1813-1849) dan Heinrich Bauer (1814-???) mengemukakan “Tuntutan-tuntutan Parti Komunis Jerman”, dengan tuntutan seperti seluruh Jerman harus diisytihar sebagai sebuah republik yang bersatu, hak mengundi untuk semua warga Jerman yang mencapai umur 21 tahun, pembayaran upah kepada ahli parlimen supaya pekerja juga boleh menjadi ahli parlimen, mempersenjatakan seluruh rakyat, menggantikan semua bank swasta dengan sebuah bank negara, memiliknegarakan semua jenis pengangkutan (kereta api, kapal stim, terusan, penghantaran pos dan sebagainya), penubuhan bengkel kebangsaan untuk memberi jaminan kerja kepada semua pekerja, pendidikan percuma untuk semua, dan sebagainya.

Walaupun Marx dan Engels menyedari bahawa Revolusi 1848 bukannya revolusi proletar atau revolusi sosialis, mereka melibatkan diri secara aktif dalam gerakan revolusioner pada masa itu, dan menempatkan diri mereka sebagai sayap kiri radikal dalam perjuangan demokratik di Cologne. Pada 1 Jun 1848, Karl Marx mula menerbitkan akhbar harian “Neue Rheinische Zeitung: Organ der Demokratie” (Akhbar Rhein Baharu: Organ Demokrasi).
Marx dan Engels berpandangan bahawa jika kelas borjuis boleh mencapai lebih banyak kejayaan dalam revolusi borjuis itu, ia akan mewujudkan lebih banyak syarat untuk mewujudkan perjuangan kelas pekerja yang anti-kapitalis. Namun, ketegangan kelas itu timbul lebih cepat daripada apa yang dijangkakan mereka. Marx dan Engels dapat memerhati dari jauh bagaimana pemberontakan pekerja di Paris dipatahkan secara ganas oleh golongan liberal borjuis.
Pendirian Marx dan Engels yang menyokong Pemberontakan Jun di Paris menyebabkan akhbar Neue Rheinische Zeitung kehilangan semua penyumbang dananya. Pada 16 Mei 1849, dengan rejim reaksioner semakin memperkukuhkan kedudukannya, kerajaan Prusia mengarahkan Marx untuk meninggalkan wilayah Prusia atas alasan Neue Rheinische Zeitung menghasut rakyat untuk revolusi sosial. Edisi Neue Rheinische Zeitung yang terakhir yang diterbitkan pada 19 Mei 1849 dicetak sepenuhnya dengan dakwat merah, dan salah sebuah rencananya tertulis, “Tidakkah anda membaca rencana kami tentang revolusi Jun, dan bukankah intipati revolusi Jun itu intipati akhbar kami?”

Apabila Marx pergi ke Paris selepas dihalau keluar dari Prusia, Perancis sudah berada di bawah pemerintahan Presiden Putera Louis Bonaparte yang reaksioner, dan dia dihalau juga oleh pihak berkuasa bandar Paris. Dengan tiada lagi tempat di Tanah Besar Eropah yang sudi menerimanya, Marx dan keluarganya berpindah ke London pada bulan Ogos 1849, pada masa yang sama dengan pertempuran terakhir Revolusi 1848.
Friedrich Engels pula mempertaruhkan nyawanya dengan mengambil bahagian dalam pemberontakan di Pfalz dan Baden pada tahun 1849. Selepas pemberontakan di negeri-negeri Jerman dipatahkan, Engels melarikan diri ke Switzerland sebelum balik ke Britain. Kerajaan Prusia mengeluarkan waran tangkap terhadap Engels pada bulan Jun 1849.
Joseph Moll, seorang pemimpin pekerja dan anggota Jawatankuasa Pusat Liga Komunis, mengambil bahagian dalam Pemberontakan Mei di Baden, tetapi dibunuh pada bulan Jun 1849.

Karl Schapper, seorang lagi pemimpin pekerja dan anggota Jawatankuasa Pusat Liga Komunis, pulang ke Jerman dari London semasa Revolusi 1848. Schapper membantu Karl Marx dalam penerbitan Neue Rheinische Zeitung di Cologne di samping mengorganisasi pekerja di situ, tetapi ditahan untuk seketika kerana aktivisme pekerjanya. Schapper kemudiannya pergi ke Wiesbaden, ibu negeri Nassau, untuk menyertai gerakan demokratik di situ. Dia ditahan lagi pada tahun 1849 atas pertuduhan pengkhianatan kerana mengkritik Perlembagaan Frankfurt, dan diusir keluar dari negeri-negeri Jerman.
Liga Komunis cuba menyusun semula organisasinya selepas gelombang revolusi 1848-1849 dipatahkan, tetapi ia berpecah kepada dua puak. Salah satu puak yang dipimpin oleh August Willich dan Karl Schapper, cenderung kepada meneruskan tindakan revolusioner dan melancarkan pemberontakan segera; sementara satu lagi puak yang dipimpin oleh Marx dan Engels, cenderung kepada usaha membina gerakan pekerja antarabangsa untuk memantapkan kekuatan kelas pekerja dalam revolusi akan datang. August Willich berpandangan bahawa Marx terlalu konservatif dalam menyusun perjuangan revolusioner.
Namun, selepas ejen perisik kerajaan Prusia mencuri sebuah senarai nama ahli-ahli Liga Komunis daripada Oswald Dietz, seorang anggota kumpulan Willich-Schapper, beberapa orang ahli Liga Komunis ditangkap. Kerajaan Prusia mengadakan perbicaraan terhadap 11 orang anggota Liga Komunis di Cologne dari 4 Oktober hingga 12 November 1852, dengan 7 orang dijatuhkan hukuman penjara sehingga 6 tahun. Liga Komunis terpaksa dibubarkan pada masa itu. Namun, ia menanam benih kepada pembentukan “Kesatuan Pekerja Antarabangsa” atau “Internasional Pertama” dua belas tahun kemudian. Mereka yang pernah terlibat dalam perjuangan kelas pekerja pada tahun 1848-1849 menjadi perintis kepada pembangunan gerakan pekerja yang lebih tersusun.

Perjuangan revolusioner yang belum selesai
Daripada pengalaman penglibatan dalam Revolusi 1848, Marx dan Engels membangunkan kritikan mereka terhadap golongan demokrat liberal kelas menengah yang tidak boleh diharapkan dalam memajukan perjuangan demokratik. Mereka juga mengajukan idea tentang “revolusi berterusan”, iaitu kelas pekerja harus membangunkan organisasi politik yang bebas daripada pengaruh mana-mana kuasa borjuis dan menerajui usaha perjuangan pembebasan masyarakat.
“Walaupun borjuasi kecil yang demokratik mahu menamatkan revolusi secepat mungkin, mencapai hampir semua matlamat yang sudah disebut, adalah kepentingan kita dan tugasan kita untuk menjadikan revolusi berterusan sehingga semua kelas yang berharta disingkir daripada posisi pemerintahan mereka, sehingga proletariat telah menawan kuasa negara dan sehingga persatuan proletariat telah maju cukup jauh – bukan sahaja di dalam sebuah negara tetapi di semua negara utama di dunia – bahawa persaingan antara proletariat negara-negara ini berhenti dan sekurang-kurangnya kuasa penentu pengeluaran adalah ditumpukan dalam tangan pekerja-pekerja,” begitu katanya Marx dan Engels dalam ucapan yang disampaikan kepada Jawatankuasa Pusat Liga Komunis pada bulan Mac 1850. “Tumpuan kita tidak boleh semata-mata untuk mengubah suai harta milik persendirian, tetapi untuk memansuhkannya, bukan untuk menyembunyikan pertentangan kelas tetapi untuk memansuhkan kelas, bukan untuk menambah baik masyarakat yang sedia ada tetapi untuk membina sebuah masyarakat yang baharu.”

“Walaupun pekerja-pekerja Jerman tidak dapat berkuasa dan mencapai realisasi kepentingan kelas mereka tanpa melalui satu proses pembangunan revolusioner yang berpanjangan, kali ini mereka sekurang-kurangnya boleh pasti bahawa babak pertama drama revolusioner yang sedang mendekati akan berlaku serentak dengan kemenangan langsung kelas mereka sendiri di Perancis dan dengan itu akan dipercepatkan,” kata Marx dan Engels selanjutnya. “Namun, mereka sendiri harus menyumbang paling banyak ke arah kemenangan mereka, dengan menyedarkan diri mereka tentang kepentingan kelas mereka sendiri, dengan mengambil pendirian politik mereka yang bebas secepat mungkin, dengan tidak membenarkan diri mereka diperdayakan oleh frasa-frasa munafik borjuis kecil demokratik yang boleh menimbulkan keraguan walaupun seminit terhadap sebuah parti proletar yang diorganisasikan secara bebas. Laungan perjuangan mereka haruslah: Revolusi Berterusan.”
Revolusi 1848 telah meninggalkan warisan perjuangan yang penting kepada gerakan rakyat di seluruh dunia. Inspirasi daripadanya mendorong gerakan revolusioner untuk teus mara ke hadapan, sementara pengajaran daripadanya menjadi rujukan dan peringatan kepada gerakan revolusioner supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Revolusi 1848 mengingatkan kita bahawa perubahan masyarakat tidak akan berlaku jika rakyat tidak bangkit berjuang, dan perubahan yang dicapai melalui perjuangan revolusioner itu boleh dibatalkan atau diterbalikkan jika gerakan revolusioner itu menjadi lemah. Jadi, organisasi politik yang mampu mengekalkan momentum perjuangan itu adalah penting dalam usaha mempertahankan hasil revolusi dan memajukan revolusi.
Revolusi 1848 juga menyaksikan buat pertama kali kelas pekerja memasuki gelanggang perjuangan politik sebagai sebuah kuasa yang berasingan, tetapi ditewaskan kerana kelemahan organisasi dan kekurangan pengalaman. Namun, kekalahan itu menjadi pengalaman yang penting untuk dipelajari gerakan kelas pekerja selepasnya. Lebih-lebih lagi, dengan ekonomi kapitalis bertumbuh lebih pesat lagi di benua Eropah dari tahun 1850-an hingga 1870-an, bermakna jumlah kelas pekerja juga bertumbuh dengan pesat dan menjadi sebuah kuasa sosiopolitik yang lebih besar, dan “hantu Revolusi 1848” akan terus berkeliaran…
Setiap revolusi yang hebat akan menjadi inspirasi dan perintis kepada revolusi seterusnya. Revolusi 1848 kekal dalam ingatan gerakan rakyat yang berkomitmen untuk memperjuangkan pembebasan kelas yang tertindas, demokrasi sejati, kesaksamaan ekonomi, keadilan sosial dan kesejahteraan bersama…
==========
Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.
==========