Sepanjang tahun 2024, rakyat dunia terus dilanda pelbagai krisis yang timbul daripada percanggahan serius yang wujud dalam sistem kapitalis global. Kelas kapitalis global yang mahakaya menjadi lebih kaya lagi, sementara rakyat terbanyak yang membanting tulang setiap hari untuk menyara hidup menjadi semakin miskin, dan sumber alam digondol secara melampau. Masyarakat di merata tempat di dunia menghadapi pelbagai ancaman, dari keganasan perang dan genosid, sehingga krisis iklim, kemiskinan, kelaparan dan ketidakadilan sosial. Namun begitu, wujudnya pelbagai gerakan masyarakat yang memperjuangkan jalan keluar daripada krisis yang mendalam ini. Perjuangan rakyat untuk pembebasan, demokrasi sejati dan keadilan sosial tidak akan berhenti selagi kapitalisme masih mengganas di dunia…
Marilah kita imbas kembali beberapa peristiwa pergolakan politik dan perjuangan rakyat yang penting di peringkat antarabangsa sepanjang tahun 2024:
1. Korea Selatan: Kuasa rakyat tewaskan cubaan rampasan kuasa
Cubaan rampasan kuasa oleh Yoon Suk-yeol, Presiden Korea Selatan yang berhaluan kanan, melalui pengisytiharan undang-undang tentera berjaya ditewaskan dalam tempoh 6 jam pada 3-4 Disember 2024 apabila rakyat Korea Selatan bangkit melawan dengan mobilisasi massa yang hebat. Hasil daripada desakan rakyat melalui demonstrasi harian, 204 daripada 300 orang ahli parlimen dalam Perhimpunan Kebangsaan Korea mengundi untuk memecat Yoon Suk-yeol daripada jawatan Presiden Korea Selatan. Ini merupakan satu lagi kemenangan penting bagi rakyat Korea Selatan dalam usaha mempertahankan demokrasi di negara itu daripada ancaman pemerintahan berhaluan kanan yang semakin autoritarian, anti-demokratik dan cuba mengundang peperangan dengan Korea Utara.
2. Syria: Rejim Assad dijatuhkan
Rejim pemerintahan autoritarian Bashar al-Assad dijatuhkan berikutan bandar Damsyik ditawan oleh gabungan kumpulan-kumpulan bersenjata yang diterajui oleh Hayʼat Tahrir al-Sham (HTS), sebuah organisasi serpihan Al-Qaeda yang dijenamakan semula, pada 8 Disember 2024. Masa hadapan negara Syria masih tidak menentu dengan pergolakan konflik bersenjata masih berterusan. Kumpulan bersenjata yang ditaja oleh Turki pula terus menyerang wilayah bermajoriti masyarakat Kurdi yang dikuasai oleh pihak Pentadbiran Autonomi Syria Utara dan Timur (AANES).
3. Sri Lanka: Perikatan politik kiri menang dalam pilihan raya
Anura Kumara Dissanayake daripada Kuasa Rakyat Kebangsaan (NPP), perikatan politik berhaluan kiri yang diterajui oleh Janatha Vimukthi Peramuna (JVP), menang dalam Pilihan Raya Presiden Sri Lanka yang diadakan pada 21 September 2024, dengan meraih 42.31% undian dalam pengiraan undi pusingan pertama dan 55.89% dalam pengiraan pusingan kedua. Dissanayake kemudiannya membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Parlimen baharu pada 14 November 2024, dengan NPP memenangi 159 daripada 225 kerusi parlimen, maka memperkukuhkan kedudukan Presiden Dissanayake untuk melaksanakan pembaharuan politik dalam membasmi rasuah dan menangani masalah ekonomi di negara itu. Kejayaan NPP dalam pilihan raya merupakan lanjutan hasil daripada gelombang protes rakyat yang menjatuhkan pemerintahan keluarga Rajapaksa dan penolakan rakyat terhadap golongan elit politik lama di Sri Lanka.
4. Bangladesh: Protes tuntut pembaharuan kuota jatuhkan kerajaan Sheikh Hasina
Gelombang protes besar-besaran menuntut pembaharuan sistem kuota yang diterajui oleh pelajar-pelajar di Bangladesh, memaksa Sheikh Hasina, Perdana Menteri Bangladesh yang sudah berkuasa selama 15 tahun berturut-turut, meletak jawatannya pada 5 Ogos 2024 dan melarikan diri keluar dari negara itu. Kerajaan sementara ditubuhkan dengan Muhammad Yunus sebagai Ketua Penasihat.
5. Timur Tengah: Genosid berterusan dan konflik meningkat
Rejim Zionis Israel meneruskan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza, sementara meningkatkan lagi serangan ketenteraan terhadap pihak-pihak di rantau Timur Tengah yang menyokong perjuangan Palestin. Lebih 45,300 orang warga Palestin sudah dibunuh oleh rejim Zionis Israel dalam serangan genosidnya terhadap Gaza sejak bulan Oktober 2023, sementera lebih 800 orang warga Palestin turut dibunuh di Tebing Barat dalam tempoh yang sama. Rejim Zionis Israel membunuh Ismail Haniyeh dan kemudiannya Yahya Sinwar, dua orang Pengerusi Biro Politik Hamas, dalam cubaannya melemahkan penentangan bersenjata rakyat Palestin yang diterajui oleh Hamas. Rejim Zionis Israel juga melancarkan serangan ketenteraan ke atas Lubnan, membunuh ribuan rakyat Lubnan, termasuk Hassan Nasrallah, Setiausaha Agung Hizbullah. Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Benjamin Netanyahu selaku Perdana Menteri Israel dan Yoav Gallant selaku Menteri Pertahanan Israel. Namun, rejim Zionis Israel masih meneruskan jenayah perang di rantau Timur Tengah kerana ia mendapat sokongan politik, kewangan dan persenjataan daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya.
6. Dunia: Gerakan pro-Palestin dan anti-perang bermobilisasi
Masyarakat di merata tempat di seluruh dunia terus bermobilisasi untuk bersolidariti bersama rakyat Palestin yang dizalimi oleh rejim Zionis Israel, dan menuntut gencatan senjata di Gaza. Di Amerika Syarikat (AS), tercetusnya gelombang protes yang melibatkan aksi pendudukan oleh golongan anak muda di kampus-kampus universiti. Selain itu, juga berlakunya aksi protes seperti pembakaran diri oleh Aaron Bushnell di hadapan Kedutaan Israel di Washington, D. C.
7. Mexico: Claudia Sheinbaum dipilih sebagai Presiden wanita pertama di Amerika Utara
Claudia Sheinbaum daripada Sigamos Haciendo Historia, sebuah gabungan politik berhaluan kiri yang diterajui oleh Gerakan Pembaharuan Negara (Morena), menang dalam Pilihan Raya Presiden Mexico yang diadakan pada 2 Jun 2024, dengan meraih 61.18% undian. Kemenangan Claudia Sheinbaum bukan sahaja merupakan pengesahan pengundi Mexico terhadap dasar Presiden Andrés Manuel López Obrador yang berpihak kepada rakyat miskin, malah juga merupakan satu loncatan besar bagi politik feminis dan ekologi yang radikal.
8. Uruguay: Gabungan kiri menang Pilihan Raya Presiden
Yamandú Orsi, calon daripada Frente Amplio, sebuah gabungan parti-parti politik berhaluan kiri, menang dalam Pilihan Raya Presiden Uruguay, dengan meraih 46% undian dalam pengundian pusingan pertama pada 27 Oktober 2024 dan 52% undian dalam pengundian pusingan kedua pada 24 November 2024.
9. India: Pekerja Samsung bermogok untuk hak pekerja
Aksi mogok selama 38 hari oleh pekerja-pekerja kilang Samsung di Tamil Nadu berjaya mendesak pihak pengurusan untuk berunding dan merespon kepada tuntutan mereka yang termasuk pengiktirafan kesatuan sekerja, peningkatan gaji, penamatan diskriminasi dan keadaan yang lebih baik di tempat kerja.
10. Indonesia: Protes besar-besaran batalkan rancangan raktifikasi RUU pilihan raya yang kontroversi
Gelombang protes besar-besaran yang diterajui oleh anak muda tercetus di Indonesia pada 22 Ogos 2024, apabila Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) cuba menggubal rang undang-undang (RUU) pilihan raya ketua daerah yang dianggap melanggar perlembagaan dan mengancam demokrasi di negara itu. Aksi protes besar-besaran ini berjaya memaksa DPR untuk membatalkan rancangannya yang hendak meratifikasi RUU pilihan raya yang kontroversi itu.
11. Perancis: Gabungan kiri menang tetapi tidak dibenarkan untuk bentuk kerajaan
Nouveau Front Populaire (NFP), sebuah gabungan parti-parti politik berhaluan kiri dan progresif, muncul sebagai blok politik yang terbesar dalam Parlimen Perancis selepas Pilihan Raya Parlimen mengejut yang diadakan pada 30 Jun 2024 dan 7 Julai 2024. Kemenangan NFP dapat menyekat kemaraan parti politik pelampau kanan di Perancis buat sementara waktu, tetapi Emmanuel Macron selaku Presiden Perancis enggan membenarkan NFP untuk menubuhkan kerajaan baharu, sebaliknya melantik ahli politik daripada blok politik yang menyokong kepresidenannya untuk menerajui kerajaan.
12. Venezuela: Pilihan Raya Presiden dan ancaman pelampau kanan
Pilihan Raya Presiden Venezuela yang diadakan pada 28 Julai 2024 mencetuskan krisis politik terbaru apabila puak berhaluan kanan mempertikaikan keputusan pilihan raya. Kegagalan Majlis Pilihan Raya Kebangsaan (CNE) dalam menerbitkan keputusan terperinci mengikut pusat mengundi, telah mengundang keraguan daripada pelbagai pihak, bukannya sekadar puak berhaluan kanan yang tidak akan mengiktiraf keputusan pilihan raya sejak awal lagi, tetapi sebahagian golongan kiri yang menyokong Revolusi Bolivar dan sesetengah kerajaan demokratik yang berhaluan kiri di Amerika Latin (seperti Brazil, Colombia dan Mexico). Nicolás Maduro telah diisytihar sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden oleh CNE pada 29 Julai 2024, tetapi berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu.
13. New Caledonia: Masyarakat Kanak perjuangkan hak menentukan nasib sendiri
Gelombang protes tercetus di New Caledonia apabila masyarakat orang asal Kanak di situ membantah tindakan kerajaan pusat Perancis yang memberikan hak mengundi kepada warga Perancis yang bukan orang asal di kepulauan itu, sesuatu yang dianggap menjejaskan hak masyarakat Kanak untuk menentukan nasib sendiri. Pergolakan hebat di New Caledonia memaksa kerajaan Perancis untuk mengumumkan bahawa “pembaharuan” yang cuba dibawanya itu digantung buat sementara.
14. Argentina: Mogok nasional lawan dasar anti-pekerja
Gerakan pekerja di Argentina menganjurkan mogok besar-besaran pada 24 Januari 2024 untuk membantah “pembaharuan” yang dibawa oleh Javier Milei, Presiden Argentina yang berhaluan kanan, untuk menyahkawal selia ekonomi, menswastakan syarikat milik kerajaan dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan demi melindungi kepentingan kapitalis.
15. Turki: Pemimpin parti haluan kiri dihukum penjara
Selepas perbicaraan pertunjukkan “Kes Kobanî” yang berlarutan selama lebih 3 tahun, mahkamah Turki menjatuhkan hukuman penjara selama 9 hingga 42 tahun ke atas 24 orang ahli politik berhaluan kiri di negara itu.
16. Kenya: Protes Gen Z lawan RUU Kewangan
Gelombang protes massa tercetus di Kenya pada bulan Jun 2024 untuk membantah Rang Undang-undang (RUU) Kewangan 2024 yang menaikkan cukai dan meningkatkan kos sara hidup rakyat biasa. Selepas ribuan demonstran menyerbu Bangunan Parlimen Kenya di Nairobi pada 25 Jun 2024, William Ruto, Presiden Kenya mengumumkan bahawa dia tidak akan meluluskan rang undang-undang yang penuh kontroversi itu.
17. Georgia: Protes pasca pilihan raya
Pada bulan April-Mei 2024, tercetusnya gelombang protes untuk membantah tindakan kerajaan Georgia yang hendak menggubal “Undang-undang Ketelusan Pengaruh Asing” dengan niat menyekat ruang demokrasi di negara itu. Selepas parti pemerintah “Impian Georgia” menang dalam Pilihan Raya Parlimen Georgia pada 26 Oktober 2024 yang penuh kontroversi, tercetusnya gelombang protes yang membantah penipuan pilihan raya, dengan tuntutan pengiraan semula undian dan pilihan raya baharu. Apabila Perdana Menteri Irakli Kobakhidze mengumumkan pada 28 November 2024 bahawa kerajaan Georgia akan menangguhkan proses penyertaan Georgia dalam Kesatuan Eropah (EU), tercetusnya gelombang protes rakyat yang baharu.
18. Eropah: Petani berprotes untuk pertahankan rezeki
Petani-petani di negara-negara Eropah, seperti Belgium, Perancis, Jerman, Belanda, Poland, Itali, Greece, Portugal dan Sepanyol, mengadakan siri protes pada tahun 2024, untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap dasar-dasar kerajaan dalam Kesatuan Eropah (EU) yang menjejaskan rezeki mereka.
19. Martinique: Protes bantak ketidakadilan sosial
Protes besar-besaran dan rusuhan tercetus pada bulan September 2024 di Martinque, wilayah jajahan Perancis di rantau Caribbean. Gelombang protes ini tercetus kerana kos sara hidup yang semakin meningkat, ketidaksamarataan ekonomi, larangan terhadap perhimpunan awam yang dikenakan oleh kerajaan pusat Perancis, dan pengerahan pasukan polis kawalan rusuhan ke situ.
20. Serbia: Protes pertahankan alam sekitar
Gelombang protes tercetus pada bulan Julai 2024 di Serbia untuk menentang projek perlombongan litium oleh syarikat Rio Tinto yang disokong oleh Kesatuan Eropah (EU) dan diluluskan oleh kerajaan Serbia.