(foto: Victor R Caivano / AP Photo)

Negara Argentina dilanda aksi mogok pekerja yang terbesar dalam beberapa dekad kebelakangan ini, satu manifestasi penentangan hebat terhadap kerajaan pimpinan Presiden Javier Milei yang sedang melancarkan serangan terhadap hak pekerja, perlindungan sosial dan kebajikan rakyat. Konfederasi Buruh Umum (CGT), persekutuan kesatuan pekerja yang terbesar di Argentina, bersama dengan Kesatuan Pusat Pekerja Argentina (CTA), Kerajaan Pusat Pekerja Argentina (Autonomi) dan organisasi-organisasi sosial yang lain, telah menganjurkan mogok besar-besaran di seluruh negara Argentina pada 24 Januari 2024 untuk membantah “pembaharuan” yang cuba menyahkawal selia ekonomi, menswastakan syarikat milik kerajaan dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan demi melindungi kepentingan kapitalis.

Jutaan orang anggota kesatuan pekerja telah menyertai mogok besar-besaran yang dipanggil oleh CGT, dengan banyak sekolah dan premis perniagaan ditutup, ratusan penerbangan dibatalkan, dan puluhan ribu orang berdemonstrasi di jalanan. Sebahagian besar pusat bandar Buenos Aires, ibu negara Argentina, dilumpuhkan kerana aksi mogok pekerja. Aksi protes ini membawa cabaran besar kepada kerajaan pimpinan Presiden Milei yang baru berkuasa selama lebih sebulan. Kerajaan Milei merespon kepada aksi mogok dengan mengumumkan bahawa ia akan memotong gaji sehari daripada pekerja-pekerja sektor awam yang mengambil bahagian dalam mogok dan tidak hadir kerja. Amat jelas sekali, kerajaan Argentina pimpinan Milei enggan mendengar suara rakyat pekerja.

Javier Milei, ahli politik pelampau kanan yang mengambil alih jawatan Presiden Argentina pada bulan Disember 2023, telah melancarkan “pembaharuan” yang menjejaskan hak dan kebajikan golongan pekerja sejurus selepas dia berkuasa. Merespon kepada serangan daripada kerajaan Milei terhadap hak pekerja, kesatuan-kesatuan pekerja, gerakan-gerakan sosial dan organisasi-organisasi hak asai manusia telah turun berprotes di jalanan dan memanggil satu aksi mogok umum pada 24 Januari 2024. Dalam beberapa minggu yang lepas, ratusan kesatuan pekerja, pertubuhan kejiranan, kumpulan budaya, dapur komuniti, kumpulan kiri dan gerakan sosial di Argentina telah menganjurkan pelbagai perhimpunan dan rapat umum untuk memobilisasi rakyat supaya mengambil bahagian dalam aksi mogok. Aksi mogok nasional pada 24 Januari 2024 boleh dikatakan bersejarah, kerana tiga buah gabungan pekerja yang utama – CGT, CTA dan CTA Autonomi – yang mewakili jutaan pekerja telah bersatu untuk mengadakan sebuah tindakan perusahaan secara bersama.

(foto: Luis Robayo / AFP / Getty Images)

Negara Argentina sedang bergelut dengan masalah defisit fiskal yang ketara dan kadar kemiskinan melebihi 40%. Kerajaan baharu pimpinan Milei mengatakan bahawa langkah-langkah “penjimatan” yang diumumkannya itu penting untuk “pembinaan semula ekonomi”. Namun, pihak kesatuan pekerja berpandangan bahawa rancangan “pembaharuan” yang dibawa oleh kerajaan Milei akan menjana pecutan hebat dalam proses inflasi, maka menghancurkan kuasa beli pekerja-pekerja dalam pelbagai sektor dan juga golongan pesara.

Selagi kerajaan berhaluan kanan pimpinan Milei masih berdegil untuk meneruskan rancangannya untuk “pembaharuan” ekonomi demi memajukan kepentingan golongan kapitalis oligarki dengan mengorbankan kehidupan jutaan rakyat biasa, sudah pastinya pekerja-pekerja dan rakyat bawahan Argentina akan terus melawan dengan lebih banyak lagi aksi protes.

Kesatuan-kesatuan pekerja di Amerika Latin dan Eropah turut mengadakan aksi-aksi solidariti untuk menyatakan sokongan kepada mogok nasional di Argentina pada 24 Januari 2024.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *