(foto: Delphine Mayeur / AFP / Getty Images)

Gelombang protes tercetus di New Caledonia, sebuah tanah jajahan Perancis yang terletak di Barat Daya Lautan Pasifik, dengan penduduk masyarakat orang asal Kanak di situ membantah tindakan kerajaan pusat Perancis yang menjejaskan hak masyarakat Kanak untuk menentukan nasib sendiri.

Protes mula tercetus di wilayah kepulauan New Caledonia (yang juga dikenali sebagai Kanaki oleh masyarakat orang asal tempatan), khususnya ibu kotanya Nouméa, pada 13 Mei 2024 apabila kerajaan Perancis cuba meminda perlembagaan negara itu untuk memberikan hak mengundi kepada warga Perancis yang bukan orang asal tetapi tinggal di New Caledonia untuk selama 10 tahun. Masyarakat orang asal Kanak melihat tindakan kerajaan pusat Perancis tersebut sebagai cubaan untuk menghakis lagi hak mereka untuk menentukan nasib sendiri, kerana ia mencairkan undi masyarakat Kanak dengan memberikan hak mengundi kepada golongan “penjajah asing” di wilayah kepulauan Pasifik yang terletak sejauh 17,000 km dari tanah besar Perancis di benua Eropah dan meningkatkan sokongan undi kepada ahli-ahli politik yang pro-Perancis di situ.

Aksi protes yang mencetus di New Caledonia baru-baru ini melibatkan pertembungan keras antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan yang terdiri daripada golongan anak muda tempatan. Kebanyakan anak muda yang memberontak ini datang daripada latar belakang kelas pekerja dan masyarakat miskin. Mereka mendirikan sekatan jalan dan bertempur dengan polis. Kerajaan Perancis telah mengerahkan lebih 1,000 orang anggota pasukan bersenjata tambahan ke New Caledonia untuk mematahkan gelombang protes ini. Sebanyak 7 orang telah mati kerana protes dan rusuhan di New Caledonia, sementara ratusan orang cedera dan ditangkap oleh pihak berkuasa.

Kumpulan-kumpulan tempatan di New Caledonia yang memperjuangkan kemerdekaan kepulauan Pasifik itu, termasuk Fron Pembebasan Nasional Kanak dan Sosialis (FNLKS), dan golongan kiri di Perancis mengkritik “pembaharuan” pilihan raya yang dibawa oleh kerajaan pusat Perancis, kerana ia bertentangan dengan Perjanjian Nouméa yang merupakan janji kerajaan pusat Perancis untuk membolehkan New Caledonia dan penduduk orang asal Kanak untuk menentukan nasib mereka sendiri.

New Caledonia dijajah oleh kuasa imperialis Perancis mulai tahun 1853. Kuasa imperialis Perancis merampas tanah daripada masyarakat orang asal Kanak dan memberikannya kepada peneroka Eropah. Kerajaan Perancis menjadikan kepulauan itu sebagai jajahan tahanan pada tahun 1864, dengan kira-kira 22,000 orang penjenayah yang disabit kesalahan dan tahanan politik dihantar ke situ dalam tempoh dari tahun 1860-an hingga 1897, termasuk banyak tahanan politik yang dibuang negeri kerana terlibat dalam Revolusi Komun Paris 1871 tetapi kebanyakannya telah pulang semula ke Perancis selepas mendapat pengampunan. Kuasa penjajah Perancis membawa masuk tenaga buruh dari kepulauan berdekatan ke New Caledonia untuk bekerja di lombong nikel di situ.

Penjajahan dan perampasan yang dilakukan oleh kuasa imperialis Perancis di New Caledonia sering mendapat tentangan daripada masyarakat orang asal Kanak. Masyarakat orang asal Kanak yang dipinggirkan daripada ekonomi Perancis pernah melakukan pemberontakan pada tahun 1878 dan 1917. Selepas Perang Dunia II, New Caledonia dijadikan wilayah seberang laut Perancis pada tahun 1946, dan semua penduduk New Caledonia diberikan kewarganegaraan Perancis pada tahun 1953. Dengan perluasan ekonomi perlombongan Nikel yang menguntungkan golongan kapitalis besar, demografik di New Caledonia juga mengalami perubahan dengan penghijrahan masuk semakin banyak orang Eropah dan orang Polinesia, sementara masyarakat orang asal Kanak daripada rumpun Malenesia menjadi minoriti walaupun mereka masih merupakan kumpulan etnik yang terbesar di situ.

Kumpulan masyarakat orang asal Kanak yang menuntut kemerdekaan New Caledonia daripada kekuasaan Perancis telah melakukan pelbagai usaha untuk memperjuangkan hak menentukan nasib sendiri. Pergolakan hebat berlaku pada tahun 1970-an dan 1980-an, termasuk pemberontakan masyarakat Kanak pada tahun 1984-1985. Perjanjian Matignon pada 1988 yang dipersetujui antara golongan pro-kemerdekaan dan golongan pro-Perancis telah mewujudkan kestabilan politik di New Caledonia selama 10 tahun. Kemudiannya, Perjanjian Nouméa yang dibuat pada tahun 1998 telah menetapkan asas kepada peralihan 20-tahun yang akan memindahkan lebih banyak kuasa kepada kerajaan tempatan di New Caledonia dan membolehkan rakyat tempatan menentukan nasib sendiri. New Caledonia memperoleh status khas selepas Perjanjian Nouméa, dengan kewarganegaraan New Caledonia diwujudkan sebagai tambahan kepada kewarganegaraan Perancis bagi penduduk di situ. Namun, cara kerajaan Perancis mengendalikan laluan New Caledonia menuju penentuan nasib sendiri telah dikritik hebat oleh golongan yang menuntut kemerdekaan.

Tiga referendum telah diadakan selepas tamatnya tempoh Perjanjian Nouméa. Referendum pertama yang diadakan pada 4 November 2018 telah menolak kemerdekaan New Caledonia, dengan hanya 43.33% (60,199 orang) mengundi untuk menyokong kemerdekaan berbanding 56.67% (78,734 orang) yang menolaknya. Satu lagi referendum diadakan pada 2 Oktober 2020 dengan undian untuk kemerdekaan ditewaskan lagi, tetapi peratusan menyokong kemerdekaan telah meningkat kepada 46.74% (71,533 orang) berbanding undian menolak yang menurun kepada 53.26% (81,503 orang) dengan perbezaan undi hanya 10,000, menunjukkan suara untuk kemerdekaan semakin kuat khususnya dalam kalangan masyarakat orang asal Kanak. Referendum ketiga yang diadakan pada 12 Disember 2021 telah diboikot oleh kumpulan-kumpulan pro-kemerdekaan kerana kerajaan Perancis enggan menangguhkan pengundian pada ketika penduduk New Caledonia sedang berhadapan dengan kesan pandemik COVID-19, maka keputusannya 96.50% undian (75,720 orang – angka pengundi yang menurun lagi berbanding referendum sebelum itu) menolak kemerdekaan. Adalah agak jelas bahawa “pembaharuan” yang cuba dibawa oleh kerajaan pusat Perancis untuk memberi hak mengundi kepada lebih banyak penduduk bukan orang asal di New Caledonia akan mengurangkan peratusan undi yang menyokong kemerdekaan.

Dengan gelombang protes menuntut hak menentukan nasib sendiri tercetus semula di New Caledonia, kerajaan Perancis tidak teragak-agak untuk bertindak keras terhadap masyarakat orang asal Kanak yang menuntut kemerdekaan dengan mengerahkan tentera dan polis untuk mematahkan protes, menangkap pemimpin-pemimpin pro-kemerdekaan dan menyokong peneroka Eropah yang bersenjata di New Caledonia. New Caledonia memang merupakan sebuah pangkalan penting bagi imperialisme Perancis kerana sumber lombong nikelnya dan lokasinya yang strategik di Pasifik Selatan.

New Caledonia merupakan sebuah kepulauan yang kaya dengan sumber mineral, sebagai salah pengeluar nikel terbesar di dunia, tetapi kekayaannya tidak diagihkan secara sama rata, dengan kebanyakan masyarakat orang asal Kanak masih hidup dalam kemiskinan. Ketidaksamarataan ekonomi dan ketidakadilan sosial wujud kerana struktur imperialis yang hanya melindungi kepentingan kapitalis besar. Sudah pasti masyarakat orang asal Kanak yang memberontak di New Caledonia sekarang ini merupakan satu lagi barisan hadapan perjuangan rakyat Selatan Global yang menentang kapitalisme dan imperialisme.

(foto: Nicolas Job / AP)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *