(foto: Daniel Becerril / Reuters)

Claudia Sheinbaum, seorang pemimpin politik feminis yang progresif, bakal menjadi Presiden wanita yang pertama dalam sejarah negara Mexico dan Amerika Utara, setelah mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Presiden Mexico 2024.

Pilihan Raya Umum Mexico telah diadakan pada 2 Jun 2024, dengan hampir 56 juta orang keluar mengundi (bersamaan 60.92% daripada jumlah pengundi). Pilihan Raya Umum ini memilih Presiden baharu Mexico untuk penggal bertempoh 6 tahun, 500 orang Ahli Dewan Perwakilan Mexico dan 128 orang Ahli Dewan Senat. Pilihan raya untuk Ketua Kerajaan Bandar Raya Mexico, perwakilan dalam kongres 31 buah negeri dan pegawai dalam 1,580 buah kerajaan tempatan juga diadakan pada hari yang sama.

Selepas 95% undi telah dikira, Claudia Sheinbaum, calon daripada gabungan politik berhaluan kiri Sigamos Haciendo Historia (“Ayuh Terus Mencipta Sejarah”), telah meraih sebanyak lebih 59% undian (bersamaan lebih 33 juta undi), jauh meninggalkan pesaing terdekatnya dengan perbezaan undian lebih 30 titik peratusan. Dua orang lagi calon yang bersaing untuk jawatan Presiden Mexico, Xóchitl Gálvez daripada gabungan politik berhaluan kanan Fuerza y Corazón por México dan Jorge Máynez daripada gabungan politik kiri-tengah Movimiento Ciudadano, masing-masing memperoleh undian sebanyak 27.9% dan 10.4%.

Sigamos Haciendo Historia ialah gabungan parti politik berhaluan kiri untuk pilihan raya yang terdiri daripada Gerakan Pembaharuan Negara (Morena), Parti Buruh (PT) dan Parti Ekologi Hijau Mexico (PVEM). Gabungan politik ini merupakan lanjutan daripada Juntos Haremos Historia (Bersama Kita Akan Mencipta Sejarah) dan Juntos Hacemos Historia (Bersama Kita Mencipta Sejarah) yang menyokong kepresidenan Andrés Manuel López Obrador (yang sering dikenali dengan singkatan namanya AMLO).

Kemenangan Claudia Sheinbaum dengan peratusan undian yang lebih besar lagi berbanding AMLO pada 6 tahun dahulu (54.7%) boleh dikatakan bahawa rakyat Mexico rata-rata berpuas hati dengan pentadbiran AMLO yang menegakkan model pembangunan ekonomi yang anti-neolibral dan menginginkan pengganti kepada AMLO, iaitu Claudia Sheinbaum, yang bakal mengikuti jejaknya untuk meneruskan dasar pembaharuan yang progresif.

Claudia Sheinbaum ialah seorang ahli sains yang pernah menyertai Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) dan menyumbang penulisannya kepada Laporan Penilaian Keempatan IPCC pada tahun 2007 dalam topik mengenai “Mitigasi Perubahan Iklim”. Beliau juga terlibat dalam penulisan Laporan Penilaian Kelima IPCC pada tahun 2013. Claudia Sheinbaum pernah menjadi Datuk Bandar Tlalpan pada tahun 2015-2017, dan kemudiannya dipilih sebagai Ketua Kerajaan Bandar Raya Mexico, ibu negara dan bandar terbesar Mexico, pada tahun 2018. Semasa menjawat Ketua Kerajaan Bandar Raya Mexico, Claudia Sheinbaum telah memperkenalkan pelbagai pembaharuan seperti program biasiswa kepada 1.2 juta orang pelajar, penubuhan pusat komuniti di kawasan kejiranan yang terpinggir, rancangan mengurangan pencemaran udara, pembinaan koridor untuk laluan khas bas troli sepanjang 100 km, pelaburan untuk pemodenan pengangkutan bas awam dan sebagainya.

Claudia Sheinbaum telah berikrar untuk meneruskan projek “Transformasi Keempat” yang diperkenalkan oleh AMLO berpandukan prinsip-prinsip “Kemanusiaan Mexico”. “Tranformasi Keempat” merupakan projek politik AMLO untuk memecahkan kekuasaan golongan elit politik yang korup dan menghapuskan dasar neoliberal yang membawa kepada ketidakadilan sosial di Mexico dalam beberapa dekad yang lalu. Tiga zaman “transformasi” yang dimaksudkan oleh AMLO ialah Perang Kemerdekaan Mexico (1810-1821), Perang Pembaharuan (1858-1861) dan Revolusi Mexico (1910-1917). AMLO yang menang dalam Pilihan Raya Presiden Mexico pada tahun 2018 telah mendorong pelaburan awam dalam sektor yang diliberalisasikan oleh kerajaan-kerajaan sebelumnya dan melaksanakan beberapa pembaharuan sosial yang progresif. Projek sosio-ekonomi yang dibawa oleh kerajaan pimpinan AMLO, seperti peningkatan gaji minimum, perluasan program sosio-ekonomi untuk meningkatkan akses kepada pendidikan, kesihatan dan sebagainya, telah berjaya meningkatkan standard kehidupan majoriti rakyat di negara itu. Kadar sokongan untuk AMLO adalah tinggi dan sentiasa melebihi 60% sehingga penghujung penggal kepresidenannya.

Semasa berucap di hadapan penyokong-penyokong yang meraihkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden di pusat Bandar Raya Mexico, Claudia Sheinbaum yang bakal menjadi Presiden wanita di Mexico berkata, “Saya berasa teruja dan bersyukur, atas pengiktirafan yang anda berikan kepada Tranformasi Keempat buat kehidupan awam Mexico. Di sini seperti yang kita selalu lakukan, saya berjanji untuk tidak mengecewakan anda. Hari ini, rakyat Mexico telah memungkinkan kesinambungan dan kemajuan Transformasi Keempat, dan juga untuk kali pertama dalam tempoh 200 tahun, kami wanita telah sampat kepada kepresidenan Republik!”

Dengan tekad meneruskan usaha Transformasi Keempat yang dimulakan oleh AMLO, Claudia Sheinbaum menekankan peranan kerajaan dalam memberikan dan menegakkan hak asasi rakyat, seperti pendidikan, kesihatan, perumahan, pencen untuk semua warga emas dan sebagainya. Claudia Sheinbaum juga berpendirian bahawa bidang ekonomi negara yang strategik, seperti sumber tenaga, harus berada dalam tangan kerajaan, bukannya dalam tangan pelabur swasta.

Gabungan politik yang menyokong kepresidenan Claudia Sheinbaum, Sigamos Haciendo Historia yang diterajui oleh parti berhaluan kiri Morena turut dijangka akan menguasai majoriti dalam Dewan Perwakilan dan Dewan Senat, maka memudahkan pentadbiran Claudia Sheinbaum untuk meneruskan usaha pembaharuan demi menegakkan keadilan sosial dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Mexico.

Pada masa ini, rakan perdagangan yang paling penting untuk Mexico ialah negara jiran yang bersempadan dengannya di utara, iaitu Amerika Syarikat (AS) yang merupakan kuasa besar dunia. Sepanjang tempoh pentadbiran di bawah AMLO sepanjang 6 tahun yang lalu ini, kerajaan Mexico masih dapat mengekalkan hubungan yang agak mesra dengan AS tetapi pada masa yang sama berpendirian tegas dan bersuara lantang dalam mengkritik dasar AS berkenaan isu-isu yang penting, seperti sekatan ekonomi terhadap Kuba dan pendakwaan terhadap Julian Assange. AMLO telah memainkan peranan penting dalam mencergaskan semula ruangan integrasi serantau Amerika Latin semasa menyandang jawatan pengerusi sementara Komuniti Negara-negara Amerika Latin dan Caribbean. Sudah pasti dasar yang akan dibawa oleh Claudia Sheinbaum berkenaan hubungan negara Mexico dengan AS dan rantau Amerika Latin akan menentukan bagaimana hala tuju kepresidenannya dalam tempoh 6 tahun akan datang.

Walau bagaimanapun, kemenangan Claudia Sheinbaum dalam Pilihan Raya Presiden Mexico bukan sahaja merupakan pengesahan pengundi terhadap dasar AMLO yang berpihak kepada rakyat miskin, malah juga merupakan satu loncatan besar bagi politik feminis dan ekologi yang radikal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *