Satu gelombang protes di kampus-kampus universiti di Amerika Syarikat (AS) dan banyak negara yang lain tercetus sejak 17 April 2024 untuk membantah perang genosid yang dilancarkan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dan mendesak pihak yang berwajib untuk memberhentikan segala sokongan kepada rejim Zionis Israel yang zalim itu.

Gelombang kebangkitan anak muda terbaru ini bermula dengan aksi protes pelajar-pelajar di Universiti Columbia di Bandar Raya New York pada 17 April 2024, apabila pelajar-pelajar yang bersolidariti dengan Palestin mendirikan kira-kira 50 buah khemah di dalam kampus Universiti Columbia dengan tuntutan supaya universiti tersebut menyahlabur daripada Israel. Pihak pengurusan Universiti Columbia telah membenarkan angkatan polis New York untuk memasuki kampus pada 18 April 2024 dan melakukan penangkapan besar-besaran terhadap pelajar-pelajar yang berprotes. Namun, tindakan daripada pihak pengurusan universiti tersebut membarakan lagi semangat penentangan anak muda. Pelajar-pelajar mendirikan tapak khemah yang baharu sehari kemudian untuk meneruskan aksi protes. Setelah rundingan antara pelajar-pelajar yang berprotes dan pihak pengurusan universiti menemui jalan buntu pada 29 April 2024, di mana pihak pengurusan mengugut untuk menggantungkan pelajar-pelajar yang masih berada di dalam khemah, pelajar-pelajar yang berprotes menduduki Dewan Hamilton di dalam kampus Universiti Columbia pada 30 April 2024. Sekali lagi, pihak pengurusan universiti membenarkan pihak polis untuk menyerbu kampus Universiti Columbia dan melakukan penangkapan besar-besaran terhadap pelajar-pelajarnya.

Khemah protes di Universiti Columbia pada 17 April 2024. (foto: Mukta Joshi / Hyperallergic)

Penangkapan terhadap pelajar-pelajar yang berprotes di dalam kampus Universiti Columbia demi Palestin ini merupakan kali pertama pihak pengurusan Universiti Columbia membenarkan polis memasuki kampusnya untuk mematahkan protes pelajar sejak demonstrasi pelajar menentang Perang Vietnam pada tahun 1968. 56 tahun dahulu, pada musim bunga tahun 1968, pelajar-pelajar juga menduduki kampus Universiti Columbia untuk membantah sokongan yang diberikan oleh pihak universiti kepada penglibatan AS dalam Perang Vietnam, dan pihak polis juga dikerahkan pada masa itu untuk mematahkan aksi protes pelajar yang hebat itu. Aksi protes pelajar-pelajar Universiti Columbia pada tahun 1968 merupakan sebahagian daripada gelombang kebangkitan anak muda di seluruh dunia pada tahun itu; sementara aksi protes pelajar-pelajar Universiti Columbia pada tahun 2024 menjadi pemangkin kepada gelombang kebangkitan anak muda yang lebih besar untuk bersolidariti dengan Palestin dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel yang disokong oleh kuasa imperialis AS. Kedua-dua gelombang protes pada tahun 1968 dan 2024 tercetus untuk mencabar kekuasaan imperialis AS yang membawa bencana perang kepada rakyat sedunia.

Aksi protes dan pendudukan pelajar di Universiti Columbia telah mendorong aksi yang serupa di banyak kampus universiti di seluruh AS, malah merebak ke negara-negara lain. Aksi protes, sama ada dalam bentuk duduk bantah atau pendirian khemah protes, berlaku di lebih 120 buah kampus universiti di AS, termasuk Universiti California, Los Angeles (UCLA), Universiti Harvard, Universiti George Washington, UC Berkeley, Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Universiti New York, Universiti Yale, Universiti Pennsylvania, Kolej Bandar Raya New York dan banyak lagi. Pelajar-pelajar yang protes menuntut pada institusi-institusi pendidikan di mana mereka belajar itu untuk memutuskan semua hubungan kerjasama dengan Israel serta syarikat-syarikat yang membantu rejim Zionis Israel dalam genosid terhadap rakyat Palestin. Mereka juga menggesa kerajaan AS supaya menghentikan segala sokongan ketenteraan kepada Israel. Selepas berlakunya beberapa penangkapan besar-besaran terhadap pelajar-pelajar yang berprotes, tuntutan mereka yang protes juga memasukkan seruan pengampunan untuk pelajar-pelajar dan kakitangan universiti yang diambil tindakan disiplin atau dipecat kerana terlibat dalam protes bersolidariti dengan Palestin.

Polis menangkap seorang demonstran di Kolej Bandar Raya New York pada 30 April 2024. (foto: Spencer Platt / Getty Images)

Pihak berkuasa AS telah menggunakan kekerasan untuk mematahkan aksi protes bersolidariti dengan Palestin ini. Selain Universiti Columbia, pihak polis juga dikerahkan untuk melakukan penangkapan besar-besaran terhadap pelajar-pelajar yang berprotes di Kolej Bandar Raya New York, UCLA, The New School, Universiti New York, Universiti Virginia dan sebagainya. Setakat 7 Mei 2024, lebih 2,700 orang yang berprotes di kampus universiti di AS telah ditangkap, termasuk pelajar dan profesor universiti.

Di luar AS, aksi protes pelajar di dalam kampus universiti turut tercetus di Australia (Universiti Sydney, Universiti Melbourne, Universiti Monash, Universiti Queensland dan sebagainya), Belgium (Universiti Ghent), Denmark (Universiti Copenhagen), Finland (Universiti Helsinki), Jepun (Universiti Tokyo), Jerman (Universiti Bebas Berlin, Universiti Humboldt Berlin dan sebagainya), Kanada (Universiti McGill, Universiti Alberta, Universiti Toronto, Universiti McMaster dan sebagainya), Perancis (Universiti  Sorbonne dan Institut Kajian Politik Paris) dan banyak lagi.

Aksi protes di Universiti Amsterdam, Belanda. (foto: Piroschka Van De Wouw / Reuters)

Aksi protes bersolidariti dengan Palestin di AS dan negara-negara lain di seluruh dunia telah membongkarkan wajah sebenar kekuasaan imperialis AS yang sanggup mengorbankan lebin banyak nyawa untuk mempertahankan sekutunya dan kepentingannya di rantau Timur Tengah. Kerajaan AS sedang menghadapi tekanan hebat daripada masyarakat antarabangsa dan masyarakat sivil dalam negara itu untuk menghentikan sokongannya kepada rejim Zionis Israel. Dalam tempoh 7 bulan sejak 7 Oktober 2023, pembantaian oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin telah meragut nyawa lebih 35,000 orang rakyat Palestin dan mencederakan lebih 80,000 orang. Sekurang-kurangnya 1.9 juta orang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza. Pada 6 Mei 2024, tentera Israel memulakan serangan ke atas Rafah yang menjadi tempat berselindung bagi lebih 1 juta orang rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal kerana pencerobohan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak bulan Oktober 2023.

Gelombang protes pelajar yang merebak di kampus institusi pengajian tinggi di banyak negara untuk bersolidariti dengan Palestin ini mencetuskan semula ingatan dunia tentang kehebatan kebangkitan anak muda pada tahun 1968. Kebangkitan anak muda pada tahun 1968 telah mencabar kekuasaan pemerintah di negara-negara dalam kedua-dua blok kuasa semasa Perang Dingin, dengan tuntutan untuk keamanan dunia dan keadilan sosial sebagai terasnya. Gelombang protes pelajar terbaru yang berkisar pada solidariti bersama Palestin dan melawan kekejaman rejim Zionis Israel telah melanjutkan semangat pemberontakan 1968 yang radikal ini. Anak-anak muda dan rakyat yang berprotes bersolidariti bersama Palestin ini berpegang teguh pada semangat mencintai kemanusiaan, keamanan sejagat, keadilan sosial dan pembebasan sebenar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *