Selepas perbicaraan “Kes Kobanî” yang bermotifkan politik dan bersifat pertunjukan selama lebih 3 tahun, mahkamah Turki menjatuhkan hukuman penjara selama 9 hingga 42 tahun ke atas 24 orang ahli politik berhaluan kiri di negara itu.

Perbicaraan pertunjukan “Kes Kobanî” merupakan sebahagian daripada usaha rejim pemerintahan Presiden Recep Tayyip Erdoğan untuk mematahkan gerakan kiri yang radikal di negara itu demi memperkukuhkan kekuasaan autoritariannya.

Pada bulan Oktober 2014, pada ketika bandar Kobanî, sebuah bandar dengan penduduk majoriti Kurdi di utara Syria, berada dalam ancaman ditawan oleh kumpulan pelampau ISIS, gelombang protes tercetus di beberapa buah bandar di Turki, dengan tuntutan kepada kerajaan Turki supaya bertindak untuk menghentikan serangan ISIS ke atas Kobanî. Namun, pihak berkuasa Turki telah menggunakan kekerasan untuk cuba mematahkan protes yang bersolidariti dengan Kobanî. Semasa protes itu berlaku, 46 orang awam, antaranya 34 orang anggota dan penyokong Parti Rakyat Demokratik (HDP), sebuah parti berhaluan kiri yang pro-Kurdi di Turki, telah dibunuh oleh kumpulan pro-ISIS di Turki dengan provokasi daripada pasukan keselamatan Turki.  

HDP telah meminta pada Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki (iaitu Parlimen Turki) untuk menyiasat keganasan yang berlaku terhadap demonstran semasa protes bersolidariti dengan Kobanî, tetapi permintaan tersebut telah ditolak. Sebaliknya, pihak berkuasa Turki melancarkan siasatan jenayah terhadap pemimpin-pemimpin HDP dengan pertuduhan liar seperti membunuh dan merosakkan perpaduan negara. Kerajaan Turki pimpinan Erdoğan menuduh HDP bertindak di bawah arahan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), sebuah organisasi militan Kurdi berhaluan kiri yang dianggap sebagai organisasi pengganas oleh kerajaan Turki. Pihak berkuasa Turki melakukan penangkapan besar-besaran terhadap pemimpin-pemimpin HDP yang dikatakan terlibat dalam “Kes Kobanî”, termasuk ahli-ahli parlimen dan datuk-datuk bandar yang menang dalam pilihan raya.

Sebanyak 108 orang anggota HDP telah dihadap ke mahkamah atas pertuduhan yang berkaitan dengan “Kes Kobanî”. Perbicaraan “Kes Kobanî” bermula pada bulan April 2021. Para defendan menafikan semua dakwaan yang tidak berasas itu, tetapi mahkamah meneruskan perbicaraan di bawah pengaruh politik yang jelas dan penyelewengan kehakiman sejak awal lagi.

Sejak awal lagi, perbicaraan “Kes Kobanî” hanyalah sebuah perbicaraan pertunjukan untuk melenyapkan suara pemimpin-pemimpin HDP. Kerajaan Turki juga menggunakan penglibatan pemimpin-pemimpin HDP dalam “Kes Kobanî” untuk melancarkan prosedur undang-undang dengan tujuan membubarkan parti yang merupakan parti ketiga besar dalam Parlimen Turki pada masa itu.

Sejak tahun 2016, lebih daripada 20,000 orang anggota HDP telah ditangkap, antaranya 10,000 orang telah ditahan atau dipenjarakan, dan 48 buah pentadbiran bandar yang dimenangi oleh HDP melalui pilihan raya diambil alih secara paksaan oleh kerajaan pusat. Dengan ancaman tindakan undang-undang yang semakin ketara daripada pihak berkuasa untuk membubarkan parti, HDP memutuskan pada tahun 2023 untuk bergabung ke dalam Parti Kiri Hijau (YSP) dan mengambil nama baharu, Parti Kesaksamaan Rakyat dan Demokratik (DEM Parti). DEM Parti merupakan parti ketiga besar dalam Parlimen Turki pada masa ini.

Keputusan mahkamah Turki yang diumumkan pada 16 Mei 2024 mengenakan hukuman penjara sejumlah lebih 400 tahun ke atas ahli-ahli politik daripada HDP. Mereka yang dijatuhkan hukuman adalah seperti berikut:

  1. Selahattin Demirtaş (bekas Pengerusi Bersama HDP) – penjara 42 tahun dan 6 bulan
  2. Figen Yüksekdağ (bekas Pengerusi Bersama HDP) – penjara 30 tahun dan 3 bulan
  3. Alp Altınörs (bekas anggota Lembaga Eksekutif HDP) – penjara 22 tahun dan 6 bulan
  4. Nazmi Gür (bekas Timbalan Pengerusi Bersama Hal Ehwal Luar Negeri HDP dan bekas anggota Perhimpunan Parlimen Majlis Eropah) – penjara 22 tahun dan 6 bulan
  5. Zeki Çelik (bekas anggota Lembaga Eksekutif HDP) – penjara 22 tahun dan 6 bulan
  6. Zeynep Karaman (bekas anggota Lembaga Eksekutif HDP) – penjara 22 tahun dan 6 bulan
  7. Pervin Oduncu (bekas anggota Lembaga Eksekutif HDP) – penjara 22 tahun dan 6 bulan
  8. Günay Kubilay (bekas Jurucakap dan bekas anggota Lembaga Eksekutif HDP) – penjara 20 tahun dan 6 bulan
  9. İsmail Şengül (bekas anggota Lembaga Eksekutif HDP) – penjara 20 tahun dan 6 bulan
  10. Dilek Yağlı (bekas anggota Lembaga Eksekutif HDP) – penjara 20 tahun
  11. Bülent Parmaksız (bekas anggota Lembaga Eksekutif HDP) – penjara 18 tahun
  12. Ali Ürküt (bekas anggota Lembaga Eksekutif HDP) – penjara 17 tahun
  13. Cihan Erdal (bekas anggota Lembaga Eksekutif HDP) – penjara 16 tahun
  14. Gültan Kışanak (bekas Ahli Parlimen dan bekas Datuk Bandar Diyarbakır) penjara 12 tahun
  15. Sebahat Tuncel (bekas Ahli Parlimen dan bekas Ahli Eksekutif Perhimpunan Wanita HDP) – penjara 12 tahun
  16. Zeynep Ölbeci (bekas anggota Lembaga Eksekutif HDP) – penjara 11 tahun dan 6 bulan
  17. Ahmet Türk (Datuk Bandar Mardin) – penjara 10 tahun
  18. Emine Ayna (bekas Ahli Parlimen dan anggota Perhimpunan Wanita HDP) – penjara 10 tahun
  19. Ayla Akat Ata (bekas Ahli Parlimen dan Ahli Eksekutif Perhimpunan Wanita HDP) – penjara 9 tahun dan 9 bulan
  20. Aynur Aşan (anggota Perhimpunan HDP) – penjara 9 tahun
  21. Ayşe Yağcı (anggota Perhimpunan HDP) – penjara 9 tahun
  22. Meryem Adıbelli (bekas anggota Lembaga Eksekutif HDP) – penjara 9 tahun
  23. Mesut Bağcık (anggota Perhimpunan HDP) – penjara 9 tahun
  24. Nezir Çakan (bekas anggota Lembaga Eksekutif HDP) – penjara 9 tahun

Antara mereka yang telah dijatuhkan hukuman penjara, 5 orang defendan (Gültan Kışanak, Sebahat Tuncel, Ayla Akat Ata, Ayşe Yağcı dan Meryem Adıbelli) dibebaskan dengan mengambil kira masa mereka telah dikurung lama di dalam penjara. Beberapa orang pula dibebaskan daripada pertuduhan, termasuk Altan Tan (bekas Ahli Parlimen HDP), Ayhan Bilgen (bekas Datuk Bandar Kars), Aysel Tuğluk (bekas Ahli Parlimen),  Sırrı Süreyya Önder (Ahli Parlimen DEM Parti), Can Memiş (anggota HDP yang merupakan defendan paling muda) dan lain-lain.

Bercakap di luar mahkamah selepas keputusan diumumkan, Tülay Hatimoğulları Oruç dan Tuncer Bakırhan, Pengerusi Bersama DEM Parti, mengecam keputusan tersebut sebagai “noda hitam” dalam sejarah kehakiman Turki dan ia merupakan satu cubaan untuk “memadamkan” ahli-ahli politik Kurdi di negara itu.

“Hari ini di mahkamah, kita telah menyaksikan pembunuhan besar-besaran terhadap undang-undang sekali gus,” kata Hatimoğulları yang menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai rampasan kuasa politik. “Tiada lagi perkara yang dikenali sebagai kehakiman itu kekal di Turki. Keputusan yang diambil oleh mahkamah hari ini sekali lagi menunjukkan kepada kita bahawa mereka berpihak pada ISIS dan fasisme. Penghakiman ini adalah tidak sah.”

Özgür Özel, pemimpin Parti Rakyat Republik (CHP), parti pembangkang terbesar di Turki, turut mengatakan bahawa keputusan mahkamah terhadap Selahattin Demirtaş dan Figen Yüksekdağ adalah tidak boleh diterima.

Berikutan pengumuman keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara yang lama ke atas ahli-ahli politik HDP, kerajaan Turki mengenakan larangan demonstrasi selama 4 hari di 14 buah wilayah, termasuk Diyarbakır, Adana, Mardin dan Şanlıurfa.

Selahattin Demirtaş, pemimpin HDP yang dikenakan hukuman penjara paling lama, telah ditahan di dalam penjara sejak bulan November 2016, namun beliau masih merupakan tokoh politik yang amat berpengaruh di Turki.

“Kami marah kerana bukannya kami yang dikutuk, tetapi solidariti,” kata Sebahat Tuncel, bekas Ahli Parlimen HDP yang dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun tetapi dibebaskan kerana telah dipenjarakan untuk tempoh yang lama. “Solidariti bersama Kobanî dan rakyat Kurdi telah dihukum. Mesej di sebaliknya adalah jelas: masih tiada prospek untuk penyelesaian kepada persoalan Kurdi, sebaliknya desakan untuk peperangan dan konflik.”

“Ia hanyalah kata-kata kosong apabila kerajaan bercakap tentang ‘normalisasi’ sementara menghukum warga Kurdi dan golongan sosialis yang menentang peperangan,” tambah Sebahat Tuncel. “Atas sebab ini, kami akan terus memperkuatkan perjuangan kita untuk kebebasan, keamanan dan demokrasi. Kami akan menyalurkan kemarahan kami ke dalam penentangan dan memajukan kerja organisasi kami supaya kami boleh berjaya. Matlamat utama sepatutnya adalah memecahkan pengasingan di dalam penjara, khususnya di İmralı (sebuah pulau penjara yang mengurung tahanan politik seperti pemimpin PKK Abdullah Öcalan), kerana di situ tersimpannya kunci kepada penyelesaian bagi keamanan, dan bersamanya, harapan jutaan orang untuk kebebasan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *