Di mana adanya penindasan, di situ tercetusnya perjuangan. Perjuangan rakyat sentiasa berlaku dalam masyarakat kita selagi wujudnya ketidaksamarataan, ketidakadilan, kezaliman, pemaksaan, pemerasan dan penindasan. Masyarakat kelas yang berasaskan pengagihan kekayaan yang tidak sama rata dan tidak adil antara kelas-kelas sosial yang berbeza, iaitu antara kelas yang memerintah dan kelas yang diperintah, di samping wujudnya penindasan yang berterusan, sentiasa terdapat pertentangan kelas yang boleh mencetuskan perjuangan kelas.

Dalam setiap peringkat sejarah masyarakat manusia, asas ekonomi dan superstruktur dalam masyarakat itu sentiasa saling bertindak balas dan mempengaruhi perubahan sosial:

  • “Asas ekonomi” terdiri daripada kuasa pengeluaran dan hubungan pengeluaran dalam sesebuah masyarakat. Kuasa pengeluaran atau daya pengeluaran ialah alat, sumber dan kaedah yang digunakan dalam pengeluaran barang-barang keperluan masyarakat, di mana ia termasuk peralatan, mesin, teknologi, modal dan tenaga buruh. Hubungan pengeluaran pula merujuk pada hubungan antara anggota-anggota masyarakat dalam proses pengeluaran ekonomi, seperti pembahagian kerja, hubungan pemilikan harta dan hubungan kelas. Asas ekonomi dalam sesebuah masyarakat secara dasarnya menentukan bagaimana barangan atau kekayaan masyarakat dihasilkan dan diagihkan serta bagaimana anggota-anggota masyarakat dihubungkan antara satu sama lain dalam proses ekonomi.
  • Berdiri di atas asas ekonomi ini ialah superstruktur. “Superstruktur” atau struktur atasan, merangkumi semua aspek yang lain dalam masyarakat yang terbentuk di atas asas ekonomi. Ia termasuk aspek politik seperti negara, kerajaan, undang-undang, sistem kehakiman dan organisasi politik; dan juga aspek ideologi seperti agama, kebudayaan, adat istiadat, pendidikan, media massa, institusi kekeluargaan dan falsafah. Dalam sebuah masyarakat kelas, superstruktur biasanya berfungsi untuk mengekalkan pembahagian kelas dan dominasi sesebuah kelas sosial terhadap proses pengeluaran ekonomi.

Kemunculan masyarakat kelas bermakna wujudnya pengagihan kekayaan yang tidak adil.

Tidak wujudnya kelas sosial yang berbeza pada zaman masyarakat primitif kerana kekayaan kebendaan dalam masyarakat primitif adalah begitu serba kurang. Seluruh anggota dalam sesebuah masyarakat primitif perlu mengagihkan kerja dan hasil perburuhan secara sama rata demi memastikan kelangsungan hidup seluruh masyarakat itu. Masyarakat sebegini dikenali sebagai “komunisme primitif” mengikut konsep Marxis (yang diperkenalkan oleh Karl Marx dan Friedrich Engels), di mana pengeluaran masyarakat adalah berasaskan kerjasama antara seluruh anggota masyarakat untuk kelangsungan hidup bersama, pemilikan harta masyarakat adalah secara komunal atau bersama, dan tidak wujudnya pembahagian mengikut kelas dalam masyarakat. Tiadanya kelas sosial, bermakna tidak wujudnya pertentangan kelas.

Namun, dengan perkembangan peralatan pengeluaran yang lebih maju sehingga membolehkan pengeluaran lebihan (surplus) kekayaan dalam sebuah masyarakat, maka mula wujudnya pembahagian kerja dalam masyarakat dan kemudian membawa kepada kemunculan kelas sosial yang berbeza, di mana adanya sekumpulan orang dalam masyarakat itu menikmati surplus pengeluaran tanpa perlunya bekerja sementara adanya sekumpulan orang yang terpaksa bekerja dengan menggunakan tenaga buruh mereka untuk menghasilkan keperluan mereka sendiri dan surplus pengeluaran yang akan diambil oleh kumpulan orang yang tidak bekerja. Di situlah wujudnya perbezaan kelas dan pertentangan kelas, maka boleh mencetuskan perjuangan kelas. Perjuangan kelas ialah perjuangan dalam masyarakat untuk menentukan bagaimana surplus pengeluaran atau kekayaan masyarakat hasil daripada perburuhan manusia itu diagihkan.

“Segala sejarah masyarakat sehingga ke hari ini, adalah sejarah perjuangan kelas,” begitu tulisnya Karl Marx dan Friedrich Engels dalam “Manifesto Komunis” yang diterbitkan pada tahun 1848. 

Selama beribu-ribu tahun dahulu lagi sejak kemunculan masyarakat kelas, perjuangan kelas merupakan penggerak penting kepada perkembangan sejarah masyarakat manusia. Selagi masyarakat kelas itu masih wujud, perjuangan kelas akan terus berlaku. Perjuangan kelas biasanya tercetus kerana kelas yang diperintah tidak lagi dapat menahan penindasan kelas, wujudnya perebutan kuasa antara kelas-kelas yang berbeza, sesebuah kelas sosial menginginkan perubahan yang lebih baik, ataupun timbulnya aspirasi untuk menghapuskan perbezaan kelas dalam masyarakat. Perjuangan kelas yang hebat boleh membawa revolusi, iaitu perubahan menyeluruh kepada sesebuah masyarakat.

Revolusi Neolitik

Pada sekitar tahun 10000 hingga 8000 Sebelum Masihi (SM), semasa masyarakat di Afro-Eurasia memasuki Zaman Batu Baharu (atau dikenali sebagai Zaman Neolitik), berlakunya perubahan ketara dalam beberapa buah masyarakat manusia yang beralih daripada corak kehidupan “pemburu-pengumpul” yang biasanya bersifat nomad kepada corak kehidupan baharu yang melibatkan pertanian, penternakan dan petempatan tetap. Proses ini dikenali sebagai “Revolusi Neolitik”.

Proses peralihan sosioekonomi ini dapat berlaku kerana penemuan teknik bercucuk tanam yang dapat mengeluarkan makanan melalui aktiviti pertanian dan manusia tidak perlu lagi hanya bergantung pada cara “memburu binatang dan mengumpul tumbuhan” untuk mendapatkan makanan yang merupakan sumber penting kepada kehidupan mereka. Oleh itu, Revolusi Neolitik juga dikenali sebagai “Revolusi Pertanian Pertama”.

Kawasan yang diwarnakan hijau itu ialah Hilal Subur. (Sumber peta: Encyclopædia Britannica)

Revolusi Neolitik pada mulanya berlaku di Hilal Subur di rantau Timur Tengah dan kemudian tersebar ke Lembah Sungai Nil, di mana proses perubahan masyarakat ini secara beransur-ansur membawa kepada kemunculan tamadun awal seperti Sumeria, Babylonia, Assyria dan Mesir Purba. Revolusi Neolitik dalam masyarakat primitif di sekitar lembangan Sungai Kuning di Asia Timur kemudiannya membawa kepada kelahiran tamadun China Purba. Masyarakat Neolitik di Lembah Sungai Indus pula menjadi pendahulu kepada kemunculan tamadun India Purba.

Revolusi Neolitik mengubah kehidupan masyarakat manusia dengan ketara apabila kumpulan manusia yang hidup berpindah-randah sebelum itu dapat menetap di sebuah kawasan petempatan tetap dengan pengeluaran makanan melalui pertanian dan penternakan, di samping membolehkan pertumbuhan penduduk dalam jumlah yang besar. Ini juga membawa kepada pembahagian kerja (maka membawa juga kepada pembahagian kekayaan) yang lebih kompleks dan pembentukan susunan masyarakat yang diperlukan untuk mengekalkan corak pengeluaran yang baharu itu. Proses perubahan masyarakat ini merupakan titik perubahan penting dalam sejarah masyarakat manusia, kerana ia menyediakan asas kepada pembentukan masyarakat kelas kemudian, yang juga dikenali sebagai “tamadun”.

Revolusi Neolitik tidak semestinya membawa kepada pembentukan masyarakat kelas, tetapi syarat kebendaan dan dinamik masyarakat baharu yang dicipta dalam proses itu kemudiannya mewujudkan pembahagian kelas dalam masyarakat. Revolusi Neolitik menjadi pelopor kepada urbanisasi, penyimpanan rekod dengan tulisan dan negara yang tersusun, maka mewujudkan asas kepada revolusi atau perubahan masyarakat selepasnya.

Masyarakat zaman Neolitik secara umumnya masih merupakan masyarakat tanpa kelas, di mana anggota-anggota masyarakat berkongsi kerja dan hasil kerja (makanan) secara sama rata. Namun, surplus pengeluaran dalam masyarakat boleh membawa kepada kemunculan ketidaksamarataan ekonomi. Kewujudan masyarakat pertanian dengan jumlah penduduk yang lebih besar dan pengeluaran surplus yang lebih banyak berikutan Revolusi Neolitik membolehkan pembangunan susunan masyarakat yang lebih kompleks. Lebihan makanan hasil daripada pembangunan ekonomi pertanian membolehkan pembentukan satu lapisan masyarakat yang bebas daripada perburuhan, menguasai surplus pengeluaran, mengambil kedudukan yang dominasi dalam komuniti dan memonopoli proses membuat keputusan. Kumpulan ini menjadi kelas yang memerintah. Pada masa yang sama, terbentuk juga satu lagi lapisan masyarakat dalam bilangan yang lebih besar tetapi terpaksa melakukan kerja-kerja yang dibahagikan itu untuk terus menghasilkan surplus makanan dan kekayaan masyarakat. Lapisan masyarakat ini menjadi kelas yang diperintah. Beginilah mula munculnya masyarakat kelas dan ketidaksamarataan ekonomi.

Satu lagi faktor penting yang menyumbang kepada pembentukan masyarakat kelas ialah kemunculan pemilikan harta persendirian, di mana sumber-sumber pengeluaran (seperti peralatan pengeluaran, tanah dan sebagainya) yang sebelum itu dimiliki secara kolektif telah dijadikan pemilikan persendirian oleh sesetengah individu atau keluarga yang berkuasa dalam masyarakat. Pemilikan harta persendirian merupakan asas ekonomi yang paling utama untuk pembahagian kelas dalam masyarakat manusia.

Ciri-ciri penting yang membezakan masyarakat kelas dengan masyarakat sebelumnya yang lebih bersifat egalitarian (sama rata) termasuk:

  • Pembahagian masyarakat kepada kelas-kelas sosioekonomi yang berbeza (iaitu kelas yang memiliki sumber-sumber pengeluaran dan kelas yang membanting tulang untuk bekerja tetapi tidak memiliki sumber-sumber pengeluaran);
  • Pembentukan jentera negara untuk mengekalkan kekuasaan kelas yang memerintah dengan cara paksaan atau keganasan;
  • Pembentukan lapisan birokrasi untuk menguruskan negara bagi pihak kelas yang memerintah;
  • Penubuhan tentera yang dikerahkan untuk berperang bagi kelas pemerintah;
  • Penggubalan undang-undang atau peraturan yang bertujuan untuk mengekalkan susunan masyarakat kelas yang sedia ada;
  • Penurunan taraf kedudukan wanita dalam masyarakat di bawah kekuasaan patriarki (dominasi golongan lelaki kelas atasan) maka membawa kepada ketidaksamarataan gender dan sebagainya.

Pertentangan kelas sentiasa wujud antara kelas yang memerintah (iaitu golongan yang menguasai surplus pengeluaran) dan kelas yang diperintah (iaitu golongan yang dieksploitasi untuk mengeluarkan surplus ekonomi) kerana kepentingan kelas yang memerintah (untuk mengekalkan dan mengembangkan kekayaan serta kuasa yang dimiliki mereka) sentiasa bercanggah dengan kepentingan kelas yang diperintah (yang hendak mendapatkan bahagian yang lebih banyak daripada apa yang dihasilkan oleh tenaga buruh mereka). Kelas yang memerintah mengekalkan kedudukan dominasi mereka dalam masyarakat dan mewujudkan sistem eksploitasi melalui gabungan kuasa ekonomi, politik dan ketenteraan yang dimiliki mereka.

Aksi mogok pertama dalam catatan sejarah

Pertentangan kelas sentiasa wujud dalam masyarakat kelas. Percanggahan asas dalam masyarakat kelas biasanya berkaitan dengan pengagihan kekayaan masyarakat yang tidak saksama, dan juga eksploitasi terhadap tenaga buruh kelas bawahan.

Kelas yang diperintah akan melawan balik sekiranya mereka tidak dapat bertahan lagi dengan eksploitasi dan penindasan oleh kelas yang memerintah. Perjuangan kelas oleh golongan yang diperintah dan ditindas itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, sama ada secara aktif atau pasif. Melarikan diri, mensabotaj, mencuri tulang malah membunuh diri dan sebagainya boleh dianggap sebagai penentangan secara pasif. Penentangan secara aktif pula melibatkan aksi perjuangan yang mencabar kekuasaan kelas pemerintah secara langsung, seperti berprotes, bermogok, memberontak dengan mengangkat senjata dan sebagainya.

Sejarah rasmi biasanya ditulis oleh golongan pemerintah yang menang dalam perlawanan kelas. Jadi, sejarah rasmi sering mengagung-agungkan golongan pemerintah dan menafikan atau mengabaikan peranan kelas yang diperintah dalam membentuk sejarah itu. Jadi, adalah tidak hairan bahawa kenapa kurangnya catatan sejarah mengenai pertentangan kelas dan perjuangan kelas yang dilakukan oleh kelas yang ditindas dalam tamadun awal. Walau bagaimanapun, masih pernah wujudnya perjuangan kelas yang begitu hebat sehingga ahli sejarah yang berkhidmat untuk kelas pemerintah itu juga tidak dapat menafikan kewujudannya.

Aksi permogokan pertama yang dicatat dalam sejarah berlaku di Mesir Purba pada abad ke-12 SM semasa pemerintahan Firaun Ramses III. Pada masa itu, tukang-tukang yang diupah untuk membina makam diraja piramid melancarkan mogok kerana kerajaan gagal membayar upah mereka dalam bentuk makanan mengikut tempoh masa yang dijanjikan dan pembayaran upah yang tidak lengkap. Tenaga buruh yang bermogok itu meninggalkan peralatan mereka dan berarak keluar dari tapak pembinaan makam diraja sebagai tanda protes. Aksi mogok ini memaksa kerajaan Mesir Purba untuk meningkatkan upah atau catuan makanan kepada tukang-tukang yang bekerja. 

Revolusi Athens

Friedrich Engels menulis dalam bukunya Anti-Dühring (1877), “Pembahagian buruh hebat yang pertama dalam masyarakat ialah pemisahan antara kota dan desa.” Kemunculan bandar atau proses yang dikenali sebagai urbanisasi, merupakan manifestasi utama kepada pembentukan masyarakat kelas. Proses urbanisasi pada zaman purba juga boleh dikatakan sejenis “revolusi” dalam masyarakat yang melibatkan perkara-perkara seperti pengeluaran surplus, pembahagian buruh, kemunculan kelas sosial yang berbeza, pembentukan negara, peralihan sistem pemilikan sumber pengeluaran daripada pemilikan komunal kepada pemilikan persendirian, dan pembangunan struktur atasan (superstruktur) ideologi untuk mengekalkan pembahagian kelas. “Revolusi bandar” menandakan peralihan daripada masyarakat primitif yang bersifat komunal dan egalitarian kepada masyarakat “tamadun” yang bersifat hierarki, berasaskan pembahagian kelas dan berpusat di bandar.

Kota atau bandar yang muncul dalam tamadun zaman purba merupakan pusat penumpuan kekayaan sosioekonomi, tenaga buruh dan kekuasaan kelas pemerintah, maka menjadi teras kepada tamadun yang berkenaan. Keadaan ini dapat ditemui dalam tamadun awal di Mesopotamia (kawasan antara Sungai Tigris dan Sungai Furat), Mesir (Lembah Sungai Nil), India (Lembah Sungai Indus) dan China (Lembangan Sungai Kuning).

Tamadun Greece purba juga menyaksikan kemunculan negara-negara kota (yang dikenali sebagai “polis” dalam Bahasa Yunani) pada kurun ke-8 SM. Salah sebuah negara kota yang penting semasa zaman Greece purba ialah Athens.

Negara kota di Greece purba sebagai pusat penumpuan kuasa pengeluaran dan kekayaan masyarakat pada masa itu juga merupakan pusat pertentangan kelas yang ketara. Kelas bangsawan atau aristokrat yang kaya memiliki kebanyakan tanah, sementara banyak dalam kalangan golongan petani kecil kehilangan tanah kerana hutang mereka pada kelas bangsawan dan menjadi warga kota bebas yang bekerja sebagai buruh upahan di tempat-tempat seperti kebun dan bengkel pertukangan, malah ada yang dijadikan hamba abdi jika tidak dapat membayar hutang mereka. Kelas bangsawan dan tuan tanah besar menguasai ekonomi dan politik dalam masyarakat Greece purba, mengekploitasi kelas-kelas bawahan seperti petani yang tiada tanah, penduduk kota yang tiada status “warga kota” dan hamba abdi.

Namun, tindakan kelas bangsawan dan tuan tanah besar di negara kota Athens yang menyekat kelas menengah dan kelas bawahan daripada mengambil bahagian dalam proses politik di situ telah mencetuskan siri pergolakan politik dan sosial yang hebat. Ketidaksamarataan ekonomi mewujudkan ketegangan sosial dan mengancam kestabilan masyarakat Athens, sehingga mencetuskan tuntutan-tuntutan untuk pembaharuan, khususnya daripada golongan warga kota yang bebas.

Pada penghujung kurun ke-7 SM, warga bebas Athens yang berharta melantik seorang penggubal undang-undang yang bernama Drakon untuk merangka undang-undang bertulis yang menjadi perlembagaan yang pertama bagi kota Athens. Undang-undang yang ditulis oleh Drakon itu sangat keras dan ketat, sehingga sekarang ini “undang-undang drakonian” digunakan untuk menyifatkan undang-undang zalim. Undang-undang bertulis yang diperkenalkan oleh Drakon telah menggantikan undang-undang lisan yang dimanipulasi secara sesuka hati oleh kelas bangsawan Athens sebelum itu, maka mewujudkan asas kepada “kedaulatan undang-undang”. Namun, apa yang dilakukan oleh Drakon hanya mengkanunkan undang-undang yang menjamin pemerintahan kelas bangsawan dan mengenakan hukuman yang keras terhadap kelas bawahan yang menggugat sistem pemerintahan kelas yang sedia ada. Sebagai contoh, mana-mana penghutang yang status kelasnya lebih rendah berbanding pemiutangnya akan dipaksa untuk menjadi hamba jika gagal membayar balik hutang, sementara hukuman terhadap orang yang berhutang pada seseorang daripada kelas yang lebih rendah adalah jauh lebih ringan. Undang-undang Drakon juga mengenakan hukuman mati terhadap kesalahan kecil seperti mencuri sayur, di mana kesalahan sebegini biasanya dilakukan oleh golongan kelas bawahan yang miskin.

Solon, seorang penggubal undang-undang yang berasal daripada golongan bangsawan, dilantik sebagai árchon (ketua pentadbir) di Athens pada awal kurun ke-6 SM. Solon memansuhkan semua undang-undang yang dibawa oleh Drakon kecuali undang-undang yang berkaitan dengan pembunuhan. Solon membatalkan semua hutang yang sedia ada dan melarang perhambaan yang disebabkan hutang, membenarkan banyak petani untuk mendapat semula tanah mereka, di samping mengehadkan saiz maksimum harta tanah dengan tujuan mencegah pengumpulan hak milik tanah yang terlampau besar oleh keluarga bangsawan yang berkuasa. Solon juga menstrukturkan semula sistem politik di Athens dengan membahagikan warga kota ke dalam 4 buah kelas sosial berasaskan kekayaan. Solon menubuhkan boule (majlis yang terdiri daripada 400 orang warga kota bebas yang berharta, iaitu 100 orang untuk mewakili setiap kelas sosial) untuk menguruskan hal ehwal harian kota Athens dan menentukan agenda politik, walaupun majlis mesyuarat yang dianggotai oleh kelas bangsawan masih dikekalkan.

Pembaharuan yang dibawa oleh Solon merupakan usaha golongan pemerintah Athens untuk mengurangkan konflik kelas antara golongan bangsawan dan kelas-kelas bawahan. Pembaharuan Solon bertujuan untuk menstabilkan masyarakat kelas yang bergelora tanpa mengubah sistem eksploitasi ekonomi itu secara radikal, mengekalkan kekuasaan kelas pemerintah sementara menawarkan hak-hak tertentu kepada kelas-kelas bawahan, demi mencegah pemberontakan besar-besaran.

Peisistratus, seorang pemerintah kuku besi di Athens yang berkuasa sebanyak 3 kali dari tahun 561 SM hingga kematiannya pada tahun 527 SM, cuba mendapat sokongan daripada kelas-kelas sosial yang lebih miskin untuk mengekalkan kekuasaannya dengan mencabar golongan kelas bangsawan secara terbuka, mengurangkan banyak keistimewaan kelas bangsawan, merampas tanah daripada kelas bangsawan dan memberikan tanah kepada golongan miskin. Peisistratus juga menaja penganjuran pelbagai acara keagamaan dan kesenian untuk memenangi hati warga kota Athens. Walaupun keadaan kelas bawahan semasa pemerintahan Peisistratus bertambah baik, tetapi pemerintahannya yang bersifat kuku besi itu masih mengekalkan kekuasaan kelas bangsawan secara keseluruhan, khususnya bagi dirinya sendiri, dan tidak menggugat struktur kelas pada dasarnya.

Pemerintahan Peisistratus digantikan oleh anaknya, Hipparchus dan Hippias, yang meneruskan pemerintahan kuku besi sehingga Hippias dijatuhkan pada tahun 510 SM berikutan pencerobohan tentera Sparta di bawah kepimpinan Raja Kleomenes I. Raja Sparta mengangkat Isagoras, seorang bangsawan Athens, untuk menjadi ketua kepada pemerintahan oligarki yang terdiri daripada golongan bangsawan yang setia pada Sparta.

Kleisthenes (kira-kira 570 SM – kira-kira 508 SM)

Kleisthenes, seorang bangsawan yang pro-demokrasi, telah menjadi pesaing dan pencabar kepada Isagoras, tetapi disingkir keluar dari Athens oleh pemerintah oligarki yang disokong oleh Sparta. Isagoras cuba membubarkan boule, tetapi mencetuskan penentangan hebat daripada warga kota Athens, khususnya golongan kelas menengah dan kelas bawahan yang ingin memulihkan demokrasi di negara kota itu. Kebangkitan hebat warga kota Athens pada tahun 508-507 SM, berjaya menjatuhkan Isagoras dan menjemput Kleisthenes untuk pulang ke kota Athens.

Selepas kembali ke Athens, Kleisthenes memperkenalkan pembaharuan yang menjadi asas penting kepada “Demokrasi Athens”. Kleisthenes menyusun semula 4 buah klan (puak) tradisional yang berasaskan hubungan kekeluargaan dan menjadi asas kepada rangkaian kuasa politik kelas bangsawan atasan, dengan menggantikannya dengan 10 buah klan yang disusun mengikut kawasan kediaman mereka, maka mengurangkan kuasa golongan bangsawan dan membolehkan kelas bukan bangsawan untuk memiliki lebih banyak pengaruh politik dalam struktur kuasa demokratik yang baharu. Kleisthenes juga mewujudkan boule baharu yang terdiri daripada 500 orang (50 orang daripada setiap klan), di mana keanggotaannya ditentukan melalui cabutan bertuah bukannya kekayaan, maka mengurangkan lagi pengaruh kekuasaan kelas bangsawan dalam politik.

Pembaharuan Kleisthenes boleh dianggap sebagai satu lagi usaha golongan elit pemerintah untuk menstabilkan konflik kelas dalam masyarakat Athens dengan memperluaskan penyertaan politik. Pembaharuan ini juga mencerminkan bahawa imbangan kuasa antara kelas mengalami perubahan dengan kekuatan kelas bukan bangsawan, seperti golongan pedagang dan tukang, yang menuntut perwakilan politik yang lebih besar itu semakin meningkat. Pembaharuan demokratik di Athens yang dibawa oleh Kleisthenes kemudiannya dikembangkan lagi oleh tokoh-tokoh politik yang lain seperti Ephialtes dan Perikles.

Perikles berusaha untuk mengembangkan dan menstabilkan institusi-institusi demokratik di Athens. Dia menggubal undang-undang yang membenarkan kelas-kelas yang lebih bawah dalam hierarki masyarakat Athens untuk mengakses sistem politik dan jawatan awam yang dilarang sebelum itu. Perikles menakrifkan demokrasi sebagai sebuah sistem yang bertujuan untuk melindungi kepentingan semua rakyat, bukannya hanya golongan minoriti. Perikles juga berpandangan bahawa keupayaan untuk mentadbir dan mengambil bahagian dalam kerajaan adalah lebih penting daripada status kelas seseorang.

Lukisan oleh Philipp Foltz pada tahun 1852 yang menunjukkan Perikles menyampaikan pidato dalam perhimpunan warga Athens.

Walaupun berlakunya pembaharuan demokratik di Athens, hanya warga kota lelaki yang bebas layak menikmati hak demokratik, sementara kebanyakan penduduk di Athens, termasuk hamba abdi, wanita dan métoikos (warga asing yang menetap di Athens), masih tidak mempunyai apa-apa hak politik demokratik, malah terus dieksploitasi dan ditindas di bawah susunan masyarakat kelas yang berhierarki dan bersifat patriarki.

Golongan bangsawan Greece yang dikurangkan kuasa dalam proses pembaharuan demokratik pernah melakukan perampasan kuasa dengan niat menghapuskan demokrasi di Athens, tetapi kekuasaan mereka tidak bertahan lama. Pemerintahan demokratik berterusan di Athens sehingga tentera Makedonia di bawah pemerintahan Raja Filipus II (bapa kepada Iskandar Agung) menawan Athens pada tahun 338 SM.

Revolusi Athens merupakan contoh awal perjuangan kelas yang membawa kepada pembaharuan masyarakat. Revolusi Athens yang mewujudkan demokrasi Athens menunjukkan bagaimana kelas pemerintah terpaksa mengubah suai sistem politik untuk mengekalkan kestabilan masyarakat daripada ancaman kemusnahan akibat pertentangan kelas, menawarkan kompromi kepada kelas bawahan sementara memelihara struktur teras sosioekonomi yang eksploitatif. Pembaharuan demokratik yang diperkenalkan, walaupun dapat memperluaskan penyertaan politik, ia boleh dianggap sebagai cara untuk menguruskan konflik kelas tanpa menghapuskan ketidaksamarataan ekonomi yang berterusan dalam masyarakat kelas. Walau bagaimanapun, ia telah menjadi inspirasi kepada usaha perjuangan kelas dan pembaharuan masyarakat selepasnya.

Perjuangan kelas di Rom purba

Tamadun Rom purba telah mewarisi banyak aspek sistem politik, ekonomi dan kebudayaan daripada Greece purba dengan pengubahsuaian mengikut keadaan imbangan kelas pada zaman yang berbeza. Seperti Greece purba, Rom purba juga wujudnya keadaan pertentangan kelas antara warga kota biasa dan golongan bangsawan. Perhambaan yang berleluasa dalam masyarakat Rom purba turut mencetuskan perjuangan kelas yang hebat di mana golongan hamba memberontak untuk menentang penindasan.

Tidak lama selepas Republik Rom ditubuhkan pada tahun 509 SM, tercetusnya perjuangan golongan plebs (warga biasa) untuk menuntut lebih banyak kuasa perwakilan politik daripada golongan patricius (bangsawan) yang memonopoli kuasa politik pada masa itu. Pada asalnya, hanya golongan patricius dibenarkan di sisi undang-undang untuk memegang jawatan awam yang berkuasa, tetapi undang-undang berkenaan dibatalkan kemudian dan jawatan awam dibuka kepada golongan plebs, hasil daripada perjuangan golongan plebs yang berterusan. Perjuangan politik antara golongan plebs dan golongan patricius ini berlarutan selama dua abad.

Golongan plebs di kota Rom menggunakan pendekatan yang serupa dengan “mogok umum” untuk memperjuangkan tuntutan mereka, iaitu menghentikan segala aktiviti ekonomi dan meninggalkan kota Rom secara beramai-ramai untuk menyuarakan bantahan mereka. Aksi ini dikenali sebagai “secessio plebis” (pengunduran rakyat biasa atau pemisahan rakyat biasa). Semua kedai dan bengkel di kota Rom tutup semasa secessio plebis, maka melumpuhkan ekonomi seluruh kota Rom. Aksi secessio plebis menjadi strategi perjuangan yang agak berkesan untuk warga kota biasa di Rom kerana kekuatan mereka dari segi bilangan: warga plebs merupakan majoriti dalam penduduk Rom dan mengeluarkan kebanyakan barangan keperluan di situ; sementara itu, golongan patricius hanya merupakan minoriti dari segi bilangannya.

Terdapat pandangan yang berbeza mengenai berapa kali aksi secessio plebis pernah diadakan semasa zaman Republik Rom (509 SM – 27 SM). Buku “A History of Rome” (1975) yang ditulis oleh M. Cary dan H. H. Scullard melaporkan bahawa pernah berlaku 5 kali secessio plebis dari tahun 494 SM hingga 287 SM.

Pada tahun 494 SM, golongan plebs yang dibebankan dengan hutang cuba mengadu tentang masalah mereka kepada Konsul dan Senat yang dikuasai sepenuhnya oleh golongan pemerintah patricius. Pada masa itu, sebahagian besar tentera Rom terdiri daripada golongan plebs yang lebih miskin. Semasa golongan plebs menjalankan perkhidmatan tentera, kebun-kebun yang menjadi mata pencarian mereka ditinggalkan begitu sahaja. Oleh kerana golongan plebs yang miskin ini tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi, banyak antara mereka meminta bantuan daripada golongan patricius yang mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi mereka dengan hutang, malah ada yang memperhambakan mereka kerana tidak mampu membayar balik hutang. Keengganan Senat untuk melakukan pembaharuan hutang yang boleh mengurangkan beban golongan plebs itu telah mencetuskan kemarahan golongan plebs.

Seorang plebs yang bernama Lucius Sicinius Vellutus mencadangkan agar orang ramai meninggalkan kota Rom secara beramai-ramai dan pergi ke Mons Sacer, sebuah bukit yang terletak kira-kira 3 batu dari kota Rom. Golongan plebs mendengari cadangan tersebut dan melancarkan secessio plebis yang pertama. Golongan plebs yang meninggalkan kota Rom itu mendirikan kem di atas bukit Mons Sacer. Tindakan mogok golongan plebs memaksa Senat untuk mengadakan rundingan dengan mereka. Hasil daripada rundingan, golongan pemerintah patricius bersetuju untuk membebaskan sesetengah plebs daripada hutang mereka dan menubuhkan jawatan “Tribunus Plebis” yang dipegang oleh golongan plebs, maka membolehkan golongan plebs untuk memiliki sedikit kuasa perwakilan politik. Majlis Plebs juga ditubuhkan kemudian untuk menggubal undang-undang, memilih Tribunus Plebis dan membicarakan kes kehakiman.

Karya ukiran oleh Bartolomeo Barloccini pada tahun 1849 tentang warga kota Rom beredar ke Mons Sacer.

Pada tahun 450 SM, kerajaan Rom melantik sebuah suruhanjaya 10-orang yang dikenali sebagai decemviri untuk menyusun kanun undang-undang yang menjadi asas pemerintahan Rom. Decemviri diberi tempoh masa setahun untuk menggubal undang-undang dan menjadi pentadbir Rom, sementara jawatan-jawatan awam lain dalam negara Rom seperti Tribunus Plebis digantung fungsi mereka sepanjang tempoh tersebut. Namun, decemviri masih berkuasa selepas ia mengeluarkan undang-undang baharu. Anggota-anggota Decemviri juga menyalahgunakan kuasa mereka sehingga mencetuskan kemarahan rakyat Rom.

Apabila decemviri enggan meletak jawatan walaupun mendapat tekanan daripada Senat, warga plebs meninggalkan kota Rom secara beramai-ramai dan beredar ke Mons Sacer pada tahun 449 SM. Aksi ini dikenali sebagai secessio plebis yang kedua, dengan tuntutan memulihkan Tribunus Plebis dan hak untuk merayu yang digantung semasa pemerintahan decemviri. Hasil daripada tindakan secessio plebis ini, Senat berjaya memaksa perletakan jawatan seluruh decemviri dan wakil Senat yang dihantar untuk berunding dengan golongan plebs yang berprotes itu bersetuju dengan tuntutan mereka. Konsul yang dilantik kemudian memperkenalkan undang-undang yang menetapkan bahawa undang-undang yang diluluskan oleh Majlis Plebs adalah terikat untuk semua warga Rom (iaitu termasuk patricius dan plebs), namun Senat yang dikuasai oleh golongan patricius masih mempunyai kuasa veto ke atas undang-undang yang diluluskan oleh Majlis Plebs.

Secessio plebis yang ketiga tercetus pada tahun 445 SM untuk menuntut pemansuhan larangan perkahwinan campur antara golongan patricius dan golongan plebs dalam undang-undang Rom, serta membenarkan golongan plebs untuk memegang jawatan Konsul. Hasil daripada tindakan mogok tentera yang enggan mempertahankan kota Rom daripada serangan negara jiran, golongan particius terpaksa berkompromi dengan tuntutan golongan plebs , dengan larangan perkahwinan campur dimansuhkan, sementara tribunus ketenteraan dengan kuasa konsular boleh dipilih daripada golongan plebs.

Secessio plebis yang keempat berlaku pada tahun 342 SM, manakala secessio plebis yang kelima tercetus pada tahun 287 SM, di mana hasilnya kuasa veto Senat ke atas undang-undang yang diluluskan oleh Majlis Plebs dihapuskan, maka golongan plebs secara teorinya memperoleh hak politik yang sama rata seperti golongan patricius.

Secessio plebis boleh dikatakan satu strategi perjuangan warga bebas di Rom yang berkesan dalam memaksa golongan elit pemerintah untuk berunding dan berkompromi supaya mengelakkan keruntuhan sepenuhnya susunan masyarakat kelas di Rom. Pengwujudan jawatan awam Tribunus Plebis yang memainkan peranan politik untuk melindungi kepentingan golongan plebs merupakan kompromi daripada kelas pemerintah untuk mengekalkan kekuasaannya yang sebenar sementara menenangkan ketidakpuasan hati kelas bawahan daripada melakukan pemberontakan yang lebih hebat.

Namun begitu, masih terdapat ramai orang yang bukannya warga bebas di Rom, seperti golongan wanita dan golongan hamba abdi, langsung tidak mempunyai apa-apa hak politik. Kompromi kelas pemerintah terhadap golongan plebs yang merupakan warga bebas lelaki masih bukannya penyelesaian sebenar kepada pertentangan kelas yang wujud, tetapi hanya sejenis pembaharuan yang membolehkan eksploitasi kelas terus berlaku dalam bentuk yang diubah suai.

Walau bagaimanapun, perjuangan golongan plebs untuk perwakilan politik, pengurangan hutang dan hak ekonomi yang asas melalui secessio plebis menjadi inspirasi kepada perjuangan kelas seterusnya. Perjuangan antara golongan plebs dan golongan patricius di Republik Rom menunjukkan saling tindak balas dan dinamik dalam pertentangan kelas, di mana kelas yang ditindas boleh berorganisasi untuk melawan balik kelas pemerintah dan mencapai pembaharuan masyarakat ke tahap yang tertentu bergantung pada imbangan kuasa antara kelas-kelas sosial.

Tiberius Gracchus dan Gaius Gracchus, patung seni arca oleh Jean-Baptiste Claude Eugène Guillaume yang dipamerkan pertama kali pada tahun 1853.

Semasa Tiberius Gracchus memegang jawatan Tribunus Plebis pada tahun 133 SM, dia meluluskan undang-undang pembaharuan agraria yang menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk membuat tinjauan ke atas tanah awam Rom, supaya membolehkan kerajaan mengambil alih tanah daripada mereka yang memiliki tanah yang melampaui had keluasan dan mengagihkan semula kepada golongan petani bebas yang miskin. Pembaharuan yang diperkenalkan oleh Tiberius Gracchus itu mendapat sokongan hebat daripada rakyat biasa tetapi ditentang oleh golongan elit pemerintah yang memiliki banyak tanah. Golongan elit pemerintah Rom tidak senang dengan kepopularan Tiberius Gracchus dan pembaharuannya yang menggugat sistem sedia ada. Oleh itu, mereka menghasut untuk mencetuskan rusuhan yang akhirnya membunuh Tiberius Gracchus dan banyak penyokongnya.

Gaius Gracchus, adik kepada Tiberius Gracchus, meneruskan usaha pembaharuan Tiberius dengan mengagihkan tanah seluas lebih 3,000 kilometer per segi kepada golongan miskin dalam tempoh beberapa tahun selepas kematian Tiberius. Gaius Gracchus kemudiannya dipilih sebagai Tribunus Plebis pada tahun 122-121 SM dan mengemukakan pembaharuan yang lebih meluas lagi. Selain memperbaharui undang-undang tanah yang dibawa oleh Tiberius, Gaius juga mendirikan jajahan Rom yang baharu di Semenanjung Itali dan Carthage. Gauis Gracchus melaksanakan undang-undang yang melarang pengerahan warga Rom berumur di bawah 17 tahun ke dalam tentera. Gaius Gracchus mengalami nasib yang serupa dengan abangnya apabila musuh politiknya yang membantah usaha pembaharuan itu mencetuskan rusuhan. Gauis terkorban sama ada dengan cara membunuh diri atau dibunuh oleh musuhnya.

Adik-beradik Gracchus boleh dikatakan perintis kepada populisme dan sosialisme. Mereka mempunyai pengaruh besar kepada politik kemudian. Mereka digambarkan sebagai revolusioner sosial dan proto-sosialis semasa Revolusi Perancis pada penghujung abad ke-18. Mereka telah memberi inspirasi dan motivasi kepada revolusioner sosialis seperti François-Noël Babeuf pada zaman Revolusi Perancis yang menamakan dirinya sebagai “Gracchus”, walaupun idea dan motif di sebalik pembaharuan adik-beradik Gracchus itu agak berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh golongan revolusioner sosialis moden.

Pemberontakan hamba di Rom purba

Perhambaan merupakan satu ciri yang penting dalam masyarakat kelas zaman purba. Catatan bukti perhambaan boleh ditemui dalam tamadun-tamadun purba seperti Sumeria, Babylon, Mesir, Parsi, India, China, Greece, Rom dan sebagainya.

Perhambaan ialah pemilikan terhadap seseorang manusia dan tenaga buruhnya sebagai harta benda. Seseorang hamba abdi dipaksa untuk bekerja dengan tuan hamba dan langsung tidak mempunyai kebebasan diri. Seseorang boleh menjadi hamba abdi pada zaman purba kerana faktor-faktor seperti kegagalan membayar balik hutang kepada pemiutang yang kaya, dikenakan hukuman untuk sesuatu jenayah, diculik oleh pedagang manusia dan diperhambakan kerana menjadi tawanan perang. Perhambaan merupakan satu bentuk eksploitasi tenaga buruh yang paling teruk. Adanya hamba dipaksa untuk bekerja di ladang dan bengkel milik tuan hamba; adanya hamba dijadikan orang suruhan atau pembantu rumah tangga di kediaman tuan hamba; adanya juga hamba yang dijadikan gladiator yang dilatih untuk pertunjukan tempur di arena sebagai hiburan bagi warga bebas Rom (termasuk golongan plebs).

Perluasan kekuasaan Rom purba sebagai sebuah empayar telah membawa kepada perkembangan ekonomi yang berasaskan perhambaan. Banyak hamba dibawa dari tanah jajahan ke Semenanjung Itali dan dibeli oleh tuan tanah yang kaya untuk dijadikan buruh paksaan di ladang-ladang, bengkel-bengkel atau rumah-rumah kediaman mereka. Perhambaan membentuk sebahagian yang penting dalam struktur ekonomi Rom purba. Golongan elit kelas pemerintah Rom mengumpul kekayaan mereka melalui eksploitasi melampau terhadap tenaga buruh hamba abdi. Golongan hamba abdi yang dipaksa untuk bekerja itu tidak mempunyai apa-apa hak politik, tidak mempunyai hak milik ke atas sumber-sumber pengeluaran dan kewujudan mereka semata-mata untuk memanfaatkan kelas pemerintah yang menjadi tuan hamba.

Konflik kelas antara golongan hamba abdi dengan golongan tuan hamba merupakan ciri pertentangan kelas yang ketara dalam masyarakat Rom purba selain konflik antara golongan patricius dan golongan plebs. Penindasan terhadap golongan hamba oleh golongan tuan hamba telah mencetuskan beberapa pemberontakan hamba yang hebat di Rom purba.

Patung Eunus yang didirikan di Enna, Sicilia, Itali. (foto: Hemis / Alamy Stock Photo)

Pada tahun 135-132 SM, berlakunya pemberontakan hamba di pulau Sicilia. Eunus, seorang hamba dari wilayah Syria yang mendakwa dirinya seorang nabi, memimpin 400 orang hamba abdi untuk memberontak pada tahun 135 SM dan menawan kota Enna yang terletak di tengah-tengah pulau Sicilia. Tidak lama kemudian, Cleon, seorang hamba dari wilayah Cilicia (terletak di selatan Anatolia), memimpin sekumpulan lagi hamba untuk menyerbu kota Agrigentum yang terletak di pantai selatan pulau Sicilia, dan menyertai tentera pemberontakan hamba yang dipimpin oleh Eunus. Eunus mengisytihar dirinya sebagai raja. Tentera pemberontakan hamba yang dipimpin oleh Eunus mencecah 70,000 orang pada kemuncaknya. Namun, pemberontakan hamba yang dikenali sebagai “Perang Hamba Pertama” ini hanya bertahan selama 3 tahun dan ditewaskan oleh tentera Rom pada tahun 132 SM.

“Perang Hamba Kedua” yang tercetus pada tahun 104-100 SM, turut berlaku di pulau Sicilia, apabila tercetus kemarahan dalam kalangan golongan hamba terhadap tindakan kerajaan Rom yang menarik balik perintah pembebasan hamba. Salvius, seorang hamba yang memainkan alat muzik tiup aulos, memimpin hamba yang memberontak dan mengisytihar dirinya sebagai raja. Salvius kemudian disertai oleh kumpulan pemberontak hamba yang dipimpin oleh Athenion. Kerajaan Rom mengerahkan tentera untuk mematahkan pemberontakan hamba ini. 1,000 orang hamba yang menyerah diri telah dihantar ke Rom untuk melawan binatang buas di dalam arena untuk hiburan warga kota Rom, namun mereka enggan bertempur untuk pertunjukan, sebaliknya membunuh sesama diri secara senyap dengan pedang mereka sehingga orang terakhir membunuh diri dengan pedangnya.

Pada tahun 73 SM, kira-kira 70 orang hamba yang dijadikan gladiator melarikan diri dari sebuah sekolah gladiator di Capua yang terletak di selatan Itali. Antara gladiator yang melarikan diri pada masa itu ialah Spartacus, seorang hamba dari Thracia. Kumpulan hamba yang melarikan diri ini menewaskan tentera yang dikerahkan untuk mengejar mereka. Ramai hamba yang lain turut menyertai mereka dan mendirikan tapak di Gunung Vesuvius, sebuah gunung berapi di timur Napoli, selatan Itali. Dalam tempoh 2 tahun berikutnya, barisan pemberontakan hamba yang dipimpin oleh Spartacus ini disertai oleh kira-kira 120,000 orang, dan beberapa kali berjaya menewaskan tentera Rom yang dihantar untuk mematahkan pemberontakan hamba. Selain Spartacus, pemimpin-pemimpin pemberontakan hamba ini juga termasuk Crixus, Gannicus, Oenomaus dan Castus. Pemberontakan hamba yang dipimpin oleh Spartacus ini juga dikenali sebagai “Perang Hamba Ketiga”.

Walaupun tentera pemberontakan hamba yang dipimpin oleh Spartacus mencapai banyak kemenangan dalam menangkis serangan tentera Rom pada awalnya, tentera Rom dengan kelengkapan senjata yang lebih canggih akhirnya menewaskan pemberontakan hamba yang hebat ini pada tahun 71 SM. Spartacus dipercayai dibunuh dalam pertempuran terakhirnya dengan tentera Rom tetapi mayatnya tidak pernah ditemui. Kira-kira 6,000 orang hamba yang masih hidup selepas penumpasan pemberontakan telah dibunuh dengan cara penyaliban di sepanjang Jalan Appia yang menuju ke kota Rom.

Pemberontakan Spartacus boleh dikatakan sebagai salah satu contoh perjuangan kelas yang paling hebat pada zaman purba. Walaupun hasrat Spartacus untuk memberontak mungkin hanya sekadar hendak membebaskan diri daripada perhambaan dan bukannya penghapusan sistem perhambaan sepenuhnya, pemberontakan hamba itu sendiri merupakan manifestasi semangat perjuangan pembebasan yang hebat dan mencabar susunan sosioekonomi yang menindas. Pemberontakan hamba seperti pemberontakan Spartacus mengingatkan kita bahawa konflik kelas sentiasa wujud dalam masyarakat kelas dan ia boleh memuncak kepada pemberontakan yang hebat.

Spartacus telah menjadi inspirasi kepada perjuangan masyarakat selepasnya. Dalam sepucuk surat yang dikirimkan kepada Friedrich Engels pada tahun 1861, Kal Marx menulis bahawa Spartacus ialah “orang yang paling hebat dalam seluruh sejarah zaman purba”, dan menyifatkannya sebagai “jeneral yang hebat, tokoh yang mulia, wakil proletar zaman purba yang sebenar”. Toussaint Louverture yang memimpin pemberontakan hamba di Haiti pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19 yang membawa kepada kemerdekaan Haiti juga dikenali sebagai “Spartacus Hitam”. Golongan revolusioner sosialis di Jerman pada awal abad ke-20, seperti Rosa Luxemburg, Karl Liebknecht dan Clara Zetkin, pernah menubuhkan sebuah organisasi politik revolusioner yang dipanggil “Liga Spartacus” (Spartakusbund). Kesatuan Soviet pernah menganjurkan Sukan Olimpik versinya sendiri yang dikenali sebagai “Spartakiad”. Malah, Hollywood di Amerika Syarikat (AS) pernah menerbitkan filem epik bertajuk “Spartacus” (1960) yang diarahkan oleh Stanley Kubrick dan dibintangi oleh pelakon terkenal Kirk Douglas.

Perjuangan kelas di Rom purba tidak berakhir dalam pemberontakan Spartacus. Semasa zaman Empayar Rom (27 SM – 476 M), wujudnya gelombang pemberontakan petani pada abad ke-3 yang dikenali sebagai “Bagaudae” di wilayah Gaul dan Hispania, dan berterusan sehingga kejatuhan Empayar Rom Barat (395-476) pada abad ke-5.

Pemberontakan hamba juga tidak terhad kepada Rom purba. Berlakunya banyak juga pemberontakan hamba dalam masyarakat purba lain yang mengamalkan perhambaan. Sebagai contoh: pemberontakan hamba di kota Sparta yang dikenali “Helot” pada tahun 464 SM; Pemberontakan Zanj yang dipimpin oleh Ali ibn Muhammad pada tahun 869-883 di wilayah Mesopotamia Hilir dan Khuzestan untuk menentang Kerajaan Bani Abbasiyyah, telah disertai oleh golongan hamba dari Afrika Timur.

Perjuangan kelas dalam masyarakat feudal

Dalam masyarakat kelas yang berasaskan ekonomi pertanian, sentiasa wujudnya pertentangan kelas yang berkisar pada persoalan tanah. Ini kerana tanah ialah sumber pengeluaran yang paling penting dalam ekonomi pertanian.

Masyarakat feudal ialah sejenis masyarakat kelas yang berasaskan ekonomi pertanian. Feudalisme ialah sistem sosioekonomi yang disusun untuk membolehkan kelas pemerintah menguasai tanah, dan rakyat bawahan yang bekerja di atas tanah milik kelas pemerintah harus menyerahkan lebihan hasil pertanian kepada kelas pemerintah. Karl Marx menggunakan istilah feudalisme dalam analisisnya mengenai perkembangan sosioekonomi, di mana sistem pengeluaran feudal merupakan sistem ekonomi yang wujud sebelum kapitalisme, khususnya di Eropah.

Sistem feudal boleh wujud dalam bentuk yang berbeza dalam masyarakat yang berlainan. Secara umumnya, dalam sebuah masyarakat feudal, kelas tuan tanah ialah kelas pemerintah yang menguasai tanah, sementara golongan petani yang bekerja di atas tanah untuk mengeluarkan makanan biasanya tidak memiliki tanah sepenuhnya dan sering dieksploitasi oleh tuan tanah. Eksploitasi oleh tuan tanah terhadap golongan petani bawahan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti:

  • Adanya petani yang menyewa tanah daripada tuan tanah dan membayar sewa atau cukai dalam bentuk hasil tanaman atau wang yang ditukar daripada penjualan hasil tanaman;
  • Adanya petani yang mempunyai tanah sendiri tetapi perlu bekerja dengan tuan tanah besar untuk mendapatkan “perlindungan” daripada sebarang gangguan;
  • Adanya petani terus diupah untuk bekerja dengan tuan tanah;
  • Aanya petani miskin yang dijadikan hamba tani (serf).

Secara amnya, di bawah sistem sosioekonomi feudal, golongan petani ialah tenaga buruh yang terikat pada tanah walaupun mereka tidak memiliki tanah. “Terikat pada tanah” bermakna mereka tidak dapat meninggalkan tanah yang diusahakan mereka sesuka hati. Golongan petani memerlukan tanah untuk menghasilkan makanan yang diperlukannya, dan mereka dipaksa untuk mengusahakan tanah supaya mengeluarkan surplus yang dapat diekstrak sebanyak mungkin oleh golongan tuan tanah.

Dalam masyarakat feudal, kelas tuan tanah biasanya terdiri daripada golongan bangsawan, dengan raja atau maharaja mengambil kedudukan tertinggi dalam susunan hierarki masyarakat. Golongan monarki, iaitu raja atau maharaja, boleh dikatakan sebagai tuan tanah terbesar di dalam sesebuah negara feudal. Di bawah raja atau maharaja, adanya golongan kerabat diraja, orang-orang besar, panglima-panglima besar dan sebagainya yang membentuk kelas tuan tanah feudal yang disusun mengikut hierarki kuasa tertentu.

John Ball, seorang paderi yang berpemikiran radikal, menyampaikan kata semangat kepada mereka yang menyertai pemberontakan petani yang dipimpin oleh Wat Tyler pada tahun 1381.

Kelas tuan tanah feudal menguasai sepenuhnya wilayah tanah yang diberi hak milik ataupun diamanahkan oleh raja untuk ditadbirnya. Selain mengekalkan penguasaan mereka terhadap tanah dengan menggunakan kuasa ketenteraan, kelas tuan tanah feudal juga menggunakan golongan agamawan dan birokrasi jentera negara untuk mewujudkan “keabsahan” pemerintahan kelas tuan tanah dan memastikan “kesetiaan” rakyat biasa pada pemerintahan mereka.

Eksploitasi dalam masyarakat feudal, pemaksaan ke atas golongan petani untuk membayar sewa atau cukai kepada golongan tuan tanah, khususnya pada waktu golongan petani menghadapi kesukaran dalam mengeluarkan tanaman kerana faktor cuaca dan sebagainya, boleh mencetuskan ketidakpuasan hati golongan petani, maka menjadi asas kepada pertentangan kelas dalam masyarakat feudal. Pertentangan kelas antara golongan petani dan tuan tanah boleh mencetuskan pemberontakan petani sekiranya keluhan golongan petani tidak diselesaikan atau diredakan.

Golongan petani kebanyakannya hidup di perkampungan yang tertabur di kawasan luar bandar. Mereka sama ada hidup secara berkeluarga atau dalam sebuah komuniti. Di kawasan bandar, di mana tertumpunya kekayaan masyarakat dan kekuasaan kelas pemerintah, selain golongan pemerintah yang kaya dan hidup dengan bekalan surplus yang diambil daripada golongan petani, wujudnya juga golongan penduduk bandar lain yang biasanya menjadi pengusaha kecil pengeluaran barangan untuk kegunaan di penduduk-penduduk bandar dan golongan petani di desa. Mereka ini mungkin merupakan tukang kraf atau pemilik bengkel pertukangan yang mengupah orang lain sebagai tenaga buruh. Perusahaan pengeluaran barangan yang dijual kepada penduduk-penduduk bandar dan desa ini hanyalah perusahaan yang berskala kecil, maka tidak serupa dengan pengeluaran barangan secara besar-besaran dalam mod pengeluaran kapitalis yang wujud pada zaman perindustrian moden. Golongan pengusaha pengeluaran kecil di bandar ini merupakan pendahulu kepada kelas kapitalis yang akan muncul kemudian, tetapi ia mengambil masa yang panjang dan proses yang kompleks untuk kemunculan sepenuhnya mod pengeluaran ekonomi kapitalis moden dan kelas kapitalis perindustrian moden.

Perjuangan petani dalam masyarakat feudal biasanya berkaitan dengan ketidakpuasan hati terhadap eksploitasi yang berlebihan, bantahan terhadap cukai yang membebankan, bantahan terhadap perampasan tanah, kemarahan terhadap golongan tuan tanah yang menzalimi rakyat, penentangan terhadap perhambaan petani, pengaruh fahaman agama yang mencabar ketidakadilan sosial semasa, keinginan untuk pembaharuan sistem tanah yang membolehkan petani memiliki tanah sendiri, dan sebagainya.

Pemberontakan adik-beradik perempuan Trung di Vietnam pada tahun 40-43 Masihi untuk menentang pemerintahan Kerajaan Dinasti Han dari China.

Pada zaman sebelum kapitalisme, terdapat juga perjuangan yang melibatkan penduduk-penduduk tempatan yang memberontak untuk menentang pemerintahan kuasa asing. Pemberontakan terhadap pemerintahan kuasa asing ini biasanya diterajui oleh golongan bangsawan tempatan dan disokong oleh golongan petani yang ditekan oleh dasar pemerintahan yang tidak adil. Misalnya, penduduk-penduduk di Vietnam pernah memberontak banyak kali untuk menentang pemerintahan asing oleh dinasti-dinasti yang berbeza dari China; pemberontakan di Bulgaria pada tahun 1040-1041 dan 1185-1187 untuk menentang pemerintahan Empayar Bizantium atau Empayar Rom Timur; pemberontakan yang dipimpin oleh Owain Glyndŵr di Wales pada tahun 1400-1415 untuk menentang pemerintahan kerajaan England; dan sebagainya.

Pemberontakan petani di China

Negara China mempunyai sejarah pemberontakan petani yang berpanjangan. Dalam sejarah lebih 2,000 tahun sebelum China melangkah masuk ke dalam zaman moden, pernah tercetusnya ratusan (jika bukan ribuan) peperangan kerana pemberontakan petani. Setiap dinasti pemerintahan di China pernah dilanda pemberontakan petani. Hampir setiap kali pemberontakan petani yang hebat memberikan pukulan besar kepada sistem pemerintahan kelas yang wujud pada masa itu, malah adanya pemberontakan petani yang membawa kepada perubahan dinasti pemerintahan.

Pemberontakan Dazexiang pada tahun 209 SM.

Pada tahun 209 SM, iaitu semasa pemerintahan Dinasti Qin (221 SM – 206 SM) yang merupakan kerajaan imperial pertama di China yang bersatu dan memusatkan kuasa, Chen Sheng dan Wu Guang, dua orang pegawai tentera yang diarahkan untuk mengerahkan petani-petani miskin yang dijadikan askar dan menghantar mereka ke daerah Yuyang (terletak di wilayah Hebei, Tianjing dan Beijing hari ini), tersangkut separuh jalan di Dazexiang (di wilayah Anhui hari ini) kerana banjir akibat ribut hujan. Undang-undang Dinasti Qin pada masa itu mengenakan hukuman mati terhadap sesiapa yang datang lewat untuk tugasan kerajaan tanpa mengira sebabnya. Dengan memikirkan bahawa lebih baik melawan balik berbanding dihukum mati terus, Chen Sheng dan Wu Guang menghasut 900 orang petani yang dikerahkan mereka untuk memberontak terhadap kerajaan Dinasti Qin. Mereka mengatakan bahawa golongan yang berkuasa itu bukannya dilahirkan secara semula jadi dan kekuasaan bukannya hak milik istimewa golongan bangsawan, maka golongan rakyat biasa juga boleh merebut kuasa melalui perjuangan. Chen Sheng mengangkat dirinya sebagai raja, sementara Wu Guang diangkat sebagai pemangku raja, di samping mendirikan sebuah kerajaan yang dikatakan untuk menghidupkan semula dan mengembangkan negara “Chu” yang ditumpaskan oleh kerajaan Qin sebelum itu. Walaupun pemberontakan petani yang dipimpin oleh Chen Sheng dan Wu Guang ditumpaskan oleh tentera Qin beberapa bulan kemudian, pemberontakan ini telah menjadi pemangkin kepada pencetusan gelombang pemberontakan yang lebih besar terhadap kerajaan Qin sehingga membawa kepada kejatuhan Dinasti Qin tidak lama kemudian.

Pada tahun 17 Masihi, tercetusnya pemberontakan petani yang hebat untuk menentang pemerintahan Maharaja Wang Mang daripada Dinasti Xin (9-23 Masihi) yang gagal melaksanakan pembaharuan tanah untuk menyelesaikan masalah petani yang tiada tanah dan gagal menangani masalah banjir besar yang menjejaskan kehidupan petani. Terdapat dua kumpulan pemberontakan petani yang utama pada masa itu: tentera pemberontak Lülin yang bermula di Jingzhou (di wilayah Hubei hari ini) dan dipimpin oleh Wang Kuang, Wang Feng, Cheng Dan, Ma Wu, Wang Chang dan sebagainya; dan tentera pemberontak Chimei atau “Kening Merah” yang bermula di daerah Ju (di wilayah Shandong hari ini) dan dipimpin oleh Fan Chong. Gelombang pemberontakan petani yang hebat pada masa itu menjatuhkan kerajaan Dinasti Xin, dan tentera pemberontak Lülin mengangkat Liu Xuan, seorang yang berketurunan kerabat diraja Han, sebagai Maharaja Gengshi pada tahun 23 Masihi. Namun, pemerintahan Maharaja Gengshi hanya bertahan dua tahun dan dijatuhkan apabila tentera pemberontak Kening Merah menawan kota Chang’an (bandar Xi’an hari ini) pada tahun 25 Masihi. Tentera pemberontak Kening Merah mengangkat Liu Penzi, seorang lagi yang berketurunan kerabat diraja Han, sebagai maharaja boneka mereka. Namun, tentera Kening Merah ditewaskan tidak lama kemudian oleh tentera yang dipimpin oleh Liu Xiu, seorang bangsawan yang berketurunan kerabat diraja Han yang pernah menyertai tentera pemberontak Lülin dan mengasaskan pemerintahan Dinasti Han Timur (25-220).

Pada penghujung zaman Dinasti Han Timur, kegagalan kerajaan pusat yang penuh dengan korupsi dan penyelewengan kuasa memburukkan lagi masalah yang disebabkan oleh penularan wabak penyakit, bencana alam dan kekurangan hasil penuaian. Golongan tuan tanah yang semakin mengembangkan kuasa mereka telah merampas banyak tanah daripada golongan petani dan menyusahkan kehidupan rakyat biasa. Zhang Jue, seorang pengamal agama Taoisme dari daerah Julu (di selatan wilayah Hebei hari ini), bersama-sama dengan dua orang adiknya, Zhang Bao dan Zhang Liang, mengasaskan satu mazhab Taoisme yang dikenali sebagai “Taiping Dao” (Jalan Perdamaian Agung) dan memberi rawatan percuma kepada pesakit-pesakit miskin. Gerakan Taiping Dao berkembang pesat di banyak tempat dengan kebanyakan pengikutnya merupakan golongan petani miskin. Zhang Jue merancang untuk memberontak demi melawan kerajaan yang korup di sebalik kesengsaraan kehidpuan golongan petani. Zhang Jue melancarkan pemberontakan pada tahun 184 dengan kira-kira 360,000 orang pengikutnya yang memakai tudung kepala atau serban berwarna kuning semasa memberontak. Zhang Jue menggelar dirinya sebagai “Jeneral Tuan Syurga”, manakala adiknya Zhang Bao dan Zhang Liang masing-masing digelar “Jeneral Tuan Bumi” dan “Jeneral Tuan Rakyat”. Pemberontakan Serban Kuning merebak dengan cepatnya di merata tempat dan menggugat kekuasaan kerajaan Dinasti Han Timur yang berpusat di kota Luoyang (terletak di bahagian barat wilayah Henan hari ini). Zhang Jue meninggal dunia beberapa bulan selepas melancarkan pemberontakan kerana sakit, sementara kedua-dua orang adiknya mati dibunuh semasa bertempur dengan tentera Dinasti Han Timur. Walaupun kuasa utama pemberontakan petani ini dipatahkan oleh tentera kerajaan Dinasti Han Timur dalam tempoh setahun, saki-bakinya dalam jumlah yang besar masih meneruskan penentangan dan kerajaan Dinasti Han Timur mengambil masa lebih 20 tahun untuk memadamkan pemberontakan ini sepenuhnya. Pemberontakan Serban Kuning telah melemahkan lagi kerajaan pusat Dinasti Han Timur dan membolehkan perluasan pengaruh politik golongan panglima perang tempatan yang membantu kerajaan pusat dalam mematahkan pemberontakan ini, akhirnya membawa kepada era dominasi panglima perang dan kejatuhan Dinasti Han Timur.

Dinasti Jin (266-420) pernah dilanda pemberontakan yang dipimpin oleh Du Tao di Xiangzhou (wilayah Hunan hari ini) pada tahun 311, pemberontakan yang dipimpin oleh Sun En di sekitar wilayah Zhejiang pada tahun 399-402 yang pernah mendekati kota Jiankang (ibu negara Dinasti Qin yang terletak di Nanjing hari ini) dan pemberontakan yang dipimpin oleh Lu Xun di selatan China pada tahun 403-411 yang juga pernah mengancam kota Jiankang. Zaman Dinasti-dinasti Utara dan Selatan (420-589) pula menyaksikan pemberontakan yang dipimpin oleh Zhao Guang di wilayah Sichuan pada tahun 432 untuk menentang pemerintahan kerajaan Dinasti Liu Song di Selatan China, pemberontakan yang dipimpin oleh Gai Wu pada tahun 445-446 untuk menentang pemerintahan kerajaan Dinasti Wei Utara di Utara China, pemberontakan yang dipimpin oleh Poliuhan Baling di sempadan utara negara Dinasti Wei Utara pada tahun 523-525, pemberontakan yang dipimpin oleh Mozhe Dati di wilayah Guanlong (wilayah Shaanxi dan Gansu hari ini) pada tahun 524, pemberontakan yang dipimpin oleh Du Luozhou di wilayah Hebei pada tahun 525-528, dan pemberontakan yang dipimpin oleh Xianyu Xiuli di wilayah Hebei juga pada tahun 526 yang diambil alih Ge Rong sehingga tahun 528.

Pada penghujung zaman Dinasti Sui (581-619), Maharaja Yang dari Sui ghairah dengan pembinaan projek besar-besaran yang menghabiskan banyak dana awam dan melancarkan peperangan yang berterusan terhadap negara-negara asing, di mana semua kosnya ditanggung dengan pengerahan tenaga kerja daripada golongan petani untuk bekerja di tapak pembinaan dan berkhidmat dalam tentera. Banyak kawasan pertanian dibiarkan dan rakyat bawahan hidup dalam kesusahan, maka mencetuskan pemberontakan petani yang hebat di seluruh negara. Bermula dengan pemberontakan petani yang dipimpin oleh Wang Bo di wilayah Shandong pada tahun 611, perjuangan menentang kerajaan Sui merebak ke banyak tempat. Pada tahun yang sama juga, tercetusnya pemberontakan di Wagang (di wilayah Henan hari ini) yang dipimpin oleh Zhai Rang dan disertai kemudian oleh Shan Xiongxin, Xu Shiji, Li Mi dan Wang Bodang, dan pemberontakan di wilayah Hebei yang dipimpin oleh Dou Jiande. Pada tahun 613, Du Fuwei dan Fu Gongshi melancarkan pemberontakan di wilayah Shandong, kemudiannya beredar ke selatan dan menuju ke wilayah Jianghuai (yang terletak di antara Sungai Panjang dan Sungai Huai). Gelombang pemberontakan petani yang hebat di merata tempat ini akhirnya membawa kepada keruntuhan Dinasti Sui. Kebanyakan tentera pemberontak cuba mendirikan kerajaan sendiri tetapi semuanya ditewaskan oleh tentera Dinasti Tang yang menggantikan Dinasti Sui.

Pemberontakan Huang Chao pada tahun 875-884.

Semasa Dinasti Tang (619-907), tidak kurangnya pemberontakan petani. Pada tahun 672, tercetusnya pemberontakan petani yang dipimpin oleh Yuan Chao di wilayah Jiangnan (kawasan selatan Sungai Panjang). Pada tahun 765, tercetus lagi pemberontakan di wilayah Jiangnan yang dipimpin oleh Fang Qing dan Chen Zhuang. Pada tahun 859, berlakunya pemberontakan petani di wilayah Zhejiang yang dipimpin oleh Qiu Fu. Pada tahun 875, Wang Xianzhi, seorang peniaga garam, memimpin kira-kira 3,000 orang petani yang lapar untuk melancarkan pemberontakan di wilayah Henan. Untuk menyambut seruan pemberontakan Wang Xianzhi, Huang Chao, seorang lagi peniaga garam, turut melancarkan pemberontakan petani di wilayah Shandong. Selepas Wang Xianzhi ditewaskan dan dibunuh pada tahun 878, pengikut-pengikutnya menyertai tentera pemberontakan petani yang dipimpin oleh Huang Chao. Tentera pemberontak yang dipimpin oleh Huang Chao telah menjelajah ke banyak tempat di seluruh negara dan menewaskan tentera Dinasti Tang banyak kali, malah pernah menawan kota Chang’an yang merupakan ibu negara kerajaan Dinasti Tang. Huang Chao mengangkat dirinya sebagai maharaja dan menggelar kerajaan negara baharunya sebagai “Qi” pada tahun 881. Namun, tentera Huang Chao ditewaskan oleh tentera Dinasti Tang pada tahun 883 dan dia terpaksa meninggalkan kota Chang’an. Tentera Huang Chao mengalami kekalahan seterusnya dan Huang Chao sendiri dibunuh oleh pengikutnya pada tahun 884. Walaupun pemberontakan petani hebat yang dipimpin oleh Huang Chao ini ditumpaskan pada akhirnya, ia telah memberi pukulan hebat kepada pemerintahan Dinasti Tang dan melemahkan asas kekuasaannya.

Zaman Dinasti Song (960-1279) juga tidak kurangnya pemberontakan petani, antaranya pemberontakan yang dipimpin oleh Wang Xiaobo dan Li Shun di wilayah Sichuan pada tahun 993-995, pemberontakan yang dipimpin oleh Fang La pada tahun 1120-1121, pemberontakan yang dipimpin oleh Fan Ru di wilayah Fujian pada tahun 1130-1131, pemberontakan yang dipimpin oleh Li Jin di Selatan China pada tahun 1165, pemberontakan yang dipimpin oleh Li Jie di wilayah Guangxi pada tahun 1179, pemberontakan yang dipimpin oleh Jiang Dalao di Tingzhou (terletak di wilayah Fujian hari ini) pada tahun 1184, pemberontakan yang dipimpin oleh Zhang Fu di wilayah Sichuan pada tahun 1219, pemberontakan yang dipimpin oleh Chen Sanqiang dan Zhang Mowang di wilayah Jiangxi pada tahun 1228-1234, dan sebagainya. Wang Xiaobo, seorang penanam teh yang memimpin pemberontakan di wilayah Sichuan, mengemukakan slogan “samakan yang miskin dengan yang kaya” semasa melancarkan pemberontakan petani, dan ini mencerminkan hasrat golongan pemberontak untuk pengagihan kekayaan yang lebih saksama.

Kerajaan Dinasti Yuan (1271-1368) yang didirikan oleh orang Mongol selepas pembahagian Empayar Mongol, dijatuhkan oleh gelombang pemberontakan petani yang hebat. Antara kumpulan pemberontak yang paling menyerlah ialah “Tentera Serban Merah” yang ditubuhkan oleh penganut-penganut agama Teratai Putih dengan pemimpin-pemimpin utamanya termasuk Han Shantong, Lu Futong dan Du Zundao. Salah seorang pemimpin pemberontakan Tentera Serban Merah, Zhu Yuanzhang, kemudiannya menjadi pengasas dan maharaja pertama Dinasti Ming (1368-1644) selepas menewaskan tentera-tentera pemberontak yang lain.

Pemberontakan Li Zicheng pada tahun 1629-1645.

Dinasti Ming yang lahir daripada gelombang pemberontakan petani itu sendiri tidak dapat terlepas daripada pelbagai pemberontakan petani, malah ia juga dijatuhkan oleh satu gelombang pemberontakan petani yang hebat. Penyelewengan golongan birokrat kerajaan, sistem percukaian yang membebankan rakyat biasa, eksploitasi terhadap golongan petani dan bencana alam yang berterusan, mencetuskan siri pemberontakan yang hebat pada penghujung zaman Dinasti Ming. Tentera pemberontak yang dipimpin oleh Zhang Xianzhong mendirikan sebuah kerajaan yang bergelar “Daxi” pada tahun 1644 setelah menawan kota Chengdu dan menguasai wilayah Sichuan. Tentera pemberontak yang dipimpin oleh Li Zicheng pula menawan kota Beijing pada tahun tahun 1644 dan menyebabkan kejatuhan pemerintahan Dinasti Ming. LI Zicheng pada awalnya menjanjikan pembahagian tanah pertanian secara sama rata dan mengecualikan cukai bagi petani untuk memikat hati rakyat kepada perjuangannya, tetapi dia tidak pernah melaksanakan janji-janjinya selepas mengangkat dirinya sebagai maharaja untuk sebuah kerajaan yang bernama “Da Shun”. Kedua-dua kerajaan yang didirikan oleh pemberontak petani pada masa itu kemudiannya ditewaskan oleh tentera Dinasti Qing dari Manchuria.

Salah satu pemberontakan petani yang paling besar semasa zaman pemerintahan Dinasti Qing (1644-1912) ialah Pemberontakan Taiping pada tahun 1851-1864, yang dipimpin oleh Hong Xiuquan, seorang pemimpin agama yang mengasaskan “Persatuan Penyembah Tuhan”. Gerakan pemberontakan yang disertai oleh pengikut-pengikut “Persatuan Penyembah Tuhan” ini menggabungkan ajaran agama Kristian, fahaman “Datong” (pandangan dunia di mana semua orang hidup bersama secara aman damai) dan semangat egalitarian petani, dengan hasrat mendirikan “Negara Syurga Perdamaian Agung” (Taiping Tianguo). Pemberontakan Taiping bermula pada tahun 1851 dari Kampung Jintian yang terletak di wilayah Guangxi, dan merebak dengan cepatnya di seluruh bahagian selatan China. Tentera pemberontakan Taiping menawan kota Nanjing pada tahun 1853 dan menjadikannya ibu negara bagi “Negara Syurga Taiping”. Namun, kerajaan Negara Syurga Taiping dijatuhkan apabila tentera Dinasti Qing menawan semula Nanjing pada tahun 1864. Peperangan yang tercetus kerana Pemberontakan Taiping merupakan perang petani yang paling dahsyat dalam sejarah China, dengan sekurang-kurangnya 20 juta orang mati terkorban.

Pemberontakan di Jintian pada tahun 1851 menandakan permulaan Pemberontakan Taiping.

Secara umumnya, pemberontakan petani di China pada zaman sebelum kapitalisme berkisar pada persoalan tanah, kesusahan hidup petani dan kegagalan kerajaan dalam menangani masalah rakyat. Terdapat pemberontakan petani yang begitu hebat sehingga menjatuhkan sebuah kerajaan, tetapi tidak dapat mengubah sistem pemerintahan kelas yang sedia ada. Walaupun disertai oleh ramai petani, kebanyakan pemberontakan petani di China pada zaman pra-moden dipimpin oleh golongan bukan petani, seperti pegawai tentera berpangkat rendah, golongan intelek, tuan tanah kecil, pengusaha perniagaan kecil dan orang kaya tempatan. Adanya pemimpin pemberontakan petani yang mengangkat diri mereka sebagai maharaja selepas mencapai kejayaan dan menjadi sebahagian daripada kelas pemerintah untuk mengekalkan sistem sosioekonomi yang sedia ada. Walau bagaimanapun, setiap pemberontakan petani yang sama ada berjaya atau gagal, telah memberi inspirasi kepada pemberontakan petani yang seterusnya.

Pemberontakan rakyat di Eropah pada Zaman Pertengahan

Pada Zaman Pertengahan di Eropah, iaitu dari kurun ke-9 hingga kurun ke-15, sistem sosioekonomi yang mendominasi masyarakat di benua itu dikenali sebagai feudalisme.

Dalam sistem feudal, wujudnya struktur masyarakat hierarki yang kompleks dari segi pengagihan tanah pertanian sebagai sumber pengeluaran yang paling penting, di mana semua tanah di dalam sesebuah negara feudal dimiliki oleh seorang raja atau bangsawan yang paling berkuasa dan kemudiannya diagihkan kepada orang-orang besar atau golongan bangsawan yang berpangkat lebih rendah sebagai “tanah kuripan” (fief) untuk mendapatkan kesetiaan politik dan sokongan ketenteraan daripada mereka. Yang hidup di bawah kekuasaan golongan bangsawan atau orang-orang besar yang merupakan tuan tanah feudal itu, ialah golongan petani atau hamba tani (serf) yang mengusahakan tanah pertanian untuk mengeluarkan hasil, di mana sebahagian kecil hasil itu diambil oleh petani untuk kegunaan mereka sendiri dan sebahagian besar hasil diambil oleh tuan tanah feudal.

Kuasa dan kekayaan masyarakat dalam sistem feudal ditumpukan dalam tangan segelintir kecil golongan bangsawan, sementara majoriti penduduk hanya mempunyai sedikit kebebasan diri atau mobiliti ekonomi. Golongan petani terikat pada tanah walaupun mereka tidak memiliki tanah berkenaan dari segi undang-undang di bawah sistem feudal yang berasaskan struktur kelas yang tegar.

Hubungan pemilikan sumber pengeluaran dalam masyarakat feudal di Eropah, khususnya di Perancis dan England, diterjemahkan ke dalam sistem manor. Manor, atau juga dikenali sebagai estet, ialah sebidang tanah besar yang biasanya dimiliki oleh seorang tuan tanah atau bangsawan. Di dalam estet itu, wujudnya kawasan-kawasan pertanian, hutan, rumah mewah kediaman tuan tanah dan perkampungan yang diduduki oleh golongan petani atau golongan hamba tani. Di bawah sistem manor, tuan tanah mempunyai kuasa mutlak ke atas tanah dan penduduk di dalam kawasan estet yang dimilikinya. Struktur pemilikan harta tanah ini membentuk asas kepada hubungan sosioekonomi dalam masyarakat feudal, di mana golongan petani atau hamba tani “terikat” pada tanah yang dimiliki oleh tuan tanah dan tenaga buruh petani dieksploitasi untuk mengeluarkan bekalan makanan secara berterusan serta menyokong kehidupan golongan bangsawan yang mewah.

Hubungan pengeluaran ekonomi dalam masyarakat feudal adalah bersifat eksploitatif kerana buruh surplus diekstrak daripada golongan petani melalui cara-cara seperti sewa tanah, buruh paksaan dan cukai yang membebankan, maka memperkukuhkan lagi dominasi kuasa ekonomi kelas pemerintah tuan tanah feudal. Hubungan ekonomi dan sosial dalam sistem feudal dikekalkan melalui penguatkuasaan adat tradisional, keistimewaan berasaskan kedudukan hierarki dan kesetiaan peribadi, bukannya persaingan pasaran yang ditunjukkan dalam sistem ekonomi kapitalis yang muncul kemudian. Sistem feudal di Eropah juga biasanya melibatkan penyahpusatan kuasa politik, dengan golongan tuan tanah tempatan mempunyai kawalan yang lebih besar terhadap wilayah tanah kurniaan raja di bawah kekuasaan mereka, maka membawa kepada lanskap politik yang berpecah-belah di seluruh Eropah semasa Zaman Pertengahan.

Selain itu, institusi gereja memainkan peranan penting dalam mengekalkan dan menguruskan sistem feudal dengan menghalalkan dan memperkukuhkan struktur kekuasaan dalam masyarakat feudal di Eropah. Gereja merupakan tuan tanah yang penting, dengan menguasai harta tanah yang banyak dan berfungsi sebagai sebahagian daripada kelas pemerintah bersama-sama golongan bangsawan. Gereja bukan sahaja mengekstrak buruh surplus daripada golongan petani melalui kutipan cukai agama dan buruh paksaan, malah memberikan justifikasi secara ideologi kepada susunan feudal dengan menampilkan hierarki masyarakat yang sedia wujud itu sebagai apa yang ditakdirkan atau ditetapkan oleh Tuhan.

Geraja Katolik Rom khususnya merupakan sebuah badan kekuasaan yang berpusat dan amat berpengaruh di Eropah pada Zaman Pertengahan. Ia mempunyai pengaruh besar dalam perkara keagamaan dan sekular di seluruh Eropah. Kuasa politik yang dimiliki oleh Gereja adalah begitu besar sehingga ia boleh menobatkan raja, menjadi perantara dalam pertikaian antara golongan tuan tanah feudal dan mempunyai kuasa untuk memecat pemerintah, maka menguasai bukan sekadar kehidupan rohani tetapi juga kehidupan duniawi masyarakat di Eropah pada Zaman Pertengahan.  

Dengan menyebarkan doktrin-doktrin fahaman mengenai kesetiaan, hak suci golongan pemerintah dan susunan hierarki masyarakat yang tidak dapat dielakkan, Gereja membantu dalam menyekat kesedaran kelas dan mencegah penentangan terhadap eksploitasi dalam sistem feudal. Oleh itu, Gereja berfungsi sebagai tiang penyokong utama bagi sistem feudal dari segi ekonomi dan ideologi, di mana ia berfungsi seiring dengan kepentingan golongan bangsawan untuk mengekalkan status quo dan menyekat sebarang ancaman yang boleh membawa perubahan sosial secara menyeluruh. Walau bagaimanapun, dominasi Gereja masih boleh dipecahkan apabila sistem feudal mengalami krisis berterusan yang timbul daripada pertentangan kelas yang tidak dapat didamaikan.

Bencana kebuluran besar di Eropah pada tahun 1315-1317 dan penularan wabak “Maut Hitam” pada tahun 1347-1351 telah mengurangkan lebih separuh penduduk di benua Eropah. Hanya sehingga tahun 1500, jumlah penduduk Eropah baru kembali kepada paras tahun 1300. Penurunan bilagan penduduk yang mendadak menyebabkan pengeluaran makanan turut merosot secara ketara. Ini menjadikan golongan tuan tanah terdesak untuk memperluaskan wilayah mereka melalui cara peperangan supaya meningkatkan semula pengeluaran hasil pertanian yang dapat diambil mereka demi mengekalkan susunan masyarakat yang sedia ada. Ini telah mencetuskan pelbagai peperangan, sama ada perang saudara di dalam sesebuah negara antara puak-puak golongan bangsawan yang berbeza (seperti “Perang Bunga Mawar” di England antara tahun 1455 dan 1487) ataupun perang antara negara-negara feudal (seperti “Perang Seratus Tahun” antara England dan Perancis dari tahun 1337 hingga 1453).

Apabila peperangan antara golongan kelas tuan tanah feudal itu berlaku, kelas pemerintah meningkatkan kadar cukai terhadap golongan petani untuk membiayai peperangan mereka. Oleh sebab kekurangan tenaga kerja di atas tanah pertanian, golongan tuan tanah juga melaksanakan langkah-langkah yang menyekat hak dan kebebasan petani. Ini menimbulkan kemarahan golongan petani dan sering kali mencetuskan pemberontakan petani.

Gelombang pemberontakan rakyat yang hebat telah menular di benua Eropah pada penghujung Zaman Pertengahan. Walaupun sering digelar “pemberontakan petani”, biasanya pemberontakan masyarakat yang berlaku di Eropah pada masa itu tidak terhad pada petani, malah juga ada banyak perjuangan yang dsertai oleh tenaga kerja di bandar dan mempunyai skop yang lebih luas.  Antara tahun 1300 hingga 1500, berlakunya banyak pemberontakan yang dilancarkan oleh golongan petani di kawasan desa dan warga bebas di kawasan bandar untuk menentang golongan bangsawan, ketua agama dan raja. Kebanyakan pemberontakan petani dan rakyat bawahan ini dipatahkan secara keras oleh golongan pemerintah. Namun begitu, adanya juga pemberontakan yang berjaya mendesak golongan pemerintah untuk berkompromi dengan sesetengah tuntutan rakyat.

Sebelum kurun ke-14, pemberontakan petani di Eropah biasanya hanya berlaku secara berselerak dan terhad kepada sesuatu kawasan kecil. Salah satu pemberontakan petani dalam skala yang lebih besar pada masa itu ialah pemberontakan petani Bulgaria yang dipimpin oleh Ivaylo pada tahun 1277-1280 untuk menentang pemerintahan Tsar Konstantin Tih.

Namun, kurun ke-14 dan kurun ke-15 menyaksikan gerakan pemberontakan massa rakyat yang hebat di seluruh Eropah, akibat daripada pertentangan kelas yang semakin sengit akibat krisis masyarakat feudal pada masa itu. Antara punca yang mencetuskan pemberontakan massa rakyat, termasuk jurang ekonomi yang semakin melebar antara golongan kaya dengan golongan miskin, kemerosotan pendapatan golongan miskin, inflasi yang semakin teruk, cukai yang membebankan rakyat bawahan, krisis kebuluran, wabak penyakit, konflik agama dan peperangan.

Selain itu, terdapat penyebaran ideologi popular baharu yang dibangunkan dalam kalangan sebahagian golongan intelek yang hendak mencabar kekuasaan golongan agamawan Gereja pada masa itu. Mereka membawa pandangan bahawa pengumpulan harta, kekayaan yang melampau dan ketidaksamarataan adalah bertentangan dengan ajaran Tuhan. Ini dapat ditunjukkan dalam banyak perjuangan pemberontakan rakyat pada Zaman Pertengahan Eropah yang dipimpin oleh golongan paderi yang prihatin pada nasib rakyat bawahan.

Pemberontakan petani di Perancis yang dikenali sebagai Jacquerie pada tahun 1358.

Antara pemberontakan petani yang penting dan hebat di Eropah pada kurun ke-14 dan ke-15 ialah:

  • Pemberontakan Petani Flanders (1323-1328): Tindakan Count Flanders Louis I yang mengenakan cukai yang membebankan ke atas rakyat dan melaksanakan dasar-dasar yang berpihak pada kerajaan Perancis, telah mencetuskan rusuhan petani yang berselerak pada penghujung tahun 1323, dan kemudiannya meningkat kepada pemberontakan besar-besaran di seluruh wilayah Flanders.  Pemberontakan ini dipimpin oleh Nicolaas Zennekin, seorang petani kaya dari Lampernisse yang terletak di Flanders Barat. Golongan pemberontak pada awalnya berjaya menawan beberapa buah bandar dan menangkap Louis I, namun pemberontakan ini akhirnya dipatahkan oleh kerajaan Perancis yang mengerahkan tentera untuk mencampur tangan.
  • Pemberontakan Malam Saint George (1343-1345): Golongan petani di Estonia melancarkan pemberontakan pada 23 April 1343 (Hari Saint George) untuk menentang pemerintahan tuan tanah Kesateria Teuton berbangsa Jerman dan Kerajaan Denmark yang menawan Estonia sejak tahun 1219 semasa Perang Salib Livonia (1198-1290). Pemberontakan ini dipatahkan oleh tentera Kesateria Teuton, tetapi ia menunjukkan ketidakpuasan hati penduduk Estonia yang mendalam terhadap penguasaan tanah mereka oleh golongan tuan tanah feudal asing.
  • Jacquerie (1358): Semasa berlakunya Perang Seratus Tahun (1337-1453) antara Perancis dan England, pertempuran tentera yang kerap berlaku telah memusnahkan banyak tanah pertanian dan golongan petani hidup dalam kesusahan. Selepas Raja Perancis Jean II menjadi tawanan perang tentera England pada bulan September 1356, golongan bangsawan Perancis yang berkuasa pada masa itu mengenakan cukai yang membebankan untuk memerah lebih banyak kekayaan daripada golongan petani, dan memaksa rakyat bawahan untuk bekerja tanpa upah dalam kerja-kerja membaiki kerosakan daripada perang. Ini telah menimbulkan kemarahan golongan petani sehingga mencetuskan pemberontakan di utara Perancis pada bulan Mei 1358. Salah seorang pemimpin pemberontakan ini yang dicatatkan dalam sejarah ialah Guillaume Cale, seorang petani kaya dari perkampungan Mello di utara Perancis. Pemberontakan ini dipatahkan secara ganas dalam tempoh 2 bulan oleh tentera Perancis yang dikerahkan oleh golongan bangsawan. Istilah “Jacquerie” berasal daripada ejekan golongan bangsawan terhadap golongan petani dengan memanggil mereka mereka sebagai “Jacques” kerana jubah berpad “jacque” yang dipakai oleh mereka.
  • Pemberontakan Petani England (1381): Pemberontakan ini juga dikenali sebagai “Pemberontakan Wat Tyler”. Golongan petani di wilayah Essex dan Kent memberontak untuk menentang cukai kepala yang dikenakan oleh Raja England Richard II. Petani-petani membunuh pegawai diraja yang mengutip cukai dan memberontak. Salah seorang pemimpin utama pemberontakan ini, Wat Tyler, amat tertarik dengan idea-idea radikal yang dibawa oleh John Ball, seorang paderi yang menjelajah ke banyak tempat dan berpandangan kritikal terhadap ketidakadilan sosial. Dalam satu khutbah yang disampaikannya semasa Pemberontakan Petani England, John Ball berkata, “Apabila Adam bercucuk tanam, dan Hawa menganyam, mana ada orang yang berketurunan baik-baik pada masa itu? Sejak awal lagi, semua manusia secara semula jadinya dicipta sama, dan pengabdian atau perhambaan kita datang daripada penindasan yang tidak adil oleh manusia jahat.” Golongan pemberontak memperjuangkan pengurangan dalam percukaian, penghapusan sistem perhambaan tani dan penyingkiran pegawai diraja kanan yang menyeleweng. Golongan pemberontak memasuki bandar London pada bulan Jun 1381 dan disertai oleh ramai penduduk bandar tempatan. Wat Tyler dibunuh pada 15 Jun 1381 semasa mengadakan rundingan dengan Raja England. Golongan bangsawan mengerahkan tentera untuk mematahkan pemberontakan ini. Pemimpin-pemimpin lain dalam pemberontakan ini, seperti John Ball, Jack Straw, Thomas Baker, John Wrawe dan William Grindecobbe dihukum mati oleh kerajaan England. Walaupun ditewaskan, ia merupakan pemberontakan yang paling penting di England pada Zaman Pertengahan, di mana ia memberi pukulan yang hebat kepada sistem feudal di England dan menjadi pemangkin kepada keruntuhan sistem perhambaan tani di situ.
  • Perang Hus (1419-1434): Pengikut-pengikut Jan Hus, seorang tokoh pembaharuan agama Kristian yang berpengaruh di wilayah Bohemia (sebahagian daripada Republik Czech hari ini) yang dihukum mati oleh Gereja Katolik Rom, melancarkan pemberontakan di Bohemia untuk menentang kekuasaan Gereja Katolik Rom dan pemerintahan Empayar Rom Suci. Tentera pemberontak yang dipimpin oleh Jan Žižka pada awalnya pernah menewaskan tentera yang dikerahkan oleh Empayar Rom Suci dan Gereja Katolik Rom. Namun, selepas Jan Žižka meninggal dunia pada tahun 1424 dan berlakunya perpecahan dalam Gerakan Hus, pemberontakan ini akhirnya dipatahkan oleh kelas pemerintah Eropah Tengah.
  • Pemberontakan Petani Transilvania (1437): Petani-petani di wilayah Transilvania (terletak di Romania hari ini) yang berada di bawah pemerintahan Kerajaan Hungary memberontak apabila Biskop Transilvania mengenakan cukai yang membebankan ke atas golongan petani di situ. Pemberontakan ini dipimpin oleh Antal Nagy de Buda, seorang bangsawan kecil dari daerah Kolozs. Pemberontakan ini akhirnya dipatahkan oleh tentera yang dikerahkan oleh golongan bangsawan Transilvania, dan Antal Nagy de Buda terbunuh dalam pertempuran.
  • Pemberontakan Remensa (1462-1472 dan 1484-1486): Golongan petani di wilayah Catalonia yang berada di bawah pemerintahan Mahkota Aragon pada masa itu memberontak menentang golongan bangsawan yang melaksanakan dasar feudal yang amat mengekang kebebasan dan kehidupan petani. “Remensa” merujuk pada sistem perhambaan tani di Catalonia pada masa itu di mana golongan petani yang serupa hamba tani perlu membayar tebusan kepada tuan tanah supaya mereka dapat meninggalkan tanah yang diusahakan oleh mereka. Pemberontakan ini berlaku serentak dengan Perang Saudara Catalonia (1462-1472) yang tercetus antara penyokong Raja Juan II dari Aragon dan golongan bangsawan tempatan di wilayah Catalonia. Golongan petani yang memberontak dipimpin oleh Francesc de Verntallat, seorang bangsawan berpangkat rendah yang bersekutu dengan Raja Juan II. Walaupun Raja Juan II menang dalam Perang Saudara Catalonia, sistem perhambaan tani masih belum dihapuskan dan tiada pembaharuan yang signifikan terhadap dasar feudal yang diamalkan di Catalonia. Satu lagi pemberontakan petani tercetus pada tahun 1484, dengan Pere Joan Sala, seorang bekas kapten yang pernah berkhidmat di bawah pimpinan Francesc de Verntallat. Pemberontakan kali kedua ini berjaya mendesak Raja Fernando II dari Aragon untuk mengeluarkan perintah “Keputusan Timbang Tara Guadelupe” (Sentencia Arbitral de Guadalupe) pada tahun 1486 yang menghapuskan kebanyakan amalan perhambaan tani di Catalonia.

Pemberontakan di bandar yang penting di Eropah pada penghujung Zaman Pertengahan pula termasuk:

  • Pemberontakan Zealot (1342-1350): “Zealot”, sebuah kumpulan politik yang terdiri daripada kebanyakannya golongan warga kota dan peniaga kecil yang menentang pemerintahan autokratik, membantah amalan riba dan membantah cukai yang membebankan serta menuntut autonomi pentadbiran bandar, melancarkan pemberontakan rakyat di Thessaloniki (terletak di utara Greece), bandar kedua besar Empayar Bizantium atau Empayar Rom Timur pada masa itu. Mereka mendirikan kerajaan sendiri untuk mentadbir bandar Thessaloniki selama 8 tahun. Kumpulan Zealot merampas harta milik golongan bangsawan dan mengagihkan semula kepada penduduk-penduduk tempatan. Golongan bangsawan menawan semula Thessaloniki selepas melakukan serangan berterusan.
  • Pemberontakan Cola di Rienzo (1347): Nicola Gabrini, atau lebih dikenali sebagai Cola di Rienza, menerajui pemberontakan rakyat di Rom untuk menggulingkan pemerintahan golongan bangsawan di situ. Cola di Rienza memperjuangkan pemansuhan kuasa Paus dalam urusan politik duniawi dan bercita-cita untuk menyatukan negara Itali. Kekuasaan yang didirikan oleh pemberontakan Cola di Rienzo di bandar Rom hanya bertahan selama 7 bulan.
  • Pemberontakan Ciompi (1378-1382): Tukang-tukang yang tidak diwakili oleh mana-mana persatuan tukang memberontak terhadap kekuasaan oligarki bangsawan di bandar Firenze, Itali. Ciompi merujuk pada tukang wul yang menerajui pemberontakan ini. Golongan pemberontak membentuk kerajaan sendiri dan bertahan selama 3 tahun sebelum ditumpaskan oleh golongan bangsawan oligarki.
  • Harelle (1382): Persatuan-persatuan tukang di Rouen, bandar kedua besar di Perancis yang sedang terlibat dalam Perang Seratus Tahun pada masa itu, memberontak untuk menentang pengenalan semula cukai perang terhadap rakyat. Pemberontakan ini tercetus kerana ketidakpuasan hati rakyat terhadap keadaan di dalam negara yang dihancurkan oleh peperangan bertahun-tahun lamanya, kemerosotan ekonomi, percukaian yang membebankan dan penularan wabak penyakit. Berikutan pemberontakan rakyat di Rouen, bandar-bandar lain seperti Paris, Amiens, Dieppe, Falaise, Caen, Orléans dan Rheims juga menyaksikan pencetusan pemberontakan yang serupa. Pemberontakan ini dipatahkan oleh tentera yang dikerahkan oleh kerajaan Perancis, dan ramai pemimpin pemberontak dihukum mati. Walaupun pemberontakan ini tidak bertahan lama, ia mencerminkan tahap pertentangan kelas yang ketara dalam masyarakat Perancis pada masa itu. Istilah “Harelle” berasal daripada seruan permintaan bantuan “Haro!” yang dilaungkan oleh mereka yang berprotes untuk menarik perhatian golongan berkuasa supaya mencampur tangan.

Perang Petani Jerman

Krisis masyarakat yang wujud di Eropah pada penghujung Zaman Pertengahan, seperti peperangan dan pergolakan sosial kerana pertentangan kelas yang ketara, telah berterusan sehingga kurun ke-16. Pada masa yang sama, Gereja Katolik Rom yang amat berkuasa dalam masyarakat feudal Eropah mula dicabar oleh kemunculan gerakan pembaharuan agama yang dikenali sebagai “Reformasi Protestan”. Fahaman Reformasi Protestan di Eropah boleh dikaitkan dengan ideologi-ideologi baharu yang mula berkembang daripada gerakan kebudayaan Renaissance (Zaman Pembaharuan).

Disebabkan pengaruh pelbagai faktor, dari segi krisis masyarakat (seperti wabak penyakit dan peperangan) hingga pembangunan teknologi baharu (seperti penciptaan mesin cetak yang membolehkan penyebaran ilmu pengetahuan dengan lebih meluas), asas ekonomi dalam masyarakat feudal Eropah mula mengalami perubahan yang ketara pada penghujung Zaman Pertengahan. Begitu juga dengan superstrukturnya, di mana munculnya dan tersebarnya idea-idea baharu yang mempertikaikan hubungan pengeluaran masyarakat feudal yang wujud pada masa itu. Perkembangan pesat aktiviti perdagangan merentasi sempadan negara, pengumpulan kekayaan oleh golongan pedagang yang semakin bertambah bilangannya (yang merupakan pelopor kepada kelas borjuis), kemerosotan hubungan pengeluaran ekonomi feudal akibat krisis yang berterusan, kemajuan teknologi dan pergolakan sosial yang hebat, telah mewujudkan asas kepada kemunculan dan perkembangan gerakan Renaissance.

Renaissance ialah gerakan kebudayaan yang bermula pada kurun ke-14 di Itali dan disebarkan di banyak tempat di seluruh benua Eropah. Tokoh-tokoh gerakan Renaissance menggunakan kaedah humanistik dalam pembangunan ilmu pengetahuan mengenai dunia, di samping menonjolkan unsur-unsur realisme dan emosi manusia dalam karya-karya kesenian mereka.

Kekayaan masyarakat yang dikumpulkan di bandar-bandar perdagangan utama seperti Firenze, Venezia, Genova, Milan, Pisa dan sebagainya, membolehkan kebangkitan dan perluasan kuasa kelas pedagang kaya yang merupakan pelopor kepada kelas borjuis. Bandar-bandar yang menjadi pusat ekonomi dan penumpuan kekayaan sosial ini juga membolehkan perkembangan kesenian, sains dan falsafah yang ditaja oleh kelas borjuis yang baharu muncul, maka mendorong kemunculan ideologi-ideologi baharu yang tidak secocok dengan susunan masyarakat feudal yang lama.

Kelas borjuis atau borjuasi (bourgeoisie) ialah sebuah kelas sosial yang terdiri daripada peniaga-peniaga, pedagang-pedagang dan orang-orang kaya yang mengumpulkan kekayaan mereka melalui pelaburan modal. Pada asalnya, ia merujuk pada “kelas menengah” yang berada antara kelas bangsawan dan kelas petani dalam masyarakat penghujung Zaman Pertengahan Eropah, tetapi kemudiannya menjadi sinonim kepada kelas kapitalis dalam sistem sosioekonomi moden yang dikenali sebagai kapitalisme.

Kelas borjuis yang baharu muncul pada penghujung Zaman Pertengahan Eropah menghadapi pelbagai sekatan daripada susunan masyarakat feudal untuk terus mengembangkan kekayaan dan kekuasaan ekonomi mereka. Oleh itu, wujudnya pertentangan kelas antara kelas borjuis yang baharu dan kelas tuan tanah feudal lama. Pertentangan ini diterjemah ke dalam pergolakan masyarakat, peperangan dan pemberontakan rakyat di banyak tempat pada penghujung Zaman Pertengahan di Eropah, seperti yang dinyatakan di atas.

Aktiviti kesenian, kebudayaan, kajian sains dan pembangunan falsafah baharu semasa Zaman Renaissance yang mendapat sokongan kebendaan daripada kelas borjuis baharu itu menawarkan cabaran ideologi kepada susunan masyarakat feudal lama. Dalam bidang ideologi keagamaan, munculnya pemikiran baharu yang mencabar Gereja Katolik Rom sebagai kuasa sosioekonomi dan kuasa ideologi utama dalam masyarakat feudal di Eropah pada masa itu.

Gerakan Reformasi Protestan dipandukan oleh pemikiran yang mencabar struktur kekuasaan lama dalam institusi Gereja Katolik Rom yang mewakili kepentingan kelas tuan tanah besar. Ideologi yang menentang institusi Geraja Katolik Rom ini dianggap agak radikal pada masa itu, tetapi mendapat sambutan dalam kalangan kelas sosial yang baharu muncul kerana perubahan corak pengeluaran masyarakat (seperti golongan pedagang, usahawan estet, kelas menengah di bandar, tukang yang berpersatuan, di mana mereka merupakan pelopor kepada kelas borjuis atau kapitalis).

Perintis kepada gerakan pembaharuan agama Kristian boleh dijejak kembali kepada era yang lebih awal, seperti John Wycliffe (seorang paderi Katolik di England yang menentang kekuasaan Gereja Katolik Rom dan memberi inspirasi kepada John Ball, seorang paderi yang memainkan peranan penting dalam pemberontakan petani di England pada tahun 1381) dan Jan Hus (seorang ahli teologi di Bohemia atau Czechia yang dipengaruhi oleh pemikiran John Wycliffe dan menjadi inspirasi kepada Gerakan Hus). Golongan pembaharu agama Kristian yang awal ini memberi inspirasi kepada pelbagai aliran gerakan pembaharuan agama kemudian sehingga mencetuskan Reformasi Protestan. Gerakan Reformasi Protestan telah melemahkan kekuasaan Gereja Katolik Rom secara ketara dan membawa kepada perpecahan besar dalam agama Kristian Barat.

Reformasi Protestan mula tercetus pada tahun 1517 dengan penerbitan “95 Dalil terhadap Kuasa Pengampunan” yang ditulis oleh Martin Luther, seorang paderi dan ahli teologi Jerman. Luther mempertikaikan amalan penjualan pengampunan oleh Gereja Katolik Rom pada masa itu, mengkritik kekuasaan Paus dan hierarki Gereja, serta mencabar kekuasaan Gereja Katolik Rom dalam pelbagai aspek keagamaan. Luther kemudiannya menubuhkan Gereja Lutheran, gereja Protestan pertama yang berpecah daripada Gereja Katolik Rom. Gerakan Reformasi Protestan tersebar dengan cepat dan meluas, dengan penubuhan mazhab-mazhab agama Kristian Protestan baharu yang lain seperti Calvinisme yang berdasarkan pemikiran Jean Calvin, Anglikanisme yang diamalkan oleh Gereja England, dan sebagainya. Reformasi Protestan memecahkan dominasi Gereja Katolik Rom, sementara mazhab-mazhab Protestan yang baharu muncul itu bergabung dengan golongan pemerintah di negara-negara bangsa yang berbeza di Eropah untuk memperkukuhkan pemerintahan monarki masing-masing yang bebas daripada cengkaman Gereja Katolik Rom.

Reformasi Protestan telah mencetuskan siri peperangan agama di merata tempat di Eropah, seperti Pemberontakan Kesateria (1522-1523) di Jerman di bawah pemerintahan Empayar Rom Suci, Perang Petani Jerman (1524-1525), Perang Dacke (1542-1543) di Sweden, Perang Agama Perancis (1562-1598), Perang Lapan Puluh Tahun (1568-1648), Perang Tiga Puluh Tahun (1618-1648), Perang Tiga Kerajaan (1639-1653) di Kepulauan British dan sebagainya.

Dalam konteks pergolakan sosial yang hebat pada abad ke-16, Perang Petani Jerman (1524-1525), iaitu pemberontakan petani yang hebat dan meluas di banyak kawasan yang berbahasa Jerman di Eropah Timur serentak dengan Reformasi Protestan, menonjol sebagai perjuangan kelas yang memuncak pada penghujung Zaman Pertengahan Eropah yang penuh bergelora.

Seperti perjuangan pemberontakan petani yang pernah berlaku sebelum itu, faktor-faktor yang mencetuskan pemberontakan petani Jerman pada tahun 1524-1525 tidak dapat dipisahkan dengan keadaan hidup petani yang susah akibat cukai yang membebankan, perhambaan petani, kerja paksaan dan eksploitasi oleh golongan bangsawan. Idea-idea Reformasi Protestan yang tersebar luas dalam masyarakat pada masa itu juga memberi dorongan kepada ramai petani yang menginginkan keadilan sosial untuk bangkit mencabar kekuasaan institusi Gereja yang bersekongkol dengan golongan bangsawan.

Pemberontakan Petani Jerman pada tahun 1524-1525 mendapat inspirasi daripada siri pemberontakan petani tempatan yang berlaku secara berselerak di bahagian barat daya Jerman dari tahun 1483 hingga 1517, yang dikenali sebagai “Gerakan Bundschuh”. Bundschuh merujuk pada kasut terikat yang dipamerkan di atas bendera yang dibawa oleh petani-petani yang memberontak. Siri pemberontakan yang berlaku secara berselerak di tempat dan masa yang berbeza ini biasanya bertujuan untuk menentang cukai yang membebankan, hutang yang menekan, hak keistimewaan golongan elit gereja, perhambaan tani, larangan memburu, larangan menangkap ikan, sistem kehakiman yang disalahgunakan sewenang-wenangnya oleh golongan bangsawan dan sebagainya. Pemberontakan Petani Jerman pada tahun 1524-1525 boleh dikatakan sebagai lanjutan Gerakan Bundschuh, tetapi ia berlaku dalam skala yang jauh lebih besar.

Pada tahun 1524, pemberontakan petani yang berselerak mula tercetus di bahagian barat daya Jerman, kemudian merebak dengan cepat ke bahagian tengah dan timur Jerman, malah sampai ke wilayah Tirol (terletak di bahagian utara Itali dan bahagian barat Austria) dan Alsace (terletak di bahagian timur Perancis). Pemberontakan ini bukan sahaja disertai oleh golongan petani, malah juga melibatkan pelombong dan penduduk bandar (seperti tukang, peniaga kecil dan tenaga buruh upahan).

Pemberontakan petani yang paling awal di bahagian barat daya Jerman tercetus pada bulan Jun 1524, di tanah estet berdekatan dengan Stühlingen. Sehingga musim luruh tahun 1524, kumpulan-kumpulan petani yang memberontak sudah muncul di sekitar Nuremberg dan di sekeliling Tasik Constance. Menjelang musim sejuk penghujung tahun 1524 dan awal tahun 1525, gelombang pemberontakan merebak ke kawasan Hutan Hitam dan Lembah Sungai Rhine. Sesetengah bandar mengadakan rundingan dengan tentera pemberontakan petani, di mana mereka bersetuju untuk memberikan bekalan dan sokongan kepada tentera pemberontak sebagai pertukaran syarat untuk tidak diserang. Ini menunjukkan bahawa pemberontakan petani pada masa itu memang digeruni oleh golongan elit bandar.

Pada 6 Mac 1525, perwakilan daripada kumpulan-kumpulan pemberontakan petani di wilayah Schwaben bertemu di Memmingen. Mereka bersetuju untuk berunding dengan Liga Schwaben, sebuah pakatan tentera yang ditubuhkan oleh golongan bangsawan feudal di wilayah Schwaben untuk melindungi kepentingan kelas pemerintah dalam Empayar Rom Suci. Selepas rundingan yang penuh kesukaran dan tidak menuju ke mana-mana, golongan pemberontak petani mengisytihar penubuhan “Konfederasi Petani Hulu Schwaben” dan mengemukakan “Dua Belas Perkara” (Zwölf Artikel), sebuah dokumen draf yang menyenaraikan tuntutan golongan petani Jerman pada masa itu. Antara tuntutan yang dikemukakan ialah: hak komuniti untuk memilih dan memecat paderi; penggunaan cukai gereja untuk tujuan kebaikan awam; penghapusan sistem perhambaan tani; pengurangan kerja paksaan; penghapusan cukai yang tidak adil; kebebasan untuk memburu, menangkap ikan dan menebang pokok; pemulangan harta awam dan kawasan hutan kepada komuniti petani; pengharaman hukuman sesuka hati; dan sebagainya.

Dengan adanya mesin cetak yang mula digunakan pada masa itu, sebanyak lebih 25,000 salinan “Dua Belas Perkara” telah dicetak dalam tempoh dua bulan, dan disebarkan dengan cepatnya di seluruh Jerman.

Pada 4 April 1525, 5,000 orang petani yang memberontak bertempur dengan tentera Liga Schwaben di Leipheim yang terletak di bahagian selatan Jerman, tetapi ditewaskan. Pada 16 April 1525, golongan pemberontak yang dipimpin oleh Jäcklein Rohrbach menyerang istana kota di Weinsberg, sebuah pekan di Württemberg di bahagian barat daya Jerman, dan membunuh bangsawan yang menguasai pekan itu. Pada 16 April 1525, tentera pemberontakan petani dari Württemberg menduduki bandar Stuttgart untuk beberapa hari. Dalam pertempuran di Böblingen yang terletak di bahagian barat daya Jerman pada 12 Mei 1525, tentera pemberontakan petani dari Württemberg diserang oleh tentera bangsawan dan kira-kira 3,000 orang dibunuh.

Pada 14-15 Mei 1525, tentera pemberontakan petani di Thüringen yang dipimpin oleh Thomas Müntzer bertempur dengan tentera yang diketuai oleh Landgraf Philip I dari Hessen dan Duke George dari Sachsen di Frankenhausen. Lebih 7,000 daripada 8,000 orang pemberontak petani mati terkorban dalam pertempuran di Frankenhausen. Thomas Müntzer ditahan, diseksa dan kemudiannya dihukum mati di Mühlhausen pada 27 Mei 1525.

Pada 23 Mei 1525, 18,000 orang petani yang diketuai oleh Hans Müller menawan bandar Freiburg di bahagian barat daya Jerman, dan memaksa pentadbir bandar itu bersetuju untuk menangani masalah yang dihadapi oleh orang miskin. Hans Müller kemudiannya cuba menawan Radolfzell tetapi tidak berjaya. Dalam pertempuran di Klettgau pada 1 Julai 1525, tentera pemberontak ditewaskan, dengan Hans Müller ditangkap, dipenjarakan di atas gunung Hohentwiel, kemudiannya dipindahkan ke Laufenburg dan dibunuh di situ. Banyak lagi tentera pemberontak yang lebih kecil saiznya turut ditewaskan. Pemberontakan petani Jerman dipatahkan sepenuhnya pada bulan September 1525.

Dua per tiga daripada golongan petani di seluruh Jerman terlibat dalam perjuangan pemberontakan yang hebat ini, dengan tentera pemberontakan petani disertai oleh 300,000 orang pada kemuncaknya. Tentera pemberontakan petani Jerman bukannya satu barisan tentera yang bersatu di bawah satu ketua komandan bersama, tetapi berpecah kepada banyak kumpulan yang berbeza di bawah kepimpinan yang berlainan dan tiadanya penyelarasan dalam strategi perang. Lebih 100,000 orang pemberontak mati terkorban dalam peperangan dengan tentera bangsawan yang berkelengkapan lebih canggih. Ramai lagi orang mati kerana kelaparan selepas kemusnahan tanah pertanian dalam perang. Penindasan dan sekatan yang lebih hebat lagi oleh golongan pemerintah telah mematahkan usaha selanjutnya untuk memperjuangkan tuntutan petani.

Antara punca kegagalan Pemberontakan Petani Jerman 1524-1525 ialah kelengkapan senjata pemberontak petani yang jauh mundur berbanding tentera bangsawan, kekurangan pengalaman kepimpinan pemberontak, dan kegagalan untuk membentuk sebuah barisan bersatu yang cukup kuat untuk menumpaskan kekuasaan feudal lama. Walaupun dipatahkan pada akhirnya, pemberontakan petani Jerman pada tahun 1524-1525 telah menggegarkan seluruh pemerintahan feudal di Eropah Tengah di bawah pemerintahan Empayar Rom Suci pada masa itu.

Walaupun pemberontakan petani Jerman dipengaruhi oleh ideologi Reformasi Protestan, Martin Luther, selaku peneraju utama Reformasi Protestan di Jerman itu sendiri, tidak bersetuju dengan tindakan petani yang melawan balik terhadap ketidakadilan yang dikenakan ke atas mereka. Malah, semasa pemberontakan petani Jerman berada di kemuncaknya pada tahun 1525, Martin Luther menyokong sepenuhnya golongan pemerintah bangsawan dan sekutu Katolik Rom mereka dalam usaha mematahkan pemberontakan petani dengan cara yang kejam seperti membunuh anjing gila! Ini menunjukkan dengan jelas bahawa walaupun mengkritik golongan berkuasa dalam Gereja Katolik Rom, Martin Luther masih merupakan seorang elit agama yang berfahaman konservatif yang tidak dapat menerima perubahan radikal yang diperjuangkan oleh kelas bawahan.

Thomas Müntzer (kira-kira 1489-1925)

Thomas Müntzer, seorang paderi yang mendukung Reformasi Protestan dan pemimpin utama tentera pemberontakan petani di Thüringen yang terletak di bahagian tengah Jerman, pada awalnya mengharapkan Martin Luther akan menyokong perjuangan petani untuk hak mereka, dan apabila Luther tidak berbuat demikian, Müntzer mengecam Luther atas keengganannya untuk memajukan usaha pembaharuan agama ke arah yang lebih radikal dan tindakannya yang berkompromi dengan kekuasaan feudal.

Müntzer mempunyai hubungan rapat dengan perkembangan fahaman Anabaptisme, sebuah gerakan Reformasi Protestan yang radikal. Antara idea-idea Müntzer yang radikal ialah dia berpandangan bahawa seseorang yang beriman harus mempunyai rasa takut pada Tuhan dan tidak takut pada manusia. Müntzer juga mempunyai pemiliran egalitarian radikal yang percaya bahawa semua sumber masyarakat harus dipegang secara bersama dan pengagihannya harus mengikut keperluan masing-masing.

Pemimpin-pemimpin penting yang lain dalam Pemberontakan Petani Jerman  termasuk: Hans Müller, seorang bekas askar upahan yang pernah bergiat di Perancis dan merupakan pemimpin petani utama yang melancarkan pemberontakan di Stühlingen; Florian Geyer, seorang bangsawan dan kesateria yang pada awalnya mengagumi Luther dan mendukung usaha Reformasi Protestan; Wendel Hipler, seorang bangsawan yang menyertai pemberontakan petani di wilayah Franken; dan Michael Gaismair, seorang yang berasal daripada keluarga kelas menengah dan bercita-cita untuk melakukan pembaharuan di wilayah Tirol. Kebanyakan pemimpin pemberontak ini mendukung Reformasi Protestan. Mereka menganggap apa yang dilakukan oleh Gereja Katolik Rom dan golongan bangsawan itu bertentangan dengan ajaran agama Kristian yang sebenar.

Pemberontakan Petani Jerman 1524-1525 merupakan konflik antara kelas pemerintah feudal (yang terdiri daripada golongan bangsawan dan paderi daripada Gereja) dan kelas petani yang ditindas. Selain golongan petani, pemberontakan ini juga mendapat sokongan daripada golongan penduduk bandar bawahan seperti tukang kecil dan pekerja upahan yang merupakan pendahulu kepada kelas proletar moden.

Walaupun pemberontakan ini mendapat sokongan yang besar daripada pelbagai lapisan masyarakat bawahan (seperti petani, penduduk bandar, borjuis kecil dan golongan Anabaptis yang radikal), ia menemui kegagalan kerana lapisan-lapisan masyarakat yang berbeza dalam barisan pemberontak itu tidak mempunyai matlamat yang sama dan perpaduan yang kukuh. Golongan pemberontak juga kekurangan kepimpinan yang konsisten di samping ketidakupayaan untuk mewujudkan sebuah barisan perjuangan bersatu yang diselaraskan untuk menentang golongan bangsawan yang lebih kuat dari segi kelengkapan ketenteraan. Momentum yang timbul daripada kespontanan pemberontakan petani itu tidak dapat digunakan dengan baik kerana tiadanya organisasi gerakan perjuangan yang lebih teratur.

Friedrich Engels, seorang tokoh revolusioner sosialis pada abad ke-19, menegaskan dalam bukunya “The Peasant War in Germany” (1850) bahawa kuasa pendorong sebenar di sebalik Reformasi Protestan dan pemberontakan petani pada abad ke-16 itu ialah konflik kelas yang berasaskan percanggahan sosioekonomi yang wujud pada masa itu, dan bukannya hanya sekadar faktor agama. Engels menafsir pemberontakan petani Jerman pada 1524-1525 sebagai cubaan golongan petani, golongan proletar (pekerja upahan di kawasan bandar) dan golongan bawahan lain untuk menentang kelas bangsawan feudal yang memerintah pada masa itu demi menentukan nasib mereka sendiri.

Engels menganggap usaha perjuangan golongan petani dan golongan bawahan di bandar untuk menggulingkan susunan masyarakat lama itu sebagai satu bentuk revolusi proletar yang terawal. Walau bagaimanapun, keadaan ekonomi dan struktur kelas pada masa itu masih belum cukup matang lagi untuk mewujudkan faktor objektif yang boleh membawa perubahan revolusioner yang berjaya, kerana cara pengeluaran yang wujud pada masa itu sebahagian besarnya masih bersifat feudal. Tambahan pula, kelas-kelas sosial yang berupaya untuk menjayakan revolusi, seperti kelas borjuis yang lebih kuat dan kelas pekerja perindustrian yang berorganisasi, masih belum muncul sepenuhnya. Golongan proletar yang baharu muncul di kawasan bandar pada masa itu masih tiada lagi saluran atau organisasi untuk membangunkan kesedaran kelas serta keupayaan politik mereka.

Engels berpandangan bahawa kegagalan pemberontakan petani Jerman pada tahun 1524-1525 berpunca daripada kekurangan perpaduan dan ketiadaan kepimpinan berpusat dalam kalangan golongan pemberontak. Petani-petani di Jerman pada masa itu dipecah-belahkan mengikut wilayah, tambahan pula mereka tidak mempunyai strategi perjuangan yang menyatukan semua golongan petani dan proletar dalam satu barisan bersatu untuk mengambil tindakan yang bersepadu; sebaliknya, kelas pemerintah memiliki kekuatan yang lebih besar dari segi organisasi ketenteraan dan jentera negara, di mana mereka dapat menggunakan kelebihan itu untuk mematahkan pemberontakan petani.

Perang Petani Jerman pada tahun 1524-1525 ialah perjuangan revolusioner yang terbesar di Eropah sebelum Revolusi Perancis pada penghujung abad ke-18. Ia akan kekal sebagai satu bab yang penting dalam perjuangan masyarakat untuk pembebasan sebenar.

Perjuangan tetap berterusan

Pertentangan kelas sentiasa ada selagi masyarakat kelas itu masih wujud. Perjuangan kelas boleh tercetus apabila pertentangan kelas itu tidak dapat lagi dibendung, sama ada dengan cara yang lembut atau keras. Perjuangan kelas yang hebat pada zaman sebelum wujudnya kapitalisme pernah berlaku di banyak tempat di seluruh dunia. Di mana adanya ketidaksamarataan, ketidakadilan, perhambaan, pemaksaan dan penindasan, di situ semestinya timbul perjuangan kelas untuk mengubah keadaan. Perjuangan kelas boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan disertai oleh kumpulan-kumpulan masyarakat yang berkepelbagaian, bergantung pada keadaan semasa. Perjuangan kelas tetap akan berlaku selagi kelas yang ditindas itu mendahagakan pembebasan dan hendak menentukan nasib sendiri melalui tindakan melawan balik.

Berdasarkan sejarah perjuangan kelas yang berpanjangan pada zaman sebelum kapitalisme, kita boleh mendapati bahawa massa rakyat bawahan yang tidak dapat tahan lagi dengan keadaan eksploitasi dan penindasan yang teruk itu boleh memberontak secara spontan. Kadang-kadang kebangkitan rakyat secara spontan itu adalah begitu hebat sehingga menggegarkan asas pemerintahan kelas yang sedia ada. Namun, dalam kebanyakan keadaan juga, walau sehebat mana pun, pemberontakan massa secara spontan, tidak boleh mencapai kejayaan dalam membebaskan kelas yang ditindas kerana pelbagai faktor objektif dan subjektif.

Faktor objektif ialah faktor luaran yang tidak ditentukan secara suka hati oleh seseorang atau sesebuah kumpulan dalam masyarakat; sementara faktor subjektif ialah faktor dalaman yang boleh dibangunkan dan dikawal oleh sesebuah organisasi.

Faktor objektif yang menentukan sama ada sesebuah perjuangan revolusioner itu boleh berjaya atau tidak, termasuklah: tahap perkembangan ekonomi dalam masyarakat, tahap konflik kelas yang wujud pada ketika itu, tahap krisis pemerintahan kelas itu sendiri, tahap sokongan atau ketidakpuasan hati rakyat terhadap sistem pemerintahan yang sedia ada, dan sejauh mana penyebaran idea-idea baharu yang dapat membangkitkan semangat perjuangan.

Dari segi faktor subjektif pula, untuk sebuah perjuangan kelas dapat berjaya dalam mengubah sistem masyarakat secara radikal, ia memerlukan perkara-perkara berikut:

  • Kesedaran kelas (bukan sahaja sekadar menyedari tentang penindasan kelas yang wujud, tetapi menyedari kemampuan kelas yang ditindas itu untuk melawan balik, berjuang demi menentukan nasib sendiri dan alternatif baharu yang boleh dibangunkan);
  • Organisasi politik yang mampu mengorganisasi dan memobilisasi massa kelas bawahan untuk berjuang secara berkesan;
  • Program politik untuk perubahan yang menggariskan dengan jelasnya matlamat, kaedah dan strategi perjuangan;
  • Sokongan massa rakyat yang padu terhadap tuntutan politik yang dikemukakan dan gerakan massa yang hebat untuk memperjuangkannya;
  • Kesediaan kelas bawahan yang berkesedaran kelas untuk mengambil alih kuasa atau mengekalkan momentum perjuangan dalam keadaan yang mencabar.

Tidak kurangnya faktor objektif dalam masyarakat kelas pra-kapitalis yang dapat mencetuskan perjuangan revolusioner yang hebat, seperti yang ditunjukkan dalam Pemberontakan Spartacus, ratusan jika bukan ribuan pemberotakan petani di China, Pemberontakan Petani Jerman 1524-1525, dan sebagainya. Namun, kekurangan faktor-faktor subjektif yang membolehkan kebangkitan rakyat tertindas itu mara lebih ke hadapan lagi menyebabkan kebanyakan perjuangan pemberontakan rakyat yang hebat itu menemui kegagalan pada akhirnya.

Jika adanya pemberontakan yang berjaya menumpaskan golongan yang berkuasa pun, biasanya kejayaan perjuangan itu akan diambil oleh pemimpin pemberontak yang sendiri hendak menjadi seperti golongan pemerintah yang sebelumnya, maka mengekalkan susunan masyarakat kelas yang sedia ada walaupun sudah menjatuhkan golongan pemerintah lama. Adanya juga banyak keadaan di mana kelas pemerintah yang digugat oleh kebangkitan rakyat bawahan itu melakukan kompromi dengan menunaikan sesetengah tuntutan rakyat yang memberontak itu tanpa mengubah struktur asas sistem yang sedia ada. Adanya juga keadaan di mana kelas pemerintah cuba “membeli” atau mengumpan sesetengah pemimpin pemberontakan supaya mereka mengkhianati perjuangan atau membantu dalam meredakan keadaan yang tidak dapat dikawal oleh golongan berkuasa.

Walau bagaimanapun, perjuangan tetap berterusan selagi penindasan masih wujud. Persoalannya adalah bagaimana membangunkan kuasa revolusioner yang bukan sahaja dapat menjatuhkan rejim pemerintahan dan susunan masyarakat yang menindas rakyat bawahan, tetapi juga dapat membina sebuah masyarakat baharu yang membebaskan semua orang daripada penindasan yang berterusan. Ini ialah persoalan besar yang sering dihadapi dan perlu dijawab oleh gerakan revolusioner di merata tempat pada setiap zaman. 

Setiap perjuangan revolusioner, sama ada berjaya atau tidak, akan memberi dorongan, inspirasi dan pengajaran kepada perjuangan revolusioner selepasnya. Kita dapat lihat dalam sejarah perjuangan masyarakat selama ini, perjuangan di satu tempat pada satu masa boleh menjadi teladan atau inspirasi kepada perjuangan di tempat dan masa yang lain. Dan perjuangan-perjuangan inilah yang memainkan peranan utama dalam membentuk trajektori sejarah masyarakat. Perjuangan-perjuangan ini, sama ada berjaya atau tidak, secara langsung atau secara tidak langsung, telah mendatangkan banyak hasil kejayaan yang memanfaatkan masyarakat dari segi kesejahteraan hidup, keadilan sosial dan kebebasan demokratik. Perjuangan masyarakat tetap akan berterusan sehingga kita mencapai pembebasan yang sebenar.

==========

Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.

==========

Rencana lain dalam Siri Revolusi Dunia:

02 – Pemberontakan Belanda

2 thoughts on “Perjuangan kelas sebelum kapitalisme (Siri Revolusi Dunia – 01)

  1. Hi Chon Kai,
    Wow 😮 detailed history indeed. Is this more of a translation or you wrote it all? Really comprehensive n long.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *