Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertekad untuk terus membina kuasa ketiga yang progresif sebagai alternatif kepada rakyat dalam suasana politik negara yang masih dihantui oleh isu perkauman dan pelbagai masalah yang disebabkan oleh sistem kapitalis. Ketekadan untuk membina kuasa rakyat dari bawah dan memajukan gerakan kiri di tanah air ini ditunjukkan dalam semangat yang dibawa balik oleh ahli-ahli PSM yang menghadiri Kongres Nasional PSM ke-26.
Kongres Nasional PSM ke-26 diadakan pada 26-28 Julai 2024, di Johor Bahru, Johor, dengan kehadiran perwakilan yang datang dari seluruh negara. Ini merupakan kali pertama PSM mengadakan Kongres Nasional di negeri Johor. Lebih 150 orang perwakilan dan pemerhati telah menyertai Kongres Nasional yang berlangsung selama 3 hari ini.
Selain membahaskan pelbagai usul dan cadangan untuk memperbaiki gerak kerja PSM serta memajukan gerakan perjuangan rakyat marhaen, Kongres Nasional PSM tahun ini juga mengadakan pemilihan parti untuk memilih barisan kepimpinan parti bagi penggal 2024-2026. Pemilihan parti kali ini yang menyaksikan pertandingan yang memeriahkan telah berjaya memilih Setiausaha Agung PSM yang baharu. Sivaranjani Manickam, seorang aktivis PSM yang mempunyai banyak pengalaman dalam memperjuangkan hak pekerja dan penyandang jawatan Ketua Biro Pekerja PSM sebelum ini, dipilih sebagai Setiausaha Agung PSM yang ketiga dalam sejarah parti, menggantikan Sivarajan Arumugam yang menyandang jawatan Setiausaha Agung PSM dari tahun 2015 hingga 2024 di samping pernah bertugas sebagai Bendahari Nasional PSM dari tahun 1998 hingga 2015.
Majlis perasmian Kongres Nasional PSM ke-26 telah dihadiri oleh tetamu-tetamu yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin parti politik seperti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP) dan Parti URIMAI, serta anggota-anggota pertubuhan masyarakat sivil di sekitar negeri Johor. Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Florentino Batista González selaku Duta Besar Republik Kuba ke Malaysia dan Hassan Karim selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang.
“Kita melihat rejim sekarang ini tidak banyak berubah berbanding rejim-rejim sebelum ini,” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM, semasa menyampaikan ucapan pembukaan dalam majlis perasmian Kongres Nasional PSM ke-26. “Saya pernah menulis dalam satu rencana yang menyatakan bahawa Anwar Ibrahim mempunyai dua orang kawan yang dikenalinya sejak tahun 1970-an, seorang ialah Ahmad Zahid Hamidi, dan seorang lagi ialah Hassan Karim. Dalam tulisan saya itu, saya meminta Anwar Ibrahim supaya mengambil pendirian politik yang lebih berhaluan kiri bersama Hassan Karim.”
“PSM telah mengambil keputusan dalam satu pertemuan di Trolak, Perak, pada tahun 2020, bahawa sebagai sebuah parti sosialis perlu adanya sasaran untuk mentadbir negara kita”, kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, dalam ucapan dasar yang disampaikannya dalam majlis perasmian Kongres Nasional PSM ke-26. “Kita tidak boleh mengharapkan parti-parti yang berhaluan kanan, neoliberal dan rasis untuk melaksanakan dasar-dasar progresif. Jika kita betul-betul hendak melaksanakan program, dasar dan undang-undang yang berpihak kepada rakyat Malaysia, golongan kiri perlu masuk ke Parlimen. Peranan PSM dalam jangka masa panjang adalah memberi satu alternatif yang berlainan untuk rakyat kita. Ini mungkin mengambil masa berpuluh-puluh tahun, tetapi ia harus dijadikan matlamat kita.”
“Satu lagi keputusan yang dibuat semasa perbincangan di Trolak, adalah selain daripada perjuangan elektoral untuk memasukkan golongan kiri ke dalam Parlimen, kita juga perlu adanya satu perjuangan di peringkat masyarakat. Kita harus membina kuasa rakyat di luar Parlimen,” ujar Dr. Jeyakumar. “Hasrat kita adalah harus adanya sekumpulan wakil rakyat di dalam Parlimen untuk berjuang demi rakyat, dan satu lagi kumpulan di luar Parlimen yang dapat menyuarakan masalah dan tuntutan rakyat. Kami menganggap kedua-dua ini perkara yang amat penting. Kita perlu melakukan mobilisasi semua sektor rakyat marhaen di seluruh negara, termasuk pekerja, petani, peniaga kecil dan Orang Asli.”
Dalam ucapan dasarnya, Dr. Jeyakumar turut menggariskan paradigma baharu yang ingin dikemukakan oleh PSM kepada masyarakat Malaysia yang meliputi 7 perkara utama, iaitu:
- Tidak mencukupi untuk negara kita hanya menarik banyak pelaburan asing (FDI) demi meningkatkan keluaran dalam negeri kasar (KDNK). Pengagihan kekayaan kepada semua lapisan rakyat adalah lebih penting;
- Malaysia telah dijajah semula oleh golongan korporat antarabangsa;
- Ahli politik yang mempermainkan isu-isu perkauman adalah penderhaka kepada rakyat biasa;
- Gerakan progresif mesti memastikan pemimpinnya tidak ditawan/dibeli oleh kaum korporat;
- Pembebasan wanita adalah kunci untuk kemajuan masyarakat;
- Amalan “greenwashing” harus dikenal pasti dan ditolak, di samping harus bertindak serius terhadap Darurat Iklim;
- Hak bekerja adalah hak asasi manusia.
Wakil-wakil daripada cawangan PSM di seluruh negara telah memberikan ulasan mereka terhadap Ucapan Dasar Pengerusi Nasional PSM dengan pelbagai pandangan, kritikan dan cadangan yang bernas.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kongres Nasional PSM tahun ini turut menerima mesej solidariti daripada organisasi-organisasi kiri dari seluruh dunia. Antara organisasi-organisasi yang menghantar mesej solidariti kepada Kongres Nasional PSM tahun ini ialah Socialist Alliance dari Australia, Perikatan Merah-Hijau dari Demark, Partido Lakas ng Masa (PLM) dari Filipina, Die Linke dari Jerman, Communist Party of India (Marxist–Leninist) Liberation dari India, Perserikatan Sosialis dari Indonesia, Potere al Popolo! (PaP) dari Itali, Communist Party of Nepal (Unified Socialist) dari Nepal, Nouveau Parti anticapitaliste – L’Anticapitaliste (NPA-A) dari Perancis,Frontline Socialist Party dari Sri Lanka, Parti Kesatuan Demokratik (PYD) dari Rojava, Socialist Workers dari Thailand dan Europe Solidaire Sans Frontières (ESSF).
“Dalam masa penuh dengan krisis global dan cabaran politik ini, peranan organisasi sosialis seperti PSM adalah semakin penting berbanding sebelum ini. Kami memuji komitmen teguh anda untuk membina sebuah masyarakat yang adil dan saksama melalui gerakan akar umbi, kempen yang berkesan dan kesedaran politik. Dedikasi anda menjadi inspirasi kepada kita semua yang sedang berusaha untuk sosialisme dan keadilan sosial di seluruh dunia,” begitu katanya Dr. Shankar Khatiwada daripada Communist Party of Nepal (Unified Socialist) dalam mesejnya kepada Kongres Nasional PSM.
Semasa membentangkan Laporan Setiausaha Agung, Sivarajan Arumugam telah melaporkan pelbagai aksi dan aktiviti yang dianjurkan atau disertai oleh PSM dalam tempoh beberapa bulan dari Kongres Nasional yang lalu sehingga Kongres Nasional tahun ini, termasuk aksi solidariti bersama Palestin, penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri untuk mengemukakan cadangan bagaimana menjana dana kerajaan yang dapat digunakan dalam pelaksanaan program perlindungan sosial, penyertaan ahli PSM dalam pelbagai program di peringkat antarabangsa, perjuangan petani menentang pengusiran paksa, saranan untuk mereformasi PERKESO, kemenangan kes saman Kohila terhadap Bank Negara mengenai pemecatan tidak sah, pengemukaan kritikan terhadap Dasar Gaji Progresif, bantahan terhadap pindaan Perlembagaan Persekutuan yang regresif mengenai hak kewarganegaraan, kemenangan perjuangan perumahan penduduk 5 buah ladang di Selangor, jamuan teh pengumpulan dana, persidangan Sosialisme 2023 dan aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia 2024.
“Perjuangan sosialis ialah perjuangan yang berpanjangan. Ia bukan satu perlumbaan larian 100 meter, tetapi satu perlumbaan larian Marathon,” kata Soh Sook Hwa, Bendahari Nasional PSM semasa membentangkan laporannya dalam Kongres Nasional. “Perjuangan ini perlu diwarisi oleh generasi muda, generasi yang akan datang. Parti perlu mengatur strategi untuk melahirkan lapisan kepimpinan muda. Parti perlu secara sedar mengembangkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang kaya supaya ia diwarisi oleh generasi yang akan datang. Hanya dengan penglibatan yang aktif daripada semua ahli di peringkat akar umbi, barulah kita dapat bersama-sama membawa satu perubahan yang tulen. Tanggungjawab ini tidak hanya dipikul oleh kepimpinan parti, tetapi semua ahli aktif yang ingin merealisasikan sebuah dunia alternatif yang bakal menghapuskan kezaliman dan penindasan!”
Pemuda Sosialis, Gabungan Marhaen dan biro-biro dalam Jawatankuasa Pusat PSM turut membentangkan laporan masing-masing. Chong Yee Shan selaku Ketua Biro Komunikasi dan Media melaporkan perkembangan yang memberangsangkan dalam peningkatan capaian media sosial PSM. Sivaranjani yang mengetuai Biro Pekerja melaporkan pelbagai program yang diadakan termasuk kempen memansuhkan sistem kontrak, usaha mendesak peningkatan gaji minimum kepada RM2,000 dengan segera, cadangan untuk mereformasi PERKESO, kritikan terhadap Dasar Gaji Progresif, pengendalian talian Sistem Aduan Pekerja (SiAP) dan sebagainya. Dr. Jeyakumar yang menerajui Biro Kajian Dasar melaporkan bahawa buku panduan mengenai dasar-dasar PSM telah dicetak dan diedarkan. Cheong Huei Ting melaporkan aktiviti-aktiviti yang melibatkan Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim. Bawani KS melaporkan kerja-kerja Biro Pilihan Raya termasuk Sesi Perbincangan Dalaman yang diadakan pada 26 Mei 2024 untuk menentukan strategi parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. Laporan Biro Gender dibuat oleh Nalini Elumalai, laporan Biro Penerbitan dan Pemasaran dibentangkan oleh Kohila Yanasekaran, Laporan Antarabangsa disampaikan oleh Choo Chon Kai, dan laporan Biro Ideologi dibentangkan oleh Parames Elumalai.
Satu forum dengan tajuk “Peluang dan Cabaran Kuasa Politik Ketiga” telah diadakan dalam Kongres Nasional PSM kali ini, untuk berbincang tentang prospek pembangunan kuasa ketiga dalam arena politik negara kita pada masa hadapan. Ahli panel untuk forum ini ialah Hassan Karim selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang, Rasid Abu Bakar selaku Ahli Jawatankuasa Parti MUDA Negeri Johor dan S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM. Arutchelvan mengatakan bahawa terdapat dua hakikat yang harus dihadapi oleh mana-mana parti politik yang hendak menawarkan alternatif baharu, iaitu sistem “undian pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post) dan semua parti politik hanya dapat berkuasa melalui pembentukan gabungan dengan parti-parti lain, maka ini menjadi cabaran kepada parti politik yang hendak mencabar sistem dua-parti yang sedia ada. Arutchelvan berhujah bahawa terdapat tiga cara untuk parti progresif seperti PSM untuk menang, iaitu: 1. mengubah sistem pengundian sekarang kepada sistem pengundian yang baharu; 2. menyertai salah satu gabungan besar yang sedia ada; 3. membina kuasa ketiga.
“Jika parti politik yang bergabung menjadi kuasa ketiga itu hendak memenangi hati dan undi rakyat, ia perlu membawa politik yang berbeza,” ulas Arutchelvan. “Kita harus membawa agenda kuasa ketiga yang berbeza. Jika kita bercakap perkara yang sama dengan apa yang dikatakan oleh parti-parti arus perdana lain, apakah beza kita dengan PKR?” Arutchelvan berpandangan bahawa parti-parti yang berhasrat untuk membina kuasa ketiga harus mula mengadakan rundingan kerusi, dan menghasilkan dokumen bersama yang mengemukakan agenda politik alternatif. Arutchelvan mencadangkan bahawa perkara yang patut dibawa dalam dokumen bersama Kuasa Ketiga harus termasuk kejelasan tentang perjuangan kelas antara rakyat biasa dengan golongan korporat dan pelaksanaan sistem percukaian progresif untuk membiayai program sosial yang memanfaatkan rakyat.
Delegasi-delegasi yang menyertai Kongres Nasional PSM ke-26 telah membahaskan usul-usul yang dikemukakan oleh cawangan-cawangan. Sebanyak 9 usul telah diluluskan melalui pengundian, sementara 4 usul ditolak dan 2 usul ditarik balik oleh cawangan yang membawanya. Antara usul yang diluluskan ialah mengadakan protes terhadap kenaikan harga barangan keperluan asas, membantah sebarang langkah kerajaan yang hendak menaikkan bayaran hospital awam, mendapatkan seorang penggerak organisasi sepenuh masa dalam setahun akan datang, memudahkan ahli-ahli parti untuk mengakses dokumen-dokumen dalaman yang penting, dan sebagainya.
Selain itu, ahli-ahli PSM juga mengadakan bengkel perbincangan untuk mengumpul pandangan tentang bagaimana memperluaskan pengaruh dan sokongan PSM. Peserta-peserta Kongres Nasional juga menyemak semula Garis Juang Parti dan memberi input kepada perancangan setahun akan datang.
Kongres Nasional PSM ke-26 turut meluluskan resolusi yang mengandungi 28 tuntutan, termasuk pelaksanaan pencen warga emas sejagat, pemulihan pilihan raya tempatan, peningkatan gaji minimum, campur tangan kerajaan untuk mengawal harga keperluan asas harian, pemansuhan akta-akta zalim yang menyekat kebebasan demokratik, pengguguran pindaan Perlembagaan yang menyekat hak kewarganegaraan, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), penghapusan sistem kontrak untuk pekerjaan tetap, pertahankan keterjaminan makanan dengan tidak mengusir petani-petani yang mengeluarkan makanan, pewujudan sistem pengangkutan awam yang komprehensif, solidariti bersama rakyat Palestin dalam perjuangan menentukan nasib sendiri dan sebagainya.
Pemilihan parti telah diadakan dalam Kongres Nasional PSM ke-26 untuk memilih semua anggota Jawatankuasa Pusat, Juruaudit dan Jawatankuasa Tatatertib bagi penggal 2024-2026. Tumpuan pemilihan parti kali ini adalah jawatan Setiausaha Agung apabila Sivarajan yang menyandang jawatan tersebut sejak tahun 2015 menarik diri daripada pertandingan untuk Setiausaha Agung. Sivaranjani yang merupakan Ketua Biro Pekerja sebelum ini telah dipilih sebagai Setiausaha Agung yang baharu. Sivaranjani menjadi Setiausaha Agung yang ketiga dalam sejarah PSM dan Setiausaha Agung wanita yang pertama dalam PSM.
Berikut ialah senarai penuh Jawatankuasa Pusat PSM bagi penggal 2024-2026:
Pengerusi Nasional: Dr Jeyakumar Devaraj
Timbalan Pengerusi Nasional: S. Arutchelvan
Setiausaha Agung: Sivaranjani Manickam
Timbalan Setiausaha Agung: Bawani KS
Bendahari Nasional: Soh Sook Hwa
Timb Bendahari Nasional: S. Madhavi
Ahli Jawatankuasa Pusat:
Arveent Kathirtchelvan
Chong Yee Shan
Choo Chon Kai
Gandipan Nantha Gopalan
Karthiges Rajamanickam
Nik Aziz Afiq Bin Abdul
Parames Elumalai
Sivarajan Arumugam
Suresh Balasubramaniam
Sekali lagi Kongres Nasional berakhir dengan nyanyian lagu Internasionale yang penuh bersemangat, dan ahli-ahli PSM yang menyertai Kongres Nasional pulang dengan keazaman baharu untuk terus memajukan usaha perjuangan rakyat demi membina sebuah masyarakat yang benar-benar bebas, demokratik, adil, saksama, aman damai dan sejahtera.
One thought on “PSM terus perjuangkan alternatif yang progresif: Catatan ringkas Kongres Nasional PSM ke-26”