oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Parti Sosialis Malaysia (PSM) difahamkan bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diwar-warkan akan memanfaatkan wanita dengan pengiktirafan hak sama rata dengan lelaki dalam mendapatkan kewarganegaraan Malaysia bagi anak yang dilahirkan di luar negara, akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober ini. Tetapi pindaan ini dipercayai akan dibuat sekali gus dengan beberapa pindaan lain yang bukan sahaja tidak akan mengatasi isu ketiadaan kewarganegaraan dalam kalangan masyarakat Malaysia, malah memudaratkan lagi situasi mereka.

Kami difahamkan bahawa Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua dan Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua [Perkara 14(1)(b)] Perlembagaan Persekutuan akan diubah daripada penganugerahan kewarganegaraan mengikut kuat kuasa undang-undang (automatik) kepada satu prosedur yang memerlukan pendaftaran dan keizinan Menteri. Pindaan kepada Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan akan membolehkan penafian kewarganegaraan tanpa sebab untuk anak-anak yatim piatu terbiar. Selain itu, pindaan pada Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan pula akan menghakis undang-undang yang sedia ada, di mana pada masa kini sesiapa yang dilahirkan di Malaysia selepas kemerdekaan dan bermastautin di Malaysia serta tidak mempunyai asas untuk memohon kewarganegaraan di mana-mana negara lain, boleh diberikan kewarganegaraan Malaysia secara kuat kuasa undang-undang.

Jika pindaan ini dibenarkan, maka ratusan kanak-kanak yang terdampar/dijumpai (abandoned/foundlings) di rumah kanak-kanak di seluruh negara dan individu tanpa kewarganegaraan (stateless) akan dinafikan peluang untuk memperolehi kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang sedia ada. Seksyen 19B dan Seksyen 1(e) merupakan salah satu cara untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia bagi kes-kes sedemikian.

Selain itu, umur kelayakan untuk seseorang memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) dan 15A Perlembagaan Persekutuan akan dikurangkan dari 21 tahun ke 18 tahun. Perkara 15A merupakan satu-satunya cara untuk memohon kewarganegaraan Malaysia bagi individu yang dilahirkan di Malaysia dengan ibu yang bukan warganegara dan belum didaftar perkahwinan dengan bapa yang merupakan warganegara Malaysia.

Kebanyakan ibu bapa dari kawasan pedalaman dan luar bandar juga hanya sedar dan mula memohon kewarganegaraan bagi anak mereka setelah anak mereka itu berumur 16 hingga 18 tahun, maka pindaan ini akan menjejaskan permohonan sedemikian. Tambahan pula, masa untuk memproses dan menerima keputusan permohonan boleh mengambil masa sehingga 5 tahun, maka pengurangan had umur ini akan menyebabkan peluang permohonan menggunakan Perkara 15(2) dan 15A dalam Perlembagaan Persekutuan ini amat terhad.

Hak untuk mereka yang berstatus pemastautin tetap (permanent resident) dengan kad pengenalan merah juga akan terhakis jika Seksyen 1(a) Bahagian II Jadual Kedua [Perkara 14(1)(b)] Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan mengeluarkan terma “bermastautin secara tetap”. Kini seorang individu yang dilahirkan di Malaysia selepas kemerdekaan yang mempunyai salah seorang ibu bapanya merupakan seorang warganegara Malaysia ataupun seorang pemastautin tetap (permanent resident) berhak untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia. Penguguran terma “bermastautin secara tetap” ini akan menjejaskan peluang menjadi warganegara bagi ribuan orang yang lahir di Malaysia tetapi mempunyai ibu atau bapa yang memegang kad pengenalan merah. Ia mengakibatkan beban ketiadaan kewarganegaraan diturunkan kepada generasi berikutnya.

Oleh kerana ini, kami ingin menggesa pada Kerajaan Persekutuan supaya hanya membentangkan pindaan yang memanfaatkan wanita dengan anak yang dilahirkan di luar Malaysia, di samping mengkaji semula semua pindaan lain yang regresif dan menyukarkan lagi masalah ketiadaan kewarganegaraan (statelessness) di Malaysia.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *